Search This Blog

Wednesday, October 23, 2013

2 maut, 2 cedera MPV rempuh pokok

PONTIAN: Dua maut manakala dua cedera dengan seorang daripadanya parah apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza dinaiki merempuh pokok dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 15.1, Jalan Pontian-Kukup di sini, jam 5 pagi tadi.
Kejadian berlaku apabila Toyota Avanza terbabit yang dipercayai dipandu laju hilang kawalan sebelum merempuh pokok di lokasi berkenaan.
Mangsa yang mati ialah pemandu Syahirul Kantor, 21, berasal dari Kampung Peramu, Tanjung Lumpur, Kuantan dan penumpang belakang, Syamsuwardi Abd Kadir, 21, dari Villa Indah, Taman Bayu Perdana, Klang.

Dua yang cedera ialah Mohd Imran Mohd Thamrin, 18, berasal dari Lorong Selampit 18 A, Klang Jaya, Klang dan Zubayir Sultan, 20, dari Taman Chi Liung, Pandamaran, Pelabuhan Klang.
Foto

Mohd Imran parah dan kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru.

Kesemua mangsa adalah pekerja di Tanjung Bin Power Plan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) APJ 1987.

Pekerja wanita maut ditembak semasa rompakan bank


SUBANG JAYA: Seorang pekerja bank wanita berusia 37 tahun maut akibat terkena tembakan di kepala yang dilepaskan pengawal keselamatan yang merompak bank berkenaan di USJ Sentral di sini, petang tadi.

Dalam kejadian pada jam 6.18 petang itu, suspek berusia 37 tahun yang berkhidmat di bank sama dikatakan melepaskan tembakan yang terkena kepala mangsa ketika mereka bergelut sejurus selepas membuka pintu peti kebal di bank berkenaan.

Menurut sumber, mangsa dikatakan mati serta merta di tempat kejadian manakala pengawal keselamatan terbabit melarikan sebuah beg yang mengandungi sejumlah wang yang masih belum dikenal pasti jumlahnya.

Suspek dikatakan berasal dari Sabah itu melarikan diri menggunakan motosikalnya dan polis sedang menjalankan operasi mencarinya termasuk mengesan di alamat kediaman pengawal keselamatan itu berdasarkan rekod kerjanya.


Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya Superintendan Tan Ah Chuan ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.


Hingga jam 9 malam ini, polis masih belum berhasil memberkas pengawal keselamatan terbabit dan gerakan mengesan suspek diteruskan.

22 kereta mewah dirampas kastam


KUALA LUMPUR: Sebanyak 22 kereta mewah belum lulus kastam dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) membabitkan nilai rampasan lebih RM25 juta.

Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Seri Khazali Ahmad berkata, rampasan itu dilakukan di beberapa lokasi berasingan bermula 16 Oktober lalu hingga semalam.
Rampasan itu termasuk 15 buah Ferrari, tiga buah Lamborghini dan masing-masing sebuah Bentley, Roll Royce, Porsche dan Nissan GTR 35.

Tiga pasangan Saudi bercerai setiap jam


Riyadh: Kadar perceraian di Arab Saudi meningkat kepada lebih 30,000 kes pada 2012 dengan kadar purata 82 kes sehari atau hampir tiga kes setiap jam.

Kajian dibuat unit penyelidikan akhbar al-Eqtisadiah menunjukkan kadar perceraian di negara itu adalah 2.5 kes bagi setiap 1,000 lelaki berusia 15 tahun ke atas.
Kadar itu menjadikan Arab Saudi berada di tempat kedua di kalangan negara Teluk dalam isu perceraian, diikuti Bahrain dengan kadar 2.7 kes bagi setiap 1,000 orang.

Kajian sama menunjukkan berlaku kecenderungan untuk peningkatan kes perceraian pada 2012 berbanding 2010 apabila kadar itu berada pada tahap 75 kes sehari.


Data disediakan Kementerian Keadilan menunjukkan 90 peratus - atau lebih 27,000 pasangan - kes pera membabitkan lelaki tempatan yang menikahi wanita tempatan.


Di samping itu, perceraian di antara pasangan lelaki asing dengan wanita asing berada di tempat kedua dengan 2,174 kes atau tujuh peratus.

Sementara itu, bagi pasangan lelaki tempatan dengan wanita asing, sebanyak 575 kes - atau dua peratus - kes perceraian direkodkan. - Agensi

Dua lelaki maut ditembak, wanita parah


Narathiwatt: Dua lelaki ditembak mati dan seorang wanita cedera parah dalam dua serangan berasingan di daerah Rueso malam kelmarin.

Jurucakap polis di Rueso, Uthai Phanthong menerima laporan berlaku kejadian tembakan kira-kira jam 9.51 malam.
Dia yang disertai anggota tentera bergegas ke tempat kejadian sebelum menemui penduduk, Mahama Nasae Samae, 34, sudah terbaring dan tidak bernyawa lagi di depan kediamannya.

Abang ipar mangsa, Muhammad Kaseng, 48, memberitahu polis yang Mahama Nasae, seorang lagi adik iparnya, Rachana Kuechi, 45, dan dua lagi jiran sedang berbual di depan kediaman mereka apabila dua lelaki bermotosikal melepaskan tembakan ke arah mereka.


Mahama mati di tempat kejadian, manakala Rachana cedera parah.


Dalam satu lagi kejadian berasingan, penduduk Rangae, Rusran Wohrong, 32, ditembak mati ketika bersolat di sebuah masjid di Ban Laloh bersama 20 jemaah yang lain.

Menurut saksi, seorang lelaki bermotosikal tiba di masjid dan berpura-pura bersolat di belakang mangsa.

Bagaimanapun, dia mengeluarkan pistol 9mm sebelum melepaskan tembakan ke arah mangsa.

Rusran yang ditembak di kepala maut di tempat kejadian. - Agensi

Peladang kini kesal potong kaki sendiri


Beijing: Seorang peladang dari Hebei, Zheng Yanliang yang memotong kakinya beberapa minggu lalu dilaporkan mula kesal dengan tindakan terburu-burunya itu.

Zheng memotong kaki kanannya dengan sebilah pisau dan gergaji akibat penyakit aneh yang dihidapinya.
Bagaimanapun, ada pihak yang mendawka dia berbuat demikian kerana ingin dikecualikan daripada membayar bil hospital.

Selepas kisahnya tersebar meluas di Internet, Zheng mendapat perhatian masyarakat dan hospital tempatan turut memberinya rawatan perubatan percuma.


Dia juga menerima sumbangan orang ramai dari seluruh negara.


Bagaimanapun, Zheng bimbang dia akan dilupakan jika media tidak lagi memberi perhatian kepadanya dan dia mungkin berdepan kesukaran lagi walaupun buat masa ini keadaan hidupnya stabil.

Zheng memerlukan pembiayaan besar dalam jangka panjang dan insurans perubatannya tidak dapat menampung jumlah sedemikian.

Diharapkan dia tidak memotong sebelah lagi kakinya jika sudah kekurangan wang untuk membiayai kos perubatannya. - Agensi

4 polis cedera, 20 penduduk ditahan selepas bertempur


Makassar: Empat anggota polis cedera dan 20 penduduk ditahan ekoran pertempuran yang tercetus angkara pertikaian mengenai tanah di Makassar, selatan Sulawesi semalam.

Tiga daripada empat polis itu melecur, manakala yang keempat cedera di kepala selepas ratusan penduduk membaling bom buatan sendiri, batu dan memanah polis terbabit yang membuat kawalan.
Pertempuran tercetus selepas polis cuba menjalankan perintah mahkamah yang mengarahkan 32 keluarga diusir dari tanah berkeluasan 3,570 hektar di pinggir pekan Mariso.

Mahkamah daerah Makassar memutuskan pertikaian mengenai tanah yang menjadi rebutan itu adalah milik seorang wanita dikenali sebagai Hamidah.


“Semua anggota polis yang cedera dibawa ke Hospital Bhayangkara,” kata ketua polis Makassar, Muhammad Ridwan kepada portal berita kompas.com.


Menurutnya, keganasan itu berlaku selama tiga jam dan berakhir hanya selepas polis menahan 21 orang, termasuk seorang pegawai polis, Frans Tendean yang menurut media, menjadi dalang dalam konflik itu.

Polis turut merobohkan pagar kawat yang dibina penduduk tempatan di sekeliling tanah berkenaan bagi membolehkan kediaman penduduk terbabit diruntuhkan.

Puluhan anak panah dan beberapa bom buatan sendiri turut dirampas dari beberapa kediaman penduduk berkenaan. - Agensi

Pencuri salahkan sistem keselamatan muzium

Bucharest: Seorang lelaki Romania yang mengaku mencuri lukisan tiga pelukis terkenal dunia menyalahkan muzium Belanda kerana gagal melindungi karya seni itu.
Peguam Catalin Dancu semalam berkata, Radu Dogaru menganggap pengurusan Muzium Kunthal di Rotterdam gagal melengkapkan lukisan Gauguin, Monet dan Picasso dengan alat penggera. 
“Kami boleh tegaskan berlaku kecuaian dengan kesan serius.

“Jika tiada jawapan diterima mengenai siapa yang bersalah atas kecuaian itu, kami mempertimbangkan untuk mengambil peguam Belanda untuk memulakan kes undang-undang di negara itu atau Romania,” katanya.

Dogaru adalah seorang daripada enam warga Romania yang dibicarakan kerana mencuri lukisan berkenaan pada Oktober 2012.

Kejadian itu menggemparkan dunia kerana kecurian berlaku hanya dalam tempoh tiga minit.

Walaupun bernilai amat tinggi, pihak berkuasa Belanda mengakui lukisan berkenaan tidak dilengkapi alat penggera.

Ketika ini Dogaru berdepan tuntutan sehingga AS$24 juta (RM76 juta) daripada syarikat insurans yang melindungi lukisan berkenaan.

Karya seni itu masih belum ditemui sehingga kini.

Paksa teman wanita minum asid

Mumbai: Seorang remaja perempuan cedera parah selepas diperdaya bekas teman lelakinya dan dipaksa meminum asid sebelum ditolak ke laut.
Laporan media India menyatakan, mangsa menjalin hubungan dengan Jitendra Sakhpal, 21, sebelum lelaki terbabit melamarnya. 
Bagaimanapun remaja terbabit menolak lamaran berkenaan dan hubungan mereka berakhir disebabkan ia tidak mendapat restu daripada keluarganya.

Antara faktor cinta itu dihalang ialah kerana Sakhpal menganggur.

Polis berkata, kejadian berlaku pada Sabtu lalu apabila pasangan dari Dahisar itu bertemu di Pantai Gorai, barat Mumbai.

Sumber berkata, mangsa berusia 18 tahun dan menuntut di sebuah kolej.

“Sabtu lalu Sakhpal bertemu mangsa di depan kolejnya dan merayu supaya menemani suspek bersiar-siar.

“Mereka menaiki bot dan tiba di Gorai tidak lama kemudian,” katanya dalam satu kenyataan.

Di situ, katanya, suspek merayu supaya hubungan mereka disambung semula tetapi apabila mangsa gagal diyakinkan, dia mengeluarkan sebotol asid.

Suspek kemudian mencurah cecair berbahaya itu ke mulut mangsa sebelum dia ditolak ke laut.

Polis percaya Sakhpal merancang kejadian itu lebih awal.

Asid berkenaan menyebabkan 10 hingga 15 peratus muka mangsa melecur.

Sumber berkata, mangsa kini dirawat di Hospital Thunga di Mumbai dan doktor masih belum dapat memastikan sejauh mana kecederaan dalaman remaja terbabit. - Agensi

'Saya tanggung malu'

Kuala Lumpur: “Orang hanya pandai mengata, tuduh saya tak tahu jaga anak dan macam-macam lagi. Hakikatnya, saya dan suami sudah jalankan tanggungjawab kami dan anak saya bukan gadis liar yang boleh keluar rumah sesuka hati.
“Kalau perkara sama berlaku pada mereka (orang yang mengata), mungkin baru mereka tahu apa yang saya dan suami rasakan sekarang. Saya merayu, fahamilah situasi kami dan janganlah tuduh kami yang bukan-bukan.” 
Itu luahan hati seorang ibu mahu dikenali sebagai Rohani, 36, selepas rakaman video anak perempuannya yang berusia 15 tahun dengan ‘aksi mesra’ bersama teman lelaki, kini tersebar meluas di laman YouTube dan Facebook (FB).

Rohani berkata, perhubungan anak perempuannya, dinamakan sebagai F dengan teman lelakinya yang juga berusia belasan tahun memang diketahuinya, namun dia tidak menyangka mereka akan bertindak sejauh itu.
Foto
RAKAMAN video pasangan kekasih dimuat naik dalam YouTube.

“Saya memang tahu mereka berkawan rapat, tapi tak sangka pula sampai merakam video berpeluk dan bercium dan dimuat naik pula ke Internet,” katanya.

Mayat dalam beg pakaian

KLANG: Polis menemui mayat seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang dilaporkan hilang oleh keluarganya sejak semalam, di tepi Jalan Kebun Nenas 1A/KS7, di sini, kira-kira 9 malam tadi.
Mayat mangsa ditemui dalam sebuah beg pakaian dipercayai dibuang pembunuhnya di lokasi berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Rahim Jaafar, berkata mayat mangsa ditemui selepas suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya oleh seorang lelaki, kira-kira 6.30 petang tadi.

Menurutnya, hasil soal siasat terhadap suspek berusia 23 tahun itu membawa polis ke tempat mayat mangsa dibuang..
Foto
ANGGOTA Forensik memeriksa sebuah bagasi memuatkan mayat seorang pelajar tingkatan 3 yang dibunuh di Jalan Kebun Nenas 1A/KS7. FOTO Osman Adnan

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kesan luka dan pendarahan di bahagian kepala dan tangan mangsa.

"Soal siasat mendapati mangsa dibunuh di rumah suspek di Kelana Jaya, lebih 12 jam, berdasarkan keadaan mayat yang sudah berbau," katanya ditemui di lokasi kejadian, malam tadi.

Katanya, sebelum mayatnya ditemui, mangsa dilaporkan keluar dari rumahnya kira-kira jam 11 pagi semalam.

Mangsa kemudiannya dilaporkan tidak pulang ke rumah sehingga jam 12 tengah malam.

Beliau berkata, ibu mangsa yang bimbangkan keselamatan mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Salak Selatan kira-kira jam 1.30 pagi semalam.

Menurutnya, suspek bekerja sebagai operator mesin dan mangsa yang baru selesai menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) itu adalah kenalan dan dikatakan mengenali antara satu sama lain melalui internet beberapa bulan lalu.

Abdul Rahim berkata, mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya untuk bedah siasat.

Menurutnya, polis masih menunggu laporan bedah siasat untuk mengetahui sama ada mangsa dirogol suspek atau sebaliknya.

"Polis akan memohon perintah tahanan reman terhadap suspek esok (hari ini) bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan bagi mengetahui motif sebenar pembunuhan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh," katanya.

Pemilik pub dilepas tuduhan membakar

BANGKOK 23 Okt. - Mahkamah Rayuan Bangkok, semalam membatalkan sabitan kesalahan ke atas pemilik sebuah pub, di sini yang terbakar semasa sambutan ambang Tahun Baru 2008 yang mengakibatkan 67 orang terbunuh.
Menurut mahkamah, tiada bukti mencukupi menunjukkan Visuk Sretsawat bertanggungjawab secara langsung dalam kebakaran di Santika Pub yang turut mengakibatkan 71 orang mengalami kesan melecur yang teruk.
Visuk dijatuhi hukuman penjara sehingga tiga tahun oleh mahkamah pada 2011, namun merayu dan kemudian dibebaskan dengan ikan jamin sementara menunggu keputusan rayuan.
Mahkamah Rayuan, bagaimanapun mengekalkan hukuman penjara tiga tahun ke atas Boonchu Lawsrinat, seorang eksekutif syarikat yang mengendalikan kesan khas di Pub Santika pada malam kebakaran itu. - DPA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131023/lu_12/Pemilik-pub-dilepas-tuduhan-membakar#ixzz2iXMGt9EL
© Utusan Melayu (M) Bhd 

68 hektar sawah tenggelam



ismalina (kanan) menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan Pantai Kamloon di Kepala Batas semalam.


KEPALA BATAS – Ratusan pesawah di sekitar Bumbung Lima dan Pantai Kamloon di sini terpaksa menanggung kerugian ribuan ringgit apabila kawasan sawah seluas kira-kira 68 hektar ditenggelami banjir kilat yang melanda kawasan itu sejak Ahad lalu.
Lebih menyedihkan apabila kerja-kerja menabur benih padi baru sahaja selesai dua minggu lalu menyebabkan ada petani berasa bimbang benih yang ditabur akan rosak dan dihanyutkan air banjir.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan Lahar Tiang, Wahid Yahaya, 70, hujan lebat yang melanda kawasan hulu Sungai Muda menyebabkan air melimpah ke dalam sawah.
“Kebanyakan petani bimbang jika air bertakung lama ia akan merosakkan anak benih yang baru ditabur dua minggu lalu termasuk dihanyutkan arus air banjir.
“Kalau perkara itu berlaku, petani terpaksa menanggung kerugian ribuan ringgit kerana terpaksa membajak kembali sawah selain membeli benih baharu untuk ditabur semula,” katanya.
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri Pinang Tunggal, Datuk Roslan Saidin dan isteri kepada Ahli Parlimen Kepala Batas, Datin Seri Ismalina Ismail melawat mangsa banjir di pusat pemindahan mangsa banjir di Bumbung Lima dan Pantai Kamloon di sini.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1023&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz2iWE3C6Pr 
Hakcipta terpelihara 

Buang mesin ATM dalam kolam



MOHD. MOKHTAR menunjukkan sebahagian mesin ATM yang dibuang dalam kolam pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU - Polis menumpaskan sindiket pecah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) selepas menahan enam lelaki termasuk remaja bawah umur dalam serbuan berasingan di Ulu Tiram di sini pada Khamis lalu.
Bersama suspek berusia 15 hingga 35 tahun itu, polis menjumpai lima buah mesin ATM yang telah dilarikan, sebuah trak tunda, dua bilah parang panjang dan sebuah beg berisi enam gulung tali.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, siasatan mendapati kumpulan suspek itu cuba melupuskan barang-barang kes bagi mengelak dikesan polis sepanjang tiga bulan mereka beroperasi.
"Selepas mengambil wang, suspek akan membakar kenderaan (yang digunakan untuk melarikan mesin ATM) dan membuang mesin ATM ke dalam kolam terbiar di Kampung Ban Foo, Ulu Tiram," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1023&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz2iW69116b 
Hakcipta terpelihara 

Sarjan disiasat atas tiga kesalahan



MOHD. AMAR yang cedera terkena peluru daripada pistol seorang anggota polis masih dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.


IPOH - Anggota polis berpangkat sarjan yang terlepas tembakan sehingga mencederakan seorang budak, Mohd. Amar Mohd. Azizi, 10, di Kampung Belanja Kiri, Parit berkemungkinan didakwa di mahkamah atas tiga pertuduhan berunsur jenayah.
Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk A. Paramasivam berkata, sarjan berusia 30-an itu kini disiasat di bawah tiga seksyen iaitu Seksyen 37 dan Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960 serta Seksyen 338 Kanun Keseksaan.
"Seskyen 37 Akta Senjata Api 1960 ialah melepaskan tembakan sehingga menyebabkan kecederaan manakala Seksyen 39 akta sama pula ialah melepaskan tembakan di kawasan tidak dibenarkan.
"Kes itu juga disiasat mengikut Seksyen 338 Kanun Keseksaan iaitu membuat perlakuan yang membahayakan nyawa awam," kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini semalam.
Seksyen 37 Akta Senjata Senjata Api 1960 memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali manakala Seksyen 39 memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih setahun dan denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Seksyen 338 Kanun Keseksaan pula memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau didenda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, menurut Paramasivam, penolong pengawai penyiasat di Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping itu turut disiasat oleh Unit Tatatertib Polis Diraja Malaysia (PDRM) ekoran tindakannya membawa senjata api di luar waktu tugas.
Berdasarkan prosedur operasi standard, setiap anggota polis perlu menyerahkan semula senjata api ke balai masing-masing sebelum bercuti.
"Pihak kami sedang menyiasat kenapa sarjan itu dibenarkan membawa senjata api sewaktu bercuti.
"Sebagai anggota polis yang bertugas di Daerah Taiping, anggota itu perlu mendapatkan pas berek untuk meninggalkan daerah itu untuk ke daerah lain iaitu daerah Perak Tengah dalam kes ini," kata beliau.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1023&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz2iW5y2iYm 
Hakcipta terpelihara 

Remaja perempuan disyaki mati dibunuh



ANGGOTA polis memeriksa mayat remaja perempuan disumbat dalam bagasi yang ditemui di tepi Jalan Kebun Nenas 1A/KS7, Klang malam tadi.


KLANG – Seorang remaja perempuan yang dilaporkan hilang kelmarin dan kemudian ditemui mati, disyaki menjadi mangsa bunuh sebelum mayatnya dicampak di tepi Jalan Kebun Nenas 1A/KS7 di sini malam tadi.
Mayat Ng Yuk Tim, 15, dijumpai pada pukul 9 malam selepas polis menahan seorang operator mesin berusia 23 tahun dipercayai kekasih mangsa bagi membantu siasatan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di sini semalam.
Ketika diperiksa, terdapat kesan gigitan pada tangan lelaki tersebut.
Soal siasat lanjut ke atas lelaki itu membawa polis ke lokasi mayat mangsa ditinggalkan berhampiran rumah kedai di kawasan tersebut.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, mangsa dipercayai diketuk dengan objek tumpul kerana terdapat kesan pendarahan di kepala sebelum mayatnya disumbat ke dalam sebuah bagasi berwarna hijau.
Yuk Tim


Mangsa yang lengkap berpakaian, dipercayai dibunuh pada hari sama dia dilaporkan hilang di Kelana Jaya sebelum mayatnya ditinggalkan di kawasan itu yang jaraknya 28 kilomter dari lokasi kejadian.
“Polis masih menyiasat punca sebenar kematian mangsa termasuk kemungkinan dirogol,” katanya di sini.
Yuk Tim dilaporkan hilang pada pukul 3 petang kelmarin selepas keluar dari rumah pada pukul 11 pagi untuk berjumpa rakan.
Salah seorang rakan mangsa kemudian meninggalkan remaja itu di kawasan Stesen Transit Aliran Ringan Kelana Jaya di sini sebelum dia dilaporkan hilang.
Mangsa yang baru selesai menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah dipercayai mengenali suspek sejak lima tahun lalu melalui laman Facebook.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1023&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz2iW5d3yhD 
Hakcipta terpelihara 

Suami baran mahu isteri kembali


REAKSI Muhammad Affandi semalam ketika berjalan keluar dari Mahkamah Majistret Bukit Mertajam atas tuduhan membelasah isterinya.


BUKIT MERTAJAM - Seorang pegawai veterinar yang berdepan hukuman penjara setahun dan denda atas tuduhan membelasah isterinya di dalam lif sebuah hospital Ogos lalu berharap wanita itu berfikir sedalam-dalamnya mengenai hubungan mereka.
Ketika ditemui di luar Mahkamah Majistret di sini selepas selesai prosiding semalam, tertuduh, Muhammad Affandi Ismail, 36, berkata, dia sedia maklum mengenai kenyataan isterinya sebelum ini yang tidak lagi mahu kembali ke pangkuannya.
"Saya berharap perkara itu difikirkan semula. Kalau isteri kata sudah tertutup hatinya, saya minta dia buka mindanya kembali supaya dapat berfikir semula tentang keputusan itu," katanya ringkas kepada pemberita.
Terdahulu, Majistret Ariff Mohamed Sharif menetapkan 21 November depan sebagai tarikh untuk menyambung perbicaraan kerana dokumen kes itu masih belum lengkap.
Mengikut kertas pertuduhan, pegawai veterinar di Jerantut, Pahang itu dituduh menyebabkan kecederaan terhadap isterinya yang merupakan pekerja kilang berusia 36 tahun.
Perbuatan tertuduh tersebut dirakam televisyen litar tertutup (CCTV) di dalam lif Hospital KPJ Bandar Perda dekat sini pada pukul 4 petang.
Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1023&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz2iW4Qu1HR 
Hakcipta terpelihara 

Sarjan tentera pukul isteri selepas enggan beri sperma


GEORGE TOWN - Seorang anggota tentera bertindak membelasah isterinya tanpa belas kasihan selepas naik angin apabila didesak memberi sampel spermanya untuk diuji oleh doktor dalam kejadian di tempat letak kereta Hospital Seberang Jaya, Seberang Perai Tengah dekat sini kelmarin.
Kejadian pukul 8 pagi itu berlaku apabila lelaki berusia 42 tahun tersebut bertemu dengan isterinya yang berumur 35 tahun di situ sebelum mereka berselisih faham sehingga bertengkar.
Si isteri merupakan warga Indonesia manakala suaminya merupakan lelaki tempatan. Mereka dalam proses perceraian dan tinggal berasingan sejak beberapa bulan lalu.
Difahamkan, sperma lelaki itu diperlukan untuk membolehkan pasangan terbabit menjalani ujian kesuburan.
Sumber memberitahu, dalam pertengkaran itu, si suami yang berpangkat sarjan dan bertugas di sebuah kem tentera di sini gagal mengawal emosi sebelum bertindak memukul isterinya berkali-kali hingga tersungkur.
"Ekoran itu mata kiri mangsa lebam, hidung berdarah dan sakit seluruh badan akibat dipukul. Wanita tersebut yang tidak berpuas hati kemudian bertindak menendang pintu kereta suaminya hingga lelaki berkenaan naik angin dan mengugut mahu membunuhnya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1023&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz2iW4vHbp4 
Hakcipta terpelihara 

Pelajar amuk di sekolah AS



AP
BEBERAPA anggota keselamatan mengawal Sekolah Pertengahan Sparks di Sparks, Nevada kelmarin.


SPARKS - Seorang pelajar Amerika Syarikat (AS) yang bersenjatakan selaras pistol semi automatik menembak mati seorang guru matematik dan mencederakan dua rakan sekelasnya pada Isnin lalu di Sekolah Pertengahan Sparks di sini.
Beberapa saksi menyatakan bahawa pelajar tersebut kemudian membunuh diri selepas dia melakukan perbuatan tersebut.
Guru matematik yang terbunuh itu ialah Michael Landsberry yang berusia 45 tahun.
Bagaimanapun, nama pelajar tersebut tidak didedahkan.
Menurut polis, pelajar yang melakukan perbuatan tersebut berumur 12 tahun.
Namun, beberapa laporan kemudian menyatakan dia berusia 13 tahun. Motif kejadian itu masih belum diketahui. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1023&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2iW1viB6t 
Hakcipta terpelihara 

Simpan mesin ATM curi


Johor Bahru: Selepas tiga bulan mengganas dengan melarikan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di negeri ini serta beberapa negeri lain, sekumpulan enam penjenayah berusia antara 15 hingga 35 tahun diberkas dalam beberapa siri serbuan di Ulu Tiram bermula 17 Oktober lalu.
Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, dalam serbuan jam 10 pagi itu, polis menahan beberapa suspek dan merampas sebuah trak tunda, lima mesin ATM yang sudah dipecahkan serta beg pakaian mengandungi enam gulung tali pengikat. 
Menurutnya, dengan kejayaan itu, polis yakin dapat menyelesaikan lebih 27 kes melarikan mesin ATM yang dilaporkan berlaku di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan membabitkan kerugian lebih RM2 juta. 

“Berdasarkan siasatan dijalankan, polis dapati suspek bertindak membakar, menanam dan menghumban mesin ATM dipecahkan dalam sebuah kolam terbiar di Ulu Tiram selepas wangnya dikeluarkan,” katanya.
Foto
MOHD Mokhtar menunjukkan peralatan gunakan untuk memecah peti ATM.

Difahamkan, modus operandi digunakan kumpulan itu ialah mencuri kenderaan milik individu lain seperti pacuan empat roda dan trak tunda sebelum digunakan untuk melarikan mesin ATM.

“Selain tangkapan itu, polis kini mengesan seorang rakan suspek dipercayai terbabit dalang kejadian melarikan mesin ATM. 

Beliau berkata, lelaki terbabit dikenali sebagai S Marie @ Marie, pemegang kad pengenalan bernombor 771213-01-5341 dengan alamat terakhir di 21, Jalan Mutiara 3, Taman Gunung Emas, Ulu Tiram, Johor.

Budak 7 tahun digilis kereta jiran


Serdang: Seorang kanak-kanak perempuan maut selepas digilis kereta jirannya di luar rumahnya di Bandar Kinrara 5, tengah hari kelmarin.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, jiran mangsa yang juga ibu kepada rakan sekolahnya memberhentikan kereta untuk membantu mangsa, K Diryadarsina, 7, membuka pintu kereta bahagian belakang pemandu.


Bagaimanapun wanita terbabit yang tidak perasan gear diletakkan pada kedudukan ‘R’ terus keluar dari kereta sebelum kereta itu mengundur.

Pintu kereta bahagian penumpang yang terbuka ketika itu mengenai mangsa menyebabkan dia terjatuh ke bawah kereta sebelum kepalanya digilis tayar depan pada bahagian pemandu.


Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Abdul Razak Elias berkata, mangsa yang cedera parah di kepala dikejarkan ke hospital swasta berhampiran sebelum disahkan meninggal dunia.


“Sebelum kejadian, wanita itu pergi ke rumah mangsa yang terletak di lorong belakang rumahnya bersama anaknya yang juga rakan mangsa kerana mahu menghantar mereka ke sekolah. “Ketika kejadian, wanita terbabit tidak perasan gear terletak pada kedudukan mengundur sebelum keluar membantu mangsa. Namun wanita itu hanya sempat membuka pintu kereta menyebabkan pintu itu terkena mangsa sebelum mangsa terjatuh dan digilis,” katanya.

Sementara itu, ibu saudara mangsa yang mahu dikenali Mahitha berkata, keluarganya masih bersedih dengan pemergian mendiang dan tidak mahu membesarkan kejadian.

Jeritan selamatkan wanita dihempap batu lima tan


Balik Pulau: Jeritan seorang lelaki yang melalui laluan di Jalan Tun Sardon, di sini, semalam, menyelamatkan seorang penunggang motosikal daripada dihempap batu seberat lima tan yang menggelungsur akibat tanah mendap.
Dalam kejadian jam 1 petang itu, batu berkenaan bergolek sebaik sebatang pokok di kawasan itu tumbang dan menyebabkan laluan menghala ke Paya Terubong ditutup menjadi satu lorong lebih empat jam. 
Saksi kejadian, Azan Sulaiman, 45, berkata, dia dalam perjalanan ke pusat bandar sebelum mendengar bunyi dentuman dan kemudiannya batu besar jatuh dari atas bukit. 

Menurutnya, dia terpaksa menjerit untuk memberi amaran kepada seorang wanita yang menunggang motosikal bagi menghalangnya daripada melalui jalan itu berikutan khuatir dihempap batu berkenaan.
Foto
DUA jentolak digunakan bagi mengalih bongkah batu yang menghalang lalu lintas.

“Saya sendiri panik ketika itu dan menjerit supaya penunggang motosikal itu tidak meneruskan perjalanannya. Nasib baik dia terdengar jeritan saya,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Kerja Raya (JKR) berkata, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu. 

“Pihak kami menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan terdapat seketul batu besar di bahagian kiri jalan Balik Pulau menghala Paya Terubong. 

“Sebaik kakitangan JKR tiba di lokasi kejadian, kami mendapati batu seberat lima tan dan pokok menghalang lalu lintas. 

“Kerja pembersihan dijalankan, tetapi kami menghadapi kesukaran selepas jentolak seberat tiga tan mengalami kebocoran gas hidraulik ketika mengalihkan batu itu. 

“Bagaimanapun, batu itu dialihkan ke bahu jalan dengan menggunakan dua jentolak,” katanya. 

Lori terbabas elak kereta


Klang: Sebuah lori tangki membawa muatan 16,000 liter minyak petrol terbalik di Batu Tujuh, Jalan Kapar, di sini, pagi semalam.

Dalam kemalangan jam 5.30 pagi itu, lori yang dipandu seorang lelaki berusia 59 tahun dipercayai terbabas akibat mengelak sebuah Perodua Alza sebelum terbalik sehingga muatan minyak petrol yang dibawanya tumpah di atas jalan raya.
Ketua Polis Klang Utara Asisten Komisioner Mohamad Shukor Sulong berkata, ketika kejadian, lori tangki itu dalam perjalanan dari sebuah stesen minyak di Pelabuhan Utara untuk menghantar bekalan minyak petrol ke beberapa lagi stesen minyak di Sungai Besar.

“Pemandu lori gagal mengawal kenderaannya ketika mengelak sebuah kenderaan jenis Perodua Alza yang keluar dari simpang di kiri jalan di lokasi kejadian.


“Disebabkan gagal mengelak kenderaan itu, lori terbabas sebelum terbalik melintang jalan menyebabkan kesesakan lalu lintas lebih dua kilometer,” katanya kepada Harian Metro, semalam.


Katanya, pemandu lori hanya cedera ringan di bahu dan pipi, namun sempat keluar dari lori meminta bantuan orang ramai kerana bimbang letupan manakala wanita yang memandu Perodua Alza itu tidak cedera.

Beliau berkata, lori tangki berkenaan sudah dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara untuk siasatan lanjut Bahagian Trafik.

Sementara itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Shah Alam Penguasa Kanan Bomba II Ahmad Zaidi Safuan berkata, Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) dari Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Shah Alam dikejarkan ke tempat kejadian jam 5.51 pagi.

Dua penumpang cedera dalam nahas dua bas


Genting Highlands: Dua penumpang sebuah bas persiaran cedera selepas bas dinaiki mereka bersama 21 penumpang lain terbabit kemalangan dengan sebuah bas persiaran lain di Kilometer (KM) 17.5 Jalan Genting Highlands, di sini, petang semalam.
Kedua-dua lelaki tempatan terbabit dilaporkan cedera ringan dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Mohd Mansor Mohd Nor berkata, kejadian berlaku jam 3.45 petang ketika kedua-dua bas berkenaan dalam perjalanan turun.
“Sebuah bas persiaran membawa 19 penumpang warga Iran dalam perjalanan dari Genting ke Kuala Lumpur berada di hadapan dan diekori sebuah bas persiaran yang membawa 23 penumpang dari arah sama untuk ke Johor Bharu.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di KM 17.5 itu ketika menuruni bukit, pemandu bas di bahagian belakang dipercayai gagal mengawal bas lalu melanggar bas di hadapan,” katanya.

Wanita dalam pantang dilibas wayar elektrik


Kuala Lumpur: Tidak tahan dibelasah dan ditumbuk suami ‘kaki pukul’ saban hari sejak berkahwin lebih setahun lalu, seorang wanita yang masih dalam pantang anak sulungnya akhirnya nekad membuat laporan polis, kelmarin.

Difahamkan, mangsa yang baru melahirkan bayi lelaki lebih sebulan lalu cedera di seluruh badan dan kepala angkara dibelasah suaminya menggunakan wayar elektrik.
Menurut sumber, dalam kejadian jam 1 pagi itu, wanita berusia 20 tahun terbabit yang sedang tidur di rumahnya di Kampung Pandan, di sini, dikejutkan dengan kepulangan suaminya.

“Mangsa menegur suaminya dengan baik, namun lelaki itu dikatakan naik berang lalu memarahi isterinya itu hingga berlaku pertengkaran.


“Suami mangsa yang dikatakan naik angin lalu mengambil wayar elektrik sebelum membelasahnya,” katanya.


Mangsa yang menanggung kesakitan akibat dipukul cuba menghalang namun dia tidak berdaya kerana masih berpantang.

Berikutan itu, mangsa mengalami kecederaan dan lebam di seluruh badan serta kepala.

Menurutnya, mangsa yang tidak tahan lagi menjadi mangsa tabiat buruk suaminya yang dipercayai kaki pukul itu akhirnya nekad membuat laporan di Balai Polis Kampung Pandan, Cheras, di sini.

Mangsa merangkak dari tebing minta pertolongan


Temerloh: Seorang lelaki terpaksa merangkak mendaki tebing setinggi lima meter untuk meminta pertolongan mengeluarkan mayat rakannya yang tersepit dalam kereta yang terjunam ke alam gaung di Kilometer 137, Jalan Kuala Lumpur-Kuantan, dekat sini, pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.15 pagi itu, Soo Kee Cheong, 34, dari Kampung Baru, di Lanchang, dekat sini, maut di tempat kejadian akibat tersepit di tempat duduk pemandu.


Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Aziz Salleh berkata, sebelum kejadian kenderaan dinaiki mereka dalam perjalanan menghala ke Kuantan dari Temerloh.

Menurutnya, setiba di tempat kejadian, kenderaan dipandu Soo hilang kawalan dan terbabas ke kanan jalan sebelum terjunam ke dalam gaung.


Katanya, rakan mangsa yang cedera ringan berjaya keluar dari kenderaan, merangkak mendaki tebing untuk ke jalan utama bagi meminta bantuan orang awam.


“Beberapa orang awam yang menyedari kejadian membantu menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Temerloh untuk mengeluarkan mayat mangsa.

“Anggota Bomba dan Penyelamat Temerloh mengambil masa hampir setengah jam untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di dalam kenderaan sebelum dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAH) untuk bedah siasat,” katanya.

EMPANGAN MELIMPAH

EMPANGAN MELIMPAHKeadaan Lembah Bertam sekitar tebing Sungai Bertam dekat Ringlet, Cameron Highlands selepas dilanda banjir lumpur. - Foto Muhaizan Yahya/BH]

Air deras setinggi 4 meter bawa bersama lumpur, pokok, pasir rempuh Lembah Bertam

Cameron Highlands: Tiga maut, seorang lagi hilang apabila air yang dilepaskan dari Empangan Sultan Abu Bakar, di Ringlet, di sini, tengah malam dan awal pagi semalam menyebabkan banjir lumpur, di Lembah Bertam.
Aliran air membawa sampah sarap, pokok dan pasir menyebabkan Sungai Bertam melimpah serta menghanyutkan kira-kira 80 rumah, yang terletak di tebing sungai itu.


Kira-kira 15 rumah sebahagian besarnya diperbuat daripada papan lapis dan zink serta didiami warga asing ranap sama sekali, manakala 100 kenderaan turut rosak.

Jumpa lelaki diburu di rumah urut


Sibu: Lain diburu, lain pula yang dapat. Itulah senario berlaku apabila serbuan sepasukan anggota polis bagi membanteras kegiatan maksiat membawa kepada penangkapan dua lelaki yang dikehendaki di sebuah pusat urut, di sini, kelmarin.
Kedua-dua suspek berusia 36 dan 40 tahun sudah lama diburu kerana disyaki terbabit dalam kes rompakan dan ragut ditahan ketika cuba bersembunyi dalam sebuah bilik sebaik menyedari premis berkenaan diserbu pada jam 11 malam.

Jurucakap polis berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota Cawangan Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu, di sini, turut menemui pisau kecil dan buku lima dalam saku seluar kedua-dua suspek.
Katanya, serbuan itu dilakukan bertujuan membanteras kegiatan maksiat yang dipercayai berlaku di pusat urut berkenaan.

“Bagaimanapun, ketika serbuan dalam sebuah bilik, polis menemui dua lelaki sedang bersembunyi dan mereka dipercayai cuba melarikan diri, namun tidak sempat berbuat demikian.

“Hasil pemeriksaan mereka antara suspek diburu polis kerana disyaki terbabit dalam beberapa kes jenayah sekitar bandar ini.” katanya.
Katanya, kedua-dua suspek juga dikenal pasti pernah ditahan mengikut Ordinan Darurat dan menjalani hukuman di Penjara Simpang Renggam, Johor.

8 GRO warga Vietnam ditahan


Cheras: Seramai lapan wanita warga Vietnam yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) ditahan dalam dua serbuan berasingan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Putrajaya di dua pusat karaoke di Cheras, di sini, malam kelmarin.
Timbalan Penolong Pengarah Imigresen 1 Pejabat Imigresen Putrajaya, Abd Malik Bujang berkata, seramai 34 pegawai dan anggota terbabit dalam Operasi 6P berkenaan. 
“Serbuan pertama dilakukan di sebuah pusat karaoke di Jalan Metro Pudu pada jam 10.15 malam dan berjaya menahan enam wanita warga Vietnam yang sedang asyik melayan pelanggan. 

“Manakala dalam serbuan kedua di Taman Connaught, seramai dua wanita yang menyedari kehadiran anggota penguat kuasa cuba melarikan diri melalui pintu belakang premis, namun mereka berjaya dicekup berikutan kawasan itu sudah dikepung,” katanya.
Foto
PENGUAT kuasa memeriksa dokumen wanita warga Vietnam yang bekerja sebagai GRO di pusat karaoke.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati pintu belakang premis itu berkunci dari dalam menyebabkan anggota terpaksa memecahkan pintu itu untuk masuk.

“Semua wanita warga asing berusia 20 hingga 45 itu ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. 

“Manakala dua penjaga premis warga tempatan masing-masing berusia 25 dan 32 tahun ditahan mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002),” katanya.

Wanita bergaduh dalam semak


Kota Kinabalu: Belum reda dengan klip video memaparkan dua remaja membelasah seorang gadis sehingga pengsan, kini muncul pula klip video memaparkan pergaduhan dua gadis bertumbuk dan bergelut di dalam semak.
Video rakaman yang berdurasi tiga minit 24 saat ini tersebar luas di internet menerusi laman sosial Facebook dan YouTube sejak kelmarin. 
Difahamkan, kejadian dipercayai berlaku di Penampang serta dipercayai dirakam seorang lagi rakan mereka sebelum memuat naik video itu ke laman web terbabit. 

Pergaduhan itu membabitkan seorang wanita berbaju biru dibelasah wanita berbaju hitam berseluar pendek dipercayai rakan sekerjanya.
Foto
WANITA berbaju hitam menindih mangsa sambil mencekik.

Ketika kejadian, wanita berbaju hitam itu menumbuk beberapa kali ke arah mangsa selain menindih tubuh rakannya itu sambil menampar mukanya beberapa kali.

Ketika itu, mangsa dalam keadaan lemah menjerit, “Allahuakbar, saya tidak boleh bernafas, sudah, tolong kasi lepas aku, saya tidak boleh bernafas, Allahuakbar.” 

Bagaimanapun, wanita berbaju hitam itu tidak mengendahkan perbuatan mangsa, sebaliknya berulang kali menumbuk dan menampar mangsa. 

Beberapa pejalan kaki yang melihat kejadian itu meminta supaya wanita itu memberhentikan tindakannya, namun tidak diendahkan. 

Malah, wanita berkenaan menampar beberapa kali muka mangsa menyebabkan mangsa tidak dapat berbuat apa-apa dan hanya mampu meminta tolong supaya dilepaskan. 

Bagaimanapun, punca sebenar pergaduhan itu belum diketahui, begitu juga identiti kedua-dua wanita berkenaan. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Ratan Kumar Singh berkata, pihaknya belum menerima sebarang laporan polis berkaitan pergaduhan itu.

Tinggal motor curi


Kuala Lumpur: Sebanyak 350 saman dikeluarkan Polis Trafik Bukit Aman terhadap penunggang motosikal dalam Ops Cantas Khas (Op Cantas) yang dijalankan di lorong motosikal di kilometer 28.7 Lebuh raya Persekutuan, Sungai Way arah ibu negara di sini, tengah hari semalam.
Dalam operasi bermula jam 11 pagi itu, polis turut mengesan sebuah motosikal curi yang ditinggalkan 500 meter dari kawasan sekatan jalan sebelum penunggangnya melarikan diri. 
Difahamkan, motosikal itu dilaporkan dicuri dan laporannya dibuat di Balai Polis Pantai, 18 September lalu. 

Penguat Kuasa Operasi Lebuhraya, Zon Tengah Dua, Bukit Aman, Asisten Superintendan Shoppri Saad berkata, seramai enam pegawai bersama 33 anggota dari Bukit Aman termasuk enam anggota bantuan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya terbabit dalam operasi itu.
Foto
ANGGOTA polis trafik membuat pemeriksaan di lorong motosikal menghala Kuala Lumpur, semalam.

“Sepanjang dua jam operasi dijalankan, kami memeriksa lebih 500 motosikal.

“Manakala sebanyak 350 saman dikeluarkan ke atas pesalah trafik yang melakukan pelbagai kesalahan termasuk nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, cukai jalan tamat tempoh dan tidak memiliki lesen memandu,” katanya ketika ditemui selepas berakhir operasi itu, semalam. 

Lima lagi NGO lapor polis


Kuala Lumpur: Lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis terhadap penyebaran audio perbualan telefon yang mempertikaikan hukum penyembelihan lembu kerana ia dianggap keterlaluan.

Difahamkan, audio perbualan telefon antara seorang lelaki dengan guru besar yang bertindak mempertikaikan hukum penyembelihan lembu di sebuah sekolah di Puchong, baru-baru ini.
Dalam audio berdurasi lapan minit itu, lelaki terbabit mempertikaikan mengenai ibadah korban yang dijalankan di sekolah berkenaan dengan mengeluarkan kenyataan menyentuh sensitiviti keagamaan.

Wakil lima NGO iaitu Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Sekretariat NGO Gabungan Negeri Selangor, Pertubuhan Bersatu 69, Ikatan Rakyat Insan Malaysia dan Ikatan Perpaduan Melayu Gombak tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, pada jam 11 pagi semalam.

Jumlah mangsa banjir di Perak meningkat


IPOH: Jumlah mangsa banjir di daerah Manjung yang dipindahkan meningkat kepada 1,158 orang melibatkan 276 keluarga pagi ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pantai Remis Mohd Asri Mohd Ariff berkata paras air banjir bagaimanapun mula surut kerana hujan berhenti sejak semalam.
Proses pendaftaran pulang mangsa banjir sedang dijalankan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi melancarkan penghantaran jika keadaan semakin pulih.

"Namun paras air di kawasan Taman Pantai Wang, Taman Bintang dan Padang Serai setakat ini menunjukkan sedikit saja penurunan dan penduduk yang tinggal di kawasan itu belum boleh dibenarkan pulang," katanya kepada Bernama hari ini.


"Jumlah mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Sungai Batu mencatatkan sebanyak 674 orang, Dewan Taman Bintang (203), Dewan Orang Ramai Kampung Tebuk Yan (83) dan Sekolah Agama Rakyat Padang Serai (129)," katanya.


Mereka terdiri daripada penduduk di Taman Bintang, Kampung Ujung Pasir, Kampung Pantai Tin, Taman Pantai Wang, Kampung Tebuk Yan, Parit Marikan dan Batu 13 Segari, kata Mohd Asri.

Sementara itu, menurut portal banjir Majlis Keselamatan Negara di daerah Larut Matang, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan masih tidak berubah seperti semalam sebanyak 69 orang.

Menurutnya 55 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Batu Hampar dan 14 orang di Dewan Orang Ramai Padang Serai Dalam.

Fenomena air pasang, peralihan monsun dan hujan lebat, menyebabkan berlakunya banjir itu di beberapa kawasan di Perak. - Bernama