Search This Blog

Tuesday, October 22, 2013

Kebocoran radioaktif 70 kali ganda

Kebocoran radioaktif 70 kali gandaAnggota keselamatan meneruskan usaha mencari 19 mangsa hilang di bawah runtuhan rumah di Pulau Oshima.

TOKYO - JEPUN. Hujan lebat berterusan di loji nuklear Fukushima menyebabkan kebocoran air radioaktif dan dipercayai turut mengalir ke dalam laut, menurut pengendali Tokyo Electric Power (Tepco).

Jurucakap Tepco berkata, insiden itu berlaku apabila sekatan menghalang air radioaktif daripada melimpah mengalami rekahan.

"Air itu mengandungi isotop penyebab barah, Strontium-90 pada paras 70 kali ganda lebih tinggi," katanya dipetik AP.

Dalam perkembangan lain, kira-kira 1,200 anggota keselamatan meneruskan usaha mencari 19 mangsa hilang dalam kejadian tanah runtuh selepas taufan Wipha membadai di Pulau Oshima, selatan Tokyo, minggu lalu.

Datuk Bandar Oshima, Masafumi Kawashima berkata, mereka terpaksa menggandakan usaha mencari kerana taufan Francisco yang membawa angin lebih kencang dijangka menuju ke arah barat laut negara itu Khamis ini.

Rumah terbakar ketika keluar bekerja

Rumah terbakar ketika keluar bekerjaAnggota Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu melakukan kerja terakhir bagi memastikan api yang memusnahkan keseluruhan kediaman Sukri di Jalan Kampung Laut, di sini, semalam, dikawal sepenuhnya.

KUALA TERENGGANU - “Kami memang berhasrat hendak pindah dalam masa terdekat, tetapi tak sangka pula kejadian ini berlaku sebelum kami sempat memindahkan barang ke rumah baharu.”

Demikian luahan Sukri Mat Nawi, 40, yang tinggal sehelai sepinggang selepas rumah sewanya musnah dalam satu kebakaran di Jalan Kampung Laut, di sini, kelmarin.

Sukri berkata, dia hanya mengetahui kediaman disewanya dua tahun lalu terbakar selepas dimaklumkan jirannya kira-kira jam 10.40 pagi semasa berada di tempat kerjanya iaitu sebuah kedai menjual pasu bunga yang terletak berhampiran dengan rumah tersebut.

“Saya bersama isteri bekerja di tempat sama dan secara kebetulan tadi (kelmarin), kami bawa anak perempuan berusia 5 tahun ke tempat kerja.

“Sebaik menerima berita itu, saya terus bergegas pulang. Bagaimanapun sejurus sampai, saya lihat api sedang marak. Situasi itu menyebabkan saya terpaksa batalkan hasrat untuk masuk ke dalam rumah bagi menyelamatkan apa yang patut,” katanya di lokasi kejadian, semalam.

Sukri berkata, sebelum kejadian kira-kira jam 1.30 pagi, bekalan elektrik di rumahnya termasuk beberapa rumah di kawasan berhampiran mengalami gangguan dan disebabkan itulah semasa hendak meninggalkan rumah sekitar jam 9 pagi, dia tidak membuat sebarang pemeriksaan suis.

“Setiap kali hendak meninggalkan rumah, saya akan memastikan semua suis ditutup, tetapi tadi (semalam) disebabkan adanya gangguan bekalan elektrik, jadi saya terlupa,” katanya.

Menurutnya, dia yakin punca kejadian tiada kaitan dengan dapur gas kerana sudah sekian lama, dapur rumahnya tidak berasap disebabkan tong gas dikebas pencuri ketika dia dan isteri keluar bekerja.

“Rumah saya sering dimasuki pencuri, mungkin disebabkan faktor lokasi yang agak jauh daripada jiran, selain selalu diganggu binatang berbisa termasuk ular.

“Sebab itu, saya dan isteri bercadang hendak pindah. Namun tak sangka pula, hasrat kami untuk pindah ke rumah baharu tidak kesampaian,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Mohd Zulkhairul Mohd Razilah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.07 pagi.

Perogol bersiri didakwa lagi

Perogol bersiri didakwa lagiMuhammad Al Hafiz dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen, semalam.

KOTA BHARU - Perogol bersiri Amran Che Jaafar, 31, yang menggemparkan masyarakat Kelantan suatu masa lalu, dijatuhkan hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Majistret semalam atas tuduhan memecah dan mencuri pada tahun 2011.

Hukuman tersebut menjadikan jumlah keseluruhan hukuman penjara yang dikenakan terhadapnya berjumlah 73 tahun dan 47 sebatan untuk pelbagai kesalahan merogol, mencuri dan menceroboh.

Majistret Nik Habri Muhammad menjatuhkan hukuman tersebut selepas mendapati Amran bersalah di akhir kes perbicaraannya semalam.

Mengikut pertuduhan, pada 21 Ogos 2011 pada jam 8.10 pagi di sebuah rumah di Kampung Dusun Bayam telah memecah masuk rumah dan mencuri di kediaman milik Farahiyah Pawanchik, 28.

Amran melakukan perbuatan tersebut tanpa kebenaran mangsa dan mencuri dua buah telefon bimbit jenama Sony Ericson dan Nokia dan juga dua pengecas telefon bimbit.

Jika disabit kesalahan, Amran boleh dihukum di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun. Kes ini merupakan kes kesembilannya yang berjaya dihadapkan di Mahkamah Kota Bharu dan masih berbaki beberapa kes lagi melibatkan pelbagai kesalahan yang dilakukannya di daerah lain.

Sinar Harian pernah menyiarkan mengenai kejayaan polis Kelantan menahan perogol bersiri yang terlibat lebih 20 kes rogol dan cubaan rogol di ketika cuba menodai seorang wanita di sebuah asrama di sini.

Dalam pada itu, seorang remaja dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas kesalahan merogol gadis bawah umur.

Muhammad Al Hafiz Mohd Yusoff, 19, yang berasal dari Kampung Pulau Belacan Panchor melakukan kesalahan itu pada 15 Oktober lalu, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim, Mohd Yusoff Yunus.

Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan kesalahan itu pada jam 2.30 petang di Kampung Pulau Belacan, Pengkalan Chepa merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun sembilan bulan.

Kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Hamizah Ghazali dan mahkamah menetapkan 21 November 2013 untuk sebut semula kes.

Warung makanan barat musnah

Warung makanan barat musnahKeadaan warung yang musnah dalam kebakaran petang, semalam.

SEREMBAN – Sebuah warung yang menjual makanan barat di Taman Panchor Jaya Fasa 6 dekat sini, musnah dalam kebakaran kira-kira jam 1.46 petang, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rahang, Zakaria Amat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam jam 1.46 petang.

“Seramai 23 anggota bersama tiga jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat Rahang dan Senawang dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sejurus tiba, api sedang marak terutamanya di bahagian dapur warung terbabit.

"Kita percaya kebakaran bermula daripada situ,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di lokasi kejadian.

Zakaria berkata, pihaknya hanya mengambil masa 10 minit bagi mengawal kebakaran bagaimanapun api padam keseluruhannya kira-kira 20 minit kemudian.

Menurutnya, kebakaran tersebut memusnahkan seluruh peralatan di warung terbabit.

“Segala kerusi, meja serta peralatan untuk berniaga musnah bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.

Katanya, punca sebenar kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan.

Pecah rumah pegawai polis

Pecah rumah pegawai polisSuspek ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan.

MENGLEMBU – Niat dua lelaki mahu memecah masuk kediaman seorang pegawai kanan polis di Taman Farlim Indah di sini tak kesampaian apabila salah seorang daripadanya diberkas penduduk, kira-kira jam 1 pagi, semalam.

Dalam kejadian itu, tindakan dua lelaki berkenaan  mengumpil pintu kediaman pegawai berkenaan disedari seorang jiran yang kebetulan berada di tingkap rumahnya sebelum dia menghubungi anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan Komuniti Rakan Cop.

Pegawai Rela Ipoh Barat, Kapten Chan Hoon Keong berkata, dia mengetahui rumah milik pegawai polis yang berkhidmat di Pulau Pinang itu tidak berpenghuni.

Menurutnya, sebaik sahaja menerima laporan penduduk berhampiran, dia bersama beberapa anggota Rela bergegas ke lokasi kejadian meninjau keadaan di situ.

"Apabila dua lelaki terbabit menyedari kehadiran kami, mereka kelam kabut melarikan diri.

“Salah seorang daripadanya cuba bersembunyi di bawah kereta Proton Wira milik seorang penduduk manakala seorang lagi melarikan diri,” katanya.

Kata Hoon Keong, lelaki berkenaan enggan keluar dari tempat persembunyian dan kerana geram beberapa penduduk bertindak memukulnya.

Jelasnya, apabila disoal, lelaki berkenaan mendakwa datang ke kawasan taman itu dengan menaiki kereta yang diletakkan kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian.

“Kami menemui kereta Proton Wira Aeroback di mana terdapat baju jaket pengawal keselamatan dan suspek kemudian diserahkan kepada polis manakala kereta ditunda ke balai untuk siasatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, suspek berusia 21 tahun itu akan disoal siasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan iaitu menceroboh.

“Pemeriksaan lanjut di tempat kejadian mendapati terdapat kesan umpil di pintu kayu.

"Kawasan kejadian adalah rumah teres dua tingkat dan tidak berpenghuni.  Kita turut merampas sebuah kereta Proton Wira berwarna hitam terbabit,” katanya.

Jerebu teruk landa bandar raya Harbin


BEIJING 21 Okt. - Pencemaran udara yang semakin teruk di China memaksa sebuah bandar di timur laut negara ini menutup sekolah dan lapangan terbang buat sementara, selain mengakibatkan berlakunya gangguan lalu lintas.
Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di sesetengah kawasan di bandar raya Harbin, wilayah Heilongjiang yang memiliki kira-kira 11 juta penduduk mencecah IPU 1,000, melebihi IPU tahap berbahaya iaitu IPU 300.
Jerebu bukan sahaja mengakibatkan sekolah menengah dan rendah terpaksa ditutup, tetapi turut menyebabkan lapangan terbang dan beberapa kemudahan awam lain dihentikan, lapor agensi berita rasmi Xinhua, sambil menyalahkan pemasangan alat pemanasan pada hari pertama berlakunya musim sejuk.
Jarak penglihatan dilaporkan berkurangan kepada 10 meter, ketika jerebu diramal berterusan untuk tempoh 24 jam.
Beberapa bahagian lain di timur laut China turut mengalami pencemaran udara, termasuk Tangshan yang terletak dua jam perjalanan di timur Beijing dan Changchun, bandar raya terbesar di wilayah Jilin yang bersempadan dengan Heilongjiang.
Pencemaran udara di China sering menimbulkan rasa marah rakyat ekoran keistimewaan dinikmati golongan tertentu yang disifatkan layanan berat sebelah.
Media tempatan juga selalu melaporkan berita tentang pembersih udara mahal yang digunakan penjawat awam di rumah dan pejabat mereka.
Minggu lepas, bandar raya Beijing melancarkan sistem amaran kod warna bagi mengurangkan pencemaran udara, termasuk mengambil langkah menghentikan sementara kerja-kerja pembinaan, operasi kilang dan menghalang pembakaran terbuka.
Beijing turut mengalami masalah pencemaran udara pada musim sejuk pada tahun lalu apabila melebihi IPU 900 dalam beberapa hari pada bulan Januari lalu. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131022/lu_09/Jerebu-teruk-landa-bandar-raya-Harbin#ixzz2iQShSTlp
© Utusan Melayu (M) Bhd 

6 pelajar terbunuh bas diserang pengebom di Russia


MOSCOW 22 Okt. - Kira-kira enam orang pelajar terbunuh selepas bas yang mereka naiki diserang pengebom berani mati dalam kejadian di selatan Rusia hari ini.
Serangan yang berlaku di bandar Volgograd itu turut mencederakan 30 yang lain. Kejadian ngeri tersebut disifatkan sebagai yang terburuk pernah berlaku di kawasan bergolak, utara Caucasus sejak tiga tahun lalu.
Jawatankuasa Siasatan Rusia memberitahu, suspek utama kejadian merupakan isteri kepada komander pemberontak utara Caucasus.
"Berdasarkan maklumat awal suspek iaitu Naida Asiyalova berusia 30 tahun dan berasal dari Dagestan meletupkan dirinya," kata jurucakap jawatankuasa siasatan, Vladimir Markin. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131022/lu_04/6-pelajar-terbunuh-bas-diserang-pengebom-di-Russia#ixzz2iQPeGAFF
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Amar pulih dalam tempoh 3 bulan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN


KERATAN Kosmo! semalam.


IPOH - Kecederaan budak lelaki yang terkena tembakan peluru sesat yang terlepas daripada pistol seorang anggota polis di Kampung Belanja Kiri, Parit dekat sini pada minggu lalu dijangka sembuh sepenuhnya dalam tempoh tiga bulan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pelancongan dan Kebudayaan Perak, Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, Mohd. Amar Mohd. Azizi, 10, yang selamat menjalani pembedahan mengeluarkan peluru yang tersekat di kerongkongnya kelmarin dijangka dibenarkan keluar dari hospital pada lusa atau Khamis ini.
"Keadaan Mohd. Amar stabil dan bebas daripada apa-apa risiko. Begitupun pemeriksaan mendapati tembusan peluru di bahagian kerongkong berkenaan telah menyebabkan tulang lehernya retak sedikit.
"Mohd. Amar perlu memakai pelindung leher sekurang-kurangnya bagi tempoh dua bulan," kata beliau pada sidang akhbar di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini semalam.
Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah sebahagian besar pegawai perubatan HRPB yang terlibat dalam pembedahan mengeluarkan peluru di kerongkong yang julung kali dilakukan ialah Pakar Perunding Neorosurgeri, Dr. Cheang Chee Keong; Pakar Perunding Otorinolaryngiology, Dr. Rosalind Simon; Pakar Kanak-Kanak, Dr. Alex Khoo; Ketua Jabatan Pediatrik, Datuk Dr. Amar Singh dan dua pakar Otorinolaryngiology, Dr. Harvinder Singh dan Dr. M. Somasudran.
Nolee berkata, keretakan pada leher Mohd. Amar akan terus dipantau dan keputusan sama ada pembedahan susulan perlu diadakan akan dibuat pada Disember ini.
Bagaimanapun, beliau memberitahu, pembedahan merupakan pilihan terakhir kerana kebiasaannya keretakan leher pada kanak-kanak tersebut akan sembuh dengan sendiri dalam tempoh tiga bulan.
Sementara itu, Chee Keong berkata, pembedahan mengeluarkan peluru pada kerongkong Mohd. Amar menggunakan tiub yang dimasukkan melalui mulut kanak-kanak itu berlangsung selama dua jam setengah bermula pukul 9.30 pagi kelmarin.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1022&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz2iPVy3XRA 
Hakcipta terpelihara 

ASP wanita dituduh lepas 'doktor kasanova'

CHAND KUMARI dibawa ke Mahkamah Majistret di George Town semalam atas pertuduhan melepaskan seorang tahanan kes tipu.


GEORGE TOWN - Seorang pegawai polis wanita didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan membantu seorang tahanan meloloskan diri ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen di sini baru-baru ini.
Tertuduh, Asisten Superintendan L. Chand Kumari, 56, dituduh sengaja melepaskan K. Prabaharan, 45, yang ketika itu dalam jagaan dan kawalannya di Kompleks Mahkamah Pulau Pinang pada pukul 1.50 petang, 9 Oktober lalu.
Dia yang mengaku tidak bersalah dituduh di bawah Seksyen 225A(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, Chand Kumari turut berdepan dakwaan membuat laporan palsu mengenai kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut pada pukul 8.05 malam, hari yang sama.
Bagi kesalahan itu, dia yang berkhidmat selama 20 tahun dalam pasukan polis didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara enam bulan, denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1022&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz2iPVlQV5N 
Hakcipta terpelihara 

Polis tahan tiga lelaki hantar SMS ugut Timbalan Menteri Pendidikan

Oleh MEGAT RAMLI MEGAT RAOF

P. Kamalanathan


SHAH ALAM – Polis menahan tiga lelaki yang disyaki terlibat dalam kes ugutan jenayah terhadap Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanathan di sekitar kawasan Hulu Selangor dekat sini dan Tanjung Malim, Perak.
Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, tangkapan dilakukan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor ekoran laporan yang dibuat oleh Kamalanathan pada 16 Oktober lalu dan Ahad lalu.
Menurut beliau, Kamalanathan yang merupakan Ahli Parlimen Hulu Selangor sebelum ini dikatakan menerima dua khidmat pesanan ringkas (SMS) berbau ugutan jenayah daripada nombor telefon berbeza.
“Salah satu SMS mendakwa mereka daripada Geng 3 Line dan Geng 08. Merasakan diri terancam, Kamalanathan membuat dua laporan polis dan siasatan rapi berjaya mengesan dan menahan individu yang disyaki terlibat semalam dan kelmarin,” kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1022&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz2iPVciThW 
Hakcipta terpelihara 

Ambil dadah sebelum menyamun

Oleh MEGAT RAMLI MEGAT RAOF


MOHD. SHUKRI menunjukkan pistol dan pisau yang dirampas dengan tertangkapnya enam lelaki pada sidang akhbar di IPK Selangor di Shah Alam semalam.


SHAH ALAM - Polis menahan enam lelaki termasuk dua remaja bagi membantu siasatan berhubung kes samun sepucuk pistol jenis Walther berserta peluru milik seorang pegawai polis berpangkat inspektor di Jalan Templer di sini pada 12 Oktober lalu.
Kesemua suspek yang berusia antara 16 hingga 24 tahun itu diberkas di sebuah apartmen di Taman Medan Cahaya, Petaling Jaya pada pukul 7 pagi, Jumaat lalu.
Hasil soal siasat, polis menemui semula senjata api itu yang disorokkan di sebuah rumah di Taman Medan Jaya di sini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, kejadian samun itu berlaku ketika pegawai daripada Cawangan Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dihampiri dua lelaki bermotosikal ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya.
"Ketika kejadian, suspek bertanyakan sesuatu kepada mangsa yang berusia 40-an sebelum pegawai itu keluar dari kenderaannya.
"Suspek kemudian mengeluarkan sebilah pisau lalu menoreh tangan mangsa sebelum melarikan beg sandang yang mengandungi pistol, telefon bimbit, kad kuasa polis, dokumen serta wang tunai," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1022&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm#ixzz2iPVTEYtS 
Hakcipta terpelihara 

Bakal pengantin dikhuatiri lemas

Oleh SHAHNI FARHANA MAT SAHIR 


SEORANG penduduk, Abu Bakar Hanafi menunjukkan kesan tayar Pajero dinaiki Wan Mohd. Zari dan Adnan yang terbabas ke dalam sungai di Jitra, Kedah semalam.


JITRA – Seorang juruteknik awam Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Wilayah Dua dikhuatiri lemas selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Pajero dinaikinya terjunam ke dalam sungai dalam kejadian di Kampung Telaga Batu di sini semalam.
Wan Mohd. Zari Wan Mansor, 25, hilang apabila kereta dipandu kontraktor, Adnan Ahmad, 44, terbabas sebelum terjunam ke dalam sungai berkenaan ketika cuba mengelak dari melanggar seorang kanak-kanak berusia lingkungan lima tahun yang sedang melintas jalan pada pukul 9.30 pagi.
Adnan sempat menyelamatkan diri selepas berenang ke tepi sungai dan kini dirawat di Hospital Jitra.
Sebelum kejadian, mereka dikatakan dalam perjalanan dari Jitra untuk melihat tapak kerja di Kubang Sepat di sini.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1022&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz2iPVLfPeq 
Hakcipta terpelihara 

Nyaris dihempap batu lima tan



JKR menggunakan jengkaut bagi mengalihkan bongkah batu seberat lima tan yang menggelongsor dari atas bukit di Jalan Tun Sardon semalam.


BALIK PULAU - Seorang penunggang motosikal nyaris dihempap batu seberat lima tan yang menggelongsor jatuh dari bukit akibat tanah mendap semasa melalui Jalan Tun Sardon ke Paya Terubong, Balik Pulau di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 1 petang itu, simen konkrit penghadang yang dibina di lereng bukit berkenaan pecah akibat pergerakan tanah menyebabkan sebatang pokok tumbang ke jalan raya bersama bongkah batu tersebut.
Keadaan itu menyebabkan satu laluan terpaksa ditutup selama empat jam bagi mengalihkan bongkah batu itu oleh pekerja Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).
Saksi kejadian, Azhan Sulaiman, 45 berkata, ketika kejadian dia yang dalam perjalanan dari Balik Pulau ke pusat bandar terkejut apabila terdengar bunyi dentuman kuat sebelum melihat bongkah batu besar jatuh dari atas bukit.
Katanya, dia yang memberhentikan motosikal hanya mampu menjerit dan melambai-lambaikan tangan kepada seorang wanita yang menunggang motosikal dari arah bertentangan daripada dihempap batu berkenaan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1022&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz2iPUiNWrS 
Hakcipta terpelihara 

Lebih 300 gajah mati diracundi Zimbabwe

Reuters
SEORANG renjer melintasi bangkai gajah yang mati akibat meminum air beracun di Taman Negara Hwange Zimbabwe, pada September lalu.


HARARE - Lebih 300 ekor gajah dan sejumlah haiwan lain mati akibat diracun oleh pemburu haram di Zimbabwe, kata sebuah kumpulan pemuliharaan hidupan liar semalam.
"Pada Julai lalu, sekitar 300 ekor gajah mati akibat keracunan sianida di Hwange," kata pengerusi Pasukan Petugas Pemuliharaan Zimbabwe, Johnny Rodrigues.
"Bangkai haiwan itu ditemui oleh sekumpulan pemburu yang melalui kawasan berkenaan," tambahnya.
Menurut Rodrigues, haiwan lain yang terbunuh termasuk singa, burung hering dan anjing liar seperti dubuk.
"Pihak berkuasa hanya campur tangan pada September lalu dan ketika itu jumlah kematian sudah meningkat kepada 325 ekor gajah," katanya.
Empat pemburu haram dipenjara dengan masing-masing selama 15 tahun berhubung jenayah tersebut.
Terdapat lebih 120,000 ekor gajah yang hidup di beberapa taman negara di Zimbabwe.
Gading gajah dan beberapa anggota lain amat berharga di pasaran Asia untuk tujuan perhiasan, azimat, dan untuk kegunaan perubatan.
Perdagangan gading antarabangsa diharamkan sejak 1989 selepas populasi gajah Afrika merosot daripada beberapa juta kepada hanya 600,000 menjelang lewat tahun 1980-an. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1022&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2iPRJ43HF 
Hakcipta terpelihara 

Pencuri pistol dicekup


Shah Alam: Seramai enam lelaki yang aktif melakukan jenayah samun sekitar Lembah Klang ditahan polis enam hari selepas menyamun dan melarikan sepucuk pistol milik seorang pegawai polis di Jalan Templer, Petaling Jaya, 12 Oktober lalu.

Dalam kejadian jam 6 pagi itu, pegawai polis berpangkat inspektor berusia 43 tahun terbabit dalam perjalanan pulang ke rumah menaiki kereta selepas selesai bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.


Setibanya di persimpangan Jalan Templer, mangsa ditahan dua lelaki berusia 20-an yang berpura-pura bertanyakan arah jalan.

Tanpa menyedari niat mereka, mangsa berhenti dan memberikan tunjuk arah sebelum seorang daripada mereka mengeluarkan pisau pemotong daging dan terus menoreh tangan kiri mangsa.


Dalam keadaan kesakitan akibat kecederaan dialami, lelaki itu terus merampas beg sandang mangsa yang mengandungi pistol, wang tunai serta barangan dan dokumen peribadi sebelum melarikan diri.


Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, berdasarkan siasatan dan risikan, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Jenayah Berat (D9) IPD Petaling Jaya menahan enam lelaki berusia 16 hingga 24 tahun di kawasan apartmen Taman Medan Cahaya, Petaling Jaya.

Menurutnya, semua suspek ditahan dalam beberapa serbuan pada 18 Oktober lalu bermula awal pagi sehingga lewat malam di beberapa lokasi di sekitar kawasan perumahan berkenaan.


“Daripada siasatan lanjut dijalankan, seorang daripada suspek membawa polis ke rumahnya di Taman Medan Jaya dan polis menemui semula beberapa barangan yang disamun sebelum ini.

“Antara barangan dirampas termasuk sepucuk pistol milik pegawai polis yang dilaporkan hilang sebelum ini, beberapa butir peluru, pisau dan beberapa barangan hasil samun,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, semalam.


Katanya, siasatan juga mendapati suspek menggunakan dadah sebagai rangsangan sebelum melakukan jenayah. Ini terbukti apabila empat daripada mereka disahkan positif dadah hasil ujian air kencing dijalankan.


Katanya, polis juga akan menyiasat pembabitan semua suspek dalam kes samun dan jenayah yang menggunakan modus operandi sama seperti dilaporkan sebelum ini.


Polis kini giat memburu seorang lagi suspek yang dikenali sebagai Muhamad Shahril Ahmad, 23, dan menetap di Taman Medan Cahaya yang menghilangkan diri sebaik menyedari dirinya menjadi buruan polis.


“Semua suspek ditahan direman selama lima hari bermula Sabtu lalu sehingga Rabu ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 35 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.