Search This Blog

Sunday, October 20, 2013

Universiti pecat profesor kutuk komunis

2013/10/20
Beijing: Pakar ekonomi liberal yang lantang mengkritik pemerintah Parti Komunis China dipecat dari Universiti Peking yang dianggap pusat pengajian elit di negara itu, semalam.

Profesor Xia Yeliang, 53, mencetus kemarahan pegawai universiti berkenaan menerusi tulisan blognya yang menggesa diadakan pembaharuan demokratik dan undang-undang di China.
Xia berkata, dia diberitahu Jumaat lalu, seorang profesor dan pemimpin universiti mengundi untuk menamatkan kontraknya.

“Mereka bertegas ia bukan keputusan politik, tetapi saya percaya sebaliknya,” katanya.


Menurut Xia, pentadbiran Universiti Peking menyangka dia memusnahkan imej sekolah ekonomi di pusat pengajian tinggi itu.


Golongan intelek dan liberal China memang mendesak kerajaan pimpinan presiden baru Xi Jinping supaya lebih bertolak ansur terhadap cabaran pembaharuan.

Wartawan, peguam dan aktivis adalah antara individu yang ditahan sejak beberapa bulan lalu dalam usaha kerajaan meluas membanteras penentangan terhadap pihak berkuasa.

Menurut Xia, dia mahu melantik seorang peguam dan mengemukakan rayuan walaupun sedar peluangnya untuk menang sangat tipis.

Bekas penasihat kerajaan dan komentator di media itu memberitahu dia percaya dikenakan tindakan itu kerana lantang mengkritik kerajaan dan Parti Komunis China.

Blognya turut disekat pihak berkuasa.

Pemecatan Xia mendapat perhatian antarabangsa termasuk anggota fakulti Kolej Wellesley di Massachusetts yang menganjurkan pertukaran program dengan Universiti Peking.

Lebih 130 anggota fakulti berkenaan menulis surat terbuka kepada Universiti Peking meminta pentabdiran kolej membatalkan program pertukaran jika Xia dipecat. - Reuters

Rampas dadah RM1 juta


Johor Bahru: Polis Kontinjen Johor melakar kejayaan besar merampas kira-kira 27 kilogram dadah jenis heroin bernilai lebih RM1 juta selepas menyerbu sebuah bilik hotel di bandar Muar, semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 5 petang itu, polis turut menahan dua lelaki tempatan bagi membantu siasatan.


Menurut sumber, sepasukan anggota dan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar menyerbu bilik hotel berkenaan selepas mendapat maklumat berkaitan kehadiran individu mencurigakan.

“Polis menyerbu bilik hotel itu dan menahan seorang lelaki berusia 30-an. Pemeriksaan lanjut menemui lebih 10 ketulan heroin yang disembunyikan di dalam bilik itu.


“Siasatan lanjut kemudian membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan pengedaran heroin itu di tempat letak kenderaan hotel sama,” katanya.


Menurut sumber, lelaki terbabit ditahan dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/23

CCTV rakam aksi tentera Kenya menjarah dalam pusat beli-belah

2013/10/20
Nairobi: Rakaman terbaru kamera litar tertutup (CCTV) dalam bangunan Westgate Mall menunjukkan tentera Kenya membawa keluar pelbagai barang dari pusat beli-belah itu selepas kejadian serangan empat minggu lalu, lapor akhbar Nation semalam.

Laporan itu disiarkan selepas anggota parlimen menyiasat dakwaan mengenai tindakan pasukan keselamatan Kenya sebenarnya tidak sekadar bertugas menumpaskan militan Islam yang berkubu di bangunan berkenaan, sebaliknya turut mencuri.


Menurut Nation, rakaman video 30 minit itu menunjukkan beberapa tentera menyelongkar Pasaraya Nakumatt dan keluar bersama beg plastik putih berisi muatan yang tidak dapat di sahkan.

“Rakaman sama turut menunjukkan individu berpakaian seragam tentera meletakkan senjata untuk menggeledah barang di pasar raya berkenaan pada hari kedua serangan,” lapor akhbar itu.


Menurut rekod, pada hari kedua tiada sesiapa yang dibenarkan masuk ke bangunan berkenaan kecuali tentera Kenya. Seramai 67 orang terbunuh dalam insiden berlanjutan selama empat hari itu apabila militan al-Shabab mula menyerbu pada 21 September lalu.


Anggota parlimen yang menyiasat serangan itu Khamis lalu berkata beberapa pemilik kedai yang kerugian berusaha mendapatkan pampasan insurans.

Beberapa peniaga memberitahu AFP mereka mengunci premis sebelum pusat beli-belah itu diserbu tetapi mendapati barang mereka hilang selepas kejadian itu. - AFP


Tragedi awal pagi

2013/10/20
Manila: Sebuah lori membawa makanan babi merempuh belakang sebuah bas awam di kawasan terpencil Filipina pagi semalam menyebabkan sekurang-kurangnya 20 orang maut dan 44 yang lain cedera.

Menurut Ketua Polis Atimonan Jonar Yupio, pemandu bas terbabit gagal mengawal kenderaan akibat hentaman lori berkenaan.
Dalam keadaan panik, kata Yupio, bas itu merempuh pula dua bas lain serta empat van dari arah bertentangan.

“Bas itu terbalik -ketika menuruni laluan curam pinggir tanah tinggi,” katanya kepada media semalam.


Atinoman adalah daerah di wilayah Quezon dan terletak 115 kilometer di tenggara Manila.


Menurut Yupio, sesetengah penumpang dihimpit bas berkenaan, manakala yang lain terbunuh akibat terkena serpihan logam berterbangan, termasuk enjin.

Katanya, semua mangsa yang maut termasuk empat kanak-kanak, pemandu lori dan pembantunya - berada dalam lori atau bas pertama.

Sementara itu pekerja sosial berkata, seorang budak perempuan berusia satu tahun terselamat.

Katanya, budak itu ditemui bergelumang lumpur dan berlumuran darah mangsa lain di tepi jalan berhampiran bas berkenaan.

“Pada awalnya kami menyangka budak itu parah, tetapi selepas diperiksa dia cuma mengalami sedikit calar,” katanya.

Polis berkata, kejadian berlaku sejurus selepas tengah malam.

Difahamkan lori membawa makanan babi dan bas awam itu berpusing dan terbalik beberapa kali.

Penumpang yang cedera kemudian dikejarkan ke hospital dan pihak berkuasa memulakan siasatan untuk mengetahui punca kemalangan. - AP