Search This Blog

Thursday, October 17, 2013

Curi patung kuil, jual di pusat besi buruk

Curi patung kuil, jual di pusat besi burukGunarajan (kiri) menunjukkan peralatan sembahyang dan patung yang dicuri dan dijual di kedai barangan lusuh.
BUKIT BERUANG - Seorang penagih dadah menjadikan kuil dan tokong di daerah ini sebagai sumber pendapatannya dengan mencuri peralatan sembahyang di bangunan berkenaan.

Bagaimanapun, kelicikannya tidak bertahan lama apabila diberkas di Tangga Batu, Rabu lalu.

Lelaki berusia 23 tahun itu diberkas kira-kira 6.30 pagi selepas polis berjaya mengesan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran Kuil Sri Sundramoothy, Batu Berendam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan PR Gunarajan berkata, penangkapan suspek membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 51 tahun di Sungai Udang, di sini, pada 9 Oktober lalu.

“Ekoran penangkapan suspek, seorang lelaki dipercayai membeli barangan peralatan sembahyang termasuk patung daripada suspek turut ditahan kerana menjalankan perniagaan barangan lusuh tanpa lesen," katanya,

Menurutnya, pemeriksaan di sebuah rumah di Paya Rumput, Sungai Udang tersebut, polis menemui dan merampas 306 peralatan sembahyang tembaga peralatan sembahyang perak (30), selain patung Hindu (8), patung Buddha (3) dan sebatang kuku kambing.

Katanya, suspek yang aktif melakukan kegiatan pecah masuk kuil dan tokong seorang diri sejak kira-kira enam bulan lalu itu dipercayai membuat tinjauan terhadap bangunan berkenaan terlebih dahulu sebelum pecah masuk.

“Suspek bekerja sebagai buruh membuat jalan dan dia biasanya meninjau laluan masuk keluar kuil dan tokong ketika sedang bekerja di kawasan berhampiran rumah ibadat tersebut.

"Dengan penangkapan suspek dan barang rampasan bernilai kira-kira RM20,000 ini, kita percaya dapat menyelesaikan kira-kira lapan kes pecah masuk tokong, dua di kuil dan satu kes membabitkan gereja," katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), dekat sini, semalam.

Gunarajan berkata, lelaki berkenaan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan, sementara pengusaha barang lusuh itu ditahan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955.

Pemotong rumput dituduh merogol


17 Oktober 2013

AYER KEROH - Seorang pemotong rumput mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun, bulan lalu.

Tertuduh, Fauzi Mohamad Ghani, 37, dari Kampung Tambak Paya, Ayer Molek, di sini, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Azhaniz Teh Azman Teh selepas mengangguk faham pertuduhan didakwa ke atasnya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol seorang perempuan berusia 14 tahun di sebuah rumah tidak bernombor, Jalan Sekolah Tambak Paya, dari jam 1 pagi hingga 4 pagi, 30 September 2013.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Tiang elektrik hempap gerai dirempuh lori MPJ

Lori MPJ terbabas rempuh tiang elektrikKeadaan lori MPJ yang remuk di bahagian depan.

JASIN - Rasa tidak sedap hati sehingga menyebabkan lewat membuka gerai menyelamatkan seorang pengusaha air tebu dan cendol daripada ditimpa kabel dan tiang elektrik, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 9.50 pagi di Jalan Bunga Raya Felda Kemendor, dekat sini, sebuah lori milik Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dari arah Air Kangkung ke Jasin itu mengalami masalah brek menyebabkan pemandunya merempuh sebatang tiang elektrik.

Akibatnya, tiang elektrik berkenaan bukan saja tercampak, malah kabelnya tumbang menghempap gerai yang diusahakan pasangan suami isteri sejak tiga tahun lalu.

Pengusaha gerai, Sutiatun Saimon, 49, berkata, sebelum kejadian, dia rasa tidak sedap hati untuk keluar berniaga, ditambah pula masalah bekalan air terputus di rumahnya yang terletak kira-kira 50 meter dari gerai berkenaan, menyebabkan dia terpaksa menadah air.

"Saya terdengar bunyi dentuman kuat, tapi tidak syak sebarang perkara buruk berlaku. Saya sedar apabila jiran menjerit memberitahu gerai saya terbalik. Saya terus keluar rumah dan nampak gerai saya sudah rosak," katanya.

Menurutnya, biasanya, dia membuka gerai pada jam 9 pagi, tapi dia bernasib baik kerana membuka gerai lewat, sekali gus menyelamatkannya.

"Agaknya kalau saya berada di gerai itu, bukan saja saya, malah ramai pelanggan turut menjadi mangsa kemalangan berkenaan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Sutiatun berkata, akibat kemalangan itu, dia kerugian kira-kira RM2,000 apabila barangan dalam gerainya turut rosak.

Dia dan suaminya turut berharap MPJ dapat menggantikan semula gerainya yang menjadi satu-satunya punca pendapatannya sekeluarga.

“Saya sedih dan keadaan ini sudah pasti membuatkan saya tidak dapat berniaga seperti biasa, Banyak peralatan yang rosak. Saya harap MPJ prihatin dengan masalah kami ini," katanya yang turut membuat laporan di Balai Polis Jasin.

Angka korban gempa Filipina meningkat

Angka korban gempa Filipina meningkatRatusan orang awam masih terperangkap dalam runtuhan bangunan di Cebu.
CEBU - FILIPINA. Lebih 100 disahkan mati dan puluhan cedera akibat gempa bumi melanda bahagian tengah Filipina, semalam.

Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat melaporkan, gemba kuat dengan magnitud 7.2 itu berpusat kira-kira  619 kilometer di tenggara Manila, berkedalaman 20 kilometer.

Menurut jurucakap pejabat pertahanan awam, ratusan mangsa cedera akibat puluhan bangunan dan rumah runtuh manakala jalan raya di Pulau Bohol dan Pulau Cebu retak teruk.

“Tugu peringatan dan premis hotel juga rosak serta ratusan pelancong dipindahkan ke kawasan selamat,” katanya dipetik AP.

Sementara itu, Komander Tentera Wilayah, Leftenan Jeneral Roy Deveraturda berkata, lebih 100 penduduk maut di Bohol manakala sembilan yang lain dijumpai terkorban di wilayah Cebu dan pulau berdekatan.

Ketika ini, kerja-kerja menyelamat masih diteruskan bagi mencari mayat mangsa yang terbabit dalam runtuhan bangunan.

Taufan Wipha ragut 14 nyawa

Taufan Wipha ragut 14 nyawaPuluhan penduduk dilaporkan hilang dan dipercayai tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di selatan Tokyo.

TOKYO - JEPUN. Sekurang-kurangnya 14 maut selepas taufan Wipha membawa angin kencang berkelajuan 120 kilometer sejam membadai ibu negara Jepun, menurut pihak berkuasa, semalam.

Ketua Agensi Meteorologi Jepun, Hiroyuki Uchida berkata, Wipha turut menyebabkan hujan lebat yang mengakibatkan tanah runtuh dan banjir kilat di Pulau Izu Oshima, selatan Tokyo.

"Ia adalah taufan terkuat melanda negara ini dalam tempoh 10 tahun," katanya dipetik AP.

Susulan kejadian itu, lebih 400 penerbangan dibatalkan dan ribuan sekolah ditutup serta hampir 20,000 penduduk diarah berpindah.

Sementara itu, pengendali Tokyo Electric Power (Tepco) mengambil langkah waspada memastikan loji nuklear Fukushima dalam keadaan selamat.

Seorang lagi ’Geng Ah Fatt’ samun rumah orang kenamaan diburu


Ahmad Mohammed
KUALA LUMPUR 16 Okt. - Polis memburu seorang lagi anggota ‘Geng Ah Fatt’, iaitu lelaki Indonesia, yang terlibat dalam kes samun sebuah rumah orang kenamaan di Bukit Antarabangsa, Hulu Klang dekat sini Jumaat lepas.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, suspek yang dikenali sebagai Ahmad Mohammed, berusia lingkungan 40-an, itu dipercayai masih berada di sekitar Lembah Klang.
“Kumpulan itu dianggotai enam orang. Suspek pertama ditembak semasa melakukan kes samun di sebuah rumah VVIP di Bukit Tunku di sini pada April tahun lepas manakala empat suspek lagi ditembak mati Jumaat lepas.
“Suspek keenam masih diburu. Jika dapat berkas suspek ini, polis berjaya menumpaskan kumpulan ini dan menyelesaikan lima kes samun rumah VVIP sebelum ini serta dua kes samun di Bukit Antarabangsa baru-baru ini," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Pada Jumaat lepas, empat lelaki asing itu ditembak mati di rumah pangsa Program Perumahan Rakyat (PPR) di Hiliran Ampang, dekat sini pada 12.20 tengah hari selepas menyamun rumah orang kenamaan di Bukit Antarabangsa, Hulu Klang kira-kira 3 pagi. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131017/je_07/Seorang-lagi-Geng-Ah-Fatt-samun-rumah-orang-kenamaan-diburu#ixzz2hyx8aiCz
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Cubaan seludup 18 kereta curi gagal


MOHMAD Salleh bersama kereta yang dirampas hasil serbuan polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 16 Okt. - Polis Kuala Lumpur mematahkan cubaan satu sindiket menyeludup 18 kereta mewah curi bernilai RM2.07 juta di sebuah kawasan perindustrian di Klang dekat sini, Selasa lepas.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, pihaknya melakukan serbuan di kawasan itu dan menjumpai semua kenderaan di dalam gudang, yang dipercayai akan dihantar ke Dubai.
“Antara kenderaan yang ditemui ialah sebuah kereta jenis Mazda 3, dua van Toyota Hiace, enam Toyota Fortuner dan sembilan Toyota Hilux yang dilaporkan dicuri di Kuala Lumpur, Selangor, Perak dan Johor," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata, polis turut menahan seorang suspek berusia 40 tahun di gudang itu dan kini memburu penyewa premis berkenaan iaitu Choong Chee Keong, 40, yang beralamat di Kampung Sungai Lekok, Jerantut, Pahang bagi membantu siasatan.
Choong memiliki empat rekod jenayah lampau berkaitan kes curi kenderaan, katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohmad berkata, polis menahan sembilan individu, termasuk seorang wanita, yang dipercayai terlibat dengan kes pembunuhan seorang peguam warga Australia di sebuah kelab malam di Jalan Doraisamy di sini pada 4 Oktober lepas.
Beliau berkata kesemua suspek diberkas dalam serbuan di sebuah rumah di Bandar Bukit Raja, Klang pada Ahad lepas.
“Hasil siasatan terhadap seorang suspek lelaki dan wanita warga tempatan itu, kami percaya mereka merupakan anggota kongsi gelap.
“Kami turut menjumpai sebilah pisau Rambo, 22 bilah parang, pedang samurai, cota besi, topeng muka, beberapa paket tembakau, gari dan sarung tangan yang dipercayai digunakan suspek untuk jenayah lain," katanya.
Susulan itu, Mohmad berkata, pihaknya memburu tiga lagi suspek utama yang dikenali sebagai Muhd Rapai Amininula@Apai, 38, yang dipercayai dari Sabah; M. Syaifuddin Rosman, 21, dari Taman Maluri, Cheras; dan Mohd Fadli Saludin, 25, dari Jalan Batu Sapi, Sabah. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131017/je_06/Cubaan-seludup-18-kereta-curi-gagal#ixzz2hywpRFAy
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Wanita hamil terbunuh kereta rempuh van


TELOK KEMANG 16 Okt. - Seorang kakitangan Hospital Port Dickson yang mahu ke tempat kerja, terbunuh selepas kereta dipandunya merempuh sebuah van di Kilometer 13, Jalan Sua Betong, Port Dickson dekat sini pagi ini.
Dalam kejadian berlaku pukul 7.15 pagi itu, mangsa, Norma Loman, 33, yang mengandung lima bulan meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan teruk di bahagian badan dan kepala.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supritendan Abd. Wahab Harun berkata, ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan dari arah Linggi menghala ke Port Dickson untuk pergi ke tempat kerjanya.
"Kereta Proton Saga dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan akibat jalan licin kerana hujan.
"Kenderaan itu kemudian terbabas memasuki laluan bertentangan dan merempuh sebuah van jenis Nissan Vanette dari arah Port Dickson menuju ke Linggi," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, wanita malang itu maut di tempat kejadian kerana rempuhan kuat menyebabkan mangsa tersepit dan mengalami cedera parah.
Katanya, pemandu van dikenali sebagai Ariffin Jantan, 43, pula turut mengalami cedera parah iaitu patah paha kiri dan masih dirawat Hospital Port Dickson.
Tambahnya, jenazah mangsa dibawa ke hospital sama untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk urusan pengebumian.
"Polis masih menyiasat lanjut punca kemalangan dan menyiasat kes tersebut di bawah Seksyen 41(1) Jalan 1987.
"Orang ramai mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131017/je_05/Wanita-hamil-terbunuh-kereta-rempuh-van#ixzz2hywZQbF7
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Maut ketika bantu mangsa tersepit


Keadaan bas ekspres yang merempuh sebuah lori membawa muatan serbuk kapur di Kilometer 190.7, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara berhampiran Bukit Merah, Perak, semalam.
IPOH 16 Okt. - Seorang lelaki maut manakala 10 lagi cedera selepas sebuah bas ekspres merempuh belakang sebuah lori membawa muatan serbuk kapur di Kilometer 190.7, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara berhampiran Bukit Merah dekat sini awal pagi ini.
Dalam kejadian pukul 5.15 pagi, seorang mangsa, Mat Dan Mat, 61, dari Pokok Sena, Kedah, maut di tempat kejadian setelah tercampak ke arah jalan bertentangan sebelum dilanggar oleh beberapa kenderaan lain.
Ketua Polis Daerah Kerian, Supritendan Fauzi Mat Nayan berkata, kemalangan berlaku apabila sebuah bas ekspres dari Kuala Lumpur menuju ke Kedah cuba memotong lori membawa serbuk kapur ke Pulau Pinang tetapi gagal lalu melanggar kenderaan berkenaan.
"Semasa kemalangan berlaku, kebetulan Mat Dan dan seorang lagi pemandu bas ekspres lain serta seorang pemandu lori berhenti untuk membantu mengeluarkan pemandu bas ekspres terlibat yang tersepit.
"Namun, tiba-tiba sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Grand Livina gagal mengelak lalu merempuh Mat Dan bersama pemandu bas ekspres dikenali sebagai Abdul Manaf Zainol Abidin, 47, dan pemandu lori, Rajamuniandy yang ketika itu cuba mengeluarkan mangsa tersepit, Habdul Gani Jantan, 46," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, rempuhan itu menyebabkan Mat Dan tercampak ke laluan bertentangan sebelum maut dilanggar beberapa kenderaan, manakala Abdul Manaf dan Rajamuniandy turut mengalami cedera parah.
Fauzi berkata, Habdul Gani dan Abdul Manaf dikejarkan ke Hospital Taiping, manakala Rajamuniandy pula dimasukkan ke Hospital Parit Buntar untuk rawatan.
Tambahnya, tujuh lagi penumpang bas ekspres berkenaan hanya dirawat sebagai pesakit luar.
"Mayat Mat Dan telah dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk dibedah siasat," katanya.
Dalam kemalangan berasingan di Kilometer 4, Jalan Lumut-Sitiawan pada pukul 8.20 pagi ini, seorang wanita berusia 53 tahun maut, manakala dua lagi rakannya juga wanita warga emas mengalami cedera parah.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Jaafar Baba berkata, kemalangan berlaku apabila kereta jenis Proton Wira dinaiki mereka hilang kawalan lalu terbabas dan terbalik ke dalam longkang.
"Pemandu kereta yang berusia 55 tahun cedera parah dan dirawat di Hospital Angkatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut dan seorang lagi penumpang berusia 71 tahun patah kaki dan dirawat di Hospital Seri Manjung," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131017/je_04/Maut-ketika-bantu-mangsa-tersepit#ixzz2hywM8jDF
© Utusan Melayu (M) Bhd 

4WD bawa balang gas oxy-acetylene meletup


Anggota bomba dan penyelamat mengawal kebakaran kenderaan pacuan empat roda yang membawa tong gas oxy-acetylene di Jalan Petanak, Kuching, semalam.
KUCHING 16 Okt. - Seorang lelaki nyaris maut apabila kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang membawa muatan balang gas oxi-acetylene dipandunya tiba-tiba terbakar sebelum meletup di Jalan Petanak di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 11.10 pagi itu, pemandu yang tidak dapat dikenal pasti identitinya sempat keluar menyelamatkan diri sebelum kenderaan jenis Mitsubishi berkenaan meletup.
Difahamkan, mangsa hanya mengalami kecederaan ringan.
Menurut sumber, insiden tersebut menggemparkan orang ramai yang melalui jalan terbabit kerana api terlalu besar diikuti bunyi letupan yang kuat.
"Api marak dengan cepat memandangkan terdapat balang berisi oksigen dan alat ganti yang mudah terbakar dalam kenderaan.
"Balang-balang gas oxy-acetylene tersebut dikatakan digunakan untuk aktiviti pengimpalan di sebuah kilang tidak jauh dari lokasi kejadian," katanya.
Sementara itu, Komander Operasi Pasukan Menangani Bencana Bahan Kimia (Hazmat), Zulkhairani Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.12 pagi.
"Seramai 22 anggota Hazmat dari Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya serta Padungan ditugaskan mengawal kebakaran tersebut.
"Kami terpaksa menutup lokasi tersebut untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini semasa operasi memadam kebakaran dan api berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 11.22 pagi," katanya.
Menurut Zulkhairani, unit forensik kebakaran bomba sedang menyiasat punca sebenar kejadian tersebut.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131017/je_03/4WD-bawa-balang-gas-oxy-acetylene-meletup#ixzz2hyw8eTBH
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Anggota polis maut selepas pulang beraya


KEADAAN dua kereta dan mangsa yang terlibat dalam kemalangan maut di Batu 12, Jalan Bakri-Air Hitam, Muar, Johor, malam kelmarin.
MUAR 16 Okt. - Seorang anggota polis terbunuh dalam kemalangan di Batu 12, Jalan Bakri-Air Hitam dekat sini ketika dalam perjalanan pulang ke tempat kursus selepas menyambut Aidiladha di kampungnya di Batu Pahat malam tadi.
Dalam insiden kira-kira pukul 10 malam itu, mangsa, Konstabel Mohd. Ishak Morhasham, 26, dari Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat, Kelantan, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.
Difahamkan, mangsa dalam perjalanan pulang ke Maktab Teknik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Batu 5, Bakri dekat sini, untuk menyambung kursus yang diikuti di maktab itu sejak beberapa bulan lalu.
Sebelum ini, mangsa dikatakan pulang bercuti menyambut Aidiladha bersama keluarganya di Taman Jorak Senawi, Tongkang Pechah, Batu Pahat.
Namun malangnya apabila tiba di tempat kejadian, kereta Honda Civic dipandunya hilang kawalan dan bertembung dengan sebuah kereta jenis Toyota dari arah Muar menghala ke Yong Peng, Batu Pahat.
Rempuhan kuat menyebabkan dua kenderaan terbabit terbabas ke bahu jalan.
Orang awam yang membantu mengeluarkan Mohd. Ishak mendapati mangsa sudah pun meninggal dunia di tempat kejadian.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Supritendan Sahadan Jaafar ketika dihubungi memberitahu, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk bedah siasat manakala seorang pemandu kereta lain yang turut cedera dimasukkan ke hospital sama untuk rawatan.
"Saksi kejadian diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran untuk memberi maklumat bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131017/je_02/Anggota-polis-maut-selepas-pulang-beraya#ixzz2hyvhXyP4
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiga beranak maut nahas


PERODUA Alza yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 49.0, Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak dekat Bukit Tinggi, Bentong, semalam.
BENTONG 16 Okt. - Kegembiraan suami isteri anggota tentera dan anak perempuan mereka meraikan Hari Raya Aidiladha bersama keluarga di kampung semalam, bertukar tragedi apabila mereka maut dalam kemalangan di Kilometer 49.0, Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak dekat Bukit Tinggi di sini hari ini.
Kemalangan ngeri itu berlaku pukul 6.50 pagi ketika mangsa, Jiman Raup, 32, bersama isteri, Nik Zaieyahaliza Ya, 29, dan anaknya, Nurul Damia, 2, dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di ibu negara dari Terengganu.
Tiba di tempat kejadian, kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza dinaiki tiga beranak itu tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori tangki yang datang dari arah Raub, Pahang.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Mansor Mohd. Noor berkata, ketiga-tiga mangsa maut di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah di badan dan kepala.
"Semasa kejadian, suami isteri terbabit yang bertugas di Cawangan Sumber Manusia, Markas Tentera Darat, Kementerian Pertahanan (Kementah) di Kuala Lumpur dalam perjalanan dari Terengganu menuju ke ibu negara.
"Kenderaan dipandu oleh Jiman dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas merempuh pembahagi jalan dan melambung memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah lori tangki," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Bentong di sini hari ini.
Beliau berkata, dalam kejadian itu, pemandu lori tangki dikenali sebagai Abdul Rahman, 38, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurutnya, semasa kemalangan, cuaca dalam keadaan baik dan permukaan jalan raya juga kering.
Katanya, mayat tiga beranak itu telah dihantar Hospital Bentong untuk dibedah siasat.
"Punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan dan polis menyiasat kes ini di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131017/je_01/Tiga-beranak-maut-nahas#ixzz2hyvMw1he
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Universal Credential tarik balik saman terhadap Rosnah


KUALA LUMPUR 17 Okt. - Sebuah syarikat pengurusan majlis, Universal Credential Sdn. Bhd. hari ini menarik balik samannya yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin untuk menuntut ganti rugi berjumlah RM1.10 juta.
Menurut peguam, Raihanah Ariffin yang mewakili timbalan menteri tersebut, Hakim Datin Yeoh Wee Siam membenarkan permohonan peguam G. Ganeson yang mewakili syarikat tersebut untuk menarik balik saman itu bagi membolehkan pihaknya memfailkan tuntutan yang baharu dengan menambah jumlah pihak yang disaman.
Menurut Raihanah, mahkamah membenarkan permohonan syarikat tersebut menarik balik saman dengan kos RM200 kepada timbalan menteri tersebut.
Universal Credential dalam writ saman dan pernyataan tuntutan yang difailkan pada 29 Ogos lalu, menamakan Rosnah yang juga Ahli Parlimen Papar sebagai pihak defendan.
Syarikat tersebut mendakwa, kononnya Rosnah telah meminta supaya Karnival SIhat 3S (Sihat, Sejahtera dan Selamat) diadakan di Parlimen Papar kerana beliau juga seorang Timbalan Menteri Kesihatan ketika itu dan kononnya berjanji untuk membayar kesemua perbelanjaan dan kos dalam mengatur dan mengurus karnival tersebut.
Karnival itu berlangsung selama tiga hari bermula 9 hingga 11 Disember 2011 di Padang Pekan Papar. - UTUSAN
Bagaimanapun syarikat itu mendakwa defendan telah mungkir untuk membayar kos pengaturan dan pengurusan karnival tersebut.
Pihak plaintif sebelum ini menuntut ganti rugi am atas kemungkinan perjanjian yang didakwa, ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk masing-masing RM500,000 selain ganti rugi khas RM482,767.84. - Utusan online


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20131017/ma_06/Universal-Credential-tarik-balik-saman-terhadap-Rosnah#ixzz2hyua1btc
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lelaki didakwa menyamar kerabat diraja Kedah


GEORGE TOWN 17 Okt. - Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini terhadap pertuduhan menggunakan lambang tanpa kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) dan menyamar sebagai kerabat raja Kedah pada Oktober tahun lepas.
Roshidi Fadzil, 47, dituduh menggunakan lambang Pertubuhan Amal Kebajikan Islamiah Malaysia (Pakim Diraja atau Serampang Tiga) tanpa kebenaran JPPM, pada 23 Okt 2012 di Dewan Banquet Hotel Cititel di sini.
Dia didakwa mengikut Seksyen 50(3) Akta Pertubuhan 1966 yang membawa hukuman penjara tidak lebih tiga bulan atau denda tidak lebih RM3,000, jika sabit kesalahan.
Roshidi juga dituduh menipu Ooi Ten Seng, 33, di tempat dan pada tarikh sama dengan menyamar sebagai kerabat raja Kedah Yang Teramat Mulia Tunku Putera Roshidi Tunku Fadzil, mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Majistret L. Umma Devi membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 untuk kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Nov depan untuk sebutan semula dan pengurusan kes.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim manakala Roshidi diwakili peguam Muhd Yahya Zakaria. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20131017/ma_08/Lelaki-didakwa-menyamar-kerabat-diraja-Kedah#ixzz2hyuHyWnc
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Gelandangan maut tidur tepi jalan ladang sawit


MELAKA 17 Okt. - Seorang lelaki gelandangan yang tidur di atas jalan di sebuah ladang kelapa sawit maut dipercayai akibat dilanggar sebuah kenderaan di Ladang Bertam, Krubong di sini hari ini.
Mayat lelaki berusia dalam lingkungan 40-an itu ditemui di atas jalan dalam ladang itu yang terletak kira-kira 400 meter dari jalan utama.
Mayat mangsa ditemui seorang pelajar berusia 17 tahun yang kebetulan melalui jalan tersebut sebelum memaklumkannya kepada polis.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Supritendan P.R Gunarajan berkata, polis yang bergegas ke tempat kejadian sebaik sahaja dimaklumkan menemui mayat itu yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.
"Terdapat kesan kecederaan di kepala lelaki tersebut dipercayai gelandangan atau kutu rayau kerana hasil maklumat daripada penduduk, mereka tidak pernah melihat atau mengenalinya," katanya kepada pemberita di tempat kejadian. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131017/je_17/Gelandangan-maut-tidur-tepi-jalan-ladang-sawit#ixzz2hytdKlkh
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Penjenayah guna kayu khas larikan kenderaan mewah


SEREMBAN 17 Okt. - Polis menahan tiga penjenayah yang mencuri kereta mewah di beberapa buah negeri dengan menggunakan kayu panjang khas untuk mengait kunci rumah dan kereta mangsa sebelum melarikan kenderaan tersebut, baru-baru ini.
Ketiga-tiga suspek terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita itu ditahan dalam serbuan di Port Dickson serta Bahau dekat sini pada 9 dan 12 Oktober lalu.
Pemangku Ketua Polis negeri, Datuk Abd. Manan Md. Hasan berkata, polis merampas 12 buah kenderaan curi dan beberapa barangan yang dipercayai hasil pecah rumah yang dianggarkan bernilai lebih RM1 juta.
Menurutnya, suspek pertama yang berusia 48 tahun ditahan di Port Dickson pada 9 Oktober lalu dan hasil soal siasat pihaknya menemukan tiga buah kereta jenis Mercedes-Benz, Toyota Estima dan BMW yang disorokkan di beberapa lokasi.
"Susulan tangkapan itu polis menahan sepasang kekasih berusia 32 dan 23 tahun di sebuah hotel di Bahau pada 12 Oktober lalu dan merampas dua buah Mercedes-Benz serta masing-masing sebuah Toyota Camry, Volkswagen Golf GTI, Mitsubishi Triton dan Kia Optima.
"Polis percaya dapat menyelesaikan beberapa kes pecah rumah dan curi kenderaan mewah di negeri ini, Selangor, Kuala Lumpur dan Johor dengan penangkapan ketiga-tiga suspek," katanya dalam sidang akhbar hari ini. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131017/je_15/Penjenayah-guna-kayu-khas-larikan-kenderaan--mewah#ixzz2hytLwCL9
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Polis rampas 8 kenderaan RM600,000, tahan 9 termasuk wanita


KUALA LUMPUR 17 Okt. - Polis merampas lapan buah kenderaan bernilai RM600,000 selepas menahan sembilan termasuk seorang wanita yang disyaki aktif melakukan jenayah samun kenderaan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Muhammad Azlee Abdullah berkata, kesemua mereka yang berusia awal 20-an dan 30-an itu ditahan dalam serbuan berasingan di hotel bajet di Jalan Kuchai Lama dan Desa Seri Hartamas pada Ahad dan Isnin lepas.
"Kumpulan ini aktif sejak awal tahun ini, giat melakukan kegiatan mereka dengan menggunakan modus operandi iaitu melanggar belakang kereta mangsa dan mengacukan pedang untuk menakutkan mangsa sebelum melarikan kenderaan terbabit.
"Mereka turut menyamun kereta mangsa selepas mangsa memasuki pagar rumah dan berada di pekarangan parkir," katanya kepada pemberita dalam sidang media hari ini.
Beliau berkata, hasil soal siasat terhadap mereka yang ditangkap itu membawa kepada rampasan lapan buah kenderaan iaitu Honda CRV, Honda City, Honda Civic, Toyota Vios, Proton Waja, Audi Q5, Toyota Unser dan BMW X5.
"Kita rampas kenderan-kenderaan ini di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang yang diletakkan di parkir pusat membeli-belah dan parkir kondominium.
"Kita percaya kenderaan itu diletakkan di parkir berkenaan sementara menunggu pembeli. Siasatan juga akan dijalankan bagi melihat sama ada kumpulan ini mempunyai kaitan dengan sindiket menyeludup kereta mewah bernilai RM2.07 juta yang ditumpaskan 8 Okt lepas di sebuah kawasan perindustrian di Klang," katanya.
Hasil serbuan di hotel bajet berkenaan turut merampas sebilah pedang samurai, sebilah pisau, sebatang kikir, sebatang besi panjang, topeng muka dan sebuah jam tangan, katanya.
"Lima daripada sembilan yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau dadah, samun dan pelbagai jenayah lain," katanya.
Beliau berkata, dengan tangkapan itu, polis berjaya menyelesaikan kira-kira 20 kes samun kereta menggunakan modus operandi seperti itu di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
Muhammad Azlee berkata polis kini sedang memburu seorang lagi individu iaitu Chia Chin Hock, 30, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan ini dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Zahril Azly Zuklifli di talian 017-4589997. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131017/je_18/Polis-rampas-8-kenderaan-RM600000-tahan-9-termasuk-wanita#ixzz2hyt8QmnV
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Polis tahan 'Datuk' larikan 4 pelajar ke hutan di Baling


BALING 17 Okt. - Polis berjaya menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes empat pelajar yang dilaporkan hilang selepas dibawa memasuki kawasan hutan di Bukit Wang Kerbau berhampiran kaki Gunung Inas di sini pada petang Selasa lalu.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling, ASP Nazir Osman berkata, mengesahkan lelaki berusia 38 tahun itu ditahan kira-kira pukul 12.30 tengah hari di rumahnya hari ini.
Akhbar ini hari ini melaporkan empat pelajar hilang selepas dibawa oleh seorang lelaki bergelar 'Datuk' memasuki kawasan hutan di Bukit Wang Kerbau berhampiran kaki Gunung Inas di sini kelmarin, ditemui dalam keadaan selamat malam tadi.
Mangsa iaitu Mohd. Hafiz Ridzuan, 14, Ainaa Nadia Mat Dahari, 14, Ahmad Mohamad Mat Dahari, 11, dan Rohaizat Jamaluddin, 10, ditemui dalam keadaan selamat di Lata Lubuk Buluh pada pukul 7.30 malam iaitu kira-kira enam kilometer dari kaki gunung tersebut. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131017/je_13/Polis-tahan-Datuk-larikan-4-pelajar-ke-hutan-di--Baling#ixzz2hysyhIfs
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pemilik kilang rasuah dijel, denda


JOHOR BAHRU 17 Okt. - Seorang pemilik kilang pembungkusan dihukum penjara sehari dan denda RM125,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan memberi rasuah RM25,000 kepada seorang kakitangan Tenaga Nasional Bhd. (TNB), Jun lalu.
Ho Hann Sing, 34, dijatuhi hukuman itu setelah dia mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut yang dilakukan sebagai dorongan tidak dikenakan tindakan kerana mencuri bekalan elektrik.
Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz memerintahkan lelaki itu dipenjara enam bulan lagi sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Hann Sing didakwa memberikan sogokan itu kepada Jurutera Kanan TNB, Arizal Ashari sebagai dorongan tidak mengambil tindakan ke atas Chin Tat Packaging & Trading di Lot 259-260, Batu 15 Jalan Gelang Patah, dekat sini kerana disyaki mencuri bekalan elektrik.
Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di Restoran Khaja 7, Nombor 35, Jalan 1, Lima Kedai, Gelang Patah dekat sini pada pukul 6.55 petang, 6 Jun lalu.
Hann Sing didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20131017/ma_09/Pemilik-kilang-rasuah-dijel-denda#ixzz2hysohBm0
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lelaki maut, lori dipandu terbabas, terbakar di Telupid


TELUPID 17 Okt. - Seorang pemandu lori maut selepas kenderaan yang dipandunya itu terbabas dan terbakar di Km65, Jalan Beluran-Telupid hari ini.
Mangsa dikenali sebagai Maurice Liew, 44, mati di tempat kejadian selepas tercampak keluar dari kenderaannya dalam kejadian pukul 1.40 pagi.
Ketua Polis Daerah Beluran, Deputi Supritendan Sivanathan Velautham berkata, ketika kejadian lori itu membawa muatan barangan runcit dalam perjalanan dari Kota Kinabalu ke Sandakan.
Katanya, pemandu lori itu dipercayai gagal mengawal kenderaannya lalu terbabas dan terbalik sebelum terbakar di tempat kejadian berhampiran Kampung Telupid.
Beliau berkata, dua lagi rakan sekerjanya turut tercampak keluar dari lori dan mengalami cedera ringan.
Sivanathan berkata, kedua-dua lelaki berusia lingkungan 30-an itu menerima rawatan di Hospital Beluran dan dilaporkan dalam keadaan stabil. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/UMNO_2013/20131017/um_28/Lelaki-maut-lori-dipandu-terbabas-terbakar-di-Telupid#ixzz2hyseK6nw
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Mayat lelaki putus telinga ditemui di ladang sawit


MIRI 17 Okt. - Mayat seorang lelaki dalam keadaan berlumuran darah dan putus telinga ditemui di sebuah ladang kelapa sawit di Kilometer 92, Jalan Miri-Bintulu dekat sini awal pagi ini.
Mayat Muhammad Azarul Muhammad Sapie'ee, 20, yang beralamat di Kampung Wireless, Jalan Permaisuri ditemui oleh orang awam kira-kira pukul 6.55 pagi.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Stanley Jonathan Ringgit berkata, lelaki itu dipercayai menjadi mangsa pembunuhan berikutan penemuan sebilah parang kira-kira 20 meter dari mayatnya.
"Pemeriksaan polis mendapati terdapat kesan tetak pada bahu dan belakang mangsa.
"Polis turut menemukan kesan darah di sepanjang jalan yang memberi petunjuk mangsa mungkin cuba melarikan diri sebelum terjatuh dan meninggal dunia," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131017/je_16/Mayat-lelaki-putus-telinga-ditemui-di-ladang-sawit#ixzz2hysVcojW
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tindakan pantas selamatkan rakan-rakan dalam kebakaran


LEDANG 17 Okt. - Tindakan pantas dua pekerja warga asing yang menyedari kemunculan asap di dapur asrama kilang berjaya menyelamatkan rakan-rakannya daripada menjadi mangsa kebakaran di blok asrama mereka malam tadi.
Kejadian kira-kira pukul 12.30 malam di asrama sebuah kilang perabot di Parit Pajar, dekat sini itu memusnahkan blok berkenaan yang berdindingkan zink serta menempatkan kira-kira 15 pekerja terdiri daripada warga Bangladesh dan Vietnam.
Seorang pekerja asing itu yang enggan dikenali berkata, pada mulanya dia terhidu bau hangit dari biliknya lantas mendorongnya ke dapur untuk mengenal pasti bau tersebut setelah berasa tidak senang hati.
"Apabila keluar bilik, saya terkejut lihat asap sudah pun memenuhi ruang dapur. Saya terus kejutkan rakan-rakan lain yang sedang tidur.
"Ketika itu saya baru sahaja mahu lelap selepas berbual dengan seorang lagi rakan. Mujur kejadian ini disedari awal, jika tidak pasti perkara buruk sudah menimpa kami semua," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Dia yang telah bekerja di kilang itu lebih tiga tahun berkata, kesemua barangan berharga tidak dapat diselamatkan kerana api marak terlalu cepat dan masing-masing bertempiaran lari menyelamatkan diri.
Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan 1, Balai Bomba dan penyelamat Ledang, Mohd. Malley Salim berkata, pihaknya mengambil masa selama 20 minit untuk memadamkan keseluruhan kebakaran.
Beliau berkata, seramai enam anggota bomba di sini bersama sebuah jentera dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 12.38 pagi.
"Kita turut dibantu oleh tujuh anggota bomba Muar dengan sebuah jentera, tetapi asrama kilang berkenaan tidak dapat diselamatkan kerana api marak terlalu cepat.
"Punca kejadian dan nilai sebenar kerugian masih dalam siasatan, namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan," katanya. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131017/je_14/Tindakan-pantas-selamatkan-rakan-rakan-dalam-kebakaran#ixzz2hysJQ5xX
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Polis N.S tumpaskan kumpulan curi kereta


SEREMBAN 17 Okt. - Polis Negeri Sembilan berjaya menumpaskan satu geng pecah rumah dan samun kereta selepas menangkap tiga anggotanya termasuk seorang wanita minggu lepas.
Pemangku Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Manan Mhd Hassan berkata, suspek yang berusia antara 22 dan 48 tahun itu diberkas di Port Dickson dan Bahau pada Rabu dan Sabtu lepas.
"Susulan penangkapan itu polis menemui semula sembilan kenderaan termasuk lima kereta mewah yang dilarikan oleh kumpulan tersebut," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
"Semua kenderaan terbabit yang dilarikan dari sekitar negeri ini dalam proses untuk dijual," katanya.
"Modus operandi kumpulan ini ialah menyamun rumah mangsa sebelum melarikan kenderaan mangsa. Antara barangan lain yang dijumpai daripada mereka ialah dua komputer riba, dua telefon bimbit dan sebatang kayu yang diubah suai untuk mengambil kunci rumah mangsa sebelum menyamun," katanya.
Abdul Manan juga berkata, seorang daripada suspek mempunyai 14 rekod jenayah membabitkan samun dan curi kenderaan.
Mengulas kes berlainan, beliau berkata polis menahan tiga orang termasuk dua beradik kerana menyamar anggota polis dan imigresen sebelum merompak warga asing.
Dua beradik berkenaan merupakan pelajar kolej swasta manakala seorang lagi ialah anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan mereka berusia antara 21 dan 34 tahun, katanya.
Menurut Abdul Manan, polis yang menerima laporan mengenai kegiatan tiga suspek itu mengekori dan berjaya memberkas mereka di kawasan ladang getah Enstek di Jalan Labu pada pukul 11 malam Isnin lepas, sejurus selepas mereka merompak dari dua rumah kongsi pekerja asing di situ. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131017/je_19/Polis-NS-tumpaskan-kumpulan-curi-kereta#ixzz2hyrxV7Fw
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Polis buru 8 lelaki tetak peniaga besi buruk


GEORGE TOWN 17 Okt. - Polis sedang mengesan lapan lelaki yang dipercayai menetak seorang peniaga besi buruk sehingga jari kakinya hampir putus di Kampung Manis, Perai semalam.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Nasir Salleh berkata pada kejadian pukul 6.10 petang itu mangsa S. Munian, 27, berada di gerai makan milik ibu kawannya sebelum lapan suspek berusia sekitar 20-an datang dengan menaiki motosikal dan menyerangnya.
"Empat daripada mereka yang membawa parang terus mengejar mangsa. Ketika cuba menyelamatkan diri mangsa terjatuh. Kemudian suspek terus melibaskan parang secara membuta tuli menyebabkan mangsa patah tulang bahu sebelah kiri, tulang lengan kanan, luka di perut dan belakang kepala," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, bagaimanapun ibu dan rakannya tidak dicederakan oleh suspek yang memakai topi kaledar lengkap dengan cermin penutup muka.
Mangsa yang bekerja sebagai penjual dan pembeli besi buruk dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya dan keadaannya dilapor stabil.
Beliau berkata, polis masih belum mengambil keterangan dari mangsa berikutan keadaaannya masih lemah dan percaya kejadian itu bermotif dendam.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes itu diminta menghubungi balai polis berdekatan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Dalam kes berlainan, seorang lelaki kerugian puluhan ribu ringgit dalam kejadian samun berdekatan Masjid Seberang Jaya malam tadi.
Mohd Nasir berkata, pada kejadian pukul 9 malam itu, mangsa yang berusia 29 tahun turut dipukul tiga penjenayah yang bersenjatakan kayu sebelum mereka merampas dompet yang berisi wang tunai kira-kira RM2,000 dan juga kereta Proton Persona miliknya.
Difahamkan mangsa yang berasal dari Kulim, Kedah dikatakan berhenti sebentar untuk membuang air kecil di lorong gelap berhampiran masjid berkenaan sebelum dihampiri suspek terbabit.
"Mangsa tidak dapat mengecam wajah suspek kerana kejadian berlaku dengan pantas selain keadaan di situ gelap," katanya. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131017/je_20/Polis-buru-8-lelaki-tetak-peniaga-besi-buruk#ixzz2hyrnGu1j
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Menteri Luar sahkan wanita Malaysia maut nahas pesawat di Laos


KUALA LUMPUR 17 Okt. - Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman hari ini mengesahkan seorang wanita Malaysia, Angelin Teh, terbunuh dalam nahas pesawat di Pakse, sebuah bandar di selatan Laos, pada Rabu.
Beliau berkata, Teh dan suaminya Joel Babcock, warganegara Amerika, dalam perjalanan dari ibu negara Laos, Vientiane, ke Pakse apabila pesawat berkenaan terhempas ke dalam Sungai Mekong dalam cuaca buruk.
"Pihak berkuasa Laos sedang meneruskan usaha mencari mayat mangsa nahas itu," katanya dalam kenyataan di sini.
Anifah berkata, keluarga Teh telah dimaklumkan tentang perkara itu dan sedang membuat persiapan untuk terbang ke Laos dengan bantuan Kementerian Luar dan kedutaan Malaysia di negara itu.
"Bagi pihak Kerajaan Malaysia, saya ingin menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Angelin Teh dan keluarga lain yang terlibat dalam nahas itu. Semoga mereka diberi kekuatan dan ketabahan untuk menghadapi saat-saat yang memilukan ini," katanya.
Sementara itu, agensi berita AP melaporkan nahas berkenaan melibatkan 49 orang dari 11 negara. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131017/dn_32/Menteri-Luar-sahkan-wanita-Malaysia-maut-nahas-pesawat-di-Laos#ixzz2hyrd1w00
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Polis tahan 3 lelaki, rampas pistol buatan sendiri


ALOR SETAR 17 Okt. - Polis menahan tiga lelaki yang memiliki rekod jenayah dan merampas sepucuk pistol buatan sendiri bersama tujuh butir peluru di Air Hitam, Kubang Pasu Isnin lalu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, serbuan dibuat di sebuah rumah kira-kira pukul 2 petang oleh sepasukan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.
"Ketiga-tiga mereka yang ditahan berusia antara 19 hingga 41 tahun. Seorang daripada mereka memiliki rekod lampau membabitkan dadah manakala dua lagi melibatkan kes dadah serta jenayah.
"Kesemua suspek ditahan sehingga 21 Oktober ini untuk siasatan lanjut dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960," katanya dalam sidang akhbar hari ini. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131017/je_21/Polis-tahan-3-lelaki-rampas-pistol-buatan-sendiri#ixzz2hyrTXncv
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Guru sekolah rendah bebas tuduhan cabul murid


PETALING JAYA 17 Okt. - Seorang guru sekolah rendah hari ini dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan mencabul kehormatan seorang murid perempuan berusia lapan tahun, dua tahun lepas.
Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid membebaskan Mohd Radzi Misran, 57, selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan di akhir kes pembelaan.
Pada 30 November tahun lepas, mahkamah sama melepaskan dan membebaskan Mohd Radzi daripada pertuduhan itu tanpa memanggilnya membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam berhubung keputusan itu.
Pada Ogos lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan memerintahkan Mohd Radzi membela diri terhadap pertuduhan mencabul itu.
Hari ini, dalam penghakimannya, Ahmad Solihin selepas mendengar pembelaan guru itu, mendapati keterangan saksi pendakwaan tidak dapat menyokong keterangan mangsa.
"Keterangan saksi pendakwaan yang lain hanya berdasarkan cerita mangsa dan bukannya melihat sendiri kejadian itu. Malah, keterangan mangsa juga bercanggah dengan keterangan saksi lain semasa menceritakan bagaimana tertuduh mencabulnya.
"Tidak ada saksi lain yang dipanggil dalam kalangan pelajar kelas itu memberi keterangan bagi menyokong keterangan mangsa. Tindakan tertuduh juga didapati adalah sifat yang selari dengan tugas seorang guru dalam menangani karenah murid-murid dalam bilik darjah," katanya.
Tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap kanak-kanak itu dengan niat hendak mencabul kehormatannya di sekolah rendah tempat dia mengajar di Subang Jaya di sini antara 1.30 tengah hari dan 6 petang, 29 Mac 2011.
Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Aifaa Che Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Suraj Singh. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20131017/ma_10/Guru-sekolah-rendah-bebas-tuduhan-cabul-murid#ixzz2hyrJW17L
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kes bunuh 2 lelaki: 4 warga Myanmar dicari


BAGAN SERAI 17 Okt. - Polis sedang mengesan empat lelaki warga Myanmar bagi membantu siasatan kes bunuh dua lelaki yang mayat mereka ditemui dalam but sebuah kereta di hentian Rehat dan Rawat (R&R) Alor Pongsu, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan pada 4 Oktober lalu.
Kesemua mereka yang merupakan pekerja kilang perabot dikenali sebagai Chikoko, 29; Myo Lwin, 25; Aung Ko Lat, 24, dan Ah Keow, 25.
Ketua Polis Daerah Kerian, Supritendan Fauzi Mat Nayan berkata, semua pekerja warga asing itu beralamat terakhir di Lot 604, Luar Perkampungan Jawi, Sungai Bakap, Pulau Pinang.
"Polis sedang mengesan empat lelaki ini bagi membantu siasatan. Kesemua mereka dipercayai telah menghilangkan diri sejak 2 Oktober lalu.
"Bagaimanapun kita percaya mereka masih berada di negara ini dan kita minta mereka tampil membantu siasatan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian hari ini. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131017/je_22/Kes-bunuh-2-lelaki-4-warga-Myanmar-dicari#ixzz2hyr7LwJN
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Korban gempa di Filipina meningkat kepada 107 orang


Sanak saudara menutup mayat keluarga mereka yang terkorban dalam kejadian gempa bumi di pulau Bohol, Filipina, semalam. - AFP
MANILA 16 Okt. - Pasukan penyelamat kini bergelut untuk sampai ke kawasan pedalaman yang musnah akibat gempa bumi kuat yang melanda wilayah tengah Filipina semalam, ketika angka korban meningkat kepada 107 orang hari ini.
Hampir tiga juta penduduk terjejas akibat gempa berukuran 7.2 pada skala Richter itu di wilayah Bohol, kira-kira 640 kilometer ke selatan Manila, selain di wilayah selatan Mindanao.
Agensi bencana kebangsaan berkata, angka korban yang disahkan di Bohol, Cebu dan Siquijor meningkat kepada 107 orang, hari ini dan dijangka terus meningkat ekoran pasukan penyelamat masih belum sampai ke kawasan pedalaman yang terjejas.
"Usaha kami, hari ini tertumpu di kawasan pedalaman dan kami jangka ramai yang terperangkap di bawah runtuhan dan memerlukan bantuan," kata jurucakap Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan, Reynaldo Balido.
Katanya, dengan kemusnahan jambatan, jalan raya serta bekalan elektrik terputus, pihak berkuasa sukar untuk pergi ke kawasan pedalaman serta masih tidak mengetahui situasi di kawasan tersebut.
Di Loon, sebuah pekan yang terletak kira-kira 20 kilometer dari pusat gempa, 40,000 penduduknya kini trauma akibat gempa.
Pihak berkuasa kini berusaha mencari mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan bangunan.
Sebanyak 800 gempa susulan turut direkodkan, semalam.
Kebanyakan mangsa yang terbunuh ialah di Bohol,
Meskipun gempa berlaku di kawasan pelancongan, tiada pelancong asing dilaporkan terbunuh setakat ini. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131017/lu_06/Korban-gempa-di-Filipina-meningkat-kepada-107-orang#ixzz2hyoiih9X
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Taufan Wipha landa Jepun, 17 maut


ANGGOTA tentera darat Jepun mengalihkan pokok yang tumbang dalam kejadian tanah runtuh setelah Taufan Wipha melanda pulau Oshima, 120 kilometer ke selatan Tokyo, semalam. - AFP
TOKYO 16 Okt. - Sekurang-kurangnya 17 orang dikhuatiri maut selepas taufan kuat melanda perairan Pasifik Jepun, dengan jumlah korban dijangka terus meningkat.
Menurut polis, hari ini, Taufan Wipha yang merupakan taufan terkuat dalam tempoh sedekad mencetuskan bencana tanah runtuh dan memusnahkan banyak kediaman.
Stesen penyiaran NHK melaporkan, seramai 50 orang dilaporkan hilang selepas kediaman mereka musnah dalam kejadian tanah runtuh dan banjir di Oshima, kira-kira 120 kilometer ke selatan Tokyo.
Kebanyakan mayat ditemui di dalam rumah yang musnah.
Siaran televisyen menunjukkan rumah-rumah kayu ditenggelami lumpur, pokok-pokok tumbang dan serpihan runtuhan bertaburan.
Menurut media tempatan, kesemua penduduk yang terjejas kini mendapatkan perlindungan di pusat pemindahan sementara.
Pasukan keselamatan dikerah ke kawasan bencana bagi membantu mengeluarkan mayat yang terperangkap di bawah runtuhan, sementara penduduk yang terselamat dibawa ke pusat pemindahan.
Pihak berkuasa tempatan masih belum dapat mengenal pasti keadaan 50 penduduk yang masih hilang.
Di wilayah Kanagawa di selatan Tokyo, helikopter digunakan untuk mencari dua murid sekolah rendah yang dikhuatiri hilang selepas bermain di tepi pantai ketika taufan melanda.
Sistem perkhidmatan pengangkutan awam turut terjejas termasuk kereta api, ekoran berlaku kejadian tanah runtuh di sebuah stesen di timur Tokyo.
Selain itu, beberapa penerbangan terpaksa dibatalkan ekoran cuaca buruk, sekali gus menjejaskan kira-kira 61,600 pelancong.
Wipha kini dilaporkan berada kira-kira 160 kilometer ke timur Koriyama, wilayah Fukushima. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131017/lu_05/Taufan-Wipha-landa-Jepun-17-maut#ixzz2hyoIsGPO
© Utusan Melayu (M) Bhd 

KPDNKK Sandakan rampas 50,000 liter diesel subsidi

KPDNKK Sandakan rampas 50,000 liter diesel subsidiKetua cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Sandakan Joe Azmi Jamil (tengah) bersama dua pegawainya ketika memeriksa tangki mengandungi minyak diesel subsidi yang dirampas dalam satu serbuan di kawasan bekas sebuah kilang di Jalan Gereja Batu 9 dekat sini, hari ini. - Foto Bernama

SANDAKAN - Sebanyak 50,000 liter minyak diesel subsidi yang cuba diseleweng untuk kegunaan industri dirampas dalam serbuan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Penggunaan (KPDNKK) di sini hari ini.  

Serbuan dilakukan jam 1.30 petang di sebuah kawasan bekas kilang di Jalan Gereja Batu 9 dekat sini dengan nilai rampasan berjumlah RM100,000.
  
Ketua cawangan KPDNKK Sandakan Joe Azmi Jamil, yang mengetuai operasi itu, berkata ketika serbuan dilakukan, dua lelaki dipercayai bekerja sebagai penjaga premis dapat melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran.
  
Katanya hasil pemeriksaan menemui minyak diesel itu yang disimpan di dalam 10 tangki plastik setiap satu mengandungi 1,000 liter dan dua tangki besi masing-masing mengandungi 20,000 liter.
  
"Minyak diesel subsidi itu disyaki diseleweng untuk dijual kepada pihak industri di sekitar daerah ini," katanya ketika ditemui di tempat serbuan itu.
  
Joe Azmi berkata jumlah rampasan itu adalah yang terbesar dilakukan pihaknya di daerah ini dan merupakan kes rampasan ke-20 membabitkan minyak diesel dan petrol bersubsidi pada tahun ini. - Bernama

Geng samun kenderaan tumpas


MUHAMMAD Azlee Lee Abdullah (tengah) bersama pegawainya menunjukkan lapan buah kereta yang berjaya ditemui semula di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/SAIFUL BAHARI ASHARI
KUALA LUMPUR 17 Okt. - Satu kumpulan pecah rumah dan samun kenderaan menggunakan modus operandi langgar belakang dan samun yang aktif sejak awal tahun ini, ditumpaskan polis ekoran penahanan sembilan individu termasuk seorang wanita di sekitar Brickfields di sini, pada Ahad dan Isnin lalu.
Susulan itu, polis turut merampas lapan buah kenderaan, sebilah pedang dan pisau serta beberapa peralatan pecah rumah yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM600,000.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Muhammad Azlee Lee Abdullah berkata, kesemua suspek berusia antara 20-an hingga 30-an itu ditahan dalam serbuan di dua buah hotel bajet masing-masing di Kuchai Lama pada pukul 10 malam, Ahad lalu dan Desa Sri Hartamas kira-kira pukul 2 pagi keesokannya.
Menurutnya, dua daripada suspek dalam senarai dikehendaki polis manakala lima lagi mempunyai rekod jenayah lampau iaitu samun dan dadah.
"Hasil soal siasat, polis menemui lapan buah kenderaan iaitu jenis Honda CRV, Honda City, Honda Civic, Toyota Vios, Proton Waja, Toyota Unser, Audi Q5 dan BMW X5 yang diletakkan di beberapa lokasi.
"Kita percaya dapat menyelesaikan 20 kes berkaitan berikutan penahanan itu," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di sini hari ini.
Muhammad Azlee Lee berkata, modus operandi kumpulan terbabit adalah dengan melanggar kenderaan mangsa dari belakang sebelum menyerang dan melarikan kenderaan terbabit.
"Mereka turut menyasarkan mangsa yang baru tiba di rumah untuk membuka pintu pagar sebelum menyerang mangsa dan melarikan kenderaan selain pecah masuk rumah," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya kini sedang mencari seorang lelaki, Chia Chin Hock, 30, yang beralamat terakhir di 51, Jalan Helang, Kepong Baru bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Tambah Muhammad Azlee Lee, beliau juga menasihati mana-mana pemandu kenderaan yang dilanggar dari belakang agar tidak berhenti, sebaliknya terus ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan sekali gus mengelakkan kejadian samun seperti ini berlaku.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131018/je_01/Geng-samun-kenderaan-tumpas#ixzz2i3PwKNuh
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Jumlah korban gempa meningkat


Loon (Bohol): Jumlah kematian akibat gempa bumi di Filipina semalam meningkat kepada 107 ketika petugas penyelamat menggali sisa runtuhan gereja dan hospital untuk mencari lebih ramai mangsa.

Sekurang-kurangnya 23 orang hilang, sesetengahnya tertimbus di bawah runtuhan bangunan hospital awam, gereja dan kediaman di pekan Loon, Pulau Bohol, kira-kira 630 kilometer di selatan Manila.
Hampir tiga juta orang terjejas akibat gempa yang turut menyebabkan tanah runtuh dan kerosakan teruk infrastruktur di destinasi pelancongan popular, Bohol dan Cebu. Bilangan mereka yang cedera melonjak kepada 280.

Agensi Bencana Kebangsaan berkata, sekurang-kurangnya 97 mangsa mati di Bohol dalam gempa 7.2 magnitud kelmarin. Pihak berkuasa bimbang jumlah kematian kian meningkat berikutan komunikasi dengan perkampungan yang terjejas masih dipulihkan.

Foto
SEORANG penduduk semalam menyelamatkan barangan dari kediaman keluarganya yang runtuh ke dalam sungai selepas gempa kelmarin.
Foto
SAUDARA-MARA memindahkan mayat ahli keluarga mereka yang terkorban akibat gempa di Pulau Bohol.

“Saya rasa jumlahnya akan bertambah. Sebahagian hubungan komunikasi terputus kelmarin,” kata Datuk Bandar Loon, Lloyd Lopez kepada Radio Filipina.


Sekurang-kurangnya sepertiga daripada kematian di Bohol berlaku di Loon, pekan yang dihuni 43,000 orang. Antara mereka ialah seorang pelajar sekolah yang mayatnya ditemui di bawah bangunan sekolah menengah yang runtuh di pekan bersebelahan Maribojoc.

“Kami belum lagi sampai ke semua perkampungan kerana kebanyakan terputus hubungan apabila jalan raya dihalang oleh bongkah batu,” katanya.

Sembilan lagi mangsa maut di Cebu dan seorang di Pulau Siquijor, kata agensi bencana.

Jutaan penduduk yang terjejas akibat gempa terpaksa menghabiskan malam di luar, termasuk pesakit di beberapa hospital di Cebu kerana gempa susulan yang berlaku. - Reuters

Tiga pemisah terbunuh


Bangkok: Tiga anggota pemisah terbunuh dalam pertempuran dengan polis dan tentera di Thung Yang Daeng, Pattani lewat malam kelmarin.

Menurut pihak berkuasa, kira-kira jam 4 petang pasukan keselamatan menyerbu ladang getah di Ban Buerangae selepas menerima maklumat yang lima lelaki bersenjata bersembunyi di situ.

Menyedari kehadiran polis dan tentera, kumpulan lelaki bersenjata itu mula melepaskan tembakan.

Tembak-menembak kemudian berlaku selama 10 minit sebelum berakhir apabila kumpulan lelaki itu melarikan diri.


Seorang daripada mereka terbunuh dan pasukan keselamatan masih memburu mereka yang melarikan diri itu.


- Agensi

Lapangan terbang tutup angkara kanggaru


Melbourne: Polis Australia terpaksa menutup sebahagian Lapangan Terbang Melbourne semalam selepas seekor kanggaru menceroboh masuk terminal dan mengejutkan penumpang.

Sukarelawan Penyelamat Hidupan Liar dipanggil untuk menembak haiwan itu dengan pelali sebelum menangkapnya.

Kanggaru terbabit cedera selepas dilanggar kereta ketika masuk ke terminal.

“Cyrus, nama yang dipanggil oleh penyelamat akan dirawat,” kata seorang jurucakap Haiwan Liar Victoria.

Pelakon komedi Australia Julia Morris memberitahu kejadian itu menerusi Twitter dengan gambar yang dimuatnaik jurugambar di terminal berkenaan.

“Saya di lapangan terbang Melbourne dan seekor kanggaru baru saja melompat masuk dalam kedai farmasi,” katanya.

Lelaki tersula diri sendiri

Henan: Dalam satu kejadian yang tidak mungkin ingin kita saksikan berlaku walaupun pada musuh kita, seorang lelaki di wilayah Henan tersula diri sendiri selepas batang pencakar tertusuk pada duburnya ketika dia melompat pagar itu.
Lelaki berusia 37 tahun itu, Peng, pergi ke rumah rakannya untuk minum arak.
Apabila menyedari dia tertinggal kunci, Peng bertindak melintasi rumah jirannya dan melompat pagar untuk memasuki rumahnya.

Bagaimanapun dia tidak menyedari pagar itu mempunyai pencakar yang tegak di sebelah dan terus terjun. 
Foto
PASUKAN paramedik dan keselamatan cuba mengeluarkan batang besi yang menusuk Peng.
Selepas empat jam menjalani pembedahan di sebuah hospital, pemegang pencakar itu dapat dicabut dengan bantuan gergaji rantai. - AFP

Dua kambing pemain kriket dicuri


Lahore: Dua kambing untuk ibadah korban dicuri daripada kediaman pemain kriket Pakistan, Imran Farhat di Lahore, semalam.

Menurut laporan polis, Imran yang tinggal di bandar Valencia, Lahore membeli dua kambing berharga RS100,000 (RM2,972) untuk ibadah korban hari raya Aidiladha yang jatuh hari ini (16 Oktober) di negara berkenaan.
Bagaimanapun, pencuri berkenaan menceroboh masuk ke kawasan kediaman Imran dan membawa lari dua kambing malam, semalam.

Keluarga Imran yang terkejut apabila mendapati haiwan itu sudah hilang pagi semalam segera membuat laporan polis.


Sementara itu, Imran tidak disenaraikan dalam pasukan kriket Pakistan yang bermain menentang Afrika Selatan di Emiriah Arab Bersatu ketika ini. Perlawanan pertama bermula di Abu Dhabi kelmarin. - Agensi

Taufan Wipha ragut 17 nyawa


Tokyo: Sekurang-kurangnya 17 orang mati apabila taufan melanda pantai pasifik Jepun semalam.

Menurut laporan media, jumlah kematian dijangka meningkat.
Taufan Wipha, yang dianggap paling kuat membadai negara itu tahun ini mengakibatkan beberapa rumah tertimbus ditimpa tanah runtuh.

Stesen penyiar NHK dan akhbar Jiji melaporkan sekurang-kurangnya 16 orang maut dan 51 hilang di Oshima, selepas rumah runtuh atau dibawa arus deras dalam beberapa kejadian tanah runtuh di pulau kira-kira 120 kilometer ke selatan ibu negara Jepun.


“Kami mengesahkan 16 orang mati dan bilangan itu dijangka meningkat,” kata jurucakap polis di Oshima.


Seorang wanita disahkan mati di selatan Tokyo selepas mayatnya ditemui di sungai.

Kebanyakan mayat di Oshima ditemui dalam rumah yang dihempap dengan bongkah batu yang jatuh akibat tanah runtuh dan angin kencang.

Rakaman filem menunjukkan rumah papan setengah tertimbus dalam lumpur.

Taufan Wipha juga menyebabkan air naik melebihi 12 sentimeter di Oshima dalam tempoh sejam, menurut agensi meteorologi.

Penduduk tempatan yang dipindahkan ke pusat pemindahan berkata, rumah mereka dimasuki air kotor.

Dalam pada itu, pekerja kecemasan menyelamatkan dua orang yang terperangkap dalam sebuah rumah yang musnah pada jam 8 pagi (waktu tempatan), kata NHK.

Stesen penyiar itu juga berkata polis dan anggota bomba menghadapi kesukaran sampai ke kawasan dilanda taufan.

Mayat dua yang mati ditemui dalam sungai, seorang lagi ditarik keluar dari runtuhan rumah.

“Anggota bomba bertungkus-lumus menyelamatkan mangsa di kawasan mudah dimasuki,” kata seorang pegawai.

Pihak berkuasa tempatan tidak dapat mengesahkan lokasi 51 orang dikatakan hilang di pulau yang mempunyai 8,300 penduduk, lapor Jiji. - AFP

265 warga Indonesia hadapi hukuman mati di luar negara


Jakarta: Kes seorang wanita berasal dari Belu, Nusa Tenggara Timur, Indonesia, Wilfrida Soik, 22, yang bekerja di Malaysia dan berdepan hukuman mati diibaratkan seperti garam dalam lautan.

Menurut sumber, selain Wilfrida, terdapat 264 lagi rakyat Indonesia yang bekerja di luar negara menghadapi hukuman berkenaan.

Data Migrant Care menunjukkan seramai 213 rakyat negara itu berdepan dengan hukuman mati antaranya di Malaysia, Arab Saudi (33), China (18) dan seorang di Iran ekoran kesalahan membunuh, mengedar dadah dan jenayah lain termasuk tuduhan menyihir.

Polis dituduh merogol


Jakarta: Seorang anggota Dewan Perwakilan menggesa polis menyiasat kes rogol berkumpulan yang dilakukan terhadap seorang pelajar sekolah menengah oleh beberapa anggota polis di Gorontalo, Sulawesi.

Eva Kusuma Sundari yang juga anggota Dewan Perlembagaan III yang bertanggungjawb menangani hal ehwal luar perundangan negara berkata, hukuman mati patut dikenakan ke atas mereka yang didapati bersalah sambil menambah hukuman itu turut dikenakan di India dalam kes sama. “Ia adalah perbuatan kejam, seperti haiwan dan tidak dapat diterima. Pesalah patut dipecat dan dikenakan hukuman berat,” katanya, yang juga ahli politik dari Parti Demokratik Indonesia Perjuangan (PDIP). Dalam kes itu, pelajar berusia 16 tahun terbabit mendakwa dirogol di balai polis Julai lalu dan sekali lagi pada awal bulan ini oleh sekumpulan anggota polis. - Agensi

Bayi 9 bulan disyaki maut akibat serangan seksual


Jakarta: Polis masih melakukan siasatan terhadap kematian seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan di hospital yang menunjukkan tanda-tanda dia didera secara seksual.

Satu sumber berkata, bayi itu dimasukkan ke hospital di Duren Sawit, Jakarta Timur Rabu lalu kerana demam dan mengalami kekejangan.

Doktor yang merawatnya bagaimanapun, mendapati terdapat kesan penderaan pada tubuh mangsa sebelum dia mati ketika dalam rawatan.

“Pihak polis belum dapat membuat kesimpulan kerana keputusan bedah siasat belum lagi dikeluarkan,” kata Ketua Unit Siasatan Polis Jakarta, Komisoner Kanan M Soleh kepada media.

Polis sudah menyoal siasat enam saksi berhubung kes berkenaan.

Mereka ialah ahli keluarga bayi malang terbabit.

Polis Jakarta Timur mengetepikan dakwaan bahawa bayi berkenaan meninggal secara semula jadi.


Bapa mangsa ialah pemandu trak di Jakarta Timur, manakala ibunya pula mengambil upah mencuci pakaian.

Bayi berkenaan biasanya dijaga ibu saudaranya ketika ibu bapanya bekerja, tetapi dua minggu sebelum kematiannya, dia dijaga oleh datuknya.


- Agensi