Search This Blog

Wednesday, October 16, 2013

Anggota polis antara 7 direman bantu kes tembak


POLIS mengiringi sebahagian daripada tujuh suspek untuk mendapat perintah tahanan reman bersangkutan kes tembak menyebabkan kematian dalam sebuah pusat hiburan di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang, semalam. - UTUSAN/Sazali Che Din
BUKIT MERTAJAM 15 Okt. - Mahkamah Majistret di sini membenarkan permohonan reman selama lima hari bermula hari ini terhadap tujuh orang termasuk dua anggota polis dan seorang wanita bagi membantu siasatan seorang pemungut hutang mati ditembak ketika berhibur di sebuah pusat hiburan di Juru, semalam.
Pendaftar Kanan Mahkamah, Ahmad Faiz Md Zin mengeluarkan perintah itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi membolehkan polis melakukan siasatan ke atas semua suspek termasuk dua anggota polis yang masing-masing berpangkat sarjan dan lans koperal.
Sementara itu, peguam yang mewakili kesemua suspek berkenaan, Lim Boon Beng berkata, perintah reman dibuat kerana polis mahu menyiasat lebih terperinci terhadap penglibatan semua anak guamnya yang berusia antara 30 hingga 55 tahun.
Sementara itu, Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi mengesahkan permohonan reman oleh polis dan menjelaskan suspek utama kes berkenaan merupakan seorang anggota pasukan pencegah jenayah yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi semalam, mangsa, Kang Seak Siong, 38, mati setelah ditembak pada bahagian perut kiri dan Abdul Rahim berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca akibat perselisihan faham.
Abdul Rahim berkata, mengikut prosedur, suspek dibenarkan membawa senjata api tidak kira ketika bertugas atau tidak, namun polis akan menyiasat daripada sudut penyalahgunaan kuasa yang mungkin wujud sehingga menyebabkan kematian.
" Buat masa sekarang, senjata api suspek yang juga milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah dirampas," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20131016/ma_01/Anggota-polis-antara-7-direman-bantu-kes-tembak#ixzz2i3Qtn4cv
© Utusan Melayu (M) Bhd