Search This Blog

Monday, October 14, 2013

Wanita ditemui mati tertiarap di bilik air


TELOK KEMANG 14 Okt. - Seorang wanita ditemui mati tertiarap dalam bilik air di rumah peninggalan keluarganya di Batu 9, Jalan Pantai, Port Dickson, dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supritendan Abd. Wahab Harun berkata, kejadian itu disedari oleh abang mangsa yang datang menziarahi adik bongsunya yang berusia 33 tahun itu.
"Ketika tiba di rumah berkenaan pada pukul 3.30 petang, abang mangsa terhidu bau busuk dari dalam rumah dan mengesyaki sesuatu.
"Selepas memanggil mangsa beberapa kali dan tidak berbalas, abangnya telah membuka pintu belakang rumah banglo berkenaan dengan menggunakan kunci pendua,'' katanya di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131014/je_07/Wanita-ditemui-mati-tertiarap-di-bilik-air#ixzz2hhdwcbjh
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Suami isteri imej alim ditahan, ganja mampat 10kg dirampas


KANGAR 14 Okt. - Sepasang suami isteri berimej alim ditahan di Arau dekat sini, Sabtu lepas dan polis menemui 10 kilogram ketulan mampat disyaki ganja dalam sebuah kereta.
Pasangan berusia 36 dan 32 tahun itu ditahan dalam pemeriksaan polis di perkarangan Kompleks Tok Arau pada 8.30 malam hasil maklumat orang ramai dan risikan polis.
Ketua Polis Perlis, Datul Zull Aznam Haron berkata, ketika ditahan pasangan itu membawa bersama empat anak mereka berusia satu hingga lapan tahun dan kesemua anak pasangan itu telah diserah kepada waris terdekat.
"Hasil pemeriksaan terhadap sebuah kereta Proton Saga berhampiran sebuah restoran, polis menemui satu plastik hitam berisi 10 ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat 10 kiloram bernilai kira-kira RM15,500," katanya.
"Lelaki yang ditahan itu berkopiah dan berjanggut manakala isterinya bertudung dan anak-anak mereka juga berkopiah," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya, di sini hari ini.
Beliau berkata, pasangan itu tidak mempunyai rekod jenayah dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati mandatori. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131014/je_10/Suami-isteri-imej-alim-ditahan-ganja-mampat-10kg--dirampas#ixzz2hhdkdV2P
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kastam Pahang rampas dadah bernilai RM950,000


KUANTAN 14 Okt. - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang menahan seorang wanita warga India dipercayai mangsa keldai dadah yang cuba menyeludup lima kilogram dadah jenis syabu bernilai kira-kira RM950,000 di Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah (LTSAS) di sini kelmarin.
Pengarah Kastam Pahang, Datuk Sarip Ismail berkata, wanita berusia 58 tahun itu ditahan oleh anggota JKDM kira-kira pukul 11 pagi selepas melihat keadaannya yang mencurigakan ketika memasuki balai ketibaan lapangan terbang tersebut.
Menurutnya, sewaktu pemeriksaan, suspek cuba berdolak dalik selain mengaku mahu melancong ke negeri ini.
"Sewaktu melakukan pemeriksaan terhadap suspek, kita menemui ketulan kristal dipercayai syabu seberat lima kilogram yang disembunyikan diruang khas beg itu yang telah diubah suai.
"Berdasarkan maklumat diterima, suspek berlepas dari Chennai, India sebelum transit di Kuala Lumpur dan kemudian tiba di LTSAS Kuantan Sabtu lalu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131014/je_09/Kastam-Pahang-rampas-dadah-bernilai--RM950000#ixzz2hhdVRYVF
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kakak terkejut adik ditembak

BUKIT MERTAJAM 14 Okt. - Kakak kepada Kang Seok Xiong, 39, peniaga perabot yang maut ditembak ketika sedang minum di sebuah kelab malan do Auto City, Juru di sini awal pagi ini, menafikan adik lelakinya itu mempunyai musuh.
Menurut Kang Seok Lin, 42, adik bongsunya itu tidak mempunyai musuh atau terlibat dalam kegiatan tidak sihat kerana sebagai seorang pemilik tiga premis menjual perabot masanya banyak dihabiskan dalam mengurus perniagaan.
Katanya, Seok Xiong juga sering memaklumkan kehidupannya amat bahagia selama ini kerana tidak mempunyai masalah kewangan dalam mengurus perniagaan.
"Kami sekeluarga terkejut dan hairan kenapa dia ditembak sedangkan dia tidak mempunyai sebarang masalah sama ada dengan rakan perniagaan atau pelanggannya.
"Sebelum ini, dia bersama keluarganya cukup disukai dan dikenali sebagai seorang peniaga yang berhemah dan tidak pernah bermusuh dengan sesiapa," katanya kepada pemberita ketika ditemui di bilik mayat, Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131014/je_11/Kakak-terkejut-adik-ditembak#ixzz2hhdDuCNf
© Utusan Melayu (M) Bhd 

6 pengawal keselamatan ditahan curi cip mikro


PULAU PINANG 14 Okt. - 'Harapkan pegar, pegar makan padi'. Perumpamaan itu sesuai menggambarkan sikap enam pengawal keselamatan di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Bayan Lepas di sini, apabila menyalahgunakan tugas mereka bagi mencuri cip mikro untuk dijual di pasaran gelap dan diseludup ke Hong Kong.
Kesemua suspek berusia 22 hingga 32 tahun dipercayai melakukan kegiatan jenayah itu sejak pertengahan tahun lalu.
Mereka mencuri cip mikro berharga RM254 seunit sebelum dijual kepada pembeli di pasaran gelap dengan harga RM65 seunit.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, kesemua mereka berjaya ditahan selepas polis menyoal siasat seorang lelaki berusia 22 tahun yang ditangkap di Alor Setar, Kedah pada pukul 3.30 pagi, 10 Oktober lalu.
Menurutnya, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya menahan lelaki itu yang merupakan individu bertanggungjawab membawa keluar 315 unit cip mikro bernilai RM80,640 dari kilang berkenaan.
"Hasil pemeriksaan terhadap lelaki itu, polis menemui 84 unit cip mikro yang belum dijual dan wang tunai RM5,320 yang dipercayai hasil jualan cip mikro.
"Susulan tangkapan itu, polis kemudian menahan enam lelaki berketurunan Melayu yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di kilang tersebut
dan seorang lelaki Cina bertindak sebagai pembeli yang akan menjual semula cip mikro curi ke Hong Kong," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131014/je_12/6-pengawal-keselamatan-ditahan-curi-cip-mikro#ixzz2hhcuLsoB
© Utusan Melayu (M) Bhd 

14 maut Phailin landa India


Pemandu, Jairam Yadav berbual menerusi telefon bimbit selepas treler panjang membawa muatan kereta Toyota dipandunya, terbalik akibat angin kuat dibawa Taufan Phailin di sebatang lebuh raya menghubungkan Andhra Pradesh dan Odisha di Gopalpur, India, semalam. - AFP
BHUBANESWAR 13 Okt. - Taufan Phailin yang melanda pantai timur India semalam menyebabkan sekurang-kurangnya 14 orang maut serta mengakibatkan kemusnahan besar hari ini.
Namun, arahan pemindahan terbesar dalam sejarah negara ini yang melibatkan hampir sejuta orang sebelum Phailin membadai semalam, berjaya mengurangkan mangsa korban.
Pasukan kecemasan kini mula menilai jumlah kerosakan dan usaha bantuan besar-besaran tertumpu kepada pengagihan makanan untuk kira-kira sejuta orang yang dipindahkan, pembersihan jalan raya dan membantu mangsa yang cedera.
Kebanyakan penduduk terpaksa bermalam di pusat perlindungan dan bangunan awam semalam, ketika taufan terbesar dalam tempoh 14 tahun itu menyebabkan kediaman mereka musnah, pokok-pokok tumbang dan cermin serta kayu berterbangan di udara.
Kawasan yang paling terjejas teruk ialah Gopalpur dan sehingga kini bandar itu masih terputus hubungan dengan pihak luar.
Seorang wartawan AFP di zon bencana berkata, bekalan elektrik terputus di sebahagian besar Orissa, manakala penduduk di Andhra Pradesh beratur panjang di stesen minyak.
Pegawai kanan pasukan penyelamat Orissa berkata, seramai 860,000 orang telah dipindahkan sebelum Phailin melanda pantai timur India semalam dan 100,000 orang lagi turut dipindahkan di Andhra Pradesh, sekali gus mengurangkan angka korban.
Naib Pengerusi Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMA), Marri Shashidhar Reddy berkata, taufan itu turut menjadi lemah sejurus sampai di darat, tetapi masih membawa angin selaju 120 kilometer sejam. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131014/lu_05/14-maut-Phailin-landa-India#ixzz2hhZvRQUb
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pesawat pejuang Mesir terhempas, seorang penduduk maut


KAHERAH 14 Okt. - Sebuah pesawat pejuang Mesir terhempas di sebuah kampung dekat bandar Luxor, selatan negara ini semalam, menyebabkan seorang penduduk terbunuh dan tiga lagi cedera.
Menurut laporan siasatan, pesawat MiG-29 buatan Rusia itu menjalani latihan rutin sebelum mengalami kebakaran sebaik sahaja berlepas dari sebuah pangkalan tentera udara di Luxor.
Kedua-dua juruterbang sempat melenting keluar dari pesawat terbabit yang kemudiannya terhempas di sebuah perkampungan kecil di kawasan Al-Madamod, menyebabkan seorang penduduk kampung terbunuh dan tiga lagi cedera.
Punca kejadian masih lagi disiasat. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131014/lu_01/Pesawat-pejuang-Mesir-terhempas-seorang-penduduk-maut#ixzz2hhZHGaYI
© Utusan Melayu (M) Bhd 

2 beradik, sepupu bebas tuduhan membunuh


SHAH ALAM 17 Okt. - Dua beradik dan sepupu mereka dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang lelaki, lima tahun lalu.
Hakim Datuk Sofian Abdul Razak melepas dan membebaskan S. Manigumar, S. Gopi Kumar dan S. Manimaran yang berusia antara 30 dan 40-an. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20131017/ma_07/2-beradik-sepupu-bebas-tuduhan-membunuh#ixzz2hyu0Osib
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Bas mini bertembung lori, 13 maut

MOSCOW 14 Okt. - Satu kemalangan membabitkan sebuah bas mini dan lori di wilayah Samara, selatan Rusia semalam, mengakibatkan 13 pekerja terbunuh dan tiga lagi cedera parah.
Agensi berita tempatan, Itar-Tass yang memetik kenyataan Kementerian Kecemasan melaporkan, 13 mangsa yang terbunuh dalam insiden berkenaan merupakan pekerja berasal dari Asia Tengah.
Laporan itu berkata, kedua-dua kenderaan terbabit bertembung dari arah bertentangan dan menyebabkan bas mini itu terbakar.
“Siasatan awal mendapati pemandu bas tersebut tertidur sebelum terbabas melanggar lori berkenaan.
“Pemandu bas yang berusia 36 tahun itu bagaimanapun terselamat dan kini ditahan untuk siasatan lanjut," jelas laporan terbabit. - DPA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131014/lu_03/Bas-mini-bertembung-lori-13-maut#ixzz2hhYHqzWH
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tragedi ketika pulang beraya

Tragedi ketika pulang berayaKeadaan kereta mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Londah-Pasir Besar, Gemas, semalam. Gambar kecil: SOFIAN
GEMAS – Perjalanan pulang dua sahabat ke kampung halaman menyambut Hari Raya Aidiladha Selasa ini, berakhir tragedi apabila kereta dinaiki terjunam ke dalam gaung sedalam 30 meter sebelum merempuh sebatang pokok getah di Jalan Londah-Pasir Besar, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 12.50 tengah hari itu, Sofian Mohd Yunus, 37, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala. Manakala rakannya, Mohd Russlee Hamid, 30, dikejarkan ke Hospital Segamat dan kini berada di unit rawatan rapi (ICU).

Menurut sepupu Sofian, Wan Norasiah Wan Jaafar, 47, ketika kejadian dia, suami dan anaknya dalam perjalanan pulang dari Pasir Besar, Gemas ke Kuala Krai, Kelantan bagi menyambut hari raya di kampung halaman.

“Bagaimanapun, semasa tiba di Jerantut, Pahang, kami menerima panggilan dari adik Sofian menyatakan abang mereka terbabit dalam kemalangan. Kami ingat kemalangan kecil memandangkan dia cermat memandu kereta.

“Kami menerima panggilan kedua dan berpatah balik ke lokasi kemalangan. Saya terkejut melihat kenderaan arwah berada di dalam gaung,” katanya ketika ditemui di perkarangan Bilik Mayat Hospital Tampin, dekat sini, semalam.

Norasiah berkata, Allahyarham Sofian sudah tujuh tahun bekerja sebagai pemandu syarikat swasta di Johor Baharu dan biasa berhadapan dengan situasi pulang ke kampung semasa musim perayaan.

“Arwah tolak pelawaan rakannya untuk pulang bersama Jumaat lalu kerana mahu menunggu keretanya siap dibaiki,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintenden Wooi Kooi Cheang berkata,  berdasarkan siasatan awal, sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa yang dalam perjalanan dari Gemas dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu terbabas ke kiri jalan.

“Kereta jenis Honda Accord dipandu mangsa terjunam ke dalam gaung sedalam 30 meter sebelum merempuh sebatang pokok getah.  Mangsa maut di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Tampin bagi proses bedah siasat.

“Manakala, seorang lagi mangsa dikejarkan ke Hospital Segamat bagi rawatan lanjut selepas dikeluarkan dari kenderaan yang remuk," katanya.

Lelaki mengaku tidak bersalah rogol anak sulung

Lelaki mengaku tidak bersalah rogol anak sulungBapa kepada lima anak ini mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan di Mahkamah Sesyen semalam, atas dua pertuduhan merogol anak sulungnya.

KUALA TERENGGANU - Seorang bapa kepada lima anak dihadapkan di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, atas dua tuduhan merogol anak sulungnya yang baru berusia 16 tahun.

Bagaimanapun, dia yang berusia 38 tahun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan kerana melakukan sumbang mahram terhadap mangsa.

Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan sumbang mahram terhadap mangsa di sebuah bangsal kebun simpang Santong Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), Dungun, kira-kira jam 3.30 pagi, 16 Ogos lalu.

Dia yang mempunyai dua isteri itu turut didakwa mengulangi perbuatan sama terhadap mangsa di alamat sama, kira-kira jam 9.30 malam, pada 12 September lalu.

Bagi setiap pertuduhan itu, lelaki terbabit berdepan hukuman penjara tidak kurang enam tahun dan tidak lebih 20 tahun dan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud di hadapan Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris.

Wan Fadhilah Nor menetapkan 19 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Mahkamah turut membenarkan dia diikat jamin sebanyak RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan syarat dia tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi-saksi bagi kes berkenaan.

Sinar Harian keluaran 1 Oktober lalu melaporkan mengenai seorang penjaga dusun yang tergamak menjadikan anak sulungnya sebagai pemuas nafsu sejak mangsa berusia 10 tahun dan perbuatan itu berlarutan sehingga mangsa kini berusia 16 tahun.

Perbuatan jijik si bapa terhadap mangsa terbongkar selepas dipaksa ibunya menceritakan kejadian sebenar apabila dimaklumkan perubahan sikap mangsa yang cuba melarikan diri, serta terlalu takut setiap kali berhadapan suspek.

Ajal ditikam suami kekasih

Mangsa yang parah dikejarkan ke hospital berdekatan.Mangsa yang parah dikejarkan ke hospital berdekatan.

BERA - Seorang lelaki warganegara China berusia 30-an dibunuh sementara seorang wanita tempatan cedera parah di sebuah rumah di Taman Mawar Indah, Triang, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 4.00 pagi itu, lelaki tersebut dipercayai bermalam di rumah teman wanitanya sebelum diserang dengan senjata tajam oleh suami wanita itu.

Dipercayai wujud pertelingkahan dan pergaduhan menyebabkan suami wanita itu bertindak luar kawalan sehingga menyebabkan kematian.

Jiran mangsa yang mahu dikenali sebagai Husin berkata, sekitar 3 hingga 4 pagi, dia terdengar bunyi bising di rumah mangsa namun tidak mengendahkan perkara itu kerana pasangan suami isteri itu kerap bergaduh.

“Saya tidak sangka kejadian ini berlaku. Sebelum ini, mereka pernah bergaduh hingga di luar kawasan rumah.

“Jadi bila dengar bunyi bising, saya buat tak tahu sebab tidak mahu masuk campur urusan peribadi orang lain,” katanya kepada Sinar Harian,semalam.

Sementara itu, seorang lagi jiran mangsa, Rosman berkata, dia sempat membantu menyelamatkan wanita itu sebelum dihantar ke hospital.

Katanya, wanita itu masih bernyawa tetapi keadaannya terlalu parah akibat tetakan di bahagian leher dan pinggang kiri mangsa.

“Pada ketika itu, saya terdengar anak mangsa menangis di tingkat atas. Nasib baik mereka selamat dan tidak dicederakan,” katanya.

Difahamkan, dua anak mangsa yang berusia enam dan tiga tahun trauma selepas melihat bapa mereka menendang dan menikam ibu mereka dan kanak-kanak itu kini dijaga makcik mereka.

Seorang anggota Rakan Cop memberitahu, mangsa menghubungi salah seorang saudara terdekat pada jam 7.20 untuk meminta bantuan.

Dia mendakwa mangsa terpaksa berpura-pura mati dan menahan kesakitan untuk mengelak suaminya bertindak lebih ganas.

“Selepas dia (mangsa) fikir suaminya sudah tiada, barulah dia menelefon saudaranya.

“Saya percaya dia terpaksa berbuat begitu untuk menyelamatkan diri dan nyawa dua anaknya itu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Siasatan Jenayah Pahang, Supterintendan Rosli Hassan mengesahkan kes itu tetapi polis masih menyiasat punca kejadian.

Menurutnya, pihak polis menerima panggilan kira-kira jam 7.30 pagi dan apabila tiba di tempat kejadian polis mendapati seorang lelaki warganegara China mati di dalam rumah dengan kesan luka parah.

“Mangsa sudah meninggal dunia dan siasatan awal mendapati suspek terbabit mempunyai masalah rumahtangga dengan isterinya,” katanya.

Beliau berkata, polis percaya suspek masih berada dalam negara.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Bas mini bertembung lori, 13 maut


MOSCOW 14 Okt. - Satu kemalangan membabitkan sebuah bas mini dan lori di wilayah Samara, selatan Rusia semalam, mengakibatkan 13 pekerja terbunuh dan tiga lagi cedera parah.
Agensi berita tempatan, Itar-Tass yang memetik kenyataan Kementerian Kecemasan melaporkan, 13 mangsa yang terbunuh dalam insiden berkenaan merupakan pekerja berasal dari Asia Tengah.
Laporan itu berkata, kedua-dua kenderaan terbabit bertembung dari arah bertentangan dan menyebabkan bas mini itu terbakar.
“Siasatan awal mendapati pemandu bas tersebut tertidur sebelum terbabas melanggar lori berkenaan.
“Pemandu bas yang berusia 36 tahun itu bagaimanapun terselamat dan kini ditahan untuk siasatan lanjut," jelas laporan terbabit. - DPA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131014/lu_03/Bas-mini-bertembung-lori-13-maut#ixzz2hmXKYVKY
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Buruh maut rempuh kereta

Buruh maut rempuh kereta
Ahmad Adzilzan

DUNGUN – Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam kemalangan, dekat sini, kira-kira jam 1 tengah hari, kelmarin.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa, Ahmad Adzilzan Mohamad, 24, gagal mengelak sebuah kereta yang masuk simpang.

Mangsa, seorang buruh di syarikat petrokimia di Kerteh meninggal dunia kira-kira jam 10.30 malam ketika menerima rawatan di Hospital Dungun.

Ketua Polis Daerah, Pemangku Superintendan Ahmad Zailani Yaacob mengesahkan kejadian.

Pelajar Nigeria diculik, dikelar

Pelajar Nigeria diculik, dikelar
Mohd Shukri 
PUCHONG – Seorang pelajar kolej swasta warga Nigeria nyaris maut selepas diculik dan diseksa  oleh sekumpulan penjenayah yang menculiknya di Puchong, Khamis lalu.

Mangsa yang berusia 20-an bagaimanapun berjaya diselamatkan pihak polis selepas tiga hari dikurung dan mengharungi detik mencemaskan itu di sebuah rumah teres di Taman Perindustrian Hijau, Rawang.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, isteri mangsa menerima panggilan kira-kira jam 10 malam daripada seorang lelaki mengatakan suaminya diculik di sebuah pusat beli-belah di sini.

“Suspek meminta wang tebusan sebanyak RM50,000 sekiranya mahu mangsa dilepaskan. Namun, disebabkan takut suaminya dicederakan, isteri mangsa membuat laporan kepada polis,” katanya.

Mohd Shukri  menambah, isteri mangsa turut membuat ‘perbincangan’ dalam telefon dan suspek bersetuju mengurangkan tebusan kepada RM20,000. Deposit sebanyak RM2,000 kemudian dimasukkan ke dalam akaun suspek.

Hasil maklumat awal, polis memberkas seorang lelaki warga Pakistan berumur 34 tahun di Pusat Bandar Melewati jam 10 malam Jumaat lalu dan lelaki terbabit dipercayai individu terakhir yang bertemu mangsa kononnya untuk urusan perniagaan.

Hasil siasatan, anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang kemudian memberkas tujuh lagi individu masing-masing empat lelaki dan tiga perempuan berusia antara 15 dan 44 tahun di sebuah rumah teres di Rawang sehari selepas itu.

Tambah Mohd Shukri, mangsa ditemui dalam bilik tidur utama rumah berkenaan dalam keadaan terikat dengan menggunakan dawai berduri dan cedera akibat dikelar di bahagian tangan.

“Suspek yang mempunyai ikatan persaudaraan dan saling mengenali turut berjaya diberkas. Seorang daripadanya mempuyai rekod jenayah lampau bersabit kes pemerasan dan  samun manakala seorang lagi pernah terbabit dengan kes bunuh,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Culik 1961 dan suspek direman selama tujuh hari bermula semalam.

Sistem penggera takutkan pencuri

Sistem penggera takutkan pencuriKeadaan pintu hadapan stesen minyak yang dirempuh dengan lori di Sungai Permai, Sungai Buloh, semalam. Sungai Buloh: Bunyi sistem penggera di stesen minyak menggagalkan cubaan sekumpulan penjenayah mengangkut sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM), yang mengandungi puluhan ribu ringgit di Subang Permai, di sini, semalam.

Dalam kejadian pada jam 4.30 pagi itu, empat penjenayah terbabit nekad merempuh pintu stesen minyak itu menggunakan lori sebelum mengikat salah seorang pekerja di bahagian kaunter.
Pecahkan mesin ATM


Suspek kemudian memecah mesin ATM dan ketika dalam proses mengangkut mesin terbabit, secara tiba-tiba sistem penggera di premis itu berbunyi menyebabkan mereka terkejut lalu melarikan diri tanpa sempat membawa mesin ATM.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Shukri Dahlan, berkata empat suspek bertopeng muka ski, bersarung tangan dan memakai jaket lengan panjang warna hitam serta bersenjatakan parang melarikan diri selepas sistem penggera berbunyi.

Katanya, ketika kejadian dua pekerja berada dalam premis yang beroperasi 24 jam itu, masing-masing di kaunter dan stor, namun hanya seorang daripada mereka diikat oleh suspek.

“Pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati, suspek bertindak begitu berani dengan merempuh pintu premis terbabit menggunakan lori, namun gagal melarikan mesin ATM gara-gara terkejut mendengar bunyi sistem penggera.
“Bagaimanapun, suspek sempat melarikan wang tunai RM800 dan sebuah telefon bimbit milik pekerja terbabit. Kita percaya kejadian itu didalangi empat lelaki,” katanya pada sidang media di IPD Serdang, di sini, semalam.

Rakam percakapan pekerja

Mohd Shukri berkata, pihaknya akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis terbabit dan sudah merakam keterangan kedua-dua pekerja bagi membantu siasatan.

Sehubungan itu, Mohd Shukri memuji tindakan pihak majikan terbabit, yang memasang sistem penggera sebagai langkah keselamatan sehingga berjaya menyelamatkan wang tunai puluhan ribu ringgit.

“Saya minta majikan di stesen minyak yang lain turut menyediakan peralatan keselamatan dan mengupah pengawal keselamatan kerana premis seperti itu sering menjadi sasaran penjenayah,” katanya.

Buru ahli geng bebas


2013/10/14
 
Serdang: Kumpulan penyamun warga Indonesia, yang mana tiga ahlinya ditembak mati polis di Plaza Tol Sentul Pasar, Lebuhraya Duta-Hulu Klang (DUKE), Rabu lalu, dipercayai masih bergerak bebas.

Siasatan polis mendapati kumpulan terbabit bergerak dalam beberapa kumpulan kecil yang masing-masing mempunyai empat orang.
Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Shukri Dahlan, ketika mengesahkan perkara itu berkata, polis sedang memburu saki baki anggota kumpulan perompak dari Indonesia itu.

“Sebilangan anggota kumpulan terbabit kita sudah kenal pasti dan bantuan orang ramai diperlukan dalam usaha mengesan kedudukan suspek.

“Modus operandi yang digunakan kumpulan suspek terbabit adalah memantau orang ramai yang keluar dari bank sebelum merompak mangsa,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 3 petang Rabu lalu, tiga lelaki anggota geng samun dipercayai baru empat jam merompak seorang wanita di Bayu Perdana, Klang Selatan, ditembak mati dalam kejadian berbalas tembak dengan polis.

“Saya juga ingin mengingatkan orang ramai terutama majikan yang mengeluarkan wang yang banyak untuk membayar gaji pekerja supaya menggunakan khidmat pengawal keselamatan bagi mengelak menjadi mangsa samun.
“Malah, pihak majikan juga digalakkan supaya tidak membuat pembayaran gaji secara tunai kerana risiko untuk menjadi mangsa rompak adalah tinggi,” katanya.

Sementara itu, mengulas seorang peniaga yang mati ditembak di Kajang oleh dua lelaki bermotosikal Selasa lalu, Mohd Shukri berkata siasatan pihaknya mendapati kes terbabit bermotifkan kegiatan kongsi gelap.

Wanita warga India ditahan seludup syabu


2013/10/14
 
Kuantan: Seorang wanita warga India yang dipercayai ‘keldai dadah’ ditahan selepas cuba menyeludup lima kilogram dadah jenis syabu bernilai kira-kira RM950,000, di Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah (LTSAS), di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi, wanita berusia 58 tahun itu ditahan anggota Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Pahang yang melihat gerak-gerinya yang mencurigakan ketika memasuki Balai Ketibaan LTSAS.
Suspek berkenaan turut cuba berdolak dalik ketika ditahan selain mengakui mahu melancong ke negeri ini.

Pengarah KDRM Pahang, Datuk Sarip Ismail, berkata hasil pemeriksaan bagasi wanita terbabit, menemui ketulan kristal dipercayai syabu seberat lima kilogram disembunyikan di ruang khas beg itu yang diubahsuai.

“Berdasarkan maklumat, suspek berlepas dari Chennai, India sebelum transit di Kuala Lumpur dan kemudian tiba di LTSAS Kuantan pada Sabtu (kelmarin) kira-kira jam 11 pagi,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata, pihaknya percaya ia adalah taktik baru digunakan sindiket pengedaran dadah antarabangsa dengan menjadikan lapangan terbang kecil sebagai destinasi terakhir sebelum ke negara lain.

Janda duduk atas tilam sorok 248 pil dadah


2013/10/14
 
Dungun: Rahsia seorang janda yang enggan berganjak dari tempat duduk di atas tilam di sebuah rumah terbongkar apabila polis menemui 248 biji pil dipercayai dadah di sebuah rumah di Bandar Al Muktaffi Billah Shah, dekat sini, semalam.

Suspek berusia 28 tahun yang berada di dalam bilik itu bersama pasangannya, menyorok pil berkenaan sebaik menyedari polis menyerbu rumah itu, kira-kira jam 8.30 malam.
Ketua Polis Daerah, Pemangku Superintendan Ahmad Zailani Yaacub, berkata apabila diarahkan bangun dari tempat duduk, suspek menggigil ketakutan sebelum polis menemui dadah di atas tilam.

Cuba lari

Katanya, pada masa sama, pasangan janda itu yang berusia 28 tahun cuba melarikan diri, tetapi gagal.

Selepas memeriksa bilik berkenaan, polis menemui 2,000 biji pil lagi dipercayai dadah.

“Seorang lelaki berusia 20-an yang berada di dalam bilik bersebelahan, yang juga rakan suspek turut ditahan apabila kami menemui 10 pil dalam poket seluarnya.
“Semua rampasan dalam serbuan itu bernilai RM25,000,” katanya di sini, semalam.

Janda dan pasangannya disiasat mengikut Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya, manakala rakan mereka disiasat mengikut Seksyen 12 (2) akta yang sama.

Ahmad Zailani berkata, ketiga-tiga suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian air kencing mereka mendapati positif dadah jenis methamphetamine. 

Polis cedera kena rompak


2013/10/14
 
Petaling Jaya: Seorang pegawai polis cedera di lengan dan kerugian lebih RM4,000, termasuk kehilangan sepucuk pistol selepas dirompak dua lelaki bermotosikal di Jalan Templer, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian pada jam 6.30 pagi itu, mangsa lelaki berusia 43 tahun, yang bertugas di Unit Cawangan Khas IPD Petaling Jaya cedera di lengan kiri selepas ditoreh dengan pisau sebelum beg galasnya dilarikan dua suspek terbabit.
Tamat waktu bekerja

Mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah di Shah Alam selepas tamat waktu bekerja sebelum berhenti di Jalan Templer, di sini, selepas ditahan dua lelaki bermotosikal, yang kononnya mahu bertanya arah jalan.

Sumber berkata, tanpa mengesyaki sebarang kejadian buruk, mangsa terus turun dari kereta jenis Toyota Vios miliknya, sebelum salah seorang suspek mengeluarkan sebilah pisau dan menoreh lengan mangsa, lalu melarikan beg galas yang disandangnya.

“Akibat kejadian itu, mangsa kerugian lebih RM4,000 apabila barangan berharga, termasuk telefon bimbit dan wang tunai dilarikan suspek. Turut hilang sepucuk pistol mengandungi lima butir peluru.

Jalani pembedahan
“Mangsa yang cedera dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut dan terpaksa menjalani pembedahan akibat luka dalam,” katanya.

Beliau berkata, siasatan polis mendapati, kejadian itu didalangi dua lelaki tempatan berusia 20-an dan mungkin suspek tidak menyangka mangsa seorang pegawai polis.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Shukri Dahlan mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dilakukan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan Seksyen 35 Akta Senjata 1960. 

Dua rakan maut nahas


 
Jasin: Dua rakan terbunuh selepas kenderaan yang mereka naiki terbabas dan merempuh besi penghadang jalan di Kilometer 174.9, Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan, dekat sini, petang semalam.

Mangsa dikenali Megat Saiful Farhan Megat Zaidi, 22, dari Taman Putri Mas, Simpang Renggam, Johor, manakala rakannya, Nur Azleeza Ismail, 23, dari Ladang Sedenak, Kulai, Johor.
Kejadian berlaku kira-kira jam 4.10 petang, ketika mereka dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur ke Johor Bahru.

Kenderaan pacuan empat roda dinaiki mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh penghadang berkenaan dan terbalik beberapa kali.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mohd Nur Hishamudin Hashim, ketika dihubungi berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Jasin untuk bedah siasat.

Katanya, pemeriksaan mendapati, kedua-dua mangsa parah termasuk Megat Saiful yang putus satu kakinya, manakala Nur Azleeza dihempap kenderaan pacuan empat roda itu selepas tercampak keluar. Mereka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jasin Bistari, P Muniandy, berkata setiba di tempat kejadian mendapati mangsa lelaki berada di tempat duduk belakang dipercayai tertolak dengan besi penghadang yang tertusuk dari bahagian bawah kenderaan.
“Mangsa lelaki berjaya dikeluarkan kurang tiga minit namun berlaku sedikit kesukaran mengeluarkan mangsa wanita yang dihempap kenderaan terbabit,” katanya.

9 jam tahan sejuk



Balik Pulau: Banjir kilat terburuk yang melanda 20 kampung di kawasan ini mencetuskan panik apabila air naik hingga mencapai paras dada menyebabkan kira-kira 1,000 penduduk terjejas.

Hujan lebat yang melanda kawasan itu sejak jam 2 pagi dan berterusan sehingga jam 2 petang selain faktor air laut pasang menyebabkan paras air naik mendadak dengan cepat.
Malah, ada beberapa penduduk yang pada mulanya enggan berpindah kerana mendakwa sudah biasa dengan keadaan itu akur apabila melihat keadaan bertambah buruk.

Selain itu, persiapan penduduk untuk menyambut Aidiladha turut musnah dan ada antara mereka yang mengadakan kenduri kahwin terpaksa menjamu selera dalam keadaan air melimpah di khemah kenduri.

Foto


Foto
BANJIR yang melanda Kampung Teluk Kumbar, semalam.
Di Kampung Paya, Teluk Kumbar, di sini tiga wanita warga emas yang uzur diusung keluar anggota penyelamat Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) selepas air naik separas pinggang.


Seorang daripada warga emas terbabit, Jariah Romli, 79, diusung keluar dari rumahnya selepas air didapati tidak surut menyebabkan dia yang uzur menahan kesejukan hampir sembilan jam.

Menurut anak lelakinya, Roslan Ahmad, 54, ibunya pada mulanya enggan keluar dari rumah kerana beranggapan air surut seperti banjir kilat sebelum ini.

“Kawasan rumah kami memang selalu dinaiki air jika hujan lebat, namun surut tidak lama selepas itu.

“Bagaimanapun, hari ini (semalam) banjir kilat yang melanda kampung ini agak pelik kerana air hanya surut sedikit dan saya meminta JPAM membantu mengeluarkan ibu,” katanya.

Menurutnya, hujan lebat melanda sejak jam 4 pagi dan berlarutan hingga tiga jam dan air ketika itu naik hingga paras dada.

“Saya sangka air surut seperti sebelum ini, namun selepas hampir enam jam menunggu air hanya surut hingga paras pinggang.

“Melihatkan keadaan ibu yang uzur dan menahan sejuk saya akhirnya meminta bantuan pasukan keselamatan membawa ibu keluar,” katanya.

Sementara itu, lebih 300 rumah di beberapa kampung sekitar Pulau Betong di sini turut dilanda banjir kilat yang disifatkan sebagai terburuk pernah berlaku di situ.

Tinjauan mendapati air naik sehingga paras pinggang dan penduduk tidak sempat menyelamatkan barang berharga yang musnah ditenggelami air.

Mangsa, Siti Mariam Kassim, 68, berkata, kejadian berkenaan adalah banjir paling buruk yang dialami kerana sebelum ini kediaman mereka tidak pernah dinaiki air sehingga ke paras pinggang.

Katanya, barangan keperluan yang dibeli sempena Aidiladha turut dihanyutkan air dan mereka menyambutnya secara ala kadar.

“Sebelum ini, pernah berlaku banjir, tetapi tidak seteruk ini dan kami juga terkejut dengan keadaan itu, tetapi terpaksa menerimanya.

“Beberapa barangan berharga dan elektrik turut rosak kerana tidak sempat diselamatkan,” katanya.

Dalam kejadian banjir di kawasan itu juga, seorang wanita warga emas dipatuk ular ketika dia dalam perjalanan dari rumahnya menuju ke jalan besar .

Mangsa Aishah Ismail, 68, dikejarkan ke Hospital Balik Pulau (HBP) untuk menerima rawatan dan keadaannya kini dilaporkan stabil.

Antara kawasan lain yang turut dinaiki air adalah Kampung Nelayan, Teluk Kumbar, Taman Iping, Bayan Lepas dan Pintasan Kenari, Sungai Ara.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Mohd Hatta Mohd Zain berkata, setakat ini 40 penduduk di kawasan Pulau Betong dipindahkan ke Masjid Pulau Betong manakala 30 keluarga di kawasan Teluk Kumbar dipindahkan ke Dewan Masjid Teluk Kumbar.

“Ada ramai lagi penduduk dibawa keluar dari rumah masing-masing dan ada antara mereka menumpang di rumah sanak saudara sementara menunggu air surut.

“Setakat ini keadaan terkawal dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya. 

Inspektor cedera ditoreh penyamun



Petaling Jaya: Seorang Inspektor cedera di lengan kiri selepas disamun dua lelaki yang menaiki motosikal di hadapan sebuah sekolah di Jalan Templer, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, mangsa yang bertugas di Bahagian Cawangan Khas (SB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dikatakan baru selesai bertugas dan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Shah Alam.


Menurut sumber, mangsa tiba-tiba ditahan dua lelaki yang menaiki skuter kononnya mahu bertanyakan arah jalan. Mereka kemudian berhenti di tepi jalan, 20 meter dari satu persimpangan lampu isyarat di lokasi kejadian.

“Mangsa berhenti dan membuka pintu kereta untuk keluar kerana ingin menunjukkan arah jalan yang dimaksudkan, namun salah seorang lelaki itu tiba-tiba mengeluarkan sebilah pisau dan menoreh lengan mangsa.


“Lelaki terbabit juga sempat meragut beg sandang dibawa mangsa sebelum memecut skuternya,” katanya.


Menurutnya, mangsa sempat menghubungi rakan untuk meminta bantuan sebelum dikejarkan ke hospital.

“Nilai kerugian dianggarkan RM4,000 dan antara barangan berharga yang hilang termasuk sepucuk pistol milik mangsa, dompet, wang tunai, dokumen pengenalan diri, segugus kunci kereta dan rumah,” katanya.


Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengesan kedua-dua lelaki itu terbabit dan difahamkan mangsa tidak dapat mengecam nombor pendaftaran motosikal dinaiki lelaki berusia 20-an itu.

Difahamkan, mangsa mengalami parah di lengan kiri akibat ditoreh dengan pisau tajam dan memerlukan pembedahan segera.


Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Shukri Dahlan mengesahkan kejadian itu tetapi enggan mengulas lanjut dan beliau memberitahu usaha mengesan suspek masih diteruskan.

Pelancong cedera diserang lembu naik minyak



Ipoh: Seekor lembu betina yang sepatutnya dijadikan korban pada Aidiladha esok, naik minyak dan menyerang sekumpulan pelancong di sebuah gerai di Jalan Raja Muda Aziz, di sini petang, semalam hingga menyebabkan seorang pelancong warga emas cedera selain beberapa kenderaan rosak.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, lembu berkenaan yang dipercayai terlepas dari pusat penyembelihan di Falim, di sini, Jumaat lalu, tersesat hingga ke kawasan bandar raya dan menyerang orang ramai.


Saksi kejadian, A Maekaldas, 33, berkata, dia melihat lembu itu memasuki kawasan bandar yang sesak dengan kenderaan dan ketika sampai di depan gerai di Jalan Raja Muda, secara tiba-tiba haiwan itu menyerang pelanggan yang minum di beberapa meja di gerai berkenaan.

“Lembu berkenaan merempuh sekumpulan pelancong dari Singapura hingga menyebabkan meja terbalik dan seorang lelaki berusia 74 dari kumpulan pelancong terbabit terjatuh ketika mengelak serta cedera pada bahagian tangan.


“Kemudian lembu itu lari ke tengah jalan dan merempuh sebuah kereta Perodua Viva hingga menyebabkan cermin tingkap kereta itu pecah. Selain itu, lembu itu turut melanggar beberapa motosikal di persimpangan lampu isyarat berhampiran Balai Polis Pekan Baru, di sini,” katanya ketika ditemui.


Menurutnya, melihatkan keadaan itu dia kemudian menghubungi beberapa rakan yang juga penjaga lembu untuk menangkapnya sebelum perkara lebih buruk terjadi.

“Lembu itu kemudiannya berjaya ditemui di Jalan Chung Thye Phin, di sini dan saya bersama beberapa rakan yang datang selepas dihubungi, berusaha menghalaunya masuk ke kawasan gereja berhampiran bagi mengepungnya.


“Sebaik terkepung, lembu itu kemudian ditembak dengan ubat pelali untuk menenangkan dan menangkapnya. Tidak lama selepas itu sepasukan penguat kuasa dari Majlis Bandaraya Ipoh dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) tiba untuk menangkap haiwan berkenaan dan terpaksa mengambil masa hampir dua jam sebelum berjaya memasukkannya ke dalam lori,” katanya.

Mangsa baran suami alim



Gombak: Perwatakannya alim dan tidak pernah tinggal solat malah rajin membaca al-Quran namun semua itu gagal mengawal sikap panas baran apabila sering membelasah isteri dan anaknya jika kedua-dua beranak itu melakukan kesilapan.

Malah lelaki berusia 40-an itu mendakwa memukul anak lelakinya berusia 12 tahun bertujuan mendidik dan jika isterinya campur tangan, wanita itu turut akan dibelasah sehingga kedua-dua beranak itu sering cedera dan lebam pada seluruh badan.


Dalam kejadian terbaru Khamis lalu, lelaki itu sekali lagi mengamuk dan membelasah anak lelakinya selepas dia hilang tumpuan ketika membaca al-Quran gara-gara anaknya itu bermain di ruang tamu rumah mereka di Kundang, dekat sini.

Lelaki berkenaan yang hilang pertimbangan terus membelasah anaknya itu malah isterinya yang menghalang perbuatannya turut dipukul.


Tidak tahan dengan sikap panas baran suaminya, wanita berusia 40 tahun itu membuat laporan di Balai Polis Kundang pada hari sama.


Dalam kejadian jam 8 malam itu, lelaki terbabit pada mulanya mengaji di dalam bilik tidurnya sebelum terdengar bunyi bising di ruang tamu rumah.

Menurut sumber, geram bacaannya terganggu, lelaki terbabit kemudian keluar dari bilik dan mendapati anak lelakinya itu bermain di ruang tamu.


“Gagal mengawal perasaan, lelaki berkenaan bertindak memaki hamun dan memarahi anaknya itu menyebabkan mangsa terkejut dan tidak berani melawan.

“Perbuatan itu turut disedari isterinya yang ketika itu berada di dapur sebelum keluar ke ruang tamu dan meminta penjelasan mengenai sikap suaminya yang tiba-tiba melenting,” katanya.


Sumber berkata, lelaki itu kemudian memberitahu anak mereka membuat bising sehingga tumpuannya ketika membaca ayat suci al-Quran terganggu lalu bertindak memukul anaknya itu.


“Isterinya yang terkejut dengan tindakan berkenaan bertindak menghalang, namun turut dipukul.


“Selepas puas membelasah mangsa, lelaki terbabit kemudian terus keluar dari rumah dengan membiarkan isteri dan anaknya yang cedera,” katanya.


Difahamkan, sebelum ini, isterinya pernah membuat laporan polis berhubung suaminya itu namun menarik balik laporan berkenaan selepas lelaki itu berjanji akan berubah dan tidak mengulangi perbuatannya itu lagi.


Namun, sikapnya itu tidak bertahan lama apabila kembali memukul anak dan isterinya menyebabkan mangsa kali ini nekad membuat laporan polis sekali lagi.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Wanita bawa syabu dicekup


Kuantan: Gerak-geri mencurigakan seorang wanita warga India mendakwa masuk ke negara ini untuk melancong akhirnya membongkar identitinya sebagai ‘keldai dadah’ apabila pemeriksaan kastam menemui lima kilogram dadah dipercayai syabu bernilai RM950,000 disembunyikan di dalam begnya di Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah (LTSAS), di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, gerak-geri wanita berusia 58 tahun itu dilihat mencurigakan menyebabkan dia ditahan anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang ketika memasuki Balai Ketibaan LTSAS.


Ketika ditahan, suspek cuba berdolak-dalik dalam usahanya mengelak diperiksa apabila memaklumkan kepada anggota JKDM dia datang ke negeri ini untuk melancong.

Pengarah Jabatan Kastam Pahang Datuk Sarip Ismail berkata, selepas mendapati tingkah laku ‘pelancong’ wanita itu yang bergerak sendirian agak mencurigakan, anggotanya menahannya untuk diperiksa.


Katanya, hasil pemeriksaan di dalam bagasi wanita terbabit, anggotanya menemui ketulan kristal dipercayai syabu seberat lima kilogram disembunyikan di ruang khas yang sudah diubah suai.


“Berdasarkan maklumat, suspek berlepas dari Chennai, India kemudian melalui Kuala Lumpur sebelum tiba di LTSAS Kuantan pada jam 11 pagi, Sabtu lalu,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya percaya wanita berkenaan berlepas dari India sehari sebelumnya dan JKDM Pahang tidak menolak kemungkinan itu adalah taktik digunakan sindiket pengedaran dadah antarabangsa dengan menjadikan lapangan terbang kecil sebagai transit terakhir sebelum ke negara lain.


“Ini adalah kes ketiga dikesan JKDM Pahang di LTSAS yang menggunakan lapangan terbang itu sebagai pintu masuk untuk aktiviti penyeludupan dadah ke negara ini termasuk satu kes pada Disember tahun lalu.

“Modus operandi digunakan juga sama iaitu dengan menyorokkan dadah di dalam ruangan khas bagasi yang diubah suai,” katanya.

Jel sehari curi baju RM473


Kota Bharu: Seorang wanita sarat mengandung lapan bulan dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM500 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan mencuri pakaian kanak-kanak dan wanita di sebuah pasar raya.

Keputusan itu dibuat Majistret Nik Habri Muhamad terhadap tertuduh, Halimah Hashim, 25, dari Rantau Panjang selepas dia mengaku bersalah terhadap tuduhan berkenaan.


Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa dengan niat jahat mencuri sembilan helai pakaian kanak-kanak jenama Kiko dan sehelai seluar panjang wanita jenama BUM milik pasar raya Parkson yang dijaga oleh Wan Mohd Anwaruddin Wan Jonee, 25, tanpa kerelaannya bernilai RM473.25.

Kesalahan dilakukan di tingkat dua pasar raya itu di Jalan Parit Dalam, di sini, pada jam 3.55 petang, 6 April 2013.


Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara hingga sepuluh tahun dan boleh dikenakan denda.


Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor Saiful Nizam Misbah mengendalikan pendakwaan.

Koleksi peragut


Dungun: Tindakan seorang peragut dipercayai menjadikan beg diragut sebagai koleksi peribadi terbongkar selepas dia ditahan polis dalam keadaan mencurigakan di Lorong 5, Jalan Alur Tembesu, di sini, kelmarin.

Suspek berusia 27 tahun yang tinggal di kampung terbabit ditangkap jam 3.30 petang dan dengan tertangkapnya lelaki berkenaan, polis yakin dapat menyelesaikan 10 kes ragut yang berlaku di bandar ini dalam tempoh tiga bulan lalu.


Ketua Polis Daerah Dungun Pemangku Superintendan Ahmad Zailani Yaacub berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun yang mengadakan rondaan terserempak dengan suspek yang ketika itu menunggang motosikal Honda EX5 dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, sebaik menahan dan memeriksa suspek, polis menemui dompet dan dua telefon bimbit dipercayai baru diragut sebelum suspek membawa polis ke rumahnya tidak jauh dari situ.


“Hasil pemeriksaan di rumahnya, polis menemui satu kotak besar berisi tujuh telefon bimbit, 12 beg tangan, 12 dompet pelbagai jenama serta beberapa kad pengenalan mangsa yang diragut suspek,” katanya dalam sidang media di IPD Dungun, di sini, semalam.


Beliau berkata, polis membawa suspek ke IPD Dungun untuk siasatan lanjut dan hasil ujian saringan awal air kencing mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine serta terbabit dalam kes ragut sejak Ogos lalu,” katanya.

Menurutnya, suspek dipercayai melakukan jenayah ragut itu secara berseorangan dan menyasarkan golongan wanita yang menunggang motosikal serta berjalan kaki bersendirian di sekitar bandar ini dan Sura Gate.

Badai landa 4 beradik


Arau: Kehidupan empat kanak-kanak lelaki berusia antara setahun hingga tujuh tahun terumbang-ambing apabila ibu bapa mereka bakal berdepan hukuman gantung selepas ditahan kerana memiliki ganja dianggarkan seberat 10 kilogram (kg) di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 9 malam itu, kedua-dua pasangan suami isteri berasal dari Pulau Pinang terbabit dicekup bersama empat anak mereka ketika sedang makan malam di sebuah kedai makan, di sini.


Difahamkan, kedua-dua pasangan berusia 36 dan 32 tahun itu turut menikmati makan malam sementara menunggu kehadiran pengedar dadah di situ.

Sumber berkata, ketika sedang makan, ketulan ganja dianggarkan bernilai RM20,000 diletakkan di dalam but belakang kereta Proton Saga FLX merah disewa mereka diletakkan berhampiran kedai makan terbabit.


Katanya, mereka dipercayai datang dari Pulau Pinang dan sedang menunggu individu bagi menjalankan transaksi jualan sebelum dicekup anggota bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (JSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau selepas menerima maklumat.


“Suspek dipercayai menjalankan aktiviti itu hampir setahun dengan bergiat aktif dalam aktiviti pengedaran dadah di beberapa negeri.

“Ketika kejadian pasangan suami isteri terbabit turut membawa keempat-empat anak lelaki yang tidak tahu-menahu mengenai apa yang dilakukan ibu bapa mereka,” katanya. Menurutnya, hasil pemeriksaan di dalam but belakang kereta dinaiki suspek, pihaknya menemui sebuah beg pakaian baru yang masih belum dibuang tanda harga dimuatkan dengan 10 ketul dadah mampat.


Katanya, setiap ketul dianggarkan seberat satu kilogram dan bungkusan dadah itu dibalut dengan beberapa lapisan plastik lutsinar menyebabkan ia tidak berbau dan sukar dikesan.

“Si isteri yang terkejut dengan kehadiran pihak polis menangis selepas mengetahui aktiviti mereka disedari lalu dibawa ke Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis bersama anak mereka,” katanya.


Menurutnya, pasangan suami isteri terbabit ditahan reman untuk siasatan manakala empat kanak-kanak lelaki itu diserahkan kepada ahli keluarga untuk jagaan.


Katanya, dadah dan kereta turut dirampas untuk siasatan mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan jika sabit kesalahan boleh digantung mati mandatori.

Cubaan 3 lelaki larikan mesin ATM gagal



Sungai Buloh: Cubaan tiga lelaki bertopeng melarikan sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dari sebuah stesen minyak di Subang Permai, Kampung Baru Subang, di sini, gagal apabila alat penggera keselamatan pada mesin tiba-tiba berbunyi selepas wayar kabelnya terputus.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi semalam, suspek hanya sempat menarik keluar mesin itu hingga ke pintu masuk kedai sebelum melarikan diri akibat panik selepas alat penggera keselamatan berbunyi.


Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, suspek bagaimanapun berjaya melarikan wang tunai berjumlah RM800 yang diambil daripada peti simpanan wang kedai dan satu telefon bimbit milik mangsa.

“Siasatan awal mendapati terdapat dua pekerja warga Bangladesh sedang bertugas, seorang di kaunter pembayaran manakala seorang lagi menyusun barang di stor simpanan barang.


“Selepas merempuh pintu, tiga daripada suspek yang lengkap memakai topeng ski, sarung tangan, jaket lengan panjang hitam dan bersenjatakan parang kemudian masuk ke dalam kedai dan menutup lampu.


“Salah seorang suspek kemudian pergi ke arah kaunter dan mengarahkan mangsa mengeluarkan wang dari peti simpanan. Suspek kemudian mengarahkan mangsa berbaring dengan muka menghadap lantai, manakala seorang rakan suspek masuk ke stor,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis penutupan Program Belia Pemangkin Transformasi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, semalam.

Anggota polis cedera dirempuh mat rempit



Ipoh: Seorang anggota polis sukarelawan (PVR) dirempuh motosikal seorang ‘mat rempit’ yang cuba melarikan diri dalam operasi cegah lumba haram di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 2 pagi itu, mangsa, Andrew Yong Fatt Seng, 28, mengalami kecederaan di bahagian lutut kanan selepas dilanggar seorang remaja lelaki yang menunggang motosikal secara berbahaya.


Mangsa yang ditemui berkata, kejadian berlaku ketika dia bersama anggota polis trafik dan anggota Pasukan Sukarelawan Malaysia (RELA) sedang bersiap sedia menggempur kumpulan ‘mat rempit’ yang kerap berlumba di kawasan itu.

“Ketika itu saya cuba menahan seorang remaja lelaki yang didapati berlumba dan melakukan aksi lagak ngeri bersama beberapa rakan lain di kawasan itu.


“Bagaimanapun saya terkejut apabila remaja itu memecut sebelum merempuh saya. Saya hanya mampu mengelak sebelum terjatuh,” katanya.


Dia yang cedera pada bahagian lutut hanya mampu melihat remaja terbabit meloloskan diri dari kawasan itu.

“Saya kemudian dihantar rakan setugas untuk dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) sebagai pesakit luar. Kejadian ini tidak melemahkan semangat saya untuk terus berbakti kepada masyarakat,” katanya. Sementara itu, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Ipoh Superintendan Wan Shahruddin Wan Omar berkata, operasi banteras lumba haram itu dilakukan di Dataran MBI, Bandar Meru Raya, Taman Pengkalan Jaya dan Pasir Puteh, di sini, bermula jam 2 hingga 7 pagi semalam.

Lelaki maut pulang sambut Aidiladha


Gemas: Seorang pemandu lori sebuah syarikat dari Johor Bahru terbunuh manakala rakannya parah selepas kereta dinaiki mereka terbabas di Jalan Pasir Besar-Londah, dekat sini, semalam.

Difahamkan dalam kejadian jam 12.50 tengah hari itu kedua-dua mangsa dalam perjalanan pulang dari Johor Bahru ke Kampung Batu Balai di Kuala Krai, Kelantan untuk menyambut Aidiladha bersama keluarga.


Menurut sumber, pemandu terbabit, Sofian Mohd Yunus, 37, maut di tempat kejadian akibat parah selepas tersepit dalam kereta Honda Accord dipandunya.

Katanya, rakan lelaki mangsa yang belum dipastikan identitinya parah di kepala serta badan dan kini dirawat di Hospital Segamat (HS), Johor.


“Kereta mangsa dipercayai terbabas sendiri ke gaung dan merempuh pokok mengakibatkan kedua-dua mangsa tersepit di dalam kenderaan yang remuk.


“Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Gemas bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima maklumat dan berjaya mengeluarkan mangsa.

“Begitupun, pemandu (Sofian) disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala serta badan dan mayatnya dibawa ke Hospital Tampin (HT), sementara rakannya dikejarkan ke HS untuk rawatan lanjut,” katanya.


Sementara itu, seorang ahli keluarga si mati, Mohd Zin Ahmad,52, berkata, kebetulan ketika kejadian dia juga dalam perjalanan balik dari Gemas ke Kuala Krai, Kelantan sebelum menerima berita sedih itu.

“Setibanya di Jerantut, Pahang saya menerima panggilan dari keluarga memaklumkan mangsa kemalangan dan berpatah balik menuju ke bilik mayat HT.


“Saya difahamkan, arwah sepatutnya balik ke kampung malam semalam (kelmarin), namun keretanya mengalami kerosakan dan selepas siap dibaiki barulah dia bertolak pulang pagi tadi,” katanya ketika ditemui di bilik mayat HT di sini.


Mohd Zin berkata, mereka sekeluarga berasa peliknya kerana sepatutnya arwah yang dalam perjalanan balik ke Kelantan mengikut Jalan Segamat-Muadzam Shah, namun sebaliknya dia melalui Jalan Pasir besar-Londah.


Sementara itu jenazah mangsa sudah dituntut ahli keluarganya untuk disemadikan di kampung halamannya di Kuala Krai, Kelantan.


Ketua Polis Daerah Tampin Superintendan Wooi Kooi Cheang ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Rupanya mayat anak



Jitra: “Saya sempat membawa pakaian anak (Mohd Zulfadhli Zakaria, 18) sebaik mendapat tahu dia dan rakannya terbabit dalam kemalangan kerana menyangka mungkin hanya cedera ringan.

“Sebaik tiba di hospital, saya rasa tidak sedap hati kerana gagal mengesan namanya sebelum dimaklumkan ada satu daripada dua mayat mangsa kemalangan belum dituntut sebelum mengesahkan ia adalah Mohd Zulfadhli.” Begitu kata Norma Ismail, 52, apabila anak lelakinya Mohd Zulfadhli dan rakan baiknya Mohd Nor Fitri Nuri Ismadi, 17, meninggal dunia selepas motosikal dinaiki bergesel dengan sebuah treler dalam kemalangan di Kilometer 88.5, Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Gurun.


Kejadian berlaku jam 8.30 malam kelmarin ketika dua mangsa berkenaan yang menaiki motosikal Honda Wave berkonvoi bersama enam rakan lain dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai urusan di Pulau Pinang.

Norma berkata, dia tidak sanggup melihat jenazah anaknya di Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani kerana terlalu sedih berikutan arwah pergi buat selama-lamanya ketika umat Islam menyambut Aidiladha esok.


Menurutnya, kali terakhir mereka bertemu kira-kira jam 8 pagi ketika dia menyiapkan sarapan untuk Mohd Zulfadhli dan enam rakan anaknya termasuk yang datang dari Kuala Lumpur kerana menumpang bermalam di rumah mereka di Taman Setia Jaya, dekat sini.


Katanya, dia tidak sempat melayan mereka makan kerana sakit kepala dan tidak sedap hati menyebabkan terus masuk ke dalam bilik untuk berehat malah tidak sedar mereka sudah bertolak ke Pulau Pinang.

“Malam sebelum kejadian, mereka semua kelihatan sangat seronok sebelum tidur kerana tidak sabar bangun awal untuk ke Pulau Pinang pagi semalam (kelmarin).


“Saya sempat menasihatkan mereka supaya berhati-hati menunggang motosikal kerana bimbang keselamatan arwah kerana dia tidak pernah berjalan jauh,” katanya ketika ditemui di rumah nenek mangsa di Kampung Pulau Timbul, dekat sini, semalam.

“Tidak sangka pula kerisauan itu seolah-olah memberi petanda bahawa saya akan kehilangan anak kesayangan buat selama-lamanya,” katanya ketika ditemui di rumah nenek mangsa di Kampung Pulau Timbul, dekat sini, semalam.


Norma berkata, arwah Mohd Zulfadhli yang dipanggil ‘Adik’ juga tidak sempat mendaftar diri dalam bidang Pengajian Maklumat di Kolej Komuniti, Bandar Darulaman, Jitra pada 28 Oktober ini sebagai pelajar baru.


Menurutnya, anaknya juga bercadang membuat persiapan selepas Aidiladha tetapi tidak sangka pula kemalangan berlaku dan hasratnya untuk menyambung pengajiannya dalam bidang Pengajian Maklumat tidak kesampaian.


Jenazah Mohd Zulfadhli dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Pulau Timbul, di sini, semalam manakala jenazah Mohd Nor Fitri dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Perik, Kuala Nerang.


Sementara itu, Ketua Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda Deputi Superintendan Ahmad Kamil Ahmad berkata, siasatan awal mendapati motosikal dinaiki kedua-dua mangsa dipercayai bergesel dengan sebuah treler.


Menurutnya, berikutan itu motosikal mereka terperosok di bawah kenderaan berat itu dan kedua-dua mangsa terjatuh sebelum meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala serta seluruh badan.

30 GRO kena cekup



Gombak: Tiga premis hiburan yang beroperasi secara haram di Taman Desa Aman Puri, Kepong, dekat sini, diserbu dan seramai 30 wanita warga asing serta tempatan yang dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) ditahan, malam kelmarin.

Dalam serbuan jam 12.30 tengah malam itu, sepasukan polis Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) dan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak yang menerima maklumat terdapat premis hiburan beroperasi secara haram bertindak menyerbu pusat itu.


Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, siasatan lanjut, seorang daripada GRO warga China yang ditahan dalam operasi itu turut didapati positif dadah selepas diarah menjalani ujian air kencing.

Menurutnya, semua GRO terbabit dibayar antara RM30 dan RM100 sejam untuk melayan dan menemani pelanggan yang berkunjung ke premis itu.


“Dalam serbuan itu, polis menahan 10 warga tempatan, 10 warga Thailand, empat warga Laos, tiga Vietnam dan masing-masing seorang warga China, Indonesia dan Filipina.


“Dua dua lelaki yang juga pemilik premis terbabit turut ditahan untuk siasatan,” katanya.

Kedai jahit sorok 40,000 DVD



Kuala Lumpur: Taktik seorang peniaga cakera video digital (DVD) menyimpan puluhan ribu bahan cetak rompak itu dalam stor di sebalik kedai jahit di Jalan Masjid India, di sini, gagal mengaburi pihak berkuasa apabila premis itu diserbu Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, kelmarin.

Pengarahnya, Omar Mohd Bahari berkata, dalam serbuan kira-kira jam 2.30 petang itu, pihaknya menemui 40,000 DVD filem pelbagai tajuk bernilai lebih RM600,000.


Menurutnya, serbuan dilakukan hasil risikan serta intipan selama seminggu terhadap premis itu hasil maklumat awam yang curiga dengan kegiatan peniaga terbabit.

“Dalam risikan kami, peniaga itu cuba menyembunyikan kegiatan haramnya di sebalik kedai jahit.


“Lelaki itu juga didapati sudah tiga tahun menjalankan kegiatan ini, malah DVD tanpa Sijil Perakuan B itu dipercayai untuk diedarkan ke selatan dan utara tanah air,” katanya.


Beliau berkata, pihaknya turut menahan peniaga terbabit bersama dua orang pekerjanya dan kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Penapisan Filem (APF) 2002 bagi kesalahan memiliki DVD tanpa Sijil Perakuan B.

Mafia jalan raya



Klang: Sekumpulan lelaki didapati cuba menunjuk samseng di khalayak ramai apabila bertindak mengepung dan cuba memukul seorang daripada empat anggota polis bermotosikal yang sedang melakukan rondaan di Taman Desawan, dekat sini kira-kira jam 3 pagi semalam.

Apa yang mengecewakan, kumpulan lelaki berkenaan yang sepatutnya membantu anggota beruniform terbabit selepas mangsa cedera akibat terbabit dalam kemalangan, bertindak sebaliknya apabila seorang daripada mereka sanggup menyerang anggota polis itu selepas dua daripada mereka terbabit dalam nahas.

Kejadian bermula selepas empat anggota polis yang masing-masing menaiki motosikal melakukan rondaan di situ sebelum mereka didatangi seorang lelaki bermotosikal yang tidak memakai topi keledar menunggang sambil melawan arus di jalan Banting-Klang berhampiran kawasan perumahan itu.

Sumber memberitahu, dua anggota dari unit Rondaan Cegah Jenayah Balai Polis Klang yang berada di bahagian hadapan sempat mengelak, namun dua lagi anggota yang berada di belakang gagal berbuat demikian menyebabkan mereka dirempuh dan terjatuh selain mengalami kecederaan.

“Ketika itulah datang beberapa lelaki yang bertindak mengepung kumpulan anggota polis berkenaan sebelum seorang daripada mereka menyerang anggota yang mengalami kecederaan itu menyebabkan dia terpaksa mempertahankan diri dan memberi penjelasan mengenai kejadian berkenaan.

“Menyedari penjelasannya tidak dipedulikan dan terus diancam selain uniformnya ditarik, anggota terbabit terpaksa melupakan kesakitan untuk bergelut sebelum berjaya menahan seorang daripada kumpulan lelaki itu sementara seorang lagi anggota hanya terbaring atas jalan manakala dua lagi rakan mereka turut dikepung kumpulan lelaki terbabit.

“Sejurus menyedari seorang daripada mereka ditahan, kumpulan lelaki terbabit terus melarikan diri sebelum mereka mendapatkan bantuan daripada rakan lain selain membantu lelaki yang melanggar mereka,” katanya.

Ketua Polis Trafik Daerah Klang Selatan, Deputi Superintendan Rosly Abd Rahman berkata, bagaimanapun lelaki berusia 26 tahun yang melanggar mereka dilaporkan mati di tempat kejadian manakala dua anggota polis berusia 25 dan 28 itu mengalami kecederaan di tangan dan dagu sementara seorang lagi cedera di kepala selain patah jari kaki.

Menurutnya, mangsa yang cedera kemudiannya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang manakala mayat mangsa juga dihantar ke hospital sama untuk dibedah siasat.

Buat masa ini katanya, polis mengesyaki lelaki yang terbunuh mungkin cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya dan pihaknya sedang menjalankan siasatan bagi mengetahui sama ada terdapat sebarang sekatan diadakan oleh agensi peguatkuasaan di kawasan berkenaan pada waktu kejadian.

Suami nikah jin

Kuala Lumpur: “Selama lebih 30 tahun bergelar isteri, saya banyak bersabar dengan kerenah suami yang langsung tidak mempedulikan rumah tangga dan kerap menghilangkan diri ke negara jiran.
“Kami seolah-olah terputus hubungan. Dia langsung tidak menelefon apatah lagi pulang menyambut Aidilfitri bersama sejak lima tahun lalu. Tiba-tiba dia pulang dan membuat pengakuan sudah beristerikan jin ketika menuntut ilmu di negara berkenaan,” kata Norehan, 58.
Warga emas itu tampil membuat pendedahan selepas tidak tahan hidup bersama suami yang mengamalkan sihir selain meninggalkannya bersama dua anak menguruskan kehidupan sendiri di tanah air.

Katanya, dia terkejut besar apabila mengetahui suaminya benar-benar menuntut ilmu songsang termasuk mengaku bernikah secara batin dengan jin di luar negara.
Foto

“Sejak dia pulang saya sedar perubahannya. Dia kerap berbuat baik dan sering meminta layanan lebih di bilik tidur tidak kira siang mahupun malam.

“Begitupun saya mula mengesyaki perkara menakutkan apabila dilayan kasar setiap kali hubungan seks hingga terpaksa menyerah dalam keadaan menekup muka kerana tidak tahan melihat mukanya,” katanya yang membuat aduan kepada Pengarah Kebangsaan Sukarelawan Peguam Untuk Semua (SukaGuam), Nurul Aini Yausoff di sini, minggu lalu.

Berikutan tidak tahan diperlakukan begitu, Norehan nekad meminta penjelasan sebelum rahsia suaminya terbongkar satu demi satu.

“Saya bukan saja dipukul, malah suami sanggup mengherdik saya di depan anak-anak hanya kerana perkara kecil termasuk ketika saya menyuruhnya bersolat dan puasa.

“Sedangkan sebelum ke negara jiran, dia boleh dibawa berbincang, bertolak ansur serta rapat dengan anak-anak,” katanya.

Norehan berkata, akibat terlalu taasub dengan ilmu songsang dituntut, suaminya bertukar menjadi aneh.

“Sejak menuntut ilmu pelik, dia selalu bercakap seorang diri dan merayu untuk bersama setiap hari. Paling menakutkan ada ketikanya dia merenung saya dengan mata kemerahan serta mengikut gerak geri saya tanpa jemu.

“Saya menjadi tambah bingung selepas kerap terjumpa barangan pelik seperti kain kuning dan botol dalam beg sandang suami. Anak-anak pula tunduk pada setiap kemahuannya,” katanya.

Selain itu, Norehan berkata, suaminya juga tidak betah di rumah dan hanya mampu bertahan kira-kira tiga jam sehari sebelum menghilang ke kedai kopi dan berbual panjang hingga ke awal pagi.

“Saya hanya bimbangkan dia. Kami bukannya muda lagi dan saya tidak mahu dia berterusan begitu selepas kami berpisah nanti,” katanya yang memohon khidmat nasihat untuk menuntut fasakh.

Sementara itu, Nurul Aini berkata, semakan pihaknya mendapati, Norehan sudah beberapa kali hadir di mahkamah, tetapi kes berkenaan tidak dapat diselesaikan kerana dia tidak diwakili peguam.

Cuma temberang



Kuala Lumpur: Sebuah organisasi dikesan cuba mengelirukan orang ramai dengan menawarkan Misi Sukarelawan Haji 2013 dan pakej seumpamanya menggunakan nama Lembaga Tabung Haji (TH).

Kegiatan mereka dikesan melalui laman Facebook sejak lebih sebulan lalu dan masih bergiat aktif melakukan pelbagai promosi di beberapa lokasi termasuk yang terbaru di pantai timur.


Pengurus Perhubungan Media Bahagian Hal Ehwal Awam & Komunikasi Korporat Kumpulan TH Hasri Hamidan, semalam menafikan pembabitan TH dalam merekrut sukarelawan haji.

Katanya, pihaknya mengesan kegiatan itu selepas menerima panggilan daripada sebuah syarikat yang mahu penjelasan lanjut berhubung pakej berkenaan.


“Berdasarkan siasatan awal, kami dapati pertubuhan itu tiada sebarang hubungan kerjasama dengan TH. “Paling penting, kami memang tidak pernah melantik, meluluskan atau memberi kuasa kepada mana-mana pertubuhan atau organisasi menganjurkan misi sedemikian,” katanya dalam satu kenyataan rasmi, semalam.


Katanya, siasatan lanjut berhubung kegiatan itu juga sudah dilaksanakan termasuk mengenal pasti latar belakang organisasi, alamat surat menyurat dan isi kandungan promosi yang dibuat.

“Kami juga ada menghantar wakil untuk melihat sendiri siri promosi yang dijalankan di pantai timur, baru-baru ini dan mendapati program itu mendapat sambutan ramai berikutan mengenakan bayaran serendah RM5,000.


“Apa yang mengejutkan, mereka memetik nama TH dalam siri promosi dibuat. Ini sekali gus menarik perhatian TH untuk memberi penjelasan awal supaya tidak berlaku sebarang kekeliruan pada masa depan,” katanya.

Menurutnya, TH satu-satunya organisasi diamanahkan kerajaan untuk mengendalikan urusan simpanan dan pergi-balik jemaah haji bagi rakyat negara ini. Organisasi itu tidak menawarkan sebarang khidmat sukarelawan atau program seumpamanya biarpun dengan kerjasama pihak luar.

Dua didakwa rompak pelanggan hotel


Kuala Lumpur: Dua lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam terhadap tuduhan melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata di sebuah hotel di Dang Wangi di sini, akhir bulan lalu.

Tertuduh, S Shanker, 44, pengutip hutang dan K Saravanakumar, 30, ejen insurans mengaku tidak bersalah selepas tuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha.


Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa bersama tiga lagi yang masih bebas melakukan perbuatan itu menggunakan parang dan mengambil wang tunai RM9,000, dua tablet jenama Samsung, tujuh telefon bimbit, beg duit, kasut, baju, pasport, dua komputer riba serta rantai emas milik penghuni di bilik 102,106 dan 107 Hotel Merina Guest House.

Ubat jahanam!

Shah Alam: “Ubat jahanam tu hancurkan hidup saya,” kata mangsa ubat perangsang seks tiruan hanya mahu dikenali sebagai Mokhsin, 52, yang kini terpaksa menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu akibat kesan ubat berkenaan.
Menurut ahli perniagaan yang menggunakan ‘ubat kuat’ dibeli melalui laman web di Internet itu, dia membeli ubat berkenaan selepas berkahwin dengan isterinya berusia 26 tahun berikutan kematian isteri pertama dua tahun lalu. 
“Pada mulanya, saya hanya mengamalkan ubatan tradisional seperti jamu dan juga telur ayam kampung dengan madu apabila isteri baru mendakwa saya kurang bertenaga di ranjang. 

“Namun, selepas beberapa bulan mencuba, tenaga saya masih tidak bertambah hingga membuatkan saya mendapatkan nasihat doktor dan rakan,” katanya ketika ditemui Harian Metro selepas menjalani rawatan di sini, semalam.
Foto

Mokhsin berkata, dia mempunyai empat anak hasil perkahwinan pertama dengan arwah isterinya dan berhasrat mendapatkan anak dengan isteri barunya itu.

Mati putus kaki

Jasin: Seorang lelaki maut dalam keadaan kaki kirinya putus manakala rakannya turut terbunuh dihempap pacuan empat roda dinaiki dalam kemalangan di Kilometer 174.9, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.10 petang, mangsa Megat Saiful Farhan Megat Zaidi, 22, beralamat di Taman Putri Mas, Simpang Renggam, Johor dan rakannya Nur Azleeza Ismail, 23, beralamat di Ladang Sedenak, Kulai, Johor dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menuju ke Johor. 
Kemalangan dipercayai berlaku selepas pacuan empat roda dipandu Megat Saiful Farhan dipercayai hilang kawalan lalu merempuh besi penghadang lebuh raya sebelum terbalik dengan keempat-empat tayar ke atas. 

Jurucakap polis berkata, Megat Saiful Farhan yang putus kaki kiri dan Nur Azleeza yang parah di bahagian kepala akibat dihempap kenderaan itu maut di tempat kejadian.
Foto
ANGGOTA bomba dan polis mengeluarkan mayat mangsa kemalangan, semalam.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal polis, kejadian dipercayai berlaku selepas kenderaan yang hilang kawalan itu terbabas ke kiri jalan dan merempuh besi penghadang lebuh raya hingga menyebabkan besi itu patah beberapa bahagian.

60 terbunuh terjun jambatan


Bhopal: Sekurang-kurangnya 60 orang mati akibat berasak-asak sementara puluhan lagi mungkin turut terbunuh selepas mereka terjun dari atas jambatan yang menghubungkan sebuah kuil.

Polis berkata, 60 orang disah mati dan bilangan itu mungkin meningkat 100 orang.
Timbalan Polis tempatan Ketua Inspektor D K Aryaberkata, lebih 100 lagi cedera dalam kejadian di daerah Datia, tengah Madhya Pradesh.


Menurutnya, kejadian berkenaan berlaku berikutan khabar angin bahawa jambatan terbabit akan runtuh selepas dilanggar sebuah kenderaan berat.
“Terdapat desas-desus jambatan berkenaan runtuh selepas traktor melanggarnya,” kata Arya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, ramai yang ketakutan terjun dari jambatan berkenaan.

Sumber lain berkata, 20,000 orang berada di jambatan merentasi Sungai Sindh ketika rempuhan berlaku.

Kira-kira 400,000 penganut Hindu berada dalam dan sekitar kuil di daerah Datia, kira-kira 350 kilometer utara ibu negeri Bhopal.

Televisyen NDTV memetik sumber di tempat kejadian sebagai berkata, kejadian berlaku kerana polis merempuh orang ramai dengan belantan.

Bagaimanapun, Arya bertegas menyatakan tiada polis memegang kayu.

Penganut Hindu meraikan festival Navaratni untuk mendewakan Tuhan Durga dengan jutaan penganut ke kuil terutama di utara India.

Dalam kejadian rempuhan lalu, 36 orang mangsa mati di festival keagaamaan selepas penganut Hindu pulang dari Sungai Ganges.

Menurut sumber, seramai 102 penganut Hindu terbunuh dalam kejadian sama Januari 2011 di Kerala dan 224 lagi mati pada September 2008 apabila ribuan penganut Hindu berasak-asak mendaki kuil Jodhpur di puncak gunung. - AFP

Phailin ragut tujuh nyawa di India


Bhubaneswar (India): Taufan Phailin melanda pantai timur India menyebabkan kemusnahan dan meragut tujuh nyawa maut dalam satu dan menyaksikan proses pemindahan terbesar penduduk dalam sejarah negara itu.

Petugas kecemasan semalam mula menilai kerosakan ekoran taufan terburuk di negara terbabit sepanjang 14 tahun ketika usaha menyelamat besar-besaran dilakukan bagi mengagihkan makanan, membersihkan jalan dan membantu mereka yang cedera.
Kawasan paling teruk terjejas ialah di sekitar bandar Gopalpur dengan Phailin bertiup dengan kelajuan 200 kilometer sejam.


Bandar itu masih terputus hubungan dengan perkhidmatan kecemasan.
Di tempat lain, bumbung diterbangkan, pokok tumbang di sepanjang laluan dan serpihan objek melayang di sekitar jalan raya di Bhubaneswar, di mana ribut kian reda dan hujan lebat sepanjang malam turut berhenti.
“Pasukan kami berselerak di kawasan terjejas, mereka menjalankan operasi mencari dan cuba memeriksa sama ada terdapat kemalangan jiwa, di samping memeriksa tahap kerosakan,” kata pegawai kanan tentera untuk Maklum Balas Bencana Kebangsaan, Sandeep Rai Rathore.

Pesuruhjaya Kecemasan negeri Orissa, Pradipta Kumar Mohapatra memberitahu media, tiga orang disahkan maut, manakala yang lain menganggarkan jumlah kematian ialah tujuh orang.

“Tugas kami hampir selesai di zon bahaya. Akhirnya kami berjaya memindahkan 861,000 orang. Ia mungkin proses pemindahan terbesar di India,” katanya.

Dengan 100,000 penduduk di negeri Andhra Pradesh dipindahkan kelmarin, jumlah keseluruhan mungkin melebihi sejuta orang. Anggota Parlimen tempatan Orissa, Jay Panda memberitahu televisyen tempatan bahawa tujuh orang terbunuh.

“Angka kemalangan jiwa akan berubah selepas maklumat dari kawasan terpencil diterima kerana terdapat beberapa kawasan yang terputus hubungan komunikasi,” katanya kepada NDTV.

Bilangan mangsa yang terkorban lebih rendah daripada jangkaan kerana bantuan kecemasan disalurkan lebih awal sebelum ribut melanda. - AFP

Lelaki berpakaian tentera tembak mati askar AS


Kabul: Seorang lelaki tempatan berpakaian tentera menembak mati seorang tentera AS di timur Afghanistan dan membunuh sekurang-kurangnya seorang orang awam semalam.

‘Serangan dalaman’ di wilayah Paktika itu adalah kejadian keempat berlaku ketika tentera bersekutu dijadual berundur akhir tahun ini.
Rancangan bual bicara Reuters semalam berkata insiden itu adalah yang ke-10 tahun ini dan bilangan tentera asing yang mati meningkat 15 orang.

“Seorang lelaki Afghanistan berpakaian seragam tentera menembak seorang tentera Amerika di bandar Sharana dekat pejabat gabenor,” kata seorang pegawai negara itu dalam satu kenyataan, semalam.


Menurutnya, dua lagi tentera Amerika cedera.


Tentera bersekutu yang diketuai Nato mengesahkan seorang tentera ditembak lelaki berpakaian seragam pasukan itu tetapi tidak menjelaskan identiti penyerang.

Serangan dalaman itu meningkatkan lagi ancaman terhadap tentera asing yang berada di Afghanistan ketika ini.

Semalam, Setiausaha AS, John Kerry dan Presiden Afghanistan Hamid Karzai mengumumkan mereka sudah mencapai persetujuan awal mengenai pakatan ketenteraaan kedua-dua pihak. - Reuters

5 ditembak dalam sambutan tahun baru


Oklahoma: “Polis menahan dua suspek Hmong dalam serangan di sambutan Tahun Baru kaum itu di Tulsa, Oklahoma, yang mencederakan lima orang.

Kapten Mike William berkata polis belum mengetahui motif kejadian tembakan malam Sabtu lalu di Green Country Event Center.


Menurutnya helikopter polis yang berlegar di kawasan itu terserempak kenderaan suspek yang memandu tanpa memasang lampu.

Katanya, polis menahan dua suspek selepas mengejar mereka dan merampas senapang separa automatik dipercayai digunakan dalam serangan itu.


Semua lima mangsa keturunan Hmong. Dua mangsa dirawat kerana kecederaa di tubuh dan tiga lagi di tangan dan kaki. - AP

Pembunuh ditangkap lepas 22 tahun


New York: Polis semalam menahan seorang lelaki mengaku membunuh dan melakukan penderaan seks terhadap seorang budak perempuan yang disumbat dalam peti penyejuk 22 tahun lalu.

Akhbar tempatan mengenal pasti suspek, Conrado Juarez dari Bronx, sebagai sepupu mangsa, Anjelica Castillo.
Polis berkata Juarez, 52, ditahan Jumaat lalu dan didakwa atas tuduhan membunuh.
Ketua Polis New York Ray Kelly berkata, Juarez mengaku melakukan jenayah itu.
“Juarez mengaku mencabuli Anjelica dan kemudian membuang mayatnya dengan bantuan kakaknya (Balvina Juarez-Ramirez) yang sudah meninggal dunia,” kata Kelly.
Kelly memuji pegawai polis yang bertungkus-lumus sehingga berjaya menjejak pembunuh mangsa.

Menurutnya, kejayaan itu ekoran maklumat diterima polis sehingga kakak dan ibu mangsa ditemui.

Lebih dua dekad, Angelica hanya dikenali sebagai “Baby Hope” nama diberikan detektif yang mengebumikannya pada 1993, selepas tiada saudara-mara menuntut mayat mangsa.

Kes pembunuhan kejam itu menggemparkan New York kerana ketiadaan bukti.

Mayat mangsa ditemui pada 23 Julai, 1991 dalam peti penyejuk air ditinggalkan di tepi jalan. - AFP

15 kanak-kanak terbunuh dalam nahas bot


Mopti (Mali): Dua puluh orang terbunuh, termasuk 15 kanak-kanak apabila sebuah bot di Sungai Niger pecahberhampiran bandar Mopti.

Pihak berkuasa berkata, 23 lagi hilang dalam insiden yang berlaku malam kelmarin itu.


“Kami belum dapat memastikan bagaimana bot itu pecah,” kata Komander Dramane Diallo daripada khidmat penyelamat kepada media.

Menurutnya bot itu pecah di anak sungai berkenaan dekat dengan Kampung Koubi, kira-kira 70 kilometer di utara Mopti dan 210 penumpang terselamat dalam nahas terbabit.


Pegawai kanan perlindungan awam, Komander Naman Keita mengesahkan jumlah kematian terbaru itu sambil menambah mayat 15 kanak-kanak berusia bawah lima tahun antara yang ditemui. Operasi mencari mangsa yang terselamat dan yang terkorban digantung pada waktu malam dan akan disambung hari ini.


Diallo berkata, bot itu turut dipenuhi dengan barang. Gabenor Mopti Ibrahima Hama Traore berkata, petugas penyelamat dibantu penduduk Koubi dan bot lain.

“Ini membolehkan 20 mayat ditemui. Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan,” katanya di televisyen awam. Menurutnya, nahas seperti itu adalah perkara biasa yang terjadi di sungai terbabit, tetapi jumlah mereka yang terkorban dalam bencana kelmarin “sangat luar biasa”. - Agensi