Mayat Khng Seng Kiat, 59, dari Kamunting, Taiping yang lengkap berbaju tidur itu dijumpai orang ramai di kawasan flat usang 15 tingkat tidak berpenghuni.

Difahamkan, mangsa datang ke flat itu dengan sebuah kereta Nissan Sentra dan dipercayai berlegar-legar sekitar bangunan berkenaan antara jam 10 hingga 11 pagi sebelum ditemui mati.

Saksi memaklumkan, ketika kejadian dia berada di sebuah kedai di tingkat bawah flat terbabit sebelum terdengar benda terjatuh kira-kira jam 1 petang.

“Apabila saya menjenguk ke luar, saya terkejut melihat seorang lelaki tua terbaring berlumuran darah,” katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.

Sementara itu, jurucakap polis memberitahu, pihaknya tidak dapat memberikan sebarang maklumat lanjut kerana belum menerima laporan lengkap mengenai kejadian itu.

Berikutan itu, orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut diminta tampil membantu siasatan.

Sementara itu, di Taiping, seorang warga emas maut serta merta setelah terlibat dalam kemalangan membabitkan dua motosikal di hadapan Hotel Meridien, Jalan Taiping, Simpang, selepas persimpangan lampu isyarat Jalan Kota, kira-kira jam 6.30 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, mangsa Ooi Beng Hock, 64, dari Pokok Assam dipercayai dalam perjalanan ke Taiping sebelum bertembung dengan motosikal dari arah Simpang ke Taiping.

“Mangsa yang parah meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Taiping untuk bedah siasat.

"Manakala seorang lagi mangsa, Muhamad Taufiq Johari, 18, dari Jalan Melintang, Kampung Pinang, parah dan dirawat di hospital sama. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.