
Sham(dua, kiri) meneliti keadaan mangsa di Hospital Parit Buntar sambil diiringi Norsalewati (kiri) dan Abu Bakar (dua, kanan).
PARIT BUNTAR - Mangsa dera yang didakwa dikurung dan dibiarkan kelaparan selama empat hari oleh keluarga anak lelakinya di Lembah Beriah, Bagan Serai minggu lalu, masih trauma dengan kejadian menimpa dirinya dan enggan pulang ke rumah.
Mangsa yang hanya dikenali Sharifah, 55, berkata, walaupun dia kini diselamatkan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan polis dan ditempatkan di Hospital Parit Buntar, segala bentuk penderaan fizikal dan mental yang dikenakan ke atas dirinya masih kekal dalam ingatannya pada setiap masa.
Sharifah yang berasal dari Pokok Assam, Taiping turut mendedahkan kejadian penderaan ke atas dirinya sudah berlaku sejak lebih setahun lalu, setelah dia berpindah dari Kuantan, Pahang untuk tinggal bersama anak bongsunya.
“Sebelum ini, makcik tinggal bersama anak sulung dan kakak di Kuantan, Pahang, bagaimanapun masalah kesempitan hidup menyebabkan makcik terpaksa berpindah ke Lembah Beriah untuk tinggal bersama anak bongsu.
“Sejak tinggal bersama keluarga anak bongsu, dia bukan sahaja sering memarahi saya, malah isterinya turut bertindak menarik sanggul rambut dan menampar saya atas kesalahan yang tidak diketahui,” katanya sewaktu ditemui media selepas menerima kunjungan ziarah Adun Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat di Hospital Parit Buntar, di sini semalam.
Turut hadir Bendahari Umno bahagian Parit Buntar, Abu Bakar Md Taib dan Ketua Penerangan Wanita Umno bahagian Parit Buntar, Norsalewati Mat Norwani.
Lebih menyedihkan, Sharifah turut mendedahkan dia sering menjadi mangsa sepak terajang cucunya dan perkara itu dibiarkan oleh anak lelaki dan menantunya walaupun berulang kali dilalukan.
Menurutnya, dia juga mengakui sudah dikurung oleh keluarga anak lelakinya sejak tinggal bersama selain kerap dibiarkan kelaparan selama beberapa hari.
“Kalau makcik diberi peluang duduk tempat lain, makcik rela. Makcik sudah tidak sanggup diperlakukan seperti binatang oleh anak sendiri.
“Depa (JKM) kata akan pindahkan makcik ke Rumah Seri Kenangan di Taiping selepas laporan perubatan selesai. Kalau dibenarkan duduk sana secara tetap, makcik rela,” katanya.
Sementara itu, Sham ketika ditemui berasa sedih dengan kejadian menimpa mangsa dan menyifatkannya perbuatan zalim.
Menurutnya, kekesalan beliau bertambah setelah dimaklumkan pihak hospital bahawa mangsa sebenarnya tidak mengalami gangguan mental sebagaimana didakwa anaknya sendiri.
“Saya turut sedih setelah difahamkan tiada seorang pun anaknya yang datang menjenguk keadaan mangsa di hospital walaupun sudah dimaklumkan.
“Bagi saya, anak lelaki mangsa perlu diberikan kaunseling bagi mengenal pasti punca sebenar ibunya tidak diberikan perhatian sewajarnya oleh mereka,” katanya. Sham turut menolak keperluan menggubal semula Akta Keganasan Rumah tangga supaya hukuman lebih berat dikenakan ke atas pesalah yang mendera ahli keluarga sendiri.
“Segalanya bergantung kepada sikap manusia kerana tiada guna mengenakan peraturan yang ketat sekiranya kesedaran terhadap kepentingan menjaga keselamatan ahli keluarga tiada,” katanya.
Sham turut menegaskan pihak JKM sudah memberi jaminan kepadanya untuk menempatkan mangsa di Rumah Perlindungan Seri Kenanga, Taiping sebaik sahaja laporan perubatan selesai.
“Saya ingin menyeru semua orang mengambil iktibar daripada peristiwa ini dan tanamkan sifat sayang kepada ahli keluarga sendiri,” katanya.