Search This Blog

Wednesday, October 9, 2013

Ribut: Gelas pecah, peti sejuk terbalik


  • Ribut: Gelas pecah, peti sejuk terbalik Jah menunjukkan kelengkapan elektrik biliknya yang mengalami kerosakan (kiri) dan seorang penduduk menunjukkan keadaan bumbung rumah yang diterbangkan angin.
  • Ribut: Gelas pecah, peti sejuk terbalik
  • Ribut: Gelas pecah, peti sejuk terbalik Ahli keluarga Zulkifli berteduh di bahagian kediaman yang masih berbumbung.
  • Ribut: Gelas pecah, peti sejuk terbalik Keadaan sebuah rumah penduduk yang mengalami kerosakan.
< 1 / 4 >
ALOR SETAR - “Tiba-tiba gelas pecah, air menitis memasuki rumah, peti sejuk terbalik, kediaman cerah serta-merta,” demikian dakwaan seorang mangsa ribut, Zulkifli Lebai Yaakob, 52 yang terkejut melihat bumbung rumahnya diterbangkan angin.

Difahamkan, dalam kejadian jam 11.55 pagi kelmarin, kira-kira lima daripada 12 kediaman penduduk di Kampung Pulau Binjal, Mukim Tajar, dekat sini, mengalami kerosakan serius akibat dilanda ribut.

Zulkifli berkata, kebiasaannya, hanya isteri dan cucu sahaja berada di rumah, namun secara kebetulan semasa kejadian, dia baru pulang dari tempat kerjanya di sekolah berhampiran.

“Rasanya, saya baru sahaja buka kasut untuk memasuki rumah, namun dalam sekelip mata sahaja tidak sampai seminit, bumbung kediaman kami telah tiada akibat dibawa pusaran angin terbabit dipercayai puting beliung.

“Saya tidak dengar sebarang bunyi kuat, jadi saya tak sangka bumbung akan diterbangkan angin hingga separuhnya jatuh berdekatan rumah jiran, manakala selebihnya terbang sejauh 500 meter masuk kawasan hutan,”
katanya.

Menurut Zulkifli, ribut tidak pernah melanda kawasan ini, yang mana cuaca pada hari itu juga baik, cuma hujan renyai sahaja.

Bagaimanapun, katanya, dia bersyukur kerana semua ahli keluarganya selamat dan tidak cedera, namun lebih 11 ahli keluarganya terpaksa menumpang berteduh di  Dewan Umno Kampung Pulau Binjal.

Ia berikutan hanya kawasan dapur terselamat, manakala kira-kira 70 peratus bumbung kediaman Zulkifli dibawa angin sehingga menyebabkan kerugian kira-kira RM16,000 akibat pelbagai kelengkapan perabot dan elektrik rosak.

Tidak sempat padamkan dapur

Sementara itu, Che Om Che Nik, 67, berkata, dia terkedu seketika sewaktu mendengar bunyi objek besar dan kuat seolah-olah sedang menghentam kediamannya, malah turut mengangkat satu persatu bumbung zink dapurnya itu.

Katanya, sewaktu kejadian, dia yang berada betul-betul di bawah zink dapur untuk memasak nasi sememangnya terkejut, namun sempat melarikan diri bersama cucunya.

“Semasa ribut melanda kediaman kami, saya tidak ingat apa-apa selain ingin menyelamatkan diri kami berdua kerana tiang kayu rumah mulai jatuh satu persatu . Malah, api dapur pun tidak sempat dipadamkan sebab terlalu
takut,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini, dia masih trauma berhubung kejadian itu hingga kakinya masih terketar-ketar untuk berjalan kerana dirasakan tidak selamat.

Kaki terpaku

Bagi Jah Hamid, 74, sebab terlalu takut dengan kejadian ribut yang pertama kali berlaku itu, kakinya terpaku hingga terpaksa menyelamatkan diri dalam rumah sahaja.

Katanya, dia terkejut mendengar bunyi bising sehingga kakinya seolah-olah tidak dapat bergerak untuk menyelamatkan diri, malah mengalirkan air mata ketakutan sebab hanya bersendirian di rumah ketika itu.

Situasi dialami kebanyakan mangsa ribut berkenaan, bagaimanapun mendapat perhatian Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pulau Binjal, Yaacob Said, 70, yang meminta bantuan anak buahnya untuk membantu mangsa terlibat.

Justeru, orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan demi meringankan kesulitan dialami mangsa ribut berkenaan boleh melakukannya dengan Tabung Bencana Alam Kampung Pulau Binjal mahupun melalui Bank Muamalat di atas nama JKKK Kampung Pulau Binjal (0201-0001-489-71-9).

Kilang roti antara 12 premis kotor diarah tutup


9 Oktober 2013
GEORGETOWN - Dua belas premis makanan kotor termasuk sebuah kilang roti diarah tutup oleh Jabatan Kesihatan Pulau Pinang setelah gagal mematuhi peraturan kebersihan.
 
Timbalan Pengarah Kesihatan (Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan), Ku Nafishah Ku Ariffin berkata, hasil risikan dan maklumat awam mendapati amalan penyediaan roti di kilang di Bayan Baru itu tidak memenuhi standard kebersihan yang ditetapkan selain menggunakan peralatan kotor.
 
"Selain kebersihan premis tidak memuaskan, pekerjanya juga tidak memakai pakaian pengendali makanan lengkap seperti topi dan sarung tangan," katanya pada sidang media di sini hari ini.
 
Beliau berkata dalam 'Ops Food Court' selama tujuh jam berakhir pukul 1 pagi itu, sebanyak 115 premis makanan diperiksa dan sebilangan besar pemiliknya mempunyai kesedaran tinggi mengenai tatacara penyediaan makanan yang betul berikutan operasi seumpama itu kerap dilakukan dari semasa ke semasa.
 
Katanya daripada jumlah itu hanya sebuah premis diarah tutup bagi Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) serta Seberang Perai Selatan (SPS) manakala Daerah Timur Laut dan Daerah Barat Daya masing-masing lima buah.

"Antara kes lain yang dikesan adalah terdapat najis tikus serta lipas di dalam premis, bahan makanan diletakkan di atas lantai serta peti sejuk tidak berfungsi," katanya.
 
Ku Nafishah berkata, premis terbabit diarah tutup dalam tempoh 14 hari mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 dan mereka harus menjalankan kerja pembersihan sebelum diperiksa sekali lagi dan dibenarkan berniaga semula.
 
Dalam operasi itu pihak berkuasa tempatan turut mengeluarkan 55 kompaun berjumlah RM4,600 atas kesalahan tidak menyediakan perangkap minyak pada saluran buangan dari dapur dan tidak mempamerkan lesen perniagaan.
 
Orang ramai boleh menghubungi jabatan itu di talian 04-2017277 jika mempunyai sebarang aduan melibatkan premis makanan kotor di negeri ini.  - Bernama

Geng samun ditahan polis

Geng samun ditahan polisMohd Mokhtar menunjukkan barang-barang yang dirampas polis dalam serbuan yang dilakukan.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, kesemua lelaki terbabit ditahan susulan maklumat diterima pihaknya berhubung kejadian samun berlaku di hadapan bangunan JB Waterfront di Jalan Selat Tebrau, di sini.

“Polis menerima maklumat menyatakan satu kejadian samun telah berlaku sekitar jam 6 pagi. Dalam kejadian ini, empat lelaki bersenjatakan parang telah menyamun mangsa dan melarikan teman wanita mangsa.

“Selain samun dan melarikan wanita terbabit, kumpulan ini juga turut terlibat dalam kejadian pecah rumah di Majidee diikuti samun di kedai serbaneka 24 jam.

“Bagaimanapun, bertindak atas maklumat, pada jam 7.15 petang, polis telah membuat serbuan di sebuah hotel bajet dan berjaya menahan empat lelaki terbabit kerana disyaki terlibat dalam kes ini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini semalam.

Mohd Mokhtar berkata, dalam serbuan itu, polis berjaya menemui semula teman wanita yang dilarikan suspek dan merampas pelbagai barang.

“Antara barang yang dirampas adalah tujuh telefon bimbit, 40 biji pil dipercayai eramin 5, sepaket ‘substance’ dipercayai syabu bersama peralatan menghisap syabu, 212 unit kad prabayar dan sebuah kereta bersabit laporan di Tampoi.

“Selain itu, polis juga merampas empat parang, dua pisau dapur, seunit ‘crowbar’, seunit ‘cutter’ dan sebuah motosikal dilaporkan hilang bersabit repot di Taman Pelangi,” katanya.

Katanya, kesemua suspek tiada rekod jenayah lampau dan ditahan reman selama enam hari sehingga 12 Oktober ini.
Beliau memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun berserta sebatan.

“Kes ini turut disiasat di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tujuh tahun dan denda.

“Kejayaan ini membolehkan pihak polis menyelesaikan 16 kes samun dan tujuh kes pecah rumah di kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan,” katanya.

Mohd Mokhtar menasihatkan orang ramai supaya tidak berada di kawasan yang sunyi bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa jenayah.

Lelaki samun rangkaian farmasi bekas majikan


  • Din menunjukkan baki wang tunai yang dijumpai bersama suspek dipercayai hasil kegiatan samun dilakukannya.
BATU PAHAT - Pengalaman lama bekerja di sebuah rangkaian farmasi terkenal, modus operandi digunakan seorang lelaki menyamun beberapa premis sama di negeri ini.

Bagaimanapun, tindakannya terbongkar apabila dia ditahan polis, 21 September lalu, di Johor Bahru, dipercayai ketika sedang merancang untuk melakukan samun.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, kegiatan terakhir dilakukan lelaki itu pada 15 September lalu, dengan memasuki sebuah  farmasi di Yong Peng.

Menurutnya, lelaki terbabit mengarahkan salah seorang pekerja membuka peti besi kemudian mengikat semua kakitangan bertugas.

Jelasnya, lelaki berkenaan yang telah memastikan tiada pelanggan lain turut menakutkan pekerja farmasi dengan sebilah pisau dibawanya.

“Suspek telah berjaya melarikan wang tunai berjumlah RM19,800 kemudian melarikan diri ke Johor Bahru.

“Hasil penahanan suspek berumur 24 tahun itu, polis turut merampas pelbagai barangan yang dipercayai digunakan untuk menyamun mangsa di beberapa farmasi,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Din berkata, selain di Yong Peng, tiga farmasi lain telah berjaya disamun dan dengan tertangkapnya lelaki berkenaan, polis berjaya menyelesaikan ketiga-tiga kes itu.

Tambahnya, hasil maklumat saksi dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperoleh pada hari kejadian juga membantu polis  mengesan lelaki itu.

“Suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 14 tahun  dan denda.

“Pihak polis juga sedang menjalankan siasatan lanjut dengan kes samun serupa yang membabitkan farmasi di beberapa daerah lain termasuk di Kulaijaya dan Johor Bahru yang dipercayai turut melibatkan suspek,” katanya.

Remaja ditahan bungkus dadah

9 Oktober 2013
Remaja ditahan bungkus dadahDin menunjukkan dadah yang ditemui polis dalam serbuan di sebuah rumah Isnin lalu.

BATU PAHAT - Seorang remaja lelaki berumur 13 tahun sanggup berhenti sekolah untuk membungkus dadah bagi meraih pendapatan lumayan dan mudah pada usia muda yang dilakukan bersama kakak dan teman lelaki kakaknya.

Bagaimanapun, remaja terbabit ditahan sepasukan polis di sebuah rumah di sini,  Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, dalam serbuan itu, pihaknya berjaya menahan lima suspek berumur sekitar 13 hingga 46 tahun termasuk remaja berkenaan.

Menurutnya, semua suspek tidak menyedari kehadiran polis dalam serbuan sekitar jam 11 malam itu, kerana sedang asyik membungkus dadah yang bakal diedarkan kepada pelanggan mereka.

Tambahnya, polis percaya lelaki berusia 46 tahun, teman lelaki kepada kakak remaja berkenaan adalah ketua kumpulan.

“Berdasarkan maklumat, lelaki terbabit dikatakan sering menumpang rumah didiami teman wanita bersama adiknya itu.

“Hasil pemeriksaan di rumah terbabit,polis berjaya menemui dadah jenis heroin dan syabu masing-masing seberat 292.15 gram dan 5.6 gram yang masih dalam proses pembungkusan,” katanya, di sini, semalam.

Din berkata, dadah jenis heroin dan syabu yang ditemui itu dianggarkan bernilai RM7,740 dan harga pasaran mungkin mencecah sehingga RM20,000 selain mampu memberikan bekalan kepada 100 penagih.

Jelasnya, semua dadah tersebut dipercayai untuk edaran tempatan dan luar daerah, terutamanya di sekitar utara negeri ini.

Beliau berkata, semua suspek kini ditahan reman sehingga 14 Oktober ini bagi membantu siasatan.

“Siasatan awal mendapati, suspek adalah penduduk tempatan dan masih bujang selain tidak mempunyai sebarang pekerjaan,” katanya.

Selain itu, katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan polis turut berterima kasih kepada orang awam yang menyalurkan maklumat sehingga membolehkan pihaknya melumpuhkan sindiket terbabit.

Polis dedah nama, gambar dalang bunuh Najadi



9 Oktober 2013
PDRM
PDRM


KUALA LUMPUR - Polis hari ini mendedahkan nama dan gambar lelaki disyaki dalang kes pembunuhan pengasas kumpulan perbankan Arab-Malaysian (Ambank) Hussain Ahmad Najadi, yang dipercayai meninggalkan negara selepas kejadian pembunuhan itu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata lelaki tempatan itu, Lim Yuen Soo, 53, beralamat terakhir di No. 9, Jalan Bayu Segar 3, Bayu Segar, Cheras, Kuala Lumpur, juga merupakan majikan suspek utama kes itu.

Beliau berkata orang ramai yang mengenali Lim diminta tampil membantu siasatan dan menurutnya polis turut meminta bantuan Interpol di Australia bagi menangkapnya untuk dibawa balik ke Malaysia dan dihadapkan ke mahkamah.

"Lelaki ini sebenarnya terlibat dalam perniagaan pusat hiburan dan merupakan pemilik beberapa kawasan parkir di ibu negara," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) di sini, hari ini.

Pada 1 Oktober lepas, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata lelaki terbabit dipercayai melarikan diri ke Australia selepas pembunuhan itu.

Pada 22 September lepas, suspek utama kes itu ditahan bersama-sama dua rakannya dalam serbuan 12.30 tengah malam di sebuah rumah di Taiping, Perak, dan pada 3 Oktober lepas dia dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas tuduhan membunuh.

Hussain, 75, maut manakala isterinya cedera parah akibat ditembak dari jarak dekat di kawasan parkir kereta sejurus keluar dari Tokong Kuan Yin di Lorong Ceylon di sini pada 29 Julai lepas.

Mohmad berkata usaha mencari senjata api yang digunakan dalam pembunuhan Hussain masih diteruskan.

"Kami masih meneruskan pencarian senjata itu, bukan perkara yang mudah untuk mencari senjata yang kecil di lombong yang agak besar itu. Tapi kita akan tetap teruskan dengan kemampuan penyelam-penyelam yang polis ada untuk kita terus mencari," katanya.

Pada 30 September lepas, polis  menjalankan operasi mencari pistol yang diguna dalam pembunuhan Hussain yang telah dibuang di kawasan Tasik Mines bersebelahan Lebuhraya Besraya.  - Bernama

Dua maut nahas di Maran


9 Oktober 2013
KUANTAN - Seorang lelaki maut apabila motosikal ditunggangnya dilanggar sebuah van di KM47 Jalan Temerloh-Bandar Jengka dekat Maran malam tadi.

Nor Fadli Mohd Nor, 32, dilanggar van terbabit yang datang dari arah Temerloh menghala ke Bandar Jengka ketika keluar dari Simpang Ladang ke jalan besar di situ pada 8.40 malam.

Pemangku Penguatkuasa Tadbir/Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang Asisten Komisioner, Zainalabidin Othman berkata lelaki itu mati di tempat kejadian.

Sementara itu dalam satu lagi kejadian pada 9.30 pagi semalam, seorang lagi penunggang motosikal maut manakala rakannya parah apabila motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di KM51.2 Jalan Temerloh-Bandar Jengka berhadapan Masjid Sultan Ahmad Shah di daerah sama.

Mohd Khairol Mohd Khir, 27, mati di temaot kejadian manakala Norhidayah Mohd Nor, 23, cedera parah di kepala. - Bernama

Guru menyamar polis ditahan bersama pistol tiruan


9 Oktober 2013
SHAH ALAM - Polis menahan seorang guru yang menyamar sebagai anggota polis dan merampas sepucuk pistol tiruan ketika lelaki itu cuba memperdaya dua lelaki warga Bangladesh di sebuah hotel butik di Dengkil, dekat sini Jumaat lepas.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata lelaki itu ditahan dalam Ops Cantas Khas di kawasan itu kira-kira 10.30 malam.

Beliau berkata selain pistol tiruan, polis turut merampas sebuah beret yang mempunyai logo Polis Diraja Malaysia (PDRM), alat walkie-talkie, dua bilah pisau, kad kuasa polis yang palsu dan rantai bertulis nama 'ASP Izani' daripada suspek.

"Siasatan lanjut mendapati suspek berumur 36 tahun dan merupakan seorang guru di sebuah sekolah rendah di Putrajaya," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Mohd Shukri berkata polis sedang menyiasat kemungkinan suspek mempunyai kaitan dengan kes-kes lain membabitkan individu menyamar anggota polis.

Katanya suspek ditahan reman sehingga 12 Oktober ini untuk siasatan.

Dalam pada itu, Mohd Shukri berkata sejak 5 September hingga 7 Oktober lepas, polis menahan 160 individu dipercayai anggota sembilan kumpulan kongsi gelap seperti Geng 04, 08, 18, 21, 24, 36, 37, Double 7 dan Satu Hati dalam Ops Cantas Khas.

Beliau berkata kesemua mereka ditahan mengikut Akta Pertubuhan 1966.

"Sehingga kini, operasi itu menghasilkan 2,259 tangkapan atas pelbagai kesalahan jenayah dan 1,019 barang rampasan seperti senjata berbahaya, dadah, pistol, peralatan pecah rumah dan kenderaan serta wang tunai berjumlah RM2,443.15," katanya.

Mohd Shukri berkata antara 115 dan 125 sekatan jalan raya dijalankan setiap hari di seluruh Selangor sejak operasi itu bermula dan 86,733 orang diperiksa.

Beliau berkata 4,344 serbuan juga telah dijalankan sepanjang operasi itu membabitkan premis, rumah, pusat hiburan dan 'hot spots' aktiviti jenayah di seluruh Selangor. - Bernama

Tergamam rumah tinggal rangka

Tergamam rumah tinggal rangkaNormah menunjukkan rumah pusaka yang didiami hangus dijilat api.

PONTIAN - Jeritan penunggang motosikal yang ternampak api dan kepulan asap menyelamatkan sepasang warga emas yang tinggal di sebelah rumah yang sedang dijilat api itu.

Kebakaran kira-kira jam 6 petang kelmarin, memusnahkan keseluruhan rumah pusaka kayu yang didiami seorang ibu tunggal Normah Bidin, 68, di Rimba Terjun

Bagaimanapun, ketika kejadian, penghuni rumah itu tiada di rumah kerana ke bandar untuk membeli barang keperluan untuk membuat nasi lemak dan kuih muih yang dijual setiap pagi.

Menurut Zakiah Bidin, 66, dia hanya menyedari rumah kakaknya mula dijilat api setelah terdengar jeritan seorang penunggang motosikal yang lalu di hadapan rumah mereka.

“Ketika itu hanya saya dan suami (Abdul Ghafar, 72) berada di rumah. Kami terkejut mendengar jeritan dari luar rumah meminta kami keluar kerana rumah terbakar.

“Alangkah terkejut saya melihat rumah kakak yang berada di sebelah rumah kami sedang terbakar,” katanya.

Dia kemudiannya meminta bantuan jiran yang kemudiannya bertindak menghubungi pihak bomba.

Jelasnya, penduduk kampung membantu menyiram air di kawasan rumahnya bagi mengelak api merebak.

“Mujur kami sedar kebakaran itu sedang berlaku dan dapat menyelamatkan diri, asap mula tebal dan kedudukannya terlalu hampir, hanya kira-kira lima meter dari rumah kami,” katanya.

Bagi Normah, dia bersyukur kerana gerak hatinya untuk keluar membeli barang pada hari kejadian menyelamatkan nyawanya.

“Sehari sebelum kejadian, saya mula rasa tidak sedap hati dan bermimpi penduduk kampung datang beramai-ramai di hadapan rumah.

“Saya tidak endahkan mimpi itu dan menganggap ia mainan tidur, rupanya ia menjadi petanda rumah pusaka yang saya diami sejak 50 tahun lalu musnah terbakar,” katanya.

Menurut Normah, dia diberitahu seorang penduduk kampung melalui panggilan telefon mengenai kejadian itu.

“Saya tergamam melihat hanya rangka rumah sahaja yang masih tinggal, habis semua perkakasan rumah terbakar.

“Saya bersyukur kerana adik yang tinggal di sebelah rumah tidak cedera. Buat masa sekarang saya akan menumpang sementara di rumah adik,” katanya.

 Sementara itu, Ketua Balai Bomba Pontian Baru, Zulbairy Sulong berkata, 13 anggota dan dua jentera dari Balai Bomba Pontian Baru dan Jalan Al-Sagoff dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan jam 6.08 petang.

Jelasnya, setiba di lokasi kebakaran, keseluruhan bahagian rumah kayu sudah musnah dijilat api.

“Bagi mengelakkan api dari marak ke rumah sebelah yang begitu hampir kedudukannya, semburan air dilakukan ke dalam bahagian rumah,” katanya.

Ketua kampung kawasan (5) Mukim Rimba Terjun, Daud Sanusi berkata, pihaknya akan membantu Normah membuat permohonan mendapatkan rumah baru.

Katanya, bantuan dari pihak Adun Kukup, Suhaimi Salleh dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) seperti makanan dan pakaian telah dihulurkan kepada Normah.

Cari besi sambil mencuri

Cari besi sambil mencuriPencari barang lusuh menggunakan kenderaan seperti beca atau basikal untuk mengangkut hasil barangan yang diambil dari rumah penduduk atau kawasan lain.

BALAI BESAR - Barangan terbuang berharga seperti besi buruk yang ditinggalkan di kawasan persekitaran rumah kini menjadi buruan segelintir pencari besi buruk untuk dijual di kedai barangan lusuh.

Namun yang membimbangkan, ada pencari besi buruk ini mengambil kesempatan ketika penghuni tiada di rumah dengan mengambil barang-barang tidak sepatutnya.

Seorang penduduk, Maziawati Mamat, 31, mendakwa, dia pernah menjadi mangsa apabila basikal milik anak lelakinya yang diletakkan di garaj hilang.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku ketika mereka sekeluarga tiada di rumah kerana keluar bekerja iaitu antara jam 9 pagi hingga 5 petang.

“Masa pemilik rumah keluar bekerja, mereka akan masuk ke kawasan rumah, terutama jika pagar tidak berkunci.

“Kejadian ini amat membimbangkan kita kerana golongan seperti ini boleh melakukan perkara lain yang di luar jangkaan termasuklah memecah masuk rumah kita,” katanya.

Pesara kerajaan, Alias Senik, 57, berkata, pihak berkenaan diharap dapat memantau aktiviti jual beli di pusat barangan lusuh bagi memastikan tiada barang curi yang dijual, selain melakukan rondaan lebih kerap di kawasan perumahan penduduk.

Katanya, penghuni rumah juga perlu mengambil langkah keselamatan dengan tidak meletakkan barangan seperti besi di kawasan mudah dilihat.

“Berdasarkan rupa mereka, saya berpendapat sebahagian besar daripada pencari bahan terbuang ini adalah penagih dadah.

“Kita bimbang sekiranya mereka turut bersenjata sewaktu memasuki rumah kita, kalau mereka cari barangan lusuh tapi tak ada, takut nanti mereka ugut kita minta barang lain pula," katanya.

Curi coklat, selit celah pinggang

Curi coklat, selit celah pinggangMohd Khairi yang memiliki dua rekod jenayah lampau mencuri sebelum ini, sekali lagi dijatuhi hukuman tiga bulan penjara selepas mengaku bersalah mencuri coklat bernilai keseluruhan RM94.40 milik Pasar raya Mydin Mall, di sini.

KUALA TERENGGANU - Seorang buruh ternyata masih lagi tidak serik apabila mengulangi jenayah sama iaitu mencuri beberapa jenis coklat milik Mydin Mall, di sini, walaupun sebelum ini pernah dua kali dikenakan hukuman atas kesalahan sama.

Semalam, di Mahkamah Majistret, buat kali ketiga Mohd Khairi Noh @ Mat Noh, 31, dari Selangor, dijatuhi hukuman tiga bulan penjara selepas mengaku bersalah mencuri coklat milik Mydin Mall, 3 Oktober lalu.

Mohd Khairi mengaku bersalah mencuri empat keping coklat Dairy Milk Vanilla empat keping coklat Dairy Milk Hazel Nut dan lapan keping coklat Dairy Milk Chocolate di pasar raya berkenaan kira-kira jam 5.30 petang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, gerak geri Mohd Khairi yang mencurigakan telah disedari seorang pembantu penyelia keselamatan, Ibrahim Mat Piah, 34, sebelum bertindak menahannya di luar pasar raya dan dibawa ke bilik khidmat pelanggan untuk membuat pemeriksaan.

Hasil pemeriksaan, Ibrahim berjaya menemui coklat-coklat berkenaan, diselitkan di celah pinggang di bahagian hadapannya, manakala lapan keping lagi diselitkan dicelah pinggang di bahagian belakang.

Mohd Khairi mengaku mencuri kesemua coklat yang bernilai keseluruhan RM94.40 itu sebelum diserahkan kepada polis.

Dituduh rompak treler bawa muatan syampu

Dituduh rompak treler bawa muatan syampuKeadaan kenderaan yang terperosok di bawah treler akibat kemalangan berkenaan.

SHAH ALAM - Lima lelaki dihadapkan ke mahkamah sesyen di sini semalam, atas pertuduhan melakukan rompakan secara berkumpulan ke atas sebuah treler yang membawa muatan syampu dengan bersenjatakan parang menyebabkan kerugian berjumlah RM49,000 pada Ogos lepas.

Hanafiah Musukutty, 38; KR Nandakumar, 31; T Sukumaran, 32; K Murugan, 30; dan VP Nala, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar.

Hanafiah ialah seorang penganggur, Nandakumar seorang pemandu lori, Sukumaran pengawal keselamatan, Murugan pemandu lori dan Nala seorang kelindan lori.

Mereka didakwa bersama-sama tiga lagi melakukan kesalahan itu ke atas treler bernombor pendaftaran BHS 2556 milik syarikat Ska Transport Sdn Bhd di Lot 4, Jalan Gitar 33/3, Seksyen 33 di sini pada 1.30 pagi 19 Ogos lepas mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Mohammed Mokhzani membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Semenatar itu, di mahkamah yang  sama, lima lelaki turut didakwa melakukan rompakan berkumpulan ke atas dua warga asing bersenjatakan dua bilah pisau dan sebatang besi menyebabkan kerugian kira-kira RM2,500 pada
bulan lepas.

Mohd Firdaus Mohd Daud, 25, Abdul Manan @ Awis Qurni Zulkefli, 20, Muhammad Raimie Marhalim, 21, Nur Kamaruddin Mat Kari, 28, dan Mohd Idros Omar Mat Hassan, 27, didakwa melakukan perbuatan itu ke atas Tariq Mahmood dan Damianus M Bangga di rumah kongsi tapak projek Jalan Hijau U9/14 Cahaya SPK di sini pada kira-kira 12.30 pagi 25 September lepas mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Mohammed Mokhzani membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 November ini untuk sebutan semula kes.

Turut dihadapkan ke mahkamah sama ialah seorang pembantu am yang mengaku tidak bersalah menyebabkan kecederaan parah ke atas seorang rakan wanitanya dengan parang awal bulan ini.

Mohd Zailani Mustapha, 45, dari Pasir Mas, Kelantan didakwa melakukan perbuatan itu terhadap penjaga stor Mazlin Mat Zain, 42, di No 41A, Jalan Kristal K7/K, Seksyen 7 di sini pada 11 malam 1 Oktober lalu mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Mohammed Mokhzani membenarkan Mohd Zailani diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan kemudiannya menetapkan 7 November  ini untuk sebutan semula kes. - Bernama

Bayi 10 bulan maut dilanggar ibu alih kenderaan

Bayi 10 bulan maut dilanggar ibu alih kenderaanMohd Fitri Ngah mencium jenazah anaknya, Mohammad Faqih (gambar kecil) yang mati selepas dilanggar kereta yang dipandu oleh ibunya, ketika menuntut mayat anaknya di bilik mayat Hospital Sultanah Nur Zahirah, hari ini. - Foto Bernama

KUALA TERENGGANU - Seorang bayi lelaki berusia 10 bulan maut selepas dilanggar kereta yang dipandu oleh ibunya di Kampung Bukit Besar di sini awal hari ini.

Kejadian kira-kira jam 7.15 pagi itu berlaku ketika ibu mangsa Faziah Yusuf, 35, cuba mengalih kedudukan kereta jenis MPV Proton Exora di garaj bagi memudahkan suaminya yang bertugas sebagai guru untuk keluar.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Zamri Shamsuddin berkata ketika mengundurkan kenderaan ibu mangsa tidak menyedari anak bongsunya merangkak keluar dari rumah ke belakang kereta.

"Akibat perlanggaran itu mangsa Muhammad Faqih Mohd Fitri yang mengalami kecederaan dalaman disahkan meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini," katanya ketika dihubungi di sini.

Sementara itu bapa mangsa Mohd Fitri Ngah, 40, berkata mengalih kenderaan bagi memudahkannya keluar bekerja memang menjadi rutin harian isterinya.

Namun ketika isteri sedang mengundurkan kereta, anaknya itu, bongsu dari enam beradik merangkak keluar ke garaj kereta di hadapan rumah dan mereka hanya menyedari kejadian itu setelah mendengar teriakan dari jirannya.

"Mendengar teriakan itu saya bergegas keluar rumah dan melihat isteri telah memangku anak kami dan bergegas menghantar ke Hospital.

"Biasanya anak saya tidak pernah merangkak keluar rumah namun hari ini dia merangkak sehingga ke garaj kereta," katanya ketika ditemui di rumah mayat HSNZ di sini. - Bernama

Pekerja Roadcare maut nahas

Pekerja Roadcare maut nahasMayat mangsa di lokasi kejadian selepas merempuh sebuah lori berdekatan simpang masuk Masjid Sultan Ahmad Shah, pagi semalam.

BANDAR TUN ABDUL RAZAK JENGKA - Seorang pekerja Roadcare (M) Sdn Bhd maut manakala isterinya parah apabila motosikal yang ditunggang mangsa merempuh sebuah lori di Kilometer 51.2, di sini kira-kira jam 9.30 pagi semalam.

Kejadian itu menyebabkan Mohd Khairul Mohd Khir, 27, cedera teruk di bahagian tengkuk dan meninggal di tempat kejadian manakala isterinya, Norhidayah Mohd Nor, 23, parah di bahagian kepala.

Bapa mangsa, Mohd Khir Mohd Saman, 60, berkata, Mohd Khairul bersama isterinya dalam perjalanan dari Felda Kota Gelanggi 2 menuju ke bandar Jengka untuk membeli barang.

Menurutnya, berita kemalangan itu dimaklumkan rakannya yang turut berada di bandar ketika kejadian berlaku.

“Mohd Khairul selalu ke bandar setiap Isnin untuk beli barang memandangkan dia cuti pada hari berkenaan.

“Biasanya, anak saya ke bandar dengan kereta tapi entah kenapa hari ini (semalam) dia nak naik motosikal pula,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Ibu Pejabat Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Sulaiman A Hamid mengesahkan kejadian tersebut.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati pemandu lori berkenaan yang datang dari arah bertentangan hendak memasuki simpang Masjid Sultan Ahmad Shah Jengka, di sini sebelum dilanggar motosikal jenis Yamaha RXZ ditunggang mangsa.

“Motosikal ditunggang mangsa bersama isterinya dipercayai merempuh bahagian belah kiri lori berkenaan.

“Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Jengka untuk bedah siasat dan rawatan. Mayat mangsa sudah dituntut ahli keluarga,” katanya.

Pengawal keselamatan maut nahas

Pengawal keselamatan maut nahasKeadaan kemalangan di kilometer 40, Jalan Tampin-Gemas, dekat sini, lewat petang kelmarin.

TAMPIN – "Sehari sebelum kejadian, saya sempat bergurau dengan arwah yang dia tidak sudi melihat wajah saya lagi kerana asyik termenung di belakang rumah."

Demikian cerita isteri mangsa kemalangan maut, Rozita Mohamad Arshad, 30, ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat Hospital Tampin (HT), dekat sini.

Malah menurut Rozita, gelagat anak tunggal mereka, Adam Muhammad Iqhlas Al-Hafiz, 2 tahun, yang sering meragam sejak akhir-akhir ini seolah-olah bakal kehilangan orang tersayang.

"Semasa bergurau, dia (arwah) hanya cakap ambil angin dan ketika itu saya tidak terfikir benda bukan-bukan. Tak sangka ia petanda yang arwah akan pergi meninggalkan kami selamanya.

"Namun, apa yang saya khuatir sekarang ialah saya gagal menghubungi ahli keluarga suami saya untuk memaklumkan perkara ini,” katanya.

Rozita berkata, selepas ibu dan bapa arwah suaminya bercerai, arwah sudah menetap bersama datuk sebelah bapa arwah di Batu Kurau, Taiping, Perak dan dia hanya rapat dengan seorang kakak kandungnya, Rosmalidawati Ahmad, 37, yang menetap di Chemor.

“Hanya dengan kakak kandungnya sahaja arwah masih berhubungan. Malah, sebelum ini arwah ada memberitahu keinginannya untuk membawa saya dan anak berjumpa kakaknya serta ibunya yang berada di Yan, Kedah sekiranya mempunyai kereta.

“Namun, ia hanya tinggal perancangan sahaja. Saya juga gagal hubungi kakak ipar saya melalui nombor telefon yang terdapat dalam simpanan arwah. Oleh itu, saya harap sekiranya mereka terbaca berita ini mereka akan dapat menghubungi saya kembali.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa, Zainarul Hisham Ahmad, 36, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Pusat Kutipan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Gemencheh, maut selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 40, Jalan Tampin-Gemas, dekat sini, lewat petang kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintenden Wooi Kooi Cheang berkata, kemalangan berkenaan membabitkan motosikal ditunggangi mangsa yang datang dari arah Gemas mangsa dan lori tiga tan dari arah Tampin.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, lori tiga tan yang dipandu seorang orang kurang upaya (OKU) tangan berusia 33 tahun masuk ke lorong bertentangan sebelum bertembung dengan motosikal dipandu mangsa.

“Mangsa terjatuh dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan anggota badan serta disahkan maut di tempat kejadian. Mayat mangsa di bawa ke HT untuk proses bedah siasat.

Tiga pelajar PMR ditahan kerana curi motosikal

Tiga pelajar PMR ditahan kerana curi motosikalMohd Nashir (dua,kiri) menunjukkan gambar traktor yang dijumpai semula.

JITRA - Tiga pelajar lelaki yang baru selesai menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) kelmarin, ditahan kerana disyaki mencuri motosikal.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya berkata, semua suspek yang masih bersekolah ditangkap di rumah masing-masing pagi semalam.

“Bertindak atas maklumat orang awam, kira-kira jam 8 pagi, kita berjaya menahan tiga remaja berumur 15 tahun.

“Polis merampas sebuah motosikal Yamaha RXZ, sebuah motosikal Honda Wave, empat rangka motosikal, empat kulit enjin dan komponen motosikal yang dipercayai sudah dileraikan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, hari ini.

Beliau berkata, kesemua barang rampasan itu dijumpai di sekitar rumah mereka di Baling dan Kupang.

Kita akan buat tahanan lanjut kerana percaya banyak lagi kes yang boleh dikaitkan dengan mereka.

“Hasil maklumat awal, kita masih mencari dua lagi lelaki yang dipercayai turut terlibat,” katanya.

Mohd Nashir berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379 (A) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum tujuh tahun serta denda.

Sementara itu, polis berjaya menyelesaikan kes kehilangan traktor di sekitar negeri ini dalam tempoh 2010 hingga 2013.

“Hasil siasatan yang kita lakukan terhadap sembilan kes di Kota Setar dan satu kes di Pendang, membawa kepada penahan dua lelaki pada 5 Oktober lalu berumur antara 20 hingga 24 tahun mengikut Seksyen 379 (A) Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.

Beliau berkata,  siasatan terhadap dua lelaki itu membawa kepada penahanan lima lelaki lain.

“Daripada tangkapan kedua, kita menemui semula tujuh traktor yang dilaporkan hilang. Sementara dua yang lain dibebaskan kerana tidak cukup bukti untuk didakwa di mahkamah,” katanya.

Tiga anggota polis nyaris maut

Tiga anggota polis nyaris maut
Kereta Perodua Viva terbabas di bahu jalan.
KUALA SELANGOR - Tiga anggota polis nyaris maut dalam perjalanan ke Padang Tembak Bukit Jeram apabila kereta peronda yang dipandu berlanggar dengan sebuah kereta di KM41 Jalan Teluk Intan-Klang di persimpangan Assam Jawa, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 pagi itu, tiga anggota polis dari Balai Polis Sungai Besar dalam perjalanan untuk menjalani latihan menembak di Bukit Jeram sebelum dikatakan gagal mengelak sebuah kereta jenis Perodua Viva yang keluar dari simpang.
Tiga anggota polis nyaris maut
Kereta peronda polis remuk di bahagian hadapan selepas berlanggar
 dengan sebuah kereta di KM41 Jalan Klang-Teluk Intan semalam.
Ketua Polis Trafik dan Ketenteraman Awam Daerah Kuala Selangor, Cif Inspektor Roslan Ismail berkata, pegawai dan anggota trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Kuala Selangor bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan orang awam.

“Siasatan awal yang dijalankan pegawai penyiasat trafik mendapati, lampu isyarat di laluan dari arah Kuala Selangor menghala ke Klang ketika kejadian tidak berfungsi. Ketika itu keadaan jalan tidak licin dan cuaca tidak hujan.

“Ketika kejadian, pemandu kereta peronda polis terbabit melihat kenderaan di sebelah kiri iaitu dari arah Ijok sudah berhenti dan mereka meneruskan perjalanan bagaimanapun sebuah kereta yang dipandu seorang perempuan keluar dari simpang itu secara tiba-tiba,” katanya.

Roslan menjelaskan, berlaku pelanggaran di bahagian kanan kereta Perodua Viva terbabit sehingga menyebabkan kereta peronda terbabas dan melanggar lampu isyarat di hadapan manakala kereta
Perodua Viva itu pula terbabas ke bahu jalan sekali gus menyebabkan kesesakan lalu lintas.

“Ketiga-tiga anggota polis terbabit dilaporkan tidak mengalami kecederaan teruk manakala perempuan berusia 22 tahun itu mengalami kecederaan di bahagian kaki dan dikejarkan ke Hospital Tanjong Karang untuk rawatan lanjut.

“Kes masih disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mana-mana individu atau saksi yang menyaksikan kejadian kemalangan terbabit diminta supaya tampil untuk membantu melancarkan siasatan polis,” katanya.

Sementara itu, penduduk, Sarifudin Md Yusof berkata, keadaan jalan di persimpangan itu perlu diberi perhatian pihak berwajib bagi menggelakkan kejadian sama berulang.

“Penduduk berpendapat, jalan di kawasan ini wajar di selenggara dengan baik memandangkan warna cat putih dan kuning sudah mulai pudar. Lampu isyarat dari arah Kuala Selangor menghala ke Klang difahamkan rosak.

Oleh itu, keadaan sebeini perlu diambil perhatian kerana  boleh mengundang bahaya," katanya.

Bakar kekasih dalam perigi buta


9 Oktober 2013
Bakar kekasih dalam perigi buta Endang Mariani dicampak ke dalam perigi sedalam lima meter sebelum dibakar. Gambar kecil: Endang Mariani


Lima suspek direman tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan.
ALOR GAJAH - Akibat  merampas kekasih orang lain, seorang wanita warga Indonesia  dibunuh  dan mayatnya dicampak ke dalam perigi sebelum dibakar di ladang tembikai susu, Solok Menggong di sini.

Mayat Endang Mariani Muhammad Rau, 28, hanya ditemui selepas tiga hari oleh pemilik ladang berkenaan kira-kira 6.30 petang kelmarin selepas terhidu bau busuk berdekatan kawasan kejadian.

Wanita dari Lombok Barat, Indonesia itu dipercayai dibunuh oleh suspek yang cemburu, setelah mangsa menjalin hubungan sulit dengan lelaki berusia 30-an .

Selain itu, mangsa dikatakan membawa  tinggal  kekasihnya itu di rumah yang juga  kebetulan didiami suspek.

Suspek berusia 29 tahun kemudian bertindak keluar dari rumah berkenaan namun pada masa sama dipercayai merancang untuk membalas dendam hingga membawa kepada pembunuhan mangsa yang bekerja di  ladang cendawan, Bukit Hantu, Lendu.

Menurut sumber,  dipercayai gara-gara cemburu dengan hubungan itu, mangsa dibunuh di rumah tersebut pada Jumaat lalu sebelum dibawa ke ladang berkenaan dengan menaiki sebuah kereta Perodua Viva milik lelaki tempatan dan dicampak ke dalam perigi sedalam lima meter sebelum dibakar menggunakan kayu dan petrol sehingga rentung,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, pihaknya ke tempat kejadian selepas menerima maklumat daripada  seorang wanita yang juga pemilik ladang  berkenaan.

“Siasatan awal mendapati, mayat wanita yang rentung 90 peratus sehingga tinggal tulang dan tengkorak itu dipercayai dibakar di dalam perigi berkenaan selepas dibunuh di tempat lain.

“Susulan kejadian, kurang 12 jam penemuan mayat, empat lelaki termasuk seorang warga tempatan berusia 23 hingga 39 tahun bersama seorang lagi wanita Indonesia  berusia 29 tahun ditahan dalam dua serbuan berasingan di Semabok dan Rembia,”  katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, di sini, semalam.

Umar berkata, tiga lelaki Indonesia dan wanita yang ditahan antara jam 1 dan 8 pagi semalam adalah rakan serumah mangsa, manakala lelaki tempatan berusia 39 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori itu adalah kenalan semua suspek.

“Mangsa bekerja di ladang cendawan di Lendu dan Ahad lalu majikannya ada membuat laporan berhubung mangsa yang tidak datang bekerja disyaki melarikan diri.

“Siasatan mendapati cemburu antara suspek wanita dan si mati menjadi motif pembunuhan berkenaan.

"Si mati dikatakan mempunyai hubungan sulit dengan salah seorang lelaki warganegara sama yang ditahan,” katanya.

Menurutnya, penangkapan kelima-lima suspek telah hampir berjaya menyelesaikan kes tersebut.

Bagaimanapun, pihaknya kini masih memburu seorang lelaki juga warga Indonesia yang dipercayai boleh membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

“Semua suspek ditahan reman tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Bayi 2 bulan mati tersedak susu


BAPA Noor Afreena Dahlia Azri (kanan) ketika menuntut jenazah anaknya di Hospital Serdang, semalam.
KUALA LUMPUR 8 Okt. - Seorang bayi perempuan berusia dua bulan mati selepas dipercayai tersedak susu di rumah pengasuh di Bangi dekat sini pagi ini.
Difahamkan, ketika kejadian pada pukul 8 pagi itu, bayi malang tersebut, Nor Afreena Dahlia Azri dihantar oleh ibunya ke rumah pengasuh dalam keadaan baik.
Tidak lama selepas itu, pengasuh berkenaan dapati bayi tersebut yang dibaringkan dalam keadaan mengiring tidak bergerak lalu cuba membuat bantuan pernafasan (CPR) tetapi gagal.
Pengasuh itu kemudian menghubungi ibu bayi berkenaan dan terus dibawa ke sebuah klinik di Bandar Seri Putra tetapi disahkan telah meninggal dunia.
Difahamkan, bapa mangsa yang berusia 37 tahun bekerja sebagai pegawai bank manakala ibunya, berusia 35 tahun merupakan seorang guru.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab ketika dihubungi hari ini mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.
"Bedah siasat ke atas mayat bayi berkenaan telah selesai dijalankan di Hospital Serdang dan pihak kami dapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian tersebut dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131009/je_02/Bayi-2-bulan-mati-tersedak-susu#ixzz2hBl1VNI8
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Perogol bersiri tidak sanggup lagi ditahan dalam lokap


IPOH 8 Okt. - Seorang perogol bersiri yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tujuh pertuduhan termasuk merogol, melakukan seks luar tabii dan cuba rogol, merayu dibebaskan dengan jaminan kerana sudah tidak sanggup lagi berada dalam lokap.
Sambil memandang seorang wanita yang sarat mengandung sembilan bulan yang didakwa isterinya, tertuduh, Malek Ridzuan Asroll, 27, (gambar) menyatakan, dia akan memohon bantuan adiknya untuk menjaminnya keluar.
''Saya memohon supaya dibenarkan untuk diikat jamin. Saya sudah tidak sanggup lagi tinggal di sini (penjara).
''Isteri saya juga sedang mengandung dan akan bersalin tidak lama lagi,'' katanya sebaik sahaja Timbalan Pendakwa Raya, Norhafizah Kamaludin memaklumkan pihaknya tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh.
Jelas Norhafizah, selain pertuduhan rogol dan cuba melakukan persetubuhan luar tabii di mahkamah itu, tertuduh turut menghadapi tiga pertuduhan lain iaitu dua cubaan rogol dan satu pertuduhan melakukan seks luar tabii di dua buah mahkamah sesyen lain.
''Pegawai penyiasat memaklumkan tertuduh merupakan perogol bersiri. Selain tuduhan berkenaan, dia juga akan didakwa di Mahkamah Majistret Batu Gajah dan Kampar atas empat lagi pertuduhan iaitu melibatkan kesalahan menyamar polis, mencuri telefon bimbit serta melakukan ugutan terhadap mangsa.
''Lagipun tertuduh tidak mempunyai sebarang pengenalan diri serta surat beranak. Mohon jaminan tidak dibenarkan,'' ujar Norhafizah.
Hakim Rushan Lutfi Mohamed kemudian memutuskan untuk tidak membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin.
Keputusan sama turut dibuat oleh Hakim Madihah Harullah sementara Hakim Noor Hayati Mat membenarkan Malek Ridzuan dibebaskan dengan jaminan RM10,000 berserta seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan 12 dan 15 November ini untuk sebutan semula semua kes berkenaan.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa cuba merogol seorang pekerja kedai kasut berusia 15 tahun kira-kira pukul 9.50 malam, 11 September lalu di tepi Jalan Tanah Adat Mandailing di belakang Kelab Clearwater Sanctuary dekat sini.
Bagi pertuduhan kedua pula, Malek Ridzuan didakwa cuba melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun di antara pukul 10 pagi dan 10.05 pagi, 21 September lalu di ladang ternakan itik, Taman Alam Kinta, Kota Bahru di sini.
Dia juga didakwa merogol dan melakukan seks luar tabii terhadap seorang pelajar tingkatan lima kira-kira pukul 9.25 pagi dan 10.15 pagi, 25 September lalu, juga di Tanah Adat Mandailing di sini.
Pada 29 September lalu pula, dia didakwa cuba merogol seorang wanita berusia 30 tahun di kawasan hutan sebelah Taman Burung di Kampung Pisang dekat sini.
Semua pertuduhan tersebut di kemukakan oleh Norhafizah dan dua lagi Timbalan Pendakwa Raya, Yasser Mohd. Nasir serta Siti Nora Sharif mengikut Seksyen 376, Seksyen 377(c) dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan.
Sementara di Mahkamah Majistret Batu Gajah, Malek Ridzuan turut mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan iaitu menyamar sebagai anggota polis dan mencuri telefon milik mangsa berusia 30 tahun itu di tempat sama kira-kira pukul 9 malam, 29 September lalu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20131009/ma_02/Perogol-bersiri-tidak-sanggup-lagi-ditahan-dalam-lokap#ixzz2hBkM0sAd
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pasar raya C-Mart runtuh


Sebuah jentera bomba kelihatan di hadapan gudang borong C-Mart yang runtuh bumbung dan dindingnya di Bandar Darul Aman, Jitra, Kubang Pasu, semalam.
Pelbagai barangan rosak selepas dinding dan bumbung gudang borong C-Mart runtuh di Bandar Darul Aman, Jitra, Kubang Pasu, semalam.
KUBANG PASU 8 Okt. - Penduduk di sekitar kawasan industri Bandar Darul Aman, Jitra di sini gempar apabila sebuah pasar raya yang dibuka sejak lebih dua bulan lalu runtuh hari ini.
Runtuhan pukul 8.40 pagi itu melibatkan dinding dan bumbung bahagian tepi bangunan yang menempatkan barangan jualan seperti pakaian dan kasut berjenama.
Bagaimanapun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan memandangkan pasar raya tersebut hanya memulakan operasi pada pukul 10 pagi meskipun dua pekerja penyelenggaraan memasuki premis itu sebelum kejadian.
Difahamkan, pasar raya tersebut yang beroperasi sejak penghujung Julai lepas tidak mempunyai sijil layak menduduki (CF).
Yang Dipertua Majlis Daerah Kubang Pasu, Zahari Ismail berkata, berikutan kejadian itu, bangunan tersebut dianggap tidak selamat untuk diduduki dan diarah tutup serta-merta.
Katanya, pihaknya juga dalam proses mengambil tindakan undang-undang ke atas pemilik bangunan terbabit.
"Pemeriksaan mendapati pemilik bangunan memperoleh kelulusan merancang untuk membina gudang namun dipercayai menyalahgunakan kelulusan dengan mendirikan bangunan komersial.
"Gudang ini dan lot premis di kawasan ini diarah tutup bagi membolehkan pihak kami dan agensi berkaitan melakukan kajian teknikal," katanya di sini hari ini.
Pekerja penyelenggaraan, Abdul Rohim Talib, 33, memberitahu, dia bersama seorang rakannya memasuki premis itu kira-kira pukul 8.30 pagi bagi membuka lampu dan pejabat.
Ketika berada dalam bangunan itu, katanya, dia terdengar bunyi retakan disusuli runtuhan siling kira-kira lima meter dari tempatnya berdiri.
"Saya dan rakan bergegas keluar dan semasa berada di luar bangunan, saya dapat melihat dinding dan bumbung runtuh," katanya.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supritendan Ibrahim Mohd. Yusuf berkata, lebih 20 anggotanya dikerahkan mengawal kawasan tersebut bagi mengelak sebarang kecurian.
Dalam pada itu, Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Jitra, Mohammad Darus berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.55 pagi dan mengerakkan seramai 10 anggota ke lokasi kejadian.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131009/je_01/Pasar-raya-C-Mart-runtuh#ixzz2hBk6cxyS
© Utusan Melayu (M) Bhd 

5 dituduh rompak syampu



Shah Alam: Lima lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen semalam atas kesalahan melakukan rompakan berkumpulan menggunakan parang ke atas trailer membawa syampu rambut dianggarkan bernilai RM49,000, dua bulan lalu.

Kelima-lima lelaki itu, Hanafiah Musukuty, 38, K R Nandakumar, 31, T Sukumaran, 32, K Murugan,30 dan V P Nala, 22. Hanafiah tidak bekerja manakala Nandakumar dan Murugan masing-masing pemandu lori, Nala seorang kelindan lori manakala Sukumaran, pengawal keselamatan. Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama tiga lagi yang sudah dihadapkan ke mahkamah sebelum ini didakwa melakukan kesalahan itu ke atas trailer syarikat Ska Transport Sdn Bhd.


Perbuatan mereka itu didakwa dilakukan di Lot 4, Jalan Gitar 33/3, Seksyen 33 pada jam 1.30 pagi, 19 Ogos lalu. Sementara itu dalam prosiding sama, lima lelaki turut mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas kesalahan melakukan rompakan berkumpulan dengan menggunakan dua pisau dan besi terhadap dua pekerja kontrak di rumah kongsi tapak projek di Cahaya SPK, bulan lalu.

Mereka adalah Muhd Firdaus Mohd Daud, 25, Abdul Manan @ Awis Qurni Zulkefli, 20, Muhammad Raimie Marhalim, 21, Nur Kamaruddin Mat Kari, 28 dan Mohd Idros Omar Mat Hassan, 27.


Mereka didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Tariq Mahmood, warga Pakistan dan Damianus Mbangga, warga Indonesia jam 12,30 pagi pada 25 September lalu.


Dalam kejadian itu, mereka mengambil komputer riba, empat telefon bimbit dan wang tunai RM1,000 dengan nilai keseluruhan kerugian RM2,500.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan. Hakim M Bakri Abd Majid menetapkan wang jaminan bagi semua tertuduh masing-masing RM10,000 dan seorang penjamin. Pendakwaan kes dikemukakan Timbalan Pendakwa Salwa Asmary Abdul Rahim.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/5dituduhrompaksyampu/Article/index_html#sthash.YIp7BgMt.dpuf

Polis rasuah dijel 4 tahun, denda RM20,000


Shah Alam: Seorang anggota polis berpangkat sarjan dipenjara empat tahun dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam atas kesalahan memperoleh suapan berjumlah RM3,500 daripada individu untuk mengelak daripada adik lelakinya diambil tindakan atas kesalahan dadah, tahun lalu.

Hakim M Bakri Abd Majid menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Zamani Yahya, 44, apabila mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.


Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara sembilan bulan lagi jika gagal membayar denda. Bakri dalam penghakimannya berkata, keterangan pembelaan hanyalah untuk menyesuai padan dengan kes pendakwaan. “Justeru, pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dan didapati bersalah memperoleh suapan RM3,500,” katanya. Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya (IPDPJ) jam 5.40 petang pada 12 Julai tahun lalu.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Polisrasuahdijel4tahun_dendaRM20_000/Article/index_html#sthash.VUZ6PB1E.dpuf

Pasangan bertengkar disamun 2 lelaki


Kajang: Tindakan sepasang suami isteri bertengkar di tepi lebuh raya berhampiran Taman Impian Ehsan di sini, membawa padah apabila mereka disamun dua lelaki yang kononnya ingin menghulurkan bantuan.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi Ahad lalu, mangsa yang berusia 23 tahun dan isterinya kerugian kira-kira RM5,000 selepas kereta yang dinaiki mereka dilarikan lelaki terbabit bersama dua telefon bimbit.


Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, dalam kejadian itu, suspek pura-pura datang untuk membantu selepas melihat berlaku pertengkaran antara mangsa dan isterinya.

“Sebaik mereka berdiri di sisi mangsa, seorang suspek mengeluarkan pisau dan mengacukannya ke leher sambil meminta mangsa menyerahkan barangan berharga.


“Seorang lagi suspek memaksa isteri mangsa turun dari kereta yang dinaiki mereka sebelum melarikan kereta itu,” katanya.


Katanya, mangsa dan isterinya hanya menurut arahan suspek kerana bimbang dicederakan.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pasanganbertengkardisamun2lelaki/Article/index_html#sthash.iFnwEY8Z.dpuf

Curi perabot keluarga lunas hutang ceti haram


Miri: Gara-gara gagal melunaskan pinjaman ceti haram, seorang lelaki mengambil jalan mudah dengan menjual pelbagai peralatan elektrik dan perabot rumah milik keluarganya sejak beberapa bulan lalu sebelum perbuatan itu terbongkar menyebabkan dia ditangkap kelmarin.

Lelaki berusia 33 tahun yang tidak bekerja itu ditahan di rumahnya, di Pujut 2, di sini, jam 10.45 malam oleh sepasukan polis selepas menerima laporan dibuat kakaknya.


Difahamkan, kehilangan pelbagai peralatan elektrik dan perabot dalam rumah itu sejak beberapa bulan lalu menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penghuni sebelum perkara itu terbongkar apabila suspek dikesan mengiklankan barangan yang mahu dijual menerusi laman sosial Facebook miliknya.

Menurut sumber, berang dengan tindakan suspek, kakaknya berusia lingkungan 30-an cuba mendapatkan penjelasan daripada adiknya itu sehingga mencetuskan pertengkaran.


Namun, katanya, suspek mengakui dia berbuat demikian kerana mahu menggunakan wang hasil jualan barangan berkenaan untuk membayar hutang ceti haram.


“Beberapa barangan seperti periuk nasi elektrik, pemanas air, televisyen dan kerusi rehat dipercayai dijual suspek dengan harga murah dengan mengiklankannya di laman sosial Facebook,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, selain menahan suspek pihaknya turut merampas seunit telefon bimbit yang mempunyai rekod urusan jual beli serta kunci rumah terbabit.


Katanya, suspek direman empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 380, Kanun Keseksaan.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Curiperabotkeluargalunashutangcetiharam/Article/index_html#sthash.TxIrGVYx.dpuf

Pekerja ‘sapu’ 20 TV LCD



Sibu: Misteri kehilangan 20 televisyen paparan LCD yang dianggarkan bernilai RM30,000 dari sebuah kedai barangan elektrik, di sini, sejak beberapa bulan lalu akhirnya terjawab dengan penahanan seorang pekerja lelaki kedai itu, kelmarin.

Lelaki lingkungan 20-an itu ditahan kira-kira jam 10 malam berikutan laporan dibuat majikan selepas menerima aduan daripada seorang pekerja yang ternampak kelibat suspek sedang mengangkut televisyen ke sebuah kereta rakannya.


Jurucakap polis berkata, penahanan lelaki terbabit membawa kepada penahanan seorang lagi suspek lingkungan 30-an dipercayai rakan subahat yang bertindak sebagai orang tengah menjual barangan curi kepada pelanggan.

“Suspek utama ditahan selepas mangsa membuat laporan polis sebaik menerima maklumat berhubungan perbuatan mencurigakan ketika ketiadaannya. Suspek dipercayai mencuri televisyen itu sebelum diserahkan kepada rakannya untuk dijual.


“Siasatan terhadap suspek utama membawa kepada penahanan rakannya di Sungei Merah yang disyaki turut terbabit dalam kejadian ini. Sebelum itu, pemilik kedai membuat pemeriksaan dalam stor mendapati beberapa stok televisyen LCD hilang sebelum membuat laporan polis,” katanya.


Katanya, bertindak atas laporan itu, polis menahan suspek utama sebelum rakannya ditahan petang kelmarin dan suspek direman tiga hari bagi membantu siasatan.

“Polis menjalankan siasatan bagi mengenal pasti pembeli televisyen terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 381, Kanun Keseksaan kerana mencuri.” katanya.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pekerja__8216_sapu__8217_20TVLCD/Article/index_html#sthash.qzKyTFG0.dpuf

Marah suami noda isteri



Kuala Lumpur: Marahkan suami, isteri jadi mangsa. Itulah nasib malang menimpa seorang wanita apabila diculik dan dirogol oleh samseng yang diupah lelaki yang marah serta berdendam dengan suaminya.

Mangsa yang berusia 28 tahun diculik ketika menikmati hidangan di restoran di Setapak, di sini, jam 3 pagi Ahad lalu, sebelum dirogol di satu kawasan hutan di pinggir ibu negara.


Sumber polis berkata, ketika mangsa asyik menjamu selera bersama suami dan keluarga mentuanya empat lelaki berpakaian serba hitam serta bersenjatakan parang dipercayai samseng upahan menghampirinya.

“Empat lelaki berusia 30-an itu nekad melarikan mangsa di depan suami dan keluarga mentuanya. Walaupun, ada cubaan menyelamatkan mangsa, namun gagal kerana suspek bersenjatakan parang.


“Malah, seorang daripada suspek mengacukan parang di leher suami mangsa yang berusia 30-an,” katanya, semalam. Menurutnya, keempat-empat lelaki terbabit mengikat mata dan tangan mangsa sebelum mengheretnya masuk ke dalam kereta, lalu dibawa pergi.


Sumber itu berkata, ketika di dalam kenderaan mangsa menangis dan merayu minta dibebaskan, namun tidak diendahkan suspek, malah mangsa diancam untuk dicederakan dengan parang.

“Empat penjenayah itu membawa mangsa ke kawasan hutan dan di situ mangsa diserahkan kepada seorang lelaki yang dipercayai menjadi dalang penculikan itu. “Lelaki terbabit yang mengupah suspek menculik mangsa kemudian merogolnya. Selepas itu dia dengan selamba berkata menculik dan merogol mangsa kerana berdendam dengan suami mangsa,” katanya.


Menurutnya, selepas itu mangsa dibawa semula menaiki kereta oleh empat suspek yang menculiknya ke lokasi lain, tetapi di dalam perjalanan itu mangsa membuat helah mahu membuang air kecil. Sumber itu berkata, apabila mangsa dibenarkan keluar kereta di satu perhentian rehat, seorang daripada penculik itu memberitahu dia kasihankan mangsa dan menyuruh mangsa melarikan diri.

“Mangsa meloloskan diri jam 9 malam hari sama. Dia dibantu sepasang suami isteri di hentian rehat itu dan dibawa ke ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi membuat laporan kejadian,” katanya.


Harian Metro difahamkan, kes terbabit dirujuk kepada polis daerah Kajang untuk siasatan lanjut memandangkan mangsa dipercayai dirogol di lokasi dalam daerah itu.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Marahsuaminodaisteri/Article/index_html#sthash.1RIpSnkO.dpuf

2 ahli Geng 08 ditahan bersama senjata tajam


Kuala Lumpur: Dua ahli kumpulan kongsi gelap dipercayai geng 08 ditahan polis dalam Operasi Cantas Khas (Op Cantas), di Taman Bukit Cheras, di sini, petang Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, dalam operasi jam 5.15 petang itu, polis menahan sebuah pikap dinaiki dua lelaki.


“Pemeriksaan dalam pikap berkenaan menemui dua besi, salah satunya berhujung runcing dan sebilah pisau panjang yang disorok di bawah kerusi pemandu.

“Malah, kedua-dua lelaki itu mempunyai tatu di badan dipercayai ahli geng 08. Mereka ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras (IPD) Cheras, di sini, semalam.


Beliau tidak menolak kemungkinan kedua-dua suspek terbabit dalam kegiatan samun berdasarkan rekod jenayah lampau dan mereka kini direman bagi membantu siasatan.


Dalam perkembangan lain, Mohan berkata, sepucuk pistol jenis Revolver .38 dipercayai ditinggalkan individu tertentu ditemui dalam stor penyimpanan alat bantuan kebakaran di tingkat sembilan pangsapuri Desa Sri Putri, Desa Petaling, di sini, malam Sabtu lalu.

Beliau berkata, pistol itu ditemui seorang pengawal keselamatan pangsapuri berkenaan sebelum menghubungi polis, kira-kira jam 10 malam.


“Hasil semakan, pistol itu tidak peluru,” katanya.

Mohan berkata, pihaknya menahan tiga pengawal keselamatan berusia antara 20 hingga 29 tahun untuk siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/2ahliGeng08ditahanbersamasenjatatajam/Article/index_html#sthash.7X3fz3Wu.dpuf

Dicekup kurang 3 jam lepas lolos



Kuching: Kurang tiga jam selepas meloloskan diri daripada tahanan polis, seorang suspek kes pecah rumah ditahan kali kedua apabila rumahnya di Taman Hui Sing, di sini, diserbu polis, kelmarin.

Dalam serbuan jam 9 malam itu, suspek berusia 32 tahun terpaksa menyerah diri sebaik menyedari rumahnya dikepung.


Menurut sumber, sebelum itu, suspek ditahan polis dan dibawa ke Balai Polis Sentral, tetapi berjaya melarikan diri kira-kira jam 6 petang.

Katanya, berdasarkan risikan dan maklumat, polis menjejaki suspek di rumah sewanya sebelum membuat serbuan.


“Suspek yang terperangkap dalam rumah terpaksa membuka pintu sebaik diarah dan menyerah diri. Pemeriksaan ke atas Proton Saga putih miliknya turut menemui beberapa peralatan pecah rumah dan senjata berbahaya.


“Suspek dipercayai terbabit dalam kegiatan pecah rumah dan rompakan bersenjata sekitar daerah ini, selain dipercayai terbabit dalam kes mencederakan rakannya menggunakan lawi ayam di Bintawa, pada Jun lalu,” katanya.

Beliau berkata, suspek dibawa ke Balai Polis Simpang Tiga dan barang bukti dirampas untuk siasatan selanjutnya.


Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut masih dijalankan.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Dicekupkurang3jamlepaslolos/Article/index_html#sthash.IwA5F93C.dpuf

‘Pemandu cuti sakit’

Foto
ANGGOTA JPJ menimbang lori bagi memastikan tidak membawa lebih muatan.
Cheras: “Pemandu ada tapi dia sedang bercuti sakit“. Itu antara alasan diberikan seorang wanita yang juga pemilik syarikat kimpalan apabila lori kecil dipandu pekerja warga asingnya ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur dalam operasi kenderaan berat di Plaza Tol Batu 9, di sini, pagi semalam.
Operasi bermula jam 10 pagi itu turut mengeluarkan notis saman terhadap 33 kenderaan berat lain seperti lori balak dan kargo atas kesalahan membawa muatan berlebihan.

Dalam operasi itu juga, JPJ mengeluarkan 12 notis membabitkan notis arah periksa dan notis larangan kepada pemandu yang memandu tanpa Lesen Kenderaan Perdagangan (GDL) dan kesalahan teknikal membabitkan tayar, lampu dan brek kenderaan.
Penolong Pegawai Penguat kuasa JPJ Kuala Lumpur Zakaria Saman berkata, operasi selama lima jam itu turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD).

“Dalam operasi ini, kami memeriksa 157 kenderaan berat dan menyita sebuah lori kecil kerana dipandu warga asing tanpa lesen.

“Operasi berkala bersama agensi ini dilakukan sebanyak dua kali sebulan dalam usaha mengurangkan kesalahan jalan raya membabitkan kenderaan berat,” katanya ketika ditemui.

Beliau berkata, pihaknya menyeru pemilik syarikat atau perniagaan lebih peka mengenai masalah itu kerana lori yang dipandu dengan muatan berlebihan akan mengundang risiko kepada pengguna jalan raya lain.

“Kalau mereka mematuhi peraturan, ia tidak akan merugikan sesiapa, malah sikap bertimbang rasa dapat menyelamatkan semua pihak terutama penunggang motosikal yang kerap menjadi mangsa kepada kemalangan maut membabitkan kenderaan berat.
“Jangan hanya memikirkan keuntungan semata-mata sehingga boleh membahayakan nyawa orang lain,” katanya.

Menurutnya, dalam operasi itu polis turut mengeluarkan notis saman terhadap 29 motosikal dan tiga kereta kerana menyalahi Akta Pengangkutan Jalan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/2013100904093620131009040936/Article/index_html#sthash.rf1guLQa.dpuf

Ketua hakim bersih dari dadah


Jakarta: Ujian dadah terhadap bekas ketua hakim mahkamah perlembagaan, Akil Mochtar semalam menunjukkan keputusan negatif.

Pegawai kanan Agensi Dadah Nasional (BNN), Anang Iskandar mengumumkan keputusan ujian itu kepada wartawan semalam.


Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat bekas ketua hakim berkenaan yang ditangkap minggu lalu ketika menerima rasuah.

Sementara itu, jurucakap BNN, Sumirat Dwiyanto berkata, ujian ke atas rambut Akil juga menunjukkan dia bersih daripada dadah.


Akil ditahan 2 Oktober lalu oleh Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK).


Pegawai penguatkuasa KPK yang memeriksa pejabatnya menemui dua pil methamphetamine dan empat kapsul ganja BNN berkata, tidak dapat dipastikan sama ada dadah berkenaan milik Akil atau sebaliknya.

“Jika ia ditemui pada tubuhnya sudah pasti ia adalah miliknya,” katanya. - Agensi

- See more at: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ketuahakimbersihdaridadah/Article/index_html#sthash.cwqDr2BV.dpuf

Separuh pandu bas tanpa lesen


Jakarta: Hampir separuh daripada 28,000 pemandu pengangkutan awam di Jakarta sama ada tidak memiliki lesen memandu atau terlalu muda untuk memandu.

“Pemantauan kami menunjukkan kebanyakan pemandu terutama pada waktu malam masih di bawah umur.
“Malah, kadangkala mereka juga mabuk,” kata Pengerusi Majlis Pengangkutan Jakarta, Azis Tigornya dalam wawancara dengan stesen televisyen BeritaSatu, semalam.

Beliau menggesa pihak berkuasa mengenakan tindakan tegas ke atas mereka.


“Saya mahu polis menjalankan operasi besar-besaran terhadap kenderaan pengangkutan awam bagi menahan mereka yang tidak memiliki lesen memandu dan pemandu di bawah umur.


“Perkara ini tidak boleh dibiarkan kerana mereka membahayakan penumpang dan pengguna jalan raya lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Azis juga memberi amaran, Agensi Pengangkutan Jakarta akan membekukan permit pengangkutan awam dan menyita kenderaan yang menggunakan khidmat pemandu tanpa lesen.


Sementara itu, Ketua Agensi Pengangkutan Jakarta, Udar Pristono mengesahkan, ramai pemandu pengangkutan awam Jakarta tidak mempunyai lesen memandu, tetapi berkata, pihaknya sentiasa memantau amalan itu.

Udar berkata, bagaimanapun, serbuan yang dilakukan tidak berkesan dan satu-satunya cara untuk menghentikan masalah itu ialah dengan meminta kerjasama pemilik bas menggunakan khidmat pemandu yang layak saja. - Ag

- See more at: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Separuhpandubastanpalesen/Article/index_html#sthash.Xp2RkCS5.dpuf

Wanita lahir anak di taman

Oaxaca (Mexico): Seorang wanita melahirkan anak seorang diri di sebuah taman dekat luar sebuah klinik umum di Mexico.

Laporan mengenai wanita daripada suku Orang Asli itu mencetuskan kemarahan di media sosial. Foto yang diterbitkan di akhbar dan media sosial menunjukkan Irma Lopez, 28, berlutut sambil menangis di taman bersama seorang bayi yang masih bertali pusat di luar pusat kesihatan awam di Oaxaca.


Kejadian berkenaan mencetuskan kemarahan rakyat di rangkaian laman media sosial.

Mereka mengecam perkhidmatan pusat kesihatan yang berkualiti dan diskriminasi terhadap Orang Asli di negara itu. - Agensi

- See more at: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Wanitalahiranakditaman/Article/index_html#sthash.eWmLeP74.dpuf

Gara-gara curang

Foto
ADEGAN Chui ditampar oleh Cheng sambil diperhatikan seorang lagi wanita yang mengikut lelaki itu pulang.
Hong Kong: Seorang wanita China ditahan kerana memaksa teman lelakinya berlutut di jalan raya sebelum menampar muka lelaki itu berulang kali.
Lelaki berusia 23 tahun yang dikenali sebagai Chui itu dituduh bermain kayu tiga apabila membawa pulang seorang wanita lain ke flatnya di Hong Kong.

Selepas teman wanitanya mengheret Chui ke jalan raya dan mula bertindak kasar, jiran tetangga berkumpul dan merakam adegan itu yang kemudian dimuat naik ke YouTube.
Wanita berusia 20 tahun bernama Cheng itu kemudian ditahan kerana disyaki melakukan kekerasan, manakala mangsa dikejarkan ke hospital.

Kejadian itu berlaku Jumaat lalu di kawasan Kowloon City selepas Chui membawa pulang seorang wanita ke flatnya walaupun dia berpacaran dengan Cheng.

Cheng memaksa Chui berlutut di kaki lima sambil diperhatikan jiran tetangga dan menuduhnya curang. Wanita yang mengikut Chui pulang turut berdiri di sisi mangsa ketika pasangan itu bertengkar.

Bagaimanapun, Chui menegaskan dia tidak mengajak wanita terbabit pulang dan meminta kekasihnya itu mendengar dulu apa yang hendak dikatakannya.

“Dengar dulu apa yang hendak saya katakan sebelum kamu memukul saya,” katanya.
Cheng yang berang kemudian mula menampar muka Chui hingga lelaki itu menjerit. “Kamu mempermainkan saya!” jerit Cheng.

Dia juga menggesa wanita yang berdiri di sisinya itu agar menjelaskan perkara yang sebenar. Kejadian itu dirakam seorang jiran yang mendesak supaya Chui memutuskan hubungan dengan Cheng dan tidak puas hati kerana mangsa tidak melawan kembali.

Jiran lain mula campur tangan tetapi dipintas Cheng yang menjerit agar mereka menjaga hal sendiri.

Kebanyakan saksi memihak kepada Chui dan seorang wanita berkata: “Berdirilah cepat, tolak perempuan yang berperangai buruk ini, kamu layak dapatkan wanita lebih baik.” Seorang jiran menghubungi polis yang kemudian menahan Cheng.

Jurucakap polis memberitahu akhbar South China Morning Post yang mereka menerima panggilan telefon kira-kira jam 5.10 petang pada 4 Oktober lalu dari Kowloon City.

Selepas video insiden itu dimuat turun, ia berjaya menarik lebih 700,000 pengunjung dalam tempoh kurang dari tiga hari.

Polis yang tiba di tempat kejadian kemudian menahan Cheng sebelum menghubungi ambulans untuk membawa Chui ke hospital untuk rawatan. - Agensi
- See more at: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Gara-garacurang/Article/index_html#sthash.OKqd0GRV.dpuf