Search This Blog

Tuesday, October 8, 2013

Nahas: Dua maut, empat cedera

Nahas: Dua maut, empat cederaSuami Santha bersama ahli keluarganya meratapi pemergian mendiang.
KULAIJAYA - Dua maut, manakala empat yang lain cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta dan van di Kilometer 51, Jalan Johor Bahru-Air Hitam, berhampiran Estet Kampung Air Manis, dekat sini malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.45 malam itu, R Santha, 44, yang duduk di penumpang hadapan dan M Natarajan, 28, duduk di penumpang belakang kereta jenis Proton Iswara meninggal dunia di tempat kejadian.

Pemandu Proton Iswara, K Vegneswaran, 44, cedera ringan dan seorang lagi penumpang di tempat duduk belakang, S Mathiyalagan, 25, kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) kerana mengalami cedera parah.

Manakala, pemandu van, K Swoba, 45, bersama penumpangnya, K Haran, 19, turut mengalami cedera ringan dalam kejadian terbabit.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superitendan Zulkefly Yahya berkata, kejadian berlaku apabila kereta Proton Iswara terbabit yang datang dari arah Air Hitam menuju ke Kulai terbabas ke laluan bertentangan.

“Selepas masuk ke laluan bertentangan, kereta terbabit yang dipandu suami si mati (R Santha) dirempuh van yang datang dari arah Kulai menuju ke Air Hitam.

“Kedua-dua mangsa meninggal (penumpang depan dan belakang kereta) dunia di tempat kejadian. Pemandu kereta cedera ringan, manakala seorang lagi penumpang di belakang kereta terbabit cedera parah dan dihantar ke HSA bagi rawatan lanjut.

“Pemandu van bersama anaknya cuma mengalami cedera ringan,” katanya ketika dihubungi bagi mengesahkan kejadian, di sini semalam.

Zulkefly berkata,  kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Lelaki hadapi 5 pertuduhan jenayah seksual

Lelaki hadapi 5 pertuduhan jenayah seksualBekas mekanik, Malek Ridzuan Isroll didakwa di tiga Mahkamah Sesyen berasingan di Ipoh hari ini terhadap lima pertuduhan melibatkan jenayah seksual terhadap empat perempuan pada bulan lepas. - Foto Bernama

IPOH - Seorang bekas mekanik didakwa di tiga Mahkamah Sesyen berasingan di sini hari ini atas lima pertuduhan melakukan jenayah seksual membabitkan empat mangsa, bulan lepas.

Malek Ridzuan Isroll, 27, dari Batu Gajah, yang berdepan dua pertuduhan cuba merogol, satu pertuduhan cuba meliwat serta masing-masing satu pertuduhan merogol dan meliwat, mengaku tidak bersalah.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa cuba merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di tepi jalan tanah adat Mendaling di belakang Kelab Golf Clearwater Sanctuary, Batu Gajah dekat sini pada 9.50 malam 11 September lepas.

Hakim Noor Hayati Mat membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 November ini untuk sebutan semula kes itu.

Di mahkamah kendalian Hakim Madihah Harullah, Malek Ridzuan berdepan dua pertuduhan iaitu cuba merogol seorang wanita berumur 30 tahun di kawasan hutan bersebelahan taman burung Kampung Pisang, Batu Gajah pada 9 pagi 28 Sept lepas
dan meliwat seorang gadis berusia 13 tahun di ladang penternakan itik Taman Alam Kinta, Kota Bharu di Gopeng pada 10 pagi 21 September lepas.

Madihah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 15 November ini untuk sebutan semula kes.

Di mahkamah kendalian Hakim, Yushan Lutfi Mohamed pula, Malek Ridzuan  berdepan dua pertuduhan iaitu merogol dan cuba meliwat seorang gadis berusia 17 tahun di kawasan hutan, Jalan Changkat Mendaling, Batu Gajah pada 9.25 malam 25
September lepas.

Bagi kedua-dua kes, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Hafizah Kamaludin tidak menawarkan jaminan kerana mengikut siasatan polis, tertuduh adalah seorang perogol bersiri.

Beliau juga memaklumkan bahawa Malek Ridzuan akan berdepan empat pertuduhan lain yang tidak melibatkan jenayah seksual membabitkan empat mangsa di Mahkamah Majistret Batu Gajah dan Kampar.

Yushan Lutfi kemudian memutuskan tiada jaminan ditawarkan kepada Malek Ridzuan yang tidak diwakili peguam dan kes itu disebut semula pada 15 November ini. - Bernama

Polis berkas dua lelaki larikan lori muatan sawit


8 Oktober 2013
JOHOR BAHRU - Polis berjaya menemui semula sebuah lori bersama muatan buah kelapa sawit seberat 32 tan, yang dilarikan dua lelaki di kawasan Seri Alam di sini, selepas memberkas mereka di Ledang, dua hari lepas.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, usaha menjejaki kedua-duanya dilakukan selepas polis menerima satu laporan mengenai kehilangan lori itu oleh pemiliknya pada pukul 8.06 pagi, hari yang sama.

"Mangsa meletakkan lori terbabit di Jalan Gunung 32, Bandar Seri Alam, di sini, kira-kira pukul 6.30 petang sehari sebelum itu.

"Dia menyedari kehilangan kenderaan terbabit pada pukul 7.30 pagi keesokannya lalu melaporkannya kepada polis," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Mokhtar berkata, kedua-dua suspek yang berumur 18 dan 30 tahun itu tidak mempunyai rekod jenayah.

Mereka kini ditahan reman sehingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379A kanun yang sama, katanya. - Bernama

Kena jel akibat belasah isteri


8 Oktober 2013

JOHOR BAHRU – Seorang mekanik mengaku bersalah atas dua pertuduhan mengugut dan mencederakan isterinya menggunakan kayu golf di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Tertuduh, Saifullah Hasbullah, 26 didakwa melakukan dua kesalahan terbabit, kira-kira jam 7.00 malam di sebuah kediaman di Jalan Surau, Kampung Melayu Pandan di sini, pada 1 Oktober lalu.

Mengikut kertas pertuduhan Saifullah mengugut seorang wanita berumur 26 tahun yang juga isterinya.

Dia yang kelihatan yang tenang di kandang tertuduh itu didakwa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua Saifullah didakwa memukul isterinya menggunakan kayu golf sehingga menyebabkan kecederaan, atas kesalahan itu dia telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Dia yang menganguk faham ketika pertuduhan di bacakan berdepan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman terbabit jika sabit kesalahan.

Dalam rayuannya, Saifullah meminta mahkamah meringankan hukuman kerana mengakui telah insaf dan mempunyai tanggungan selain mengidap strok.

Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias memerintahkan tertuduh dijatuhi hukuman dua bulan penjara bagi pertuduhan pertama manakala tiga bulan penjara bagi tuduhan kedua dan hukuman dijalankan serentak bermula semalam.

Gores dan menang: Dua individu ditahan


8 Oktober 2013
IPOH - Polis menahan dua individu yang dipercayai terlibat dalam sindiket penipuan 'gores dan menang' ketika sedang memperdaya seorang mangsa di depan sebuah bank di Ipoh Garden, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Perak Supt Maszely Minhad berkata suspek, seorang seorang wanita berusia 25 tahun dan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun, ditahan pada 3.15 petang.

"Sindiket itu menyasarkan kawasan tumpuan orang ramai seperti pusat membeli-belah atau di depan bank," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata mangsa ditawar hadiah berupa barangan elektrik namun perlu membayar sejumlah wang untuk menebusnya.

"Mereka akan membawa mangsa ke pejabat untuk mengambil hadiah dan meminta mangsa membayar sejumlah wang untuk menuntut hadiah yang lebih lumayan, dan mangsa akan diugut jika tidak menerima tawaran tersebut," katanya.

Maszely berkata barangan yang diberi itu tidak berkualiti dan tidak sepadan dengan jumlah wang yang diserah oleh mangsa.

"Mangsa diperdaya kononnya barang yang ditawarkan itu bernilai RM3,000 tetapi harga sebenar barangan elektrik itu tidak sampai RM1,000," katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - Bernama

Lelaki ditahan miliki pil kuda


7 Oktober 2013
 
MARANG - Sebanyak 149 biji pil dipercayai pil kuda seberat 15 gram bersama wang tunai RM500 dirampas dalam satu serbuan pasukan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang, di sini, Jumaat lalu.

Serbuan dilakukan ke atas sebuah rumah di Jalan Kubang Panjang, Kampung Lubuk Kapas, Bukit Payung, kira-kira jam 4.15 pagi, diketuai Inspektor Mohd Saufi Hairi Pornomo.

Menurut sumber, polis menemui pil tersebut dalam bungkusan plastik dan wang disimpan dalam sebuah beg setelah menahan seorang lelaki berumur 25 tahun.

“Pil dan wang tunai berkenaan ditemui di atas tilam dalam sebuah bilik, suspek terbabit kemudiannya ditahan dan dibawa ke Balai Polis Bukit Payung untuk tindakan lanjut,” katanya.




Tanggang moden terima hukuman

Tanggang moden terima hukuman>Seorang rakan yang menemani Nasrun di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu, semalam, membantu menutup wajah Nasrun dengan jaket bagi mengelak dirakam media.

KUALA TERENGGANU - “Yang Arif, saya ingin bertanya adakah dia (Nasrun) bersalam memohon maaf di hadapan Yang Arif kerana benar-benar insaf atau sekadar lakonan di dalam mahkamah?

“Yang Arif, kalau dia betul-betul ingin minta maaf, kenapa sepanjang kami bertemu di mahkamah ini tadi, dia langsung tak tengok muka saya apa lagi bersalam dengan saya... saya duduk di situ berapa lama, tapi dia buat tak tahu saja... kenapa baru hendak  bersalam selepas disuruh oleh mahkamah... saya reda memiliki anak seperti ini, saya reda dia dipenjarakan,” kata Mustafa Ismail, 67, dalam nada hampa.

Mustafa meluahkan rasa kecewa di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, Rosdi Harun, semalam, dalam permohonannya agar memenjarakan anaknya, Nasrun Mustafa, 40, sebagai pengajaran di atas tindakannya mengabaikan nafkah terhadap kedua ibu bapa dan dua anaknya yang dipelihara Mustafa.

Terdahulu, Rosdi memerintahkan agar Nasrun bersalam dengan Mustafa susulan keputusannya mahu memohon maaf daripada bapanya itu, selepas memberi tempoh selama satu jam bagi kedua belah pihak mengadakan perbincangan dan menyelesaikan kes di luar mahkamah.

Rosdi menangguhkan prosiding selepas mendengar alasan Nasrun yang tidak mahu melawan bapanya di mahkamah sebagai jawapan kepada soalan Rosdi yang mahukan penjelasannya mengapa dia tidak pernah hadir ke mahkamah sepanjang prosedur berjalan sejak 2010.

Buat pertama kalinya selepas kes tuntutan nafkah dan saman difailkan Mustafa terhadap anaknya Nasrun pada 2010, pengurus sebuah syarikat cari gali minyak itu muncul di mahkamah semalam, selepas mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadapnya bulan lalu.

Pada prosiding semalam, Rosdi memerintahkan Nasrun yang sebelum ini digelar ‘Si Tanggang Moden’ membayar RM10,000 kepada Mustafa dan ibunya, Che Mariam Abdullah, 59, sebelum jam 3 petang semalam, manakala jumlah yang masih tertunggak iaitu RM11,000 perlu dijelaskan secara ansuran sebanyak RM1,000 sebulan.

Sekiranya Nasrun gagal menjelaskan bayaran berkenaan, Rosdi memerintahkan agar hukuman penjara selama seminggu dikenakan terhadapnya.

Dalam masa sama, mahkamah turut membenarkan Nasrun diikat jamin RM1,000 dengan dua penjamin sementara menunggu tarikh mendengar notis tunjuk sebab untuk membela diri pada 24 November ini, selepas Mustafa memfailkan permohonan supaya Nasrun dipenjarakan kerana gagal melaksanakan perintah mahkamah berhubung pembayaran nafkah bernilai RM18,866.50.

Selain itu, Rosdi berkata, mahkamah tidak berhasrat untuk memanjangkan kes berkenaan dan memohon Nasrun kembali kepada keluarganya dan mengambil berat perihal keluarga termasuk ibu bapa dan dua anaknya berusia 16 dan 18 tahun.

“Saya harap Nasrun kembali kepada keluarga. Permohonan maaf yang dibuat sebentar tadi juga diharap benar-benar ikhlas. Sebab kita kena ingat, tidak akan masuk syurga seseorang yang memutuskan silaturahim apa lagi seorang anak.

“Dalam kes ini, saya tidak dapat tentukan siapa yang benar atau salah, cuma saya harap selepas ini semuanya kembali berbaik.

“Jaga anak kita, kena prihatin, jangan abaikan kedua ibu bapa dan anak-anak hingga mereka tidak kenal siapa ayah mereka. Berkunjunglah ke rumah ibu bapa, adik-beradik, jalinkan semula silaturahim yang terputus sebelum ini,” katanya.

Mustafa dari Kampung Beladau Kolam, Manir,di sini, pernah mendapat liputan meluas media apabila menyaman anaknya itu yang bekerja sebagai pengurus syarikat cari gali minyak di ibu kota dan berpendapatan lebih RM17,000 sebulan bagi tuntutan nafkah dua cucunya.

Pada 28 Ogos tahun lalu, Rosdi memerintahkan Nasrun memohon maaf secara terbuka kepada ibu bapa dan dua anaknya yang ketika itu berusia 17 dan 15 tahun.

Rosdi turut memerintahkan Nasrun membayar RM400 seorang kepada ibu dan bapanya serta dua anaknya setiap bulan, selain RM1,000 untuk perbelanjaan Aidilfitri dua anaknya setiap tahun.

Selain itu, mahkamah turut memerintahkan Nasrun membayar RM18,866.50 kepada kedua ibu bapanya sebagai tunggakan dan perbelanjaan serta teladan kerana tidak pulang ke rumah bertemu anaknya lebih lapan tahun.

Bagaimanapun, disebabkan kegagalan Nasrun membayar nafkah kepada ibu bapa dan dua anaknya, Mahkamah Tinggi Syariah mengeluarkan waran tangkap terhadapnya pada 28 Julai lalu.

Mahkamah mengeluarkan waran tangkap itu selepas meluluskan permohonan Mustafa atas alasan Nasrun gagal melaksanakan perintah mahkamah sama untuk nafkah dan perbelanjaan yang dibuat sebelum itu.

Suspek kes pecah rumah ditahan

Suspek kes pecah rumah ditahanPemangku Ketua Balai Polis Jertih, Sarjan Mejar Hassan Mat Lasim memeriksa kereta milik suspek kedua yang dipercayai menggunakan enjin curi.

BESUT - Seorang lelaki yang diburu kerana disyaki terbabit dalam kes pecah rumah dan curi sebuah kereta Proton Satria di Beserah, Kuantan, Pahang pada 11 September lalu berjaya ditangkap di Kampung Padang Luas, awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, suspek 24 tahun ditahan sepasukan anggota polis dari Balai Polis Jertih yang melakukan rondaan cegah jenayah selepas melihat suspek dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, polis terserempak dengan suspek sedang berjalan kaki seorang diri sambil menggalas beg dan selepas diperiksa mendapati terdapat bersamanya seunit komputer riba, seutas jam tangan dan sebentuk cincin.

“Pemeriksaan lanjut mendapati lelaki itu adalah suspek kes pecah rumah di Kuantan dan kesemua barang di dalam begnya dipercayai dicuri dari rumah sama,” katanya.

Kamaruddin berkata, suspek turut mengaku mencuri kereta berkenaan dan memberitahu tempat dia menjual komponen serta badan kenderaan terbabit.

Susulan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 24 tahun di Semerak, Pasir Putih, Kelantan pada pagi sama iaitu individu yang dipercayai membeli kereta curi terbabit.

“Bagaimanapun enjin kereta itu telah dikeluarkan dan dipercayai dimasukkan ke kereta jenis sama milik suspek berusia 24 tahun dan kereta suspek kedua ini turut disita untuk pemeriksaan,” katanya.

Duit korban Palestin RM35,000 lesap

Tan Ah Chua
Tan Ah Chua


SHAH ALAM - Wang tunai berjumlah RM35,000 yang sepatutnya digunakan untuk majlis korban di Palestin bersempena Aidiladha lesap, selepas dilarikan tiga lelaki yang menyamar sebagai anggota polis dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah terkenal di Bandar Sunway, Subang Jaya, petang, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, dua lelaki yang merupakan pekerja kepada penceramah bebas Ustaz Muhammad Abdullah, 37, atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin yang popular melalui sebuah program televisyen tempatan ‘Tanyalah Ustaz’, dikatakan baru sahaja tiba di kawasan letak kereta di situ.

Menurut sumber, kereta dua mangsa itu tiba-tiba dihalang  sebuah kenderaan lain jenis Lexus berwarna hitam.

Beliau berkata, terdapat tiga lelaki yang memakai topi dengan lambang polis turun dari kereta berkenaan dan menghampiri kedua-dua mangsa, sebelum memperkenalkan diri sebagai polis.

Menurutnya, seorang daripada kumpulan lelaki itu kemudiannya memaksa mangsa untuk masuk ke dalam kenderaan mereka, sebelum merampas wang tunai RM35,000 yang dibawa.

“Ketika berada dalam kereta, seorang daripada kumpulan lelaki itu meletakkan kapak di muka mangsa sebagai ugutan.

“Penjenayah itu kemudiannya mengikat kedua-dua tangan mangsa ke belakang, sebelum menutup mata mereka dengan topeng,” katanya.

Katanya, selepas hampir setengah jam berada dalam kenderaan penjenayah itu, kedua-dua mangsa kemudiannya ditinggalkan berhampiran kilang simen di Kampung Sungai Penchala. Damansara.

Menurutnya, kedua-dua mangsa berusia 19 dan 24 tahun itu kemudiannya mendapatkan bantuan orang awam di kawasan terbabit, sebelum dibawa ke balai polis.

Sumber berkata, kedua-dua mangsa pergi ke pusat beli-belah berkenaan untuk menukar wang yang dilarikan sebelum dibawa ke Palestin untuk tujuan ibadah korban.

Katanya, wang itu sepatutnya digunakan untuk membiayai 105 sukarelawan misi bantuan ke Masjidil Al-Aqsa, Palestin serta membeli 10 ekor lembu yang akan dikorbankan di sana.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Tan Ah Chua ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 kanun keseksaan.

Bekas menteri Greece dipenjara 20 tahun kerana rasuah


2013/10/08
 
ATHENS: Bekas Menteri Pertahanan Greece dihukum penjara 20 tahun selepas didapati bersalah mengubah wang haram dalam kes penyelewengan terbesar setakat ini dalam negara yang dihimpit masalah kewangan.

Selepas lima tahun dibicarakan, mahkamah Athens mendapati Akis Tsochadzopoulos, tokoh terkenal ketika kerajaan Sosialis terdahulu, mengaku bersalah dengan 16 daripada 18 defendan lain termasuk isteri, bekas isteri dan anak perempuan.
Bekas menteri berusia 73 tahun itu menafikan semua tuduhan ke atas dirinya dan menuduh pendakwaan menjalankan perbicaraan atas dasar politik. - AP 

Dua beranak lemas

Dua beranak lemasHisham dan anak lemas di Sungai Telok Mengkuang, Banting. Banting: Seorang bapa bersama anak lelakinya berusia tiga tahun sempat memancing dan bersiar-siar bersama keluarga sebelum kedua-duanya lemas di Sungai Telok Mengkuang, Telok Panglima Garang, dekat sini kelmarin.

Kejadian jam 6.40 petang itu berlaku selepas bot dinaiki Hisham Hizir @ Khizir, 42, dan anaknya, Muhammad Shamirul Hisham tiba-tiba terlanggar kayu, menyebabkan Shamirul yang sedang berdiri, terjatuh ke dalam sungai sebelum bapanya pula terjun untuk menyelamatkan kanak-kanak itu.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Nordin Manan, berkata bot ketika itu dikemudi isteri mangsa, Rohaya Mohd Yusuf, 37, turut membawa dua anak perempuan mereka, Noor Shamila, 17, dan Noor Aziera, 13.


Bot terlanggar kayu

“Ketika bot bergoyang selepas terlanggar kayu, Shamirul tercampak ke dalam sungai dan Hisham terjun untuk menyelamatkan anaknya, namun dua beranak itu terus tenggelam dan lemas.

Rohaya bersama Noor Shamila dan Noor Aziera berjaya menarik mayat Hisham ke atas bot tidak lama kemudian, namun Shamirul hanyut dibawa arus.

“Gerakan mencari disertai anggota bomba dan penduduk kampung terus dilancarkan dan disambung pagi tadi (semalam) hingga menemui mayat Shamirul, jam 2.15 petang,” katanya, di sini, semalam.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan jenazah Hisham sudah dituntut ahli keluar-ganya untuk dikebumikan di Batu 10, dekat sini pagi semalam. Mayat Shamirul pula dihantar ke Hospital Banting untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Banting, Penolong Penguasa Mohd Jaslizad Jalil, berkata mayat Shamirul ditemui sekumpulan nelayan, tersangkut di tebing sungai berdekatan Pangkalan Sri Tanjong, kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian.

Tiga pemancing warga asing berenang 40 minit selepas bot karam di Rompin


2013/10/08
 
Pekan: Tiga pemancing warga asing terpaksa berenang hampir 40 minit ke pulau berhampiran apabila bot dinaiki mereka terbalik dan karam selepas dipukul ombak besar di perairan Rompin, awal pagi semalam.

Mangsa membabitkan dua warga Switzerland iaitu Christoph Haeusseermann dan Gondini Gallis Fravi, masing-masing berusia 46 tahun dan seorang warga Filipina, Ferdenand Fune, 31.
Ketua Polis daerah, Superintendan Yahaya Othman, berkata bot mangsa dilanda ribut kira-kira jam 4 pagi sebelum mereka berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke Pulau Berhala.

Beliau berkata, semua mangsa diselamatkan sebuah bot nelayan tempatan kira-kira jam 3 petang sebelum dibawa ke jeti Kuala Pahang, di sini. 

Kanak-kanak trauma terkurung dalam lif

Foto
KAKI Danish cedera selepas tersepit pada pintu lif.
Kuala Lumpur: “Saya sangka akan tinggal dalam lif itu selama-lamanya,” kata Muhammad Danish Najmi Radzi, 8, yang terkurung hampir sejam dalam lif sebuah pusat beli-belah di Jalan Chow Kit, di sini, kelmarin.
Berikutan kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, murid tahun dua itu cedera kaki kiri selain trauma apabila lif yang dinaiki bergerak secara tiba-tiba sebaik melangkah masuk dari tingkat enam sebelum lif itu berhenti di tingkat lapan. 
Bapa mangsa, Mohd Radzi Mohd Said, 35, berkata ketika kejadian, dia bersama Danish, dua anak dan isterinya sedang menunggu lif untuk ke tingkat tujuh dari tingkat enam.

“Sebaik pintu lif terbuka, anak saya melangkah masuk dulu dan belum sempat saya dan isteri masuk tiba-tiba pintu lif tertutup. Saya kemudian menahan pintu lif itu namun lif terus juga naik. Isteri sempat memegang kaki anak saya itu tetapi melepaskannya apabila lif itu terus bergerak naik,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Putrajaya.


Pasangan berkenaan juga membuat laporan mengenai kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, pada hari sama.

Beliau berkata, di dalam lif berkenaan juga terdapat sepasang suami isteri dan seorang anaknya yang menaiki lif berkenaan dari tingkat bawah.

Mohd Radzi berkata, dia bersama keluarga ke pusat beli-belah itu selepas diajak anaknya itu dan sebaik tiba di tingkat enam, dia mendapati tangga bergerak tidak berfungsi menyebabkan mereka mengambil keputusan menggunakan lif untuk ke tingkat tujuh.

“Ketika itu, isteri mendukung bayi perempuan kami yang berusia lapan bulan manakala saya memimpin Danish dan anak lelaki kedua berusia enam tahun serta menolak kereta sorong.

“Kami ambil keputusan menaiki lif. Apabila pintu lif terbuka, Danish masuk terlebih dulu namun tiba-tiba pintu lif hampir tertutup.

“Isteri saya terpaksa menahan pintu lif berkenaan daripada tertutup kerana bimbang Danish tersepit. Bagaimanapun, lif itu terus bergerak naik walaupun pintu lif sudah terbuka semula,” katanya.

Lebih menakutkan, Danish hampir tersepit apabila lif itu bergerak naik ke tingkat tujuh, namun dalam keadaan panik itu, sepasang suami isteri yang berada dalam lif berkenaan sempat menarik tangan dan menyelamatkannya.

Radzi berkata, lebih membimbangkannya apabila lif itu berhenti di tingkat lapan menyebabkan dia terpaksa mencari pihak pengurusan bagi meminta bantuan.

Katanya, walaupun kejadian itu sudah dimaklumkan kepada pihak pengurusan, namun mereka terpaksa menunggu bantuan tiba hampir sejam.

“Bimbang keselamatan anak, saya mengambil keputusan menghubungi bomba dan beberapa minit kemudian barulah pihak penyelenggara tiba membuka lif itu. Sebaik Danish berjaya dikeluarkan, dia segera dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Kaki kiri Danish lebam selain seluarnya terkoyak.

Menurutnya, mereka sekeluarga akan mendapatkan laporan lengkap perubatan selain nasihat peguam bagi menuntut keadilan berikutan kejadian itu yang dianggap kecuaian pihak pengurusan pusat beli- belah berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu. 

Boleh untung 100 peratus



Kuala Lumpur: Keuntungan lebih 100 peratus yang ditawarkan sindiket penyeludupan rokok putih tidak sah, seludup dan tiruan menarik minat perokok tegar untuk mengedar rokok berkenaan sama ada dalam kalangan rakan sendiri, rakan sepejabat, jiran atau saudara-mara.

Bermula dengan membeli satu karton rokok yang ditawarkan pada harga RM14 untuk rokok putih jenama tertentu, mereka yang menjualnya boleh memperoleh hingga RM30 sekarton. Perolehan lumayan itu mendorong mereka yang baru berjinak dalam pengedaran rokok berkenaan menjadikan kegiatan itu sebagai sumber pendapatan utama. Seorang penghisap rokok murah tidak sah itu yang hanya mahu dikenali sebagai Zamri, 20-an, berkata, dia dua kali pernah ditawarkan menjual rokok berkenaan ketika berada di sebuah kompleks beli-belah di Shah Alam dan di sebuah jabatan kerajaan di Putrajaya.


“Lelaki itu (dipercayai ejen) tanya: ‘Selalu ke beli rokok ini (rokok putih tidak sah). Kalau nak duit lebih bolehlah kau ‘part time’ jual rokok. Satu karton aku tolak RM14 dan kau boleh jual balik di pasaran sehingga lebih RM30 satu karton.” “Bagaimanapun, saya menolak tawaran lelaki berkenaan sebab bimbang ditahan pihak berkuasa. Saya hanya beli rokok untuk dihisap sendiri bukannya untuk jadi penjual,” katanya yang beralih menghisap rokok murah pada 2006 sehingga kini.

Menurutnya, selain harga yang lebih murah, dia juga memilih untuk menghisap rokok berkenaan berikutan rasa yang lebih ‘kick’ atas sebab mungkin kerana ramuan dalam kandungan rokok terbabit melebihi daripada apa dibenarkan untuk rokok sah.


Sementara itu, seorang peruncit di Padang Jawa, Shah Alam, Selangor, berkata, sambutan terhadap rokok berkenaan amat tinggi hingga dia tidak ragu-ragu untuk menjualnya secara terbuka.


Dia yang juga warga Indonesia berusia 40-an berkata, dia pasti permintaan rokok itu akan lebih meningkat berikutan kenaikan harga terkini rokok sah sebanyak RM1.50 buatan syarikat tempatan berjenama antarabangsa dengan harga terbaru menjadikan sekotak RM10.50 dan RM12.

“Pelanggan saya bukan saja pencari rezeki warga asing di sini seperti senegara saya dari Indonesia, malah dari Nepal, Bangladesh, Myanmar, Thailand dan lain-lain.


“Rakyat tempatan juga ramai membeli rokok murah ini terutama pelajar dan pekerja kilang.

“Saya jual sebab ada permintaan dan stok juga mudah didapati,” katanya yang enggan mendedahkan di mana dia mendapatkan bekalan berkenaan. Dipercayai dia mendapatkan bekalan rokok itu di Chow Kit.


Justeru, tidak hairanlah Ketua Eksekutif Gabungan Pengilang Tembakau Malaysia (CMTM), Shahrul Azamin Abdullah berkata, masalah kebanjiran rokok tidak sah, seludup serta tiruan di negara ini adalah serius dan perlu dibendung segera pihak berkuasa.

Guna kereta mewah


Oleh Yusri Abdul Malek, Amir Abd Hamid, Salman Hamat, Fardy Bungga, Adnan Mohamad dan Zuliaty Zulkiffli

Kota Bharu: Bagi mengaburi pihak berkuasa dan mengelak dikesan, sindiket penyeludupan rokok putih di negeri ini sanggup menggunakan kenderaan mewah seperti Toyota Alphard dan Toyota Vellfire ketika membawa rokok itu dari satu tempat ke tempat lain.

Komander Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kelantan Rusli Karim berkata, dalam kes sebelum ini penggunaan kenderaan mewah seumpamanya juga didapati bercermin gelap sebagai helah sindiket yang mungkin yakin pihak berkuasa tidak memeriksa kenderaan berstatus tinggi.


Beliau berkata, sindiket penyeludupan rokok itu dipercayai didalangi individu berpengaruh tertentu yang bertanggungjawab mengedarkan rokok berkenaan sehingga ke kawasan pedalaman berikutan permintaan tinggi dalam kalangan penduduk berpendapatan rendah.

“Dalam kes sebelum ini, ada penyeludup menggunakan kenderaan mewah seperti Toyota Alphard dan Toyota Vellfire yang bercermin gelap bagi mengelak dikesan.


“Ada kes penyeludup menggunakan kenderaan niaga yang bertutup rapat seolah-olah membawa barangan sejuk beku. Sekali imbas sekiranya tidak diperiksa dengan lebih teliti, mereka mungkin terlepas daripada pihak berkuasa.


“Selain keretek, rokok putih tidak sah dan tiruan yang dijual kurang RM4 sekotak amat laris dan penyeludup menggunakan pelbagai helah untuk menyeludup bagi memastikan produk sampai ke destinasi. Namun taktik sindiket nyata berjaya kita kesan,” katanya.

Rusli berkata, sejak Januari lalu hingga Ogos tahun ini, UPP Kelantan mencatatkan enam kes rampasan rokok membabitkan 552 kotak bernilai RM809,789 dan semua rokok itu dipercayai dibawa masuk dari luar sama ada dari Pantai Barat atau melalui jalan laut dari negara jiran.


Menurutnya, pada 2012, sebanyak tujuh kes dicatatkan membabitkan rampasan rokok, tetapi nilainya hanyalah RM67,447.

Selain itu, pihaknya mendapati penyeludup lebih suka menyimpan bekalan rokok tidak sah, seludup dan tiruan di dalam rumah kosong atau rumah tanpa penghuni yang disewa khas.


“Penyeludup akan datang mengambil bekalan pada waktu malam untuk diedarkan kepada pekedai runcit.


“Setakat ini, harga bagi sekotak rokok dijual antara RM3 hingga RM4. Bagaimanapun, harga antara sesebuah kedai dengan yang lain berbeza bergantung kepada dari mana bekalan itu diperoleh,” katanya.


Rusli berkata kes rampasan rokok disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu menyimpan barang-barang larangan.


“Jika disabitkan kesalahan boleh didenda antara 10 hingga 20 kali ganda duti kastam atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Tarik ATM guna Myvi

Foto
KEADAAN mesin ATM yang gagal dilarikan perompak di bank di Kampung Kubang Kurus, semalam.
Kuala Terengganu: Tiga lelaki bertopeng hanya sempat menarik mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sejauh satu meter menggunakan Perodua Myvi di sebuah bank di Kampung Kubang Kurus, Kemaman sebelum terpaksa melarikan diri apabila alat penggera keselamatan berbunyi disusuli kehadiran pengawal keselamatan bertugas di pasar raya berhampiran.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner K Manoharan berkata, kejadian itu dikesan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup yang menunjukkan seorang lelaki berada dalam bank manakala dua lagi suspek menunggu di luar sebelum cuba menarik mesin ATM itu menggunakan tali. 
Menurutnya, alat penggera keselamatan bank berkenaan berbunyi sebaik mesin itu ditarik satu meter oleh kereta dinaiki tiga lelaki terbabit.

Katanya, bunyi bising alat penggera keselamatan itu mengejutkan seorang pengawal keselamatan berusia 26 tahun yang menjaga sebuah pasar raya berhampiran bank berkenaan.


“Pengawal keselamatan yang curiga dengan bunyi itu bergegas ke kawasan bank berkenaan sebelum mendapati tiga lelaki menarik satu daripada tiga mesin dengan kereta yang mereka naiki.

“Menyedari tindakan mereka diperhatikan pengawal keselamatan itu, ketiga-tiga suspek membatalkan niat mereka dan terus melarikan diri dengan kereta berkenaan menuju arah Kuala Terengganu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, semalam. 

Geng Ismail Myanmar



Melaka: Empat lelaki warga Myanmar berputih mata apabila bukan saja tidak sempat menikmati hasil samun membabitkan seorang peniaga barang kemas dan batu permata bernilai RM100,000, malah mereka turut dicekup 27 jam selepas melakukan jenayah itu dalam dua serbuan berasingan di Selangor dan Kuala Lumpur.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, keempat-empat mereka melakukan samun bersenjata ke atas seorang lelaki Myanmar berusia 37 tahun yang ketika itu sedang tidur di rumah bersama tiga anak saudara lelakinya berusia 15 hingga 18 tahun di Taman Seri Telok Mas, Telok Mas, di sini, jam 1.30 pagi, Jumaat lalu.
Menurutnya, ketika kejadian semua mangsa diikat sebelum keempat-empat penjenayah itu menyelongkar kediaman berkenaan dan melarikan barang kemas, wang tunai serta barang berharga milik mangsa.

“Hasil laporan dibuat mangsa, satu serbuan dilakukan di sebuah rumah di Jalan Sungai Putus, Klang, Selangor, jam 10.45 malam pada hari sama dan menahan seorang lelaki berusia 22 tahun yang juga ketua kumpulan dikenali sebagai Geng Ismail.

Foto
RAJA Shahrom (kanan) menunjukkan rantai emas hasil rampasan pada sidang media, semalam.

Foto
ANTARA barangan samun yang dirampas dalam serbuan.

“Ketika disoal siasat, suspek mengaku merancang dan melakukan samun ke atas mangsa.


“Susulan penahanan itu, satu lagi serbuan dilakukan di sebuah apartment di Taman Shamelin Perkasa, Cheras, Kuala Lumpur, jam 5 pagi keesokan harinya dan menahan tiga lelaki Myanmar berusia 19 hingga 22 tahun,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri, di sini, semalam.

Hadir sama, timbalannya Superintendan PR Gunarajan, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah Deputi Superintendan Gan Chip Pho dan Pegawai Risikan/Operasi IPD Melaka Tengah Asisten Superintendan Koh Teck Chew.

Raja Shahrom berkata, siasatan awal mendapati ketua kumpulan berkenaan mempunyai kad pengenalan bertaraf penduduk tetap, manakala tiga yang lain tidak mempunyai pengenalan diri dipercayai pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian.

“Hasil serbuan di apartmen berkenaan, kami merampas 20 telefon bimbit pelbagai jenama, cincin (57), rantai emas (23), keris (4), gelang tangan (9), plet berbentuk bulat (9), pedang samurai (1) dan topeng muka (1).

“Kami percaya semua barang kemas berkenaan hasil samun dilakukan ke atas mangsa, malah kumpulan ini juga dipercayai giat melakukan kegiatan samun di sekitar Cheras dan Kuala Lumpur,” katanya.

Menurutnya, semua suspek ditahan reman tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan menggunakan senjata.

4 lelaki berparang serang restoran



Gombak: Seorang pemilik sebuah restoran berusia 34 tahun di Taman Sri Gombak, di sini kerugian hampir RM10,000 selepas empat lelaki bersenjatakan parang menyamun pekerjanya selain melarikan 290 kotak rokok pelbagai jenama dan wang perniagaan, pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, sebuah kereta Proton Wira berhenti di hadapan restoran itu sebelum sekumpulan lelaki terus menyerang pekerja mangsa yang berada di dalam premis sambil mengacukan parang.


Menurut sumber, mereka juga diarahkan supaya tidak melawan jika tidak mahu dicederakan menyebabkan pekerja terbabit akur dan hanya berdiam diri.

“Kejadian terbabit berlaku terlalu pantas dan lelaki terbabit terus mengambil wang tunai yang berada di kaunter selain merampas rokok pelbagai jenama.


“Malah, telefon bimbit pekerja terbabit turut dilarikan penjenayah,” katanya.


Sumber berkata, pekerja berkenaan kemudian terus menghubungi mangsa yang terus bergegas ke restorannya.

“Akibat kejadian itu, mangsa kerugian dianggarkan RM10,000. Mangsa turut membuat laporan di Balai Polis Gombak,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Wanita tolak hasrat rujuk diugut bakar



Ampang: Seorang lelaki yang ‘gila talak’ tergamak membelasah bekas isteri dengan kayu selain mengugut mahu membakar wanita itu hidup-hidup selepas hajatnya untuk rujuk semula ditolak.

Lelaki berusia 30-an itu difahamkan sebelum itu sanggup menunggu bekas isterinya yang bekerja sebagai jurujual di sebuah premis perniagaan di Pandan Indah, di sini, hampir dua jam sebelum menyerang wanita terbabit.


Berikutan kejadian itu, mangsa yang berusia 38 tahun mengalami lebam pada badan selain pecah bibir. Namun, sempat melepaskan diri daripada bekas suaminya itu sebelum mendapatkan bantuan rakan.

Sumber berkata, mangsa yang bimbang akan ‘diserang’ bekas suaminya lagi turut membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah, kelmarin.


Dalam kejadian jam 10 malam Sabtu lalu, sumber berkata, mangsa berjalan untuk pulang ke rumahnya yang terletak berhampiran tempat kerja.


“Secara tiba-tiba tangannya ditarik seorang lelaki dan sebaik berpaling, mangsa mendapati lelaki itu adalah bekas suaminya. Lelaki terbabit kemudian membawa mangsa ke kawasan tangga premis.

“Bekas suami mangsa dikatakan mengajak supaya tinggal bersamanya dan berhasrat untuk rujuk semula. Bagaimanapun, mangsa enggan menuruti hasrat itu menyebabkan bekas suaminya naik angin,” katanya.


Katanya, kedegilan mangsa menyebabkan bekas suaminya mengugut mahu membakarnya hidup-hidup sekiranya masih berkeras dan tidak mahu kembali bersama.

Difahamkan, mangsa tidak mengendahkan ugutan itu sebaliknya cuba melepaskan diri, namun bekas suaminya itu tetap tidak berpuas hati.


Sumber berkata, lelaki itu turut bertindak menampar mangsa beberapa kali sebelum mengambil kayu yang terdapat berhampiran kawasan itu lalu membelasah mangsa bertubi-tubi.


“Mangsa nekad melawan sebelum berjaya melarikan diri dan menghubungi rakan serumahnya bagi meminta bantuan,” katanya.


Berikutan itu, mangsa tampil membuat laporan polis kerana bimbang bekas suaminya itu akan menyerangnya lagi.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Kereta Jimmy kena bakar

Foto
ANGGOTA polis melakukan siasatan terhadap kereta Jimmy.
Kampar: Kereta milik pelakon dan pengacara program Trek Selebriti, Jimmy Shanley Norjahan Saleh, 33, ditemui dibakar hingga rentung hanya selepas beberapa jam kenderaan itu dilaporkan hilang di Simpang Pulai, di sini.
Kereta model Chevrolet Optra itu didakwa dilarikan penjenayah malam kelmarin, ketika artis berkenaan pulang ke Ipoh untuk menghadiri majlis pengebumian seorang saudara terdekatnya.
Ketua Polis Daerah Kampar Superintendan Ng Kong Soon berkata, penemuan kereta hanya disedari orang ramai sekitar jam 7.30 pagi semalam apabila kenderaan itu ditemui terbakar berhampiran Batu 5 1/2, ladang kelapa sawit Kota Bahru, di sini.

Menurutnya, orang awam yang mengesyaki ia ada kaitan dengan perbuatan jenayah lalu segera menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kampar untuk memaklumkan kejadian itu.


“Berikutan itu, anggota peronda bergegas ke lokasi kejadian sebelum mendapati kereta model Chevrolet berwarna hitam hangus dibakar.

“Anggota polis menjalankan siasatan terhadap nombor casis pada kereta dibakar itu bagi mengenal pasti pemiliknya dan melakukan semakan susulan dengan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum mengenal pasti kenderaan itu milik seorang selebriti tanah air, Jimmy Shanley,” katanya, semalam.

Menurutnya, kereta itu sebelum ini dilaporkan hilang di Simpang Pulai, sebelum laporan dibuat pemiliknya, Jimmy di Balai Polis Simpang Pulai.

“Polis tidak menemui sebarang objek yang digunakan suspek untuk membakar kereta itu. Malah, tiada satu pun barang milik mangsa di dalam kenderaan itu yang terselamat.

“Kes itu kini diambil alih pihak polis Ipoh untuk siasatan lanjut dan Jimmy dipanggil untuk memberi keterangan berhubung kes berkenaan. Bagaimanapun, saya anggap kes ini pelik kerana kereta itu dibakar selepas dicuri,” katanya.

Beliau berkata, anggota Unit Polis Forensik turut dipanggil ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan dan mengesan sekiranya terdapat mangsa di kawasan berhampiran.

“Bagaimanapun, tiada mangsa ditemui dan kereta itu baru saja dibakar beberapa jam sebelum ditemui. Polis menyiasat sebarang kemungkinan dan kaitan perbuatan jenayah itu dengan unsur khianat atau sebagainya,” katanya.

Sementara itu, Jimmy yang dihubungi wartawan enggan memberikan sebarang ulasan berhubung kejadian itu berikutan masih dalam pihak polis.

Jimmy sebelum ini pernah mendapat liputan meluas media apabila kes penceraian dan tuntutan penjagaan anaknya berlarutan selama hampir dua tahun.

Dia sebelum ini mendirikan rumah tangga dengan Nursuhaila Eliani Suhaimy pada 1 Oktober 2010 sebelum tinggal berasingan sejak 21 Oktober 2010, iaitu 20 hari selepas bernikah sebelum bercerai pada 10 Oktober 2012.

Pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Zahrah Rania Shanley yang kini berusia dua tahun.

‘Makan sekejap...’

Foto
ANGGOTA penguat kuasa menunda kereta milik wanita terbabit.
Kuala Lumpur: Gara-gara tidak mengendahkan peraturan lalu lintas, seorang wanita terpaksa membayar RM250 apabila kereta Toyota Vios miliknya ditarik lori penunda Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam Ops Halangan, di Jalan Telawi, di sini, semalam.
Dalam operasi yang dijalankan pasukan Penguat Kuasa Trafik Kuala Lumpur diketuai Asisten Superintendan Azmi Wahid bersama DBKL dengan dibantu Balai Polis Pantai bermula jam 2 petang hingga 4 petang itu, wanita berusia 20-an itu sempat merayu untuk tidak diambil tindakan kerana hanya parkir sekejap untuk makan, namun tindakan tegas tetap diambil terhadapnya. 
Bagi kesalahan itu, kereta Toyota Vios milik wanita terbabit ditunda ke Depoh Tunda Kenderaan DBKL di Jalan Jinjang, di sini, dan dia perlu membayar RM200 termasuk kompaun, upah tunda serta upah simpan RM5 sehari untuk mengambil semula kenderaan itu.

Azmi yang ditemui selepas Ops Halangan itu berakhir berkata, operasi dijalankan selepas pihaknya mendapat aduan orang ramai berhubung tindakan tidak bertanggungjawab segelintir pemilik kenderaan yang meletakkan kenderaan sesuka hati sehingga menghalang laluan.


“Segelintir masyarakat masih bersikap endah tak endah dengan peraturan lalu lintas. Jika tidak mengikut peraturan sebenarnya akan menyusahkan pengguna jalan raya yang lain.

“Ops Halangan ini dilakukan dalam dua fasa iaitu dari jam 11 hingga 1 tengah hari sebelum disambung dari jam 2 petang hingga jam 4.30 petang. Polis mengeluarkan sebanyak 83 saman manakala 59 saman lagi dikeluarkan DBKL. Lima kenderaan pula turut ditunda.

“Tindakan saman dan tunda ke atas kenderaan itu diambil atas kesalahan melakukan halangan serta meletak kenderaan sesuka hati. Operasi akan dijalankan berterusan pagi dan petang secara berkala,” katanya.

Hadir sama, Ketua Polis Balai Pantai, Inspektor Mohd Suhaibi Sulong dan Inspektor DBKL kawasan Bangsar/Brickfields, M Selvaraj.

Azmi turut menasihatkan orang ramai terutama yang mengunjungi Jalan Telawi, Bangsar atau kawasan pusat perniagaan lain supaya meletakkan kenderaan di tempat disediakan serta tidak melakukan halangan lalu lintas. 

Op Cantas jerat 15,877 individu



Kuala Lumpur: Seramai 15,877 individu ditahan dalam Op Cantas Khas yang dilaksanakan di seluruh negara bermula 17 Ogos lalu hingga kelmarin.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman Datuk Abd Jalil Hassan berkata, penahanan berkenaan dilakukan terhadap 418,922 individu yang diperiksa sejak operasi itu dilancarkan.
Beliau berkata, daripada 15,877 yang ditahan, 6,718 membabitkan Melayu, Cina (1,833), India (4,003) manakala 3,323 lain-lain bangsa.

“Dalam tempoh sebulan ini, 31 pucuk senjata api, senapang angin buatan sendiri (18), kelopak peluru (11), sebutir bom tangan dan 12,917 peluru dirampas.


“Senjata lain yang dirampas termasuk perenjat elektrik, pedang (36) , pisau (161), parang (135) , kapak (lapan), batang besi tajam (27), tukul besi (12), buku lima (31), kayu panjang (empat), kerambit (12), pistol tiruan (lapan), spanar (lapan), golok (empat), gari (satu) dan cota (tiga),” katanya.


Menurut Abd Jalil, pada hari ke-51 Op Cantas iaitu kelmarin, 382 individu ditahan di seluruh negara termasuk penjenayah dan ahli kumpulan kongsi gelap.

“Sehingga jam 6 pagi kelmarin, pecahan mengikut bangsa yang ditahan adalah 128 (Melayu), 42 (Cina), 73 (India) dan 129 (lain-lain).

“Tangkapan dilakukan selepas pemeriksaan dilakukan terhadap 10,525 individu,” katanya.

Beliau berkata, dalam pemeriksaan itu, pihaknya merampas sepucuk pistol bersama kelopak peluru, parang (empat), besi tajam (tiga) dan masing-masing dua bilah alat pemotong daging dan pisau.

“Kami turut merampas 16 kenderaan curi iaitu enam motosikal, sembilan kereta dan lain-lain (satu) hasil daripada pemeriksaan yang dilakukan terhadap 6,998 kenderaan iaitu kereta (2,620), motosikal (3,658) dan lain-lain (720),” katanya.

Katanya, Op berkenaan akan terus dipergiatkan dalam membanteras kumpulan penjenayah tegar sekaligus mengembalikan kepercayaan masyarakat terhadap polis.

Apa dosa anak saya?



Seremban: “Apa salah dan dosa anak kembar saya yang kurang upaya ini sehingga mereka diliwat,” kata seorang ibu yang tidak dapat menahan sebak apabila mendakwa anak sulungnya yang juga pasangan kembar berusia tujuh tahun dan mengalami kecacatan otak diliwat penghuni pusat jagaan di Temiang, di sini, pada 29 September lalu.

Wanita terbabit yang dikenali sebagai Intan, 40-an, dari Sandakan, Sabah berkata, dia mengetahui kejadian itu selepas dihubungi suaminya, Rabu lalu.


Intan yang membuat laporan di Balai Polis Campbell, di sini, pada jam 12 malam, Khamis lalu berkata, dia tidak menyangka episod hitam itu berulang kepada anak keduanya.

“Suami saya mengetahui kejadian ini apabila diberitahu anak bongsu kami yang berusia enam tahun dia nampak abangnya diikat dan ditampar pada waktu malam sebelum diliwat seorang penghuni pusat jagaan itu.


“Sekiranya dakwaan itu benar, saya berharap pihak berkuasa mengambil tindakan,” katanya ketika ditemui menemani anaknya yang dirawat di Hospital Tuanku Jaafar, di sini, semalam.


Dia yang kini bekerja sebagai pembantu rumah di Taman Templer, Rawang, Selangor berkata, kejadian itu menyedihkannya kerana pada 16 April lalu, adik kembar mangsa diliwat seorang penghuni di pusat jagaan sama.

Harian Metro pada 17 April lalu melaporkan, dalam kejadian itu, mangsa yang lumpuh kedua-dua kaki bukan saja diliwat seorang remaja, malah duburnya turut dijolok dawai besi.


Menurut laporan itu, Intan menghantar tiga anak ke pusat jagaan terbabit pada awal tahun ini selepas dia sekeluarga dihalau mentua.

Katanya, pada awalnya anak kembarnya di tempatkan di pusat jagaan di Temiang manakala anak bongsu di sebuah pusat di Kuala Kangsar, Perak.


“Selepas kejadian anak kedua diliwat, Jabatan Kebajikan Masyarakat mendapatkan perintah mahkamah bagi hak jagaan sementara terhadap ketiga-tiga anak saya dan mereka ditempatkan di pusat jagaan di Temiang hingga kini.


“Saya tidak mampu menjaga anak kerana pendapatan tidak seberapa manakala suami pula baru bekerja sebagai pengawal keselamatan selepas keluar dari pusat pemulihan, Julai lalu,” katanya.


Intan berkata, pegawai pusat jagaan mengarahkan suaminya mengambil semula ketiga-tiga anak mereka.


Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Zainal Abu ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit dan berkata, siasatan masih dijalankan.

SMS ‘sayang’ singkap curang

Putatan: Rasa curiga seorang suami selepas permintaan melakukan hubungan kelamin ditolak isteri, membongkar rahsia perbuatan jijik wanita terbabit yang dikatakan menjalinkan hubungan intim dengan ‘kekasih gelap’ yang juga majikannya di sebuah rumah sewa di Kampung Petagas, di sini, sejak tujuh bulan lalu.
Perbuatan wanita berusia 28 tahun itu semakin terserlah apabila suaminya terbaca khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur cinta dalam telefon bimbit isterinya, malam kelmarin. 
Menurut sumber, kejadian berlaku kira-kira jam 11.30 malam ketika suami wanita itu dikatakan ingin melakukan hubungan kelamin, tetapi ditolak isteri kononnya kepenatan kerana bekerja.

“Tidak lama kemudian, telefon bimbit isteri berdering singkat diikuti bunyi SMS, menyebabkan suami wanita itu mengambil telefon dan terkejut apabila melihat SMS tertera perkataan ‘sayang’ dihantar seorang lelaki.
Foto
WANITA dan lelaki terbabit dibawa ke Balai Polis Putatan untuk siasatan lanjut.

“Lelaki terbabit kemudian meminta penjelasan isteri berkaitan lelaki yang menghantar SMS itu, tetapi tidak diendahkan wanita itu sebelum pujukan suami menyebabkan wanita mengakui menjalinkan hubungan dengan majikan,” katanya.

Sumber berkata, lelaki terbabit yang terkejut dengan pengakuan isterinya kemudian memanggil individu berkaitan yang juga seorang India Muslim bagi mendapatkan penjelasan.

Menurutnya, lelaki itu mengaku melakukan hubungan seks dengan wanita itu sejak tujuh bulan lalu dan ia diakui wanita terbabit.

“Wanita itu turut mengaku kerap mengadakan hubungan seks dengan lelaki terbabit dua kali sehari pada waktu siang di rumah sewa lelaki berkenaan yang terletak berhampiran tempat kerja wanita berkenaan,” katanya.

Sumber berkata, suami wanita itu kemudian memanggil imam di kampung berkenaan, Imam Norisham Purah yang juga Penguat Kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) yang kemudian membawa pasangan terbabit ke Balai Polis Putatan.

Norisham berkata, siasatan mendapati wanita itu bekerja di sebuah kedai runcit milik lelaki terbabit di Kampung Petagas sejak Mac lalu dan sejak itu mereka melakukan hubungan seks di rumah sewa lelaki berkenaan.

“Kedua-dua mereka kemudian dibawa ke Balai Polis Putatan untuk diambil keterangan sebelum dibebaskan dengan ikat jamin.

“Pasangan itu ditahan mengikut Seksyen 80, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah kerana melakukan persetubuhan haram,” katanya.

Difahamkan, suami wanita terbabit dijangka menceraikan isterinya berikutan kecewa dengan kejadian itu.

Tidak mengaku salah atas 7 tuduhan rasuah



Kuala Lumpur: Bekas Penolong Pengarah Ukur Bahan Jabatan Kerja Raya Sarawak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tujuh tuduhan menerima RM8,624 daripada sebuah syarikat pembinaan sebagai pembayaran ansuran kereta milik isterinya, enam tahun lalu.

Selepas semua pertuduhan itu dibacakan, tertuduh, Ismail Ahim, 59, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan di hadapan Hakim Mohd Nasir Nordin.


Bagi enam tuduhan pertama, tertuduh didakwa menerima cek RM6,468 melalui akaun milik isterinya, Norinah Abdul Ghani, 57, sebagai pembayaran ansuran kereta kepunyaan wanita itu daripada Inai Kiara Sdn Bhd.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh yang diketahuinya ada kena mengena dengan urusan rasminya sebagai penolong pengarah ketika itu.


Bagi satu lagi tuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan sama dengan menerima cek RM2,156 bagi tujuan sama.


Perbuatan itu didakwa dilakukan di AmBank (M) Berhad, No 1, Jalan Jejaka 2, Taman Maluri, di sini, antara 24 April 2007 hingga 18 Januari 2008.

Bagi semua perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.


Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Anthony Kevin Morais tidak menawarkan sebarang jaminan, namun peguam Fahri Azzat yang mewakili tertuduh memohon budi bicara mahkamah untuk membenarkan ikat jamin terhadap anak guamnya.

“Tiada risiko untuk tertuduh melarikan diri kerana selama 33 bulan, dia memberikan kerjasama tanpa paksaan ketika siasatan dibuat SPRM.


“Anak guam saya sudah bersara selepas 35 tahun berkhidmat dalam sektor kerajaan tanpa sebarang rekod atau laporan buruk. Dia mempunyai karakter yang baik,” katanya.


Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM21,000 dan menetapkan 7 November depan untuk sebutan semula kes.

Mohon bicara ubah duit haram RM1.1 juta



Shah Alam: Selepas bapa dan dua beradiknya didakwa di mahkamah minggu lalu atas pertuduhan pengubahan wang haram yang mempunyai kaitan dengan syarikat pelaburan jongkong emas Genneva (M) Sdn Bhd (GMSB), seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas kesalahan sama membabitkan RM1.1 juta.

Tertuduh, Ng Wan Yean, 29, pengarah syarikat Ng Advantage Sdn Bhd itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan apabila 19 pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Datuk Noraridah Ahmad.


Mengikut pertuduhan, Wan Yean didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang berkenaan yang juga hasil daripada aktiviti haram.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Bank CIMB Bhd, Jalan PJU 1/3F Sunwaymas Commercial Centre, Petaling Jaya, dekat sini, antara 18 Julai 2011 sehingga 28 Ogos 2012.


Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Subseksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun jika sabit kesalahan.


Mahkamah membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Mardziatun Nisa Ahamadul Kaber untuk memindahkan semua kes itu ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan menetapkan 25 Oktober depan bagi sebutan semula kes. Mardziatun Nisa juga tidak mencadangkan sebarang jaminan kepada tertuduh dengan alasan kes berkenaan adalah serius dan membabitkan jumlah yang banyak, namun jika mahkamah membenarkan ikat jamin, pihaknya mencadangkan wanita itu diikat jamin RM1 juta serta pasport diserahkan kepada mahkamah. Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili AS Dhaliwal memohon jaminan diberikan dan dalam jumlah yang rendah memandangkan anak guamnya tidak mempunyai pekerjaan.

Noraridah kemudian membenarkan wang jaminan RM80,000 dengan seorang penjamin dan turut memerintahkan semua dokumen perjalanan diri diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Trak rempuh penonton


Chihuahua: Sebuah trak raksasa hilang kawalan merempuh penonton satu pertunjukan membunuh 13 orang dan mencederakan 70 yang lain di di Mexico, semalam.

Enam mangsa terbunuh di tempat kejadian, tiga lagi mati ketika menjalani rawatan. Empat lagi mayat ditemui di bawah tayar kenderaan itu.

Datuk Bandar Chihuahua Marco Quezda berkata, pada awalnya 47 cedera tetapi bilangan itu meningkat 70 orang.

Pemandu trak terselamat tetapi ditahan selepas kejadian.

Foto
ORANG ramai melarikan diri selepas trak raksasa yang mengadakan pertunjukan merempuh penonton di Mexico, semalam.


Foto
MANGSA yang cedera diberikan rawatan kecemasan.
Kejadian berlaku ketika pertunjukan Extreme Aeroshow berlangsung tiga hari di Chihuahua dibatal sejurus selepas nahas itu pada hari kedua pertunjukan itu.


Pihak berkuasa menyiasat sama ada berlaku kerosakan mekanikal berpunca daripada brek trak itu.

Menurut saksi, kejadian itu berlaku ketika trak itu ‘terbang’ atas susunan beberapa kereta.

“Pemandu kenderaan itu hilang kawalan lalu merempuh penonton yang dilihat bertempiran menyelamatkan diri,” kata saksi itu.

Menurutnya, kepala pemandu trak itu terhantuk kenderaannya menyebabkannya terbabas.

“Topi keledar pemandu itu dilihat jatuh melayang.” kata seorang penonton, Daniel Dominguez, 18.

Kata Dominguez, adik perempuannya berusia 11 tahun cedera di kaki dan menjalani pembedahan Ibunya pula dirawat kerana gegaran otak.

Seorang lagi penonton, Jesus Manuel Ibarra, 41, cedera di tangan dan pinggang.

“Saya terjatuh. Bila melihat di belakang saya nampak tayar trak itu meluncur dan merempuh saya,” katanya. - AFP

32 maut dipanah petir


Patna (India): Sekurang-kurangnya 32 orang termasuk sembilan kanak-kanak terbunuh pada hujung minggu akibat panahan petir bertalu-talu di negeri Bihar dan Jharkhand, di timur India.

“Kira-kira 24 orang termasuk tujuh kanak-kanak terbunuh Sabtu dan kelmarin akibat disambar petir di seluruh Bihar,” kata Menteri Pengurusan Bencana Negeri, Renu Kumari Kushwaha. Di negeri bersebelahan, Jharkhand, lapan orang termasuk dua kanak-kanak maut, kata pegawai daerah Dhanbad, Puran Mahto. Hujan lebat disertai angin kencang menumbangkan pokok, merosakkan kediaman dan meranapkan kabel elektrik malam kelmarin. Walaupun petir biasa berlaku ketika musim monsun pada Jun hingga Oktober, jumlahnya pada hujung minggu luar biasa tinggi. Penduduk yang tinggal di khemah buluh dan rerumput berdepan risiko paling berbahaya. - AFP

Remaja lelaki simbah asid dalam bas awam ditahan


Jakarta: Polis kelmarin menahan seorang remaja lelaki berhubung serangan asid terhadap sebuah bas.

Penahanan itu dibuat ketika pergaduhan antara pelajar sekolah menengah di Indonesia kian berleluasa.
Ridwan Nur, pelajar sekolah vokasional berusia 18 tahun ditahan selepas disyaki menyimbah asid ke arah penumpang dalam bas awam di Jakarta, Jumaat lalu, mencederakan 13 orang termasuk empat pelajar.

Menurut polis, Ridwan yang ditahan di Bekasi didakwa ingin membalas dendam berikutan serangan asid terhadapnya sebelum ini.


“Kira-kira enam bulan lalu, dia disimbah asid oleh orang tidak dikenali menyebabkan sebahagian kepalanya botak,” kata jurucakap polis Jakarta, Rikwanto dalam satu kenyataan.


Tidak dapat dipastikan siapa yang menjadi sasaran Ridwan, tetapi empat daripada 13 mangsa ialah pelajar sebuah sekolah vokasional di Jakarta Tengah.

Ketika kejadian, beberapa pelajar cuba melarikan diri daripada pergaduhan dengan menaiki bas awam yang berhenti di lampu isyarat hingga menakutkan penumpang lain.

Penumpang bas yang cedera segera dikejarkan ke hospital berhampiran dengan sesetengahnya cedera parah di muka dan leher.

Pelajar sekolah vokasional di kawasan itu sudah lama saling bergaduh sesama mereka. - Agensi

16 maut trak langgar pokok


Bangkok: Seorang wanita hamil antara 16 orang yang terbunuh apabila sebuah trak merempuh pokok dalam satu kemalangan terburuk di timur laut Thailand semalam.

Komander balai polis Buriram, Kolonel Suthee Seatthawong berkata, 15 penumpang yang menaiki trak itu mati di tempat kejadian, manakala seorang lagi maut di hospital.
Lapan lagi penumpang dipercayai pekerja buruh yang pulang ke kampung mereka dari tempat kerja di Bangkok cedera parah.

Suthee berkata, pemandu trak yang berusia 24 tahun yang turut terbunuh itu dipercayai terlelap ketika memandu.


“Kami menemui sebiji pil amphetamine dan sebotol arak yang tinggal separuh dalam beg pemandu,” katanya.


Suthee juga berkata, keadaan trafik di jalan raya ketika kejadian tidak sesak.
Semua mangsa yang maut termasuk wanita hamil itu berusia dalam lingkungan 20-an.

Nahas jalan raya adalah perkara biasa yang berlaku di Thailand.

Laporan terbaru daripada Organisasi Kesihatan Sedunia mengatakan negara itu menyaksikan kira-kira 38.1 kematian di jalan raya bagi setiap 100,000 penduduk, berbanding purata 18.5 kematian di Asia Tenggara.

Pada Julai lalu, sekurang-kurangnya 19 terbunuh apabila bas dua tingkat berlanggar dengan sebuah trak di tengah negara itu sebelum ia terbakar.

Pada April pula, sekurang-kurangnya lima orang maut, termasuk bayi berusia tujuh bulan dan 53 lagi cedera apabila sebuah bas pelancong terhumban dari cerun bukit di Phitsanulok, di utara negara itu selepas brek kenderaan berkenaan tidak berfungsi. - AFP

Maut ditanduk lembu


Madrid: Seorang pegawai Kementerian Dalam Negeri berkata, seorang wanita terbunuh selepas ditanduk seekor lembu jantan di satu festival di sebuah bandar kecil di tengah Sepanyol.

Pegawai itu berkata semalam, mangsa berusia 58 tahun mati di hospital di ibu negeri wilayah Albacete selepas dia ditanduk di perut ketika festival larian lembu kelmarin di bandar Ferez. Menurut pegawai berkenaan, tiga orang turut cedera, termasuk anak perempuan mangsa.


Pegawai berkenaan yang enggan namanya disiarkan kerana peraturan kementerian menghalang nama mangsa didedahkan. - Agensi

Seorang maut, empat parah teksi terhumban ke dalam parit


ANGGOTA bomba menyelamatkan pemandu yang tersepit selepas teksi yang dibawanya terhumban ke dalam parit besar di Parit Raja, Jalan Dato Haji Kosai, Muar, Johor, semalam.
MUAR 7 Okt. - Seorang pekerja kilang perabot warga Nepal mati lemas selepas teksi yang dinaikinya melanggar sebuah kereta Proton Savy sebelum terhumban ke dalam parit besar di Parit Raja, di Jalan Dato Haji Kosai, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.50 petang itu, mangsa, Oad Raju, 27, terbunuh di tempat kejadian manakala dua lagi rakan senegaranya dan pemandu teksi tersebut cedera parah termasuk patah di beberapa anggota badan.
Turut cedera parah ialah seorang wanita yang memandu Proton Savy tersebut tetapi dua anaknya yang juga menaiki kereta berkenaan berusia empat dan enam tahun hanya cedera ringan walaupun salah seorang daripadanya tercampak keluar.
Mangsa, dua rakannya dan pemandu teksi itu yang tersepit dikeluarkan pihak bomba manakala wanita dan dua anaknya dikeluarkan dari kereta oleh orang ramai, kesemua mereka dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk rawatan kecemasan.
Timbalan Ketua Polis Muar, Supritendan Sahadan Jaafar berkata, kejadian berlaku apabila kereta Proton Savy tersebut yang datang dari bandar menghala ke Parit Bakar terbabas sebelum masuk ke laluan bertentangan dan merempuh teksi itu.
"Akibatnya teksi tersebut hilang kawalan lalu menjunam masuk ke parit besar di bahagian tepi jalan tersebut. Teksi itu berpusing beberapa kali sebelum masuk ke dalam parit sementara kereta wanita itu juga berpusing tetapi tidak masuk ke parit.
"Kejadian berpunca dari kereta wanita terbabit yang dipercayai sedang melayan anaknya sebelum kenderaannya masuk ke laluan bertentangan lalu melanggar teksi itu. Bagaimanapun punca sebenar masih dalam siasatan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan 2, Balai Bomba dan Penyelamat Muar, Idris Ali berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan kesemua mangsa dari teksi tersebut.
Katanya, semasa mengeluarkan kesemua penumpang dan pemandu teksi, mangsa sudah meninggal dunia dipercayai lemas manakala yang lain masih dalam keadaan sedar tetapi tidak dapat berbuat apa-apa kerana tersepit akibat kereta itu remuk di kiri dan kanan pintu.
"Saya hanya mendengar mereka mengerang meminta tolong. Keadaan mereka memang parah terutama pemandu teksi tersebut yang berusia dalam lingkungan 40-an, tengkuknya patah. Seramai enam anggota dan sebuah jentera terlibat menyelamatkan mereka," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131008/je_06/Seorang-maut-empat-parah-teksi-terhumban-ke-dalam-parit#ixzz2h5C4NPRZ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

2 terbunuh nahas di Estet Kampung Air Manis, Kulaijaya


JOHOR BAHRU 7 Okt. - Dua maut, seorang cedera parah manakala tiga cedera ringan dalam satu kemalangan di Kilometer 51 Jalan Johor Baharu-Air Hitam berdekatan Estet Kampung Air Manis di Kulaijaya pada 9.45 malam semalam.
Ketua Polis Daerah Kulai, Supritendan Zulkefly Yahya berkata, kejadian berlaku apabila kereta Proton Iswara yang dipandu dari arah Air Hitam menuju Kulaijaya memasuki laluan bertentangan sebelum dirempuh sebuah van Toyota HiAce dari arah Kulaijaya ke Air Hitam.
Mangsa yang terbunuh di tempat kejadian ialah ialah penumpang depan Proton Iswara R. Santha, 44, dari Kluang dan penumpang belakang kereta sama iaitu seorang warga India, M. Natarajan, 28, yang bekerja di sebuah kilang di kawasan perindustrian Senai.
Pemandu kereta itu, KP Vegneswaran, 44, cedera ringan manakala seorang lagi warga India, S.Mathiyalagan, 25, yang bekerja di kilang sama, cedera parah dan dihantar ke Hospital Sultanah Aminah.
Pemandu van, K.Swoba, 45, dan anaknya, K.Haran, 19, dari Jalan Cempaka 7, Taman Layang-Layang di Kulaijaya, mengalami kecederaan ringan. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131007/je_07/2-terbunuh-nahas-di-Estet-Kampung-Air-Manis-Kulaijaya#ixzz2h5BsjBAv
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Polis rampas dadah bernilai RM2 juta


PULAU PINANG 7 Okt. - Polis negeri ini berjaya mematahkan cubaan menyeludup dan memproses dadah apabila berjaya merampas dadah bernilai RM2 juta dalam empat serbuan yang dilakukan minggu lalu di tiga lokasi berbeza.
Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, bertindak atas maklumat sepasukan anggota polis telah menyerbu sebuah kondominum di Sungai Nibong, sebuah motel di Seberang Jaya dan menahan dua wanita disyaki keldai dadah yang baru tiba di negara ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131007/je_06/Polis-rampas-dadah-bernilai-RM2-juta#ixzz2h5BillYT
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Keldai dadah warga India ditahan, rampas 3.1 kilogram dadah


PULAU PINANG 7 Okt. - Cubaan seorang keldai dadah wanita warga India menyeludup masuk 3.1 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM680,000 gagal setelah dia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di sini awal pagi ini.
Suspek berusia 37 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri sebaik sahaja tiba di negeri ini dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 1 pagi.
Dia sebelum itu menaiki penerbangan dari New Delhi, India.
Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, hasil pemeriksaan bagasi dibawa suspek yang bekerja sebagai pekerja salon menemukan dadah berkenaan selain sejumlah wang tunai dalam mata wang Amerika Syarikat (AS) dan India yang keseluruhannya bernilai RM1,960.
"Suspek direman sehingga Isnin depan untuk membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Abdul Rahim berkata, pihaknya turut mematahkan dua kes cubaan memproses dan menyeludup di negeri ini minggu lalu.
Katanya, dalam serbuan JSJN di sebuah kediaman mewah di Sungai Nibong di sini pukul 10.45 malam, pihaknya merampas 5.19 kg dadah jenis heroin dan 60 kg kafein bernilai RM260,000.
"Kita turut merampas sepucuk pistol tanpa jenama dan pelbagai bahan kimia serta peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses dadah.
"Pada keesokannya (Sabtu), kita menahan seorang gadis warga Malawi berusia 17 tahun yang disyaki juga keldai dadah di LTAPP serta merampas 4.5 kg syabu bernilai RM1 juta di dalam bagasi miliknya.
"Gadis yang juga pelajar ini telah kita reman sehingga Sabtu ini untuk siasatan lanjut," katanya dan memberitahu, jumlah keseluruhan rampasan bernilai kira-kira RM2 juta.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131008/je_05/Keldai-dadah-warga-India-ditahan-rampas-31-kilogram-dadah#ixzz2h5BXmLuZ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Gadis hilang berjaya diselamatkan


Tiga daripada empat suspek yang direman selama enam hari oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru, semalam, bagi membantu siasatan kes samun dan melarikan seorang remaja.
JOHOR BAHRU 7 Okt. - Seorang gadis berusia 20 tahun yang disamun dan dilarikan empat lelaki ketika bersiar-siar dengan seorang teman lelaki di sebuah kompleks beli-belah terbengkalai di Danga Baya awal pagi semalam, telah diselamatkan polis dalam serbuan di sebuah hotel bajet di Masai di sini malam tadi.
Dalam serbuan itu, polis turut menahan empat lelaki bersama-sama gadis tersebut.
Kisah kehilangan gadis itu mendapat perhatian orang ramai setelah berita mengenainya dimuat naik oleh keluarganya di dalam laman sosial Facebook bagi membantu mengesannya.
Keluarga mangsa pada masa sama turut membuat laporan polis mengenai kejadian itu.
Difahamkan, keempat-empat lelaki berusia 20-an yang ditahan itu direman selama enam hari bermula hari ini.
Salah seorang ahli keluarga mangsa yang nombor telefon bimbitnya disiarkan di dalam laman sosial berkenaan ketika dihubungi mengesahkan gadis berkenaan telah selamat ditemui tetapi enggan mengulas lanjut kerana bimbang menganggu siasatan kes.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131008/je_03/Gadis-hilang-berjaya-diselamatkan#ixzz2h5B556m1
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Empat warga Myanmar dicekup


Raja Shahrom Raja Abdullah (tiga dari kiri) menunjukkan barangan yang disamun oleh kumpulan Ismail dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, semalam.
MELAKA 7 Okt. - Anggota kumpulan Ismail yang terdiri daripada empat warga Myanmar terpaksa berputih mata apabila hasil rompakan bernilai lebih RM100,000 tidak sempat dibelanjakan selepas dicekup polis dalam tempoh kurang 24 jam, Sabtu lalu.
Mereka yang berusia antara 19 hingga 22 tahun itu dicekup selepas polis mendapat laporan rompakan ke atas seorang peniaga batu permata yang merupakan warga Myanmar di sebuah rumah di Taman Seri Emas, Telok Mas di sini Jumaat lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, kesemua mereka ditahan dalam dua serbuan berasingan di dua rumah masing-masing di Cheras, Kuala Lumpur dan Klang, Selangor, Sabtu lalu.
Menurutnya, ketika kejadian, kesemua suspek dipercayai memasuki rumah mangsa pada pukul 1.30 pagi dan bertindak mengikat mangsa serta tiga anak saudara mangsa.
"Serbuan ke atas sebuah rumah di Sungai Putus, Klang pada pukul 10.45 malam membawa kepada penahanan ketua kumpulan itu yang bernama Ismail.
"Hasil penahanan Ismail, polis telah bertindak menyerbu sebuah pangsapuri di Taman Shamelin Perkasa, Cheras pada pukul 1.30 pagi yang membawa kepada tiga lagi anggota kumpulan itu.
"Polis turut merampas barangan yang dirompak berupa 57 bentuk cincin, 27 utas rantai leher pelbagai jenis dan bentuk, empat bilah keris, sembilan urat gelang tangan, lima buah plat berbentuk bulan, sebilah pedang samurai dan 20 telefon bimbit pelbagai jenama yang kesemua bernilai lebih RM100,000," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, di sini hari ini.
Raja Shahrom berkata, polis percaya kesemua barangan yang dirampas merupakan milik peniaga Myanmar itu manakala 20 telefon bimbit tersebut adalah hasil rompakan kumpulan itu di sekitar ibu kota.
Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana merompak secara berkumpulan menggunakan senjata.
Tambahnya, siasatan awal mendapati Ismail, 22, mempunyai kad pengenalan bertaraf penduduk tetap (PR) manakala tiga lagi anggota kumpulan itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131008/je_02/Empat-warga-Myanmar-dicekup#ixzz2h5AjFrat
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kena kurung dalam bilik hotel



INILAH hotel tempat seorang pelajar perempuan didakwa dikurung oleh empat lelaki.


JOHOR BAHRU – Seorang pelajar jurusan perhotelan sebuah institut pengajian tinggi swasta di sini terpaksa melalui detik mencemaskan apabila dilarikan dan dikurung di sebuah bilik hotel oleh sekumpulan empat lelaki kira-kira 12 jam sebelum diselamatkan polis kelmarin.
Mengimbau semula kejadian itu, kakak mangsa yang dikenali sebagai Ika, 20-an, memberitahu, insiden tersebut berlaku pada pukul 6 pagi ketika adik perempuannya berumur 20 tahun sedang bersiar-siar dengan menaiki sebuah kereta jenis Perodua Viva di Teluk Danga dengan kawan lelakinya.
Katanya, adiknya yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik pergi ke situ selepas menghadiri sesi temu duga untuk latihan industri di sebuah hotel di pusat bandar pada sebelah petang.
“Ketika berada dekat sebuah kompleks beli-belah terbengkalai di situ, adik saya ternampak sebuah kereta jenis Perodua Myvi dinaiki empat lelaki mengejar sebuah kenderaan lain namun gagal.
“Empat lelaki itu kemudian menahan kereta dinaiki adik dan kawan lelakinya sebelum memecahkan cermin pemandu dan penumpang depan sambil mengacukan parang. Mereka kemudian melarikan adik saya ke sebuah hotel di Masai selepas gagal menemui barangan berharga,” dakwanya ketika dihubungi semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1008&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz2h538XBio 
Hakcipta terpelihara