Search This Blog

Wednesday, October 2, 2013

Rampas kekasih, abang maut ditikam

Abang maut ditikam
Abdul Fariq

MARANG - Gara-gara berebut seorang wanita, sekumpulan lelaki sanggup bergaduh sebelum salah seorang daripada mereka mati ditikam, dalam satu kejadian di hadapan kedai makan Ali Baba Corner, Kampung Bukit Parit, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, mangsa, Abdul Fariq Manah, 20, dari Kampung Jerong Seberang, di sini, disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, kira-kira jam 10.11 malam akibat cedera terkena tikaman di jantung.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, polis menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 9.15 malam memaklumkan terdapat satu pergaduhan sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, orang awam memberitahu terdapat seorang lelaki cedera ditikam tetapi sudah dihantar ke Klinik Kesihatan Pengkalan Berangan dengan motosikal oleh ahli keluarganya sendiri,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang, semalam.

Dakwa rampas kekasih abang suspek

Manoharan berkata, siasatan mendapati sejam sebelum kejadian, mangsa bersama dua adik-beradiknya dan enam lagi individu dari Kampung Durian Penjara, di sini, dikatakan berjanji untuk bertemu di lokasi kejadian bagi menyelesaikan masalah berhubung teman wanita antara adik mangsa dan abang kepada suspek utama berusia 17 tahun.

“Adik mangsa berusia 16 tahun dikatakan telah merampas teman wanita kepada abang suspek utama berusia 20 tahun sebelum ini dan pada awalnya, perbincangan dua kumpulan itu difahamkan berjalan dengan baik sebelum keadaan menjadi serius apabila mereka mula bertengkar mulut, bagaimanapun berjaya dileraikan pemilik kedai berkenaan.

“Namun, pertengkaran itu tidak berakhir di situ kerana tidak lama kemudian, beberapa lagi ahli kumpulan dari Kampung Durian Penjara, di sini, datang semula ke lokasi sebelum berlaku insiden tikaman itu,” katanya.

Manoharan berkata, hasil maklumat, sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu dan IPD Marang segera menjalankan usaha memburu kesemua suspek.

“Dengan ketangkasan polis, tujuh suspek berusia antara 15 hingga 21 tahun termasuk tiga yang masih bersekolah dengan dua daripadanya bakal menduduki PMR esok (hari ini) ditahan.

“Selain itu, dua adik-beradik mangsa berusia 16 dan 21 tahun turut ditahan manakala suspek utama yang berusia 17 tahun dan tidak lagi bersekolah bersama abangnya berusia 20 tahun juga ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.

Calon PMR ditahan

Bagaimanapun kata Manoharan, ketika ini, polis sedang berusaha mengesan pisau yang dipercayai digunakan untuk menikam mangsa kerana suspek utama dikatakan telah menyerahkan senjata itu kepada seorang lagi rakannya berusia 15 tahun yang turut berada di lokasi sejurus kejadian.

“Remaja itu yang juga merupakan calon PMR esok (hari ini) akan ditahan dan setakat ini, jumlah keseluruhan yang ditahan ialah seramai sembilan orang.

“Kita hanya mengesan satu senjata yang digunakan dan siasatan masih dijalankan sama ada terdapat lagi senjata lain atau individu lain yang mungkin terbabit dalam kes ini,” katanya.

Kesemua suspek kini direman tujuh hari bermula semalam untuk disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana memiliki senjata maut dalam rusuhan.

Manoharan turut mengharapkan kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat berhubung pergaduhan itu dapat tampil menghubungi IPD Marang atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

10 gerai makan musnah terbakar

10 gerai makan musnah terbakarKEPONG – Sebanyak 10 buah gerai makan di sini, hangus dalam kejadian kebakaran awal pagi semalam.

Komander Operasi, Hasri Hussin berkata, pihaknya telah menerima panggilan pada jam 6.15 pagi sebelum bergegas ke tempat kejadian.

“Sebanyak enam jentera dan 35 anggota dikerahkan ke tempat kejadian bagi memadamkan kebakaran.

“Operasi melibatkan empat balai bomba dari Selayang, Jinjang, Gombak dan Hang Tuah,” katanya.

Hasri berkata, api dapat dikawal sepenuhnya pada jam 6.59 pagi dan tiada mangsa yang maut atau cedera. Punca kejadian masih disiasat.

Bagi pemilik gerai, Najwa Abdullah, 47, berkata, dia mendapat panggilan gerainya terbakar ketika sedang membeli barang masakan di pasar pagi.

“Saya terus bergegas ke gerai dan waktu itu memang tidak boleh hendak cakap apa pun, perasaan sebak semua ada sebab ini sumber pendapatan saya.

“Sudah 17 tahun saya berniaga di sini dan ini kali pertama kejadian macam ini menimpa dan saya terima ketentuannya.

“Saya harap pihak berkuasa tempatan (PBT) membantu kami para peniaga dengan membaiki pulih gerai yang terbakar secepat mungkin ini agar kami semua dapat berniaga kembali,” katanya ketika ditemui, semalam.

Kes pecah kedai gambar, 4 ditahan

Kes pecah kedai gambar, 4 ditahanMohd Kamal (kiri) menunjukkan kamera dan peralatan memotong besi yang dirampas dalam serbuan di kawasan perumahan di Kampung Jelor.

PASIR PUTEH - Polis menahan dua lelaki dan dua perempuan berusia 20 hingga 31 tahun dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Jelor di sini, kelmarin, dipercayai terlibat dalam kes pecah kedai gambar di bandar ini beberapa hari lalu.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Asisten Superintendan Ganti Jiny.

Menurutnya, lapan unit kamera kompak berjenama dirampas dalam serbuan itu.

“Sementara, tuan rumah yang dikenali sebagai Mohd Hamdan Jusoh, 33, berjaya melarikan diri. Kini dicari polis untuk membantu siasatan.

“Kita percaya suspek ditahan terlibat dengan kes pecah kedai gambar di bandar ini,” katanya.

Dua lelaki yang ditahan positif dadah dan kesemua mereka ditahan reman untuk membantu siasatan.

“Kita bertindak hasil maklumat orang ramai dan polis meminta masyarakat terus memberikan kerjasama, termasuk membantu polis mencari tuan rumah yang berjaya meloloskan diri dalam serbuan,” katanya.

Mohd Kamal berkata, kejadian pecah kedai gambar itu menyebabkan pengurusnya, Zuraidi Hassan, 41, mengalami kerugian kira-kira RM9,000.

Menurutnya, pengurus kedai itu menutup premisnya di hadapan Sekolah Kebangsaan Pasir Puteh, kira-kira jam 6.30 petang, 26 September lalu.

“Mangsa yang memulakan operasi kira-kira jam 8.30 pagi pada 28 September lalu, mendapati pintu besi lipat terbuka dan besi pelindung kunci terdapat kesan dipotong.

“Setelah masuk ke kedai, mangsa membuat pemeriksaan dan mendapati, 28 kamera pelbagai jenis dan jenama dalam kedainya hilang,” katanya.

Budak maut disambar buaya


2 Oktober 2013

MEXICO - Seorang kanak-kanak lelaki 10 tahun meninggal dunia selepas dibaham buaya yang muncul di kampungnya selepas ribut tropika Ingrid dan Manuel membadai selatan negara itu.

Jurucakap Pegawai Perlindungan Alam Sekitar dalam satu kenyataan berkata, sebanyak 28 ekor buaya ditangkap di bandar itu sejak dua minggu lalu, laporan dipetik dari AFP.

"Ketika kejadian, kanak- kanak malang itu sedang bermain di sungai di selatan negeri Oaxaca bersama abangnya berusia 13 tahun sebelum buaya sepanjang empat meter menyambar kepala dan mengheret mangsa.

"Buaya itu ditangkap dan kini diletakkan di taman negara di bawah perlindungan pengawal pantai Oaxaca," katanya.

Pejabat khairat kematian terbakar

Pejabat khairat kematian terbakarNoraniza menunjukkan pejabatnya yang terbakar di Kampung Bohor Mempelam, semalam.

ARAU - Sebuah Pejabat Khairat Kematian di Kampung Bohor Mempelam di sini, terbakar mengakibatkan kerugian kira-kira RM15,000 dalam kejadian jam 11.30 pagi, semalam.

Kerani pejabat berkenaan, Noraniza Ahmad, 31, ketika ditemui berkata, semasa kejadian, dia baru saja keluar dari pejabat dan berada di kedai makan di hadapan pejabatnya.

Katanya, sebelum keluar, dia memasang penyaman udara di pejabatnya namun tidak sampai 15 minit, dia terhidu seperti bau racun dari pejabatnya.

“Saya dan pekerja di kedai makan tersebut terhidu bau yang kurang menyenangkan dari pejabat dan selepas itu kami lihat asap sudah berkepul-kepul keluar dari pejabat.

“Salah seorang daripada kami membuka pintu pejabat, tetapi asap tebal menyebabkan kami tidak mampu berbuat apa-apa kecuali menghubungi bomba,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bohor Mempelam, Salmah Md Daud berkata, kebakaran itu menyebabkan pihaknya kerugian hampir RM15,000 apabila pelbagai peralatan pejabat seperti komputer, perabot dan pelbagai dokumen rosak.

“Semasa kejadian, saya sedang menguruskan kedai makan dan akan masuk ke pejabat tersebut untuk membuat kerja pentadbiran, namun ketika sedang leka memasak di dapur, saya terhidu asap dari pejabat yang bersebelahan dengan kedai makan tersebut.

“Selepas pergi menjenguk, asap sudah tebal dan saya nasihatkan pekerja yang ada supaya menghubungi bomba dan tidak membenarkan mereka mengambil tindakan sendiri untuk memadamkan kebakaran kerana risaukan keselamatan mereka,” katanya.

Menurut Salmah, pejabat tersebut mempunyai 3,132 ahli dari seluruh daerah itu sejak ia mula ditubuhkan 13 tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba Arau Abd Hadi Dar berkata, pihaknya menerima panggilan jam 11.38 pagi dan tiba 15 minit kemudian.

“Dalam lima minit, pihak kami berjaya mengawal api dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

7 kali jadi mangsa jenayah

7 kali jadi mangsa jenayahBilik Latifah bersepah akibat digeledah pencuri dalam kejadian pecah rumahnya di Kampung Lada, semalam.

CHENGKAU – Seorang warga emas di Kampung Lada, dekat sini, bimbang apabila kediamannya sering dijadikan sasaran penjenayah.

Latifah Lebai Abd Aziz, 73, berkata, sudah tujuh kali dia menjadi mangsa pecah rumah dan ragut sejak dia menduduki rumah berkenaan penghujung 90an.

Terbaru, dalam kejadian 7 pagi semalam, rumahnya sekali lagi menjadi sasaran penjenayah apabila dia menyedari tingkap di bahagian belakang rumah dibuka serta geriginya telah dirosakkan.

Bagaimanapun menurutnya, dalam kejadian itu, pencuri berkenaan dipercayai tidak membawa lari barang berharga dari rumahnya walaupun terdapat kesan geledah di kesemua bilik dalam rumah berkenaan.

“Dah tujuh kali, ada rumah dipecah masuk, ada kena ragut. Jadi, Wab memang tidak simpan barang berharga lagi kerana gusar kejadian seperti ini berlaku.

"Bilik Wan habis digeledahnya sehingga Wan pun tidak tahu berapa lama untuk kemaskan kembali bilik ini. Namun, Wan bersyukur, ketika kejadian, Wan tiada di rumah kerana menumpang tidur di rumah abang, Baharudin Abd Aziz, 75, di Kampung Relong," katanya yang membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Mizan Md Dom ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan menyatakan kes kini disiasat di bawah seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.

Mabuk bawa akibat

Mabuk bawa akibatTertuduh semasa keluar dari mahkamah, semalam.
AYER  KEROH - Gara-gara mabuk semasa menyaksikan perlawanan bola sepak, seorang buruh terpaksa meringkuk sehari di dalam penjara selepas didapati bersalah membaling botol kaca akibat tidak dapat mengawal diri.

Hukuman berkenaan dijatuhkan Majistret, Mohd Firdaus Salleh terhadap Mansor Ibrahim, 27, berikutan perbuatannya semasa perlawanan bola sepak antara Selangor dan Terengganu pada 2010.

Terdahulu, tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkenaan selepas ia dibacakan kepadanya di hadapan Mohd Firdaus.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mabuk sehingga tidak dapat mengawal diri sendiri di Stadium Hang Tuah kira-kira 9.45 malam pada 18 Jun 2010.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kesalahan Kecil yang membawa hukuman penjara maksima 14 hari atau denda tidak kurang RM25.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Aida Md Zainuddin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Pihak pendakwaan kemudian memohon supaya mahkamah menjatuhkan hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh dan serta orang ramai.

Prosiding turut mencuri perhatian orang ramai apabila tertuduh tidak mahu mengakui fakta kes, sebaliknya mendakwa fakta berkenaan tidak betul.

Ini sekali gus menyebabkan Mohd Firdaus mengajukan beberapa soalan kepada tertuduh sehingga memaksa Mohd Firdaus menangguhkan prosiding sementara waktu.

Apabila perbicaraan bersambung, Mohd Firdaus terus menjatuhkan hukuman penjara sehari terhadap tertuduh.

Isteri maut depan mata suami

Isteri maut depan mataMuhammad Rosli (kiri) mengusung jenazah Khairol Barriah (gambar kecil) untuk dikebumikan di Taman Gadong Jaya, semalam.
PORT DICKSON - Seorang lelaki menyaksikan sendiri isteri kesayangannya menghembuskan nafas akhir dalam satu kemalangan di hadapan sebuah stesen minyak di Bandar Springhill, kira-kira jam 7.45 pagi semalam.

Mangsa, Khairol Barriah Che Som, 50, yang bertugas di Institut Latihan dan Kefahaman Islam (ILMI), mengalami kecederaan parah hampir keseluruhan badan, maut di tempat kejadian apabila motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah lori yang secara tiba-tiba membelok ke kanan.

Menurut Muhammad Rosli, 52, semasa kejadian, dia dan isterinya ke tempat kerja di Port Dickson secara berasingan.

“Saya menaiki kereta manakala dia menunggang motosikal. Sebelum bertolak ke tempat kerja, saya ada memberitahu isteri agar sama-sama menaiki kereta, namun dia menolak kerana menurutnya dia mahu menguruskan beberapa perkara yang mana lebih mudah jika dia menaiki motosikal.

“Kami bertolak dari rumah bersama, dia berada di hadapan saya, manakala menaiki kereta mengekorinya dari belakang.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, tiba-tiba ada sebuah lori dari arah bertentangan membelok ke kanan dan berlaku pertembungan walaupun isteri saya sempat membrek motosikalnya,” katanya ketika ditemui di Rumah Mayat Hospital Port Dickson, semalam.

Muhammad yang bekerja sebagai penyelia di sebuah hotel di sini berkata, dia segera memberhentikan keretanya sejurus melihat kejadian itu.

"Saya terus memangku dia dan keadaannya amat parah. Hanya ALLAH sahaja yang tahu perasaan saya ketika itu. Namun, saya reda dengan ketentuan ini," katanya.

Sementara itu, difahamkan pemandu lori berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan namun masih terkejut dengan insiden berkenaan.

Jenazah khairol Barriah dituntut ahli keluarga dan dibawa pulang ke rumahnya Taman Gadong Jaya untuk urusan pengebumian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitendan Abd Wahab Harun berkata, kejadian berlaku di kilometer 15.4 Jalan seremban melibatkan sebuah lori pasir yang dipandu seorang lelaki berusia 23 tahun dengan sebuah motosikal yang di tunggang mangsa.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Cedera dilanggar kereta guru

Cedera dilanggar kereta guruSekitar kawasan tapak perkhemahan Ko Kurikulum Kampung Lalang di mana tempat berlakunya kejadian berkenaan.

KUALA LIPIS - Tiga pelajar sekolah cedera di mana dua daripadanya parah apabila terbabit dalam kemalangan di tapak perkhemahan Ko-Kurikulum Kampung Lalang di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, kejadian kira-kira jam 10.15 pagi itu berlaku ketika tiga pelajar terbabit sedang memasang khemah bagi program perkhemahan bersepadu peringkat daerah.

Menurutnya, kejadian berkenaan dipercayai berlaku apabila seorang guru wanita meminta seorang pelajar perempuan memanaskan enjin kereta jenis Proton Perdana berhampiran tapak perkhemahan terbabit.

“Ketika pelajar perempuan itu menghidupkan enjin kereta secara tiba-tiba kereta berkenaan dipercayai mengundur ke belakang sebelum melanggar khemah yang diduduki tiga pelajar itu.

“Tiga pelajar dari sebuah sekolah menengah di daerah ini yang sedang mengemas di bahagian dalam khemah tidak sempat keluar untuk menyelamatkan diri,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Abdul Razak berkata, akibat kejadian itu, mangsa, Nur Sabrina Syafiqah Ahmad, 14, mengalami kecederaan parah di bahagian badan dan paha selain turut patah tangan kanan.

“Dua lagi mangsa, Siti Aisyah Mohd Radzuan, 13, mengalami kecederaan patah tulang selangka dan patah tangan kiri serta Nurul Najwa Rahmat, 14, yang patah di bahagian ibu jari.

“Ketiga-tiga mangsa dibawa ke Hospital Lipis selepas kejadian untuk rawatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 431 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Banduan tak pernah serik

Banduan tak pernah serikSulaiman (kanan) menunjukkan kenderaan yang hilang dan ditemui disorok di sekitar rumah tertuduh.

MARAN - Polis Maran berjaya menyelesaikan dua kes pecah rumah dan dua kes curi kenderaan yang berlaku Ogos lalu dengan tertangkapnya seorang bekas banduan di Kampung Paya Pasir dekat sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Maran, Pemangku Deputi Superintendan Sulaiman A Hamid berkata, banduan yang baru sahaja dibebaskan dari Penjara Penor selepas menjalani hukuman penjara empat tahun atas 12 jenayah lampau dengan lapan kesalahan dadah dan empat kes pecah rumah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Maran, semalam.

Tertuduh, Nik Nazeri Nik Leh, 37, dijatuhkan hukuman penjara 30 bulan dari tarikh ditangkap selepas mengaku salah untuk empat pertuduhan tersebut.

Sulaiman berkata, kes pecah rumah dilakukan tertuduh pada 15 Ogos lalu di sebuah rumah di Kampung Awah yang menyebabkan kerugian harta benda berjumlah RM5,500.

Manakala, kes kedua pada keesokan harinya, 16 Ogos di sebuah rumah kilang sawit Felcra dekat Pekan Tajau dengan kerugian RM1,800.

“Pada 23 Ogos pula, tertuduh melakukan kesalahan mencuri dua kenderaan iaitu Proton Waja dan Perodua Kancil di sebuah pusat menjual kereta terpakai di Pekan Awah dengan anggaran kerugian RM40,000.

“Tertuduh yang sudah berumah tangga ini melakukan kesalahan untuk kes keempat apabila mencuri sebuah motosikal jenis Demak di sebuah rumah di Kampung Sentosa,” katanya.

Sulaiman berkata, tertuduh dipercayai melakukan kesemua jenayah itu secara sendirian dan bertindak kasar ketika tangkapan dibuat sepasukan anggota polis selain dipercayai berada di bawah pengaruh dadah.

Menurutnya, ketiga kenderaan tersebut ditemui di kawasan rumah tertuduh dengan niat mahu menjual dan disorok sementara menunggu pembeli.

Bayi lelaki maut kemalangan

Bayi lelaki maut kemalangan Pihak hospital menyelamatkan mangsa kemalangan dekat Kampung Bukit Ketupat, petang kelmarin.

JERANTUT- Bayi berusia lima bulan maut ketika dalam perjalanan ke hospital apabila kereta jenis Proton Preve yang dipandu bapanya bertembung dengan sebuah pacuan empat roda jenis Hilux di Kilometer 13.5, dekat Kampung Bukit Ketupat, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, Muhammad Raffie Dzulkarnain mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Jerantut.

Ketua Polis daerah, Superintendan Azid Ismail berkata, kejadian berlaku apabila Hilux dipandu Norazuan Mat Sani, 25, beralamat di Felda Lepar Utara bersama dua penumpang berhenti di laluan dari arah Temerloh menuju ke Jerantut untuk masuk ke simpang kanan.

Menurutnya, dalam masa sama kereta Proton Preve dipandu Muhammad Shahmin Naim, 24, beralamat di Taman Inderapura, di sini yang dinaiki bersama tiga penumpang lain cuba memotong Hilux terbabit.

“Muhammad Shahmin cuba memotong Hilux terbabit dari arah belakang namun gagal menyebabkan berlaku pertembungan di bahagian kanan pemandu Hilux.

“Kesemua mangsa cedera dan dihantar ke Hospital Jerantut untuk rawatan,” katanya.

Menurutnya, setiap pemandu diingatkan mematuhi had laju yang ditetapkan dan menjaga jarak kenderaan untuk mengelak kemalangan.

Ajal 2 beradik ketika ke sekolah

Ajal ketika ke sekolahRoziah (tudung kelabu) melihat wajah anaknya untuk kali terakhir sebelum dikafankan. Gambar kecil: Muhammad Adhwa (kiri), Muhammad Asyraf

PEKAN – ‘Saya pakai topi (keledar) ni mak, untuk keselamatan’. Itulah gurauan terakhir Muhammad Adhwa Ramli, 17, kepada ibunya sebelum maut bersama adiknya, Muhammad Asyraf, 13, ketika di dalam perjalanan ke sekolah kira-kira jam 7.10 pagi semalam.

Roziah Mad Sidek, 49, tidak menyangka keceriaan mereka bergurau senda pagi semalam merupakan detik terakhir sebelum dimaklumkan mengenai kemalangan yang menimpa anak kedua dan keempatnya itu.

“Saya turut membalas usikan Adhwa dengan menyuruhnya duduk di depan sedikit kerana bimbang adiknya yang juga berbadan besar sepertinya tidak muat untuk menaiki motosikal yang ditunggangnya.

“Malah, saya turut menyikat rambut Adhwa seperti biasa sebelum dia ke sekolah kerana dia selalu menyisir rambut dengan tangan sahaja dan saya selalu komen rambutnya selekeh,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di perkarangan bilik mayat Hospital Pekan.

Menurutnya, Adhwa yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada hujung tahun ini tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap malah gemar membuat lawak dan menceriakan suasana seperti biasa.

“Begitu juga dengan Asyraf yang tidak menunjukkan sebarang keganjilan sehingga abang kedua saya yang baru pulang menghantar anaknya ke sekolah menyampaikan berita itu pilu pagi ini (semalam).

“Baru tiga bulan ayah mereka, Ramli Ab. Rahman, 61, meninggal dunia akibat kencing manis, kini mereka pula menyusul takdir ajal yang telah ditetapkan ALLAH SWT,” katanya yang tinggal di Rancangan Kampung Tersusun (RKT) Salong, di sini.

Roziah berkata, walaupun dua daripada lima anak lelakinya telah pergi menghadap Ilahi, namun beliau tabah menghadapi dugaan apatah lagi anak ketiganya yang tinggal di asrama SMK Paloh Hinai kini memerlukan semangat dan sokongan kerana bakal menduduki peperiksaan PMR tidak lama lagi.

“Anak sulung saya berusia 18 tahun kini di dalam perjalanan pulang dari kem PLKN di Mersing, manakala dua lagi anak masih berada di sekolah dan saya tidak pasti mereka sudah dimaklumkan mengenai kejadian ini oleh pihak sekolah atau belum.

“Saya tahu anak bongsu yang berusia 10 tahun pasti amat terasa dengan kehilangan Asyraf yang digelar ‘Diah’ olehnya kerana mereka terlalu rapat, malah apa sahaja barang yang dibeli pasti turut diberikan kepada abang kesayangannya itu,” katanya.

Baru tiga minggu keluar asrama

Roziah turut memberitahu bahawa anak keduanya, Adhwa keluar dari asrama sejak tiga minggu dan tinggal di rumah ekoran masalah sukar bangun pagi untuk ke sekolah.

“Arwah tinggal di asrama sejak tingkatan satu namun sejak beberapa bulan lalu, warden dan guru mengadu dia sering saja mengantuk pada waktu pembelajaran kerana gemar berbual dengan rakan seasrama sehingga lewat malam menyebabkan dia tidak cukup tidur.

“Saya sendiri menasihatkan dia agar mengisi borang keluar asrama kerana kasihan kepada guru-gurunya dan tidak menyangka, Asyraf juga turut sama mahu mengikut abangnya keluar asrama dan tinggal di rumah,” katanya.

Menurutnya, Adhwa merupakan seorang anak yang ceria dan gemar membuat lawak selain begitu rapat dengan abang serta empat adiknya ekoran jarak umur mereka tidak jauh beza.

“Asyraf pula seorang anak yang rajin dan gemar membantu saya membuat kerja rumah, Dia tidak gemar keluar rumah dan menjadi ‘penjaga’ setia arwah bapanya yang terlantar dan menderita akibat penyakit kencing manisnya.

“Saya tidak menyangka Asyraf juga akan menyusul bapanya, malah kehilangan tiga insan tersayang di dalam waktu singkat benar-benar menguji keimanan dan kesabaran,” katanya yang akan membawa pulang kedua-dua jenazah anaknya untuk dikebumikan di Kampung Mambang petang ini (semalam).

Roziah bagaimanapun dilihat tenang sepanjang proses menuntut mayat di Hospital Pekan dan nyata juga seorang ibu yang begitu tabah dan reda di atas ujian yang diberikan kepadanya.

Lori ‘terlebih’ masuk jalan

Kemalangan yang meragut nyawa dua beradik di Kilometer 51, Jalan Salong-Pekan berhampiran Kampung Sepaku semalam dikatakan berpunca daripada sebuah lori bijih timah kosong (tanpa muatan) yang memasuki lorong bertentangan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Yahaya Othman berkata, siasatan awal mendapati kemalangan tersebut berlaku selepas lori yang datang dari arah Pekan ke Salong itu memasuki laluan dua beradik berkenaan ekoran keadaan jalan berselekoh.

Menurutnya, kedua-dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paloh Hinai itu terjatuh selepas motosikal yang dinaiki dilanggar lori berkenaan sebelum mangsa terseret di bawah tayar lori sejauh kira-kira 50 meter.

“Seretan berkenaan menyebabkan kedua-dua beradik itu mengalami kecederaan parah di bahagian kepala (pecah) sehingga menyebabkan kedua-duanya meninggal dunia serta merta di tempat kejadian.

“Pihak polis telah menahan pemandu lori terlibat di lokasi kejadian bagi membantu siasatan dan kes ini akan terus disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Kenduri beracun: Pengantin baharu terkilan

Kenduri beracun: Pengantin baharu terkilanTajul Urus menyampaikan sumbangan kepada Che Norma Khalid, 45, yang kehilangan anak bongsunya, Mohd Nor Rahmat Yusof, 11, akibat keracunan makanan.
YAN - Tragedi keracunan makanan di majlis kenduri perkahwinan di Kampung Huma, Tanjung Dawai, yang meragut tiga nyawa kelmarin menjadi sejarah hitam buat pengantin baru berkenaan.

Hasliyana Yusuf, 22, berkata, dia sedih dengan kejadian dan tidak menyangka majlis raja sehari bertukar menjadi tragedi hitam.

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, trauma dan kesal dengan apa yang berlaku pastinya tidak dapat dilupakan.

“Kami sekeluarga begitu gembira dengan majlis yang diadakan memandangkan saya anak pertama yang melangsungkan perkahwinan.

“Namun, kejadian ini berubah menjadi nasib malang buat kami,” katanya ketika ditemui di Hospital Yan, semalam.

Menurut bekas pelajar Politeknik Port Dickson itu, keluarganya sendiri turut mengalami keracunan sama.

“Mak, kakak dan adik saya turut mengalami keracunan dan ditahan di wad. Manakala keluarga sebelah suami saya tidak ada yang menerima kesan keracunan itu,” katanya.

Bapa pengantin, Yusuf Ahmad, 55, berkata, masakan yang disediakan kepada tetamu jemputan sempena kenduri itu dimasak oleh kakaknya dengan bantuan saudara-mara lain.

“Juadah yang kami sediakan ialah ayam masak merah, gulai ikan talang, kerabu pucuk paku dan sambal ikan bilis.

“Manakala ayam yang dijadikan juadah ditempah daripada dua pembekal dan satunya membekalkan ayam yang sudah berbau,” katanya.

Sementara itu, Exco Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya Kedah, Datuk Tajul Urus Mat Zain yang juga Adun Tanjong Dawai berkata, kerajaan negeri menghulurkan sumbangan RM1,000 kepada keluarga yang maut manakala RM200 kepada mangsa yang dirawat di hospital.

Katanya, kerajaan negeri bersimpati dengan peristiwa ini yang merupakan satu tragedi yang tidak diduga sesiapa termasuk tuan rumah.,” katanya ketika melawat 63 mangsa yang masih menerima rawatan di Hospital Yan, semalam.

Wanita tidak sedar kokain dalam coli


Dubai: Seorang penumpang kapal terbang dari Thailand semalam dihukum penjara 10 tahun kerana menyeludup 1.2 kilogram kokain yang disembunyikan dalam coli serta bungkusan diikat pada kakinya.

Hakim turut mengarahkan wanita terbabit membayar denda Dh50,000 (RM44,037) dan bakal diusir selepas menamatkan tempoh tahanan.


Dalam perbicaraan, tertuduh mendakwa tidak tahu-menahu mengenai dadah berkenaan ketika dia ditahan sejurus selepas tiba dari Brazil pada 8 April lalu. Penahanan itu dibuat selepas pegawai penguat kuasa mencurigai saiz payu dara tertuduh yang lebih besar daripada biasa.

Polis juga curiga apabila kaki wanita terbabit lebih besar berbanding sepatutnya. - Agensi

Banjir ragut 20 nyawa


Bangkok: Pihak berkuasa semalam berkata, banjir setakat ini membunuh lebih 20 orang dan menjejaskan pelbagai kawasan di seluruh Thailand sejak dua minggu lalu walaupun sebelum ini pakar berpendapat ia tidak berisiko membawa kemusnahan seperti dua tahun lalu.

Sebanyak 32 daripada 77 wilayah Thai dinaiki air sejak pertengahan September lalu dan 23 orang terbunuh.
Laporan Jabatan Pencegahan Bencana Dan Tebatan berkata, 25 wilayah masih ditenggelami air.

“Lebih 2.8 juta orang terjejas akibat banjir dan 15,254 dipindahkan ke tempat selamat,” kata agensi itu.


Timbalan Perdana Menteri, Plodprasop Suraswadi sebelum ini berkata, Thailand tidak berdepan bahaya Taufan Wutip, yang tiba di timur laut negara itu semalam.


“Tetapi kerajaan bersedia untuk menghadapi ribut lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada 2011, Thailand mengalami banjir terburuk dalam tempoh separuh abad.

Kira-kira 800 orang terbunuh dan enam juta hektar tanah pertanian, perindustrian dan petempatan rosak teruk.

Banyak kawasan perindutrian yang menghasilkan komponen elektrik dan automobil untuk dieksport ditenggelami air.

Sebahagian daripada bandar raya Bangkok turut mengalami banjir.

Kali ini pihak berkuasa menolak kebimbangan orang ramai bahawa bencana serupa akan berulang. - AP

3 tahun curi 900 beg


Newport: Seorang ibu kepada dua anak dihukum penjara selepas dia mencuri lebih 900 beg tangan dalam jenayah yang dilakukan sejak tiga tahun lalu.

Jayne Rand, 48, mencuri beg dan dompet berjumlah £500,000 (RM2.6 juta) dari kedai dikunjungi sebelum mencurinya selepas membuang tag keselamatan pada beg berkenaan. Mahkamah agung Newport diberitahu, Jayne mencuri 905 beg dan empat dompet jenama terkemuka seperti Prada, Gucci and Louis Vuitton.


Dia kemudian menjual beg berkenaan dan memperoleh keuntungan tambahan melebihi £1,000 (RM5,250) untuk setiap beg curi yang dijualnya.

Sepanjang kegiatan Jayne, suaminya Phillip Rand yang juga perunding percangan dan dua anak perempuan mereka yang sudah dewasa Gemma serta Amber langsung tidak tahu-menahu mengenai jenayah dilakukannya. - Agensi

Suspek kedua kes bunuh pengasas AmBank diburu

Suspek kedua kes bunuh pengasas AmBank diburuJalaluddin (kanan) diiringi Raduan (tengah) dan Ibrahim merasmikan Seminar Pencegahan Jenayah di UMK, Jeli, semalam. - Foto Mohamed Sahidi Yusof Kuala Lumpur: Polis sedang mengesan seorang lagi lelaki yang dipercayai turut terbabit dalam kes pembunuhan pengasas AmBank, Hussain Ahmad Najadi, di Jalan Ceylon di sini, 29 Julai lalu.

Maklumat berhubung suspek kedua berusia 53 tahun ini diperoleh hasil siasatan yang dijalankan ke atas suspek utama kes berkenaan yang ditahan dalam serbuan sebuah rumah di Larut Tin Tambahan, Taiping, Perak, 23 September lalu.
Lari ke luar negara


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata suspek kedua yang juga majikan suspek utama dipercayai melarikan diri ke luar negara selepas kejadian itu berlaku.

“Kita percaya suspek kedua berada di Australia sejak kejadian pembunuhan pengasas Ambank itu, namun kita sedang berusaha mengesannya bagi membantu siasatan kes berkenaan selain mengetahui motif sebenar kejadian itu.

“Jika suspek masih degil atau gagal dikesan, polis akan mengedarkan gambarnya untuk didedahkan media,” katanya.

pada Majlis Sesi Dialog Ketua Polis Kuala Lumpur dan Pengetua-pengetua Sekolah Menengah Kuala Lumpur, di sini, semalam.
Katanya, beliau yakin maklumat daripada suspek kedua yang diburu dapat membantu pihak polis untuk mendakwa suspek utama kes berkenaan.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, usaha mencari senjata api yang digunakan dalam kejadian pembunuhan itu di Tasik Mines, pagi semalam, ditangguhkan sehingga hari ini, bagi membolehkan polis mengambil semula keterangan daripada suspek utama.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairy Ahrasa, berkata pihaknya akan mendapatkan bantuan Unit Skuba dan Komando polis mengesan pistol yang dicampakkan suspek ke tasik berkenaan untuk melupuskan bukti.

“Pegawai penyiasat juga sedang mendapatkan maklumat tambahan daripada suspek bagi membolehkan kita memperoleh gambaran lebih jelas dan tepat mengenai senario kejadian ini,” katanya. 

147 syarikat gagal bayar cukai tertunggak RM54.03j


2013/10/02
Kuala Lumpur: Sebanyak 147 syarikat dikesan gagal membuat pembayaran cukai tertunggak sebanyak RM54.03 juta kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sepanjang tahun lalu.

Bukan itu saja, sebanyak 656 syarikat juga turut gagal mengisi senarai semak audit yang mana cukai tambahan dan penalti sebanyak RM61.74 juta dikenakan terhadap syarikat berkenaan.
Laporan Ketua Audit Negara juga mendedahkan sebanyak 1,422 kes audit luar, lewat diselesaikan antara satu bulan hingga lima tahun membabitkan cukai tambahan dan penalti berjumlah RM189.82 juta.

Notis peringatan

“Notis peringatan tidak dikeluarkan kepada 87 syarikat yang gagal menyimpan rekod dengan lengkap selain pemantauan integriti Pegawai Audit Luar melalui lawatan mengejut adalah kurang memuaskan bagi Jabatan Cukai Korporat dan lapan cawangan lain.

“Selain itu, notis taksiran anggaran berjumlah RM3.52 juta tidak dikeluarkan terhadap 44 syarikat dan kenaikan cukai (denda) berjumlah RM4.25 juta tidak dikenakan terhadap tunggakan cukai dan kegagalan mematuhi skim anggaran cukai yang mengakibatkan kerugian kepada kerajaan,” katanya.

Bagaimanapun LHDN dalam maklum balasnya terhadap teguran itu menjelaskan pihaknya sentiasa mempertingkat pemantauan terhadap kes sedang diaudit bagi mengurangkan bilangan kelewatan.
Tambah baik perkhidmatan

LHDN juga sedang meningkatkan serta menambah baik perkhidmatannya termasuk kerja yang dilakukan oleh pegawainya selain turut mengadakan lawatan pemantauan ke cawangan LHDN terpilih sekurang-kurangnya enam kali setahun.

Sementara itu, laporan Ketua Audit Negara menyifatkan pembinaan Pusat Pemprosesan, Pengeluaran dan Gudang di Bangi bernilai RM57.60 juta kurang memuaskan kerana projek terbabit tidak siap dalam tempoh ditetapkan sehingga dua lanjutan terpaksa diberi.

Kegagalan Pusat Pemprosesan Pandan Indah dipindahkan ke pusat pemprosesan baru di Bangi itu dalam masa ditetapkan mengakibatkan LHDN terpaksa menanggung kos sewaan sebanyak RM4.70 juta.

Kelewatan itu juga menyebabkan bayaran utiliti dan khidmat pengawal keselamatan sebanyak RM505,600 sehingga bulan Februari 2013 ditanggung di bawah peruntukan projek itu sejak bangunan berkenaan siap dibina pada Oktober 2011.

70 rumah kampung air musnah



PENDUDUK terpaksa memindahkan barangan masing-masing selepas rumah mereka terbakar.


KOTA KINABALU – Lebih 400 penduduk hilang tempat tinggal selepas 70 buah rumah yang terletak di perkampungan air di Kampung Numbak Dua dekat sini musnah dalam kebakaran semalam.
Kebakaran kira-kira pukul 1.37 petang itu merupakan kejadian kedua yang berlaku di perkampungan tersebut selepas kejadian pertama pada 27 Mac lalu yang memusnahkan 234 buah rumah.
Menurut seorang penduduk, Robot Ismailing, 31, ketika kejadian dia sedang melawat rumah saudaranya dan meninggalkan tiga anaknya berusia antara lapan hingga sembilan tahun di rumah tanpa jagaan.
Katanya, dia menyedari kebakaran tersebut selepas sesak nafas dan melihat kepulan asap tebal dari salah sebuah rumah di perkampungan tersebut.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1002&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz2gVvevJq5 
Hakcipta terpelihara 

40 hektar kebun dilimpahi air lumpur


RANTAU PANJANG – Kira-kira 50 pemilik tanah di kawasan Lubok Stol dekat sini hilang punca pendapatan apabila tanah kebun mereka ditenggelami air lumpur bercampur bijih besi sejak tiga tahun lalu.
Kejadian itu didakwa berpunca akibat limpahan air lumpur dari sebuah tapak perlombongan bijih besi di atas bukit tidak jauh daripada tanah tersebut.
Ini menyebabkan kawasan pertanian seluas kira-kira 40 hektar yang ditanam dengan pokok getah, sawit dan buah-buahan itu kelihatan bagaikan tasik bijih.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1002&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz2gVvHRBz2 
Hakcipta terpelihara 

36,577 penagih terputus bekalan



MOHD. MOKHTAR (kanan) menunjukkan senjata api yang dirampas dalam serbuan dadah pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU - Kegiatan jahat dua lelaki mengedar dadah tidak bertahan lama apabila mereka diberkas dalam serbuan berasingan dengan rampasan dadah seberat 7.2 kilogram baru-baru ini.
Dalam operasi pertama pada pukul 12.15 tengah hari, 20 September lalu itu, polis menemui 28.78 gram dadah disyaki syabu, 13 biji pil eramin 5 dan tiga kilo- gram dipercayai ketamin bernilai RM292,241 selepas menahan seorang lelaki di Taman Iskandar di sini.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, dalam tangkapan sama, pihaknya merampas dua buah kenderaan pelbagai guna, jam tangan berjenama Rolex dan sepucuk pistol jenis Baretta bersama 17 butir peluru.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1002&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz2gVv0S8Hw 
Hakcipta terpelihara 

Beg bertulis bahaya atas jalan cetus tanda tanya



ROBOT wheel barrow digunakan bagi mengesan bahan letupan di dalam sebuah beg yang ditinggalkan di hadapan Menara Yayasan Islam Terengganu, Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU - Penemuan sebuah beg bimbit yang bertulis perkataan bahaya di hadapan Menara Yayasan Islam Terengganu berdekatan bangunan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini semalam menimbulkan tanda tanya orang ramai.
Perunding insurans, A. Munusamy, 57, berkata, dia menyedari beg itu pada pukul 11.30 pagi ketika mahu pulang ke pejabatnya selepas selesai sarapan pagi di sebuah restoran berhampiran.
"Saya nampak beg itu berada di tengah jalan dan terdapat label bahaya pada beg tersebut.
"Saya kemudiannya menghubungi polis untuk tindakan selanjutnya kerana curiga dengan isi kandungan beg berkenaan," katanya di sini.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1002&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz2gVubRRQq 
Hakcipta terpelihara 

Mangsa nahas dibaham buaya



ANGGOTA polis dan penduduk kampung mengangkat sebahagian mayat Mohd. Munir yang dibaham buaya selepas terlibat dalam kemalangan di Kampung Kupang, Saratok, Sarawak semalam.


SARATOK – Mayat seorang lelaki mangsa kemalangan ditemui dalam keadaan mengerikan apabila separuh badannya hilang dari pinggang ke atas disyaki dibaham buaya selepas tiga hari berada di dalam sungai di Kampung Kupang dekat sini semalam.
Sebelum itu, Mohd. Munir Yusuf, 24, dikhuatiri lemas selepas kereta Proton Saga dipandunya terbabas lalu terjunam ke dalam sungai berdekatan Pangkalan Feri Kaba, Ahad lalu. Jarak tempat kemalangan dengan lokasi mayatnya ditemui kira-kira 20 kilometer.
Sumber berkata, mayat mangsa ditemui pada pukul 7.15 pagi oleh seorang penduduk kampung yang dalam perjalanan ke kebunnya sebelum dia menghubungi polis.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1002&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz2gVtvXGDA 
Hakcipta terpelihara 

Kekejaman harimau Kuala Pilah



PEGAWAI Perhilitan Jempol memeriksa kandang biri-biri yang disyaki diserang harimau kumbang di Kampung Parit Mungkal, Tanjung Ipoh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan semalam.


KUALA PILAH – Penduduk di Kampung Parit Mungkal, Tanjung Ipoh dekat sini hidup dalam ketakutan selepas harimau kumbang dipercayai telah menyerang ternakan biri-biri milik seorang penduduk di situ kelmarin.
Penternak, Nor Asiah Yunus, 61, berkata, dalam kejadian pada pukul 7 pagi itu, dua ekor biri-biri miliknya hilang manakala baki sembilan lagi ekor biri-biri ditemui mati dengan kesan kecederaan akibat dibaham haiwan buas.
Menurut wanita itu, dia menyedari kejadian tersebut apabila dua anaknya, Abdul Mujib Nong Singah, 30, dan NorKhairukha, 41, pergi ke kandang tersebut pada pukul 7 pagi.
“Kedua-dua anak saya terkejut apabila menemui sembilan ekor biri-biri di dalam kandang itu dalam keadaan nyawa-nyawa ikan dengan banyak kesan kecederaan pada badan setiap ternakan itu,” kata Nor Asiah ketika ditemui di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1002&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm#ixzz2gVtWPZ7m 
Hakcipta terpelihara 

Mental terganggu, jiwa tertekan



SHUN YEE


KUALA LUMPUR - Seorang ahli perniagaan wanita mendedahkan dirinya diugut bunuh dan rogol oleh bekas kekasih keturunan Bosnia yang sebelum ini menyamannya kerana mendakwa dia dipergunakan untuk sperma berkualiti.
Malah, Chung Shun Yee, 29, mendakwa Ervin Ahbabovic, 41, mengugut akan mendedah dan mengedarkan gambar serta video peribadi miliknya sekiranya dia ingin berpisah dengan lelaki itu.
Shun Yee juga yakin Ervin mengalami gangguan mental dan tekanan jiwa melampau sehingga bertindak agresif, ganas dan sanggup mencederakan diri dan keluarganya apabila keinginannya tidak dipenuhi.
Justeru, dakwa Shun Yee, tuduhan Ervin mengenai keinginan hubungan seks sebanyak enam kali sehari juga adalah mustahil kerana dia wanita normal yang bekerja dan perlu menjaga seorang anak lelaki.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1002&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz2gVslIwnX 
Hakcipta terpelihara