Search This Blog

Tuesday, October 1, 2013

Bumbung luar pasar raya di Kuala Berang runtuh

Bumbung luar pasar raya di Kuala Berang runtuhBeberapa pekerja menanggalkan papan iklan selepas runtuh bersama atap kaki lima sebuah pasaraya di Kampung Batu 24, Kuala Berang hari ini. - Foto Bernama

KUALA BERANG - Bumbung kaki lima Pasaraya Xiri di Batu 24 Jalan Kuala Berang di sini runtuh akibat angin kencang dan hujan lebat hari ini.
 
Kejadian pada pukul 5.20 petang itu turut menyebabkan papan tanda utama pasar raya berkenaan yang terletak di atas bumbung itu runtuh.
 
Tiada kecederaan dilaporkan, kata Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang Mohd Zazuli Badru.
 
"Berdasarkan siasatan awal, bumbung bahagian kali lima di luar pasar raya itu yang diperbuat daripada besi sepanjang 65 meter runtuh dipercayai akibat angin kencang dan hujan lebat," katanya kepada pemberita di sini.
 
Seorang pekerja di pasar raya itu Yusof Che Ali, 57, berkata ketika kejadian terdapat kira-kira 100 orang termasuk pelanggan, pekerja dan peniaga dalam pasar raya itu.
 
"Masa tu hujan lebat dan angin kencang, saya dengar bunyi runtuhan di luar dan segera keluar dari pasar raya. Saya nampak bumbung kaki lima sudah runtuh," katanya. - Bernama

Kilang proses sabut terbakar

Kilang proses sabut terbakarAnggota bomba memakai kelengkapan oksigen ketika memadamkan api dalam kawasan kilang sabut yang mengeluarkan asap tebal.

BACHOK –  Sebuah kilang memproses sabut yang beroperasi sejak tiga tahun lalu hangus dalam kebakaran di Kampung Alor Pulai, Beris Lalang, kira-kira 1.30 petang kelmarin.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Kelantan, Abdul Jalil Ishak berkata, pihaknya menerima panggilan pada 1.34 petang dan tiba di lokasi pada 1.46 petang.

Menurutnya, empat jentera dikerah untuk membantu operasi tersebut yang melibatkan 2 jentera dari Balai Bomba Bachok, satu jentera dari Ketereh dan satu lagi dari Kota Bharu.

“15 anggota terlibat untuk memadam dan mengawal kebakaran ini termasuk 10 anggota sukarelawan dari Pengkalan Chepa dan Kota Bharu. 30 minit pertama kami berjaya kawal api daripada merebak dan ia mungkin mengambil masa lebih lama untuk pastikan keseluruhan api yang membakar sabut ini dipadamkan sepenuhnya.

“Memandangkan ia memerlukan bekalan air yang banyak, kami dapatkan bekalan air dari sungai setengah kilometer (km) dari lokasi ini,” katanya ketika sidang media di lokasi kejadian kelmarin.

Manakala, pengurus kilang yang dikenali sebagai Madam Chua berkata, ketika kejadian dia berada di dalam pejabatnya sementara semua pekerja keluar makan tengah hari.

“Saya ada dalam pejabat dan ketika pekerja terakhir keluar rehat, masih tak ada api. Bila mereka masuk jam 1.30 petang barulah nampak api di bahagian tengah kilang.

“Saya tak tahu macam mana api boleh bermula di bahagian tengah kilang yang menempatkan sabut yang diproses untuk eksport. Peraturan kilang kami ketat dan tak ada orang yang boleh merokok dalam kawasan ini. Mereka yang merokok boleh didenda RM200 atau dibuang kerja,” katanya.

Katanya, keseluruhan aset di kilang itu bernilai RM2 juta dan mempunyai 10 hingga 15 pekerja.

Ditahan miliki lebih 500 pil kuda

Ditahan miliki lebih 500 pil kudaInspektor Nor Amarina Shamsuddin dari bahagian narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh menunjukkan dadah dipercayai pil kuda yang ditemui dalam beg galas milik suspek.

PASIR PUTEH - Seorang lelaki berusia 29 tahun ditahan dan didapati memiliki dadah dipercayai pil kuda ketika polis mengawal lalu lintas di kawasan kemalangan membabitkan dua lori di Kampung Sungai Kelong, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal berkata, suspek ditahan ketika beliau (Mohd Kamal) bersama timbalannya, Asisten Superintendan Azmir Damiri dan seorang anggota polis trafik, Koperal Nazri Jusoh mengawal kenderaan di kawasan tersebut.

Menurutnya, suspek dikesan berada dalam keadaan mencurigakan serta tidak mempedulikan arahan polis supaya berhenti, menyebabkan polis mengesyaki sesuatu.

"Dia cuba lari apabila kami mengarahkannya berhenti. Tetapi suspek berjaya ditahan dan hasil pemeriksaan, kita dapati beg sandangnya berisi lebih 500 pil dipercayai dadah jenis pil kuda dengan anggaran nilai RM6,000.

"Polis bertindak apabila lelaki itu berkeras meneruskan perjalanan dalam keadaan sesak walaupun kita mengarahkan dia berhenti, manakala rakannya yang membonceng motosikal jenis Honda EX5 melarikan diri," katanya.

Beliau berkata, wang tunai RM1,500 turut dirampas dan polis percaya lelaki terbabit adalah pengedar dadah kerana terdapat dua rekod lampau dalam kes berkaitan dadah.

Tambahnya, ujian air kencing ke atas suspek menunjukkan keputusan positif dadah dan dia kini ditahan reman untuk disiasat mengikut Seksyen 39B dan 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam kes berasingan, Mohd Kamal berkata, seorang kanak-kanak lelaki maut dirempuh kenderaan pikap ketika cuba melintas jalan di Kilometer 50 Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu di Kampung Bukit Yong, di sini, kelmarin.

Katanya, dalam kejadian pada jam 5.30 petang itu, mangsa, Mohamad Badrul Amin Abdullah, 8 dikatakan melintas jalan untuk ke kedai runcit sebelum dirempuh kenderaan yang menghala ke Jerteh, Terengganu.

“Rempuhan itu menyebabkan mangsa terpelanting dan mengalami kecederaan parah di kepala. Dia dikejarkan ke Hospital Tengku Anis dan disahkan meninggal dunia pada jam 8 malam,’ katanya.

Beliau berkata, mangsa yang merupakan anak kedua daripada lima beradik itu sepatutnya diawasi keluarga untuk melintas jalan kerana kawasan itu terlalu berbahaya serta kerap berlaku kemalangan.

Kelindan mati dihempap lori

Kelindan mati dihempap loriKren digunakan untuk mengalihkan lori muatan batu yang menghempap lori mangsa.

PASIR PUTEH - Seorang kelindan lori pemungut kelapa maut apabila lori yang dinaiki bersama majikannya dihempap lori sarat muatan batu kasaran dalam kemalangan di Kampung Sungai Kelong di sini, petang kelmarin.

Ismail Awang, 62, mati di tempat kejadian apabila terperangkap selama lebih tiga jam di tempat duduknya selepas lori diseret lori lain ke dalam parit dan menghempapnya.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mohd Kamal Zainal berkata, Ismail yang tidak mengalami kecederaan serius dipercayai mati akibat lemas selepas paip besar bocor akibat kemalangan tersebut.

“Kejadian itu menyebabkan muatan batu kasaran tertumpah ke parit dan air daripada paip bocor memenuhi parit yang menyebabkan mangsa lemas.

“Kerja menyelamat mangsa dibantu empat jengkaut dan satu kren bagi mengalihkan lori muatan batu yang menghempap lori yang dinaiki mangsa,’ katanya.

Pemandu, Mohd Nazri Abdul Majid, 42, mengalami kecederaan tulang pinggul kiri kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kebang Kerian.

Mohd Kamal berkata, kejadian itu berlaku jam 1.30 petang di Kilometer 30 Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu apabila lori mangsa membelok ke kanan sebelum dirempuh lori muatan batu dari arah sama.

“Daripada maklumat yang kita dapat, pemandu mahu menghantar kelindan ke rumahnya kira-kira 150 meter dari tempat kejadian, ketika itu datang lori muatan batu merempuh dan mengheret lori dinaiki mangsa ke dalam parit.

“Pihak polis tidak menafikan lori muatan batu kasaran itu dipandu laju dan nahas di garisan berkembar itu tidak seharusnya berlaku jika semua pihak peka dengan peraturan,” katanya.

Menurutnya, polis masih menyiasat punca sebenar kemalangan tersebut dan sehubungan itu, pemandu lori, Shamsuddin Ali, 58, ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir PUteh, Wan Baijuri Wan Hassan berkata, lapan anggotanya bertungkus lumus berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Katanya, usaha tersebut agak sukar kerana kedua-dua mangsa tersepit dalam lori yang mereka yang dihempap lori muatan batu.

Sementara itu, isteri Ismail, Zainab Manaf, 60, ketika ditemui berkata, Ismail yang bekerja sebagai pemanjat buah kelapa dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai mengambil upah tidak jauh dari rumahnya.

“Tidak lama selepas dia keluar untuk bekerja, dia balik semula ke rumah untuk menghantar ‘nasi berlauk’ untuk sarapan keluarga.

“Saya tidak menyangka kepulangannya dengan membawa makanan yang jarang dilakukannya itu merupakan kali terakhir saya melihatnya,” katanya yang mempunyai lapan anak hasil perkongsian hidup dengan arwah.

Pelajar UniKL maut motosikal bertembung

Pelajar UniKL maut motosikal bertembungMangsa maut di tempat kajadian akibat kecederaan di bahagian kepala.

BALING - Seorang pelajar Universiti Kuala Lumpur (UniKL) cawangan Kulim  setelah terlibat dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Kuala Bakong, Kuala Ketil kira-kira jam 5.50 petang semalam.

Mohd Firdaus Abdul Rahim, 22,  dari Kampung Bukit Iboi maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Asisten Superintendan Md Nadzir  Osman berkata, kejadian berlaku setelah motosikal yang ditunggang mangsa bertembung dengan sebuah motosikal lain.

Menurutnya, akibat pertembungan itu, mangsa tercampak beberapa meter dan disahkan meninggal di tempat kejadian.

"Manakala seorang lagi penunggang cedera parah dan sedang dirawat di Hospital Sungai Petani," katanya kepada Sinar Harian.

Mangsa yang merupakan anak sulung dari lima beradik itu dalam perjalanan pulang dari rumah ke tempat pengajiannya.

Ibunya, Siti Mariam Isa, 47, berkata, anaknya itu memang sering pulang ke rumah untuk bersama keluarga.

"Dia seorang anak yang baik, selalu balik ke rumah, makan sekali bersama keluarga. Dia jugalah menjadi harapan keluarga kami," katanya.

Mangsa sebelum ini mendapat pendidikan di Universiti Selangor (Unisel) Kampus Shah Alam sebelum melanjutkan pengajian peringkat ijazah dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal di UniKL.

Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Bukit Iboi pada jam 11 pagi tadi.

'Arwah berselera makan lauk ayam'

'Arwah berselera makan lauk ayam'Jenazah Nurshazana dibawa untuk bedah siasat di bilik mayat HSB

ALOR SETAR - “Dia memang selera makan, tetapi dia suka makan satu jenis lauk saja setiap kali makan nasi. Jadi, masa kenduri pun, dia hanya makan nasi berlaukkan ayam masak merah,” demikian kata ibu mangsa, Ceh Norma Khalid.

Norma, 45, berkata, dia tidak menyangka sakit perut dialami anak bongsunya, Mohd Nor Rahmat Yusof, 11, selepas menikmati juadah berkenaan semasa menghadiri kenduri kahwin di Tanjung Dawai, Sungai Petani membawa kepada kematiannya.

“Anak saya juga tidak ada masalah perut sensitif. Sebelum ini, tidak pernah alami sakit perut selepas makan kenduri.

“Hanya, dia dan ayahnya yang menghadiri kenduri kenalannya pada Sabtu lalu itu. Jadi, mereka berdua sahaja yang sakit perut.

"Cuma Rahmat mengalami muntah dan cirit-birit teruk, manakala ayahnya biasa sahaja,” katanya kepada media di bilik mayat Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), dekat sini, semalam.

Menurut Norma, dia dan suami yang menetap di Kampung Singkir Laut, Yan tidak membawa mangsa ke hospital berdekatan lebih awal kerana tidak menyangka sakit perut dialami akan melarat sehingga membawa maut.

Bagaimanapun, apabila anak bongsu daripada lima beradik itu pengsan, barulah mereka mengesyaki keadaan mangsa serius lalu membawanya ke Hospital Yan untuk mendapatkan rawatan pagi semalam.
Bagaimanapun, doktor mengesahkan anak lelaki tunggal mereka sudah meninggal dunia ketika tiba di hospital kira-kira jam 1 petang.
Bapa mangsa, Yusof Ariffin, 50, yang masih bersedih mengenai kejadian yang menimpa anak mereka enggan memberi sebarang kenyataan kepada media.

Sementara itu, Hairul Azhar Harun, 33, yang juga sepupu kepada mangsa kedua, Nurshazana Mohd Rashid, 24, dari Kampung Tempoyak, Bedong berkata, mangsa pergi ke kenduri di Tanjung Dawai dua hari lebih awal berbanding ahli keluarganya.
Menurut Hairul Azhar, mangsa dipercayai berasa sakit perut sebaik sahaja pulang dari kenduri tersebut, malah sakitnya bertambah teruk pada hari Ahad sehingga dia enggan keluar dari biliknya.

“Sebenarnya, kami ingin bawa Shazana ke klinik pagi ini (semalam) untuk mendapatkan rawatan. Namun belum sempat berbuat apa-apa, mangsa ditemui pengsan dalam keadaan tertiarap di dalam biliknya sehinggalah disahkan meninggal dunia kira-kira 12.45 tengah hari,” katanya.

Selain mangsa, ibu tiri dan dua adiknya berusia lapan dan 10 tahun juga mengalami sakit perut selepas menghadiri kenduri terbabit, namun tidak serius kerana mereka semua hanya pergi ke kenduri pada Sabtu.

Hairul berkata, dia tidak tahu lauk apa yang dijamah mangsa kerana tidak menghadiri kenduri itu.

Difahamkan, jenazah Mohd Nor Rahmat akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Singkir Lauk, Yan, manakala jenazah Nurshazana pula akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tempoyak, Yan.

Keracunan kenduri: Lebih 170 orang terima rawatan


SUNGAI PETANI 1 Okt. - Lebih 170 orang yang mengalami keracunan makanan selepas menghadiri kenduri kahwin di sebuah rumah di Tanjung Dawai dekat sini Sabtu lepas sehingga berlaku tiga kematian semalam, telah dan sedang dirawat di tiga hospital berdekatan.
Sehingga kini, yang paling ramai ialah di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini iaitu 114 orang, manakala sembilan mangsa menerima rawatan di Hospital Pantai Sungai Petani dan 49 orang di Hospital Yan.
Ahli Parlimen Merbok, Dr. Ismail Daut berkata, daripada 114 orang itu, 78 daripada mereka telah dibenar pulang dari HSAH.
"Kebanyakan daripada mangsa terdiri daripada warga emas manakala kanak-kanak seramai 14 orang," katanya ketika melawat mangsa yang dirawat di HSAH hari ini.
Beliau berkata, kebanyakan mangsa mengalami cirit-birit dan kekurangan air dalam badan sejak awal pagi semalam.
Sementara itu, jurucakap Hospital Yan pula berkata, seramai 49 orang masih dirawat di hospital itu dan kebanyakan mereka dilaporkan stabil.
Semalam, tiga dilapor maut ekoran keracunan makanan selepas menghadiri majlis perkahwinan di Tanjung Dawai Sabtu lepas.
Nurshazana Mohd Rashid, 24, meninggal dunia di rumahnya di Kampung Tempoyak, Bedong pada pukul 12.45 tengah hari manakala Mohd Nor Rahmat Yusof, 11, dari Kampung Singkir Laut, Yan meninggal dunia kira-kira 1 tengah hari ketika dirawat di Hospital Yan.
Mangsa ketiga, Ibrahim Mohammad, 62, yang berasal dari Alor Jejawi, Kuala Besut, Terengganu meninggal dunia pada pukul 6.30 petang di HSAH.
Ismail berkata, beliau menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan berhubung kejadian itu.
"Berdasarkan makluman mangsa dan tuan rumah sendiri, tiada unsur khianat wujud. Namun, kami serahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan," katanya.
Ismail berkata, pihak berkuasa termasuk Jabatan Kesihatan negeri sedang menjalankan siasatan mengenai punca kejadian. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131001/je_16/Keracunan-kenduri-Lebih-170-orang-terima-rawatan#ixzz2gTarcpja
© Utusan Melayu (M) Bhd 

22 rumah setinggan di Menggatal musnah terbakar


KOTA KINABALU 1 Okt. - Kira-kira 22 rumah setinggan di Kampung Numbak, Menggatal dekat sini musnah dalam kebakaran tengahari tadi.
Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Sabah, Zuraidah Latip berkata, empat jentera bomba dan tiga khidmat motosikal pantas (RIM) dengan kekuatan 30 anggota dikejarkan ke tempat kejadian.
Katanya, panggilan mengenai kebakaran diterima pada 1.37 tengah hari dan pasukan bomba dari dua balai iaitu Kota Kinabalu dan Lintas tiba di tempat kejadian pada pukul 2.06 petang.
"Api berjaya dikawal kira-kira setengah jam kemudian. Difahamkan kebakaran bermula dengan lima buah rumah dan merebak dengan cepat," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan, punca kebakaran dan kerugian masih disiasat. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131001/je_17/22-rumah-setinggan-di-Menggatal-musnah-terbakar#ixzz2gTaWDy4I
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Dua kanak-kanak lemas di kolaM Kem Syed Sirajuddin


SEREMBAN 1 Okt. - Dua kanak-kanak perempuan ditemui mati lemas selepas tergelincir ke dalam sebuah kolam di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Tampin dekat sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, Rachellyna Evenis Elvis, 11, dan Clarise Haizer Endyfim, 11, dikatakan bermain di tepi kolam itu bersama seorang lagi rakan sebaya mereka selepas pulang dari kelas tambahan di sekolah mereka.
Ketua Polis Daerah Tampin, Supritendan Wooi Kooi Cheang berkata, ketika sedang bermain tiba-tiba kedua-dua mangsa tergelincir ke dalam kolam berkenaan dan terus tenggelam.
Beliau berkata, seorang lagi rakan mangsa yang melihat kejadian itu pulang ke rumah dan memaklumkan kejadian itu kepada keluarga mereka.
"Anggota bomba menemui mayat kedua-dua kanak-kanak perempuan berbangsa Iban itu kira-kira pukul 6.30 petang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, ibu Rachellyna Evenis, Jomblin Umbang, 39, berkata, ketika kejadian dia berada di rumah dan suaminya yang juga seorang askar sedang bertugas di kem berkenaan.
Katanya, selepas diberitahu mengenai kejadian itu beliau terus ke kolam berkenaan, tetapi mendapati anak keduanya itu telah meninggal dunia.
"Saya akan membawa pulang mediang anak saya ke kampung halaman di Sibu, Sarawak untuk dikebumikan," katanya yang ditemui di Hospital Tampin.
- BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131001/je_15/Dua-kanak-kanak-lemas-di-kolan-Kem-Syed-Sirajuddin#ixzz2gTa92qGQ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lelaki maut dalam kemalangan kereta, MPV, 2 lori tangki


JOHOR BAHRU 1 Okt. - Seorang lelaki terbunuh manakala tiga yang lain cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan dua lori tangki di Km29 Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus) dekat Kulaijaya, awal hari ini.
Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Supritendan Zulkefly Yahya berkata, kejadian pada pukul 5.30 pagi itu menyebabkan pemandu kereta Honda City, Eng Boon Pin, 29, mati di tempat kejadian manakala rakan wanitanya, Khong Yin Ngee, 25, cedera ringan.
"Eng yang berasal dari Taman Gunung Lambak dekat Kluang bersama rakan wanitanya itu dalam perjalanan ke utara dan kemalangan itu dipercayai berlaku apabila dia gagal mengawal kenderaan lalu melanggar penghadang kiri jalan," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Zulkefly berkata, sebuah lori tangki kemudian melanggar kereta berkenaan dari arah belakang menyebabkan kereta itu terbelah dua sebelum sebuah lagi lori tangki dan sebuah MPV Toyota Alphard melanggar kedua-dua bahagian kenderaan terbabit.
Beliau berkata, pemandu Toyota Alphard, Tan Ah Seng, 32, dan penumpangnya, Wang Zhi Hua, 36, yang berasal dari Taman Pulai Flora, Skudai, di sini cedera ringan manakala kedua-dua pemandu lori terbabit tidak cedera.
Mayat Eng dan kesemua mangsa yang cedera itu dihantar ke Hospital Kulaijaya, katanya. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131001/je_18/Lelaki-maut-dalam-kemalangan-kereta-MPV-2-lori-tangki#ixzz2gTZcMKAQ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

2 lelaki ditahan, dua sindiket edar dadah di JB ditumpaskan

JOHOR BAHRU 1 Okt. - Polis percaya dapat menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah di sekitar bandar raya ini apabila menahan dua lelaki dan merampas pelbagai jenis dadah seberat 7.2 kilogram dalam serbuan di Taman Perling dan Taman Iskandar di sini, akhir bulan lepas.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd Shariff berkata, hasil penahanan pertama membabitkan seorang lelaki berumur 27 tahun di Taman Perling, polis merampas dadah dipercayai heroin seberat 4.2 kilogram bernilai RM200,000.
"Serbuan di sebuah rumah di perumahan terbabit dilakukan kira-kira pukul 10.30 malam, Khamis lepas oleh polis yang bertindak atas maklumat terdapat aktiviti pengedaran dadah," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Mohd. Mokhtar berkata, selain dadah yang mampu dibekalkan kepada 21,310 orang penagih itu, polis turut merampas sebuah kereta yang dianggar bernilai RM20,000.
Beliau berkata, hasil siasatan dan ujian air kencing terhadap lelaki terbabit mendapati dia negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah.
Mohd. Mokhtar berkata, seorang lagi lelaki ditahan dalam serbuan di Taman Iskandar dan polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM60,000.
"Lelaki berusia 41 tahun itu ditahan di Jalan Sultanah Aminah, di perumahan itu, pukul 12.15 tengah hari, 20 Sept lepas.
"Hasil siasatan terhadap lelaki itu, polis menyerbu dua lokasi dan menemui 28.78 gram dadah disyaki syabu, 13 biji disyaki pil eramin 5 dan tiga kilogram disyaki ketamin," katanya.
Beliau berkata, turut dirampas ialah dua kereta, seutas jam tangan Rolex dan sepucuk pistol semi auto jenis Beretta berserta 17 butir peluru 9mm yang ditemui dalam satu daripada kereta berkenaan.
Lelaki yang didapati positif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah itu kini ditahan reman sehingga Sabtu untuk siasatan, katanya. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131001/je_12/2-lelaki-ditahan-dua-sindiket-edar-dadah-di-JB-ditumpaskan#ixzz2gSvd6UQM
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Op Cantas: 2,445 individu ditahan di Johor


JOHOR BAHRU 1 Okt. - Polis menahan 2,445 individu di seluruh negeri Johor menerusi Op Cantas Khas sejak pelancaran 17 Ogos lepas sehingga kini.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd Shariff berkata, mereka merupakan sebahagian daripada 120,320 individu yang diperiksa dalam tempoh berkenaan.
"Daripada 2,445 individu terbabit, 1,394 ialah Melayu, 445 Cina, 301 India manakala 305 lagi lain-lain kaum," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.
Mohd. Mokhtar berkata, daripada jumlah itu juga sebanyak 1,270 orang terlibat kesalahan jenayah, 26 kerana jenayah komersial, narkotik (1,080) manakala 69 lagi dikehendaki polis. Beliau berkata 747 daripada mereka sudah dituduh di mahkamah dengan 430 orang menghadapi pertuduhan jenayah manakala 317 lagi berkaitan narkotik.
Katanya, enam senjata api tiruan, tiga senapang angin, sepucuk pistol serta 121 senjata lain termasuk pedang samurai, pisau, kapak, gergaji, besi tajam dan buku lima turut dirampas menerusi operasi itu.
"Polis turut memeriksa 68,834 kenderaan pelbagai jenis dalam tempoh operasi terbabit dan hasilnya sebanyak 157 kenderaan bersabit laporan kehilangan telah dirampas yang melibatkan 87 motosikal, kereta (62), lori (5) manakala van (3)," katanya.
Terdahulu, Mohd. Mokhtar dan Timbalannya, Datuk Ismail Yatim menyaksikan majlis serah terima tugas antara pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Asisten Komisioner Azizan Anan dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor yang baharu, Datuk Hasnan Hassan.
Hasnan, 54, sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor sebelum ditukar ke Bukit Aman sebagai Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7). -BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131001/je_11/Op-Cantas-2445-individu-ditahan-di-Johor#ixzz2gSvSgwe6
© Utusan Melayu (M) Bhd 

2 ditahan, 7.5 kg dadah dirampas dalam 2 serbuan


JOHOR BAHRU 1 Okt. - Polis negeri ini berjaya merampas lebih 7.5 kilogram (kg) dadah bernilai hampir RM250,000 dalam dua serbuan berasingan di Taman Perling dan Taman Iskandar, di sini akhir bulan lalu.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, dalam serbuan pertama kira-kira pukul 10.30 malam Khamis lalu di sebuah rumah di Taman Perling, pihaknya merampas dadah dipercayai heroin seberat 4.2 kg.
"Kita turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun dipercayai terlibat dengan kegiatan pengedaran dadah di sekitar bandar raya ini. Ujian mendapati lelaki berkenaan negatif dadah dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
"Kita percaya dadah yang dirampas ini mampu dibekalkan kepada lebih 21,000 penagih," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Beliau berkata, lelaki itu kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 32 Akta Dadah Berbahaya (Perlucutan Harta) 1988.
Mohd. Mokhtar berkata, dalam serbuan kedua pukul 12.15 tengah hari, 20 September lalu, pihaknya berjaya menahan seorang lelaki berusia 41 tahun di Jalan Sultanah Aminah, Taman Iskandar bersama pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM60,000.
"Polis merampas sejumlah 28.78 gram dadah disyaki syabu, 13 pil eramin 5 dan tiga kg dadah disyaki ketamin. Kami turut merampas dua buah kereta, seutas jam tangan Rolex dan sepucuk pistol semi automatik jenis Baretta bersama 17 peluru," katanya.
Beliau berkata, ujian mendapati lelaki berkenaan positif dadah tetapi tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau dan kini ditahan reman hingga Sabtu ini bagi membantu siasatan. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131001/je_10/2-ditahan-75-kg-dadah-dirampas-dalam-2-serbuan#ixzz2gSvJbSyG
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Polis cari majikan suspek kes bunuh pengasas Ambank


KUALA LUMPUR 1 Okt. - Polis sedang mengesan seorang lelaki yang dipercayai majikan kepada suspek utama kes pembunuhan pengasas Ambank, Hussain Ahmad Najadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, lelaki berusia 53 tahun itu gagal dikesan selepas dipercayai melarikan diri ke Australia.
Katanya, lelaki itu diperlukan polis untuk membantu siasatan selepas suspek utama ditahan di Taiping, Perak baru-baru ini. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131001/je_09/Polis-cari-majikan-suspek-kes-bunuh-pengasas-Ambank#ixzz2gSvA8zK3
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Wanita hamil antara tiga maut


Beberapa lelaki melihat keadaan kereta yang merempuh sebuah motosikal yang mengorbankan Mohd. Nor dan Wan Ayuzita (gambar kecil) serta seorang lagi mangsa di Kilometer 23, Jalan Paka-Al-Muktafi Billah Shah, Dungun, kelmarin.
DUNGUN 29 Sept. - Impian seorang tukang rumah untuk menatap kelahiran anak keduanya tidak kesampaian selepas isterinya yang sedang sarat mengandung tujuh bulan dan anak sulung mereka maut dalam nahas yang mengorbankan tiga nyawa di Kilometer 23, Jalan Paka-Al-Muktafi Billah Shah di sini, petang semalam.
Dalam kemalangan kira-kira pukul 6.40 petang itu, mangsa terbunuh ialah Wan Ayuzita Wan Jusoh, 23, dan anaknya, Mohd. Amizie Azmi, 18 bulan, dan seorang penunggang motosikal, Mohd. Nor Samat, 57.
Kedua-dua beranak itu menaiki kereta jenis Proton Iswara dipandu suami kepada Wan Ayuzita, Azmi Mohamad, 41. Turut bersama mereka ialah dua anak saudara Azmi yang berusia 11 dan 14 tahun tetapi ketiga-tiga mereka hanya cedera ringan.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Ahmad Zailani Yaacub memberitahu, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu Azmi terbabas semasa melalui lokasi tersebut lalu melanggar penghadang di sebelah kanan jalan.
Katanya, insiden itu menyebabkan keretanya melantun ke kiri dan melanggar motosikal tersebut dari arah bertentangan.
"Berikutan itu penunggang motosikal berkenaan tercampak sejauh 10 meter dan mengalami kecederaan parah di kepala serta meninggal dunia di tempat kejadian.
"Isteri serta anak Azmi yang berada di tempat duduk di sebelah pemandu pula tersepit dan turut maut di tempat kejadian," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Dungun di sini malam tadi.
Menurut Ahmad Zailani, ketika kejadian, kesemuanya dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Lubuk Lesung, Air Putih, Kemaman selepas berkelah di pantai Seberang Pintasan.
Sementara itu, anak kepada Mohd. Nor, Mohammad Keeri, 19, memberitahu, dia dan bapanya baru pulang dari kebun menuju ke rumah mereka di Felda Kerteh 4 dengan menunggang motosikal berasingan.
"Sampai di satu selekoh saya tengok sebuah kereta hilang kawalan menuju ke arah kami dan kami cuba mengelak tetapi kereta itu terus langgar bapa," katanya.
Jelasnya, dia tergamam melihat kejadian dan tidak dapat berbuat apa-apa untuk membantu kerana ayahnya yang cedera parah di bahagian kepala meninggal dunia sejurus selepas kejadian.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130930/je_01/Wanita-hamil-antara-tiga-maut#ixzz2gStrbKMX
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Penumpang buka pintu kecemasan pesawat kerana kepanasan


JAKARTA 30 Sept. - Seorang penumpang pesawat milik syarikat penerbangan Lion Air bertindak membuka pintu kecemasan pesawat itu ketika ia sedang bersedia untuk berlepas di landasan sebuah lapangan terbang di Manado, Sulawesi Utara pada Isnin, dengan alasan penyaman udara tidak dingin.
Kejadian berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Sam Ratulangi ketika pesawat berkenaan sedang bersiap sedia untuk berlepas bagi perjalanan Manado-Jakarta pagi ini.
Perbuatan penumpang itu menyebabkan juruterbang mengembalikan pesawat ke tempat letaknya, serta menurunkan semua penumpang, lapor portal berita kompas.com pada Isnin.
Penumpang berkenaan dilapor bertindak membuka pintu kecemasan kerana bantahan para penumpang mengenai keadaan panas dalam kabin pesawat yang telah mereka dilaporkan kepada pramugari dan juruterbang, tidak ditangani.
Waktu berlepas penerbangan itu yang tertunda selama hampir sejam menyebabkan para penumpang tidak tahan berada dalam kabin pesawat itu, dan mereka memohon supaya diturunkan daripada pesawat itu.
"Kira-kira 30 minit kami histeria dengan suasana itu. Bukannya melayani bantahan kami, juruterbang malah menggerakkan pesawat ke kedudukan take-off (kedudukan bersedia untuk berlepas)," seorang penumpang dilaporkan berkata.
Ketika itulah seorang daripada penumpang bertindak membuka pintu kecemasan pesawat.
Sehingga pukul 1 petang ini, semua penumpang masih berada di lapangan terbang itu dan mereka tidak dimaklumkan sama ada akan mendapat pesawat ganti atau tidak, lapor portal berita itu. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130930/lu_23/Penumpang-buka-pintu-kecemasan-pesawat-kerana-kepanasan#ixzz2gSsyTWkC
© Utusan Melayu (M) Bhd 

16 ditimbus bangunan runtuh


BEIJING 30 Sept. - Seramai 16 orang pekerja pembinaan yang sedang nyenyak tidur, dikhuatiri maut selepas tertimbus dalam satu kejadian bangunan runtuh di utara negara ini, hari ini.
Kerja-kerja menyelamat masih giat diteruskan di lokasi kejadian yang terletak di kawasan pedalaman Wuan di wilayah Hebei.
Seorang saksi yang enggan namanya didedahkan memberitahu, kesemua mangsa yang tertimbus adalah pekerja lombong besi dan menginap di bangunan tersebut pada waktu malam.
Punca kejadian masih tidak diketahui, tetapi siasatan sedang dijalankan. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131001/lu_08/16-ditimbus-bangunan-runtuh#ixzz2gSsVOY3T
© Utusan Melayu (M) Bhd 

74 nelayan hilang akibat Taufan Wutip di China


BEIJING 30 Sept. - Sekurang-kurangnya 74 nelayan China dilaporkan hilang selepas tiga bot karam di Laut China Selatan, semalam, ketika Thailand dan Vietnam pula berdepan dengan hujan lebat serta banjir.
Ketiga-tiga kapal nelayan itu dibadai Taufan Wutip ketika sedang belayar di kawasan angin kencang berhampiran Kepulauan Paracel, kira-kira 330 kilometer dari wilayah Hainan, lapor agensi berita Xinhua.
Menurut satu sumber dari pusat maritim Hainan bagi operasi menyelamat dan mencari, mereka telah berjaya menyelamatkan 14 mangsa bot karam itu.
Hujan akibat Taufan Wutip turut melanda Vietnam hari ini sebelum diramal tiba di Thailand esok.
Pegawai Thai dalam pada itu memberi amaran, hujan lebat mungkin akan memburukkan lagi masalah banjir di utara negara itu, kawasan yang kini telah pun ditenggelami air.
Sekurang-kurangnya 22 orang dilaporkan maut akibat bencana banjir di Thailand pada tahun ini.
Sementara itu, pihak berkuasa Vietnam telah memindahkan kanak-kanak dan warga emas ke sekolah-sekolah serta ke bangunan selamat menjelang ketibaan Taufan Wutip.
Di wilayah tengah Quang Tri, dianggarkan 82,000 orang perlu dipindahkan jika Wutip melanda kawasan itu, menurut satu kenyataan kerajaan.
Menurut kerajaan Vietnam, hujan lebat telah berlaku di wilayah tengah, manakala banjir dan insiden tanah runtuh mungkin melanda wilayah itu lewat minggu ini. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131001/lu_04/74-nelayan-hilang-akibat-Taufan-Wutip-di-China#ixzz2gSrNX4fV
© Utusan Melayu (M) Bhd 

39 tebusan pasar raya Westgate masih hilang


JOHANNESBURG 1 Okt. - Palang Merah Kenya semalam mengesahkan bahawa seramai 39 orang masih hilang ekoran krisis tebusan di pasar raya Westgate di Nairobi pada minggu lalu.
Menerusi satu laporan, Palang Merah berkata, hasil siasatan mendapati seramai 39 orang dilaporkan masih hilang sejak krisis itu bermula.
Krisis tebusan yang berlarutan selama empat hari itu disahkan berakhir pada Selasa lalu. - DPA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131001/lu_01/39-tebusan-pasar-raya-Westgate-masih-hilang#ixzz2gSqzl7SY
© Utusan Melayu (M) Bhd 

13 maut dilanggar kereta api pulang hantar jemaah haji

JAKARTA 1 Okt. - Sebuah lori pikap sarat dengan penumpang yang baru pulang manghantar jemaah haji, dilanggar sebuah kereta api di Desa Jengkok, di daerah Indramayu, Jawa Barat semalam mengakibatkan 13 orang maut manakala enam yang lain cedera.
Menurut polis, kejadian pada pukul 10.26 pagi itu dipercayai berlaku apabila lori pikap itu nekad meneruskan perjalanannya di satu lintasan kereta api tidak berpalang, walaupun lampu isyarat memberi amaran bahawa kereta api akan melalui jalan berkenaan pada ketika itu.
Impak perlanggaran itu menyebabkan lori pikap itu tercampak ke dalam kawasan sawah kering, manakala kereta api dari Jakarta itu yang tidak mengalami kerosakan serius, meneruskan perjalanannya ke Solo.
Menurut saksi, sebelum kejadian berlaku penduduk sekitar lintasan kereta api itu memekik memberi amaran kepada pemandu lori pikap berkenaan bahawa kereta api sudah dekat, namun kenderaan itu tetap dipandu laju di lintasan itu.
Para penumpang lori pikap itu dilaporkan baru pulang dari menghantar jemaah haji dari kampung mereka ke Asrama Haji Indramayu.
Seorang jurucakap syarikat Kereta Api Indonesia berkata, sungguhpun lintasan kereta api itu tidak berpalang, namun ia dilengkapi papan tanda dan lampu isyarat secukupnya, sehingga pengguna jalan raya boleh mengetahui jika ada kereta api akan melalui di situ pada satu-satu masa. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131001/lu_11/13-maut-dilanggar-kereta-api-pulang-hantar-jemaah-haji#ixzz2gSqpeiRc
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lemas terjunam

Ledang: Seorang lelaki lemas selepas kereta dipandunya terbabas dan terjunam ke parit besar di kawasan kebun kelapa sawit di Felda Sri Jaya, Bukit Serampang, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, mangsa, Mohd Fauzi Jamal, 34, memandu kereta Honda Civic berseorangan dipercayai lemas selepas terperangkap di dalam keretanya yang terbalik di dalam parit berkenaan.

Kejadian itu hanya disedari penduduk Felda berkenaan yang kebetulan melalui kawasan itu jam 8 pagi, apabila melihat keempat-empat tayar kereta terbalik ke atas.


Difahamkan, penduduk berkenaan cuba mencari pemandu kenderaan itu di kawasan berhampiran namun gagal menemuinya.
Foto
KENDERAAN mangsa ditarik ke tepi tebing dari parit sedalam tujuh meter.

Mereka menghubungi polis dan bomba untuk memaklumkan kejadian.

Cari pistol Si Empat Mata



Kuala Lumpur: Suspek utama yang menembak mati pengasas Kumpulan Perbankan Arab Malaysian (AMBANK) Hussain Ahmad Najadi, 75, dibawa polis untuk mencari senjata api digunakannya dalam kejadian itu yang dipercayai dibuang di sekitar tasik The Mines, Seri Kembangan, dekat sini.

Pembunuh upahan dikenali sebagai Si Empat Mata, 44, yang berpakaian lokap dibawa sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur ke lokasi kejadian di Kilometer 4.3 Lebuh Raya Besraya kira-kira jam 9 pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata, operasi dijalankan pihaknya bagi mengesan senjata api yang digunakan suspek untuk membunuh mangsa.

Menurutnya, sehingga jam 4.30 petang semalam, senjata api yang dicari masih belum ditemui dan pihaknya menamatkan operasi mencari serta akan menyambung semula pencarian itu esok pagi (hari ini).

Foto
UNIT Selam membawa peralatan menyelam ke lokasi pembuangan bahan bukti kes pembunuhan Hussain di Tasik The Mines, semalam.



Harian Metro semalam melaporkan suspek utama yang menembak mati pengasas Kumpulan Perbankan Arab Malaysian (AMBANK) Hussain Ahmad Najadi, 75, disambung reman selama tujuh hari

Mati jamu kenduri

Foto
Foto
KAKITANGAN hospital mengusung jenazah seorang daripada tiga mangsa yang meninggal dunia.
Alor Setar: “Arwah mengadu sakit perut sebaik pulang dari majlis kenduri kahwin sepupunya dan kami bercadang membawanya menerima rawatan, namun tengah hari tadi (semalam), dia ditemui dalam keadaan tertiarap tidak sedarkan diri,” kata Hairul Azhar Harun, 33, sepupu kepada Nurshazana Mohd Rashid, 24, yang meninggal dunia dipercayai keracunan makanan.

Hairul berkata, sepupunya itu mengadu demikian sejurus pulang menghadiri majlis perkahwinan seorang lagi sepupu mereka di Kampung Huma, Tanjung Dawai, Sungai Petani, Sabtu lalu.

Menurutnya, mangsa ditemui tidak sedarkan diri di dalam biliknya kira-kira jam 12.45 tengah hari semalam sebelum dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.

Bagaimanapun, setiba di HSAH, Nurshazana dari Kampung Tempoyak, Bedong, di sini, didapati sudah meninggal dunia di rumahnya dan mayatnya kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini untuk bedah siasat.

Foto


Selain Nurshazana, dua lagi tetamu yang hadir pada majlis itu turut dilaporkan meninggal dunia selepas mengadu sakit perut.

Tukang cuci ditahan


Subang Jaya: Seramai 16 pekerja warga asing ditahan dalam operasi bersepadu Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bersama Jabatan Imigresen Selangor di lima pusat cucian kereta yang beroperasi secara haram di USJ 1 dan Bandar Puteri Puchong, petang semalam.

Difahamkan, tindakan diambil kerana terdapat pengusaha menjalankan perniagaan berkenaan di kaki lima premis selain menggunakan khidmat pekerja asing yang tidak memiliki dokumen sah.


Pengarah Jabatan Penguatkuasaan MPSJ Mejar (B) Mohd Rasip Rasul berkata, berdasarkan syarat menjalankan perniagaan cucian, pengusaha perlu menjalankan operasi di dalam lot kedai.

“Jika perniagaan ini dijalankan di tepi jalan, ia tidak boleh diberi lesen dan permit. Dalam operasi hari ini (semalam), semua pengusaha didapati melakukan kesalahan kerana menjalankan perniagaan di kaki lima selain terdapat juga yang beroperasi berdekatan restoran,” katanya pada sidang media selepas berakhirnya operasi di sini, semalam.


“Sistem perairan juga mesti mengikut prosedur yang dikeluarkan iaitu air tidak boleh dialirkan ke jalan manakala lantai dan dinding mesti berjubin,” katanya pada sidang media selepas berakhirnya operasi di sini, semalam.


Beliau berkata, pihaknya turut menyita pelbagai peralatan mencuci manakala warga asing diserahkan kepada imigresen untuk proses dokumentasi.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/01

66 masih dirawat, 2 kritikal


Alor Setar: Hidangan ayam masak merah dipercayai menjadi punca tiga tetamu termasuk seorang budak lelaki meninggal dunia apabila mengalami keracunan makanan selepas menghadiri majlis kenduri kahwin di Kampung Huma, Tanjung Dawai, Sungai Petani, Sabtu lalu.

Mangsa dikenali Mohd Nor Rahmat Yusuf, 11, dari Kampung Singkir Laut, Sungai Petani, Pelajar Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Bahasa Arab Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) Gombak Nurshazana Mohd Rashid, 24 dan seorang warga emas dari Kampung Huma, tanjung Dawai, Sungai dikenali sebagai Ibrahim Mohamad, 62.


Setakat ini, dua lagi lelaki termasuk seorang kanak-kanak dipercayai turut mengalami keracunan makanan dan dilaporkan berada dalam kritikal di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

Sehingga jam 8 malam tadi, 35 orang masih menerima rawatan di HSAH; 30 orang lagi dirawat di Hospital Yan; seorang lelaki berusia 21 tahun dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, manakala empat orang dilaporkan menerima rawatan sebagai pesakit luar di HSB.


Pengarah Jabatan Kesihatan Kedah Dr Ismail Abu Taat berkata, tiga mangsa berkenaan meninggal dunia apabila dipercayai mengalami keracunan makanan selepas menikmati makanan di majlis kenduri kahwin yang dilakukan secara bergotong-royong itu.


Menurutnya, semua mangsa yang meninggal dunia dikesan mengalami simptom muntah dan cirit birit hingga menyebabkan berlaku dehidrasi serius, bagaimanapun pihaknya sedang mengenal pasti punca sebenar yang berlaku untuk tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/01

‘Anak berselera makan ayam masak merah’


Yan: “Saya melihat anak (Mohd Nor) begitu berselera menikmati ayam masak merah di rumah kenduri itu sebelum dia mula mengadu sakit perut, pening kepala dan muntah sejurus pulang ke rumah.”

Itu kata-kata yang diluahkan Yusuf Arifin, 50, bapa kepada Mohd Nor Rahmat, 11, yang meninggal dunia dipercayai keracunan makanan, kira-kira jam 1 tengah hari semalam, selepas menghadiri majlis kenduri kahwin kenalannya di Kampung Huma, Tanjung Dawai, Sungai Petani, di sini, pada Sabtu lalu.


Yusuf berkata, dia juga menikmati hidangan ayam masak merah bersama gulai ikan talang di rumah kenduri itu, namun tidak mengalami masalah cirit-birit seperti anaknya.

Menurutnya, anaknya mengadu sakit perut dan pening selepas pulang dari majlis berkenaan dan berikutan itu, dia meminta anaknya supaya berehat dan tidak membenarkannya ke sekolah sejak kelmarin kerana menyangka ia hanya sakit biasa.


“Dia (Mohd Nor) mengalami cirit birit tidak henti-henti dan dalam pada masa sama, saya juga ada mengalami cirit-birit, tetapi tidak seteruknya.


“Apabila melihat keadaannya semakin teruk kerana begitu lemah, pagi tadi (semalam), saya bersama isteri (Norma Khalid, 45) terus membawanya ke Hospital Yan untuk rawatan.

“Dia memang sudah tidak sedarkan diri sewaktu berada dalam kereta sepanjang perjalanan dan doktor mengesahkan dia sudah meninggal dunia sebaik tiba di hospital,” katanya.


Sementara itu, Norma berkata, keadaan anaknya semakin lemah apabila tidak berhenti keluar masuk tandas pada malam Sabtu lalu selain turut mengadu pening kepala.

“Saya memang bercadang membawanya ke hospital hari ini (semalam) kerana keadaannya semakin lemah, tetapi tidak sangka pula keadaannya bertambah kritikal sewaktu dalam perjalanan ke hospital. Dia kemudian tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.


“Arwah memang suka makan kerana berbadan besar. Dia menunjukkan perubahan apabila tiba-tiba bertukar menjadi pendiam sejak tiga hari lalu.


“Saya memang tidak menyangka arwah akan pergi buat selama-lamanya kerana dia adalah seorang yang ceria, dan tidak menduga keracunan makanan yang dihadapinya membawa maut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/01

Wanita warga Iran dihukum mati



Shah Alam: Mahkamah Tinggi di sini, semalam, menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap dua wanita warga Iran selepas didapati bersalah mengedar 5,423.3 gram dadah jenis Methamphetamine, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Alim Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Sharzad Matinnia Mansoor, 32, dan Neda Mostafaei Ghodraollah, 26, selepas berpuas hati dengan pihak pendakwaan yang berjaya membuktikan keraguan munasabah terhadap kes itu.


Hakim Abdul Alim berkata alasan kedua dua tertuduh bahawa barang yang dibawa adalah makanan sebagai dakwaan mengarut dan direka reka.

Sharzad dan Neda masing-masing yang bekerja sebagai akauntan dan setiausaha syarikat didakwa mengedar 2,265.2 gram dan 2758.1 gram dadah.


Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Aras 3, bangunan utama terminal, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 6.50 pagi, 15 Disember 2010.


Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, kedua-dua wanita itu ditahan ketua penyelia detektif di lorong pemeriksaan kastam dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat ruang kosong di bahagian bawah beg.


Kedua-dua tertuduh kemudiannya dibawa ke bahagian siasatan jenayah narkotik di tempat sama dan hasil pemeriksaan terhadap dua beg milik mereka ditemui tiga bungkusan panjang dan satu bungkusan pendek berbalut plastik lut sinar yang disyaki dadah dalam setiap beg berkenaan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Zuraida Wan Nawan manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Fadhli Mat Sutris dan Hisyam Teh Poh Teik.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/01

Dituduh bunuh anak


Petaling Jaya: Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, atas tuduhan membunuh anak perempuan mereka berusia lima tahun, tiga minggu lalu.

Kontraktor, Hiew Yook Cheang, 49, dan suri rumah, Wong Yin Tinn, 37, hanya mengangguk faham terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh. Mereka didakwa bersama-sama membunuh Mabel Hiew Mun, 5, di No 20-3A, Jalan PJS 3/46, Sri Manja Square, Taman Sri Manja, dekat sini, jam 7 petang, 13 September 2013 hingga 8 pagi, 17 September 2013. Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan. Mahkamah menetapkan 7 November untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan dokumen dan laporan kimia. Media sebelum ini melaporkan mengenai seorang kanak-kanak perempuan tidak hadir ke tadika selama lima hari terbongkar apabila dia ditemui mati dalam percubaan keluarganya untuk membunuh diri beramai-ramai dalam kejadian di Sri Manja Square 1, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/01

5 perompak gagal larikan mesin ATM bakar kren

Kulaijaya: Rancangan sekumpulan lima penjenayah melarikan dua mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah stesen minyak di Bandar Putra, di sini, semalam, bukan saja gagal malah mereka terpaksa membakar kren digunakan selain hanya mampu melarikan kad prabayar berjumlah RM700.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, sekumpulan lima lelaki itu dilihat memecahkan pintu kaca menggunakan kren berkenaan dan cuba mengeluarkan mesin ATM ke luar premis itu, namun gagal berbuat demikian menyebabkan mereka terus melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Superintendan Zulkefly Yahya berkata, siasatan awal mendapati penjenayah turut memandu dua kenderaan pacuan empat roda berwarna hitam ke lokasi.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi penjenayah merempuh pintu kaca stesen minyak menggunakan kren sebelum cuba mengangkut kedua-dua mesin ATM berkenaan.

“Bagaimanapun, mereka gagal berbuat demikian dan pada masa sama, mereka turut mengikat seorang pengawal keselamatan di stesen minyak yang cuba menghalang perbuatan mereka.

“Kami dapati, ketika itu pengawal keselamatan berseorangan di lokasi dan apabila gagal mengeluarkan mesin ATM itu, perompak berkenaan melarikan kad prabayar berjumlah RM700 yang disimpan di stesen minyak berkenaan,” katanya.
Zulkefly berkata, selepas rancang mereka melarikan mesin ATM itu gagal, kumpulan penjenayah berkenaan terus melarikan diri menaiki dua kenderaan pacuan empat roda dan kren yang dibawa mereka.

Menurutnya, bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulaijaya menerima panggilan kecemasan memaklumkan kejadian samun dan cubaan melarikan mesin ATM di stesen minyak itu pada jam 5.40 pagi.
Katanya, ketika menyiasat di tempat kejadian pihaknya menerima panggilan telefon pada kira-kira jam 6.30 pagi memaklumkan sebuah kren dalam keadaan terbakar ditemui di Jalan Seelong-Kota Tinggi di sini. “Siasatan mendapati, kumpulan penjenayah berkenaan hanya sempat melarikan kad prabayar berjumlah RM700 manakala dua mesin ATM milik Maybank dan Ambank gagal dilarikan,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/01

Tebing 200m runtuh

Gombak: Lebih 300 penduduk Kampung Sungai Chinchin, di sini, kini dihantui tragedi tanah runtuh apabila tebing setinggi 200 meter berhampiran rumah mereka runtuh dalam satu kejadian kira-kira dua minggu lalu.
Pegawai Daerah Gombak, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, kejadian itu berpunca daripada aktiviti pembuangan sampah secara haram dilakukan di Taman Sri Gombak Town Villa yang terletak di bahagian atas, Kampung Sungai Chinchin, sejak 2011.

“Hasil pemeriksaan dengan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mendapati berlaku aktiviti pembuangan sampah secara haram.
“Malah, ada kemungkinan aktiviti itu juga bertujuan untuk menimbus kawasan tebing sebelum sebarang aktiviti pembinaan struktur termasuk perumahan dilakukan di situ seperti yang biasa berlaku di tempat lain.

“Justeru, siasatan rapi akan dilakukan Pejabat Tanah dan Daerah Gombak (PTDG) dan notis 7A diberikan kepada lima pemilik tanah seluas 1.2 hektar itu bagi mengarahkan kerja baik pulih segera dilakukan dalam tempoh tiga bulan,” katanya kepada media selepas lawatan di lokasi kejadian, di sini semalam.

Difahamkan jika pemilik tanah gagal mematuhi arahan notis 7A, PTDG akan mengeluarkan notis 7B untuk pemilik tanah mengemukakan rayuan dan tunjuk sebab mengapa gagal membaikpulih kawasan terbabit seperti yang diarahkan.
Foto
TEMPAT pembuangan sampah haram berhampiran Kampung Sungai Chinchin runtuh.
“Jika masih gagal lagi, maka PTDG akan mengeluarkan notis 8A dan rampasan tanah akan dilakukan.

“Selain itu, aktiviti itu juga menyebabkan aliran Sungai Chinchin kini menjadi semakin kecil. Bagi mengatasi masalah ini secara keseluruhan, MPS akan menutup kawasan pembuangan itu, selain pengawasan rapi bagi memastikan tiada lagi pembuangan sampah dilakukan,” katanya.
“Pemeriksaan cerun termasuk sebarang gerakan tanah akan dipantau oleh Jabatan Kerja Raya, serta kerja membesarkan semula aliran sungai akan dilakukan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS),” katanya.

Selain itu, ketika tinjauan di lokasi kejadian semalam mendapati penduduk (Taman Sri Gombak Townvilla) turut meletakkan ‘geomat’ atau karpet jerami padi di kawasan tebing runtuh bagi membolehkan rumput tumbuh, sekali gus mengurangkan kadar serapan air dan hakisan tanah di situ.

Sementara itu, Ketua Kampung Sungai Chinchin, Khazari Mat mahu tindakan tegas diambil terhadap pihak bertanggungjawab yang menyebabkan tanah runtuh berlaku di situ.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/01

9 tahun penjara kerana kesalahan 20 tahun lalu


Bangkok: Seorang warga Thailand dihukum penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Bangkok semalam kerana membunuh seorang perempuan Jepun di Tokyo, dua dekad lalu.

Veerasak Lampongsa, 41, didapati bersalah menikam Megumi Kawachi, 33, dengan pisau buah-buahan dan mencekiknya di sebuah aparment di bandar Jepun, pada Mac 1993.
Suspek mengaku bersalah mencuri wang dan barang berharga sebelum melarikan diri ke Thailand, kata pendakwa.

“Mahkamah mendapati suspek bersalah membunuh dan menjatuhkan hukuman 18 tahun penjara. Bagaimanapun, hukuman itu dikurangkan kerana dia mengaku bersalah,” kata pegawai mahkamah.


Lampongsa bersembunyi sehingga ditahan Oktober tahun lalu di stesen bas di selatan Thailand.


Dia akan menjalani hukuman di Thailand.

Bangkok dan Tokyo tiada perjanjian pertukaran banduan. Bagaimapun undang-undang Thailand membolehkan sesuatu jenayah dilakukan di luar negara diadili di dalam negara sekiranya ada permintaan kerajaan asing atau mangsa. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/0

Bot karam, 71 hilang


Beijing: Lebih 70 orang hilang apabila tiga bot China karam dilanda taufan Wutip di laut China Selatan.

“Setakat ini, 74 mangsa disahkan hilang dalam kejadian sejak petang Ahad lalu,” lapor agensi berita rasmi Xinhua, memetik kenyataan pihak berkuasa maritim.
Bot yang membawa 88 nelayan itu dijangka tiba di rantau tengah Vietnam lewat hari ini. Mereka datang dari wilayah selatan Guangdong.

Menurut sumber. bot berkenaan karam selepas cuba berlabuh dekat Pulai Paracel, kira-kira 300 kilometer (200 batu) dari pantai selatan China.


Lima bot membawa 171 orang lagi dikhuatiri terperangkap di laut bergelora itu.


“Lewat hari ini, pasukan penyelamat menyelamatkan 14 mangsa. Usaha menyelamat besar-besaran dilancarkan mencari mangsa taufan itu,” lapor laman sesawang Hainan.

Sebanyak 10 kapal, termasuk tiga kapal tentera laut dan enam pesawat dikerah untuk tujuan berkenaan.

Presiden China, Xi Jinping menggesa pihak berkuasa tempatan bekerja keras mencari mangsa yang hilang atau terdampar dan mengurangkan jumlah kematian akibat insiden terbabit.

Namun, katanya, usaha menyelamat dihalang ombak besar dan laut bergelora.

Pihak berkuasa maritim China Ahad lalu meningkatkan amaran taufan kepada tahap oren - tahap kedua daripada empat tahap bahaya lapor Xinhua.

Sementara itu, Pusat Kaji Cuaca Marin Kebangsaan berkata, taufan Wutip dijangka melanda wilayah Guangdong, Hainan dan Guangxi lewat semalam. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/01

Seludup rokok guna ayam panggang


Riyadh: Pengawal sebuah penjara di Arab Saudi bingung memikirkan bagaimana banduan memperoleh bekalan rokok secukupnya walaupun kawalan ketat dilaksanakan.

Kebingungan mereka bertukar menjadi kejutan apabila mendapati pihak yang bertanggungjawab ialah ayam panggang.


Perkara itu terbongkar dengan tidak sengaja apabila seorang pengawal yang melakukan pemeriksaan rutin terhadap sajian ayam yang dibawa masuk ke penjara di bandar Hail, barat laut Saudi hairan dengan keadaan ayam itu.

“Pengawal itu mendapati bungkusan rokok yang disumbatkan di dalam ayam panggang dan roti,” kata polis.


Seorang pekerja sebuah restoran yang membekalkan makanan itu ditahan atas tuduhan menyeludup rokok ke penjara, menurut laporan sebuah akhbar tempatan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/30

Pengebom kereta api ditembak mati


Ruesco: Seorang lelaki dikehendaki mengebom kereta api di daerah Narathiwat Rueso tahun lalu terbunuh dalam serbuan di sebuah rumah, semalam.

Abdulloh Buraheng ditembak tiga empat kali. Sepucuk pistol ditemui berdekatan mayat lelaki itu.


Pasukan keselamatan menyerbu rumah berkenaan di kampung Cucho Bongo di Tambon Sawo jam 1.25 pagi.

Polis Ruesco, Pisith Chatwatanathada berkata, 18 militan terbabit dalam kejadian mengebom kereta api dan waran tangkapan dikeluarkan terhadap empat daripada mereka Ia termasuk Abdullah Braheng yang terbunuh dalam serbuan itu.


Tiga yang lain ialah Mayuding Sani, Maroning Buraheng and Abdulloh Maero. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/01

Empat tahun jual tiga anak


Bogor: Polis menahan pasangan suami isteri, Asnawati, 39 dan Didin, 40, kerana menjual bayi mereka berusia 10 hari untuk memperoleh wang, Sabtu lalu.

Suspek kes memperdagangkan manusia itu mendakwa terpaksa menjual bayi mereka kerana masalah kemiskinan.


Asnawati, penduduk tempatan kampung Pagelaran di Ciomas dekat Bogor memberitahu polis bayi berkenaan anaknya yang kelapan dan ketiga dijual tetapi tidak memberitahu jumlah wang diperoleh. Ketua Polis Unit Jenayah Ciomas, Lucy Irawan mengesahkan pasangan itu menjual ketiga-tiga anaknya dalam tempoh empat tahun lalu.

Katanya, suspek mendakwa mereka tidak menjual kanak-kanak berkenaan tetapi menyerahkan mereka sebagai anak angkat. Pasangan itu meminta sejumlah wang selepas menyerahkan kanak-kanak berkenaan,” katanya, semalam.


Kanak-kanak berkenaan dijual ketika berusia 10 hari.


Didin mendakwa dia menjual bayi mereka kerana tidak mampu membiayai perbelanjaan keluarga.

Jurucakap polis Bogor, Didik Purwanto berkata bayi berkenaan kini dalam jagaan polis. Usaha mencari dua lagi kanak-kanak dilancarkan.


Kes itu terbongkar selepas jiran pasangan berkenaan membuat laporan polis selepas tidak melihat bayi yang dilahirkan Asnawati.

Asnawati mengaku mula melakukan jenayah itu pada 2009. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/01

Digilis kereta api ketika berasmara


Kiev: Perbuatan sepasang kekasih yang gemar melakukan perkara mencabar berakhir dengan tragedi apabila digilis kereta api ketika melakukan seks di landasan kereta api.

Pasangan berkenaan yang dalam perjalanan pulang berhenti sejenak di landasan kereta api untuk melakukan hubungan seks.


Si wanita yang berusia 30-an maut selepas digilis kereta api di bandar Zaporozhye pagi Sabtu lalu, manakala pasangannya yang berusia 40-an terselamat, tetapi kedua-dua belah kakinya terpaksa dipotong akibat cedera teruk. Kementerian Dalam Negeri Ukraine, yang mengumumkan kemalangan berkenaan berkata, pasangan terbabit gagal menahan nafsu berahi mereka dalam perjalanan pulang. Mereka ingin menikmati pengalaman melakukan hubungan seks dekat landasan kereta api, tetapi gagal menyelamatkan diri apabila kereta api muncul, lapor agensi berita Russia, RIA Novosti.

Laporan Yahoo News pula mengatakan pasangan terbabit dikatakan mabuk ketika kejadian.


Menurut sumber, pasangan berkenaan dalam perjalanan pulang daripada menghadiri parti di kediaman rakan sebelum memutuskan untuk berhenti sejenak di landasan itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/01

5 pendaki terbunuh runtuhan batu di AS


 
BUENA VISTA: Lima pendaki terbunuh akibat runtuhan batu di sini hari ini manakala seorang lagi diterbangkan ke hospital kerana mengalami kecederaan, kata pihak berkuasa.

Serpihan batu melebihi 100 tan runtuh meranapkan kawasan peninjau kira-kira 800 meter yang popular di kalangan pendaki.
Anggota penyelamat menemui lima mayat dan remaja perempuan berusia 13 pula patah kaki dan yang lain mengalami kecederaan. - AP 

Lima gagal bawa lari ATM

Lima gagal bawa lari ATMKeadaan cermin stesen minyak yang dipecahkan dengan menggunakan kren penunda di Kulaijaya, semalam. Kulaijaya: Sekumpulan lima penjenayah bersenjatakan parang gagal melarikan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah stesen minyak di Bandar Putra di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, penjenayah terbabit yang turut membawa sebuah kren penunda, dipercayai untuk mengangkut mesin ATM berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya, berkata penjenayah turut menggunakan dua kenderaan pacuan empat roda untuk merempuh cermin stesen minyak berkenaan.


Ikat pengawal keselamatan

Katanya, selepas gagal melarikan mesin ATM itu, penjenayah terbabit mengikat seorang pengawal keselamatan stesen minyak itu dan mengambil kad prabayar bernilai RM700 sebelum melarikan diri.

Dua anggota polis menaiki sebuah motosikal yang menerima maklumat kejadian itu, cuba menahan kren penunda berkenaan apabila berjaya mengesan kenderaan itu tidak jauh dari stesen minyak terbabit.

“Bagaimanapun, motosikal itu dilanggar kren penunda yang menyebabkan seorang anggota polis cedera di tangan, muka dan kaki,” katanya di sini.

5 dituduh ubah wang haram RM937j

5  dituduh ubah wang haram RM937jKuala Lumpur: Lima lagi individu dan sebuah syarikat berkaitan pelaburan jongkong emas, Genneva Malaysia Sdn Bhd dihadapkan ke Mahkamah Sesyen semalam, atas 277 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM937 juta.

Tertuduh, adik-beradik, Ng Wan Yee, 34 dan Yee Yaw, 32; Tony Yao Kee Boon, 52; Chiew Soo Ling, 49; Alex Yew Soo Hoon serta Ng Advantage Sdn Bhd, mengaku tidak bersalah terhadap semua tuduhan itu.
Semua tertuduh dituduh membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang hasil daripada aktiviti haram daripada pelbagai syarikat termasuk Genneva Malaysia yang semuanya berjumlah RM937 juta.


Wan Yee dan Yee Yaw menghadapi 82 tuduhan, Ng Advantage (82), Kee Boon (2), Soo Ling (26) dan Soo Hoon (3). Semua kesalahan dilakukan di beberapa buah bank di antara tahun 2011 dan 2012.

Soo Ling adalah isteri kepada pengarah Genneva, Datuk Philip Lim Jit Meng yang turut dituduh bersama-sama pegawai kanan syarikat itu pada Jumaat lalu, atas 913 tuduhan penggubahan wang haram.

Tuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman maksimum denda RM5 juta atau penjara lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim Mat Ghani Abdullah membenarkan pasangan adik-beradik itu masing-masing diikat jamin RM100,000 dengan dua orang penjamin, Soo Ling, RM50,000 dengan seorang penjamin dan Kee Boon serta Soo Hun masing-masing RM20,000 dengan seorang penjamin.
Mat Ghani kemudian menetapkan 27 November depan bagi pengurusan kes dan membenarkan kes itu dibicarakan bersama kes enam pegawai kanan Genneva yang didakwa Jumaat lalu.

Di Ipoh, Pengurus Besar Genneva yang juga pemilik tunggal dua syarikat Buycom Network dan Visiotec Marketing, Lim Kah Heng didakwa di Mahkamah Sesyen, atas 28 tuduhan penggubahan wang haram dan menerima deposit tanpa lesen sah membabitkan urus niaga berjumlah RM367,000.

Kah Heng, 42, yang dituduh melakukan kesalahan itu antara 23 April 2011 hingga 27 Ogos 2012, mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan di depan Hakim Madihah Harullah.

Sementara itu, suri rumah, Lee Mei Jen, 34, menghadapi tiga tuduhan di mahkamah sama kerana melakukan kesalahan sama membabitkan urus niaga bernilai RM197,258.10, selain mempunyai wang tunai RM200,000 dan empat jongkong emas seberat empat kilogram yang disimpan dalam peti simpanan keselamatan di sebuah bank di sini.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara 19 Mei 2011 hingga 31 Disember tahun lalu.

Madihah menetapkan jaminan RM100,000 dengan dua penjamin bagi Kah Heng, manakala Mei Jen diperintahkan membayar jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin selain memerintahkan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 25 Oktober ini dan membenarkan permohonan pendakwa kedua-dua kes itu dipindahkan ke Mahkamah 

Suami isteri dituduh bunuh anak 5 tahun

Suami isteri dituduh bunuh anak 5 tahunYin Tinn bersama suaminya, Yook Cheang dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas tuduhan membunuh anak perempuannya di Taman Sri Manja tiga minggu lalu. Petaling Jaya: Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas tuduhan membunuh anak perempuan mereka berusia lima tahun, tiga minggu lalu.

Tertuduh, kontraktor, Hiew Yook Cheang, 49, dan isterinya, Wong Yin Tinn, 37, didakwa bersama-sama membunuh Mable Hiew, di Nombor 20-3A, Jalan PJS 3/46, Sri Manja Square, Taman Sri Manja, antara jam 7 petang, 13 September 2013 dan jam 8 pagi, 17 September 2013.
Tiada pengakuan direkod


Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan sebaik tuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Aifaa Che Abdullah, tidak menawarkan sebarang jaminan dan meminta mahkamah menetapkan tarikh sebutan sementara menunggu laporan kimia.

Cuba bunuh diri
Mahkamah menetapkan 7 November depan untuk sebutan kes. Pada 19 September lalu, BH melaporkan, seorang kontraktor cuba membunuh diri bersama ahli keluarganya dengan membakar arang di dalam rumah, sehingga mengakibatkan anak perempuannya berusia lima tahun lemas terhidu asap.

Pasangan berkenaan dan anak lelakinya berusia tujuh tahun bagaimanapun terselamat dalam cubaan membunuh diri itu.

3 mati, 2 kritikal keracunan makanan kenduri kahwin

FotoSebahagian pesakit yang mengalami keracunan makanan menerima rawatan di Hospital Yan, semalam. Yan: Tiga orang termasuk seorang kanak-kanak dan warga emas meninggal dunia, manakala dua lagi kritikal dipercayai akibat keracunan makanan selepas menikmati jamuan di majlis kenduri kahwin di sebuah rumah di Kampung Huma, Tanjung Dawai, Sungai Petani pada Sabtu lalu.

Sehingga petang semalam, pihak hospital menerima 70 kes, iaitu 35 di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani, 30 di Hospital Yan (HY) serta lima di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar dan dijangka meningkat.
Meninggal selepas pengsan 


Mohd Nor Rahmat Yusof, 11, yang pengsan di rumahnya di Kampung Singkir Laut, Sungai Petani meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke HY pada jam 1 tengah hari semalam.

Seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Nurshazana Mohd Rashid, 24, pula meninggal dunia selepas pengsan di rumahnya di Kampung Tempoyak, Bedong, pada jam 12.45 tengah hari dan dihantar ke HSB, manakala Ibrahim Muhamad, 62, dari Alor Jejawi, Kuala Besut Terengganu, meninggal dunia jam 6.30 petang di HSAH.

Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Ismail Abu Taat, berkata dua yang kritikal, iaitu lelaki termasuk seorang kanak-kanak sedang dirawat di HASH.

Beliau berkata, tiga mangsa disahkan mati akibat keracunan makanan dipercayai selepas menikmati makanan pada majlis kenduri kahwin itu.
Katanya, semua mangsa mendapat rawatan mengalami muntah dan cirit-birit hingga menyebabkan dehidrasi serius.

Sehingga petang semalam, pihaknya masih mengesan punca dan jenis virus yang menyerang pesakit bagi tindakan lanjut.

“Kita minta orang ramai yang mengalami demam, cirit-birit dan muntah selepas menghadiri majlis berkenaan segera mendapatkan rawatan di hospital berdekatan bagi mengelak kejadian lebih buruk,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi berkata setakat ini polis menyerahkan kes kepada Jabatan Kesihatan Negeri untuk tindakan lanjut.

Muslim Kaman Myanmar ketakutan


 
Samseng beragama Buddha cuba menyerang

Yangon: Penduduk Islam yang ketakutan bersembunyi dalam rumah semalam selepas polis menyuraikan sekumpulan samseng beragama Buddha yang membakar rumah dan mengepung sebuah masjid dalam ketegangan terbaru di barat laut Myanmar.

Keadaan bandar Thandwe tidak menentu selepas anggota polis mengawal ketenteraman dengan melepaskan tembakan ke udara untuk menyuraikan samseng itu lewat kelmarin, kata sumber keselamatan.
Thandwe terletak 260 kilometer dari ibu kota Yangon, terletak di negeri Rakhine, rantau yang terjejas teruk kerana serangan terhadap terhadap penduduk Muslim.

Seperti juga rusuhan kaum sebelum ini, perselisihan kecil sudah cukup untuk mencetuskan kemarahan, kata seorang ahli politik Islam tempatan.

Bersembunyi dalam rumah

“Kami kini ketakutan dan bersembunyi dalam rumah, seperti sebelumnya,” kata Pengerusi Parti Islam Kaman, Kyaw Zan Hla, menerusi telefon, menambah bahawa kira-kira 200 menyertai samseng terbabit dengan memakai topeng dan membawa obor.

Katanya, dia sendiri terbabit dalam satu pertengkaran selepas berang dengan seorang lelaki Buddha yang meletakkan motosikal di hadapan rumahnya lewat Sabtu lalu disusuli khabar angin tersebar dia menghina penganut Buddha.
Polis melaporkan, tiada kematian atau kecederaan akibat insiden di Thandwe, terletak berhampiran lapangan terbang diguna pelancong melawat pantai pelancongan terkenal Ngapali.

Pertembungan antara majoriti penduduk Buddha dan Muslim mengorbankan sekurang-kurangnya 237 orang dan menyebabkan lebih 150,000 orang kehilangan tempat tinggal sejak Jun 2012.

Keganasan mengancam melemahkan pembaharuan politik dan ekonomi, dilancarkan dua tahun sejak kerajaan separa awam menggantikan junta tentera.

April lalu, kerajaan berkata, 192 terbunuh pada Jun dan Oktober 2012 dalam pertembungan antara etnik Buddha Rakhine dan penduduk Islam Rohingya, yang dianggap Myanmar sebagai pendatang haram dari Bangladesh, walaupun sudah beberapa generasi tinggal di negara itu.

Masyarakat tiada kawan

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan penduduk Islam Rohingya sebagai masyarakat yang tiada kawan.

Pertembungan antara Rohingya dan Rakhine pada Jun 2012 menyebabkan rusuhan di tempat lain di negara itu, dengan penduduk Islam menjadi sasaran termasuk Kaman, etnik berbeza dari Rohingya.

Dianggarkan lima peratus daripada 60 juta penduduk Myanmar beragama Islam.

REUTERS 

1,000 rumah rosak angkara ribut

1,000 rumah rosak angkara ribut Lori lalu di lebuh raya Nombor 1 menghubungkan selatan dan utara Vietnam ketika Wutip mula melanda negara itu. Gambar bulat menunjukkan seorang nelayan China yang diselamatkan selepas botnya karam. Hanoi: Ribut tropika Wutip mula melanda bahagian tengah Vietnam, menyebabkan banyak pokok tumbang dan merosakkan lebih 1,000 rumah.

Wutip juga menenggelamkan dua kapal nelayan China menyebabkan 75 orang hilang.
Pusat kaji cuaca berkata, Wutip semakin lemah dan membawa angin selaju 117 kilometer sejam sekali gus bukan lagi dalam kategori taufan.


Nelayan China dilaporkan hilang berhampiran Pulau Paracel, 330 kilometer dari wilayah Hainan, menurut satu kenyataan dalam laman web kerajaan tempatan itu.

Pasukan bantuan menyelamat 14 mangsa, kata sumber. Kapal terbabit belayar dari wilayah selatan Guangdong.

Serang Thailand hari ini 

Selain membawa hujan lebat ke Vietnam, Wutip juga dijangka akan ‘menyerang’ Thailand hari ini.
Thailand memberi amaran lebih banyak hujan lebat mungkin memburukkan bah hingga menenggelamkan kawasan yang sudah dilanda banjir di timur laut.

Sekurang-kurangnya 22 orang terkorban dalam kejadian banjir tahun ini.

“Kami menjangka lebih banyak kawasan akan banjir,” kata Teerat Ratanasevi, jurucakap kerajaan kepada media.

“Tentera diminta membantu memindahkan penduduk yang terperangkap dalam zon banjir.”

Puluhan ribu penduduk dipindahkan dari kawasan berisiko tinggi di tengah Vietnam semalam ketika Wutip menghampiri kawasan pantai negara ini.

Pegawai bencana, Le Tri Cong, berkata lebih 8,000 penduduk kampung di kawasan pantai wilayah Quang Tri dipindahkan ke tempat selama sehingga malam kelmarin manakala 35,000 penduduk lain dari kawasan itu berdepan banjir teruk, tanah runtuh dan banjir kilat juga dipindahkan.

Lebih 140,000 penduduk di empat wilayah tengah lain dirancang dipindahkan semalam, kata jawatankuasa pusat kawalan banjir dan ribut dalam laman webnya. - AP/REUTERS