Search This Blog

Saturday, September 28, 2013

Pukul, cabul, ugut wanita: Jurujual terima hukuman

Pukul, cabul, ugut wanita: Jurujual terima hukumanTertuduh diiringi pihak polis ketika di bawa keluar dari kamar mahkamah, dekat sini, semalam.

KUANTAN – Seorang jurujual dipenjara enam tahun enam bulan dan satu sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuantan semalam atas tiga pertuduhan mendatangkan kecederaan, mencabul dan mengugut orang awam.

Tertuduh, N. Alex, 25, yang berasal dari Taman Naga, Mentakab, mengaku mencederakan seorang wanita dengan memukul menggunakan tangannya ke bahagian badan mangsa.

Dia melakukan kesalahan tersebut, lebih kurang jam 1.30 pagi, 24 September di bangunan baru, Lorong Mat Kilau 23, berhampiran kediaman mangsa, dekat sini.

Bagi pertuduhan pertama, Alex didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, pada tarikh dan waktu yang sama tertuduh didakwa telah menggunakan kekerasan ke atas seorang wanita dengan memasukkan tangan ke dalam baju dan meramas payudara mangsa.

Dengan itu, tertuduh didakwa telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan memperuntukkan penjara selama tempoh sehingga sepuluh tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan tersebut.

Manakala pertuduhan ketiga, pada tarikh dan waktu yang sama tertuduh juga telah didakwa telah melakukan ugutan jenayah kepada mangsa dengan mengugut hendak membunuhnya sekiranya menjerit dengan niat hendak menyebabkan ketakutan yang mendatangkan kecederaan atau kematian kepadanya.

Dengan mengambil kira kesalahan dilakukan, Majistret Jessica Daimis menjatuhkan hukuman penjara enam bulan bermula dari tarikh yang ditangkap bagi kesalahan mengikut Seksyen 232 Kanun Keseksaan yang mendatang kecederaan.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan kes ke atas kesalahan mencabul, tertuduh dikenakan hukuman empat tahun penjara dengan satu sebatan.

Manakala kesalahan mengugut yang dilakukan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, tertuduh telah dijatuhkan hukuman dua tahun penjara.

Mahkamah telah memerintahkan hukuman di jalankan secara berasingan dan berturut-turut.

Pasangan kekasih lebam dibelasah


Ipoh: Sepasang kekasih bukan saja dibelasah hingga cedera hampir keseluruhan badan, malah turut diugut bunuh oleh sekumpulan tiga lelaki dalam kejadian di pasar malam Medan Ipoh berhampiran Tesco Ipoh Garden, di sini, malam Selasa lalu.

Mangsa yang juga seorang peniaga aksesori telefon bimbit hanya mahu dikenali sebagai Foo, 29, mendakwa dalam kejadian jam 10 malam itu, tiga lelaki berusia lingkungan 20-an dan 50-an, secara tiba-tiba membelasahnya menggunakan kayu, besi dan kerusi lipat.


“Saya dalam perjalanan ke gerai untuk mengemas apabila tiga lelaki menyerang dan memukul saya.

“Bagi menyelamatkan diri, saya lari ke sebuah gerai yang dijaga teman wanita saya, namun tanpa menghiraukan orang ramai yang berada di pasar malam itu, kumpulan lelaki berkenaan terus memukul saya tanpa belas kasihan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Foo berkata, teman wanitanya Liew, 26, cuba menghalang, namun dia turut dibelasah dengan teruk.


“Akibat serangan itu, hampir seluruh badan cedera dan lebam, selain terpaksa menerima tujuh jahitan di kepala, manakala Liew yang cuba mempertahankan saya, lebam di kedua-dua belah paha serta mendapat lima jahitan di kepala.

“Selepas puas membelasah kami, kumpulan terbabit menggugut untuk membunuh kami jika melaporkan kejadian itu kepada polis.


“Kami yang hampir pengsan dihantar ke hospital oleh orang ramai untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Menurut Foo, sepanjang dua tahun berniaga di kawasan itu, dia dan teman wanitanya tidak pernah menghadapi sebarang masalah.


“Dua daripada lelaki berkenaan adalah anak beranak yang saya kenali dan saya tidak tahu apa motif penyerang.


“Sebelum ini, kami pernah bertengkar berkaitan harga barang aksesori yang kami tawar lebih rendah, namun tidak membabitkan pergaduhan menggunakan senjata,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Gopeng, dekat sini, kelmarin.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong mengesahkan kejadian dan menurutnya, susulan laporan yang dibuat, dua suspek berusia 28 dan 32 tahun ditahan di dua lokasi berasingan.


“Dua lelaki itu ditahan di Taman Bercham Maju dan Anjung Bercham Utara, di sini dan polis kini menahan reman mereka sehingga 2 Oktober ini untuk membantu siasatan.


“Suspek meminta wang perlindungan daripada mangsa sebanyak RM300, namun mangsa enggan menyerahkannya sebelum suspek memanggil dua lagi rakan untuk menyerang dan memukul mangsa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/28

Pemandu miliki 21 saman trafik


Kuala Lumpur: Pemandu lori pembancuh simen yang terbabit dalam kemalangan ngeri mengorbankan seorang wanita di Jalan Tanah Lapang Off Jalan Sentul, di sini, petang kelmarin didapati memiliki 21 saman trafik termasuk lima membabitkan kemalangan jalan raya sejak 2010.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Abdullah Roning berkata, lelaki berusia 47 tahun itu kini direman selama tiga hari sehingga Ahad ini bagi siasatan lanjut.


“Hasil semakan lanjut mendapati lelaki ini mempunyai rekod membabitkan kesalahan lalu lintas, namun sudah menjelaskan semua saman yang dikenakan terhadapnya. “Kita akan tuduh pemandu lori itu secepat mungkin selepas merujuk kertas siasatan ke Pejabat Peguam Negara,” katanya ketika dihubungi semalam.

Katanya, polis akan meneliti lanjut berhubung kejadian itu dan siasatan terperinci akan dilakukan.


Harian Metro semalam melaporkan seorang wanita, Siti Rohani Mohamed Saadi, 30, maut dalam keadaan ngeri selepas motosikalnya bergesel sebelum digilis tayar belakang sebelah kiri sebuah lori pembancuh simen.


Dalam kejadian jam 2.15 petang itu, mangsa yang menunggang motosikal bersendirian dalam perjalanan mengambil anaknya pulang dari sekolah sebelum hilang kawalan selepas bergesel dengan lori berkenaan.

Mangsa yang tersepit pada tayar belakang lori turut diseret beberapa meter dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di badan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/28

6 budak 14 tahun ditahan kes rogol


Hulu Selangor: Umur mereka baru berusia 14 tahun, namun sudah berani merogol seorang kanak-kanak perempuan 12 tahun yang juga kenalan mereka.

Dalam kejadian 19 September lalu, seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun tidak hadir ke sekolah kerana difahamkan sudah selesai menjalani peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Menurut sumber, pada hari berkenaan, mangsa pergi ke rumah rakannya di Sungai Buaya sehingga lewat petang. “Takut untuk pulang ke rumah, dia tidur di sebuah surau di kawasan perumahan berkenaan.


“Pada keesokan harinya, mangsa mendapati terdapat lapan kanak-kanak lelaki yang juga kenalannya sedang berkumpul berdekatan surau berkenaan,” katanya.

Katanya, mangsa kemudian menghampiri mereka sebelum diajak pergi ke sebuah rumah kosong. “Ketika berada di dalam rumah berkenaan, seorang daripada kanak-kanak terbabit menutup mata mangsa menggunakan bajunya.


“Manakala dua lagi kanak-kanak membuka bajunya sebelum bertindak merogol mangsa secara bergilir-gilir,” katanya.


Berikutan kejadian itu, ahli keluarga kanak-kanak berkenaan yang mengetahui kejadian itu kemudian membuat laporan polis pada hari sama. Menurutnya, sebaik menerima laporan itu, polis menahan lapan kanak-kanak lelaki termasuk enam berusia 14 tahun manakala dua lagi berusia 12 tahun untuk siasatan lanjut.

“Semua mereka kini direman untuk siasatan lanjut,” katanya.


“Mangsa juga dibawa ke Hospital Selayang untuk pemeriksaan dan doktor mengesahkan terdapat koyakan baru pada kemaluan mangsa,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Zulkifli Bedin mengesahkan berhubung kejadian berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/28

Kakak jumpa mayat adik tergantung


28 September 2013

SABAK BERNAM – Seorang remaja lelaki tidak berbaju ditemui mati tergantung di belakang rumah datuknya di Tali Air 10, Sekinchan, di sini, malam semalam.

Mangsa, Mohamad Nazhif Mohd Rosdi, 18, ditemui kakaknya yang kebetulan melalui bahagian belakang rumah datuknya ketika mencari mangsa yang tidak pulang ke rumah beberapa jam selepas keluar mencari alatan untuk berkebun.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Muhammad berkata, mangsa yang tidak bekerja dan hanya menolong keluarganya mengusahakan sawah padi dipercayai ke rumah kosong itu pada petang kejadian.

“Berdasarkan pengecaman dan keadaan mayat ketika ditemui, polis percaya mangsa baru meninggal dunia dan kita masih menyiasat punca sebenar kejadian itu,” katanya.

Menurutnya, mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTA) Sabak Bernam bagi tujuan bedah siasat.

Bagaimanapun katanya, hasil siasatan awal polis mendapati tiada sebarang unsur jenayah yang boleh dikaitkan dalam kejadian itu.

“Mayat mangsa kemudiannya dituntut keluarganya bagi urusan pengebumian jenazah,” katanya.

Gempa bumi landa Pakistan


28 September 2013

KUALA LUMPUR - Satu gempa bumi kuat bermagnitud 6.3 pada skala Richter melanda Pakistan pada 3.34 petang, hari ini.
   
Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia di sini, pusat gempa ialah 248 km di barat daya Larkana, Pakistan dan 4,304 km di barat laut Langkawi, Kedah.
   
Tiada ancaman Tsunami dikeluarkan. - Bernama

Pusat urut tawar perkhidmatan seks, 50 individu ditahan





28/09/2013

SHAH ALAM - Polis menahan seramai 50 orang individu termasuk 44 wanita warga asing dalam tujuh siri serbuan berasingan yang dijalankan di kawasan rumah urut di daerah ini dan Klang Utara, dekat sini selama enam jam berakhir pukul 4 pagi tadi.

Bilangan wanita warga asing yang ditahan adalah seramai 17 orang warga Thailand, 11 (Vietnam), enam warga Filipina, empat warga China dan Myanmar serta dua warga Indonesia.

Dalam serbuan pertama, polis menahan seorang lelaki warga tempatan dipercayai penjaga premis manakala serbuan seterusnya di dua premis terletak di Bandar Baru Klang, Klang berjaya menahan 18 individu termasuk 16 wanita warga asing.

Pegawai Turus Cawangan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Selangor, Deputi Superintendan Rohan Shah Ahmad ketika dihubungi hari ini berkata, dalam serbuan tersebut, pihaknya turut menemui 14 kondom yang telah dan belum digunakan berselerak di atas lantai premis tersebut. - KOSMO!



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0928&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_08.htm#ixzz2gCP3wAyg
Hakcipta terpelihara 

Tiga lelaki bertopeng pecah mesin ATM, larikan RM295,000 di Jempol


2013/09/28
JEMPOL: Tiga lelaki bertopeng melarikan wang tunai RM295,000 selepas memecahkan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di pusat beli belah Kiara, Bahau di sini, Negeri Sembilan, kira-kira jam 6 pagi tadi. 

Peserta kejohanan paraglider maut pada hari jadi


2013/09/28
PULAU INDAH: Seorang peserta kejohanan paraglider antarabangsa, Kamarul Arissin Lo, 35, maut apabila paraglider yang dinaiki terhempas di atas sebuah gudang di Pulau Indah di sini, kira-kira jam 9.30 pagi tadi.

Jurucakap polis ketika mengesahkan kejadian berkenaan berkata, kejohanan dianjurkan sempena Ulang Tahun 103 tahun penubuhan Majlis Perbandaran Klang (MPK).
Difahamkan mangsa terbunuh pada hari beliau menyambut ulang tahun kelahirannya, hari ini. 

Pelajar terbabit serangan siber


London: Seorang pelajar sekolah di Britain ditahan kerana terbabit dengan “serangan siber terbesar di dunia“ yang disyaki digerakkan rangkaian kumpulan penjenayah dunia.

Pelajar berusia 16 tahun itu ditahan apabila polis menyerbu kediamannya di barat daya London selepas siasatan mendapati ada sejumlah transaksi wang dalam akaun banknya. Polis mendapati dia juga sering menyertai beberapa sistem dan forum di Internet ketika mereka menggeledah kediamannya bagi mencari seberapa banyak bahan bukti.


Remaja itu dituduh terbabit dalam satu daripada serangan siber terbesar di dunia yang membolehkan mesej spam mengenai dadah palsu dan produk larangan lain muncul dalam peti masuk pengguna lain.

Kumpulan penjenayah dunia dipercayai bertanggungjawab terhadap serangan besar “penolakan khidmat pengedaran” kumpulan antispam, Spamhaus yang memperlahankan pelayaran Internet. Pelajar itu ditahan April lalu dan dibebaskan dengan ikat jamin, tetapi kaitannya dengan kumpulan penjenayah disembunyikan hingga kini.


Penahanannya bagaimanapun didedahkan ketika lawatan ahli parlimen James Brokenshire ke unit siber kerajaan Britain minggu lalu.


Taklimat ringkas menyatakan, Operasi Rashlike itu menyifatkan serangan siber berkenaan sebagai serangan DDoS yang terbesar pernah dilakukan dan memberi kesan terhadap pelayaran Internet di seluruh dunia. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/28

Lelaki dakwa diberi sampul berisi RM50


2013/09/28
Kota Kinabalu: Seorang pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias memberitahu Mahkamah Pilihan Raya semalam, beliau menerima sampul surat yang tertulis namanya daripada ejen Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Saliman Salamat, 28, berkata beliau menerima sampul surat yang berisi wang RM50 dan kupon daripada ejen yang dikenali sebagai Wong Kui En@ Norliah dan dua wanita lain yang mengunjungi rumahnya pada jam 5 petang, 4 Mei lalu.
“Pada 4 Mei lalu kira-kira jam 5 petang, sehari sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), saya bersama kawan bernama Amai dan abang ipar Wincent sedang duduk bercerita di luar rumah di Kampung Selagon, Beaufort.

“Ketika saya, Amai dan Wincent sedang berbual, saya nampak Kairinah @ Irine Juakim bersama dua adiknya, Norliah dan Ruby menghampiri rumah dan memberi salam,” katanya.

Turut diberi kupon

Saliman berkata, Norliah memanggilnya dan memberikan satu sampul surat yang tertulis nama beliau (Norliah) dan mengatakan duit RM50 itu daripada Datuk Lajim Ukin dan kupon itu boleh diganti duit jika Lajim menang.

Beliau memberi keterangan di hadapan Hakim Datuk Yew Jen Kee pada hari kedua prosiding petisyen pilihan raya yang difailkan calon Barisan Nasional (BN), Isnin Aliasnih, bagi DUN Klias.
Katanya, selepas membuka sampul surat itu di depan mereka, beliau menyedari terdapat wang RM50 berserta kupon yang mempunyai siri nombor.

“Saya tahu ramai yang menerima wang dan kupon ini yang diedarkan oleh orang PKR, bukan daripada ketiga-tiga wanita terbabit kerana mereka tiada pekerjaan tetap,” katanya.

Saliman berkata, beliau mengenali Norliah dan adik beradiknya yang tinggal di kawasan sama dengan rumahnya di Kampung Selagon, Beaufort, selain mengetahui mereka adalah penyokong PKR.

Dalam petisyen itu, Isnin menamakan Lajim, Pengerusi PKR negeri yang memenangi kerusi DUN Klias sebagai responden pertama, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Jupari@Jupty Etok sebagai responden kedua dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden ketiga.

Bagaimanapun pada 5 Ogos lalu, hakim memutuskan SPR dan Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Klias dikeluarkan daripada senarai responden kerana pempetisyen gagal mematuhi peruntukan undang-undang berkaitan Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Dakwa berlaku rasuah

Isnin memfailkan petisyen itu kerana mendakwa berlaku perbuatan rasuah serta penggunaan bahan kempen yang tidak memaparkan nama pencetak, ketika kempen pilihan raya di kawasan berkenaan.

Isnin diwakili peguam Jaapar Esteban, Rizuan M Borhan, Saiful Azian Mokhtar dan Muamar Julkarnain manakala Lajim diwakili peguam Datuk Chau Chin Tang dan Datuk Lawrence Thien.

Dalam PRU-13 pada 5 Mei lalu, Lajim menang dengan majoriti 179 undi.
BERNAMA

21 penumpang maut bas terjunam gaung di India

NEW DELHI 28 Sept. - Sebanyak 21 penumpang terbunuh apabila bas yang mereka naiki terbabas lalu terjunam ke dalam gaung di negeri Himachal Pradesh semalam.
Menurut polis, kejadian itu berlaku di daerah Sairmaur, kira-kira 150 kilometer selatan Shimla.
Ketika kejadian, bas tersebut dalam perjalanan dari perkampungan Ucha Tikkar menuju ke sebuah kuil.
Punca kemalangan masih belum dikenal pasti. - DPA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130928/lu_09/21-penumpang-maut-bas-terjunam-gaung-di-India#ixzz2gCN0vvt8
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pengawal ugut Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang direman


2013/09/28
Georgetown: Seorang pengawal keselamatan ditahan reman tiga hari selepas disyaki mengirim khidmat pesanan ringkas (SMS) ugutan kepada Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk A Thaiveegan, minggu lalu.

Jurucakap polis berkata, suspek berusia 28 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Klang, Selangor, ditahan Rabu lalu sebelum dipindahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL), di sini, kelmarin.
“Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret kira-kira jam 3 petang tadi (semalam) untuk mendapatkan perintah tahanan reman selama tiga hari sehingga Ahad ini untuk membantu siasatan,” katanya.


Kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang 19 September lalu, Thaiveegan yang juga bekas Timbalan Ketua Polis Selangor, menerima ugutan melalui SMS daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai ahli kongsi gelap di Klang.

Banjir di Thailand: Angka meningkat 19 orang

28 September 2013
BANGKOK - THAILAND. Keadaan banjir di Thailand bertambah buruk dengan angka kematian meningkat kepada 19 orang pagi ini berbanding 13 orang semalam dan kawasan terjejas bertambah kepada 32 wilayah daripada 30 sebelum ini.
 
Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana Thailand dalam satu kenyataan hari ini berkata sembilan kematian dicatatkan di Surin, enam di Srisaket, dua di Yasothorn dan dua di Nakorn Nayok (wilayah Tengah).
 
Ketika keadaan banjir semakin buruk, Perdana Menteri Yingluck Shinawatra dan menteri Kabinet hari ini melawat kawasan yang dilanda banjir di daerah Sarmkok, Wilayah Pratumthani.
 
Kawasan berkenaan turut berdepan keadaan serupa dua tahun lepas.
 
Esok, Yingluck dijadual melawat mangsa dan kawasan yang dilanda banjir di wilayah Prachinburi, Srisaket dan Ubon Ratcha Thani.
 
Dengan 32 daripada 77 wilayah di Thailand kini dilanda banjir, jumlah mangsa yang terjejas merangkumi 772,488 keluarga atau 2.725 juta orang, meningkat daripada 2.45 juta orang semalam. - Bernama

Bangunan runtuh ragut lima nyawa


Mumbai: Lima orang maut dan ramai lagi dikhuatiri terperangkap apabila sebuah bangunan kediaman lima tingkat runtuh di Mumbai, awal pagi semalam.

Pekerja keselamatan bertungkus-lumus mencari mangsa terperangkap dalam timbunan konkrit dimiliki Majlis Bandar raya Mumbai, di timur bandar itu.


Saksi, Shanta Makwana berkata, jantungnya berdegup kencang menanti nasib anak perempuan dan cucunya yang tertimbus.

“Saya hanya mampu berharap mereka selamat,” katanya.


Kerja menyelamat turut dibantu orang awam membolehkan penyelamat mengangkat mayat dan mangsa yang masih terperangkap di bawah timbunan bangunan.


Pegawai tempatan berkata, jumlah kematian menjelang tengah malam tadi (waktu Malaysia) masih lima orang dan 27 yang lain cedera. “Mangsa yang cedera dibawa ke hospital berhampiran,” katanya. Pihak Berkuasa Pengurusan Kebangsaan Bencana pula mengesahkan ada 22 keluarga tinggal di bangunan itu.

Pegawai operasi menyelamat menjangkakan ada sehingga 70 orang terperangkap di bawah runtuhan bangunan itu. Katanya, bangunan itu dibina untuk kakitangan kerajaan tempatan dan keluarga mereka.


“Bagaimanapun mereka sudah dinasihatkan berpundah awal tahun ini kerana bangunan yang dibina sejak 30 tahun lalu itu,” katanya.

Dia tidak menyatakan mengapa penghuni terbabit diarah berpindah. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/28

Tekong seludup pati Myanmar, Bangladesh ditahan


28 September 2013

KANGAR - Seorang tekong darat yang membawa 26 pendatang asing tanpa izin (pati) dalam kenderaan pacuan empat roda dipandunya ditahan Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) di kawasan ladang getah Felda Chuping, dekat sini, semalam.
   
Komander UPP Chuping Asisten Supritenden Syed Basri Syed Ali berkata, lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an itu mengubah suai kenderaan tersebut untuk memuatkan 25 warga Myanmar dan seorang warga Bangladesh.
   
"Ketika ditahan pada 1.30 tengah hari, pendatang yang berumur antara 14 tahun dan 57 tahun termasuk seorang wanita itu, berada dalam keadaan bersesak-sesak di dalam kenderaan yang tempat duduk belakangnya ditanggalkan," katanya kepada pemberita di Kem UPP Chuping, di sini hari ini.
   
Menurut Syed Basri semasa ditahan, kenderaan berkenaan berada kira-kira dua kilometer daripada pagar sempadan Malaysia-Thailand.
   
"Dipercayai, tekong darat itu memilih waktu tengah hari untuk mengangkut pendatang asing tanpa izin itu kerana beranggapan mereka boleh meloloskan diri ketika anggota penguat kuasa, menunaikan solat Jumaat," katanya menambah wanita berkenaan adalah warga Myanmar berusia 20 tahun.
     
Beliau percaya kesemua pendatang asing itu menceroboh masuk ke negara ini melalui pagar sempadan yang telah dirosakkan.
   
Kes disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Anti Pemerdagangan Orang yang membawa hukuman penjara 20 tahun atau denda, jika sabit kesalahan.
   
Khamis lalu, UPP Chuping menahan 16 warga Myanmar termasuk 10 kanak-kanak ketika berkeliaran dalam keadaan letih dan lapar di kawasan Felda Chuping dipercayai ditinggalkan tekong darat. - Bernama

Nelayan dikhuatiri lemas ketika tangkap udang


28 September 2013
IPOH - Seorang nelayan dikhuatiri lemas setelah dipercayai terjatuh ketika sedang menangkap udang di perairan kawasan Batu 8, Lekir dekat Manjung di sini, hari ini.
 
Dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi itu, Ling See Young, 68, dikatakan bersama rakannya turun ke laut menaiki bot masing-masing dalam keadaan cuaca buruk dan laut bergelora.
 
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seri Manjung Ismail Osman berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 11.30 pagi.
 
"Mangsa yang tinggal di Kampung Koh keluar menangkap udang dengan menaiki bot dan dilaporkan terjatuh ke laut kira-kira pukul 8.15 pagi," katanya ketika dihubungi.
 
Ismail berkata operasi mencari dan menyelamat bermula dari tempat mangsa dipercayai terjatuh dan di kawasan sekitar jeti Pasir Panjang.
 
"Operasi mencari dan menyelamat turut melibatkan anggota Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Agensi Penguatkuasaan Maritim (Maritim), Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan Polis Marin," katanya. - Bernama

Wanita dipenjara akibat serang ibu kekasih


Singapura: Seorang eksekutif pemasaran wanita semalam terlepas hukuman penjara dan cuma diberikan tempoh percubaan walaupun bersalah membakar pagar dan menyimbah minyak ke arah ibu teman wanitanya.

Sherilyn Teo Li Ying, 26, mengakui membakar pagar utama kediaman teman wanitanya itu dan menyimbah turpentin ke arah ibu mangsa, Leow Bee Choo, 49, menyebabkan wanita terbabit cedera di mata dan dada.


Mahkamah komuniti diberitahu Teo menjalin hubungan dengan anak mangsa, Gladys Chien Wai Ting ketika kejadian.

Selepas pertengkaran mengenai isu hubungan mereka yang tidak direstui ibu Chien, Teo pergi ke kediaman teman wanitanya itu di Redhill Road dengan membawa sebotol turpentin dan sebotol klorin.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/28

Membunuh kerana ketum


Bangkok: Seorang wanita berusia 74 tahun dihukum penjara tiga tahun kerana menyebabkan kematian seorang lelaki selepas terkena renjatan elektrik, selain turut menanam ketum untuk dijadikan dadah.

Thongdee Jaemsri asalnya dihukum penjara tiga tahun empat bulan oleh mahkamah Mac lalu tetapi mahkamah rayuan semalam bersetuju untuk mengurangkan hukumannya.


Thongdee didapati bersalah menanam ketum yang diklasifikasikan sebagai dadah kategori 5 sama seperti ganja di kediamannya di kawasan Lat Phrao dengan tujuan untuk menjualnya.

Dia juga memasang pagar elektrik 200 Voltan di sekitar kediamannya bagi mengelak pencerobohan.


Pada malam 10 Februari 2011, pelajar kolej Maropi Langmae, 20, cuba untuk memasuki kawasan kediaman Thongdee tetapi dia terkena renjatan elektrik yang membawa maut.


Polis kemudian mendapat tahu wanita itu menanam 30 batang pokok ketum seberat 41 kilogram di kediamannya. Mahkamah rayuan mengurangkan hukuman terhadap Thongdee kerana mendapati Maropi bersalah kerana menceroboh masuk ke kawasan kediaman wanita terbabit.

Thongdee akan menjalani hukuman di penjara wanita Klong Prem. Sementara itu, anak perempuan Thongdee, Juthamas Sukantachalathorn berkata, ibunya tidak akan membawa kes itu ke mahkamah agung kerana ingin memohon keampunan daripada raja. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/28

6 warga Filipina ditahan cuba masuki Sabah


28 September 2013

SANDAKAN - Pasukan Polis Marin (PPM) di sini menahan enam pendatang asing warga Filipina yang cuba memasuki Sabah dengan sebuah bot laju di perairan Sandakan, berhampiran Pulau Nunuyan, malam tadi.
 
Komander PPM Wilayah Sabah Mohamad Madun berkata mereka berumur antara enam hingga 45 tahun, termasuk tiga wanita.
 
"Kesemua mereka dikesan menaiki bot laju menuju Pulau Nunuyan sebelum diburu sepasukan tiga anggota PPM yang menjalankan rondaan Ops Pensura di kawasan perairan tersebut," menurutnya dalam kenyataan di sini, hari ini.
 
Mohamad berkata siasatan awal mendapati kesemua mereka datang dari kepulauan Filipina berhampiran dan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.
 
"Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan kesemua tahanan dibawa ke pangkalan markas operasi PPM untuk siasatan dan tindakan lanjut," katanya.

Turut ditahan seorang juragan berserta bot lajunya berkenaan. - Bernama

Bot pencari suaka politik karam, 22 mati lemas

JAKARTA 28 Sept. - Sekurang-kurangnya 22 orang termasuk kanak-kanak mati lemas, manakala banyak lagi dipercayai hilang selepas bot yang membawa sejumlah pencari suaka politik karam di luar perairan Indonesia, semalam.
Menurut pegawai polis, Warsono, kejadian itu disedari penduduk tempatan selepas menemukan 20 mayat terapung-apung di laut.
"Bot tersebut membawa lebih 100 pencari suaka yang kebanyakannya dari Asia Barat dan dipercayai dalam perjalanan ke Australia," katanya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130928/lu_10/Bot-pencari-suaka-politik-karam-22-mati-lemas#ixzz2gCGZ455p
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Guru rogol remaja bebas selepas 30 hari


Billings (Montana): Seorang bekas guru sekolah tinggi dibebaskan dari penjara semalam selepas menamatkan hukuman penjara hanya 30 hari atas kesalahan merogol pelajar berusia 14 tahun.

Tempoh hukuman itu masih dikaji mahkamah tinggi Montana dan mencetuskan gesaan agar hakim yang menangani kes terbabit digugurkan. Menurut sumber akhbar, Stacey Rambold, 54, meninggalkan penjara selepas menamatkan hukuman yang dijatuhkan hakim daerah, G Todd Baugh terhadap kes merogol Cherice Moralez pada 2007. Baugh mencetuskan kemarahan bulan lalu ekoran hukuman ringan itu dan komen yang dibuatnya terhadap kes terbabit seolah-olah dia menyalahkan Cherice di atas apa yang berlaku.


Remaja berkenaan membunuh diri pada 2010 sebelum Rambold mula dibicarakan.

Pendakwa raya masih membuat rayuan terhadap kes itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/28

Kereta terbakar


Kereta terbakar
Kereta yang hangus terbakar di Taman Desa PD, kelmarin.
PORT DICKSON– Sebuah kereta yang ditinggalkan berhampiran padang permainan di Taman Desa PD hangus dalam satu kejadian kebakaran lewat petang, kelmarin.
Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba dan Penyelamat Telok Kemang, Jelani Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam mengenai kejadian itu pada jam 6.37 petang.

“Enam anggota termasuk seorang pegawai dan sebuah jentera bomba dikejarkan ke tempat kejadian kira-kira 12 minit kemudian.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, api sedang marak membakar kereta berkenaan dan kerja-kerja mengawal kebakaran tamat kira-kira lima minit," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Jelani berkata, kereta tersebut terbakar seratus peratus dan siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengenal pasti pemiliknya.

“Orang awam yang berada di lokasi kejadian juga tidak mengetahui pemilik kenderaan tersebut serta punca kebakarannya.

“Pasukan forensik bomba masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian,” katanya.

Rampasan senjata terbesar di Sarawak

Rampasan senjata terbesar di SarawakMuhammad Sabtu (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan senjata yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Bau, baru-baru ini.

2013/09/28
Kuching: Polis merampas pelbagai senjata berbahaya, termasuk pistol dan senapang angin, pedang samurai dan alat renjatan elektrik dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Tembawang, Bau, kelmarin.

Pesuruhjaya Polis Negeri, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman, berkata kejayaan itu susulan penahanan sepasang kekasih, masing-masing berusia 37 dan 23 tahun di sebuah restoran di Batu Kawa, di sini.
“Kita memantau pergerakan suspek sebelum menahannya bersama seorang wanita, dipercayai teman wanitanya untuk siasatan lanjut. Hasil soal siasat, serbuan dilakukan di sebuah rumah di Sauh, Bau yang membawa kepada penemuan pelbagai senjata berbahaya.


“Ia rampasan senjata terbesar di Sarawak setakat ini dan siasatan dijalankan bagi mengenal pasti motif pemilikan senjata itu,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Polis turut merampas peluru bebola besi dan alat penyembur lada yang dipercayai digunakan untuk tujuan jenayah, selain pelbagai peralatan membungkus dadah, termasuk alat penimbang.

Turut ditemui satu paket dadah ketamin dan syabu serta enam pil khayal jenis Ecstasy yang disembunyikan dalam plastik pembungkus gula-gula.

Muhammad berkata, polis sedang menyiasat sama ada suspek turut terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah di Bau dan kawasan sekitar termasuk Kuching.
“Siasatan lanjut membawa kepada penahanan dua lagi suspek berusia 41 dan 47 tahun bagi membantu siasatan, termasuk pembabitan mereka dalam mana-mana kongsi gelap di negeri ini,” katanya.

Semua suspek direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960, Seksyen 7(1) Akta Bahan Bahan Kakisan dan Letupan dan Akta Senjata Berbahaya 1958 dan Seksyen 39 (A)(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pemuda cuba membunuh kena 12 tahun

Pemuda cuba membunuh kena 12 tahunMohd Haswan dibawa keluar selepas dijatuhi hukuman penjara 12 tahun di Mahkamah Sesyen Ampang, semalam.

2013/09/28
Ampang: Seorang pembantu jualan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam, selepas didapati bersalah cuba membunuh Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kepong, Datuk Norizan Ali, setahun lalu.

Hakim Manira Mohd Nor menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Haswan Hashim, 23, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.
Mahkamah turut menolak permohonan peguam bela Muhammad Zarif Othman untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman dan memerintahkan tertuduh dipenjara bermula semalam.


Wujud percanggahan

Manira dalam penghakimannya berkata, pembelaan tertuduh hanya bersifat penafian semata-mata, malah wujud percanggahan antara keterangan tertuduh dengan saksi pembelaan.

Katanya, tetakan ke atas Norizan sebanyak lima kali menunjukkan niat pelaku yang ingin menyebabkan kematian mangsa.

Terdahulu, mahkamah diberitahu Norizan melalui keterangan impak mangsa (VIS), akibat kejadian itu beliau mengalami gangguan mental dan fizikal sebagai ahli politik.
“Saya perlu menanggung kesan akibat kejadian berkenaan. Malah, luka pada bahagian perut masih dirasai dan saya hanya makan dalam kuantiti sedikit,” katanya.

Boleh sebabkan kematian

Mohd Haswan bersama-sama seorang lagi tertuduh, Mohd Azril Ab Shukor, 29, didakwa menyerang Norizan, 41, dengan menggunakan parang di bahagian perut, badan dan tangan sehingga boleh menyebabkan kematian.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di tepi Jalan Cahaya 2, Ampang, pada jam 2.30 pagi, 24 September 2012, dan didakwa mengikut Seksyen 307 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nadiah Malek Fauzie.

Seorang lagi tertuduh, Mohd Azril, sedang menjalani hukuman penjara enam tahun selepas mengaku salah terhadap pertuduhan sama pada 8 November 2012.

Maut ditembak jarak dekat

Maut ditembak jarak dekat
Orang ramai melihat kereta mangsa tembakan di Johor Jaya, semalam.

2013/09/28
Johor Bahru: Seorang lelaki ditemui mati dengan kesan tembakan di kepala dalam sebuah kereta PROTON Perdana di Jalan Teratai 32, Taman Johor Jaya, di sini, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin, berkata mangsa berusia 24 tahun dipercayai ditembak dari jarak dekat, ditemui dalam keadaan berlumuran darah di tempat duduk pemandu oleh orang awam jam 8.30 malam.
Katanya, polis menemui dua kelongsong peluru berbeza di tempat kejadian dan percaya penyerang melepaskan empat das tembakan termasuk satu yang terkena kepala mangsa menyebabkannya mati serta-merta.


Polis masih siasat

“Kenderaan dipandu mangsa pula didaftar atas nama orang lain beralamat di Pulau Pinang. Buat masa ini, polis masih menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, termasuk mengesan suspek dan motif kejadian,” katanya sambil menambah, mayat dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk bedah siasat.

Roslan juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya melaporkannya di mana-mana balai polis berhampiran dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung jenayah terbabit.

Terkejut lihat asap tebal


Terkejut lihat asap tebal
Ruang tamu rumah mangsa yang terlibat dalam kebakaran itu.
SABAK BERNAM 28 September 2013– Seorang warga emas yang baru pulang dari menziarahi kubur isterinya terkejut apabila melihat asap tebal dari rumahnya di Taman Muhibbah, Sabak Bernam di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 10.27 pagi itu, mangsa Umar Ibrahim, 64, yang ingin pulang ke rumah teres satu tingkat itu tiba-tiba tergamam apabila mendapati api mulai marak di bahagian depan ruang tamu kediamannya itu.

Penolong Penguasa Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabak Bernam, Abdul Nasir Jalil berkata, mangsa dipercayai tinggal seorang diri di rumah itu dan tiada di tempat kejadian sewaktu kebakaran itu berlaku.

“Kami yang menerima maklumat kebakaran daripada orang awam terus bergegas ke lokasi kejadian dan tiba empat minit selepas itu, bagaimanapun api mulai marak membakar bahagian ruang tamu rumah terbabit,” katanya.

Abdul Nasir berkata, operasi memadam kebakaran itu berdepan kesulitan apabila bahagian dapur rumah itu berkunci menyebabkan asap dan api terperangkap dalam rumah terbabit.

“Pasukan kami terpaksa memecah pintu belakang bagi memudahkan operasi memadam dan mengawal kebakaran daripada merebak kerana terdapat wayar elektrik yang boleh menyebabkan kebakaran bertambah buruk,” katanya.

Beliau berkata, beberapa barangan seperti televisyen, tikar dan meja musnah bagaimanapun tiada sebarang dokumen penting hangus dalam kejadian terbabit.

Menurutnya, kebakaran rumah itu juga menyebabkan bahagian dinding hadapan rumah di kiri dan kanan kediaman mangsa terbakar, namun pasukannya berjaya mengawal api daripada terus merebak.

“Akibat kebakaran itu, dua rumah teres yang bersambung di tepi dan kanan rumah mangsa turut terbakar dan kemungkinan dipercayai berpunca daripada letupan kecil wayar elektrik,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Sabak Bernam, Mohd Fasiah Mohd Fakeh turut meluangkan masa kira-kira jam 11 pagi bagi melawat mangsa kebakaran dan menyampaikan bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor dan
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Kes pelaburan jongkong emas: 6 kena 923 tuduhan

Kes pelaburan jongkong emas: 6 kena 923 tuduhan
Jongkong emas. - Gambar hiasan 
Kuala Lumpur: Enam pegawai kanan sebuah syarikat pelaburan jongkong emas didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini semalam atas 913 pertuduhan pengubahan wang haram dan 10 pertuduhan menerima deposit tanpa lesen sah membabitkan urus niaga berjumlah RM5.5 bilion.

Semua didakwa terbabit dalam pengubahan wang haram dengan cara memiliki, menerima, memindah dan memperoleh sejumlah wang hasil daripada aktiviti haram melalui cek daripada akaun CIMB Islamic Bank Berhad ke dalam akaun CIMB Bank Berhad milik mereka berjumlah RM1.5 bilion.
Tak mengaku salah



Mereka ialah pengarah Genneva Malaysia Sdn Bhd, Datuk Tan Liang Keat, 41, dan Datuk Philip Lim Jit Meng, 56, pengurus besarnya, Lim Kah Heng, 42, serta tiga penasihat perniagaan, Datuk Ng Poh Weng, 63; Datuk Marcus Wai Leng, 37.

Semua mereka tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan.

Sebuah lagi syarikat pelaburan jongkong emas, Success Attitude Sdn Bhd turut dituduh melakukan lapan kesalahan. Kedua-dua syarikat diwakili Jit Meng bagaimanapun tidak mengaku salah.
Liang Keat didakwa dengan 226 pertuduhan, Jit Meng (246), Kah Heng (16), Poh Weng (155), Yuen Seng (17), Wai Leng (23) dan Genneva (222) .


Liang Keat didakwa dengan 226 pertuduhan, Jit Meng (246), Kah Heng (16), Poh Weng (155), Yuen Seng (17), Wai Leng (23), Genneva (222) dan Success Attitude lapan pertuduhan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di CIMB Bank Berhad, Nombor 69, Tingkat Bawah, Jalan Kuchai Maju 1, Dynasty 2, Off Jalan Kuchai Lama, di sini antara Januari 2011 hingga Disember 2012.

Pertuduhan adalah mengikut Sub Seksyen 4(1) (a) Akta pencegahan pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum maksimum denda RM5 juta atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.


Dua lagi pertuduhan

Hakim Mat Ghani Abdullah membenarkan tertuduh dijamin masing-masing RM100,000 dengan dua penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Sementara itu, Genneva, Jit Meng, Liang Keat, Kah Heng dan Poh Weng masing-masing didakwa dua lagi pertuduhan, iaitu menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen sah mengikut Sub Seksyen 6(4) Akta bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 (Akta 372) membabitkan transaksi emas.


Wang jaminan RM1j

Kesalahan adalah mengikut Seksyen 25(1) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama dibaca bersama Nombor Siri 20 dalam Jadual Keempat akta sama yang membawa hukuman maksimum denda RM10 juta.

Bagi kesalahan itu, Mat Ghani membenarkan semua tertuduh dijamin masing-masing sebanyak RM1 juta dengan seorang penjamin.

Di mahkamah berasingan, Jit Meng, Genneva dan Liang Keat mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan membuat pernyataan palsu melalui iklan di laman web www.gennevaworld.com.my berhubung penjualan emas berlandaskan syariah, antara 16 Februari dan 1 Oktober 2012 di Nombor 52A-1, Jalan Kuchai Maju 6, Off Jalan Kuchai Lama, di sini.

Kesalahan adalah mengikut Seksyen 18(1) Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 21(b) akta sama membawa hukuman maksimum denda RM250,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Hakim, Rihaida Rafie membenarkan mereka dijamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin.

6 maut bangunan runtuh

6 maut bangunan runtuhAnggota penyelamat bertungkus-lumus mencari mangsa runtuhan bangunan di Mumbai, semalam. Gambar kecil menunjukkan seorang kanak-kanak perempuan yang ditemui di bawah runtuhan diselamatkan anggota penyelamat. Bahan binaan tak bermutu, pemeriksaan sambil lewa punca bencana

Mumbai: Enam orang terbunuh, tiga daripada anggota satu keluarga, manakala 19 lagi cedera selepas sebuah bangunan kediaman lima tingkat runtuh di sini, semalam.

Berpuluh-puluh orang lagi dipercayai terperangkap di bawah runtuhan menyebabkan anggota penyelamat melipatgandakan usaha mengesan lebih ramai mangsa.
Sanak saudara mangsa menjerit sedih dan memeluk antara satu sama lain ketika jentera berat menggali runtuhan dengan berpuluh-puluh anggota bantuan bertungkus lumus di tempat kejadian.


“Kira-kira 80 hingga 90 orang lagi dipercayai terperangkap di bawah runtuhan,” kata Ketua Pasukan Gerak Bantuan Bencana Kebangsaan, Alok Awasthi.

Angka korban meningkat

Beliau menjangka angka korban dan cedera akan meningkat dalam tempoh terdekat.
Bangunan itu yang menjadi kediaman 22 keluarga, runtuh selepas jam 6 pagi waktu tempatan dekat Dockyard Road, tenggara Mumbai.
Awasthi berkata, bangunan itu milik Perbadanan Perbandaran Brihanmumbai yang majoriti penghuninya adalah pekerja perbadanan berkenaan.

Ia adalah runtuhan ketiga dalam tempoh enam bulan di Mumbai, ketika bencana yang berlaku dianggap perkara biasa di Mumbai.

India kerap mencatat bencana seperti itu disebabkan bahan binaan tidak bermutu dan pemeriksaan sambil lewa oleh pihak berkuasa.

Sekurang-kurangnya 72 orang mati pada April lalu apabila sebuah bangunan yang dibina tanpa kebenaran runtuh manakala 10 orang termasuk kanak-kanak cedera apabila sebuah bangunan tiga tingkat runtuh.

Permintaan tinggi

Permintaan besar untuk rumah di bandar utama India selain rasuah sering menyebabkan kontraktor menggunakan bahan tidak bermutu atau menambah tingkat bangunan tanpa izin.

Pasukan bomba menghantar 12 kereta bomba, ambulans dan dua van untuk membantu operasi menyelamat.

Empat daripada enam yang terbunuh ialah Lakhoji Devji Chawda (60), Jamuna Chawda (30) Anil Chawda (19) dan Santosh (44). - AGENSI

Lelaki cuba buang tatu mati selepas koma 12 hari


2013/09/28
Sungai Petani: Cubaan seorang lelaki membuang tatu di badan kerana khuatir permohonannya menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditolak, membawa padah apabila dia meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), kelmarin.

N Dinesh Nair, 25, dari Taman Tiong, Kulim, disahkan meninggal dunia jam 4.30 petang selepas 12 hari dilaporkan koma.
Berdasarkan maklumat, mangsa dikatakan pergi ke sebuah klinik di Jalan Sekerat, di sini, kira-kira 12 hari lalu bagi membuang tatu di badan, namun tiba-tiba pengsan ketika menjalani proses berkenaan.

Berikutan itu, mangsa dikejarkan ke HSAH dengan ambulans sebelum dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk rawatan lanjut.

Selepas 12 hari dirawat di ICU dalam keadaan koma, mangsa meninggal dunia kelmarin.

Berikutan itu, satu laporan polis dibuat abang mangsa di Ibu Pejabat Daerah ( IPD) Polis Kuala Muda, semalam.

Jurucakap polis IPD Kuala Muda, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan sedang dilakukan.

3 pesalah dirotan depan hakim

3  pesalah dirotan depan hakimFirman Shah (kiri), Hazmirul dan Mohammad Talip (dua dari kanan) keluar selepas diperiksa pegawai perubatan untuk menjalani hukuman sebat dua kali di depan Hakim di Mahkamah Sesyen, Ampang, semalam.

Ampang: Tiga pemuda yang mengaku bersalah melakukan rompakan berkumpulan, tahun lalu, masing-masing dikenakan sebatan dua kali di depan Hakim Manira Mohd Nor, sambil disaksikan keluarga dari galeri awam di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.

Firman Shah Marzuki, 21; Mohammad Talip Abd Kadir, 20, dan Hazmirul Zulkafli, 19, masing-masing kelihatan tenang dan hanya menundukkan kepala sebaik hukuman sebatan dilaksanakan pegawai dari Penjara Kajang, tepat jam 10.35 pagi.
Hati-hati pilih kawan


Terdahulu, sebelum sebatan dimulakan, Manira menasihati ketiga-tiga pesalah supaya tidak mengulangi kesalahan sama dan berhati-hati memilih kawan.

“Mahkamah beri peluang kerana mereka pesalah muda. Namun, mahkamah berharap keluarga memantau aktiviti anak masing-masing supaya tidak terbabit jenayah sama.

“Ini hanya sebatan ringan, cuba kamu bayangkan hukuman sebenar yang dijalankan di penjara,” katanya.

Periksa kesihatan
Mahkamah kemudian memerintahkan doktor yang hadir memeriksa tahap kesihatan ketiga-tiga pesalah berkenaan.

Selepas ketiga-tiga mereka disahkan sihat, proses sebatan dimulakan ke atas Hazmirul, disusuli Firman dan Muhammad Talip sambil disaksikan ibu bapa yang diminta berdiri di belakang pesalah.

Pelaksanaan hukuman terbabit turut dihadiri beberapa pegawai penjara dan doktor perubatan serta disaksikan orang awam, termasuk wartawan yang duduk di galeri awam.

Berdasarkan pertuduhan, ketiga-tiga pesalah didakwa bersama Mohd Ramdan Mohd Ali, 24, dan seorang lagi yang masih bebas, merompak dengan bersenjatakan pisau dan mengambil kamera digital Sony, kunci kereta Toyota Vios, telefon bimbit Nokia dan wang tabung RM600 milik Yeo Chai Nee, 30, bernilai RM1,200.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan AG 1/4 Astana, Gombak, jam 4.30 pagi, 17 Mei 2012 dan didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Pada 12 September lalu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan empat sebatan terhadap Mohd Ramdan.

Bagaimanapun, Firman diberikan bon jaminan berkelakuan baik selama dua tahun dan cagaran RM5,000 dengan seorang penjamin, mengikut Seksyen 293(1)(b) Kanun Tatacara Jenayah dan sebatan ringan dua kali mengikut Seksyen 2(1)(c) kanun sama.

Sementara itu, Muhammad Talip dan Hazmirul diberikan bon jaminan berkelakuan baik selama 12 bulan dengan cagaran RM5,000 berserta seorang penjamin dan hukuman sebatan ringan dua kali mengikut seksyen sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nadiah Malek Fauzie, manakala peguam bela Vasu Dev dan Mohd Riza Zakaria bertindak bagi pihak pembelaan.

Penjenayah larikan mesin ATM, ikat pengawal keselamatan

Oleh SAJIDA ASARULAH KHAN
JEMPOL 28 Sept. - Sekumpulan penjenayah bertindak nekad dengan mengikat seorang pengawal keselamatan yang dipercayai baru tiga hari bekerja sebelum melarikan sebuah mesin pengeluar wang automatik (ATM) di sebuah pasar raya di Bahau awal pagi tadi.
Kejadian itu disedari seorang pekerja di pasar raya berkenaan yang datang bertugas sekitar pukul 6 pagi tadi, yang terkejut apabila mendapati pengawal keselamatan berkenaan terduduk dan diikat pada bahagian mulut, mata, tangan serta kakinya.
Difahamkan mesin ATM berkenaan mengandungi wang tunai sebanyak RM360,000 yang dipercayai baru dimasukkan semalam bagi urus niaga kemudahan pengguna.
Buat masa ini, pihak polis masih menjalankan siasatan di lokasi kejadian serta berusaha mengesan jumlah suspek yang terlibat, selain jenis kenderaan yang digunakan untuk melarikan sebuah mesin ATM di pasar raya berkenaan. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130928/je_20/Penjenayah-larikan-mesin-ATM-ikat-pengawal-keselamatan#ixzz2gBdjh54R
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Peserta pertandingan para motor maut terhempas

Oleh AZIAN AZIZ
KLANG 28 Sept. - Seorang peserta pertandingan Majlis Perbandaran Klang (MPK) Para Motor Precision International Championship maut selepas set para motornya terhempas di kawasan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Pulau Indah di sini pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, mangsa, Kamarul Ariffin Lo, 35, yang berasal dari Kajang dekat sini mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130928/je_21/Peserta-pertandingan-para-motor-maut-terhempas#ixzz2gBd67QVh
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kanak-kanak 2 tahun mati dilanggar bapa sendiri

Oleh MUHAMMAD ZIKRI
PONTIAN 28 Sept. - Seorang kanak-kanak berusia dua tahun terbunuh selepas dilanggar oleh sebuah treler yang dipandu bapanya sendiri di Taman Megah, di sini kira-kira pukul 9 malam tadi.
Mangsa, Muhamad Rifaie Aiman meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pontian, beberapa jam selepas kejadian berlaku. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130928/je_22/Kanak-kanak-2-tahun-mati-dilanggar-bapa-sendiri#ixzz2gBcV8oAc
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Bayi mati lemas dalam baldi


Abang mangsa tidak dapat menahan kesedihan sebaik mengetahui kematian adiknya di Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, semalam.
KOTA BHARU 27 Sept. - Seorang bayi perempuan yang berusia genap setahun hari ini, mati lemas selepas terjatuh ke dalam baldi berisi air di rumahnya di Taman Koperasi Pengkalan Chepa di sini.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, kejadian itu disedari seorang abang mangsa pada pukul 12.15 tengah hari apabila terlihat adiknya yang sudah tidak bernyawa di dalam baldi.
"Abang mangsa kemudian memaklumkan perkara itu kepada kakaknya, Farhana, 20, yang segera melihat mangsa namun dia didapati sudah tidak bernyawa ketika itu.
"Farhana bersama ibunya membawa mangsa ke klinik berhampiran sebelum dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), bagaimanapun doktor mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, suasana hiba menyelubungi Unit Forensik HRPZ II apabila ahli keluarga mangsa yang berkumpul gagal menahan kesedihan dan tangisan ekoran kehilangan bayi berkenaan.
Usaha pihak media untuk menemubual ibu bapa mangsa bagaimanapun gagal kerana mereka masih trauma dengan tragedi yang menimpa.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130928/dn_20/Bayi-mati-lemas-dalam-baldi#ixzz2gBZZHEQW
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pengurus kilang maut ditetak dua lelaki

Maut ditetak dua lelaki
Keadaan di lokasi kejadian.


28 September 2013
JOHOR BAHRU - Seorang pengurus kilang maut selepas dipukul dan ditetak oleh dua lelaki bersenjatakan parang di hadapan kilangnya di Taman Gembira, di sini semalam.

Mangsa, Lau Teck Hock, 44, dipercayai berada di luar kawasan pejabat di kilang berkenaan sekitar jam 1 petang sebelum diserang lelaki terbabit yang memakai topi keledar.

Teck Hock ditetak beberapa kali oleh dua lelaki itu, selain dipukul pada bahagian kepala menggunakan parang sebelum suspek meninggalkan lokasi kejadian dengan motosikal.

Difahamkan, mangsa yang cedera parah sempat merangkak ke pejabat untuk meminta bantuan dan kemudiannya disedari pekerjanya.

Mangsa bagaimanapun meninggal dunia sebelum ambulans tiba susulan daripada kecederaan dialami.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintendan Abdul Samad Salleh berkata, polis masih melakukan siasatan berhubung motif kejadian.

“Polis menolak wujudnya unsur rompakan kerana tiada barang mangsa dicuri ketika serangan terbabit.

“Kes disiasat kejadian ini di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya ketika dihubungi dan mengesahkan kejadian, di sini semalam.

Abdul Samad berkata, orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta untuk tampil menghubungi polis atau hadir ke balai berdekatan.

Histeria: Mangsa nampak makhluk berbulu

Histeria: Mangsa nampak makhluk berbulu
Keratan Sinar Harian semalam


28 September 2013
KUANTAN - Mangsa histeria kelmarin, Norsyafikah Saifulizan, 13, mengakui nampak dua makhluk berbulu di makmal sekolah dan di bilik air sebelum ini.

Bagaimanapun, dia hanya memaklumkan kepada guru dan tidak kisah dengan dua makhluk yang ditemui di makmal sains itu dan meneruskan pelajaran seperti biasa.

“Memang ada nampak makhluk berbulu tapi saya buat tak kisah. Masa tu saya berjalan ke  arah bilik disiplin,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.

Norsyafikah yang juga pengawas sekolah berkata, sebelum ini, ada rakan yang mengadu melihat makhluk berkenaan di kawasan sekolah tetapi mereka tidak kisah sehingga ada gangguan kelmarin.

Katanya, selepas kejadian itu, badannya rasa panas dan fikiran buntu namun mujur ibu dan bapanya memahami dan memberi semangat selepas memaklumkan perkara itu.

“Saya mengadu pada mak dan ayah dan mereka memberi kata-kata semangat dan benarkan saya pergi ke sekolah seperti biasa,” katanya yang kini sukar tidur malam.

Norsyafikah adalah antara 70 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tok Sira yang menjadi mangsa histeria kira-kira jam 1 petang kelmarin.

Pelajar lelaki dan perempuan dilihat meracau dan berlari bertempiaran di sekeliling bangunan sehingga menyukarkan guru menenteramkan mereka tetapi keadaan kembali tenang selepas perubatan Islam dilakukan seorang
pengamal perubatan.

Sementara itu, bapa Norsyafikah, Saifulizan Abdullah, 38, tidak menghalang dua anaknya meneruskan persekolahan seperti biasa walaupun bimbang dengan keselamatan mereka.

Menurutnya, dia juga tidak membawa Norsyafikah dan kakaknya, Emy Syazana berjumpa dengan pengamal perubatan tradisional kerana memberi kepercayaan kepada pihak sekolah menguruskan masalah itu.

“Walaupun ada ibu bapa yang bertindak tidak membenarkan anak mereka ke sekolah tapi kami memberi sepenuh kepercayaan kepada pihak sekolah untuk mengatasi masalah ini,” katanya.

Namun, katanya, sebagai bapa kepada mangsa serangan histeria, Saifullizan mahu pihak sekolah memberi maklumat tepat dari semasa ke semasa kepada ibu bapa atau penjaga mengenai keadaan keselamatan selepas peristiwa itu.

Katanya, sehingga kini tiada lagi perkembangan terkini yang dimaklumkan kepada ibu bapa selain menerima surat kebenaran menjalankan rawatan di sekolah.

“Saya anggap perkara ini serius apabila ada pelajar yang mengadu mendengar bisikan yang boleh membahayakan mereka.

"Jadi saya harap ada kerjasama antara guru dan penjaga,” katanya.

Gempar orang minyak kembali

Gempar orang minyak kembaliLelaki berkenaan melarikan diri dan terjun melalui tingkap bilik tidur Akmaliza sebelum menghilangkan diri.

MARANG -28 Sept Kelibat misteri seorang lelaki separuh bogel didakwa orang minyak muncul kembali di daerah ini walaupun ada yang menganggap gangguan itu sudah berakhir dengan tertangkapnya seorang lelaki berusia 42 tahun, Isnin lalu.

Mangsa terbaru, Sh Nor Akmaliza Tuan Ibrahim, 33, mendakwa melihat manusia separuh bogel berada berdekatan katil dalam bilik tidurnya kira-kira jam 5 pagi, Rabu lalu iaitu dua hari selepas lelaki 42 tahun itu ditangkap pasukan rondaan Rakan Muda.

Ibu tiga anak yang tinggal di Jalan Kampung Machang Lada itu berkata, kelibat manusia dipercayai seorang lelaki yang hanya memakai baju dan berseluar dalam tiba-tiba sahaja muncul dan berada berdekatan katil apabila dia tersedar daripada tidur.

“Saya yang terkejut terus menjerit sekuat hati menyebabkan ‘orang’ itu lari menuju ke arah tingkap bilik tidurdan terjun keluar sebelum. menghilangkan diri,” katanya kepada Sinar Harian.

Akmaliza berkata, walaupun dia tidak mengalami sebarang kecederaan, namun bersyukur kerana tiada barang dalam rumahnya hilang.

Namun dia kini mengalami trauma dan takut untuk tidur dalam bilik seorang diri.

“Saya bimbang perkara seperti ini berulang kerana suami sering pulang kerja lewat dan dia (suami) biasanya tidur di ruang tamu.

"Kami syak orang yang menceroboh rumah kami masuk melalui tingkap ruang tamu.

"Kami sudah pun buat laporan di Balai Polis Bukit Payung untuk tindakan lanjut dan turut mendapat perhatian Unit Kawalan Kampung (UKK) Padang Midin,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya mengesahkan menerima laporan mangsa.


Suspek guna 'ilmu'

Suami mangsa, Abdul Hadi Endut, 40, pula tidak menolak kemungkinan lelaki yang menceroboh rumahnya mempunyai 'ilmu' kerana dia berjaya melarikan diri tanpa meninggalkan sebarang jejak dalam tempoh singkat.

Pada Isnin lalu, seorang lelaki berusia 42 tahun diberkas sekumpulan ahli Rakan Muda (Pasukan Kesedaran Jenayah) selepas didapati berkeliaran dalam keadaan separuh bogel di Kampung Machang Lada.

Lelaki terbabit kemudiannya diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke hospital untuk menjalani pemeriksaan dan disahkan mengalami masalah mental.

Ketua UKK Padang Midin, Mohd Alimin Sharom, 30, berkata, pencerobohan terbaru itu menunjukkan lelaki yang diberkas sebelum ini tiada kaitan dengan kes orang minyak.

“Ini bermakna suspek sebenar masih bebas. Kami akan menggandakan usaha rondaan dan berjaga pada waktu malam agar kes ini dapat diselesaikan secepat mungkin,”katanya.

Turut mengulas perkara sama, Naib Ketua UKK Padang Midin, Mohd Faizul Abdul Rahman, 32, pula menyifatkan perkara itu agak mistik dan langkah berjaga-jaga sentiasa diambil walaupun belum ada penduduk yang dilaporkan cedera akibat kejadian itu.

"Kami berjaga malam untuk memastikan keselamatan kawasan terjamin dan akan sentiasa merujuk kepada pihak polis sebelum ambil apa-apa tindakan jika berjaya mengesan kehadiran 'orang minyak’ itu,” katanya.

Dalam pada itu, Adun Alor Limbat, Ariffin Deraman turut turun padang menyampaikan sumbangan kepada anggota rondaan UKK diketuai Mohd Alimin.

Beliau berharap, usaha unit rondaan itu dapat membantu pihak berkuasa mengesan suspek yang terlibat dengan segera.

Selain UKK Padang Midin, turut menjalankan rondaan ialah Belia Bestari (BBest) Kampung Padang Midin Kuala Terengganu dan Rakan Muda Terengganu.

Warga emas maut ditimpa pokok kelapa

Warga emas maut ditimpa pokok kelapaKeadaan mangsa ketika di tempat kejadian. Gambar kecil: Abdul Rashid.

TELUK INTAN -28 Sept Seorang warga emas dalam perjalanan menghantar barangan niaga ke Pasar Besar Teluk Intan maut ditimpa pokok kelapa, semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, kejadian berlaku di Jalan Sungai Nibong, di sini, kira-kira jam 9.15 pagi.

Katanya, mangsa, dikenali sebagai Abdul Rashid Tahir, 72, berasal dari Sungai Lampam, maut di tempat kejadian.

Menurutnya, ketika kejadian, mangsa menunggang motosikal jenis Honda EX5 seorang diri dari arah Sungai Nibong ke Pekan Teluk Intan.

“Setibanya di lokasi kejadian berhampiran sebuah kilang padi, secara tiba-tiba sebatang pokok kelapa yang sudah reput di sebelah kiri jalan tumbang.

“Mangsa yang kebetulan lalu di kawasan itu dihempap pokok kelapa dan maut di tempat kejadian,” katanya kepada pemberita.

Kok Liang berkata, mangsa terjatuh dan menyebabkan motosikal yang ditunggangi oleh warga emas itu bergerak lebih kurang 100 meter ke kanan jalan.

Menurutnya, orang ramai yang berada di tempat kejadian membantu mengalih batang pokok kelapa yang menghempap mangsa.

Katanya, mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan.

Beliau berkata, hasil daripada bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian organ dalaman.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Perompak tumbuk tauke kedai emas

Perompak tumbuk tauke kedai emasLokasi kedai emas yang nyaris disamun penjenayah dalam kejadian cubaan merompak, pagi semalam.

KUALA PILAH –28 Sept Seorang tauke kedai emas dekat sini cedera di muka dan kepala apabila ditumbuk penjenayah dalam satu kejadian cubaan merompak, kira-kira jam 9.30 pagi semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Superitendan Azmi Abdul Rahim berkata, mangsa, Chin Kaw, 67, tidak menyedari dirinya diekori empat penjenayah ketika ingin membuka kedai emasnya.

"Ketika sedang leka membuka pintu utama, mangsa didatangi empat lelaki bertopeng dan bersenjata dari arah belakang sebelum ditolak masuk ke dalam premis bagi mengelak dihidu pihak berkuasa serta orang ramai.

"Semasa kejadian, mangsa belum sempat meletakkan emas di dalam dulang pameran. Jadi, penjenayah berkenaan memaksa mangsa membuka peti besi tersebut.

"Namun, mangsa ditumbuk di bahagian muka kerana enggan kerjasama ketika disuruh membuka peti besi berkenaan," katanya.

Menurut Azmi, meskipun berada dalam ketakutan, mangsa bertindak bijak apabila melengahkan masa untuk membuka peti simpanan tersebut.
"Selang lima minit, salah seorang penjenayah yang sedang menunggu di dalam sebuah kereta di hadapan pintu masuk kedai emas berkenaan menjerit  ke arah empat rakannya agar keluar dari premis kerana terlihat kereta peronda polis berada di kawasan tersebut," katanya.

Kata Azmi, kesemua suspek dipercayai melarikan diri ke arah Seremban dengan menaiki kereta jenis BMW berwarna biru perak nombor pendaftaran.

"Mangsa tidak mengalami kerugian harta benda namun cedera di bahagian muka dan kepala.

Lori balak hempap kereta, garaj

Lori balak hempap kereta, garaj
Keadaan lori balak yang turut berdepan kerosakan.


KUALA KRAI- 28 Sept Empat sekeluarga bersyukur kerana terselamat dalam kejadian sebuah lori sarat muatan balak terbalik dan menghempap kereta serta garaj rumah mereka yang merupakan sebuah rumah kedai di Kampung Enggor, dekat sini, Selasa lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, pemandu kenderaan terbabit yang merupakan warga tempatan berusia 60 tahun cedera ringan di beberapa bahagian badannya.

Lori balak hempap kereta, garaj
Khaidzir melihat keretanya yang rosak teruk akibat dihempap lori balak
di halaman rumahnya
Mangsa, Khaidzir Ibrahim, 32, yang juga seorang peniaga kedai makan berkata, ketika kejadian dia sedang membaca surat khabar di hadapan rumahnya.

Menurutnya, secara tiba-tiba dia dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat dari arah jalan sebelum ternampak sebuah lori menghempap kereta dan garaj rumahnya.

“Saya berlari ke arah lori terbabit dan ketika itu, saya hanya terfikir nak selamatkan pemandunya sebelum melihat kesan kerosakan yang saya alami.

“Selepas pemandu lori berjaya diselamatkan, saya melihat garaj runtuh, kereta pula rosak teruk,” katanya.

Khaidzir berkata, kejadian tidak diduga itu menyebabkan dia seolah-olah patah kaki kerana kereta digunakan setiap untuk keluar ke pasar membeli barangan jualan dan menghantar anak ke sekolah rosak teruk.

Kejadian itu menyebabkan dia kerugian kira-kira RM16,000 dan satu laporan polis dibuat di Balai Polis Kuala Krai.

Isterinya, Hayati Hamat, 27, yang sarat mengandung masih trauma dengan kejadian menimpa keluarganya sehinggakan dia sukar untuk melupakan kejadian itu.

Katanya, dia sering ketakutan apabila mendengar bunyi kuat dari jalan yang hanya terletak beberapa meter dari rumahnya.

“Setiap kali dengar bunyi kuat enjin kenderaan, saya mula takut, bimbang kejadian sama berulang. Apa pun saya bersyukur kami semua selamat,” katanya.

Ketika kejadian, anak keduanya, Norshuhada, 6, hanya berada di dinding bersebelahan dengan garaj tempat suaminya meletakkan kereta, sementara anak sulungnya, Mohd  Faizul,9, ke sekolah.

Wanita cari 'port' sesuai terjun bangunan

Wanita cari 'port' sesuai terjun bangunanMayat Sau Chian ditemui di tepi tangga Flat Taman Pakatan, Bercham dipercayai terjatuh dari tingkat empat bangunan itu, malam tadi.

BERCHAM - Seorang wanita sanggup menempuh perjalanan sejauh lebih 10 kilometer dipercayai bertujuan mencari 'port' sesuai sebelum bertindak terjun bangunan, malam tadi.

Wanita dikenali Chong Sau Chian yang tinggal di Taman Liew Yap Sin, Gunung Rapat di sini, dikatakan membawa diri ke kawasan perumahan Flat Taman Pakatan itu sebelum ditemui mati dipercayai akibat terjatuh dari rumah pangsa empat tingkat itu.

Wanita berusia 46 tahun itu juga dipercayai telah mengelar pergelangan tangan kanannya sebelum mayat mangsa dijumpai seorang penduduk yang menyedari banyak anjing menyalak kuat di kawasan berhampiran tangga bangunan itu.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, pihaknya menerima panggilan awam kira-kira jam 9.15 malam sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

"Tibanya di kawasan terbabit, kelihatan seorang wanita tertiarap di atas jalan dipercayai terjun dari tingkat empat.

"Namun, wanita terbabit disahkan telah meninggal dunia selepas pembantu perubatan dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) melakukan pemeriksaan atas badan wanita terbabit" katanya di sini, malam tadi.

Menurutnya, hasil bedah siasat mendapati punca kematian konsisten dengan jatuh dari tempat tinggi.

"Hasil pemeriksaan di tempat kejadian tidak menemui sebarang senjata mahupun racun.

"Bagaimanapun, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Remaja tawar khidmat seks RM50 - RM80

Remaja tawar khidmat seks RM50 - RM80Remaja berusia 16 tahun (kanan) ini ditahan ketika berpeleseran di sekitar pekan Kulim.

KULIM - Seorang remaja berusia 16 tahun, di sini, sudah melakukan kegiatan pelacuran sejak berusia 14 tahun setelah diperkosa beberapa kali oleh teman lelakinya.
Remaja berkenaan yang ditahan polis dalam rondaan cegah jenayah mengakui, gemar melakukan aktiviti tidak bermoral itu dengan mengenakan bayaran antara RM50 hingga RM80.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, ketika kejadian, remaja bawah umur yang berpeleseran di pekan Kulim ditahan kira-kira jam 3.30 pagi semalam ketika sedang menunggang motosikal jenis Honda EX5.

"Remaja ini menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan bagaimanapun apabila ditahan, polis mendapati dia pernah ditahan polis beberapa kali sebelum ini kerana berpeleseran," katanya.

Sinar Harian kemudiannya mendekati remaja terbabit dan bertanya sama ada masih bersekolah atau sebaliknya.
Remaja ini kemudiannya menyatakan dia tidak ke sekolah kerana tidak berminat dalam pelajaran.
Menurutnya, dia tinggal bersama beberapa rakan lain dan melakukan kegiatan pelacuran untuk menampung perbelanjaan.

“Ada kalanya saya tinggal di rumah rakan lelaki sehingga beberapa hari. Sepanjang bersama mereka saya akan diberikan makanan dan tempat tidur.
"Sebelum ini saya pernah bekerja di Pulau Pinang bagaimanapun berhenti kerana jauh," katanya.
Ditanya mengenai pelanggannya, remaja ini menjelaskan kebanyakan pelanggannya terdiri daripada mat motor.
"Mereka akan membawa saya balik ke rumah untuk melakukan hubungan seks.
"Walaupun terpaksa melayani beberapa lelaki dalam satu masa, saya tetap melakukannya kerana suka dengan layanan ketika melakukan hubungan seks," katanya.
Tambahnya, pelajar sekolah juga ada menggunakan khidmat seks daripadanya dan bayaran yang dikenakan lebih murah berbanding pelanggan yang sudah bekerja.
Menurutnya, sehingga kini tidak ada mana-mana pihak yang pernah menahannya kerana terlibat dalam kegiatan pelacuran kerana ia dilakukan secara senyap.
Katanya, dia senang melakukan kegiatan itu kerana mudah mendapatkan wang.

Lebih 70 terperangkap dalam bangunan runtuh


Lebih 70 terperangkap dalam bangunan runtuh
Operasi menyelamat dilakukan 24 jam bagi mengurangkan risiko angka kematian.
MUMBAI - INDIA. Lebih 70 dikhuatiri terperangkap selepas bangunan kediaman lima tingkat runtuh di Mumbai.

Timbalan Pesuruhjaya polis Tanaji Ghodge berkata, bangunan itu runtuh jam 6 pagi (waktu tempatan).

"Maklumat awal seramai empat terbunuh (sehingga jam 10 malam waktu tempatan).  Jumlah korban mungkin bertambah.

“Runtuhan berpunca daripada tangki air yang tiba-tiba runtuh dari atas bangunan. Bangunan berusia 35 tahun itu didiami 22 keluarga,” katanya.

Media melaporkan, bangunan miliki Perbadanan Niaga Mumbai, di timur bandar raya ranap sepenuhnya.

“Pasukan penyelamat berusaha mengalihkan timbunan blok konkrit untuk membolehkan mangsa dibawa keluar. Sebanyak 15 ambulans dan 24 jentera bomba berada di lokasi,” menurut laporan itu.

Laporan menambah, dipetik dari AP operasi mencari dan menyelamat dilakukan 24 jam.

18 maut bas meletup

Foto
SUKARELAWAN Pakistan mencari mangsa yang maut dalam serangan bom memusnahkan bas membawa kakitangan kerajaan di Peshawar, semalam.
Peshawar: Sekurang-kurangnya 18 kakitangan kerajaan terbunuh apabila bom meranapkan sebuah bas di barat laut Pakistan, semalam.
Lebih 40 lagi cedera dalam serangan ke atas bas yang disewa kerajaan Khyber Pakhtunkhwa untuk membawa petugas wilayah berkenaan ke tempat Letupan berlaku di pinggir Peshawar, ibu kota wilayah itu yang menjadi sasaran serangan Taliban sejak sekian lama.

Ketua polis Khyber Pakhtunkhwa, Nasir Durrani berkata, bom yang dihidupkan dengan alat kawalan jauh itu diletakkan di belakang bas berkenaan.
Saksi berkata, letupan itu begitu kuat sehingga mangsa tercampak dari bas sebelum jatuh bergelimpangan di atas jalan raya.

Kakitangan kerajaan, Sahibzada Mohammad Anis berkata bas berkenaan dalam perjalanan ke bandar Charsadda apabila letupan berlaku. Jun lalu serangan hampir serupa pernah berlaku di pinggir Peshawar dan mengorbankan 19 orang. Peshawar dianggap ditadbir secara separa autonomi dan menjadi tempat perlindungan anggota al-Qaeda serta pemberontak Pakistan dan Afghanistan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/28

Drebar treler roti nyaris maut


Parit Buntar: Seorang pemandu treler nyaris maut apabila kenderaan yang dinaikinya dihempap pokok yang tumbang berhampiran sebuah pasar raya di Jalan Perusahaan, Kawasan Perindustrian di sini, petang kelmarin.

Saksi kejadian, Lee Sin Chew, 45, berkata, dalam kejadian jam 3 petang, dia baru pulang daripada membeli barangan di sebuah pasar raya di sini sebelum mengekori sebuah treler yang membawa muatan roti.


Menurutnya, ketika itu cuaca mendung dan angin bertiup kencang apabila secara tiba-tiba pokok di tepi jalan raya tumbang dan menghempap bumbung treler di depannya.

“Saya segera memberhentikan kenderaan kerana bimbang treler itu terbabas,” katanya.


Menurutnya, sejurus treler itu berhenti, dia segera memeriksa pemandu treler itu dan mendapatinya hanya cedera ringan dan keluar mengikut tingkap di bahagian pemandu.


“Mujurlah tiada kelindan yang menaiki treler itu. Jika tidak, sudah pasti kejadian tidak diingini menimpanya berikutan bahagian tempat penduduk penumpang paling teruk terjejas,” katanya.

Sementara itu, mangsa kejadian hanya ingin dikenali Rajesh berkata, dia dalam perjalanan untuk pulang ke kilang selepas menghantar stok roti kepada pembekal di sekitar kawasan itu.


“Saya terkejut mendapati sebatang pokok tumbang lalu menghempap bahagian bumbung treler. “Dentuman kuat itu menyebabkan saya tergamam dan cuba menyelamatkan diri dengan keluar dari treler. Saya juga bernasib baik kerana tidak mengalami kecederaan teruk,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/28

Ajal dihempap pokok kelapa

Teluk Intan: “Saya nampak pokok kelapa itu tumbang dan jatuh atas jalan. Sebaik meninjau, saya terkejut apabila melihat seorang penunggang motosikal dalam keadaan tenat akibat dihempap pokok berkenaan,” kata saksi yang melihat kejadian malang seorang lelaki warga emas maut dihempap pokok kelapa di Jalan Sungai Nibong, berhampiran kilang Bernas, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 9.15 pagi, mangsa Abdul Rashid Tahir, 72, dari Parit 15 - A, Sungai Lampam, di sini, menunggang motosikal Honda EX-5 dan dalam perjalanan dari rumahnya ke pasar besar Teluk Intan untuk menghantar ragi kepada peniaga di pasar berkenaan.
Difahamkan, apabila mangsa sampai di hadapan kilang beras, pokok kelapa itu tumbang ditiup angin kencang, sebelum menghempapnya menyebabkan mangsa terjatuh di atas jalan, manakala motosikalnya terseret kira-kira 40 meter dan terjunam ke dalam parit berhampiran.

Menurut saksi, Zuhairi Mohd Ibrahim, 46, yang juga pengawal keselamatan di kilang beras itu, dia nampak pokok kelapa berkenaan tumbang dan jatuh atas jalan, namun pada mulanya tidak perasan ada orang yang kena dihempap.
Foto
MANGSA maut akibat dihempap pokok kelapa yang sudah reput.

“Sebaik keluar untuk meninjau, barulah saya nampak seorang lelaki terbaring dengan mengalami kecederaan teruk di dada dan perutnya.

18 penduduk maut disengat tebuan


Beijing: Satu siri serangan tebuan yang luar biasa di tengah China membunuh sekurang-kurangnya 18 orang.

Pegawai kesihatan di bandar Angkang, wilayah Shanxi, Zhou Yuanhong semalam berkata, lebih 100 orang di kawasan itu disengat tebuan sejak beberapa bulan lalu dan dirawat di Hospital Pusat Angkang, tetapi 18 daripadanya meninggal dunia.


Akhbar tempatan Huashangbao bagaimanapun melaporkan 21 maut di hospital.

Zhou berkata, segelintir penduduk terbunuh setiap tahun di wilayah itu akibat disengat tebuan terutama berhampiran kawasan hutan, tetapi tahun ini serangan semakin menjadi-jadi berikutan perubahan cuaca. - AP

Hampir maut terkena renjatan elektrik


Beijing: Seorang lelaki yang terkena renjatan elektrik selepas memanjat tiang elekrik setinggi 10 meter dan tersentuk kabel terselamat selepas kakinya terbelit, mengelaknya daripada jatuh ke bawah.

Lelaki dari Huian, Fujian yang dipercayai menghidap sakit mental itu, memanjat tiang berkenaan sebelum tersentuk kabel elektrik di atasnya.


Saksi berkata, mereka mendengar bunyi dentuman kuat ketika mangsa terkena renjatan.

Namun, selepas terselamat daripada renjatan, kaki lelaki berusia 28 tahun itu terbelit menyebabkan dia tergantung di tiang berkenaan.


Saksi yang melihat kejadian segera menghubungi pihak berkuasa sebelum ambulans, bomba dan juruteknik syarikat bekalan elektrik tiba.


Petugas penyelamat kemudian membawa lelaki terbabit turun dan dia segera dikejarkan ke hospital. Seorang saksi yang tidak mahu dikenali berkata: “Saya berjalan di bawah tiang elektrik itu dan tiba-tiba terdengar bunyi dentuman seperti mercun.

“Apabila melihat di atas, saya terkejut ternampak seorang lelaki tergantung dengan posisi kepalanya ke bawah,” katanya. Syarikat bekalan elektrik berkata, kabel elektrik itu menjana tenaga elektrik sebanyak 10 Kilowatt. Menurut pekerja syarikat elektrik, lelaki berkenaan memang sangat bertuah kerana masih hidup walaupun terkena renjatan. - Agensi