Search This Blog

Thursday, September 26, 2013

Gempa wujud pulau baru


Quetta: Pasukan mencari dan menyelamat Pakistan bertungkus-lumus menyelamatkan ribuan penduduk yang cedera dan kehilangan tempat tinggal selepas rumah mereka ranap dalam gempa bumi kuat, di barat laut negara itu ketika angka kematian meningkat kepada 327 orang, kata pihak berkuasa.


Foto
Mangsa yang terselamat berjalan di atas runtuhan rumah akibat
gempa bumi di Awaran, Baluchistan, semalam. - Foto REUTERS
Foto


2013/09/26
gambar sebelum  gambar berikut
Sebuah pulau kecil muncul berhampiran Pelabuhan Gwadar di Laut Arab selepas gempa bumi melanda Awaran, Baluchistan, kelmarin. - Foto AFP


Gempa dengan magnitud 7.7 menggegarkan daerah terpencil Awaran di wilayah Baluchistan, tengah hari kelmarin.. Ia dirasai sejauh New Delhi, ibu kota India yang terletak 1,200 kilometer, namun tiada kerosakan atau kecederaan dilaporkan di sana.
Seorang pegawai wilayah, Setiausaha Dalam Negeri Tambahan Baluchistan, Zahid Maqsood meletakkan angka kematian kepada 210 orang dan 375 cedera, sementara seorang jurucakap kerajaan wilayah, Jan Mohammad Bulaidi, meletakkan angka kematian kepada 216 orang.

Pada masa sama pihak berkuasa Pakistan menyiasat sama ada gempa bumi kuat mewujudkan sebuah pulau baru di luar pantai selatan negara itu.

Ketua pengarah Jabatan Meteorologi Pakistan, Arif Mahmood, berkata saksi melaporkan sebuah pulau kecil muncul berhampiran Pelabuhan Gwadar di Laut Arab dan boleh dilihat dari pantai.

“Gempa mungkin menyebabkan bumi di bawah laut naik, namun pihak berkuasa perlu menyiasat perkara itu,” katanya.

Penduduk ketakutan
Bandar di Pakistan seperti Karachi di sepanjang Laut Arab dan Quetta, ibu kota wilayah Baluchistan, menyaksikan penduduk yang ketakutan berlari ke jalan raya dan berdoa untuk keselamatan mereka.

Tentera Pakistan berkata, mereka menghantar anggota dan helikopter ke Awaran dan kawasan berhampiran di Khuzdar.

Pihak berkuasa tempatan turut menghantar doktor, makanan dan 1,000 khemah untuk mangsa ketika gempa susulan kuat terus menggegarkan rantau itu. Kebanyakan mangsa terbunuh dihempap runtuhan rumah.
AP

4 cedera helikopter terhempas berhampiran Gunung Everest


2013/09/26
KATMANDU (Nepal): Sekurang-kurangnya empat cedera apabila sebuah helikopter terhempas ketika cuba mendarat berhampiran Gunung Everest hari ini.

Pegawai polis, Badri Bikram Thapa, berkata helikopter milik syarikat penerbangan tempatan, Dynasty Airlines sedang menuju ke lapangan terbang Lukla apabila terhempas di pagar kawat lapangan.
Susulan kejadian itu, helikopter berkenaan terbakar namun penumpang di dalam pesawat berkenaan - semua warga Nepal - berjaya menyelamatkan diri. Bagaimanapun, seorang daripada mereka parah dan sudah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut. - AP 

Cari mayat, bom di pusat beli-belah


2013/09/26
Nairobi: Tentera Kenya dan pekerja penyelamat memulakan usaha mencari mayat dan jerangkap samar, di sebuah pusat beli-belah di ibu negara Kenya selepas kepungan empat hari menyebabkan 67 terbunuh, manakala berpuluh lagi masih hilang.

Penyelamat memakai topeng muka, manakala sebilangan askar menggunakan penutup mulut bagi mengelak bau busuk di pusat beli-belah Westgate, antara gedung terkemuka di Nairobi yang sebahagian besarnya runtuh akibat letupan dan kebakaran.
Presiden Uhuru Kenyatta mengumumkan pertumpahan darah 80 jam berakhir semalam dengan 61 orang awam dan enam askar maut.

63 masih hilang

Polis berkata, angka kematian dijangka meningkat, manakala Palang Merah Kenya menyatakan 63 masih hilang.

Di Kenya, bendera dikibarkan separuh tiang bagi tempoh berkabung tiga hari.
Ketua perkhidmatan awam Kenya, Francis Kimemia, berkata pakar forensik dari Amerika, Britain dan Israel membantu penyiasat Kenya.
Seorang wartawan AFP di luar pusat beli-belah Westgate yang dipenuhi kesan peluru melaporkan anjing pengesan digunakan untuk mencari bahan letupan serta mangsa yang tertimbus di celah runtuhan bangunan.

“Mereka memeriksa bahan letupan yang mungkin tertinggal, “ kata sumber sambil menambah robot kawalan jauh turut digunakan.

Dalam kejadian empat hari lalu dan paling buruk dalam sejarah Kenya, militan menyerbu tingkat empat bangunan pusat beli-belah milik Israel itu, melepaskan tembakan rambang menggunakan senjata automatik dan melempar bom.

Warga asing turut maut

Antara yang terkorban termasuk anak saudara presiden, warga asing iaitu enam rakyat Britain, dua Kanada, dua wanita Perancis, dua rakyat India dan masing-masing seorang wanita Belanda, warga Afrika Selatan, China dan Korea Selatan.

Lima penyerang maut, manakala 11 suspek ditahan.

Kumpulan itu berkata, serangan dilakukan sebagai balas dendam berikutan tindakan ketenteraan Kenya ke atasnya.
AP

Datuk Seri dibebas polis

Foto
ANGGOTA polis mengiringi seorang daripada dua lelaki (kanan) di LTAPP.

Foto
ANGGOTA polis mengiringi seorang daripada dua lelaki (kanan) di LTAPP.
Oleh Isma Ismail dan Hadzlihady Hassan
Georgetown: Dua lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan selepas didapati membawa masuk bahan berkaitan bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng, ke negara ini malam kelmarin, dibebaskan awal pagi semalam dengan jaminan polis.

Dua lelaki berkenaan, seorang lelaki dipercayai bergelar Datuk Seri berusia 59 tahun dan seorang rakyat Hong Kong berusia 66 tahun ditahan sejurus keluar dari pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), kira-kira jam 9.50 malam, kelmarin.


Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Mohd Hatta Mohd Zain berkata, kedua-dua lelaki terbabit dibebaskan selepas keterangan diambil.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya masih menyiasat kes berkenaan, namun enggan mengulas lanjut.


“Selepas merekodkan keterangan mereka, kedua-duanya dibebaskan dengan jaminan polis dan kes berkenaan masih disiasat,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, pihaknya merampas 12 naskhah buku, lapan cakera padat digital (DVD) dan 11 uncang cenderahati daripada kedua-dua lelaki terbabit.


Menurutnya, mereka ditahan mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (Pindaan) 2012 untuk membantu siasatan.

Pelajar baru tiba ditahan bersama dadah


KUALA LUMPUR: Polis merampas dadah syabu seberat 8.04 kilogram yang disorok dalam beg milik dua penuntut sebuah kolej di sini yang baru tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 1.10 pagi tadi.

Pengarah Jabatan Narkotik Bukit Aman Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, penuntut lelaki dan wanita berusia 20-an itu baru tiba dari Chennai, India dipercayai menjadi keldai dadah didalangi sindiket dadah Nigeria.
Menurutnya, hasil risikan dan maklumat pihaknya mendapati sindiket dadah Nigeria kembali aktif dan menggunakan keldai dadah untuk menyeludup dadah.

"Dalam operasi sejak Isnin lalu di Klia kita telah berjaya merampas dadah jenis syabu dan kokain bernilai RM1.5 juta," katanya.

70 pelajar histeria


KUANTAN: Seramai 70 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tok Sira mengalami histeria selepas mendakwa mendengar bisikan yang menyuruh mereka terjun dari tingkat tiga bangunan sekolah terbabit tengah hari tadi.

Kejadian itu dipercayai berkaitan dengan insiden dua pelajar sekolah berkenaan yang bertindak terjun dari salah satu bangunan itu pada Mei dan awal bulan ini.
Seorang pelajar lelaki tingkatan tiga maut terjun dari tingkat satu sebuah bangunan pada 22 Mei lalu.

Kejadian hampir sama berulang pada 3 September lalu apabila cedera parah selepas terjun dari tingkat tiga bangunan sekolahnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/26

Sindiket DVD haram miliki pistol tiruan, gari

Foto
MOHD Shukri (kanan) menunjukkan pistol tiruan dan gari yang dirampas.
Shah Alam: Satu sindiket yang menjalankan penjualan DVD cetak rompak dan lucah di Selangor dikesan turut memiliki beberapa kelengkapan kepolisan termasuk memiliki pistol tiruan, peluru bebola besi dan plastik serta gari.
Penemuan bahan itu diperoleh dalam dua siri serbuan operasi dikenali ‘Ops Ostrich’ oleh sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor Jumaat lalu yang turut merampas 8,179 DVD cetak rompak dan lucah. 
Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, serbuan pertama dibuat di sebuah unit kondominium mewah di Petaling Jaya yang dipercayai turut dijadikan stor penyimpanan DVD pada jam 11.30 pagi.

Menurutnya, unit berkenaan diserbu susulan penahanan seorang lelaki warga Myanmar berusia 30 tahun di kawasan kondominium berkenaan sebelum seorang lelaki dan wanita tempatan berusia 25 dan 41 tahun ditahan di tempat letak kereta kondominium berkenaan beberapa minit kemudian.

“Dalam serbuan itu, kita merampas pelbagai jenis DVD filem dalam dan luar negara termasuk filem lucah yang disimpan di kondominium berkenaan sebelum diedarkan untuk pasaran di negeri ini dianggarkan bernilai RM60,000.

“Selain DVD, polis turut merampas sepasang gari, dua kotak kosong yang digunakan untuk menyimpan pistol, dua kelopak pistol, sarung pistol, peluru plastik dan bebola besi, pisau lipat dan lampu suluh,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Beliau berkata, pada jam 2 petang hari sama, suspek lelaki warga tempatan yang ditahan itu membawa polis ke premis menjual DVD cetak rompak di sebuah kompleks beli-belah di Petaling Jaya.
“Hasil pemeriksaan, polis menemui sepucuk pistol tiruan jenis Milspec bersama kelopak peluru kosong. dan akan menyiasat motif suspek menyimpan pistol tiruan di premis berkenaan.

“Polis tidak menolak kemungkinan ia digunakan untuk kegiatan jenayah serta menakutkan orang awam,” katanya.

Katanya, sindiket pengedaran DVD cetak rompak itu dipercayai bergiat aktif sejak setahun lalu dan siasatan lanjut untuk mengesan pengeluarnya sedang dijalankan.

Mohd Shukri berkata, siasatan lanjut polis mendapati suspek warga Myanmar yang ditahan hanya memegang kad ‘Malaysia Karen Organization (MKO) yang berfungsi sama dengan kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR).
Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/24

Bas langgar belakang treler di lorong kiri


Kulaijaya: Tiga maut dan 14 cedera dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah bas ekspres dan sebuah treler membawa muatan papan di Kilometer 45.9, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, di sini, jam 5.50 pagi, semalam.

Tiga yang maut membabitkan pemandu kedua bas, R Shashi Kumar, 23, penumpang bas, Edi Setiono, 41, dan pemandu treler, A Majid Sadar Mohd, 59.


Shashi Kumar dari Taman Bemban Utama, Melaka, Edi dari Tanjung Sengkuang, Batu Ampar, Indonesia, manakala A Majid dari Taman Desa Permai, Gemas, Negeri Sembilan. Ketua Polis Daerah Kulaijaya Superintendan Zulkefly Yahya berkata, Shashi Kumar dan Edi maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.

“Shashi Kumar dan Edi parah dan mayat mereka dibedah siasat di Hospital Kulai.


“A Majid pula disahkan mati di Hospital Kulai akibat serangan jantung, ia mungkin kesan daripada kemalangan terbabit,” katanya.


Zulkefly berkata, kemalangan berlaku apabila bas ekspres dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur sebelum ke Johor Bahru itu melanggar belakang treler berkenaan yang ketika itu berada di lorong kiri.

Zulkefly berkata, semua penumpang cedera dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Kulai sebelum dibenarkan pulang.

Tukar tarikh cek

Kuala Lumpur: Licik apabila seorang lelaki yang menyamar sebagai ejen hartanah dikesan menipu pemilik premis perniagaan dengan menukar tarikh pada cek yang dibayar kepadanya agar ia dapat ditunaikan lebih awal.
Lelaki itu akan mengubah angka satu menjadi sifar sebelum menunaikan cek berkenaan ke dalam akaunnya.

Tindakan itu difahamkan bertujuan menjadikan tarikh cek diterimanya itu dapat ditunaikan lebih awal dari tarikh cek yang diberikan pelanggan kepada pemilik premis.
Lebih malang lagi, pelanggan yang dimaksudkan lelaki itu sebenarnya tidak wujud, malah semua dokumen yang diserahkan kepada pemilik premis termasuk cek yang dibayar juga palsu.

Seorang mangsa yang juga ahli perniagaan syarikat rekaan dalaman, Yeo Kee Teng, 49, berkata, suspek yang dikenali sebagai Albert Yu itu menghubunginya dan memberitahu seorang wanita mahu menyewa premis dua tingkat miliknya di Kajang seperti yang diiklankan dalam sebuah akhbar, Mac lalu.

“Selepas perbincangan diadakan dan kedua-dua pihak bersetuju, saya meminta bakal penyewa membuat bayaran deposit sebanyak RM12,800 dan pembayaran itu dibuat melalui cek bertarikh 12 April 2013.
Foto
YEO (tengah) bersama Chong (kanan) menunjukkan dokumen palsu diberikan suspek.
“Beberapa hari kemudian, Albert menyerahkan cek itu kepada saya dan meminta membayar komisien kepadanya secara tunai, namun saya enggan berbuat demikian kerana bimbang ditipu memandangkan cek yang diserahkan belum ditunaikan,” katanya.

Katanya, dia membayar komisien lelaki itu melalui cek bertarikh 19 April iaitu seminggu selepas cek pelanggan ditunaikan.
Menurutnya, seperti yang dijangka, cek yang diberikan wanita itu ditendang dan bank memberitahu akaun berkenaan sudah ditutup. Beliau kemudian menghubungi bank untuk membekukan cek yang diberikan kepada Albert, namun malangnya cek berkenaan sudah ditunaikan pada 9 April.

“Saya ke cawangan bank tempat Albert menunaikan cek itu dan mendapati dia sudah mengubah angka satu pada tarikh 19 menjadi sifar bagi membolehkan cek itu ditunaikan lebih awal.

“Semakan pada cek itu mendapati angka sifar yang tertera juga meragukan, malah pegawai bank berkenaan turut menasihatkan saya untuk membuat laporan polis kerana mengesyaki ditipu,” katanya.

Katanya, dia cuba menghubungi wanita yang dikatakan mahu menyewa premisnya namun nombor telefon berkenaan tiada dalam perkhidmatan dan percaya Albert hanya mereka-reka cerita untuk meyakinkannya.

Sementara itu, Pengerusi Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, sehingga kini pihaknya sudah menerima empat aduan berhubung kes penipuan mengubah suai cek disyaki daripada lelaki yang sama membabitkan kerugian mencecah RM64,500.

“Ada mangsa yang kerugian hingga RM40,000 gara-gara angka satu pada tarikh cek berkenaan,” katanya.

Drebar lori masuk jirat takut disaman


Kuala Lumpur: Dua pemandu lori yang takut disaman selepas memasuki pusat bandar pada waktu puncak sanggup melarikan diri ke kawasan jirat Cina berdekatan Sungai Besi, semalam.

Dua pemandu berusia 30 dan 50 tahun itu sedar dengan kesalahan mereka dan sanggup melarikan diri ke kawasan jirat berkenaan bagi mengelak disaman namun tindakan mereka disedari anggota dan pegawai yang sedang bertugas di kawasan itu.


Operasi yang dijalankan pasukan Penguat Kuasa Trafik Kuala Lumpur diketuai Asisten Superintendan Azmi Wahid itu sejak 18 September lalu dibuat dalam dua fasa semalam iaitu bermula jam 6.30 pagi hingga 9.30 pagi manakala fasa kedua pula dijalankan bermula jam 4.30 petang hingga 7.30 malam.

Sejak operasi itu dilancarkan, seramai 231 pemandu lori yang dikesan memasuki pusat bandar pada waktu puncak disaman.


Ketua Trafik Kuala Lumpur Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor berkata, operasi berkenaan akan diteruskan pada waktu pagi dan petang.


“Sehingga hari ini (semalam), seramai 231 pemandu lori disaman dan meskipun operasi ini sudah dihebahkan melalui media, mereka masih berdegil untuk terus masuk ke pusat bandar pada waktu puncak.

“Apabila kita menahan dan menyaman mereka, ada yang tidak berpuas hati terhadap anggota malah ramai yang cuba melarikan diri ke kawasan terpencil,” katanya kepada Harian Metro.


Katanya, operasi berkenaan dijalankan selepas mendapat aduan daripada orang awam mengenai kenderaan berat memasuki pusat bandar pada waktu puncak.

“Antara tumpuan operasi ialah Jalan Istana, Jalan Tun Razak, Jalan Cheras, Jalan Ipoh dan Jalan Ampang.


“Operasi ini akan diteruskan pada setiap hari bagi mengelak kenderaan berat memasuki pusat bandar pada waktu puncak yang boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas,” katanya.

Remaja maut elak sekatan jalan raya


Klang: Seorang remaja terbunuh selepas cubaannya melarikan diri dari sekatan jalan raya oleh sepasukan anggota polis di Jalan Meru, di sini, menyebabkan dia terbabit dalam kemalangan sebelum tercampak dan digilis sebuah kenderaan, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, mangsa yang berusia 18 tahun itu berpatah balik dan menunggang sambil melawan arus sebaik menyedari sekatan jalan raya sebelum dirempuh kenderaan. Anggota yang bertugas di sekatan itu kemudian bergegas membantu mangsa.


Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) akibat kecederaan di kepala.

Ketua Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara Asisten Superintendan Zawary Mahadi berkata, mangsa yang dalam perjalanan dari Klang ke Meru tercampak ke lorong tengah selepas mengelak Proton Wira Aeroback ketika cuba melarikan diri. Katanya, pada masa sama, mangsa yang bekerja sebagai kelindan lori itu dirempuh pula sebuah Toyota Camry yang tidak sempat mengelak.


“Selepas diperiksa, kita mendapati mangsa cuba melarikan diri kerana tidak memiliki lesen memandumenyebabkan dia sanggup menunggang sambil melawan arus bagi mengelak ditahan polis. “Bagaimanapun, cubaan mangsa gagal apabila mangsa tercampak ke lorong tengah laluan itu selepas terlanggar sebuah kereta dan dirempuh sebuah kereta lain,” katanya ketika dihubungi semalam. Menurutnya, orang ramai sepatutnya tidak perlu melarikan diri kerana tindakan itu hanya mengundang padah kerana tindakan mereka bukan hanya membahayakan diri sendiri malah pengguna jalan raya lain.


Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke HTAR kira-kira jam 12.30 malam dan mayat mangsa sudah dituntut ahli keluarganya dan akan dibawa pulang ke Sarawak untuk pengebumian,” katanya.

Hanya sempat laram sebulan

Foto
ANGGOTA polis melihat motosikal mangsa yang remuk teruk.
Tanjung Malim: Seorang anggota polis hanya sempat menunggang motosikal berkuasa tinggi yang baru dibelinya kira-kira sebulan, apabila dia menemui ajal dalam keadaan mengerikan akibat kemalangan, malam kelmarin.
Koperal Ramlan Ludin, 37, maut di lokasi kejadian selepas digilis di perut oleh sebuah kereta di Jalan Slim Lama, di sini, kira-kira jam 8.15 malam. Ketua Polis Daerah Tanjung Malim Superintendan Othman Nanyan berkata, ketika kejadian mangsa yang berasal dari Lawas, Sarawak dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kota Malim Prima, di sini.
Menurutnya, mangsa yang menunggang motosikal berkuasa tinggi Yamaha Z800 berlanggar dengan sebuah Proton Waja yang keluar dari arah simpang Taman Malim, di sini.

“Mangsa yang datang dari arah Tanjung Malim tidak sempat mengelak kereta itu yang cuba membuat pusingan U. Rempuhan kuat pada pintu kereta menyebabkan mangsa tercampak ke seberang jalan.


“Mangsa yang tidak sempat bangkit kemudian dirempuh pula sebuah Proton Saga BML. Pelanggaran itu menyebabkan mangsa mati di lokasi kejadian,” katanya.

Tak cukup licik

Foto
SHUKRI (kanan) menunjukkan barang yang dirampas dalam kes samun pada sidang media tangkapan dan rampasan kes samun dalam rumah di Ibu Pejabat Polis Kontijen Selangor, semalam.
Shah Alam: Bagi mendapatkan wang mudah, sepasang adik-beradik termasuk seorang pelajar sebuah kolej swasta memilih melakukan kerja ‘lebih masa’ bersama lima individu lain untuk melakukan samun bersenjata dengan mensasarkan wanita sekitar negeri ini dan beberapa negeri lain sejak setahun lalu.
Namun, kelicikan mereka yang menggunakan parang untuk menakutkan mangsa berakhir apabila dicekup sepasukan pegawai dari Bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di sebuah hotel di ibu negara kira-kira jam 11.30 pagi kelmarin.

Mereka yang biasanya menaiki kereta ketika melakukan jenayah menyasarkan wanita yang berada di kawasan rumah pada waktu pagi sebelum menyerbu dan mengacukan parang serta mengikat mangsa sebelum melarikan barangan berharga.


Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, siasatan polis mendapati suspek berusia 19 hingga 31 tahun itu mempunyai kaitan dengan 302 kes samun menggunakan modus operandi sama di sekitar negeri ini dan beberapa lagi kes di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor sejak setahun lalu.


Semua suspek ditahan sejurus polis menerima laporan daripada seorang suri rumah berusia 30 tahun yang disamun di hadapan rumahnya di Taman Rimbun Hijau, Country Height, Kajang, pagi kelmarin.

Penghantar tong gas ambil peluang cabul


Subang Jaya: Seorang pekerja kedai runcit di sebuah kondominium di USJ 8, di sini, mengambil peluang mencabul seorang remaja sebaik menyedari ibu remaja itu tiada di rumah ketika menghantar tong gas ke rumahnya, Isnin lalu.

Lelaki dipercayai warga Bangladesh berusia 20-an terbabit difahamkan sudah bekerja di kedai runcit kondominium itu sejak beberapa bulan lalu.


Ibu gadis berusia 13 tahun terbabit yang mahu dikenali Wong, 40, berkata dia mengetahui perbuatan jijik lelaki itu apabila anaknya menghubungi sebelum dia meminta bantuan jiran ke rumahnya di tingkat tiga.

“Ketika kejadian, saya sedang bekerja dan anak perempuan saya menghubungi memberitahu kehadiran lelaki itu. Saya memberitahunya memang ada menempah gas dua hari lalu (sebelum kejadian),” katanya ketika dihubungi, semalam.


Katanya, anak perempuannya kemudian membuka pintu dan membenarkan lelaki terbabit masuk ke bahagian dapur untuk meletakkan tong gas berkenaan.


“Namun, mengejutkan apabila lelaki itu secara tiba-tiba bertindak membuka seluar dan mengeluarkan kemaluannya. Lelaki berkenaan turut memegang dan meraba keseluruhan badan anak saya.

“Anak saya yang terkejut dengan tindakan itu berjaya melepaskan diri dan berlari ke bahagian dapur lalu menghubungi saya,” katanya.


Wong berkata, dia segera menghubungi jiran meminta bantuan sebaik panik mengetahui insiden menimpa anak gadisnya itu.

Katanya, lelaki berkenaan kemudian bertindak melarikan diri sejurus menyedari kehadiran jirannya.


Berikutan itu, Wong membawa anak gadisnya itu membuat laporan di Balai Polis USJ 8.


Difahamkan, lelaki itu kini sudah menghilangkan diri selepas kejadian.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya Superintendan Tan Ah Chua mengesahkan menerima laporan berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.

Polis Sudan lepas gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan

KHARTOUM 25 Sept. - Polis Sudan terpaksa melepaskan gas pemedih mata ke atas penunjuk perasaan antikerajaan kerana menentang kenaikan harga bahan api di bandar ini semalam.
Penunjuk perasaan berkumpul di bangunan universiti dan beberapa stesen minyak serta menyekat jalan utama yang menuju ke lapangan terbang berhampiran Hotel Rotana.
Seorang wartawan Reuters menyaksikan polis melepaskan tembakan serentak ke arah penunjuk perasaan yang berkumpul manakala beratus-ratus lagi pegawai dan agen keselamatan bergegas ke pusat bandar. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130926/lu_02/Polis-Sudan-lepas-gas-pemedih-mata-ke-arah-penunjuk-perasaan#ixzz2fzxqmCDS
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Dalang tipu kuota rumah Bumiputera


2013/09/26
Kuala Lumpur: Sindiket didalangi pegawai pemasaran yang bersekongkol dengan pemaju swasta dikesan mengaut keuntungan lumayan dengan memanipulasi kuota 30 peratus diperuntukkan kepada pembeli Bumiputera bagi projek perumahan yang dibina syarikat terbabit.

Selain mengaut keuntungan, operasi sindiket terbabit turut menjejaskan peluang pembeli Bumiputera untuk memiliki rumah.
Modus operandi sindiket itu sengaja menyatakan kuota untuk Bumiputera sudah habis dijual apabila ada pembeli Bumiputera ingin membeli rumah terbabit, sedangkan ia sebenarnya belum habis dijual. 

Bekas taikun media Thailand dipenjara hina institusi diraja


SONDHI tiba di mahkamah jenayah di Bangkok semalam.- Reuters


BANGKOK - Sebuah mahkamah Thailand semalam menjatuhkan hukuman penjara dua tahun ke atas seorang pengasas kumpulan baju kuning kerana menghina institusi diraja negara ini.
Tertuduh, Sondhi Limthongkul menerima hukuman itu selepas beliau didakwa mengulangi petikan ucapan seorang akti- vis kumpulan baju merah, Daranee Charnchoengsilpakul yang menghina institusi diraja Thailand.
"Tertuduh tidak mempunyai alasan untuk mengulangi komen yang dibuat oleh seteru politiknya di tempat awam," kata seorang hakim di sebuah mahkamah di sini.
Kumpulan baju merah merupakan penyokong setia bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra.
Daranee dihukum penjara selama 15 tahun pada tahun 2011 ekoran kenyataannya itu.
Thailand mempunyai undang-undang lese-majeste yang mengenakan hukuman penjara maksimum 15 tahun terhadap mereka yang menghina keluarga diraja negara itu.
Pemimpin demonstrasi itu yang menerajui kumpulan Perikatan Demokrasi Rakyat (PAD) dari tahun 2005 hingga 2008 pernah menggulingkan dua pemerintahan Thailand.
Thaksin digulingkan menerusi rampasan kuasa tentera pada tahun 2006.
Sondhi yang juga bekas taikun media Thailand hadir ke mahkamah, namun tidak memberikan sebarang kenyataan.
Beliau dibenar diikat jamin selepas membayar sebanyak AS16,000 (kira-kira RM51,773).
Peguam Sondhi, Suwat Apaipakdi berkata, anak guamnya akan membuat rayuan di Mahkamah Agung. - Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1002&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_08.htm#ixzz2gVrZxB7P 
Hakcipta terpelihara 

Laporan palsu: Inspektor,lans koperal mohon bicara

Laporan palsu: Inspektor,lans koperal mohon bicaraMohd Daniel meninggalkan pekarangan Mahkamah Majistret Parit selepas selesai pertuduhan.

PARIT - Dua polis mohon dibicarakan atas pertuduhan membuat laporan palsu membabitkan seorang penjual mercun dan rokok seludup, Ogos tahun lalu, di Mahkamah Majistret Parit, semalam.

Tertuduh, Inspektor Mohd Shahrul Nizam Kaswadi, 29, dan Lans Koperal Mohd Daniel Chris Iman Raynold, 31, masing-masing bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Perak Tengah, didakwa melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Perak Tengah, kira-kira jam 1.12 pagi, 8 Ogos 2012.

Majistret Siti Hafiza Jaafar kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan kes berkenaan akan dipindahkan ke Mahkamah Ipoh untuk dibicarakan bersama bagi sebutan semula kes, 23 Oktober ini.

Terdahulu, Pendakwa Raya SPRM, Yang Ah Lay menawarkan jaminan RM5,000, bagaimanapun, peguam Kulvinder Singh mohon dikurangkan dengan alasan dua tertuduh terbabit sudah berkeluarga.

Menurut Kulvinder, tertuduh pertama, Inspektor Mohd Shahrul Nizam digantung kerja dan tidak mempunyai pendapatan, manakala isterinya suri rumah selain perlu menanggung ibu dan adik berusia 16 tahun kerana ayahnya sudah meninggal dunia.
Tertuduh kedua, Lans Koperal Mohd Daniel Chris pula berkhidmat dengan pasukan polis selama 11 tahun dan mempunyai tiga anak berusia 5, 6, dan 12 tahun juga digantung kerja menyebabkan mereka mempunyai masalah kewangan.

Pada 20 September lalu, dua tertuduh terbabit mengaku tidak bersalah menerima suapan RM2,200 daripada seorang penjual mercun dan rokok seludup, Rosnizal Badri Shah di Mahkamah Sesyen, Ipoh.

Jurutera cedera diragut

Jurutera cedera diragutMohd Kamal cedera teruk selepas motosikal ditunggang terbabas akibat diragut dua penjenayah.

JOHOR BAHRU - Seorang jurutera cedera selepas  motosikal ditunggang terbabas akibat diragut dua penjenayah di Jalan Skudai berhampiran jejambat menuju Angsana Mall, di sini, kelmarin.

Mangsa, Mohd Kamal Izzudin, 35, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 malam, ketika dia dalam perjalanan pulang dari Larkin menuju ke Gelang Patah sebelum menyedari diekori dua lelaki bermotosikal.

“Ketika dalam perjalanan, saya singgah sebentar di sebuah stesen minyak untuk ke tandas dan mengisi minyak.

“Selepas menyambung semula perjalanan, saya terlihat sebuah motosikal dinaiki dua lelaki seolah-olah mengekori saya," katanya, di sini, semalam.

Mohd Kamal berkata, ketika menghampiri jejambat berdekatan Angsana Mall, motosikal yang mengekorinya terus memotongnya dan salah seorang daripada mereka turut merampas beg sandangnya.

Katanya, kejadian itu menyebabkan motosikal ditunggang hilang kawalan dan terbabas apabila beg sandang yang dipakainya direntap sebanyak tiga kali oleh penjenayah berkenaan.

“Motosikal saya hilang kawalan dan penjenayah mengambil kesempatan mengambil beg pada badan saya dan terus melarikan diri.

“Kejadian berlaku begitu pantas. Saya tidak sempat mengecam nombor pendaftaran motosikal suspek malah mereka memakai helmet yang mempunyai penutup muka,” katanya.

Selain itu, Mohd Kamal memberitahu terpaksa berjalan kaki dalam keadaan cedera menuju ke Angsana Mall untuk meminta pertolongan.

“Saya cedera di bahagian bahu, kedua-dua tangan, lutut dan kaki. Saya terpaksa berjalan kaki dalam keadaan berdarah ke Angsana Mall untuk dapatkan bantuan.

“Dalam beg sandang tersebut terdapat dompet berisi wang tunai RM250, kad bank, dokumen penting serta dua telefon pintar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan mengesahkan kejadian berkenaan dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Tiga maut bas rempuh treler

Tiga maut bas rempuh trelerSuasana di lokasi kemalangan membabitkan bas ekspres dan treler.

KULAIJAYA – Tiga maut, manakala empat cedera parah dalam kemalangan melibatkan sebuah bas ekspres dua tingkat dengan sebuah treler muatan kayu di Kilometer 45.9 Lebuh Raya Utara Selatan (arah selatan) berhampiran susur keluar Sedenak, semalam.

Dalam kejadian jam 5.50 pagi itu, seramai 10 penumpang lain turut mengalami cedera ringan sementara selebihnya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mangsa yang maut adalah pemandu bas, R Shashi Kumar, 24, berasal dari Bemban, Melaka dan penumpang warga Indonesia, Edi Setiono, 51, kerana cedera parah setelah badan mereka ditembusi kayu seterusnya meninggal dunia di tempat kejadian.
Manakala pemandu treler, A Majid Sadar Mohd, 59 yang berasal dari Gemas, Negeri Sembilan pula dilaporkan meninggal dunia di Hospital Kulai akibat serangan jantung.

Selain itu, sebuah kereta jenis Mazda remuk berikutan pemandunya gagal mengawal kenderaan setelah melanggar longgokan kayu dari treler yang terjatuh ke atas jalan raya.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superitendan Zulkefly Yahya berkata, bas yang membawa 22 penumpang termasuk dua pemandu itu dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Johor Bahru.

“Kejadian berlaku apabila bas berkenaan merempuh bahagian belakang treler menyebabkan pemandu dan penumpang yang duduk di tingkat atas tersepit seterusnya meninggal dunia di tempat kejadian.

“Manakala 14 penumpang dibawa ke hospital dan empat daripadanya dilaporkan cedera parah termasuk pemandu kedua bas. Enam lagi terselamat,” katanya mengesahkan kejadian ketika ditemui di hospital, di sini.

Katanya, semua mangsa dibawa ke hospital Kulai untuk bedah siasat dan mendapatkan rawatan.

“Punca kejadian masih sedang disiasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Kejadian turut menyebabkan kesesakan jalan raya dari arah Kuala Lumpur ke Johor Bahru sejauh kira-kira empat kilometer,”katanya.

Pemandu maut rempuh treler rakan sekerja

Pemandu maut rempuh treler rakan sekerjaTreler yang terlibat dalam kemalangan berkenaan remuk teruk setelah merempuh treler di hadapannya.

BATU PAHAT - Seorang pemandu treler maut selepas kenderaan dipandunya hilang kawalan dan merempuh sebuah lagi treler dipandu  rakan di hadapannya.

Kejadian kira-kira jam 5.45 pagi semalam itu, berlaku ketika hujan lebat di Kilometer 95, Lebuhraya Utara Selatan (Plus), berhampiran Yong Peng di lorong kenderaan berat.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, kejadian itu melibatkan tiga treler yang sedang dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku apabila treler dipandu mangsa yang berada di belakang sekali merempuh treler di hadapannya.

Beliau berkata, perlanggaran itu mengakibatkan treler yang berada di tengah terus merempuh treler lain yang berada di hadapan.

“Hujan lebat semasa kejadian berkemungkinan punca utama kemalangan berlaku apabila mangsa gagal melihat dengan jelas treler yang berada di hadapannya.

“Selain itu, faktor jalan yang agak licin juga membuatkan treler gagal dikawal sehingga  merempuh treler yang berada di hadapannya,” katanya kepada Sinar Harian bagi mengesahkan  kejadian, di sini semalam.

Din berkata, akibat rempuhan itu, mangsa tersepit dan maut di tempat  kejadian akibat kecederaan parah di hampir  seluruh anggota badannya.

Jelasnya, dua lagi pemandu treler yang terlibat dalam kemalangan berkenaan hanya mengalami kecederaan ringan, manakala mayat mangsa  dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat.

“Kes ini masih dalam siasatan polis dan kepada sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan dengan kemalangan berkenaan boleh menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.

Lima tentera Filipina menjarah ditangkap


Manila: Lima anggota tentera Filipina ditangkap kerana menjarah ketika pertempuran dengan pemberontak di Zamboanga.

Jurucakap tentera Ramon Zagala berkata, kelima-lima itu bertindak menjarah pada 20 September ketika rakan mereka bertempur dengan anggota Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) yang menduduki sebahagian bandar Zamboanga selama lebih dua minggu.


“Kegiatan mereka dilapor oleh beberapa anggota lain. Ketua Turus mengarah mereka ditangkap dan disiasat,” katanya.

Menurut Zagala, antara barang yang dijarah tentera itu, termasuk senjata api dan barangan peribadi. Ia bagaimanapun sudah dipulangkan kepada pemiliknya.


“Tidak kiralah jika mereka terbabit dalam pertempuran. Apa yang mereka lakukan tetap salah,” katanya, semalam.


Pasukan keselamatan Filipina sudah sekian lama diselar kerana salah guna kuasa. Mereka bagaimanapun jarang dikenakan hukuman kerana salah laku di medan tempur. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/25

Bo Xilai masuk penjara lima bintang


Beijing: Ahli politik, Bo Xilai yang didapati bersalah merasuah dan salah guna kuasa kemungkinan menghabiskan sepanjang hayat di penjara mewah ala resort lima bintang.

Bo dilapor mungkin menjalani hukuman itu dalam bilik persendirian lengkap dengan kemewahan.


Bo, bekas setiausaha Jawatankuasa Politburo Standing, berkata penjara Qincheng seperti hotel bertaraf lima bintang Ahli politik berprofil tinggi dalam beberapa kes rasuah sebelum ini juga dihantar ke penjara Qincheng untuk menjalani hukuman mereka. Banduan boleh memilih pakaian, minuman susu untuk sarapan pagi dan pelbagai jenis sup dan makanan daging. - Agensi

Mayat bergelimpangan


Nairobi: Militan al-Shabab semalam mendakwa, mereka masih menawan sejumlah tebusan ketika tentera Kenya terus menggempur mereka untuk hari keempat berturut-turut dalam usaha menamatkan krisis berdarah di sebuah pusat beli-belah di sini.

Tembakan kedengaran lagi di kompleks yang sering dikunjungi golongan berada dan warga asing itu pagi semalam, beberapa jam selepas pegawai kerajaan mendakwa tentera Kenya kembali “menguasai” bangunan berkenaan.


Sekurang-kurangnya 62 pengunjung dan kakitangan kompleks itu terbunuh dan hampir 200 lagi cedera dalam insiden berkenaan.

Nasib 63 lagi individu yang belum ditemui juga tidak dapat dipastikan.


Jumlah korban dibimbangi akan meningkat apabila militan al-Shabab mendakwa “banyak mayat masih bergelimpangan” dalam bangunan itu.


Mengumumkan melalui Twitter, al-Shabab mendakwa tebusan di dalam bangunan Westgate Mall itu masih hidup walaupun ketakutan. Pegawai Kenya pula mendakwa semua tebusan sudah dibebaskan, manakala Kementerian Dalam Negeri pula berkata, insiden berkenaan “sangat hampir ke penamat.” Sumber keselamatan mendakwa “satu atau dua orang” militan berlindung di dalam atau sekitar sebuah kasino di tingkat atas kompleks itu. Menteri Luar Kenya, Amina Mohamed berkata, beberapa warga AS dan seorang wanita Britain digelar Balu Putih adalah antara penyerang. Selain pasukan keselamatan Kenya, operasi itu turut dibantu tentera Israel bersama sejumlah ejen Britain dan AS. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/25

Polis Syariah ditahan cuba bekal ganja


Banda Aceh: Seorang anggota polis Syariah ditangkap kelmarin kerana didakwa cuba membekalkan ganja kepada seorang tahanan di penjara di Meulaboh, Aceh Barat.

Anggota terbabit, Achar, 41, dilapor mencampakkan bungkusan ganja berkenaan dari luar penjara kepada banduan yang berada di dalam, kata Ketua Polis Daerah Aceh Barat Faizal Rivai.


Polis mengawasi gerak geri Achar selepas mendapat maklumat daripada seorang tahanan lain di Penjara Paya Peunaga.

“Sejurus sebelum solat Maghrib, polis melihat seseorang mendekati tembok penjara dan melontar sesuatu ke dalam. Apabila kami bertindak untuk menangkapnya, dia cuba melarikan diri dengan motosikal. Polis melepaskan dua tembakan ke udara dan akhirnya berjaya menangkap Achar,” katanya.


Menurut Faizal, ketika disoal siasat lelaki itu mengaku anggota polis Syariah Aceh Barat dan membekalkan ganja kepada seorang banduan di penjara itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/25

2 beradik mati dalam mesin basuh


Beijing: Polis di timur China semalam melancarkan siasatan terhadap kejadian misteri dua beradik perempuan ditemui mati dalam mesin basuh yang dipenuhi darah kelmarin.

Polis di wilayah Jiangzi menolak kejadian itu sebagai kes bunuh, lapor akhbar Global Times memetik kenyataan agensi berita rasmi Xinhua. Polis berkata, kedua-dua kanak-kanak itu mati lemas, lapor Global Times.


Bagaimanapun, laporan lain menyatakan polis tidak menolak kemungkinan kematian kanak-kanak itu berpunca daripada unsur jahat.

Akhbar melaporkan dua beradik yang mati Sabtu lalu berusia empat dan dua tahun, manakala laporan lain mengatakan mereka berumur tiga dan dua tahun.


“Bapa kanak-kanak itu menemui mayat mereka mengerekot dalam mesin pembasuh dengan berlumuran darah,” kata datuk mangsa. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/25

Agih ganja kepada mangsa banjir


Boulder (Colorado): Selepas banjir melanda dan meragut 10 nyawa, penduduk di bandar ini berusaha kembali menjalankan kegiatan harian seperti biasa, termasuk menghisap ganja.

Penganjur merancang untuk mengagihkan ganja secara percuma kepada penduduk terbabit.


Meskipun sebahagian besar usaha tertumpu kepada pembinaan semula, pemberian ganja itu adalah sebahagian usaha membantu penduduk yang memang menggunakan dadah berkenaan untuk tujuan rekreasi sebelum ini mengatasi tekanan selepas simpanan ganja mereka musnah dalam banjir.

Ia juga sebagai tanda bantahan terhadap rancangan mengadakan pungutan suara mengenakan cukai jualan ganja yang dirancang diadakan pada November depan.


“Penduduk Boulder menjadi mangsa banjir. Kami merancang membantu meringankan beban mereka,”, termasuk dengan mengagihkan ganja secara percuma kata seorang penganjur rancangan berkenaan, semalam. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/25

Atlet guna kemaluan palsu untuk lepasi ujian dadah


Rome: Seorang pelari jarak jauh Itali berdepan tindakan disiplin kerana didakwa menggunakan kemaluan palsu untuk melepasi ujian dadah.

Devis Licciardi, 27, dikatakan menggunakan kemaluan palsu mengandungi air kencing yang tidak tercemar sebagai sampel untuk ujian sebelum perlumbaan 10 kilometer.


Dakwaan itu menggambarkan babak lucu daripada filem Withnail and I apabila karakter dalam filem berkenaan cuba mengelak ditahan akibat memandu dalam keadaan mabuk dengan menyerahkan air kencing kanak-kanak ketika ujian dilakukan.

Licciardi yang juga atlit bagi pasukan tentera udara Itali disyaki oleh marsyal perlumbaan menggunakan kemaluan palsu.


Pihak berkuasa Jawatankuasa Olimpik negara itu segera dimaklumkan mengenai perkara itu dan dia dijangka berdepan sesi disiplin di Rome esok (hari ini) dan mungkin dilarang menyertai perlumbaan dalam tempoh lama. Licciardi disyaki menggunakan alat bergelar Whizzinator itu yang banyak dijual di Internet. Diiklankan sebagai “alat air kencing sintetik yang selamat untuk semua jenis keseronokan”, ia dijual pada harga £87 (RM449) lengkap dengan elemen pemanasan dan satu beg air kencing tidak tercemar bagi membantu orang ramai melepasi ujian dadah. Produk sensitif itu datang dalam pelbagai jenis untuk pelanggan berbilang bangsa, termasuk orang kulit putih, Latino dan orang kulit hitam. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/26

Nasib malang pencuri ATM


San Francisco: Seorang pencuri yang cuba mencuri wang dari mesin teler automatik (ATM) di sebuah bank di San Francisco semalam ditahan selepas dia menaiki bumbung bangunan berhampiran untuk melarikan diri dan jatuh ke dalam sebuah apartmen.

“Terdapat lubang di bumbung tempat suspek jatuh ketika kami mengarahkannya untuk mengangkat tangan dan menyerah diri,” kata pegawai polis, Sarjan Wilfred Williams.


“Kami bertindak selepas dimaklumkan oleh penggera senyap yang berfungsi di sebuah bank,” katanya dalam satu kenyataan. Menurutnya, suspek seberat 104 kilogram itu, bagaimanapun tidak cedera. Polis berkata, suspek menggunakan tuil besi untuk memecahkan mesin ATM di cawangan Bank Of America di kawasan kejiranan Portola kira-kira jam 3.45 pagi. Lelaki terbabit dapat memasuki bank itu melalui ruang saluran udara yang menyebabkan penggera berbunyi. Polis menyedari kejadian itu ketika suspek cuba melarikan diri, kata ketua balai polis Portola Greg Suhr.

Apabila pihak berkuasa tiba di tempat kejadian, suspek dilihat berada di atas bumbung. Dia terjatuh ke dalam sebuah apartmen ketika ingin menyerah diri. Selepas ditahan dan diperiksa, polis mendapati suspek gagal mengambil wang dari mesin ATM di bank itu. - Agensi

137 tebusan maut


Nairobi: Kumpulan militan Somalia, al-Shabab semalam mendakwa 137 tebusan yang ditahan mereka di pusat beli-belah di Nairobi maut.

Jumlah itu sukar disahkan dan jauh lebih tinggi bilangan rasmi mereka yang didaftarkan hilang. Kumpulan itu yang mempunyai hubungan dengan Al-Qaeda dalam mesej menerusi Twitter berkata, “137 tebusan yang ditahan Mujahidin maut”.


Mereka juga menuduh tentera Kenya menggunakan ‘bahan kimia’ untuk menamatkan kepungan empat hari itu.

“Dalam tindakan pengecut, tentera Kenya yang mengepung kawasan ini melepaskan senjata mengandungi bahan kimia. “Bagi menutup jenayah mereka, kerajaan Kenya meruntuhkan bangunan pusat beli-belah terbabit, menimbus bukti dan semua tebusan di bawah sisa runtuhan,” menurut seorang anggota kumpulan itu.


Sementara itu, Presiden Kenya, Uhuru Kenyatta lewat Selasa lalu mengumumkan pertumpahan darah selama 80 jam itu sudah berakhir dengan berkata 61 orang awam dan enam anggota pasukan keselamatan terbunuh. Jurucakap polis berkata, jumlah kematian belum disahkan sepenuhnya sementara Palang Merah Kenya menyenaraikan 63 masih lagi hilang.


Kerajaan Kenya tidak memberi reaksi berhubung dakwaan al-Shabab berkenaan. - AFP

Penyelamat temui banyak mayat tertimbus


Manila: Petugas penyelamat menemui lebih banyak mayat yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh selepas air banjir surut di Filipina semalam.

Penemuan itu meningkatkan jumlah kematian akibat hujan beberapa hari yang diburukkan lagi dengan Taufan Usagi kepada 30 orang.


Dua puluh tujuh orang terbunuh selepas tebing bukit runtuh di empat kampung kawasan pergunungan di bandar Subic Ahad lalu, kata pejabat pertahanan awam wilayah itu. Dua penduduk hanyut di kawasan itu, manakala seorang lelaki tua mati akibat kesejukan.

Subic terletak kira-kira 80 kilometer di barat laut Manila. Menurut pejabat itu, seorang wanita dan kanak-kanak perempuan berusia empat tahun masih hilang dekat San Marcelino berhampiran Subic, tempat petugas penyelamat masih menjalankan operasi mencari di kawasan yang dilanda tanah runtuh. - AFP

Berang janggut tak jadi


Beijing: Seorang lelaki menikam muka tiga jururawat di sebuah hospital di Hunan kerana marah apabila implan janggut dijalaninya tidak menjadi.

Menurut laporan GB Times, lelaki terbabit menemui pakar bedah plastiknya beberapa kali untuk mengadu mengenai ruam yang tumbuh di bibir atasnya selepas menjalani implan itu. Doktor mendapati dia mengalami folikulitis dan diberitahu ruam itu akan hilang dengan sendiri. Dia juga dimaklumkan kesan implan janggut itu akan menampakkan kesan dalam tempoh enam bulan. Lelaki itu yang tidak berpuas hati dengan penerangan pakar, bertindak menyerang jururawat di hospital berkenaan dengan menikam muka dengan pisau. - Agensi

Sedut hidung selamat nyawa


Kuala Kangsar: Seorang ibu yang masih dalam tempoh berpantang bertindak pantas dengan menyedut hidung bayinya dalam usaha menyelamatkan mangsa berusia lima hari yang hampir maut akibat tercekik susu.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari kelmarin, ibu malang terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Roshaniza, 29, berkata, insiden itu berlaku ketika dia tinggal dengan bayinya, Muhammad Harith Amsyar di rumah mereka di Taman Bunga Raya, di sini.


Menurutnya, dia meninggalkan bayinya itu seketika untuk ke tandas sebelum terdengar bayinya menangis dan terbatuk-batuk.

“Sebaik keluar dari tandas, saya terkejut apabila melihat tubuh bayi saya bertukar kebiru-biruan. Saya melihat susu mengalir dari hidung anak saya lantas saya menepuk belakangnya bagi memastikan dia tidak terus tercekik dan sukar bernafas,” katanya.


Dia kemudian segera menyedut hidung bayinya itu dengan menggunakan mulut bagi mengeluarkan susu yang tersekat di rongga mulut dan hidung bayinya itu. “Akhirnya beberapa ketulan susu beku yang tersekat di dalam hidungnya berjaya dikeluarkan.


“Selepas berjaya mengeluarkan ketulan itu, saya dapati bayi saya mula bernafas semula, namun tubuhnya masih lemah dan kelemasan. Saya segera menggagahkan diri memandu kereta kepunyaan ayah ke Hospital Kuala Kangsar yang terletak 15 kilometer dari rumah untuk menyelamatkannya,” katanya.

Menurutnya, dia mengetepikan rasa sakit dan menggagahkan diri untuk memandu kereta selama hampir 30 minit untuk sampai ke hospital berkenaan.


“Saya hanya memikirkan nyawa anak saya kerana bimbang sesuatu yang buruk berlaku. Sebaik tiba di pekarangan Wad Kecemasan Hospital Kuala Kangsar, saya segera memaklumkan kepada kakitangan wad itu supaya segera memberikan bantuan kecemasan kepada bayi saya itu.

“Mujurlah petugas terbabit prihatin dan bertindak pantas. Akhirnya nyawa anak saya dapat diselamatkan dan Muhammad Harith kembali aktif seperti sedia kala,” katanya.


Menurutnya, pengalaman itu memberi banyak pengajaran berguna kepadanya, terutama dalam aspek penjagaan bayi.

Polis berkas 4 keldai dadah didalang warga Nigeria


26 September 2013

KUALA LUMPUR - Polis memberkas empat individu dan merampas dadah jenis syabu serta kokain bernilai RM1.5 juta menerusi operasi berasingan di Sepang dalam tempoh empat hari sejak Isnin lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, semua suspek yang berusia antara 20 dan 31 tahun itu dipercayai keldai dadah untuk satu sindiket yang didalangi warga Nigeria di negara ini.

Mereka yang ditahan ialah seorang lelaki dan wanita tempatan, seorang lelaki warga Nigeria dan seorang wanita rakyat Thailand, katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

"Mereka ditahan dalam tiga tangkapan masing-masing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) dan di sebuah hotel di Sepang, susulan maklumat awam," katanya.

Katanya, polis percaya mereka direkrut oleh sindiket itu untuk membawa masuk dadah dari luar negara dan dipasarkan di negara ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama

Polis Sibu berkas lelaki buat, jual senapang angin


26 September 2013

SIBU - Polis Sibu memberkas seorang lelaki yang dipercayai menjalankan kegiatan membuat dan menjual senapang angin dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Abang Barieng, di sini petang semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Shafie Ismail, suspek berusia 52 tahun itu juga merupakan bekas tahanan yang dibuang daerah ke Belaga pada 2004 kerana kesalahan dadah namun melarikan diri selepas enam bulan.

"Dia kemudian ditangkap di sini pada 2005 dan dijatuhi hukuman penjara selama tiga tahun sebelum dibebaskan pada 2008," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Menurut Shafie, dalam serbuan semalam, polis menemui dua senapang angin buatan sendiri, dua pedang samurai dan sejumlah besar bebola besi di rumah itu.

Polis kini menyiasat siapa pembeli senapang angin buatan suspek, katanya.

Mengulas Ops Cantas Khas, Shafie berkata, sehingga hari ini polis menahan 253 orang yang terbabit dalam pelbagai kesalahan. - Bernama

‘Jangan ingat awak bagus’

Foto
ABDUL Rahim menunjukkan SMS diterimanya.
Georgetown: “Hello kepala Penang mau kasi ingat U sudah ambil saya punya kawan lima orang, U jangan ingat U The Best’,” itu antara kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan yang diterima Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi daripada individu tidak dikenali, Isnin lalu.
SMS itu diterimanya ketika berada di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, jam 9 pagi.
Pengirim SMS itu juga memberi amaran supaya beliau menjaga diri dan mengugut ‘mengambil’ Abdul Rahim atau jika tidak boleh, pengirim itu mengugut akan ‘mengambil’ rakannya.

Berikutan bimbang dengan ancaman itu dan atas faktor keselamatan diri, keluarga, pegawai serta anggota polis lain, beliau membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, di sini, jam 9 malam kelmarin.


Khamis minggu lalu, Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang yang baru bertukar ke negeri itu, Datuk A Thaiveegan turut menerima kiriman SMS berbaur ugutan.

Hanya sempat laram sebulan

Foto
ANGGOTA polis melihat motosikal mangsa yang remuk teruk.
Tanjung Malim: Seorang anggota polis hanya sempat menunggang motosikal berkuasa tinggi yang baru dibelinya kira-kira sebulan, apabila dia menemui ajal dalam keadaan mengerikan akibat kemalangan, malam kelmarin.
Koperal Ramlan Ludin, 37, maut di lokasi kejadian selepas digilis di perut oleh sebuah kereta di Jalan Slim Lama, di sini, kira-kira jam 8.15 malam. Ketua Polis Daerah Tanjung Malim Superintendan Othman Nanyan berkata, ketika kejadian mangsa yang berasal dari Lawas, Sarawak dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kota Malim Prima, di sini.
Menurutnya, mangsa yang menunggang motosikal berkuasa tinggi Yamaha Z800 berlanggar dengan sebuah Proton Waja yang keluar dari arah simpang Taman Malim, di sini.

“Mangsa yang datang dari arah Tanjung Malim tidak sempat mengelak kereta itu yang cuba membuat pusingan U. Rempuhan kuat pada pintu kereta menyebabkan mangsa tercampak ke seberang jalan.


“Mangsa yang tidak sempat bangkit kemudian dirempuh pula sebuah Proton Saga BML. Pelanggaran itu menyebabkan mangsa mati di lokasi kejadian,” katanya.

Calon naib ketua Wanita Umno parah kemalangan


26 September 2013

KUNAK - Calon Naib Ketua Wanita Umno Bahagian Silam dan Ahli Jawatankuasa (AJK) pergerakan itu cedera parah selepas kenderaan yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan yang turut mengorbankan pemandu kereta itu di KM27 Jalan Kunak-Lahad Datu, malam tadi.

Dalam kejadian pada kira-kira 9.30 malam itu, Jumhariah Hambali, 42, yang bakal bertanding dalam pertandingan Umno Oktober ini dan Zuraidah Baching cedera parah selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka terbabas dan tergolek beberapa kali.

Ketua Polis Daerah Kunak, Deputi Superintendan Radzali Mahmud berkata, pemandu kenderaan yang dikenali sebagai Samman Arum, 49, meninggal dunia di Hospital Kunak.

Radzali berkata, kenderaan yang dalam perjalanan dari Kunak ke Lahad Datu itu dipercayai terbabas ketika menuruni bukit di satu selekoh dan memasuki lorong kanan sebelum tergolek.

Jumhariah mengalami kecederaan di bahagian tulang belakang manakala Zuaraidah cedera di bahu kiri serta tulang rusuk.

Kedua-duanya, kini dirawat di Hospital Tawau. - Bernama

Suami jadi 'setan' isteri tidak solat


Kuala Lumpur: Dia bagaikan suami beriman apabila mengejutkan isteri daripada tidur dan menyuruhnya menunaikan solat Subuh, namun bertukar menjadi suami setan selepas selesai menunaikan rukun Islam kedua itu apabila isterinya tertidur semula sehingga tertinggal solat.

Ini kerana wanita berusia 25 tahun itu bukan saja dihambur kata-kata kesat, tapi turut dipukul dan kepalanya dipijak si suami, biarpun dia berulang kali meminta maaf di atas kesilapannya itu.
Adegan memilukan itu berlaku di rumah pasangan suami isteri terbabit di Selayang, di sini, pada kira-kira jam 7.30 pagi, Isnin lalu.

Sumber polis berkata, dalam aduan dibuat mangsa di Balai Polis Selayang, wanita berkenaan memberitahu suaminya yang berusia lewat 30-an, pada mulanya mengejutkannya daripada tidur pada jam 6.30 pagi.


“Selepas mengejutkan isterinya, si suami mula bersiap-siap untuk ke tempat kerja dan menyangka isterinya sudah bangun tidur serta menunaikan solat.

Penunggang maut rempuh lori keluar simpang


26 September 2013

KUANTAN - Seorang penunggang motosikal maut setelah merempuh sebuah lori tanpa muatan di jalan dalam kawasan ladang bijih besi dekat Srijaya di sini hari ini.

Pegawai Penguat kuasa Tadbir/Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Asisten Superintenden Zainalabidin Othman berkata dalam kejadian 9 pagi itu, mangsa Sudirman Saturuddin, 21, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

"Dipercayai lori terbabit tiba-tiba keluar dari simpang tiga di dalam kawasan ladang tersebut sebelum dirempuh mangsa," katanya di sini hari ini.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk dibedah siasat. - Bernama

Ibu reda pemergian anak selepas 5 hari koma


26 September 2013
KUALA TERENGGANU - "Saya reda dan menerima kehendak Allah ini sebagai yang terbaik untuknya," kata Norhaida Mohd Noor, ibu kepada Muhammad Izzat Mohd Abdul Hakim, pelumba muda yang meninggal dunia selepas lima hari kemalangan di Litar Antarabangsa Sepang.

Norhaida, 44, yang ditemui pemberita ketika pengebumian jenazah anak keduanya itu di sini hari ini, berkata beliau dimaklumkan arwah memanggil "ibu" sebelum tidak sedarkan diri ketika menerima rawatan di Hospital Putrajaya pada hari kejadian.

Muhammad Izzat, 17, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur pukul 1.30 petang semalam.

Dalam insiden Sabtu lepas, Muhammad Izzat yang beraksi dalam kelas 250cc Kejuaraan Motosikal Super Siri (MSS), dipercayai gagal mengawal jenteranya di laluan lurus sebelum terbabas dan melanggar marsyal perlumbaan S. Satish, 44, pada pukul 12.30 tengah hari sebelum berakhirnya sesi latihan.

Akibat kemalangan itu, Satish meninggal dunia di Hospital Putrajaya pada hari yang sama.

Menurut Norhaida, beliau sedar keadaan anaknya kritikal namun beliau tidak berputus asa dan bersedia untuk menjaga Muhammad Izzat andai anaknya itu lumpuh.

Malah katanya, pagi semalam beliau membeli sebuah diari untuk mencatat perkembangan anaknya itu sebelum dimaklumkan Muhammad Izzat sudah meninggal dunia.

Jenazah pelumba muda itu dikebumikan pada pukul 9.30 pagi tadi dan dihadiri oleh lebih 100 orang termasuk kaum keluarga, rakan serta Pengurus Pasukan SIC Ninja 250cc Steven Ong. - Bernama

Cabul budak sebaya cucu

Cabul budak sebaya cucuSabtu (kanan) bersama pegawai penyiasat kes ketika sidang media dijalankan, semalam.

KANGAR - Ibarat seperti cucu jika dibandingkan usianya, seorang warga emas tergamak mencabul anak saudaranya sendiri yang berusia 11 tahun.

Perbuatan yang tidak perikemanusiaan warga emas berusia 74 tahun itu membuatkan dia ditahan polis.

Kejadian itu terbongkar setelah kakak mangsa yang bekerja di Pulau Pinang balik bercuti di rumah datuk mereka di Simpang Empat, dekat sini kelmarin.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Kangar, Asisten Superintendan Sabtu Md Ali berkata, kejadian berlaku ketika datuk mangsa dimasukkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) dan kesempatan itu digunakan bapa saudaranya untuk mencabul mangsa yang tinggal di situ.

“Mangsa dicabul tiga hari berturut-turut pada awal bulan ini iaitu pada sebelah petang ketika nenek mangsa ke hospital untuk menjaga datuknya.

“Setelah kakaknya pulang mangsa terus mengadu dan mereka membuat laporan di IPD Kangar kelmarin. Mangsa kemudiannya dihantar untuk pemeriksaan oleh pakar sakit puan HTF dan doktor mengesahkan wujudnya kejadian tersebut apabila terdapat kesan gigitan di bahagian dada mangsa,” katanya kepada pemberita di IPD Kangar di sini, semalam.

Menurut Sabtu, lelaki yang bekerja sebagai penjual ikan itu ditahan polis di rumahnya yang terletak berhampiran dengan rumah datuk mangsa.

“Polis telah merampas sarung kusyen di rumah berkenaan dan  dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.

“Suspek kini ditahan reman selama seminggu bermula kelmarin untuk membantu siasatan,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan sekiranya sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Berdasarkan rekod polis, suspek mempunyai dua rekod lampau kesalahan sama dan dijatuhkan hukuman.

Mekanik mengaku tidak salah pukul kepala ibu

Mekanik mengaku tidak salah pukul kepala ibuTertuduh keluar dari mahkamah selepas hadir untuk dituduh, semalam.

KOTA BHARU - Seorang mekanik dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan memukul kepala ibunya, 17 September lalu.

Tan Choon Siang, 40, bagaimanapun, menafikan tuduhan itu, sebaliknya dia mengaku hanya memenuhi permintaan ibunya supaya dipukul.

“Saya hanya menuruti perintah dan ajaran agama. Ibu saya meminta saya memukul kepalanya dengan bersaksikan tuhan, jadi, saya pun pukul,” katanya.
Tertuduh didakwa dengan niat mencederakan Leng Si Eng, 80, dengan kayu buluh bermata besi di alamat Taman Pendek, Jalan Salor di sini, pada jam 2.30 pagi.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara yang boleh sampai tiga tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Menurut Choon Siang, sebelum kejadian dia dipanggil ibunya dan disuruh memukul wanita itu. Katanya sebagai anak, dia hanya mematuhi suruhan ibunya itu berlandaskan ajaran agama.

Namun, selepas kejadian itu, ibu Choon Siang membuat laporan polis menyebabkan lelaki tiga anak itu ditahan polis sehari selepas kejadian.

Pada prosiding semalam, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad menawarkan jaminan RM10,000, tetapi, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sejumlah RM4,000 dengan syarat jaminan
itu dibuat ibu atau bapa tertuduh sahaja.

Kes disebut di hadapan Majistret, Nik Habri Muhamad. Sebutan semula ditetapkan pada 24 Oktober depan.

Ibu tunggal nafi bersalah 3 tuduhan rasuah


26 September 2013
KUALA LUMPUR -  Seorang ibu tunggal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap tiga pertuduhan rasuah berhubung pembelian rumah di Cheras.

Bagi pertuduhan pertama, Choo Huai Yee, 42, penolong pegawai pemasaran di syarikat pemaju hartanah Mahajaya Management Sdn Bhd, didakwa secara rasuah meminta RM2,500 daripada Muhammad Yahya Mohd Rashid, 29.

Ia sebagai dorongan untuk membantu mengelak wang deposit RM5,000 dipotong dan mempercepat proses pemulangan semula deposit  bagi pembelian rumah unit 3CDS-32 di Bandar Damai Perdana, Cheras di sini.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Jualan 2A, Jalan Damai Perdana 9/2F, Bandar Damai Perdana, Cheras, pada 3.30 petang, 6 Dis 2011, mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000, jika sabit kesalahan.

Choo juga didakwa memperoleh daripada Muhammad Yahya suapan RM500 bagi tujuan sama, pada 3.30 petang, 6 Dis 2011 manakala bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa memperoleh wang tunai RM2,000 daripada Lim Yeoh Min, 43, bagi tujuan sama, pada 6.10 petang, 11 Jan 2012.

Kedua-dua pertuduhan itu mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000, jika sabit kesalahan.  

Muhammad Yahya dan Lim merupakan anggota SPRM yang menyamar sebagai pembeli ketika berurusan dengan tertuduh. Tindakan itu dibuat selepas menerima aduan orang awam.     Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM Mohd Firdaus Abu Hanipah menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan.

Peguam Mohd Shamril Afzan Mohamad Hasim, yang mewakili tertuduh, memohon jaminan dikurangkan memandangkan anak guamnya perlu menyara dua anak yang bersekolah dan masih tinggal bersama keluarga.

Hakim Rosbiahanin Ariffin membenarkan Choo diikat jamin RM15,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dan menetapkan 23 Okt untuk sebutan semula kes. - Bernama

Mayat separuh bogel ditemui di perkuburan Hindu

Mayat separuh bogel ditemui di perkuburan HinduAnggota Forensik Polis memeriksa mayat seorang lelaki hampir reput yang dijumpai terbaring di Tanah Perkuburan Hindu, Jalan Badaruddin di Kuching hari ini. - Foto Bernama

KUCHING - Mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan separuh bogel dan hampir reput di Tanah Perkuburan Hindu di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad berkata, mayat lelaki itu ditemui orang awam yang melalui kawasan perkuburan itu pada pukul 8.40 pagi.
"Berdasarkan keadaan mayat yang mulai mereput, kami percaya lelaki dalamlingkungan umur 40-an itu telah mati dua atau tiga hari lepas," katanya di sini.
Beliau berkata, mayat itu dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat.
Tiada dokumen pengenalan diri ditemui, katanya yang meminta mereka yangkehilangan anggota keluarga atau mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supayamenghubung balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - Bernama

Tak sanggup lihat rumah terbakar

Tak sanggup lihat rumah terbakarAsmah (kiri) menerima sumbangan yang disampaikan Mohd Huzaimy bersama wakil PTJ Bachok.

BACHOK – Perkhabaran mengenai kebakaran rumahnya pada petang Ahad lalu menyebabkan seorang peniaga makanan berdekatan sebuah agensi kerajaan di Kampung Teluk, di sini terduduk tanpa dapat berkata apa-apa.

Asmah Mat Sehor, 46 yang berniaga di warungnya seperti biasa pada masa kejadian berkata, dia hanya mengetahui berkenaan kejadian setelah diberitahu oleh pekerjanya setelah mendapat perkhabaran daripada penduduk kampung berkenaan.

"Saya tak tahu nak buat apa apabila mendapat tahu kejadian yang berlaku kira-kira jam 2.15 petang itu. Saya tak pergi tengok pun keadaan rumah yang musnah dalam kebakaran sebab saya rasa tak mampu melihat keadaan itu serta berdepan dengan orang ramai.

"Saya hanya balik tengok rumah saya kira-kira jam 6 petang. Memang semua tidak dapat diselamatkan kerana rumah saya rumah kayu dan musnah dalam sekelip mata dalam kebakaran itu," katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan wakil Pejabat Tanah dan Jajahan (PTJ) Bachok.

Asmah memaklumkan, sejurus mendapat berita tersebut dia terus menghubungi anak sulungnya, Yusmadi Mohd Yunan, 30 yang sedang bekerja di Pengkalan Chepa ketika itu.

Yusmadi yang turut ditemui berkata, selepas mendapat tahu kejadian, dia bergegas pulang ke rumah ibunya untuk melihat sendiri keadaan rumah tersebut.

"Saya tidak tinggal bersama ibu dan adik, Yusri, 23 di rumah ini. Bila sampai, saya tengok api dah hampir padam dan bomba sedang bertungkus lumus mengawal kebakaran. Nasib baik adik tiada di rumah ketika itu dan tiada kecederaan berlaku.

"Hanya peralatan rumah yang musnah manakala bahagian dapur rumah yang dibina dengan batu tidak terjejas teruk. Buat sementara keluarga saya terpaksa menumpang rumah saudara berdekatan," katanya.

Penolong Ketua Jajahan Pembangunan Fizikal, Nik Mahmud Nik Jaffar yang mengetuai lawatan dari PTJ Bachok memaklumkan keluarga bitu mendapat bantuan segera daripada Kerajaan Negeri Kelantan.

Menurutnya, bantuan berkenaan disampaikan kepada Asmah melalui Adun Perupuk, Mohd Huzaimy Che Husin yang turut sama dalam lawatan berkenaan dengan ditemani Penggawa Perupuk, Rosdi Ismail.

Mohd Huzaimy ketika ditemui berkata, pihaknya amat bersimpati dengan nasib Asmah sekeluarga dan berharap mereka tabah menghadapi ujian berkenaan serta akan ada pihak lain tampil membantu keluarga ini.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Nordin Zakaria memaklumkan, pasukan bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 2.22 petang.

"Operasi telah melibatkan kekuatan lapan anggota bomba bersama dua jentera dengan diketuai oleh Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Fakarudin Berahim," katanya.

Dituduh rompak pekerja salon kecantikan

Dituduh rompak pekerja salon kecantikanTertuduh keluar dari mahkamah untuk dihantar ke penjara sementara kes disebut semula.

KOTA BHARU -  Seorang penganggur mengaku tidak salah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan melakukan rompakan bersenjata terhadap pekerja salon kecantikan di Machang, tahun lalu.

Tuduhan dibuat terhadap Mat Zainudin Mansor, 28, di hadapan Hakim, Mohd Yusoff Yunus.

Dia didakwa bersama tiga lagi yang masih bebas merompak dengan bersenjatakan pedang serta parang ke atas Nur Hanani Hanaffi, 21, di bangunan Hj Abdul Halim, Hutan Kuin, Lebuh raya Machang-Tanah Merah.

Kesalahan dilakukan pada jam 6.45 petang, 2 Disember 2012.

Susulan penafian itu, mahkamah menetapkan sebutan semula pada 24 Oktober depan, manakala, tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara yang boleh sampai 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Intan Nur Hilwani Mat Rifin.

Ugut terjun bersama bayi

Ugut terjun bersama bayiBung Him (kanan) bersama seorang anggota bomba cuba memujuk wanita berkenaan.

PUCHONG - Akibat tertekan kerana suami mahu menceraikannya, seorang wanita berusia 35 tahun cuba bertindak terjun dari bahagian bumbung sebuah hotel tiga tingkat di Bandar Bukit Puchong bersama bayinya berusia setahun, semalam.

Bagaimanapun tindakan pantas seorang anggota polis menghubungi pihak Bomba dan Penyelamat berjaya menghalang niat wanita warga China itu.

Ketua Operasi Menyelamat, Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Sehat Bedol berkata, kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 9 pagi semalam dan disedari seorang anggota polis dari Balai Polis Bukit Puchong, Sarjan Tay Bung Him yang kebetulan berada di hotel berkenaan.
Menurutnya, Bung Him terlihat wanita itu sedang mendukung anaknya di bumbung hotel dalam keadaan murung lantas segera menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Puchong kira-kira jam 9.08 pagi.
"Pihak kami tiba di tempat kejadian kira-kira jam 9.16 pagi bersama sembilan anggota.

"Namun sebaik sahaja sampai, wanita itu bertindak agresif dan mengugut dalam bahasa Cina untuk terjun bersama-sama anaknya sekiranya pihak berkuasa cuba mendekati," katanya.
Bimbang jika wanita itu bertindak luar kawalan, pihak bomba bersedia dari jauh manakala Bung Him berusaha memujuknya.
"Selain ada anggota bomba yang turut bersedia di bawah bangunan, kami turut minta pihak hotel menyediakan tilam dan kanvas di bawah jika wanita itu terjun,” katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, Bung Him berjaya menenangkan wanita itu setelah 45 minit berbual dengannya.

Sehat berkata, dua anggota bomba kemudian memimpin wanita itu turun dan dia dibawa ke Balai Polis Bukit Puchong untuk siasatan lanjut.

Remaja dituduh rogol bekas kekasih

Remaja dituduh rogol bekas kekasihRemaja berkenaan dibawa keluar dari mahkamah selepas dituduh, semalam.

KOTA BHARU - Seorang remaja berusia 16 tahun mengaku tidak salah di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan merogol bekas kekasih yang muda setahun daripadanya.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara yang boleh sampai 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.

Pesalah juvanil dari Cabang 4 Binjai itu didakwa merogol mangsa yang masih di tingkatan tiga, bertempat di Kampung Mentuan, Binjai di sini, pada jam 3.30 pagi, 31 Julai lalu.

Pada prosiding semalam, tertuduh bagaimanapun mengaku tidak salah.

Majistret, Nik Habri Muhamad kemudian menetapkan sebutan semula pada 8 Oktober depan. Sementara, tertuduh dibenarkan diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.

Remaja berkenaan sudah tidak bersekolah dan meraih punca pendapatan sebagai peniaga di Wakaf Bharu.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nur Liyana Md Zukri.

Lebih 300 korban gempa bumi di Pakistan

Lebih 300 korban gempa bumi di PakistanHelikopter tentera udara digunakan untuk operasi mencari dan menyelamat.

ISLAMABAD - PAKISTAN. Lebih 300 terbunuh (sehingga jam 10 malam waktu tempatan) dan ribuan rumah musnah selepas gempa bumi kuat berukuran 7.8 skala Richter melanda daerah Awaran di wilayah Balochistan, Pakistan, kelmarin.

Jurucakap kerajaan, Jan Muhammad Buledi berkata, ramai mangsa dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan.

"Enam daerah terjejas teruk adalah Awaran, Kech, Gwadar, Panjgur, Chagi dan Khuzdar dengan populasi penduduk lebih 300,000 orang.

"Kami kini kekurangan keperluan perubatan dan lokasi terhad untuk merawat mangsa," katanya.

Sementara itu, Ketua Penyelamat Balochistan, Syed Ali Shah berkata, angka kematian dijangka meningkat berikutan usaha menyelamat penduduk di kawasan pendalaman terganggu kerana terputus hubungan.

"Jalan utama sudah terputus. Kini kami berusaha menggunakan laluan udara untuk mengeluarkan mangsa dari kawasan runtuhan," katanya.

Media Time of India juga melaporkan, gegaran kuat turut dirasai di Karachi, Hyderabad dan ibu negara India, Delhi. 

Polis Sudan lepas gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan


KHARTOUM 25 Sept. - Polis Sudan terpaksa melepaskan gas pemedih mata ke atas penunjuk perasaan antikerajaan kerana menentang kenaikan harga bahan api di bandar ini semalam.
Penunjuk perasaan berkumpul di bangunan universiti dan beberapa stesen minyak serta menyekat jalan utama yang menuju ke lapangan terbang berhampiran Hotel Rotana.
Seorang wartawan Reuters menyaksikan polis melepaskan tembakan serentak ke arah penunjuk perasaan yang berkumpul manakala beratus-ratus lagi pegawai dan agen keselamatan bergegas ke pusat bandar. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130926/lu_02/Polis-Sudan-lepas-gas-pemedih-mata-ke-arah-penunjuk-perasaan#ixzz2g2EXOHfh
© Utusan Melayu (M) Bhd