25 September 2013
SHAH ALAM - Polis menahan tujuh lelaki berusia di antara 19 hingga 31 tahun di sebuah hotel di Kuala Lumpur semalam bagi membantu siasatan berhubung 302 kes rompakan di negeri ini.
Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata kesemua mereka ditahan pada 11.45 pagi semalam, kira-kira lima jam selepas mereka merompak seorang suri rumah dan melarikan barangan berharga dan wang tunai RM40,000 di Taman Rimbun Hijau Country Heights, Kajang.
Berikutan kejayaan itu, polis merampas lima buah kereta yang disyaki digunakan dalam rompakan itu, 15 keping nombor pendaftaran kereta serta pelbagai model telefon bimbit, barangan kemas dan jam tangan daripada mereka.
Selain beberapa keping MyKad dan lesen memandu, polis turut merampas sejumlah wang tunai, dua pemotong dawai, tiga topi, dua set rambut palsu, sarung tangan, empat bilah parang dan empat batang besi kuku kambing, katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Kesemua suspek direman tujuh hari mulai hari ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkawan dan bersenjata yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat, katanya.
Mohd Shukri berkata anggota kumpulan itu yang berasal dari Negeri Sembilan dan Johor dipercayai bergerak aktif sejak setahun lalu dengan perancang utamanya yang berumur 31 tahun tidak bekerja dan mempunyai rekod lampau kes dadah.
Adik suspek berumur 29 tahun pula seorang penganggur dan mempunyai rekod kes samun.
Seorang daripada anggota kumpulan itu berumur 19 tahun adalah seorang penuntut kolej swasta, manakala yang lain bekerja di kedai perabot, menjadi pembantu restoran dan menjual telefon bimbit, katanya.
Mohd Shukri berkata kumpulan ini tidak menetap di satu-satu tempat untuk mengelak daripada dikesan polis dan disyaki terlibat dalam kes rompakan di negeri-negeri lain.
Polis juga sedang menjejaki beberapa suspek yang dipercayai saki baki kumpulan ini, katanya.
Beliau berkata modus operandi kumpulan ini ialah merompak di waktu pagi di rumah yang mempunyai seorang penghuni seperti suri rumah selepas anggota keluarga yang lain keluar bekerja atau ke sekolah.
Mohd Shukri turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mengunci pintu pagar mereka bagi mengelakkan mereka menjadi sasaran perompak. - Bernama