Hong Kong: Taufan terkuat tahun ini melanda selatan China petang semalam, selepas pada awalnya diramal membadai Hong Kong.
Ia memaksa beratus-ratus penerbangan dibatalkan dan menyebabkan operasi perkapalan dihentikan.
Taufan Usagi bermaksud arnab dalam bahasa Jepun dikelaskan sebagai taufan besar membawa angin selaju 175 kilometer sejam.
Taufan itu tiba dekat bandar Shanwei, wilayah Guangdong, kira-kira 140 kilometer ke timur laut Hong Kong.
Polis Shanwei mengarahkan lebih 8,000 bot nelayan pulang ke pelabuhan dan 1,200 penduduk dipindahkan ke kawasan perlindungan sementara, lapor Xinhua.
Taufan itu mencetuskan keadaan kelam-kabut terhadap jadual penerbangan di Hong Kong, Macau dan China.
Lapangan terbang antarabangsa Hong Kong menyatakan, 370 penerbangan tiba dan berlepas dibatalkan dan 64 lagi ditangguhkan.
Batal 148 penerbangan
Air China pula membatalkan 148 penerbangan masuk dan keluar Hong Kong, Macau dan lima bandar manakala Southern Airlines di Guangzhou membatalkan semua penerbangan dari dan ke Hong Kong selain tiga lapangan terbang lain.
Pihak berkuasa Hong Kong sudah mengambil langkah berjaga-jaga dengan pusat kaji cuaca memberi amaran banjir boleh berlaku akibat angin kencang dan hujan yang dibawa taufan Usagi.
Taufan itu adalah yang terkuat untuk melanda sebelah barat Pasifik tahun ini dan dijangka membadai pusat kewangan Asia itu lewat semalam dan awal hari ini.
Biro kaji cuaca Hong Kong memberi amaran angin kencang buat kali ketiga lewat kelmarin dan dijangka menaikkan kekuatan Usagi selepas ini.
Usagi memberi ancaman besar kepada Hong Kong, kata biro itu.
Pusat Kaji Cuaca Kebangsaan China, meletakkan amaran pada tahap tertinggi dan memaklumkan penduduk bahawa ia akan membawa angin kencang dan hujan lebat ke kawasan selatan dekat pantai, lapor Xinhua.
Lebih 80,000 orang sudah dipindahkan ke kawasan lebih selamat di Fujian manakala 50,000 pekerja bantuan juga diarah bertugas.
REUTERS/AP