Search This Blog

Sunday, September 22, 2013

Pekerja warga Nepal hilang tempat tinggal

Pekerja warga Nepal hilang tempat tinggalAnggota bomba bertungkus-lumus memadamkan sisa kebakaran di asrama Perindustrian Parit Jamil, Parit Jawa, petang kelmarin.

MUAR - Lebih 200 pekerja asing warga Nepal yang menghuni asrama Perindustrian Parit Jamil, Parit Jawa, dekat sini, kehilangan tempat tinggal apabila asrama berkenaan musnah  dalam kebakaran, petang kelmarin.

Kejadian pukul 5.30 petang itu, dipercayai berpunca daripada litar pintas menyebabkan  asrama dua tingkat daripada batu dan berdindingkan zink hangus dalam tempoh singkat.
Ketika kejadian, hampir semua penghuni tiada di asrama itu kerana sedang bekerja di kilang perabot yang terletak kira-kira 200 meter dari kawasan tersebut.
Seorang pengawal keselamatan, 40-an, yang enggan dikenali berkata, dia terdengar pekikan yang disangkanya pergaduhan antara pekerja.
Menurutnya, pihak pengurusan membuat pemeriksaan dan mendapati keriuhan itu adalah jeritan mereka meminta pertolongan kerana asrama terbakar.

“Sekumpulan pekerja terbabit cuba memadamkan api tetapi gagal kerana keadaan api yang marak terlalu cepat.
“Ada lima hingga enam penghuni di tingkat atas melihat percikan api dari wayar pendawaian sebelum meletup serta disusuli bau hangit dan terbakar,” katanya kepada  Sinar Harian.
Tambahnya, keadaan menjadi kelam kabut apabila usaha memadamkan kebakaran gagal dan pekerja terlibat berlari menyelamatkan diri.

Sementara itu, Pegawai Operasi Kanan 1, Balai Bomba dan Penyelamat daerah, Ismail Mahmod berkata, seramai 20 anggota bersama tiga jentera dikejarkan ke tempat kejadian sebaik sahaja pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 5.57 petang.

Menurutnya, usaha memadamkan kebakaran agak sukar kerana laluan di asrama itu sempit menyukarkan jentera masuk ke kawasan berkenaan selain terpaksa menarik hos sejauh kira-kira 65 meter dari pili bomba tepi jalan utama.

“Kerja memadam sisa kebakaran diteruskan sehingga jam 9 malam dan nilai kerugian serta punca sebenar kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Gagal larikan mesin ATM

Gagal larikan mesin ATMMesin ATM yang ditinggalkan di tepi jalan di sebuah bank di Taman Tasik, selepas gagal dilarikan empat penjenayah.

JOHOR BAHRU -  Meskipun sudah berjaya menarik keluar sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah bank di Taman Tasik, di sini, namun empat penjenayah berputih apabila gagal dalam percubaan melarikan mesin berkenaan, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 5.15 pagi itu, semua penjenayah terbabit berjaya menarik keluar mesin ATM dengan menggunakan tali sebelum melarikan diri selepas menyedari tindakan mereka disedari orang ramai yang melalui kawasan berkenaan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Nor Azizan Anan berkata, siasatan awal menerusi rakaman litar tertutup (CCTV) mendapati sebuah kereta Proton Waja dan satu pacuan empat roda sedang menunggu di luar bangunan tersebut ketika kejadian.

“Namun, mereka meninggalkan mesin ATM di tepi jalan selepas menyedari tindakan mereka dilihat oleh orang ramai yang melalui kawasan tersebut.

“Semua suspek masih belum dapat dikenal pasti dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 457/511 Kanun Keseksaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Nor Azizan berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi talian  hotline 07-2212999 untuk membantu siasatan kes tersebut.

Letupan luar gereja Pakistan, 40 terbunuh

Letupan luar gereja Pakistan, 40 terbunuhPESHAWAR - PAKISTAN. Sekurang-kurangnya 40 terbunuh dan lebih 40 cedera dalam kejadian letupan bom di luar sebuah gereja di bandar Peshawar.

Dipetik dari BBC, pegawai lupus bom berkata, dua pengebom meletupkan diri sendiri di luar gereja apabila orang ramai keluar selepas Sunday Mass.

Mangsa dikatakan termasuk wanita dan kanak-kanak.

Tiada mana-mana pihak mengakui bertanggungjawab atas kejadian itu.

Menurut saksi, mereka mendengar dua letupan dan letupan kedua lebih kuat daripada yang pertama.

Serangan di Kenya, angka mangsa terbunuh meningkat

Serangan di Kenya, angka mangsa terbunuh meningkatNAIROBI - KENYA. Angka korban serangan di sebuah pusat membeli belah di Nairobi terus meningkat, kata salah seorang menterinya.

Setakat ini, 59 terbunuh dan 175 lagi dilaporkan cedera, dipetik dari BBC.

Joe Lenku berkata, 1,000 pengunjung pusat itu berjaya melarikan diri dari bangunan tersebut.

Tambahnya, antara 10 hingga 15 penyerang masih berada dalam bangunan itu.

Jumlah orang awam yang masih terperangkap dalam bangunan itu sama ada dijadikan tebusan mahupun bersembunyi masih belum diketahui.

Rombongan hantar jemaah haji kemalangan

Oleh SAHARUDIN MUSTHAFA
JAKARTA 1 Okt. - Kepulangan satu rombongan daripada menghantar jemaah haji di asrama haji di Indramayu, Jawa Barat, berakhir dengan tragedi menyayat hati selepas sebuah lori pikap yang membawa mereka dilanggar kereta api, menyebabkan 13 orang terkorban.
Selain jumlah yang terkorban itu, lapan penumpang lain pula dilaporkan cedera dalam kecelakaan jalan raya yang berlaku di Desa Jengkok, Kertasemaya, daerah Indramayu, Jawa Barat hari ini.
Kemalangan tersebut berlaku pada pukul 10.26 pagi waktu tempatan di lintasan kereta api tidak berpalang.
Biarpun tidak berpalang, namun stesen kereta api tersebut kata jurucakap Syarikat Keretapi Indonesia, PT KAI Daop 3 Cirebon, Eko Budiyanto, dilengkapi papan tanda dan lampu isyarat sebagai panduan kepada pemandu lain bahawa ada kereta api yang akan melintas.
Sementara itu, pihak polis memberitahu wartawan, kemalangan berlaku disebabkan oleh kelalaian pemandu lori pikap tersebut mematuhi undang-undang jalan raya.
Pemandu lori pikap itu kata jurucakap polis, melanggar lampu isyarat yang sedang menyala ketika sebuah kereta api sedang melintas.
Ketika kejadian, kereta api Argo Dwipangga yang melanggar lori pikap itu dalam perjalanan dari Jakarta menuju Solo. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131002/lu_08/Rombongan-hantar-jemaah-haji-kemalangan#ixzz2gZx1e1mz
© Utusan Melayu (M) Bhd 

SPRM tahan 8 lelaki, rampas RM1.2 juta


SEORANG suspek (kanan) disoal siasat pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia semasa cuba menjalankan rundingan untuk memberi suapan berhubung isu bot nelayan pukat tunda di sebuah restoran di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/MOHD. NAIM AZIZ
PUTRAJAYA 1 Okt. - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya menumpaskan sindiket nelayan asing yang aktif merasuah penguat kuasa tempatan bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang kerana menangkap ikan di perairan negara setelah memberkas lapan lelaki termasuk seorang warga Vietnam.
Kesemua suspek berusia 35 hingga 60 tahun ditangkap dalam operasi khas yang dijalankan oleh SPRM di ibu negara, Kelantan, Pahang dan Johor pada malam tadi sehingga pagi ini.
Hasil tangkapan itu, SPRM merampas wang tunai bernilai RM1.2 juta yang digunakan sebagai pembayaran rasuah sejak Mac lalu dan empat buah bot pukat ganding milik syarikat nelayan Vietnam bernilai kira-kira RM5 juta.
Dalam tangkapan di sebuah restoran di Jalan Klang Lama kira-kira pukul 11 malam tadi, seorang suspek cuba merasuah anggota penguat kuasa dengan wang berjumlah RM420,000 yang diletakkan dalam sebuah beg sandang.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Mohd. Shukri Abdull berkata, ahli-ahli sindiket terbabit dipercayai bersekongkol dengan beberapa pengusaha bot nelayan Vietnam untuk merasuah anggota penguat kuasa bagi mengelak mereka ditangkap kerana menangkap ikan di perairan negara ini atau melepaskan bot dan barang-barang kes yang dirampas.
"Tangkapan dibuat bermula malam tadi hingga pagi ini iaitu masing-masing dua individu di ibu negara; Kota Tinggi di Mersing, Johor; Kuantan, Pahang dan Kota Bharu, Kelantan.
"Kesemua mereka yang ditahan telah direman antara empat hingga enam hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.
Operasi mengesan dan menangkap sindiket nelayan asing merasuah anggota penguat kuasa yang bertanggungjawab menjaga perairan negara dilancarkan oleh SPRM, susulan laporan eksklusif mengenai keluhan nelayan-nelayan tempatan yang menjadi mangsa kegiatan haram tersebut yang disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 27 September lalu.
Laporan hasil tinjauan wartawan selama dua hari di tiga kawasan tumpuan nelayan pantai iaitu Sungai Batu, Gertak Sanggul dan Pulau Betong, Pulau Pinang menunjukkan aktiviti pencerobohan itu berlaku sehingga mengakibatkan pendapatan nelayan pantai terjejas serta merosakkan pukat mereka apabila dirempuh bot pukat tunda.
Pendedahan tersebut mendapat maklum balas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed yang kemudian mengeluarkan kenyataan menggesa semua pihak berkaitan agar lebih tegas menangani isu pencerobohan bot pukat tunda di kawasan kurang sembilan kilometer dari pantai atau dikenali sebagai Zon A kerana bimbang perkara tersebut menjurus kepada perbuatan salah guna kuasa dan rasuah.
Semalam, Utusan Malaysia dalam satu lagi laporan eksklusif mendedahkan kegiatan beberapa syarikat menangkap ikan milik nelayan asing dikesan sanggup membayar antara RM20,000 dan RM200,000 kepada agensi penguat kuasa tempatan bagi mengelak mereka dikenakan tindakan undang-undang jika ditangkap menceroboh perairan negara ini.
Mengulas lanjut kejayaan menumpaskan sindiket terbabit, Mohd. Shukri berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kerana banyak memberi maklumat dan kerjasama dalam usaha menumpaskan sindiket tersebut.
Katanya, SPRM juga berharap dengan tumpasnya sindiket tersebut, tiada lagi kes pencerobohan nelayan asing berulang di perairan negara bagi memberi peluang kepada nelayan tempatan mencari rezeki.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131002/je_01/SPRM-tahan-8-lelaki-rampas-RM12-juta#ixzz2gZxyztNS
© Utusan Melayu (M) Bhd