Bangkok: Mahkamah semalam mendapati seorang lelaki Lubnan yang dikaitkan dengan pertubuhan Hizbullah bersalah memiliki bahan membuat bom yang disimpannya dalam gudang di luar Bangkok.
Atris Hussein yang juga memiliki kerakyatan Sweden ditahan pada 12 Januari tahun lalu di Lapangan Terbang Suvarnabhumi selepas polis Israel menyalurkan maklumat mendakwa dia akan melancarkan serangan di Thailand. Selepas disoal siasat, Atris membawa polis ke sebuah gudang yang memuatkan ratusan kotak mengandungi lebih 2.8 tan cecair ammonium nitrat dan empat tan baja urea, kedua-duanya boleh digunakan untuk membuat bom.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun lapan bulan terhadapnya. Bagaimanapun, Atris hanya perlu menjalani hukuman kira-kira setahun lagi kerana sudah dipenjarakan sejak dia mula ditahan.
Atris, 49, ketika ditanya memberitahu wartawan dia “gembira” dengan hukuman dikenakan terhadapnya. Peguamnya berkata, mereka akan mengemukakan rayuan. Atris sebelum ini mendakwa, dia tiada sebarang kaitan dengan Hizbullah. Menurutnya, dia diperangkap oleh agensi risikan Israel, Mossad.
Dalam wawancara dengan akhbar Sweden, Aftonbladet tahun lalu, Atris berkata, dia mempunyai perniagaan mengeksport dari Thailand ke negara lain, termasuk Lubnan. Barangan yang dieksportnya termasuk kipas angin, kertas fotostat dan bungkusan ubat untuk melegakan sakit. “Terdapat ammonium dalam bungkusan ini. Hanya itu saja. Ia mungkin diletakkan di situ oleh seseorang kemungkinan ejen Mossad,” katanya. - Agensi