
Pesalah berkenaan menggunakan pejabat pos untuk menghantar bungkusan kepada tali barut di Pakistan.
Bungkusan itu kemudian ditutup semula dan dipulangkan ke alamat di Hull dan Manchester dengan nota ‘Tidak sampai – dipulangkan kepada penghantar’, menurut keterangan di mahkamah Leeds.
Mula dikesan pada 2011
Ketika perbicaraan selama 10 minggu, juri diberitahu, kegiatan mereka mula dikesan pada 2011 selepas kakitangan di pejabat pos Hull, Yorkshire Timur, berasa curiga kerana banyak bungkusan itu sampai di sana.
Lima yang dibuka didapati mengandungi heroin seberat 1.9 kilogram bernilai £473,000 (RM2.36 juta).
Polis mengesan 94 lagi bungkusan yang dihantar dengan kandungan sama bernilai £8.93 juta (RM44.65 juta).
Bungkusan itu dihantar di 12 pejabat pos berbeza sekitar Bradford, Yorkshire Barat, lapor akhbar Daily Mail.
Dalang utama
Hakim mengenakan hukuman penjara 25 tahun kepada dalang utama operasi haram itu iaitu Khalid Mahmood, 30.
Mahkamah diberitahu, Mahmood pernah dipenjara 51 bulan pada 2002 kerana terbabit dalam rusuhan Bradford selain dihukum empat tahun penjara pada Jun 2008 kerana kesalahan senjata api.
Hidup mewah
Dia didapati hidup mewah dengan menyewa sebuah kediaman £1,000 (RM5,000) sebulan selain memiliki beberapa kenderaan mewah.
Seorang lagi tertuduh, Faisal Khan, 30, dipenjara 21 tahun. Dia adalah rakan rapat Mahmood dan dua kali mengunjungi Pakistan.
Fiaz Ahmed, 31, dari Manchester, dipenjara 23 tahun dan pernah ditahan atas kesalahan dadah.
Yasser Uddin, 31, dipenjara 21 tahun, seorang posmen dan orang kepercayaan Mahmood yang menggunakan pengetahuannya mengenai sistem pos untuk operasi haram itu.
Tertuduh kelima, Usman Bari dari Hull dipenjara 19 tahun. Mereka didapati bersalah berpakat mengimport dadah kelas A, membekal dan berkongsi keuntungan. - AGENSI