• Bakal pengantin kena tangkapSuspek (tengah) dibawa ke Mahkamah Majistret Dungun untuk mendapatkan perintah tahanan reman bagi siasatan lanjut kerana disyaki memiliki dadah.
 1 / 1 
DUNGUN - Seorang bekas banduan yang bakal naik ke jinjang pelamin bukan sahaja terpaksa melupakan hasrat murninya itu, malah bakal menjalani kehidupan di sebalik tirai besi buat kali kedua apabila dia ditahan polis kerana disyaki memiliki dadah.

Suspek ditahan dalam serbuan di sebuah rumah yang disewa bersama rakannya dekat Batu Lima, dekat sini, kira-kira jam 2.30 petang kelmarin.

Serbuan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah diketuai Inspektor Mohd Ridhuan Ismail dilakukan selepas mendapat maklumat mengatakan suspek antara dalang yang terlibat aktif membekalkan dadah kepada penagih di sekitar kawasan di sini.

Selepas pemeriksaan dilakukan, kira-kira 140 biji pil disyaki dadah jenis methampethamine ditemui dalam beg sandang dipercayai milik suspek.

Suspek yang bekerja sebagai pemandu traktor dengan pendapatan RM35 sehari itu difahamkan dalam proses untuk mengikat tali pertunangan dengan seorang gadis dikenalinya dan merancang untuk melangsungkan perkahwinan pada awal tahun depan.

Bagaimanapun pembabitannya dalam aktiviti pengedaran dadah tidak diketahui bakal tunangnya.

Dia juga sebelum ini pernah menjalani hukuman penjara selama setahun setengah di Penjara Penor atas kesalahan memiliki dadah dan baru beberapa bulan keluar dari penjara.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Ahmad Zailani Yaakub mengesahkan suspek yang berasal dari Kampung Che Lijah Dungun itu kini ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39 A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.