Search This Blog

Sunday, September 15, 2013

Terbabas elak kerbau melintas

Terbabas elak kerbau melintas
Keadaan kereta mangsa dan tiang elektrik yang patah dua selepas terlibat dalam Kilometer 12, Jalan Kundur-Linggi, dekat sini, kelmarin.
REMBAU – Seorang guru Sekolah Kebangsaan (SK) Jelai 3 dan adiknya nyaris maut apabila kereta dinaiki mereka terbabas selepas cuba mengelak daripada melanggar seekor kerbau yang melintas di kilometer 12, Jalan Kundur-Linggi, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 8 malam itu, mangsa, Mohammad Nur Zikri Ruslan, 31, dipercayai baru sahaja menjemput adiknya, Nur Zaidah Ruslan, 29, dari Port Dickson dan ingin pulang ke Rumah Rakyat Gemas.

Mohammad berkata, kejadian itu berlaku begitu pantas sehingga kereta jenis Kia Spectra yang dipandunya terbabas ke bahu kiri jalan dan berpusing sebelum merempuh sebatang tiang elektrik.

“Saya memandu seperti biasa di kawasan agak gelap itu, bagaimanapun secara tiba-tiba saya lihat ada kerbau melintas dan dengan pantas mengelak daripada melanggarnya.

“Susulan insiden ini, saya dan adik cedera serta luka di anggota badan. Malah, kami juga masih berasa lenguh-lenguh susulan hentakan kuat,” katanya.

Katanya, dia dan adiknya juga masih tergamam dan terperanjat dengan insiden berkenaan.

"Jika diikutkan ini merupakan kali pertama saya melalui jalan ini kerana kebiasaannya saya hanya menggunakan laluan lebuh raya untuk ke Port Dickson," katanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, berdasarkan siasatan awal, kereta berkenaan terbabas ke bahu kiri jalan selepas mengelak binatang di hadapan sebelum merempuh tiang elektrik.

“Susulan rempuhan berkenaan, tiang elektrik patah dua. Bagaimanapun, kedua-dua mangsa tidak mengalami kecederaan serius," katanya.

'Tolonglah pulang'

'Tolonglah pulang'Kar Wai (kiri) tidak dapat menahan kesedihannya ketika sidang media semalam.

IPOH - Seorang penyelia di sebuah firma guaman merayu isteri dan anaknya yang didakwa tidak pulang ke rumah mereka di Taman Seri Gaya, sejak Khamis lalu supaya kembali ke pangkuannya.

Cheang Kar Wai, 36, berkata, dia sangat rindu dan bimbangkan keselamatan isterinya, Cheng Yee Yoong, 26, dan anak perempuan mereka, Cheang Wan May yang berusia dua tahun.
Menurutnya, sehari sebelum isterinya menghilangkan diri, terdapat pergaduhan antara mereka.

Katanya, dia menyedari kehilangan mereka berdua selepas anaknya tiada dalam jagaan pengasuh di flat Taman Pakatan, Bercham di sini ketika dia ingin mengambil kanak-kanak itu.
"Sememangnya menjadi rutin harian saya pada jam 8 malam untuk mengambil anak saya dari rumah pengasuh.

"Bagaimanapun sebaik sahaja tiba di rumah pengasuh, saya diberitahu anak saya sudah dibawa pulang oleh isteri. Saya cuba hubungi isteri tetapi tidak dijawab," katanya pada sidang media di di Pusat Khidmat dan Aduan Dun Bercham, di sini, semalam.

Hadir sama, Adun Bercham, Cheong Chee Khing.

Berasakan sesuatu tidak kena, Kar Wai berkata, dia terus pergi ke rumah ibu mertuanya untuk melihat sama ada mereka berdua ada di situ.

Kar Wai berkata, ternyata isterinya tidak membawa anak mereka ke situ malah ibu mertuanya juga terkejut dan tidak tahu di mana wanita terbabit berada.

Dia kemudiannya bergegas pulang ke rumah dan mendapati semua dokumen penting seperti  pasport, MyKad dan sijil kelahiran anak mereka tiada.

Menurutnya, dia membuat laporan mengenai kehilangan anak dan isterinya itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada hari sama.

“Jika dia (isteri) ada terguris hati, saya minta maaf dan merayu supaya mereka pulang ke pangkuan saya. Kita boleh selesaikan semua perkara dengan cara baik,” katanya.

Sementara itu, Chee Khing berkata, orang ramai yang mengenali atau terserempak dengan dua beranak terbabit diminta menghubungi balai polis berdekatan atau menghubungi beliau di talian 012-469 2686.

Suspek rogol pelajar IPT ditahan


9 September 2013

BANDARAYA MELAKA - Polis menahan seorang lelaki dipercayai terbabit dalam satu kejadian rogol membabitkan seorang penuntut sebuah institusi pengajian tinggi (IPT), di sini baru-baru ini.

Menurut sumber, suspek berusia 23 tahun itu ditahan polis Melaka dengan bantuan polis Kuala Lumpur di sebuah terminal bas di ibu kota kelmarin.

Suspek dipercayai tiba di Kuala Lumpur dalam usaha melarikan diri dari dikesan polis.

Difahamkan, suspek berkenaan turut dicari polis kerana dipercayai terbabit dalam beberapa kes dadah, pecah rumah serta kesalahan seksual terhadap remaja perempuan di negeri ini.

Dalam kejadian bulan lalu, seorang penuntut berusia 22 tahun di sebuah institusi pengajian tinggi di sini mendakwa dirogol seorang lelaki yang menceroboh ke dalam bilik asramanya.

Ditahan lepas 3 tahun sembunyi

Ditahan lepas 3 tahun sembunyi
Mohd Azahari mengaku tidak bersalah di mahkamah
 sesyen semalam, atas tuduhan merogol
 seorang remaja bawah umur.




KUALA TERENGGANU - Seorang buruh binaan yang bersembunyi selama tiga tahun selepas merogol seorang remaja bawah umur terpaksa akur apabila berjaya ditahan polis sebelum dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.

Bagaimanapun, Mohd Azahari Omar, 30, dari Kampung Pulau Hitam, Belara, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan terhadap pertuduhan merogol mangsa yang ketika itu baru berusia 15 tahun.

Mohd Azahari mengaku tidak bersalah melakukan perbuatan terkutuk itu di dalam sebuah bilik tidur di Kampung Binjai Manis, Manir, antara jam 9 hingga 9.40 malam, pada 30 Ogos 2010.

Dia mengaku tidak bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya, Zalina Awang @ Mamat di hadapan hakim Aslam Zainuddin.

Sejurus pengakuan tidak bersalah Mohd Azahari direkodkan, Aslam menetapkan 10 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Aslam turut membenarkan Mohd Azahari diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Remaja sanggup tinggalkan keluarga demi teman

Remaja sanggup tinggalkan keluarga demi temanSuspek yang dipercayai lari dari rumah sejak seminggu lalu.

KULIM - Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK) menahan empat remaja perempuan berusia antara 16 hingga 22 tahun kerana berpakaian tidak senonoh di khalayak ramai di sebuah stesen minyak di sini, kira-kira jam 2.45 pagi kelmarin.

Ketika ditahan, dua perempuan bersama seorang lelaki berusia 20an dipercayai bekerja sebagai seorang pensyarah berkelakuan mencurigakan dalam kereta jenis Perodua Viva yang diletakkan di tepi stesen minyak terlibat.

Setelah pemeriksaan, pegawai penguatkuasa PADK membawa kesemua terlibat ke Balai Polis Kulim untuk membuat laporan sebelum menjalani ujian saringan air kencing di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim.

Dari pemeriksaan, salah seorang remaja perempuan berusia 16 tahun itu sudah seminggu lari dari rumah dan tinggal bersama temannya di Bukit Mertajam. Memandangkan suspek masih di bawah umur, polis telah mengarahkannya menghubungi keluarga sebelum dibawa pulang ke rumah.

Menurut suspek, dia mengaku pernah melakukan hubungan seks bersama kekasihnya Ahad lalu ketika tidur bersama di ruang tamu rumah rakan ditumpanginya.

Polis kemudiannya memaklumkan mengenai kejadian itu kepada waris.

Kerana tidak puas hati dengan kejadian berlaku, suspek bersama ibu membuat laporan polis di Pulau Pinang dan kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

5 keluarga mahu tuntut ganti rugi

Mahu tuntut ganti rugiRumah perlu dibersihkan setiap kali banjir walau hujan hanya sekejap.

BUKIT JENUN - Lima keluarga di Kampung Tanjung Setul di sini membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Jenun kerana tidak berpuas hati terhadap projek kereta api dekat kampung itu yang didakwa punca berlakunya banjir, di situ semalam.

Sinar Harian difahamkan laporan itu dibuat bertujuan memohon ganti rugi kepada syarikat yang mengendalikan projek itu apabila semua kelengkapan rumah termasuk barangan elektrik rosak selepas ditenggelami air.

Penduduk, Ramli Ahmad, 42, berkata, lima rumah di situ kerap banjir ketika hujan lebat sejak projek landasan kereta api mula dijalankan lebih dua tahun lalu.

Katanya, air mula masuk dalam rumah kira-kira 2.30 pagi kelmarin namun surut selepas beberapa jam menyebabkan penduduk masing-masing bergegas mencuci rumah, tetapi tidak menyangka banjir berlaku lagi keesokan harinya (semalam).

“Semalam air mula masuk kira-kira jam 6 pagi ketika saya sedang tidur dan terkejut apabila bangun mendapati ruang dalam rumah sudah dipenuhi air menyebabkan kelengkapan rumah rosak kerana tidak sempat diselamatkan.

“Selepas bangun dari tidur, saya dapati semua kelengkapan termasuk peralatan elektrik ditenggelami air menyebabkan rugi ribuan ringgit,” katanya kepada Sinar Harian.

Ramli berkata, lebih enam kali kawasan ini dilanda banjir sejak projek itu dijalankan kerana perparitan yang disediakan syarikat terbabit kecil dan tidak mampu menampung pengairan air kawasan ini.


Sepakat tuntut pampasan

Penduduk, Rodiah Derauf, 66, berkata, banjir kali ini adalah paling teruk berbanding kejadian sebelumnya apabila paras air yang masuk ke dalam rumah hampir ke paras pinggang.

“Arus air yang masuk ke dalam rumah sangat laju sehingga saya dan anak-anak tidak sempat berbuat apa-apa selain menyelamatkan dokumen penting sahaja,” katanya.

Rodiah berkata, semua penduduk di sini telah berpakat akan menuntut pampasan daripada pihak syarikat yang mengendalikan projek terbabit ke atas kerosakan kelengkapan rumah yang ditanggung.

“Dah tiga kali kami (penduduk) membuat laporan polis untuk menangani masalah ini agar kejadian banjir tidak berulang lagi namun kecewa apabila pihak terbabit gagal mengambil tindakan.

“Sebelum ini kami bersabar dan menunggu tindakan sahaja, tetapi kali ini kami benar-benar marah apabila banyak kelengkapan rumah rosak dan mahu menuntut ganti rugi,” katanya.

Katanya, dia meminta pihak syarikat terbabit turun padang bertemu penduduk kawasan terbabit untuk berbincang bagi menangani masalah itu.

“Sejak projek landasan kereta api mula dibina, kami rasa susah hati untuk meninggalkan rumah setiap kali hujan kerana bimbang kejadian seperti ini berlaku,” katanya.


Keadaan makin buruk

Seorang lagi penduduk, Mat Zuki Harun, 68, turut rugi ribuan ringgit kerana tidak sempat menyelamatkan apa-apa kelengkapan rumah memandangkan anak dan isterinya berada di Kuala Lumpur.

“Saya tak sangka air akan masuk awal pagi ketika penduduk tengah tidur kerana ketika jam 3 pagi, saya bangun dan mendapati air tiada lagi di ruang tamu.

“Sebelum ini kawasan rumah sahaja yang dilanda banjir sebelum ada projek itu tetapi sekarang keadaan semakin buruk walaupun hujan setengah jam,” katanya.

Dalam pada itu, tinjauan Sinar Harian ke kawasan projek terbabit mendapati, perparitan yang disediakan syarikat terbabit tidak mampu berfungsi dengan baik menyebabkan pengairan di kawasan itu tersekat dan turut melimpah ke tandop sungai Lembaga Pertanian Muda (Mada).


Sawah kerap tenggelam

Sementara itu, tiga rumah di Kampung Limbong Kobah dilanda banjir dikatakan turut berpunca daripada projek landasan kereta api yang dibina.

Penduduk, Taib Man, 67, berkata, kejadian berlaku jam 6 petang kelmarin mengejutkan penduduk kawasan ini memandangkan kejadian itu merupakan kali pertama berlaku selepas hujan lebat.

Katanya, kejadian itu berlaku apabila perparitan yang dibina di situ dikatakan sempit dan tidak diselenggara dengan baik.

“Saya telah beberapa kali membuat aduan kepada pihak terbabit namun mereka hanya datang ambil gambar dan mendiamkan diri sahaja," katanya.

Bagi Siti Fatimah Harun, 32, berkata, terdapat juga kawasan sawah berhampiran rumah yang diusahakan penduduk kampung itu terpaksa dibiarkan kerana kerap tenggelam.

Pemuda dakwa kena pukul, ugut bunuh

Pemuda dakwa kena pukul, ugut bunuhMohammad Amir (kiri) menunjukkan tujuh laporan polis yang dibuatnya sejak Oktober tahun lalu.

IPOH – Tidak tahan kerana sering diugut malah pernah dipukul sejak Oktober tahun lalu, seorang kakitangan syarikat guaman meminta pihak polis segera menyiasat tujuh laporan dibuatnya sebelum ini.

Mohammad Amir Mohammad Arif, 22, mendakwa, sehingga kini dia tidak menerima sebarang perkembangan mengenai laporannya itu.

Menurutnya, dia sering diganggu serta diugut oleh beberapa individu dan pada 6 September lalu dia dipukul.

“Saya kini berasa terancam dan tidak tenteram, Saya juga tidak bekerja sejak seminggu lalu kerana masih diugut.

“Saya pernah dipukul di tempat awam dan cedera di kepala selain diugut bunuh," katanya kepada pemberita pada sidang media di Pusat Khidmat dan Aduan BN Perak, semalam.

Sementara itu, Ketua Urusetia Pusat Khidmat dan Aduan BN Perak, Mohd Rawi Abdullah berkata, pihaknya akan mendapatkan maklum balas daripada Ketua Polis Perak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berhubung aduan Mohammad Amir.

“Perkara ini serius memandangkan mangsa sudah membuat tujuh laporan polis malah nyawa Mohammad Amir dalam bahaya jika kita lihat ugutan dalam laporan polis yang dibuatnya,” katanya.

Dikejutkan tetamu tak diundang

Dikejutkan tetamu tak diundangWan Mohd Nor (kanan) melihat tanamannya yang musnah akibat serangan gajah liar.

KUANTAN - Kehadiran sekumpulan ‘tetamu tak diundang’ pada jam 3 pagi mengejutkan dua keluarga di Kampung Kuala Kenau Seberang, Sungai Lembing, di sini.

Dalam kejadian awal pagi Rabu lalu, kira-kira 11 gajah dari hutan berhampiran menyerang ladang kelapa sawit seluas 1.6 hektar dan kebun pisang milik penduduk.

Pemiliknya, Mohd Lutfi Sallehuddin, 24, berkata, ketika kejadian, dia sedang tidur sebelum terdengar bunyi geseran berdekatan garaj keretanya.

Menurutnya, sebaik mendengar bunyi itu, dia sudah mengagak kehadiran gajah berkenaan sebelum keluar untuk melihat situasi dengan lebih jelas.

“Sejurus keluar, saya dengar bunyi mercun dari rumah bapa saudara tidak jauh dari rumah untuk menghalau gajah berkenaan.

“Bagaimana pun, semuanya sudah terlambat dan saya lihat 420 pokok kelapa sawit sudah musnah, hanya tinggal lima pokok yang tak sempat diusik, manakala 15 biji cempedak, pokok pisang dimakan,” katanya.

Mohd Lutfi berkata, walaupun sudah beberapa kali menyerang tanaman di rumahnya namun itu kali pertama ladang sawitnya di musnah gajah.

Katanya, sebelum ini, dia bersama saudara sentiasa berjaga pada waktu malam berhampiran sungai namun pada malam kejadian dia tidak berbuat demikian.

“Kalau dikira-kira, saya kerugian hampir RM8,000 akibat kerosakan pokok sawit yang baru ditanam setahun lalu selain pukat yang dijadikan sebagai pagar turut rosak,” katanya.

Bagi Wan Mohd Nor Wan Mohd Ali, 56, dia dikejutkan anaknya, Wan Saharuddin, 27, kira-kira jam 3 pagi kerana mendengar bunyi pelik berdekatan biliknya.

“Anak saya sempat lempar mercun untuk halau gajah-gajah itu dan lari ke hutan berhampiran,” katanya.

Gadis seksi umpan pelanggan

Gadis seksi umpan pelangganSebahagian GRO Thailand yang ditahan dalam serbuan di sebuah kelab malam.

KUALA LUMPUR - Seramai 28 gadis pelayan pelanggan (GRO) Thailand yang asyik melayan pengunjung sebuah kelab malam di sini, terkejut apabila premis yang berselindung di sebalik perniagaan mewah itu diserbu polis malam kelmarin.

Kegiatan licik pemilik kelab menyajikan wanita sebagai tarikan utama premis berjaya dibongkar selepas polis dari Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Kuala Lumpur melakukan serbuan kira-kira jam 10 malam.

Seramai 24 pelanggan dilihat dihiburkan dengan persembahan nyanyian oleh wanita seksi yang diiringi kumpulan pemuzik khas.

Pegawai Turus D7 IPK Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Bahrain Che Rose berkata, kesemua 28 GRO ditahan berusia antara 24 dan 39 tahun.

Menurutnya, semua GRO itu ada pasport, namun menyalahgunakan pas lawatan sosial.

“Kita tahan mereka kerana disyaki melanggar syarat pas lawatan sosial kerana bekerja di kelab malam terbabit.

“Turut ditahan ialah seorang lelaki tempatan, berusia lingkungan 30-an, yang bertindak sebagai penjaga premis,” katanya, semalam.

Bahrain berkata, semakan mendapati kelab malam itu beroperasi sejak lima bulan lalu dan mempunyai lesen pusat hiburan.

Menurutnya, premis itu, bagaimanapun, baru pertama kali diserbu oleh pihak berkuasa.

Menurutnya, semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur untuk proses dokumentasi.

“Siasatan lanjut sedang dibuat bagi mengetahui jumlah tips yang diterima oleh kesemua GRO itu dan mengenal pasti sama ada mereka dihantar ejen tertentu atau  bekerja dengan premis berkenaan,” katanya.

Lelaki separuh bogel mengganas cari anak dara

Lelaki separuh bogel mengganas cari anak daraGambar seorang lelaki tanpa seluar dipercayai suspek diedarkan kepada orang ramai di sekitar Bukit Payung dan Alor Limbat melalui pelbagai media baru termasuk gambarnya ditampal di tiang lampu isyarat di Marang.

MARANG - "Sebaik sahaja tersedar daripada tidur, saya lihat ada lelaki separuh bogel memakai topeng ‘Zorro’ berada atas badan. Saya cuba menjerit namun mulut saya penuh dengan cecair seperti minyak dan ditutup,” kata mangsa, seorang pelajar berumur 17 tahun.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, pelajar terbabit mendakwa lelaki separuh bogel itu telah memasukkan cecair seperti minyak dipercayai telah dicampur bahan lain ke dalam mulutnya agar dia tidak sedarkan diri.

Bagaimanapun lelaki yang tidak memakai seluar itu tidak sempat berbuat apa-apa apabila bapa pelajar terbabit juga tersedar daripada tidur lalu memeriksa bilik anak perempuannya sebelum menyergah lelaki itu yang kemudiannya melarikan diri.

Menurut mangsa, lelaki terbabit hanya sempat mengambil telefon bimbit miliknya dan bersyukur kerana tidak diapa-apakan.

Namun mangsa yang tinggal di Kampung Tok Renek itu masih trauma dan tidak dapat melupakan kejadian menimpanya.

“Nasib baik lelaki itu tidak sempat bertindak ganas dan saya bersyukur kerana kejadian disedari bapa, namun saya tidak akan dapat melupakan kejadian itu sampai bila-bila, malah masih berasa takut seolah-olah dia akan datang semula.

“Keluarga juga risau kejadian berulang dan mereka sudah membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Payung di Marang dan kami berharap lelaki itu akan dapat diberkas dengan segera” katanya ketika menghubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi semalam, mengesahkan menerima laporan dan menurutnya, kes berkenaan masih dalam siasatan serta disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, difahamkan lelaki separuh bogel dipercayai mengalami masalah mental itu juga digelar sebagai ‘orang minyak’ oleh penduduk kampung kerana sering berkeliaran di sekitar Bukit Payung dan Padang Midin, Kuala Terengganu.

Malah, kelibat lelaki tanpa seluar itu berjaya dirakam penduduk di kawasan berkenaan dan diedarkan kepada umum melalui laman facebook, whatsApp dan media baru lain termasuk gambarnya ditampal di tiang lampu isyarat di kawasan Bukit Payung, di sini.

Kejadian itu juga menyebabkan JKKK Padang Midin dan Belia Bestari (BBest) Kampung Padang Midin, Kuala Terengganu menubuhkan satu pasukan rondaan di kawasan kampung berkenaan.

Menurut Pengerusi JKKK Padang Midin, Razali Shahul Hamid, rondaan di kawasan kampung bermula pada jam 12 malam hingga 6 pagi setiap hari dan disertai ahli jawatankuasa belia BBest serta penduduk kampung tersebut.

“Rondaan ini telah dijalankan sejak dua tahun lalu dan kita adakan dengan lebih giat selepas beberapa siri kejadian membabitkan lelaki dipercayai kurang siuman yang digelar sebagai orang minyak itu dikatakan mula berkeliaran termasuk di Tok Renek.

“Tok Renek masih di bawah pentadbiran JKKK Padang Midin. Kampung ini terletak di sempadan kawasan polis Kuala Terengganu dan Marang, jadi kami akan memberikan kerjasama penuh dalam membantu dua pihak berkuasa itu memberkas lelaki terbabit,” katanya.

Rumah pangsa digempur polis

Rumah pangsa digempur polis
Seorang individu ditahan kerana mempunyai tatu
labah-labah pada lengannya

.


IPOH - Rumah Pangsa Taman Harmoni, Buntong di sini, semalam digempur polis menerusi Ops Cantas Khas yang dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

Difahamkan, sebelum ini penduduk di situ melahirkan kebimbangan mereka mengenai kehadiran ahli kongsi gelap yang tinggal di kawasan perumahan itu dan mengancam keselamatan mereka.

Operasi bermula dari jam 9 malam hingga jam 1 pagi itu membabitkan 192 anggota daripada Pasukan Gerakan Am, Jabatan Siasatan Jenayah serta trafik.

Kehadiran anggota keselamatan di perumahan terbabit ternyata mengejutkan segelintir penduduk.

Kelihatan beberapa sudut dinding-dinding di rumah pangsa itu diconteng dengan simbol dan nombor mewakili beberapa kumpulan kongsi gelap.

Malah, ketika pemeriksaan dijalankan ada individu mencampakkan paket plastik dipercayai bungkusan dadah kerana bimbang dicekup pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, sepanjang operasi selama empat jam itu, pihaknya berjaya memberkas sembilan lelaki yang dipercayai ahli kumpulan kongsi gelap.

“Seramai 248 individu diperiksa dan 12 daripadanya diambil keterangan untuk tujuan dokumentasi. Ada dalam kalangan mereka yang ditahan tergolong dalam senarai orang dikehendaki polis.

“Sementara itu, seorang daripada individu ditahan mempunyai tatu labah-labah pada lengannya dan kini disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1960

“Seorang individu lagi ditahan selepas pihak kami menemui senjata (pisau) bersamanya,” katanya.

Beliau berkata, empat daripada mereka ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 392, 324, 458 dan 186 Kanun Keseksaan.

Katanya, tiga lagi ditahan masing-masing di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dan Sekyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Sementara itu, dalam Ops Cantas berasingan yang dijalankan oleh IPD Manjung, Taiping dan Hilir Perak, seramai 172 individu dan 60 kenderaan diperiksa.

Operasi yang bermula dari jam 8 malam hingga 5 pagi itu turut menahan enam lelaki dan dua daripada mereka dipercayai ahli kumpulan kongsi gelap 04 dan 08.

Bayi disyaki didera meninggal dunia

Bayi disyaki didera meninggal duniaKeratan Sinar Harian siaran 12 September.

SHAH ALAM – Bayi enam bulan yang koma  dipercayai  didera pengasuhnya  meninggal dunia  di Hospital Tengku  Ampuan Rahimah, Klang jam 2.25 petang, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ,Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop  mengesahkan Nur Sofea Insyirah Mohd Sharil  meninggal dunia akibat kesan kecederaan yang dialami selepas lima hari dirawat di hospital itu.

“Laporan awal menunjukkan kecederaan berlaku bukan disebabkan dipukul atau didera. Namun, kita masih menunggu keputusan bedah siasat,” katanya.

Menurutnya, kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2011.

Pada 10 September lalu bayi itu dilaporkan tidak sedarkan diri selepas mengalami sesak nafas  ketika dalam jagaan pengasuhnya di Jalan Yadi, Teluk Gadong Kecil, Klang.

Mangsa dikejarkan ke Hospital Pantai Klang untuk rawatan sebelum dipindahkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Rahimah.

Laporan perubatan kemudiannya mengesahkan terdapat kesan retak pada tengkorak kiri mangsa selain pendarahan di otak tengah serta lebam di dahi.

Polis kemudiannya menahan wanita berusia 28 tahun yang merupakan pengasuh bayi tersebut untuk siasatan, namun dibebaskan semula selepas laporan awal yang diperoleh menunjukkan kecederaan berlaku bukan disebabkan perbuatan orang lain seperti dipukul atau didera.

Rumah urut di Bukit Bintang langgar syarat


 
Kuala Lumpur: Semua 24 premis perniagaan yang menawarkan urutan tradisional di Jalan Bukit Bintang, di sini, dikesan melanggar syarat ditetapkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Penolong Pengarah Jabatan Pelesenan dan Pengurusan Penjaja DBKL, Irwan Shafari Wahab, berkata hasil pemeriksaan mendapati empat premis menawarkan khidmat urutan badan sedangkan mereka hanya memperoleh kebenaran urutan refleksologi kaki.
“Hasil pemeriksaan kita dapati premis ini menjalankan kegiatan tidak bermoral namun kita hanya boleh mengambil tindakan menyaman atau mengkompaun pemilik premis kerana melanggar syarat ditetapkan.

Pemantauan secara berterusan

“Kita akan menjalankan pemantauan secara berterusan dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya mereka melanggar syarat ditetapkan dan sabit kesalahan mereka akan dikenakan denda maksimum RM2,000,” katanya selepas melakukan pemeriksaan di premis urutan tradisional awal pagi semalam.

Irwan berkata, dalam operasi itu empat premis dikesan menjalankan operasi tanpa lesen selepas lesen perniagaan sebelum ini dibatalkan DBKL kerana melanggar syarat ditetapkan.

Dalam pemeriksaan itu, tiga wanita warga asing yang berpakaian seksi dikesan sedang mengurut pelanggan lelaki.
Katanya, kebanyakan premis perniagaan terbabit beroperasi sehingga jam 3 pagi dan ada yang dibuka 24 jam serta wujud unsur maksiat dan pelacuran.

Janda ditahan khalwat selang dua bulan


 
Alor Gajah: Seorang janda anak lima yang pernah didakwa bersekedudukan dengan seorang lelaki bujang dua bulan lalu, ditahan berkhalwat dengan lelaki sama, awal pagi semalam.

Wanita berusia 39 tahun itu ditahan sepasukan anggota pasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bersama pasangannya berumur 29 tahun di kediamannya di Durian Tunggal pada kira-kira jam 4.30 pagi.
Ketua Penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Melaka (JAIM), Rahimin Bani, berkata mereka disiasat mengikut Seksyen (53) Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka dan boleh didenda RM3,000 atau penjara atau kedua-duanya sekali.

“Penahanan dilakukan susulan maklumat awal dari orang ramai yang mengesyaki mereka terbabit dengan khalwat,” katanya.

Kerap kali dilihat

BH difahamkan, pasangan janda berkenaan kerap dilihat penduduk sekitar berkunjung ke rumah wanita terbabit.

Sepasukan anggota penguat kuasa JAIM memeriksa rumah wanita terbabit pada kira-kira jam 4.30 pagi.
Pada mulanya, wanita berkenaan enggan mengaku menyembunyikan pasangannya itu sebelum akhirnya ia berjaya dikesan pasukan berkenaan.

Pemeriksaan lanjut selepas itu mendapati mereka tidak berkahwin.

15 ahli kongsi gelap ditahan

15 ahli kongsi gelap ditahanContengan lambang kumpulan kongsi gelap Geng 04 ditemui di dinding beberapa blok rumah pangsa di Taman Harmoni, Buntong, Ipoh. - Foto Ikhwan Munir
Polis Perak temui dadah, pisau dalam Operasi Cantas Khas

Ipoh: Polis Perak menahan 15 anggota kumpulan kongsi gelap termasuk menerusi operasi rumah ke rumah dalam Ops Cantas Khas secara serentak di empat daerah mulai malam kelmarin hingga awal pagi semalam.
Ketua Polis negeri, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani, berkata operasi digerakkan di Ipoh, Manjung, Taiping dan Teluk Intan manakala penahanan dilakukan mengikut Akta Pertubuhan 1966.


“Antara yang ditahan ialah seorang ahli kumpulan Geng 04 dan seorang ahli Geng 08 manakala 13 lagi disiasat bagi mengenal pasti kumpulan dianggotai,” katanya di sini, semalam.

Pelbagai kesalahan

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong, berkata pihaknya menahan sem-bilan lelaki anggota kumpulan kongsi gelap atas pelbagai kesalahan dalam satu operasi besar-besaran dari rumah ke rumah di Rumah Pangsa Taman Harmoni, di sini.

Beliau berkata, polis turut menemui pisau dan dadah dalam operasi empat jam berakhir jam 1 pagi semalam.
“Kita memeriksa 212 unit kediaman membabitkan 248 individu dan daripada bilangan itu, 12 orang didapati mencurigakan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati sembilan daripadanya melakukan pelbagai kesalahan termasuk memiliki dadah dan pisau, selain mempunyai tatu lambang kumpulan kongsi gelap.

“Contengan lambang kumpulan kongsi gelap turut ditemui di dinding beberapa blok rumah pangsa, selain beberapa paket dan peralatan dipercayai untuk menghisap dadah yang dibuang dari tingkap,” katanya.

Dedah identiti

Di Georgetown, penemuan tiga cota dan rotan mendedahkan identiti empat lelaki tempatan dipercayai ahli Geng 04 menerusi Ops Cantas Khas di sebuah pusat hiburan di Jalan Persiaran Gurney, di sini, semalam.

Keempat-empatnya yang berusia dalam lingkungan 20-an itu ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri dan Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) kira-kira jam 1 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah, berkata operasi disertai 110 anggota dan pegawai polis mulai jam 8 malam kelmarin hingga 3 pagi semalam dengan tumpuan di pusat hiburan seluruh daerah.

“Empat lelaki terbabit dapat dikesan sebelum dibawa ke IPDTL untuk tujuan dokumentasi dan siasatan sama ada mereka adalah ahli kongsi gelap,” katanya yang turut mengikuti operasi berkenaan.

Tembak mati isteri, mentua

Tembak mati isteri, mentuaOrang ramai mengerumuni lokasi kejadian di Tangkak, Ledang, malam tadi.

Anggota polis hadapi masalah keluarga kemudian bunuh diri

Tangkak: Seorang anggota polis menembak mati isteri dan bapa mentuanya sebelum menembak diri sendiri dalam kejadian di Jalan Sialang, dekat sini, petang semalam.
Jurucakap polis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6 petang, Lans Koperal Fadzly Omar, 28, dikatakan menembak mati isterinya, Norakma Kadir, 28, di kuarters Pondok Polis FELDA Chempelak, dekat Labis.

Ketika masuk ke ruang tamu, saya melihat mangsa sudah terlentang di lantai dalam keadaan nyawa-nyawa ikan manakala suspek tertiarap di atas meja” Jiran

Suspek kemudian membawa anak mereka yang berusia dua tahun ke rumah bapa mentuanya, Ab Kadir Md Arif di Tangkak, Ledang kira-kira 60 kilometer dari rumahnya, sebelum menembak mangsa di hadapan dua anaknya. Suspek kemudian menembak dirinya sendiri.

Fadzly meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Ab Kadir disahkan meninggal dunia sejurus tiba di Hospital Tangkak. Bagaimanapun anak dan dua lagi adik ipar suspek tidak dicederakan.

Kejadian dipercayai berpunca daripada masalah keluarga. Suspek dan isteri pernah merujuk masalah mereka ke Jabatan Agama Johor.

Difahamkan isteri suspek bekerja sebagai kerani di sebuah sekolah di Sagil, dekat sini dan tinggal dengan bapanya yang juga penjual daging di Pasar Awam Tangkak.
Isteri suspek dikatakan hanya pergi ke rumah suspek di FELDA Chempelak pada cuti hujung minggu.

Dengar seperti bunyi mercun

Sementara itu, jiran Ab Kadir yang enggan dikenali berkata, beliau mendengar seperti bunyi mercun sebanyak dua kali di rumah mangsa kira-kira jam 7.15 malam.

Katanya, beliau cuba melihat tetapi tidak mengesyaki sebarang perkara buruk sebelum tiba-tiba anak mangsa meluru datang ke rumahnya dan memberitahu ayahnya ditembak oleh suspek yang juga abang iparnya.

“Saya amat terkejut dan memberanikan diri untuk melihat ke dalam rumah.

“Selepas masuk ke rumah saya lihat dua tubuh terbaring di ruang tamu berlumuran darah dan mangsa masih hidup ketika itu tetapi keadaannya parah,” katanya.

Katanya, sebelum kejadian, beliau melihat suspek pulang ke rumah bapa mentuanya bersama anak lelakinya menaiki kereta.

Kemudian katanya, beliau melihat anak perempuan mangsa bermain-main bersama anak suspek di luar rumah manakala suspek berada di dalam rumah bersama bapa mentua serta adik ipar lelakinya.

“Ketika masuk ke ruang tamu, saya melihat mangsa sudah terlentang di lantai dalam keadaan nyawa-nyawa ikan manakala suspek tertiarap di atas meja.

“Saya segera menghubungi ambulans dan polis,” katanya.

Jenayah rogol meningkat di Asia Pasifik

Jenayah rogol meningkat di Asia PasifikSekumpulan pelajar India menyertai tunjuk perasaan antirogol di Hyderabad kelmarin. Kajian di enam negara mendapati 25 peratus lelaki mengaku pernah melakukan jenayah rogol. - Foto AFP

Kajian dapati 25 peratus lelaki di wilayah ini pernah terbabit

London: Hampir satu perempat daripada lelaki di Asia Pasifik mengakui pernah merogol seseorang sekurang-kurangnya sekali dalam hidup mereka, menurut satu tinjauan baru, dengan lebih separuh daripada responden terbabit mendakwa melakukannya kali pertama ketika masih remaja.
Kajian itu meliputi enam negara iaitu Bangladesh, China, Kemboja, Indonesia, Papua New Guinea dan Sri Lanka – mendapati 10 peratus lelaki mengakui merogol sekurang-kurangnya seorang wanita yang bukan pasangan mereka, satu angka yang meningkat kepada hampir 25 peratus apabila merogol pasangan dimasukkan.


Untuk hiburan

Hampir 75 peratus mereka yang merogol berkata berbuat demikian kerana berasa berhak melakukan hubungan seksual, manakala lebih separuh berkata, mereka melakukannya untuk hiburan.

Kajian diterajui Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ke atas lelaki dan keganasan, mengumpul data daripada lebih 10,000 lelaki dan 3,000 wanita berusia antara 18-49 tahun antara 2010 dan 2013 bagi memahami mengapa lelaki melakukan keganasan ke atas wanita dan apa yang boleh dilakukan untuk menghalangnya.

Penemuan itu penting kerana rantau Asia Pasifik menempatkan lebih separuh penduduk dunia, menjadikan jumlah dan pelbagai maklumat dikumpul “tidak pernah diperoleh sebelum ini dan bertindak sebagai perintis,” kata Dr Emma Fulu dari Partners for Prevention, program bersama PBB yang menjalankan kajian itu.
Henti keganasan

“Ini adalah kali pertama kami memiliki data jenayah rogol dalam skala ini, bukan hanya di rantau namun di dunia, dan saya fikir ia kemungkinan mencadangkan jenayah rogol melebihi kita fikirkan dan jenayah rogol bermula lebih awal daripada apa yang orang ramai fikirkan, yang benar-benar mengetengahkan keperluan untuk mula bekerjasama dengan budak lelaki muda dan perempuan untuk menghentikan keganasan,” katanya. - 

Tiga kanak-kanak lemas dalam peti sejuk

JOHANNESBURG 15 Sept. - Tiga kanak-kanak Afrika Selatan ditemui mati oleh datuknya selepas terperangkap di dalam sebuah peti sejuk lama ketika bermain berhampiran rumahnya, semalam.
Menurut jurucakap polis, Kealeboga Molale kesemua mayat mereka di temui di Atamelang, sebuah bandar di wilayah North West. Dua daripada mereka berusia empat tahun manakala seorang lagi berusia tiga tahun.
“Mereka pergi bermain di dalam peti sejuk dan terkunci dari arah dalam menyebabkan mereka lemas," kata Molale. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130915/lu_06/Tiga-kanak-kanak-lemas-dalam-peti-sejuk#ixzz2evknfkd5
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiga cota dan rotan ditemui

Foto
POLIS bersama cota dan rotan yang cuba disembunyikan.
Georgetown: Tiga cota dan rotan ditemui disembunyikan di bahagian belakang sebuah pusat hiburan dalam pemeriksaan Ops Cantas Khas (Op Cantas) terhadap di sebuah pusat hiburan di Jalan Persiaran Gurney, di sini, semalam.
Ia dipercayai disembunyikan sebagai persediaan jika berlaku pergaduhan atau kejadian tidak diingini di pusat hiburan terbabit.

Pusat hiburan itu juga dipercayai menjadi tempat kegemaran ahli kumpulan kongsi gelap untuk berhibur dan melepak.
Pemeriksaan lanjut polis di pusat hiburan terbabit kemudian menahan empat lelaki disyaki anggota kumpulan kongsi gelap Geng 04.

Keempat-empat mereka yang berusia 20-an ditahan jam 12.45 tengah malam oleh sepasukan 110 pegawai dan anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, operasi bermula jam 8 malam hingga 3 pagi itu tertumpu kepada pusat hiburan seluruh negeri.

Menurutnya, pemeriksaan itu juga bagi mengesan anggota kongsi gelap yang dipercayai cuba bersembunyi di pusat hiburan bagi mengelak dicekup pihak berkuasa.

“Keempat-empat yang ditahan dibawa ke IPD Timur Laut untuk tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut dijalankan bagi memastikan sama ada mereka ahli kongsi gelap 04,” katanya. Mazlan berkata, dalam pemeriksaan kedua di sebuah pusat hiburan di Upper Penang Road, di sini, lebih 300 pengunjung yang asyik berhibur terkejut dengan kehadiran polis di premis terbabit.
Menurutnya, dalam pemeriksaan itu, 14 wanita warga asing termasuk tujuh warga Vietnam, empat (China) dan tiga (Indonesia) berusia dalam lingkungan 20 hingga 30-an ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

Katanya, polis turut menemui tiga plastik lutsinar mengandungi dadah jenis syabu, ganja dan heroin dipercayai dibuang di atas lantai oleh pengunjung pusat hiburan itu.

“Sepanjang operasi selama tujuh jam, kami mengeluarkan beberapa saman terhadap lima pusat hiburan yang diperiksa atas pelbagai kesalahan, selain merampas 12 mesin perjudian di sebuah premis di Seberang Perai Selatan (SPS) kerana disyaki menjalankan aktiviti perjudian secara haram,” katanya.

Mazlan berkata, operasi seperti itu akan terus dipertingkatkan bagi memantau kegiatan kongsi gelap, perjudian dan maksiat.

10 pendatang Myanmar kelaparan



Kangar: Tindakan sekumpulan 10 pendatang asing tanpa izin warga Myanmar keluar dari lokasi persembunyian untuk mencari makanan akibat kelaparan menyebabkan mereka ditahan pihak berkuasa ketika berkeliaran di Batu Putih, Kuala Perlis dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari, semua lelaki berusia antara 17 hingga 40 tahun, termasuk ada memakai kain pelekat, pergi ke dusun berhampiran selepas bersembunyi sejak beberapa hari lalu di pinggir sebuah bukit.


Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi mereka apabila dikepung sebelum ditahan sepasukan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang membuat rondaan berhampiran kawasan itu.

Komander Kompeni B Batalion ke-3 PGA Asisten Superintendan Joe King a/l Marian Anthony berkata, pihaknya mendapat maklumat awam mengenai kehadiran mencurigakan sekumpulan lelaki warga asing di kawasan bukit di Kuala Perlis berhampiran sempadan Malaysia-Thailand.


Menurutnya, berikutan itu, sepasukan lima anggota PGA diketuai Sarjan Salleh Mat membuat rondaan sebelum terserempak dengan pendatang yang berkeliaran di kawasan Batu Putih. Menurutnya, pendatang terbabit tidak melarikan diri kerana keliru selain kelaparan, dipercayai kerana tidak makan sejak beberapa hari lalu.


“Dalam soal siasat, kumpulan lelaki terbabit mendakwa kelaparan akibat ketiadaan makanan di lereng bukit yang menjadi lokasi persembunyian, menyebabkan mereka cuba ke dusun berhampiran dengan harapan dapat mencari sumber makanan.

“Mereka juga mendakwa memasuki Malaysia untuk mencari perlindungan dan pekerjaan kerana di negara mereka keadaan tidak stabil, namun masih tidak pasti ke mana arah tujuan,” katanya.


Menurutnya, semua warga asing itu dibawa ke Balai Polis Kuala Perlis dan diberi roti dan air mineral bagi mengisi perut.

Katanya, mereka kemudian diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959.

Balik surau jumpa harimau kumbang

Taiping: Seorang warga emas yang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai solat Isyak di surau berhampiran rumahnya di Kampung Bukit Bertam, Batu Kurau di sini, malam kelmarin, berdepan detik cemas apabila terserempak seekor harimau kumbang.
Menurut Ishak Mat Akib 58, dalam kejadian jam 9.30 malam itu, haiwan berwarna hitam dianggarkan seberat 60 kilogram itu duduk atas jalan utama menuju rumahnya dan dia hanya mampu berdiam diri apabila harimau itu merenungnya sebaik lampu motosikal menyuluh binatang liar terbabit. 
“Jantung saya berdegup kencang apabila lampu motosikal tersuluh seekor haiwan hitam sedang ‘berehat’ di atas jalan kira-kira 10 meter dari rumah. Sewaktu merenung harimau itu, mulut saya tidak berhenti beristighfar serta berdoa agar binatang terbabit tidak bertindak ganas atau menerkam saya.

“Kira-kira dua minit saya tergamam atas motosikal dan tidak berani bergerak atau berbuat apa-apa, mujurlah haiwan itu kemudian beredar memasuki kawasan belukar,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Foto
ISHAK menunjukkan tempat dia terserempak dengan harimau kumbang.

Ishak berkata, sebelum ini memang dia pernah mendengar mengenai beberapa lembu ternakan penduduk kampung dibaham binatang liar, tetapi tidak mempercayainya.

“Saya sangkakan, berita mengenai harimau itu tidak benar, tetapi apabila terserempak dengan binatang ganas itu sendiri barulah saya percaya dan kini saya perlu lebih berhati-hati terhadap keselamatan diri dan ahli keluarga lain kerana binatang itu muncul hampir dengan rumah kami.

“Harapan saya pihak berwajib dapat mengambil tindakan berhubung masalah binatang liar ini dan mencari jalan bagi menangkapnya,” ” katanya.

Katanya, selepas berita penemuan binatang itu tersebar, beberapa penduduk membuat rondaan sekitar kawasan kampung bagi memburu haiwan berkenaan, namun gagal menemuinya.

Sementara itu, sekitar jam 7 malam sebelum kejadian, ibu mentua Ishak, Rogayah Abdul Razak, 71, mendakwa terdengar bunyi harimau mengaum dari hutan berhampiran ketika sedang bersiar-siar di halaman rumah.

22 GRO warga asing ditahan


Kuala Lumpur: Boleh dibawa keluar dan servis pula ikut rundingan. Itulah taktik digunakan pelayan pelanggan (GRO) dua pusat hiburan di sini untuk memperoleh pendapatan lumayan.

Dua pusat hiburan itu yang beroperasi secara bersebelahan di Jalan Puchong Mesra, di sini, dikesan menyediakan GRO warga asing terbabit bagi menarik kunjungan pelanggan.
Namun, kegiatan tidak bermoral kedua-dua premis itu terbongkar hasil maklumat awam dan risikan Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Pegawai Turus D7 IPK Kuala Lumpur Deputi Superintendan Bahrain Che Rose berkata, pihaknya menyerbu kedua-dua premis yang terletak di bahagian bawah premis perniagaan tiga tingkat itu, jam 11.30 malam kelmarin.

Foto
ANTARA GRO yang ditahan dalam serbuan polis IPK Kuala Lumpur.


“Dua pusat hiburan itu menawarkan khidmat GRO warga asing dan kami menahan 22 wanita berusia antara 19 hingga 35 tahun.


“Daripada jumlah itu, 18 wanita warga Vietnam dan empat warga China. Hasil semakan dokumentasi, mereka menyalahgunakan pas lawatan sosial,” katanya selepas serbuan.

Menurutnya, serbuan disertai dua pegawai dan 10 anggota itu turut menahan dua lelaki warga Bangladesh yang mengaku bekerja di premis itu.

Bahrain berkata, pemeriksaan mendapati sebuah daripada premis berkenaan menjalankan operasi tanpa lesen sejak dibuka hampir setahun lalu.

Katanya, kedua-dua premis sudah tiga kali diserbu, namun pengusaha premis berkenaan disyaki tetap berdegil dengan menyediakan GRO warga asing.

Berikutan itu, dua penjaga premis, iaitu seorang lelaki dan wanita tempatan berusia 24 dan 28 tahun, ditahan dan semua mereka dibawa ke IPK Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut.

Maut ketika berlumba



Muadzam Shah: Tindakan tiga remaja berlumba dan menunjukkan kehebatan menunggang motosikal bertukar tragedi apabila dirempuh lori tangki minyak di Kilometer 120.5 Jalan Kuantan-Segamat, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 12.30 pagi, Mohamad Mubarak Mohamad Sabri, 18, dan Mohd Ilham Kusyairy Ahmad Roslan, 16, dari FELDA Keratong 9 di sini, serta Mohd Hakim Ghazali, 17, mati di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Rompin Deputi Superintendan Johari Jahaya berkata, ketika kejadian, tiga sahabat itu berlumba dengan menunggang motosikal masing-masing dari arah Kuantan menghala ke Segamat.

Katanya, setibanya di tempat kejadian, sebuah lori tangki minyak tanpa muatan dari arah bertentangan cuba memotong sebuah kereta di depannya tanpa menyedai kehadiran ketiga-tiga mangsa sebelum merempuh mereka.

Foto
TIGA motosikal terbabit dalam kemalangan.

Foto
MAYAT seorang mangsa nahas.
“Berdasarkan siasatan awal, pemandu lori gagal mengelak mangsa dan terus merempuh mereka sebelum kenderaannya terbabas ke bahagian kanan jalan dan terbalik.


“Akibat rempuhan itu, semua mangsa tercampak kira-kira empat meter dan mati di tempat kejadian akibat cedera parah, termasuk pecah kepala dan putus tangan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Katanya, siasatan juga mendapati ketiga-tiga mangsa berlumba bersama beberapa rakan lain, namun mereka sempat mengelak dirempuh lori.

Johari berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Muadzam Shah untuk bedah siasat sebelum jenazah diserahkan kepada keluarga masing-masing untuk urusan pengebumian.

Bagaimanapun, polis masih mengesan pemandu lori yang dipercayai melarikan diri sejurus selepas kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Saya meminta saksi kejadian tampil ke balai polis berhampiran untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan,” katanya.

Wanita telan buku rekod polis


Colombo: Seorang suspek wanita yang dituduh memiliki heroin di sini mengoyakkan buku rekod polis sebelum menelannya.

Menurut laporan media Sri Lanka, seorang anggota polis yang bertugas mencatatkan maklumat terperinci mengenai suspek wanita itu selepas dia ditahan. Polis kemudian memintanya menandatangani laporan berkenaan, tetapi dia enggan berbuat demikian.


Tidak lama selepas itu, polis terbabit membacakan dakwaan yang ditulis terhadap wanita itu. Suspek tiba-tiba meluru ke arah anggota polis itu lalu merampas rekod laporan berkenaan. Dia kemudian mengoyak dan menelan kertas berkenaan menyebabkan anggota polis yang bertugas itu tercengang dengan perbuatan peliknya.

Di samping itu, ekoran kejadian aneh berkenaan, satu laporan kemudian dibuat di mahkamah majistret Colombo. - Agensi

Ragu Bashar kotakan janji


New York: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon berkata semalam, seperti masyarakat antarabangsa, beliau juga meragui Presiden Syria Bashar al-Assad akan menghormati perjanjian antarabangsa mengenai senjata kimia negaranya.

Rancangan Russia untuk meletakkan senjata kimia Syria di bawah kawalan n antarabangsa dan permohonan Damsyik untuk menyertai Konvensyen Senjata Kimia 1993 meredakan kebimbangan mengenai ancaman serangan tentera Amerika Syarikat.
“Presiden Bashar memberi reaksi terhadap rundingan Russia-AS bagi mengakhiri krisis itu, sebahagiannya melalui hasrat untuk menyertai konvensyen itu, kata Ban kepada saluran berita France 24 dalam satu wawancara.

“Itu menunjukkan tanda positif, tetapi pada masa sama, saya dapat merasakan keraguan masyarakat antarabangsa. Ya, saya juga ada berkongsi perasaan yang sama.


“Penting untuk pihak berkuasa Syria melaksanakan dengan jujur dan ikhlas membuktikan apa yang mereka katakan. Bashar perlu ikhlas,” katanya.



Amerika Syarikat dan sekutunya menyuarakan keraguan mengenai niat Bashar dan menggesa jaminan bahawa tindakan antarabangsa akan diambil jika kerajaan Syria gagal menunaikan janjinya.

Ban memberikan wawancara itu selepas berkata beliau percaya laporan pakar PBB akan memberikan pengesahan “sebenar” bahawa senjata kimia memang digunakan di Syria.

Pemeriksa PBB dijangka menyerahkan laporan mengenai serangan gas sarin di Damsyik 21 Ogos lalu kepada Ban esok.

Pemimpin PBB itu juga berkata, Bashar sudah melakukan banyak jenayah terhadap kemanusiaan.

Dalam wawancara semalam, Ban mengesahkan bahawa “jenayah buruk” berlaku di Syria dan ia perlu dipertanggungjawabkan.

Tetapi beliau juga berkata, hanya penyelesaian politik dapat mengakhiri konflik 30 bulan itu yang menyebabkan lebih 100,000 orang terbunuh.

Menurut Setiausaha Agung badan dunia itu, sidang keamanan di Geneva boleh diadakan pada Oktober jika krisis senjata kimia itu berakhir dan perunding antarabangsa boleh mengatasi perpecahan di kalangan pembangkang Syria.

“Kami bercadang melakukannya pada Oktober, dan ia memerlukan usaha yang bersungguh-sungguh,” katanya. - AFP

2 lagi tentera Thai terbunuh


Bangkok: Dua tentera Thai terbunuh dalam satu letupan di selatan negara itu, kejadian terbaru dalam keganasan yang melanda wilayah berkenaan sejak beberapa hari lalu.

Letupan berkenaan yang turut mencederakan empat tentera lagi menyasarkan sebuah trak tentera di Pattani sejurus sebelum tengah hari.
Menurut jurucakap polis, seorang mangsa terbunuh di tempat kejadian sementara seorang lagi di hospital.

Lebih 12 anggota keselamatan Thai maut sepanjang minggu lalu di wilayah selatan negara berkenaan.


Khamis lalu, tiga renjer separa tentera yang terbabit membina sebuah tandas awam ditembak mati oleh sekumpulan pemisah.



Sebelum itu, lima polis terbunuh dalam serang hendap dan dua tentera maut dalam serangan terhadap sebuah balai polis.

Keganasan berterusan walaupun rundingan damai diadakan dengan kumpulan pemisah. - AFP

Pelajar dirogol tujuh lelaki


Pontianak: Polis semalam menangkap beberapa lelaki yang dipercayai merogol seorang pelajar berusia 16 tahun secara bergilir-gilir.

Jurucakap polis, Edy berkata, pelajar sekolah menengah atas itu diperkosa enam lelaki dan seorang remaja di Kota Mempawah, Kalimantan Barat selepas diperdaya oleh seorang remaja, rakan rapatnya yang turut menjadi suspek dalam jenayah itu.


“Suspek membawa mangsa dengan motosikal ke kawasan gelap dan sunyi. Di situ, enam remaja lain menunggu.

“Mereka nenekap mulut mangsa sebelum merogolnya bergilir-gilir.” kata Edy.


Gadis itu kemudian ditinggal di tempat kejadian dengan keadaan separuh bogel. sebelum ditemui beberapa penduduk kampung.


Polis percaya kejadian itu dirancang Polis berjaya menahan sebahagian daripada suspek kes rogol berkenaan. - Agensi

Hidung wanita digigit suami sampai putus


Beijing: Seorang wanita pertengahan umur dari Anhui menjalani pembedahan menstruktur semula wajahnya selepas pertengkaran dengan suaminya berakhir dengan hidungnya digigit hingga putus.

Pasangan itu bergaduh hingga saling bercakaran seperti Mike Tyson dan Evander Holyfield serta berakhir dengan suami wanita itu menggigit hidungnya, lapor Global Times. Kejadian berlaku selepas si isteri yang tidak puas hati kerana suaminya tidak membantu melakukan kerja rumah berleter, menyebabkan si suami panas hati dan menjerit ke arahnya.


Tidak peduli dengan jeritan suaminya, wanita itu terus berleter menyebabkan si suami berang. Dia meluru ke arah si isteri yang dikenali sebagai Yang dan menggigit hidung wanita itu hingga putus. - AFP

Kanye West dituduh menyerang, mencuri


Los Angeles: Penyanyi rap Kanye West semalam didaklwa dengan tuduhan menyerang dan cuba mencuri selepas menyerang seorang paparazi di Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles.

Pihak berkuasa berkata, jurugambar Daniel Ramos memfailkan kes itu bulan lalu. “Saya terkejut apabila dia (West) menyerang saya,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan oleh peguam selebriti Gloria Alfred.


“Saya hanya bertanya soalan kepadanya. Saya terkejut apabila dia menghampiri dan saya berundur kerana cara dia memandang saya seolah-olah dia ingin menyerang saya,” katanya.

Ramos berkata, dia kemudian meninggalkan lapangan terbang itu menggunakan topang ketiak selepas kejadian.


Bagaimanapun, peguam West mendakwa pemuzik itu hanya cuba menghalang jurugambar daripada mengambil gambarnya. - AFP

Tertelan berus gigi


Shanghai: Seorang wanita berusia 25 tahun dari Yangzhou di wilayah Jiangsu dikejarkan ke hospital minggu lalu selepas tertelan sebatang berus gigi. Kejadian berlaku ketika dia memberus gigi sambil bercakap menerusi telefon.

“Berus gigi itu terjatuh ke dalam rongga tekak dan jatuh ke dalam perut,” kata sumber perubatan.
Doktor mengambil masa beberapa jam untuk mengeluarkan berus gigi berkenaan.
Sementara itu, dalam kejadian lain,
Sebatang penyepit sepanjang lima sentimeter dikeluarkan dari kepala seorang lelaki di Chengdu oleh sekumpulan doktor minggu ini.
Penyepit berkenaan memasuki kepala itu melalui rongga matanya sembilan bulan lalu.

Menurut Shanghai Daily, lelaki berusia 57 tahun bernama Wen itu hidup dengan penyepit berkenaan dalam rongga hidungnya tanpa menyedari ia ada di situ.

Kejadian berlaku Disember tahun lalu ketika Wen yang sedang makan tengah hari tergesa-gesa meluru untuk menyelamatkan cucunya yang hampur terjatuh.

Dia terjatuh di atas lantai yang licin dan penyepit yang dipegangnya tercucuk ke dalam rongga matanya tanpa menembusi pancaindera itu.

Sebahagian penyepit itu patah tetapi Wen yang agak mabuk selepas minum arak tidak menghiraukan matanya yang berdarah dan membuang penyepit berkenaan.

Beberapa bulan kemudian luka dialaminya tidak sembuh. Imbasan sinar X mendedahkan bahawa terdapat sebahagian penyepit di antara rongga mata kiri dan rongga hidungnya.

Sebelum dibedah Wen mengatakan dia tidak berasa sakit. Dia hanya rasa tidak selesa apabila mengenyit mata. - Agensi

Anggota polis bunuh isteri, bapa mertua


LEDANG - Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal hilang pertimbangan apabila menembak mati isteri dan bapa mertuanya sebelum menembak dirinya sendiri dalam dua kejadian berasingan di sini semalam.
Dalam kejadian pertama, anggota dari Pondok Polis Felda Chempelak dekat Labis, Segamat itu menembak isterinya, Norakmal Abd. Kadir, 26, yang bekerja sebagai kerani di rumah mereka di Labis menyebabkan wanita itu cedera parah dan mati.
Selepas itu, kira-kira pukul 7 malam, suspek pergi pula ke rumah bapa mertuanya, Abd. Kadir Md. Arif, 65, di Batu 17, Tangkak dan melepaskan tembakan ke arah warga emas itu sebelum menembak dirinya sendiri.
Abd. Kadir yang dikejarkan ke hospital bagaimanapun gagal diselamatkan apabila disahkan telah meninggal dunia sebaik tiba di sana.
Suspek yang berusia 29 tahun pula maut di tempat kejadian.
Seorang saksi yang enggan dikenali mendakwa, dia terdengar bunyi mercun sebanyak dua kali pada pukul 7.15 malam berhampiran rumah mangsa.
"Saya tidak syak apa-apa yang buruk berlaku sehingga anak mangsa (Abd. Kadir) datang beritahu ayahnya cedera ditembak oleh abang iparnya.
"Sebaik sampai di rumah itu, saya lihat Abd. Kadir terbaring dalam keadaan berlumuran darah di ruang tamu. Ketika itu dia masih bernyawa namun keadaannya parah," katanya di sini semalam.
Sebelum kejadian, saksi itu memberitahu, dia ternampak anggota polis itu tiba di rumah bapa mertuanya bersama anak lelakinya yang berusia tiga tahun dengan menaiki sebuah kereta Proton Wira.
Difahamkan, kejadian tersebut berpunca daripada masalah keluarga selain suspek yang dipercayai mempunyai masalah mental.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0915&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz2ev8Cn1b8 
Hakcipta terpelihara 

Polis bertempur dengan guru di ibu kota Mexico



PENUNJUK perasaan yang terdiri daripada guru dan orang ramai berundur dari Dataran Zocalo di Bandar Raya Mexico kelmarin. - REUTERS


MEXICO CITY - Beratus-ratus anggota polis pencegah rusuhan menguasai semula sebuah pusat bersejarah di ibu kota Mexico di sini selepas mereka menggunakan meriam air dan gas pemedih mata untuk mengusir sekumpulan guru yang menunjuk perasaan di lokasi berkenaan.
Kumpulan tersebut bertindak balas dengan membaling bom-bom api ke arah pasukan keselamatan.
Sekurang-kurangnya 40 orang cedera dalam pertempuran kelmarin di Dataran Zocalo selepas ratusan penunjuk perasaan melanggar tarikh akhir untuk meninggalkan kawasan tersebut bagi membolehkan sambutan Hari Kemerdekaan Mexico diadakan hujung minggu ini.
Protes yang melibatkan beribu-ribu guru di dataran ini berlangsung sejak beberapa minggu lalu kerana membantah pembaharuan dalam sistem pendidikan Mexico.
Kumpulan pendidik berkenaan yang sebahagian besarnya bertopeng dan bersenjatakan kayu bertindak membakar sampah dan meletakkan penghadang besi bagi menghalang laluan masuk ke Dataran Zocalo.
Dataran berkenaan menempatkan Istana Negara, sebuah gereja utama dan beberapa tinggalan bersejarah tamadun Aztec.
Polis mengosongkan dataran itu dalam tempoh setengah jam. Sejam kemudian, sejumlah pekerja tiba untuk merobohkan khemah-khemah penunjuk perasaan dan membersihkan lokasi tersebut
Beberapa minit sebelum polis menyerbu Dataran Zocalo, kerajaan pimpinan Presiden Enrique Pena Nieto mengundang rakyat Mexico untuk menghadiri sambutan Hari Kemerdekaan negara itu di lokasi berkenaan hari ini dan esok.
Dalam perkembangan berkaitan, Palang Merah Mexico menyatakan, sekurang-kurangnya 29 penunjuk perasaan dan 11 anggota polis cedera dalam konfrontasi itu.
Ketua Polis Persekutuan, Manuel Mondragon Kalb berkata, seramai 31 orang ditahan dalam protes tersebut.
"Mereka ditahan kerana memiliki pelbagai senjata termasuk tangki gas yang digunakan sebagai senapang api," katanya.
Pena Nieto menandatangani rang undang-undang pembaharuan pada minggu ini yang memerlukan guru menjalani penilaian prestasi mandatori.
Guru-guru di Mexico menentang peraturan baharu itu yang dianggap melanggar hak bekerja mereka. -AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0915&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2ev6utXeF 
Hakcipta terpelihara