Search This Blog

Saturday, September 14, 2013

Perogol diampun selepas setuju bayar pampasan


14 September 2013
BEIJING - CHINA. Tiga daripada lima perogol termasuk anak lelaki jeneral tentera telah menerima pengampunan selepas mereka bersetuju untuk membayar pampasan berjumlah 450,000 yuan (RM 241,943).

Memetik laporan daripada Beijing Evening, ketiga-tiga perogol terbabit telah memohon maaf.

"Mereka telah memohon maaf,” kata peguam yang mewakili mereka.

Pengampunan tersebut menjadi kontroversi di China apabila anak kepada Tentera Pembebasan Umum, Li Shuangjiang iaitu Li Tiangyi 17 tahun merupakan salah seorang perogol tersebut.

Ibunya Meng Ge, adalah seorang penyanyi.

Perjanjian ini juga telah  menimbulkan persoalan sama ada terdapatnya  jurang antara  kaya dan miskin dalam menentukan hukuman bagi penjenayah.

Sementara itu, Meng Ge menegaskan anaknya tidak bersalah dan menafikan defendan telah memohon maaf.

"Anak saya tidak mengaku bersalah. Tiada daripada mereka yang berkata, 'saya bersalah','' kata Meng Ge lagi.

Tetapi peguam, Zhao Yunheng, mengekalkan bahawa anak lelakinya telah menerima tuduhan itu dan mengaku bersalah.

Laporan awal memetik tiga tertuduh telah mengaku merogol gadis itu manakala dua yang lain, termasuk Li Tiangyi, mengaku tidak bersalah.

Media tempatan berkata, tiga daripada mereka telah memeterai perjanjian tersebut sementara dua orang lagi tidak dijelaskan.

Tiga nyaris maut bot dilambung ombak besar

Tiga nyaris maut bot dilambung ombak besarBot milik Yoon Chew terdampar di pesisir Pantai Ban Pecah Tanjung.

14 September 2013
TANJUNG PIANDANG - Tiga nelayan tempatan termasuk pemilik bot nyaris maut, setelah bot dinaiki mereka dipukul ombak besar sehingga menyebabkan mereka terdampar di atas batu di pesisiran Pantai Ban Pecah Tanjung di sini, kelmarin.

Pemilik kapal, Eng Yoon Chew, 63, berkata, dalam kejadian jam 6 pagi itu, dia dan dua orang rakannya yang baru memulakan perjalanan terpaksa membatalkan niat untuk menangkap ikan di perairan Selat Melaka, di sini disebabkan cuaca buruk.

"Cuaca pada mulanya baik, namun bertukar buruk apabila kami berada di tengah-tengah laut.

“Ketika itu, angin bertiup kencang, hujan lebat dan ombak besar mula memukul bot kami. Saya segera berpatah balik kerana bimbang keselamatan kami,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, kelmarin.

Yoon Chew berkata, keadaan cuaca yang semakin buruk dan menjejaskan penglihatan menyebabkan dia terpaksa mengemudi bot secara perlahan.

Menurutnya, selepas sejam dia dan dua anak kapal lain berhempas pulas mengemudikan bot itu, mereka akhirnya tiba di perairan pantai Ban Pecah di mana pelantar miliknya hanya terletak kira-kira 10 kilometer dari lokasi kejadian.

Bagaimanapun Yoon Chew berkata, nasib tidak menyebelahi mereka apabila ombak setinggi lima meter melambungkan botnya secara tiba-tiba sehingga menyebabkan ia tersadai di atas batuan di pesisiran pantai.

“Saya sangka akan sampai ke pelantar dengan selamat namun sebaliknya berlaku. Ketika dilambung ombak, mujur kami sempat berpaut pada badan kapal dan tidak cedera.

“Sepanjang 40 tahun menjadi nelayan, ini kali pertama kejadian seumpama ini berlaku kepada saya dan ia menjadi mimpi ngeri buat kami bertiga,” katanya.

Dakwanya, akibat kejadian itu, dia kerugian hampir RM3,000 untuk membaiki botnya yang rosak selain beberapa pukat yang digunakan hilang.

Geng curi motosikal diberkas

Geng curi motosikal diberkasKEMAMAN - Seorang buruh dipercayai ahli geng curi motosikal diberkas bersama sebuah motosikal curi dan sejumlah komponen kenderaan itu dalam serbuan di sebuah rumah di Rumah Murah Kemasik, di sini, kira-kira jam 10 pagi semalam.

Dalam serbuan yang dilakukan enam anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah diketuai Asisten Superintendan Mohamed Zakaria, polis turut merampas sejumlah 14 biji pil kuda daripada suspek yang berusia 33 tahun.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, suspek tinggal bersama bapa mertua, isteri serta tiga anaknya dan selepas pemeriksaan dilakukan, polis menjumpai komponen motosikal yang disimpan di bahagian luar rumah.

“Motosikal yang dirampas ialah jenis Modenas Kriss yang dilaporkan hilang di Kuala Terengganu pada 2004 dan kita percaya kesemua komponen motosikal yang ditemui itu adalah daripada motosikal curi yang dileraikan.

“Kita percaya suspek melakukan jenayah ini secara berkumpulan dan aktif sejak enam bulan lalu di sekitar Kemaman dan daerah berdekatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman, Chukai, semalam.

Che Suza berkata, tangkapan dilakukan hasil risikan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah dalam usaha menangani masalah kecurian motosikal yang menjadi 50 peratus penyumbang kes jenayah di Kemaman.

Dalam pada itu, katanya, hasil ujian air kencing yang dilakukan, suspek turut positif methamphetamine, manakala pil kuda yang dirampas bernilai RM420.

Menurutnya, semua kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana curi motosikal dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 serta Seksyen 15(1)(a) kerana memiliki dadah dan memasukkan dadah dalam badan.


4 motosikal dicuri kelmarin

Dalam perkembangan sama, Che Suza berkata, kes kecurian motosikal semakin menjadi-jadi apabila sebanyak empat motosikal dilaporkan dicuri di lokasi berasingan seluruh daerah ini, kelmarin

Katanya, kes kecurian itu berlaku di tempat letak kenderaan di Pusat Beli Mesra Mall Kemasik; Batu 16 Jalan Air Putih; Jalan Pupuk Semangat Teluk Kalong dan Felda Neram 1.
“Purata dalam sehari antara satu hingga dua motosikal dilaporkan hilang. Lokasi yang paling kerap terjadi kes ini sebelum ini ialah di kawasan parkir Mesra Mall Kemasik dan Kompleks Beli Belah Centre Point Chukai.

"Kita berjaya kekang kes kecurian daripada terus berlaku apabila kita pasang perangkap. Namun, sekarang sedikit sukar kerana kes kecurian ini merebak dan turut berlaku di kawasan luar bandar dan perkampungan,” katanya.

Menurutnya, punca utama kecurian berlaku kerana penunggang tidak mengunci motosikal, meninggalkan kunci pada motosikal dan tidak menggunakan kunci tambahan menyebabkan motosikal mereka menjadi mangsa penjenayah.


Dua geng curi motosikal tumpas

Beliau berkata, setakat ini, sebanyak dua geng curi motosikal berjaya ditumpaskan dalam tempoh sembilan bulan tahun ini.

Malah katanya, polis kini sudah mengenal pasti dua lagi kumpulan yang aktif mencuri motosikal dan akan memberkas mereka.

“Hasil risikan yang dilakukan, kebanyakan ahli geng curi motosikal ini terdiri daripada golongan remaja berusia antara 18 hingga 20 tahun, malahan ada juga pelajar sekolah terlibat.

“Kita turut mengadakan pemantauan berterusan di bengkel motosikal bagi mengesan penjualan komponen motosikal ini,” katanya.

Berikutan itu, beliau turut meminta kerjasama ibu bapa supaya mengawasi tindak-tanduk anak masing-masing bagi mengelakkan mereka terjebak dengan jenayah curi motosikal.

“Ibu bapa perlu mainkan peranan, sekiranya melihat anak secara tiba-tiba membawa pulang motosikal, ia mungkin motosikal curi, jadi ibu bapa perlu lebih prihatin,” katanya.

Sempat tinggal pesanan sebelum kemalangan

Sempat tinggal pesanan sebelum kemalangan
Keadaan kereta mangsa.
TAMPIN – “Tiga hari lalu, arwah sempat bergurau dengan saya agar tidak menjual ternakan lembu, lori dan keretanya malah meminta saya menjaga asetnya itu untuk isteri dan anaknya," luah rakan mangsa kemalangan maut, Mohamad Nasrul Syafiq Md Arif, 23, ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat Hospital Tampin (HT), malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 7.15 malam kelmarin, mangsa, Shahril Zainal, 29, yang bekerja kampung, cedera parah selepas kereta dipandunya terbabas sebelum melanggar tiang elektrik di KM 1, Jalan Pasir Besar-Jelai.

Mangsa yang tersepit dikeluarkan kira-kira 10 minit dengan bantuan sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Gemas sebelum dikejarkan ke Klinik Kesihatan Jelai.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal di klinik berkenaan jam 9.15 malam, kira-kira dua jam selepas kejadian tersebut.

Menurut Nasrul, malam sebelum kejadian arwah sempat berbual dengannya, malah dia sempat berpesan agar menjaga aset miliknya kerana ia akan digunakan oleh isteri dan anaknya nanti.

"Kali terakhir saya berjumpa dengan arwah jam 3 petang sebelum kejadian kerana dia meminta saya menghantar daging dan tulang untuk disedekahkan ke Pusat Anak Permata Negara Gemencheh kerana anak sulungnya belajar di situ.

“Arwah sememangnya suka bersedekah serta sentiasa bermurah hati membelanja rakan-rakannya,” katanya.

Perangai pelik petanda ajal

Perangai pelik petanda ajalKeadaan motosikal mangsa yang rosak teruk akibat kemalangan tersebut. Gambar kecil: Aminudin

14 September 2013
JEMPOL - Seorang ibu tidak menyangka kelakuan pelik anaknya, Aminudin Joni, 41, menyediakan kelapa untuknya merupakan pertolongan terakhir sebelum maut di Kilometer 8, Jalan Bahau-Batu Kikir, petang kelmarin.

Ibunya, Ramlah Mansor, 70, berkata, kebiasaannya anaknya itu hanya mengait kelapa untuk dijual, namun sehari sebelum kejadian, dia memberikan semua 12 biji kelapa kepadanya.

Pelik dengan tindakan itu, Ramlah menyatakan kepada anaknya, jumlah kelapa itu terlalu banyak untuk digunakan memandangkan dia tinggal bersendirian di rumah.

“Makcik hanya sempat makan tengahari bersama arwah sebelum dia memaklumkan kepada makcik untuk ke Pekan Bahau mengambil buah mangga. Namun, tak sangka ia pertemuan terakhir sebelum dia meninggal dunia.

“Hati makcik sayu apabila melihat buah mangga bertaburan di atas jalan raya ketika tiba di tempat kejadian bersama isteri serta dua anaknya," katanya ketika ditemui di perkarangan bilik mayat Hospital Jempol, semalam.

Jenazah mangsa, yang merupakan anak ketujuh daripada 10 beradik dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Bayai Baru, semalam selepas selesai proses bedah siasat.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Jempol, Deputi Superitendan, Tukiman Seriman berkata, mangsa disahkan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada anggota badannya.

Katanya, dalam kejadian kira-kira jam 4.25 petang, mangsa menunggang motosikal jenis Suzuki Snash Revo menghala ke rumahnya di Kampung Bayai Baru selepas mengambil buah mangga, dekat Pekan Bahau.

“Tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan lalu melanggar tiang Telekom yang berada di sebelah kiri bahu jalan. Akibatnya, mangsa tercampak atas jalan serta maut di tempat kejadian.

“Jenazah mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Jempol untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian. Kes ini masih dalam siasatan polis di bawah Sekyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya ketika mengesahkan kejadian.

Tujuh cedera terlibat nahas

Tujuh cedera terlibat nahasKeadaan kenderaan yang terbabit dalam kejadian kemalangan di Kilometer 10 Jalan Lipis-Benta di sini, kira-kira jam 2 petang semalam.

14 September 2013
KUALA LIPIS - Tujuh orang cedera apabila terlibat dalam satu kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 10 Jalan Lipis-Benta di sini, kira-kira jam 2 petang semalam.

Turut terlibat dalam kejadian itu Pegawai Staf  Logistik Gred (1) Markas 4 Divisyen Kem Woordiven, Kuala Lumpur, Leftenan Kolonel Abu Hurairah Talib.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, siasatan awal mendapati, kejadian dipercayai berlaku apabila sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dinaiki sepasang suami isteri sedang dalam perjalanan dari arah Benta menuju ke Kuala Lipis.

“Sampai di tempat kejadian, pemandu kenderaan pacuan empat roda berusia 54 tahun itu gagal mengawal kenderaan lalu masuk ke laluan bertentangan.

“Dalam masa yang sama sebuah lori dengan membawa muatan kayu sedang dalam perjalanan dari arah Kuala Lipis menuju ke Benta gagal mengelak pacuan empat roda terbabit lalu bertembung,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Abdul Razak berkata, setelah melanggar bahagian hadapan lori berkenaan, pacuan empat roda terbabit berpusing beberapa kali di atas jalan raya.

“Pacuan empat roda itu kemudian bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Persona yang dinaiki oleh Abu Hurairah bersama isteri, Kamariah Husin, 54, seorang anak perempuan berusia 15 tahun dan seorang anggota tentera yang juga pemandu kereta pemandu berkenaan.

“Kesemua mereka mengalami kecederaan dan menerima rawatan lanjut di Hospital Kuala Lipis.  Saksi yang melihat kejadian itu diminta berhubung dengan Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis di talian 09-3122222 untuk membantu siasatan,” katanya.

Lelaki didakwa ugut KPN dibebaskan

Khalid Abu Bakar14 September 2013
KUALA LUMPUR - Polis hari ini membebaskan dan tidak akan mengambil tindakan terhadap seorang peniaga jualan langsung yang dipercayai terlibat dalam kes ugutan bunuh ke atas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar di laman sosial Facebook.

Khalid berkata, lelaki berusia 33 tahun itu tampil menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, semalam sebelum di hantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi membantu siasatan.

"Kami telah menyemak latar belakang individu terbabit, lelaki itu seorang yang terpelajar tetapi mulutnya celupar.

"Saya mengambil keputusan untuk membebaskan dia hari ini ," katanya.

Khalid juga bertegas dan menasihati orang ramai perlu mengambil pengajaran daripada kejadian tersebut agar lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan di laman sosial agar tidak disalah tafsir oleh orang lain.

"Kami akan mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang didapati mengugut seseorang termasuk kes ugut Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, kami akan kesan individu tersebut," katanya.

Lelaki itu ditahan kerana dipercayai mengeluarkan komen dalam laman Facebook dengan menulis: "can anyone just hire gunman to shoot down this police or igp?" semasa memberi komen dalam laman sosial kawannya mengenai kejayaan polis menembak mati dua lelaki dipercayai anggota kongsi gelap di Melaka.

Rompakan laut: Nelayan mati ditembak


14 September 2013
TAWAU - Seorang nelayan maut selepas terkena tembakan di  bawah dagu dalam kejadian rompakan laut di kawasan perairan Inderasabah di sini malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau Supt Keong Ho Eng berkata mangsa, Wilson Ortis, 68, ditembak ketika dia dan seorang rakan sedang menangkap ikan menggunakan pukat di kawasan perairan itu kira-kira pukul 8 malam.

Menurut Keong, mangsa dan rakannya itu keluar menangkap ikan di kawasan perairan Inderasabah menggunakan bot jongkong kira-kira pukul 5 petang dan semasa menarik pukat pada pukul 8 malam, tiba-tiba mereka didatangi tiga lelaki menaiki bot pam dan berpakaian serba hitam.

Pada mulanya mereka meminta minyak daripada mangsa dan mengeluarkan pistol serta parang ketika cuba menaiki bot mangsa.

Mangsa yang cuba mengambil pisau di dalam perahunya ditembak, menyebabkan mangsa jatuh tersungkur di dalam perahu, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Keong, suspek melarikan diri ke arah laut setelah mengambil enjin sangkut dan tangki minyak dari bot mangsa manakala mangsa dan rakannya diselamatkan nelayan lain.

Dalam perkembangan lain, polis Tawau memberkas dua lelaki dalam Op Cantas Khas di pusat hiburan pada awal pagi hari ini.

Menurut Keong, dua lelaki berkenaan adalah sebahagian daripada 96 lelaki yang diperiksa di tiga buah kelab malam dalam operasi yang dianggotai lima pegawai dan 32 anggota polis.- Bernama

Lumba haram: Tiga remaja maut



14 September 2013
ROMPIN - Tiga remaja yang dipercayai terbabit dalam kegiatan lumba haram, maut selepas motosikal yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori, di Km 120.25 Jalan Kuantan-Segamat dekat sini tengah malam tadi.

Mangsa dikenali sebagai Muhammad Mubarak Mohd Sabri, 18, Muhammad Hakim Ghazali, 17, dan Muhammad Ilham Khuzaimi Ahmad Roslan, 16.

Ketiga-tiganya dari Felda Keratong 8 dekat sini. Ketua Polis Daerah Rompin Supt Johari Yahaya berkata Muhammad Hakim merupakan pelajar kolej manakala dua lagi mangsa merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Keratong 10.

Beliau berkata nahas berlaku apabila lori berkenaan yang datang dari arah Segamat menuju Kuantan memotong sebuah kenderaan di hadapannya sebelum bertembung dengan ketiga-tiga motosikal mangsa.

Pemandu lori berkenaan melarikan diri selepas kemalangan dan sehingga kini masih belum membuat laporan polis, katanya.

Johari meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu agar menghubungi polis. - Bernama

Dadah: 'Ahli Parlimen Togo' dihukum gantung

'Ahli Parlimen Togo' dihukum gantungBebou dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi selepas dijatuhi hukuman gantung sampai mati.

SHAH ALAM 14 September 2013- Lelaki yang mendakwa dirinya Ahli Parlimen dari Togo, seakan tidak dapat menerima hukuman gantung yang dikenakan ke atasnya berhubung kesalahan mengedar 1.5 kilogram dadah, di sini semalam.

Bebou Akpo Bouraima,  40, meninggikan suara selepas mahkamah selesai menjatuhkan hukum.

“A politician is drug dealer? It’s not fair (Ahli politik edar dadah? Tak adil),” katanya.

Hakim Mahkamah Tinggi, Noor Azian Shaari menjatuhkan hukuman terhadap Bebou Akpo, setelah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

“Pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie terhadap tertuduh,” katanya.

Bebou Akpo yang juga ahli perniagaan memegang kerakyatan Jerman didakwa mengedar methaphetamin di kawasan tuntutan bagasi G, Balai Ketibaan Antarabangsa, Aras 3, Bangunan MTS, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 4.45 petang pada 22 Januari 2011.

Dia didakwa ikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum ikut Seksyen 39B(2) akta sama yang peruntukkan hukuman mandatori.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asyraf Mohd Kamal manakala tertuduh diwakili peguam, Karpal Singh.

Mati selepas langgan pelacur

Mati selepas langgan pelacurAnggota polis mengangkat mayat lelaki terbabit sebelum dibawa ke HPSF untuk bedah siasat.

MUAR 13 September 2013– Seorang warga emas ditemui mati dipercayai akibat serangan jantung selepas melanggan pelacur di sebuah hotel bajet di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.20 pagi, lelaki berkenaan yang berumur 66 tahun, dilihat sendirian memasuki perkarangan hotel berkenaan pada jam 10 pagi.

Lelaki terbabit yang masih bujang diberitahu mendaftar masuk sebuah bilik yang terdapat lima pelacur, namun pengsan sebaik sahaja selesai melakukan hubungan seks bersama salah seorang daripada wanita terbabit.

Kesemua wanita terbabit yang panik melihat keadaan lelaki terbabit bertindak memanggil pemilik hotel berkenaan untuk memaklumkan insiden berkenaan sebelum menghubungi ambulans.

Hasil pemeriksaan oleh pasukan kesihatan dari Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini mendapati warga emas berkenaan sudah meninggal dunia.

Timbalan Ketua Polis Muar, Superintendan Sahadan Jaafar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung perkara itu.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke rumah mayat HPSF untuk bedah siasat dan kematiannya diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Budak mangsa lubang najis

Budak mangsa lubang najisYANJI - CHINA. Seorang kanak-kanak terpaksa bergelumang bau busuk selepas terjatuh dalam lubang najis di Yanji, timur laut China.

Media Daily Mail melaporkan, insiden berlaku selepas budak berusia setahun lapan bulan itu dipercayai tergelincir ke dalam lubang terbabit ketika pergi ke tandas secara bersendirian.

Ibunya hanya menyedari kehilangan anaknya selepas terdengar jeritan meminta tolong.

Sejurus kejadian, sekumpulan anggota bomba dan penyelamat tiba di lokasi kejadian terletak berdekatan rumah mangsa untuk operasi menyelamat.

“Anggota terpaksa memakai alat pernafasan lengkap dengan tong oksigen kerana lubang berkenaan dipenuhi najis. Budak itu tidak mengalami kecederaan, hanya mengalami trauma,” kata pegawai bomba.

Remaja 16 tahun lapor polis kerana hamil



KULIM - Gara-gara bercinta dengan lelaki berusia 41 tahun dan sudah berumah tangga, seorang remaja berusia 16 tahun yang sudah tidak bersekolah membuat laporan polis kerana mendapati dia hamil.

Menurut mangsa, dia berkedudukan dengan suspek sejak beberapa bulan di rumah kedai di sebuah taman perumahan di sini dan apabila mendapati dirinya hamil, mangsa mengambil keputusan untuk balik ke rumah ibunya di Perak.

Ibu mangsa yang terkejut dengan kejadian menimpa terhadap anaknya membawa mangsa ke balai polis untuk membuat laporan.

Dalam keterangan dibuat mangsa, dia membuat laporan polis supaya suspek tidak bersikap lepas tangan dan mahu lelaki itu bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, sehingga kini banyak kes rogol berlaku dan jumlah mereka terlibat semakin meningkat.

Menurutnya, dari laporan dibuat, kebanyakan mangsa terlibat terdiri dari remaja perempuan bawah umur dan tidak berpendidikan.

“Selain itu faktor kehidupan harian juga memainkan peranan. Kebanyakan mangsa terlibat datang dari keluarga yang berpendapatan rendah. Dalam kes ini, ibu mangsa sebelum ini menikahi seorang lelaki warga asing bagaimanapun setelah tamat tempoh bekerja di negara ini, suaminya meninggalkan mangsa bersama ibunya.

"Apabila berlaku permasalahan keluarga, anak akan mengambil jalan singkat dan mula bergaul bebas. Dalam usia muda mereka mudah terjebak dalam pelbagai kegiatan sosial,” katanya.

Katanya, polis memandang serius terhadap permasalahan ini dan suspek akan disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol walaupun kekasihnya itu membenarkannya.

Polis temui bom di kawasan perhimpunan di Phnom Penh


PHNOM PENH 14 Sept. - Polis Kemboja menemui bahan letupan berhampiran taman di mana pihak pembangkang merancang untuk mengadakan perhimpunan Ahad ini, bagi membantah keputusan pilihan raya yang lalu.
Jurucakap polis negara, Kirt Chantharith berkata, tiga bom tangan telah ditemui hari ini berhampiran pintu utama bangunan Dewan Negara.
Tiada pihak mengaku bertanggungjawab berhubung perkara tersebut, bagaimanapun lokasi penemuan bahan letupan itu mengatakan ianya berkaitan rapat dengan situasi politik ketika ini. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130914/lu_02/Polis-temui-bom-di-kawasan-perhimpunan-di-Phnom-Penh#ixzz2evo4L5xN
© Utusan Melayu (M) Bhd 

4 lelaki rogol pelajar perubatan dijatuhi hukuman mati


NEW DELHI 13 Sept. - Empat lelaki yang merogol seorang pelajar perubatan di dalam sebuah bas sehingga menyebabkan kematiannya di sini pada Disember lalu, dijatuhi hukuman mati.
Hakim Yogesh Khanna yang mendapati kesemua defendan bersalah di atas dakwaan merogol berkumpulan dan membunuh pada awal minggu ini, menolak rayuan pihak pembelaan untuk dikenakan hukuman lebih ringan.
Seorang peguam bela, A.P. Singh di luar mahkamah berkata, semua defendan dikenakan hukuman mati.
Mangsa yang merupakan pelajar perubatan berumur 23 tahun dirogol dan diseksa dengan sebatang besi berulang kali oleh lima lelaki dan seorang remaja.
Kecederaan yang dialaminya menyebabkan mangsa meninggal dunia dua minggu kemudian.
Seorang daripada lima lelaki yang ditangkap berhubung kejadian itu, membunuh diri dalam penjara pada Mac lalu, manakala remaja berkenaan dikenakan hukuman pemulihan selama tiga tahun pada bulan lepas.
Keputusan itu masih boleh dirayu di Mahkamah Tinggi Delhi dan Mahkamah Agung dan ia dijangka memakan masa bertahun-tahun untuk selesai. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130914/lu_07/4-lelaki-rogol-pelajar-perubatan-dijatuhi-hukuman-mati#ixzz2eplukD5m
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Banjir buruk di Colorado, AS


Penduduk di sebuah pangsapuri berusaha untuk mengeluarkan air banjir dari bangunan kediaman mereka di Boulder, Colorado, Amerika Syarikat kelmarin. - AP
BOULDER 13 Sept. - Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh dalam kejadian banjir di Colorado, Amerika Syarikat (AS), lewat semalam, dalam kejadian banjir paling buruk pernah berlaku di negeri ini sejak 1940.
Bencana banjir berkenaan menyebabkan beberapa bangunan runtuh, pemandu kenderaan terkandas dan memaksa beribu-ribu penduduk menyelamatkan diri ke kawasan yang lebih tinggi.
Di Boulder, hujan sepanjang September ini menyebabkan banjir di bandar berhampiran Ngarai Boulder dan menyebabkan kira-kira 4,000 penduduk terpaksa dipindahkan.
Jurucakap Pengurusan Kecemasan Boulder, Ashlee Herring berkata, air yang mengalir dari kawasan ngarai terlalu banyak dan melimpah ke kawasan bandar ini.
"Beberapa pekan terletak di Banjaran Rockies di bahagian utara Denver turut terjejas akibat banjir," katanya.
Di Longmont, kira-kira 23 kilometer dari timur laut Boulder, air Sungai St. Vrain juga melimpahi tebing membanjiri jalan raya utama sehingga menyebabkan banyak jalan ditutup dan banyak pemandu terkandas.
Penolong pengurus bandar, Shawn Lewis berkata, seramai 7,000 penduduk diarah berpindah ke dua pusat pemindahan sementara yang dibuka sejak semalam.
Dalam perkembangan sama, Presiden AS, Barack Obama meluluskan dana bantuan kecemasan untuk kerja-kerja menyelamat dan membantu mangsa banjir.
Pasukan Pengawal Kebangsaan turut diarah menghantar bantuan kecemasan termasuk makanan dan perubatan, terutamanya ke pekan terpencil seperti Lyons di utara Boulder terjejas teruk akibat dikelilingi air banjir.
Laporan Perkhidmatan Kaji Cuaca menyebut, rekod taburan hujan menunjukkan jumlah 31 sentimeter sejak 1 September lalu, sekali gus memadamkan rekod yang dicatatkan kira-kira 32 tahun lalu dengan catatan 14 sentimeter. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130914/lu_05/Banjir-buruk-di-Colorado-AS#ixzz2eplcWEyz
© Utusan Melayu (M) Bhd