KUALA LUMPUR - 13 September 2013Seorang peniaga barangan terpakai dipenjara 18 bulan setelah mengaku bersalah terhadap pertuduhan lebih ringan dalam kes menculik dan mengurung seorang peguam membabitkan wang tebusan RM150,000 pada tahun lepas.
  
Hakim Datuk Mohd Azman Husin memerintahkan Mohd Fahmy Mohd Daud, 39, menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkapan iaitu pada 23 Nov tahun lepas.
  
Sebelum ini, Mohd Fahmy bersama empat tertuduh lain mengaku tidak bersalah menculik Jason Leong Wai Meng, 36, di hadapan sebuah restoran di Jalan Mutiara, Sentul, pada 12 Mei 2012.
  
Kesemua tertuduh menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 yang memperuntukkan penjara seumur hidup, jika disabitkan.
  
Hari ini, Mohd Fahmy mengaku bersalah apabila pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik dengan niat mengurung yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun.
   
Sementara itu, Mohd Azman menetapkan 18 hingga 20 Nov ini sebagai tarikh perbicaraan empat tertuduh lain.
  
Timbalan Pendakwa Raya Mazelan Jamaludin menjalankan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam C T Chong.   - Bernama