Search This Blog

Tuesday, September 10, 2013

Pesawat Thai Airways terbabas di Bangkok

Pesawat Thai Airways terbabas di BangkokAnggota keselamatan dan unit siasatan melakukan pemeriksaan pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi.

BANGKOK - THAILAND . Lebih 14 orang mengalami cedera ringan apabila pesawat milik Thai Airways terbabas ketika mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Thailand, awal pagi semalam.

Jurucakap syarikat penerbangan berkata, tayar di bahagian depan pesawat itu juga dilaporkan tercabut menyebabkan pendaratan tersasar.

“Kejadian berlaku ketika pesawat Airbus 330-300 membawa 287 penumpang dan 14 anak kapal mendarat dari Guangzhou. Penumpang diselamatkan dengan keluar menggunakan gelongsor kecemasan,” katanya.

Menurut saksi, kedengaran satu bunyi kuat ketika pendaratan dan berlaku kebakaran kecil di sebelah kanan pesawat.

“Keadaan kecoh di dalam pesawat apabila penumpang mula menjerit ketika pesawat tidak stabil,” katanya dipetik dari laporan Bangkok Post.

Sementara itu, pegawai lapangan terbang berkata, pesawat itu belum dipindahkan sehingga proses siasatan selesai.

“Lapangan terbang masih beroperasi seperti biasa cuma berlaku kelewatan untuk setiap jadual penerbangan,” katanya.

Doktor HATTM dituduh makan suap RM700,000


Doktor HATTM dituduh makan suap RM700,000
Dr Kunaseegaran mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan meminta dan setuju menerima suapan sebanyak RM700,000 di Mahkamah Sesyen Shah Alam, semalam. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
Shah Alam: Seorang doktor tentera yang berkhidmat di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM), Wangsa Maju, Kuala Lumpur, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, terhadap dua tuduhan meminta dan menerima rasuah bernilai RM700,000, pada akhir Ogos dan awal bulan ini.

Ketua Makmal Patologi HATTM, Kolonel Dr R Kunaseegaran, 50, didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, secara rasuah meminta wang tunai sebanyak RM700,000.

Dia didakwa meminta imbuhan daripada pemilik Syarikat RAZ Medical Supplies Sdn Bhd, Abdul Razar Abdullah, melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada telefon bimbit miliknya.

Ia adalah sebagai upah kerana mencadangkan Syarikat RAZ Medical Supplies Sdn Bhd, B & S Enterprise dan Caremed Global Sdn Bhd untuk menjadi pembekal ubat-ubatan dan perkakasan pakai habis perubatan bagi 2013 untuk HATTM.

Dia didakwa berbuat demikian pada jam 11.58 pada 29 Ogos lalu.

Setuju terima suapan
Bagi kesalahan kedua, Dr Kunaseegaran didakwa mengikut Seksyen 17(a) akta sama, iaitu setuju menerima wang suapan daripada Abdul Razar, sebagai upah kerana mencadangkan ketiga-tiga syarikat berkenaan.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 5.15 petang pada 3 September lalu di hadapan Empire Gallery Subang Jaya, Petaling Jaya.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Azlin Sabtu menawarkan wang jaminan sebanyak RM500,000 untuk kedua-dua pertuduhan, selain memohon dokumen perjalanan tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam, Geethan Ram Vincent yang mewakili tertuduh memohon supaya jumlah jaminan yang munasabah kerana tertuduh adalah seorang penjawat awam, yang sudah berkhidmat selama 23 tahun.

Hakim Slamat Yahya membenarkan jaminan sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin, manakala dokumen perjalanan tertuduh diserahkan kepada mahkamah.
Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 8 Oktober depan.

Bekas banduan diberkas kes samun asrama pelajar


 
Ayer Keroh: Seorang bekas banduan ditahan selepas disyaki mencuri kenderaan pelajar, selain menceroboh dan menyamun asrama mereka di pusat bandar raya, di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah, berkata suspek berusia 24 tahun itu ditahan di Terminal Bas Salak Selatan, Kuala Lumpur pada Jumaat lalu ketika dipercayai cuba melarikan diri ke ibu negara pada jam 5.30 petang.

Katanya, pekerja perabot itu berjaya ditahan sejurus selepas aduan mengenainya diterima polis.

Mengaku bersalah

“Hasil soal siasat ke atas suspek, dia mengaku melakukan semua jenayah berkenaan kira-kira 10 hari sebelum ditangkap.

“Ketika tangkapan itu juga, polis menemui semula barangan curi iaitu sebuah komputer riba jenama Acer, empat telefon bimbit dan kunci kereta PERODUA MyVi,” katanya kepada media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini, semalam.

Raja Shahrom berkata, siasatan lanjut polis turut berjaya menemui kembali kereta PERODUA MyVi milik seorang pelajar terbabit di sebuah tempat letak kereta di Taman Delima Raya, Bukit Baru, dekat sini, kira-kira jam 11.50 malam pada hari yang sama.
“Hasil siasatan polis juga berjaya menemui kembali kereta PERODUA MyVi milik seorang pelajar terbabit di sebuah tempat letak kereta di Taman Delima Raya, Bukit Baru, dekat sini, kira-kira jam 11.50 malam pada hari yang sama,” katanya.

Ada rekod jenayah

Katanya, suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau dan pernah dipenjarakan selama enam bulan atas kesalahan mencabul kehormatan pada 2011 turut disahkan positif dadah.

“Susulan tangkapan itu, suspek kini direman selama tujuh hari bermula Jumaat lalu dan disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun,” katanya.

Romeo Pakistan kena cekup



 

Seorang lelaki warga Pakistan ditahan imigresen kerana menggunakan taktik berkahwin wanita tempatan untuk mendapatkan pas lawatan sosial jangka panjang namun tidak menjaga kebajikan isterinya.
Seremban: Seorang lelaki warga Pakistan ditahan anggota Jabatan Imigresen selepas didapati mengahwini wanita tempatan semata-mata untuk mendapat pas lawatan sosial jangka panjang.

Lelaki itu ditahan ketika ingin memperbaharui pas berkenaan dan siasatan mendapati suspek berusia 36 tahun itu meninggalkan isterinya yang berusia 21 tahun selepas mendapat pas itu.

Pengarah Imigresen negeri, Faizal Fazri Othman, berkata lelaki itu mengahwini isterinya, Januari lalu dan sejak itu tidak pernah menjenguk isterinya.

Hilangkan diri lepas kahwin

Katanya, warga Pakistan yang dipercayai peniaga itu memperalatkan isterinya untuk mendapatkan pas itu yang membolehkannya tinggal di negara ini melebihi enam bulan.

“Bagaimanapun, nama dia dimasukkan dalam senarai warga asing dikehendaki selepas pegawai jabatan yang membuat pemeriksaan susulan di rumah isterinya di sini, mendapati dia sudah lama menghilangkan diri selepas berkahwin.

“Apabila dia datang untuk memperbaharui pas, pada jam 1.30 tengah hari kelmarin, kami segera menahannya. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Dia boleh dipenjara hingga enam bulan atau denda hingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan, manakala pas lawatannya boleh dibatalkan dan diusir pulang ke negara asal.

Faizal berkata, kes seumpama itu keempat tahun ini dan pihaknya ingin menasihat wanita tempatan supaya tidak mudah mempercayai warga asing bagi mengelakkan kes sama berulang.

“Wanita tempatan perlu berhati-hati dengan sesetengah warga asing yang tidak mencintai mereka, tetapi berkahwin kerana mempunyai muslihat, iaitu untuk tinggal lebih lama di negara ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihat wanita tempatan yang berdepan masalah sama membuat laporan supaya tindakan boleh diambil sebelum kejadian tidak diingini berlaku.

Pengantin kanak-kanak maut pendarahan dalaman


 
Sanaa: Seorang pengantin perempuan berusia lapan tahun meninggal dunia di Yaman akibat pendarahan dalaman pada malam pengantin selepas dipaksa berkahwin dengan lelaki lima kali ganda lebih tua daripada usianya, dakwa aktivis.

Kanak-kanak itu dikenali sebagai Rawan, maut di kawasan puak di Hardh di barat laut Yaman, yang bersempadan Arab Saudi.

Aktivis kini menggesa pengantin lelaki, yang dipercayai berusia sekitar 40 tahun dan keluarga pengantin perempuan ditahan supaya mereka didakwa boleh di mahkamah.

Mereka berkata penahanan itu dapat membantu menghentikan amalan mengahwinkan gadis terlalu muda kepada lelaki tua di negara miskin itu.

Seorang blogger dikenali Angry Man, menulis bahawa lelaki itu “adalah seekor haiwan yang wajar menerima hukuman berat untuk jenayah dilakukan.”

“Semua yang menyokong jenayah seperti itu juga perlu dihukum,” dia menambah.
Seorang lagi blogger dikenali Omar, menulis, “Anggota keluarga Rawan bukan manusia. Mereka tidak layak mendapat anak.”
Tidak adil

Seorang lagi blogger, ‘Sad,’ jelas lebih bersimpati kepada budaya itu.
Dia menulis: “Keluarga pengantin perempuan dan lelaki seharusnya menunggu beberapa ketika sebelum melangsungkan perkahwinan itu.

“Tidak adil untuk semua dan perkahwinan itu sepatutnya tidak berlaku walaupun jika sesetengah puak percaya ia adalah amalan yang baik.”

Amalan mengahwinkan gadis muda berlaku secara meluas di Yaman dan menarik perhatian kumpulan hak asasi manusia antarabangsa menuntut memberi tekanan kepada kerajaan mengharamkan perkahwinan kanak-kanak.

Kemiskinan penduduk Yaman adalah punca amalan ini gagal dihentikan kerana keluarga miskin sukar menolak “harga pengantin perempuan” yang mungkin mencapai beratus-ratus dolar untuk anak perempuan mereka.

Lebih 25 peratus wanita di Yaman berkahwin sebelum usia 15 tahun, menurut satu laporan pada 2010 oleh Kementerian Hal Ehwal Sosial.
AGENSI 

Dirempuh lori


Klang: Seorang lelaki terbunuh selepas motosikal dinaikinya dirempuh lori dalam satu kemalangan di simpang empat Taman Desa Permai 3, di sini, semalam.

Kejadian berlaku jam 4.30 pagi ketika mangsa yang berusia 33 tahun dalam perjalanan ke rumah kenalannya berhampiran tempat kejadian.


Menurut sumber, mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha LC dirempuh di bahagian tepi ketika dia keluar dari simpang empat itu.

“Mangsa dipercayai tersalah memasuki lorong sebelum lori tiga tan dari Puncak Alam itu merempuh motosikal mangsa menyebabkan dia tercampak beberapa meter dan parah di bahagian dada,” katanya. Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk dibedah siasat.


Sementara itu, Ketua Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara Asisten Superintendan Zawary Mahadi ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.

Lelaki ada tatu kala jengking ditahan


Ipoh: Seorang lelaki berusia 30-an yang mempunyai tatu kala jengking di tangan kanan diberkas sepasukan polis dalam operasi ‘Ops Cantas Khas’ berhampiran pintu masuk sempadan di Pengkalan Hulu-Betong, Thailand, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, suspek dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya dengan menaiki motosikal sebelum ditahan dan diperiksa seluruh tubuhnya.


Hasil pemeriksaan polis mendapati suspek mempunyai tatu lambang kala jengking yang ada kaitan dengan kumpulan kongsi gelap terkenal.

Ketua Polis Daerah Pengkalan Hulu Deputi Superintendan Ibrahim Deraman ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, suspek anggota utama kumpulan kongsi gelap yang diburu polis.


“Suspek mulanya memberi kerjasama kepada anggota polis ketika pemeriksaan dilakukan ke atasnya. Namun, dia ditahan selepas polis menemui tatu yang ada kaitan dengan kumpulan kongsi gelap diharamkan sebelum ini,” katanya.


Beliau berkata, siasatan lanjut dijalankan dan suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Pengkalan Hulu.

“Dalam perkembangan lain, seorang suspek yang dikehendaki polis berhubung jenayah penyalahgunaan dadah berusia 40 tahun turut diberkas dalam operasi sama pada jam 11 pagi Sabtu lalu. Suspek dipercayai cuba melarikan diri ke Thailand,” katanya.


Menurutnya, operasi seumpama itu terus dijalankan bagi mengesan suspek yang terbabit dalam kegiatan kongsi gelap dan aktiviti jenayah.

Sementara itu Ketua Polis Perak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, 10 lelaki dipercayai terbabit dalam aktiviti kumpulan kongsi gelap ditahan di enam daerah di negeri itu sejak Jumaat lalu.


Antara yang diberkas adalah tiga suspek berusia 23 hingga 25 tahun berasal dari Ipoh dan Banting, Selangor, yang cuba melarikan diri ke Betong Sabtu lalu.

Dua minit curi kereta



Balik Pulau: Hanya dua minit diperlukan seorang lelaki untuk mencuri sebuah kereta mewah menggunakan satu kunci khas berbentuk pin.

Selain itu, lelaki terbabit turut menggunakan alat elektronik khas yang dibeli dengan harga RM1,000 untuk mematikan sistem penggera dan kemudian menjual kenderaan curi itu kepada pembeli pada harga serendah RM8,000 hingga mencecah RM50,000 mengikut populariti kereta.


Bagaimanapun, kegiatan lelaki berusia 27 tahun itu terbongkar apabila dia ditahan di Kubang Semang, Bukit Mertajam, dekat sini jam 12 tengah malam pertengahan Ogos lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, berikutan penahanan lelaki terbabit, polis melakukan beberapa siri serbuan di sekitar negeri itu serta Kedah dan merampas 11 kereta mewah serta sebuah motosikal yang semuanya bernilai lebih RM1 juta.


Menurutnya, dalam operasi yang dinamakan ‘Ops Estima 2’ itu, polis melumpuhkan kegiatan sindiket terbabit dengan menahan 10 individu termasuk dalang kegiatan curi itu.


“Kami menahan seorang lelaki yang juga dalang dan dua lagi rakannya yang dipercayai pakar mencuri kenderaan itu, manakala selebihnya pembeli kereta mewah berkenaan.

“Siasatan awal mendapati lelaki yang menjadi dalang dan dua rakannya itu menggunakan satu pin khas untuk membuka kunci pintu selain turut menggunakan alat elektronik bagi mematikan sistem penggera,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya, semalam.


Menurutnya, lelaki terbabit juga boleh dianggap sebagai pakar kerana dia hanya mengambil masa tidak sampai tiga minit untuk melarikan kereta mewah yang dicurinya itu.

“Hasil siasatan kami dapati sindiket curi kenderaan mewah ini aktif sejak setahun lalu dan menjadikan beberapa negeri di Semenanjung untuk melakukan kegiatan jahat mereka.


“Dengan penahanan ahli sindiket ini, ia kejayaan terbesar polis Pulau Pinang pada tahun ini dengan melumpuhkan kegiatan sindiket terbabit,” katanya.


Menurutnya, polis juga memburu dua lelaki berusia 29 dan 45 tahun dipercayai turut terbabit dalam kegiatan curi kereta mewah berkenaan.


“Mereka dipercayai menjadi ‘orang tengah’ untuk mencari pembeli yang berminat dengan kenderaan mewah yang dicuri itu.


“Kereta mewah yang dicuri itu ditukar nombor pendaftaran, nombor casis dan enjin seterusnya didaftarkan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan menggunakan geran kereta yang dilupus,” katanya.


Menurutnya, semua individu yang ditahan itu berusia lingkungan 21 hingga 45 tahun dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 A (1) Kanun Keseksaan dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil.


Dalam operasi itu, polis merampas lima Mercedes, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Velfire, sebuah Estima, sebuah Toyota Vios, sebuah Nissan Skyline, dua Proton Perdana dan sebuah motosikal jenama KTM Duke.

Suami reda dengan ketentuan Ilahi


Kajang: “Dunia saya menjadi gelap apabila mendapat tahu isteri dan tiga anak pergi meninggalkan saya serentak. Tapi apakan daya, Tuhan lebih menyayangi mereka dan saya reda dengan ketentuan Ilahi,” kata Muhammad Tauffid Khassim, 44, yang kehilangan isteri dan tiga anaknya sekali gus dalam kemalangan di Kilometer 8, Jalan Bangi-Kajang, Jambatan Teras Jernang, di sini pagi semalam.

Ketika kejadian, isterinya, Rohaya Md Rabi, 35, dalam perjalanan menghantar dua anak mereka ke rumah pengasuh di Teras Jernang. Isterinya yang juga seorang ustazah mengajar di tempatnya mengajar di Sekolah Rendah Kebangsaan Bandar Baru Bangi. Bagaimanapun, arwah mengajar sesi petang.


Tiga anaknya yang maut di tempat kejadian ialah Nur Nabila Al-Huda, 9, Nur Nabila Al-Hanan, 7, dan Muhammad Nabil Lutfi Al-Hadif, setahun, manakala Muhammad Nabil Lutfan Al-Husni, 3, parah dan dirawat di Hospital Kajang (HK).

Menurut Tauffid, ketika kejadian, dia sedang mengajar sesi pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian selepas dimaklumkan pihak sekolah mengenainya.


Setiba di lokasi, alangkah terkejutnya apabila mendapati isteri dan anaknya sudah meninggal dunia, manakala seorang lagi anak sudah dihantar ke Hospital Kajang (HK) akibat kecederaan parah.


“Saya terus ke HK untuk melihat Lutfan kerana saya diberitahu dia sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat kecederaan parah di kepala.

“Doktor memaklumkan dia terpaksa menjalani pembedahan bagi membuang darah beku di kepala di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dalam masa terdekat,” katanya.


Katanya, jenazah semua mangsa akan disemadikan di kampung halamannya di Kuala Nerang, Kedah hari ini.

Dokumen pengenalan diri mangsa hilang


Kajang: Urusan menyempurnakan jenazah Rohaya Md Rabi, 35, dan tiga anaknya yang terbabit dalam nahas jalan raya di Kilometer 8 Jalan Bangi-Kajang, berhampiran Jambatan Teras Jenang, di sini, semalam tergendala berikutan dokumen pengenalan diri mangsa serta anak-anaknya hilang di tempat kejadian.

Pengasuh anak mangsa, Normi Daud, 46, berkata, sejurus menerima panggilan daripada suami mangsa kira-kira jam 12.40 tengah hari memaklumkan kejadian, dia terus bergegas ke tempat kejadian.


“Saya diarahkan suami mangsa untuk membawa dokumen pengenalan diri mangsa dan anak-anak yang ada di lokasi kejadian ke Bilik Mayat Hospital Serdang (HS) bagi urusan pengendalian jenazah.

“Namun, puas saya mencari beg tangannya, tapi tidak jumpa sebelum dimaklumkan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) bahawa beg itu sudah hilang. “Tanpa membuang masa, saya terus ke HS bersama suami,” katanya yang menjaga tujuh anak mangsa sejak kecil lagi. Sementara itu, Penolong Kanan Petang Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi Siti Azurani Md Tin, 35, berkata, selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu, dia bersama kira-kira 10 guru lain terus ke HS.


“Sejak mengenali mangsa beberapa tahun lalu, arwah seorang yang suka berjenaka dan menghormati orang lain.


“Sifatnya yang lemah-lembut dan suka memberi senyuman menyenangkan semua orang berkawan dengannya. Begitu juga dengan anak murid yang begitu menyayanginya.

“Walaupun kami semua menyayanginya, namun Allah SWT lebih sayangkan dia. Saya ucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan anggap ia sebagai ujian daripada-Nya,” katanya.


Katanya, arwah dan suami mengajar di sekolah itu lebih 10 tahun sebagai guru agama, manakala tiga anaknya turut bersekolah di sekolah sama.

Peniaga dalang sindiket dadah


Balik Pulau: Rahsia seorang ahli kongsi gelap yang berselindung di sebalik perniagaan sendiri terbongkar apabila dia sebenarnya dikesan turut menjadi dalang sindiket penjualan dadah.

Kegiatan itu terbongkar apabila polis melakukan serbuan di sebuah kondominium mewah di Jelutong, Khamis lalu, dan ahli kongsi gelap terbabit ditahan bersama dua rakannya termasuk seorang wanita.


Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, dalam serbuan jam 7 malam, polis merampas pistol semi automatik dan pelbagai jenis dadah bernilai RM30,000 di rumah berkenaan.

“Hasil siasatan awal mendapati semua suspek yang berusia 22 hingga 43 tahun itu ahli perniagaan dan mereka dikesan berselindung di sebalik perniagaan dengan turut menjalankan aktiviti pengedaran dadah.


“Seorang daripada suspek terbabit ahli kongsi gelap yang menjadi buruan polis dan dia turut mempunyai rekod lampau atas kesalahan dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya, semalam.


Menurutnya, hasil ujian air kencing yang dijalankan mendapati semua suspek terbabit positif dadah dan mereka kini direman hingga Khamis ini bagi membantu siasatan.

“Dalam serbuan itu, kami merampas pelbagai jenis dadah iaitu syabu seberat 133.9 gram(g), ketamin 5(g), 30 pil Eramin 5, 32 pil Ecstact dan sepucuk pistol bersama 33 butir peluru.


“Selain itu, kita turut menyita dua kereta iaitu BMW dan Proton Perdana, sebuah jam tangan Rolex dengan anggaran nilai keseluruhan RM191,000,” katanya.

Tiga sekeluarga cedera dihempap siling runtuh


Seremban: “Saya hanya mampu melaungkan kalimah suci Allah berulang kali sebaik melihat siling dapur runtuh hingga mencederakan isteri dan anak,” kata Rosman Majid, 65, menceritakan detik cemas apabila isteri, anak perempuan dan menantu cedera dihempap siling ruang dapur yang runtuh di Kampung Paroi, di sini, kelmarin.

Kejadian menakutkan itu berlaku jam 4.30 petang menyebabkan isteri, Rosmi Karmin, 50, cedera di leher dan kepala sementara anak sulungnya, Roslinda, 33, cedera dari bahu ke pinggang diikuti menantu, Suhaili Samsudin, 29, luka kecil selepas dihempap kayu dan sisa runtuhan siling.


Rosman yang turut luka di tangan dan kaki berkata, ketika itu mereka sekeluarga minum petang di dapur sebelum terkejut apabila tiba-tiba siling dapur runtuh menghempap mereka. “Saya tergamam dan terus melihat isteri yang ketika itu pengsan, manakala Roslinda langsung tidak bergerak selepas rangka kayu menghempap mereka.

“Saya memanggil anak lelaki, Roshaidi, 31, membantu mengeluarkan mereka dari runtuhan siling itu seterusnya membawa mereka ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk rawatan,” katanya yang masih trauma ketika ditemui di rumahnya. Roshaidi berkata, ketika kejadian lebih 15 orang terdiri lima adik-beradik dan enam anak saudara berusia bawah enam tahun berada di rumah melawat ibu dan bapanya.


“Mujurlah ketika itu, enam kanak-kanak itu di ruang tamu manakala saya dan empat beradik lain di luar rumah memasang khemah.


“Manakala bapa, ibu, kakak dan juga isteri berada di dapur menyiapkan hidangan petang sebelum terkena runtuhan itu,” katanya.

Katanya, bapa dan isterinya hanya luka kecil, bagaimanapun kecederaan ibu dan kakak agak serius.


“Beberapa minit sebelum kejadian, saya melihat petir bersambungan sebelum tiba-tiba mendengar jeritan bapa meminta tolong dan melaung kalimah Allah.

“Saya dan adik-beradik lain bergegas ke dapur dan terkejut melihat sisa runtuhan siling dan kayu menghempap kakak dan ibu,” katanya.


Menurutnya, itu kejadian pertama berlaku sepanjang 15 tahun ibu dan bapanya menghuni rumah itu.


“Namun saya syukur kerana kejadian ini tidak membabitkan kehilangan nyawa walaupun memerlukan kos besar untuk membaiki rumah ini,” katanya. Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi Ghazali Wahid yang turut melawat keluarga itu berkata, peruntukan untuk membaiki rumah akan disalurkan secepat mungkin.

Maut tersepit bawah lori


Kuantan: Seorang lelaki maut selepas tersepit di bawah lori yang terbalik di Jalan Ringlet-Sungai Koyan, dekat Cameron Highlands, dekat sini, tengah hari kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.45 tengah hari itu, mangsa dikenali sebagai Sunardi, 31, dari Indonesia maut di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.


Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri Pahang Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, mangsa yang memandu kenderaan berat itu dalam perjalanan menghala ke Ringlet dari Sungai Koyan menghantar muatan simen.

Menurutnya, setiba di tempat kejadian lori dipandunya dipercayai hilang kawalan lalu terbabas melanggar tebing bukit di kiri jalan sebelum kenderaan berat itu terbalik ke kanan.

Budak lemas kaki sangkut kunci air


Padang Besar: “Abang bergayut di belat (kunci air) untuk sukat kedalaman, tetapi tiba-tiba dia lepaskan tangan dan terjun ke dalam sungai itu kerana kaki kanannya tersangkut, namun tidak muncul menyebabkan saya dan rakan lain bimbang.”

Begitu kata Azim Mustaqim Mahamad Rezduan, 10, apabila abangnya, Affiq Uzzair, 12, ditemui lemas ketika mandi bersama adiknya itu dan lima rakan lain di Pintu Kunci Air Tok Badet, Sungai Abi, Padang Melangit, di sini, kira-kira jam 4.30 petang kelmarin.


Azim berkata, abangnya yang bakal menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) hari ini, tidak pernah turut serta ketika dia dan rakannya mandi di sungai berkenaan, malah selalu ke pusat siber untuk bermain permainan komputer di kedai berdekatan.


Menurutnya, dia terkejut apabila abangnya yang juga murid Sekolah Kebangsaan Padang Melangit itu terjun ke dalam sungai dan mandi bersama mereka.


“Saya melihat abang ke bahagian hadapan kunci air dan bergayut di situ. Tetapi, kaki kanan abang dipercayai tersangkut di bahagian pintu kunci air berkenaan menyebabkan dia berusaha melepaskan diri.


“Air yang deras menyukarkan abang untuk melepaskan kakinya daripada celah kunci air itu. Saya hanya mampu melihat abang menggelupur di dalam air sebelum memanggil ayah untuk menyelamatkannya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Penghulu Jaafar, Beseri Dalam, di sini, semalam.

Katanya, dia dan rakan-rakannya mula mandi di sungai berkenaan dari jam 1.30 tengah hari, manakala abangnya turut serta pada jam 4 petang dan tidak ke kelas tambahan yang diadakan di sekolahnya.


Dalam kejadian itu, mangsa dikeluarkan sendiri bapanya, Saad Daud, 50, dengan bantuan beberapa penduduk kampung kira-kira jam 5.30 petang.

Saad berkata, anaknya sudah tidak bernyawa ketika dia cuba mengeluarkannya dalam tempoh kira-kira 20 minit kerana air deras selepas pintu kunci air dibuka bagi memudahkan kakinya dikeluarkan.


Menurutnya, dia turut mengikat tali di badan Affiq supaya tidak dibawa arus ketika usaha membawa naiknya daripada dalam sungai.


“Affiq tidak menunjukkan sebarang tanda bahawa dia akan meninggal dunia kerana dia sentiasa gembira dan membantu keluarga.


“Saya tidak menyangka dia akan mati lemas kerana pandai berenang, malah Affiq sebelum ini pernah menyelamatkan rakannya ketika banjir besar berlaku di Padang Melangit, beberapa tahun lalu,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Besar Superintendan Che Man Md Dros ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. mangsa bersama seorang adik dan lima rakannya mandi-manda di kawasan tali air sungai berkenaan yang terletak berhampiran rumah mereka.


“Ketika kejadian, mangsa yang sedang menyelam tidak timbul semula kerana kakinya tersangkut pada pintu kunci air dan tidak dapat dibantu oleh rakannya.


“Seorang lelaki berusia 21 tahun yang melalui kawasan berkenaan cuba membantu dengan menyelam ke dasar sungai, namun gagal menemui mangsa. Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.\ Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) dan sudah dituntut keluarga untuk urusan pengebumian.

Suami, isteri mati direnjat alat pemanas air


Kuala Lumpur: Bayi berusia enam bulan menjadi yatim piatu dalam sekelip mata selepas ibu dan bapanya warga Jepun meninggal dunia selepas terkena renjatan elektrik dipercayai daripada alat pemanas air dalam kejadian di sebuah unit kondominium di Jalan Kiara 2, pagi semalam.

Difahamkan, dalam kejadian berkenaan, lelaki berkenaan sedang mandi sebelum menjerit selepas terkena renjatan elektrik dan isterinya yang panik cuba menolak suaminya dengan tangan menyebabkan dia turut terkena renjatan.


Kejadian itu hanya disedari selepas seorang pekerja pencuci bangunan itu memaklumkan terdengar bunyi tangisan bayi tidak berhenti-henti lalu memaklumkan kepada pejabat pengurusan kondominium itu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, mangsa lelaki itu ditemui dalam keadaan masih memegang paip besi dan mempunyai kesan terbakar di muka.


“Mangsa lelaki dipercayai sedang mandi manakala isterinya yang masih berpakaian tidur pula meninggal dunia ketika cuba menolong suaminya yang terkena renjatan elektrik.


“Mangsa lelaki bekerja di sebuah kilang elektronik di Shah Alam manakala isterinya pula tidak bekerja,” katanya.

Menurutnya, pasangan berkenaan mempunyai seorang anak berusia enam bulan dan pasangan itu difahamkan tidak mempunyai keluarga di Malaysia.


Katanya, mayat mangsa dihantar ke bilik mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

34 ahli pertubuhan haram ditahan

Kuala Lumpur: Sejak Operasi Cantas Khas (Op Cantas) dijalankan sehingga semalam seramai 10,126 orang diperiksa di sekitar ibu negara dan daripada jumlah itu, 502 orang yang terbabit dalam pelbagai kesalahan jenayah ditahan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, pihaknya turut menahan 34 orang berusia antara 20 dan 40 tahun yang dipercayai terbabit menjadi ahli dalam pertubuhan yang diharamkan.

Menurutnya, sepanjang operasi terbabit yang dijalankan di seluruh ibu kota, polis juga telah memeriksa 5,764 kenderaan.
“Seramai 34 tangkapan terbabit kini sedang disiasat mengikut Seksyen 52 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 355).

“Sabtu lalu, polis sekali lagi menjalankan Op Cantas bermula jam 3 petang hingga 7 pagi dengan dibantu sepasukan 130 orang pegawai dan anggota dari Pasukan Gerakan Am Briged Tengah Kuala Lumpur dan melancarkan serbuan ke beberapa lokasi panas,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, semalam.

Mohmad berkata, hasilnya, polis berjaya menahan 53 individu terbabit dalam pelbagai kesalahan jenayah membabitkan 52 lelaki dan seorang wanita berusia 20 hingga 40 tahun.
Foto
MOHMAD (tiga dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan pistol dan senjata tajam yang dirampas dalam Op Cantas.
“Tujuh orang yang ditahan itu kini disiasat mengikut Seksyen 52 Akta Pertubuhan 1966 kerana menjadi ahli pertubuhan diharamkan sementara 46 orang lagi melakukan pelbagai kesalahan jenayah lain dan direman sehingga 14 September ini.

“Kita turut merampas senjata api dan peluru dalam serbuan dijalankan di Sri Rampai, Wangsa Maju, Taman Usahawan, Kepong dan di Sri Damansara,” katanya.
Beliau berkata, polis juga sedang mengesan seorang lelaki dikenali A Wan bagi membantu siasatan membabitkan kes rampasan pistol di Sri Damansara.

Perjalanan terakhir

Kajang: “Sebaik tiba di lokasi kejadian sebak hati saya melihat Rohaya tersepit kerana kepala lori itu menghempap kereta dipandunya manakala mayat tiga anaknya sudah dikeluarkan dan terbaring di atas jalan raya.”
Demikian kata Guru Besar Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi, Rohana Hussin, 59, yang juga majikan kepada Rohaya Md Rabi, 35, yang terbunuh bersama tiga anaknya dalam kemalangan ngeri, di sini, semalam. 
Kemalangan berlaku kira-kira jam 11 pagi di Kilometer 8 Jalan Bangi-Kajang, berhampiran Jambatan Teras Jenang, ketika Rohaya yang memandu Perodua Kancil bersama empat anaknya dalam perjalanan dari Bangi untuk menghantar dua anaknya ke rumah pengasuh di Teras Jernang.

Tiga anak Rohaya yang maut di tempat kejadian ialah Nur Nabila Al-Huda, 9, Nur Nabila Al-Hanan, 7, dan Muhammad Nabil Lutfi Al-Hadif, setahun, manakala Muhammad Nabil Lutfan Al-Husni, 3, parah dan dirawat di Hospital Kajang (HK).Foto
KEADAAN kereta dipandu Rohaya selepas merempuh sebuah lori.

Rohaya yang juga seorang guru dipercayai mengajar pada sesi petang manakala suaminya mengajar sesi pagi di Sekolah Rendah Kebangsaan Bandar Baru Bangi. Mereka sekeluarga menetap di Taman Impian Putra, Kajang.

Terperosok depan rumah

Melaka: “Kami terkejut mendengar dentuman kuat dan mendapati sebuah kereta mewah terperosok melanggar kereta kami di depan rumah,” kata Siti Nazura Ithnain, 17.
Dalam kejadian jam 3.50 pagi semalam, keluarga remaja itu gempar apabila sebuah kereta BMW dipandu seorang lelaki berusia 45 tahun terbabas dan terperosok ke rumah mereka yang terletak di bawah bukit di Kampung Bukit Duyong, di sini.
Lebih mengejutkan pemeriksaan mendapati lelaki berkenaan turut memiliki sepucuk pistol tiruan dan satu kelopak peluru selain satu pil dadah Eramin 5. Tidak cukup dengan itu, suspek yang dikatakan mempunyai pas Jabatan Perdana Menteri (JPM) turut menggunakan nombor pendaftaran palsu dan kereta mewah itu dilaporkan hilang di sekitar Bandar Baru Klang, Selangor.

Suspek yang mempunyai dua rekod jenayah lampau cedera di muka dan dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan.
Foto
KEADAAN kereta suspek yang terbalik selepas terbabas.

Menurut Nazura, dia sekeluarga mendapati wajah pemandu BMW itu berdarah dan masih bernyawa lalu menghubungi pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

Rusuhan agama ragut 28 nyawa


Muzaffarnagar (India): Pasukan keselamatan diarah menembak perusuh ketika keganasan antara penganut agama semalam merebak di utara India.

Rusuhan meletus walaupun tentera menguatkuasakan perintah berkurung selepas penganut Islam dan Hindu bertempur pada hujung minggu. Polis berkata, tembakan dan pertempuran di jalanan tercetus Sabtu lalu di beberapa kampung sekitar Muzaffarnagar di negeri Uttar Pradesh yang menyebabkan sekurang-kurangnya 28 orang terbunuh dan ramai lagi hilang.


Tentera yang dikerah ke daerah itu diberi arahan menembak perusuh, kata pegawai kerajaan Kamal Saxena.

2 maut, 17 cedera dalam letupan depan sekolah


Beijing: Sebuah kenderaan roda tiga semalam terbakar dan meletup di luar sebuah sekolah di selatan China, membunuh sekurang-kurangnya dua orang dan mencederakan 17 yang lain, termasuk 10 murid.

Media kerajaan menyifatkan kejadian letupan di bandar peranginan Guilin itu sebagai kemalangan walaupun polis enggan mengesahkan mengenainya dengan berkata siasatan masih dijalankan.


Seorang murid yang dirawat di hospital berada dalam keadaan kritikal. Letupan berlaku kira-kira jam 7 pagi ketika murid baru tiba di sekolah rendah Balijie, berhampiran jalan empat lorong di Lingchuan.


Tujuh lagi yang cedera ialah orang dewasa yang menghantar anak masing-masing ke sekolah.


Agensi berita rasmi Xinhua dan stesen penyiaran kerajaan CCTV memetik saksi sebagai berkata, kenderaan roda tiga bermotor itu terbakar sebaik melepasi sekolah berkenaan sebelum meletup, menyebabkan kenderaan lain dijilat api serta mengakibatkan tingkap kereta dan tingkap bangunan berhampiran pecah. Kenderaan roda tiga seumpamanya sering digunakan untuk membawa barangan di bandar kecil di negara itu. Rakaman dari tempat kejadian menunjukkan mangsa yang cedera terduduk di tepi jalan dalam keadaan panik ketika api menjilat motosikal di sekitar mereka. - AP

Diplomat Russia mati ditembak


Tbilisi: Seorang diplomat Russia ditembak mati di Abkhazia, semalam. Kejadian itu turut menyebabkan isterinya cedera.

“Setiausaha Pertama kedutaan Persekutuan Russia di Abkhazia, Dmitry Vishernev dibunuh dalam satu serangan penjenayah di Sukhumi,” menurut kenyataan kementerian luar wilayah itu.


Menurut sumber, diplomat berkenaan ditembak di kepala di garaj di kediamannya.


Jurucakap kementerian berkata, bukti ditempat kejadian menunjukkan kumpulan pengganas bertanggungjawab. - AP

Ditembak ketika sedang berehat


Narathiwat: Seorang penduduk kampung ditembak mati ketika sedang berehat di luar rumahnya di daerah Rueso, Narathiwat, kata polis semalam.

Jurucakap polis berkata kejadian berkenaan berlaku kira-kira jam 7.50 malam kelmarin. “Mangsa dikenali sebagai Maduru Hatimae, 33, dan dipercayai ditembak dua lelaki yang bersembunyi dalam belukar berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.


Maduru ditembak tiga kali di kepala, selain satu di tangan kanan dan satu lagi pada kaki kanannya. - Agensi

Keluarga, rakan anak maut dikelar sampai mati


Zapopan: Sepasang suami isteri, dua anak remaja mereka dan seorang rakan remaja dikelar hingga mati di bandar raya ini kelmarin.

Polis menemui “mayat lima orang iaitu dua dewasa dan tiga remaja” dengan kesan kelar di leher mereka, kata komando polis di bandar raya yang dihuni 1.2 juta orang itu, Ernesto Ramos. Menurut polis, jiran tetangga memberitahu mereka ada mendengar bunyi jeritan awal pagi kelmarin sebelum terlihat sebuah van memecut laju meninggalkan kediaman mangsa.


Keluarga terbabit menyara hidup dengan menjaja buah-buahan, lapor media tempatan.


Polis berkata, siasatan masih dijalankan. Lebih 70,000 orang terbunuh di Mexico sejak Disember 2006 apabila kerajaan persekutuan melancarkan operasi antidadah secara besar-besaran di seluruh negara. - AFP

3 lagi korban MERS di Arab Saudi


RIYADH 9 Sept. - Sekurang-kurangnya tiga orang lagi meninggal dunia di sini semalam selepas dijangkiti Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS), menjadikan jumlah keseluruhan korban penyakit itu meningkat kepada 47 orang di negara ini.
Kementerian Kesihatan berkata, seorang lelaki Arab berusia 74 tahun meninggal dunia di Madinah selepas dijangkiti virus daripada orang lain.
Seorang pekerja asing dalam sektor kesihatan turut meninggal dunia di Madinah, manakala seorang warga tempatan berusia 53 tahun yang menderita penyakit kronik meninggal dunia di Riyadh, kata laman web kementerian tersebut.
Pihak berkuasa juga mengumumkan lima kes baharu jangkitan virus korona, termasuk seorang lelaki Arab berusia 18 tahun, dan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dari Hafr Al-Baten, di timur laut Arab Saudi. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130910/lu_06/3-lagi-korban-MERS-di-Arab-Saudi#ixzz2eS9ui5eG
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pesawat Thai Airways terbabas, 14 cedera



Pesawat Thai Airways tergelincir di landasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi di Bangkok, semalam. -AFP
BANGKOK 9 Sept. - Sebanyak 14 penumpang cedera apabila sebuah pesawat milik syarikat penerbangan Thailand tergelincir dari landasan, selepas tayar depan pesawat itu mengalami kerosakan semasa mendarat di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, di sini semalam.
Pesawat Airbus 330-300 milik Thai Airways membawa seramai 287 penumpang dan 14 krew dan baru tiba dari Guangzhou, China tergelincir ketika mendarat apabila tayar depannya mengalami keroskan.
Kesemua penumpang dibawa keluar menggunakan laluan kecemasan sebaik-baik sahaja kapal terbang itu berhenti dan mangsa yang cedera dibawa ke hospital berhampiran untuk rawatan.
Presiden Thai Airways, Sorajak Kasemsuvan dalam kenyataannya berkata, ketika pesawat Airbus 330-300 itu mendarat, alat pendaratan (tayar depan) mengalami kerosakan menyebabkan pesawat itu terbabas dari landasan.
"Namun, kapten pesawat itu berjaya mengawal pesawat itu dengan baik sehingga ia berhenti, dan penumpang kemudian dikeluarkan melalui pintu kecemasan.
"Siasatan awal mendapati percikan api dikesan di bahagian kanan tayar depan berdekatan enjin.
''Namun, punca sebenar kejadian masih disiasat," katanya.
Selepas insiden berkenaan, pekerja menggunakan kren untuk menutup logo di pesawat itu sebagai usaha melindungi imej syarikat penerbangan terbabit.
Gambar kemalangan berkenaan menunjukkan kesan pesawat tergelincir hingga ke kawasan berumput dan bahagian depan pesawat mencecah ke tanah.
Kejadian semalam merupakan kali kedua membabitkan Thai Airways dalam tempoh tidak sampai dua minggu selepas sebuah pesawat Airbus A380 dilanda ribut ketika menghampiri lapangan terbang Hong Kong, menyebabkan 20 penumpang cedera. - AFP/AP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130910/lu_05/Pesawat-Thai-Airways-terbabas-14-cedera#ixzz2eS9bIq4V
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Doktor tak terkecuali kena denggi




KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang dua kali menghidap demam denggi ternyata fobia terhadap nyamuk dan sentiasa berwaspada setiap kali melihat kelibat serangga berkenaan.
Disebabkan wabak denggi itu tidak mengenal pangkat dan usia, ia telah menyebabkan mangsa yang juga seorang doktor perubatan terkena penyakit tersebut sebanyak dua kali.
Mangsa, Dr. Harriszamani Abu Bakar, 35, (gambar) berkata, kali pertama dia terkena demam denggi adalah pada tahun 2001 ketika berada di Johor dan kali kedua pula pada bulan Ramadan lepas di kediamannya di Damansara Perdana dekat sini.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0910&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz2eRUaL5iN 
Hakcipta terpelihara 

Polis berkas ‘ayahanda’ Geng 69



MOHMAD (dua dari kanan) menunjukkan pistol palsu dan peluru yang dirampas daripada penjenayah pada sidang akhbar di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Pangkat ‘ayahanda’ yang dimiliki seorang lelaki dalam kumpulan haram bergelar Geng 69 ternyata tidak memberi sebarang manfaat apabila dia tetap diberkas bersama tiga pucuk pistol tiruan di sebuah studio muzik di Taman Seri Rampai, Wangsa Maju di sini semalam.
Lelaki berusia 40 tahun yang mempunyai tatu di seluruh badan itu diberkas dalam Ops Cantas Khas pada pukul 3.35 pagi.
Polis turut menemui satu watikah pelantikan suspek sebagai ‘ayahanda’ serta beberapa senjata tajam milik lelaki itu di studio tersebut.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, Geng 69 merupakan pertubuhan haram walaupun ia tidak termasuk dalam senarai yang diumumkan Kementerian Dalam Negeri baru-baru ini.
Katanya, polis masih menyiasat sama ada suspek dan pertubuhannya terlibat dengan kongsi gelap atau sebaliknya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0910&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz2eRU258aC 
Hakcipta terpelihara 

Suami isteri mati dalam bilik air



Di sebuah unit Kondominium Sri Bayu di Mont Kiara, Kuala Lumpur inilah lokasi pasangan suami isteri Jepun ditemui mati semalam.


KUALA LUMPUR – Sepasang suami isteri warga Jepun ditemui mati di dalam sebuah bilik air dipercayai akibat terkena renjatan elektrik di sebuah unit Kondominium Sri Bayu di Mont Kiara di sini semalam.
Mayat pasangan suami isteri yang masing-masing berusia 38 tahun ditemui terbaring dalam sebuah bilik pada pukul 10 pagi oleh seorang pengemas rumah yang datang ke rumah warga asing itu untuk melakukan kerja rutinnya.
Bagaimanapun, wanita itu terkejut apabila dia menemui pasangan itu sudah tidak bernyawa di dalam bilik air di kondominium yang terletak di tingkat 13 daripada 42 tingkat.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0910&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz2eRTpbvQG 
Hakcipta terpelihara 

Telefon curi tidak boleh diguna mulai November ini


PUTRAJAYA – Mulai November ini, telefon bimbit yang dilaporkan dicuri oleh pemilik asalnya tidak lagi boleh diguna pakai semula.
Ia berikutan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang bekerjasama dengan semua syarikat telekomunikasi membangunkan satu sistem baharu yang dapat menyekat penggunaan semula semua jenis telefon yang telah dilaporkan dicuri.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0910&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz2eRTVjwae 
Hakcipta terpelihara 

Tentera antara tiga didakwa menyamun



MOHAMAD ADNAN (depan sekali) bersama dua rakannya diiringi anggota polis di Mahkamah Sesyen Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU – Tiga lelaki termasuk seorang anggota tentera berpangkat Lans Koperal didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan menyamun seorang pekerja Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dengan melarikan wang tunai sebanyak RM29,878 di Bachok, bulan lalu.
Bagaimanapun, anggota tentera itu, Mohamad Adnan Mohamed, 26, berserta dua yang lain, Baharul Hisan Ismail, 34, dan Mohd. Faiz Mohd. Kamal, 21, mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan di depan Hakim Mohd. Yusoff Yunus.
Mereka bertiga didakwa melakukan rompakan berkumpulan ke atas Mohd. Helmi Kamarudin @ Remly, 27, dengan mengambil sebuah beg sandang berisi wang tunai RM29,878 di depan tangki air di pekan Jelawat, Bachok, pada pukul 12 tengah hari, 27 Ogos lalu.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0910&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz2eRTGWLZZ 
Hakcipta terpelihara 

SPRM dedah kos siasatan Eric Chia paling tinggi


ERIC CHIA


KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan ia terpaksa menanggung kos paling tinggi ketika menyiasat kes penyelewengan dan pecah amanah bekas Pengarah Urusan Perwaja Steel Sdn. Bhd., Tan Sri Eric Chia Eng Hock.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Pencegahan), Datuk Sutinah Sutan berkata, keadaan tersebut berlaku kerana ia melibatkan siasatan di luar negara iaitu Hong Kong dan Switzerland.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan kos sebenar bagi menyiasat kes tersebut. Kos paling rendah untuk menyelesaikan kes rasuah ialah RM5,000.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0910&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz2eRT0T6qu 
Hakcipta terpelihara 

ASP, Inspektor didakwa terima rasuah


KUALA LUMPUR – Dua pegawai polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam terhadap pertuduhan bersetuju menerima rasuah berjumlah RM4,000 daripada seorang wanita berhubung pembebasan suaminya yang ditahan.
Asisten Superintendan S. Ravintharan, 50, dan Inspektor Suriati Mohd. Shafie, 31, dengan niat bersama didakwa bersetuju menerima RM4,000 daripada Nurullizean Yahya sebagai dorongan membantu melepaskan suaminya, Tchouanseu Tchounga Armand, warga Cameroon, yang disyaki terlibat kes samun.
Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Bilik Pejabat Tingkat 3, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields (Balai Polis Petaling), antara pukul 8.30 malam dan pukul 9.30 malam pada 22 Januari lalu.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0910&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm#ixzz2eRSiq9M1 
Hakcipta terpelihara 

Doktor tentera didakwa rasuah


KUNASEEGARAN dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam semalam atas tuduhan rasuah.


SHAH ALAM – Seorang Ketua Makmal Patologi berpangkat Kolonel di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam terhadap dua pertuduhan iaitu meminta dan bersetuju menerima suapan RM700,000 daripada pemilik sebuah syarikat pembekal perubatan swasta.
Kolonel Dr. R. Kunaseegaran, 50, didakwa secara rasuah meminta wang tunai RM700,000 daripada pemilik RAZ Medical Supplies, Abdul Razar Abdullah melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada telefon bimbit milik tertuduh pada pukul 11.58 pagi, 29 Ogos lepas.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa bersetuju menerima wang tunai berjumlah RM700,000 daripada Abdul Razar di hadapan Empire Gallery Subang Jaya dekat sini pada pukul 5.15 petang, 3 September lepas.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0910&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz2eRSRAXpU 
Hakcipta terpelihara 

Tak sempat pergi ke sekolah


ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mayat empat beranak yang terkorban dalam nahas di Kajang semalam. Gambar kecil ialah Mohd. Nabil Lutfan Al-Husni yang kritikal.


KAJANG – Perjalanan seorang guru Pendidikan Islam ke tempat kerja dengan membawa empat orang anak berakhir dengan tragedi pilu apabila empat daripadanya maut manakala seorang kritikal selepas kereta jenis Perodua Kancil yang dinaiki bertembung dengan sebuah lori semalam.
Kemalangan pukul 11.45 pagi di Kilometer 8 Jalan Kajang-Banting itu mengakibatkan guru Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi, Rohaya Md. Rabi, 35, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Turut maut dalam kejadian itu ialah tiga anak Rohaya iaitu, Nur Nabila Al-Huda Mohd. Taufid, 9, Nur Nabila Al-Hanan, 7, dan Mohd. Nabil Lutfi Al-Hadif, 1.
Seorang lagi anaknya, Mohd. Nabil Lutfan Al-Husni, 3, kritikal dan kini dirawat di Hospital Kajang.
Nur Nabila Al-Huda, anak kedua, Nur Nabila Al Hanan, anak ketiga manakala Mohd. Nabil Lutfi Al Hadif, anak bongsu daripada tujuh beradik.
Difahamkan, mereka dalam perjalanan ke sekolah tersebut dari rumah di Taman Impian Putra, Bandar Seri Putra, Bangi. Jarak antara dua tempat itu kira-kira 18 kilometer.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0910&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz2eRRrpB78 
Hakcipta terpelihara