Search This Blog

Sunday, September 8, 2013

Bakar kenalan: Lelaki dipenjara empat tahun


SHAH ALAM 4 Sept. - Seorang bekas juruelektrik dihukum penjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah membakar kenalan wanitanya sehingga menyebabkan kecederaan parah, dua tahun lalu.
Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar memutuskan demikian terhadap M. Sivakumar, 42, dan memerintahkan hukuman itu berkuat kuasa hari ini.
Lelaki itu mengakui, dia dengan sengaja telah menggunakan cecair petrol dan membakar menggunakan pemetik api terhadap R. Seroja, 37, di tepi jalan persimpangan tiga lampu isyarat, Jalan Kebun, Seksyen 36, di sini, kira-kira pukul 7.30 pagi, 7 April 2011.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, ketika kejadian Seroja yang menunggang motosikal telah berhenti ketika lampu isyarat merah sebelum tertuduh yang juga menunggang motosikal lain menghampiri dan memegang tangannya.
Tertuduh yang telah mengenali wanita itu sejak dua tahun lalu, kemudian telah mengambil petrol dan menyimbah ke arah mangsa sebelum menyalakan api dan terus melarikan diri.
Mangsa yang terbakar telah terjun ke dalam parit berhampiran dan mengalami kesan melecur 40 peratus di bahagian muka dan badan akibat kejadian itu.
Lelaki itu pula berjaya ditahan pihak polis di Pulau Besar, Melaka pada 24 Mac lalu.
Sementara itu, dalam kenyataan impak kesalahan terhadap mangsa (VIS) wanita itu memberitahu, dia mempunyai seorang anak perempuan dan telah berpisah dengan suaminya sejak enam tahun lalu.
Katanya akibat kejadian itu, dia mengalami kesukaran untuk tidur dan malu keluar rumah selain kerap memikirkan pandangan masyarakat terhadap dirinya.
Seroja yang sebelum ini bekerja sebagai operator pengeluaran kilang berkata, kini dia tidak bekerja disebabkan tangannya gagal berfungsi seperti biasa dan hanya mendapat bantuan RM600 daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
"Sebelum kejadian saya memperoleh pendapatan RM2,000 tetapi kini saya tiada sumber pendapatan, saya mahu bekerja semula demi masa depan anak saya," katanya.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam bela memohon mahkamah meringankan hukuman kerana dia adalah penanggung tunggal keluarga.
''Saya minta ampun tuan. Saya ada isteri dan anak dan mereka perlukan saya. Saya insaf atas perbuatan saya. Ini semua berlaku kerana perasaan marah saya,'' katanya.
Walau bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Salwa Asmary Abdul Rahim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira trauma yang dihadapi mangsa.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130905/ma_05/Bakar-kenalan-Lelaki-dipenjara-empat-tahun#ixzz2eGdLIsfJ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

TTPM arah syarikat pulang wang deposit


SYARIKAT yang menyediakan perkhidmatan seperti pakej perkahwinan seharusnya lebih telus dengan memaklumkan tentang wang deposit sama ada dikembalikan atau hangus jika sesuatu tempahan dibatalkan. - GAMBAR HIASAN
MENJADI raja sehari merupakan satu pengalaman yang amat mendebarkan. Sebelum berlangsungnya hari yang penuh bermakna itu, pelbagai persiapan perlu dibuat bagi memeriahkan majlis perkahwinan tersebut.
Tidak dapat dinafikan setiap pasangan yang bakal menamatkan zaman bujang tentunya mahukan sesuatu yang terbaik pada hari bersejarah itu.
Bagi merealisasikan majlis tersebut, bakal pengantin yang sibuk dengan kerjaya dan kehidupan masing-masing akan mengupah perancang perkahwinan bagi memastikan persiapan majlis berjalan lancar.
Begitu juga dengan Jasmin Nanitha Peter Johnson yang akan mengikat tali perkahwinan dengan pasangan pilihannya, seorang lelaki warga Jerman, baru-baru ini.
Memandangkan lelaki pilihannya berasal dari Jerman, Jasmin Nanitha memilih tema Inggeris untuk kenduri kahwinnya dan perkara itu telah dipersetujui oleh sebuah syarikat perunding perkahwinan di ibu kota. Untuk itu, pasangan tersebut membayar wang deposit RM5,000.
Wanita tersebut juga telah mengingatkan juru runding pakej perkahwinan itu supaya tidak membekalkan sebarang makanan yang mengandungi gandum pada hari bersejarah mereka kerana dia mempunyai alahan.
Pun begitu, pasangan yang mendirikan rumah tangga akhir bulan Ogos lalu terkejut apabila mereka dimaklumkan bahawa semua yang dipersetujui pada awal perjumpaan tidak dapat dipenuhi dengan memberi alasan tidak mempunyai kelengkapan seperti yang diminta.
Menyedari keadaan itu, Jasmin Nanitha membatalkan pakej perkahwinan itu dan meminta syarikat yang beroperasi di Lorong Yap Kwan Seng itu mengembalikan wang deposit RM5,000 yang telah dibayarnya.
Walau bagaimanapun syarikat terbabit hanya bersetuju membayar separuh daripada jumlah tersebut. Apa yang mendukacitakan lagi, syarat pemulangan deposit itu tidak dijelaskan ketika pembayaran dibuat dahulu.
Kesal dengan apa yang berlaku, wanita itu membuat tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) yang terletak di tingkat 16, Putra Place di ibu negara, baru-baru ini.
Tanpa kehadiran syarikat itu selaku pihak penentang, Presiden TTPM, Maznah Haron telah mengeluarkan perintah mengarahkan syarikat berkenaan membayar balik keseluruhan wang deposit RM5,000 kepada wanita tersebut dalam tempoh 14 hari dari tarikh perintah diserahkan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130907/ma_02/TTPM-arah-syarikat-pulang-wang-deposit#ixzz2eGbNTOcK
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kapal bawa 30 tan dadah dibakar di Itali

ROM 8 Sept. - Kumpulan penyeludup dadah warga Mesir dan Syria bertindak membakar kapal yang membawa 30 tan dadah jenis kanabis selepas dipintas pasukan maritim Itali dalam satu kejadian, di sini semalam.
Menurut polis, kegiatan penyeludupan itu dikesan sejak tiga hari lalu ketika kapal tersebut merentasi Laut Mesditerranean.
"Sembilan anak kapal tersebut yang terdiri daripada warga Mesir dan Syria membakar kapal tersebut bagi melupuskan dadah sebelum mereka terjun ke dalam laut," katanya.
Bagaimanapun, kesemua penyeludup tersebut berjaya ditahan polis dan kebakaran tersebut dapat dikawal. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130908/lu_02/Kapal-bawa-30-tan-dadah-dibakar-di-Itali#ixzz2eGWgVjRD
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Selekoh tajam tunggu mangsa

Selekoh tajam tunggu mangsaKenderaan dipandu mangsa terbabas ke sebelah kiri jalan sebelum merempuh belukar.

KUALA BERANG - Belum pun cukup seminggu kemalangan melibatkan Perodua Kancil terbabas hingga hampir merempuh bengkel pemprosesan santan, kejadian sama berulang semalam membabitkan sebuah Toyota Vios.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa merupakan pemandu wanita berusia 47 tahun berasal dari Kuala Terengganu.

Jarak lokasi kemalangan tidak begitu jauh dengan kawasan Perodua Kancil terbabas, Rabu lalu.

Difahamkan dalam kejadian semalam, mangsa, seorang guru di sebuah sekolah rendah di daerah ini memandu dari arah Kuala Berang menghala ke Sekayu dan dipercayai hilang kawalan sebaik sahaja melalui satu selekoh.

Akibatnya, kenderaan dipandu mangsa terbabas ke sebelah kiri jalan sebelum merempuh belukar.

Mangsa kemudiannya dibantu orang awam keluar dari kereta sebelum dihantar ke Hospital Hulu Terengganu bagi mendapatkan rawatan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Mohd Zamri Muda berkata, pihaknya menerima panggilan jam 8.36 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian menaiki sebuah jentera dengan kekuatan lima anggota.

“Tiba di lokasi, didapati mangsa sudah pun berjaya dikeluarkan. "Kemalangan itu dipercayai berlaku setelah kenderaan tersebut hilang kawalan lalu terbabas selepas melalui satu selekoh tajam di kawasan berkenaan,” katanya, di sini, semalam.

Sinar Harian semalam menyiarkan cadangan JKKK Tanjung Putat agar pihak berkenaan dapat mengambil langkah keselamatan dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan di kampung tersebut.

Mengulas lanjut kejadian kemalangan semalam, Pengerusi JKKK Tanjung Putat, Hadillah Salleh berkata, walaupun berlaku di lokasi berlainan, namun ia tetap
membabitkan kes kemalangan dan sewajarnya tindakan segera perlu dilaksanakan.

“Walaupun terjadi di tempat berbeza, namun jarak kedua- dua kejadian ini tidak begitu jauh dan yang pasti, ia berlaku di kawasan berhampiran selekoh,” katanya.

Pelajar gagal besar payudara ancam bunuh diri


Beijing: Seorang pelajar kolej mengancam membunuh diri dengan terjun dari bumbung bangunan sebuah klinik pembedahan plastik.

Pelajar berkenaan bertindak demikian selepas implan payudaranya ditanggalkan kerana masalah perubatan.


Dia berdiri di tepi bumbung Hospital Perubatan Kecantikan Fuhua selama beberapa jam, mengancam untuk terjun selepas gagal mendapatkan pampasan daripada klinik itu.

Anggota keselamatan bagaimanapun berjaya memujuknya supaya membatalkan niatnya itu.


Pelajar berkenaan sebeleum itu membuat pembedahan membesarkan payudaranya sebagai persediaan untuk temuduga bagi mendapatkan pekerjaan. Ramai pelajar wanita di China percaya peluang memperoleh pekerjaan lebih terbuka jika mereka mempunyai payudara besar.


Kebanyakan pusat kecantikan di negara berkenaan menyasarkan pelajar wanita yang hampir tamat pengajian dengan menawarkan diskaun sehingga 65 peratus untuk menjalani pembedahan membesarkan payudara bagi meningkatkan peluang mereka untuk mendapat pekerjaan. - Agensi

Polis Maldives ‘tahan’ kelapa muda


Male: Polis di sini menahan suspek muda kerana berpotensi mengganggu pengundian dalam pilihan raya penting di Maldives.

Bagaimanapun, suspek itu sukar disoalsiasat kerana ia hanya sebiji kelapa muda.


Akhbar Minivan melaporkan, kelapa muda itu ditahan Selasa lalu selepas polis menerima laporan ia diletakkan berhampiran Sekolah Pulau Guraidhoo yang menjadi tempat mengundi dalam pilihan raya semalam. Penduduk bimbang kelapa muda itu dikaitkan dengan ilmu hitam atau sudah dijampi untuk mempengaruhi pilihan raya berkenaan.

“Kelapa berkenaan ditulis dengan ayat suci al-Quran dan terbiar di padang berhampiran sekolah berkenaan, mudah untuk dilihat orang ramai,” kata sumber.


Sehubungan itu, pihak berkuasa terpaksa mendapatkan khidmat seorang pawang yang berkata, kelapa itu tidak mengancam sesiapa.


Ilmu hitam dan sihir sering didakwa menjadi punca masalah di negara pulau itu. - Agensi

Monyet makan testikel bayi


Beijing: Seorang wanita terpaku melihat seekor monyet merentap satu daripada testikel bayinya berusia lapan bulan di sebuah zoo sebelum lari dan memakannya.

Kejadian mengejutkan itu berlaku di Taman Hidupan Liar Guiyang Qianling di Guìyáng, ibu negeri wilayah Guizhou di barat daya China.
Si ibu sedang menukar lampin bayinya apabila haiwan berkenaan menyerang dan merentap testikel kanak-kanak berkenaan dan melarikan diri sebelum testikel itu terjatuh.

Seorangt lelaki tua dilapor memungut testikel itu tetapi monyet berkenaan kembali dan merampasnya daripada lelaki terbabit dan melarikan diri sambil memakannya.


Rakaman yang disiarkan sebuah stesen televisyen China menunjukkan kanak-kanak itu dirawat di sebuah hospital dengan dijaga oleh ibunya.


Kecederaannya tidak mengancam nyawa.

Jumlah monyet di zoo terbuka itu dilapor meningkat daripada 70 kepada 500 sejak beberapa tahun lalu dengan keadaan dilihat tidak boleh dikawal lagi.

Meskipun diberi makan tiga kali sehari oleh pihak zoo, haiwan itu turut memperoleh makanan daripada pengunjung.

Stesen itu juga menyiarkan rakaman monyet menggigit seorang kanak-kanak kecil yang cuba membelai haiwan itu.

Menurut laporan itu, serangan monyet ke atas pengunjung sering berlaku di zoo berkenaan. - Agensi

Bunuh diri untuk derma organ


2013/09/08
Zhejiang: Seorang lelaki di Hangzhou, wilayah Zhejiang di timur China, menghantar mesej pesanan ringkas (SMS) kepada polis, memaklumkan niatnya menderma anggota tubuh dan organnya untuk tujuan saintifik sebelum membunuh diri.

Kejadian berlaku pada Rabu lalu, umum polis.
“Saya membuat keputusan menderma anggota badan saya untuk kebajikan. “Apabila anda terima mesej ini, saya sudah mati. Maaf mengganggu,” kata lelaki itu.


Mesej itu diterima pada jam 4.21 pagi Isnin lalu.

Mayat tergantung

Lelaki itu kemudian ditemui tergantung di luar rumah sewanya di daerah Yuhang, kata polis.
Satu kerusi roda ada dekat mayatnya. Tongkat dan dua nota memberitahu niatnya juga ada.

Polis memotong tali dan memberi bantuan perubatan tetapi doktor mengesahkan lelaki itu diberi nama Wang, mati di tempat kejadian.

Dia mengalami kesusahan kerana ada masalah otot dan baru menyambut hari jadi ke-30.

Polis percaya, Wang sudah putus asa kerana masalah hidup tetapi mahu memberi sumbangan terakhir kepada masyarakat.

“Niat utama saya ialah menderma semua organ dan badan kepada badan kebajikan,” kata Wang.

XINHUA 

Wanita mengaku bakar teman lelaki

Wanita mengaku bakar    teman lelaki Rumah Julia Rivera lokasi dia mencurah minyak jagung panas ke atas teman lelakinya. Gambar kecil, Julia Rivera. Hartford: Seorang wanita di Connecticut menyerah diri kepada polis awal pagi semalam selepas mengaku membakar teman lelakinya sehingga mati, namun dia bernasib baik, kerana lelaki terbabit terselamat.

Julia Rivera, 47, dikenakan dakwaan menyerang, melakukan tindakan berbahaya secara melulu, mengingkari arahan perlindungan dan salah laku oleh pihak polis.
Wanita terbabit sebelum itu menghubungi talian kecemasan 911, pada jam 12.30 tengah malam untuk membuat laporan bahawa dia membunuh teman lelakinya. Rivera juga meminta polis menahannya kerana membakar teman lelakinya hingga mati, tanpa menyedari bahawa lelaki terbabit terselamat tetapi mengalami 70 peratus kesan melecur.



Apabila pegawai polis tiba di lokasi kejadian, mereka melihat Rivera menunggu di luar rumahnya, bersedia untuk dibawa pergi.

Mengaku bakar

“Tangkap saya. Saya yang melakukannya. Saya bakar dia hidup-hidup,” katanya kepada mereka.
Apa yang tidak diketahui Julia ialah teman lelakinya masih hidup.

Akhbar The Hartfort melaporkan dia ditemui di dalam sebuah rumah beberapa blok dari situ dan segera dikejarkan Pusat Kebakaran Connecticut di Hospital dengan 70 peratus tubuhnya melecur.

Polis berkata, Rivera mencurah teman lelakinya dengan minyak jagung panas dari kuali di rumahnya.
AGENSI

Virus MERS ragut dua lagi nyawa di Arab Saudi


AP
SAINTIS menemui petunjuk bahawa unta boleh menyebabkan jangkitan virus MERS kepada penduduk di Asia Barat.


RIYADH - Dua wanita meninggal dunia akibat jangkitan koronavirus penyebab penyakit Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS) di Arab Saudi, kata Kementerian Kesihatan kelmarin.
Perkembangan itu menjadikan angka kematian wabak MERS di Arab Saudi meningkat kepada 44 orang.
Mangsa pertama yang berusia 41 tahun merupakan warga asing yang bekerja di sektor perubatan di sini manakala pesakit kedua seorang rakyat tempatan berumur 79 tahun.
Warga emas berkenaan pernah bersentuh dengan seorang pesakit MERS di bandar Hafr Al-Baten, timur Arab Saudi.
Arab Saudi merupakan negara paling teruk dilanda MERS yang telah meragut 50 nyawa di seluruh dunia setakat ini.
Sehingga kini, pakar-pakar perubatan masih samar tentang MERS yang boleh membawa maut dan tiada vaksin untuk mencegah wabak tersebut.
MERS berada dalam keluarga virus Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) yang meledak di Asia pada tahun 2003 dan menjangkiti 8,273 orang dengan sembilan peratus mangsa meninggal dunia.
Virus SARS membawa maut dengan menyerang sistem pernafasan manusia tetapi MERS boleh menyebabkan kegagalan fungsi ginjal.
Virus berkenaan dipercayai disebarkan oleh beberapa jenis haiwan termasuk unta dan kelawar. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0908&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_08.htm#ixzz2eGF0Bnrp 
Hakcipta terpelihara 

5 warga China didakwa bayar khidmat seks gadis bawah umur


SINGAPURA - Lima warga China didakwa di sebuah mahkamah di sini kelmarin susulan operasi terbesar di republik berkenaan bagi membanteras gejala pelacuran bawah umur.
Mereka yang berusia 35 hingga 42 tahun masing-masing didakwa membayar 60 dolar Singapura (RM156) kepada remaja berusia 17 tahun itu untuk khidmat seks pada Mei lepas.
Dalam perkembangan berkaitan, seramai 14 lelaki tempatan termasuk dua warga emas didakwa di mahkamah pada Rabu lepas kerana mendapatkan khidmat seks gadis yang sama.
Identiti gadis itu tidak didedahkan kerana dia masih di bawah umur.
Walaupun pelacuran dibenarkan di Singapura, mereka yang membayar gadis bawah umur 18 tahun untuk khidmat seks boleh dihukum penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.
Pada tahun lalu, seramai 51 lelaki asing termasuk seorang bekas eksekutif bank Switzerland didakwa kerana mengadakan hubungan seks dengan seorang teman sosial berumur 17 tahun pada 2010 dan 2011. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0908&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_09.htm#ixzz2eGEV6lCM 
Hakcipta terpelihara