Search This Blog

Thursday, September 5, 2013

Rakaman CCTV tunjuk konkrit jatuh menegak hempap kereta


GEORGE TOWN 5 Sept. - Mahkamah Koroner hari ini diberitahu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan sebuah konkrit jatuh secara menegak dan mengenai bahagian belakang sebuah kenderaan dalam kejadian hujan lebat dan angin kencang yang menyebabkan penebat kilat di Menara UMNO di Jalan Macalister runtuh.
Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai Ismail, Mohd. Zain berkata, rakaman CCTV yang diperoleh dari bilik kawalan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) yang dilihat berulang kali dalam gerak biasa dan gerak perlahan jelas menunjukkan konkrit yang jatuh secara menegak itu juga telah membenam sebuah kenderaan ke dalam tanah.
"Selepas beberapa kali melihat rakaman CCTV itu saya terus memaklumkan kepada Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri mengenai rakaman itu kerana disyaki ada mangsa yang terlibat," kata Ismail, saksi ke-15 prosiding inkues yang didengar di hadapan Koroner Khairul Anuar Abdul Halim.
Inkues berkenaan diadakan bagi mengesahkan kematian seorang penjual nasi, Lim Chin Aik, 44, dipercayai tertimbus di dalam kawasan runtuhan penebat kilat di Jalan Macalister.
Inkues itu juga bagi membolehkan Jabatan Pendaftaran Negara mengeluarkan sijil kematian dan bertujuan memudahkan urusan tuntutan insurans oleh keluarga mangsa.
Ismail berkata, beliau kemudiannya bergegas ke tempat kejadian dan memaklumkan kepada pihak polis yang bertugas di kawasan berkenaan bahawa disyaki terdapat mangsa terlibat dalam insiden itu.
"Pada kedalaman kira-kira 3.05 meter pasukan penyelamat mula menjumpai bahagian hadapan kereta yang ada tertulis nombor casis kereta, apabila kerja-kerja mengorek diteruskan lagi sedalam 1.5 meter pasukan penyelamat menjumpai bahagian badan kereta dan tayar," katanya.
Terdahulu, saksi ke-13 iaitu Juruteknik Kanan Unit Perancangan Lalu Lintas MPPP Omar Mat Kassim memberitahu mahkamah bahawa beliau menyangkakan konkrit yang terjatuh dan mengenai sebuah kenderaan dalam kejadian hujan lebat dan angin kencang pada 13 Jun lepas adalah gangguan pada imej CCTV akibat cuaca buruk.
Beliau yang tidak mengesyaki terdapat mangsa terlibat dalam kejadian itu memberitahu bahawa beliau tidak menonton rakaman CCTV itu sehinggalah kontraktor datang untuk menyelenggara CCTV yang rosak akibat gangguan bekalan elektrik pada 15 Jun lepas.
"Ketika itu saya telah melihat sekali lagi rakaman CCTV secara gerak perlahan dan waktu itu baru saya sedar terdapat sebuah konkrit terjatuh di atas sebuah kereta dan bukannya gangguan imej seperti yang saya sangka pada awalnya," katanya.
Insiden itu turut meragut nyawa seorang pekerja asing, Jahir Sulaiman, 46, selepas lori yang dinaiki bersama rakan sekerja dihempap penebat kilat Menara Umno yang runtuh. Khairul Anuar dibantu Timbalan Pendakwa Raya Lim Cheah Yit dan Siti Fatimah Talib, peguam Gobind Singh Deo bagi pihak keluarga mangsa serta peguam JKP Sdn Bhd (pemilik bangunan Menara UMNO) Abdul Fareed Abdul Gafoor, yang dibantu Norliza Ali. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130905/ma_07/Rakaman-CCTV-tunjuk-konkrit-jatuh-menegak-hempap-kereta#ixzz2eGbYy4Zu
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Terima rasuah, dua polis dipenjara 12 bulan, denda RM20,000


ZULKIFLE Mohammed melarikan diri ketika cuba diambil gambar oleh petugas media massa selepas dikenakan hukuman penjara 18 bulan kerana didapati bersalah menerima rasuah di Mahkamah Sesyen, Ipoh, Perak, semalam. - UTUSAN/Roy Azis Abd. Aziz
IPOH 4 Sept. - Dua anggota polis masing-masing dipenjara setahun dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas didapati bersalah meminta dan menerima rasuah daripada seorang lelaki yang disyaki memiliki dadah, dua tahun lalu.
Koperal Zulkiflee Mohamed, 53, dan Lans Koperal Mohd. Fauzi Embong, 33, turut diperintahkan oleh Hakim Julie Lack Abdullah supaya menjalani hukuman penjara tambahan selama tiga bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Dua anggota polis yang bertugas di Unit Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung itu yang kini digantung tugas membayar denda tersebut hari ini.
Bagaimanapun, Julie Lack membenarkan pelaksanaan hukuman penjara ke atas mereka ditangguhkan sementara menunggu rayuan berhubung keputusan itu di Mahkamah Rayuan.
Zulkiflee dan Mohd. Fauzi dituduh secara bersama meminta dan menerima rasuah wang tunai sebanyak RM1,000 daripada Arban Shiti sebagai dorongan untuk melepaskan lelaki tersebut yang disyaki memiliki dadah.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di hadapan sebuah rumah di Jalan Setia Jaya 2, Taman Setia Jaya, Sitiawan dekat sini pada pukul 12.15 pagi, 17 November 2011.
Mereka turut didakwa menerima wang tunai sebanyak RM300 daripada lelaki tersebut di hadapan Poslaju Sitiawan kira-kira pukul 12.50 pagi, pada hari yang sama.
Kedua-duanya dihukum penjara selama 12 bulan bagi pertuduhan pertama dan enam bulan bagi pertuduhan kedua yang berjalan secara serentak berkuat kuasa hari ini.
Mereka juga didenda RM10,000 setiap seorang bagi setiap pertuduhan.
Kedua-dua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 16(a)(b) dan 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 249 (1) akta sama.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, A. Hafiizh Abu Bakar manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam bela, Ranjit Singh.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130905/ma_04/Terima-rasuah-dua-polis-dipenjara-12-bulan-denda-RM20000#ixzz2eGccxlFS
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kes diabetes di China membimbangkan

GAMBAR fail pada 3 Januari 2009 menunjukkan sejenis alat digunakan untuk mengukur kandungan gula dalam darah pesakit diabetes. - AP


BEIJING - Hampir 12 peratus orang dewasa di China menghidap diabetes pada 2010 ekoran kemakmuran ekonomi, sekali gus lebih tinggi daripada bilangan pesakit berkenaan di Amerika Syarikat (AS), kata beberapa penyelidik kelmarin.
Menurut kajian yang disiarkan dalam penerbitan Journal of the American Medical Association (JAMA), sebanyak 11.6 peratus orang dewasa yang merangkumi 12.1 peratus lelaki dan 11 peratus wanita menghidap penyakit itu pada 2010.
Angka tersebut menyaksikan sebanyak 113.9 juta kes diabetes dicatatkan di China.
Di seluruh dunia, terdapat 371 kes diabetes yang menyerang 8.3 peratus penduduk global.
"Penyakit diabetes meningkat dengan mendadak di China sejak beberapa dekad lalu," menurut JAMA.
"Data ini menunjukkan diabetes mencapai tahap membimbangkan di China dengan risiko berlakunya wabak berkaitan penyakit itu seperti penyakit kardiovaskular, strok dan penyakit ginjal kronik dalam masa terdekat," tambahnya.
Tambah kajian sama, hanya 30 peratus penduduk China yang menghidap dia- betes sedar keadaan mereka.
Kajian itu lagi menyatakan, sekitar separuh populasi China mempunyai kadar gula dalam darah yang tinggi, sekali gus meningkatkan risiko mereka menghidap diabetes.
Penemuan itu berdasarkan sejumlah sampel yang diambil secara rawak di negara itu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0905&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2dytKgZuC 
Hakcipta terpelihara 

Wanita Pakistan mengaku nabi ditahan

SEKUMPULAN penduduk kampung beragama Kristian mengadakan protes membantah undang-undang murtad di Korian, Pakistan pada 30 Ogos lalu. - AFP


LAHORE - Polis Pakistan menangkap seorang ibu beranak empat kerana murtad selepas dia didakwa menggelar dirinya nabi, kata polis dan seorang ulama kelmarin.
Wanita itu ditangkap di ibu negeri wilayah Punjad di sini di mana seorang gabenor ditembak mati pada 2011 ketika cuba merombak undang-undang murtad.
"Polis menangkap wanita berusia 40 tahun itu, Salma atau Fatima pada Isnin lalu dan menghantarnya ke penjara kerana tuduhan murtad," kata seorang pegawai kanan polis, Tariq Aziz.
Menurutnya, ulama tempatan, Qari Iftikhar Ahmed Raza menuduh wanita itu mengagihkan sejumlah risalah yang mengaku dirinya seorang nabi.
"Tiada pengakuan secara langsung dalam risalah itu tetapi ulama tersebut menuduhnya," kata Tariq.
Umat Islam percaya bahawa Nabi Muhammad ialah utusan Tuhan yang terakhir.
Murtad merupakan isu yang amat sensitif di Pakistan yang mana 97 peratus penduduk negara itu terdiri dari- pada orang Islam.
Perbuatan menghina Nabi Muhammad boleh dikenakan hukuman bunuh di bawah undang-undang negara berkenaan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0905&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2dyrhD6Tk 
Hakcipta terpelihara 

Wanita curi wang RM3.6 juta dari bank di Afghanistan

KABUL - Seorang wanita yang bekerja di sebuah bank di Af- ghanistan selama tiga tahun telah menghilangkan diri dan pada hari sama wang sebanyak AS$1.1 juta (RM3.6 juta) dilaporkan lesap.

Pihak berkuasa Afghanistan kini sedang menjejaki suspek bersama sekurang-kurangnya sembilan orang rakan subahanya. Satu waran tangkap antarabangsa juga telah dikeluarkan.
Pendedahan mengenai penyelewengan di institusi kewangan negara itu dianggap sesuatu yang memalukan kerana ia berlaku ketika Afghanistan sedang bergelut dengan masalah rasuah, selain ancaman keselama- tan berterusan daripada militan dan penjenayah.
Shokofa Salehi, 22, dikatakan bekerja di unit pemindahan wang di ibu pejabat Bank Azizi, iaitu bank utama Afghanistan yang terletak di Kabul.
Ketua Eksekutif Bank Azizi, Inayatullah Fazli berkata, Salehi dikatakan menghilangkan diri kira-kira dua bulan lalu.
Pasukan penyiasat memberitahu, Salehi disyaki memindahkan wang sebanyak AS$1.1 juta (RM3.6 juta) ke dalam akaun saudara-mara- nya.
Pihak berkuasa percaya sekurang-kurangnya 10 orang telah membantu wanita muda itu untuk melakukan jenayah tersebut. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0905&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm#ixzz2dyqzA2B6 
Hakcipta terpelihara