Search This Blog

Wednesday, September 4, 2013

Zaman Khan: Bekas ketua kongsi gelap masuk politik



kongsi gelap
kongsi gelap Logo-logo dan lambang kumpulan kongsi gelap di Malaysia - Foto Ihsan PDRM



KUALA LUMPUR - Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Tan Sri Zaman Khan Rahim Khan mendedahkan seorang bekas banduan, yang juga bekas ketua kumpulan kongsi gelap, kini menjadi pemimpin peringkat bawahan dalam sebuah parti politik di Pulau Pinang.

Katanya, beliau yang ketika itu masih dalam perkhidmatan polis, telah menangkap lelaki berkenaan di Thailand sebelum didakwa dan dijatuhkan hukuman penjara di negara ini.

Menurutnya, bekas banduan itu pernah menjadi ketua kongsi gelap di negara ini dan aktifnya dalam politik sehingga memegang jawatan penting dalam parti adalah satu perkembangan yang tidak sihat kepada politik negara.

Beliau yang ditemui Bernama di sini, bagaimanapun tidak mendedahkan identiti pemimpin itu tetapi berkata, individu berkenaan kini merupakan ketua di peringkat bawahan sebuah parti politik di negeri itu.

Zaman Khan menggesa pihak polis menyiasat perkara itu kerana ia boleh menimbulkan pelbagai spekulasi oleh orang ramai terhadap penglibatan ahli politik dalam dunia kongsi gelap.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, pihaknya sedia menyiasat dakwaan pembabitan anggota kongsi gelap dalam arena politik mahupun memegang jawatan penting dalam sesebuah parti politik di negara ini.

Beliau berkata, pihaknya tidak menerima apa-apa laporan mahupun maklumat untuk mengaitkan pembabitan anggota kongsi gelap dalam parti politik mahupun banduan yang telah dibebaskan.

"Anggota kongsi gelap jadi ketua bahagian parti politik tidak ada lagi. Kalau benar ada dakwaan seperti itu kita sedia menyiasat," katanya.

Minggu lepas, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengumumkan sebanyak 49 kongsi gelap dikesan menjalankan kegiatan memudaratkan ketenteraman awam seperti sindiket pengedaran dadah, memeras ugut, membunuh, menimbulkan pergaduhan antara pertubuhan kongsi gelap dan huru-hara.

Dalam Ops Cantas Khas yang bermula 17 Ogos lepas bagi membanteras kongsi gelap dan individu terbabit jenayah berat di seluruh negara, polis menangkap 4,777 orang dan merampas 136 kenderaan curi, lapan senjata api, satu bom tangan, 54 peluru dan 133 senjata berbahaya.

Operasi itu dilancarkan setelah jenayah keganasan melibatkan pembunuhan, rompakan, rogol dan pergaduhan dilaporkan meningkat termasuk pembunuhan dan cubaan bunuh golongan berprofil tinggi.

Antara kes itu termasuk pada 29 Julai lepas, Pengasas Arab Malaysian Bank, Hussain Ahmad Najadi dibunuh manakala isterinya cedera parah akibat ditembak dari jarak dekat di parkir kereta selepas keluar dari sebuah tokong Cina, Kuan Yin Temple, di Lorong Ceylon, di sini.

Dua hari sebelum itu, aktivis antijenayah yang juga Pengerusi MyWatch R. Sri Sanjeevan cedera ditembak di persimpangan jalan berdekatan Taman Awana Indah, Jempol, Negeri Sembilan.

Selain Sanjeevan, seorang lagi mangsa kes pembunuhan berprofil tinggi ialah Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri), Datuk Shaharuddin Ibrahim yang ditembak ketika dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya pada 26 April lepas.  

Bernama sebelum ini melaporkan kumpulan kongsi gelap ini bergantung kepada aktiviti pengedaran dadah selain aktiviti pinjaman wang haram ah long dan aktiviti maksiat termasuk perjudian dan pelacuran.

Dalam pada itu, penganalisis jenayah, Datuk Akhbar Satar berkata, penglibatan anggota kongsi gelap mahupun bekas banduan di dalam sesebuah parti politik di negara ini merupakan satu perkembangan yang tidak baik.

Beliau berkata, sebagai sebuah parti yang berdaftar, jawatankuasa parti itu perlu menyiasat latar belakang setiap anggota mereka sebelum mereka dibenarkan bertanding di peringkat bahagian seterusnya memegang jawatan penting di dalam parti.

"Jika dibiarkan ia akan menjadi satu ancaman, kerana anggota kongsi gelap ini akan menyalahgunakan kedudukan mereka untuk melakukan aktiviti haram," katanya. - Bernama

Pelajar buat senapang dicekup


 senapang angin


senapang angin Nashir (dua, kiri) menunjukkan senapang angin yang dirampas.

ALOR SETAR - Seorang pelajar kolej swasta bidang farmasi yang membuat senapang angin dengan merujuk internet ditahan polis bersama ayahnya di dua tempat berasingan.

Hasil pemantauan selama dua minggu dalam Ops Cantas Khas, polis berjaya menahan kedua-duanya atas maklumat dan risikan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya berkata, polis memeriksa sebuah premis tidak bernombor di Kampung Tanjung Pari, Baling kira-kira jam 3.45 petang kelmarin.

Hasil pemeriksaan itu, polis menahan seorang lelaki berusia lewat 50-an bersama lima laras senapang angin buatan sendiri tanpa permit.

"Susulan itu, kita menahan seorang lagi suspek berusia awal 20-an iaitu anaknya pada jam 11 pagi semalam kerana disyaki terbabit dalam kerja membuat senapang.

"Suspek kedua yang masih belajar di kolej swasta di Pulau Pinang dipercayai membuat senapang berpandukan rujukan dalam internet sebagai sumber utama," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini, semalam.

Nashir berkata, polis turut merampas sebuah komputer riba milik suspek kedua untuk siasatan lanjut.

"Motif pembuatan senapang itu belum dapat dikenal pasti dan polis masih menyiasat tujuan serta kegunaannya.

"Kemungkinan senjata ini dibuat untuk dijual kepada pihak lain. Polis tidak menolak kemungkinan senjata ini digunakan untuk melakukan perbuatan jenayah," katanya.

Nashir berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

2 anggota 08 ditahan di Selangor

A Thaiveegan
A Thaiveegan A Thaiveegan



KUALA LUMPUR - Polis Selangor pada Jumaat lalu menahan dua lelaki dipercayai anggota Geng 08 di Pusat Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Lebuhraya Besraya atau Lebuhraya Sungai Besi yang mereka aktif dalam pengedaran dadah dan senjata api.
   
Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk A. Thaiveegan berkata, dalam penahanan 10.30 malam itu, pihaknya juga merampas 22 butir peluru jenis 9mm  yang disyaki diperoleh dari negara jiran dan syabu seberat 30.2 gram.
   
Menurut beliau, kedua-dua suspek pada mula dipercayai merancang untuk singgah makan di R&R itu namun dikesan pihak polis.
   
"Mereka masing-masing berusia 23 dan 28 tahun dan mempunyai rekod jenayah serta positif ujian dadah.
   
"Kami juga percaya mereka aktif dalam pengedaran dadah di sekitar Serdang dan Seri Kembangan (Selangor) sejak enam bulan lalu," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Serdang dekat sini.
   
Thaiveegan berkata, siasatan dan pemeriksaan lanjut menunjukkan mereka turut memperoleh bekalan dadah dari sekitar Lembah Klang.
   
Mereka mempunyai tatu kumpulan di beberapa bahagian badan.
   
"Sekarang kita tengah berusaha untuk mengesan di mana letaknya senjata api yang digunakan dalam kegiatan mereka," katanya dan menambah mereka direman enam hari sehingga 5 Sept ini untuk bantu siasatan.
   
Kes tersebut disiasat di bawah tiga kesalahan iaitu Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 (Penalti Lebih Berat) serta Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
   
Dalam kes berlainan, Thaiveegan berkata pihak polis berjaya melumpuhkan kegiatan pecah kedai telefon dan kedai runcit di sekitar Salak Tinggi dan Serdang dengan tertangkapnya empat individu di Serdang Perdana, Seri Kembangan  Ahad lalu.
   
Beliau berkata, mereka ditangkap beserta barangan rampasan bernilai RM65,000 yang antaranya berupa 120 telefon bimbit pelbagai jenama dan dua komputer riba.
   
Sebelum menangkap tiga daripada mereka, katanya polis terlebih dahulu menahan seorang individu di tepi kedai di Serdang Perdana kira-kira 6.30 pagi sebelum suspek membawa polis ke sebuah rumah yang menjadi tempat persembunyian tiga rakannya itu.
   
"Pemeriksaan lanjut mendapati mereka yang berumur antara 25 hingga 34 tahun itu positif dadah dan kini ditahan sehingga 5 Sept untuk siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," tambahnya. - Bernama

Cedera bergelut dengan 5 penyamun

Cedera bergelut dengan 5 penyamun
Cedera bergelut dengan 5 penyamun

ROMPIN - Seorang pemilik rumah cedera ditetak akibat bergelut dengan lima penyamun yang bersenjatakan parang di Felda Keratong, Muadzam Shah di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Supt Johari Yahaya berkata dalam kejadian jam 3 pagi itu mangsa yang berumur 27 tahun, bersama ibunya, 57, dan adik perempuannya, 23, sedang nyenyak tidur sebelum dikejutkan lima lelaki yang dipercayai warga Indonesia.

"Mangsa yang panik melihat suspek di dalam rumahnya bertindak melawan dan bergelut dengan suspek. Mangsa juga mendakwa sempat memukul salah seorang suspek dengan besi pasu bunga sebelum ditetak di tangan kanan, jari kiri, belakang badan dan bahagian tepi pinggangnya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata selepas pergelutan itu suspek bertindak menggeledah rumah mangsa dan mengambil barangan berharga sebelum melarikan diri.

Ibu dan adik mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan sementara mangsa dibawa ke Hospital Muadzam Shah untuk menerima rawatan lanjut.

Sementara itu Johari berkata dua lelaki yang berumur sekitar 30-an cedera akibat dipukul dengan kayu selepas bergelut dengan empat lelaki di rumah mereka di Felda Chanis Keratong di sini kira-kira 3.30 pagi tadi.

Katanya dalam kejadian itu mangsa sedang tidur sebelum terkejut dengan kehadiran empat lelaki bersenjatakan kayu di dalam rumah mereka.

"Suspek melarikan barang kemas, lima buah telefon bimbit dan wang tunai RM1,300," katanya.

Kedua-dua mangsa terbabit turut dirawat di Hospital Muadzam Shah.

Beliau berkata polis sedang memburu penyamun terbabit dan siasatan dilakukan bagi memastikan sama ada kedua-dua kejadian didalangi kumpulan yang sama. - Bernama

4 lelaki kurung wanita dalam hotel dicekup



KUALA LUMPUR - Empat lelaki yang terbabit mengurung seorang wanita di sebuah hotel di Brickfields, di sini, antara 262 orang yang ditahan dalam Ops Cantas Khas Polis Kuala Lumpur sejak 17 Ogos lepas.
 
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata tangkapan itu dibuat setelah mangsa, 19, yang dikurung di bilik hotel berkenaan selama beberapa hari dapat meloloskan diri dan membuat laporan polis minggu lepas.
 
"Daripada laporan itu, polis menahan empat lelaki terbabit dan didapati tiga daripada mereka adalah anggota kumpulan kongsi gelap," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Jabatan Pengurusan Kuala Lumpur.
 
Datuk Dr Chai Khin Chung, yang bertukar ke negeri asalnya di Sarawak sebagai Ketua Jabatan Pengurusan Polis Sarawak, menyerahkan tugasnya kepada Datuk Aidi Ismail, yang sebelum ini merupakan Timbalan Pengarah Logistik II Bukit Aman.
 
Mohmad berkata 262 orang yang ditahan atas pelbagai kesalahan jenayah, ditangkap di sekitar Brickfields, Cheras, Sentul dan Dang Wangi serta kesemua mereka berumur antara 20 hingga 30 tahun.
 
Mohmad berkata daripada jumlah itu, 14 orang adalah ketua dan anggota kumpulan kongsi gelap 08, 36 dan 77, iaitu antara 49 pertubuhan diharamkan kerajaan pada 29 Ogos lalu mengikut Akta Pertubuhan 1966.
 
Daripada 262 itu juga, 163 orang masih ditahan, 47 individu dibawa ke mahkamah, 25 orang dibebaskan dengan jaminan polis dan 27 dibebaskan tanpa syarat kerana tiada kesalahan.
 

Daripada tangkapan itu, polis turut merampas sembilan bilah parang, tiga bilah pisau, sebilah sabit, dua batang besi panjang, sembilan jam tangan, tiga topi keledar, lima kamera, dua buku bank, dua plat nombor kenderaan dan dua pasport.
 
Beliau berkata pihaknya turut mendapati satu daripada pasport Malaysia yang dipercayai dipalsukan apabila menggunakan gambar lelaki berbangsa India tetapi namanya adalah berbangsa Cina yang dikenali sebagai Yap Kian Lee.
 
Dalam Ops Cantas Khas yang bermula tiga minggu lalu di seluruh negara, PDRM menangkap 4,777 orang dan merampas 136 kenderaan curi, lapan senjata api, sebutir bom tangan, 54 peluru dan 133 senjata berbahaya. - Bernama

3 rumah di Kuala Nerang rosak dipukul ribut


KUALA NERANG - Tiga buah rumah di Kampung Pong Selatan, Naka dekat sini rosak teruk apabila bumbung rumah mereka diterbangkan angin kencang, petang semalam.

Kejadian kira-kira 6.30 petang itu mengakibatkan kerugian hampir RM10,000 dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Mangsa Mohd Zere Ayob, 41, berkata ketika kejadian dia keluar untuk mengambil anaknya yang mengikuti kelas Al-Quran tidak jauh dari rumahnya dan apabila sampai di rumah dia mendapati bumbung rumahnya diterbangkan angin kira-kira 10 meter ke belakang rumah.

"Saya lihat bumbung rumah di bahagian ruang tamu dan bilik belakang sudah diterbangkan ribut. Isteri dan anak sulung, Nurul Najihah, 16, sempat menyelamatkan diri dengan berlindung di rumah jiran.

Saya bersyukur anak perempuan dan isteri saya terselamat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Isteri Mohd Zere, Zarashita Wahab, 35, berkata dia amat takut melihat angin kencang datang secara tiba-tiba dan dengan sekelip mata menerbangkan bumbung rumahnya itu.

Dia berkata ini merupakan kali pertama perkara itu berlaku sejak mereka tinggal di situ 15 tahun lalu.

Sementara itu tinjauan di dua rumah lain hanya mengalami kerosakan kecil membabitkan bahagian bumbung sahaja dan tidak menjejaskan peralatan dalam rumah. - Bernama

Dua beradik didakwa perdagang 31 wanita Indonesia



KUALA LUMPUR - Dua beradik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan memperdagangkan 31 wanita warga Indonesia untuk diekspolitasi melakukan kerja secara paksa sebagai pembantu rumah, empat tahun lepas.

Sim Whye Hong, 32, dan kakaknya Sim Yee Sie, 34, masing-masing pemilik dan penyelia sebuah syarikat agensi pekerja asing, didakwa secara bersama-sama memperdagangkan kesemua wanita berumur antara 21 dan 59 tahun itu bagi maksud
eksploitasi kerja paksa.  

Mereka didakwa melakukan 31 pertuduhan itu di lima lokasi berbeza di sini termasuk 15 di sebuah pusat kecantikan di Kuchai Entrepreneurs Park off Jalan Kuchai Lama, Brickfields, antara Ogos 2009 hingga 19 Ogos lepas.

Tujuh pertuduhan didakwa dilakukan di satu alamat di Jalan 4/36, Bukit Sri Bintang, Kepong manakala tujuh lagi di sebuah spa di Desa Aman Puri, Kepong.

Sementara itu, dua lagi pertuduhan didakwa dilakukan masing-masing di Pejabat Kedutaan Besar Republik Indonesia, Jalan Tun Razak, dan di Taman Seri Gombak.

Kesemua pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suzanne Tiyon Bimen memohon mahkamah mengenakan jaminan yang tinggi berserta syarat tambahan terhadap kedua-dua tertuduh.

Peguam Goh Kim Lian, yang mewakili kedua-dua tertuduh, memohon anak guamnya dibenarkan diikat jamin kerana Whye Hong menanggung ibu yang tua serta seorang anak lelaki berusia 16 tahun manakala Yee Sie, seorang ibu tunggal, menanggung anak lelaki berusia 13 tahun.

Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM310,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan memerintahkan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah turut memerintahkan mereka melapor diri di balai polis berhampiran pada minggu pertama setiap bulan dan menetapkan 2 Okt untuk sebutan. - Bernama

Lari: 'Taliban' berjaya diberkas semula




SEREMBAN -  Polis menangkap semula seorang tahanan yang dikenali sebagai 'Taliban' malam tadi selepas dia meloloskan diri daripada kawalan polis di Plaza Tol Setul, Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas) dekat sini, Ahad lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan ACP, Hamdan Majid berkata, lelaki berumur 39 itu ditahan di sebuah vila di Semenyih, Selangor kira-kira pukul 8.40 malam.

"Semasa serbuan dibuat dia cuba melarikan diri tapi anggota polis berjaya menewaskannya. Kita turut menjumpai heroin daripada badannya serta di premis tersebut," katanya.

Beliau berkata, polis turut merampas sebuah kereta Proton Satria merah yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.

"Kita akan rujuk kes ini kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapat arahan lanjut," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Sementara itu suspek ditahan reman selama empat hari mulai hari ini. - Bernama

Polis temui pistol, 11 peluru dan pelbagai dadah



KUALA LUMPUR - Polis menemui sepucuk pistol Browning bersama 11 butir peluru dan pelbagai jenis dadah milik seorang lelaki dalam serbuan di sebuah apartmen di Jalan Tandok di sini awal pagi tadi.

Menurut jurucakap polis, semasa serbuan pukul 3.30 pagi itu, lelaki berkenaan berada di rumah dan cuba menyerang polis dengan menggunakan pedang samurai.

Bagaimanapun usahanya itu gagal dan dia dapat ditahan.     "Pemeriksaan lanjut di bilik utama rumah itu kemudiannya menjumpai pelbagai jenis dadah di dalam sebuah beg silang yang disorok di bawah katil.

"Ia terdiri daripada 15 peket dan 22 tiub heroin, enam peket ganja, 134 biji eramin 5, 27 peket syabu dan 1.5 liter ubat batuk," katanya ketika dihubungi.

Jurucakap itu berkata, polis turut menemui satu topeng muka di kereta suspek.

"Suspek lelaki Melayu berusia 23 tahun itu mempunyai beberapa rekod jenayah lampau dan pernah dibuang daerah dari tahun 2009 hingga 2011 ke Sik, Kedah," jelasnya.

Suspek kini ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kes disahkan Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Muhammad Azlee Abdullah. - Bernama

4 rumah kedai, gerai makan musnah


KOTA TINGGI - Empat buah rumah kedai dan sebuah gerai makan musnah dalam kebakaran di Jalan Teluk Ramunia-Sungai Rengit dekat Pengerang awal pagi tadi.

Kedai yang musnah dalam kejadian 3 pagi itu ialah kedai perabot, kedai runcit, kedai menjual motosikal, sebuah restoran serta sebuah gerai makan yang terletak bersebelahan deretan kedai tersebut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar, Mohd Fadli Ismail berkata turut terbakar ialah sebuah Proton Iswara.

Para penghuni premis berkenaan sempat menyelamatkan diri, katanya dan menambah punca kebakaran sedang disiasat.

Mohd Fadli berkata hampir 70 peratus daripada premis-premis tersebut dijilat api ketika pasukan penyelamat tiba di lokasi kejadian selepas menerima panggilan kira-kira 3.30 pagi. - Bernama

Terbakar kerana letupan kereta Bentley?


Kereta mewah jenama Bently yang hangus dalam kebakaran rumah milik pengusaha produk kecantikan di Taman Meru, Ipoh, kelmarin. - utusan/Zulkarnain Mohd. Saidin
IPOH 4 Ogos - Seorang pekerja syarikat produk kecantikan Vida Beauty yang terselamat dengan nekad terjun dari balkoni mendakwa melihat api marak di pekarangan luar sebelum rumah itu terbakar sehingga meragut tiga nyawa di Meru Hill, Bandar Meru Raya di sini malam tadi.
Khairul Anuar Abu Bakar, 32, pereka dan jurugambar syarikat tersebut turut mendakwa, ada mendengar bunyi satu letupan yang dipercayai dari sebuah kereta mewah jenis Bentley yang diletakkan di pekarangan rumah ketika turun untuk memeriksa.
Beliau bagaimanapun naik semula ke tingkat atas untuk memaklumkan kepada seorang lagi pekerja syarikat itu, Mohd. Nor Syamil Zaidi dan dua anak Datuk Dr. Hasmiza Othman (atau lebih dikenali sebagai Dr. Vida) iaitu Eddie Zuhdi Mohd. Amin, 11, dan adiknya, Edrie Zikri, 10.
"Namun, apabila saya naik, tiba-tiba sahaja suis utama meletup dan 'black out' manakala api marak. Dalam keadaan gelap, saya memimpin tangan mereka (Eddie Zuhdi dan Edrie Zikri) diikuti Mohd. Nor Syamil turun, namun asap terlalu tebal, maka kami terpaksa naik semula," katanya di sini hari ini.
Khairul Anuar memberitahu, dalam keadaan panik, beliau mengambil keputusan untuk terjun melalui balkoni di belakang rumah, namun, Mohd. Nor Syamil yang berada di belakangnya, tiba-tiba berundur ke belakang lalu berlari masuk ke dalam tandas diikuti Eddie Zuhdi dan Edrie Zikri.
"Mereka (anak-anak Dr. Vida) meronta-ronta untuk dilepaskan daripada pegangan tangan saya. Saya tiada pilihan lain selain melompat daripada balkoni, namun begitu, saya bernasib baik kerana terjatuh di atas sebuah kanopi di belakang rumah.
"Seorang lagi pekerja iaitu Ropie Ismail, 31, juga berjaya menyelamatkan diri dengan terjun di belakang rumah, namun, dia patah kaki akibat terjatuh di atas tanah," katanya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam tadi, tiga termasuk dua anak kepada pengasas produk kecantikan Vida Beauty meninggal dunia dalam kebakaran di rumah pekerja syarikat berkenaan di sini yang turut memusnahkan sebuah kereta mewah jenis Bentley, sebuah Perodua Kancil dan beberapa buah motosikal.
Dr. Vida yang sudah berpisah dengan suaminya mempunyai empat orang anak iaitu Eddie Zuhdi, Edrie Zikri, Edlin Zamilin, 8, dan Eric Zaquan, 6. Ketika kejadian beliau berada di Pulau Pinang dan bergegas ke Ipoh sebaik sahaja mendapat tahu berita itu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong ketika dihubungi berkata, hasil siasatan awal mendapati punca kebakaran kemungkinan disebabkan oleh berlakunya litar pintas.
Beliau bagaimanapun berkata, pihak bomba masih menjalankan siasatan lanjut dan polis mengklasifikasi kes itu sebagai mati mengejut.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130805/je_03/Terbakar-kerana-letupan-kereta-Bentley#ixzz2eAW5QR8s
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Dadah: 2 beradik Geng 04 diberkas

Datuk Acryl Sani Abdullah SaniDatuk Acryl Sani Abdullah Sani

IPOH - Dua beradik yang dipercayai terlibat dalam kumpulan kongsi gelap dan pengedaran dadah sekitar Taiping diberkas di sebuah rumah di Asam Kumbang di sini Isnin lepas.
Ketua Polis Perak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, kedua-duanya yang berusia 19 dan 22 tahun ditahan sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik pada pukul 1.50 petang.
"Suspek yang berusia 19 tahun ditahan ketika menaiki kereta di hadapan rumah penginapan mereka dan polis menjumpai bahan yang dipercayai dadah di dalam beg yang disandangnya," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini hari ini.

Beliau berkata penahanan suspek disusuli tangkapan abangnya di dalam rumah itu.
"Hasil semakan juga mendapati kedua-dua suspek merupakan anggota biasa Geng 04 yang mempunyai kaitan dengan aktiviti kongsi gelap khususnya dalam pengedaran dadah di sekitar Taiping," katanya.
Polis menemui 110 paket heroin seberat 2.4 kilogram, dua paket syabu seberat 380 gram dan 10 biji pil eramin 5 seberat 25 gram yang bernilai RM150,000 daripada mereka, katanya.
Acryl Sani berkata polis turut merampas sebuah Proton Gen 2, sebuah motosikal Yamaha, sebuah komputer riba, wang tunai berjumlah RM2,405 dan seutas rantai leher bernilai RM1,300 dengan nilai keseluruhannya RM27,205.
Beliau berkata hasil ujian air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah dan seorang daripada mereka mempunyai rekod kesalahan lampau.
Kedua-duanya kini ditahan reman sehingga Ahad ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan. - Bernama

Banduan guna helah buang air kecil sebelum lesap

Panner Selvam
Panner Selvam


IPOH - Hanya menggunakan tipu helah ingin membuang air kecil, seorang banduan berjaya melarikan diri daripada tahanan polis dalam kejadian yang berlaku di Hentian Rehat dan Rawat Gunung Semanggol, Lebuhraya Utara-Selatan (arah Selatan) petang semalam.
Dalam kejadian jam 4 petang itu, banduan terbabit, Panner Selvam a/l Heng Jeng Kee, 42, nekad menolak anggota polis yang mengiringinya sejurus selepas keluar daripada tandas sebelum bertindak melarikan diri menaiki motosikal jenis Yamaha berwarna merah bersama seorang lelaki.
Ketua Polis Perak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, banduan tersebut dalam perjalanan untuk dituduh di Mahkamah Majistret Sungai Siput atas kesalahan menipu dalam urusan jual beli kenderaan terpakai.

Menurutnya, banduan terbabit yang dibawa daripada Penjara Alor Setar itu memberitahu anggota polis yang mengiringinya untuk berhenti kerana tidak tahan untuk membuang air kecil.

"Kenderaan polis yang membawa anggota pengiring serta banduan terbabit berhenti di kawasan rehat tersebut yang terletak bersebelahan dengan sebuah restoran makanan segera terkemuka.

"Sewaktu banduan tersebut dibawa ke tandas, tangannya bergari di belakang, bagaimanapun, kedudukan gari diubah ke hadapan supaya memudahkannya untuk bergerak di tandas.

"Bagaimanapun, selepas keluar daripada tandas, banduan tersebut terus menolak anggota yang mengiringinya lalu melarikan diri bersama seorang lelaki dipercayai rakannya yang sudah menunggu dengan motosikal berhampiran tandas berkenaan.

"Mereka berdua telah melarikan diri menghala ke persimpangan Bukit Merah melawan arus pergerakan trafik," katanya pada sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, hari ini.

Wanita ditangkap bersama bekas suami

Wanita ditangkap bersama bekas suamiPasangan ini telah berpisah sejak Januari lalu, tetapi ditangkap penguat kuasa Jaij kerana masih tinggal sebumbung.

BATU PAHAT – Memang pelik dan mengejutkan. Seorang wanita baru berkahwin sanggup memilih ‘bekas’ suaminya dan bukan suami yang baru dinikahi untuk melayari ‘malam pertama’.

Bekas suami wanita berusia 55 tahun itu mengaku, mereka berpisah sejak Januari lalu, tetapi masih bermalam di rumah sama, malah perbuatan mereka mendapat restu suami baru bekas isteri.

Sinar Harian difahamkan, wanita itu melangsungkan pernikahan dengan suami barunya pagi kelmarin, sebelum memilih untuk pulang ke rumah bekas suaminya dan bermalam di situ pada hari sama.

Bagaimanapun, perkara terbabit terbongkar apabila Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) daerah Batu Pahat menjalankan serbuan di rumah lelaki itu di Sungai Suloh di sini, jam 3 pagi.

Timbalan Penguatkuasa Jaij Batu Pahat, Saiful Ariffin Mohd Sopah berkata, pihaknya melakukan serbuan selepas menerima maklumat awam dan membuat risikan beberapa minggu sebelum itu.

Menurutnya, wanita terbabit telah bercerai dengan suami lamanya sejak Januari lalu dan mereka tidak mempunyai anak hasil perkahwinan itu, tetapi masih berhubung.

“Pada pagi hari berkenaan, wanita terbabit mendakwa telah bernikah dengan lelaki lain dan ketika serbuan dilakukan, wanita itu berada dalam keadaan berkurung di rumah milik bekas suaminya itu.

“Wanita terbabit mendakwa hanya datang pada malam itu kerana ingin mengemas barangnya untuk dibawa pulang,” katanya.

Saiful berkata, alasan itu tidak dapat diterima kerana aduan dan risikan telah lama dijalankan sebelum serbuan.

Katanya, sebarang alasan diberikan wanita itu, dia tetap melakukan kesalahan kerana berkurung berdua-duaan di dalam sebuah rumah.

“Dia sepatutnya sedar kesalahan dilakukan, lebih menghairankan suami baru dinikahi seolah-olah merestui perbuatan terbabit yang sememangnya menyalahi hukum agama

“Kedua-duanya ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk proses dokumentasi sebelum dituntut waris masing-masing.

“Mereka akan dihadapkan ke mahkamah selepas siasatan berhubung kesalahan dilakukan selesai,” katanya

Pengusaha restoran parah ditembak di dada

tembakPihak polis meneliti lokasi kejadian di Kawasan Perniagaan Taman Merak.

NIBONG TEBAL - Seorang lelaki cedera parah akibat ditembak di bahagian dada ketika sedang memberhentikan keretanya di Kawasan Perniagaan Taman Merak hari ini.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira 3.15 petang itu, mangsa yang merupakan pengusaha restoran itu terkena satu das tembakan yang dilepaskan seorang lelaki bermotosikal.
Difahamkan, mangsa yang berusia 40-an itu memberhentikan keretanya untuk ke restoran berhampiran dan bertemu rakannya sebelum didatangi dua lelaki yang menaiki motosikal jenis Honda.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, salah seorang suspek dipercayai melepaskan empat das tembakan ke arah cermin depan dan sisi kereta mangsa.
"Salah satu das tembakan mengenai dada mangsa dan suspek kemudiannya melarikan diri sehingga ke Jalan Perusahaan Bukit Minyak.
"Walau bagaimanapun, motosikal terbabit mengalami kerosakan dan ditinggalkan kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian.
"Kedua-dua suspek meninggalkan motosikal mereka di tepi jalan sebelum dipercayai diambil oleh rakan mereka dengan menaiki sebuah kereta," katanya.
 Beliau berkata, polis turut menemui sarung pistol, dua topi keledar dan baju yang ditinggalkan suspek di kawasan itu.
 "Mangsa dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan kini dilaporkan stabil.
 "Siasatan awal mendapati motosikal dan kereta yang dinaiki suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu.
 "Tidak mustahil kes ini mempunyai kaitan dengan kejadian tembakan rambang yang mencederakan enam pelanggan di kedai kopi milik mangsa di Taman Kasawari, Simpang Ampat pada 23 Ogos lalu," katanya.
 Mazlan memaklumkan, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan pihak polis turut akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di lokasi kejadian.

Polis Kedah: Jangan terpedaya Macau Scam



ALOR SETAR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kedah meminta orang ramai supaya tidak terpedaya dengan sindiket penipuan kad kredit melalui talian bebas tol yang dikenali sebagai Macau Scam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kedah, Deputi Superintendan Wong Ing Fong berkata, modus operandi Macau Scam ini bermula apabila mangsa menerima panggilan daripada seseorang yang mendakwa sebagai pegawai bank yang menyatakan kad kredit mangsa telah digunakan untuk sesuatu jenis transaksi.

"Mangsa akan menerima panggilan daripada nombor talian bebas 1-300-8088 yang memperkenalkan dirinya sebagai seorang pegawai bank daripada sesebuah bank.

Selepas itu, mangsa akan diberitahu bahawa kad kreditnya telah digunakan untuk membeli sesuatu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini hari ini.

Beliau berkata, sekiranya mangsa menafikan penggunaan kad kredit itu, mangsa akan menerima satu lagi panggilan dari nombor 03-27885038 yang kononnya dari Bank Negara Malaysia.

"Mangsa akan menerima panggilan yang menyatakan bahawa butiran mangsa telah disalah guna dan meminta mangsa ke mesin ATM bagi menukar nombor pengenalan peribadi (PIN).

"Mangsa dikehendaki mengikut arahan yang disediakan dengan memindahkan duit ke akaun baharu yang telah disediakan bagi mengelakkan daripada disenarai hitam," katanya.

Wong berkata sebelum ini Macau Scam hanya memfokuskan kaum Cina tetapi sejak kebelakangan ini, kaum Melayu dan India turut ditipu.

"Sebelum ini hanya kaum Cina yang ditipu tetapi Macau Scam ini telah mengembangkan operasi mereka dengan melibatkan kaum-kaum lain. Sepanjang Januari hingga Ogos 2013, Kedah telah mencatatkan sebanyak 14 kes yang melibatkan RM200,000 telah dilaporkan kepada pihak PDRM," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang pertukaran nombor PIN atau memindahkan wang melalui mesin juruwang automatik (ATM) sekiranya menerima sebarang panggilan yang mencurigakan.

"Orang ramai dinasihatkan untuk pergi ke bank terdekat untuk membuat pertanyaan sekiranya menerima panggilan yang menyatakan bahawa kad kredit telah disalah guna dan diminta untuk membuat laporan polis," katanya.

Suspek yang terbabit dalam Macau Scam ini boleh dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan. - Bernama

Demi maruah adik, ibu

Foto
MOHD Arsyad ditenangkan Zaharah.
Rompin: Demi mempertahankan nyawa dan maruah ibu serta adik perempuannya, seorang lelaki nekad bertempur dengan dua daripada lima penyamun yang memasuki rumah mereka di FELDA Keratong 5, Muadzam Shah, di sini, hingga cedera parah terkena 11 tetakan di tangan hingga menampakkan tulang, kaki dan perut, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, Mohd Arsyad Othman, 26, parah terkena 11 tetakan ketika melawan dengan penyamun bertopeng dipercayai warga asing bersenjatakan dua parang dan tiga kayu.
Difahamkan, ketika Arsyad bertarung dengan dua lelaki terbabit, tiga lagi penyamun mengepung ibu dan adiknya sambil mengawal keadaan.

Melihatkan Mohd Arsyad ditetak berkali-kali, ibunya, Zaharah Bakar, 57, melaungkan ‘Allahuakbar’ kerana tidak mampu berbuat apa-apa apabila dikepung tiga penjenayah bersama anaknya, Nor Adibah, 23.


Menceritakan detik cemas itu, Mohd Arsyad berkata, dengan kudrat yang ada dia cuba melawan penyamun terbabit kerana bimbang akan mengapa-apakan ibu dan adik perempuannya.

“Saya yang ketika itu tidur di ruang tamu tersedar apabila mereka memukul belakang saya dengan kayu.

“Selepas itu, saya lihat lima penyamun berada dalam rumah dengan tiga daripada mereka sudah mengepung ibu dan adik,” katanya yang kini stabil selepas mendapatkan rawatan di Hospital Muadzam Shah (HMS) di sini.

Mohd Arsyad berkata, seorang penyamun terbabit cuba menetaknya di kepala, namun dia sempat menahan dengan tangan sebelum mencapai sebatang besi dan terus berlawan.

“Tanpa mempedulikan kesakitan, saya melawan walaupun penyamun itu melibas parang berulang kali sehingga mengenai beberapa bahagian badan,” katanya yang bekerja kampung.

“Ketika itu saya hanya terfikir keselamatan ibu dan adik perempuan walaupun nyawa saya jadi taruhan,” katanya yang bekerja kampung.

Anak keenam daripada tujuh beradik itu berkata, melihatkan tindakan agresifnya, penyamun terbabit melarikan diri dan hanya sempat mengambil dompetnya mengandungi wang tunai RM400 dan satu komputer riba.

“Selepas itu baru saya sedar tangan kanan terkena tetakan sehingga nampak tulang dan seluruh badan terasa sakit,” katanya.

Mohd Arsyad berkata, anggota polis yang tiba selepas membuat laporan di Balai Polis Muadzam Shah jam 5 pagi, menemui dompetnya dicampak kira-kira 500 meter dari tempat kejadian.

“Namun, wang tunai di dalam dompet itu diambil penyamun, tetapi saya bersyukur kerana semuanya selamat,” katanya.

Menurutnya, ia adalah kejadian kedua selepas kali pertama rumahnya dimasuki penyamun lapan tahun lalu menyebabkan kerugian dianggarkan RM2,000.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin Deputi Superintendan Johari Jahaya, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan pihaknya sudah mengenal pasti penjenayah dipercayai warga asing terbabit.

Azab sumpah bukti suci

Foto
MANGSA menunjukkan kecederaan dialami di tangan kanannya.
Sibu: Tidak tahan dengan tuduhan ibu mentua mengatakan dia curang terhadap suami, seorang wanita hamil tiga bulan nekad mencelup tangannya ke dalam air mendidih sebagaimana dicabar mentuanya itu bagi membuktikan dia tidak bersalah.
Akibatnya, wanita berusia 21 tahun itu melecur teruk di tangan kanan sehingga terpaksa menerima rawatan di hospital. Kejadian berlaku di rumahnya di Lanang, di sini, jam 7 malam Jumaat lalu. 
Wanita itu yang enggan namanya didedahkan berkata, dia bertindak sedemikian kerana terlalu kecewa dan geram dengan tuduhan ibu mentuanya biarpun dia sudah berulang kali menafikan tuduhan itu.

“Saya terpaksa melakukannya bagi mengelak ibu mentua menganggap saya menduakan suami. Saya dituduh menjalin hubungan sulit dan dia langsung tidak mempercayai saya.


“Sebaliknya, ibu mentua menyuruh saya mencelupkan tangan dalam air mendidih untuk membuktikan saya tidak bersalah,” katanya sambil mendakwa ibunya menuduh dia curang selepas terpengaruh fitnah disebarkan pihak lain.

Mangsa cabul balas dendam

Mangsa cabul  balas dendamSanak saudara 12 orang diculik menyuarakan pandangan mereka ketika satu sesi berdoa di sebuah gereja di daerah Tepito, Mexico City ketika kejadian jenayah berleluasa di negara itu.Ciudad Juarez: Pihak berkuasa menyiasat dakwaan bahawa seorang wanita membunuh dua pemandu bas minggu lalu di sini kerana membalas dendam perbuatan mereka mencabul penumpang.

Dakwaan itu dibuat dalam satu emel daripada 'pemburu pemandu bas' yang mendapat perhatian ramai di sini kerana ramai wanita menjadi mangsa keganasan seks dalam bas.
Penyerang memakai rambut palsu berwarna perang atau mengecat rambutnya menaiki sebuah bas seakan bas sekolah yang menjadi pengangkutan biasa di Ciudad Juarez yang terletak tidak jauh dari El Paso, Texas, pagi Rabu lalu.


Dia mendekati pemandu sebelum mengacu pistol, menembak kepala mangsa dan keluar dari bas.

Pemburu pemandu bas

Pada keesokannya, orang yang sama dipercayai bertindak sekali lagi ke atas seorang lagi pemandu bas di laluan sama.

Minggu lalu, media mula menerima beberapa emel memperkenal penghantar sebagai 'Diana pemburu pemandu bas.’
“Saya sendiri dan wanita lain menjadi mangsa tanpa dapat berbuat apa-apa tetapi kami tidak akan berdiam diri lagi.

“Kami adalah mangsa keganasan seks oleh pemandu ketika balik dari tempat kerja di waktu malam. Saya membalas dendam untuk mangsa,” kata emel berkenaan.

Akhbar Diario de Juarez melaporkan, seorang saksi memetik penyerang sebagai memberitahu mangsa kedua sebelum menembaknya: “Kamu fikir kami tunjuk kegagahan kamu, begitu”

Lakaran suspek

Pihak berkuasa belum mengesahkan ketulenan emel itu atau satu laman web Facebook menggunakan nama sama sejak 31 Ogos lalu.

Pihak berkuasa mengumumkan akan menempatkan polis preman di beberapa bas dan melakukan pemeriksaan senjata bagi menyekat pembunuhan berulang.

“Kami ada lakaran suspek dan sedang mencarinya,” kata jurucakap polis, Adrian Sanchez.

Ramai di kalangan 100 wanita yang dibunuh di sini pada 1990-an dan awal 2000 hilang selepas menaiki bas.

Mayat mereka ditemui beberapa minggu atau bulan kemudian dan disahkan dirogol, dicekik dan dicampak ke kawasan padang pasir atau tempat letak kereta. - AP

4 polis antara 9 ditahan

4 polis antara 9 ditahanHamdan (kiri) bersama pegawainya menunjukkan muka suspek yang dipercayai terbabit dalam pengedaran dadah pada sidang media di IPK Seremban, semalam. Seremban: Empat anggota polis adalah antara sembilan orang yang ditahan, kelmarin, bagi membantu siasatan polis berhubung kejadian seorang suspek pengedar dadah dikenali sebagai Taliban, melarikan diri dari tahanan polis, Ahad lalu.

Semua anggota polis terbabit, termasuk dua orang yang mengiringi suspek, bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai di Mantin dekat sini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Hamdan Majid, berkata mereka yang berumur antara 24 hingga 50 tahun ditahan mengikut Seksyen 223 Kanun Keseksaan, iaitu cuai membiarkan tahanan melarikan diri.


Elak rosak keterangan

“Jika tindakan tidak diambil, kita khuatir ada elemen yang boleh merosakkan keterangan berkaitan kes ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7.50 pagi itu, Kishminderjit Singh Bahadar Singh, 39, dalam perjalanan dihantar dari IPD Nilai ke Penjara Simpang Renggam, selepas polis memperoleh perintah menahannya mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas).

Bagi memenuhi permintaan Kishminderjit yang mahu ke tandas, van polis yang membawanya berhenti di Plaza Tol Setul, Lebuh Raya Kajang-Seremban (LEKAS) di sini, tetapi sebuah PROTON Satria merah tiba-tiba melanggar van itu.
Suspek merempuh seorang anggota polis yang mengawalnya dalam van dan melarikan diri dengan menaiki kereta terbabit.

Wujud keraguan

Mengulas lanjut, Hamdan berkata, wujud keraguan dalam keterangan anggota polis terbabit berhubung cara suspek melarikan diri.

Katanya, keterangan suspek melarikan diri dalam keadaan tangan bergari di belakang meragukan berdasarkan fakta kes itu secara holistik.

Beliau berkata, Kishminderjit mempunyai lapan kesalahan lampau dan empat kes dikehendaki polis.

Perbicaraan kes dadah Apek, pekerja ditangguh


Kuala Lumpur: Perbicaraan kes dadah membabitkan pelakon dan pelawak, Saiful Apek dan tiga pekerjanya, ditangguhkan bagi membolehkan pihak pendakwaan meneliti Sistem Rakaman dan Transkripsi Mahkamah (CRT).

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Ishrakh Saad, memberitahu mahkamah, pihaknya perlu meneliti rakaman itu berikutan timbul kekeliruan sama ada saksi pendakwaan keenam, Pegawai Sains, Rozita Abdullah, adalah pegawai perubatan yang boleh menjalankan pemeriksaan air kencing.
Ahmad Ishrakh berkata, Seksyen 31A Akta Dadah Berbahaya 1952, memperuntukkan hanya pegawai perubatan, ahli kimia atau mana-mana pihak yang bertindak di bawah kawalan dan pemantauan pegawai perubatan, boleh menjalankan pemeriksaan air kencing.

Status pegawai perubatan

“Saksi pendakwaan ada memaklumkan beliau bekerja di bawah kawalan seorang doktor, iaitu Ketua Jabatan Patologi Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, namun tidak menyatakan sama ada doktor berkenaan adalah pegawai perubatan,” katanya.

Mahkamah membenarkan permohonan itu selepas dipersetujui peguam bela, Zambri Idrus dan menetapkan dua hari bermula 11 September ini untuk sambung bicara.

Ahmad Ishrakh turut memaklumkan mahkamah, pihaknya akan memeriksa keputusan kes di Mahkamah Rayuan berkaitan pegawai sains kerana ia mempunyai kesan terhadap perbicaraan itu.
Saiful Apek atau nama sebenarnya, Mohamad Saifulazam Mohamed Yusof, 44, dan tiga lagi tertuduh didakwa memasukkan kanabis ke dalam badan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, 12 Jun 2010.

Mereka menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM5,000, jika sabit kesalahan.

Pada 25 Jun tahun lalu, Mahkamah Majistret membebaskan semua tertuduh selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Bagaimanapun pada 22 Mei lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan rayuan pendakwaan dan memerintahkan mereka membela diri.

Terima rasuah RM3,000

Terima rasuah RM3,000 Mohd Khairul Nizam (tengah) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Shah Alam, semalam. Shah Alam: Seorang pembantu syariah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas dituduh menerima rasuah untuk melupuskan fail siasatan kes khalwat seorang wanita warga Indonesia.

Mohd Khairul Nizam Mohd Asari, 27, didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 kerana menerima suapan bernilai RM3,000 daripada Putu Suciani yang juga pemegang status penduduk tetap, sebagai dorongan melupuskan fail siasatan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) supaya tidak didakwa mengikut Seksyen 29(1) a dan b Enakmen Jenayah Syariah kerana berkhalwat.
Tertuduh yang ketika itu bertugas di JAIS, didakwa melakukan kesalahan itu jam 6.10 petang pada 11 Julai lalu di Pavilion Cafe, Hotel Concorde, dekat sini.


Jika didapati bersalah, dia boleh dihukum penjara 20 tahun atau didenda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Hakim M Bakri Abdul Majid membenarkan permohonan Pegawai Pendakwa, Mahamad Sukri Abu Seman, menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Sebut semula kes 3 Oktober

Kes akan disebut semula pada 3 Oktober depan.
Pada 25 Ogos lalu, akhbar ini melaporkan tiga penguat kuasa syariah dipercayai mengaut puluhan ribu ringgit sebulan hasil suapan pasangan yang melakukan kesalahan khalwat.

Parah kena tetak 11 kali

Parah kena tetak 11 kaliMohd Arsyad cedera parah ditetak lima penyamun di FELDA Keratong 5, Muadzam Shah, Rompin.

  Pemuda sabung nyawa lawan lima penyamun

Kuantan: Demi melindungi keluarganya, seorang pemuda nekad melawan lima penyamun yang memecah masuk rumahnya sehingga parah dengan beberapa anggota badannya ditetak dengan parang di FELDA Keratong 5, dekat Muadzam Shah, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, Mohd Arsyad Othman, 26, ditetak 11 kali di tangan, kaki dan badannya oleh lima lelaki terbabit yang bersenjatakan parang dan batang kayu.
Difahamkan, ketika Arsyad bertarung nyawa berlawan dengan dua lelaki terbabit, tiga lagi penyamun bertindak mengawal ibu mangsa, Zaharah Bakar, 57, dan adiknya, Nor Adibah.


Risau keselamatan ibu

Menceritakan detik cemas itu, Mohd Arsyad berkata, dia nekad melawan penyamun terbabit kerana bimbang keselamatan ibu dan adik perempuannya.

“Saya sedang tidur di ruang tamu rumah sebelum dikejutkan seorang daripada lelaki terbabit yang bertindak memukul belakang badan saya dengan kayu. Ada lima penyamun dalam rumah dengan tiga daripada mereka mengepung ibu dan adik saya.

“Seorang daripada mereka cuba menetak kepala saya menggunakan parang, namun saya sempat menahan dengan tangan. Saya kemudian mencapai sebatang besi yang berada berhampiran dan menghayun ke arah penyamun supaya tidak mengapa-apakan ibu dan adik saya,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau berkata, dua daripada penyamun terbabit terus menyerang dan menetaknya, namun serangan itu dibalasnya demi mempertahankan diri dan keluarga.

“Saya menggagahkan diri melawan walaupun penyamun berkenaan melibas parang berulang kali sehingga mengenai beberapa bahagian badan saya,” katanya anak keenam daripada tujuh beradik itu.

Arsyad berkata, melihatkan tindakan agresifnya, penyamun terbabit kemudian melarikan diri dan hanya sempat mengambil dompetnya yang mengandungi wang tunai RM400 dan sebuah komputer riba.

Pukul isteri dalam pantang



RAHIZOL dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu, Kelantan untuk pertuduhan semalam.


KOTA BHARU – Seorang pemuda dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan memukul isterinya yang baru 16 hari melahirkan anak kedua mereka, tiga bulan lalu.
Pengakuan salah tertuduh, Rahizol Hazri Abdul Rahim, 34, yang dibuat selepas pertuduhan dibacakan bagaimanapun ditolak oleh Majistret Mohd. Isa Mohamed selepas lelaki itu tidak mengakui fakta kes yang dikemukakan pihak pendakwaan.
Mahkamah kemudian menetapkan 30 September depan untuk sebutan semula kes.
Mengikut pertuduhan, Rahizol didakwa dengan sengaja memukul isterinya, Siti Ramatunisa Mohamad Jalai, 25, pada pukul 1.30 petang, 7 Jun lalu di sebuah rumah di Simpang Pauh Panji dekat sini.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0904&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz2dvHBziCO 
Hakcipta terpelihara 

Tauke emas parah ditembak

ANGGOTA polis menjalankan siasatan di kedai emas yang cuba dirompak oleh empat lelaki hingga mengakibatkan pemiliknya parah ditembak di Jalan Leboh Ampang, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Seorang pengurus sebuah kedai emas cedera parah selepas terkena dua das tembakan ketika cuba menghalang satu cubaan rompakan di premisnya di Jalan Leboh Ampang di sini semalam.
Kejadian pukul 9.30 pagi itu berlaku ketika Abdul Rasul Abd. Razak, 58, bersama empat pekerjanya sedang menyusun barangan kemas di ruang pameran sebelum didatangi empat lelaki memakai topi keledar bertutup penuh bersenjatakan dua pucuk pistol.
Ketika kejadian, tiada pelanggan di kedai itu.
Polis masih menyiasat kemungkinan kejadian itu dilakukan oleh anggota kumpulan kongsi gelap.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, salah seorang perompak kemudian melompat masuk ke bahagian ruang pekerja sebelum mangsa yang berada di dalam bilik keluar untuk menghalang suspek.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0904&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz2dvH1p3Xj 
Hakcipta terpelihara 

Bapa tetap enggan kebumi anak

MOHD. DAMANHURI bersama isterinya, Zaiton Hassan semasa hadir di Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak semalam.


IPOH – Mayat pemuda yang mati tersepit di celah palang besi tingkap dapur sebuah rumah di Taman Saz di sini 20 Julai lalu tidak akan dikebumikan dan dijangka terus berada di bilik mayat Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) sekurang-kurangnya dua minggu lagi.
Semalam, bapa kepada Allahyarham Sherul Aizam (gambar kecil), Mohd. Damanhuri Mohd. Fuat, 50, kekal dengan pendiriannya untuk tidak mengebumikan jenazah anaknya selagi bedah siasat kedua tidak dilakukan.
Katanya, dia sedar tindakannya itu kurang disenangi banyak pihak termasuk Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan masyarakat yang mahu jenazah Sherul Aizam segera dikebumikan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0904&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm#ixzz2dvGqhPx5 
Hakcipta terpelihara 

Pemilik rumah cedera bergelut dengan lima penyamun


ROMPIN: Seorang pemilik rumah cedera ditetak akibat bergelut dengan lima penyamun yang bersenjatakan parang di Felda Keratong, Muadzam Shah di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah, Superitendan Johari Yahaya, berkata dalam kejadian jam 3 pagi itu mangsa yang berumur 27 tahun, bersama ibunya, 57, dan adik perempuannya, 23, sedang nyenyak tidur sebelum dikejutkan lima lelaki yang dipercayai warga Indonesia.
"Mangsa yang panik melihat suspek di dalam rumahnya bertindak melawan dan bergelut dengan suspek. Mangsa juga mendakwa sempat memukul salah seorang suspek dengan besi pasu bunga sebelum ditetak di tangan kanan, jari kiri, belakang badan dan bahagian tepi pinggangnya," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, selepas pergelutan itu suspek bertindak menggeledah rumah mangsa dan mengambil barangan berharga sebelum melarikan diri.

Ibu dan adik mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan sementara mangsa dibawa ke Hospital Muadzam Shah untuk menerima rawatan lanjut.

Sementara itu Johari berkata dua lelaki yang berumur sekitar 30-an cedera akibat dipukul dengan kayu selepas bergelut dengan empat lelaki di rumah mereka di Felda Chanis Keratong di sini kira-kira 3.30 pagi tadi.

Katanya, dalam kejadian itu mangsa sedang tidur sebelum terkejut dengan kehadiran empat lelaki bersenjatakan kayu di dalam rumah mereka.
"Suspek melarikan barang kemas, lima buah telefon bimbit dan wang tunai RM1,300," katanya.

Kedua-dua mangsa terbabit turut dirawat di Hospital Muadzam Shah.

Beliau berkata, polis sedang memburu penyamun terbabit dan siasatan dilakukan bagi memastikan sama ada kedua-dua kejadian didalangi kumpulan yang sama.

- BERNAMA

Ops Cantas: Empat lelaki kurung wanita dalam hotel antara 262 dicekup

04/09/2013 3:54pm


KUALA LUMPUR - Empat lelaki yang terbabit mengurung seorang wanita di sebuah hotel di Brickfields, di sini, antara 262 orang yang ditahan dalam Ops Cantas Khas Polis Kuala Lumpur sejak 17 Ogos lepas.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, tangkapan itu dibuat
setelah mangsa, 19, yang dikurung di bilik hotel berkenaan selama beberapa hari dapat meloloskan diri dan membuat laporan polis minggu lepas.
"Daripada laporan itu, polis menahan empat lelaki terbabit dan didapati tiga
daripada mereka adalah anggota kumpulan kongsi gelap," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Jabatan Pengurusan Kuala Lumpur. - Bernama


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0904&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_12.htm#ixzz2dvFDtIlr 
Hakcipta terpelihara 

Nelayan rentung bot terbakar di Kemaman

KEMAMAN 3 Sept. - Seorang nelayan ditemui rentung dalam kejadian botnya terbakar di Sungai Kemaman berhadapan jeti Kastam di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Supritendan Che Suza Che Hitam berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 10 malam tadi berhubung kebakaran itu.
Katanya, mayat Hussain Mohamad, 69, berasal dari Dusun Nyior di sini ditemui dalam bot itu dan dihantar ke Hospital Kemaman untuk bedah siasat.
Siasatan awal mendapati kebakaran berpunca daripada enjin bot bagaimanapun siasatan lanjut berhubung kejadian itu masih dijalankan pihak forensik polis, katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, isteri Hussain, Baharu Abdullah, 68, berkata, semalam suaminya yang telah setahun tidak turun ke laut telah pergi mencadat sotong.
"Ketika berada di tempat kerja saya cuba menghubunginya namun tidak dijawab dan saya cuba hubungi lagi pukul 8 malam tadi tetapi talian telah ditutup.
"Saya agak risau dengan keadaan suami kerana dia mempunyai masalah jantung," katanya kepada pemberita di sini dengan penuh sayu. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130903/je_22/Nelayan-rentung-bot-terbakar-di-Kemaman#ixzz2dsMoiozs
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pelajar dikenal pasti suspek buang bayi dalam loji

KUALA TERENGGANU 3 Sept. - Polis berjaya mengesan pelajar perempuan yang dipercayai suspek utama kes pembuangan bayi yang ditemui mati dalam loji kumbahan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Khamis lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, pihaknya memeriksa asrama pelajar perempuan awal pagi ini dan menemukan kesan darah serta tidak menolak darah itu milik pelajar terbabit.
Katanya, pelajar berusia 19 tahun yang berasal dari Selangor kini dihantar ke Hospital Dungun untuk menerima rawatan.
"Hasil siasatan yang dijalankan, kita percaya pelajar berkenaan terlibat dalam kes ini dan kita akan menyiasat daripada pelbagai aspek termasuk kesihatan, psikologi dan sampel darah pelajar berkenaan," katanya ketika ditemui hari ini.
Mayat bayi perempuan yang cukup sifat ditemui terapung di loji itu oleh kontraktor pembersihan yang menjalankan kerja penyelenggaraan kumbahan.
Mengulas lanjut, Manoharan memberitahu, pelajar perempuan itu akan ditahan sebaik sahaja selesai menerima rawatan dan polis turut mengenal pasti teman lelakinya berusia 20 tahun juga berasal dari Selangor.
"Polis akan memanggil teman lelaki pelajar berkenaan dan kita akan rakam percakapannya untuk siasatan lanjut," katanya. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130903/je_17/Pelajar-dikenal-pasti-suspek-buang-bayi-dalam-loji#ixzz2dsMLJ4xF
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tujuh lanun Somalia tembak ATM dijel lapan hingga 10 tahun

KUALA LUMPUR 2 Sept. - Tujuh lanun Somalia yang ditahan di Teluk Aden, dua tahun lalu dihukum penjara antara lapan hingga 10 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas mengaku bersalah melepaskan tembakan ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Hakim Datuk Mohd. Azman Husin menjatuhkan hukuman itu terhadap ketujuh-tujuh lelaki terbabit selepas mereka menukar pengakuan kepada bersalah terhadap pertuduhan pilihan pindaan yang dibacakan oleh jurubahasa dalam Bahasa Somalia.
Datuk Mohd. Azman berkata, hukuman penjara adalah lebih sesuai dikenakan selepas mengambil kira pengakuan salah, kesalahan yang serius, latar belakang dan ancaman terhadap masyarakat.
Ahmed Othman Jamal, 28, Abdil Eid Hasan, 20, Abdi Hakim Mohd. Abdi, 20, masing-masing dihukum penjara 10 tahun dari tarikh ditangkap manakala empat lagi yang merupakan pesalah muda dipenjara lapan tahun dari tarikh sama iaitu 20 Januari 2011.
Mereka didakwa bersama beberapa orang yang masih bebas menggunakan senjata api dengan melepaskan tembakan ke atas ATM.
Kesalahan itu dilakukan antara pukul 8.10 malam dan 10 malam, 20 Januari 2011 di atas kapal Bunga Laurel berkoordinat Latitud .20' 14. 73N Longitud 063' 39.96 E, 250 batu nautika dari perairan Oman bagi menghalang daripada ditahan secara sah oleh ATM.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 32(1)(a) Akta Senjata Api 1960 dan boleh dihukum mengikut seksyen sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau maksimum 14 tahun.
Mereka sebelum ini didakwa kali pertama pada 27 Februari 2011 atas tuduhan melepaskan tembakan ke arah ATM dengan niat mendatangkan kematian dan kecederaan ketika melakukan rompakan di atas kapal terbabit.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun ketika pihak pendakwaan hari ini menawarkan pertuduhan yang lebih ringan, kesemua mereka mengaku bersalah.
Terdahulu ketika rayuan mengurangkan hukuman, kesemua tertuduh yang diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan kemiskinan hidup di negara asal menyebabkan mereka terdesak untuk mencari wang bagi mendapatkan makanan.
Tertuduh pertama, Ahmed Othman menerusi peguamnya, Imran Hadzalie Abdul Hamid menyatakan anak guamnya itu telah berkahwin dan mempunyai empat anak yang tidak mampu dihantar ke sekolah.
Katanya, Ahmed bekerja sebagai buruh dengan pendapatan dolar Amerika Syarikat US$4 (RM12.24) sehari dan akibat tekanan hidup dan perang saudara yang berterusan di Somalia dia nekad untuk membawa keluarganya yang kelaparan lari ke kem pelarian di Yaman.
Imran Hadzalie turut mewakili Abdi Hakim dan seorang pesalah muda manakala empat pesalah muda lain diwakili peguam-peguam Saha Devan Arunasalam, Lee Teong Hui, Ameenudin Ibrahim dan Edmund Bon.
Pendakwaan dikendalikan oleh tiga Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Abazafree Mohd. Abbas, Lailawati Ali dan Yusaini Amer Abdul Karim.
Mohamad Abafazree dalam hujahnya berkata, mahkamah perlu mengambil kira faktor kepentingan awam bagi memberi pengajaran kepada seluruh dunia bahawa negara ini mengambil berat kesalahan ini.
Menurut beliau, faktor tertuduh menggunakan senjata api berbahaya untuk menyerang ATM yang cuba membantu kapal Bunga Laurel yang sedang dirompak perlu diambil kira.
Mohamad Abafazree berkata, kesemua tertuduh juga telah cuba menawan anak-anak kapal apabila cuba menceroboh ke dalam tempat perlindungan anak kapal bertujuan menahan anak kapal sebagai tebusan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130903/ma_01/Tujuh-lanun-Somalia-tembak-ATM-dijel-lapan-hingga-10-tahun#ixzz2dsMDnhZN
© Utusan Melayu (M) Bhd