Tiga kongsi gelap berebut kawasan edar dadah

Ipoh: Polis mengesahkan bekas anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang mati ditembak di Taman Rishah di sini kelmarin, adalah ketua kumpulan kongsi gelap Geng 36 yang beroperasi di Batu Gajah, dekat sini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim, berkata S Jambu Keshan, 39, yang kali terakhir berpangkat Laskar Udara Kanan, dipercayai ditembak akibat pergaduhan membabitkan tiga kongsi gelap di kawasan sama iaitu Geng 36, Geng 04 dan 08.

Siasatan awal mendapati mangsa tiada rekod jenayah dan polis menunggu laporan bedah siasat bagi tindakan selanjutnya” Mohd Dzuraidi Ibrahim, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak

Aktiviti dadah

“Siasatan awal mendapati pergaduhan disebabkan berebut kawasan dalam aktiviti pengedaran dadah,” katanya selepas majlis serah terima tugas dan penyerahan tongkat kuasa Ketua Polis Perak daripada Datuk Mohd Shukri Dahlan kepada Datuk Acryl Sani Abdullah Sani. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Hadi Ho Abdullah, hadir menyaksikan penyerahan tugas.

Dzuraidi berkata, polis yakin untuk mengesan suspek kes itu walaupun kedua-duanya memakai topeng muka ketika kejadian.

“Kita merekodkan keterangan dua saksi bagi membantu siasatan,” katanya.
Dalam kejadian jam 7.15 pagi kelmarin, Jambu ditembak ketika mengeluarkan barang daripada keretanya di hadapan restoran milik keluarganya, selepas dihampiri kereta Toyota Vios dinaiki dua lelaki.

Mangsa yang berkhidmat hampir 19 tahun dalam TUDM sebelum bersara lima tahun lalu, disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini, kelmarin.

Dzuraidi berkata, siasatan awal mendapati mangsa tiada rekod jenayah dan polis menunggu laporan bedah siasat bagi tindakan selanjutnya.

“Kita akan meningkatkan Ops Cantas dan melakukan siasatan menyeluruh bagi memburu suspek, sekali gus berusaha membanteras kegiatan kongsi gelap dan jenayah berat di negeri ini,” katanya.