Search This Blog

Wednesday, August 21, 2013

Gas meletup: 5 pelajar SMK Puteri Seremban cedera -

Gas meletup: 5 pelajar SMK Puteri Seremban cedera - Semasa - Sinar Harian:
SEREMBAN - Lima pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puteri di sini melecur di tangan apabila gas dapur mudah alih yang digunakan mereka untuk memasak sempena Hari Kantin Sekolah meletup pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.40 pagi itu, pelajar berkenaan dikatakan sedang cuba 'menghidupkan' dapur itu apabila ia tiba-tiba meletup dan apinya menyambar mereka.

Kesemua mereka dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini dan keadaan mereka dilaporkan tidak serius.

Pihak bomba dan penyelamat yang menerima panggilan berhubung kejadian itu menghantar dua jentera bersama 17 anggota dari balai Seremban dan Seremban 2 serta pasukan forensik.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Johari Ahmad yang ditemui di tempat kejadian berkata ketika pihaknya sampai, api telah dipadamkan manakala para pelajar berkenaan telah dikejarkan ke hospital.

Beliu berkata siasatan mendapati kejadian itu berpunca daripada gas dapur mudah alih yang meletup.

Sementara itu Pengarah Pelajaran Negeri Kalsom Khalid berkata beliau telah mengarahkan semua aktiviti berkaitan memasak di sekolah itu dihentikan serta merta.

"Saya telah meminta semua pelajar hanya menjalankan aktiviti yang tiada kaitan dengan masak-memasak. Guru-guru akan memantau sehingga program ini selesai pada hari ini.

"Kita akan menunggu laporan lengkap kejadian daripada pihak bomba dan juga polis sebelum mengambil tindakan selanjutnya," katanya.

Beliau berkata lima orang pelajar terbabit masih berada di hospital sementara menunggu rawatan dan pengetua mereka akan ke hospital untuk berjumpa mereka dan ibu bapa mereka.

"Dalam hubungan itu, keselamatan adalah perkara utama yang kita harus ambil kira. Untuk itu kita akan teliti semula untuk membenarkan aktiviti memasak semasa Hari Kantin Sekolah dan sebagainya supaya perkara ini tidak akan berulang lagi.

"Saya harap dapat berjumpa dengan semua pengetua dan guru besar dalam masa terdekat untuk memaklumkan perkara ini. Jadi, saya memberi nasihat kepada pihak sekolah untuk mengambil tindakan dari segi keselamatan pelajar, kita akan maklum pada sekolah," kata Kalsom. - Bernama

'Tamak' punca jadi mangsa jenayah siber

'Tamak' punca jadi mangsa jenayah siber - Semasa - Sinar Harian:

  • Akhbar SatarDatuk Akhbar Satar
 1 / 1 
KUALA LUMPUR - Sikap 'tamak' antara punca orang ramai masih menjadi mangsa jenayah siber walaupun banyak pendedahan yang telah dibuat oleh pihak berkuasa termasuk mangsa yang pernah ditipu sebelum ini.   

Penganalisis Jenayah Datuk Akhbar Satar berkata kejadian jenayah siber seringkali dilaporkan di media massa dan ia sepatutnya telah menjadi iktibar kepada masyarakat supaya tidak menjadi mangsa penipuan.
 
"Selalunya jenayah siber ini melibatkan keuntungan dan disebabkan hal demikian, orang yang selalu menjadi mangsa adalah mereka yang tamak," katanya ketika dihubungi Bernama.
  
Beliau juga berkata orang ramai perlu berhati-hati dan jangan mudah percaya dengan tawaran yang diberikan melalui Internet.
  
"Kita perlu abaikan sebarang tawaran yang dibuat di Internet kerana selalunya penipuan jenayah siber berlaku bermula daripada tawaran istimewa. Bukan semua tawaran yang diiklankan di Internet adalah palsu namun kita perlu selidik terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang urusan dengan orang lain melalui Internet," katanya.
 
Manakala Presiden Pertubuhan Sukarelawan Pembangunan Sosial, Pencegahan Jenayah dan AntiDadah (Pencegah) R.Jeevan berkata masyarakat perlu mempunyai pengetahuan seiring dengan teknologi masa kini untuk mengelakkan daripada menjadi mangsa jenayah siber.
  
"Tidak perlu mempunyai pengetahuan yang tinggi sangat tapi biarlah pengetahuan itu cukup untuk elakkan kita daripada ditipu," katanya .
  
Katanya, pada masa sekarang teknologi multimedia dan perkomputeran berkembang dengan pesat. Oleh itu penipu akan mengambil kesempatan menggunakan kemajuan teknologi untuk menipu orang ramai yang tidak mengetahui sebarang perkembangan teknologi masa kini.
  
Jeevan berkata peredaran zaman yang semakain pesat juga menyebabkan penipuan jenayah siber berlaku.
  
"Dulu kita membuat urusan dengan manual namun pada masa sekarang semua urusan boleh dilakukan dihadapan komputer dengan menggunakan Internet...oleh itu orang ramai perlu berhati-hati menjaga butiran peribadi apabila melakukan urusan perbankan melalui Internet," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini mengingatkan orang ramai agar sentiasa mengikuti perkembangan semasa dan berwaspada terhadap aktiviti penipuan siber terkini.
  
“Berbaloi untuk sentiasa mengikuti perkembangan semasa berkaitan penipuan siber terkini. Berwaspadalah, lebih-lebih lagi dengan butiran bank dan kad kredit,” katanya dipetik menerusi akaun Twitter.
  
Sebelum ini Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan dipetik sebagai berkata jenayah siber merupakan jenayah yang menggunakan alat komunikasi seperti komputer dan telefon bimbit dan trend yang selalu digunakan oleh penjenayah ialah menipu menggunakan e-mel, Sistem Pesanan Ringkas (SMS) atau Internet. 
  
Menurut statistik yang dikeluarkan JSJK Polis Diraja Malaysia (PDRM), kerugian membabit jenayah siber di negara ini pada tahun lalu ialah RM1.6 bilion yang meningkat RM1.1 bilion berbanding pada tahun sebelumnya.  - Bernama

Polis kena tumbuk ketika bertugas

Polis kena tumbuk ketika bertugas - Semasa - Sinar Harian:

HULU SELANGOR - Tindakan seorang kontraktor lelaki menumbuk serta menghamburkan kata-kata kasar serta lucah kepada polis, membawa padah apabila dia diberkas dalam kejadian di jalan utama Taman Rasa Utama, Rasa, di sini, kelmarin.

Sebelum kejadian berlaku kira-kira jam 11 malam, empat anggota polis yang melakukan rondaan terserempak dengan suspek di kawasan terbabit.

Sumber berkata, suspek yang menaiki kereta Nissan Sunny warna kelabu dilihat berlegar-legar dalam keadaan mencurigakan di situ.

Beliau berkata, seorang daripada anggota berkenaan menahan kenderaan suspek dan memintanya keluar untuk pemeriksaan.

Katanya, anggota itu memperkenalkan diri sebagai polis dan meminta suspek menunjukkan MyKad serta lesen memandu.

"Suspek enggan dan terus menghamburkan kata-kata kesat serta lucah kepada polis.

"Dia turut mendakwa mempunyai rakan yang bertugas sebagai pegawai polis di Bukit Aman," katanya.

Menurut sumber, anggota terbabit tidak menghiraukan kata-kata suspek dan tetap menjalankan tugasnya.

"Ketika anggota itu membuat pemeriksaan badan, suspek yang berang menumbuk kepala anggota berkenaan.

"Tiga anggota lain terus menangkap suspek berusia 43 tahun terbabit," katanya.

Katanya, semakan menunjukkan kereta dipandu suspek didaftarkan atas nama seorang wanita berusia 58 tahun.

Beliau berkata, siasatan awal menunjukkan suspek dikehendaki berhubung satu kes di Kalumpang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi mengesahkan kejadian yang berlaku.

Kereta RM1.25 juta dirampas Kastam Terengganu

Kereta RM1.25 juta dirampas Kastam Terengganu - Semasa - Sinar Harian:
KUALA TERENGGANU - Sebuah kereta mewah bernilai RM1.25 juta adalah antara barangan yang dirampas oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.
   
Pengarahnya Abdullah Zawawi Abd Latiff berkata kereta itu disita kerana mengelak cukai yang dianggar bernilai RM1.7 juta.
   
Secara keseluruhan nilai rampasan barangan seludup JKDM dari Januari hingga Julai lepas ialah lebih RM1.7 juta dengan anggaran cukai lebih RM4 juta, katanya pada sidang media, di sini hari ini.
   
Barangan lain termasuk rokok keretek dan rokok putih, arak, mercun, bunga api dan beras.
   
Katanya mereka yang ditangkap cuba menyeludup berdepan dengan hukuman denda tidak kurang daripada 10 kali nilai barang atau dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.
   
Beliau juga meminta orang ramai di Terengganu tidak silu menyalurkan maklumat kepada JKDM jika mempunyai maklumat mengenai kegiatan penyeludupan dengan menghubungi talian 09-6204257 atau talian bebas tol 1800-88-8855.
   
"Identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan dan bayaran saguhati akan dipertimbangkan kepada pemberi maklumat yang berjaya menghasilkan kes," katanya. - Bernama

Insiden singkat, berakhir di penjara

Insiden singkat, berakhir di penjara - Semasa - Sinar Harian:

KUALA LUMPUR - Seorang pensyarah warga Britain hari ini dijatuhi hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Sesyen Ampang dekat sini selepas didapati bersalah menyebabkan kematian seorang pemilik kafe, dua tahun lepas.

Hakim Chan Jit Li menjatuhi hukuman itu terhadap Ricos Nicholas Christen, 55, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mahkamah membenarkan permohonan peguam Ram Karpal Singh yang mewakili Christen bagi menangguhkan pelaksanaan hukuman itu sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun, mahkamah menaikkan jumlah jaminan daripada RM15,000 kepada RM30,000 berserta dua penjamin warganegara Malaysia.

Christen yang didakwa mengikut Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan, didakwa menumbuk belakang kepala Leong Chin Yap sehingga menyebabkan kematiannya di kaki lima Leisure Bay Cafe and Restaurant di Jalan Pandan Indah 4/6B, Pandan Indah dekat sini pada 2 pagi, 29 Mei 2011.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ummi Aliza Abd Kadir memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh kerana ia merupakan kesalahan serius dan menyebabkan kehilangan nyawa.

Ram kemudian memohon hukuman ke atas anak guamnya diringankan atas alasan ia merupakan kesalahan pertama Christen dan kejadian yang berlaku tidak disengajakan.

"Ini adalah insiden malang yang berlaku dalam masa yang singkat," katanya.

Seramai 22 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan termasuk tertuduh dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.- Bernama

Dompet polis ada syabu sedang disiasat

Dompet polis ada syabu sedang disiasat - Semasa - Sinar Harian:

KUANTAN - Penemuan sejumlah serbuk dan ketulan kristal dipercayai syabu yang ditemui dalam dompet seorang pegawai kanan polis yang cedera parah dalam kemalangan jalan raya baru-baru ini masih dalam siasatan.

Ketua Polis Pahang Datuk Datuk Sharifuddin Abd Ghani berkata, pihaknya menunggu laporan daripada doktor mengenai keadaan pegawai berkenaan untuk kembali stabil sebelum siasatan lanjut dibuat.

"Sekarang keadaannya masih tidak stabil dengan mengalami patah lutut kiri dan pendarahan pada bahagian perut," katanya kepada pemberita pada majlis derma darah anjuran Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia di sini, hari ini.

Sebelum ini media melaporkan seorang pegawai kanan polis cedera parah apabila kereta yang dipandunya melanggar belakang lori treler membawa muatan konkrit di Jalan Kuantan-By Pass baru-baru ini.

Ketika kejadian pegawai berkenaan dalam perjalanan dari Kuantan menghala ke Gebeng.

Serbuk dan ketulan kristal itu ditemui pihak hospital ketika pegawai berkenaan dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan (HTAA).

Mengulas mengenai situai jenayah di negeri ini, Sharifuddin berkata, keadaan jenayah di Pahang masih terkawal dengan mendapat kerjasama baik daripada orang awam.

Katanya, anggota risikan juga tidak perlu ditingkatkan memandangkan jumlah yang ada kini sudah mencukupi untuk memantau sebarang jenayah di negeri ini. - Bernama

Empat penyamun menyamar penjawat awam ditahan

Empat penyamun menyamar penjawat awam ditahan - Semasa - Sinar Harian:

  • Kong MengKong Meng (tengah) dan pegawainya menunjukkan vest pihak berkuasa serta gari yang digunakan suspek untuk menyamun warga asing di Jelutong.

GEORGETOWN - [Dikemaskini] Empat lelaki yang menyamar sebagai anggota keselamatan berjaya ditahan kerana menyamun warga asing di sebuah kedai menjual telefon bimbit di Jelutong, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, polis menerima laporan daripada seorang wanita yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta bahawa dua pekerjanya, warga Myanmar disamun oleh empat lelaki  yang mendakwa anggota polis.

Beliau berkata, dalam laporannya, wanita itu mendakwa dua pekerjanya disamun kumpulan lelaki berkenaan setelah memperkenalkan diri sebagai anggota polis selepas.

Katanya lagi, pintu premis tempat mereka bekerja diketuk empat lelaki berkenaan dan mendakwa mahu membuat pemeriksaan.

“Mereka kemudian menyerbu masuk selepas pintu dibuka dan bertindak menggari kedua-dua warga Myanmar itu. Bagaimanapun, kesemua lelaki berkenaan tidak menunjukkan kad kuasa ketika membuat serbuan.

"Mereka mengambil pelbagai barangan berharga daripada mangsa antaranya 11 telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah komputer riba dan wang tunai. Hasil siasatan mendapati mangsa mengalami kerugian RM3,000,” katanya.

Menurutnya, sehari selepas laporan diterima, polis berjaya menahan keempat-empat suspek di dua buah rumah.

“Hasil penelitian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian, polis menyerbu sebuah rumah di Sungai Dua,Gelugor dan berjaya menahan dua suspek.

"Pelbagai barangan dipercayai barang samun antaranya komputer riba, gari, dua buah walkie talkie, beberapa helai vest pihak berkuasa dan wang tunai RM740 ditemui," katanya kepada media.

Beliau berkata, polis kemudian menyerbu sebuah rumah di Sungai Nibong dan menahan dua lagi suspek.

"Kita percaya dengan tangkapan empat suspek yang aktif sejak dua bulan lalu itu, polis berjaya menyelesaikan lapan kes menyamar dan samun di daerah timur laut,” katanya.

Kong Meng berkata, suspek berusia lingkungan 17 hingga 27 tahun itu kini direman untuk siasatan sehingga 25 Ogos.

“Tiga suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau termasuk suspek berusia 17 tahun yang tidak lagi bersekolah manakala seorang lagi mempunyai rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri," katanya.

Kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan dan bersenjata yang memperuntukkan penjara 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Mereka juga disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai anggota pihak berkuasa yang memperuntukkan penjara sehingga dua tahun dan denda.

Pesakit mental maut terjatuh dari tingkat 7

Pesakit mental maut terjatuh dari tingkat 7 - Semasa - Sinar Harian: "KUANTAN - Seorang pesakit lelaki yang mengalami gangguan mental maut selepas dikatakan terjun daripada tingkat tujuh Wad Kenanga 11, Hospital Sultan Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 7.10 pagi itu menyebabkan mangsa meninggal di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan anggota badan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Temerloh, Supt Zundin Mahmood berkata, mangsa yang berumur 41 tahun dipercayai bertindak demikian akibat mengalami tekanan perasaan selain gangguan mental.

"Kita menerima laporan daripada orang ramai mengenai kejadian berkenaan dan terus ke tempat kejadian 20 minit kemudian. Sampai di tempat kejadian, kita dapati mangsa sudah meninggal dunia dan kemungkinan terjun melalui tingkap bilik air," katanya ketika dihubungi di sini.

Zundin berkata, ketika itu mangsa ditemani isterinya.

"Mayat di hantar ke bahagian forensik untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarganya. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.- Bernama"

'via Blog this'

Suami saman polis desak makluman siasatan kematian isteri

Suami saman polis desak makluman siasatan kematian isteri:

SHAH ALAM 19 Ogos - Suami seorang wanita yang meninggal dunia setelah terkena tembakan polis dalam satu sekatan jalan raya di Klang awal tahun ini, memfailkan saman pemula dalam usaha mendesak polis memaklumkan kepadanya keputusan siasatan kes itu.
Foo Voon Kong, 27, mengemukakan saman tersebut melalui firma guaman Messrs Ng & Yeong di pejabat pendaftaran Mahkamah Tinggi di sini Isnin.
Plaintif menamakan Ketua Balai Polis Klang Selatan sebagai defendan pertama, diikuti Ketua Polis Negara dan kerajaan Malaysia.
Dalam penyataan tuntutannya, Voon Kong meminta agar kesemua defendan memaklumkan keputusan siasatan dalam tempoh tujuh hari dari tarikh keputusan mahkamah serta perintah memberi laporan siasatan balistik dan kimia mengenai isterinya Pua Bee Chun.
Pua, 22, pada kejadian pada 18 Jan tahun ini, dijumpai dengan kesan tembakan di tempat duduk sebuah kereta setelah polis mengejar kereta yang dipandu oleh rakan Pua sejauh 10km, dan pemandu kereta itu, seorang lelaki, menyerah diri kepada polis dan dia tidak mengalami sebarang kecedaraan dalam kejadian itu.
Voon Kong juga menuntut agar dimaklumkan identiti anggota polis yang dikenal pasti terlibat dalam kejadian melepaskan tembakan itu dan seterusnya menyebabkan kematian Pua.
Plaintif yang hadir di mahkamah bersama dua anak berumur empat dan tiga tahun, berkata sehingga hari ini beliau tidak dimaklumkan hasil perkembangan siasatan oleh pegawai penyiasat kes ataupun mana-mana pihak yang lain.
Voon Kong berkata, beliau sebelum kejadian itu, bekerja sebagai pemandu lori dan kini menganggur dan terpaksa membebankan anggota keluarganya dalam membantu menjaga kedua-dua anak. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130819/ma_07/Suami-saman-polis-desak-makluman-siasatan-kematian-isteri#ixzz2cado2JpA
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Dadah: Warga Iran dipenjara 9 tahun, 15 sebat

Dadah: Warga Iran dipenjara 9 tahun, 15 sebat: "SHAH ALAM 19 Ogos - Seorang pelayan kedai warga Iran dihukum penjara sembilan tahun dan sebatan 15 kali oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah mengaku bersalah memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 319.2 gram yang disembunyikan dalam batang besi bagasi, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Ahmadi Asnawi memutuskan demikian terhadap Taghi Rashidi Kondori Mohammadghaoli, 35, setelah menerima pengakuan bersalah tertuduh atas tuduhan tersebut.

Beliau turut memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 3 April 2010 dan tertuduh dihantar balik ke Tehran, Iran sebaik sahaja selesai menjalani hukuman itu.

Lelaki berkenaan yang baru pertama kali ke negara ini, mengaku memiliki dadah itu di Kawasan Corusel 'E' Aras 3 Balai Ketibaan Bangunan Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dekat sini, kira-kira pukul 8.40 pagi, 3 April 2010. - UTUSAN ONLINE"

'via Blog this'

Dadah: Warga Iran dipenjara 9 tahun, 15 sebat

Dadah: Warga Iran dipenjara 9 tahun, 15 sebat: "SHAH ALAM 19 Ogos - Seorang pelayan kedai warga Iran dihukum penjara sembilan tahun dan sebatan 15 kali oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah mengaku bersalah memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 319.2 gram yang disembunyikan dalam batang besi bagasi, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Ahmadi Asnawi memutuskan demikian terhadap Taghi Rashidi Kondori Mohammadghaoli, 35, setelah menerima pengakuan bersalah tertuduh atas tuduhan tersebut.

Beliau turut memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 3 April 2010 dan tertuduh dihantar balik ke Tehran, Iran sebaik sahaja selesai menjalani hukuman itu.

Lelaki berkenaan yang baru pertama kali ke negara ini, mengaku memiliki dadah itu di Kawasan Corusel 'E' Aras 3 Balai Ketibaan Bangunan Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dekat sini, kira-kira pukul 8.40 pagi, 3 April 2010. - UTUSAN ONLINE"

'via Blog this'

4 lelaki didakwa curi barangan RM786,000

4 lelaki didakwa curi barangan RM786,000:
EMPAT lelaki (tunduk kepala) yang didakwa di Mahkamah Sesyen atas tuduhan mencuri pelbagai barangan berharga bernilai RM786,000 kepunyaan pemilik sebuah resort bergelar Datuk di Bachok pada 26 Jun lalu di Kota Bharu, semalam.
KOTA BHARU 19 Ogos - Empat lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan mencuri pelbagai barangan berharga bernilai RM786,000 kepunyaan pemilik sebuah resort bergelar Datuk di Bachok pada Jun lalu.
Zuki Omar, 33; Abd. Malik Ismail, 29; Ibrahim Abdullah, 23, dan Mohamad Asri Mat Jusoh, 37, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka di hadapan Hakim Mohd. Yusoff Yunus.
Keempat-empat tertuduh secara bersama didakwa melakukan perbuatan tersebut setelah memecah masuk calet di resort milik Datuk Siti Hamidah Hamat, 55, kira-kira pukul 2 pagi, 26 Jun lalu.
Dalam kejadian itu, mereka didakwa mencuri sebentuk cincin solitarie berlian seberat empat karat, rantai leher platinum bersama ibu loket berlian jenama Chopard, jam tangan platinum berlian jenama Chopard, cincin berlian bertulis 1673, telefon bimbit Samsung S4 dan mata wang Amerika Syarikat berjumlah AS$10,000 (RM33,000).
Mereka turut dituduh mencuri gelang berlian, cincin zamrud, anting-anting platinum bertingkat tiga, anting-anting nilam biru bersama berlian, pasport antarabangsa, anak kunci peti deposit CIMB, barangan mekap, komputer riba, tablet Samsung Galaxy dan gelang swarovski milik mangsa.
Dakwaan terhadap tertuduh-tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan denda.
Mohd. Yusoff membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM16,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 September ini untuk sebutan semula kes.
Dalam pada itu, Abd. Malik turut didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan menjual barangan yang dicuri kepada seorang lelaki di Takbai, Thailand.
Tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas dakwaan di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan itu yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Majistret Nik Habri Muhamad kemudian menetapkan 19 September ini untuk sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Salam Yusoff dan Noor Dayana Mohamad.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130820/ma_02/4-lelaki-didakwa-curi-barangan-RM786000#ixzz2ca9J7XFr
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Ibu didakwa aniaya, dera anak secara kejam

Ibu didakwa aniaya, dera anak secara kejam:
Chong Mee Chin dihadapkan ke mahkamah atas dua pertuduhan melakukan penganiayaan dan mendatangkan kecederaan terhadap anaknya di Mahkamah Majistret, Ipoh, Perak, semalam.
IPOH 20 Ogos - Seorang suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua tuduhan melakukan penganiayaan dan mendera anak perempuannya yang berusia lima tahun secara kejam, sembilan hari lalu.
Chong Mee Chin, 30, dari Taman Wang, Menglembu di sini mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas kedua-dua pertuduhan itu dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Suhaima Mohd. Nor kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
Mee Chin yang memakai baju lokap warna ungu dilihat bersahaja serta menggelengkan kepala tanda mengaku tidak bersalah ketika jurubahasa bertanyakan pengakuan berhubung pertuduhan berkenaan yang dibacakan dalam bahasa Mandarin.
Ketika ini kanak-kanak malang berkenaan masih berada dalam keadaan koma dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.
Keadaannya dilaporkan semakin kritikal dan bergantung kepada mesin bantuan hayat.
Ekoran keadaan mangsa itu, mahkamah memerintahkan Mee Chin supaya tidak mendekati anaknya, meskipun tertuduh dibenarkan bebas dengan ikat jamin RM10,000 berserta seorang penjamin.
Suhaima juga mengarahkan wanita itu menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan dekat sini selama sebulan sementara menunggu sebutan semula kes pada 20 September ini.
Mee Chin didakwa melakukan penganiayaan ke atas anaknya itu dengan memukul kepala dan seluruh badannya menggunakan sebatang rotan di ruang tamu rumah nombor 19, Laluan Kledang Utara 7, Taman Wang, Menglembu di sini kira-kira pukul 9 pagi, 12 Ogos lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan kedua, Mee Chin didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah terhadap mangsa pada masa, tarikh dan tempat yang sama.
Pertuduhan itu dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fauzi Md. Yusof mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh didenda.
Terdahulu, Muhammad Fauzi memohon mahkamah tidak membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin atas alasan kes tersebut mendapat perhatian ramai selain risiko wanita berkenaan mencederakan semula anaknya.
''Kes penderaan juga semakin meningkat di negara ini. Selain itu, tertuduh didakwa mendatangkan kecederaan serius kepada mangsa yang kini dalam keadaan koma dan dirawat di HRPB. Ini adalah kesalahan serius dan kritikal.
''Justeru, permohonan ini dibuat untuk menghalang sebarang perbuatan baru tertuduh terhadap mangsa memandangkan jika jaminan diberikan tertuduh berkemungkinan akan pergi kepada kanak-kanak berkenaan,'' katanya.
Peguam Chong Kok Yew yang mewakili tertuduh pula menyatakan, dalam keadaan kanak-kanak tersebut sedang dirawat di ICU, sudah tentu pihak hospital mengeluarkan perintah tidak membenarkan sesiapa melawatnya.
Beliau turut memohon mahkamah membatalkan pertuduhan kedua atas alasan Seksyen 325 Kanun Keseksaan adalah tidak sah memandangkan ia adalah seksyen hukuman dan sepatutnya pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 322 kanun yang sama.
''Mahkamah perlu membuat keputusan sama ada pertuduhan di bawah Seksyen 325 boleh berdiri sendiri atau sebaliknya.
''Tertuduh yang menghidapi tekanan mental juga mengakui ada merotan anaknya di bahagian kaki dan tangan tetapi bukan di kepala. Oleh itu, dia memohon supaya dihantar ke Hospital Bahagia Tanjung Rambutan untuk menjalani ujian psikiatri,'' katanya.
Muhammad Fauzi kemudian menjelaskan, pertuduhan yang dibuat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan adalah sah kerana Seksyen 322 kanun yang sama hanyalah seksyen huraian kepada seksyen berkenaan.
Setelah mendengar hujah kedua-dua pihak, Suhaima mengarahkan pihak pembelaan membuat representasi kepada Pejabat Peguam Negara berhubung bantahan mengenai pertuduhan itu.
Sementara itu, suami kepada Mee Chin berusia 39 tahun, sebelum ini turut direman bagi membantu siasatan bagaimanapun tidak dihadapkan ke mahkamah hari ini, sebaliknya menjadi saksi utama pihak pendakwaan.
Pada 16 Ogos lalu, Pegawai Perubatan HRPB, Dr. Mohd. Safwan Adnan yang merawat kanak-kanak itu membuat aduan kepada polis selepas mendapati mangsa mengalami kecederaan teruk di seluruh badan dipercayai didera.
Anak kedua daripada tiga beradik itu dibawa ke hospital oleh bapanya.
Susulan laporan polis itu, ibu bapa kanak-kanak itu direman lima hari mulai Sabtu lalu bagi membantu siasatan kes itu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130821/ma_01/Ibu-didakwa-aniaya-dera-anak-secara-kejam#ixzz2ca8ocH1y
© Utusan Melayu (M) Bhd