Search This Blog

Thursday, August 15, 2013

Kapal kargo karam dibadai Utor



GAMBAR oleh pihak berkuasa Hong Kong menunjukkan kapal kargo Trans Summer yang terbalik sebelum tenggelam di perairan Hong Kong semalam.- AFP





HONG KONG - Sebuah kapal kargo sepanjang 190 meter karam semasa taufan Utor membadai pulau ini dan perairan sekitarnya semalam.


Taufan dahsyat itu mencetuskan ombak besar dan memaksa bandar raya ini ditutup selepas meragut enam nyawa di Filipina.


Sebanyak 21 anak kapal kargo Trans Summer meninggalkan kapal mereka yang terbalik dan tenggelam pada kedudukan 80 kilometer ke barat daya Hong Kong.


Dua buah helikopter dan sebuah kapal yang melalui kawasan kejadian telah menghulurkan bantuan bagi menyelamatkan mereka yang terkapai-kapai di laut bergelora.


"Ombak setinggi 10 hingga 15 meter. Tiupan angin pula melebihi 90 kilometer sejam.


"Kru udara melihat kapal itu senget ke kiri dan mula karam," menurut seorang juruterbang perkhidmatan penerbangan bandar, Samuel Yip.


Pengarah Urusan Konsultan Branscombe Marine, Alan Loynd berkata, kapal itu direka untuk bertahan dengan cuaca ekstrem dan tidak menolak kemungkinan kerosakan enjin berlaku.


Seorang jurucakap kerajaan berkata, Jabatan Marin dan Jabatan Pengurusan Keselamatan Maritim di Guangdong, China akan bekerjasama menyiasat kejadian tersebut.


Dalam pada itu, Taufan Utor yang melanda pulau ini pada kelajuan melebihi 100 kilometer sejam menyebabkan hampir separuh penerbangan pada hari tersebut terjejas dengan 118 penerba- ngan dibatalkan manakala 320 lagi tertangguh.


Turut tergendala perkhidmatan feri ke tanah besar China.


Seorang jurucakap kerajaan memberitahu, enam orang dirawat di hospital awam kerana kecederaan akibat ribut tersebut.


Taufan Utor kini melanda selatan China. - AFP



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0815&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2c3MaMcTg 
Hakcipta terpelihara 

Pengganas Malaysia dalang kes culik dua sepupu di Lahad Datu

Kosmo! Online - Negara: "KUALA LUMPUR - Pengganas rakyat Malaysia yang juga pakar membuat bom, Mohd. Amin Bacho dikenal pasti sebagai dalang kes penculikan dua pemuda tempatan di Lahad Datu, Sabah pada November tahun lalu.

Menurut Pengarah Petugas Khas (Operasi/ Anti Keganasan) Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun, maklumat itu diperolehi selepas pihaknya melakukan soal siasat terhadap salah seorang mangsa, Tung Wee Jie, 26, di ibu negara pada Isnin lalu.

Wee Jie yang berasal dari Kepong di sini berjaya melarikan diri daripada kumpulan Abu Sayyaf (ASG) di selatan Filipina pada 4 Ogos lalu manakala sepupunya, Chong Wee Wei, 34, dipercayai mati kerana sakit ketika masih dalam tahanan kumpulan tersebut.

"Melalui beberapa keping gambar suspek (penculik) yang ditunjukkan, mangsa mengecam salah seorang daripadanya ialah Mohd. Amin," katanya di sini semalam."

'via Blog this'

Lelaki maut ditikam rakan ketika mabuk

Berita Harian | Lelaki maut ditikam rakan ketika mabuk:
Subang Jaya: Gara-gara mabuk, seorang lelaki maut ditikam beberapa kali oleh seorang rakannya selepas berlaku perselisihan faham ketika mereka minum bersama di sebuah bilik sewa di tingkat dua rumah kedai di Taman Maju Jaya, Bukit Puchong, di sini, malam kelmarin. 

Mangsa, Morris Asang Yahya, 22, dari Sarawak, mati selepas ditikam empat kali pada dada kiri dan belakang badan, selain ditikam pada kedua-dua tangan dalam satu pertengkaran pada jam 11.30 malam. 


Ketika kejadian, mangsa yang bekerja sebagai kontraktor pengubah suai rumah dipercayai sedang minum bersama empat rakan sebilik sebelum berlaku pertengkaran dan suspek mula menyerang mangsa dengan pisau. 




Lari dari bilik sewa 

Menurut tiga rakan sebilik mangsa yang berada di tempat kejadian, mangsa cuba menyelamatkan diri dengan lari keluar dari bilik sewa terbabit tetapi suspek yang bersenjatakan dua bilah pisau terus mengejarnya hingga ke pekarangan rumah kedai berkenaan. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Tan Ah Chua, berkata mangsa cuba menyelamatkan diri dengan masuk ke dalam kereta milik rakannya, namun suspek bertindak memecahkan tingkap kereta dan terus menikam mangsa.
'via Blog this'

Pemuda koma 6 hari dipukul mat rempit mati

Berita Harian | Pemuda koma 6 hari dipukul mat rempit mati:
Kuala Terengganu: Seorang pemuda yang dibelasah 15 mat rempit selepas didakwa membaling mercun di Kampung Pak Katak, Jalan Semarak, di sini, Khamis lalu, meninggal dunia kelmarin, selepas enam hari koma. 

Mangsa berusia 25 tahun dari Kampung Pecah Rotan, Batu Rakit, meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kira-kira jam 5.15 petang kelmarin. 


Kes bunuh 




Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner K Manoharan, berkata berikutan itu kes berkenaan yang awalnya diklasifikasikan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan ke rana menyebabkan kecederaan, kini disiasat mengikut Seksyen 302 akta sama kerana kesalahan membunuh. 

Dalam kejadian pada kira-kira jam 6 pagi Khamis lalu, abang ipar mangsa berusia 34 tahun menerima panggilan daripada seorang anak saudaranya, memaklumkan mangsa cedera parah dibelasah beramai-ramai dan dimasukkan ke HSNZ untuk dirawat. 

Lelaki terbabit yang mendapati mangsa tidak sedarkan diri di hospital kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu. 

Dipukul di kepala 
“Sebelum kejadian berkenaan, mangsa bersama beberapa rakan berkumpul di kawasan terbabit bersama beberapa kumpulan mat rempit lain sebelum satu kumpulan mendakwa mereka dilontar mercun. 

“Kumpulan mat rempit seramai 15 orang mendakwa kumpulan mangsa melontar mercun dan berlaku pertengkaran sebelum mangsa ditendang serta dipukul dengan topi keledar di kepala hingga parah,” katanya, semalam. 

Manoharan berkata, berikutan kejadian itu seramai 15 orang berusia antara 18 tahun hingga 28 tahun daripada dua kumpulan mat rempit sekitar Kuala Terengganu sudah ditahan bagi membantu siasatan.
'via Blog this'

3 beradik hilang ditemui selamat

Berita Harian | 3 beradik hilang ditemui selamat:

3 beradik hilang ditemui selamatSafarela menunjukkan gambar Syauratul Syafiah, Syahir Syafi dan Syarafuddin Syazwan. - Foto Ikhwan Munir

Ipoh: Tiga beradik berusia antara enam hingga 11 tahun yang dilaporkan hilang dari rumah mereka di Taman Meru, di sini, ditemui selamat di Kuala Lumpur, malam tadi.

Jurucakap polis berkata, ketiga-tiga mereka, Syauratul Syafiah Rizauddin, 6; Syahir Syafi, 8 dan Syarafuddin Syazwan, 11, ditemui kira-kira jam 9 malam dan kini berada di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak. 


“Kami masih menjalankan siasatan bagaimana mereka boleh berada di ibu negara,” katanya ketika dihubungi malam tadi. 




Tiga beradik itu dipercayai hilang selepas ibu saudara, yang menjaga mereka keluar dari rumah kira-kira jam 2.30 petang untuk kembali ke ibu negara.

Kehilangan mereka disedari selepas ibu kanak-kanak berkenaan, Safarela Ishak, 36, pulang dari bekerja jam 6.30 petang dan mendapati pintu rumah berkunci, manakala pintu pagar terbuka luas sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Jelapang, jam 11.45 malam kelmarin.

Sementara itu, bapa ketiga-tiga beradik itu, Rizauddin Md Zain, bersyukur ketiga-tiga anaknya itu ditemui selamat walaupun hairan bagaimana mereka boleh pergi sejauh itu.

“Saya dihubungi pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak memberitahu mereka sudah ditemui,” katanya. 
Sementara itu, usaha untuk menghubungi Safarela, tidak berjaya.

Pada sidang media di IPK Perak sebelum itu, Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk A Paramasivam, berkata kali terakhir mereka dilihat jiran bermain di laman rumah petang kelmarin dengan Syauratul Syafiah memakai baju T merah dan seluar ketat warna merah jambu belang putih.

Katanya, Syahir Syafi pula memakai seluar Bermuda coklat dan baju T hijau manakala Syarafuddin Syazwan memakai jersi bola sepak Brazil warna hijau kuning dan seluar Bermuda biru gelap.

“Siasatan awal polis mendapati beberapa pakaian, tiga beg sandang serta botol air milik mereka juga tiada, manakala tiada kesan pecah masuk di rumah berkenaan,” katanya.
'via Blog this'

Kes lelaki belasah isteri: Wanita mahu dakwa suami

Berita Harian | Kes lelaki belasah isteri: Wanita mahu dakwa suami:

Kes lelaki belasah isteri: Wanita mahu dakwa suamiMangsa belasahan suami dalam lif sebuah hospital di Bukit Mertajam dirakamkan kamera litar tertutup. - Foto Danial Saad

Bukit Mertajam: Wanita yang dibelasah suaminya dalam lif di sebuah hospital swasta di Bukit Mertajam, di sini, Isnin lalu mengakui sudah tawar hati terhadap pasangannya itu. 

“Saya sudah tiada perasaan lagi terhadapnya apatah lagi selepas dipukul. Saya dah tawar hati sebab itu saya tidak menangis ketika pukul,” katanya. 


Wanita berusia 36 tahun itu mendedahkan selepas video dia dipukul seorang lelaki dalam Youtube, mendapat reaksi pelbagai pihak, semalam. 




Mangsa yang bekerja kilang berkata, dia bercadang mengambil tindakan undang-undang ke atas suaminya kerana bertindak keterlaluan hingga menyebabkan dia mengalami kesakitan di kepala, muka dan paha kiri dalam kejadian itu. 

Melawat anak sulung 

Wanita itu berkata, kejadian berlaku di dalam lif di sebuah hospital swasta Bandar Perda, ketika dia dan dua anaknya berusia empat dan lima tahun mahu pulang selepas melawat anak sulungnya berusia sembilan tahun yang dimasukkan ke wad kerana demam panas. 

“Kebetulan saya bertemu suami yang melawat anak sulung tetapi kami tidak bertegur sapa. Ketika hendak pulang, suami turut mengikut kami masuk ke dalam lif sambil meminta saya memujuk anak supaya mengikutinya. 
“Bagaimanapun, anak perempuan saya kata dia nak ikut ummi dan tidak mahu mengikut ‘daddy’ menyebabkan suami marah,” katanya. ketika ditemui, di sini, semalam. 

Mangsa yang sudah tinggal berasingan dengan suaminya berusia 36 tahun berkata, suaminya kemudian menampar mukanya beberapa kali, walaupun dua anaknya melihat kejadian itu. 

“Saya keluar dari lif sebaik pintu terbuka tetapi suami menendang paha kiri hingga saya terjatuh,” katanya yang membuat laporan polis selepas mendapatkan rawatan di Hospital Seberang Jaya, dekat sini, pada hari sama.

Suami mangsa sudah berkahwin dengan wanita lain pada 2011 dan bekerja di sebuah agensi kerajaan di Jerantut, Pahang. 

Minta cerai 

Mangsa berkata, dia pernah meminta suaminya menceraikannya tetapi dia dicabar supaya pergi ke pejabat agama. 

Adik mangsa, Mohd Yunus Ahmad Ramli, 31, mengakui dia memuatkan video kakaknya dipukul ke dalam Youtube selepas dihantar seorang abangnya dan berharap pihak polis mengambil tindakan lanjut. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah, berkata polis kini memburu lelaki yang berasal dari negeri ini tetapi bertugas di Jerantut. 

“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dengan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga satu tahun dan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.
'via Blog this'

Pemandu dipecat kerana ketip kuku ketika memandu

Berita Harian | Pemandu dipecat kerana ketip kuku ketika memandu: "SINGAPURA: Seorang pemandu dipecat selepas rakaman video menunjukkan dia memotong kuku ketika memandu di kawasan lebuh raya.

Video sepanjang 29 saat itu dipaparkan di laman sosial Facebook “SG Share” pada 26 Julai lalu yang menunjukkan pemandu itu memegang stereng dengan tangan kiri sambil memotong kuku dengan pengetip menggunakan tangan kanan.
Dia kemudiannya melepaskan tangan kiri daripada stereng untuk meneliti jari kuku yang dipotong. - AFP "

'via Blog this'

Hong Kong lumpuh ‘diserang’ taufan

Berita Harian | Hong Kong lumpuh ‘diserang’ taufan:
Hong Kong: Taufan Utor membadai Hong Kong dengan angin kencang dan hujan lebat yang menyebabkan urusan harian pusat kewangan Asia itu lumpuh semalam, sebelum ia mengubah haluan ke Tanah Besar China. 

Pejabat, sekolah dan mahkamah ditutup dan urus niaga pasaran saham digantung apabila Utor mendekati kepulauan itu. 


Berpuluh-puluh penerbangan juga dibatalkan manakala khidmat bas serta feri digantung selepas taufan itu membawa angin dengan kelajuan 138 kilometer (km) sejam. 




Ribut itu menyebabkan laut bergelora dan hujan lebat, berpusat 250 km ke barat barat daya Hong Kong sekitar jam 1.00 petang waktu tempatan. 

Bagaimanapun, Utor semakin lemah dan dijangka bergerak ke barat laut pada kelajuan 16 kilometer sejam ke arah wilayah Guangdong, China. 

Seorang dilaporkan cedera di Hong Kong, dengan angin kencang menumbangkan 15 pokok dan dua piring satelit meskipun bandar raya itu tidak terjejas, lapor akhbar South China Morning Post. 

Batal penerbangan 
Kira-kira 110 penerbangan yang tiba atau mahu meninggalkan bandar raya itu dibatalkan manakala 241 lagi ditunda. 

Di sepanjang pantai Guangdong, pihak berkuasa meminta nelayan supaya kembali ke pelabuhan dan mengambil langkah keselamatan bagi melindungi bangunan serta peralatan di ladang akuakultur. 

Ribut itu dijangka tiba di bandar raya Maoming tengah hari, sebelum terus ke wilayah Guangxi. 

Beberapa penerbangan dan perkhidmatan kereta api turut digantung di Hainan. Hampir 2,000 penumpang terperangkap di lapangan terbang Sanya, kelmarin. 

Utor adalah taufan terkuat tahun ini sebelum menyerang Filipina awal minggu ini, mengorbankan sekurang-kurangnya tujuh orang dan empat lagi hilang. 

Seorang wanita di wilayah Isabela dilihat menerusi kamera dihanyutkan arus deras sungai. Mayatnya ditemui kemudian. 

Berpuluh-puluh nelayan hilang selepas ribut melanda negara terbabit tetapi kebanyakan sudah ditemui, kata pegawai. 

Penyelamat masih bergelut untuk tiba di sekurang-kurang tiga bandar terpencil di wilayah Aurora yang paling teruk terjejas. 
Tiada komunikasi 

“Sehingga kini, kami tidak ada komunikasi dengan tiga bandar itu dan jalan tidak boleh dilalui motosikal disebabkan runtuhan tanah batu serta pokok tumbang,” kata jurucakap agensi bencana kebangsaan, Rey Balido. 

Beliau berkata, pihak berkuasa mengambil jalan lain dan tentera udara Filipina akan menyampaikan bekalan bantuan. 
AP
'via Blog this'

Kapal selam India meletup, terbakar

myMetro | Kapal selam India meletup, terbakar: "Mumbai: Kumpulan penyelam berusaha keras untuk membuka pintu dek kapal selam India ketika beberapa anak kapal dikhuatiri maut atau terperangkap selepas satu letupan dan kebakaran semalam dalam insiden nahas terburuk tentera laut negara itu sejak 1971.

Seramai 18 kru berada dalam kapal selam buatan Russia INS Sindhurakshak itu ketika letupan berlaku selepas tengah malam.

Kemalangan itu menjejaskan pencapaian tentera laut dalam tempoh seminggu ini, termasuk pelancaran kapal mengangkut pesawat buatan tempatan yang bertujuan mengangkat reputasi tentera laut yang bersaing dengan China di Lautan Hindi.

Menteri Pertahanan A K Antony berkata, beberapa anak kapal dalam kapal selam berkuasa diesel-elektrik itu berlabuh di pangkalan utama di Mumbai sudah meninggal dunia."

'via Blog this'

Bebas selepas 17 tahun dalam penjara

myMetro | Bebas selepas 17 tahun dalam penjara:
Beijing: Seorang lelaki China yang menjalani hukuman penjara selama 17 tahun kerana membunuh isterinya diisytiharkan tidak bersalah dalam kes terbaru kesilapan sabitan di negara berkenaan, lapor media kerajaan semalam.
Xinhua melaporkan, Yu Yingsheng dibebaskan selepas rayuan di mahkamah di wilayah timur Anhui mendapati bukti tidak mencukupi untuk mensabitkan keputusan bersalah.

Isteri Yu dibunuh pada akhir 1996 dan lelaki terbabit didakwa atas tuduhan membunuh.
Walaupun hakim mendapati Yu bersalah, dia dibenarkan membenarkan rayuan. Yu dan bapanya kemudian membuat rayuan sehingga Mahkamah Anhui mengarahkan perbicaraan semula Mei lalu.

Sumber polis berkata, tempoh 17 tahun Yu di penjara menyebabkan keadaan kesihatannya kurang baik.
'via Blog this'

6 tan tenggiling hidup dirampas

myMetro | 6 tan tenggiling hidup dirampas:
Hanoi: Kastam Vietnam semalam berkata, mereka menemui lebih enam tan tenggiling hidup di dalam kontena yang dihantar dari Indonesia.
Haiwan bersisik yang amat dihargai di China dan Vietnam sebagai makanan eksotik ditemui minggu lalu ketika pemeriksaan dijalankan di pelabuhan utara Hai Phong, kata pegawai kastam.

Tanpa menyatakan ke mana destinasi akhir kontena berkenaan, dokumen mendakwa ia kononnya berisi ikan, sirip dan tulang ikan sejuk beku.
Pegawai pertubuhan pemantau hidupan liar TRAFFIC, Naomi Doak menganggarkan ada beberapa ratus tenggiling ditempatkan dalam kontena berkenaan. Kata Naomi, rampasan kastam menimbulkan kebimbangan kerana Vietnam tiada pusat yang lengkap bagi menangani kes rampasan besar seumpama itu.

“Haiwan itu sukar disimpan dan diberi makan kerana ia hanya memakan anai-anai, jadi saya fikir ia mungkin untuk dibunuh dan dijual,” katanya. Sejak awal tahun ini, lebih 10 tan tenggiling hidup dan beku dirampas di pelabuhan Hai Phong.

Pihak berkuasa juga merampas 1.2 tan sisik tenggiling yang dikehendaki sebagai ubat tradisional perubatan Cina dan Vietnam untuk memulihkan alahan dan meningkatkan syahwat lelaki.
Mamalia kecil itu hampir keseluruhannya dipenuhi sisik daripada keratin - protein sama yang menumbuhkan rambut manusia.

Tenggiling dijual antara 8 dan 10 juta dong (RM1,245 dan RM1,572) sekilogram di restoran di Vietnam.
Penjualan tenggiling diharamkan Konvensyen Perdagangan Antarabangsa terhadap Spesies Terancam. - AFP
'via Blog this'

Kapal kargo karam akibat angin kencang

myMetro | Kapal kargo karam akibat angin kencang:
Hong Kong: Sebuah kapal kargo sepanjang 190 meter karam di perairan Hong Kong ekoran taufan kencang yang menyebabkan ombak besar dan laut bergelora hingga memaksa kebanyakan bahagian bandar raya itu ditutup.
Seramai 21 anak kapal Trans Summer itu meninggalkan kapal berkenaan apabila ia senget sebelum karam 80 kilometer di barat daya Hong Kong.

Dua pasukan penyelamat menggunakan helikopter dikerah menyelamatkan anak kapal terbabit.
Juruterbang operasi menyelamat Flying Service, Samuel Yip berkata, ombak menghempas setinggi 10 hingga 15 meter dengan angin bertiup sehingga 90 kilometer sejam. “Petugas dalam helikopter melihat kapal itu senget ke bahagian kiri kira-kira 20 ke 30 darjah dan mulai karam apabila ia tumbang hampir 90 darjah,” katanya.

Taufan Utor menyebabkan sekurang-kurangnya enam maut apabila melanda Filipina Isnin lalu, meranapkan kediaman dan menyebabkan banjir kilat serta tanah runtuh.

Ketika angin bertiup menuju ke tanah besar China, ia berpusing melalui Hong Kong dan memaksa penutupan pasaran kewangan, sekolah, premis perniagaan dan menjejaskan beratus-ratus penerbangan. - AFP
Foto
SEORANG pelancong memberanikan diri melawan angin kencang dekat kawasan dermaga di Hong Kong semalam.
'via Blog this'

Ahli Parlimen Afghanistan diculik

myMetro | Ahli Parlimen Afghanistan diculik:
Ghazni: Militan Taliban menculik seorang ahli Parlimen wanita Afghanistan dan tiga anaknya, kata pegawai keselamatan semalam.
Fariba Ahmadi Kakar bersama anaknya diculik ketika berada di lebuh raua utama dari Kandahar ke Kabul pada Sabtu lalu.

Timbalan Gabenor Ghazni, Mohammad Ali Ahmadi berkata pasukan keselamatan berjaya membebaskan dua anak perempuan dan seorang anak lelaki Fariba dalam operasi Isnin lalu.
“Bagaimanapun ahli politik itu disembunyikan di lokasi lain dan kami sedang mengesannya,” katanya. Pada masa sama, kata Mohammad Ali, pemimpin setempat di Ghazni juga berunding dengan penculik bagi mendapatkan pembebasan Fariba. Jurucakap Parlimen berkata, kejadian itu adalah yang pertama membabitkan ahli Parlimen dalam tempoh 10 tahun ini. Beberapa pegawai kerajaan di Ghazni dan Kandahar mengesahkan penculikan itu tetapi menafikan kenyataan Kementerian Dalam Negeri yang mendakwa Fariba dalam perjalanan ke Turki.
'via Blog this'

Aktivis maut, 20 cedera dalam pertempuran

myMetro | Aktivis maut, 20 cedera dalam pertempuran:
Dhaka: Pertempuran di antara polis dan aktivis Jamaat-e-Islami semalam menyebabkan seorang aktivis terbunuh dan kira-kira 20 lagi cedera ketika mogok umum di Bangladesh memasuki hari kedua.
Polis menggunakan kayu, gas pemedih mata dan peluru getah untuk menghadapi penyokong parti Islam terbesar Bangladesh itu cuba berarak ke jalan di Jatrabari di selatan Dhaka. Media melaporkan, mangsa yang terbunuh adalah pemimpin sayap pelajar Jamaat-e-Islami tetapi polis mendakwa identitinya belum dikenali. Ketua Polis Dhaka, Rafiqul Islam juga menafikan mangsa meninggal dunia kerana kecederaan disebabkan polis.

“Dia terbunuh ketika melarikan diri dari polis, terjatuh dan kepalanya terhantuk ke sebuah kereta,” katanya. Rafiqul kemudian berkata polis tidak bertanggungjawab atas kejadian itu.
Katanya, penunjuk perasaan menyerang polis dan melontar bom buatan sendiri.

“Kami terpaksa menembak peluru getah untuk mempertahankan diri.

“Lelaki itu malang kerana gagal mengimbangi badan dan terlanggar kenderaan yang diletakkan di tepi jalan,” katanya.
Foto
MAYAT penyokong Jamaat-e-Islami yang didakwa polis terbunuh kerana kepalanya terhantuk ke kereta.
'via Blog this'

Sami pelatih jadi habuan penyelia

myMetro | Sami pelatih jadi habuan penyelia: "Bangkok: Ibu bapa kepada lima sami pelatih kelmarin memfailkan laporan polis terhadap penyelia sami kerana menyerang secara seksual anak mereka di kuil terkenal di wilayah Suphan Buri.

Superintendan polis di balai polis Thung Kok, Posawee Ruangphu berkata, sami pelatih yang terbabit dalam kes itu berusia 14 hingga 17 tahun.


Ibu bapa mereka melaporkan bahawa penyelia itu memaksa anak lelaki mereka meliwat dengannya dan mengatakan mereka mengalami kecederaan fizikal akibat serangan seksual itu, termasuk koyakan di dubur dan melecet."

'via Blog this'

Peguam tak mahu terbabit kes bunuh ahli perniagaan

myMetro | Peguam tak mahu terbabit kes bunuh ahli perniagaan: "Bangkok: Bekas peguam ahli perniagaan yang mati dibunuh, Akeyuth Anchanbutr semalam mengumumkan bahawa dia tidak lagi terbabit dalam kes pembuuhan itu ekoran bimbang dengan keselamatannya.

Suwat Apaipak berkata, dia tidak akan menyiasat kes itu lagi, mendakwa dia menerima ancaman bunuh setiap hari dan saudara-mara Akeyuth juga memberitahunya agar tidak lagi meneruskan kes itu.


Suwat mendakwa dia memperoleh maklumat daripada pemberi maklumat sama daripada kumpulan lelaki yang membunuh Akeyuth merancang untuk membunuhnya menggunakan dua trak dipenuhi pasir yang akan melanggarnya di jalan raya. “Saya tidak lagi mewakili kes pembunuhan Akeyuth,” katanya dalam satu kenyataan. Suwat awal bulan ini berkata, dia sudah menghubungi suspek yang juga pemandu Akeyuth, Santiphap Pengduang yang meminta agar melawatnya di penjara."

'via Blog this'

Menyamar goda bekas teman wanita tunang

myMetro | Menyamar goda bekas teman wanita tunang:
Singapura: Seorang wanita yang sedih apabila keluarga tunangnya lebih memilih bekas teman wanita lelaki berkenaan merancang untuk memburukkan wanita terbabit.
Siti Nurazlin Samat, 28, berusaha mendapatkan nombor telefon wanita itu dan menyamar sebagai pegawai polis lelaki sebelum memperdaya mangsa.

Dia berjaya menggoda mangsa berusia 24 tahun itu yang juga eksekutif program kokurikulum di sekolah dan menjalin hubungan intim bersamanya menggunakan e-mel dan akaun Facebook palsu.
Pada Mei 2011, wanita berkenaan menghantar 10 gambar bogel dirinya kepada Siti Nurazlin.

Pada Disember tahun yang sama, Siti Nurazlin menyamar sebagai ibu bapa menghantar surat bertaip bersama empat daripada gambar bogel mangsa kepada pengetua sekolah menengah tempat mangsa bekerja. Siti Nurazlin mengatakan dia memperoleh gambar lucah itu dalam buku matematik anak lelakinya yang kononnya mengadu ekesekutif sekolah itu yang memberinya foto berkenaan. Dia turut mendakwa mungkin berlaku insiden penderaan seksual di sekolah berkenaan. Mangsa kemudian dipecat dari sekolah itu. - Agensi
'via Blog this'

Cuba lupus bahan bukti sebelum ditahan

myMetro | Cuba lupus bahan bukti sebelum ditahan:
Jakarta: Ketua agensi pemantau sektor industri minyak dan gas Indonesia dilaporkan sempat cuba melupuskan bahan bukti yang ada padanya sebelum ditangkap pihak berkuasa negara itu semalam.
Media melaporkan Rudi Rubiandini cuba menukar milik sebuah motosikal berkuasa tinggi jenis BMW yang disyaki diberi sebuah syarikat petroleum persendirian.

Memetik Timbalan Ketua Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK) Indonesia, Bambang Widjodjanto, Rudi menerima motosikal berkenaan daripada wakil syarikat petroleum terbabit.
“Selain motosikal berkuasa tinggi Rudi juga diberikan segala dokumen berkenaan bagi menyatakan ia adalah milik suspek.

“Turut diserahkan wang bernilai AS$400,000 (RM1.3 juta),” katanya. Semalam agensi antirasuah Indonesia menyatakan Rudi - bekas Timbalan Menteri Tenaga Dan Sumber Mineral Indonesia - ditahan kerana menerima rasuah. Turut dirampas KPK ialah wang tunai.

Beberapa individu juga ditahan, termasuk seorang pegawai syarikat minyak yang terbabit, pemandu Rudi dan dua pengawal keselamatan. Siasatan lanjut membolehkan mereka merampas wang lain bernilai AS$300,000 (RM982,485).
Sebelum ditahan Rudi berkhidmat sebagai Ketua Pasukan Petugas Khas Pelaksanaan Kegiatan Huluan Minyak dan Gas Bumi Indonesia. - Agensi
'via Blog this'

Dalang rompak bank ditahan

myMetro | Dalang rompak bank ditahan:
Lampung: Polis Lampung menahan ketua unit Rawajitu Bank Rakyat Indonesia (BRI) di Tulangbawang, Syahrudin Yandri Lingga kerana menjadi dalang kes rompakan bank itu awal pagi kelmarin.
Syahrudin ditahan ekoran kenyataan daripada empat orang yang ditahan polis yang mempunyai kaitan dengan kes itu. Ketua Unit Jenayah Awam polis Tulangbawang Listyono Dwi Nugroho berkata, Syahrudin sudah mengakui dia yang menjadi dalang kes rompakan berkenaan.

Polis menembak mati dua daripada empat suspek apabila mereka cuba menembak dua anggota polis bertugas.
“Kami terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri kerana mereka cuba menembak anggota kami yang menahan kereta mereka untuk pemeriksaan rutin,” katanya. Menurut siasatan awal, Syahrudin bermalam di pejabatnya di Rawajitu ketika empat perompak memecah masuk bank itu dan menculiknya sebagai tebusan. Perompak kemudian melarikan wang tunai Rp6.7 trilion (RM2.1 juta) dari peti besi bank.

Ketika melarikan diri dari tempat kejadian, perompak ditahan polis yang menjalankan pemeriksaan rutin. - Agensi
'via Blog this'

Mayat wanita tinggal separuh dimakan kucing peliharaan

myMetro | Mayat wanita tinggal separuh dimakan kucing peliharaan:
London: Seorang wanita Hampshire ditemui dengan tubuhnya tinggal separuh selepas dimakan oleh kucing peliharaannya berikutan mayatnya tidak ditemui selama dua bulan.
Mayat Janet Veal ditemui di dapur kediamannya, dua bulan selepas dia meninggal dunia bersama sebilangan besar kucing dan anjing yang hidup dan juga yang sudah mati.

Haiwan berkenaan terperangkap dalam ruang sempit bersama mayatnya dan kemungkinan tidak diberi makan sejak beberapa bulan. Pegawai polis yang berkunjung ke kediamannya menjelaskan bahawa mayat wanita berusia 56 tahun itu sudah “digigit dan dimakan” oleh haiwan peliharaannya.
Jiran tetangga dikatakan sudah memaklumkan kepada polis mengenai Janet selepas mereka tidak melihatnya sejak beberapa lama. Polis mengesahkan Janet mati secara semula jadi. Rekod perubatannya mendedahkan Janet menghidap masalah sakit dada dan walaupun bedah siasat ternyata sukar kerana mayatnya yang sudah reput dan anggota badan yang hilang, pakar patalogi menyimpulkan bahawa kematian Janet mungkin akibat penyakit pulmonari kronik.

Pegawai polis Dave Ivey menemui mayat Janet dan menyatakan haiwan peliharaannya tidak dapat keluar dari tempat di mana mayat wanita itu ditemui.

Koroner Keith Wiseman berkata, haiwan berkenaan mungkin terkurung di tempat mayat ditemui selama beberapa bulan.
“Jelas sekali bahawa bahagian tertentu mayat Janet hilang dan mungkin digigit serta dimakan haiwan berkenaan.

“Kita dapat bayangkan bagaimana perasaan pegawai polis itu apabila bertemu dengan mayat Janet,” katanya.
Selepas mengesahkan bahawa wanita itu mati secara semula jadi, Wiseman berkata, tiada tanda menunjukkan bahawa Janet diserang oleh haiwan itu ketika dia masih hidup. “Saya yakin Janet mati secara semula jadi kerana tiada bukti menunjukkan dia diserang oleh haiwan peliharaannya itu,” katanya. - Agensi
'via Blog this'

Pencuri ‘gali’ kubur sendiri

myMetro | Pencuri ‘gali’ kubur sendiri:
Beijing: Bagaikan buku bertemu ruas sekumpulan pencuri dan penceroboh kubur menerima pengajaran pahit - di kubur itu sendiri.
Dalam kejadian di Xi’an di wilayah Shaanxi itu lima penjenayah terbabit sedang bekerjasama menggali kubur lama di kawasan berkenaan.

Dua daripada mereka menggali kubur itu, manakala tiga yang lain bertugas sebagai pemerhati.
Media semalam melaporkan, sejurus selepas tengah malam tebing kubur itu runtuh dan menimbus dua penjenayah yang sedang menggali lubang berkenaan.

Panik kerana tidak dapat menyelamatkan rakan mereka, tiga pencuri itu kemudian terpaksa meninggalkan kawasan berkenaan untuk mendapatkan bantuan. Bagaimanapun, hanya dua yang menghubungi pihak berkuasa dan membawa mereka ke tempat kejadian, manakala seorang lagi menghilangkan diri. Selepas kerja menyelamat dijalankan, seorang daripada penggali terbabit disahkan mati di dalam kubur berkenaan kerana lemas, manakala rakannya mati dalam perjalanan ke hospital. Daripada tiga yang terselamat, hanya dua pencuri yang dapat ditahan polis dan seorang lagi masih diburu. - Agensi
'via Blog this'

Tragis mangsa letupan

Tragis mangsa letupan - Kelantan - Sinar Harian:
  • Tragis mangsa letupanDayan Edayu memangku anak tunggalnya.

KUALA KRAI – Anak tunggal mangsa letupan di Taman Seri Periuk, Dhia Rayyani Aisyfrina,4, bulan tercari-cari bapanya, Mohd Yusrizal Mat Zain,32,  sebaik bangun tidur pagi semalam.

Isterinya, Dayan Edayu Mohamad Nawi,26, Pembantu Tadbir di Sekolah Kebangsaan Chenulang, Kuala Krai berkata,  anak tunggalnya begitu rapat dengan arwah suaminya berbanding dirinya.

Katanya, sebelum ke tempat kerja, arwah akan menghantar serta mengambil Dhia Rayyani Aisyfrina, dari rumah mertuanya di Kampung Kenor  untuk dijaga sepanjang dia dan suami bekerja.

“Kami tinggal di kuaters di Chenulang, jadi sebelum ke tempat kerja suami akan menghantar dan mengambil anak dari rumah mertua di Kenor.

“Kebiasaannya anak akan bersama-sama saya hanya pada sebelah malam, selebihnya dia bersama suami,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambahnya lagi, sebelum kejadian, anaknya seakan dapat merasakan kejadian buruk akan menimpa bapanya dan kerap menangis.

Katanya, dia menyangka anaknya sakit sehinggalah kejadian menimpa arwah pagi kelmarin.

“Anak lebih rapat dengan arwah, dia seakan dapat merasakan perkara buruk akan berlaku apabila kerap menangis tanpa sebab.   

Sementara itu, ibu arwah ,Supiah  Mad Nor,63 berkata, arwah beria-ia menghantarnya ke kelas mengaji sebelum berangkat ke Tumpat tetapi dia menolaknya bimbang mereka sekeluarga lewat sampai.

Katanya, sudah menjadi kebiasaan bagi Mohd Yusrizal menghantarnya ke mana sahaja tempat dia hendak pergi.

“Selalunya dialah yang menghantar makcik ke mana sahaja makcik hendak pergi terutama ke tempat dia mengaji al-Quran malah selalu berpesan supaya memaklumkan kepadanya ke mana makcik nak pergi kerana dia mahu menghantarnya,” katanya .

Supiah berkata ,sepanjang sambutan Aidilfitri tahun ini dia dapat mengesan perubahan sikap Mohd Yusrizal yang kelihatan tidak seceria selalu tetapi tidak mengambil kisah perkara itu dan tidak menyangka ia antara petanda anak kelimanya  akan pergi meninggalkan keluarga dalam keadaan tragis, pagi kelmarin.

Tambahnya, mereka sekeluarga masih terkejut dengan cara pemergian arwah dan menyifatkan Mohd Yusrizal seorang anak yang baik dan rapat dengan semua ahli keluarga termasuk bapanya.

“Makcik tidak menyangka dia meninggal, menantu hanya telefon meminta makcik ke sana (ke Taman Seri Periuk) dengan segera kerana arwah kemalangan.

“Makcik tidak tahu, sebenarnya ketika itu arwah telah tiada,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kenor,pagi semalam.

Mohd Yusrizal Mat Zain,32, mangsa letupan ketika cuba mengambil bungkusan di atas bumbung MPV kereta abang iparnya maut dalam keadaan tragis dengan perut terburai dan kedua-dua tangannya putus.

Jenazah Mohd Yusrizal selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kenor kira-kira jam 1 pagi semalam.

Adun Guchil, Roslan Puteh dan isteri, Noor Semila Mohd Arifin turut menziarahi keluarga mangsa.
'via Blog this'

Mencuri dalam wad HSNZ

Mencuri dalam wad HSNZ - Terengganu - Sinar Harian:
  • Mencuri dalam wad HSNZZamri

KUALA TERENGGANU - Seorang pesakit lelaki yang menerima rawatan di wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, hanya mampu melihat telefon bimbit miliknya yang disorokkan di bawah bantal diambil pencuri, dalam kejadian awal pagi semalam.

Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi, disebabkan terlalu uzur dan dalam keadaan sakit, mangsa berusia 40-an tidak mampu berbuat apa-apa, melainkan hanya melihat sahaja telefon bimbit miliknya dilarikan suspek berusia 28 tahun.

“Suspek menghampiri mangsa yang ketika itu sedang tidur sebelum perlahan-lahan menarik telefon bimbit yang disorokkan di bawah bantal.

“Mangsa yang hanya 'tidur-tidur ayam' tersedar kehadiran suspek yang sememangnya dikenali tetapi  tidak mampu berbuat apa-apa kerana uzur dan hanya membiarkan sahaja suspek melarikan telefon bimbitnya,” katanya, semalam.

Sumber berkata, suspek berasal dari Kampung Batu Rakit, di sini, dipercayai berjaya masuk ke dalam wad pada waktu berkenaan kerana menunggu ahli keluarganya yang juga menerima rawatan di hospital tersebut tetapi ditempatkan di wad berlainan.

“Suspek dipercayai tidur di hospital kerana menunggu ahli keluarganya yang sakit di wad empat, namun  dia mengambil kesempatan masuk ke dalam wad mangsa di wad enam untuk mencuri ketika pesakit sedang berehat.

“Sejurus mencuri telefon bimbit berkenaan dan bagi mengelak perbuatannya disedari orang awam, suspek terus turun ke wad empat semula,” katanya.

Jelasnya, mangsa hanya menceritakan kejadian itu kepada isterinya berusia 39 tahun yang baru tiba untuk melawatnya beberapa minit kemudian, sebelum isterinya membuat laporan polis.

“Suspek berjaya ditangkap kira-kira jam 6 pagi iaitu setengah jam selepas melakukan jenayah tersebut  di dalam kawasan wad HSNZ,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi semalam, mengesahkan menerima laporan berkenaan.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan suspek boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan," katanya.
'via Blog this'

Abang nyaris ditikam adik

Abang nyaris ditikam adik - Terengganu - Sinar Harian:
KUALA TERENGGANU - Niat murni seorang abang menasihatkan adik lelakinya supaya berhenti meminta wang daripada ibu mereka bertukar tragedi apabila dia hampir ditikam, dalam kejadian di Lorong Budiman, Kampung Mengabang Tengah, di sini, kelmarin.

Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari, mangsa berusia 50 tahun yang ketika itu berada di rumah orang tuanya mengambil kesempatan menasihatkan suspek berusia 43 tahun supaya tidak lagi mengulangi perbuatan buruknya yang suka meminta wang daripada ibu mereka.

“Mangsa tidak sanggup mendengar dan melihat penderitaan ibunya yang terpaksa menanggung suspek selama ini sebelum nekad menegur suspek supaya berubah sikap.

“Namun, tegurannya tidak disenangi suspek sehingga membawa kepada pertengkaran. Suspek kemudiannya mengambil sebilah pisau dan cuba menikam mangsa,” katanya, semalam.

Menurutnya lagi, mangsa yang terkejut dengan kejadian itu sempat mengelak dan bernasib baik kerana pisau tersebut hanya terkena pada jari tangan kiri sahaja.

“Bimbang kejadian lebih buruk, mangsa lari menyelamatkan diri dan membuat laporan polis di Balai Polis daerah Kuala Terengganu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin mengesahkan menerima laporan berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
'via Blog this'