Search This Blog

Friday, August 9, 2013

Denda jadi ‘lembu’ tak siap kerja rumah

Denda jadi ‘lembu’  tak siap kerja rumahDua dari kiri Yarnis Kasuma Dewi, Mohamad Amin, Muhammad Naswinder Muhammad Hamid dan Siti Aisyah mengadakan sidang media di Taman Permai, Sungkai, semalam. - Foto Farhan Najib

Sungkai: Leher digantung 10 biji loceng, disuakan dengan rumput untuk dimakan dan diejek dengan panggilan lembu oleh murid lain serta guru.

Itu detik memalukan terpaksa dilalui dua murid Tahun Empat sepanjang sesi persekolahan di sebuah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) di sini, Khamis lalu, disebabkan tidak menyiapkan ‘kerja rumah’ mata pelajaran Bahasa Inggeris.

Turut dirotan guru



Lebih menyedihkan, selain turut dirotan, dua kanak-kanak berusia 10 tahun itu tidak dibenarkan pulang ke rumah sebaik tamat sesi persekolahan pada jam 1.30 tengah hari, sebaliknya diminta menyudahkan tugasan yang belum disiapkan di sekolah sehingga jam 4 petang, tanpa menjamah sebarang makanan.

Anehnya, dua murid lain bukan beragama Islam yang juga tidak menyiapkan tugasan sekolah berkenaan dilepaskan daripada sebarang hukuman atas alasan ‘masalah kesihatan.’

Guru Bahasa Inggeris berusia 20-an, turut didakwa melontarkan kata-kata ‘lembu tidak buat kerja rumah, mesti kena makan rumput,’ manakala guru lain yang masuk ke kelas itu pula berkata ‘sejak bila dalam kelas ini ada dua ekor lembu,’ rakan sekelas mengejek mereka dengan panggilan lembu.
Kesal dengan perbuatan itu, ibu kepada dua kanak-kanak berkenaan, membuat laporan polis di Balai Polis Sungkai pada jam 1.20 tengah hari, kelmarin.

Ibu kepada seorang kanak-kanak terbabit, Yarnis Kasuma Dewi Zainal Aripin, 32, berkata beliau diberitahu rakan anaknya bahawa guru terbabit turut mengambil gambar mereka berdua memakai loceng menggunakan telefon bimbitnya dan menunjukkan gambar itu kepada murid di kelas lain, sambil mengugut akan memuat naik gambar itu dalam Facebook.

“Akibat kejadian itu, anak saya fobia ke sekolah semalam. Saya kecewa, sedih dan sakit hati anak saya diperlakukan seperti itu,” katanya ketika ditemui di kawasan Surau Awamiah, Taman Permai, di sini, semalam.

Seorang daripada murid yang turut menyertai pertemuan itu bagaimanapun mengakui mereka tidak makan rumput yang diberikan tetapi diberi amaran supaya tidak membuka loceng yang digantung di leher sehingga jam 1.30 tengah hari, jika tidak mahu dirotan sebanyak 10 kali.


Guru tak ikhlas mohon maaf

Ibu kepada seorang lagi kanak-kanak, Siti Aisyah Hashim, 32, berkata dalam pertemuan dengan guru terbabit dan guru besar sekolah berkenaan di Balai Polis Sungkai, petang kelmarin, guru berkenaan memohon maaf, tetapi seperti tidak ikhlas. Pertemuan itu turut dihadiri dua wakil Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batang Padang.

Bapa saudara kepada seorang murid terbabit, Muktasis Hashim, 28, berkata guru itu menyatakan dua murid lain tidak dihukum kerana ada perakuan masalah kesihatan.

“Saya katakan kepadanya anak saudara saya pun ada surat doktor berkaitan asma, dia hanya diam,” katanya.

Sehubungan itu, ketiga-tiga mereka mendesak pihak berwajib mengambil tindakan tatatertib terhadap guru terbabit, termasuk memindah-kannya ke sekolah lain dengan menegaskan isu itu mungkin berpanjangan jika guru berkenaan masih terus mengajar di di situ.

Usaha media untuk mendapatkan komen guru besar sekolah berkenaan tidak dilayan dan pengawal keselamatan sekolah memaklumkan beliau sibuk, selain tidak mahu diganggu.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Perak, Muhamat Roli Hassan, berkata pihaknya akan menunggu hasil siasatan PPD Batang Padang sebelum mengambil tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliaw, berkata guru berusia 26 tahun itu yang baru dua tahun mengajar di sekolah berkenaan mengaku melakukan perbuatan terbabit tetapi menafikan memberi murid memakan rumput.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tanjung Malim, yang juga Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Ong Ka Chuan dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tanjung Malim, Mohamad Amin Othman, meminta semua pihak tidak menjadikan kes itu sebagai isu perkauman.

Majlis pengebumian penuh hiba


5 Ogos 2013
Majlis pengebumian penuh hiba
Api marak dalam kebakaran rumah yang meragut tiga nyawa di Laluan Taman Meru 24, Meru Hills, kelmarin.
Majlis pengebumian penuh hiba
info grafik: kebakaran rumah pengasas kecantikan
Majlis pengebumian penuh hiba
Dr Hasmiza menyiram pusara kedua-dua puteranya di Tanah Perkuburan Islam Meru Raya, semalam.
Muhammad Eddie Zuhdie Mohd Amin
Muhammad Eddie Zuhdie Mohd Amin
Majlis pengebumian penuh hiba
Muhammad Edrie Zikrie
Majlis pengebumian penuh hiba Api marak dalam kebakaran rumah yang meragut tiga nyawa di Laluan Taman Meru 24, Meru Hills, kelmarin.
IPOH – Majlis pengebumian jenazah dua anak lelaki pengasas produk kecantikan Vida Beauty Sdn Bhd, Datuk Dr Hasmiza Othman di Tanah Perkuburan Islam Meru Raya, di sini semalam, diselubungi suasana pilu terutama adik bongsu mereka yang turut menitiskan air mata.
Muhammad Eric Zaquan Mohd Amin, 5, ditemani kakaknya, Nor Adeline, 8, terus setia menunggu di tepi liang lahad yang menempatkan kedua-dua abangnya itu sehingga majlis selesai.

Jenazah kedua-dua mangsa, Muhammad Eddie Zuhdie Mohd Amin, 11, dan adiknya, Muhammad Edrie Zikrie, 10, dikuburkan dalam satu liang lahad pada kira-kira jam 10.15 pagi semalam.

Kebakaran berlaku pada jam 9 malam, dan Muhammad Eddie Zuhdie bersama Muhammad Edrie Zikrie ditemui maut dalam sebuah rumah yang merupakan kediaman pekerja Vida Beauty Sdn Bhd di Laluan Taman Meru 24, Meru Hills, di sini, kelmarin.

Kedua-dua mangsa ditemui bersama seorang lagi mangsa, Muhammad Norsyamil Mat Zaidi, 26, dalam bilik air di tingkat atas rumah berkenaan dan mengikut laporan bedah siasat Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), ketiga-tiga mangsa meninggal akibat sesak nafas selepas terhidu bau asap berlebihan.

Jenazah Muhammad Norsyamil dibawa pulang ke Kampung Teluk Kepayang, Bota, dekat sini untuk dikebumikan sebelum waktu Zohor manakala dua pekerja lain yang turut berada di tempat kejadian berjaya menyelamatkan diri selepas nekad terjun dari balkoni rumah itu.

Sewaktu kejadian, Dr Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Dr Vida yang tinggal di belakang kediaman pekerjanya itu tiada di rumah kerana mempunyai urusan di Pulau Pinang.

Api marak terlalu cepat

Menceritakan kejadian, salah seorang pekerja Vida Beauty yang terselamat, Khairul Anuar Abu Bakar, 32, memaklumkan api marak terlalu cepat menyebabkan semua penghuni rumah panik.

Dia juga memaklumkan mendengar beberapa letupan sebelum terhidu asap yang merebak pantas dan segera turun ke bahagian bawah rumah di mana dia melihat api mula merebak serta kotak suis meletup.

"Keadaan itu menyebabkan seluruh rumah bergelap. Saya berlari kembali ke atas dan cuba selamatkan dua beradik itu, tetapi mereka meronta-ronta ingin pergi kepada Muhammad Norsyamil yang berada dalam bilik air.

"Dalam sekelip mata, asap memenuhi ruang di tingkat atas rumah dan saya tak dapat lihat kelibat mereka lagi," katanya.

Menurutnya, selepas cubaan menyelamatkan ketiga-tiga mangsa gagal, dia mengikuti rakannya, Rofi Ismail, 31, berlari menuju balkoni rumah dan nekad terjun menyelamatkan diri.

Dia yang baru enam bulan bekerja sebagai pereka grafik di Vida Beauty mengakui bernasib baik kerana terjatuh di atas khemah kanopi berhampiran, manakala Rofi patah kedua-dua kaki.

Pada hari kejadian, syarikat tersebut sedang bersiap-siap untuk menyampaikan bantuan baju raya dan menyerahkan makanan sahur kepada rumah anak yatim di Tanah Hitam, Chemor.

Difahamkan, sebelum kejadian, Khairul Anuar mendengar beberapa bunyi letupan mercun tidak jauh dari kediaman itu.

Bomba kumpul sampel
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, P Samasuvam berkata, bomba masih menjalankan siasatan terperinci bagi mengetahui punca kejadian termasuk mengumpul sampel kebakaran untuk dihantar ke makmal.

"Keputusan sampel hanya boleh diketahui dalam tempoh 14 hari. Seramai lima anggota Forensik Bomba dan Penyelamat turut bantu siasat punca kebakaran dan jumlah kerugian," katanya.

Beliau memaklumkan, api berjaya dikawal kira-kira setengah jam kemudian, namun kerja pemadaman terus dijalankan bagi mengurangkan tekanan haba tinggi dalam rumah berkenaan.

Kebakaran dipercayai mengakibatkan kerugian jutaan ringgit apabila turut mengakibatkan tiga motosikal serta dua kereta jenis Bentley dan Perodua Kancil musnah.

Akibat kebakaran itu, dinding di rumah bersebelahan turut mengalami keretakan.

Terbabas akibat tayar pecah


6 Ogos 2013
Terbabas akibat tayar pecah
Terbabas akibat tayar pecah Anuar melihat keretanya yang terbalik


KUALA PILAH – Seorang pemuda nyaris maut apabila kereta yang dipandunya terbabas lalu terbalik selepas tayar keretanya pecah di jalan Kuala Pilah-Batu Kikir berhampiran Taman Anggerik, di sini, semalam.

Dalam kejadian 8.45 pagi itu, Anuar Zakaria, 31, memandu sendirian dalam perjalanan dari rumahnya di Senaling ke pekan Batu Kikir.

Menurutnya, setiba di lokasi kejadian, tayar kereta hadapan sebelah kanan Proton Saga yang dipandunya pecah menyebabkan keretanya hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.

"Oleh kerana hendak mengelak bertembung dengan tiga kereta yang datang dari arah hadapan, saya mengawal kenderaan ke arah kiri jalan menyebabkan kereta berpusing sebelum terbalik dan melanggar sebatang pokok," katanya.

Anuar berkata, dia bersyukur kerana kemalangan itu tidak melibatkan orang lain dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kalau saya membawa penumpang pasti keadaan lebih parah memandangkan keadaan kereta yang remuk akibat terlanggar pokok," katanya.

Sinar Harian difahamkan, dalam tempoh dua minggu sahaja sudah ada tiga kemalangan melibatkan kereta di lokasi sama dan semuanya disebabkan terbabas.

Penduduk tempatan, Maarof Ahmad, 66, berkata, kawasan itu sememangnya sering terjadi kemalangan.

“Saya nasihatkan agar pemandu berhati-hati melalui jalan ini. Selekoh di sini agak tajam dan selalu mengundang kemalangan lebih-lebih lagi di musim perayaan kerana kenderaan yang akan melalui jalan ini pasti bertambah," katanya.

Akibat nahas, 2 beranak bergelar OKU


9 Ogos 2013

KUALA TERENGGANU - Akibat kemalangan jalan raya, dua beranak di sini bergelar orang kurang upaya (OKU) selepas sebelah kaki masing-masing terpaksa dipotong susulan kecederaan ketika nahas empat tahun lepas itu.

Kecacatan yang dialami Zila Mohamad, 36, dan ayahnya Mohamad Mat Diah, 70, itu menyebabkan mereka kini sukar mencari rezeki kerana ketiadaan kaki palsu.

"Dulu kerja senang tapi sekarang ni susah, nak makan pun susah, siapalah yang nak ambil saya bekerja dalam keadaan cacat macam ini.

"Walaupun kerja sebagai tukang sapu, dulu saya tak pernah meminta-minta bantuan dari orang kerana selagi boleh berdikari saya akan buat sendiri," kata Zila ketika ditemui Bernama di rumah ayahnya di Bukit Payung di sini.

Dia bagaimanapun bersyukur kerana keluarganya dapat memiliki rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) beberapa tahun lalu.

Selain menjaga ayah serta ibu tirinya, Dayang Ibrahim, 80, yang tinggal bersamanya, Zila juga mempunyai dua anak OKU iaitu Mohd Hafizudin Mohd Marzuki, 13 dan adiknya Mohd Iqhwan, 11, yang masing-masing OKU lembam.

"Kami kini bergantung penuh kepada suami Mohd Marzuki Jambo, 43, yang berniaga pisang goreng di depan rumah, selain bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 sebulan," katanya.

Zila sebelum itu menerima sumbangan daripada Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC) Terengganu dalam bentuk barangan keperluan dapur bagi membantu mereka menyambut Aidilfitri.

Menurut Timbalan Pengerusi MAYC Terengganu Mohd Hishamudin Ali, keluarga Zila sentiasa dibantu persatuan itu dan pihaknya sedang mengusahakan bantuan kaki palsu untuk Zila dan ayahnya.

"MAYC Terengganu seboleh mungkin cuba mendekati golongan kurang bernasib baik seperti mereka agar sambutan Aidilfitri kali ini menggembirakan mereka terutama dua anak Zila yang tidak tahu apa-apa," katanya. - Bernama

Rayu anak pulang


Rayu anak pulang
Rayu anak pulang Fuziah menahan kesedihan ketika menunjukkan jubah sering dipakai Ain yang tidak ditemui sejak lebih sebulan lalu sambil diperhatikan Zainal


Rayu anak pulang
Norain
TEMERLOH - Pasangan suami isteri Zainal Ismail 66, dan isteri Fuziyah Mansor 53, merayu anak gadis mereka, Norain, 23, yang menghilangkan diri lebih sebulan lalu pulang ke pangkuan keluarga bagi menyambut Aidilfitri bersama.

Fuziah berkata, anak gadisnya yang mesra disapa Ain, keluar rumah 28 Jun lalu untuk memulakan kerja sebagai jururawat di sebuah hospital swasta di Kuantan dan buat sementara waktu dia tinggal bersama kakak dan abang iparnya.

Menurutnya, Ain anak keempat dari lima beradik itu menghilangkan diri ketika berada di rumah kakaknya di Kuantan, 9 Julai lalu.

"Tanpa sebarang sebab, kami dimaklumkan Ain menghilangkan diri dengan barang peribadi dan dia ada hantar mesej kepada kakaknya memohon maaf serta memaklumkan keluar mahu cari ketenangan.

"Selepas itu langsung tiada khabar berita mengenainya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Bukit Tingkat, di sini, semalam.

Fuziyah berkata, tindakan Ain yang bekas pelajar lepasan Kolej Universiti Segi menghilangkan diri sangat mengejutkan keluarga memandangkan dia anak manja dan tidak pernah melakukan perkara sedemikian sebelum ini.

"Kami sekeluarga sangat merindui Ain dan buntu memikirkan nasibnya memandangkan tiada sebarang perselisihan faham yang berlaku," katanya.

Sementara itu, Zainal berkata, dia berikhtiar mencari di banyak tempat, termasuk di serata Kuala Lumpur, tempat belajar Ain di Damansara dan bertemu rakan-rakan anaknya.

Menurutnya, paling merisaukannya jika anak gadisnya itu terpengaruh dengan keldai dadah atau menjadi mangsa sindiket penipuan black money.

“Saya tahu Ain cerdik, dia tidak akan melakukan benda yang tak patut. Apa yang saya risaukan ialah keselamatannya.

“Jika dia tak selesa tinggal dengan kakaknya, dia boleh beritahu kami, tetapi apabila dia terus menghilangkan diri saya sangat buntu,” katanya.

Sehubungan itu sesiapa yang mengenali atau mengetahui lokasi Norain berada boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Fuziyah menerusi 010-5390383.

Jeritan penyelamat

Jeritan penyelamatRumah Saroji musnah dalam kebakaran di Kampung Raja Musa, malam semalam.

TANJONG KARANG - “Saya sedang menonton televisyen selepas berbuka sebelum terkejut mendengar jeritan adik yang panik melihat api marak dari sebuah bilik sebelum kami bergegas keluar dari rumah,” kata mangsa kebakaran,
Mohd Farhan Saroji di Kampung Raja Musa, malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 malam itu, mangsa bersama anak saudara sedang leka menonton televisyen sebelum terdengar jeritan adik bongsunya yang berada di tingkat atas yang terkejut melihat api marak di bahagian siling rumah.

Mohd Farhan berkata, jeritan adiknya mendorongnya untuk naik ke tingkat atas melihat keadaan yang berlaku  sebelum  menyuruh anak saudara dan kakak yang pulang untuk berbuka puasa menyelamatkan diri dan segera keluar dari rumah itu.

“Sebelum kejadian, adik Mohd Faid  Hilman terhidu bau asap sebelum memeriksa bilik yang ada tingkat atas, meskipun panik namun kami semua berjaya keluar dari rumah itu sebelum menghubungi pihak bomba,” katanya yang masih trauma dengan kejadian itu.

Berita kebakaran itu turut mengejutkan bapanya yang juga Pengerusi  Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Raja Musa, Saroji Tijan yang ketika kejadian menghadiri program penyampaian zakat di sebuah masjid berhampiran.

Saroji berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan berita buruk itu sebelum bergegas pulang ke rumah memandangkan bimbang keselamatan  ahli  keluarganya kira-kira 10 orang termasuk anak dan cucu yang berkumpul di rumahnya itu untuk berbuka puasa.

“Sebaik sahaja tiba, saya bersyukur semuanya selamat namun sebak melihat rumah yang musnah terbakar di saat umat Islam akan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya sebak.
Sementara itu, Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Seri Noh Omar yang menerima berita itu terus bergegas ke tempat kejadian sebelum menghulurkan bantuan segera bagi meringankan beban yang ditanggung keluarga terbabit.

Suami isteri meninggal dunia selang sejam 1 Syawal

DUNGUN 9 Ogos - Menepati bidalan 'sehidup semati', sepasang suami isteri warga emas menghembuskan nafas terakhir masing-masing selang sejam di hospital berbeza, semalam.
Che Mohd Yusof Che Wan Endut, 71, meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu pada 5.40 petang susulan paru-paru berair manakala isterinya Fatimah Muda, 64, di Hospital Kuala Berang kira-kira sejam kemudian.
Anak mereka, Che Wan Rashimah, 44, berkata, bapanya dirawat di HSNZ sejak Selasa lalu, manakala ibu pula yang terlantar di rumah selepas serangan angin ahmar digegaskan ke hospital petang semalam selepas keadaannya makin tenat.
"Masa ibu tengah tenat di rumah, adik telefon beritahu ayah juga sedang tenat di HSNZ. Kami kemudian gegaskan ibu ke Hospital Kuala Berang tetapi disahkan meninggal dunia sejurus tiba," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jerangau Sungai di sini.
Pemergian serentak pasangan itu turut dirasai penduduk kampung kerana kedua-duanya adalah guru al-Quran manakala Che Mohd Yusof pula imam masjid dan jurunikah bagi di daerah ini.
Beberapa penduduk kampung yang ditemui menyifatkan pasangan itu sebagai pasangan yang sentiasa bersama walau ke mana mereka pergi.
Seorang bekas pelajar al-Quran pasangan itu, Zuraidah Ismail, 42, berkata, dia merancang untuk menziarahi kedua-dua mereka pada raya kedua selepas mendengar mereka sakit.
Katanya, mereka itu terkenal sebagai pasangan romantik kerana tidak pernah berenggang.
"...mereka selalu naik motor bersama, minum di kedai dan ke kebun bersama-sama," katanya.
Jenazah pasangan suami isteri itu dikebumikan di Tanah perkuburan Kampung Panchor Jerangau di sini malam semalam. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130809/dn_10/Suami-isteri-meninggal-dunia-selang-sejam-1-Syawal#ixzz2bThikLIc
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiga maut kemalangan tiga kenderaan


SABAK BERNAM: Kegembiraan berkunjung ke rumah saudara bagi menyambut Syawal berakhir tragedi apabila tiga maut dalam kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan di Kilometer 63 Jalan Klang-Teluk Intan, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad berkata, kejadian berlaku jam 4.30 petang itu melibatkan sebuah Proton Saga yang dinaiki tiga orang penumpang dari arah Sungai Besar yang masuk ke laluan bertentangan sebelum bergesel dengan sebuah MPV jenis Nissan Hyper Cvt.
“Selepas bergesel dengan kenderaan pertama, kereta Proton Saga terbabit merempuh sebuah lagi kenderaan jenis Naza Forte yang dinaiki empat orang penumpang sebelum terbabas ke bahu jalan,” katanya.

Menurutnya, pemandu Proton Saga, Mohd Zul Fazalin, 34, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala tunangnya yang juga penumpang hadapan, Sopiah Abdullah, 24, meninggal dunia ketika menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Tanjung Karang.


“Turut maut, seorang penumpang Naza Forte, Leftenan Kolenal Ajman Bakar, 57, yang baru sahaja pulang ke Malaysia dua hari lalu manakala seorang penumpang Proton Saga yang parah masih menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh."

Ketua Mafia ditahan selepas 2 dekad

Ketua Mafia ditahan selepas 2 dekad
LONDON - ENGLAND. Setelah hampir dua dekad diburu, akhirnya seorang ketua mafia Italia berjaya ditahan pihak berkuasa di London.

Polis Metropolitan London berkata, Domenico Rancadore, 64, telah ditahan Rabu lalu berdasarkan waran Eropah yang dikenakan ke atasnya.

Dianggap sebagai ahli penting dalam kumpulan mafia Sicily Cosa Nostra, Rancadore dikehendaki polis Itali selama 19 tahun dan turut berada dalam senarai penjenayah paling berbahaya di Rom.

Malahan Rancadore turut mempunyai hukuman penjara tujuh tahun yang masih belum dilaksana di Itali untuk aktiviti mafia berkaitan, berdasarkan  waran tangkap yang dikeluarkan.

"Beliau telah diambil ke dalam jagaan polis dan dijadualkan untuk hadir di mahkamah Westminster majistret hari ini (semalam)," kata polis dalam satu kenyataan.

Rancadore, yang dikenali dengan nama samaran "u profissuri" (guru) dalam mafia, mempunyai seorang isteri berbangsa British dan dua orang anak.

Dia juga menguruskan sebuah agensi pelancongan yang berjaya di Britain sebelum dia ditangkap, menurut laporan media Itali.

Waran tangkap yang dikeluarkan ke atasnya adalah hukuman penjara berkaitan aktiviti mafia antara tahun 1987 dan 1995 di Palermo, bandar utama di pulau Sicily.

Waran tangkap antarabangsa untuk Rancadore telah dikeluarkan pada tahun 1998.

Lelaki cedera parah ditembak di Chemor


IPOH: Seorang lelaki yang sedang memandu kereta cedera parah selepas terkena tembakan dilepaskan dua suspek bermotosikal di Taman Klebang Putra, dekat Chemor di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong, berkata dalam kejadian kira-kira 11.15 malam itu, dua lagi yang berada dalam kereta itu dipercayai anggota keluarga lelaki berusia 29 tahun itu tidak mengalami kecederaan.
"Kedua-dua suspek yang menaiki sebuah motosikal menghampiri kereta mangsa yang sedang dipandu di kawasan perumahan berkenaan dan dipercayai melepaskan enam das tembakan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri rumah terbuka Aidilfitri Balai Polis Pekan Baru di sini, hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua suspek memakai topi keledar 'full face' semasa melakukan jenayah berkenaan dan identiti mereka tidak dapat dikenal pasti buat masa sekarang.

Polis menjumpai enam kelongsong peluru di atas jalan tempat kejadian berkenaan dan setakat ini polis menerima satu laporan daripada seorang saksi berhubung kejadian itu, katanya.

Sum berkata, mangsa yang bukan berasal dari sini sedang dirawat di sebuah hospital di sini dan keadaannya dilaporkan stabil.

- BERNAMA

Lelaki mati ditembak di Jalan Anson, Georgetown

Lelaki mati ditembak di Jalan Anson, GeorgetownMANGSA maut ditembak dengan tembakan melalui tingkap tempat pemandu keretanya di Jalan Anson.

GEORGETOWN: Seorang lelaki yang mempunyai tiga rekod jenayah dadah ditembak mati ketika memandu di Jalan Anson sini kira-kira jam 11.50 pagi ini.

Mangsa berusia 37 tahun maut ditembak dengan tembakan melalui tingkap tempat pemandu keretanya, BMW 5 Series apabila mangsa berhenti di lampu isyarat di Jalan Anson.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, mangsa dipercayai ditembak mati oleh dua suspek yang menunggang motosikal dan berhenti di tepi keretanya lalu melepas tembakan.


"Mangsa mati selepas satu daripada 14 tembakan menembusi leher kanannya.

"Kira-kira 14 kelonsong peluru dijumpai di tempat kejadian," katanya kepada pemberita di tempat kejadian, hari ini.

Dalam pada itu, Kong Meng berkata mangsa berkenaan yang berasal dari Air Itam mempunyai rekod jenayah sebelum ini.

Tambahnya, kereta tersebut bukan dimiliki oleh mangsa tetapi dipercayai dimiliki oleh kawannya.
Katanya, pihak polis akan menyiasat kes itu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 

5 cedera, 1,800 dipindahkan akibat kebakaran di timur Los Angeles

5 cedera, 1,800 dipindahkan akibat kebakaran di timur Los AngelesLOS ANGELES: Seribu anggota bomba California dikejarkan ke lokasi kebakaran di timur Los Angeles yang mencederakan lima orang dan memaksa kira-kira 1,800 penduduk meninggalkan kediaman mereka, kata pihak berkuasa hari ini.

Mereka yang cedera termasuk empat anggota bomba dan seorang awam, kata Jabatan Bomba County Riverside.
Ketua Bomba, John Hawkins berkata mangsa dikeluarkan daripada kawasan kebakaran menggunakan helikopter.


Kira-kira 15 bangunan musnah dalam kejadian kira-kira 150 kilometer di timur Los Angeles itu. - AFP

Tiga beranak maut nahas di Sungkai


IPOH: Tiga beranak maut, manakala tiga lagi parah selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kenderaan lain di Kilometer 85.5 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, dekat Sungkai, petang semalam.

Dalam kejadian jam 6.20 petang itu, mereka yang maut dikenali S Angamah, 35 (ibu) dan dua anak perempuannya K Bavani, 16 dan K Komadhi, 11.
Manakala yang parah dikenali M Kalimuthu, 40, (suami) dan dua lagi anaknya dikenali K Gayatri, 17 dan K Mathan berusia enam tahun.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliaw ketika dihubungi berkata, kemalangan membabitkan dua kereta yang terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung.

"Kemalangan itu menyebabkan tiga mangsa maut di tempat kejadian manakala tiga lagi yang parah dikejarkan ke Hospital Slim River untuk rawatan.

"Kesemua mangsa terdiri daripada satu keluarga, manakala seorang pemandu kenderaan lain dikenali Sharul Nizam Zainud,39, tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Bot ikan bilis terbakar, kerugian kira-kira RM1 juta


LANGKAWI: Sebuah bot menangkap ikan bilis musnah terbakar yang mengakibatkan kerugian kira-kira RM1 juta di Jeti Bukit Malut hari ni.

Bot yang dilabuhkan di jeti itu tidak dijaga kerana semua awak-awaknya bercuti sempena hari raya.
Menurut pihak bomba, seorang lelaki yang cuba memadam api cedera ringan dan dirawat di hospital.


Ketua Pegawai Bomba dan Penyelamat Langkawi, Yaakob Hassan berkata pukat,
enjin bot serta peralatan lain musnah terbakar dalam kejadian 2.10 petang itu.

Punca kebakaran masih disiasat, katanya.

- BERNAMA

Cinta sambil menyamun

Foto
BARANGAN curi yang ditemui pada suspek.
Foto
AIDA (empat dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan alat yang digunakan untuk mencuri kereta.

Kuala Lumpur: Hanya berbekalkan alat mematikan sistem penggera kenderaan, dua pasangan kekasih aktif mencuri lebih 10 kenderaan di sekitar Brickfields serta terbabit dengan pengedaran dadah sejak setahun lalu.
Bagaimanapun, hasil intipan dan risikan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, kedua-dua pasangan berkenaan berjaya dicekup dalam serbuan di sebuah unit kondominium di Jalan Kuchai Lama, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Aida Abdul Hamid berkata, dalam serbuan kira-kira jam 10 pagi itu, suspek yang berusia 31 dan 36 tahun ditahan di kondominium yang dihuni mereka.
Beliau berkata, premis itu juga dipercayai menjadi lokasi persembunyian mereka dan penyimpanan stok dadah yang diedarkan di sekitar Lembah Klang.

Menurutnya, polis juga menemui sebuah kereta Proton Waja yang dilaporkan hilang dan ketika itu dua suspek itu wanita hendak memasuki kenderaan berkenaan yang diletakkan di kawasan kondominium. “Dalam pemeriksaan di dalam kondominium itu, polis menemui pelbagai barangan yang disyaki digunakan untuk mencuri kenderaan, selain komputer riba, telefon bimbit dan dadah jenis syabu serta Eramin 5 bernilai kira-kira RM50,000,” katanya pada sidang media, semalam.

Aida berkata, pihaknya turut merampas dua kereta jenis Proton Waja yang turut menjadi tempat simpanan peralatan mencuri kenderaan seperti alat mematikan sistem penggera.
Katanya, siasatan mendapati kedua-dua pasangan itu akan memilih mangsa secara rawak dan mereka akan menggunakan senjata tajam sekiranya mangsa cuba melawan.

“Kenderaan curi itu digunakan untuk tujuan jenayah selain dijual sejak setahun lalu.
“Keempat-empat suspek positif dadah jenis syabu ketika ditahan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 397a Kanun Keseksaan dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

‘Kita raya ibu boleh ke syurga jumpa ayah’


Kangar: “Kita rayakan ibu. Boleh naik ke syurga jumpa ayah?“ kata Noor Aqmar Amiruddin, 5, yang menimbulkan rasa sebak buat ibunya, Noor Aziah Noor sejak beberapa hari lalu menjelang umat Islam menyambut Aidilfitri.

Sikap anak sulung Allahyarham Asisten Superintendan Polis Zulkifli Mamat itu seolah-olah cuba menzahirkan impiannya untuk bertemu dengan arwah bapanya selepas mengetahui Aidilfitri kian menjelang ketika memakai pakaian baru yang dibelikan.


Noor Aziah berkata, anak-anaknya masih tidak memahami ketiadaan bapa mereka yang terkorban dalam pertempuran dengan kumpulan penceroboh di Lahad Datu, Sabah pada Mac lalu.

“Mereka sering bertanya mengenai arwah (suami). Justeru, saya menyatakan bahawa ayah berada di syurga, namun tidak menyangka Aqmar akan mengajak naik ke syurga untuk berjumpa ayahnya,” katanya selepas majlis penyampaian sumbangan anggota polis di Taman Seri Sena, di sini, semalam.


Menurutnya, Aqmar bukan saja merindui arwah, malah sentiasa berharap bapanya pulang ke rumah bagi menyambut Syawal bersama-sama keluarga.


“Tahun ini, hari raya disambut dengan kadar sederhana dan suram kerana ketiadaan arwah, malah baju raya anak juga dibelikan ahli keluarga. Saya tidak boleh bergerak banyak kerana hamil tujuh bulan dan dijangka melahirkan bayi pada Oktober nanti,” katanya.

Menceritakan pengalaman berpuasa pada tahun ini, Noor Aziah berkata, suasana menjadi agak suram terutama waktu sahur dan berbuka kerana hanya dia bersama dua anaknya yang ada. Sementara itu, Ketua Polis Perlis Datuk Zull Aznam Haron berkata, sumbangan dihulurkan anggota polis bersempena Aidilfitri bertujuan menjunjung tinggi jasa bakti yang dicurahkan Allahyarham kepada negara.


“Walaupun nilai sumbangan tidak seberapa, namun ia sebagai tanda ingatan pihak polis dan kontinjen Perlis kepada Allahyarham Zulkifli yang terkorban demi menjaga kedaulatan negara,” katanya.

Kediaman terbakar ketika goreng ayam


Alor Gajah: “Hati siapa yang tidak sayu apabila hanya mampu menyaksikan rumah didiami musnah dijilat api, malah semua kelengkapan bagi menyambut Aidilfitri esok (hari ini) tidak dapat diselamatkan,” kata Amir Abu Hassan, 27, apabila rumah sewanya dan rumah bersebelahan di Kampung Gangsa, di sini, musnah terbakar kira-kira jam 10.45 pagi, semalam.

Kebakaran turut membabitkan dua lagi rumah bersebelahan termasuk rumah ibu Amir, Kamsiah Ali, 54.


Amir berkata, ketika kejadian dia bersama isteri, Norita Md Rasul, 27, di rumah ibunya yang terletak bersebelahan dan hanya mengetahui mengenai kejadian itu selepas melihat asap tebal.

“Saya sedang menggoreng ayam bersama ahli keluarga lain sebelum terlihat asap tebal, apabila berjalan ke depan, saya tergamam melihat api marak di bahagian tengah antara kedua-dua rumah.


“Bagaimanapun, rakan sempat menghubungi bomba dan ketika itu saya bersama beberapa rakan lain sempat menyelamatkan kereta Perodua Kenari diletakkan di hadapan rumah,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Menurutnya, kebakaran itu mengakibatkan kerugian kira-kira RM15,000 dan dia sekeluarga tinggal sehelai sepinggang kerana dompet, telefon bimbit dan simpanan wang tunai kira-kira RM500 bagi membeli barangan kelengkapan untuk menyambut kelahiran cahaya mata pertama November ini yang simpan di dalam almari turut musnah.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Anuar Ahmad, 41, berkata dia yang ketika itu berada di rumah ibunya di Padang Keladi, Durian Tunggal hanya mengetahui mengenai kejadian selepas dihubungi jirannya kira-kira jam 11 pagi.


Anuar berkata, mengikut perancangan, dia sepatutnya membawa isterinya Surihani Mat Tahir Noor, 37, dan dua anak serta segala kelengkapan Aidilfitri ke rumah ibunya petang semalam.

“Kami sekeluarga ke rumah ibu jam 8 malam tadi (semalam) dan saya sempat pulang ke rumah jam 10 malam untuk memastikan rumah dalam keadaan baik kerana akan pulang pagi ini (semalam) sebelum pergi ke sana dengan membawa semua kelengkapan.


“Tidak sangka kejadian ini berlaku sekali gus mengakibatkan bukan hanya persiapan Aidilfitri yang sudah siap musnah, tetapi rumah disewa sejak empat tahun lalu menjadi abu termasuk motosikal jenis Yamaha Lagenda yang diletakkan di luar rumah,” katanya yang kerugian lebih RM10,000.


Dalam pada itu, Razak Abdullah, 40, berkata, dia bersyukur kerana kebakaran hanya memusnahkan bahagian dapur rumahnya, manakala isterinya Hasnida Dahlan, 43, dan empat anak mereka berusia 14 hingga 19 tahun yang ketika itu berada di dalam rumah selamat.


“Ketika kejadian saya bekerja di Kem Terendak, Sungai Udang, walaupun makanan bagi menyambut Aidilfitri yang sudah siap dimasak dan kelengkapan membuat rendang termasuk kuih raya rosak namun saya bersyukur tiada kemalangan jiwa berlaku,” katanya.


Sementara itu, Penguasa Bomba Kanan II Balai Bomba Penyelamat Ayer Keroh Hairul Nizam Ridhuan berkata, pihaknya menerima panggilan jam 10.51 pagi dan tiba di lokasi jam 11.06 pagi.

Helikopter buat pendaratan cemas


Subang: Seramai 23 penumpang sebuah helikopter digunakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk membuat tinjauan udara keadaan trafik di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) terselamat selepas melakukan pendaratan cemas di sebuah padang sekolah di Slim River, Perak, semalam.

Kejadian berlaku pada jam 9.56 pagi sejurus kerosakan pada sistem transmisi utama pesawat buatan Rusia itu dikesan juruterbang Penguasa Kanan Bomba I Saiful Nizam Samsuddin.


Ketika itu helikopter itu baru 15 minit berlepas dari Pengkalan Udara JBPM (PUJBPM).

Pegawai Memerintah Unit Udara PUJBPM Subang Mohd Yassin Yahya berkata, helikopter menggunakan teknologi era 1960-an yang digunakan JBPM sejak 1997 itu turut membawa Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan selain 12 wakil media cetak dan elektronik.

Lelaki curi rantai RM7,440 ditembak


Kuala Lumpur: Cubaan seorang lelaki untuk mencuri seutas rantai emas dari sebuah kedai emas di Pasar Keramat, di sini, semalam, berakhir dengan dia cedera di paha akibat ditembak pemilik kedai emas berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.15 tengah hari itu, suspek yang memakai topi bola lisut pada mulanya berpura-pura mahu membeli barang kemas.


Isteri pemilik kedai berkenaan, Norliza Abdullah, 45, berkata, ketika kejadian dia bersama suaminya yang berusia 64 tahun berada di dalam kedai sebelum didatangi suspek yang berbadan tegap.

“Lelaki memakai topi itu meminta saya mengeluarkan rantai paling berat dan saya mengeluarkan rantai seberat 45.47gram berharga RM7,440.


“Dia membelek rantai berkenaan sebelum melarikan diri dan saya dan suami mengejarnya kira-kira 150 meter dari kedai,” katanya.


Menurutnya, suspek kemudian jatuh selepas terlanggar batu pembahagi jalan, namun masih melawan apabila diminta menyerahkan semula rantai yang dicuri.

“Ketika suami saya mengeluarkan pistol dari pinggangnya untuk mempertahankan diri, dia terlepas tembakan dan mengenai paha kiri lelaki itu.


“Suami saya ada lesen untuk pistolnya sejak dua tahun lalu dan sentiasa membawa pistol bersamanya, tapi ini kali pertama dia menggunakan pistol itu,” katanya.

Norliza berkata, dengan bantuan orang ramai suspek berjaya ditangkap dan diserahkan kepada anggota polis yang tiba di lokasi kejadian. Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, suspek yang berusia 26 tahun kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan dilaporkan stabil.


“Semakan mendapati pemilik kedai itu memiliki lesen senjata api dan suspek pula ada rekod membabitkan kes dadah,” katanya.

Insiden kereta Datuk Seri dibom disiasat


Kuala Lumpur: Polis masih menyiasat punca kereta seorang ahli perniagaan diletupkan dengan bom di Taman Taynton View, Cheras, di sini kira-kira jam 8.45 malam, Isnin lalu.

Dalam kejadian itu, ahli perniagaan bergelar Datuk Seri dan pemandunya sempat menyelamatkan diri, namun kereta jenis Jaguar yang dinaiki mereka musnah di bahagian but akibat letupan yang berlaku.


Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh, berkata ahli perniagaan itu yang juga bekas tahanan Ordinan Darurat dan memiliki beberapa restoran dan kelab malam di ibu kota tidak mengalami kecederaan.

“Polis masih menyiasat punca kejadian berkenaan dan tiada tangkapan dilakukan sehingga kini,” katanya semalam.


Dalam kejadian berkenaan, kereta dinaiki ahli perniagaan bersama pemandunya meletup ketika melalui Jalan Nadchantiram. Dipercayai, bom itu dipasang di bahagian belakang kereta mangsa.


Bagaimanapun, mereka berjaya keluar dari kereta untuk menyelamatkan diri.

Tiga anggota Geng 08 Vinod ditahan


Gombak: Tiga lelaki dipercayai ahli kumpulan Geng 08 Vinod ditahan polis ketika mereka yang menaiki pacuan empat roda jenis Isuzu D’Max cuba melarikan diri dari sekatan jalan raya, awal pagi semalam.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu seorang lagi rakan mereka berjaya melarikan diri selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas di Jalan Ulu Yam, Selayang.


Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, sebelum kejadian suspek menghampiri sekatan jalan raya oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Kilometer (KM) 12.9 Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menghala ke Batu Caves.



“Tiba-tiba kereta suspek terus masuk ke lorong kiri dan melanggar kon sekatan sebelum melarikan diri ke susur Greenwood. Anggota JPJ mengejar suspek sehingga ke persimpangan lampu isyarat dan suspek dilihat mengeluarkan satu objek dipercayai pistol dan mengacukan ke arah mereka.


“Bagaimanapun suspek tidak melepaskan tembakan sebaliknya terus melarikan diri dan beberapa kali cuba menghimpit kereta JPJ yang mengekori mereka sehingga ke susur Taman Sri Gombak,” katanya.


Menurutnya, Unit Peronda Polis (MPV) yang menerima maklumat berhubung kejadian itu turut bertindak mengesan kereta suspek dan mengekori mereka sebelum menahan seorang suspek berusia 21 tahun selepas kereta mereka terbabas di Jalan Ulu Yam.

Abdul Rahim berkata, tiga lagi suspek melarikan diri ke dalam hutan berhampiran, namun dua suspek berusia 20 dan 22 tahun ditahan polis dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9).


“Seorang lagi suspek kini sedang diburu dan dipercayai masih bersembunyi di dalam hutan terbabit.

“Polis tidak menolak kemungkinan semua suspek terbabit dalam beberapa kes curi kereta, selain samun di sekitar Selayang dan Rawang,” katanya.

Kenderaan rasmi Agong terlibat kemalangan



IPOH - Kenderaan rasmi Yang di-Pertuan Agong yang sedang menghala ke utara terlibat kemalangan dengan kenderaan pengiringnya di Km368.9, Lebuhraya Utara Selatan berhampiran susur keluar Slim River, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Tanjung Malim Supt Osman Nayan berkata bagaimanapun dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi itu, hanya pemandu rasmi bersendirian dalam kereta Mercedes Benz itu.

"Kereta pengiring cuba mengelak daripada melanggar sebuah kereta lain yang tidak dipastikan nombor pendaftarannya apabila pemandunya memperlahankan kereta secara tiba-tiba.

"Oleh kerana jarak terlalu dekat pemandu kereta pengiring turut membrek sebelum dilanggar dari arah belakang oleh pemandu kereta rasmi Yang di-Pertuan Agong," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Katanya kejadian itu berlaku di laluan lurus dan permukaan jalan adalah kering dan berstruktur baik.

Beliau berkata kereta rasmi terbabit mengalami kerosakan di bahagian hadapan manakala kereta pengiring turut terjejas di bahagian belakang.

Pemandu kenderaan rasmi itu dan dua anggota pengiring terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan, katanya. - Bernama

'Bouncer' pusat hiburan cedera terkena tembakan


GEORGETOWN: Seorang 'bouncer' di sebuah pusat hiburan di Jalan Keramat di sini, cedera di paha selepas terkena tembakan dalam kejadian awal hari ini.

Chong Peng Meng, 43, dari Flat Jalan Tan Sri Teh Ewe Lim bersama rakannya ditembak seorang suspek bertopi keledar sejurus tiba di tempat letak kereta pusat hiburan itu pada jam 12.50 pagi.

"Suspek telah melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa yang sedang turun dari keretanya jenis BMW dan satu das tembakan mengenai paha sebelah kiri mangsa," kata Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng ketika dihubungi Bernama di sini.

Gan berkata mangsa yang kini dirawat di Hospital Pulau Pinang dilapor dalam keadaan stabil manakala rakannya tidak cedera.


Siasatan awal polis di tempat kejadian menemukan tujuh kelongsong peluru jenis 9mm dan mendapati satu das tembakan mengenai kereta jenis Perodua Myvi milik orang awam, katanya.


Katanya polis percaya kejadian ada kaitan dengan pergaduhan antara kumpulan kongsi gelap.

Seorang saksi yang mahu dikenali sebagai Tan, 43, berkata suspek yang berkulit cerah telah mengacukan pistol ke arah tempat duduk pemandu ketika mangsa sedang keluar dari kereta itu.

"Suspek yang bertopi keledar hitam telah melepaskan beberapa das tembakan sebelum melarikan diri dengan sebuah motosikal yang tidak diketahui nombor plat dan jenisnya," katanya. - Bernama

Tiga beranak maut ketika bersiar-siar




IPOH - Seorang ibu dan dua anak perempunnya maut dalam kemalangan di Km 85.5 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh berhampiran Sungkai semalam.

Sementara suami dan dua lagi anaknya cedera parah dalam kemalangan kira-kira 6.20 petang itu apabila kereta yang mereka naiki terbabas ke laluan bertentangan.

Wanita tersebut dikenali sebagai S. Angamah, 35, sementara anak-anaknya yang meninggal dikenali sebagai Komadhi, 11, dan Bavani, 16.

Suaminya pula M.Kalimuthu, 40, cedera bersama ana-anak mereka iaitu Gayatri, 17, serta Mathan, 6.

Menurut Ketua Polis Daerah Tapah Supt Som Sak Din Keliaw, setelah kereta Proton Iswara yang dipercayai dipandu Kalimuthu terbabas, ia kemudiannya bertembung dengan sebuah kereta Proton Exora yang datang dari arah Slim River menuju Sungkai.

Keluarga mangsa yang berasal dari Sungkai dipercayai keluar untuk bersiar-siar di sekitar pekan berhampiran sebelum insiden berkenaan berlaku, kata Som Sak ketika dihubungi.

Mangsa meninggal di tempat kejadian sementara yang cedera dirawat di Hospital Slim River.

Pemandu kereta Proton Exora berkenaan hanya mengalami cedera ringan. - Bernama

Dua pasangan kekasih dicekup

Oleh NUR AISHAH AMIN
nuraishah.amin@kosmo.com.my
KUALA LUMPUR - Kegiatan dua pasangan kekasih mencuri kenderaan dengan menggunakan alat mematikan sistem penggera kereta tidak bertahan lama apabila mereka diberkas kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Aida Abdul Hamid berkata, empat suspek yang berusia 31 hingga 36 tahun itu ditahan secara berasingan di sebuah kondominium di Jalan Kuchai Lama di sini pada pukul 9 pagi.

"Penahanan terhadap kumpulan suspek itu dibuat selepas polis menerima satu laporan berkaitan kes curi kenderaan di kawasan Petaling di sini.

"Polis yang melakukan intipan menemui kereta tersebut jenis Proton Waja yang dinaiki dua wanita di kawasan tempat letak kenderaan kondominium berkenaan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di sini semalam.

Menurut Aida, soal siasat lanjut, polis kemudian menyerbu sebuah rumah di situ dan menahan dua lelaki di dalamnya.



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0808&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm#ixzz2bSNKBom4
Hakcipta terpelihara 

2 remaja British disimbah asid di Zanzibar


DAR ES SALAAM: Seorang lelaki yang sedang menunggang motosikal menyimbah asid ke arah dua remaja perempuan British di rantau Zanzibar, wilayah semi autonomi Tanzania, menyebabkan wajah, dada dan bahagian belakang badan mangsa mengalami kecederaan teruk, kata seorang pegawai kanan polis hari ini.

Kedua-dua mangsa berasal dari Manchester, utara England. Mereka diterbangkan ke Tanzania sebagai sukarelawan di sebuah sekolah tempatan di Zanzibar, pulau yang popular di kalangan pelancong antarabangsa.
Sementara itu, Pejabat Luar Britain berkata dalam satu kenyataan, negara berkenaan mengambil berat mengenai serangan itu dan sedang berhubung dengan pihak berkuasa Tanzania untuk tindakan selanjutnya. - Reuters 

7 rumah setinggan di Sentul Pasar hangus terbakar


KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya tujuh rumah setinggan di Kampung Chubadak, Sentul Pasar di sini musnah dalam satu kebakaran malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sentul, Zahari Mohamad, berkata kedudukan
rumah yang sesak dan terletak berdekatan antara satu sama lain menyebabkan banyak rumah musnah kerana api marak dengan pantas.

"Kami masih belum boleh nyatakan jumlah sebenar rumah yang terbakar
kerana kami sedang mengumpul pemilik rumah berkenaan kerana kebanyakannya
bercuti raya di kampung masing-masing.

"Yang menjadi masalah utama adalah sumber air yang agak jauh, kita terpaksa
menggunakan 'tanker' untuk mengangkut air ke mari," katanya ketika ditemui di
lokasi kejadian malam tadi.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.52 malam, dan
anggota serta jentera bomba tiba 14 minit kemudian serta dapat mengawal
kebakaran dalam tempoh 40 minit.


"Kami telah menghantar lima jentera iaitu Balai Bomba Sentul, Balai Bomba
Hang Tuah, Balai Bomba Setiawangsa, Balai Bomba Gombak Selatan dan Balai Bomba
Sri Hartamas," katanya.

Katanya, semua mangsa yang terbabit selamat dan tiada kecederaan
dilapor berlaku dalam kejadian.

"Punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Sementara itu, Endra Yusman, 30, bersyukur kedua ibu bapanya tiada di rumah
ketika kejadian kerana pulang beraya di kampung di Bandar Baru Kedah.

"Sudah hampir 50 tahun ibu bapa saya tinggal di sini," katanya ketika
ditemui dilokasi kejadian.

Pasangan suami isteri Roslan Mun, 41, dan Normiza Halim, 31 turut bersyukur
kerana sempat menyelamatkan diri.

"Ketika kejadian saya bersama kira-kira 20 anggota keluarga sedang menonton
televisyen di ruang tamu apabila terdengar suara jiran menjerit ada api. Saya
dan anggota keluarga segera mengambil anak-anak masing-masing dan barangan
berharga serta bergegas keluar rumah," kata Normiza.

- BERNAMA

Pikat gadis jadi 'keldai akaun'




Oleh ZULHILMI JALIL

KUALA LUMPUR - Sindiket Awang Hitam bukan sahaja mencari wanita yang sanggup dijadikan keldai dadah malah, mereka turut memujuk rayu gadis-gadis untuk menyerahkan kad bank bagi memudahkan kegiatan penipuan penghantaran 'bungkusan cinta' dijalankan.
Gadis-gadis yang digelar 'keldai akaun' itu kini tidak perlu lagi mengeluarkan wang yang didepositkan oleh wanita ardartu yang menjadi mangsa penipuan sindiket tersebut.
Sebaliknya, suspek memilih untuk mengeluarkan sendiri wang dari akaun gadis tersebut dengan memegang kad bank mereka.
Mengikut modus operandi, sindiket tersebut memikat wanita andartu yang kesepian untuk bercinta. Selepas termakan kata-kata manis, suspek akan memaklumkan bahawa mereka akan menghantar bungkusan mengandungi wang dan pelbagai barangan berharga sebagai tanda cinta.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0808&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz2bSN5vCRL 
Hakcipta terpelihara 

Sembilan kereta di taman Datuk Harun dipecah masuk


KUALA LUMPUR: Sembilan kereta yang diparkir di kawasan perumahan Taman Datuk Harun berhadapan Lebuhraya Pantai Baru (NPE) dekat sini dipecah masuk dan barangan berharga di dalamnya dilarikan dalam kejadian awal hari ini.

Kejadian disedari orang ramai pada jam 6 pagi selepas mendapati cermin
tingkap kereta terbabit dipecahkan. S eorang mangsa Subra Maniam, 33, berkata dia kerugian hampir RM4,000 selepas

sistem stereo keretanya dilarikan termasuk satu Smart Tag bernilai RM280.

"Biasanya kami letak kereta di depan rumah tetapi disebabkan saudara-mara
jiran datang beraya semalam, parkir penuh jadi kami letak kereta jauh sedikit,"
katanya ketika ditemui Bernama, di lokasi kejadian.

Menurut pemandu peribadi itu kejadian berkenaan bukan kali pertama berlaku di situ.

Sementara itu, Laili Azura Abdul Rahman, 37, menyedari kejadian itu apabila
adiknya yang mahu pulang ke kampung di Melaka pagi tadi mendapati kedua-dua
kereta milik mereka dipecahkan.

Bagaimanapun dia bernasib baik kerana tidak ada barang berharga di dalam
keretanya.

Kejadian disahkan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed.

-BERNAMA

Sindiket 'black money' tumpas, dua warga asing ditahan


KUALA LUMPUR: Satu sindiket 'black money' yang aktif di negara ini sejak tahun lalu tumpas berikutan penahanan dua lelaki warga asing di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh, berkata suspek yang berusia 32 dan 46 tahun itu masing-masing berasal dari Guinea dan Britain.
"Mereka ditahan dalam serbuan di sebuah restoran di ibu negara kira-kira 2 petang," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, di sini, hari ini.

Beliau berkata, serbuan itu dilakukan selepas seorang peniaga dari Indonesia, yang berurusan dengan sindiket terbabit menyedari ditipu sebanyak AS$13,000(RM42,250) dan melaporkannya kepada polis.

Mohmad berkata, pengadu itu dalam laporannya berkata beliau berkenalan dengan seorang daripada suspek melalui laman sosial Facebook pada September tahun lalu dan kemudiannya berjumpa pada Jun lalu, di Singapura.

"Semasa perjumpaan itu pengadu ditawarkan dengan satu projek 'mencuci wang kertas US Dolar yang dikatakan boleh mendatangkan keuntungan tiga kali ganda dan pada Julai lepas pengadu telah menyerahkan US$13,000 (RM42,250) kepada suspek.

"Bagaimanapun suspek sekali lagi meminta wang sebanyak US$5,000 daripada pengadu dengan alasan untuk membeli bahan-bahan kimia, namun pengadu tidak memberi wang tersebut dan membuat laporan polis," katanya.
Mengenai serbuan itu, Mohmad berkata pihaknya turut merampas wang kertas palsu bernilai US$100 sebanyak 4,896 keping dan kertas hitam yang digunakan untuk penipuan itu.

Siasatan awal mendapati beberapa keping wang Amerika itu dihitamkan dengan bahan tertentu dan selepas dibersihkan dengan bahan kimia itu, keaslian wang itu seolah-olah terserlah.

Kedua-dua suspek ditahan reman selama 21 hari sehingga 21 Ogos dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun, jika sabit kesalahan.

- BERNAMA

Lelaki cedera parah ditembak di Chemor


2013/08/08
IPOH: Seorang lelaki yang sedang memandu kereta cedera parah selepas terkena tembakan dilepaskan dua suspek bermotosikal di Taman Klebang Putra, dekat Chemor di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong, berkata dalam kejadian kira-kira 11.15 malam itu, dua lagi yang berada dalam kereta itu dipercayai anggota keluarga lelaki berusia 29 tahun itu tidak mengalami kecederaan.
"Kedua-dua suspek yang menaiki sebuah motosikal menghampiri kereta mangsa yang sedang dipandu di kawasan perumahan berkenaan dan dipercayai melepaskan enam das tembakan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri rumah terbuka Aidilfitri Balai Polis Pekan Baru di sini, hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua suspek memakai topi keledar 'full face' semasa melakukan jenayah berkenaan dan identiti mereka tidak dapat dikenal pasti buat masa sekarang.

Polis menjumpai enam kelongsong peluru di atas jalan tempat kejadian berkenaan dan setakat ini polis menerima satu laporan daripada seorang saksi berhubung kejadian itu, katanya.

Sum berkata, mangsa yang bukan berasal dari sini sedang dirawat di sebuah hospital di sini dan keadaannya dilaporkan stabil.

- BERNAMA

Enam maut bas terjunam dari jambatan di Rio


RIO DE JANEIRO: Sekurang-kurangnya enam orang maut apabila sebuah bas terjunam pada kedalaman 40 meter dekat jambatan berdekatan bandar ini.

Anggota bomba dan penyelamat berkata, kejadian berlaku pada pagi tadi. Namun tiada maklumat mengenai jumlah mereka yang cedera dan berapa jumlah penumpang serta bagaimana kejadian berlaku.
Bas itu terbabas ketika melalui jejambat di bandar Itaguai, kira-kira 60 kilometer barat Rio de Janeiro. - AP