Search This Blog

Sunday, August 4, 2013

Dua lelaki didakwa membunuh


NG Teng Tat (kiri) dan Chin Kiat Kee (kanan) dihadapkan di Mahkamah Majistret Jawi, Nibong Tebal, semalam.
NIBONG TEBAL 2 Ogos - Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki yang mayatnya ditemui dalam keadaan kering dan kehitaman di sebuah rumah teres dua tingkat di Lorong Jentayu Indah, Taman Jentayu Indah.
Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Salwa Ja'afar.
Menurut kertas pertuduhan, Ng Teng Tat, 35, dan Chin Kiat Kee, 45, bersama-sama beberapa lelaki lain yang masih bebas didakwa membunuh Cheah Poh Lye, 44, antara pukul 8 pagi, 17 Jun lalu dan 12.30 tengah hari, 16 Julai lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 10 Oktober depan bagi sebutan semula kes sementara menunggu pihak pendakwaan mendapatkan laporan bedah siasat mayat mangsa yang ditemui mati di rumah tersebut.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Farhana Hashim manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mayat Poh Lye ditemui ketika pemeriksaan dilakukan selepas jiran mengadu kediaman dua tingkat dihuni lelaki itu sejak Mac lalu berbau busuk.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130803/ma_05/Dua-lelaki-didakwa-membunuh#ixzz2b0mOOGKd
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Budak 5 tahun selamatkan adik daripada kebakaran


ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran sebuah rumah di Kampung Kubang Depu, Besut hari ini. Gambar kecil, Mohd. Syawal Mohd. Shukri. - UTUSAN
BESUT 3 Ogos - Biarpun baru berusia lima tahun, Mohd. Syawal Mohd. Shukri menjadi hero apabila berjaya menyelamatkan dan membawa keluar adiknya dari rumahnya yang sedang terbakar dalam kejadian di Kampung Kubang Depu dekat sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, Mohd. Syawal sedang bermain dalam bilik tidur mereka bersama adiknya, Mohd Syakir, 4, sebelum menyedari api sedang marak di bahagian bilik itu dan dapur rumah mereka.
Dalam keadaan cemas itu, Mohd. Syawal terus memaut adiknya lalu membawanya ke rumah nenek mereka, Fatmah Sulaiman, 55, yang terletak kira-kira 10 meter dari rumah mereka sambil memaklumkan neneknya mengenai kejadian itu.
Dia kemudian berlari ke luar sejauh kira-kira satu kilometer untuk mencari bapanya dan memberitahu kejadian itu sambil menjerit meminta pertolongan sebelum disedari jiran dan penduduk kampung,
Ketika kejadian, bapa dan ibu mereka, Mohd. Shukri Mohd. Nor, 36, dan Huslina Abd. Rahman, 26, beada di tempat kerja dengan membawa bersama adik bungsu mereka, Mohd. Syaril, 3.
"Sepatutnya hari ini saya mula bekerja sebagai buruh binaan tetapi kerana tidak tahu tempatnya, saya ajak isteri dan anak bongsu kami sebagai teman untuk mencari tempat kerja saya itu," katanya di sini hari ini.
Bagaimanapun jelasnya, ketika dalam perjalanan pulang dengan motosikal, dia melihat kepulan asap hitam akibat kebakaran dari arah kampungnya lalu mula rasa tidak sedap hati dan mengesyakki kejadian buruk berlaku.
Sangkaannya tepat apabila mendapati rumahnya sendiri yang dijilat api dan dia kemudian bergegas memasuki rumah itu setelah menyangka dua anaknya iaitu Mohd. Syawal dan Mohd. Syakir masih berada di dalam rumah yang terbakar itu.
Namun dia lega sebaik diberitahu oleh jirannya bahawa kedua-dua anaknya itu selamat dan berikutan kejadian itu, mereka sekeluarga tinggal sehelai sepinggang membabitkan kerugiaan kira-kira RM28,000.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jerteh, Ridzuan Mamat berkata, sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu, dua jentera bomba termasuk sebuah dari Balai Bomba dan Penyelamat Besut bersama 10 anggota berkejar ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan.
Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian didapati hampir 90 peratus rumah kayu lama itu sudah musnah dijilat api dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Nawi Mohamad meluangkan masa kira-kira 45 minit menziarahi mangsa dan menyampaikan sumbangan peribadi kepada keluarga mangsa.
Tambahnya, mangsa kebakaran itu akan diberi perhatian segera bagi memastikan keluarga lima beranak itu tidak menghadapi masalah tempat tinggal ekoran kejadian malang itu apatah lagi menjelang Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130803/je_08/Budak-5-tahun-selamatkan-adik-daripada-kebakaran#ixzz2b0m78bIQ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lagi kemalangan maut di Jalan Sri Aman-Sarikei


KEADAAN dua buah kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di Km 56 Jalan Sri Aman-Sarikei yang mengakibatkan dua terbunuh, di Sri Aman, Sarawak pagi ini. - UTUSAN/MOHAMAD GUSTIE NOORAMBIA
SRI AMAN 3 Ogos - Dua maut manakala tiga lagi parah selepas kenderaan yang mereka naiki bertembung dalam nahas di Kilometer 56, Jalan Sri Aman-Sarikei dekat sini hari ini.
Kemalangan pukul 6.40 pagi ini berlaku hanya tujuh kilometer dari lokasi nahas ngeri membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan lori balak, kelmarin yang mengakibatkan empat pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Sarawak terbunuh.
Lebih tragis, nahas terbaharu itu juga berlaku di lokasi sama yang menyaksikan lima warga Indonesia maut apabila MPV dinaiki mereka meletup selepas dirempuh sebuah lori muatan 10 tan, 10 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Mat Jusoh Mohamad berkata, kemalangan kali ini melibatkan dua lelaki dan dua perempuan yang menaiki sebuah kereta Proton Iswara serta seorang wanita yang memandu Perodua Viva.
Dua penumpang Proton Iswara iaitu Anthony Wong Siow Wei, 28, dan Ling Lee Chen, 26 maut di tempat kejadian.
Sementara itu, pemandu kenderaan tersebut, Ling Tai Hung, 24, dan seorang lagi penumpang, Stephanie Ting Xiang, 20, serta pemandu Perodua Viva, Nora Karu, 40, cedera parah.
Menurut Mat Jusoh, Proton Iswara yang dipandu Tai Hung dalam perjalanan dari arah Sarikei ke Sri Aman namun hilang kawalan sebelum berpusing beberapa kali di tengah laluan.
"Dalam masa sama, Perodua Viva dipandu Nora yang datang dari arah bertentangan gagal mengelak lalu merempuh bahagian kiri kenderaan tersebut.
"Dua mangsa iaitu Anthony dan Lee Chen disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala mangsa lain termasuk pemandu Perodua Viva parah namun terselamat," katanya ketika dihubungi Utusan Online hari ini.
Mayat Anthony dan Lee Chen dibawa ke Hospital Sri Aman untuk bedah siasat manakala tiga lagi mangsa yang cedera dirawat di Hospital Betong sebelum dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130803/je_07/Lagi-kemalangan-maut-di-Jalan-Sri-Aman-Sarikei#ixzz2b0lsg3vx
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Bekas Pengarah, CEO KPF Quality Foods didakwa pecah amanah

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Seorang bekas Pengarah dan seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KPF Quality Foods Sdn. Bhd. yang bergelar Datuk dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, masing-masing atas satu tuduhan pecah amanah melibatkan dana syarikat itu berjumlah lebih RM30 juta, dua tahun lalu.
Tan Han Kook, 59, dan Sarchu Sawal, 64, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Rosbiahanin Arifin.
Han Kook yang ketika kejadian merupakan ahli lembaga pengarah syarikat berkenaan didakwa melakukan perbuatan itu terhadap dana KPF melalui 20 keping Penerimaan Jurubank (Banker's Acceptance) berjumlah RM13,164,955.
Sarchu pula sebagai CEO didakwa melakukan perbuatan sama terhadap dana syarikat itu melalui 27 keping Penerimaan Jurubank berjumlah RM16,963,825.
Kedua-dua lelaki itu didakwa melakukan perbuatan itu di Tingkat 2, Blok B, Anjung Felda, Jalan Maktab di sini, antara Ogos 2011 dan Februari 2012.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
KPF Quality Foods merupakan anak syarikat Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang menjalankan projek Gedung Makanan Negara (GMN).
Pada 7 Disember tahun lalu, Han Kook telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, bersama seorang lagi CEO syarikat berkenaan atas 134 tuduhan menipu pegawai Malayan Banking Bhd. menggunakan dokumen palsu membabitkan lebih RM67 juta.
Dia yang mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu turut didakwa atas 134 tuduhan alternatif menggunakan dokumen palsu ketika permohonan tuntutan kemudahan Penerimaan Jurubank kepada Malayan Banking.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azlin Sabtu mencadangkan ikat jamin RM2 juta dengan dua penjamin bagi setiap tertuduh beserta syarat tambahan iaitu dokumen perjalanan mereka diserahkan kepada mahkamah.
Peguam Harvinderjit Singh memohon jumlah jaminan tersebut dikurangkan dengan alasan kedua-dua tertuduh tidak mempunyai pekerjaan.
Beliau memohon jaminan sebanyak RM800,000 untuk Han Kook iaitu jumlah ditetapkan dalam kes tuduhan menipu pegawai bank berkenaan.
Harvinderjit turut memberi alasan pertuduhan hari ini melibatkan Penerimaan Jurubank sama seperti pertuduhan sebelum ini selain memaklumkan anak guamnya telah diisytiharkan muflis.
Beliau turut memohon jumlah jaminan untuk Sarchu dikurangkan kepada RM50,000 kerana anak guamnya telah memberi kerjasama penuh kepada SPRM selain dia secara sukarela telah hadir ke mahkamah tanpa ditangkap.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130803/ma_04/Bekas-Pengarah-CEO-KPF-Quality-Foods-didakwa-pecah-amanah#ixzz2b0l0jpUh
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Bunuh: Dua ditahan bersama lesen memandu mangsa

ALOR GAJAH 2 Ogos - Kes pembunuhan seorang peniaga yang ditemui mati dengan isi perut terburai di Kampung Telok Gong, Masjid Tanah dekat sini kelmarin, dipercayai bermotifkan dendam.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, hasil siasatan dan maklumat yang diterima, polis menahan dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam pembunuhan itu.
Susulan penahanan mereka, polis menemukan senjata yang dipercayai digunakan berupa sebilah pisau, beberapa pakaian yang dipakai oleh suspek ketika kejadian serta lesen memandu, beg duit dan wang RM230 milik mangsa.
Menurutnya, pembunuhan lelaki dari Taman Malim Jaya itu dipercayai berunsurkan dendam setelah suspek pertama yang juga seorang bekas banduan dikatakan gagal membayar hutang perabot yang tertunggak beberapa bulan.
"Suspek pertama ditahan pada pukul 7.30 malam di kawasan perumahannya di Taman Bidara Permai dan bersama-sama suspek berusia 42 tahun itu, polis merampas sebilah pisau masih bersarung dalam bakul motosikalnya dan pakaian yang dipakai ketika kejadian.
"Seorang lagi suspek berusia 29 tahun iaitu rakan suspek pertama ditahan di rumahnya di Padang Kemunting pada pukul 8.30 malam dan berjaya merampas telefon bimbit, beg duit mengandungi wang RM230 yang mungkin saki baki yang tinggal.
"Polis percaya dengan penangkapan dua suspek ini berjaya menyelesaikan kes tersebut dalam tempoh 24 jam," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) hari ini.
Oh Son Liong, 55, seorang peniaga perabot dan barangan elektronik ditemui mati dengan enam kesan tikaman di kawasan semak berhampiran pantai Telok Gong kira-kira pukul 10 malam kelmarin.
Menurut Umar Ali, sebelum kejadian, mangsa dipercayai datang bertemu suspek untuk menuntut hutang perabot yang masih tertunggak.
Katanya, kali terakhir suspek membayar hutang perabot bernilai RM3,900 yang diambil sejak awal tahun ini ialah pada Jun lalu dengan bayaran terakhir bernilai RM200.
Beliau berkata, suspek pertama sebelum ini mempunyai tiga rekod jenayah lampau termasuk di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 304 Kanun Keseksaan.
Suspek kedua memiliki dua rekod lampau melibatkan kes dadah.
Kedua-dua mereka kini ditahan reman sehingga 8 Ogos ini bagi membantu siasatan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130803/je_02/Bunuh-Dua-ditahan-bersama-lesen-memandu-mangsa#ixzz2b0ktzRq1
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kes bunuh Hussain Najadi diselesai tanpa kerjasama anak

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Polis yakin dapat menyelesaikan kes tembakan pengasas Bank Arab-Malaysia, Hussain Ahmad Najadi walaupun anaknya enngan pulang ke Malaysia.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, siasatan berjalan lancar berikutan pihak polis mendapatkan sumber maklumat lain dan laporan perisikan.
"Tidak perlu bagi kami menghantar pegawai ke Rusia untuk bertemu anaknya dan mengumpul bukti daripadanya. Kami mempunyai pegawai yang berpengalaman yang boleh mengendali kes ini secara cekap," katanya kepada Bernama.
Sebuah akhbar tempatan melaporkan anak Hussain, Pascal Najadi, 45, tidak akan pulang ke Malaysia berikutan penasihat keselamatannya meminta beliau agar tidak mendedahkan dirinya kepada sebarang risiko.
Hussain, 75, ditembak mati Isnin lalu sementara isterinya, Chong Mei Kuen, 49, cedera apabila mereka ditembak dari jarak dekat yang polis syak dilakukan pembunuh upahan.
Mereka sedang berjalan ke arah kereta mereka selepas membincangkan soal hartanah di sebuah tokong Cina di Lorong Ceylon di sini apabila kejadian itu berlaku.
Difahamkan, polis memiliki rakaman kamera litar tertutup mengenai lelaki yang mempunyai hubungan dengan pembunuhan itu.
Pada Khamis, Pascal dilapor sebagai mendakwa pembunuhan bapanya telah dirancang terlebih dahulu dan tidak ada perjanjian hartanah yang terbabit. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130804/je_09/Kes-bunuh-Hussain-Najadi-diselesai-tanpa-kerjasama-anak#ixzz2b0k5uAaU
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Anggota tentera maut berlanggar kereta peronda polis

SANDAKAN 4 Ogos - Seorang anggota tentera maut apabila motosikalnya berlanggar dengan kereta peronda polis di Batu 7, Jalan Kem Tentera dekat sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Rowell Marong berkata, mangsa dikenali sebagai Muhammad Fahruruzi Sidin, 25, dari Batalion Ke-22 Rejimen Askar Melayu Diraja Kem Sri Kinabatangan di sini.
"Siasatan awal mendapati nahas itu berlaku kira-kira pukul 9.10 malam ketika kereta peronda berkenaan dalam perjalanan dari Kampung Sungai Kayu ke Taman Airport untuk membuat rondaan cegah jenayah.
"Apabila tiba di tempat kejadian, kereta peronda itu telah masuk ke simpang sebelah kanan lalu berlanggar dengan motosikal mangsa yang datang dari arah Taman Fajar.
"Akibat kejadian itu, mangsa yang mengalami cedera parah dihantar ke Hospital Duchess of Kent, Sandakan dan meninggal dunia ketika menjalani rawatan pada pukul 10 malam," katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau membahayakan sehingga menyebabkan kematian.
Rowell berkata, saksi kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp Wan Hazizie ditalian 089-242222 sambungan 254. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130804/je_05/Anggota-tentera-maut-berlanggar-kereta-peronda-polis#ixzz2b0jPVQiQ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Warga Myanmar ditemui mati dengan kesan tikaman

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Seorang lelaki yang dipercayai warga Myanmar ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman di dadanya di kaki lima sebuah kedai di Pusat Bandar Utara berhampiran Pasar Borong Selayang dekat sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, lelaki berumur lingkungn 25 hingga 30 tahun itu ditemui orang awam kira-kira 11.30 malam, tanpa sebarang pengenalan diri padanya.
Lelaki itu ditemui dalam keadaan berpakaian lengkap serta berlumuran darah di badannya.
"Polis tidak menemui sebarang senjata yang digunakan suspek. Polis syak mangsa terlibat dalam pergaduhan sebelum itu dan mungkin ada kaitan dengan kegiatan dadah," katanya kepada Bernama.
Zakaria berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130804/je_04/Warga-Myanmar-ditemui-mati-dengan-kesan-tikaman#ixzz2b0jEa59T
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lelaki ditembak mati di depan restoran di Penampang

Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN
PENAMPANG 4 Ogos - Seorang lelaki berusia 44 tahun maut selepas ditembak individu tidak dikenali di hadapan sebuah restoran di Beverly Hills di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu mangsa dikatakan ditembak sebaik sahaja keluar daripada restoran berkenaan oleh suspek yang menaiki sebuah kereta.
Mangsa yang berasal dari Kuching, Sarawak terkena satu das tembakan di bahagian rusuk kanan dan meninggal dunia pada pukul 12.10 tengah malam tadi ketika dirawat di Hospital Queen Elizabeth (QEH) di sini. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130804/je_03/Lelaki-ditembak-mati-di-depan-restoran-di-Penampang#ixzz2b0j38qUz
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pelajar tingkatan 3 mati lemas di Sungai Lembing

KUANTAN 4 Ogos - Seorang pelajar tingkatan tiga ditemui mati lemas di kawasan perkelahan Sungai Lembing di sini tengah hari tadi.
Mangsa Khoo Ming Foong, 15, pelajar Sekolah Menengah Tanah Putih itu dilaporkan lemas selepas cuba mengambil kasut yang dicampak rakannya ke dalam sungai.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Supritendan Abdul Aziz Ahmad berkata, mangsa bersama 38 ahli Persatuan Kristian Kuantan sedang mengikuti program riadah di kawasan berkenaan.
"Rombongan itu tiba sejak semalam. Ketika kejadian, mangsa tidak mandi dan hanya berjalan di tebing sungai. Salah seorang rakannya dikatakan mencampakkan kasut kepada mangsa dan kasut itu terjatuh ke dalam sungai.
"Mangsa yang mahu mengambil kasut itu turut terjatuh ke dalam sungai," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Abdul Aziz berkata, rakan-rakan mangsa kemudiannya bertindak mencari mangsa yang tenggelam di dasar sungai.
"Mangsa ditemui kira-kira 15 minit kemudian dan pihak klinik yang tiba di tempat kejadian mengesahkan mangsa telah mati akibat lemas," katanya.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan untuk bedah siasat. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130804/je_07/Pelajar--tingkatan-3-mati-lemas-di-Sungai-Lembing#ixzz2b0iRgXuO
© Utusan Melayu (M) Bhd 

2 kanak-kanak mati lemas kejadian berasingan di Besut

BESUT 4 Ogos - Dua kanak-kanak berumur enam dan satu tahun lapan bulan ditemui mati lemas dalam parit tali air di Jerteh dan Hulu Besut semalam.
Dalam kejadian pertama, Siti Zubaidah Mohd Rudi, 6, ditemui mati lemas dalam tali air berhampiran rumahnya di Kampung Padang Bual, Hulu Besut kira-kira pukul 9 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Besut, Supritendan Kamaruddin Mohd. Zakaria berkata, kanak-kanak prasekolah di Sekolah Kebangsaan Pasir Akar itu dikatakan menaiki basikal di sekitar kawasan rumahnya pada 7 petang semalam dan tidak pulang ke rumah sehingga waktu berbuka puasa.
"Mohd. Rudi Jusoh, 50, seorang tukang besi, keluar mencari anaknya itu di sekitar kawasan itu dan setelah dua jam, Mohd. Rudi ternampak selipar dan basikal yang dinaiki anaknya itu dalam tali air kira-kira empat meter dari sebuah titian yang terletak tidak jauh dari rumahnya," katanya.
Sementara itu, dalam kejadian di Kampung Gong Guchil, Jerteh, mayat Putri Syaza Ariqa Endriana, satu tahun lapan bulan, ditemui terapung di sebatang buluh di tali air berhampiran rumahnya.
Kamaruddin berkata, kanak-kanak itu disedari hilang daripada jagaan keluarganya pada pukul 3.20 petang.
"Kanak-kanak itu dikatakan keluar dari rumah bersendirian tanpa disedari ibu bapanya yang tinggal berhampiran sebuah tali air di kampung berkenaan," katanya. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130804/je_06/2-kanak-kanak-mati-lemas-kejadian-berasingan-di-Besut#ixzz2b0i2Tl2J
© Utusan Melayu (M) Bhd 

53 kematian tiga hari pertama Op Selamat III

KUCHING 4 Ogos - Kempen Op Selamat III sempena Hari Raya Aidilfitri yang berkuat kuasa mulai Khamis lalu setakat semalam mencatatkan sebanyak 53 kematian dalam kes kemalangan jalan raya yang berlaku di seluruh negara.
Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Salleh Mat Rasid berkata, bilangan kes, khususnya kemalangan maut diharap menunjukkan penurunan sebaik sahaja kempen tersebut tamat 15 Ogos ini.
"Secara keseluruhan, untuk tiga hari pertama Op Selamat III ini, hasilnya adalah positif kerana kita mendapati terdapat penurunan kadar kemalangan jalan raya di seluruh negara.
"Begitu juga dengan kadar kes pecah rumah. Kita berharap dengan kempen yang masih berbaki 12 hari lagi, trend penurunan untuk kedua-dua kes ini akan berterusan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Op Selamat III Peringkat Negeri Sarawak di Jalan Matang, di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130804/dn_30/53-kematian-tiga-hari-pertama-Op-Selamat-III#ixzz2b0hEDJ8t
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiga maut dalam kebakaran


ANGGOTA-anggota bomba memadamkan kebakaran rumah jutawan kosmetik, Vida Beauty yang mengorbankan tiga orang dalam kejadian di Meru Hill, Bandar Meru Raya, Ipoh, malam tadi. MINGGUAN/ZULKARNAIN MOHD. SAIDIN
IPOH 4 Ogos - Tiga termasuk dua anak pengasas produk kecantikan Vida Beauty ditemui mati dalam kebakaran di rumah pekerja syarikat berkenaan di Meru Hill, Bandar Meru Raya di sini malam tadi.
Dalam kejadian pukul 9 malam itu, seorang lelaki dewasa dan dua kanak-kanak tersebut ditemui mati dalam bilik air tingkat atas rumah tersebut.
Mangsa yang terkorban ialah Mohd. Nor Syamil, 26; Eddie Zuhdi Mohd. Amin, 11 dan adiknya, Edrie Zikrie, 10.
Dua lagi penghuni yang berada di dalam rumah tersebut sewaktu kejadian terselamat.
Seorang daripadanya adalah pekerja lelaki berusia 27 tahun patah kaki selepas bertindak nekad terjun dari tingkat dua rumah berkenaan bagi menyelamatkan diri.
Kebakaran itu turut memusnahkan sebuah kereta mewah jenis Bentley, sebuah kereta Perodua Kancil dan beberapa buah motosikal.
Kerja-kerja memadam kebakaran dan membawa keluar ketiga-tiga mayat selesai kira-kira pukul 12.15 tengah malam.
Menurut Timbalan Penguasa Bomba Negeri, P. Samasuvam, punca kejadian masih dalam siasatan.
“Semasa kami sampai di lokasi kejadian, api sudah marak dan bumbung rumah jatuh," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Ketiga-tiga mayat berkenaan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk bedah siasat.
Ahli Parlimen Tambun merangkap Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah turut hadir meninjau lokasi kejadian.
- UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130804/dn_16/Tiga-maut-dalam-kebakaran#ixzz2b0h0KhLB
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiga mayat mangsa bot PATI karam ditemui

Oleh HANIZA HASSAN
JOHOR BAHRU 4 Ogos - Tiga mayat yang dipercayai mangsa kejadian bot karam di perairan Tanjung Siang, Kota Tinggi, tiga hari lalu ditemui oleh Pasukan Polis Marin (PPM) dan nelayan tempatan yang melakukan gerakan mencari dan menyelamat di perairan Pulau Tinggi dan Pulau Besar, Mersing pagi ini.
Ketua Penguat Kuasa Daerah Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Amran Daud berkata, Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru memaklumkan dua mayat ditemui PPM pada pukul 11 pagi, sementara seorang lagi ditemui oleh nelayan tempatan pada pukul 10.15 pagi.
"Dipercayai tiga-tiga mayat ini yang terdiri daripada dua wanita dan satu lelaki dewasa adalah mangsa bot pancung yang karam dipukul ombak dan menjadikan jumlah ditemui kepada tujuh orang sementara 37 masih hilang," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Dalam kejadian 10 malam itu, sebuah bot pancung yang dipercayai membawa 44 pendatang tanpa izin warga Indonesia pulang untuk menyambut Aidilfitri di Batam, karam di antara perairan Sedili dan Penawar setelah dipukul ombak besar.
Bagaimanapun empat daripada mereka berjaya diselamatkan pada Jumaat oleh sekumpulan nelayan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Menurut Amran lagi, ketiga-tiga mayat tersebut dibawa ke jeti Mersing sebelum dihantar ke Hospital Daerah Mersing untuk bedah siasat.
Beliau berkata, operasi carilamat yang memasuki hari ketiga hari ini diperluas sehingga 15 batu nautika utara termasuk pulau-pulau peranginan di Mersing dengan melibatkan aset laut dan udara Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia.
"Faktor keadaan laut dan cuaca yang baik pada hari ini banyak membantu kita sehingga menemui tiga mayat mangsa bot karam dan sehingga pukul 2 petang ini tiada penemuan terbaru oleh pasukan carilamat," katanya lagi. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130804/dn_26/Tiga-mayat-mangsa-bot-PATI-karam-ditemui#ixzz2b0fuIbwb
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Bekas banduan mati ditembak di rumah


ibu angkat mangsa, K. Anjalai cuba ditenangkan oleh ahli keluarganya selepas dia tidak dapat menahan diri daripada meraung meratapi kematian B. Balamurali yang ditembak di kediaman mereka di Cheras Perdana, Hulu Langat, Selangor, semalam.
HULU LANGAT 3 Ogos - Seorang bekas banduan yang kini bekerja sebagai kelindan lori maut ditembak ketika berehat di ruang tamu rumah keluarga angkatnya di Jalan CP 3/24, Batu 9, Cheras Perdana dekat sini hari ini.
B. Balamurali, 36, yang dikatakan sering terlibat dalam aktiviti samseng dan pergaduhan sedang tidur sebelum seorang lelaki tiba-tiba memasuki rumah itu dan melepaskan sekurang-kurangnya tiga das tembakan kira-kira pukul 1.30 petang.
Sebelum kejadian mangsa yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak berusia empat tahun baru pulang dari bersembahyang di sebuah kuil yang terletak kira-kira 300 meter dari rumah itu.
Salah seorang sepupu mangsa, B. Nathiya, 25, memberitahu, hanya ibu angkat mangsa yang berada di dalam rumah tetapi dia berada di dalam bilik kerana tidur selepas penat beribadat.
"Kejadian ini begitu mengejutkan kerana kami baru sahaja bertemu dengan Balamurali kira-kira setengah jam lalu, sebelum diberitahu dia telah mati ditembak dalam rumah.
"Ketika itu ibu saudara saya iaitu ibu angkat Balamurali sedang tidur dalam bilik dan dia hanya tersedar selepas terdengar bunyi tembakan.
"Selepas itu dia melihat mangsa berlumuran darah di ruang tamu tetapi tidak melihat suspek," katanya ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.
Mengulas lanjut, Nathiya menjelaskan, Balamurali tidak pernah memberitahu dia bermusuh dengan sesiapa tetapi mereka sekeluarga mengetahui mangsa sering kali terlibat dalam pergaduhan dan menyertai kumpulan samseng di situ.
"Setiap kali bergaduh, polis akan datang menangkapnya dan dipenjarakan. Sebenarnya dia baru sahaja keluar penjara Jun lalu," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab memberitahu, mangsa berkemungkinan ditembak mati akibat dendam.
"Mangsa telah ditembak sebanyak tiga das di bahagian dada dan dipercayai dilakukan dua orang suspek warga tempatan yang menaiki motosikal jenis Yamaha LC.
"Polis tidak menolak kemungkinan punca kejadian itu adalah akibat dendam serta pergaduhan tetapi siasatan lanjut masih lagi dijalankan," katanya.
Dalam perkembangan sama, mangsa yang baru dilepaskan dari Penjara Kajang sekitar Jun lalu mempunyai rekod jenayah bersangkut Seksyen 380 Kanun Keseksaan selain mempunyai lima rekod kesalahan dadah.
Isteri dan anak mangsa dikatakan menetap di Seremban, Negeri Sembilan.
Kes ini disiasat mengikut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130804/je_02/Bekas-banduan-mati-ditembak-di-rumah#ixzz2b0fVXlNZ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Seorang maut, 8 hilang bot terbalik di Vietnam

HANOI 3 Ogos - Seorang maut dan lapan yang lain hilang selepas bot yang membawa 30 orang penumpang termasuk dua warga asing itu dilaporkan karam di selatan Vietnam hari ini.
Seorang pegawai penyelamat berkata, kejadian tersebut berlaku pada hari Jumaat kira-kira dua batu nautika dari pesisir pantai selatan Ho Chi Minh.
"Satu mayat telah ditemui, kami sedang giat mencari lapan yang lain tetapi harapan untuk mereka hidup adalah tipis," katanya.
Media melaporkan punca bot tersebut terbalik adalah disebabkan oleh lebihan muatan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130803/lu_09/Seorang-maut-8-hilang-bot-terbalik-di-Vietnam#ixzz2b06pNlsv
© Utusan Melayu (M) Bhd 

47 banduan Pakistan berjaya ditahan kembali

PESHAWAR 2 Ogos - Polis Pakistan berjaya memberkas kembali 47 orang banduan yang meloloskan diri daripada penjara ketika berlaku serangan kumpulan militan Taliban yang menyebabkan 13 orang terbunuh, kelmarin.
Menurut jurucakap penjara, kesemua banduan itu ditahan dalam satu operasi di manakala beberapa yang lain menyerah diri.
Mereka terdiri daripada lima tahanan wanita selain seorang konstabel polis wanita yang telah dijadikan tebusan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130802/lu_09/47-banduan-Pakistan-berjaya-ditahan-kembali#ixzz2b05eaUyL
© Utusan Melayu (M) Bhd 

25 polis Brazil dipenjara 624 tahun bunuh 52 tahanan

SAO PAULO 3 Ogos - Seramai 25 orang pegawai polis Brazil didapati bersalah atas kesalahan membunuh 52 orang tahanan semasa rusuhan di penjara Carandiru Sao Paulo pada tahun 1992.
Hakim Rodrigo Tellini de Aguirre Camargo mengarahkan setiap pegawai berkenaan dikenakan hukuman penjara selama 624 tahun, walaupun undang-undang Brazil mengehadkan hukuman penjara seseorang tidak boleh melebihi daripada 30 tahun.
Ini merupakan perbicaraan kali kedua bagi kes yang digelarkan sebagai pembunuhan beramai-ramai Carandiru itu, secara keseluruhannya seramai 111 tahanan meninggal dunia. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130803/lu_10/25-polis-Brazil-dipenjara-624-tahun-bunuh-52-tahanan#ixzz2b02NVhnG
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kereta JPJ kemalangan, 3 cedera

Kereta JPJ kemalangan, 3 cedera
Kemalangan berlaku dekat lampu isyarat Lubok Jong melibatkan tiga kenderaan.

RANTAU PANJANG –  Seorang pemuda cedera di mulut apabila kereta Fortuna Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang dipandu terlibat dalam kemalangan dekat lampu isyarat Lubok Jong, Jalan Pasir Mas Rantau Panjang, jam 5.25 petang kelmarin.

Ketua Polis Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, setibanya di tempat kejadian, berlaku pertembungan di antara tiga kenderaan iaitu Proton Iswara dan Kia Optima.

Menurutnya, akibat kejadian ini, Muhd Zulhilmi Zulkifli, 28 yang memandu Fortuna JPJ dari arah Rantau ke Pasir Mas mengalami kecederaan di mulut terpaksa menerima beberapa jahitan di bibir.

Manakala Haliludin berkata, mangsa dari arah bertentangan, Siti Hajar Hashim, 28, yang memandu Kia Optima, mengalami kecederaan di lutut.

Namun katanya, pemandu Proton Iswara, Affandi Mat Rani, 53, yang memandu dari arah yang sama, cedera ringan dan menerima rawatan pesakit luar di Hospital Pasir Mas.

“Kita masih menyiasat punca kemalangan dan membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 43(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Dalam pada itu, Haliludin turut menasihati pengguna jalan raya agar mematuhi undang-undang lalu lintas menjelang perayaan tidak lama lagi.

Menurutnya, sikap tergesa-gesa atau memotong giliran hanya akan membawa kepada risiko kemalangan.

“Semua mahu tiba awal di rumah untuk berbuka puasa dan meraikan lebaran bersama keluarga, namun sekiranya berlaku kemalangan ia hanya akan memberi kesan buruk, bukan sahaja kepada diri sendiri malah pengguna jalan raya lain,” katanya.

Pasangan kekasih dicekup berpelukan atas katil

Pasangan kekasih dicekup berpelukan atas katilPasangan yang dicekup penguat kuasa ketika berdua-duaan dalam bilik.

DUNGUN - Tindakan biadab seorang gadis membawa pulang teman lelaki ke rumah sewa untuk berasmara bukan sahaja memalukan jiran tetangga, malah lebih mendukacitakan, perbuatan terkutuk itu dilakukan ketika umat Islam lain berlumba-lumba melakukan ibadat pada malam-malam terakhir Ramadan.

Gadis terbabit yang difahamkan bekerja di sebuah restoran makanan segera di Dungun sebelum itu dikatakan bersama teman lelakinya bersiarsiar di pusat beli-belah sebelum pulang ke rumah sewanya kira-kira jam 11 malam.

Perbuatan itu dilakukan ketika rakan serumahnya, yang kebanyakannya penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) sudah pulang ke kampung masing- masing sempena cuti Aidilfitri.

Ketika serbuan sepasukan pegawai penguat kuasa syariah dengan kerjasama anggota Unit Kereta Peronda Polis kira-kira jam 1.30 pagi, pintu gagal dibuka menyebabkan tingkap bilik terpaksa diumpil untuk membolehkan pihak berkuasa masuk ke dalam rumah bagi melakukan pemeriksaan.

Ketika pemeriksaan dibuat, pasangan itu ditemui dalam keadaan berpelukan antara satu sama lain tanpa pakaian atas tilam di sebuah bilik tingkat bawah banglo dua tingkat dipercayai disewa daripada seorang pegawai kerajaan.

Kedua-duanya yang pada mulanya tidak menyedari kehadiran penguat kuasa kemudiannya terkejut lalu bangun dari tidur dalam keadaan terpinga-pinga.

Ketika disoal siasat, pasangan itu mengakui tidak mempunyai hubungan muhrim.

Pasangan lelaki berusia 21 tahun pula dipercayai ahli sebuah pertubuhan bukan kerajaan berdasarkan penemuan kad ahli dalam beg duitnya.

Teman wanitanya pula berasal dari Klang Selangor, seorang bekas penuntut IPTA berdekatan dan dikatakan saling mengenali antara satu sama lain sejak setahun lalu.

Kedua pasangan itu kemudiannya dibawa ke Pejabat Agama Dungun untuk siasatan lanjut sebelum dilepaskan melalui ikat jamin ahli keluarga.

Mereka bakal dihadapkan ke mahkamah mengikut Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu 2001 atas kesalahan perbuatan sebagai persediaan melakukan persetubuhan.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Jual diesel: KPDNKK tahan lori 3 tan

Mohd A Aruwan Ab Aziz
Mohd A Aruwan Ab Aziz

KUANTAN - Sebuah lori tiga tan ditahan kerana disyaki terlibat dalam sindiket mencuri diesel bersubsidi dan menjualnya secara haram di negeri ini.
 
Lori itu ditahan dalam operasi pihak penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pahang semalam, selepas intipan sejak setahun lepas.
 
Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Pahang Mohd A. Aruwan Ab Aziz berkata operasi itu dijalankan ekoran laporan mengenai gangguan bekalan diesel di beberapa tempat di negeri ini.
 
Beliau berkata lori itu diubahsuai dengan tangki khas berkapasiti 8,000 liter khusus untuk kegiatan mencuri diesel subsidi dari stesen-stesen minyak sekitar Kuantan dan menjualnya kepada pihak industri dengan harga yang lebih tinggi.
 
"Kami sudah lama intip pergerakan lori ini...lebih setahun lori itu berada dalam senarai lori-lori yang disyaki terlibat dalam sindiket ini cuma dalam  tempoh itu lori terbabit hilang sekejap dan kami dapati ia muncul semula dalam dua minggu lepas," katanya kepada pemberita di sini semalam.  
 
Beliau berkata dalam tempoh Januari hingga 30 Julai lepas, KPDNKK Pahang berjaya membongkar 13 kes mencuri diesel dengan jumlah sitaan 26,229 liter diesel bernilai RM47,213.71.  - Bernama

Rentung sebelum sahur


  • Kebakaran rumah teres dua tingkatKebakaran rumah teres dua tingkat

PUCHONG – “Abang, panas...panas...tak boleh keluar, api terlalu besar,” itu jeritan terakhir seorang wanita kepada suaminya sebelum dia ditemui rentung dalam kejadian kebakaran yang berlaku di Puchong Indah, awal pagi, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.40 pagi itu, mangsa, Noriza Mat Salleh, 37 dikatakan terperangkap dalam bilik tidur di tingkat atas gagal menyelamatkan diri apabila api marak dengan cepat di rumah teres dua tingkat didiami.

Ketua Balai Bomba Puchong, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Jafri Amat berkata, pihaknya hanya dimaklumkan kejadian kira-kira jam 2.59 pagi.

Menurutnya, satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 7, Petaling Jaya bersama enam anggota dikejarkan ke lokasi.

Sebelumnya, Jafri berkata, anggota dan jentera Balai Bomba Puchong serta Subang Jaya berada di Batu 13, memadamkan kebakaran sampah kilang sebelum turut bergegas ke rumah mangsa selepas menerima laporan.

Katanya, apabila tiba api yang marak marak di tingkat atas berjaya dikawal dari merebak ke rumah bersebelahan.

Menurutnya, seorang wanita ditemui rentung di bilik tidur tingkat atas manakala lima lagi mangsa lain termasuk suami dan empat anaknya berjaya menyelamatkan diri.

Jafri berkata, berdasarkan maklumat suami mangsa, Azhar Samsudin, kebakaran bermula dari bilik tidur anaknya yang juga di tingkat atas.

Menurut suami mangsa sebaik melihat kesan api, dia yang berada di tingkat bawah berlari mengetuk bilik anaknya dan mengarahkan kesemua mereka keluar. Dia juga berbuat demikian dan mengarahkan isteri yang tidur di bilik atas keluar.

Suami mangsa katanya kemudian bergegas ke tingkat bawah mengambil baldi dan air berusaha memadamkan api berkenaan dan menyangka kesemua ahli keluarganya sudah keluar dari rumah.

Bagaimanapun, apabila suami mangsa mahu ke tingkat atas sekali lagi membawa baldi dan air dia terkejut mendengar jeritan isteri dari dalam bilik tidur yang mengatakan gagal keluar kerana api terlalu marak.

Beliau berkata, suami mangsa juga gagal menembusi kawasan api marak menyebabkan dia dan seorang jiran bergegas ke luar rumah cuba memanjat dari bahagian luar rumah untuk menyelamatkan wanita itu.
Usaha memecahkan besi di bahagian tingkap tingkat atas bagaimanapun menemui jalan buntu menyebabkan wanita itu gagal diselamatkan.

Anak mangsa Mohd Aiman Hakimi, 13, Nor Athirah Najihah, 12, Nor Afiwah Nadirah, 9 dan Mohd Ammar Aziq, 4, tidak mengalami sebarang kecederaan. Hanya jiran yang membantu ketika itu mengalami kecederaan dan mendapat rawatan sebagai pesakit luar.

“Hampir 70 peratus bahagian rumah itu terbakar dan barang di tingkat atas gagal diselamatkan. Punca dan kerugian masih dalam siasatan,” katanya.


Terhidu bau hangit

Kejadian kebakaran yang menyebabkan ibu empat anak rentung  di Puchong Indah awal pagi, semalam turut disedari jiran mangsa yang kemudian cuba memberi bantuan dan memadamkan api.

Jiran sebelah rumah mangsa, Faiz Mahmud, 26 berkata, dia yang baru tidur beberapa minit sebelum kejadian terjaga selepas terhidu bau hangit dan melihat asap tebal.

Dia menyangka bau berkenaan .adalah bau masakan namun jangkaannya meleset apabila melihat asap tebal mula memenuhi ruang rumah yang didiami bersama kakak dan abang ipar.

Tanpa berlengah, Faiz berkata, dia terus mengejutkan semua ahli keluarga dan mengarahkan kesemua mereka keluar dari rumah.

Faiz mendakwa dia bersama seorang lagi jiran kemudian memecahkan cermin tingkap rumah mangsa apabila mendengar wanita itu menjerit meminta tolong.

Usaha itu katanya gagal menyebabkan jirannya itu memberanikan diri menaiki tangga rumah mangsa dalam usaha menyelamatkannya.

Bagaimanapun, api menyambar menyebabkan jiran berkenaan berundur dan terjatuh akibat terpijak tangga yang sudah hangus terbakar.

“Saya tidak nampak di mana mangsa berada hanya dengar suara  mengatakan dia kepanasan.

“Keadaan terlalu gelap dan asap tebal, orang ramai tidak berputus asa menyembur air untuk memadam api yang marak itu,” katanya.

Seorang lagi jiran, Normah Mohd, 53, berkata dia dalam perjalanan menghantar barang masakan untuk majlis berbuka puasa di surau berdekatan.

Pelik melihat asap tebal, dia kemudian meminta anaknya mendekati kawasan itu dan terkejut melihat rumah mangsa yang juga rakannya terbakar.

Katanya, api penuh di ruang tangga rumah dan dalam masa sama terdengar mangsa menjerit meminta tolong.

Dakwanya suara itu akhirnya hilang perlahan-lahan dan api terus membakar keseluruhan tingkat atas yang menempatkan dua bilik tidur itu.

“Mula-mula saya ingat budak main mercun tetapi terkejut lihat rumah rakan baik terbakar, saya terus mengetuk pintu rumah jiran-jiran bersebelahan mengarahkan mereka keluar.

“Arwah memang seorang yang baik, pemurah dan sentiasa ceria,” katanya.


Rehat di ruang bawah

“Ketika kejadian, saya berehat di ruang tamu bawah bersama seorang anak sebelum menyedari api membakar bilik di bahagian atas,” kata Azhar Samsudin,41, suami mangsa yang rentung dalam kejadian kebakaran di Puchong Indah, awal pagi semalam.

Katanya, dalam keadaan cemas dia cuba memadamkan api menggunakan sumber air di dalam rumah namun kebakaran merebak dengan cepat.

Sebelum itu, dia sempat menyuruh kesemua  anak dan isteri yang tidur di tingkat atas keluar namun akibat api yang marak isterinya tidak sempat berbuat demikian.

“Arwah isteri ditemui anggota bomba rentung di tepi dinding berhampiran tingkap bilik tidur utama,” katanya yang masih sugul dengan kejadian tragis itu.

Dakwanya, semua barangan hari raya yang baru dibeli musnah dalam kejadian berlaku kira-kira jam 2.30 pagi itu.

“Arwah isteri saya selamat disemadikan di di Tanah Perkuburan USJ 21 sementara anak-anak pula dibawa pulang ke kampung oleh saudara mara,” katanya.

Pengawal keselamatan maut ditembak



KUALA LUMPUR - Seorang pengawal keselamatan maut selepas ditembak seorang lelaki di Lorong C 3/24  di Cheras Perdana, Kajang di sini, menjadikannya kejadian tembakan kelima yang berlaku minggu ini.

Dalam kejadian pada kira-kira 1.30 petang tadi, Balamurali Balakrishnan, 36, yang berada di ruang tamu rumahnya maut selepas suspek melepaskan empat das tembakan yang mengenai dada mangsa.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Abdul Rashid Abdul Wahab berkata mangsa mati di tempat kejadian manakala ibunya yang berada di bilik tidur rumah itu tidak diapa-apakan.

"Suspek yang datang ke rumah mangsa menggunakan kereta Iswara berwarna hitam dipercayai masuk melalui pintu yang tidak berkunci sebelum melepaskan empat das tembakan yang menyebabkan mangsa mati di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi Bernama.

Abdul Rashid berkata mangsa merupakan bekas banduan serta dibebaskan dari penjara pada Jun dan dipercayai bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah stesen LRT dekat sini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa pernah terbabit dengan lima kes dadah dan polis akan menyiasat sama ada kejadian itu berunsurkan dendam atau sebaliknya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

Sementara itu, isteri mangsa, S.Punavaneswari, 28, berkata ketika kejadian, beliau tiada di rumah kerana balik ke kampungnya di Seremban bersama anak lelaki mereka.

"Kali terakhir saya bercakap dengan dia ialah semalam, tetapi dia tidak menunjukkan reaksi yang pelik kerana selama ini pun dia memang jarang bercerita mengenai hal peribadinya kepada saya," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Kejadian itu merupakan yang kelima minggu ini. Semalam, seorang peniaga emas nyaris maut apabila tembakan orang yang cuba membunuhnya tersasar dan terkena bahu kanan mangsa, yang ketika itu memberhentikan kenderaan di lampu isyarat Jalan Makmur, Pandan Indah di sini.

Pada 29 Julai, Pengasas Arab Malaysia Bank Hussain Ahmad Najadi, 75, maut manakala isterinya, 49, cedera parah apabila ditembak dari jarak dekat di parkir kereta selepas keluar dari sebuah tokong Cina di Lorong Ceylon di sini. - Bernama

Kereta langgar belakang lori, pemandu maut

Kereta langgar belakang lori, pemandu mautKeadaan kereta yang terbabit dalam kemalangan menyebabkan pemandu kereta itu maut selepas keretanya merempuh sebuah lori yang berhenti di lorong kecemasan di Kilometer 243.6, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, pagi tadi. - Foto Bernama

SEREMBAN - Seorang lelaki maut apabila kereta dipandunya merempuh sebuah lori yang berhenti di lorong kecemasan di Kilometer 243.6, Lebuharaya Utara-Selatan (Plus) arah utara, dekat sini hari ini.
 
Mohamad Izmi Fariqzawan Mohamad Fauzi, 19, cedera parah di kepala dan badan dan mati di tempat kejadian.
 
Jurucakap polis berkata ketika kejadian pada pukul 9 pagi, Mohamad Izmi dikatakan memandu bersendirian untuk pulang ke rumahnya di Port Dickson.
 
"Kereta dipandu mangsa tiba-tiba hilang kawalan sebelum merempuh sebuah lori yang berhenti di lorong kecemasan. Rempuhan kuat itu mengakibatkan mangsa tersepit dan cedera parah," katanya.
 
Dua belas anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau dan Senawang mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Lori yang membawa muatan pokok itu dikatakan berhenti di lorong kecemasan kerana tayarnya pancit, kata jurucakap itu dan memberitahu bahawa pemandu lori berusia 33 tahun itu tidak cedera.
 
Pegawai Turus Trafik negeri ASP Abd Halil Hamzah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.  - Bernama

Lemas dihempap jengkaut


Kuala Krai: Selepas hampir 21 jam, mayat seorang pengendali jengkaut yang lemas selepas dihempap kenderaan itu ditemui di dalam Sungai Lebir, Kampung Tualang, di sini, kira-kira jam 6 petang kelmarin.

Mayat Tan Kim Yong, 51, berasal dari Kluang, Johor yang bekerja di sebuah lombong bijih besi di kampung berkenaan, ditemui jam 2.44 petang dan dibawa ke Hospital Kuala Krai untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya.


Kejadian berlaku ketika mangsa memindahkan generator berenjin diesel untuk disewakan kepada seseorang, namun tanah di tebing sungai itu mendap, menyebabkan jentolak dipandunya terjunam ke sungai.

Usaha mencari dan menyelamat membabitkan 31 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Balai Kuala Krai diketuai Ketua Zon Machang Tuan Che Rosli Che Sulaiman, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta 10 penyelam jabatan bomba dilakukan namun dihentikan jam 12 tengah malam kelmarin dan disambung semula jam 8 pagi semalam.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai Deputi Superintendan Nuraddin Din Wahab ketika dihubungi mengesahkan pihaknya laporan kejadian itu.

Cabar pihak berkuasa


Petaling Jaya: Seorang peniaga mengamuk dan cuba menyerang anggota imigresen kerana marah apabila pekerjanya yang tidak memiliki permit kerja ditahan di Mentari Court, di sini, kelmarin.

Malah, anggota polis Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dari Balai Polis Sungai Way yang bergegas ke tempat kejadian turut diserang suspek yang hilang kawalan sebelum dia ditahan, jam 6 petang.


Menurut sumber, kejadian berlaku ketika Jabatan Imigresen Selangor mengadakan operasi di sekitar Mentari Court, jam 4 petang.

“Dalam operasi itu, pegawai imigresen memeriksa kedai cuci kereta, gunting rambut, restoran dan kedai telefon bimbit.


“Bagaimanapun, seorang peniaga yang mengupah pekerja warga asing tanpa permit tidak berpuas hati apabila pekerjanya ditahan pihak berkuasa,” katanya.


Sumber berkata, lelaki itu yang gagal mengawal kemarahan turut memaki-hamun anggota imigresen, menyebabkan keadaan menjadi tegang.

“Bimbang kejadian tidak diingini berlaku, mereka menghubungi polis untuk meminta bantuan, namun suspek yang berang naik ke atas bumbung sebuah kereta dan memaki hamun polis pula.


“Malah, polis yang cuba menenangkannya turut diserang, namun hasil kecekapan pihak berkuasa, dia berjaya ditenangkan sebelum ditahan dan dibawa ke Balai Polis Sungai Way untuk tindakan lanjut,” katanya.

Timbalan Penolong Pengarah Operasi Jabatan Imigresen Selangor Othman Montil berkata, dalam operasi itu pihaknya menahan sembilan lelaki dan seorang wanita warga asing berusia 19 hingga 55 tahun.


“Kita menahan enam lelaki warga Bangladesh, tiga lelaki warga Indonesia dan seorang wanita Indonesia.


“Hasil pemeriksaan, semua mereka tidak mempunyai pasport. Ketika serbuan itu juga, berlaku adegan cabar mencabar namun berjaya ditenangkan polis,” katanya.

Polis diserang lima lelaki bersenjata


Johor Bahru: Seorang anggota polis cedera di dahi, kaki kanan dan patah beberapa gigi selepas diserang sekumpulan lima lelaki bersenjatakan parang ketika melakukan pemeriksaan cegah jenayah di Jalan Kelabu Taman Pelangi, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 1.40 pagi, anggota polis berpakaian preman itu dikatakan menahan sebuah motosikal dinaiki dua lelaki bagi menjalankan pemeriksaan, sebelum seorang daripada mereka melarikan diri dengan motosikal ditunggangnya.


Ketika memeriksa suspek, anggota polis berkenaan didatangi empat lelaki dipercayai rakan suspek sebelum menyerang mangsa, termasuk menggunakan parang.

Difahamkan, berlaku pergelutan hingga mangsa cedera di dahi, kaki kanan dan patah beberapa gigi depan sebelum anggota berkenaan melepaskan satu das tembakan amaran ke udara dan satu das ke arah penyerangnya bagi menyelamatkan diri.


Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Asisten Komisioner Azizan Anan berkata, siasatan awal mendapati empat lelaki menaiki dua motosikal tiba di lokasi ketika mangsa melakukan siasatan terhadap suspek. “Melihat keadaan cemas itu, anggota polis terbabit melepaskan satu das tembakan amaran ke udara namun ia tidak menakutkan semua suspek, malah seorang terus meluru ke arah anggota itu sambil menghayun parang.


“Bagi mempertahankan diri, anggota berkenaan terus melepaskan satu das tembakan ke arah kumpulan suspek, menyebabkan semua suspek, termasuk lelaki yang disoal siasat, melarikan diri.

“Walaupun cedera, anggota polis itu terus berusaha mengejar suspek dan berjaya menangkap suspek yang cedera di belakang badan akibat terkena tembakan,” katanya.


Menurutnya, suspek yang cedera ditahan sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, bagi mendapatkan rawatan lanjut, manakala empat lagi suspek melarikan diri. Azizan berkata, polis kini menjalankan siasatan bagi menahan empat suspek terbabit.

“Saksi kejadian atau mana-mana individu mempunyai maklumat lanjut berkaitan kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.


“Kes disiasat mengikut Seksyen 394/307 Kanun Keseksaan dan siasatan menyeluruh akan dijalankan bagi menahan suspek dan menyelesaikan kes dalam tempoh terdekat,” katanya.

4 selamat, 40 masih hilang

Foto
MANGSA menunjukkan kecederaan badan mereka di Pangkalan APMM Tanjung Sedili, semalam.
Kota Tinggi: “Saya hanya terbayang wajah anak dan isteri di kampung untuk menguatkan semangat ketika tubuh tidak berdaya lagi, manakala kedua-dua tangan cedera akibat digigit ikan.
“Ketika itu saya hanya mampu menguatkan semangat untuk terus berpaut pada tong petrol, manakala badan melecur akibat cuaca panas kerana terapung di tengah laut,” kata Edey Muliadi, 26, seorang daripada empat mangsa yang terselamat dalam kejadian bot karam di Tanjung Siang, Sedili Besar di sini, malam Khamis lalu.

Difahamkan, mereka bergerak pulang ke Batam jam 7 malam sebelum bot pancung dinaiki mereka terbalik jam 10 malam di kawasan berhampiran sebelum empat daripada 44 penumpang bot itu ditemui nelayan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), jam 12 tengah hari semalam.
Edey dan tiga rakannya antara 44 penumpang yang menaiki sebuah bot pancung dan dalam perjalanan ke Batam, Indonesia, untuk pulang berhari raya menggunakan laluan tikus dari Tanjung Sedili, di sini.

“Saya serik menggunakan khidmat bot pancung. Apakan tidak, nyawa hampir melayang selepas bot dinaiki bersama penumpang lain dipukul ombak besar.

“Apabila bot terbalik, saya berenang mencari tong untuk berpaut sebelum bertemu beberapa mayat terapung di kawasan berhampiran sejam selepas itu.

“Saya sempat melaungkan azan dan iqamah sebelum dihanyutkan ombak ke kawasan lain sebelum sekumpulan nelayan datang menyelamatkan saya, 15 jam kemudian,” katanya ketika ditemui di Pengkalan APMM Tanjung Sedili, di sini, semalam.

Edey yang bekerja sebagai buruh binaan di Puchong, Selangor dalam perjalanan pulang berhari raya di kampungnya di Surabaya, Indonesia.
Menurutnya, dia membayar RM1,100 untuk pulang ke kampungnya sempena Aidilfitri dan dijangka pulang ke Malaysia beberapa minggu kemudian.

Mangsa Mohamad Saiful Bahari Nur, 34, berkata, dia menaiki bot pancung dengan bayaran RM1,300 pada jam 8 malam Khamis lalu dari Tanjung Sedili ke Batam untuk pulang ke kampungnya di Lombok Indonesia.

“Kami terpaksa meredah air hingga paras pinggang selama 15 minit dalam gelap sebelum menaiki bot pancung yang menunggu di tengah laut.

“Ketika dalam perjalanan di tengah laluan kapal besar, bot kami tiba-tiba berhenti dan air mula masuk ke dalam bot.

“Kerana panik, semua penumpang beralih ke sebelah kanan bot, mengakibatkan bot hilang kawalan lalu terbalik,” katanya.

Menurutnya, semua penumpang panik dan mencari tempat berpaut, manakala dia bernasib baik kerana dapat berpaut pada sebuah tong petrol.

Katanya, keadaan gelap menyebabkan dia tidak nampak penumpang lain kecuali jeritan meminta tolong sebelum semua terpisah akibat dihanyutkan.

“Saya menetap di negara ini sejak 13 tahun lalu dan bekerja di sebuah ladang sawit di Taiping, Perak. Sebelum ini, saya pernah berjanji akan pulang berhari raya bersama keluarganya kerana sejak berada di sini saya tidak pernah pulang.

“Ini kali pertama saya pulang kerana ingin menjenguk anak yang dipelihara ibu selepas isteri meninggal dunia. Saya tidak menduga kejadian ini berlaku kepada bot yang saya naiki,” katanya.

Edey dan Mohamad Saiful bersama dua lagi mangsa berjaya diselamatkan nelayan tempatan dan APMM pada jam 12 tengah hari semalam.

‘Saya tidak dapat menjelaskannya’


Madrid: Pemandu kereta api yang terbabit dengan nahas maut di Sepanyol memberitahu mahkamah, dia tidak dapat menjelaskan mengapa dia tidak memperlahankan kelajuan sebelum kereta api itu tergelincir di selekoh berbahaya.

Francisco Garzon, 52, memandu dua kali lebih laju daripada had kelajuan sepatutnya sebelum kereta api itu tergelincir dan merempuh tembok menyebabkan 79 orang terbunuh.


“Saya tidak dapat menjelaskannya. Saya masih tidak faham mengapa saya tidak melihat. Saya tidak tahu,” katanya.

Dia tampil di depan hakim Ahad lalu di Santiago de Compostela - tempat kejadian - tetapi bukti hanya dikeluarkan kelmarin dalam video oleh akhbar ABC Sepanyol. Garzon berkata, perjalanan kereta api itu berlangsung seperti biasa sehingga ia tiba di selekoh berkenaan.


“Oh Tuhan! Ada selekohdan saya tak mungkin dapat melaluinya,” katanya.


Kereta api laju itu yang membawa 218 orang dalam lapan gerabak kemalangan bulan lalu apabila ia sampai di ibu negeri wilayah Galicia di barat laut Sepanyol.

Kereta api itu bergerak pada kelajuan 193 kilometer sejam ketika nahas berlaku - dua kali had laju dibenarkan.


Ketika ditanya apa yang terlintas di fikirannya apabila dia melalui terowong terakhir sebelum sampai di selekoh, Garzon berkata, dia tahu akan berlaku nahas dia tidak akan memikirkan apa-apa kerana beban yang perlu dipikulnya sepanjang hayat amat berat.

“Saya tidak tahu. Sejujurnya saya saya tidak tahu. Saya tidak begitu gila sehingga tidak membrek,” katanya. - Agensi

Terkandas lima jam


Shah Alam: “Kami berkongsi sebotol air mineral untuk berbuka puasa. Itu saja yang kami ada kerana menyangka perjalanan pulang ke rumah tidak memakan masa, tapi apabila komuter dinaiki rosak beberapa kali, perjalanan sekitar setengah jam bertukar menjadi hampir lima jam.

“Ini pengalaman memeritkan. Bayangkan, kami naik komuter jam 7.30 malam di Kuala Lumpur dan tiba di Stesen Komuter Seksyen 18, Shah Alam hampir jam 1 pagi.


“Sudahlah perit menahan lapar, ibu bapa pula menjadi kelam-kabut kerana tidak menerima makluman mengenai kerosakan itu.” Demikian luahan Kamalia Yusof, 23, penumpang komuter dari Kuala Lumpur ke Shah Alam yang terkandas akibat gangguan sistem isyarat di hampir semua laluan di sekitar Lembah Klang bermula jam 7.30 malam kelmarin.

Pekerja syarikat swasta yang dalam perjalanan bercuti dari Perak itu antara lebih 100 penumpang yang terkandas.


“Ini pengalaman paling memeritkan untuk pulang beraya. Komuter tidak boleh bergerak, manakala kami di dalam koc tidak diberi makanan atau minuman.


“Sebahagian penumpang Islam terpaksa menahan lapar kerana sebelum itu mereka berhasrat berbuka puasa di rumah masing-masing,” katanya.

Kamalia berkata, dia bersama dua rakan terlalu keletihan kerana sebelum kejadian, mereka menaiki bas hampir empat jam dari utara dan singgah di Kuala Lumpur sebelum menempuh pengalaman menaiki komuter yang rosak hampir lima jam untuk pulang ke Shah Alam.


Seorang lagi penumpang Muhamad Nazrul Shahimi, 20, mendakwa kerosakan koc komuter dinaikinya berlaku sebanyak tiga kali dan setiap kali diperbaiki mengambil masa lebih satu setengah jam.

Dia yang menaiki komuter di Stesen Batu Caves berkata, kerosakan pertama berlaku jam 7.30 malam sejurus azan Maghrib berkumandang.


“Syukur saya membeli sebungkus roti untuk berbuka puasa. Cuma kasihan ada penumpang kelaparan apabila kerosakan berulang-ulang sepanjang perjalanan.


“Kerosakan pertama berlaku selepas Stesen Batu Caves. Kerja memperbaikinya mengambil masa lebih sejam, tapi rosak semula apabila tiba di Stesen Kuala Lumpur Sentral.


“Kerosakan berlaku lagi apabila tiba di Sentul, menyebabkan koc hanya dapat bergerak sekitar jam 12.20 tengah malam,” katanya.


K Kunagaran, 40, pula kesal kerana kerosakan itu tidak dihebahkan, menyebabkan banyak ahli keluarga menunggu dengan rasa bimbang di beberapa stesen komuter seperti di Shah Alam dan Pelabuhan Klang.

Merangkak dalam kebas


Sri Aman: “Saya gagahkan diri untuk keluar walaupun kaki terasa kebas dan tidak boleh bergerak. Saya bimbang kerana ketika itu kereta mengeluarkan asap,” kata Nora Karu, 38, ketika menceritakan detik cemas kemalangan yang mengorbankan dua lelaki selepas dua kereta bertembung di KM57, Jalan Sri Aman-Sarikei, dekat Jalan Pais, di sini, semalam.

Kemalangan jam 6.40 pagi itu menyebabkan dua penumpang Proton Saga, Ling Lee Chen, 26, dan Anthony Wong Siow Wei, 28, maut di tempat kejadian manakala Nora yang memandu Perodua Viva retak tulang kaki kiri sebelum dibawa ke Hospital Betong (HB) untuk rawatan lanjut.


Difahamkan, kejadian itu juga menyebabkan pemandu Proton Saga, Ling Tai Hung, 24, cedera parah, manakala Stephanie Ting Xiang Chii, 20, turut cedera dengan semua mereka dimasukkan ke HB.

Kejadian berlaku apabila Proton Saga dinaiki empat sahabat dalam perjalanan dari Sarikei dipercayai hilang kawalan dan berpusing sebelum bertembung kereta dipandu Nora dari Sri Aman menuju ke Betong.


Akibat perlanggaran itu, dua mangsa di tempat duduk penumpang kiri dan sebelah pemandu maut di tempat kejadian, manakala pemandunya pengsan dan seorang lagi penumpang belakang, cedera.


Nora yang juga kakitangan HB berkata, dia dalam perjalanan ke tempat kerja sebelum melihat Proton Saga dinaiki empat sahabat berpusing dan meluru ke arah keretanya.

“Saya tidak mampu mengelak sebelum merempuh kereta itu. Saya sempat menjerit sebelum kereta dipandu bertembung.


“Saya tersentak apabila melihat asap keluar dari kereta saya dan cuba bergerak untuk keluar, tetapi kaki kiri saya berasa kebas dan sukar. Bimbang kereta terbakar, saya nekad menahan kesakitan untuk menyelamatkan diri.

“Ketika kejadian, jalan licin selepas hujan, membuatkan saya memandu lebih berhati-hati, namun kejadian terlalu pantas membuatkan saya panik.


“Ketika itu saya terbayang kematian, malah di lokasi ini berlaku kemalangan mengorbankan empat warga Indonesia pada hari pertama Ramadan,” katanya ketika ditemui, semalam.


Kemalangan ini yang kedua dalam tempoh seminggu selepas kejadian di KM48 Jalan Sri Aman-Sarikei yang mengorbankan empat kakitangan, termasuk seorang pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Sarawak, Khamis lalu.


Katanya, pada masa sama beliau sempat menghubungi HB untuk mendapatkan bantuan. Difahamkan, semua mangsa maut dibawa ke Hospital Sri Aman untuk bedah siasat.


Pegawai Bomba dan Penyelamat Betong Penguasa Kanan II Hamden Bladi berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kemalangan selepas menerima panggilan kecemasan jam 6.40 pagi.


Katanya, sebuah jentera bersama tujuh anggota tiba ditempat kejadian 10 minit kemudian dan kami mengambil masa setengah jam untuk mengeluarkan mangsa, termasuk meninggal dunia.

Penyamun acu pedang ke leher


Georgetown: Tindakan dua sahabat menyamun sebuah kedai 24 jam menggunakan pedang membawa padah apabila dicekup polis ketika cuba melarikan diri di Jalan Todak 2, Seberang Jaya, Seberang Prai Tengah (SPT), dekat sini, Khamis lalu.

Dalam kejadian jam 5.30 pagi, dua suspek berusia 18 tahun bersenjatakan pedang dan memakai topi keledar meluru masuk ke kedai yang ketika itu ada seorang pekerja wanita berusia 20-an.


Jurucakap polis berkata, seorang suspek turut membawa sebatang cota dan mereka mengambil telefon bimbit mangsa serta mengacukan pedang ke lehernya.

Katanya, bimbang dicederakan, mangsa menyerahkan wang tunai RM60 di dalam laci kepada suspek dan ketika melarikan diri, suspek turut mengambil beberapa kotak rokok bernilai RM300.


“Bagaimanapun, ketika melarikan diri, sebuah kereta polis dari Unit Kereta Peronda (MPV) melalui kawasan itu dan suspek berjaya ditahan selepas dilihat berada dalam keadaan mencurigakan.


“Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Prai Tengah (IPDSPT) dan siasatan mendapati kedua-duanya tidak bekerja serta tiada rekod jenayah lampau manakala keputusan ujian saringan air kencing adalah negatif,” katanya.

Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkawan menggunakan senjata dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun atau sebatan atau kedua-duanya.

Bot terbalik dipukul ombak


Kota Tinggi: Operasi mencari dan menyelamat 40 mangsa bot pancung yang karam di kedudukan 12.7 batu nautika Tanjung Siang, Sedili Besar, di sini, malam Khamis lalu, masih giat dijalankan.

Bot pancung itu membawa 44 warga Indonesia dan dikatakan bergerak pada jam 7 malam Khamis lalu, sebelum karam, menyebabkan semua penumpang tercampak.


Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tanjung Sedili Komander Maritim Amran Daud berkata, pihaknya menerima maklumat daripada nelayan Tanjung Sedili berhubung penemuan tiga mangsa oleh nelayan tempatan, jam 12 tengah hari kelmarin.

Berikutan itu, katanya, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor menggerakkan sebuah kapal dan dua bot laju dari Tanjung Sedili untuk operasi mencari dan berjaya menyelamatkan seorang mangsa, jam 1 tengah hari kelmarin.


“Siasatan awal mendapati, bot pancung itu dinaiki 44 warga Indonesia dan terbalik dipukul ombak besar jam 10 malam Khamis lalu. “Ketika ditemui, empat mangsa dalam keadaan kesejukan dan badan mereka hampir 40 peratus melecur sebelum dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk rawatan,” katanya.


“Empat mangsa diselamatkan adalah Edey Muliadi, 26; Mustapa Ali, 31; Tajul Abdullah, 31, dan Saiful Bahari Nur, 34, semuanya warga Indonesia,” katanya.

Menurutnya, usaha mengesan mangsa diteruskan membabitkan dua kapal, empat bot serta dua helikopter APMM, Tentera Udara Diraja Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan polis marin.

Dah jatuh digilis pula

Foto
JENAZAH Muhammad Rozi dibawa pulang untuk dikebumikan.
Alor Setar: Dua sahabat baik maut manakala seorang rakan mereka cedera selepas motosikal ditunggangi bergesel sesama sendiri lalu terpelanting ke lorong kanan sebelum digilis sebuah pacuan empat roda di Kilometer 72.3 Lebuhraya Utara-Selatan di Bukit Jenun dekat sini, semalam.
Dalam kejadian jam 9.30 pagi, Muhammad Rozi, 19, dan Muhammad Ekhromee Muhammad Fauzi, 19, maut di tempat kejadian selepas parah di badan dan kepala manakala mangsa yang cedera dikenali sebagai Muhammad Fairuzi Musa, 19.
Difahamkan, mangsa bersama dua rakan lagi mereka menunggang tiga motosikal dalam perjalanan dari Baling ke Alor Setar untuk menziarahi ibu saudara seorang rakan mereka di bandar ini.

Semua mangsa rakan sekampung dari Kuala Pegang, Baling adalah bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baling.


Nenek Muhammad Ekhromee, Zainab Yaakob, 69, berkata, dia sempat berpesan kepada cucunya supaya menunggang dengan berhati-hati sebelum arwah keluar rumah kira-kira jam 7 pagi semalam.