Search This Blog

Tuesday, July 30, 2013

38 penumpang maut bas terjunam daripada jejambat

PASUKAN penyelamat cuba mencari mangsa yang terselamat berhampiran lokasi kejadian sebuah bas terjunam daripada jejambat di lebuh raya di Monteforte Irpino, Itali kelmarin.


AVELLINO - Sekurang-kurangnya 38 orang maut selepas sebuah bas membawa penumpang termasuk beberapa orang kanak-kanak menjunam daripada sebuah jejambat lebuh raya di selatan Itali, kata pasukan penyelamat semalam.
Seramai 11 orang turut cedera dalam kemalangan terbabit.
Menurut anggota penyelamat, mereka berjaya mengeluarkan 33 mayat dari bas itu selepas insiden petang kelmarin.
Kejadian berlaku di jejambat lebuh raya A16 antara Naples dan Bari dekat pekan Avellino di daerah Monteforte Irpino, sekitar 50 kilometer di timur Naples. Tiga lagi mayat ditemui di bawah bas berkenaan.
Mangsa tercampak dari kenderaan itu apabila ia menjunam 30 meter ke bawah cerun.
Penumpang bas tersebut dalam perjalanan pulang ke Naples selepas menghadiri upacara keagamaan di Pietrelcina, selatan Itali.
Bas berkenaan dilaporkan dipandu secara laju. Beberapa saksi menyatakan bahawa kenderaan itu seperti mengalami masalah brek.
Media tempatan melaporkan, sekitar 50 orang berada di dalam bas tersebut dan kebanyakannya terdiri daripada kanak-kanak.
Menurut laporan, tiga kanak-kanak, empat wanita dan dua lelaki cedera parah. Mereka dimasukkan ke hospital di Avellino dan berhampiran Naples.
"Situasi adalah kritikal. Anggota kami berusaha menyelamatkan seberapa ramai mangsa," kata ketua pasukan bomba, Pellegrino Iandolo semasa memberitahu stesen televisyen, SKY TG24. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0730&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2aVnhJDLL 
Hakcipta terpelihara 

Tumpahan minyak jejas kawasan pelancongan Thailand



SEBUAH kapal kelmarin membersihkan sisa tumpahan minyak di pantai wilayah Rayong yang kini mula menjejaskan kawasan pelancongan terkenal seperti Ao Prao di Pulau Koh Samet, Thailand.


BANGKOK - Tumpahan minyak daripada saluran minyak mentah di Teluk Thailand pada hujung minggu lalu telah menjejaskan kawasan pelancongan di negara ini, kata firma PTT Global Chemical Pcl semalam.
Kira-kira 50,000 liter minyak mentah tumpah ke laut pada Sabtu lalu yang meliputi kawasan sekitar 20 kilometer dari pantai Rayong, tenggara Bangkok.
"Tumpahan minyak telah sampai di pantai Ao Prao, Pulau Koh Samet," kata PTT Global Chemical Pcl dalam satu kenyataan.
Mereka menganggarkan terdapat sekitar 5,000 liter sisa minyak yang perlu dibersihkan.
Pulau Koh Samet terkenal kerana memiliki pantai berpasir putih yang menjadi tumpuan pelancong tempatan dan luar negara.
Gabenor wilayah Rayong, Wichit Chartpaisit berkata, sekitar 200 anggota tentera telah dikerah untuk membantu membersihkan tumpahan itu dan 300 lagi tentera sebagai sokongan.
Tambah Chartpaisit, operasi tersebut akan mengambil sedikit masa tanpa memberikan butiran lanjut.
PTT Global Chemical Pcl merupakan sebahagian daripada firma tenaga terbesar, PTT Pcl yang dikawal oleh kerajaan Thailand.
Pada tahun 2009, sebuah lagi anak syarikat PTT Pcl, PTT Exploration dan Production Pcl pernah terlibat dalam insiden penggerudian persisir pantai terburuk di Australia.
Kejadian itu menyebabkan beribu- ribu gelen minyak mentah tumpah ke laut selepas sebuah telaga minyak rosak akibat meletup. - Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0730&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm#ixzz2aVnJ1RRX 
Hakcipta terpelihara 

Remaja hilang selepas kerja

Remaja hilang selepas kerjaAhmat(kanan) menunjukkan gambar Siti Sakira dan laporan polis dibuat di Balai Polis Kuala Kurau

PARIT BUNTAR - Belum sempat sepasang ibu bapa meraikan hari pertama anak perempuan mereka bekerja, remaja berkenaan tidak pulang ke rumah kerana dipercayai mengikut teman lelaki yang dikenali melalui lama sosial.

Siti Sakira Ahmad, 18 dipercayai hilang pada 8 Julai lalu, iaitu pada hari pertama dia mula bekerja di sebuah kilang di sini.

Bapanya, Ahmad Awang, 75 memaklumkan, sejak hari itu tiada sebarang berita mengenai Siti Sakira diterima oleh keluarganya sehingga ke hari ini.

Menurutnya, Siti Sakira merupakan anak kelapan daripada sembilan beradik dan pada hari kejadian, dia tidak pulang ke rumah sehingga waktu malam, manakala usaha untuk menghubunginya gagal kerana telefon bimbitnya ditutup.

"Kerana bimbangkan keselamatannya, saya pergi ke rumah salah seorang rakan sekerja Siti Sakira dan terkejut apabila dimaklumkan bahawa anak saya telah keluar dari kilang lebih awal.

"Rakan sekerja Siti Sakira turut memaklumkan bahawa dia (Siti Sakira) telah dijemput oleh seorang lelaki yang baru dikenalinya ke suatu tempat tidak diketahui," katantya ketika ditemui di rumahnya di Kuala Kurau, kelmarin.

Sementara itu kakak mangsa, Norizan Ahmad, 22 memaklumkan bahawa dia serta ibunya telah cuba menghubungi Siti Sakira setiap hari, namun telefon bimbitnya sentiasa tertutup.

Menurutnya, usaha tanpa jemu menghubungi Siti Sakirah akhirnya berhasil apabila adiknya membalas panggilan telefon beberapa hari selepas itu.

"Adik maklumkan dia kini berada di Tanjun Bungah, Pulau Pinang dan meminta kami masukkan wang ke dalam akaun banknya untuk membolehkan dia pulang ke rumah.

"Tetapi bila saya cadangkan untuk ambil dia di sana, dia beri pelbagai alasan sebelum talian telefonnya terputus," katanya.

Norizan berkata, sejak dari itu Siti Sakira terus mendiamkan diri sehinggalah tiga hari lalu apabila adiknya itu menghubunginya menggunakan nombor telefon yang tidak dikenali.

Menurutn Norizan, daripada perbualan itu, Siti Sakira memaklumkan bahawa dia telah berada di Perlis dan talian telefon terputus secara tiba-tiba.

"Saya segera hubungi semula nombor telefon berkenaan dan ia dijawab oelh seroang lelaki. Apabila saya tanya tentang Siti Sakira, tiba-tiba lelaku itu tengking saya dan mengatakan dia tidak kenal Siti Sakira lalu meletakkan telefon.

"Kerana peristiwa itu saya bimbang adik saya mungkin sedang disembunyikan seseorang untuk tujuan tidak baik. Mungkin juga dipaksa melakukan sesuatu oleh lelaki itu. Kami buat satu laporan polis di Balai Polis Kuala Kurau kerana keluarga kami
bimbangkan keselamatan adik.

"Saya minta mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai lokasi terkini adik saya berada untuk menghubungi talian 012-523 4872 untuk menyalurkan maklumat itu kepada kami," rayunya.

Wanita Singapura dera amah

Wanita Singapura dera amah
Fern

SINGAPURA - Seorang wanita tempatan didapati bersalah melakukan penderaan terhadap pembantu rumahnya.

Dipetik daripada laporan AFP, Chan Huey Fern, 32, dibicarakan atas lima daripada 12 pertuduhan kerana menyebabkan kecederaan terhadap Juwarti, 25, di rumah pangsa di Buangkok Link antara pertengahan dan akhir Disember 2010.

Menurut mangsa, Chan menumbuk mata, menendang tubuh dan kemaluannya.

Bagaimanapun, tertuduh menafikan dakwaan itu dan memberitahu bahawa kecederaan dialami pembantu rumah tersebut mungkin berlaku secara tidak sengaja.

27,700 kes pekerja mati, hilang



BEIJING - CHINA. Lebih 27,700 kes kematian atau hilang direkodkan di tempat kerja pada separuh pertama tahun ini di China, lapor Pentadbiran Keselamatan Pekerja Negeri pada Selasa.
 
Bagaimanapun, bilangan kemalangan menurun 13.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas, kata Timbalan Ketua Pentadbiran Keselamatan Pekerja Negeri, Wang Dexue dalam kenyataan di sini.
 
Wang berkata pada separuh pertama tahun ini, jumlah pekerja yang dikaitkan dengan kemalangan susut 3.8 peratus tahun ke tahun.
 
Bilangan kemalangan yang berlaku dalam industri arang batu dan perlombongan juga menurun masing-masing 4.8 peratus dan 16.5 peratus dari Januari hingga Jun tahun ini, katanya.
 
Bulan lepas, insiden kebakaran yang mengorbankan 119 pekerja di pusat penyembelihan ayam dan itik di wilayah Jilin, timur laut China membangkitkan kebimbangan aspek keselamatan di tempat kerja dan membawa kepada pemulihan keadaan keselamatan di tempat kerja di seluruh negara itu.
 
Wang berkata keselamatan di tempat kerja masih menjadi masalah utama, memandangkan kecuaian penyelia keselamatan tempatan menyebabkan kerap berlaku kemalangan industri di China, terutama industri perlombongan. - Bernama

Rakyat Malaysia didakwa 'bisnes' dadah



JAKARTA - INDONESIA. Seorang rakyat Malaysia yang telah dijatuhi hukuman mati kerana kesalahan dadah dan sedang ditahan di Penjara Cipinang, Jakarta Timur, didakwa masih meneruskan perniagaan dadah dari dalam penjara.
 
Dia dijatuhi hukuman mati oleh mahkamah pada tahun 2012 setelah didapati bersalah mengedar 350 kilogram dadah dan semasa ditahan dalam penjara, dia dikatakan mempunyai lima buah telefon bimbit.
 
Dia didakwa melakukan perniagaan dadah itu bersama seorang banduan yang sedang menjalani hukuman penjara empat setengah tahun di penjara itu dan lima suspek lain, media tempatan melaporkan pada Selasa.
 
Berikutan penangkapan ketujuh-tujuh mereka, polis merampas 10.576 kilogram syabu dan 500 biji pil ekstasi daripada mereka, yang dianggarkan bernilai Rp22 bilion.
 
Berita penglibatan rakyat Malaysia itu menyusul kontroversi tentang skandal perniagaan dadah dari dalam Penjara Cipinang  yang menjadi perhatian media tempatan sejak beberapa hari lalu.
 
Kontroversi itu tercetus selepas seorang model majalah dewasa Vanny Rossyane mendedahkan kepada wartawan bahawa beliau sering berkunjung ke Penjara Cipinang untuk mengadakan hubungan seks dengan seorang banduan yang juga kekasihnya dan mereka bebas mengambil dadah di dalam penjara itu. - Bernama