Pokok Sena: “Beberapa hari lalu, arwah sebut rindukan masakan arwah mamanya dan memohon maaf kepada semua kawannya melalui Facebook,” kata Fathiyah Abdullah, 35, ibu saudara kepada Fathullah Mohamad, 15, yang maut selepas motosikal ditunggangi bertembung dengan motosikal lain di persimpangan penjara Pokok Sena, di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 10 malam, mangsa yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Payung, di sini, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di badan manakala anggota tentera, Rizal Ahmad juga parah dan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk rawatan lanjut.
Difahamkan, mangsa anak kelima daripada enam beradik dalam perjalanan pulang dari Alor Setar ke rumahnya di Kampung Padang, di sini, dikatakan bertembung dengan motosikal Rizal dari arah bertentangan, menyebabkan motosikal anggota tentera itu terbakar.
Fathiyah berkata, sebelum kejadian itu, arwah yang tinggal bersamanya sejak setahun lalu keluar rumah kira-kira jam 6 Petang untuk membeli peralatan tulis di pusat bandar Alor Setar untuk persiapan menghadapi percubaan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang dijadual berlangsung esok (hari ini).
“Arwah sempat berjumpa bapanya sebelum keluar rumah untuk ke pekan bagi membeli peralatan tulis. Arwah beritahu, dia dan rakannya berkumpul di Alor Setar dan berbuka bersama di luar,” katanya.