Search This Blog

Saturday, July 27, 2013

Kelaparan akibat tiada gigi punca buaya mati


Kelaparan akibat tiada gigi punca buaya mati
Keratan akhbar Sinar Harian semalam berhubung penemuan bangkai buaya di Kampung Bukit Belimbing.
KUALA SELANGOR - Kelaparan disebabkan tidak makan gara-gara tiada gigi dikenal pasti menjadi punca kematian buaya yang ditemui dua nelayan di Jeti Tok Empat Masjid, Kampung Bukit Belimbing, kelmarin.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor, Rahim Ahmad berkata, faktor usia mungkin menyebabkan struktur gigi rapuh sehingga menyukarkan buaya itu meneruskan ikhtiar hidup dan makan seperti biasa.

Menurutnya, buaya terbabit adalah jantan berusia lebih 70 tahun dan hasil bedah siasat awal mendapati dalam perut buaya berkenaan kosong dipercayai tidak makan dalam tempoh agak lama, manakala ia sudah mati sejak dua atau tiga hari lalu.

Bagaimanapun katanya, pihak Perhilitan masih menunggu keputusan bedah siasat lebih terperinci dalam tempoh dua minggu lagi selepas organ penting buaya terbabit dihantar ke makmal di Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungai Dusun.

"Selangor pertama kali menerima aduan seumpama ini dan sememangnya Sungai Selangor dikesan mempunyai habitat buaya jenis itu.

"Saiz buaya air tawar seberat 1,000 kilogram itu adalah normal di kawasan ekosistem yang sihat seperti di Sungai Selangor," katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau bagaimanapun menolak kemungkinan pencemaran air menjadi punca kematian buaya terbabit.

Rahim berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan buaya yang ditemui mati itu mempunyai pasangan, namun meminta penduduk di kawasan berkenaan tidak panik kerana haiwan tersebut tidak mengganggu manusia.

“Pihak kami akan sentiasa melakukan pemantauan di sungai dan sebarang maklumat boleh hubungi Perhilitan dengan segera,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Bukit Belimbing, Samsudin Idris berkata, meskipun terkejut dengan penemuan bangkai buaya itu, namun nelayan masih turun ke sungai seperti biasa.

Biarkan isteri disoal siasat

Biarkan isteri disoal siasat
Faizal (tengah) bersama anggota Jabatan Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah membuat pemeriksaan terhadap kereta suspek.
Biarkan isteri disoal siasat
Kereta ini dilaporkan hilang pada September tahun lalu.
KULIM - Gara-gara bimbang dicekup polis, seorang lelaki yang tinggal di Kuala Ketil sanggup membiarkan isterinya dibawa ke balai polis untuk disoal siasat kerana dipercayai memiliki kereta curi.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, kejadian berlaku apabila polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim mengadakan Ops Lejang diketuai Inspektor Nor Faizal Mohamad.

Ketika serbuan dibuat di rumah suspek, polis menemui kereta jenis Toyota dipercayai hilang di Taman Jati pada 18 September 2012 berada dalam kawasan rumah suspek.
"Setelah membuat pemeriksaan terhadap kenderaan terlibat, polis mengesahkan kereta itu masih dilaporkan hilang.

“Ketika itu kami diberitahu isteri suspek, yang suspek tiada di rumah. Kami menghubungi suspek dan mengarahkan dia balik bagaimanapun dia enggan berbuat demikian.

"Kami memaklumkan isteri suspek bahawa kereta digunakan mereka sekeluarga selama ini adalah kereta curi. Dia terkejut, namun dia pula yang sanggup beri kerjasama, dibawa ke balai polis untuk disoal siasat,” katanya kepada Sinar Harian.

Ghuzlan berkata, sebelum ini seorang mekanik yang tinggal di Taman Jati meletakkan kereta ibunya di luar pagar rumah dan kali terakhir kereta itu dilihat pada 17 September 2012 kira-kira jam 12 malam sebelum ia dilaporkan hilang.

Jiran mangsa memaklumkan kepada polis, empat lelaki tidak dikenali, dilihat berlegar-legar di sekitar kawasan rumah mangsa sebelum melarikan kereta berkenaan.

Koperal, anak nyaris disamun


Koperal, anak nyaris disamun
Tempat kejadian dipasang tali keselamatan sementara menunggu ketibaan pasukan forensik untuk menjalankan siasatan.
BENTONG – Tindakan dua penyamun bersenjatakan parang menyamun seorang lelaki yang juga seorang anggota polis berpangkat koperal mengundang padah apabila seorang daripada mereka cedera terkena tembakan.

Suspek cedera di bahagian rusuk kiri ketika cubaan menyamun di persimpangan masuk ke Felda Lurah Bilut kira-kira jam 4.10 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, ketika kejadian, anggota polis yang bertugas di Pondok Polis Mempaga itu dalam perjalanan pulang dari Bandar Bentong bersama anak perempuannya, 17, ke rumahnya di Berek Polis Lurah Bilut.

Menurutnya, setibanya di tempat kejadian, kenderaan dinaiki mangsa iaitu kereta Proton Iswara ditahan kenderaan suspek jenis Mercedes Benz berwarna hitam.

“Seorang suspek bertindak keluar dari kenderaan dan mengacukan parang ke leher anak mangsa dan meminta menyerahkan barangan berharga.

“Mangsa kemudian bertindak pantas dengan melepaskan tembakan ke arah suspek menggunakan pistol untuk mempertahankan diri dan anak perempuannya,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohamad Mansor berkata, selepas seorang daripada mereka terkena tembakan, kedua-dua suspek terbabit bertindak melarikan diri.

Katanya, mangsa dan anaknya bernasib baik kerana tidak mengalami kecederaan.

“Polis giat mengesan kedua-dua suspek terbabit. Orang awam yang melihat pergerakan individu yang mencurigakan dan cedera akibat terkena tembakan diminta membuat laporan segera,” katanya.

Samun nenek dalam surau


Samun nenek dalam surau
Ramlah melakonkan semula kejadian samun yang menimpanya ketika berseorangan membaca al-Quran.
MARANG – Seorang warga emas berumur 71 tahun menjadi mangsa terbaru kes samun dalam kejadian di Surau Kampung Gong Nangka, dekat sini.

Mangsa, Ramlah Ismail, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, dia baru sahaja selesai menunaikan solat Zuhur.

"Saya kemudiannya membaca al-Quran seorang diri di ruang solat wanita sebelum didatangi seorang lelaki, lagaknya seperti mahu bersolat.

“Bagaimanapun, lelaki yang berada di ruang solat lelaki itu tiba-tiba menjengah ke tirai solat wanita, lalu meluru ke arah makcik dengan mengacukan senjata tajam dipercayai sebilah pisau sebelum mengambil rantai leher dari arah belakang," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurut nenek kepada 18 cucu ini, lelaki terbabit mengarahkannya berdiri dan jangan membuat bising sebelum menanggalkan gelang tangannya pula.

"Selepas penjenayah melarikan diri, makcik yang ketakutan terus berlari keluar menuju ke rumah yang terletak beberapa meter dari surau untuk meminta bantuan.

“Ini kejadian kali pertama menimpa makcik sejak tinggal di kampung ini. Kerugian dianggarkan kira-kira RM20,000 dan makcik telah membuat laporan polis di Balai Polis Marang,” katanya yang masih trauma dengan kejadian itu dan bersyukur kerana penjenayah terbabit tidak mencederakannya.

Dalam pada itu, pihak polis juga telah mengambil keterangan daripada mangsa dan suspek kini giat diburu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun dengan menggunakan senjata berbahaya.

Rampas 10 botol dadah


Rampas 10 botol dadah
Che Malek menunjukkan dadah yang dirampas dalam sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah Machang, kelmarin.
MACHANG - Polis merampas sebanyak 10 botol dadah dipercayai jenis heroin bernilai RM25,000 selepas menyerbu sebuah rumah di Kampung  Lalang Luas, dekat Labok, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.25 petang pada Isnin lalu, anggota dan pegawai narkotik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)  Machang menahan seorang lelaki berusia 33 tahun yang dipercayai pemilik dadah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan, Che Malek Bedot berkata, rampasan ini merupakan  antara yang terbesar pada tahun ini, hasil daripada maklumat dan intipan yang dilakukan oleh polis.

Katanya, sebelum kejadian, anggota dan pegawai narkotik itu melaksanakan Ops Ronda Cegah Jenayah di kawasan kampung itu, dan terserempak dengan kereta jenis Wira yang dipandu suspek yang juga penagih dadah.

“Polis mengekori suspek yang kemudiannya berhenti di sebuah rumah dan masuk ke dalam rumah itu. Serbuan telah dilakukan dan berjaya menahan suspek.

"Hasil pemeriksaan, kami menjumpai dua bungkusan surat khabar berbahasa Cina  yang di dalam setiap satunya mengandungi lima botol plastik lut sinar bertudung kuning, mengandungi serbuk disyaki dadah di dalam  beg galas dipakai suspek.

“Selain itu, kereta Wira milik suspek turut dirampas bagi membantu siasatan. Suspek direman selama tujuh hari sehingga 29 Julai ini dan akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan,” katanya.

Che Malek berkata, suspek, seorang penganggur turut mempunyai beberapa rekod kesalahan lalu dan dikehendaki polis bagi kes tahanan lari dari jagaan polis pada  2010.

Katanya, kejayaan tersebut secara tidak langsung membantu melumpuhkan satu aktiviti pengedaran dadah di daerah ini.

Tambah Che Malek, pihaknya sentiasa mengalu-alukan maklumat dan kerjasama orang ramai dalam usaha mencegah pelbagai bentuk jenayah.

Menurutnya, masyarakat memainkan peranan yang besar dalam mencegah jenayah dan ia dibuktikan sebelum ini, apabila beberapa kes berjaya diselesaikan hasil kerjasama yang padu itu.

Bahana cemburu, tikam isteri sampai mati


Bahana cemburu, tikam isteri sampai mati
Anggota polis membawa mayat mangsa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat.
BATU GAJAH – Kerana dikuasai perasaan cemburu, seorang suami hilang pertimbangan sehingga sanggup menikam isterinya dengan sebilah pisau pemotong sayur selepas pertengkaran yang berlaku di tingkat 1 sebuah rumah kedai, di Jalan Pasar di sini, malam kelmarin.

Mangsa, Than Dar, 25 merupakan pelarian warga Indonesia di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR), dijumpai pada kira-kira jam 11.20 malam di biliknya, dalam keadaan terbaring berlumuran darah dengan satu kesan tikaman.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abd Latif memaklumkan, hasil bedah siasat mendapati mangsa ditikam dari bahagian belakang badan sehingga menembusi paru-paru kanan yang menjadi punca kematian.

Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan motif kejadian adalah kerana cemburu berikutan suspek yang merupakan warga Myanmar berusia 20 tahun mengesyaki mangsa mempunyai hubu- ngan sulit dengan lelaki lain.

"Pasangan itu berkahwin dua tahun lalu dan mendiami sebuah bilik di rumah berkenaan bersama adik suami serta dia rakannya yang tinggal di bilik berasingan.

"Berdasarkan maklumat yang diperoleh, berlaku pertengkaran hebat antara pasangan berkenaan dan selepas itu suspek dilihat meninggalkan mangsa dengan membawa bersama anak lelaki mereka yang berusia dua tahun," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Shaharon Anuar berkata, kecekapan polis membolehkan suspek, aduk suspek serta dua rakannya berjaya ditahan kira-kira empat jam selepas kejadian di tiga lokasi berasingan sekitar Batu Gajah.

Katanya, suspek ditahan di Happy Garden dan anaknya yang dibawa bersama akan ditempatkan di bawah pemerhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Polis berjaya selesaikan kes berkenaan dalam masa enam jam dan kesemua yang tangkap, ditahan selama tujuh hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, iaitu membunuh," katanya.

Sementara itu jiran mangsa, S Sagunalan, 42 berkata, anaknya yang berusia 16 tahun ternampak suspek melarikan diri dalam keadaan tergesa-gesa bersama anaknya.

"Boleh dikatakan pasangan itu bertengkar setiap malam. Kadang kala sampai jam 2 atau 3 pagi.

"Namun kejadian kali ini memang mengejutkan. Pasangan itu terutama mangsa yang bekerja sebagai pembantu di kedai runcit berhampiran memang baik dengan jiran-jiran," katanya.

2 rakan dari Besut kemalangan



SETIU - Dua rakan karib terbunuh apabila kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah kereta lain di Km 84.5 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bahru dekat Kampung Bintang di sini tengah hari tadi.

Mereka dikenali sebagai Mohd Zuhairi Jusoh, 23, yang memandu kereta Volkswagen Golf itu dan rakannya Nik Zul Ehsanudin Mohamad, 23, yang kedua-duanya maut di tempat kejadian.

Kedua-duanya dari Kampung Pengkalan Nyireh, Besut, dikatakan dalam perjalanan pulang selepas berurusan di Kuala Terengganu.

Penumpang sebuah lagi kereta iaitu jenis Toyota Vios yang datang dari arah Jerteh menghala Kuala Terengganu yang dikenali sebagai Nik Rafizan Nik Muhammad cedera parah sementara pemandunya cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Abd Rahman Raja Mohamad berkata kereta Volkswagen Golf itu dipercayai terbabas dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta Toyota Vios berkenaan. - Bernama

Lelaki suspek bunuh di Likas dicari



KOTA KINABALU - Polis di sini sedang mencari seorang lelaki berbangsa Suluk untuk membantu siasatan berhubung kes pembunuhan seorang wanita tempatan di sebuah rumah dua tingkat di Jalan Donald, Kampung Likas Khamis lalu.
   
Suspek yang dikenali sebagai Nur Amin Said, 33, diminta datang ke balai polis berhampiran sementara orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Yusof Othman di talian 012-8191313.
 
Ketua Polis Kota Kinabalu, ASP Jauteh Dikun berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
   
Sementara itu beliau berkata 11 orang termasuk tiga wanita yang kesemuanya berumur antara 22 hingga 45 tahun telah diberkas berhubung kes pecah rumah seorang ahli perniagaan di Jalan Kolam pada 16 Julai lepas.
 
Enam daripada mereka turut positif dadah.

Jauteh berkata beberapa barangan hasil rompakan itu turut ditemui seperti kereta jenis Honda, jam tangan, senjata api buatan sendiri dan beberapa mata wang asing.
   
"Nilai untuk keseluruhan barangan yang ditemui dianggarkan berjumlah RM300,000 termasuk 10 keping mata wang Singapura bernilai 10,000 setiap satu," katanya.
 
Dalam kes-kes lain, beliau berkata tiga lelaki tempatan berumur antara 19 hingga 23 tahun telah di berkas di Tuaran berhubung kes kecurian motosikal di kawasan Kota Kinabalu dan Menggatal serta menemui semula tujuh buah motosikal yang dianggarkan bernilai RM29,000.
 
Sementara itu 23 orang berumur antara 19 hingga 28 tahun ditahan dalam 10 serbuan di pusat perjudian di sekitar Inanam, Pusat Bandar Kota Kinabalu, Luyang dan Menggatal.
 
Sejumlah 248 buah komputer bernilai RM198,000 yang dipercayai digunakan dalam aktiviti perjudian itu dirampas beserta wang tunai bernilai RM4,283. - Bernama

Pemandu teksi maut kenderaan rempuh lori



IPOH - Seorang pemandu teksi maut apabila teksinya merempuh sebuah lori membawa muatan sampah di Kilometer 11.5 arah Jelapang menghala ke Chemor berhampiran Taman Hartawan di sini, hari ini.

A. Santhanam, 64, dari Klebang Restu, mati di tempat kejadian manakala pemandu lori K. Gururaja, 45, dari Klebang Jaya cedera ringan.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Ipoh DSP Wan Sharuddin Wan Omar berkata dalam kejadian pukul 11 pagi itu, teksi Proton Iswara itu melanggar lori berkenaan yang datang dari arah bertentangan.

Difahamkan pemandu teksi mahu memotong kenderaan yang berada di hadapan secara mengejut, sebelum merempuh lori itu. - Bernama

Perompak, pemilik kedai emas berbalas tembakan



NILAI - Lima lelaki yang dikatakan bersenjatakan pistol melarikan tujuh dulang barangan kemas bernilai hampir RM500,000 dari sebuah kedai emas di Pekan Mantin dekat sini kira-kira 1 petang tadi.

Perompak dikatakan turut melepaskan tembakan amaran sebelum merompak sementara pemilik kedai emas itu juga melepaskan tembakan sehingga mengejutkan para perompak dan menyebabkan mereka melarikan diri.

Pemilik kedai emas itu yang enggan dikenali yang berumur 50-an berkata dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang itu, dia berada di dalam kedainya bersama tiga lagi pekerja.

"Tiba-tiba muncul lima lelaki yang memakai topi keledar dan bersenjatakan pistol. Salah seorang daripada mereka kemudiannya melepaskan satu das tembakan amaran sebelum yang lain memecah cermin pameran menggunakan tukul besi.

"Mereka kemudian memasukkan tujuh dulang barangan kemas ke dalam sebuah beg. Pada masa yang sama, saya sempat mengambil senapang patah saya yang disimpan di bawah meja dan melepaskan satu das tembakan ke arah perompak,  namun tersasar.

"Kesemua mereka (perompak) terkejut dengan tembakan itu dan terus melarikan diri dengan menaiki tiga buah motosikal yang diletakkan berhampiran kedai saya," katanya.

Pemilik itu berkata ketika kejadian tiada pelanggan di dalam kedainya.

"Saya bersyukur kerana saya dan tiga pekerja saya selamat dan tidak dicederakan," katanya dan menambah sejak berniaga hampir 20 tahun, itulah kali pertama kedainya dirompak.

Sementara itu jurucakap polis memberitahu pihaknya turut menemui sepucuk pistol mainan di tempat kejadian dan kemungkinan beberapa lagi pucuk pistol yang digunakan perompak juga palsu.

"Kita menemui sepucuk pistol mainan tidak jauh dari premis berkenaan. Kemungkinan pistol mainan itu terjatuh ketika suspek tergesa-gesa melarikan diri," katanya.

Pihak polis akan meneliti rakaman kamera litar tertutup di premis berkenaan. - Bernama

Wanita warga asing ditemui mati dibunuh



BATU GAJAH - Seorang wanita warga asing ditemui mati dengan kesan tikaman pada bahagian belakang badannya di sebuah rumah kedai di Jalan Pasar, di sini malam semalam.

Susulan itu polis memberkas empat lelaki warga Myanmar termasuk suami mangsa bagi membantu siasatan kira-kira enam jam selepas mayat Than Dar, 25, ditemui pada 11.30 malam.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah ACP Shaharon Anuar Abdul Latif berkata siasatan awal polis mendapati berlaku pertengkaran di dalam rumah yang didiami mangsa bersama suami dan anak lelaki mereka yang berusia setahun setengah serta tiga lagi lelaki termasuk adik ipar mangsa.

Pasukan polis yang tiba selepas menerima laporan orang awam hanya menemui mayat mangsa terlentang di dalam sebuah bilik, manakala empat suspek terbabit sudah melarikan diri dan mereka membawa bersama anak mangsa, katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Menurutnya polis kemudian melancarkan gerakan memburu semua suspek yang berusia antara 20 dan 30 tahun terbabit serta berjaya memberkas mereka secara berasingan di Jalan Happy Garden, Jalan Kelab dan Kampung Tersusun Damai.

"Kesemua suspek warga Myanmar bertaraf pelarian yang berdaftar dengan UNHCR dan mereka bekerja di sekitar Pekan Batu Gajah," katanya menambah anak mangsa juga ditemui bersama seorang daripada suspek.

Shaharon Anuar berkata polis tidak menolak kemungkinan kejadian berpunca daripada cemburu si suami yang mengesyaki isterinya yang bekerja sebagai pembantu kedai, mempunyai hubungan dengan lelaki lain.

Menurutnya hasil bedah siasat ke atas mayat mangsa mendapati wanita itu maut akibat tikaman yang menembusi paru-paru kanan.

Polis juga menemui sebilah pisau di tempat kejadian yang dipercayai senjata pembunuhan, katanya menambah semua suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - Bernama

Pelajar maut lepas beli buku latihan SPM



POKOK SENA - Seorang pelajar Tingkatan Lima maut selepas motosikalnya merempuh sebuah lagi motosikal di simpang Penjara Pokok Sena di sini malam tadi.
 
Mangsa, Fatullah Mohamad, 17, dikatakan dalam perjalanan dari Alor Setar pada pukul 10.05 malam untuk pulang ke rumahnya di kampung Padang, Pokok Sena selepas membeli buku latihan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
 
Pegawai Bahagian Siasatan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, T.Tivagaren berkata mangsa maut selepas merempuh sebuah lagi motosikal apabila hilang kawalan semasa membelok di persimpangan itu.
 
"Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala mangsa rempuhan yang dikenali sebagai Rizal Abdullah yang cedera parah dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan lanjut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
 
Sementara itu bapa mangsa, Mohamad Abdullah, 50, berkata pada petang kejadian itu anaknya ada memohon maaf daripadanya sebelum keluar ke Alor Setar.
 
"Sebelum ini, dia ada minta maaf kat abang dia dan dekat saya pun dia minta maaf petang tadi. Pada sebelah pagi, dia hanya duduk di rumah untuk siapkan kerja sekolah sebelum keluar membeli buku," katanya.  - Bernama

Mayat rentung ditemui berpelukan



SANDAKAN - Seorang wanita dan dua gadis rentung dalam kebakaran awal pagi ini di Kampung Muhibbah di sini.
 
Anggota bomba menjumpai mayat Juliana Sikin, 24, yang kurang upaya, adiknya Kamisah, 17, dan anak saudara mereka, Nurnilam Sari, 6 tahun di rumah mereka yang musnah dalam kebakaran pukul 5.40 pagi.
 
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan Johny Yap berkata mayat Juliana dan Kamisah yang rentung ditemui dalam keadaan berpelukan di bilik mandi rumah itu.
 
Katanya pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.40 pagi dan menghantar 16 anggota bersama dua jentera dan dua kenderaan pelbagai guna.
 
Menurutnya apabila tiba di tempat kejadian, rumah tempat mangsa tinggal musnah dan sebuah lagi rumah yang terletak bersebelahan separuh terbakar.

Beliau berkata kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pukul 6.33 pagi sebelum menemui ketiga-tiga mangsa.
 
Katanya mayat mangsa dihantar ke Hospital Duchess of Kent Sandakan untuk dibedah siasat.
 
Hawa Semang, 57, penghuni sebuah lagi rumah berkata sebelum kebakaran itu, mereka baru selesai bersahur dan api bermula dari bahagian depan rumah jiran lalu merebak ke rumah mereka melalui kabel elektrik.
 
Katanya dia bersama anggota keluarganya lari menyelamatkan diri melalui pintu belakang.
 
Menurutnya semua persiapan dan barangan dibeli untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri turut musnah.  - Bernama

Dibogel, dicabul ah long


Mangsa dibogel, dicabul ah long
Dila ketika ditemubual wartawan Sinar Harian.
KUALA LUMPUR - Bukan hanya dibogel dan dicabul, malah seorang gadis berusia 18 tahun turut diugut gambar bogelnya disebarkan jika abang ipar dan kakaknya gagal menjelaskan hutang ah long.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Dila berkata, abang ipar dan kakaknya itu meminjam lebih RM3,000 daripada ah long sejak akhir tahun lalu, namun gagal membayar balik.

“Akibatnya saya yang terima padah apabila tiga lelaki dipercayai ah long mula datang  mengganggu di tempat saya bekerja,” katanya sewaktu ditemu bual di sebuah rumah perlindungan di pinggir ibu kota, semalam.

Dila berkata, gangguan daripada tiga lelaki itu berlarutan hampir setiap hari sehingga awal tahun ini.

Menurutnya, pada suatu hari ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja, tiga lelaki berkenaan memaksanya menaiki motosikal.
“Saya dibawa ke kawasan semak, sebelum mereka mengarahkan saya menanggalkan pakaian dan mengambil gambar saya sebelum dicabul bergilir-gilir," katanya.

Dila berkata, sehingga kini dia tidak tahu di mana abang ipar dan kakaknya berada dan berharap mereka dapat melangsaikan hutang tersebut secepat mungkin.

Anak ketujuh daripada sembilan adik beradik itu memberitahu, berikutan insiden itu emosinya terganggu dan dia kini trauma dan hanya mempunyai ibunya untuk membantu.

Penderitaan Dila tidak habis di situ apabila dia turut mengakui pernah didera oleh abang sulungnya yang mengalami sakit mental sejak lima tahun lalu, memaksa dia tinggal bersama keluarga kakaknya.

“Abang sulung pernah mencabul salah seorang daripada kakak saya, sebelum dia dipenjara kira-kira dua tahun atas kesalahan itu,” katanya.

Menurutnya, abang sulungnya itu juga sering bertindak ganas dengan memukul, menyepak, menghentak kepalanya didinding atas alasan tidak berpuas hati dengan masakannya.

Anak Ketua Pengarang Berita TV3 maut kemalangan



TEMERLOH - Anak kepada Ketua Pengarang Berita TV3 Mohd Khaidir Ahmad, maut dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di km143 Jalan Kuala Lumpur-Kuantan dekat Mentakab malam tadi.
 
Mangsa, Muhammad Luqman Mohd Khaidir, 26, mati di tempat kejadian manakala dua lagi rakannya, kedua-duanya lelaki, seorang pemandu kereta Proton Wira berumur 21 tahun, dan penumpang bahagian belakang, 31, cedera parah.
 
Dalam kejadian 9.30 malam itu, kenderaan yang terbabit dalam nahas itu ialah kereta Proton Wira yang dinaiki mangsa, sebuah kereta jenis Toyota Corolla dan sebuah kereta jenis Perodua Kancil.
 
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Temerloh, Supt Zundin Mahmood, ketika kejadian mangsa bersama dua rakannya itu dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menuju ke Kuantan.
 
"Di tempat kejadian, dipercayai kereta dinaiki mangsa terbabas ke laluan bertentangan lalu melanggar Toyota Corolla terbabit menyebabkan kenderaannya berpusing dan melintang di atas jalan sebelum dirempuh Perodua Kancil yang datang dari arah Kuantan," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, turut parah ialah pemandu Perodua Kancil seorang lelaki berumur 64 tahun, sementara pemandu Toyota Corolla berkenaan hanya cedera ringan.
 
Mohd Khaidir ketika ditemui Bernama berkata anak kedua daripada enam beradik itu pergi ke Kuala Lumpur bersama dua rakannya itu untuk membeli persiapan bagi menyambut hari raya nanti.
 
"Saya sekeluarga juga turut ke Kuala Lumpur secara berasingan untuk membeli persiapan raya dan dimaklumkan kejadian itu malam tadi," katanya.
 
"Arwah anak yang baik dan mendengar kata, saya sempat berbuka puasa dengannya sebelum ini selepas selesai membuat liputan pilihan raya kecil Kuala Besut, baru-baru ini," katanya.
 
Jenazah Muhammad Luqman selamat dikebumikan 10 pagi ini di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lebak Muslim, dekat sini. - Bernama

7 minit rompak kedai emas


7 minit rompak kedai emas
Kedai emas di Pekan Mantin kerugian hampir RM500,000 dalam satu kejadian rompakan, semalam.
NILAI – Sekumpulan perompak bersenjatakan pistol mengambil masa hanya kira-kira tujuh minit untuk melarikan tujuh dulang barangan kemas dalam satu kejadian rompakan di sebuah kedai emas di Pekan Mantin, di sini, semalam.

Bukan sahaja mengambil masa yang singkat, malah perompak berkenaan berani melakukan jenayah meskipun kedai emas itu terletak kira-kira 200 meter dari Balai Polis Mantin.

Dalam kejadian kira-kira 1 petang itu, lima lelaki yang memakai topi keledar terbabit berjaya melarikan barangan kemas bernilai hampir RM500,000.

Pemilik kedai emas yang enggan dikenali, 50-an, berkata, ketika kejadian dia bersama tiga lagi pekerjanya berada di dalam premis.

“Secara tiba-tiba muncul lima lelaki memakai topi keledar dan bersenjatakan pistol. Salah seorang suspek melepaskan satu das tembakan amaran sebelum rakannya yang lain bertindak memecahkan cermin pameran menggunakan tukul besi.

“Mereka memasukkan tujuh dulang barangan kemas dalam sebuah beg,” katanya.

Menurutnya, dia sempat mengambil sepucuk senapang patah miliknya yang disimpan di bawah meja dan terus melepaskan satu das tembakan ke arah suspek, namun tersasar.

“Kesemua mereka terkejut dengan tembakan itu dan terus melarikan diri dengan menaiki tiga motosikal yang diletakkan berhampiran kedai,” katanya.

Katanya, meskipun mengalami kerugian yang besar, namun dia bersyukur kerana dirinya dan tiga pekerja tidak dicederakan.

“Mujur kami semua selamat dan tiada pelanggan di dalam premis ketika kejadian berlaku.

“Saya sudah berniaga di sini hampir 20 tahun dan ini kali pertama kedai saya dirompak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Yusoff Awang berkata, siasatan awal mendapati kemungkinan beberapa pucuk pistol yang digunakan suspek adalah palsu.

“Kita menemui sepucuk pistol mainan tidak jauh dari premis berkenaan. Kemungkinan ia terjatuh ketika suspek tergesa-gesa melarikan diri.

“Bagaimanapun, kita akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan untuk mengesan identiti suspek terlibat,” katanya.