Search This Blog

Friday, July 26, 2013

‘Matilah aku ini!’

Foto
ANGGOTA polis mengangkat mayat mangsa dipercayai dibunuh suaminya dalam kejadian di Jalan Donald Kampung Likas, Kota Kinabalu.
Kota Kinabalu: Berang selepas mengesyaki isteri mudanya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain, seorang lelaki nekad menikam mangsa dengan pisau dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Donald Kampung Likas, awal pagi semalam.
Mayat Juselina Rizal, 21, ditemui telentang di dalam bilik dalam keadaan lengkap berpakaian dengan kesan tikaman di belakang badan oleh jirannya kira-kira jam 9 pagi sebelum bertindak menghubungi polis.
Difahamkan, pasangan berkenaan dikatakan sering bertengkar berikutan suami mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan terlalu cemburu.

Menurut saksi yang juga jiran mangsa, Aminah Ali, 53, berkata pasangan berkenaan dikatakan bertengkar ketika umat Islam lain sedang bersiap untuk bersahur.


“Saya baru terjaga daripada tidur dan ketika mahu mengejutkan dua anak untuk bersahur, saya terdengar pasangan itu bertengkar selain suara mangsa menjerit meminta tolong.

Buaya besar tersadai di tebing sungai

Foto
Dua nelayan terkejut menemui bangkai buaya yang tersangkut di tepi sungai ketika mahu memancing udang.
KUALA SELANGOR: Penduduk sekitar Bukit Belimbing dekat sini gempar selepas dua nelayan menemui bangkai buaya besar yang tersangkut di tepi sungai ketika mahu memancing udang di Jeti Jalan Tok Empat Masjid, Kampung Bukit Belimbing kira-kira lewat malam kelmarin.
Nelayan, Zaidi Jaafar, 23, berkata, dia tidak menyangka suluhan lampu rakannya ketika menyusuri Sungai Selangor untuk memancing udang tertumpu pada objek besar yang disangka kayu yang tersangkut pada dahan kayu di tebing sungai.
“Kami mula menjarakkan sampan dan meneliti dari jauh. Namun, beberapa minit kemudian kami memberanikan diri untuk melihat lebih dekat kerana buaya itu tidak bergerak. Saya cuba menguis menggunakan pendayung dan dapati buaya itu sudah tidak bergerak.

“Selepas sah buaya itu sudah mati, kami terus mendekati untuk melihat keadaan fizikal buaya itu yang mungkin cedera di mana-mana yang mengakibatkan kematian, namun hanya didapati gigi dan kuku sudah tiada,” katanya ketika ditemui petang semalam.



Rakannya, Rosnizam Moktar, 30, berkata, penemuan itu menjadi satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan seumur hidupnya sepanjang tempoh 10 tahun menjadi nelayan sungai di kawasan itu kerana berdepan dengan buaya jenis muara tembaga yang cukup besar.

“Namun ramai rakan lain pernah cakap mereka pernah terserempak dengan buaya jenis itu dengan saiz lebih besar namun reptilia itu tidak pernah mengganggu atau mengganas terhadap nelayan yang mencari makan di sepanjang Sungai Selangor yang kaya dengan udang dan pelbagai jenis ikan.

“Saya pun pernah terserempak dengan buaya ketika memancing di kawasan sungai ini tapi tidak pernah haiwan itu mengganggu nelayan atau kaki pancing yang sering mengunjungi Sungai Selangor untuk memancing udang yang terkenal dengan saiz yang agak besar,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Selangor Rahim Ahmad menjelaskan, pihaknya segera ke lokasi kejadian sebaik dimaklumkan dengan penemuan itu dan mengangkut bangkai buaya terbabit ke Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungai Dusun untuk bedah siasat.

“Kita tidak boleh memberi sebarang komen buat masa ini berhubung punca kematian, usia, jenis jantina dan saiz sebenar kerana menunggu keputusan bedah siasat nanti dan penemuan ini adalah yang pertama dilaporkan kepada Perhilitan di negeri ini,” katanya.

“Sebelum ini kita tidak pernah menerima laporan penemuan buaya dengan saiz yang agak besar bagaimanapun sehingga kini kita juga tidak pernah menerima aduan berhubung keganasan buaya di sepanjang sungai ini yang mengakibatkan kematian,” katanya.

Perompak larikan emas RM500,000

SEREMBAN: Lima lelaki bersenjatakan pistol nekad melarikan tujuh dulang emas bernilai kira-kira RM500,000 dalam kejadian rompakan kedai emas di pekan Mantin, dekat sini, walaupun kedai berkenaan hanya terletak kira-kira 200 meter dari Balai Polis Mantin, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 12.40 tengah hari itu, empat daripada suspek memakai topi keledar bercermin gelap dan berpakaian hitam meluru masuk dari pintu hadapan kedai emas terletak di lot tepi bangunan di Jalan Besar Mantin manakala seorang dipercayai menunggu di dalam kenderaan di belakang premis. 
Pemilik kedai, Lee Yun, 60-an, berkata, ketika kejadian tiga pekerjanya di ruang pameran manakala dia di bilik belakang dalam kedai.

Katanya, seorang suspek melepaskan sedas tembakan amaran sebelum rakannya memecahkan cermin pameran dengan tukul besi dan kemudiannya memasukkan tujuh dulang barangan kemas dalam sebuah beg.
Foto
Cemin simpanan barang kemas yang pecah. FOTO Mohd Amin Jalil

"Sebaik menyedari kehadiran penyamun terbabit, saya keluar dari bilik dan dalam keadaan kelam kabut saya sempat mengambil sepucuk senapang patah milik saya yang disimpan di bawah meja dan terus melepaskan sedas tembakan ke arah suspek namun tersasar.

"Bagaimanapun tindakan itu tidak dapat menghalang mereka melarikan barang emas kerana kejadian berlaku begitu pantas," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Lee Yun berkata, seorang kakitangannya mengalami kecederaan di bahagian kepala selepas terkena serpihan kaca cermin simpanan barang kemas.

Beliau yang sudah menjalankan perniagaan di situ sejak lebih 20 tahun lalu berkata, rompakan itu yang mengambil masa singkat menyebabkan ia tidak disedari orang ramai selepas mereka melarikan diri ke arah belakang kedai.

"Saya menganggarkan kerugian kira-kira RM500,000 namun lega kerana ketika kejadian tiada pelanggan di premis malah saya dan tiga lagi pekerja selamat," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Yusoff Awang berkata, siasatan awal mendapati kemungkinan beberapa pucuk pistol digunakan suspek adalah palsu.

"Kita juga menemui sepucuk pistol mainan tidak jauh dari premis berkenaan kemungkinan terjatuh ketika suspek tergesa-gesa melarikan diri.

"Buat masa ini kita akan meneliti rakaman kamera litar tertutup di premis berkenaan untuk mengesan identiti suspek yang terbabit. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana menyamun menggunakan senjata api," katanya.

22 mati dalam serangan terancang


Mexico: Sekumpulan lelaki lengkap bersenjata menyerang unit polis persekutuan Mexico dalam satu serangan yang dirancang, menyebabkan 22 orang terbunuh.

Penyerang dilengkapi raifai berkuasa tinggi dan bom tangan ketika melakukan serangan di Tierra Caliente, kawasan utama kumpulan dadah.


Bagaimanapun, kebanyakan yang mati itu adalah anggota kumpulan bersenjata itu sendiri.

Mereka bersembunyi di kawasan berbukit di negeri Michoacan, barat Mexico yang dikuasai kartel dadah serta menyekat sekurang-kurangnya empat laluan lebuh raya sebelum melancarkan serangan.


“Setakat ini, dua anggota polis persekutuan terbunuh, 20 suspek penjenayah yang melancarkan serangan itu ditembak mati dan 15 lagi ditahan,” kata Majlis Keselamatan Kebangsaan Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan. - AFP

Park Shi Hoo bebas tuduhan perkosa


Seoul: AKtor Korea Selatan Park Shi Hoo semalam dibebaskan daripada tuduhan pemerkosaan yang dibuat oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutif agensinya, Tuan Hwang.

Keputusan itu sekali gus mengakhiri kemelut undang-undang yang dihadapi pelakon berkenaan sejak enam bulan lalu.
Ini akan mengakhiri pertempuran hukum yang panjang selama enam bulan terakhir.

Keputusan itu juga membuktikan bekas CEO Park terbabit menyebarkan fitnah dan kini berdepan dengan tuduhan memeras ugut dan cuba mencemarkan nama baik pelakon itu.


Park sudah mengemukakan saman itu sebaik Hwang membuat laporan mengenai pemerkosaan terbabit. Kedua-duanya bagaimanapun bersetuju untuk menarik balik laporan masing-masing.


Tetapi Hwang kemudian membuat keputusan mengejut apabila membatalkan keputusan itu. Dia sebaliknya meminta Persatuan Pengurusan Hiburan Korea menjadi orang tengah untuk mencari penyelesaian terhadap kesnya.

Hasil siasatan yang dilakukan persatuan itu, Park didapati tidak bersalah dan nyata bersih.

Park dalam akaun Twitternya semalam menulis: “Saya berterima kasih kepada peminat yang begitu lama menunggu saat ini dengan begitu setia.”

Sejak berdepan dengan tuduhan itu, Park menghentikan semua kegiatan seninya. - AFP

Salman Khan hadapi tuduhan membunuh


New Delhi: Mahkamah di Mumbai semalam mengumumkan bintang filem Bollywood Salman Khan akan dibicarakan bulan depan atas tuduhan membunuh dalam satu kes kemalangan jalan raya lebih 10 tahun lalu.

Dalam kes itu, seorang lelaki mati dan empat lagi cedera apabila Salman merempuh sekumpulan gelandangan yang tidur di tepi jalan di Mumbai pada September 2002.
Peguam Abha Singh berkata, Salman juga akan dibicarakan atas tuduhan cuai ketika memandu.

Salman mengaku tidak bersalah dan perbicaraan dijadualkan berlangsung pada 19 Ogos depan.


Dia berdepan hukuman penjara 10 tahun jika disabitkan.


Salman, 47, antara bintang Bollywood paling popular dan muncul dalam 90 filem sepanjang 25 tahun lalu. - AP

Bergaduh sampai bogel


Beijing: Sepasang kekasih muda China bergaduh dengan menanggalkan pakaian d

an berbogel di tengah jalan raya yang sibuk, semalam.

Sambil berdiri di tengah jalan dan menjerit ke arah satu sama lain si lelaki bertindak menanggalkan pakaian terlebih dulu sebelum diikuti teman wanitanya.


Insiden memalukan itu berlaku di jalan raya di Dongguan, wilayah Guangdong. Yang peliknya, pengguna jalan raya dan orang yang lalu lalang di situ tidak mempedulikan kelakuan mereka walaupun wanita terbabit bertelanjang bulat di tengah jalan. Saksi, Jiang Dayu sempat merakam aksi pasangan berkenaan dengan menggunakan telefon bimbitnya. “Pasangan itu mula bergaduh di tepi jalan sebelum beralih ke tengah jalan.

“Mereka tidak mengendahkan kesesakan jalan raya walaupun pemandu membunyikan hon dan terpaksa mengelak daripada melanggar mereka,” katanya.


Walaupun pergaduhan agak sengit, tetapi pasangan terbabit akhirnya berdamai dan saling berpelukan sebelum beredar dari tempat itu.


Foto
PASANGAN itu akhirnya berdamai dan saling berpelukan sebelum beredar.
Wanita terbabit dilihat masih tidak berpakaian ketika meninggalkan tempat berkenaan. - Agensi

Foto
SI lelaki mula menanggalkan pakaian sebelum diikuti oleh teman wanitanya.

Mahkamah batal perakuan Islam tiga anak


 
Ipoh: Mahkamah Tinggi di sini semalam memutuskan perakuan pengislaman terhadap tiga anak seorang guru tadika beragama Hindu, M Indira Ghandi, 38, empat tahun lalu tidak sah dan terbatal.

Pesuruhjaya Kehakiman Lee Swee Seng yang membacakan keputusan itu selama 1 jam 40 minit berkata, pertukaran agama yang dibuat bapa ketiga-tiganya iaitu Prasana Diksa, 5; Karan Dinish, 15, dan Tevi Darsiny, 16, adalah menyalahi peraturan.
Tak dapat bukti

Swee Seng membuat ketetapan itu berdasarkan Enakmen Pentadbiran Islam Perak, yang antaranya ketiga-tiga anak itu perlu mempunyai hasrat untuk memeluk agama Islam tanpa sebarang paksaan.

“Dalam kes ini, ketiga-tiga anak berkenaan tidak dapat dibuktikan melafazkan dua kalimah syahadah dan mereka serta ibunya juga tidak hadir ke Pejabat Agama Islam untuk mendaftar bagi tujuan menukar agama.

“Penukaran agama itu adalah tidak sah dan batal kerana kanak-kanak berkenaan tidak hadir di hadapan pegawai agama bagi tujuan melafazkan pengisytiharan memeluk Islam (mengucap dua kalimah syahadah). Justeru, mahkamah mendapati perakuan pengislaman mereka adalah batal dan tidak sah,” katanya.

Mangsa korban bot karam terus meningkat


 
Jakarta: Penyelamat menemui dua lagi mayat pencari suaka yang menaiki sebuah bot karam di luar perairan Indonesia, menjadikan angka kematian kepada 13 orang, kata polis semalam.

Mayat kanak-kanak perempuan lima tahun dari Sri Lanka dan lelaki Iran berusia 30 tahun ditemui berhampiran pantai Karangpotong awal pagi semalam, kira-kira 15 kilometer di bahagian selatan di mana bot tunda penuh sesak yang dinaiki mangsa karam malam Selasa lalu di luar pantai Jawa Barat, kata jurucakap polis Cianjur Kapten Ahmad Suprijatna.
Hampir 190 mangsa diselamatkan dan beratus penyelamat serta nelayan terus mencari mangsa lain, tambahnya.

Pihak berkuasa berkata kumpulan itu dipercayai terdiri daripada kira-kira 204 pendatang dari Sri Lanka, Iran dan Iraq yang mahu ke Australia.

Pendatang naik bot kecil

Mereka menaiki bot kecil yang mula bocor sebelum sempat menaiki kapal lebih besar di laut yang sepatutnya sampai ke destinasi sebenar.

Insiden itu berlaku kurang seminggu selepas Perdana Menteri Kevin Rudd menukar dasar pelarian Australia supaya pendatang yang tiba dengan bot tidak lagi dibenarkan tinggal di negara itu.
Sebaliknya, mereka akan dibawa ke Papua New Guinea untuk dipertimbangkan sama ada boleh menetap di sana.

Perubahan mendadak dasar itu yang menaikkan kemarahan kumpulan hak asasi manusia muncul di tengah tekanan politik dalaman selepas satu rentetan kemalangan maut membabitkan bot usang dipenuhi pencari suaka yang karam selepas mengambil risiko perjalanan dari Indonesia ke Australia. - AP/AGENSI

Guru terpedaya janji sindiket rugi RM20,000

Guru terpedaya janji  sindiket rugi RM20,000Tan (kiri) menunjukkan laporan polis kepada Tay di pejabat Biro Aduan Awam MCA Johor Bahru, semalam. Johor Bahru: Seorang guru kerugian RM20,490 selepas terpedaya dengan helah sindiket penipuan antarabangsa yang menjanjikan habuan lumayan.

Mangsa, Tan Peck Hiang, 28, berkata kejadian bermula sejak Mei lalu, apabila beliau dihubungi seorang lelaki tidak dikenali menggunakan nombor telefon negara asing yang menjemputnya ke sebuah majlis makan amal di Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, katanya, beliau tidak menghadiri majlis terbabit kerana faktor jarak selain kesibukannya bertugas sebagai guru di sebuah sekolah di pinggir bandar raya ini.


Tipu pakej melancong

"Sebulan selepas itu, saya sekali lagi mendapat panggilan telefon daripada nombor sama yang memberitahu saya berjaya memenangi pakej percutian ke Dubai, bernilai RM120,000.

“Malah, beliau turut memberitahu, sekiranya saya tidak dapat pergi ke Dubai, tawaran itu boleh digantikan dengan wang tunai RM120,000, namun saya perlu membuat pembayaran terhadap urusan berkaitan tuntutan terbabit yang berjumlah RM20,000,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Biro Aduan Awam MCA Johor Bahru di sini, semalam. Hadir sama ialah Ketua Bironya, Michael Tay.
Peck Hiang berkata, beliau pada mulanya tidak percaya dengan kata-kata lelaki itu, namun mula terpedaya dengan janji manis lelaki terbabit selain turut memeriksa kesahihannya disebuah laman web.

‘Justeru, pada 8 Julai lalu, saya memindahkan sejumlah RM5,800 daripada akaun bank saya ke akaun lelaki terbabit yang menggunakan nama Lo Chen Hwa,” katanya.

Mula curiga

Katanya, pada 9 Julai lalu, beliau sekali lagi dihubungi lelaki terbabit yang memberitahu beliau berpeluang memenangi RM369,000 dan perlu memasukkan sejumlah wang untuk pemprosesan wang dari Hong Kong ke Malaysia.

“Sekali lagi saya terpedaya dan memindahkan RM9,690 keesokan harinya, saya diberitahu wang berjumlah RM369,000 sudah dimasukkan ke dalam akaun bank saya.

“Namun, wang itu didakwanya disekat bank di Malaysia kerana membabitkan jumlah besar dan perlu membuka dua akaun bank,” katanya.

Katanya, curiga dengan lelaki terbabit, beliau akhirnya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nusajaya pada 11 Julai lalu.

Warga asing dipenjara lapan tahun


 
Shah Alam: Seorang warga Bangladesh dihukum penjara lapan tahun dan 13 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam, selepas mengaku bersalah memiliki 400 pil Eramin 5, di Kampung Melayu Subang, di sini, tahun lalu.

Hakim Datuk Ahmadi Asnawi memerintahkan Sohal Heron, 29, menjalani hukuman itu bermula daripada tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 16 September 2012.
Ketika membacakan penghakimannya, Ahmadi berkata, Sohal patut berterima kasih kepada mahkamah kerana menawarkan pertuduhan pilihan iaitu daripada pertuduhan mengedar dadah kepada memiliki.

Patut dihukum lebih berat

“Kesalahan yang kamu lakukan adalah berat dan kamu patut memikirkan keluarga di kampung sebelum melakukan perbuatan ini.

“Mahkamah juga berpendapat kamu sepatutnya dikenakan hukuman berat,” katanya.

Sohal mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 39 A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952, memiliki 400 biji pil Eramin 5 seberat 18.8 gram, di Lot 3373 Jalan Tembusu, Kampung Melayu Subang, dekat sini, jam 12.05 tengah hari, 16 September 2012.
Lelaki itu dalam rayuannya, berkata dia anak tunggal dan menanggung keluarga di Bangladesh dan mahu kembali ke negara asal.

Pelajar Nigeria dihukum gantung

Pelajar Nigeria dihukum gantung Ugonna Philip Nwankwo Shah Alam: Pelajar kolej swasta warga Nigeria dijatuhi hukuman gantung selepas didapati bersalah mengedar ganja seberat 6.2 kilogram, kira-kira tiga tahun lalu.

Ugonna Philip Nwankwo, 29, didapati bersalah terhadap dua tuduhan melakukan kesalahan itu.
Hakim Mahkamah Tinggi, Noor Azian Shaari, berkata mahkamah mendapati pembelaan tertuduh mengenai dadah dibawa dalam beg plastik, dalam poket seluarnya serta yang ditemui dalam rumah sewanya, sebagai tidak logik dan tidak munasabah.


“Versi cerita tertuduh semata-mata untuk menafikan kesalahan yang dilakukan. Bagaimanapun, pendakwaan berjaya membuktikan wujudnya elemen pemilikan dan pengedaran dadah itu melalui keterangan langsung,” katanya.

Noor Azian berkata, beliau menilai perkara itu berdasarkan bukti yang dikemukakan polis yang menjumpai pasport tertuduh di rumah itu selain beberapa surat yang tertera nama tertuduh.

“Oleh itu, mahkamah berpendapat kes ini berjaya dibuktikan oleh pendakwaan dan tertuduh disabitkan bersalah,” katanya.

Ugonna Philip didapati bersalah mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah 1952, mengedar ganja seberat 4.85 kilogram di perhentian bas berhadapan pintu masuk utama sebuah pusat beli belah di Petaling Jaya, pada jam 1 tengah hari, 9 November 2010.

Inspektor digesa perjelas kes mati di lokap


 
Kuala Lumpur: Polis Kuala Lumpur hari ini meminta Inspektor S Hare Krishnan supaya segera kembali bertugas untuk membantu siasatan kes seorang lelaki yang mati ketika ditahan di dalam lokap.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh, berkata dengan berbuat demikian, polis dapat mengambil kenyataannya berhubung kematian N Dhamendran di lokap Cawangan D9, Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur.
Segerakan siasatan

“Kehadirannya penting bagi membolehkan beliau menjelaskan isu seperti yang dinyatakan dalam laporan polis serta kenyataan media yang disiarkan.

“Tanpa kehadiran beliau, segala laporan atau kenyataan yang dibuat olehnya, bukan saja melewatkan proses siasatan malahan turut gagal menegakkan keadilan,” katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.

Sebelum ini, Polis Kuala Lumpur sudah cuba mengesan Krishnan, yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, bagi membantu siasatan kes kematian Dhamendran pada 21 Mei lalu. - BERNAMA

80 terbunuh nahas kereta api Sepanyol

80 terbunuh  nahas kereta api SepanyolKEADAAN gerabak kereta api yang tergelincir. Gambar kanan, rakaman menunjukkan detik-detik kereta api tergelincir dari landasan di Santiago de Compostela. - Foto AFP Gerabak tergelincir ketika melalui selekoh landasan

Santiago de Compostela: Sekurang-kurangnya 80 orang terbunuh dan 140 lagi cedera selepas sebuah kereta api tergelincir di luar bandar lama barat laut Sepanyol di sini, petang kelmarin.
Mayat ditutupi selimut dilihat bersebelahan gerabak terbalik dengan asap keluar berkepul-kepul dari bangkai gerabak dengan kejadian dianggap antara nahas kereta api terburuk Eropah.

Kami cuba keluar dari bahagian bawah gerabak untuk menyelamatkan diri dan sedar kereta api sedang terbakar” Ricardo Montesco, Penumpang

Anggota bomba cuba mencari mangsa yang terselamat sementara anggota perubatan dalam ambulans dan bomba mengelilingi tempat kejadian.

Kerajaan mengandaikan punca kejadian itu, yang berlaku ketika kemuncak festival keagamaan penting bandar itu, sebagai kemalangan.

Sabotaj atau serangan agak mustahil, kata sumber rasmi, walaupun kemusnahan itu mengembalikan ingatan kepada pengeboman kereta api di Madrid pada 2004 yang mengorbankan 191 orang.

Kereta api Santiago de Compostela dikendalikan syarikat Renfe membawa 247 penumpang ketika ia tergelincir di saat bandar itu bersiap sedia menyambut festival Saint James, apabila ribuan penganut Kristian dari seluruh dunia memenuhi jalanan. 

Batal sambut keraian

Lembaga pelancongan bandar berkata, semua keraian termasuk ‘High Mass’ di gereja dibatalkan kerana seluruh bandar berkabung akibat nahas.

“Kejadian berlaku amat pantas. Kereta api mula tergelincir di selekoh dan gerabak menimpa antara satu sama lain,” kata penumpang, Ricardo Montesco kepada stesen radio, Cadena Ser.

“Ramai penumpang terperosok. Kami cuba keluar dari bahagian bawah gerabak untuk menyelamatkan diri dan sedar kereta api sedang terbakar. Saya berada dalam gerabak kedua dan kebakaran berlaku. Saya lihat mayat,” tambahnya.

Perdana Menteri, Mariano Rajoy, yang dilahirkan di bandar ini melawat tempat kejadian pagi semalam, kata jurucakapnya.

“Oleh kerana satu tragedi baru saja berlaku di Santiago de Compostela pada kemuncak hari besar, saya hanya dapat menyampaikan simpati mendalam sebagai rakyat Sepanyol dan penduduk Galicia,” kata Rajoy dalam satu kenyataan.

Bergerak laju

Akhbar El Pais memetik sumber kepada siasatan sebagai berkata kereta api itu bergerak dua kali ganda had laju dibenarkan ketika melalui selekoh tajam.

Kedua-dua Renfe dan syarikat kerajaan Adif, yang bertanggungjawab menyelenggara landasan, membuka satu siasatan terhadap punca kejadian gelincir itu, kata Renfe.

Satu sumber rasmi berkata, tiada kenyataan dibuat berkaitan punca nahas sehingga kotak hitam kereta api diteliti namun berkata ia kemungkinan besar satu kemalangan.

“Kami akan melupakan teori ia disebabkan sabotaj atau serangan pengganas,” katanya. - REUTERS/AGENSI

Mangsa korban bot karam terus meningkat


 
Jakarta: Penyelamat menemui dua lagi mayat pencari suaka yang menaiki sebuah bot karam di luar perairan Indonesia, menjadikan angka kematian kepada 13 orang, kata polis semalam.

Mayat kanak-kanak perempuan lima tahun dari Sri Lanka dan lelaki Iran berusia 30 tahun ditemui berhampiran pantai Karangpotong awal pagi semalam, kira-kira 15 kilometer di bahagian selatan di mana bot tunda penuh sesak yang dinaiki mangsa karam malam Selasa lalu di luar pantai Jawa Barat, kata jurucakap polis Cianjur Kapten Ahmad Suprijatna.
Hampir 190 mangsa diselamatkan dan beratus penyelamat serta nelayan terus mencari mangsa lain, tambahnya.

Pihak berkuasa berkata kumpulan itu dipercayai terdiri daripada kira-kira 204 pendatang dari Sri Lanka, Iran dan Iraq yang mahu ke Australia.

Pendatang naik bot kecil

Mereka menaiki bot kecil yang mula bocor sebelum sempat menaiki kapal lebih besar di laut yang sepatutnya sampai ke destinasi sebenar.

Insiden itu berlaku kurang seminggu selepas Perdana Menteri Kevin Rudd menukar dasar pelarian Australia supaya pendatang yang tiba dengan bot tidak lagi dibenarkan tinggal di negara itu.
Sebaliknya, mereka akan dibawa ke Papua New Guinea untuk dipertimbangkan sama ada boleh menetap di sana.

Perubahan mendadak dasar itu yang menaikkan kemarahan kumpulan hak asasi manusia muncul di tengah tekanan politik dalaman selepas satu rentetan kemalangan maut membabitkan bot usang dipenuhi pencari suaka yang karam selepas mengambil risiko perjalanan dari Indonesia ke Australia. - AP/AGENSI

Budak mangsa berebut parkir


 
Lelaki berang tak diizin letak kereta ibu kanak-kanak

Beijing: Seorang lelaki menghempas seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun menyebabkannya menemui ajal selepas ibu mangsa enggan memberi laluan kepadanya untuk meletak kereta.
Lelaki itu dikenali sebagai Han, mahu meletak kereta dekat perhentian bas namun wanita itu enggan beredar kerana sedang memeriksa anak perempuannya ketika itu, lapor akhbar Beijing Times, memetik seorang saksi sebagai berkata.
Bayi itu tidak mengeluarkan suara selepas dijatuhkan dan tidak juga menangis kerana sakit” Zhou, Saksi

Han berusia awal 40-an, keluar dari kereta Hyundai Sonata, memukul wanita itu sebelum menarik kanak-kanak itu keluar dari kereta sorong, memegangnya dan menghempasnya, kata saksi, seorang pemilik gerai jalanan, Zhou.

Tak menangis

“Bayi itu tidak mengeluarkan suara selepas dijatuhkan dan tidak juga menangis kerana sakit,” lapor akhbar yang memetik Zhou sebagai berkata.

Seorang lagi lelaki keluar dari kereta sama dan turut memukul ibu mangsa sebelum mereka pergi dari situ, tambahnya.
Wanita berkenaan kemudian bergegas membawa anak kecilnya yang berada dalam keadaan kritikal ke hospital berhampiran.

Bagaimanapun, kanak-kanak itu menemui ajal ketika dipindahkan ke sebuah hospital lain, menurut laporan.

Polis kemudian menemui Han yang dibebaskan dari penjara tahun ini selepas menjalani hukuman kerana mencuri, di sebuah rumah mandian air panas dan menahannya, kelmarin.

Dia mungkin didakwa kerana membunuh, lapor akhbar yang memetik pakar perundangan sebagai berkata.

Ini bermakna, lelaki itu ada kemungkinan dikenakan hukuman mati mengikut undang-undang yang ada.

Ketegangan sosial memuncak di China sejak beberapa tahun kebelakangan ini berikutan jurang pendapatan meluas dan penyalahgunaan kuasa. - AFP

Pelajar Nigeria dihukum gantung



AKSI Ugonna Philip ketika dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas didapati bersalah mengedar ganja semalam.


SHAH ALAM - Penghijrahan seorang pemuda dari Nigeria untuk belajar di sebuah kolej swasta di sini ternyata sia-sia apabila dia terpaksa menamatkan riwayatnya di tali gantung selepas Mahkamah Tinggi di sini semalam mendapatinya bersalah mengedar ganja tiga tahun lalu.
Hakim Noor Azian Shaari memerintahkan Ugonna Philip Nwankwo, 29, menjalani hukuman itu selepas mendapatinya bersalah di akhir kes pembelaan kerana mengedar ganja seberat 6.2 kilogram.
Dalam keputusannya, Noor Azian berkata, mahkamah mendapati keterangan tertuduh mengenai dadah yang dijumpai dalam poket seluarnya adalah tidak logik dan tidak munasabah.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0726&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz2a8bGw2cE 
Hakcipta terpelihara 

Suami cemburu ditemui mati tergantung



MAYAT Nik Hasan ditemui tergantung di ruang tamu rumahnya di Jeli, Kelantan kelmarin. Rumah Nik Hassan kanan sekali.


JELI - Seorang lelaki yang tidak dapat menahan perasaan terhadap isterinya yang disyaki bermain kayu tiga ditemui mati tergantung di ruang tamu rumahnya di Kampung Ayer Lanas Blok Tumpat di sini kelmarin.
Mayat pengusaha kantin, Nik Hasan Mohamed, 53, ditemui oleh isterinya, Anirah Rani, 40, pada pukul 10 malam dalam keadaan tergantung dengan menggunakan tali nilon di ruang tamu rumah mereka.
Difahamkan, isteri mangsa merupakan suri rumah namun dia bergiat aktif dalam politik hingga menjadi anggota kepada salah sebuah parti.
Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Sheik Azhar Sheik Omar berkata, sebelum kejadian, pasangan itu telah bertengkar sebaik wanita itu pulang dari satu majlis di Kampung Gemang dekat sini.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0726&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz2a8auOIrV 
Hakcipta terpelihara 

'Saintis cilik' terima 14 jahitan


MOHD. NAWI menunjukkan muka Mohd. Nor Hakim yang cedera selepas terkena serpihan kaca apabila eksperimen membuat bunga api tidak menjadi di Pasir Mas kelmarin.


KOTA BHARU - Tindakan seorang 'saintis cilik' tidak bertauliah yang cuba membuat bunga api sendiri mengundang padah apabila bahan uji kajinya itu tiba-tiba meletup mengakibatkan muka, badan dan kakinya cedera.
Kejadian pukul 4 petang kelmarin di Kampung Padang Embun, Tendong, Pasir Mas berlaku apabila pelajar tahun lima Sekolah Kebangsaan Bechah Durian, Mohd. Nor Hakim Mohd. Nawi, 11, cuba memanaskan botol yang diisi belerang dan pasir menggunakan surat khabar sebelum botol itu meletup menyebabkan serpihan kaca mengenainya.
Mengimbau semula kejadian itu, bapa mangsa, Mohd. Nawi Wan Sulaiman, 57, berkata, ketika kejadian, anaknya cuba melakukan 'eksperimen' menggunakan mercun bola bersama empat lagi rakannya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0726&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz2a8aWHcl1 
Hakcipta terpelihara 

Kebakaran besar di Manila, 1,200 hilang tempat tinggal

MANILA 25 Julai - Lebih 1,200 penduduk kehilangan tempat tinggal selepas kawasan setinggan yang didiami musnah dalam kebakaran di sini, semalam.
Pegawai bomba, Douglas Guiyab berkata, sekurang-kurangnya 250 buah rumah musnah dan sebuah sekolah rendah rosak teruk dalam kejadian kebakaran yang berlaku di Pasay City.
Bagaimanapun, tiada kematian atau kecederaan dilaporkan dalam insiden berkenaan. - DPA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130725/lu_01/Kebakaran-besar-di-Manila-1200-hilang-tempat-tinggal#ixzz2a8QPqlkT
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Nahas kereta api, 80 maut


PaSUKAN penyelamat mengangkat penumpang yang cedera di atas pengusung untuk dihantar ke hospital. Sebanyak 78 terbunuh dalam nahas kereta api dekat Santiago de Compostela, barat laut Sepanyol, kelmarin. - REUTERS
GALICIA 25 Julai - Sebuah kereta api penumpang tergelincir di sebuah bandar purba di barat laut Sepanyol semalam, menyebabkan sekurang-kurangnya 80 orang maut dan lebih 100 lagi cedera.
Nahas berlaku pada pukul 8.42 malam (2.42 pagi tadi waktu Malaysia) ketika kereta api yang membawa 218 penumpang dan empat kakitangan itu menghampiri stesen Santiago de Compostela di wilayah Galicia.
Kereta api itu dalam perjalanan dari Madrid ke bandar Ferrol.
Insiden itu menyebabkan gerabak penumpang merempuh antara satu sama lain dan empat gerabak turut terbalik dengan mayat-mayat bergelimpangan di sepanjang landasan kereta api.
"Setakat ini angka korban ialah 80 orang dan 111 lagi cedera. Kira-kira 20 lagi mangsa masih belum dapat dikenal pasti," kata seorang jurucakap bagi wakil kerajaan pusat di wilayah itu.
Sementara itu, seorang penduduk, Francisco Otero yang berada di rumahnya berhampiran dengan kawasan nahas berkata, dia terdengar bunyi kuat seperti kejadian gempa bumi.
"Perkara pertama yang saya lihat ialah mayat seorang wanita. Saya sebelum ini tidak pernah melihat mayat.
"Jiran-jiran saya turut cuba menarik keluar mereka yang terperangkap di dalam gerabak,'' katanya.
Televisyen awam, TVE melaporkan kereta api itu mungkin tergelincir kerana dipandu terlalu laju, tetapi seorang jurucakap syarikat kereta api milik kerajaan, Renife menyatakan bahawa terlalu awal untuk mengetahui punca nahas.
"Siasatan sedang dijalankan dan kita perlu tunggu. Kita akan tahu kelajuan kereta api itu selepas kotak hitam diteliti,'' katanya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130726/lu_01/Nahas-kereta-api-80-maut#ixzz2a8PTiVBy
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Buaya disangka kayu hanyut


Buaya disangka kayu hanyut
Penduduk Jalan Tok Empat Masjid gempar dengan penemuan bangkai buaya tembaga itu.
Buaya disangka kayu hanyut
Penghulu Mukim Api-Api/Ijok, Hussien Idris (kiri) mengiringi Rahim ke lokasi kejadian, semalam.
KUALA SELANGOR - Hasrat dua sahabat untuk memancing udang di Jeti Jalan Tok Empat Masjid, Kampung Bukit Belimbing di sini terbantut apabila mereka menemui bangkai buaya tersangkut di tepi sungai, kira-kira jam 11 malam semalam.

Lebih mengejutkan, penemuan buaya dianggarkan berukuran enam meter itu pertama kali berlaku di kampung tersebut sekali gus menyebabkan kawasan jeti menjadi tumpuan orang ramai sejak awal pagi.

Penduduk, Zaidi Jaafar, 23, berkata, dia tidak sangka cahaya lampu rakannya ketika menyusuri Sungai Selangor untuk memancing udang, tertumpu pada objek besar disangka kayu yang tersangkut di tebing sungai.

Menurutnya, dia tidak tahu langsung mengenai objek tersebut, namun hampir menjerit apabila melihat terdapat seekor buaya muara tembaga dalam keadaan telentang ketika sampannya mendekati objek tersebut.

“Kami jarakkan sampan dan teliti daripada jauh. Namun beberapa minit kemudian, kami kembali memberanikan diri untuk melihat dengan lebih dekat kerana buaya itu tidak bergerak.

“Selepas sah buaya itu sudah mati, kami terus mendekati untuk melihat keadaan buaya itu yang mungkin cedera hingga mati, namun hanya gigi dan kuku tiada,” katanya.

Rakannya, Rosnizam Moktar, 30, pula berkata, penemuan itu amat berharga sepanjang tempoh 10 tahun dia menjadi nelayan sungai di sini.

“Ramai rakan cakap, mereka pernah terserempak buaya jenis itu dengan saiz lebih besar. Saya pun pernah terserempak dengan buaya ketika memancing, namun haiwan itu tidak pernah mengganggu nelayan atau kaki pancing.

“Orang lama cakap buaya itu penunggu sungai. Saya anggap mitos sahaja dan mungkin hanya ada dua jenis buaya di sungai ini iaitu muara serta jelujong mengikut cerita nelayan yang pernah menemui haiwan tersebut,” katanya.

Jeti jadi mini zoo

Ketua Kampung Bukit Belimbing, Samsudin Idris berkata, pihaknya terkejut apabila dimaklumkan mengenai penemuan itu dan bergegas ke kawasan jeti untuk melihat buaya tersebut dengan lebih dekat.

“Kawasan jeti itu menjadi tumpuan penduduk, seolah-olah mini zoo bermula seawal jam 7 pagi.

Orang ramai berpusu datang dan sementara menunggu pegawai Perhilitan, mereka sempat merakam gambar untuk buat kenangan,” katanya.

Turut hadir, Penghulu Mukim Api/Api dan Ijok, Hussien Idris.

Penemuan pertama

Pengarah Perhilitan Negeri Selangor, Rahim Ahmad berkata, pihaknya segera ke lokasi kejadian sebaik dimaklumkan mengenai penemuan itu dan mengangkut bangkai buaya seberat 1,000 kilogram tersebut ke Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungai Dusun untuk dibedah siasat.

“Kita tak boleh beri sebarang komen berhubung punca kematian, usia, jantina dan saiz sebenar kerana tunggu bedah siasat. Penemuan ini adalah yang pertama dilaporkan kepada Perhilitan negeri kerana kita tidak pernah terima laporan penemuan buaya dengan saiz agak besar atau keganasan buaya yang mengakibatkan kematian.

"Saya berterima kasih kepada Majlis Daerah Kuala Selangor yang menyediakan pengangkutan sekali gus melancarkan tugas Perhilitan bawa buaya itu ke Sungai Dusun,” katanya.

Kantoi curang


Kantoi curang
Keng Siuk (kiri) menunjukkan gambar yang dirakam kepada Way Keng ( tengah) semalam.
AMPANG  - Seorang isteri yang masih dalam pantang selepas melahirkan anak terkejut apabila melihat suami separuh bogel bersama seorang perempuan warga Vietnam di atas katil biliknya.

Cheang Keng Siuk,31, berkata,dia tergamam dan terkejut apabila melihat suaminya sedang tidur bersama dengan perempuan lain dalam bilik tidurnya baru-baru ini.

Menurutnya, kejadian tersebut berlaku semasa dia pulang ke rumah untuk mengambil pakaian kerana tinggal di rumah emaknya apabila masih dalam tempoh berpantang melahirkan anak yang baru berusia 12 hari.

“Pada hari kejadian, saya dikejutkan dengan perkara yang tidak sepatutnya berlaku di rumah saya dan saya sempat merakam gambar mereka berdua dalam keadaan separuh bogel.

“Bagaimanapun, tindakan saya disedari oleh perempuan tersebut yang terus mengejutkan suami tetapi saya sempat keluar dari rumah dan menyelamatkan diri apabila cuba dikejar oleh suami” katanya kepada Sinar Harian pada sidang media di Pusat Khidmat Rakyat Dun Teratai, semalam.

Keng Siuk berkata, dia berasa perkahwinannya tidak boleh diselamatkan lagi dan ingin berpisah dengan suaminya kerana hubungan mereka sudah tiada masa depan lagi.

Katanya lagi, dia sudah putus asa dan mahu berpisah serta menuntut nafkah yang setimpal bagi perbelanjaan dua anaknya setelah berhenti kerja apabila dipaksa oleh suami sebelum ini.

“Suami saya juga tidak mahu bersama dengan saya lagi dan mahu memberi duit nafkah sebanyak RM500 tetapi saya tidak bersetuju dengan jumlah tersebut,” katanya.

Sementara itu, Adun Teratai, Tiew Way Keng berkata, sebelum ini, kedua-dua pihak tersebut telah berjumpa dengannya dan berbincang berhubung masa depan perkahwinan mereka.

Katanya, isu di sini adalah campur tangan oleh pihak ketiga iaitu perempuan warga asing dalam rumah tangga pasangan ini dan kedua-duanya mahu berpisah setelah tiada kepercayaan lagi antara satu sama lain.

“Bagaimanapun, saya menasihati pasangan ini supaya bertenang dan tidak mengambil keputusan terburu-buru kerana mereka mempunyai anak yang kecil,” katanya.

Way Keng berkata lagi, dalam pada itu, beliau menggesa kerajaan pusat supaya menggariskan satu panduan atau undang-undang berhubung isu sosial yang semakin berleluasa terutamanya kehadiran warga asing ke negara ini.

Alvin, Vivian akhirnya dibenar jamin

Alvian dan Vivian
Alvian dan Vivian - Foto Bernama
KUALA LUMPUR – [Dikemaskini] Mahkamah Tinggi di sini, membenarkan permohonan pasangan kontroversi, Alvin Tan dan Vivian Lee, untuk diikat jamin sebanyak RM30,000 setiap seorang dengan dua penjamin serta mengenakan beberapa syarat tambahan dalam permohonan semakan kehakiman yang difailkan mereka minggu lepas.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Azman Husin bagaimanapun menolak permohonan untuk mengadakan perbicaraan secara berasingan, sebaliknya mengekalkan perintah Hakim Mahkamah Sesyen, untuk menjalankan perbicaraan secara serentak.

Mohd Azman turut  membenarkan pasangan itu diikat jamin sebanyak RM10,000 bagi setiap tuduhan, selepas mempertimbangkan cadangan timbalan pendakwa raya yang menawarkan jaminan sebanyak Rm15,000 bagi setiap pertuduhan yang dihadapi mereka.

Pasangan itu turut dilarang memuat naik sebarang artikel, komen, penulisan berunsur hasutan dan memuat naik gambar lucah serta jelik  yang boleh menimbulkan unsur perkauman, dan menyentuh sensitiviti kaum dan agama.

Mereka juga dilarang menggunakan peranti komunikasi berangkaian termasuk telefon pintar  dan gajet komunikasi lain bagi mengakses internet untuk memuat naik gambar, komen atau artikel yang boleh menghasut  dan menimbulkan permusuhan antara kaum.

Dua lagi syarat diberikan termasuk mereka dikehendaki menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berhampiran pada minggu pertama setiap bulan.

Datuk Azman membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan peguambela dan hujahan balasan pihak pendakwaan serta membuat semakan semula kehakiman mengikut Seksyen 35 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, dan Seksyen 323(1) Kanun Acara Jenayah.

Berdasarkan keputusan tersebut mahkamah turut menolak bantahan awal pihak pendakwaan yang memohon untuk membatalkan permohonan semakan kehakiman yang difailkan pasangan itu.

Sebelum ini, Alvin fan Vivian terpaksa meneruskan kehidupan masing-masing di Penjara Sungai Buloh dan Penjara Kajang, apabila, hakim Mahkamah Sesyen tidak membenarkan kedua mereka diikat jamin atas faktor kepentingan awam.

Mereka kemudiannya, memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi, bagi menyemak perintah hakim untuk tidak menjalankan perbicaraan atas tiga pertuduhan secara bersama, dan membenarkan ikat jamin ke atas mereka.

Pasangan kontroversi itu didakwa di Mahkamah Sesyen atas tiga tuduhan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 5(1) Akta Penapisan Filem 2002, dan Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan.

Pasangan ini mencetus kontoversi ekoran tindakan mereka yang dikatakan mempersendakan umat Islam dan bulan Ramadan dengan mengajak memakan bak kut teh (sup tulang babi) menerusi laman sosial Facebook.

Pemilik kilang kasut rugi jutaan ringgit



NIBONG TEBAL - Sebuah kilang membuat kasut di Jalan Kilang, di sini kerugian jutaan ringgit apabila kilang itu musnah dijilat api semalam.
 
Kebakaran melibatkan 10 gudang produk, tiga bangunan pengeluaran dan dua bangunan pejabat.
 
"Hanya sebuah bangunan pejabat tidak terbakar,"  kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang Azmi Tamat.
 
Ketika kejadian terdapat 35 pekerja dalam kilang itu dan kesemua mereka sempat menyelamatkan diri.
 
"Kami menerima panggilan pada pukul 5.01 petang dan enam jentera dengan kekuatan 24 pegawai dan anggota terlibat dalam operasi itu. Kami turut dibantu 130 anggota bomba sukarela," kata Azmi.

Beliau berkata kebakaran dapat dikawal kira-kira sejam selepas kejadian tetapi sehingga pagi ini anggota bomba dan penyelamat masih berusaha memadamkan sepenunhnya kebakaran itu kerana kebanyakan barang dalam kilang berkenaan ialah getah.
 
Azmi berkata pihaknya menghadapi kesukaran untuk memadamkan kebakaran kerana masalah bekalan air dan kedudukan kilang itu agak jauh daripada pili bomba.
 
Punca kebakaran dan jumlah sebenar kerugian masih disiasat.
 
Pemilik kilang berkenaan yang enggan dikenali berkata beliau dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh seorang pekerjanya.
 
"Tiada barang yang dapat diselamatkan, rugi jutaan ringgit,"  kata lelaki itu.  - Bernama

12 kes pecah rumah di KB, Pasir Mas selesai



PASIR MAS - Polis menahan tiga lelaki yang disyaki terlibat dalam beberapa kes pecah rumah dalam serbuan ke sebuah rumah di Pusu 40, Lubuk Jong di sini, semalam.

Turut ditahan dalam serbuan pada pukul 6.30 petang itu ialah seorang wanita mengandung berusia 28 tahun yang dikatakan isteri seorang daripada lelaki terbabit.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas ACP Haliludin Rahim berkata dengan penahanan itu, polis percaya dapat menyelesaikan 12 kes pecah rumah di Kota Baharu dan daerah ini.

"Kesemua mereka didapati positif dadah, manakala dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes curi motosikal, curi kereta, samun dan dadah," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata polis turut merampas dua kereta jenis Honda Accord dan Toyota Innova serta sebuah motosikal Yamaha LC yang dipercayai dicuri di Kota Baharu.

Turut ditemui ialah empat televisyen LCD, tujuh skrin komputer, lima komputer riba, dua set 'home theater', satu alat pemotong besi dan pelbagai alat pecah rumah, katanya.

Beliau berkata kesemua mereka yang berusia antara 18 dan 31 tahun itu direman tiga hari bermula hari ini. - Bernama

Buruh ladang ditahan disyaki bunuh wanita




KINABATANGAN - Polis menahan seorang buruh ladang selepas disyaki memukul seorang wanita berusia lingkungan 50-an hingga mati di Peringkat 3 Ladang Kelapa Sawit Amalania, Jalan Jeroco semalam.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan DSP Martin Lugu berkata lelaki berusia 22 tahun itu yang meupakan warga Filipina ditahan selepas enam jam mayat wanita itu ditemui oleh pengawal keselamatan di kawasan ladang kelapa sawit tersebut dengan kesan cedera di kepalanya pada pukul 10.05 pagi.

Katanya lelaki berkenaan yang tinggal di rumah pekerja Peringkat 3 ladang tersebut berjaya ditangkap dengan kerjasama penyelia ladang pada pukul 4.30 petang sebelum diserahkan kepada polis.

"Lelaki berkenaan juga mengaku memukul mangsa disebabkan masalah hutang," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Menurutnya mangsa seorang warga Indonesia yang dikenali sebagai Bong Bong tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan tinggal di rumah pekerja di Peringkat 1 ladang tersebut.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk bedah siasat. - Bernama

Dadah: Warga Bangladesh dipenjara, sebat



SHAH ALAM - Seorang penjual ais krim warga Bangladesh hari ini dikenakan hukuman penjara lapan tahun dan 13 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas mengaku bersalah memiliki 400 biji pil Eramin 5, pada September tahun lepas.

Hakim Datuk Ahmadi Asnawi memerintahkan Sohal Heron, 29, menjalani hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap, 16 Septembetr 2012 selepas dia mengaku bersalah terhadap tuduhan pilihan.

Dalam penghakimannya, Ahmadi berkata tertuduh sepatutnya memikirkan keluarga di kampung sebelum melakukan kesalahan itu.

"Mahkamah berpendapat awak mesti dijatuhi hukuman berat bermula dari tarikh ditangkap," katanya.

Sohal didakwa memiliki 400 biji pil Nimetazepam (Eramin 5) seberat 18.8 gram, di Lot 3373, Jalan Tembusu, Kampung Melayu Subang, dekat sini, pada 12.05 tengah hari, 16 September 2012.

Dia dihukum mengikut Seksyen 39 A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup atau minimum lima tahun dan sekurang-kurangnya 10 kali sebatan.

Sebelum ini, tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan mengedar mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Dia bagaimanapun menukar pengakuan kepada bersalah selepas mahkamah meminda pertuduhan itu daripada mengedar kepada memiliki.

Terdahulu, Sohal merayu agar mahkamah menjatuhkan hukuman ringan ke atasnya atas alasan dia adalah anak tunggal dan menanggung keluarga di Bangladesh.

"Saya juga insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan saya. Pohon hukuman ringan kerana saya ingin kembali ke negara asal," katanya yang nturut meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas perbuatannya.

Timbalan Pendakwa Raya Fazilah Begum Abdul Ghani yang mengendalikan pendakwaan pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana tertuduh melakukan jenayah berat ketika berada di Malaysia. - Bernama

Guru Besar Seri Pristana terima ugutan bunuh

Isu kantin
Isu kantin
KUALA LUMPUR - Guru Besar Sekolah Kebangsaan Seri Pristana, Saujana Utama, Sungai Buloh, semalam membuat laporan polis selepas menerima ugutan bunuh berikutan isu penggunaan bilik persalinan sebagai tempat makan di sekolah itu untuk pelajar bukan Islam, dua hari lepas.
 
Mohd Nasir Mohd Noor, 57,  berkata laporan polis itu dibuat bagi melindungi dirinya yang menerima ugutan bunuh dan cacian daripada beberapa pihak termasuk melalui akaun Facebooknya.
 
"Dua hari lepas, setelah gambar itu tersebar, saya menerima panggilan talefon kira-kira 10 pagi dari seorang lelaki yang mendakwa dia dari badan bukan kerajaan (NGO).
 
"Selain memaki hamun saya dan menghamburkan kata-kata kesat, dia juga mengeluarkan perkataan 'If I meet you, i will kill you' (Jika saya jumpa awak, saya akan bunuh awak)," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu dengan ditemani enam anggota Badan Kebajikan Guru sekolah itu di pondok Polis Saujana Utama dekat sini.
   
Sebelum ini, akhbar melaporkan bilik persalinan di sekolah itu digunakan sebagai kantin sementara bagi 28 pelajar bukan Islam sepanjang Ramadan ini.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan yang mengadakan lawatan ke sekolah itu kelmarin berkata, isu lokasi kantin sementara yang didakwa kurang sesuai di sekolah itu, tiada kena mengena dengan isu agama dan bangsa.
 
Mengulas isu itu, Mohd Nasir berkata beliau kesal dengan usaha yang mahu menjatuhkan nama baiknya dan sekolah itu, yang baru dibuka tiga tahun lepas itu.
 
"Sebelum ini memang tidak ada aduan daripada  ibu bapa mengenai isu bilik persalinan ini kerana mereka faham masalah kantin di sekolah ini yang dalam proses ubah suai bagi menampung kira-kira 600 pelajar sedangkan sekolah ini mempunyai 1,300 pelajar," katanya.
 
Ekoran isu itu, beliau kini bercuti selepas diarahkan berehat untuk sementara waktu bagi meredakan keadaan.
 
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Junaidi Bujang mengesahkan menerima laporan daripada Mohd Nasir berhubung tohmahan terhadap dirinya berhubung isu itu.

Di PETALING JAYA, Pemangku Ketua Polis Selangor Datuk A. Thaiveegan berkata, polis akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pelajaran Negeri Selangor dalam menyelesaikan isu itu.
 
Beliau berkata walaupun isu itu bukan di bawah bidang kuasa polis, namun ia sedia membantu dalam menyelesaikannya.
 
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan surat penghargaan kepada 54 anggota dan pegawai polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang atas kejayaan menyelesaikan beberapa kes jenayah di sekitar negeri itu.
 
Pada majlis yang sama, Thaiveegan mengagihkan sebanyak 268 sarung siku kepada anggota polis yang bertugas di bahagian Unit Rondaan Bermotosikal (URB) bagi mengelakkan kecederaan ketika bertugas. - Bernama

Diserang lelaki senjata parang



Diserang lelaki senjata parang
Cermin van yang dipecahkan lelaki bersenjatakan parang.
AMPANG - Sekumpulan tujuh lelaki bersenjatakan parang menyerang lima pegawai dan 20 anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) kerana tidak berpuas hati tindakan MPAJ menampal notis struktur binaan haram di premis di Kampung Pandan, di sini, Selasa lalu.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, pegawai dan anggota penguat kuasa MPAJ itu ditugaskan untuk memberi notis kepada penduduk dan pemilik premis atas kesalahan mendirikan struktur di tempat awam.

Pengarah Jabatan Perancangan Korporat MPAJ, Rosliza Mohd berkata, sekumpulan lelaki itu menyerang pegawai dan anggota MPAJ ketika mereka menampal notis di premis tidak berpenghuni.

“Kesemua pegawai dan anggota MPAJ melarikan diri. Tiada cedera, namun kumpulan itu merosakkan kenderaan milik MPAJ,” katanya.

Menurutnya, kumpulan itu memecahkan cermin lori, bocorkan dua tayar lori dan tayar sebuah motosikal.

Katanya, laporan dibuat salah seorang pegawai MPAJ di balai polis berhampiran pada keesokan hari.

“Atas nasihat polis, tindakan penyerahan notis di kawasan itu ditangguh,” katanya.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, polis menjejaki kesemua individu yang dipercayai terlibat dengan insiden itu.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Abdul Samad berkata, jika keadaan seperti itu berterusan, kerja seperti penurapan, baik pulih jalan dan longkang terpaksa ditangguh.

“Pembinaan dewan orang ramai di kawasan tersebut juga berkemungkinan akan ditangguhkan,” katanya.

Menurut kenyataan di laman sosial Adun Chempaka itu, jika keadaan tidak terkawal, program Pejabat Adun di kawasan itu juga terpaksa ditangguhkan.

Jurutera cuai sebabkan pramugari maut



GEORGETOWN - Seorang jurutera didenda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam selepas mengaku bersalah memandu secara cuai hingga menyebabkan kematian seorang pramugari pada 2010.
 
Majistret Sri Pracha Nanthini Balabedha turut memerintahkan Tan Chia Hui, 25, dipenjara tujuh bulan jika gagal membayar denda itu dan mengarahkan tertuduh membayar pampasan RM4,000 kepada keluarga mangsa.
 
Keluarga Chia Hui membayar denda itu.
 
Chia Hui turut didakwa memandu secara cuai hingga menyebabkan kematian Ng Sweet Yuin, 27, pukul 3 pagi pada 2 Dis 2010 di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di sini.
 
Tertuduh yang sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, mengaku bersalah terhadap tuduhan pindaan di bawah Seksyen 43(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000.  

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Faisal Md Noor memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana mendakwa kemalangan itu berlaku disebabkan kecuaian tertuduh memandu secara bertentang arus di lebuh raya berkenaan hingga menyebabkan mangsa terkorban.
 
Bagaimanapun, peguam bela Baljit Singh yang mewakili Chia Hui memohon hukuman ringan kerana ketika kejadian anak guamnya berusia 22 tahun dan masih menuntut, insiden itu telah menyebabkan tertuduh benar-benar insaf.
 
"Chia Hui mengaku melakukan kesilapan dan pengakuan insaf itu telah menjimatkan masa mahkamah dan penderitaan keluarga mangsa," katanya.
 
Sementara itu, bapa mangsa, Ng Choon Sum, 59, dan ibu Thniah Poh Choo, 55, yang turut menghadiri prosiding mahkamah hari ini kelihatan menangis selepas keputusan itu dibacakan Majistret.
 
Choon Sum berkata, keluarganya akan membuat rayuan terhadap keputusan itu kerana mendakwa ia tidak adil.
 
"Anak saya telah hilang buat selama-lamanya dan mahkamah hanya menjatuhkan hukuman ringan iaitu denda RM7,000 dan penjara sekiranya tidak bayar," katanya. - Bernama