Search This Blog

Thursday, July 25, 2013

Mayat lelaki terapung


Mayat lelaki terapung
Mayat mangsa ditemui terapung di Sungai Benut, petang kelmarin.
BENUT - Mayat seorang lelaki dipercayai lemas lebih 24 jam ditemui dalam keadaan terapung berhampiran Kampung Nelayan Benut di sini, lewat petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zahaliman Jamin berkata, seorang penduduk di situ memberitahu kepada polis melihat seorang lelaki terjatuh ke sungai kira-kira jam 6.30 petang, Isnin lalu.

Beliau berkata, susulan aduan penduduk itu, gerakan mencari dan menyelamat mangsa dilakukan bersama anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Pontian Jalan Alsagoff, dan meluaskan pencarian sehingga ke sekitar Sungai Benut.

“Jam 7.25 petang, mayat lelaki yang lengkap berpakaian itu ditemui terapung di Sungai Benut.

“Keadaan mayat lelaki berusia lewat 20an itu berkeadaan elok dengan tiada sebarang kecederaan dan dibawa ke Hospital Pontian untuk dibedah siasat,” katanya.

Katanya, mayat mangsa telah dikenal pasti oleh keluarganya yang membuat laporan mengenai kehilangannya di Balai Polis Benut, pagi semalam.

Dokumen palsu: Anak bekas timbalan menteri didenda



KUALA LUMPUR - Anak kepada bekas seorang timbalan menteri hari ini didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan menggunakan dokumen palsu berhubung pelaksanaan projek pembinaan jalan di Batu Pahat, Johor.

Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain menetapkan denda itu terhadap Mohd Nizam Lajim, 31, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah terhadap pertuduhan itu.

Mohd Nizam, anak kepada bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Lajim Ukin, membayar denda itu.

Dia didakwa dengan curangnya telah menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu sekeping lampiran bertarikh 25 Julai 2012, yang bertajuk "Senarai Syarikat Yang Dicadangkan Untuk Melaksanakan Projek Membina Jalan Mukim 6 Linau dan Mukim 7, Tg Semberong, Batu Pahat, Johor Secara Tender Terhad" yang diperakukan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Syarikat yang disenaraikan ialah Moral Bahagia Sdn Bhd, Prestasi Reka Sdn Bhd, Satria Mara Sdn Bhd, Sanjung Sempurna Sdn Bhd, Pertama Makmur Sdn Bhd, Mansashi Sdn Bhd, H & A Construction Sdn Bhd, Nisa Consolidated Sdn Bhd, Bina-Mas Construction Sdn Bhd dan Landscape Sdn Bhd.

Mohd Nizam didakwa melakukan kesalahan itu di Berjaya Starbucks Coffee, Lot No G40, The Mall, No 100, Jalan Putra di sini pada 3.40 petang, 8 Ogos 2012.

Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun yang sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Afifah Yusof dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia manakala tertuduh diwakili peguam Datuk K. Kumaraendran dan Dev Kumaraendran. - Bernama

Premis judi rahsia diserbu

 Premis judi rahsia diserbu
Nasir (kanan) melihat barangan yang dirampas dari tiga pusat judi yang diserbu.
GEORGETOWN - Berselindung di sebalik kedai kosong dan hanya membenarkan pelanggan tetap  mengunjunginya tidak berjaya mengaburi mata anggota polis apabila tiga pusat judi diserbu dalam serbuan malam semalam.

Serbuan oleh Bahagian Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang diketuai Asisten Superintendan Fauzi Mohd Yusof menyerbu tiga kedai masing-masing sebuah di Lebuh Noordin, Jalan Ayer Itam dan Gat Lebuh Macallum.

Dalam operasi kira-kira jam 11 malam itu, empat lelaki ditahan termasuk seorang pemain dan merampas 36 set komputer yang diubahsuai perisian perjudian dan dua modem.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Asisten Komisoner Nasir Salleh berkata, kesemua premis yang diserbu itu dilihat seolah-oleh seperti kedai kosong dan pelanggan mereka hanya dibenarkan masuk melalui pintu khas di belakangnya.

Menurutnya, sebelum memasuki pusat itu, setiap pelanggan perlu membuat imbasan muka di kamera litar tertutup (CCTV) yang berada di pintu belakang kedai berkenaan dan setelah disahkan sebagai pelanggan tetap barulah mereka dibenarkan masuk.

"Mereka yang tidak dikenali tidak akan dibenar masuk dan helah yang digunakan mereka ini juga sedikit menyukarkan risikan kita.

"Bagaimanapun, hasil maklumat orang awam dan pemantauan yang dilakukan sejak beberapa minggu lalu berjaya mematahkan kegiatan mereka," katanya kepada media selepas selesai operasi itu, hari ini.

Beliau berkata, kesemua yang ditahan berusia antara 20 hingga 60 tahun dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk siasatan lanjut.

Keseluruhan barangan komputer yang  dirampas dianggarkan bernilai RM125,000.

"Kes disiasat dibawah Seksyen 48 (a) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 bagi setiap mesin yang dirampas atau penjara tidak melebihi lima tahun.

"Bagi pemain, kes disiasat di bawah Seksyen 6 (2) Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan 1998 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi tiga  tahun," katanya.

Hanya seorang pencarum disabit kerana menipu


KUALA LUMPUR - Hanya seorang pencarum disabitkan kesalahan berkaitan penipuan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada suku kedua (April-Jun) berbanding empat orang pada suku pertama dari Januari hingga Mac tahun ini.
  
Pengurus Besar Perhubungan Awamnya, Nik Affendi Jaafar berkata jumlah pengurangan tersebut adalah berikutan tindakan tegas oleh KWSP terhadap pencarum yang didapati melakukan penipuan.
  
Dalam kenyataan di sini hari ini, beliau berkata pencarum tersebut terbabit dalam penipuan pengeluaran perumahan dan telah disabit bersalah oleh mahkamah di bawah Seksyen 59 Akta KWSP 1991.
  
Pencarum tersebut didenda RM1,000 atau hukuman penjara sehingga 14 hari sekiranya gagal membayar tersebut.
  
Nik Affendi berkata mengikut Akta KWSP 1991, mereka yang didapati bersalah melakukan penipuan atau cubaan menipu boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-dua sekali.

Beliau berkata sekiranya disabitkan kesalahan, pencarum berkenaan perlu memulangkan wang tersebut dalam tempoh enam bulan dari tarikh sabitan dan hanya dibenarkan memohon di bawah pengeluaran yang sama selepas dua tahun dari tarikh wang itu dipulangkan.
  
"Mereka yang gagal memulangkan amaun yang dikeluarkan atau hanya memulangkan selepas tempoh enam bulan dari tarikh sabitan, akan hilang hak bagi membuat pengeluaran yang sama selama-lamanya," katanya.
  
Beliau berkata ahli yang layak membuat pengeluaran simpanan agar berurusan terus dengan KWSP tanpa melalui pihak ketiga yang mungkin memperdayakan mereka.
  
"Proses membuat pengeluaran adalah mudah sekiranya anggota memenuhi syarat yang ditetapkan. Tambahan pula KWSP menawarkan perkhidmatan secara percuma," katanya.
  
Justeru, beliau mengesa semua ahli KWSP memberi sokongan dalam membanteras penipuan pengeluaran dan melaporkan ke talian Hotline Anti-Fraud KWSP di 03-26162121 pada waktu pejabat dari Isnin hingga Jumaat.  - Bernama

Ditembak selepas balik bersenam


Ditembak selepas balik bersenam
Cermin kereta mangsa yang turut terkena tembakan
KLUANG - Seorang lelaki berusia 46 tahun cedera parah setelah ditembak yang terkena di bahagian badannya dalam kejadian di kawasan tempat letak kereta Taman Rekreasi Gunung Lambak, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa yang baru selesai berjoging didatangi suspek ketika dia sedang menaiki keretanya.

Bagaimanapun cubaan membunuhnya gagal apabila mangsa berjaya memecut keretanya kira-kira tiga kilometer sebelum mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom Kluang.

Mangsa dipercayai seorang ahli perniagaan itu kini dilaporkan stabil.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Abdul Majid Mohd Ali ketika mengesahkan kejadian berkenaan berkata, polis sedang menjalankan siasatan lanjut dari pelbagai aspek.

“Sehingga saat ini, pihak kami masih belum mengetahui jenis senjata dan motif suspek yang membuat serangan terhadap mangsa.

Apa yang pasti suspek telah melepaskan beberapa das tembakan terhadap mangsa. Malah, pelbagai kemungkinan boleh berlaku jika dilihat daripada sudut kerjaya mangsa.

“Namun, saya menasihatkan agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi kerana ianya akan mengganggu proses siasatan yang kami sedang jalankan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, semalam.

Abdul Majid berkata, kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 307 kanun keseksaan dan boleh dikenakan hukuman penjara maksima 20 tahun jika sabit kesalahan.

“Orang ramai juga tidak perlu merasa bimbang untuk berkunjung ke kawasan rekreasi tersebut kerana kejadian seperti ini amat terpencil dan ianya hanya menumpukan kepada individu tertentu sahaja.

“Polis juga sedang menjalankan sekatan jalan di semua jalan masuk dan keluar dari bandar Kluang ini mulai petang kelmarin untuk mengesan suspek terbabit,” katanya.

2 premis salah guna sijil halal


2 premis salah guna sijil halal
Penolong Pengarah (bahagian Hab Halal) Jakim, Mohamad Zukrillah Ismail (kiri) melihat penambah perisa makanan tanpa logo halal yang ditemui dalam dapur sebuah hotel, semalam.
2 premis salah guna sijil halal
Mohd Yusop (dua kiri) bersama pegawai lain merampas kain rentang bufet Ramadan yang disalahgunakan oleh sebuah hotel dalam Ops Ramadan di sini, semalam.
IPOH – Belum menerima pengesahan sijil halal, tetapi sudah berani mempromosikan bufet Ramadan.

Itu antara kesalahan yang berjaya dikesan Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) dalam Ops Ramadan yang dijalankan bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Perak di sekitar ibu negeri, semalam.

Pengarah Jaipk, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, perkara itu dilihat serius kerana penggunaan perkataan ‘bufet Ramadan’ boleh mengelirukan umat Islam.

Menurutnya, kesalahan di bawah perbahasaan halal dilakukan pengusaha itu ternyata bertentangan dengan peraturan ditetapkan kerana ia menimbulkan keyakinan bahawa makanan yang disajikan halal, walaupun tidak mendapat pengiktirafan jabatan.

“Ini sesuatu yang kita ragukan. Pengusaha tidak wajar menggunakan kesempatan pada bulan mulia ini dengan sewenang-wenangnya untuk mengaut keuntungan.

“Lebih membimbangkan, ada antara pengendali makanan berkenaan didapati menggunakan bahan berunsur tidak halal dalam masakan yang disediakan,” katanya ketika ditemui, semalam.

Operasi membabitkan 19 anggota dan pegawai itu juga mendapati, ada pengusaha mencampuradukkan barangan halal dan tidak halal di dapur.

Daripada pemeriksaan yang dibuat, ada pengusaha memberi alasan kononnya permohonan pengesahan sijil halal sedang dalam proses, namun apabila disemak tiada sebarang permohonan dibuat.

Mohd Yusop berkata, itu adalah situasi dan taktik penipuan biasa digunakan oleh pengendali restoran serta hotel yang beroperasi tanpa pengesahan halal dari jabatan berkaitan.

“Dalam hal ini, kita mengingatkan semua umat Islam agar lebih berhati-hati dengan memilih restoran halal bagi mendapat keberkatan puasa. Mereka boleh membuat semakan secara terus kepada Jaipk atau di laman facebook Jaipk,” katanya.

Dalam operasi itu, dua pengusaha (restoran dan hotel) yang baru beroperasi dua bulan disiasat di bawah Seksyen 16 Akta Perihal Dagangan 2011 kerana didapati mempromosikan bufet Ramadan tanpa sijil halal yang sah.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Operasi mencari 8 kru tonkang tenggelam diteruskan


SINGAPURA - Operasi mencari dan menyelamat lapan kru tongkang yang menggunakan bendera Mongolia 'Guo Liang 677' yang tenggelam diteruskan hari ini.

Dalam satu kenyataan, pihak Maritim dan Pihak Berkuasa Pelabuhan Singapura (MPA) turut menyertai operasi semenjak menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira 1 tengah hari (waktu Singapura) pada Rabu.

Kejadian berlaku di perairan Singapura kira-kira 7 batu nautika utara dari rumah api Horsburgh.

Seorang kru yang diselamat semalam oleh polis mengawal pantai berada dalam keadaan baik dan tidak memerlukan perhatian perubatan.

Dilapor terdapat 10 orang kru kesemua warga China di atas tongkang tersebut.

MPA berkata kedutaan China di Singapura telah dimaklum mengenai kejadian itu.

Seorang lagi kru yang diselamat oleh vesel yang berada berhampiran tempat kejadian dilapor telah dibawa ke Malaysia.

Setakat 7 malam (waktu Singapura) hari ini, usaha mencari dan menyelamat melibatkan dua helikopter Super Puma, pesawat Fokker-50 dari Tentera Udara Singapura, tiga vesel tentera laut Singapura, dua pesawat PCG, penyelam dan dua vesel sokongan dari Resolve Salvage & Fire (Asia) serta 14 vesel komersial. - Bernama

Penimbang tara didakwa tipu pengarah KLRCA


KUALA LUMPUR - Seorang penimbang tara bertauliah hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan menipu pengarah Pusat Timbang Tara Serantau Kuala Lumpur (KLRCA) tiga tahun lepas.

Yusof Holmes Abdullah, 69, rakyat Britain yang memiliki status penduduk tetap Malaysia, didakwa menipu pengarah itu dengan memperdaya KLRCA untuk mempercayai bahawa 'Statement of Independence' bertarikh 18 Jan 2010 yang ditandatanganinya adalah benar.

Perbuatan itu mendorong pengarah KLRCA melantiknya sebagai penimbang tara dalam pertikaian antara JMR Construction Sdn Bhd dengan Nanjing Changjiang Waterway Engineering Bureau, sedangkan mereka tidak akan berbuat demikian sekiranya mengetahui perakuan itu tidak benar.

Yusof Holmes didakwa melakukan kesalahan itu di KLRCA di sini pada 25 Jan 2010 dan didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dia juga menghadapi satu pertuduhan pilihan iaitu membuat perakuan yang sama berkenaan timbang tara antara dua syarikat yang sama, yang diketahuinya adalah palsu di tempat dan masa sama.

Yusof Holmes didakwa mengikut Seksyen 199 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 193 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda. 

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Hanim Mohd Rashid tidak menawarkan sebarang jaminan.

Peguam K.K. Wong yang mewakili tertuduh memohon jaminan dibenarkan atas alasan anak guamnya yang mempunyai isteri rakyat tempatan telah menetap di negara ini lebih 30 tahun dan pasportnya juga diserahkan kepada mahkamah bagi kes yang sedang dihadapinya di Pulau Pinang.

Hakim Rozilah Salleh membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 21 Ogos untuk sebutan.

Pada 26 Jun lepas, Yusof Holmes mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang terhadap pertuduhan meminta suapan RM6 juta daripada seorang ahli perniagaan. - Bernama

Padah curi wang tabung masjid


Johari Jahaya
Johari Jahaya
ROMPIN – 'Harapkan pegar, pegar makan padi,' begitulah perumpamaan sesuai diberikan kepada seorang pengawal keselamatan masjid yang ditahan pihak polis sekitar jam 6.15 pagi 22 Julai lalu kerana mencuri wang tabung Masjid Tengku Mahkota Abdullah, di sini.

Ketua Polis Daerah (IPD) Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya berkata, suspek ditangkap pihak polis ketika sedang menjalankan tugas di masjid tersebut.

“Hasil siasatan pihak polis, suspek yang bekerja di masjid tersebut sebagai pengawal keselamatan, ditangkap kerana mencuri wang dalam dua tabung besi masjid tersebut iaitu tabung untuk derma anak yatim dan tabung derma kebajikan masjid," katanya kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun menurut Johari, wang yang dicuri hanya RM30 masih lagi berada dalam simpanannya ketika ditangkap.

Menurutnya, suspek berumur 39 tahun itu dipercayai sudah beberapa kali melakukan kegiatan  terkutuk tersebut berdasarkan laporan diterima daripada pihak masjid.

“Ini bukanlah kali pertama pihak polis menerima laporan mengenai kes sama, sebelum ini sudah beberapa kali dan kali ini suspek berjaya ditangkap.

“Hasil siasatan, pihak polis turut mendapati suspek mempunyai empat rekod kesalahan narkotik dan satu rekod berkaitan jenayah,” katanya.

Dalam masa sama, Johari menyarankan supaya merujuk kepada pihak polis terlebih dahulu sebelum mengambil mana-mana individu untuk menjadi pengawal keselamatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Terbabas elak anjing melintas


Terbabas elak anjing melintas
Kereta mangsa yang termasuk dalam parit.
Fasha mendukung anaknya.
Fasha mendukung anaknya.
PORT DICKSON – Akibat mengelak seekor anjing, kereta Perodua Myvi dinaiki tiga sekeluarga terbabas dan termasuk dalam parit di Jalan Sua Betong ke Port Dickson, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 8.15 malam itu, mangsa, Azurin Kamarudin, 26, bersama isterinya, Fasha Rosmadi dan anak mereka berusia dua tahun dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Sungai Raya, Pasir Panjang  selepas berbuka puasa di Seremban.

Fasha berkata, dia memandu kereta berkenaan, sementara suaminya duduk di tempat penumpang hadapan sambil memangku anaknya yang sedang tidur.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, saya tiba-tiba terlihat seekor anjing melintas jalan. Saya terkejut dan tidak dapat mengawal kereta lalu terbabas ke dalam longkang di bahu jalan.

“Ketika itu, kereta masih bergerak dan hanya terhenti kira-kira 30 meter,” katanya.

Sementara itu, Azurin berkata, sebaik saja berhenti, dia dan isteri terdiam seketika akibat terperanjat, sebelum orang ramai membantu.

"Saya hanya memeluk erat anak agar tidak terlepas dari pelukan," katanya.

Mati ketika beriadah di taman


Mati ketika beriadah di taman
Mayat mangsa di bawa ke HPP untuk bedah siasat.
Voon Wei Ming
Voon Wei Ming
GEORGETOWN - Seorang lelaki mati dipercayai mengalami sesak nafas ketika beriadah di Taman Botani, di sini petang kelmarin.

Mayat Voon Wei Ming, 53, ditemui pasukan penyelamat dalam keadaan tersandar pada batu besar berhampiran sungai di taman berkenaan kira-kira jam 11.40 malam kelmarin.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Jermal berkata, lelaki itu dilaporkan hilang oleh ahli keluarga yang keluar rumah pada petang kelmarin namun tidak pulang sehingga 9 malam.

“Kita mula melancarkan operasi mencari selepas menerima laporan daripada ahli keluarga mangsa. Operasi mengesan lokasi mangsa agak sukar kerana keadaan berbukit dan curam ditambah dengan keadaan gelap.

“Mangsa ditemui bersandar pada batu berhampiran sungai. Setelah diperiksa, mangsa sudah meninggal dunia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika dihubungi berkata, mayat lelaki itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat dan kes diklasifikasi sebagai kematian mengejut.

Tak sempat pecah mesin ATM


Tak sempat pecah mesin ATM
Polis melihat keadaan mesin ATM yang cuba dipecahkan tiga lelaki, awal pagi semalam.
SUBANG JAYA – Terkejut tiba-tiba melihat kehadiran kereta peronda polis, sekumpulan penjenayah yang sebelum itu asyik memecahkan sebuah mesin ATM bertindak melarikan diri dengan melintas landasan keretapi dan Lebuhraya Persekutuan di Batu 3, awal pagi semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 pagi itu disedari seorang pengawal keselamatan berusia 70 tahun yang terdengar bunyi bising ketika dia sedang tidur di tempat tersorok berhampiran mesin ATM di Stesen Komuter Batu 3, Shah Alam itu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, pengawal keselamatan yang baru empat bulan bekerja di stesen komuter itu sempat menyaksikan gerak-geri tiga lelaki memecahkan mesin berkenaan.

Kesemua suspek dikatakan memakai sarung muka dan berpakaian serba hitam.

Yahaya berkata, salah seorang daripada suspek kemudian mengikat kaki pengawal keselamatan itu dengan sehelai tuala putih dan memintanya untuk berdiam diri.

Ketika kumpulan penjenayah masih berusaha memecahkan mesin, datang sebuah kereta peronda polis Subang Jaya di depan stesen berkenaan.

Ketiga-tiga suspek yang terkejut kemudian bertindak melarikan diri dengan melintas landasan keretapi dan menyeberangi lebuh raya berkenaan.

“Semua suspek dikatakan melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta Proton Perdana V6 berwarna hitam yang menunggu berhampiran sebuah stesen minyak di seberang jalan,” katanya.

Barang digunakan suspek dipercayai untuk memecahkan mesin ATM termasuk tukul besi besar, pemutar skru, pisau lipat, sebatang ‘crowbar’, sehelai baju dan dua parang ditemui di tempat kejadian.

Beliau berkata, suspek tidak berjaya melarikan wang tunai sebanyak RM240,000 yang berada di dalam mesin berkenaan.

"Sepasukan anggota dari unit forensik melakukan siasatan dan dapat mengenal pasti dua cap jari daripada komponen dalaman mesin dan peralatan yang ditemui di tempat kejadian," katanya.

Menurutnya, terdapat dua kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran mesin ATM di kawasan tempat kejadian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan.

Kereta terbang rempuh rumah


Kereta terbang rempuh rumah
Kereta yang dinaiki Junainah dan dua anaknya terbalik selepas terbang merempuh sebuah rumah.
Kereta terbang rempuh rumah
Meskipun keadaan kereta rosak teruk tapi Junainah dan dua anaknya tidak mengalami kecederaan parah.
KEMAMAN – “Semasa kereta terbang, saya peluk dua anak erat-erat,” kata seorang guru, Junainah Yusof, 43, yang melalui detik mendebarkan apabila kereta yang dipandunya terbang dan merempuh sebuah rumah ketika pulang dari sekolah petang kelmarin.

Kejadian berlaku ketika mangsa sedang melalui selekoh di laluan berbukit dalam kejadian kira-kira jam 2.15 petang di Felda Neram 1 untuk pulang ke rumah mereka.

Bagaimanapun, nasib menyebelahi mangsa tiga beranak kerana mereka tidak mengalami kecederaan parah meskipun kereta jenis Perodua Viva yang dinaiki terbalik dan remuk teruk.

Junainah berkata, ketika menaiki bukit dan mahu membelok di selekoh terdapat sebuah motosikal di hadapannya membuatkannya cuba mengelak daripada terlanggar motosikal terbabit hingga kenderaan itu hilang kawalan lalu meluncur laju dan terbang merempuh sebuah rumah berdekatan.

“Saya waktu itu hanya fikirkan anak-anak sebab itu saya peluk anak sambil berdoa agar kami selamat. Kami keluar dengan merangkak ikut cermin kerana kereta terbalik.

“Syukur kepada ALLAH SWT kerana kami semua masih diberi peluang untuk meneruskan kehidupan,” katanya kepada Sinar Harian.

Gara-gara kejadian itu, Junainah yang juga guru Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru Felda Neram 1 ini mengalami lebam di beberapa bahagian serta mengalami sakit-sakit badan sementara dua anaknya, Mohd Faris Nabil Sadri, 9, dan Nur Alya Fakihah, 7, mengalami lebam di lengan.

Katanya, sehari sebelum kejadian berlaku, kereta yang dinaikinya itu baru sahaja selesai diservis (selenggara).

Penyamun kedai serbaneka dicekup


Penyamun kedai serbaneka dicekup
Suspek dikawal anggota polis ketika selesai mengambil perintah reman, semalam.
KOTA BHARU - Kelicikan seorang penagih dadah yang terlibat dalam empat jenayah samun melibatkan rangkaian kedai serbaneka 7 - Eleven di sekitar negeri ini sejak seminggu lalu, berjaya dipatahkan apabila dicekup sepasukan polis, selepas menyamun di sebuah kedai berkenaan di Padang Tembak, malam kelmarin.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata,  lelaki terbabit bertindak menyamun kedai berkenaan, kira-kira jam 1.45 pagi dengan menggunakan sepucuk pistol angin dan sempat melarikan empat kotak rokok, kad prabayar tambah nilai RM30 dan wang tunai sebanyak RM80.85.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, kira-kira jam 2.30 pagi, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Khas D9, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kelantan terserempak dengan sebuah kereta jenis Perodua Kelisa.

 “Kereta berkenaan yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di hadapan pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Panji dan menyedari diekori lelaki berkenaan memecut laju keretanya menghala ke lampu isyarat Panji dan kemudian berpatah balik menghala ke JPJ.

 “Suspek itu kemudian memasukkan simpang ke Tanam Desa Kujid dan menghentikan keretanya secara mengejut serta  bertindak membuka pintu untuk melarikan diri. Keadaan tersebut menyebabkan kenderaan anggota polis telah terlanggar suspek mengakibatkannya terjatuh,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di IPK Kelantan, di sini semalam.
Jalaluddin berkata, suspek kemudiannya bangun dan melarikan diri sambil membuang sesuatu ke dalam kawasan semak berhampiran.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan yang dijalankan, pihaknya menjumpai sepucuk pistol bersama satu kelopak peluru.

“Melalui pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan suspek, polis turut menemui sebilah parang, pedang, serangkai kunci dan beberapa barangan lain. Hasil ujian saringan yang dijalankan ke atas suspek mendapati lelaki itu positif dadah dan ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan,” katanya.

Dalam pada itu, suspek  dikenakan perintah tahanan reman selama tujuh hari oleh Mahkamah Kota Bharu, semalam bagi membolehkan polis menjalankan siasatan. Perintah dikeluarkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Sesyen, Rozita Md Saad, berkuat kuasa semalam sehingga 30 Julai ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Empat beradik terlibat nahas


Empat beradik terlibat nahas
Kereta yang dinaiki mangsa remuk teruk akibat dilanggar kenderaan lain sebelum dirempuh bas yang datang dari belakang dalam kemalangan berhampiran Mahkamah Kuantan, Jalan Pintasan Kuantan, semalam.
Empat beradik terlibat nahas
Bapa bangsa, Ab Razak (dua, kanan) tidak dapat menahan kesedihan memeluk rakannya ketika mayat salah seorang anaknya diangkat.
Empat beradik terlibat nahas
Anggota polis memeriksa dua beradik Ariff Akmal dan adiknya Aniq Ihsan yang maut dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan berhadapan Kompleks Mahkamah Kuantan dekat Bandar Indera Mahkota, Kuantan, semalam. - Foto Bernama
KUANTAN – Ramadan kali ini tentunya meninggalkan memori pahit kepada keluarga dua beradik, Ariff Akmal Ab Razak, 22 dan Aniq Ihsan Abd Razak, 16  yang terkorban dalam satu nahas jalan raya berhampiran Mahkamah Kuantan, Jalan Pintasan Kuantan, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu kedua-dua mangsa bersama dua lagi adik-beradik mereka, Nur Arissa Farahanim, 21 dan  Aliff Imran, 25 yang juga pemandu kenderaan dalam perjalanan ke tempat kerja di Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Ketua Polis Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, kemalangan melibatkan sebuah bas dan dua kereta.

Menurutnya, ketika kejadian kereta dinaiki mangsa berada di lorong kanan dan berlanggar dengan sebuah lagi kereta yang datang dari arah susur keluar mahkamah dipercayai secara tiba-tiba mengubah laluan kiri ke kanan.

“Selepas berlanggar dengan kereta berkenaan, kereta mangsa kemudian dirempuh sebuah bas dari arah belakang.

“Kedua-dua mangsa maut bersama dua lagi adik beradik mereka yang bekerja sebagai tukang masak di Kafeteria UIA dan ketika kejadian mereka dalam perjalanan dari rumah di Lorong Sentosa Kg Telok Mahang ke kafeteria berkenaan," katanya kepada Sinar Harian.

Kata Mohd Jasmani, kedua-dua mangsa yang juga penumpang hadapan dan penumpang belakang sebelah kiri meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Dua lagi adik-beradik mangsa terselamat namun mengalami kecederaan dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

“Mayat mangsa dihantar ke HTAA untuk bedah siasat," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya lebih berhati-hati dan memandu secara berhemah.

“Jangan hanya pentingkan diri sendiri dan fikir untuk cepat sampai sehingga mengabaikan ciri keselamatan,” katanya.

Solat terawih terakhir


Keadaan kereta Proton Saga dipandu mangsa yang remuk teruk selepas berlanggar dengan sebuah lori di
Keadaan kereta Proton Saga dipandu mangsa yang remuk teruk selepas berlanggar dengan sebuah lori di
Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik sebelum diserahkan kepada ahli keluarga untuk urusan pengebumia
Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik sebelum diserahkan kepada ahli keluarga untuk urusan pengebumia
DUNGUN – Sambutan Aidilfitri kali ini pasti lebih hiba buat seorang isteri apabila kehilangan suami tersayang selepas pasangan itu terbabit dalam kemalangan ngeri dekat sini pagi semalam.

Mangsa, Esah Abdullah, 63, terselamat sebaik berjaya dikeluarkan daripada keretanya yang ‘penyek’ selepas kenderaan dinaiki bersama suaminya, Mohamed Hassan, 68, berlanggar dengan sebuah lori pasir di Kilometer 15.5 Jalan Paka Al Muktfibillah Shah, kira-kira jam 10.30 pagi semalam.

Ketika kejadian, pasangan peneroka Felda itu dikatakan dalam perjalanan dari arah Al Mukhtafi Billah Shah menuju ke Ketengah Jaya.

Sampai di lokasi, kereta Proton Saga dipandu Mohamed dipercayai masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah lori pasir dari arah Paka.

Akibatnya, kereta mangsa remuk teruk di bahagian hadapan manakala tayar hadapan lori terbabit difahamkan tercabut akibat rempuhan yang kuat dari arah bertentangan itu.

Mohamed yang berjaya dikeluarkan orang awam selepas tersepit di tempat duduk pemandu bagaimanapun meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital selepas cedera parah di paha dan anggota badan lain.

Menurut anak lelaki arwah, Adnan Mohamed, 30, yang ditemui ketika menuntut mayat mangsa berkata, ketika kejadian, ibu bapanya dipercayai dalam perjalanan dari ladang sawitnya di Sungai Apu ke satu lagi ladang milik mereka di Felda Ketengah Jaya.

Adnan berkata, dia mendapat tahu berita menimpa ibu dan bapanya itu selepas menerima panggilan telefon daripada seorang kakaknya yang tinggal di Kemaman.

Katanya, sebaik mendapat berita buruk itu, dia bergegas ke Klinik Kesihatan Ketengah Jaya untuk melihat keadaan ibunya, Esah yang hanya cedera ringan.

Namun sebaik sampai di situ dia dimaklumkan bapanya dikejarkan ke Hospital Dungun kerana mengalami kecederaan teruk.

“Selepas menjenguk ibu, saya terus bergegas ke Hospital Dungun untuk mengetahui nasib ayah.
"Namun sebelum sampai di hospital, saya dimaklumkan ayah meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital," katanya.

Mengimbas kembali kenangan bersama arwah, Adnan berkata, pada malam sebelum kejadian, sebaik selesai solat terawih, dia sempat bertemu arwah bapanya itu di rumahnya di Felda Kerteh Enam.
Kata Adnan, pada malam itu, arwah bapanya kelihatan ceria, cuma arwah dikatakan ada meluahkan hasratnya untuk melakukan ibadah korban pada hari raya haji nanti.

“Semalam adalah solat terawih terakhir baginya.

"Saya tak sangka dia akan pergi buat selama-lamanya hari ini sebab tiada sebarang perubahan ditunjukkan ketika kami bersama di rumah,” katanya.

Bagaimanapun Esah yang ditemui di Hospital Dungun tidak dapat menceritakan apa-apa berkaitan kejadian tersebut kerana masih trauma dengan tragedi itu.

Mayat mangsa dituntut ahli keluarga untuk dibawa pulang ke Felda Kerteh Enam.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan kejadian dan kes masih dalam siasatan pihak polis.

Bot pemohon suaka Indonesia karam


Bot pemohon suaka Indonesia karam
Mangsa maut dikejarkan ke hospital dalam kejadian bot karam di luar perairan Pulau Jawa.
SYDNEY - AUSTRALIA, Puluhan pemohon suaka Indonesia dikhuatiri maut selepas bot dinaiki karam di luar perairan Pulau Jawa, selatan Indonesia semalam.

Media tempatan melaporkan, bot membawa 250 penumpang itu disyaki dalam perjalanan ke Pulau Krismas, Australia untuk memohon perlindungan.

Pegawai Australia berkata, mangsa awal yang maut adalah seorang wanita dan dua kanak-kanak.

“Seramai 157 orang diselamatkan setakat ini, manakala puluhan yang lain masih hilang.

Kejadian berlaku berpunca daripada kegagalan bot menampung jumlah penumpang yang ramai sehingga mencecah 200 orang,” katanya.

Menurutnya kepada Antara, Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim kini sedang giat melakukan operasi mencari dan menyelamat.

Minggu lalu, kejadian sama turut berlaku menyebabkan 100 pemohon suaka dari Iran dan Sri Lanka dilaporkan maut selepas bot dinaiki karam di perairan yang sama.

Australia kini menjadi tumpuan pemohon suaka selepas Perdana Menteri Australia Kevin Rudd menandatangani perjanjian dengan Papua New Guinea untuk menghantar semua pencari suaka yang tiba dengan bot ke negara berkenaan.

Puluhan maut nahas keretapi di Sepanyol


Puluhan maut nahas keretapi di Sepanyol
Foto Reuters
GALICIA- SEPANYOL. Sekurang-kurangnya 77 penumpang maut dalam nahas keretapi yang berlaku di barat laut Sepanyol dan mencederakan lebih 100 penumpang.

Lapan gerabak keretapi yang terlibat dalam kemalangan itu berlaku di bandar Santiago de Compostela.

Laporan media menyatakan kemungkinan keretapi itu dipandu terlalu laju sehingga mengakibatkan ia tergelincir dari landasan.

Firma keretapi Renfe berkata, keretapi datang kira-kira tiga atau empat kilometer saja dari stesen Compostela Santiaga dan nahas berlaku kira-kira jam 8.41 malam waktu tempatan.

Ia berlaku di laluan ekpress antara Madrid dan Ferrol di pantai Galicia.

Sementara itu, seramai 320 anggota polis Sepanyol dikerahkan ke tempat kejadian bagi membantu operasi menyelamat.

Punca nahas bagaimanapun masih lagi dalam siasatan.

3 sekeluarga maut dalam kebakaran


 kebakaran
Keadaan rumah teres kos rendah yang musnah dalam kebakaran semalam. - Foto Bernama
KOTA TINGGI - Tiga sekeluarga maut sementara dua lagi cedera dalam kebakaran di rumah mereka di Jalan Binjai 4, Taman Kota Jaya di sini hari ini.
Identiti mereka yang terkorban hanya dikenali sebagai Maliki Hanie Aziz, Ezza Nurfarhainie Othman dan Mahadir Ngapit.
Ketua Zon Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi, Suhaimi Abd Jamal ketika dihubungi berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.04 petang dan sampai di tempat kejadian pada 5.09 petang.
Bagaimanapun apabila dua jentera dengan 12 anggota tiba di tempat kejadian, rumah teres kos rendah setingkat tersebut sudah 90 peratus terbakar, katanya.
Pihak bomba turut menghubungi unit anjing K-9 dari Kuala Lumpur bagi membantu menyiasat punca sebenar kebakaran, katanya. - Bernama

Kereta terbang rempuh rumah


RAIHAM MOHD SANUSI
25 Julai 2013

KEMAMAN - “Semasa kereta terbang, saya peluk dua anak erat-erat,” kata seorang guru, Junainah Yusof, 43, yang melalui detik mendebarkan apabila kereta yang dipandunya terbang dan merempuh sebuah rumah ketika pulang dari sekolah petang kelmarin.

Kejadian berlaku ketika mangsa sedang melalui selekoh di laluan berbukit dalam kejadian kira-kira jam 2.15 petang di Felda Neram 1 untuk pulang ke rumah mereka.

Bagaimanapun, nasib menyebelahi mangsa tiga beranak kerana mereka tidak mengalami kecederaan parah meskipun kereta jenis Perodua Viva yang dinaiki terbalik dan remuk teruk.

Junainah berkata, ketika menaiki bukit dan mahu membelok di selekoh terdapat sebuah motosikal di hadapannya membuatkannya cuba mengelak daripada terlanggar motosikal terbabit hingga kenderaan itu hilang kawalan lalu meluncur laju dan terbang merempuh sebuah rumah berdekatan.

“Saya waktu itu hanya fikirkan anak-anak sebab itu saya peluk anak sambil berdoa agar kami selamat. Kami keluar dengan merangkak ikut cermin kerana kereta terbalik.

“Syukur kepada ALLAH SWT kerana kami semua masih diberi peluang untuk meneruskan kehidupan,” katanya kepada Sinar Harian.

Gara-gara kejadian itu, Junainah yang juga guru Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru Felda Neram 1 ini mengalami lebam di beberapa bahagian serta mengalami sakit-sakit badan sementara dua anaknya, Mohd Faris Nabil Sadri, 9, dan Nur Alya Fakihah, 7, mengalami lebam di lengan.

Katanya, sehari sebelum kejadian berlaku, kereta yang dinaikinya itu baru sahaja selesai diservis (selenggara).
25 Julai 2013
 — Kereta Terbang Rempuh Rumah (3 photos)
Unlike