Search This Blog

Sunday, July 21, 2013

Nahas trak pikap ragut 5 nyawa


Mayat lima mangsa kemalangan maut diletakkan di dalam bilik mayat sebelum bedah siasat di Rumah Mayat Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru, semalam. - UTUSAN/ RAJA JAAFAR ALI
NUSAJAYA 21 Julai - Seorang peniaga ikan dan empat wanita warga Indonesia maut selepas trak pikap dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh tiang jejambat bulatan Kota Iskandar di Lebuh Raya Pesisir Pantai Johor Bahru-Nusajaya di sini hari ini.
Mereka yang maut dalam kejadian pukul 12.50 tengah hari itu ialah Mokhtar Khalid, 43, manakala empat lagi mangsa dikenali sebagai Marini, Sehate, Desi Anggereani dan Santi Novita Sitepu, berusia antara 20 hingga 40 tahun.
Kesemua mereka sedang dalam perjalanan dari bandar raya menuju ke Gelang Patah. Difahamkan Mokhtar membantu seorang rakannya untuk menghantar keempat-empat wanita tersebut ke tempat kerja mereka di Gelang Patah.
Ketua Polis Daerah Nusajaya, Supritendan Nor Hashim Mohamad berkata, pemandu trak pikap jenis Toyota Hilux berkenaan dipercayai hilang kawalan akibat dipandu laju.
"Trak berkenaan kemudian terbabas lalu merempuh tiang jejambat sebelum terhumban ke dalam sebatang longkang yang terletak di bahu jalan. Kesemua mangsa maut di tempat kejadian akibat cedera parah.
"Siasatan di lokasi kejadian mendapati keadaan jalan, cuaca serta tanda jalan di situ dalam keadaan baik," katanya ketika dihubungi di sini sambil memberitahu, kesemua mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk dibedah siasat.
Sementara itu, isteri Mokhtar, Hasni Ali, 36, ketika ditemui terkilan kerana tidak dapat berbuka puasa bersama suaminya.
"Saya sangat terkejut menerima berita ini dan sedih kerana kami sudah berjanji untuk berbuka puasa bersama dan kali terakhir kami berhubung adalah menerusi SMS (sistem pesanan ringkas) semasa dia bertanyakan juadah berbuka puasa.
"Arwah tidak menunjukkan perubahan ketara semalam dan dia ada pulang ke rumah pukul 12 tengah hari sebelum keluar semula untuk urusan kerja," katanya.
Rakan kepada Mokhtar, Faizal Abd. Rahim, 37, berkata, dia sangat terkejut apabila menerima berita mengenai kejadian itu dan segera ke Rumah Mayat HSA bagi mengecam sendiri jenazah rakannya itu.
Katanya, dia mengenali Mokhtar sejak tiga tahun lalu dan bersama-sama menjalankan perniagaan menjual ikan di Larkin, dekat sini.
"Saya hanya dapat mengecam muka arwah sahaja manakala empat lagi individu yang bersamanya tidak dapat kenal pasti kerana pihak hospital tidak membenarkan saya berbuat demikian," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130722/dn_04/Nahas-trak-pikap-ragut-5-nyawa#ixzz2ZsjuZGvz
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Wang tunai RM110,000 lesap


Dinding belakang sebuah bank yang ditebuk perompak sebelum masuk ke dalam dan seterusnya menebuk pintu kebal di Taman Botanik, Klang, semalam.
KLANG 21 Julai - Tiga lelaki melarikan wang tunai kira-kira RM110,000 selepas menebuk dinding belakang dan pintu bilik kebal sebuah bank di Ambang Botanik, Taman Botanik di sini awal pagi ini.
Kejadian hanya disedari oleh pengurus bank berkenaan yang datang ke pejabatnya kira-kira pukul 9.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Md. Yusof berkata, berdasarkan laporan, mangsa telah mendapat khidmat pesanan ringkas (SMS) mengenai loceng penggera yang berbunyi di premis itu kira-kira pukul 3.20 pagi tetapi dia tidak membuat pemeriksaan.
Bagaimanapun, kata beliau, selepas mangsa tiba di pejabat pagi ini, dia terkejut mendapati dinding bank itu telah dipecah masuk dan terus datang ke balai polis untuk membuat laporan.
"Siasatan awal di tempat kejadian mendapati suspek yang dipercayai tiga orang telah masuk dengan cara menebuk dinding di bahagian belakang bank dan kemudian menebuk pintu bilik kebal sebelum melarikan wang tunai kira-kira RM110,000.
"Kita juga mendapati kamera litar tertutup (CCTV) bank itu telah dipadamkan penjenayah semasa kejadian," kata beliau ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Mohamad, pihaknya juga menemui peralatan pecah masuk yang ditinggalkan oleh kumpulan penjenayah terbabit.
"Kita masih menjalankan siasatan dan kini menjalankan gerakan memburu kumpulan penjenayah itu," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130722/je_02/Wang-tunai-RM110000-lesap#ixzz2Zsh5p1k3
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Remaja 15 tahun antara ditahan edar, sewa pistol

Jalaluddin Abdul Rahman (tengah) bersama pegawainya menunjukkan tiga pucuk pistol termasuk sepucuk pistol tiruan yang dirampas, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri di Kota Bharu, semalam.
KOTA BHARU 21 Julai - Seorang remaja berusia 15 tahun antara dua lelaki yang ditahan dalam serbuan di Bunut Susu, Pasir Mas pagi ini, kerana disyaki memiliki serta terlibat dalam kegiatan edar dan menyewa senjata api serendah RM500 untuk kegiatan jenayah.
Siasatan polis percaya dengan tertangkapnya kedua-dua suspek tersebut dapat menyelesaikan beberapa kes tembak yang berlaku di negeri ini baru-baru ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman memberitahu, kedua-dua suspek itu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di kampung tersebut kira-kira pukul 3 pagi, hasil maklumat diperoleh sepasukan pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pasir Mas.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan rapi di kawasan rumah dan sebuah setor berhampiran, polis telah menemukan tiga pucuk pistol termasuk sepucuk pistol buatan sendiri, alat renjatan elektrik dan satu peket plastik berisi tiga biji pil dipercayai pil kuda.
"Kita menemukan pistol jenis Colt Super Automatik Cal. 22 Magnum berasal dari Amerika Syarikat beserta satu kelopak tanpa peluru, sepucuk pistol jenis Mikros buatan Perancis bersama kelopak dan empat butir peluru.
"Sepucuk lagi adalah buatan sendiri menggunakan peluru bebola besi namun mampu mendatangkan kecederaan daripada jenis Baby 111-CAPA 3.8 beserta kelopak tanpa peluru," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Jalaluddin berkata, remaja terbabit berasal dari kampung berkenaan dan sudah tidak bersekolah, manakala rakannya berusia 29 tahun berasal dari Taman Bunga, Chabang Empat, Tumpat dan tidak mempunyai pekerjaan.
"Kedua-dua mereka positif dadah namun tidak mempunyai rekod jenayah lampau," katanya.
Kata Jalaluddin, siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti latar belakang kedua-duanya dan mereka yang pernah menyewa senjata api berkenaan.
Beliau percaya, maklumat yang bakal diperolehi akan membantu menyelesaikan kes-kes tembak yang berlaku di negeri ini sebelum ini.
"Kedua-dua suspek merupakan penagih dadah dan kita percaya mereka menyimpan senjata hanya untuk mendapatkan keuntungan hasil daripada sewaan untuk membeli dadah.
"Bayaran sewa yang dikenakan sekitar RM500 hingga RM1,000 dan kita percaya mereka hanya menyewakan senjata api sahaja tidak termasuk individu yang ditugaskan untuk menembak atau membunuh.
"Senjata-senjata tersebut akan dihantar ke Jabatan Kimia dan forensik untuk dapatkan maklumat lanjut sama ada mempunyai signifikan dengan kes-kes tembak di Bachok, Pasir Puteh dan Pasir Mas," ujarnya.
Jalaluddin berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971, Seksyen 8 (A) Akta Senjata Api dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130722/je_01/Remaja-15-tahun-antara-ditahan-edar-sewa-pistol#ixzz2Zmq4YuAp
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Bayi 6 bulan mati tersedak susu di rumah pengasuh

BUKIT MERTAJAM 21 Julai - Seorang bayi perempuan berusia enam bulan mati dipercayai tersedak susu di rumah pengasuh di Taman Impian Murni, Alma dekat sini hari ini.
Cyndy Koay Xin Lin, ditemui mati kira-kira pukul 11.20 pagi ini dan mayatnya dihantar ke Hospital Bukit Mertajam di sini untuk dibedah siasat.
Difahamkan bayi tersebut mempunyai seorang lagi kembar.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mazlan Kesah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu tetapi enggan mengulas lanjut.
Sementara itu, ahli keluarga mangsa enggan ditemu bual kerana masih sedih dengan kejadian tersebut. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130722/je_11/Bayi-6-bulan-mati-tersedak-susu-di-rumah-pengasuh#ixzz2ZmoPZzwm
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kepala wanita tembusi cermin

Beberapa anggota bomba berusaha menyelamatkan wanita malang yang kepalanya tersekat pada cermin hadapan kenderaannya dalam satu nahas jalan raya di wilayah Guanxi, China, kelmarin. - Agensi
BEIJING 20 Julai - Berpantang maut sebelum ajal. Itulah yang boleh digambarkan terhadap seorang wanita China yang masih hidup meskipun kepalanya terhantuk sehingga menembusi cermin depan kereta apabila terlibat dalam satu kemalangan di wilayah Guanxi, selatan China, semalam.
Wanita yang tidak didedahkan namanya itu duduk di bahagian penumpang apabila kenderaan tersebut melanggar belakang sebuah trak, menyebabkan mangsa yang tidak memakai tali pinggang keselamatan tercampak ke cermin depan.
Akibat hentakan yang kuat, kepala wanita terbabit menembusi kaca itu dan tersangkut pada cermin kenderaan tersebut.
Pasukan bomba yang tiba di lokasi kejadian terpaksa mengalihkan pemandu kereta tersebut yang tidak sedarkan diri sebelum mengeluarkan mangsa yang tersangkut pada cermin berkenaan.
Anggota bomba juga mengambil langkah berhati-hati semasa memecahkan lagi kaca di sekeliling leher wanita itu bagi mengelakkan mangsa tercedera.
Sebaik-baik dikeluarkan, mangsa yang dalam keadaan berlumuran darah dan ketakutan dibawa oleh pasukan perubatan ke hospital.
Keadaan mangsa dan rakan lelakinya yang juga pemandu kereta terbabit, dilaporkan stabil. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130721/lu_03/Kepala-wanita-tembusi-cermin#ixzz2ZmnC7lVV
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Guru diserang susulan keracunan



Guru diserang susulan keracunan
Puluhan kanak-kanak melakukan protes di Nawada.
NEW DELHI - INDIA. Sekurang-kurangnya 100 pelajar sekolah bertindak menyerang guru selepas mendakwa menerima makanan percuma berkualiti di Bihar, timur India.

Media tempatan melaporkan kepada Reuters, pelajar sekolah di daerah Bhikhampur itu berkumpul di Pejabat Daerah Nawada dengan membawa sepanduk.

Insiden itu tercetus selepas 23 budak maut manakala puluhan dimasukkan ke hospital selepas keracunan makanan yang disediakan oleh pihak sekolah, Khamis lalu.

Susulan kejadian itu, anggota polis dan pegawai tempatan melakukan pemeriksaan di rumah guru besar yang didakwa membeli bahan mentah makanan percuma  itu.

Sementara itu, Majistret Saran, Abhijit Sinha berkata, keracunan itu dipercayai berpunca daripada penyimpanan minyak masak dari bekas disyaki digunakan untuk menyimpan racun perosak.

Geng rogol dipenjara seumur hidup




NEW DELHI- INDIA. Sebuah mahkamah di sini menetapkan humuman penjara seumur hidup ke atas enam orang geng rogol selepas merogol seorang pelancong Switzerland, Mac lalu.

Wanita itu yang berusia 39 tahun diserang ketika dia dan suaminya berkhemah di tengah hutan di Madya Pradesh.

Lelaki yang ditahan berusia di antara 22 hingga 30 merupakan penduduk tempatan kawasan itu.

Sejak seorang wanita menjadi mangsa rogol dalam bas yang mati di Singapura selepas mengalami kecederaan parah, undang-undang rogol di India diperketatkan dan boleh membawa hukuman mati.

“Semua tertuduh disabitkan kesalahan merogol dan kami berpuas hati dengan keputusan yang dijatuhkan itu,” kata pendakwa, Rajendra Tiwari, semalam.

Pasangan pelancong itu bermalam di hutan itu sebelum meneruskan perjalanan menuju Taj Mahal di Agra.

Pada malam kejadian, pasangan itu diserang dan dirompak di kawasan hutan itu pada 15 Mac lalu.

45 premis diarah tutup


45 premis diarah tutup
Shamsulkahar memakaikan apron kepada salah seorang peniaga sempena kempen sambil diperhatikan Zailan.
SEREMBAN – Sebanyak 45 premis makanan di negeri ini diarah tutup dalam operasi kebersihan besar-besaran oleh Jabatan Kesihatan negeri sejak Jun lalu hingga kini.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Zailan Adnan berkata, arahan dibuat selepas pemeriksaan mendapati premis terbabit tidak menepati standard kebersihan yang ditetapkan jabatan.

“Sebanyak 147 premis  diperiksa  didapati kotor manakala 45 daripadanya diarah tutup berikutan kebersihan yang tidak memuaskan.

“Daripada jumlah  yang diarahkan tutup, dua daripadanya membiakkan tikus,” katanya pada sidang media selepas Kempen Keselamatan Makanan Sempena Ramadan di Bazar Ramadan Ampangan di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pendidikan dan Kesihatan, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemudahan Awam dan Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri dan Abu Ubaidah Redza.

Selain itu katanya, sejak Januari hingga sekarang terdapat lebih 1,000 kedai diperiksa secara rawak tetapi hanya tiga peratus diarah tutup kerana tidak mencapai piawaian kebersihan.

Zailan berkata, pembeli dinasihat bertindak bijak dengan memastikan kebersihan makanan yang dijual di Bazar Ramadan sebelum membeli.

“Pengendali makanan juga harus menitikberatkan cara pengendalian makanan yang betul dan bersih misalnya dengan menggunakan sumber air yang bersih dan memegang makanan dengan menggunakan penyepit,” katanya.

Dalam perkembangan lain,  Shamsulkahar berkata, kempen berkenaan dijalankan dalam usaha kerajaan melindungi orang ramai daripada bahaya kesihatan yang berpunca daripada makanan khususnya pada bulan Ramadan.

“Objektif kempen ini adalah untuk melindungi, mendidik sekaligus memberi pendedahan kepada pengendali makanan dan juga orang ramai tentang makanan yang tercemar dan tidak selamat,” katanya.

Antara aktiviti yang dijalankan semasa kempen ialah penyerahan apron dan topi kepada peniaga, pemeriksaan gerai, pameran poster keselamatan makanan, kaunter maklumat dan pengedaran risalah kesihatan.

Pelajar terperosok bawah van


Pelajar terperosok bawah van
Keadaan motosikal mangsa yang terbabit dalam kemalangan di kilometer 23.1, Jalan Seremban-Tampin, dekat sini, malam kelmarin.
REMBAU – “Semasa tiba di tempat kejadian, saya lihat orang ramai sudah mengerumuni sebuah van bagi membantu mengeluarkan mangsa yang terperosok di bawah kenderaan itu," luah Zulkifli Samsuri, 49, ketika ditemui di lokasi kemalangan, di kilometer 23.1, Jalan Seremban-Tampin, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 8.30 malam itu, mangsa dipercayai pelajar berusia 17 tahun yang baru sahaja selesai belajar berkumpulan di Rumah Rakyat Chembong dan ingin pergi ke kedai berdekatan lokasi kejadian.

Zulkifli berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan dari Rembau menuju ke kediamannya di Chembong, namun terkejut apabila melihat orang ramai berada di atas jalan bertentangan dengan arah jalannya.

“Saya cepat-cepat memberhentikan motosikal dan bergegas menuju ke kumpulan orang ramai berkenaan yang sedang berusaha untuk mengangkat van berkenaan ke tepi.

“Kami tidak berani  menyentuh mangsa, namun beberapa penduduk bertindak untuk menjaga lalu lintas.  Malah, anggota bomba juga tiba di lokasi kejadian dan membantu memotong tali keledar mangsa yang tidak boleh dibuka,” katanya.

Katanya, pada mulanya mangsa hanya mendiamkan diri sahaja, namun selepas itu, dia mula mendengar suara mangsa yang seolah-olah menahan kesakitan susulan mengalami kecederaan di bahagian badan dan kepalanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, berdasarkan siasatan awal, penunggang motosikal iaitu seorang remaja perempuan datang dari arah Tampin mengubah haluan dan masuk ke laluan bertentangan.

“Susulan tindakannya itu, motosikal yang dipandu remaja berkenaan merempuh van yang dipandu lelaki berusia 45 tahun.

"Mangsa yang menetap di Kampung Rendah cedera di bahagian kepala dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban," katanya.

GRO berasak dalam bilik sempit


GRO berasak dalam bilik sempit
Bilik sempit yang menjadi tempat persembunyian yang menempatkan GRO ketika menunggu pelanggan.
GRO berasak dalam bilik sempit
GRO yang ditahan dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Pulau Pinang di Seberang Jaya.
PERAI - Bilik menunggu yang men-jadi lokasi rahsia menempatkan pelayan pelanggan (GRO) warga asing terbongkar dalam serbuan di sebuah pusat karaoke di Jalan Seang Tek, Georgetown, semalam.

Pengusaha premis menyediakan bilik berkenaan sebagai tempat persembunyian apabila menerima isyarat daripada tonto atau penjaga sekiranya terdapat kehadiran pihak berkuasa.

GRO terpaksa berhimpit di dalam bilik tersebut di mana pintunya telah diubahsuai bagi memudahkan mereka yang bersembunyi untuk keluar masuk.

Keadaan terlalu sempit menyebabkan mereka yang bersembunyi hanya boleh duduk atau membongkok sahaja sementara menantikan pelanggan.

Penjaga hanya akan mengeluarkan mereka dari tempat persembunyian dan dibawa ke bilik karaoke yang telah ditempah atas permintaan pelanggan.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Pulau Pinang, Basri Othman berkata, cubaan GRO untuk melepaskan diri gagal apabila penguat kuasa berjaya mengesan kewujudan bilik tersebut.

“Berdasarkan pemeriksaan rapi  kira-kira jam 1.10 pagi, terdapat enam wanita warga asing ditemui sedang bersembunyi di dalam bilik itu.

“Kesemuanya menyalahgunakan pas lawatan lawatan sosial ke negara ini dan secara keseluruhannya, seramai lapan orang berjaya ditahan dalam serbuan kali ini,” katanya.

Basri berkata, seramai 13 orang diperiksa termasuk seorang lelaki dan lapan daripadanya didapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan 39(B) Peraturan-peraturan Imigresen 1963, melanggar syarat pas atau permit.

“Lima wanita warga China dan dua wanita Vietnam yang bekerja sebagai GRO di premis terbabit serta seorang lelaki warga Myanmar bekerja sebagai pelayan bar akan dikenakan tindakan mengikut kesalahan masing-masing.

“Lima lagi yang turut diperiksa  dibebaskan selepas masing-masing dapat mengemukakan dokumen sah untuk berada di negara ini,” katanya.

Dalam pada itu, tugas anggota penguat kuasa menjalankan pemeriksaan terganggu dek tonto yang berkawal di premis terbabit.

Seorang lelaki yang bertindak sebagai penjaga pusat karaoke itu bukan sahaja naik angin malah mengeluarkan kata-kata kesat kepada rakan-rakannya kerana gagal menghidu kehadiran anggota penguat kuasa terbabit.

Walau bagaimanapun, tiada sebarang kejadian  tidak diingini berlaku dan kesemua ditahan dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Pulau Pinang di Seberang Jaya untuk tindakan lanjut.

Peniaga kosmetik cedera ditembak


Peniaga kosmetik cedera ditembak
Seorang anggota polis forensik melakukan pemeriksaan di pintu pagar rumah peniaga kosmetik yang ditembak, pagi semalam.
PUCHONG - Seorang peniaga kosmetik berusia 38 tahun cedera di lengan dipercayai akibat ditembak dua lelaki yang memecah masuk rumahnya, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, mangsa dan isteri dikatakan tersedar dari tidur selepas terdengar bunyi bising di luar biliknya.
Mangsa kemudian mendapati terdapat dua lelaki tidak dikenali di depan pintu bilik tidurnya.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias berkata, adik ipar mangsa yang tinggal di rumah sama di Taman Kinrara Seksyen 5 di sini memberitahu, dalam kejadian berlaku terlalu pantas itu dia terdengar bunyi letupan di luar pintu bilik.

Menurutnya, sebaik pintu bilik dibuka, adik ipar mangsa memaklumkan mendengar abang iparnya menjerit perkataan rompak beberapa kali sambil berlari mengejar suspek.

"Dalam keadaan kelam-kabut, wanita itu mengejutkan suaminya untuk membantu abang iparnya yang berlumuran darah.

“Saksi mendakwa ternampak dua lelaki melarikan diri menggunakan sebuah kereta Chevrolet yang diletakkan di luar pagar rumahnya.

“Mangsa kemudian dikejarkan ke sebuah hospital swasta untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Difahamkan, suspek dipercayai masuk ke rumah mangsa dengan mengumpil pintu utama dan meloloskan diri menggunakan laluan sama.

Mangsa dikatakan menjalankan perniagaan sendiri sejak 10 tahun lalu dan tidak mempunyai rakan kongsi.

Lori 10 tan terbalik


Lori 10 tan terbalik
Lori membawa dedak ayam terbalik di susur keluar kiri persimpangan lampu isyarat Pekan Kuala Pilah dari arah Tampin.
KUALA PILAH – Gara-gara mengalami masalah brek, sebuah lori muatan dedak ayam seberat 10 tan terbalik kerana  mahu mengelak dari melanggar kenderaan lain di persimpangan lampu isyarat Pekan Kuala Pilah dari arah Tampin, jam 10.35 pagi, semalam.

Pemandu lori, Said Arab, 45, berkata, ketika lori dipandu menuruni jalan berbukit di persimpangan lampu isyarat, brek kenderaan itu tiba-tiba tidak berfungsi sehingga dia terpaksa memaut stereng ke arah kiri jalan.

“Mujur di situ ada jalan susur ke kiri, jadi saya terus memasuki jalan berkenaan lalu hilang kawalan hingga menyebabkan lori ini terbalik.

“Saya sebenarnya dari arah Melaka menuju ke Pahang bagi menghantar dedak ini. Kami jangka sampai dalam jam 2 petang. Bagaimanapun, ia tergendala akibat insiden ini,” katanya. Said berkata, kejadian itu amat mendebarkan kerana perlu mengelak dari melanggar kenderaan lain di hadapannya yang kebetulan berhenti apabila lampu isyarat bertukar merah.

“Waktu itu, saya hanya fikir untuk elak bertembung dengan kenderaan lain. Jika tidak, mungkin lebih ramai yang mengalami kecederaan.

“Mujur, saya tidak mengalami kecederaan serius hanya mengalami cedera di leher dan luka di siku tangan belah kanan,” katanya yang menerima rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah.

Sementara itu, kelindan, Zaidi Azmi, 23, berkata, insiden itu bukan kali pertama berlaku sejak dia menjadi kelindan.

“Cermin depan pecah dan dedak bertaburan di atas jalan. Mujur dedak itu masih elok dan penghantaran dedak akan diteruskan selepas dipindahkan ke lori lain kerana pelanggan sudah menunggu di Pahang,” katanya.

Dalam pada itu, lalu lintas berjalan lancar selepas anggota Polis Trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah mengawal keadaan dan Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah memadam percikan api dari arah tayar lori terbabit.

Leher dikelar penyamun


Leher dikelar penyamun
Ahli Parlimen Teluk Intan, Seah Long Peng melawat mangsa kelar dalam kejadian samun di pusat snuker di Taman Mewah, di sini, lewat petang semalam.
Leher dikelar penyamun
Goh Kok Liang
TELUK INTAN - Seorang penjaga pusat snuker nyaris maut apabila dikelar oleh ‘pelanggannya' dalam satu kejadian samun, lewat petang kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 6.50 petang itu berlaku di pusat snuker di Taman Mewah, Jalan Maharajalela di sini.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, kedua-dua suspek datang ke premis itu kira-kira jam 6.25 petang dan berpura-pura sebagai pelanggan yang mahu bermain snuker.

Menurutnya, seorang remaja lelaki berusia 19 tahun bekerja sebagai penjaga premis ketika itu.

"Mangsa tidak mengesyaki sebarang perbuatan mencurigakan kedua-dua suspek memandangkan terdapat pelanggan lain dalam premis itu dan dia menjalankan kerjanya seperti biasa," katanya.

Beliau berkata, kesemua pelanggan di premis tersebut mulai pulang kecuali kedua-dua suspek yang berpura-pura meneruskan bermain snuker.

“Ketika premis itu sudah tiada pelanggan lagi, kedua-dua suspek bertindak mengeluarkan pisau lalu menyamun mangsa yang ketika itu berada di kaunter pembayaran.

“Mangsa terkejut dengan kejadian itu lalu bertindak melawan balik dengan menggunakan sebuah kerusi menyebabkan satu pergelutan berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak, di sini, semalam.

Kok Liang berkata, pergelutan itu turut menyebabkan mangsa dikelar oleh suspek dengan menggunakan pisau.

Katanya, suspek kemudiannya menyamun wang yang berada di dalam kaunter pembayaran sebelum melarikan diri dengan sebuah kereta jenis Proton Iswara berwarna emas dan meninggalkan mangsa  dalam kesakitan.

"Secara kebetulan, pemilik premis tersebut telah datang untuk melakukan pemeriksaan terhadap perniagaan sebelum menemui mangsa dalam keadaan berlumuran darah.

"Terkejut melihat keadaan pekerjanya, pemilik premis menghantar mangsa ke Hospital Teluk Intan," katanya.

Beliau berkata, mangsa telah dikelar kira-kira 15 cm di leher dan menerima rawatan di Unit Jagaan Rapi (ICU) Hospital Teluk Intan, kini beransur stabil.

Kok Liang berkata, pihaknya kini sedang meneliti rakaman kamera tertutup (CCTV) yang dipasang di luar premis.

Campak anak dari tingkap


Campak anak dari tingkap
Che Dupa melihat rumahnya yang musnah dalam kebakaran di Kampung Kempadang, awal pagi semalam.
KUANTAN - “Sebelum keluar rumah, saya dah rasa tak sedap hati, tapi saya ingatkan itu hanya mainan perasaan saja,” demikian kata mangsa kebakaran, Che Dupa Che Daud, 33, ketika ditemui di tempat kejadian di Kampung Kempadang, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi semalam, dia bersama isteri, Anderi Diana Nurdin, 29, tiada di rumah kerana keluar membeli pakaian raya untuk tiga anak lelaki mereka iaitu Che Muhammad Aqlan, 6, Che Muhammad Aqil, 4, dan Che Muhammad Aqashah, 3.

Che Dupa berkata, dia keluar kira-kira jam 12 tengah malam untuk ke tapak ekspo di bandar dan meninggalkan tiga anaknya di rumah bersama dua adik ipar, Mohd Shaharan, 18, dan Aina Najihah, 17, namun pada jam 3.15 pagi, dia menerima panggilan daripada adik ipar memaklumkan kejadian itu.

“Semasa di tapak ekspo saya berjumpa rakan dan diajak minum di kedai, kami leka bersembang sehingga jam 3 pagi malah tak sempat nak beli pakaian raya seperti yang dirancang.

“Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan pulang, kira-kira jam 3 lebih, adik ipar, Mohd Shaharan telefon beritahu rumah terbakar,” katanya.

Che Dupa berkata, sebaik tiba, dia melihat hampir 80 peratus rumahnya sudah musnah dan tiada apa yang dapat diselamatkan.

“Kejadian berlaku dengan cepat, malah adik ipar saya bertungkus-lumus menyelamatkan ketiga-tiga anak saya dengan mencampak mereka melalui tingkap di sebelah kanan rumah,” katanya.

Bagaimanapun dia bersyukur kerana tiga anak dan dua iparnya selamat dalam kejadian awal pagi itu.

“Saya reda, mungkin ada hikmah di sebalik kejadian pada bulan yang mulia ini.

“Buat masa ini, saya sekeluarga menumpang di rumah saudara yang berdekatan,” katanya.

Che Dupa yang bekerja sebagai pemandu lori itu berkata, kerugian dianggarkan bernilai RM45,000.

Dua parah diserang 3 lelaki di parkir motosikal


Serangan di parkir sebabkan 2 parah
Salah seorang mangsa yang cedera di belakang kepala dan berlumuran darah selepas diserang tiga lelaki tidak dikenali awal pagi semalam.
GEORGETOWN - Dua parah diserang tiga lelaki tidak dikenali di tempat parkir motosikal di bawah sebuah flat di Paya Terubong awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5.10 pagi di tempat parkir di bawah Blok 5, Lintang Paya Terubong 3, Bandar Baru, Air Itam di sini.

"Maklumat awal mendapati, kedua-dua mangsa, diserang tiga lelaki tidak dikenali yang bersenjatakan parang ketika kedua-dua mangsa baru balik dari makan.

"Mangsa dikenali sebagai Chan Yong Fang, 35, dan Ooi Lean Keong, 45, yang bekerja sebagai pemandu pelancong.

“Kejadian berlaku ketika Lean Kong meminta Yong Fang yang bekerja sebagai mekanik memeriksa motosikalnya yang rosak untuk dibaiki sebelum diserang tiga lelaki yang datang dari arah luar," katanya.

Difahamkan ketiga-tiga suspek memasuki kawasan flat itu dengan memanjat pagar dan terus menyerang mangsa.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek kemudiannya menyerang mangsa dengan parang sehingga kedua-duanya cedera parah.

“Selepas menyerang mangsa, suspek kemudiannya melarikan diri dengan menggunakan laluan yang sama.

"Mangsa yang cedera parah dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk mendapat rawatan," katanya.

Kong Meng berkata, Yong Fang mengalami cedera di belakang kepala sebelah kanan, belakang badan dan urat tangan kanannya putus dan kini dirawat di HPP.

Manakala Lean Keong pula mengalami kecederaan di tangan kiri dan siku kirinya turut patah selain urat tangan kirinya disyaki putus.

Kong Meng berkata, kedua-dua mangsa dilaporkan stabil dan pihaknya masih menyiasat motif kejadian.

“Kita masih memburu ketiga-tiga penyerang dan minta orang ramai yang ada maklumat, boleh menghubungi balai polis berhampiran atau datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut.

“Kes ini disiasat bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah,” katanya.