Search This Blog

Saturday, July 20, 2013

Dipatuk ular yang menyorok


Dipatuk ular yang menyorok
Ahli keluarga Allahyarham Md Supian mengambil peluang mencium jenazahnya buat kali terakhir.
Dipatuk ular yang menyorok
Allahyarham Md Supian.
BATU PAHAT – “Saya rasa macam nak cepat saja balik kampung tengok ayah, rasa macam dah terlalu lama tak jumpa dia,” kata Mohamed Sallehin Md Supian, 22.

Dia yang merupakan anak sulung kepada seorang kaki pancing, Md Supian Afendi, 55, yang maut dipatuk ular ketika memancing di Empangan Bokok, kelmarin mengakui menemui arwah ayahnya kali terakhir dua minggu lalu.

“Biasanya kami jarang berbual, namun pada pertemuan tersebut kami berborak panjang.

“Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, ayah dikatakan telah mengajak dua rakannya untuk memancing di empangan berkenaan bagi mencari juadah berbuka bersama anaknya yang berusia 6 hingga 22 tahun.

“Tetapi tidak tahu bagaimana, nasib malang menimpa ayah apabila dia dipatuk ular di bahagian pergelangan tangan kanannya,

“Kami sekeluarga tidak menyangka ayah pergi memancing untuk kali yang terakhir semalam (kelmarin), dan meninggalkan kami untuk selama-lamanya. Kehilangannya cukup kami rasai kerana dialah ayah dan dialah ibu buat kami,” katanya yang tinggal di Johor Bahru.

Menurutnya, dia difahamkan ayahnya dipatuk ular semasa cuba menangkap seekor ikan di celah batu, tanpa disedari terdapat ular yang menyorok di situ.

Kata Sallehin, ayahnya rebah kira-kira 10 minit selepas insiden tersebut.

“Melihat keadaan ayah yang pengsan, rakan-rakannya telah bawanya ke Klinik Kesihatan Yong Peng, bagaimanapun pihak klinik mengesahkan ayah telah meninggal dunia.

“Pemergian ayah pasti memberi dugaan buat adik-adik yang masih bersekolah selain terpaksa menyambut Aidilfitri kali ini tanpa tempat bergantung buat mereka.

“Kami reda dengan pemergian ayah, walaupun kami telah belajar berdikari selepas pemergian emak empat tahun lalu,” katanya.

Jenazah Md Supian dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Bindu, kira-kira jam 11.00 pagi semalam.

Tak sempat mencuri, maut tersepit di tingkap



IPOH - Cubaan seorang lelaki memecah masuk sebuah rumah di Taman Saz Silibin di sini gagal apabila dia mati dalam keadaan tersepit di besi tingkap bahagian dapur.

Suspek berumur 27 tahun ditemui mati dengan hanya memakai seluar dalam dan hasil bedah siasat mengesahkan bahawa dia mati kerana sesak nafas.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Sum Chang Keong berkata dalam kejadian kira-kira pukul 12 malam tadi, mangsa lelaki berumur lingkungan 50-an yang baru pulang ke rumah terkejut menemui suspek di dapur dalam keadaan tersepit dengan kaki di luar dan kepala di dalam rumah.

"Ketika kejadian tiada sesiapa di rumah. Suspek bertindak masuk mengikut tingkap nako berdasarkan kesan dan alat pemotong besi yang berada di situ, namun malangnya mangsa tersepit di bahagian besi tingkap," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Suspek tidak sempat masuk ke rumah mangsa dan polis hanya menemui baju suspek serta peralatan untuk memecah masuk rumah, katanya.

Katanya sebaik tiba di tempat kejadian, pihak hospital mengesahkan suspek telah mati dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun. - Bernama

Ditetak di restoran nasi kandar


Ditetak 10 lelaki ketika makan di restoran nasi kandar
Kelengkapan memasak di restoran yang rosak serta makanan berselerak disebabkan pergaduhan itu.
GEORGETOWN - Tiga lelaki cedera diserang dan ditetak sekumpulan 10 lelaki dipercayai kongsi gelap di sebuah restoran nasi kandar di Perai malam kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 9.50 malam di sebuah restoran nasi kandar.

“Dalam pergaduhan itu, 10 lelaki yang bersenjatakan pedang dan parang menyerang tiga lelaki yang sedang menjamu selera di restoran berkenaan yang dipercayai kaitan dengan dendam lama yang melibatkan soal perniagaan.

“Mangsa yang berusia lingkungan 19 hingga 24 tahun mengalami kecederaan serius di beberapa anggota badan antaranya kepala, tangan, siku dan belakang badan yang kemudiannya dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk mendapat rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, polis kemudiannya menahan dua suspek di kawasan Butterworth beberapa jam selepas kejadian.

“Kedua-dua suspek yang ditahan berusia 27 dan 29 tahun. Turut dirampas, lima bilah parang, sebilah pedang samurai dan sebatang cota. Hasil siasatan, kedua-dua mereka tidak bekerja dan salah seorangnya mempunyai rekod jenayah lampau.

“Kita masih mengesan baki kumpulan ini yang dipercayai masih berada di kawasan yang sama. Siasatan awal mendapati, pergaduhan itu dipercayai berpunca dari tidak puas hati berhubung perniagaan.

"Bagaimanapun,kita masih menyiasat motif kejadian dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya.

Kuari meletup: MB Johor tak kompromi pihak cuai


Tragedi letupan kuari
Letupan dari sebuah kuari menyebabkan batu-batu besar berterbangan hingga merosakkan beberapa buah kilang dan kenderaan, semalam.
SENAI -  Kerajaan Negeri Johor tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas pihak yang terlibat sehingga membabitkan insiden letupan kuari di Bandar Seri Alam, di sini, semalam.

Menteri Besarnya, Datuk Mohammed Khaled Nordin berkata, beliau sedang menunggu laporan terperinci daripada agensi penguatkuasaan terlibat untuk diteliti mengenai punca kejadian.

"Sekiranya terdapat unsur-unsur kecuaian, kerajaan negeri akan mengambil tindakan tegas.

"Sepanjang tempoh siasatan oleh pihak berkuasa itu, saya menyeru kepada orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian tersebut," katanya dalam satu kenyataan yang dipetik dari medis sosial miliknya, pagi ini.

Semalam, kejadian yang berlaku kira-kira jam 12.50 tengahari itu telah menyebabkan seorang maut manakala 10 yang lain cedera.

Kejadian tersebut turut menyebabkan kerosakkan harta benda akibat terkena bongkah dan serpihan batu akibat kerja-kerja meletup batu dari kawasan berhampiran Jalan Bukit 2, kawasan Malaysia Industrial Ester Limited (MIEL) Bandar Seri Alam.

Sementara itu, Mohammed Khaled menambah, beliau turut berharap kejadian seperti ini tidak berulang dan mahu semua pihak bertanggungjawab memastikan negeri Johor sentiasa berada dalam keadaan selamat dan makmur.

"Bagi pihak kerajaan negeri dan seluruh rakyat Johor, saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang maut dalam kejadian letupan kuari di Bandar Seri Alam, semalam.

"Saya juga berdoa agar semua mangsa yang cedera akan cepat sembuh, insya-ALLAH,” katanya lagi.

Mayat jurutera kapal MT Samudera dikeluarkan


Mayat jurutera kapal MT Samudera dikeluarkan
APMM Wilayah Selatan menjalankan operasi bersepadu bersama Jabatan Laut dan Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk mengeluarkan mayat seorang jurutera warga India yang terperangkap dalam Kapal Tangki MT Samudera yang terbakar di kedudukan 2.6 batu nautika selatan Pulau Kukup dekat Pontian Ahad lepas. - Foto Bernama
PONTIAN - Mayat jurutera kapal MT Samudera yang terbakar di perairan Selatan Pulau Kukup dekat sini Ahad lalu berjaya dikeluarkan hari ini setelah tujuh hari terperangkap dalam kapal berkenaan.
  
Mayat warga India itu G. Srinivasan, 49, yang terbakar hampir 95 peratus badannya ditemui oleh pasukan forensik Maritim Malaysia di bilik kawalan jentera utama kapal berkenaan kira-kira 3.30 petang.
  
Ketua Penguatkuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Johor Baharu, Kapten Maritim Aminuddin Abd. Rashid berkata operasi mengeluarkan mayat berkenaan mengambil masa kerana terpaksa menunggu sehingga kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya.
  
"Kebakaran hanya dapat dipadamkan sepenuhnya semalam dan hari ini pihak bomba sekali lagi memasuki kapal berkenaan untuk memastikan keadaan di dalam kapal selamat untuk dimasuki bagi membolehkan operasi bersepadu mengeluarkan mayat mangsa dilakukan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
  
Menurutnya, mayat mangsa kemudian telah dipindahkan ke kapal KM Sibuan menuju ke Jeti Marin Pantai Lido sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Aminah untuk bedah siasat.

Selain Maritim Malaysia, operasi bersepadu sejak pukul 10 pagi itu disertai oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Laut dan Polis Marin dengan lebih 30 anggota penyelamat.
  
Dalam kejadian pada Ahad lepas, Kapal MT Samudera yang dalam perjalanan dari Batam, Indonesia ke Chittagong, Bangladesh terbakar pada kedudukan 2.6 batu nautika (4.8 kilometer) dari Pulau Kukup dipercayai berpunca daripada pengcas turbo di bilik enjin kapal itu yang meletup.
  
Dalam kejadian itu, seramai 22 anak kapal berjaya diselamatkan manakala Srinivasan maut selepas terperangkap di dalam bilik enjin kapal.  - Bernama

Ayah risau anak 14 tahun hilang


Tze Wei
Tze Wei
GEORGETOWN - Seorang bapa rungsing apabila mendapati anak perempuan berusia 14 tahun tiada di dalam bilik tidurnya selepas pintu belakang rumah terbuka kira-kira jam 6 pagi Jumaat lalu.

Selepas disiasat, bukan sahaja pintu belakang rumahnya terbuka, malah ditemui kain alas tidur (toto) serta selimut anaknya berada di atas meja di bahagian belakang rumah mereka di Mukim 11, Sungai Ara dekat sini.

Bapa remaja berkenaan, Yee Tee Haw, 49, berkata, beliau mendapati telefon bimbit anaknya dan pengecas juga tiada dan terdapat kesan rumput seperti dipijak orang belakang rumah mereka.

Difahamkan, kira-kira jam 5 pagi Tee Haw menyedari bunyi salakan anjing peliharaan namun tidak mengendahkannya kerana tidak mengesyaki apa-apa.

Menurut sumber, ketika dilaporkan hilang anak perempuan yang dikenali sebagai Tze Wei hanya memakai baju tidur berwarna merah jambu dan bapanya tidak mendengar sebarang bunyi yang mencurigakan sepanjang malam.

"Anaknya seorang yang rabun namun cermin matanya masih berada di dalam bilik dan barangan lain tidak dibawa sama.

"Telefon bimbit anaknya pula itu tidak mempunyai kad sim sebaliknya digunakan untuk mendengar lagu dan bermain permainan video," katanya.

Bimbang sesuatu yang buruk menimpa anaknya, bapa remaja berkenaan membuat laporan polis dan meminta bantuan pasukan Skim Rondaan Sukarela (SRS).

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Mohd Hatta Mohd Zin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan.

Menurutnya, selepas menerima maklumat, sepasukan polis dan anjing pengesan K-9 pergi ke rumah mangsa untuk melakukan siasatan.

Mohd Hatta berkata, bantuan dari unit K9 dibuat untuk mengesan mangsa namun gagal mengesan jejak kerana kawasan sekitar rumah berkenaan sudah dilalui oleh ahli keluarganya untuk mencari remaja itu sebelum datang ke balai membuat laporan.

"Pemeriksaan di rumah berkenaan tidak ada kesan umpil dan pecah masuk dan mengikut keterangan pengadu rumah berkenaan memang tidak berkunci.

"Siasatan awal mendapati pengadu, isteri dan adik lelaki pengadu tidak mempunyai hutang dan masalah dengan mana-mana pihak dan polis masih menyiasat motif kehilangannya," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang daripada jagaan yang sah dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tujuh tahun dan denda.

Menurutnya, remaja berkenaan berkulit cerah, berambut lurus pendek paras bahu dan tinggi kira-kira 152 sentimeter.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat remaja berkenaan diminta menghubungi polis bagi membantu siasatan.

Kanak-kanak maut dalam kereta, polis mula siasat


Kanak-kanak maut dalam kereta, polis mula siasat
Keadaan mangsa, Nawal Iris Samsudin, 3, yang ditinggalkan selama lebih lima jam di dalam kereta ibunya.
KUALA LUMPUR - Polis akan mengambil keterangan daripada ibu bapa kanak-kanak perempuan yang mati akibat kelemasan setelah ditinggalkan tanpa sengaja di dalam kereta di Subang Jaya pada Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Yahaya Ramli berkata rekod bertulis belum diambil kerana ibu bapa kanak-kanak tersebut masih dalam keadaan trauma ekoran kejadian itu.

Kes akan disiasat mengikut Seksyen 33, Akta Kanak-Kanak 2001 kerana membiarkan kanak-kanak tanpa pengawasan yang berpatutan, katanya kepada Bernama.

Seksyen ini memperuntuk hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dalam kejadian itu, Nawal Iris Samsudin, 3, ditinggalkan selama lebih lima jam di dalam kereta ibunya di bawah panas terik di tempat letak kereta sebuah sekolah menengah di USJ4.

Bedah siasat yang dilakukan di Hospital Serdang menunjukkan kanak-kanak itu meninggal dunia akibat 'heat stroke'.  - Bernama

20 kanak-kanak maut keracunan

20 kanak-kanak maut keracunan
Puluhan kanak-kanak menerima rawatan di Hospital Patna.
PATNA - Sekurang-kurangnya 20 kanak-kanak maut dan puluhan mengalami sakit perut selepas dipercayai mengalami keracunan makanan di Bihar, Timur India.

Media tempatan melaporkan kepada AFP, kanak-kanak berusia antara lapan dan 11 tahun itu jatuh sakit selepas menikmati makan tengah hari di sekolah kendalian kerajaan di Masrakh, kira-kira 80 kilometer di utara Patna.

Menteri Pendidikan, P K Sahi berkata, siasatan awal mendapati makanan percuma berkenaan dicemari kesan fosforus, yang digunakan untuk mengawet beras dan gandum.

Sementara itu, pegawai rasmi, Bihar Abhijit Sinha berkata, sepuluh daripada kanak-kanak itu kini berada dalam keadaan serius dan dipantau rapi.

"Perkhidmatan kantin di sekolah itu kini digantung. Siasatan penuh akan dilakukan kerana ia adalah satu kecuaian serius," katanya.

Tukang masak racun 22 orang ditahan



MULTAN - PAKISTAN. Pihak berkuasa Pakistan menahan seorang tukang masak dipercayai membunuh 22 orang yang berpunca daripada pertelingkahan politik.

Dipetik AFP, Arsal Khan Khichi yang ditewaskan sepupunya, Jahanzeb Khan Khichi untuk merebut kerusi Dewan Wilayah ketika pilihan raya, Mei lalu didakwa membayar suspek sebanyak 50,000 rupee (RM2,700) untuk meracun kesemua mangsa.

Menurut polis, siasatan awal mendapati suspek telah mencampurkan racun dalam masakan di kediaman Jahanzeb di Mailsi, 9 Jun lalu.

Wanita maut terjatuh dari roller coaster



ARLINGTON – TEXAS . Seorang wanita maut  selepas terjatuh daripada roller coaster yang dinaikki di Taman Tema Six Flags Over Texas, dekat sini, semalam.

Pihak taman tema terbabit mengesahkan mengenai berita kematian itu namun enggan mendedahkan punca sebenar kejadian.

“Sejak insiden semalam, laluan roller coaster tersebut telah ditutup sementara menunggu siasatan lanjut,” kata pihak taman tema dalam satu kenyataan.

Menurut seorang saksi, Gabe Flores, ketika kejadian berlaku, beliau berada bersebelahan mangsa sementara menunggu giliran menaiki kereta tersebut.

"Saya dan teman wanita berada di pintu pagar ketika menunggu giliran untuk naik roller coaster itu.

"Dihadapan saya terdapat seorang lelaki dan seorang wanita.

"Lelaki itu berkata," biarlah saya keluar, saya keluar, ibu saya jatuh," katanya lagi.

Sementara itu, Jabatan Polis Arlington berkata, pihak polis sedang menyiasat sama ada wanita itu mengalami kecemasan perubatan sebelum jatuh.

Texas Giant pada asalnya direka pada 1990 dan dikenali sebagai sebuah roller coaster yang diperbuat daripada kayu.

Ia telah direka semula dengan trek keluli dan dibuka semula pada April 2011 untuk menandakan ulang tahun ke-50 taman tema itu.

Pada ketika itu, laluan tertinggi roller coaster itu mencecah 153 kaki dan mempunyai penurunan 147 kaki.

Beribu-ribu kanak-kanak cedera setiap tahun kerana menaiki kenderaan di taman tema terbabit.

Dua sahabat bebas tuduhan bunuh lelaki


Mohd. Fazli Abdul Rahman (tengah) dan Muhamad Hafis Md. Yusoff (kanan) sebak dan menangis selepas Mahkamah Tinggi membebaskan mereka atas tuduhan membunuh dua tahun lalu di Pulau Pinang, semalam.
PULAU PINANG 19 Julai - Bulan Ramadan tahun ini lebih bermakna kepada dua sahabat apabila mereka terselamat daripada hukuman di tali gantung setelah Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan mereka daripada tuduhan membunuh seorang lelaki, dua tahun lalu.
Mohd. Fazli Abdul Rahman, 33, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan Muhamad Hafis Md. Yusoff, 28, seorang penjaga kafe internet tidak dapat menahan sebak dan menangis sebaik sahaja Hakim Datuk Zamani Abdul Rahim membaca keputusan berkenaan.
Dalam penghakiman ringkasnya, Hakim Zamani berkata, mahkamah membuat keputusan tidak memanggil mereka membela diri selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh.
Sepanjang perbicaraan di peringkat pendakwaan, sebanyak 13 saksi dipanggil memberi keterangan.
Kedua-dua mereka didakwa membunuh U. Yuganthan, 23, di Taman Lima Kongsi, Sungai Bakap, Seberang Perai Selatan kira-kira pukul 1 pagi, 25 Februari 2011.
Dakwaan terhadap mereka dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ashikin Mokhtar mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Sebaik sahaja keluar dari mahkamah, kedua-duanya yang diwakili peguam bela, R. Dev Chander dan V. Parthipan terus memeluk ahli keluarga dalam suasana sayu.
Chander berkata, keputusan itu sangat bermakna kerana anak guamnya meringkuk di penjara selama setahun, kini berpeluang menyambut Ramadan dan Aidilfitri bersama keluarga.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130720/ma_05/Dua-sahabat-bebas-tuduhan-bunuh-lelaki#ixzz2ZseyxGbV
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kanak-kanak 3 tahun mati lemas dalam kereta

Seorang guru meninggalkan kanak-kanak itu dalam kenderaan dan bergegas pergi mesyuarat sebelum menyambung mengajar kerana terlupa anaknya ada tertidur di belakang kenderaan

Kanak-kanak 3 tahun mati lemas dalam kereta

SUBANG JAYA 19 Julai - Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun mati akibat lemas setelah ditinggalkan oleh ibunya selama enam jam dalam kereta di sebuah sekolah di USJ 4 di sini semalam.

Mangsa, Nawal Iris Samsudin ditemukan ibunya, Nor Zatusy Hazwa Abdul Rahim, 32, dalam keadaan kebiruan kira-kira jam 5.30 petang sebelum dibawa ke klinik berhampiran dan disahkan meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, ibu mangsa iaitu seorang guru meninggalkan kanak-kanak itu dalam kenderaan dan bergegas pergi mesyuarat sebelum menyambung mengajar kerana terlupa anaknya ada tertidur di belakang kenderaan. - UTUSAN ONLINE

Kes rugi RM100j: Rayuan bekas CEO Sime Darby ditolak


Jul 19 2013 
Bekas presiden dan ketua pegawai eksekutif kumpulan Sime Darby Datuk Seri Ahmad Zubair Murshid diarah dibicarakan di Mahkamah Sesyen terhadap pertuduhan pecah amanah dan menipu.

Ini berikutan kegagalannya dalam rayuan di Mahkamah Rayuan di Putrajaya semalam untuk mengetepikan dua pertuduhan utama pecah amanah dan dua pertuduhan pilihan berhubung dakwaan menipu.

Panel hakim tiga anggota diketuai Datuk Azahar Mohamed sebulat suara menolak rayuan Ahmad Zubair dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk mengetepikan pertuduhan itu.

Azahar berkata pertuduhan yang dihadapi Ahmad Zubair adalah sah.

Panel itu yang turut dianggotai Hakim Datuk Rohana Yusuf dan Datuk Hamid Sultan Abu Backer tidak menerima hujahan yang dikemukakan peguam Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden bahawa pertuduhan yang dihadapi anak guamnya adalah cacat dan rosak.

Azahar berkata pendakwaan berhak mengemukakan bukti dalam perbicaraan itu dan memanggil saksi bagi memberi penjelasan mengenai dokumen yang dipertikaikan.

"Kami berpendapat ini bukan kes yang layak dan sesuai serta luar biasa untuk menggunakan budi bicara kami bagi mengetepikan dan membatalkan pertuduhan," katanya.

Pada 17 Julai tahun lepas, Ahmad Zubair, 56, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan pecah amanah dana Sime Darby Bhd membabitkan projek pembangunan tanah adat Sarawak yang menyebabkan kerugian melebihi RM100 juta.

Kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan dengan sebatan dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Ahmad Zubair juga mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan pilihan iaitu memperdaya ahli lembaga pengarah Sime Darby Bhd membabitkan projek yang sama.

Bagi kesalahan itu, Ahmad Zubair didakwa mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Sime Darby Bhd, Tingkat 21, Wisma Sime Darby, Jalan Raja Laut, di sini, antara 17 Nov 2008 dan 4 Dis 2009.

Pada 15 Mac lepas, Ahmad Zubair juga gagal dalam permohonannya untuk mengetepikan kesemua pertuduhan itu.

Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Anthony Kevin Morais dan Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi mewakili pendakwaan.

Pagi ini, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menolak permohonan Ahmad Zubair untuk dilepaskan tanpa dibebaskan daripada dua pertuduhan pecah amanah.

- Bernama

Gadis 14 Tahun Jual ‘Tubuh’ Kerana Blackberry

spermKegilaan terhadap pelbagai gajet dan alat telekomunikasi canggih menyebabkan seorang gadis berusia 14 tahun menjual tubuh termasuk meniduri lelaki berusia 60-an bagi mendapatkan wang untuk membeli barangan kegemaran mereka itu.
Perlakuan pelajar tingkatan dua dari Ulu Tiram, Johor, itu terbongkar apabila keluarganya menyedari dia memiliki barangan berjenama serta gajet terbaru yang setiap satu daripadanya berharga ribuan ringgit.
Gadis terbabit pada awalnya mendakwa gajet berkenaan kepunyaan rakan sekolah namun keluarga yang curiga membawanya mendapatkan kaunseling di Pejabat MCA Johor Jaya sebelum dia mengakui menjual tubuh kerana mahu memiliki barangan berkenaan.
Ketika berkongsi pengalamannya, gadis mahu dikenali sebagai Sarah berkata, dia terbabit kegiatan tidak bermoral itu sejak awal tahun ini.
“Setiap kali menjual tubuh, saya memperoleh RM200 hingga RM300. Jumlah itu lumayan dan membolehkan saya membeli pelbagai gajet terbaru seperti komputer tablet termasuk iPad dan telefon pintar, BlackBerry selain beg tangan berjenama terkenal. -WB