Search This Blog

Friday, July 19, 2013

Lelaki ditemui mati ditembak



BAGAN SERAI - Polis menemui mayat seorang lelaki dengan kesan tembakan di bahagian kepala, di dalam sebuah kereta Proton Waja berhampiran sebuah ladang kelapa sawit di Jalan Gula, Simpat Empat Semanggol di sini awal pagi tadi.
 
Mayat yang tidak mempunyai sebarang identiti itu ditemui di tempat duduk belakang kereta itu, hasil maklumat orang awam kira-kira 2.30 pagi.
 
Ketua Polis Daerah Kerian, Supt Mat Fauzi Nayan berkata dua kelonsong peluru 9mm turut ditemui di tempat duduk belakang.
 
Turut ditemui satu beg kain berzip serta sepaket plastik yang dipercayai mengandungi syabu.
 
Beliau berkata kereta berkenaan dilapor hilang di Puchong, Kuala Lumpur Julai tahun lepas.  - Bernama

Bot bawa warga Indonesia karam, seorang maut



JOHOR BAHRU - Seorang maut manakala tujuh yang lain hilang apabila bot kayu yang membawa 35 penumpang rakyat Indonesia karam di perairan Tanjung Sedili Besar, Kota Tinggi, awal pagi semalam.
 
Pengarah Operasi Daerah Maritim Tanjung Sedili Komander Maritim Mustapa Kamal Abas berkata 28 penumpang yang terapung di lautan diselamatkan sebuah kapal tangki MT Octaden yang melalui perairan itu pada 3 petang.
 
"Seorang wanita daripada 28 penumpang yang diselamatkan itu mati apabila tiba di Jeti Tanjung Sedili," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
 
Beliau berkata kejadian dipercayai pada pukul 3 pagi ketika kesemua penumpang bot dari destinasi yang tidak dapat dipastikan itu dalam perjalanan pulang ke Batam, Indonesia.
 
Mustapa kamal berkata kesemua mangsa terpaksa berpaut pada bot selama 12 jam sebelum diselamatkan kapal tangki itu.
 
APMM menggerakkan sebuah kapal serta bot laju dengan kekuatan 30 pegawai dan anggota ke lokasi kapal untuk mengambil mereka yang diselamatkan itu, katanya.
 
Beliau berkata mereka yang diselamatkan itu berumur antara lapan bulan dan 43 tahun dan terdiri daripada 24 lelaki, tiga wanita serta bayi lelaki.
 
"Mereka dipercayai dalam perjalanan pulang ke kampung masing-masing untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri," katanya.
 
Beliau berkata bot mereka dikatakan mengalami kerosakan enjin sebelum karam dipukul ombak besar.
 
Sehingga kini, operasi mencari dan menyelamat baki tujuh yang hilang sedang dijalankan.  - Bernama

Maut ditinggal lebih 5 jam dalam kereta


PETALING JAYA - Seorang kanak-kanak perempuan berumur tiga tahun mati akibat lemas setelah ditinggalkan tanpa sengaja oleh ibunya selama lebih lima jam dalam kereta di tempat letak kereta sebuah sekolah di Subang Jaya, di sini semalam.
 
Nawal Iris Samsudin, yang tertidur di kerusi belakang kereta, ditemui oleh ibunya Nor Zatusy Hazwa Abdul Rahim, 32, dalam keadaan kebiruan sebelum dibawa ke klinik berhampiran dan disahkan meninggal dunia.
 
Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Yahaya Ramli berkata kanak-kanak itu ditinggalkan di dalam kereta dengan kesemua tingkap ditutup dan enjin dimatikan sejak pukul 11 pagi sebelum ibunya kembali ke kereta itu pada pukul 5.30 petang.
 
Ibu kanak-kanak itu yang merupakan seorang guru terlupa mengenai anak bongsunya yang sepatutnya dihantar ke pusat jagaan kanak-kanak sebelum dia ke sekolah, katanya kepada pemberita di sini hari ini.
 
Beliau berkata sebelum ke sekolah, wanita itu menghantar adiknya ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

"Setelah habis tugasan si ibu pergi ke kereta pada 5.30 petang dan terkejut melihat muka Nawal Iris kebiruan, bibirnya pucat serta ada kesan muntah dan najis kanak-kanak itu di dalam kereta berkenaan," katanya.
   
Yahaya berkata menyedari keadaan anaknya yang tidak bergerak, wanita berkenaan segera membawa anaknya ke klinik swasta berdekatan di USJ4, Subang Jaya, di sini dan doktor mengesahkan kanak-kanak itu telah meninggal dunia.
 
Beliau berkata laporan bedah siasat oleh Hospital Serdang yang diperoleh tengah hari ini mengesahkan kanak-kanak itu meninggal dunia kerana 'heat stroke'.
 
Sementara itu, tinjauan Bernama di Hospital Serdang mendapati suasana pilu menyelubungi bilik mayat apabila lebih 30 ahli keluarga kanak-kanak itu hadir menunggu proses bedah siasat selesai.
 
Ibu kanak-kanak itu yang menangis teresak-esak serta ahli keluarganya enggan ditemu bual wartawan.
   
Polis mengesahkan jenazah kanak-kanak itu dikebumikan selepas solat Asar di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, Subang Jaya, di sini, hari ini.  - Bernama