Search This Blog

Wednesday, July 17, 2013

Bapa sakit mental bunuh 3 anak



ST CROIX COUNTRY - AMERIKA SYARIKAT. Seorang bapa berusia 35 tahun didapati tidak waras apabila sanggup membunuh tiga anaknya yang masih kecil Julai tahun lalu dan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup tanpa menjalani parol, kelmarin.

Hakim, Howard Cameron berkata, Aaron Schaffhausen dijatuhi hukuman itu selepas didapati bersalah membunuh tiga anak perempuannya, Amara,11, Sophie, lapan tahun dan Cecilia, lima tahun.

Schaffhausen telah bercerai dengan isterinya, Jessica dan datang melawat anak-anaknya bagi menghabiskan masa dengan mereka tahun lalu.

Menurut laporan, bekas isterinya tidak berada di rumah ketika kejadian berlaku dan sejurus selapas membunuh semua anaknya, dia menelefon bekas isterinya dan memberitahu, "kamu boleh pulang ke rumah sekarang kerana saya sudah bunuh anak-anak."

Peguam Schaffhausen berkata, anak guamnya mengalami sakit mental yang amat jarang ditemui sehingga sanggup melakukan pembunuhan.

11 banduan di penjara Kepulauan Riau pula bolos



JAKARTA - Seminggu selepas 218 banduan melarikan diri dari penjara Tanjung Gusta, Medan, Sumatera Utara, kejadian serupa berlaku pula melibatkan 11 tahanan polis di Penjara Baloi, Kota Batam, Kepulauan Riau awal hari ini (Rabu).

Mereka yang melarikan diri merupakan tahanan kes dadah yang ditempatkan di situ oleh Polis daerah Barelang dan Ibu pejabat kontinjen polis Kepulauan Riau.

Mereka mengumpil jeriji tingkap di pejabat ketua penjara itu dengan menggunakan besi katil yang dibawa dari sel mereka dan meloloskan diri semasa petugas penjara sedang melakukan pergantian tugas.

Polis telah melancarkan operasi memburu tahanan itu dan sedang menyiasat motif mereka melarikan diri.

Sementara itu Polis Indonesia masih memburu lebih 100 banduan Penjara Tanjung Gusta.

Laporan menyebut bahawa setakat ini 102 banduan Penjara Tanjung Gusta itu telah ditangkap semula.

Banduan yang masih bebas itu termasuk empat orang anggota kumpulan pengganas yang terlibat dalam kes rompakan Bank CIMB Niaga di Medan dan serangan ke atas Balai Polis Deli Serdang, Sumatera Utara. - Bernama

Budak kritikal selepas tertimbus dalam pasir

SEPASUKAN pegawai penyelamat dan sebuah jentera berat bertungkus-lumus untuk mengeluarkan seorang budak lelaki, Nathan Woessner yang terjatuh ke dalam gumuk pasir di pantai popular Great Lakes, Indiana, Amerika Syarikat Jumaat lalu.


INDIANAPOLIS - Seorang budak lelaki berusia enam tahun masih kritikal di hospital kelmarin selepas dia tertimbus selama tiga jam di dalam gumuk pasir dekat pantai popular Great Lakes, Indiana.
Jurucakap Taman Negara Amerika Syarikat, Bruce Rowe berkata, budak itu, Nathan Woessner tenggelam sedalam 3.3 meter di dalam gumuk pada petang Jumaat lalu semasa bersiar-siar dengan keluarganya.
Menurut Rowe, punca kejadian masih belum jelas dan lokasi tersebut, Mount Baldy telah ditutup bagi tempoh masa yang tidak pasti.
Rowe menyifatkan insiden itu sebagai 'belum pernah berlaku' dalam sejarah Perkhidmatan Taman Negara.
Dia berkata, kejadian tersebut berlaku mungkin disebabkan sebatang pokok reput di dasar gumuk sedalam 38 meter yang mewujudkan ruang kosong di bawah pasir.
Pengarah Perubatan di Pusat Pusat Perubatan Universiti Chicago, Dr. Tracy Koogler berkata, Woessner diberi sedatif dan bantuan pernafasan semasa kakitangan perubatan cuba membuang pasir dalam paru-parunya dan menjalankan beberapa ujian lain. - Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0717&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz2ZH7ZppMu 
Hakcipta terpelihara 

Ketua kartel dadah Zetas Mexico ditangkap

JURUCAKAP pemerintah, Eduardo Sanchez (tengah) mengadakan sidang media mengenai operasi ketenteraan yang berjaya menangkap ketua kartel dadah Zetas, Miguel Angel Trevino Morales di Mexico City, Mexico kelmarin.- AFP


BANDAR RAYA MEXICO - Ketua kartel dadah Zetas, Miguel Angel Trevino Morales (gambar kecil) yang terkenal kerana kekejamannya ditangkap pihak berkuasa sebelum subuh kelmarin, kata beberapa pegawai.
Morales yang menaiki sebuah trak pikap dipintas dan diberkas oleh pasukan tentera marin Mexico di sebatang jalan di kawasan luar bandar berhampiran sempadan bandar Nuevo Laredo.
Pihak berkuasa turut menemui wang tunai AS$2 juta (RM6.36 juta) dan lapan pucuk senjata api di dalam trak tersebut.
Jurucakap pemerintah, Eduardo Sanchez berkata, kenderaan itu dihentikan oleh sebuah helikopter tentera marin dan Morales ditahan bersama seorang pengawal peribadi serta seorang akauntan.
Dia dan rakan subahatnya kemudian diterbangkan ke Bandar Raya Mexico dan dijangka dibicarakan dalam sistem tertutup yang biasanya mengambil masa lama.
Morales yang dikenali sebagai Z-40 merupakan salah seorang daripada dua ketua kartel paling berkuasa di negara Amerika Tengah itu.
Suspek berusia 40 tahun itu ialah bekas pemimpin pasukan tentera elit yang pernah berkerja untuk sindiket dadah.
Namun, pada tahun 2010 dia dan beberapa individu lain menubuhkan kartel dadah sendiri, selain menjalankan aktiviti peras ugut, penculikan dan pemerdagangan manusia.
Sanchez berkata, Morales didakwa atas kesalahan mengarahkan penculikan dan pembunuhan 265 pendatang asing.
Dia dipilih sebagai ketua kartel Zetas pada 2012 selepas penyandang terdahulu, Heriberto Lazcano Lazcano ditembak mati oleh pihak berkuasa pada tahun sama.
Pentadbiran Amerika Syarikat pernah menawarkan ganjaran AS$5 juta (RM15.9 juta) bagi pemberian maklumat yang membawa kepada penangkapannya. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0717&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2ZH7PfaBM 
Hakcipta terpelihara 

Kes bunuh: 2 kali banduan terlepas suntikan maut


GEORGIA - AMERIKA SYARIKAT. Seorang banduan yang dilaporkan mengalami masalah mental terlepas daripada hukuman suntikan maut apabila kesnya ditangguhkan walaupun hukuman itu sepatutnya diteruskan.

Warren Hill sepatutnya menjalani hukuman itu selepas didapati bersalah membunuh rakan banduannya, Joseph Handspike pada tahun 1990 dan pernah menembak mati teman wanitanya, Myra Wright, 18 pada tahun 1986.

Peguam Hill bagaimanapun mencabar keputusan itu.

Hukuman juga terpaksa ditangguhkan kerana farmasi yang membekalkan suntikan maut enggan membekalkan ubat-ubatan mereka di AS untuk digunakan dalam hukuman mati.

Ini merupakan kali kedua pelaksanaan hukuman terhadap Hill dibatalkan.

Hukuman Hill juga pernah ditangguhkan tahun lalu kerana peguamnya berhujah yang Hill mengalami sakit mental.

Penyamun beri nasihat



SEGAMAT - Seorang daripada enam penyamun sempat menasihati salah seorang mangsanya supaya menjadi menantu yang baik selepas menyamun kediaman sebuah keluarga di Medoi.baru baru ini

Dalam kejadian jam 2.10 pagi itu, enam lelaki yang bersenjatakan sabit, besi dan batang kayu itu bertindak memecah masuk rumah berkenaan sebelum mengikat tangan seluruh ahli keluarga di rumah berkenaan.

Mangsa, Ibrahim Ismail, 36, berkata, ketika kejadian, dia tidur sendirian di ruang tamu rumah sebelum dikejutkan oleh seorang daripada enam penyamun tersebut.

“Penyamun tersebut menutup mukanya menggunakan kain sambil mengacu sabit ke leher saya menyebabkan saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana bimbang dicederakan.

“Mereka meminta kami menyerahkan wang dan barangan berharga kononnya sebagai amal jariah sempena Ramadan,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam masa yang sama, penyamun yang lain menuju ke bilik isteri dan ibu bapa mentua Ibrahim sebelum mengikat kesemua mereka dengan menggunakan tali plastik dan wayar seterika.

“Mereka turut menyelubungkan kami dengan kain hitam sebelum menggeledah bilik rumah ini. Saya meminta supaya mereka jangan mengapa-apakan ahli keluarga saya.

“Mereka mengambil wang tunai dan komputer riba serta enam telefon bimbit serta barangan kemas yang bernilai RM7,000 milik isteri dan ibu mentua saya,” katanya.

Menurutnya, sebelum kumpulan penjenayah itu melarikan diri, salah seorang datang kepadanya dan buka ikatannya di pergelangan tangannya dan berbisik supaya membuka pula ikatan pada ibu bapa mentuanya.

“Apa yang tidak boleh saya lupakan apabila dia juga berbisik supaya menjadi menantu yang baik dan bukannya hantu macam mereka,” katanya.

Kesemua penjenayah itu dipercayai menceroboh masuk rumah menerusi tingkap yang diumpil berhampiran ruang tamu rumah yang belum dipasang jeriji.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Kamil Sukarmi mengesahkan kejadian itu dan berkata, siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan menggunakan senjata.-SH

Isteri ditangkap khalwat


Wartawan Sinar Harian
17 Januari 2012

LEDANG - Seorang wanita yang masih berstatus isteri dicekup khalwat bersama teman lelakinya di sebuah rumah di Serom, Sungai Mati dekat sini, semalam.

Ketika ditahan kira-kira jam 1.20 pagi oleh Penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Ledang, anak kedua wanita terbabit yang berusia lingkungan dua tahun turut berada di rumah berkenaan.

Pada awalnya, pasangan itu cuba menyembunyikan hubungan mereka tetapi akhirnya mengaku mereka adalah pasangan kekasih selepas disoal siasat oleh pihak penguat kuasa.

Wanita berusia 31 tahun itu mendakwa dalam proses bercerai dengan suaminya selepas lima tahun mendirikan rumah tangga.

“Tetapi kami sudah berpisah sejak dua tahun lalu kerana tiada persefahaman dan sehingga kini, saya tidak tahu di mana suami berada.

“Ini menyebabkan proses perceraian kami tertangguh begitu sahaja,” katanya.

Sementara itu, Kadi Daerah Ledang, Sulaiman Maidin berkata, berdasarkan aduan orang awam, sepasukan anggota penguat kuasa agama datang memeriksa rumah berkenaan.

Menurutnya, selepas mengetuk pintu dan memberi salam, seorang lelaki tidak berbaju dan hanya berseluar panjang membuka pintu.

“Pihak penguat kuasa hanya menunggu kurang lima minit sebelum lelaki berkenaan membuka pintu dan membenarkan pemeriksaan dilakukan.

“Selain lelaki yang membuka pintu, pemeriksaan lanjut menemui dua wanita, seorang lelaki dan seorang kanak-kanak lelaki dalam rumah ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya lagi, wanita berusia 21 tahun yang merupakan adik kepada lelaki terlibat turut ditahan kerana bersubahat.

“Pasangan ini kemudian ditahan untuk siasatan lanjut kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen mempunyai hubungan mahram atau suami isteri.

“Mereka dibawa ke Balai Polis Sungai Mati untuk dibuat laporan tangkapan sebelum dibawa ke pejabat agama untuk siasatan lanjut dan dijamin dengan jaminan keluarga masing-masing,” katanya.

Katanya lagi, mereka ditahan dan didakwa di bawah Seksyen 27 (1) a b, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor, 1997 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau keduanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.

Kereta hilang empat tahun jumpa semula 40 minit

Kereta hilang empat tahun jumpa semula 40 minit
Eng Khim (dua, kanan) menunjukkan kereta hilang yang ditemui semula.
KULIM - Seorang lelaki berusia 40-an terharu usaha pihak Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat (PPKM) Kulim kerana berjaya mengembalikan kereta jenis Proton Iswara miliknya yang lesap kira-kira empat tahun lalu.

Mangsa berkata, sebelum ini dia ada menjual kereta itu kepada seorang rakan ketika tinggal di Langkawi, bagaimanapun setelah suspek mendapat  kereta itu, sebarang pembayaran tidak dibuat kepada syarikat kewangan.

Difahamkan, tindakan rakannya itu mengakibatkan mangsa terpaksa berhadapan dengan tuntutan syarikat kewangan terlibat.

“Selama empat tahun saya tidak melihat kereta itu  tapi terpaksa membayar  wang ansurannya setiap bulan untuk memastikan nama saya tidak disenaraihitamkan. Apa lebih menyedihkan dia langsung tidak menghubungi saya. Apabila sampai di Kulim saya dimaklumkan oleh seorang rakan bahawa kereta Proton Iswara saya itu ada digunakan di sini.

"Saya berjumpa Pengerusi PPKM, Khor Eng Khim dan meminta PPKM mengesan kereta itu. Saya terkejut, selepas 40 minit Eng Khim menghebahkan nombor pendaftaran kereta saya melalui alat  perhubungan, ia telah dikesan berada di Lunas. Kami kemudiannya pergi ke lokasi dimana kereta itu ditemui dan membawanya pulang,” katanya.

Eng Khim berkata, sehingga kini lebih 3,000 orang perseorangan mendaftar menjadi ahli PPKM dan jumlah ini semakin ramai setiap hati.

PPKM merupakan pertubuhan berdaftar dan sehingga kini menjalankan tugas rondaan cegah jenayah bersama polis setiap hari.

Suspek cuba lari terbabas

Suspek cuba lari terbabas
Suspek terbabas ketika cuba melarikan diri dari polis.
LUNAS - Gara-gara cuba melarikan diri daripada polis, seorang remaja lelaki berusia 16 terbabas ketika memasuki selekoh Jalan Paya Besar dari Jalan Kilang Lama, kira-kira jam 2.30 pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, ketika kejadian suspek menunggang motosikal berseorangan.

Menurutnya, ketika suspek sedang menunggang motosikal dari arah Jalan Kilang Lama, dia terserempak dengan van dinaiki tujuh anggota dari Jabatan Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah (JPPJ) Ibu Pejabat Daerah Kulim (IPD) Kulim.

Takut dicekup, suspek bertindak agresif dan memecut motosikal ditunggangnya.

“Apabila memasuki jalan Paya Besar, suspek terus membelok bagaimanapun terbabas dan terseret lebih 50 meter. Mangsa mengalami kecederaan di tangan manakala motosikalnya rosak di bahagian hadapan dan sebelah kanan.

"Polis mendapati dia tidak mempunyai lesen memandu yang sah manakala motosikalnya ditunggang tidak memiliki cukai jalan. Polis kemudiannya mengambil tindakan saman sebelum mengarahkan suspek mendapatkan rawatan di klinik berhampiran,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini masih ramai remaja bawah umur menunggang motosikal tanpa lesen dan ada kalangan mereka menunggang motosikal yang sudah diubah suai dipercayai dicuri.

Katanya, menunggang motosikal curi merupakan satu kesalahan serius dan ia boleh mengakibatkan mereka terlibat menerima hukuman penjara dan denda.

“Kita akan terus mengeluarkan saman terhadap semua pesalah trafik tidak kira dimana saja. Sama ada mereka terlibat mahu membayar saman itu atau tidak, ia merupakan permasalahan kedua.

"Sekiranya saman dikeluarkan tidak dibayar, kita akan senarai hitamkan nama mereka dan ini mengakibatkan pemilik motosikal akan berhadapan masalah apabila hendak memperbaharui lesen memandu atau cukai jalan dimasa akan datang. Mereka tetap akan membayar saman terlebih dahulu untuk membolehkan lesen dan cukai jalan diperbaharui,” katanya.

Dua ditahan edar dadah

Dua ditahan edar dadah
Noor Mushar (tengah) menunjukkan barangan kes dirampas polis pada sidang media di IPD Sabak Bernam, semalam.
SABAK BERNAM – Seorang yang wanita sanggup mencemar kemuliaan Ramadan dengan menjalankan sindiket pengedaran dadah di sekitar Bagan Sekinchan, di sini, akhirnya dicekup pasukan polis, malam Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Muhammad berkata, operasi jam 11.30 malam itu diketuai Inspektor Nasrul Yamani Mohd Yusof dan lima anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Sabak Bernam.

Menurutnya, suspek berusia 29 tahun membawa beg plastik itu ditahan dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan Bagan Sekinchan selepas dipercayai baru lepaskan gian dengan mengambil dadah.

“Dalam ‘Ops Tapis’ itu, polis menahan seorang wanita dan merampas beg plastik mengandungi 12 peket plastik lut sinar disyaki heroin seberat 188.7 gram dan tiga foil setiap satu mengandungi 10 pil disyaki eramin 5 seberat 9.3 gram.

“Dalam rampasan itu juga, pasukan polis turut menjumpai 10 peket plastik lut sinar disyaki syabu dengan berat 7.28 gram,” katanya pada sidang media di IPD Sabak Bernam, di sini, semalam.

Noor Mushar berkata, suspek dipercayai terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah sejak dua bulan lalu dengan  memasukkan dadah ke dalam peket kecil sebelum diedarkan di sekitar kawasan berkenaan.

Selain itu katanya, polis turut merampas RM10,000 dan enam telefon bimbit pelbagai jenama dipercayai untuk memudahkan urusan jual beli serta pengedaran dadah.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan, malah suspek juga boleh didakwa mengikut Seksyen 39A (1) ADB 1952.

Dalam pada itu, beliau berkata, pasukan anggota polis narkotik IPD Sabak Bernam berjaya menahan seorang lelaki warga asing di atas sebuah bot nelayan di Bagan Sungai Besar, awal pagi Ahad lalu.

Katanya, semasa serbuan, suspek berusia 32 tahun itu cuba lari, namun berjaya diberkas hasil kecekapan polis.

“Hasil pemeriksaan badan, polis menjumpai satu beg plastik mengandungi enam peket plastik lut sinar berisi bahan disyaki heroin seberat 48.60 gram dari poket kanan seluar pendeknya," katanya.

Beliau berkata, suspek aktif menjalankan aktiviti pengedaran di sekitar Bagan Sekinchan dan disiasat di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Pemeriksaan polis juga dapati suspek tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan dipercayai masuk melalui Thailand pada 2008,” katanya.

Patah kaki kejar pencuri

Patah kaki kejar pencuri
Ikhsnan patah kaki kanan sehingga terpaksa dihantar ke hospital setelah tersadung bonggol jalan raya ketika mengejar pencuri dalam kejadian tersebut.
PETALING JAYA - Seorang lelaki patah kaki kanan setelah mengejar pencuri yang memasuki kawasan Sekolah Menengah Damansara Damai, awal pagi semalam.

Mangsa, Mohd Ikhsnan Mohd Din, 43, berkata, ketika kejadian dia bersama beberapa rakannya sedang berbual di kabin rukun tetangga sebelum menyedari kelibat seorang individu yang berlegar-legar di kawasan sekolah berkenaan kira-kira jam 2.30 pagi.

“Saya dan rakan yang sedang berborak pada waktu itu mula merasa pelik memandangkan individu itu dilihat amat mencurigakan dan kami mengambil keputusan untuk pergi melihat dengan lebih dekat,” katanya.

Menurutnya, suspek terbabit dilihat terkejut dan cuba melarikan diri setelah kehadirannya disedari penduduk.

“Saya kemudian bergegas mengejar suspek itu setelah mendapati dia cuba untuk mencuri besi yang terdapat di dalam sekolah itu,” katanya.

Namun begitu katanya, kaki kananya tersadung pada bonggol jalan sewaktu mengejar suspek berkenaan.

"Saya tidak menyedari kewujudan bonggol itu menyebabkan saya terjatuh sehingga kaki kanan saya patah, malah suspek terbabit berjaya melarikan diri,” katanya.

Mohd Ikhsnan berkata, dia kemudian di hantar ke Hospital Sungai Buloh kira-kira jam 3 pagi oleh rakannya bagi menerima rawatan susulan.

"Doktor mengesahkan kaki saya patah dan saya harus menjalani pembedahan kecil disebabkan oleh kecederaan yang dialami tersebut,” katanya.

Menurutnya, pihaknya masih belum membuat sebarang laporan polis berhubung kejadian itu memandangkan perlu menjalani rawatan di hospital terlebih dahulu, namun dia bersyukur memandangkan kecederaan yang dialaminya tidak begitu serius.

Lembik dibelasah 15 lelaki

Lembik dibelasah 15 lelaki
Anggota Jabatan Pertahanan Awam memberi bantuan kecemasan kepada mangsa yang separuh sedar selepas melarikan diri dari satu pergaduhan.
MENGLEMBU – Seorang lelaki hampir maut dibelasah sekumpulan 15 lelaki bersenjatakan rantai dan batang besi di sebuah padang di Taman Kledang Sentosa di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, mangsa berusia 33 tahun berjaya melarikan diri dari kumpulan terbabit sebelum ditemui pengsan oleh pasukan Persatuan Komuniti Rakan Cop Perak yang membuat rondaan di kawasan terbabit.

Sukarelawan yang dikenali Ah Woo berkata, mereka menemui mangsa menjerit kesakitan ketika terbaring di hadapan sebuah rumah selepas dibelasah kumpulan lelaki itu.

“Saya menerima panggilan yang memberitahu ada sekumpulan lelaki bergaduh semasa sendiri ketika mabuk di padang awam berhampiran dan menyebabkan seorang lelaki cedera.

“Ketika sampai, terdapat seorang lelaki terbaring. Kami bertindak menghubungi polis dan ambulan sebelum mangsa yang separuh sedar itu dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk menerima rawatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, mangsa dipercayai bergaduh semasa sendiri ketika mabuk hanya mengalami kecederaan di bahagian kaki.
“Tiada kesan darah ditemui dan punca kejadian merusuh masih belum diperolehi. Malah, tiada kerosakan harta benda awam berlaku di tempat kejadian.

“Hasil siasatan mendapati terdapat satu rantai besi di bahagian raga motosikal mangsa dipercayai digunakan dalam kejadian itu,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Kaki samun, ragut dicekup

Kaki samun, ragut dicekup
Mohd Mokhtar menunjukkan barangan yang dirampas.
JOHOR BAHRU - 20 kes samun di sekitar Johor Bahru Selatan berjaya diselesaikan dengan penahanan lapan lelaki dalam beberapa siri serbuan di kawasan Majidee, di sini, sekitar jam 11 malam pada 9 Julai lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, kesemua lelaki yang  ditahan disyaki terlibat dalam kes samun dan ragut.

“Suspek berusia 17 hingga 19 tahun ini dipercayai meragut warga asing. Polis juga berjaya merampas dua kad ATM Bank Of China; satu kad beli belah negara China; sebilah parang; sebilah pedang dan sebilah pisau pemotong daging.

“Selain itu, polis turut merampas satu tukul besi; empat telefon bimbit pelbagai jenama; satu rangka motosikal dilaporkan hilang di Majidee dan sebuah motorsikal,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini semalam.

Katanya, kesemua suspek tiada rekod jenayah lampau dan ditahan reman sehingga semalam dan disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun serta sebatan.

“Kes juga disiasat di bawah Seksyen 379a Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun.

“Dengan tertumpasnya kumpulan ini, polis berjaya menyelesaikan 20 kes samun dan ragut di Johor Bahru Selatan termasuk beberapa kes samun serta ragut warga asing,” katanya.

Pelajar IPT dirogol dalam rumah kosong

Abdul Gaffar
Abdul Gaffar

KUALA KANGSAR - Seorang pelajar sebuah istitusi pengajian tinggi (IPT) di sini dirogol teman lelakinya, Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, suspek berusia 48 tahun itu menggunakan helah mengajak mangsa keluar bersiar-siar di sekitar pekan Kuala Kangsar sebelum berhenti di sebuah rumah kosong bagi melakukan perbuatan terkutuk itu.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Abdul Gaffar Mohammad, mangsa bersetuju untuk keluar dengan suspek setelah lelaki tersebut menghubungi mangsa dan mengajaknya bersiar-siar.

“Suspek membawa pengadu keluar berjalan-jalan di pekan sebelum mereka tiba di sebuah rumah kosong. Malangnya mangsa tidak tahu lokasi rumah berkenaan.

“Lelaki tersebut kemudian mengajak mangsa melakukan hubungan seks. Gadis itu dalam keadaan terpaksa telah melakukan hubungan seks dengan suspek,” katanya.

Abdul Gaffar berkata, suspek kemudiannya menghantar mangsa pulang ke rumah selepas melakukan kegiatan tersebut.

Menurutnya, mangsa membuat laporan mengatakan dia dirogol di Ibu Pejabat Polis Kuala Kangsar pada Ahad lepas.

Abdul Gaffar berkata, suspek yang juga kakitangan IPT berkenaan menyerah diri di IPD Kuala Kangsar pada hari sama mangsa membuat laporan polis.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih 20 tahun serta hukuman sebat.

Mayat bayi depan masjid

'Tolong sempurnakan bayi ini'
Hassan menunjukkan tempat mayat bayi perempuan dijumpai di dalam raga. Gambar kecil: Bayi perempuan dipercayai berusia dua hari ini ditemui di hadapan Masjid Saleng selepas kariah masjid selesai solat Subuh.
KULAIJAYA – ‘Tolong sempurnakan jenazah ini’. Pesanan nota itu ditemui bersama RM50 dalam sebuah raga berisi mayat bayi perempuan yang ditinggalkan di hadapan Masjid Saleng, pagi semalam.

Masih ada insan tergamak mencemar kesucian Ramadan dengan membuang mayat bayi yang mujur  dijumpai kariah masjid itu selepas  selesai menunaikan solat Subuh.

Si kecil tidak bernyawa dan masih bertali pusat itu berusia dua hari ditemui berbalut kain putih di hadapan pagar masjid, tali pusatnya hanya diikat dengan gelang getah.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya berkata, bayi berkenaan ditemui orang awam selepas ternampak sebuah raga mencurigakan di tepi pintu masjid berkenaan sekitar jam 6.05 pagi.

“Orang awam yang menemui raga berkenaan segera memeriksa dan mendapati seorang bayi perempuan yang telah meninggal dunia dibungkus dengan kain putih.

“Mereka turut menjumpai sampul surat mengandungi wang RM50 dan surat bertulis ‘Assalamualaikum, tolong sempurnakan jenazah ini yang tidak berdosa sekian terima kasih untuk hamba yang menolong’,” katanya.

Zulkefly berkata, bayi terbabit dipercayai ditinggalkan di hadapan masjid ketika kariah sedang menunaikan solat Subuh.

“Ini kerana raga berkenaan tidak ditemui semasa jemaah masuk ke dalam masjid,” katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati bayi perempuan berkenaan tidak mengalami sebarang kecacatan dan mayatnya dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, untuk bedah siasat.

“Pasukan siasatan dengan bantuan forensik Ibu Pejabat Kontinjen Johor telah ke tempat kejadian dan mendapati bayi cukup sifat itu sudah meninggal dunia.

“Hasil pemeriksaan polis mendapati rupa paras bayi berkenaan mirip kepada keturunan Melayu,” katanya.

Sementara itu, noja masjid, Hassan Mohd Tab, 63, berkata, kejadian disedari salah seorang kariah yang menyangka terdapat bantal diletakkan di hadapan pagar masjid.

“Kami segera melihat objek di hadapan pagar dan terkejut terdapat bayi perempuan di dalam raga yang diletak di situ. Saya segera hubungi polis apabila dapati bayi itu sudah tidak bernyawa,” katanya.

Ketua sindiket dadah Mexico diberkas



MEXICO CITY - MEXICO. Ketua sindiket dadah paling berbahaya di Mexico, Miguel Angel Trevino Morales diberkas oleh pasukan marin tempatan di luar bandar kelahirannya di Nuevo Laredo.

Dipetik AFP, jurucakap kerajaan, Eduardo Sanchez berkata, penahanan itu dibuat selepas pihak berkuasa berjaya memintas lori dinaiki Trevino Morales atau Z-40 yang turut membawa wang tunai AS$2 juta (RM6 juta), seorang akauntan serta pengawal peribadi serta lapan senjata api.

Trevino Morales menjadi individu paling dikehendaki polis selepas dia didakwa, menculik, membunuh melakukan penyeksaan dan beberapa perbuatan jenayah lain di Amerika Syarikat dan Mexico.

Ketua sindiket dadah Los Zetas itu juga dipercayai terlibat dengan kegiatan memeras ugut dan pemerdagangan manusia.

Anak mati dalam tahanan

Anak mati dalam tahanan
Bok Seng (dua, kiri) ditemani Choo Kiong (kiri) menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat di IPD Batu Gajah, semalam. (Gambar kecil) Terdapat kesan lebam hitam pada telinga dan tengkuk mangsa.
IPOH - Seorang tahanan di bawah Langkah-langkah Pencegahan Khas didakwa mati dalam tahanan di sebuah pusat pemulihan, malam kelmarin.

Bapa mangsa, Chew Bok Seng, 60, dimaklumkan mengenai kematian anaknya, Chew Shiang Giap, 26, di pusat berkenaan pada awal pagi semalam oleh pihak polis.

“Saya dimaklumkan melalui telefon pada jam 2.19 pagi tadi (semalam) bahawa anak saya meninggal dunia tiba-tiba akibat sakit perut.

“Setiba dari Perlis sekitar jam 8.30 pagi, kami dibenarkan melihat mayat anak kami di Hospital Batu Gajah (HBG) namun apa yang menghairankan terdapat kesan hitam di bahagian bahu dan tengkuk, telinga termasuk peha mangsa dan ia amat meragukan.

“Tak mungkin jika sakit perut boleh meninggalkan kesan seperti itu pada anggota badan anak saya,” katanya kepada pemberita pada sidang media di sini semalam.

Bok Seng menambah, anaknya sebelum ini ditahan reman 60 hari di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar kerana kesalahan dadah sebelum di bawa ke pusat pemulihan berkenaan.

“Ketika ditahan di Perlis, setiap minggu saya ada melawat beliau malah sebelum dibawa ke Batu Gajah, Jumaat lepas keadaan beliau sihat seperti biasa.

“Saya harap pihak polis dapat menjalankan siasatan ke atas kematian anak saya untuk mencari jawapan sebenar kematian mengejut mangsa,” katanya selepas membuat laporan polis di IPD Batu Gajah.

Sementara itu, Adun Tronoh, Yong Choo Kiong berkata, pihaknya berharap agar satu siasatan segera dapat dijalankan demi kebaikan semua pihak.

“Kita mohon kerjasama polis untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh kematian Shiang Giap yang dikhabarkan mati dalam tahanan pusat pemulihan berkenaan.

“Keluarga mangsa inginkan keadilan dan jawapan kepada kematian anak mereka, jadi saya harap perkara ini diberi perhatian serius,” katanya.

Katanya, pihaknya juga akan membantu keluarga Bok Seng dari segi khidmat guaman sekiranya kes berkenaan dibawa ke mahkamah.

Restoran tipu

Restoran tipu
Anggota penguatkuasa melakukan pemeriksaan ke atas premis yang mempamerkan logo halal tanpa sijil yang sah.
JOHOR BAHRU – Risikan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (Jaij) mendapati banyak restoran dikesan mengambil kesempatan mengaut untung pada bulan puasa dengan menawarkan promosi bufet Ramadan tanpa menggunakan logo halal yang diiktiraf.

Penolong Pengarah Unit Pengurusan Halal, Mohd Mahzan Ibrahim berkata, Jaij hanya mengeluarkan sebanyak 168 sijil halal kepada premis makanan yang menawarkan promosi bufet Ramadan di seluruh Johor.

Menurutnya, hanya restoran yang diberi pensijilan halal sahaja boleh membuat promosi bufet Ramadan, manakala premis yang tidak mempunyai sijil halal yang sah tidak dibenarkan.

“Pengusaha tidak boleh sewenang-wenangnya menggantung kain rentang atau pelbagai bentuk promosi bufet Ramadan yang ditawarkan tanpa pensijilan halal yang sah.

“Tindakan boleh diambil di bawah Akta Perihal Perdagangan 2011 dan jika sabit kesalahan pengusaha boleh dikompaun sehingga RM500,000 dan ke atas,” katanya kepada pemberita selepas menjalankan operasi di premis makanan sekitar Gelang Patah dan Bukit Indah, kelmarin.

Mohd Mahzan berkata, operasi yang diadakan bertujuan memantau dan penguatkuasaan Akta Perdagangan 2011 bagi promosi bufet Ramadan yang diadakan tanpa penggunaan pensijilan sah halal.

Katanya, sebanyak lapan agensi kerajaan bersama 72 anggota terlibat membuat pemeriksaan terhadap empat premis yang mempamerkan promosi Ramadan tanpa sijil halal yang sah.

“Sebelum itu kita telah membuat pemantauan beberapa hari sebelum ini. Kita juga telah menurunkan papan tanda dan iklan yang tertera logo halal tanpa sijil yang sah kerana secara terang-terangan ia salah,” katanya.