Search This Blog

Tuesday, July 16, 2013

18 mati terpijak


Timika: Lapan belas penonton mati terpijak pada satu perlawanan tinju di pedalaman timur Indonesia selepas penyokong peninju yang kalah merusuh kerana tidak bersetuju dengan keputusan pengadil.

“Tujuh belas orang mati. 12 daripada mereka wanita dan 38 lagi cedera,” kata jurucakap polis wilayah Papua I Gede Sumerta Jaya, semalam.


Kira-kira 1,500 orang menonton kejuaraan tempatan itu lewat kelmarin di sebuah stadium di bandar Nabire apabila penyokong yang tidak berpuas hati dengan keputusan perlawanan membaling kerusi.

“Semua penonton meluru keluar kerana bimbang keganasan tidak dapat ditangani. Ramai yang jatuh dan sebahagiannya dipijak hingga mati,” kata Sumerta.


Seorang saksi dipetik sebagai berkata: “Terdapat lima pintu dalam stadium, tetapi hanya dua dibuka.” Kejadian mati terpijak sering berlaku di Indonesia, Pada 2011, dua orang mati apabila puluhan ribu peminat bersesak-sesak menonton perlawanan akhir bola sepak antara Indonesia dengan Malaysia. Pada Februari 2008 pula, 10 orang mati apabila ratusan peminat cuba keluar dari satu konsert rock di Bandung sementara September tahun itu juga, 21 orang maut di Jawa Timur ketika mereka berebutmendapatkan bantuan wang tunai sempena Ramadan. - AFP

Polis contoh hadapi 2 tuduhan bunuh


Singapura: Seorang anggota polis yang pernah digambarkan selaku pegawai contoh, semalam menghadapi tuduhan membunuh seorang ahli perniagaan dan anaknya.

Staf Sarjan Kanan Iskandar Rahmat, 34, berdepan dengan hukuman mati jika sabit kesalahan dalam kes yang mengejutkan republik itu. Iskandar yang bertugas di Balai Polis Beduk dituduh membunuh pemilik bengkel kereta Tan Boon Sin, 67, dan anaknya, Tan Chee Heong, 42, Rabu lalu.


Boon Sin ditetak hingga mati di rumahnya sementara mayat anaknya ditemui satu kilometer dari kediaman itu selepas diheret sebuah kereta dengan meninggalkan kesan darah di jalan raya yang sibuk sementara pemandu lain memerhatikan kejadian ngeri itu.

Iskandar hanya muncul seketika di mahkamah untuk membolehkan tuduhan itu dibacakan kepadanya sebelum dibawa semula oleh kereta peronda untuk ditahan. Dia dijangka dihadapkan sekali lagi Isnin depan.


Iskandar yang sebelum ini pernah dijadikan pegawai contoh dalam laman pasukan polis Singapura, meninggalkan kereta mangsa dan melarikan diri ke Malaysia dengan menaiki skuter. Dia ditangkap di Johor Bharu dua hari kemudian sebelum dibawa pulang ke Singapura.


Iskandar yang sudah berkeluarga dan berkhidmat selama 14 tahun sebelum ini diisytihar muflis Khamis lalu. Setakat ini, polis tidak mendedahkan motif pembunuhan itu. - AFP

Ribuan protes mahkamah


Sanford (AS): Beribu-ribu penunjuk perasaan turun ke jalan raya di sekitar AS ketika Presiden Barack Obama merayu orang ramai supaya bertenang selepas mahkamah membebaskan seorang lelaki daripada kesalahan menembak mati remaja berkulit hitam.

Antara bandar raya yang menjadi lokasi protes pembebasan George Zimmerman itu ialah New York, San Francisco, Boston, Detroit dan Chicago.


Sekurang-kurangnya enam orang ditahan di Los Angeles awal pagi semalam ketika polis antirusuhan menyuraikan “perhimpunan haram” berhampiran bangunan CNN di Hollywood. Penunjuk perasaan melaungkan slogan “Tiada keadilan, tiada keamanan!” sambil menghalang lalu lintas di sebatang laluan penting di sebuah bandar raya lain. Zimmerman, 29, yang ketika itu bertugas sebagai pengawas kejiranan didakwa mengejar Trayvon Martin, 17, di kawasan berpagar di Sanford.

Dia menembak Martin selepas mereka bergaduh pada malam 26 Februari 2012.


Peguam bela berjaya meyakinkan juri bahawa Zimmerman yang berkulit putih dan berdarah Hispanik melepaskan tembakan sebagai cara mempertahankan diri akibat tindakan Martin menjatuh dan menghentak kepalanya ke jalan raya.


Protes semalam mengingatkan orang ramai kepada ketegangan kaum berdarah pada April 1992 di Los Angeles.

Protes teramai dicatatkan di New York City apabila beberapa ribu orang berarak ke Times Square dengan diawasi polis.


Sementara itu Obama berkata, warga AS perlu bertenang dan menerima keputusan mahkamah.

“Negara ini mempunyai undang-undang dan juri sudah membuat keputusan.


“Kini saya meminta warga AS menghormati permintaan ibu bapa mangsa yang mahu semua pihak bertenang,” katanya. - AFP

Penyamun tertidur di balkoni ditahan


Bangkok: Polis semalam menahan seorang pencuri yang tertidur di balkoni sebuah kedai yang hendak dirompaknya.

Saksid Suwitsaet, 27, mengaku memanjat laluan kecemasan untuk memasuki kedai itu, tetapi gagal.


Kerana kepenatan dan mengantuk, dia kemudian terlena. Pemilik kedai, Somsak Saengjan, 47, menahan Saksid selepas menemui dia tertidur pagi semalam dan menyerahkannya kepada polis, kata jurucakap polis Kapten Anucha Naetjinda.

Saksid ketika disoal siasat berkata, dia merompak kerana mahu mendapatkan wang bagi membeli arak dan pernah merompak kedai itu sebelum ini serta sempat menonton televisyen sebelum berjaya melarikan diri. - BP

Padah lekat kokain di punggung


Phoenix (Arizona): Seorang wanita di bandar raya ini ditahan Selasa lalu kerana didakwa cuba menyeludup 1.5 kilogram kokain ke Arizona dengan melekatkan dadah itu pada punggungnya.

Pegawai kastam Amerika Syarikat berkata, Dora Anna Gutierrez, 39, cuba menyeludup dadah bernilai kira-kira AS$24,000 (RM 76,574).


Dora bukan individu pertama dituduh bertindak kreatif untuk menyeludup dadah. Minggu lalu, seorang wanita Oklahoma bukan saja mengaku bersalah menyembunyikan tiga bungkus dadah meth dalam punggungnya, tetapi turut menyorokkan sepucuk pistol berisi peluru dalam kemaluannya.

Pada November lalu, seorang lelaki dari Delaware dituduh menyembunyikan kokain dan ganja dalam kaki palsunya. - AP

Kapal Korea Utara bawa senjata ke Panama




MANZANILLO - PANAMA. Pihak berkuasa Panama merampas sebuah kapal Korea Utara kerana didapati menyorokkan senjata api semasa berlabuh di Pelabuhan Manzanillo pada malam semalam.

Menteri Keselamatan, Jose Raul Mulino memberitahu CNN kapal berkenaan tiba dari Cuba.

Pihak berkuasa pada mulanya menerima laporan kapal itu membawa dadah namun semasa mereka menggeledah kapal berkenaan, terdapat senjata yang biasanya digunakan pihak tentera tersembunyi di antara satu kargo yang mengandungi gula perang.

Mulino menambah, kesemua 35 anak kapal ditahan pihak berkuasa negara itu manakala kapten kapal pula cuba membunuh diri.

Panama bakal meminta pasukan sokongan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)  memeriksa senjata itu bagi menentukan jenis senjata yang disembunyikan itu.

Terkedu ‘diberi salam’

Terkedu ‘diberi salam’
Penguatkuasa Jaij Batu Pahat (kanan) mengambil keterangan beberapa kaki ponteng puasa yang berjaya ditahan.
BATU PAHAT – Seramai 10 individu ditahan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) Daerah Batu Pahat kerana tidak berpuasa, semalam.

Empat daripada jumlah keseluruhan yang ditahan dalam Operasi Mengesan Kaki Ponteng Puasa itu adalah kakitangan kerajaan yang dicekup berhampiran Dataran Penggaram, di sini.

Mereka kelihatan terkedu dan tergamam apabila disapa anggota dan pegawai penguatkuasa ketika sedang menikmati hidangan dibeli.

Timbalan Penguatkuasa Jaij Batu Pahat, Saiful Ariffin Mohd Sopah berkata, dalam operasi yang dilakukan bermula jam 9 pagi hingga 3 petang itu telah berjaya menahan 10 individu hasil risikan di beberapa port ponteng puasa.

Menurutnya, kaki ponteng berkenaan memberikan pelbagai alasan untuk melepaskan diri, namun perbuatan mereka yang makan, minum dan merokok di khalayak awam tetap merupakan satu kesalahan.

“Selain itu, pihak kami juga berjaya mengesan beberapa kawasan yang dijadikan tempat untuk pekerja kilang dan industri makan dan minum.

“Kesempatan waktu rehat ini digunakan oleh pekerja itu untuk makan dan minum tanpa menghiraukan orang sekeliling seterusnya tidak menghormati bulan Ramadan.

“Ada di antara mereka yang cuba melarikan diri setelah melihat kami dan ada yang terus menikmati makanan yang mereka beli tanpa rasa bersalah” katanya, di sini, semalam.

Saiful Ariffin berkata, kesemua 10 lelaki terbabit diberikan notis untuk hadir siasatan di pejabat Jaij Batu Pahat sebelum dihadapkan ke mahkamah untuk tindakan lanjut.

"Kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 15 (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor iaitu kerana tidak menghormati Ramadan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.

“Dalam operasi ini juga beberapa kedai makanan segera turut dipantau kerana terdapat aduan bahawa orang Islam dibenarkan makan di premis berkenaan.

“Operasi mengesan kaki ponteng puasa akan diteruskan bagi memantau aktiviti tersebut di seluruh daerah sama ada mengikut aduan orang ramai atau risikan Jaij sendiri,” katanya.

Lagi insiden kebakaran di Sibu


SIBU - Enam rumah musnah dalam kebakaran di Jalan Tiong Hua di sini tengah malam tadi.

Kebakaran pada pukul 12.20 tengah malam itu dikatakan bermula daripada sebuah rumah kosong di kawasan itu, yang didakwa penduduk setempat sering dijadikan tempat untuk kumpulan tertentu mengadakan barbeku.

Penulis rencana See Hua Daily News Wee Hui Cheng, 27, yang tinggal di kawasan itu bersama keluarganya, berkata bomba mengambil masa dua jam untuk memadam kebakaran dan mengawalnya daripada merebak ke kawasan padat penduduk itu.

Seorang pengawal keselamatan Gelana anak Jambi, 24, pula tinggal sehelai sepinggang apabila kebakaran itu memusnahkan rumah sewa yang didiami bersama keluarganya.

"Ibu saya kejutkan saya selepas tengah malam memberitahu rumah jiran terbakar dan dengan segera saya kejutkan isteri dan anak kecil kami.

"Dalam keadaan kelam kabut untuk menyelamatkan diri itu, kami tinggalkan semua barang berharga termasuk kad pengenalan kami," katanya yang telah setahun menyewa di rumah itu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat negeri Datuk Sri Wong Soon Koh dan anggota Dewan Undangan Negeri Pelawan David Wong Kee Woan melawat kawasan kebakaran pagi ini.

Wong berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat akan memberi bantuan kepada keluarga terlibat.

"Saya dimaklumkan oleh penduduk bahawa kebakaran bermula dari sebuah rumah kosong yang sering diguna kumpulan tertentu untuk barbeku dan minum-minum," katanya.

Beliau berkata penduduk mendakwa mereka telah melaporkan perkara itu kepada polis tetapi tiada tindakan diambil.

Kebakaran itu adalah yang kedua dalam tempoh 24 jam di Sibu. Terdahulu pada 11.03 pagi, 16 kedai di Jalan Tukang Besi musnah dijilat api. - Bernama

Kenapa dalam geran berbeza?

Kenapa dalam geran berbeza?
Mohamad Salleh (kanan) dan salah seorang lagi pemilik tanah menunjukkan bukti masing-masing.
LEBIH 20 tahun lamanya, itulah tempoh masa yang didakwa penduduk Kampung Parit Haji Ghaffar, Ayer Hitam Batu Pahat, menunggu status untuk tanah seluas hampir tiga ekar bagi setiap penduduk diselesaikan.

Seramai 93 penduduk mahu selesaikan masalah keluasan tanah sebenar dengan luas tanah yang tercatat dalam geran masing-masing yang didakwa berbeza.

Mohamad Salleh Maslan, 65, tidak berpuas hati dengan perbezaan yang ditunjukkan dalam geran dan ingin menuntut pampasan jika keluasan berkenaan sememangnya tidak sama.

Katanya, dalam geran yang dimiliki tanah pertanian dicatat seluas tiga ekar, namun pada hakikatnya, dia mendakwa tanah berkenaan hanya satu ekar dan dua ekar lagi dimiliki oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Masalah ini telah berlanjutan sejak tahun 1986 lagi, masa itu pihak yang berkaitan mahu mengambil tanah kami.
“Menurut mereka, kami akan dibayar pampasan setelah tanah itu diambil untuk dijadikan jalan pertanian dan parit tetapi sehingga kini tak ada apa-apa,” katanya.
Menurut Mohamad Salleh, dia dan beberapa penduduk yang terlibat kini serba salah untuk melaksanakan tanaman baru kerana tidak tahu sempadan dan keluasan sebenar tanah mereka.
Sementara itu, Pentadbir Tanah Daerah Batu Pahat, Mahadon Marnin berkata, masalah yang dihadapi pemilik tanah ini sedang diteliti dan mana-mana  yang belum selesai masih lagi dalam penilaian pihaknya.

Katanya, pihaknya tidak akan sewenang-wenangnya memberikan tanah kepada sesiapa juga kerana jumlah tanah di daerah yang agak terhad, selain akan digunakan sebagai rizab.

“Mungkin ada sesetengah kawasan itu mengambil masa berpuluh tahun untuk diselesaikan, ini kerana berlakunya keadaan yang terlalu rumit seperti melibatkan agensi kerajaan lain untuk dijadikan tanah rizab.

“Kita akan menilai kembali dengan mengukur keluasan tanah sebenar dan jika berlakunya pengambilan tanah, pampasan akan diberikan...tetapi jika individu itu mendirikannya di tanah rizab, permohonan geran atau pampasan
tidak akan dilakukan,” katanya.

Mercedes, pacuan 4 roda lesap

Mercedes, pacuan 4 roda lesap
KOK LIANG

TELUK INTAN - Hanya dalam satu malam, dua kenderaan hilang akibat dicuri di dua lokasi berasingan dalam kejadian awal pagi Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, kejadian pertama berlaku di Jalan Manggis apabila kereta jenis Mercedes Benz milik seorang pengurus kilang  hilang ketika diletakkan berhadapan dengan rumahnya.

Menurutnya, mangsa berusia 59 tahun itu meletakkan keretanya di hadapan rumah apabila pulang kira-kira jam 10 malam dalam berkeadaan berkunci.

"Pada jam 6.30 pagi keesokan harinya, mangsa mendapati keretanya hilang. Terkejut dengan kehilangan itu, mangsa telah membuat laporan polis pada hari yang sama.

“Mangsa mengalami kerugian lebih kurang RM370,000 termasuk kereta miliknya yang hilang  serta pelbagai barang berharga, wang tunai sebanyak RM6,600, sebuah jam tangan berjenama, dokumen perjalanan, kad pengenalan dan pelbagai dokumen penting lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, di sini.

Kok Liang berkata, dalam kejadian berasingan, seorang kontraktor daripada Sungai Petani, Kedah, kehilangan pacuan empat rodanya yang diletakkan di tempat letak kereta di salah sebuah hotel di Teluk Intan.

Katanya, mangsa berusia 70 tahun telah meletakkan kenderaannya kira-kira jam 7 malam Ahad lalu sebelum menyedari pacuan empat rodanya hilang pada keesokan harinya.

Menurutnya, mangsa kehilangan beberapa dokumen penting termasuk empat buku cek yang ditinggalkan di dalam pacuan empat rodanya dan satu laporan polis dibuat berkenaan kes kecurian tersebut.

“Pihak kami kini sedang menyiasat kes kecurian kenderaan milik kedua-dua mangsa dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 (a) Kanun keseksaan,” katanya.

Maut dalam tongkang


Maut dalam tongkang
Mayat salah seorang mangsa berjaya dikeluarkan dan akan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Maut dalam tongkang
Pasukan bomba bertungkus-lumus mengeluarkan mangsa yang dipercayai terhidu gas beracun ketika melakukan kerjakerja pembersihan di dalam perut tongkang.
MANJUNG - Dua warga Indonesia ditemui mati di dalam sebuah tongkang di jeti Kok Tail, Titi Panjang, Lumut ketika sedang melakukan kerja-kerja pembersihan dalam kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Jaafar Baba berkata, mangsa dijumpai di bahagian bawah tongkang berkenaan.

Menurutnya, rakan mereka yang menyedari kejadian itu telah menghubungi bomba dan polis untuk mendapatkan bantuan.

“Kedua-dua mangsa telah dikeluarkan oleh pihak bomba dan mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa kemudiannya di bawa ke Hospital Seri Manjung untuk bedah siasat. Hasil bedah siasat mendapat mangsa mengalami sesak nafas dan tidak ada sebarang unsur jenayah dalam kes ini,” katanya.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seri Manjung Ismail Osman berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 5.46 petang Ahad lalu dan tiba di tempat kejadian 5.58 petang.

Menurutnya, apabila tiba di tempat kejadian, pihaknya melihat ada dua mangsa terbaring di bahagian perut tongkang dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Kami dengan kekuatan anggota seramai 13 orang berserta satu jentera dan dua utiliti segera melakukan operasi menyelamatkan mangsa.

“Kerja-kerja menyelamat dilakukan dengan hati-hati di mana anggota diarahkan supaya memakai alat pernafasan. Kami menggunakan ‘full body hardnes’ dan tali untuk diikat pada mangsa bagi menarik mangsa keluar,” katanya.

Katanya, mangsa pertama berjaya dikeluarkan pada jam 6.44 petang manakala mangsa kedua pada jam 7.06 minit petang.

“Kedua-dua mangsa adalah warga Indonesia berumur 20an dipercayai sedang melakukan tugas-tugas pembersihan di dalam tongkang berkenaan sebelum disedari rakan lain mangsa tidak sedarkan diri disyaki terhidu gas beracun.

“Operasi ini tamat pada jam 7.28 petang dan kedua-dua mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Trauma disamun, kepala diacu pistol

Trauma disamun, kepala diacu pistol
Keadaan kereta mangsa yang dilarikan suspek.

PADANG SERAI - Seorang lelaki berhadapan detik cemas apabila disamun dua lelaki yang memecah masuk ke dalam rumahnya di Taman Damai di sini semalam.

Ketika kejadian, mangsa yang berusia 36 tahun dan bekerja sebagai jururunding  itu baru saja pulang ke rumah selepas bekerja.

Menurut mangsa, dia menyedari sebuah kereta Mercedes lama berwarna hitam berhenti di hadapan rumahnya.

"Tapi ketika itu saya tak mengesyaki apa-apa, sehinggalah dua lelaki berkenaan menyerang hendap ke dalam rumah.

"Saya terkejut kerana kejadian berlaku terlalu pantas ketika itu," katanya.

Dia berkata, dua suspek berkenaan mengarahkannya menyerahkan semua wang dan telefon bimbit.

"Saya kemudian cuba mencapai kerusi yang berada di hadapan saya bagi tujuan mempertahankan diri.

"Seorang suspek tiba-tiba menunjukkan sepucuk pistol dan peluru hidup digunakan sebelum mengacukannya ke kepala saya.

"Dengan keadaan begitu, saya terpaksa akur kehendak mereka demi keselamatan," katanya.

Menurutnya, suspek juga meminta menyerahkan kunci kereta Proton Gen2 miliknya sebelum mereka melarikan diri.

"Nak tak nak, terpaksalah juga bagi. Walaupun saya dalam keadaan trauma, tapi saya lega sebab tidak dicederakan.

"Selepas kejadian saya meminta bantuan jiran dan segera membuat laporan polis," katanya.

Selepas mendapat laporan, polis dan Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat (PPKM) kemudiannya berjaya mengesan kereta mangsa yang dilarikan bagaimanapun kereta itu terbabas di Sidam sebelum menjunam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Ghuzlan Saleh berkata, dari maklumat yang diterima daripada orang awam, dua suspek itu berjaya melarikan diri.

"Selepas kereta terbabas, suspek lari sebelum diambil  sebuah kenderaan.

"Sehingga kini polis sedang memantau pergerakan suspek dan percaya mengetahui lokasi persembunyian mereka," katanya kepada Sinar Harian.

Peragut malang kena cekup


Peragut malang kena cekup
Lelaki (bertinggung) yang berjaya ditangkap orang awam apabila motosikalnya terlibat kemalangan selepas meragut seorang warga emas, semalam.
Peragut malang kena cekup
Mangsa mengutip semula semula beg tangan yang disorokkan peragut.
MELAKA - Seorang peragut yang baru meragut beg tangan seorang wanita warga emas dikejar orang awam kira-kira 500 meter sebelum terbabit kemalangan di persimpangan Jalan Tun Seri Lanang - Jalan Bendahara, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi itu, peragut berusia awal 40-an yang menunggang motosikal itu bertindak meragut beg tangan mangsa sebelum memecut laju dari arah Jalan Munshi Abdullah ke Jalan Bendahara untuk melarikan diri.

Aksi peragut itu secara kebetulan disaksikan dua lelaki bermotosikal yang kemudian bertindak mengejar penjenayah terbabit.

Bagaimanapun, peragut berkenaan tidak bernasib baik apabila motosikalnya bergesel dengan sebuah kereta jenis Perodua Kancil yang dipandu seorang wanita di persimpangan jalan, menyebabkan dia terjatuh.

Menurut saksi kejadian, suspek kemudian menggagahkan diri meninggalkan motosikalnya dengan membawa beg tangan hasil ragutnya untuk disorokkan di celah pokok bunga terletak di bahu jalan berhampiran.

Namun, usaha suspek tidak berhasil apabila dua lelaki bermotosikal yang mengejarnya tiba di tempat kejadian, sebelum bertindak menangkap peragut itu.

Suasana kecoh seketika di lokasi kejadian sehingga orang ramai menahan sebuah kereta peronda polis (MPV) yang secara kebetulan lalu di kawasan berkenaan dan membawa suspek ke balai polis.

Sementara itu, saksi kejadian, Shahril Abu, 23, berkata, ketika kejadian, dia sedang membonceng motosikal yang ditunggang rakannya.

Menurutnya, semasa berhenti di simpang, dia yang berada di laluan bertentangan terlihat suspek menarik beg tangan seorang warga emas wanita yang menaiki motosikal bersama suaminya.

Ketika itu, katanya, dia dan rakan terus mengekori mengejar peragut berkenaan yang menunggang laju.

"Setiba di persimpangan Jalan Tun Seri Lanang - Jalan Bendahara, saya lihat motosikal peragut itu sudah jatuh. Saya nampak peragut itu sedang berdiri di tepi jalan dan terus menangkapnya," katanya kepada Sinar Harian di lokasi kejadian, semalam.

Menurut Shahril, peragut itu bagaimanapun tidak mengaku dia meragut kerana beg tangan berkenaan tiada padanya.

“Nasib baik ada saksi nampak suspek sorokkan beg itu. Kemudiannya warga emas yang menjadi mangsa tiba di tempat kemalangan dan mengesahkan beg tangan itu miliknya,” katanya.

Sementara itu, mangsa berusia 59 tahun yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian, dia dan suaminya menuju ke Jalan Bunga Raya untuk membeli keperluan harian.

Menurutnya, selepas melalui bulatan di Bukit Cina, tiba-tiba sebuah motosikal menghampiri mereka.

"Lelaki itu terus tarik beg tangan saya yang diletakkan di bahagian tengah. Saya tidak berani melawan dan terus beredar. Nasib baik ada anak muda yang lihat kejadian ini mengejar," katanya yang terus membuat laporan di Balai Polis Melaka Tengah.

Dia bagaimanapun bersyukur kerana tidak terjatuh ketika diragut.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehudin Abd Rahman ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379, Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya di sini, semalam.

Kereta dibakar angkara khianat

Kereta dibakar angkara khianat
Keadaan kereta Proton Preve dan Gen-2 milik Nik Hassan Basri ketika terbakar dalam kejadian awal pagi semalam.
HULU BERNAM - Angkara khianat, dua kenderaan milik Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Bernam Jaya, di sini, dibakar individu tidak bertanggungjawab.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.45 pagi semalam, kereta jenis Proton Preve dan Gen-2 milik Nik Hassan Basri Nik Abdul Kadir dibakar dipercayai menggunakan kain bercecair petrol yang dilontar ke arah bonet belakang kereta terbabit.

Nik Hassan Basri berkata, kejadian itu disedari setelah alat penggera kenderaannya berbunyi tanpa henti walaupun cuba dimatikan.

“Ketika itu saya tidur di ruang tamu dan terdengar bunyi alat penggera kereta Preve.

“Pada awalnya saya tidak syak apa-apa dan cuba matikan alat penggera tapi tak boleh. Jadi saya buka pintu untuk lihat dan terkejut dua kereta saya terbakar,” katanya. Bimbang perkara tidak diingini berlaku,  dia mengarahkan isteri dan anak-anaknya segera keluar dan meminta pertolongan jiran.

Menurutnya, tindakan pantas jiran membantu memadamkan api  berjaya menyelamatkan keretanya daripada musnah tanpa mengakibatkan sebarang kecederaan.

Nik Hassan Basri berkata, dia percaya kejadian itu didalangi individu yang tidak berpuas hati dengan beberapa penyelesaian isu penduduk yang dibuat sebelum ini.

“Petang semalam (kelmarin), dua lelaki naik motosikal datang ke rumah saya dan (salah seorang) ugut bunuh jika saya lapor polis. Dia kata, ke mana saja saya pergi dia akan bunuh. Sebelum beredar dia tepuk bonet kereta Gen-2 itu sampai kemik,” katanya.

Bimbang dengan ugutan itu, dia membuat laporan di Balai Polis Hulu Bernam sebelum dimaklumkan pihak polis mengenai penangkapan dua lelaki berkenaan pada hari sama.

"Saya percaya kejadian pagi tadi (semalam) ada kaitan dengan penangkapan lelaki terbabit, selain rasa tidak puas hati dengan tindakan saya membuat laporan polis," katanya.

Nik Hassan Basri turut mendakwa, kejadian pagi semalam juga merupakan rentetan daripada kejadian awal pada 13 Julai lalu di rumah pertamanya dalam perumahan sama di mana keluarganya turut diugut akan dipecahkan kereta.

“Saya ada buat laporan polis pada hari itu tapi polis nasihatkan supaya saya tarik balik laporan dan diminta berdamai," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Norel Azmi Yahya Affendi berkata, polis sedang menjalankan siasatan dan setakat ini tiada lagi maklumat suspek.

Pemandu nyaris maut kereta kena langgar treler


Pemandu nyaris maut kereta kena langgar treler
Manickavasakam
Pemandu nyaris maut kereta kena langgar treler
Kereta mangsa melekat pada tiang elektrik.
Pemandu nyaris maut kereta kena langgar treler
Keadaan bahagian belakang kereta mangsa yang remuk teruk selepas dirempuh sebuah lori treler.
KUANTAN - Seorang pemandu nyaris maut apabila kereta dipandunya dilanggar sebuah lori treler dari arah belakang sebelum terbabas ke kanan jalan dan melanggar tiang elektrik di Jalan Semambu, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12,30 tengah hari itu, mangsa, Manickavasakam, 45, terselamat walaupun kereta jenis Proton Wira yang dipandunya remuk teruk.

Lori terbabit difahamkan turut terbabas ke kanan jalan, bagaimanapun pemandunya berjaya mengawal kenderaan itu daripada terus melanggar kereta mangsa yang terlekat di tiang elektrik.

Manickavasakam berkata, dia yang bekerja sebagai pemandu jengkaut dalam perjalanan dari arah Jalan Beserah menghala ke Semambu untuk keluar makan tengah hari.

Menurutnya, ketika sampai di tempat kejadian berhampiran kawasan perumahan Andorra Peak, dia memperlahankan kenderaannya kerana kereta di hadapan berhenti untuk memasuki simpang sebelah kanan ke kawasan kediaman eksklusif itu.

“Tiba-tiba terdengar bunyi kenderaan membrek secara tiba-tiba dari arah belakang dan sejurus kemudian kereta saya bergegar sebelum menggelongsor ke tepi jalan.

“Saya sempat melihat ke belakang dan ternampak sebuah lori treler melanggar bahagian belakang kereta dan menyeretnya beberapa meter,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Manickavasakam berkata, keretanya terlekat pada bahagian bawah depan lori seketika sebelum terlepas dan ketika itu keretanya hilang kawalan lalu melanggar tiang elektrik.

“Lori treler terbabit turut terbabas namun pemandunya sempat mengelak daripada terus menghentam kereta saya,” katanya.

Dia berkata, walaupun keretanya remuk teruk, namun dia tetap bersyukur kerana terselamat dalam nahas tersebut.

Bas rempuh treler


Bas rempuh treler
Seorang penumpang kelihatan masih berada di dalam bas selepas kejadian berlaku.
Bas rempuh treler
Bas merempuh bahagian belakang kanan treler membawa muatan kelapa sawit.
Bas rempuh treler
Seorang penumpang yang cedera parah dibawa menjalani pemeriksaan lanjut.
BENTONG – Seramai 14 penumpang bas berdepan detik cemas apabila bas henti-henti dinaiki mereka merempuh bahagian belakang sebuah treler membawa muatan kelapa sawit.

Bas dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Temerloh itu terlibat dalam kemalangan di Kilometer 42.2 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak berhampiran Bukit Tinggi, dekat sini, kira-kira jam 9.35 pagi semalam.

Akibat kejadian itu, dua penumpang dilaporkan parah dan tiga lagi cedera ringan kini dirawat di Hospital Bentong.

Seorang penumpang dikenali sebagai Muhammadin, 24, berkata, dia bersama rakan, Hendra, 21, menaiki bas itu di Hentian Pekeliling, kira-kira jam 9 pagi untuk ke Temerloh.

Katanya, mereka berdua duduk di tempat duduk bernombor lima dan enam.

“Semasa kejadian, saya tidak tidur dan sempat mendengar jeritan pemandu sebelum bas merempuh belakang lori. “Pemandu bas menjerit kalimah ALLAH beberapa kali dan meminta penumpang terutama di bahagian hadapan menyelamatkan diri,” katanya.

Muhammadin berkata, dia bingkas bangun dan melarikan diri ke bahagian belakang bas. Katanya, keadaan pada masa itu agak kelam-kabut, manakala bahagian hadapan bas rosak teruk.

Tidak sedar apa berlaku

Hendra pula berkata, dia tidak sedar apa yang berlaku semasa kejadian dan hanya sedar apabila Muhammadin bersama penumpang lain membantunya keluar dari bas.

“Kejadian berlaku begitu pantas, saya memang tidak sedar. Tengok-tengok bas sudah remuk di bahagian hadapan.

“Namun saya bersyukur kerana tiada kecederaan serius akibat kejadian tersebut,” katanya.

Siti Salwa Omar, 24, pula berkata, dia yang duduk di belakang pemandu, tidur sepanjang perjalanan kerana kepenatan baru pulang daripada kerja sebagai pembantu di bahagian farmasi.

“Saya terjaga apabila mendengar bunyi bising dan nampak bas merempuh belakang lori. Saya tercampak ke hadapan, namun bernasib baik tidak mengalami sebarang kecederaan berat.

"Memang saya kerap menaiki bas sama untuk pulang ke kampung di Lanchang, namun tidak sangka kali ini berdepan kejadian sebegitu," katanya.

Kesesakan 1.3 kilometer

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, ketika kejadian, treler membawa muatan kelapa sawit sedang bergerak perlahan menuruni bukit.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, bas dipandu lelaki berusia 58 tahun itu dipercayai cuba memotong treler, bagaimanapun pada masa sama ada sebuah Kancil juga cuba memotong treler tersebut.

“Pemandu bas dipercayai bertindak masuk semula ke laluan perlahan dan kemudian melanggar bahagian belakang sebelah kanan treler.

“Akibat kemalangan itu, laluan kontra terpaksa dibuka bermula dari Kilometer 42 hingga Kilometer 43 bermula jam 10 pagi bagi kerja-kerja mengalihkan kenderaan,” katanya.

Mohamad Mansor berkata, kesesakan dari arah Kuala Lumpur ke Kuantan berlaku sepanjang 1.3 kilometer. Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

'Tertekan lepas kematian ayah'

'Tertekan lepas kematian ayah'
Muda dijatuhi hukuman penjara 34 bulan dan tiga sebatan selepas mengaku memiliki dadah.
KUALA TERENGGANU - “Saya terlibat dengan dadah kerana tertekan selepas kematian ayah. Saya benar-benar menyesal dan tidak akan mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang, saya harap mahkamah dapat meringankan hukuman,” demikian rayuan seorang pengait kelapa sawit kepada Mahkamah Tinggi, di sini, semalam.

Bagaimanapun, Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa membuat keputusan menjatuhkan hukuman penjara 34 bulan dan tiga sebatan terhadap Muda Mat Lawi @ Mohamad, 30, selepas mengaku bersalah memiliki dadah jenis heroin dan morfina pada April lalu.

“Saya harap dengan hukuman ini, awak insaf dan gunakanlah masa di penjara nanti untuk beribadat serta mendekatkan diri dengan ALLAH, apatah lagi ketika ini kita berada dalam bulan
Ramadan yang penuh berkat,” kata Mohd Yazid sebelum membuat keputusan itu.

Terdahulu, Muda yang masih bujang itu mengaku bersalah memiliki dadah berbahaya iaitu heroin dan monoacetylmorphines seberat 3.77 gram di sebuah rumah di Kampung 100 Felda Neram 1, Kemaman, kira-kira jam 3.30 petang, 3 April lalu.

Dia mengaku bersalah di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A (1) akta yang sama.

Pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya Mohamad Jazamuddin Ahmad Nawawi manakala Muda tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis daerah Kemaman membuat Ops Tapis Khas di sebuah rumah sebelum Muda tiba dengan menaiki motosikal.

Sebaik memperkenalkan diri, Muda ditahan di hadapan pintu belakang bahagian dapur lalu merampas beg sandang sebelum pemeriksaan menemui dadah heroin seberat 2.19 gram dan monoacetylmorphines seberat 1.58 gram.

Bebas tuduhan rogol

Bebas tuduhan rogol
Tertuduh dikawal ketat anggota polis keluar dari mahkamah selepas hukuman diputuskan, semalam.
KOTA BHARU - Seorang sub kontraktor penghawa dingin dibebaskan Mahkamah Sesyen di sini, semalam daripada tuduhan rogol gadis 17 tahun, 10 tahun lalu.

Sebaliknya, dia dihukum penjara 10 tahun selepas didapati bersalah menyebabkan kecederaan yang boleh membawa kematian kepada mangsa sama.

Tan Guan Seng, 30, didakwa merogol mangsa yang berusia 17 tahun 11 bulan di kawasan semak Kampung Lundang, Machang, pada jam 2.10 petang, 12 Ogos 2003.

Dia bagaimanapun bebas tuduhan itu selepas berjaya menimbulkan keraguan munasabah serta ketiadaan keterangan konklusif yang dapat mengaitkannya dengan perbuatan rogol itu.

Hakim, Mohd Yusuff Yunus bagaimanapun memutuskan untuk memenjarakan tertuduh selepas pengakuannya menarik tudung mangsa hingga terjerut dan menolak remaja itu jatuh ke tanah, konsisten dengan kecederaan dialami.

Dia yang diwakili peguam, Ahmad Nizam Mohamed terdahulu merayu supaya hukumannya dikurangkan mengambil kira usia tertuduh yang baru mencecah 19 tahun ketika kejadian.

“Tertuduh tiada rekod lampau tetapi usia muda menyebabkan dia terpengaruh dengan nafsu yang tidak menentu sehingga melakukan jenayah kepada mangsa,” kata Ahmad Nizam.

Mohd Yusuff dalam keputusan itu turut membenarkan penangguhan perlaksanaan hukuman seperti dimohon tertuduh dengan syarat rayuan segera difailkan dan jamin dikenakan sebanyak RM25,000 dengan seorang penjamin.

Dia kemudian menjelaskan jaminan itu.

Misteri kenderaan terbakar

Misteri kenderaan terbakar
Anggota Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang memadamkan kebakaran kenderaan pacuan empat roda di Berek Pak Tua Long, petang kelmarin.
RANTAU PANJANG – Tidur seorang warga emas dari Berek Pak Tua Long dekat sini, dikejutkan dengan bunyi kuat dari sebuah kenderaan pacuan empat roda yang hangus terbakar kira-kira 20 meter dari rumahnya, petang kelmarin.

Ismail Che Noh, 75, berkata, ketika kejadian dia seorang diri di rumah tersebut sementara isteri, Zawiah Setapa, 60, dan  ahli keluarga yang lain tiada di rumah.

Ismail berkata, terkejut dengan bunyi kuat itu, dia terus bergegas keluar dan hanya dapat melihat samar-samar sebuah kenderaan berada tidak jauh dari rumahnya.

Katanya, dia terdengar bunyi seperti orang menutup pintu kereta dengan kuat tetapi sebaik keluar tidak kelihatan sesiapa pun di samping pacuan empat roda tersebut.

Katanya lagi, dia tidak tahu apa yang berlaku sehinggalah api yang membakar kenderaan itu bertambah besar.

“Pakcik berdepan masalah penglihatan, pada mulanya tidak tahu apa yang berlaku sehinggalah api besar baru sedar kereta sedang terbakar.

“Kemudian beberapa orang penduduk datang dan salah seorang daripada mereka melaporkan kejadian kepada bomba,” katanya kepada Sinar Harian, petang kelmarin.

Kata Ismail, sejak tinggal di kampung tersebut lebih 40 tahun, inilah kejadian pertama seumpamanya pernah dilihatnya dan bersyukur tidak ada kejadian buruk berlaku.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Nashuha Fahd Ahmad Mijar berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan kejadian jam 4.37 petang.

Menurutnya, bomba bersama lima anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Mokhtar Che Mah bergegas ke tempat kejadian untuk memadamkan kebakaran.

“Api dapat dipadamkan dalam tempoh dua minit kerugian melibatkan kenderaan jenis pacuan empat roda itu dianggarkan RM27,000.

“Punca kejadian masih lagi dalam siasatan,” katanya.

Nashuha Fahd juga tidak menolak kemungkinan kenderaan tersebut terlibat dalam kegiatan penyeludupan minyak.

Bagaimanapun katanya punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.

Bekas tentera didenda RM1,000

Bekas tentera didenda RM1,000
Tertuduh (tengah) keluar dari mahkamah selepas hukuman diputuskan, semalam.
KOTA BHARU - Seorang bekas tentera didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan menagih dadah.

Tertuduh, Mohd Hafizal Abd Aziz, 31, mengaku salah didakwa memberikan kepada dirinya sendiri dadah jenis metamphetamine di Pejabat Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah di sini.

Kesalahan dilakukan pada jam 1 petang, 22 Mac tahun lalu.

Pada prosiding semalam, tertuduh merayu supaya hukumannya dikurangkan berikutan sudah insaf dengan kesalahan dilakukan.

Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nur Liyana Mad Zukri bagaimanapun memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh.

Denda diputuskan Majistret, Nik Habri Muhamad dan turut mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara empat bulan jika gagal jelas denda.

Belasah pelayan separuh mati

Belasah pelayan separuh mati
Tertuduh diiringi anggota polis keluar dari kamar mahkamah selepas dijatuhkan hukuman akibat membelasah seorang pekerja restoran hingga parah dalam kejadian tahun lalu.
KUANTAN - Seorang lelaki  menerima hukuman setimpal atas perbuatannya membelasah pelayan kopitiam warga Myanmar sehingga menyebabkan mangsa cedera parah, dalam kejadian Oktober tahun lalu.

Akibat perbuatannya yang disifatkan tidak berperikemanusiaan itu, Mohd Rosli Awang, 35, dari Lorong Pandan Damai, dekat sini, dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Kuantan, semalam, selepas dia mengaku bersalah.

Majistret Tuan Ruzuaini Tuan Lah juga turut mengarahkan tertuduh membayar pampasan RM10,000 dan mengemukakan permohonan maaf secara terbuka di dalam mahkamah kepada mangsa.

Tertuduh didakwa mendatangkan cedera parah dengan menggunakan kaki dan tangan terhadap seorang lelaki, Htong Haw, 29, sehingga menyebabkan mangsa mengalami pendarahan dalam perut, pecah limpa dan usus kecil serta luka pada hati.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 12.30 tengah malam di Kemaman Kopitiam, Lorong Tun Ismail 2, di sini, 18 Oktober 2012.

Tertuduh ditahan dan dihadapkan ke mahkamah 23 Oktober 2012 atas tuduhan  mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

Bagaimanapun dia mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sebelum dibebaskan dengan jaminan RM8,000.

Tertuduh yang diwakili peguam Muhammad Hisham Abdul Rahim sebelum itu memohon supaya mahkamah mengenakan hukuman paling ringan kerana anak guamnya perlu menanggung dua isteri yang sedang mengandung serta empat anak.

Muhammad Hisham berkata, mahkamah juga perlu mengambil kira alasan hingga mendorong tertuduh bertindak membelasah mangsa.

“Tertuduh bertindak demikian disebabkan perbuatan mangsa yang sering mengganggu seorang kenalannya dengan mencucuk badan wanita berkenaan sehingga mengenai bahagian tepi buah dada.

“Perbuatan mangsa itu sudah dilakukan banyak kali dan wanita itu pernah melarangnya, namun tidak diendahkan mangsa menyebabkan tertuduh mengambil keputusan untuk bertindak sedemikian,” katanya.

Menurutnya, tertuduh yang bekerja sendiri dengan pendapatan kira-kira RM1,500  sudah menyesali perbuatannya serta berjanji tidak akan mengulanginya pada masa akan datang.

Timbalan Pendakwa Raya, Amalina Zainal Mokhtar pula memohon hukuman berat terhadap tertuduh kerana tindakannya adalah kesalahan serius sehingga mendatangkan kecederaan parah kepada mangsa.

“Kesan daripada kecederaan yang dialaminya menyebabkan mangsa kini tidak dapat melakukan kerja seperti sedia kala dan sering mengalami kesakitan di bahagian perut.

“Dalam kejadian itu, tertuduh juga bertindak tanpa belas kasihan dengan memukul mangsa yang jauh lebih kecil,” katanya,

Menurutnya, walau apa pun alasannya, tertuduh tidak boleh mengambil tindakan sendiri dengan membelasah mangsa sebaliknya perlu menyerahkannya kepada polis.

Htong Haw yang turut hadir ke mahkamah ditemani majikannya, Stanly Soon Suan Ning, 43, memberitahu mahkamah bahawa dia kini tidak boleh melakukan kerja berat dan berlari kerana sering mengalami kesakitan di bahagian perut kesan kecederaan yang dialaminya.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, Stanly mendapat panggilan daripada pekerja memaklumkan bahawa mangsa dipukul pelanggan  restorannya hingga parah.

Sebaik sampai di premis itu, dia melihat mangsa dalam keadaan berlumuran darah di kepala sambil menekan dada menahan kesakitan.

Dia membawa mangsa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk menerima rawatan dan hasil pemeriksaan mendapati mangsa mengalami pendarahan di dalam perut, kecederaan pada limpa dan usus serta terpaksa menjalani dua pembedahan.

Dia membuat laporan polis pada hari yang sama dan hasil siasatan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) premis berkenaan melihatkan tertuduh menampar, menumbuk dan menghentak kepala mangsa ke arah pasu bunga sebelum menolak mangsa hingga jatuh dan menyepak mangsa.

Sorok 4 pek berus gigi dalam seluar

Sorok 4 pek berus gigi dalam seluar

Zulhelmi dipenjara dua minggu dan didenda RM1,000 atau dua minggu penjara jika gagal menjelaskan denda, selepas mengaku mencuri barangan bernilai keseluruhan RM102.50.
KUALA TERENGGANU - Taktik licik seorang penganggur yang menyorokkan empat pek berus gigi dan satu set mesin pemotong rambut yang dicuri dari Pasar raya Nirwana di dalam seluar dipakainya tidak menjadi apabila dicekup pengawal keselamatan bertugas.

Perbuatan Zulhelmi Zulkifli, 29, yang tergamak mencemarkan kemuliaan Ramadan dengan melakukan jenayah mencuri menerima pembalasan apabila dijatuhi hukuman penjara dua minggu dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Selain itu, Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi turut mengarahkan Zulhelmi dipenjara dua minggu lagi jika gagal menjelaskan denda.

Kesemua hukuman itu diputuskan selepas Zulhelmi mengaku bersalah mencuri empat pek berus gigi dan satu set mesin pemotong rambut bernilai keseluruhan RM102.50 di Pasar raya Nirwana, Jalan Kuala Berang, Kampung Wakaf Mempelam, di sini, pada 11 Julai lalu, kira-kira jam 6.30 petang.

Dia mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa, Asisten Superintendan Ngiam Ooi Ming manakala Zulhelmi tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, gerak geri Zulhelmi yang memasuki pasar raya berkenaan diperhatikan oleh pengawal keselamatan bertugas.

Pada awalnya, Zulhelmi ke ruang barangan mandian sebelum bertindak memasukkan empat pek berus gigi di dalam seluarnya, kemudian dia ke ruang barangan elektrik dan bertindak mengambil satu set mesin pemotong rambut ke dalam seluar.

Melihatkan situasi itu, pengawal keselamatan bergegas menunggu Zulhelmi di pintu keluar dan menahannya sebelum diserahkan kepada polis.

Anak mati, duit lesap

Anak mati, duit lesap
Sai Moi (kanan) dan Wilson menunjukkan surat kematian dan buku penyata bank milik mendiang Wong Sun Khuan, serta laporan polis yang dibuat berhubung kes transaksi pengeluaran wang tanpa kebenaran, pada sidang media di ibu negara, semalam.
KUALA LUMPUR - Seorang warga emas terkejut apabila menyedari berlaku transaksi pengeluaran wang berjumlah lebih RM17,000, dari akaun bank mendiang anak lelakinya, dalam tempoh tiga bulan selepas tarikh kematian anaknya itu, pada 2011.

Cheong Sai Moi, 81, pada mulanya dia tidak menyedari hal itu sehinggalah ditegur jirannya yang melihat buku penyata yang baru diperoleh daripada keluarga bekas menantunya, pada Mei lalu.

Menurutnya, semuanya bermula pada 2010, apabila mendiang, Wong Sun Khuan, disahkan mengidap jangkitan paru-paru, dan tinggal bersamanya setelah sekian lama menetap bersama bekas mertua biarpun telah berpisah dengan isteri sejak 13 tahun lalu.

“Apabila dapat tahu dia sakit, dia balik tinggal dengan saya sejak Mei 2010 sehinggalah dia meninggal dunia pada 8 April 2011, dalam masa sama, banyak barang peribadinya yang masih ditinggal di rumah mertua. Pada hari kematian anak saya, bekas adik iparnya datang dan meminta kunci almari Wong Sun Khuan (berada di rumah mertua) yang ada pada saya, termasuk mengambil semua dokumen mendiang.

“Namun selepas seminggu, apabila saya minta semua barang kepunyaan mendiang, bekas keluarga mertuanya termasuk bekas isterinya beritahu saya semua barang mendiang telah dibuang. Tetapi saya bertegas supaya dikembalikan dokumen penting seperti surat beranak dan buku bank, selepas bertahun-tahun, bekas isteri mendiang telah pulangkan kepada saya pada Mei lalu.

“Ketika menerima buku bank itu, saya pergi ke bank dan dimaklumkan terdapat baki sebanyak RM294 yang perlu diuruskan sebelum akaun ditutup, tanpa menyedari terdapat transaksi pengeluaran pada 1 Julai 2011, sehinggalah diberitahu jiran yang melihat buku akaun itu ketika saya berbual dengannya,” katanya pada sidang media, bersama Ketua Biro Perkhidmatan Dan Aduan Awam Parti Gerakan Rakyat Malaysia Nasional (Gerakan), Wilson Lau Hoi Keong, di Menara PGRM, Jalan Cheras, di sini, semalam.

Berikutan itu, Sai Moi mengesyaki berlaku sesuatu yang tidak kena berhubung transaksi berkenaan memandangkan akaun mendiang anaknya itu adalah akaun tunggal bukannya dikongsi, mendorongnya membuat aduan kepada Biro Aduan Parti Gerakan, serta laporan polis.

“Saya syak ianya dilakukan pihak ketiga, jadi saya buat laporan polis agar siasatan dijalankan jika terdapat unsur penipuan dan pemalsuan dokumen,” katanya.

Sementara itu, Wilson berkata, berdasarkan laporan yang diterima, beliau mendapati berlaku transaksi pengeluaran yang tidak mengikut prosedur memandangkan pemilik akaun telah meninggal dunia.

Katanya, bagaimanapun, siasatan lanjut perlu dijalankan dan pihaknya akan menulis surat kepada pihak atasan cawangan bank tempat di mana transaksi itu dibuat untuk mengatur pertemuan bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

Kereta ‘terbang’ masuk kebun

Kereta ‘terbang’ masuk kebunKeadaan kereta yang terbang melintasi parit selebar hampir dua meter di hadapan Masjid Batu 7, Kuala Kurau, semalam.
KUALA KURAU - Jemaah yang ingin menunaikan solat terawih gempar apabila menyaksikan sebuah kereta ‘terbang’ sebelum merempuh kebun pisang terletak berhadapan Masjid Batu Tujuh, di sini, malam kelmarin.

Saksi kejadian, Osman Mat Yeop, 26, berkata, dalam kejadian jam 9.15 malam, dia sedang mengambil wuduk untuk menyertai solat terawih sebelum terdengar bunyi geseran tayar kenderaan yang terbabas di hadapan masjid.

Menurutnya, dia segera meninjau keadaan hadapan masjid dan mendapati sebuah kereta jenis Proton Iswara berwarna hijau ‘terbang’ melintasi sebuah longkang konkrit, sebelum terbabas di dalam kebun pisang itu.

“Apabila melihat sahaja kejadian itu, saya terus bergegas ke lokasi kejadian untuk menghulurkan bantuan.

“Mujur pemandu kereta itu hanya mengalami kecederaan ringan di kepala dan dikejarkan ke Hospital Parit Buntar dengan bantuan orang ramai serta beberapa jemaah,” katanya sewaktu ditemui media di lokasi kejadian, malam kelmarin.

Osman berkata, sebelum dikejarkan ke hospital, pemandu lelaki berusia lingkungan 30-an sempat memaklumkan punca kenderaannya terbebas kerana cuba mengelakkan dari melanggar seekor binatang yang tidak dikenal pasti.

Jelasnya, sebelum ini terdapat beberapa kemalangan berlaku di lokasi sama dan  berpunca daripada keadaan jalan raya yang gelap.

“Beberapa bulan lalu, beberapa kemalangan kecil berlaku di sini dan ada juga kereta yang terhumban ke dalam longkang konkrit yang baru siap dibina.

“Saya berharap supaya pihak berkenaan dapat menambah bilangan lampu jalan di sekitar kawasan ini dan keadaan itu mungkin akan bertambah buruk jika tiada tindakan drastik diambil,” katanya.

Peniaga runcit, anak ditembak

Inforgrafik kes samun bersenjata
Inforgrafik kes samun bersenjata

IPOH - Dua beranak parah ditembak ketika sedang berehat selepas berbuka puasa dalam satu kejadian samun bersenjata di Taman Sejahtera, Kampar dekat sini.

Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, mangsa berusia 51 tahun bersama anak lelakinya, 13 tahun, cedera selepas terkena tembakan yang dilepaskan salah seorang daripada dua perompak yang memecah masuk kediaman mereka.

Mangsa mengalami cedera diperut sementara anaknya mengalami kecedraan di paha sebelah kanan apabila peluru yang mengenai bapanya tembus sebelum mengenainya yang ketika itu berada di belakang mangsa.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk A Paramasivam berkata, berkata, dalam kejadian tersebut, mangsa yang juga peniaga kedai runcit sedang berehat bersama isteri dan dua anaknya di ruang tamu sebelum didatangi kumpulan penjenayah itu.

Menurutnya, kumpulan penjenayah terbabit yang menaiki kereta jenis Proton Perdana memberhentikan kenderaan di hadapan rumah mangsa sebelum dua daripada mereka bertindak masuk ke rumah mangsa yang tidak berkunci.

“Salah seorang suspek telah merampas telefon bimbit isteri mangsa dan kunci pacuan empat roda jenis Toyota Hilux serta menghidupkan enjin kenderaan tersebut.

“Mangsa yang menyedari kenderaannya cuba dilarikan menghampiri suspek dan berlaku pergelutan sebelum suspek bertindak melepaskan satu das tembakan sehingga terkena perut mangsa.

“Malah, peluru itu turut mengenai peha kanan anak lelaki mangsa yang berada di sebelahnya. Bagaimanapun, ketiga-tiga suspek berjaya melarikan diri dan merampas beberapa barangan berharga daripada rumah tersebut,” katanya.

Sempat larikan Hilux

Selepas gagal mendapatkan kenderaan di rumah tersebut, kumpulan penjenayah terbabit tidak berputus asa dan mencuba nasib ke atas mangsa lain.

Paramasivam berkata, kumpulan penjenayah yang sama bertindak menyerang pemilik kilang besi yang sedang berada di dalam kenderaan jenis Toyota Hilux di hadapan kilangnya di Jalan Kampar, Langkap kira-kira jam 9 malam.

“Dua lelaki suspek yang bersenjatakan parang dan bertopeng keluar dari kenderaan mereka naiki meletakkan parang di leher mangsa serta melarikan beberapa barangan berharga milik mangsa yang berusia 31 tahun itu.
“Antara barangan yang dilarikan suspek adalah telefon bimbit jenama Nokia dan Samsung, wang tunai berjumlah RM6,000, rantai leher, cincin dan loket emas.

“Mereka turut menarik mangsa keluar daripada kenderaan dan melarikan kenderaannya. Mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Seorang berjaya ditahan

Dalam perkembangan berkaitan, Paramasivam berkata, selepas mendapat laporan daripada kejadian rompakan di Kampar, Pasukan Cantas digerakkan dalam Ops Tutup yang dijalankan di Tanjung Malim, Tapah, Kampar, Perak Tengah dan Manjung.

“Pada jam 11.30 malam, kenderaan Proton Perdana suspek telah dikesan di Ladang Tapah dan cuba lari ke Kampar namun berpatah balik kerana terdapat sekatan jalan raya di Balai Air Kuning.

“Anggota peronda kami mengejar suspek yang menaiki Proton Perdana sebelum kenderaan tersebut tiba-tiba melanggar sebuah kereta lain yang dinaiki empat sekeluarga.

“Bagaimanapun, kenderaan Toyota Hilux yang dipercayai dinaiki dua suspek berjaya melarikan diri menuju ke medan selera Hilir Perak.

“Akibat kemalangan itu, empat sekeluarga terbabit mengalami kecederaan ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Tapah.

“Manakala, suspek berusia 33 tahun itu patah kaki dan dirawat di salah sebuah hospital di sini,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, suspek yang berasal dari Taman Orkid, Teluk Intan, mempunyai empat rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah dan kecurian.

“Selain itu, kereta Proton Perdana yang digunakan suspek adalah kenderaan curi yang hilang di Bukit Puchong, Selangor pada awal tahun ini.

“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan kami telah menemui, wang tunai berjumlah RM1,100, topi, topeng muka, sarung tangan, buku cek Maybank, buku simpanan Tabung Haji, MyKad anak mangsa dan telefon bimbit.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang jika disabitkan kesalahan boleh membawa hukuman mati.

“Setakat ini, kami telah mengenal pasti dua suspek yang turut terbabit dalam kes berkenaan yang dipercayai berasal dari kawasan Hilir Perak,”  katanya yang memaklumkan mangsa dan anak lelaki yang terkena tembakan dalam kejadian pertama dilaporkan stabil.

Dalam perkembangan berkaitan, Paramasivam berkata, kumpulan penjenayah terbabit dipercayai aktif dalam kegiatan samun bersenjata dan mencuri kenderaan pacuan empat roda di beberapa daerah sekitar negeri ini.

Beliau berkata, kumpulan yang bergerak aktif sejak awal tahun ini dipercayai sudah melakukan lebih 10 kes curi kenderaan di Perak.

Kedai nasi kandar meloyakan


Kedai nasi kandar meloyakan
Selamba saja si tukang masak bersinglet dan berkain pelekat diikat tinggi ini menyediakan bahan masakannya di tepi tandas dengan pintu terbuka.
Kedai nasi kandar meloyakan
Sudah tumbuh akar, begitulah rupa kacang dal yang disimpan dalam peti sejuk sebuah restoran nasi kandar.v
Kedai nasi kandar meloyakan
Pegawai kesihatan mengesan lipas yang begitu banyak dalam stok tepung dan gula di sebuah premis nasi kandar.
BAYAN LEPAS - Selamba saja si tukang masak sebuah restoran nasi kandar di sini memakai singlet serta berkain pelekat yang diikat tinggi, sambil memasak lauk pauk untuk dijual kepada pelanggan.

Tepung yang digunakan untuk membuat roti canai dan pelbagai jenis roti lain pula hanya diletakkan di sebelah tandas sahaja.

Bukan itu saja, si tukang masak yang juga dipercayai pemilik restoran berkenaan mengejutkan pegawai penguat kuasa Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) ketika membuka peti sejuk tempat menyimpan bahan mentah.

Di dalam peti tersebut didapati kuah kari meleleh di segenap ruang dalam peti sejuk yang terdapat di dalam restoran yang terletak di kawasan Bayan Lepas itu.

Operasi mengejut yang bermula seawal jam 8.30 pagi semalam turut mendapati darah haiwan bertakung di atas lantai di bahagian dapur belakang.

Tidak basuh sebelum masak

Ketua Unit Inspektorat dan Perundangan JKNPP, Ideris Mohamed kemudiannya bertanya kehairanan bagaimana telur yang dimasak untuk pelanggan dipecahkan dalam keadaan yang mengotorkan.

“Saya tahu telur-telur ini memang tidak basuh kerana lihatlah bagaimana keadaan kamu gunakannya, kamu basuh atau tidak?,” katanya.

Kemudian selamba sahaja lelaki yang penuh dengan jambang itu mengaku kepada penguat kuasa telur ayam yang dimasaknya langsung tidak dibasuh sebelum dimasak.

Ketika ditegur supaya mencuci peti sejuk, lelaki berkenaan dengan nada ceria menjawab, ‘hari-hari saya cuci encik’.

Jawapannya hanya disambut dengan senyuman daripada anggota penguat kuasa sedangkan kacang dal yang berada di dalam peti sejuk sudah mula tumbuh akar.

Pemeriksaan kebersihan itu kemudiannya beralih ke sebuah lagi restoran nasi kandar yang terletak di hadapan lokasi restoran yang sama.

Ketika melangkah ke satu ruangan yang dipenuhi bekalan tepung dan gula dalam restoran itu, didapati lipas dan pelbagai jenis serangga memenuhi kawasan tersebut.

Akibatnya, kedua-dua restoran berkenaan diarahkan tutup oleh JKNPP selama dua minggu.

Operasi setiap bulan

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan,  Ku Nafishah Ku Ariffin berkata, operasi hampir tujuh jam itu mengakibatkan 22 premis makanan ditutup di seluruh Pulau Pinang.

Menurutnya, sebanyak 34 premis diperiksa dan hampir 50 peratus daripadanya melibatkan kedai nasi kandar.

“Kesemua premis yang ditutup mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983, sekiranya didapati bersalah, pemilik premis boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Sekiranya dalam tempoh dua minggu ada antara pemilik premis yang berdegil, kami tidak akan teragak-agak dan akan mengambil tindakan pendakwaan di mahkamah,” katanya.

Operasi yang turut melibatkan Bahagian Perlesenan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan pejabat Kementerian Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) itu turut mengeluarkan sebanyak 57 kompaun dan enam notis amaran dari KPDNKK.

Bermula Januari 2013 hingga Julai ini, sebanyak 96 premis ditutup atas kesalahan terlalu kotor di seluruh negeri ini sementara 3,288 telahpun diperiksa. Ku Nafishah berkata, pihaknya akan menjalankan risikan selama lima hari untuk melihat premis yang mana perlu diperiksa.

“JKNPP kami akan menjalankan operasi kebersihan ini setiap bulan sehinggalah memastikan premis makanan di Pulau Pinang mencatat tahap kebersihan yang sepatutnya,” katanya.

Jari doktor wanita putus ditetak penyamun



KUALA LUMPUR - Seorang doktor wanita putus ibu jari kiri akibat ditetak penyamun bersenjatakan parang sebaik mangsa keluar dari polikliniknya di Jalan SS19/6, Subang Jaya dekat sini awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Yahaya Ramli berkata mangsa juga hampir terputus jari kelingking kiri serta cedera di lengan kiri akibat kejadian itu.

Ketika kejadian pada 1.20 pagi itu, mangsa yang berumur dalam lingkungan 50-an diserang suspek ketika menuju ke keretanya yang diletakkan di tempat letak kereta sebelum merampas beg tangan mangsa.

Yahaya berkata berdasarkan laporan polis yang dibuat pengadu, dia dimaklumkan tentang kejadian itu selepas diberitahu isterinya yang merupakan pembantu poliklinik itu.

"Pengadu yang bekerja sebagai pemandu doktor berkenaan telah menghantar mangsa ke Sime Darby Medical Centre Subang Jaya untuk dirawat dan keadaannya kini stabil," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Katanya suspek dipercayai melarikan diri menunggang motosikal Honda EX5 bersama seorang lelaki lain. - Bernama

Mayat ditemui bersama bahan kimia



NIBONG TEBAL - Bau busuk dari sebuah rumah dua tingkat di Lorong Jentayu Indah, Taman Jentayu Indah di sini membawa kepada penemuan satu mayat lelaki hari ini.

Pemeriksaan polis yang tiba di rumah itu susulan maklumat awam turut menemukan beberapa bahan kimia yang dipercayai diguna untuk memproses dadah.

"Ketika ditemui kira-kira pukul 3 petang, mayat lelaki terbabit sudah kering dan kehitaman serta tiada dokumen pengenalan ditemui padanya," kata jurucakap polis kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya siasatan awal polis mendapati rumah itu disewa Cheah Poh Iye, 44, sejak Mac lalu.

"Pemilik kediaman mendakwa kali terakhir bertemu dengan lelaki terbabit dua minggu lepas," kata jurucakap itu yang menambah penyewa berkenaan dipercayai sudah beristeri namun wanita tersebut tidak tinggal bersamanya di rumah tersebut.

Katanya sebuah kereta jenis Honda milik penyewa yang biasanya diletak di garaj rumah itu juga tiada di lokasi kejadian.

Susulan penemuan bahan kimia berkenaan, dua jentera bomba termasuk pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) dipanggil ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan lanjut terhadap bahan kimia terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Supt Shafien Mamat ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat lelaki terbabit dan berkata siasatan  lanjut sedang dijalankan.

"Buat masa ini kes terbabit diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan  kita akan meneliti laporan bedah siasat dan akan mengambil keterangan pihak  yang dipercayai dapat membantu siasatan sebelum tindakan selanjutnya,"  katanya. - Bernama