Search This Blog

Monday, July 15, 2013

Kebakaran musnahkan 20 kedai di Sibu


SIBU - Kebakaran memusnahkan 20 kedai di Jalan Tukang Besi di sini hari ini, menjadikannya kebakaran ketiga di bandar ini dalam tempoh kurang dari sebulan.
   
Anggota bomba dan empat jentera mengambil masa kira-kira dua jam untuk mengawal kebakaran yang bermula 11 pagi, dan menghalangnya daripada merebak ke kedai berdekatan.
   
Antara kedai yang musnah adalah dua makmal perubatan, kedai buku, bengkel membaiki motosikal, kedai tukang emas/senjata, klinik swasta, restoran dan pejabat cawangan dua akhbar berbahasa Cina iaitu 'The International Times' dan 'Berita Petang'.
   
Menurut seorang saksi, Dr Isaali Wasli, yang mengusahakan 'Klinik Ali' di kawasan itu sejak 24 tahun lepas, beliau sedang merawat beberapa pesakit di klinik berkenaan ketika kebakaran tercetus.    

Beliau menyuruh pesakit beredar sebelum kebakaran merebak ke kliniknya, dan berkata kebakaran dipercayai bermula dari sebuah daripada kedai di tingkat satu bangunan kedai sebaris itu.
   
Menurut Pegawai Forensik Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Sibu Rafie Sapar, ini adalah kebakaran ketiga di bandar ini dalam tempoh kurang dari sebulan.
   
Kebakaran pertama pada 19 Jun memusnahkan kira-kira 60 buah rumah, mengakibatkan 597 orang daripada 144 keluarga hilang tempat tinggal di Kampung Datu/Kampung Hilir.
   
Pada pagi Jumaat lepas, kebakaran memusnahkan sebuah generator pam air dan peralatan lain di stesen pam air mentah Lembaga Air Sibu di Jalan Lanang. - Bernama

3 kereta rosak dihempap konkrit

3 kereta rosak dihempap konkrit
Kain rentang warna hijau didakwa punca dinding bangunan runtuh. Gambar kecil: Antara kereta yang dihempap.
JALAN AMPANG - Tiga kenderaan dipercayai milik penghuni Pangsapuri Berembang Indah rosak setelah dinding bangunan di tingkat tiga tempat letak kereta runtuh, petang kelmarin.

Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) Pangsapuri Berembang Indah, Nor Alizan Ali, 49, berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada kain rentang digantung pada dinding bangunan itu bulan lalu.

Menurutnya, kejadian hujan lebat kira-kira jam 4.30 petang menyebabkan berlaku bebanan ke atas kain rentang seterusnya berlaku runtuhan dinding hingga menghempap kereta penghuni.

"Tingkat tiga di atas bangunan ini juga adalah podium di mana di atasnya terdapat taman permainan kanak-kanak untuk penghuni di sini.

“Mujurlah tiada sesiapa dalam kereta dan di bawah bangunan sewaktu batu itu jatuh,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Alizan berkata, kain rentang itu milik sebuah syarikat swasta yang mempunyai perjanjian dengan pemaju untuk menggantung kain rentang sepanjang sembilan meter atas bangunan ini sehingga 2014.

Katanya, sebelum ini, perjanjian itu tidak pernah dimaklumkan kepada JMB atau penduduk untuk mendapatkan pandangan atau persetujuan bersama.

“Berikutan insiden ini, saya meminta pemaju menutup taman permainan di atas bangunan ini kerana bahaya kepada keselamatan kanak-kanak dan orang awam.

“Penduduk juga meminta pemaju membersihkan sisa batu dan tanah yang masih tersangkut di atas bangunan ini kerana ada kemungkinan runtuhan akan berlaku lagi,” katanya.

Difahamkan, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) memantau selepas kejadian itu dan melarang orang ramai memasuki atau mendekati kawasan runtuhan.

Pembantu restoran maut


KULAIJAYA – Dua maut dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan kereta di Kilometer 43, Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam berhampiran Taman Manis, Kelapa Sawit, di sini, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya berkata, kejadian yang berlaku kira-kira jam 8.10 malam itu menyebabkan penunggang motosikal, Ismadi Ismon, 27, dan penumpang kereta, Padrick Anak Pandong, 23, terkorban.

Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta jenis Proton Wira dari arah Johor Bahru membelok masuk ke simpang kanan dan dilanggar sebuah motosikal yang datang dari arah bertentangan.

Zulkefly berkata, kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulaijaya, namun disahkan meninggal dunia pada jam 10 malam.

“Pemandu kereta serta penumpang lain hanya mengalami kecederaan ringan dan turut dirawat di hospital sama,” katanya.

Sementara itu, rakan Padrick, Robson Lukas, 19, memberitahu mangsa yang berasal dari Sri Aman, Sarawak tidak mempunyai keluarga di negeri ini dan bekerja sebagai pembantu di sebuah restoran dekat sini.

“Kali terakhir saya bertemu mangsa kira-kira sebulan lalu. Saya dimaklumkan mengenai kemalangan yang menimpa Padrick oleh pakcik yang menghubungi saya.

“Keluarga Padrick sudah pun diberitahu mengenai kematiannya dan saya akan cuba uruskan penghantaran mangsa ke Sarawak secepat mungkin,” katanya.

Bakal beraya dipenjara

Bakal beraya dipenjara gara-gara pecah rumah
Hazidee dijatuhi hukuman penjara 24 bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam, selepas mengaku bersalah memecah masuk dan mencuri barangbarang bernilai keseluruhan RM1,000.
KUALA TERENGGANU - Seorang penganggur terpaksa menyambut Lebaran di sebalik tirai besi apabila Mahkamah Majistret, di sini, semalam, menjatuhkan hukuman penjara 24 bulan ke atasnya selepas mengaku bersalah melakukan jenayah pecah rumah.

Hazidee Che Haris, 20, dari Kampung Padang Hangus, Tepoh, di sini, terpaksa akur dengan keputusan yang dibuat oleh Majistret Abdul Hayyi Salim bagi kesalahan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan itu.

Terdahulu, Hazidee mengaku bersalah melakukan pecah rumah dan mencuri sebuah televisyen; sepasang speaker; sebuah pemain DVD dan sebuah enjin pam air milik Ab Rahman Salleh, 51.

Dia mengaku bersalah melakukan kesalahan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan, pada 5 Julai lalu antara jam 8 pagi hingga 3.30 petang di rumah mangsa di Kampung Baru, Tepoh, di sini.

Berdasarkan fakta kes, mangsa telah meninggalkan kediamannya itu pada jam 8 pagi, hari kejadian, untuk ke rumah satu lagi miliknya di Kampung Gomok, Tepoh.

Bagaimanapun, kira-kira jam 3.30 petang, apabila pulang semula ke rumahnya, mangsa dapati ada kesan pecah di bahagian pintu dapur belakang rumah sebelum membuat pemeriksaan mendapati barang-barang yang bernilai keseluruhan RM1,000 hilang.

Yakin rumahnya dipecah masuk, mangsa membuat laporan di balai polis dan susulan laporan dibuat, Hazidee ditahan pada 7 Julai lalu, kira-kira jam 12 tengah malam, di sebuah rumah kosong di Kampung Balai Maras, Batu Rakit, di sini.

Hasil siasatan, Hazidee mengaku memecah masuk dan mencuri barang-barang berkenaan dan telah pun menjualkan kepada rakannya di Kampung Panchur Kuin dengan harga RM85 sahaja.

Jeritan anak selamat nyawa

Jeritan anak selamat nyawa
Shafik meninjau keadaan rumah Nor Aklima sambil diperhatikan Che Mahadi.
KUANTAN - Tindakan pantas seorang ibu berjaya menyelamatkan bayinya, Amni Melisa Che Mahadi yang berusia satu tahun dua bulan dari disambar api dalam kebakaran membabitkan dua rumah di Kampung Belukar, dekat sini, semalam.

Nor Aklima Abd Majid, 33, berkata, dia menyedari kejadian itu selepas dua anaknya berumur  lima dan empat tahun menjerit 'api!, api!' dari dalam rumah, manakala anak bongsunya pula menangis di dalam buai berdekatan dapur.

Menurutnya, dia yang ketika itu sedang menyiapkan keperluan untuk berniaga di bazar Ramadan bergegas masuk ke ruang dapur dan mendapati jarak api dengan anaknya tidak sampai satu meter.

“Saya terkejut lihat api sudah dekat dengan Amni Melisa yang sedang menangis dan sebahagian tilamnya sudah hangus disambar api dari dapur.

“Syukur saya sempat menyambarnya dan membawa keluar sebelum keseluruhan rumah hangus dijilat api,” katanya.

Nor Aklima berkata, kebakaran itu mengakibatkan dia kehilangan sebuah motosikal dan barangan keperluan harian turut musnah.

Katanya, kerugian dianggarkan RM50,000 kerana semua barangan bengkel suaminya yang diletakkan dalam rumah turut musnah.

“Ketika kejadian, suami saya tiada di rumah dan ketika dia pulang, tiada apa yang boleh diselamatkan kerana api merebak dengan cepat,” katanya.

Jirannya, Ahmad Fariza Mustafa berkata, dia menyedari kejadian itu kira-kira jam 10 pagi selepas melihat asap masuk ke ruang rumahnya.

Katanya, dia bertindak cepat menyelamatkan barang-barang kerana sebahagian ruang rumah hangus dan ada barang yang turut dijilat api.

“Saya lihat beberapa jiran menyimbah air ke arah rumah Nor Aklima tetapi kami masih tidak mampu menyelamatkan barang-barang di dalam rumah itu kerana api merebak terlalu cepat,” katanya.

Sementara itu, Adun Inderapura, Datuk Shafik Fauzan Sharif berkata, sumbangan segera sebanyak RM5,000 diberikan kepada kepada mangsa, manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat akan memberi bantuan sesuai dengan keadaan mereka.

Dicekup ketika pecah kereta

Dicekup ketika pecah kereta
Suspek yang dipercayai memecah masuk sebuah kereta, awal pagi semalam.
HULU SELANGOR – Hasil kerjasama penduduk dan polis berjaya memberkas seorang suspek yang memecah masuk sebuah kereta yang diletakkan di laman sebuah rumah di Jalan Bunga Kertas, Bukit Sentosa, awal pagi semalam.

Penjenayah berusia dalam lingkungan 30-an itu dipercayai menceroboh rumah teres dua tingkat itu dengan memanjat pagar sebelum memecah masuk kereta Proton Persona milik mangsa, kira-kira jam 6 pagi.

Penduduk, Ramle Mey berkata, ketika kejadian keluarga mangsa yang berada di dalam rumah itu tidak menyedari kehadiran suspek tersebut.

“Mangsa yang baru pulang dari surau berhampiran mendapati suspek itu sedang menggeledah keretanya,” katanya.

Ramle berkata, suspek cuba melarikan diri apabila menyedari kehadiran mangsa bersama tiga penduduk.

“Penduduk menangkap suspek berkenaan kemudian menyerahkannya kepada anggota polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, polis turut menjumpai sebilah parang pada motosikal yang dipercayai dinaiki suspek itu.

“Mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Sentosa berhubung kejadian itu.”

“Difahamkan suspek sama juga pernah ditahan berhubung kes curi tabung masjid berhampiran kira-kira dua minggu lalu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Zulkifli Bidin mengesahkan kejadian itu berkata, pihaknya masih menyiasat kes tersebut.

“Kami menghargai kerjasama penduduk di kawasan itu dalam membantu menangkap suspek berkenaan,” katanya.

Acu pisau, ugut ibu kerana tak dapat duit



KUALA TERENGGANU - Hanya kerana duit, seorang anak tergamak mencemarkan kemuliaan Ramadan dengan mengugut mengacukan sebilah pisau kepada ibu kandungnya.

Kejadian berlaku di Kampung Dalam Kedai Buluh, di sini, kelmarin.

Menurut sumber, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 12.30 tengah malam, semasa ibu malang berusia 56 tahun itu, berada di Masjid Abidin, di sini, menerima panggilan daripada jirannya memaklumkan suspek, 28, sedang mengamuk dengan memecahkan barang di rumah mereka.

“Terkejut dengan panggilan itu, mangsa bergegas pulang dan sebaik tiba kira-kira jam 1 pagi, mangsa dapati suspek sedang mengamuk sambil memegang sebilah pisau.

“Mangsa cuba menenangkan suspek dan memujuknya untuk berbincang secara baik, namun suspek yang dipercayai tidak berpuas hati kerana permintaannya untuk mendapatkan sejumlah wang tidak dilayan mangsa, bertindak agresif mengacukan pisau itu ke arah mangsa,” katanya, semalam.

Menurutnya, mangsa yang ketakutan dengan tindakan suspek nekad melarikan diri bagi menyelamatkan dirinya sebelum membuat laporan di Balai Polis daerah Kuala Terengganu tidak lama kemudian.

“Susulan laporan diterima, suspek ditahan beberapa jam kemudian dan kini direman untuk siasatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan turut menjelaskan suspek direman selama empat hari untuk disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Warga emas, remaja maut

Warga emas, remaja maut
Keadaan mayat Mohd Shafiq yang maut dalam kemalangan di Chica, malam kelmarin.
KOTA BHARU - Dalam tempoh tidak sampai 24 jam, seorang lelaki warga emas dan remaja maut dalam kemalangan berasingan di Wakaf Stan dan Chica, Kubang Kerian di sini petang dan malam kelmarin.

Kejadian pertama melibatkan warga emas, Awang Hamat, 63, berlaku pada jam 6.50 petang ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Suzuki sendirian menghala ke Kubang Kerian hilang kawalan lalu terjatuh ke atas jalan dan dilanggar dari belakang oleh sebuah kenderaan jenis Proton Iswara dari arah sama.

Akibat kejadian itu, mangsa yang pada mulanya mengalami kecederaan di kepala dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk menerima rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 5 pagi semalam akibat masalah jantung.

Manakala kemalangan kedua pula melibatkan Mohd Shafiq Che Huhaim, 19, berlaku pada jam 11.30 malam, ketika mangsa yang menunggang sendirian motosikal jenis Yamaha RXZ membuat pusingan U di tempat tidak dibenarkan.

Mohd Shafiq membuat pusingan U dari Wakaf Stan menghala ke Kubang Kerian dan dilanggar sebuah kenderaan jenis Nissan Sunny dari arah bertentangan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, mangsa yang cedera di kepala disahkan mati di tempat kejadian.

“Kes pertama pada mulanya hanya melibatkan kecederaan di kepala, namun mangsa disahkan meninggal di hospital akibat komplikasi jantung.

“Kedua-dua kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan mayat mereka telah dituntut oleh ahli keluarga untuk urusan pengebumian,” katanya.

Seorang maut, 3 cedera parah

Seorang maut, 3 cedera parah
MPV yang dinaiki empat sekeluarga rosak teruk selepas bertembung dengan sebuah lori di Jalan Machang- Pasir Puteh, kelmarin.
MACHANG - Seorang maut dan tiga yang lain cedera parah setelah kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Jalan Machang -Pasir Puteh, di sini  pada jam 11.30 pagi kelmarin.

Mangsa maut, Anis Syafiqah Harun, 14,  meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia pada jam 11 malam, kelmarin selepas hampir 12 jam mendapatkan rawatan.

Tiga mangsa yang cedera turut mendapatkan rawatan di hospital yang sama manakala pemandu lori yang mengalami kecederaan ringan dirawat di Hospital Machang, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Che Malek Bedot berkata, Anis Syafiqah  yang duduk di bahagian penumpang belakang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Katanya, kemalangan di Kilometer 4.7 Jalan Machang- Pasir Puteh itu membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah lori yang dipandu seorang pemuda.

Menurutnya, MPV yang dipandu wanita itu dalam perjalanan dari Jerteh, Terengganu ke Kedah sebelum bertembung dengan sebuah lori berdekatan Sekolah Menengah  Kebangsaan Hamzah 2, dekat sini.

“Rempuhan kuat tersebut menyebabkan MPV tersebut mengalami kerosakan teruk di bahagian pemandu dan mangsa yang cedera berjaya dikeluarkan dengan bantuan anggota Bomba dan Penyelamat Machang.

“Lori  yang dalam perjalanan dari arah Machang Pasir Puteh itu dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan MPV  itu.  Kes disiasat  di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Bengkel kereta terbakar

Bengkel kereta terbakar
Anggota bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran bengkel membaiki kenderaan milik Mohd Hafiza.
TUMPAT – Sebuah bengkel membaiki kereta berhampiran Jambatan Sultan Yahya di Pasir Pekan di sini, terbakar menyebabkan pemiliknya kerugian puluhan ribu ringgit.

Kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu turut menyebabkan beberapa kenderaan milik pelanggan yang sedang dibaiki di premis tersebut musnah.

Pemiliknya, Mohd Hafiza Yunus berkata, ketika kejadian dia tiada di bengkel tersebut kerana ada urusan kerja di Pasir Tumbuh.

“Isteri saya berada di bengkel ketika kejadian itu dan mujur dia sempat menyelamatkan diri.

“Sebelum itu saya ada menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) namun tidak dibalas,” katanya.

Menurutnya, dia mengetahui kebakaran itu selepas menghubungi isterinya pada jam 6 petang dan terus bergegas pulang kerana khuatir kebakaran itu merebak ke kawasan lain.

“Mujur kebakaran ini tidak merebak ke tiga deretan kedai lain yang berhampiran dengan bengkel saya ini,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan penyelamat Negeri, Abdul Jamil Ishak berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 5.46 petang.

Katanya, seramai 12 anggota dari balai Bomba dan Penyelamat Tumpat dan Darul Naim bersama tiga jentera dikejarkan ke lokasi kejadian untuk kerja menyelamat dan memadamkan kebakaran.

Menurutnya, kebakaran ini membabitkan sederet kedai empat pintu, namun kecekapan anggota bomba berjaya mengawal kebakaran tersebut daripada merebak.

“Pihak kami mengambil masa selama 15 minit untuk mengawal api dari merebak ke kawasan berhampiran.

 “Punca dan anggaran kerugian masih lagi dalam siasatan,” katanya.

Mesin ATM dan minuman di USM dipecah




GEORGETOWN - Sebuah mesin juruwang automatik (ATM) di kampus Universiti Sains Malaysia (USM) di sini dikopak awal pagi tadi.

Yang turut menjadi sasaran ialah dua buah mesin vendor minuman yang wang syiling di dalamnya telah dilarikan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng berkata terdapat kesan kopak dan umpilan pada bahagian bawah mesin ATM itu.

Beliau berkata kejadian disedari berlaku pada pukul 4.56 pagi apabila pihaknya mendapat panggilan dari syarikat penggera yang berpangkalan di KualaLumpur bahawa alat penggera di mesin ATM itu berbunyi.

Mesin-mesin berkenaan terletak berhampiran pintu masuk Sungai Dua.

Naib Canselor USM, Prof Datuk Omar Osman berkata pihaknya memandang serius kejadian itu dan akan menambah bilangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kampus.

"Saya percaya ia kerja orang luar. Terdapat kesan cap jari pada pagar di belakang masjid (berhampiran pintu masuk) dan duit syiling bertaburan di laluan yang kita percaya digunakan penjenayah," katanya.

USM mempunyai empat pintu masuk Minden, Batu Uban dan Sungai Dua yang ditutup pada tengah malam dan dibuka semula pada pukul 6 pagi sementara pintu di sebelah Bukit Gambir dibuka 24 jam. - Bernama

Polis Sabah siasat penipuan perniagaan online



LABUAN - Polis Sabah sedang menyiasat beberapa kes penipuan melibatkan perniagaan secara online, dengan tumpuan kepada sebuah organisasi internet berasaskan laman web terkemuka.
 
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sabah Supt Saiman Kasran berkata perniagaan online dijalankan syarikat berasaskan laman web popular itu dilaporkan telah menipu banyak pembeli.
 
Katanya ini mengakibatkan kebanyakan mereka ditipu ribuan ringgit sejak tahun lepas, tanpa menerima produk dan bayaran balik.
 
"Walaupun jumlah kes masih belum mencapai tahap amat membimbangkan, tetapi kami sedang memburu mereka yang terlibat dalam penipuan ini," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
 
Perniagaan online oleh syarikat itu telah menarik ribuan pembeli menerusi promosi menarik produk mereka termasuk hartanah, perkakasan elektrik, kereta dan kerja.

Modus operandinya ialah menjual dan membeli produk secara online melibatkan pembeli secara online.
 
Sementara itu, seorang pengadu yang hanya mahu dikenali sebagai "Rosli Yussof' berkata beliau menempah dua pasang baju secara online seperti diiklankan syarikat itu dan dijanjikan dihantar dalam dua minggu.
 
"Tetapi selepas dua ke tiga minggu, tidak menerima apa-apa. Seorang rakan, sementara itu kerugian hampir RM10,000 dalam dua transaksi pernigaan secara online," dakwanya.  - Bernama

Lelaki menang pertaruhan dipukul mati



SIBU - Judi boleh mengundang pelbagai angkara, termasuk maut.

Ini terbukti apabila seorang pendatang Indonesia yang menang dalam permainan 'Holo', sejenis judi yang begitu digemari rakyat Indonesia, ditemui mati dibelasah di Jalan Awang Ramli di sini malam tadi.

Mayat Hares Ismail, 61, yang mendirikan rumah tangga dengan seorang wanita Sabah, ditemui terperosok di dalam longkang berhampiran tapak pembinaan Pusat Islam Sibu pada kira-kira pukul 9 pagi, dengan kesan kecederaan pada bahagian kepala dan lehernya.

Seorang pendatang Indonesia, yang dipercayai kalah teruk kepada mangsa, disyaki mempunyai kaitan dengan pembunuhan itu.

Sebelum itu, lelaki berkenaan dilihat menyerang Hares dengan sebatang besi kerana tidak berpuas hati dengan kekalahannya.

Polis juga mendapat perintah mahkamah untuk menahan reman tiga pekerja tempatan selama seminggu bagi membantu siasatan kes itu.

Timbalan ketua polis Sibu Supt Zayadi Sebli berkata polis sedang menyiasat bagaimana mayat mangsa boleh berada di dalam longkang kira-kira 10 meter dari tempatnya diserang. - Bernama

Isteri rayu suami pulang



JERLUN - Seorang isteri dari Kampung Pida 6, Ayer Hitam dekat sini merayu supaya suaminya yang menghilangkan diri sejak 4 Julai lepas pulang ke pangkuan keluarga.

Nurul Huda Othman, 26, berkata suaminya Noor Hamizan Ahmad, 26, dikatakan keluar dari rumah dengan menunggang motosikal untuk ke rumah rakannya yang dikenali sebagai Mohd Zakuan sebelum dijemput oleh seorang lagi lelaki tidak dikenali yang juga bermotosikal.
 
Dia tidak menyedari suaminya keluar dari rumah kerana sedang tidur namun dimaklumkan oleh abang iparnya yang suami keluar rumah pada pukul 2 pagi.
 
Nurul Huda memberitahu pemberita di sini hari ini, sejak kehilangan suaminya, dia dan anggota keluarga berusaha mencari Noor Hamizan di sekitar Kedah dan Thailand selepas mendapat berita bahawa dia ditinggalkan di situ tetapi gagal menjumpainya.
 
"Kami sudah buat dua laporan polis pada 7 dan 10 Julai masing-masing di Ayer Hitam dan Jitra tetapi sehingga kini masih tiada perkembangan mengenai suami saya.
 
"Saya sedih sangat kerana tidak sempat untuk berpuasa dengan suami dan anak-anak Puteri Nur Qaleesya, dua tahun dan Nur Amni Umairah, tiga bulan juga merindui ayah mereka," katanya.
 
Orang ramai yang mengenali dan mempunyai maklumat mengenai Noor Hamizan diminta menghubungi bapanya, Ahmad Jusoh di talian 019-429 5289 dan 017-537 8511 atau balai polis terdekat.  - Bernama

Ibu selamatkan bayi tidur

Ibu selamatkan bayi tidur
Keadaan rumah yang hanya tinggal rangka akibat kebakaran terbabit.
TELOI TUA (SIK) - Bayi berusia lapan bulan yang sedang nyenyak tidur berjaya diselamatkan ibunya setelah rumah keluarganya terbakar tengah hari semalam.

Norina Md Isa, 30, berkata ketika kejadian, beliau menonton televisyen manakala anaknya, Mohd Asraf Syahrul Amir sedang tidur di dalam bilik.

Beliau menyedari kebakaran apabila ternampak asap dari siling dan hanya sempat mengambil beg tangan dan menyelamatkan Mohd Asraf.

“Saya tidak sempat menyelamatkan barangan lain. Tetapi saya tetap bersyukur semua ahli keluarga terselamat.

“Namun saya sedih sebab rumah milik ibu baru sahaja diubahsuai,” katanya ketika ditemui.

Norina tinggal di Seberang Jaya, Pulau Pinang dan hanya pulang ke kampung pada hujung minggu untuk melihat keadaan rumah berkenaan bersama ibunya, Awizah Yahya, 55.

“Ibu tinggal bersama saya di sana dan rumah ini tiada penghuni. Kami hanya pulang ke kampung pada hari cuti atau hujung minggu,” katanya sambil menganggap kepulangan kali ini memberi pengalaman pahit akibat kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Sik, Mohd Faizol Izwan bin Hang Tuah berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 12.58 tengah hari dan mengambil masa selama 12 minit untuk sampai ke lokasi kejadian kerana jaraknya yang agak jauh.

Beliau berkata, anggotanya mengambil masa kira-kira sejam untuk memadamkan api yang sedang marak.

Menurutnya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana empat orang yang menghuni rumah berkenaan sempat menyelamatkan diri.

“Kami mendapat bekalan air dari pili bomba yang terletak kira-kira 30 meter dari lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran itu.

Mohd Faizol berkata, pihaknya masih menyiasat punca kebakaran itu.

Skuad Kesukarelawan Daerah Sik yang diketuai Zulnaidi Abd Razak turut membantu anggota bomba memadamkan kebakaran sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu.

“Kedatangan kami adalah sekadar membantu mengawal lalu lintas dan meringankan tugas anggota bomba,” katanya.

Juru x-ray maut kemalangan

Juru x-ray maut kemalangan
Keadaan kereta mangsa yang terbabit dalam kemalangan di kilometer 27.5, Jalan Tampin- Gemas, di Kampung Tengah, pagi semalam
TAMPIN – Perjalanan seorang juru x-ray dari Segamat, Johor ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban untuk bekerja syif pagi berakhir dengan tragedi apabila kereta yang dipandunya hilang kawalan dalam kemalangan di kilometer 27.5, Jalan Tampin-Gemas, Kampung Tengah, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, kereta dipandu Siti Mariam Zakaraia, 25, hilang kawalan selepas melanggar lubang yang sudah membentuk lopak air lalu terbabas sebelum merempuh sebatang pokok.

Bapa mangsa, Zakaraia Dahlan, 56, berkata, sebelum ke tempat kerja, anak keempatnya itu sempat mengejutnya di bilik tidur sekitar jam 5 pagi untuk bersalaman seperti biasa.

Menurutnya, anaknya itu sempat bersahur bersama adik-beradik lain dan ibunya, Hapipah Awab, 56, sebelum bergegas pulang ke Seremban.

"Malam sebelum kejadian, kami sekeluarga sudah berhimpun bersama-sama susulan kepulangan arwah adalah bagi melihat adiknya yang baru pulang berpantang di kampung Jumaat lalu," katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat Hospital Tampin (HT), dekat sini, semalam.

Zakaraia, seorang pesara guru berkata, dia tidak melihat sebarang perubahan sikap anaknya dan mereka lima sekeluarga sempat bercuti bersama-sama ke Bandung, Indonesia pada 4 hingga 7 Julai lalu.

"Arwah merupakan seorang anak yang baik dan semasa bercuti, dia turut memberikan saya baki duit rupiah sekitar RM200 untuk disimpan sebagai kenangan," katanya.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Wooi Kooi Cheang ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan mangsa maut di tempat kejadian.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal kereta jenis Proton Saga yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan selepas melanggar lubang dan terbabas ke kiri jalan sebelum merempuh sebatang pokok.

“Malah, enjin kereta mangsa turut tercabut dan terbakar di lokasi tidak jauh dari kereta mangsa.

"Mayat mangsa di hantar ke HT untuk proses bedah siasat hari ini (semalam)," katanya.

Tak sempat pulang ke kampung

Tak sempat pulang ke kampung
Keadaan motosikal mangsa yang terbabit dalam kemalangan di kilometer 40, Jalan Tampin-Gemas, di Kampung Sungai Dua, petang kelmarin.
TAMPIN – Hajat seorang remaja untuk pulang ke kampung di Labis, Johor secara senyap-senyap tanpa memaklumkan kepada ayahnya tidak kesampaian apabila dia disahkan maut dalam nahas jalan raya.

Mangsa, Idzuan Hafizi Kussini, 22, meninggal dunia di Hospital Tampin (HT) sejam selepas terbabit kemalangan di kilometer 40, Jalan Tampin-Gemas, Kampung Sungai Dua, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 3.20 petang itu, mangsa mengalami kecederaan parah selepas motosikal dinaikinya bergesel dengan sebuah kereta jenis Proton Iswara Aeroback dari arah bertentangan.

Kakak sulung mangsa, Nurul Hana Kussini, 28, berkata, adiknya itu ada menghantar pesanan melalui WhatsApp pada hari kejadian memaklumkan ingin pulang ke kampung tanpa memaklumkan kepada ayah mereka.   

Menurutnya, dia tidak bersetuju dengan rancangan adiknya itu dan menasihatkan untuk memberitahu ayah mereka terlebih dahulu.

"Bagaimanapun saya sangat terkejut apabila dimaklumkan adik terbabit dalam kemalangan di Gemencheh dan disahkan meninggal dunia di hospital.

"Jika diikutkan, kali terakhir kami bertemu adalah pada Jumaat lepas dan adik menemani saya membeli barangan dapur. Pada waktu itu adik kelihatan lebih banyak diam berbanding biasa," katanya ketika ditemui di perkarangan
Bilik Mayat HT, dekat sini, semalam.

Bapa mangsa, Kussini Isman, 56, berkata, dia terkejut apabila menerima panggilan kira-kira jam 6 petang menyatakan anaknya maut dalam kemalangan, sedangkan dia baru sahaja menerima panggilan anaknya itu pada jam 1 petang hari sama.

"Arwah yang merupakan anak bongsu sememangnya rapat dengan saya. Kali terakhir kami bertemu adalah semasa arwah pulang ke rumah sempena hari lahir saya pada 14 Jun lalu.

"Kehilangannya benar-benar dirasai lebih-lebih lagi arwah sememangnya seorang anak yang sangat periang dalam keluarga dan sering mendengar kata," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Wooi Kooi Cheang ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan mangsa yang cedera parah dikejarkan ke HT.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di HT kira-kira jam 4.49 petang," katanya.

7 kedai nasi kandar kotor diarah tutup

7 kedai nasi kandar diarah tutup kerana kotor
Ketua Unit Inspektorat dan Perundangan Pulau Pinang, Ideris Mohamed (kiri) bersama pegawainya memeriksa restoran nasi kandar di Jalan Sultan Azlah Shah, Georgetown hari ini. - Foto Bernama
GEORGETOWN - Tujuh kedai nasi kandar adalah di antara 22 premis makanan di negeri ini yang diarah tutup oleh Jabatan Kesihatan negeri kerana didapati kotor.

Timbalan Pengarah Kesihatan (Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan), Ku Nafisah Ku Ariffin berkata pihaknya memantau beberapa hari di premis makanan terbabit sebelum melakukan operasi selama enam jam bermula pukul 9 pagi tadi.

"Antara kes yang dikesan adalah kewujudan serangga vektor dalam bahan memasak, peti sejuk tidak berfungsi dengan baik, bahan makanan diletakkan di tempat tidak sepatutnya dan penggunaan alatan memasak yang kotor," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata 34 premis diperiksa iaitu empat di daerah Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah (13), Seberang Perai Selatan (enam), Daerah Timur Laut (lima) dan enam di Daerah Barat Daya.

Ku Nafisah berkata sehingga Jun tahun ini, 3,288 premis makanan telah diperiksa dan 96 daripadanya diarah tutup mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

Katanya operasi sedemikian akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan pengusaha makanan menyedari tanggungjawab menjaga kebersihan dan mengamalkan cara pengendalian makanan yang selamat. - Bernama

Bekas eksekutif hadapi tuduhan gubah wang haram



SHAH ALAM - Seorang bekas eksekutif akaun sebuah syarikat pembungkusan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap 23 pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram, lima tahun lepas.
 
V Mohan, 39, dari Klang dekat sini, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Aslam Zainuddin.
 
Tertuduh didakwa atas 23 pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima wang berjumlah RM350,000 daripada bekas majikannya, Clearpack (M) Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam akaun syarikat Cryovac Resources yang mana tertuduh adalah pemilik tunggal.
 
Daripada jumlah itu tertuduh juga didakwa mengeluarkan RM279,499.10 daripada akaun Cryovac dan memindahkan RM238,000 ke akaun dua buah syarikat iaitu Ramadai Trading dan Optimum Zone.
 
Mohan didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di dua buah bank iaitu AmBank (M) Bhd Cawangan Seksyen 15 di sini dan Alliance Bank Malaysia Bhd cawangan Bandar Bukit Tinggi, Klang, antara 25 Jan 2008 dan 2 Disember 2008.

Pertuduhan mengikut Subseksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram & Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
 
Timbalan Pendakwa Raya Roslina Idris mencadangkan agar tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM200,000 serta seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan.
 
Peguam V.Kumaresan yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan yang dicadangkan atas alasan anak guamnya kini tidak bekerja tetap dan perlu menanggung isteri, seorang anak dan ibu bapa.
 
Beliau berkata anak guamnya juga perlu membayar pinjaman perumahan sebanyak RM3,000 sebulan dan kereta sebanyak RM1,400 sebulan.
 
Aslam kemudian membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM150,000 serta seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 20 Ogos ini untuk sebutan semula kes.
 
Tertuduh membayar wang jaminan.  - Bernama

Samun: Peniaga kedai runcit, anak cedera ditembak

Samun: Peniaga kedai runcit, anak cedera ditembak
Peniaga kedai runcit berusia 51 tahun dan anak lelakinya berusia 13 tahun, cedera terkena tembakan dilepaskan seorang daripada tiga suspek selepas disamun di rumah mereka di Taman Sejahtera, di Ipoh malam tadi. - Foto Bernama
IPOH - Peniaga kedai runcit dan anak lelakinya cedera terkena tembakan dilepaskan seorang daripada tiga suspek selepas disamun di rumah mereka di Taman Sejahtera, Kampar di sini malam tadi.
 
Peniaga berumur 51 tahun itu cedera di perut manakala anaknya berumur 13 tahun di paha kanan dan mereka kini dirawat di sebuah hospital di sini dan keadaan mereka dilaporkan stabil.
 
Timbalan Ketua Polis Perak Datuk A. Paramasivam berkata kejadian berlaku kira-kira 8.30 malam ketika peniaga dan isteri serta dua anaknya yang sedang berehat di ruang tamu didatangi tiga lelaki memakai 'topeng ski' bersenjatakan parang dan sepucuk pistol.
 
Kumpulan itu yang dipercayai mahu merompak kereta Toyota Hilux milik mangsa turut merampas dua telefon bimbit, kunci rumah, kad pengenalan, buku bank dan buku cek mangsa, katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini hari ini.
 
"Ketika suspek sedang menghidupkan enjin kereta Hilux milik mangsa yang berada di hadapan rumah bertindak menyerang suspek dengan sebilah parang, namun seorang daripada mereka melepaskan satu das tembakan dan mengenai perut mangsa serta paha kanan anaknya.
  
"Setelah gagal membawa lari kereta Hilux itu, ketiga-tiga suspek melarikan diri menaiki kereta Proton Perdana berwarna gelap," katanya.
 
Setengah jam kemudian, katanya kumpulan sama menyamun seorang pemilik kilang besi di Jalan Kampar Langkap berumur 31 tahun dengan melarikan kereta Toyota Hilus milik mangsa selain merampas dua telefon bimbit, seutas rantai leher emas, keping loket emas, wang tunai RM6,000.
 
"Semasa mangsa berada dalam kereta di kilang besi miliknya di Jalan Kampar Langkap, datang sebuah kereta Perdana berwarna hitam yang dinaiki tiga lelaki bersenjatakan parang dan bertopeng.
 
"Seorang daripada mereka keluar dan meletakkan parang di leher mangsa, seorang lagi menarik mangsa keluar dari Hilux dan terus melarikan kereta itu manakala seorang suspek lagi berada dalam kereta Perdana," katanya sambil menambah mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.
 
Dua jam kemudian, suspek yang menaiki kereta Perdana itu berjaya ditahan polis dalam sekatan jalan raya di Jalan Ayer Kuning, Tapah selepas kereta suspek berlanggar dengan sebuah kereta dari arah bertentangan selepas membuat pusingan 'U' untuk melarikan diri.

Katanya polis menemui kad pengenalan, buku cek dan buku akaun Tabung Haji milik mangsa pertama dalam Proton Perdana itu yang merupakan kereta curi dan dilaporkan hilang di Bukit Puchong baru-baru ini, katanya.
 
Katanya suspek berumur 33 tahun dan berasal dari Taman Orkid, Teluk Intan mengalami kecederaan di bahagian kaki dan kepala dan kini dirawat di sebuah hospital di sini manakala tiga orang dalam sebuah lagi kereta hanya mengalami kecederaan ringan.
 
Paramasivam berkata siasatan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan kumpulan itu dipercayai terlibat dalam 10 kes curi Toyota Hilux dengan menggunakan modus operandi yang sama.
 
"Polis telah mengenal pasti dua lagi suspek dan mereka berasal dari Perak," katanya.  - Bernama

Ribut Soulik landa China

Ribut Soulik landa China

Anggota keselamatan berusaha mengalihkan pokok selepas berlaku puting beliung di seluruh Taiwan, semalam.
BEIJING - Puting beliung kuat melanda tenggara China semalam menyebabkan ratusan ribu penduduk di wilayah pesisir pantai dikerah berpindah sehari selepas membadai utara Taiwan menyebabkan sekurang-kurangnya dua maut dan lebih 100 mangsa cedera.

Dipetik AP, puting beliung Soulik yang membawa banjir setinggi 18 sentimeter itu menyebabkan sistem pengangkutan terjejas dan perniagaan lumpuh di seluruh Taiwan.

Sehingga kini, anggota kecemasan di Taiwan masih bertungkus-lumus mengembalikan semula tenaga elektrik dan mengalihkan ratusan pokok tumbang di jalan raya.

Pusat Meteorologi Kebangsaan melaporkan, taufan melanda wilayah China di Fujian petang kelmarin membawa kelajuan angin mencecah 119 kilometer sejam.

Media tempatan pula melaporkan, kira-kira 300,000 penduduk di Fujian terpaksa dipindahkan dari kediaman mereka selepas terputus bekalan elektrik sejak 24 jam lalu.

Di Fujian dan Zhejiang, satu lagi wilayah pesisir pantai, perkhidmatan kereta api digantung sementara manakala penerbangan dibatalkan dengan bot nelayan diarah kembali ke pelabuhan.

Perkhidmatan kaji cuaca China memberi amaran tanah runtuh dan banjir akan berlaku sekiranya ribut berterusan sehingga minggu ini.

18 maut, 34 cedera rusuhan antara penyokong tinju



JAKARTA - INDONESIA. Tragedi berdarah berlaku dalam pertandingan akhir tinju amatur Bupati Cup (Piala Pegawai Daerah) di Nabire, Papua pada malam hari Ahad, apabila sejumlah 18 orang maut dan 34 yang lain cedera berikutan rusuhan antara penyokong ahli tinju dari kedua-dua belah pihak.

Rusuhan itu bermula dengan kejadian saling ejek mengejek antara penyokong kedua-dua peserta tinju, serta perbuatan melempar objek oleh beberapa penonton mabuk ke tengah kumpulan para penyokong itu.

Jurucakap polis Nabire berkata mereka yang meninggal dunia dalam kejadian itu terdiri daripada 11 wanita dan tujuh lelaki.

Insiden itu berlaku pada pertandingan akhir kejuaraan tinju amatur Bupati Cup antara Alvius Rumkorem dari Sasana Persada dan Yulianus Pigome dari Sasana Mawa, di Kompleks Sukan Kota Lama Nabire.

Kesudahan pertandingan itu menyaksikan Alvius muncul juara dengan kiraan mata, namun penyokong Yulianus memprotes terhadap keputusan itu sehingga timbul kejadian ejek mengejek serta perbuatan lempar kerusi.

Kekacauan kemudian berlaku sehingga memaksa kira-kira 1,000 penonton dalam kompleks sukan itu berebut untuk keluar dengan cara tolak menolak antara satu sama lain, sehingga ada yang terkorban nyawa dan ada yang cedera.

Lebih 1,500 penonton menyaksikan pertandingan akhir tinju itu malam tadi sedangkan stadium yang menjadi gelanggang pertandingan itu hanya mampu menampung antara 800 hingga 900 penonton.

Stadium Kota Lama Nabire itu hanya mempunyai satu pintu keluar dan masuk. - Bernama

Mekanik dipenjara 14 hari curi coklat




KUALA LUMPUR - Gara-gara mencuri lapan keping coklat bernilai RM63.20 di sebuah pasar raya minggu lepas, seorang mekanik dipenjara 14 hari selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.
   
Majistret Zuraini Abdul Razak memerintahkan Mohd Faizal Abd Rahman, 30,  menjalani hukuman itu dari tarikh tangkap, iaitu Khamis lepas.      

Dia didakwa mencuri lapan keping coklat Cadbury berharga RM7.90 sekeping, di KK Supermart & Superstore Sdn Bhd di Jalan Alor di sini pada 10 malam, 10 Julai lepas dan didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
   
Berdasarkan fakta kes, seorang penyelia melihat tertuduh masuk ke pasar raya itu dalam keadaan mencurigakan dan keluar tanpa membuat apa-apa bayaran.  

Hasil pemeriksaan kamera litar tertutup, mendapati Mohd Faizal mengambil coklat berkenaan.
   
Pada keesokan harinya, tertuduh datang lagi ke pasar raya itu pukul 10 malam untuk membeli coklat Kit Kat, semasa mahu membuat pembayaran, penyelia mengecam tertuduh dan menahannya.
   
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Aisyah Ahmad manakala Mohd Faizal tidak diwakili peguam. - Bernama

30 individu dikaitkan tindakan keganasan di Sabah

Mahkamah
Mahkamah Kota Kinabalu - Gambar Hiasan

KOTA KINABALU - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 17-27 September bagi perbicaraan 30 individu - 27 warga Filipina dan tiga rakyat Malaysia - yang didakwa dengan pelbagai kesalahan berkaitan aktiviti keganasan di Sabah.
  
Mengambil kira jumlah yang dituduh yang akan dibicarakan bersama, Hakim P. Ravinthran menetapkan Pusat Pasukan Gerakan Am di Kinarut, sebagai tempat perbicaraan.
  
Beliau juga berkata tempoh perbicaraan memadai memandangkan pendakwaan akan memanggil sekurang-kurangnya 50 saksi.
  
Daripada tiga rakyat Malaysia itu, seorang wanita menghadapi hukuman penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan, kerana didakwa memberi perlindungan kepada sekumpulan pengganas.
  
Dua lelaki tempatan itu pula didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas dan menderhaka terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Kesalahan yang didakwa dilakukan oleh warga Filipina itu pula termasuk melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong yang boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup, dan kerana menjadi anggota kumpulan pengganas.
  
Sementara itu Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail memberitahu mahkamah bahawa warga Filipina berkenaan menghantar surat kepada Hakim Besar Sabah dan Sarawak supaya membatalkan pelantikan peguam oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.
  
Beliau berkata warga Filipina itu meminta peguam mereka dilantik oleh kerajaan Filipina.
  
Ravinthran berkata beliau akan membuat keputusan selepas membaca surat itu.- Bernama

Makmal sains UiTM Shah Alam terbakar



SHAH ALAM - Sebuah bangunan setingkat yang menempatkan beberapa makmal sains di kampus induk Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini terbakar petang tadi.
 
Difahamkan ketika kejadian pukul 4.15 petang itu, seramai tiga pelajar bersama seorang pensyarah serta seorang pembantu makmal sedang menjalankan ujikaji di dalam salah sebuah makmal berkenaan.
 
Bagaimanapun kesemua mereka sempat menyelamatkan diri apabila menyedari api mula merebak yang dipercayai berpunca dari sebuah bilik makmal yang terletak di bahagian tengah bangunan.
 
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam, Mohd Khairi Daud berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 4.26 petang sebelum menggegaskan kira-kira 30 anggota beserta lima jentera ke lokasi kejadian.
 
Setibanya mereka tempat kejadian, kelihatan asap hitam naik berkepul-kepul dengan api sedang marak membakar bangunan, katanya.

"Pasukan bomba terpaksa mengambil masa kira-kira sejam untuk mengawal kebakaran daripada merebak dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 7.20 malam," katanya ketika dihubungi.
 
Mohd Khairi berkata selain disebabkan struktur bangunan lama, api dipercayai merebak dengan pantas akibat bahan kimia yang terdapat di dalam bangunan makmal.
 
Beliau berkata pihaknya masih menyiasat punca kejadian dan jumlah kerugian yang dialami.  - Bernama