Search This Blog

Saturday, July 13, 2013

Rusuhan penjara di Indonesia, lima maut



MEDAN - INDONESIA . Sekurang-kurangnya lima maut manakala 200 lagi banduan berjaya melarikan diri dalam insiden rusuhan ganas di penjara sesak di barat Indonesia, menurut pihak berkuasa, semalam.

Media melaporkan 800 anggota keselamatan dari wilayah berhampiran turut dikerah untuk membantu operasi mencari ratusan banduan tersebut memandangkan 13 daripada mereka disabit terlibat dengan aktiviti keganasan.

Menurut laporan Al-Jazeera, 64 banduan telah ditangkap semula dan tentera juga terpaksa campur tangan untuk mengawal keadaan di penjara Tanjung Gusta, Medan tersebut.

Polis tahan 3 lelaki terlibat kes gaduh, pukul



KLANG - Polis menahan tiga lelaki dipercayai terbabit dalam pergaduhan antara dua kumpulan di Flat Rebana, Bandar Baru Bukit Raja, Kapar di sini, Khamis lepas.
   
Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP Mohamad Shukor Sulong berkata ketiga-tiga lelaki berusia 24, 35 dan 33 tahun itu ditahan berasingan di Jeram, Kuala Selangor, dan Klang Utama, Klang.
   
"Ketiga-tiga suspek ditahan antara 10 malam dan 12 tengah malam tadi... dua daripada mereka diberkas di sebuah rumah di Jeram manakala seorang lagi ditahan di tepi jalan di kawasan Klang Utama.
   
"Seorang daripada suspek yang ditahan itu merupakan individu yang dikehendaki polis kerana disyaki memukul seorang lelaki dalam pergaduhan itu," katanya pada sidang media di pejabatnya hari ini.
   
Dalam kejadian kira-kira 10.45 malam itu, sekumpulan lelaki yang sedang berbual di kawasan flat itu diserang sekumpulan lelaki lain dipercayai bersenjatakan parang, kayu dan besi.
   
Berikutan kejadian itu, dua lelaki berumur lingkungan 20-an cedera parah di kepala serta beberapa anggota badan dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.
   
Mohamad Shukor berkata pergaduhan itu berpunca daripada salah faham susulan satu kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan kereta pada Rabu di sini, dan bukan disebabkan faktor perkauman seperti yang dihebah melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).
   
"Dua suspek yang ditahan itu direman empat hari bermula hari ini manakala seorang lagi direman sehari... polis juga masih mengesan seorang lagi suspek yang merupakan rakan kepada tiga lelaki yang ditahan malam tadi, yang kita percaya turut terlibat dalam kejadian itu," katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 148 dan 326 Kanun Keseksaan.
   
Sementara itu, seorang pelajar lelaki tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Mahadi di sini, Nguyen Chee Ming, 14, maut selepas mengalami pendarahan teruk dan retak tempurung kepala akibat dihempap tiang gol di padang sekolah berkenaan dalam kejadian kira-kira 5 petang semalam.
   
Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Mohamad Mat Yusop, ketika dihubungi, berkata mangsa dilihat bergayut pada tiang gol itu sebelum ia jatuh dan menghempap mangsa.
   
"Remaja itu mengalami kecederaan di bahagian kanan kepala dan dilaporkan mati ketika dalam perjalanan ke HTAR," katanya sambil menjelaskan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut. - Bernama

Penunggang maut dihempap pokok petai



KOTA TINGGI - Seorang penunggang motosikal maut dihempap sebatang pokok petai dalam kejadian di Kilometer 26.2 Jalan Johor Baharu-Mersing berhampiran Pusat Latihan Tentera Darat (Pulada) hari ini.  

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintenden Mohd Noor Rasid berkata dalam insiden pada 2.05 petang itu, Mohd Faizul Paat@Saat, 38, dari Kampung Lukut meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
   
"Ketika kejadian, Mohd Faizul yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dalam perjalanan pulang dari tempat kerja dari arah Johor Baharu ke Kota Tinggi," katanya.
   
Beliau berkata pokok petai berkenaan turut menghempap sebuah lori yang lalum di jalan sama, bagaimanapun, pemandunya selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
   
Mohd Noor berkata jenazah Mohd Faizul dibawa ke Hospital Kota Tinggi sebelum dituntut warisnya untuk dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lukut malam ini.
   
Sementara itu, isteri Mohd Faizul, Zaradian Zakaria, 32, yang ditemui di Unit Forensik hospital berkenaan berkata suaminya kelihatan ceria ketika hendak keluar bekerja pagi tadi.
   
Mohd Faizul meninggalkan tiga anak, Nurin Irdina, 7, Mohd Naqiuddin, 6, dan Nabila Husna, 15 bulan. - Bernama