Search This Blog

Sunday, July 7, 2013

Mayat wanita dicampak tepi lebuh raya


Kuala Berang: Mayat seorang wanita ditemui dengan kecederaan teruk di kepala dan dahi dipercayai terhantuk pada penghadang jalan, selepas dicampak ke tepi Lebuh Raya Pantai Timur berhampiran Kampung Sungai Ular di sini, semalam.

Mayat berusia dalam lingkungan 40-an dipercayai warga asing itu ditemui di Kilometer 41.1 Bukit Besi-Kuala Terengganu tanpa kain, manakala baju T berwarna oren yang dipakainya terselak ke paras dada, antara jam 6 hingga 7 pagi oleh seorang pengawal keselamatan.

Ketika ditemui, mangsa yang dianggarkan 158 sentimeter tinggi dan berkulit cerah tidak memiliki dokumen peribadi dan tiada tanda suntikan vaksin BCG pada bahu.

Sangkakan patung

Pengawal keselamatan di Hentian Rehat Ajil, di sini berkata, beliau menyedari sesuatu objek seperti patung di tepi lebuh raya itu dalam perjalanan pulang dari menunaikan solat Subuh di Masjid Sungai Ular di sini.

“Saya sangkakan objek yang terbaring di bahu jalan itu adalah patung, tetapi rupanya mayat wanita.

“Disebabkan takut melihat darah, saya tidak menghampiri mayat wanita itu, sebaliknya mendapatkan bantuan untuk menghubungi polis,” katanya yang baru dua bulan bekerja di pondok keselamatan itu.

Dua mayat disembelih ditemui


Kuala Lumpur: Dua mayat lelaki, termasuk seorang yang dipercayai disembelih ditemui di dalam pondok sebuah ladang sawit di Jalan Baru, Seri Keledang, Hulu Selangor.

Polis menerima maklumat penemuan dua mayat berkenaan pada jam 4.30 petang oleh orang awam yang kebetulan lalu di kawasan pondok kayu berkenaan.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi, berkata mayat kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan terlentang dan seorang daripadanya ditemui dengan kesan kecederaan serius di kepala.

Identiti mangsa

“Siasatan awal forensik menemui sebatang cakar besi berhulu kayu patah berada di sisi mayat.

“Keadaan dalam pondok berselerak dan percikan darah di merata tempat dalam pondok kayu berlantaikan papan lapis dan berbumbung zink itu,” katanya ketika dihubungi BH di sini, semalam.

Norel berkata, polis mengesahkan identiti kedua-dua mayat sebagai Muhamad Hafiz Omar, 29, dan Hamsi Hashim, 32, masing-masing berasal dari Hulu Selangor.

Pengkid bakar rumah kekasih


Muadzam Shah: Akibat cinta dihalang, seorang pengkid membakar rumah teman wanitanya di FELDA Keratong, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, suspek berusia 21 tahun pergi ke rumah teman wanitanya yang berusia 17 tahun dengan membawa sebotol petrol.
Curah petrol

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Ahmad Johari Jahaya, berkata suspek dipercayai meninjau rumah teman wanitanya itu sebelum mencurahkan petrol ke arah sebuah bilik dan menyalakan api.

“Bagaimanapun, kejadian itu disedari seorang ahli keluarga teman wanitanya dan api berjaya dipadamkan. Ahli keluarga teman wanita pengkid berkenaan kemudian membuat laporan polis,” katanya.

Ahmad Johari berkata, siasatan mendapati suspek tinggal di tanah rancangan yang sama dan menghilangkan diri sejurus kejadian berkenaan.

“Polis sudah kenal pasti suspek yang juga penagih tegar dan usaha memburu sedang giat dijalankan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat menggunakan api.

'Bukan setakat dera, duit pampasan dikebas'

'Bukan setakat dera, duit pampasan dikebas'Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said (kiri) bertanyakan sesuatu kepada Rafiq ketika melawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu. Kuala Terengganu: “Sudahlah tiga cucu saya didera hingga setengah mati, pampasan kemalangan sebanyak RM100,000 yang diwariskan kepada mereka juga habis disapu manusia tak berhati perut (bapa tiri mangsa),” kata Ramlah Che Kob, 58, nenek kepada tiga beradik yang menjadi mangsa dera bapa tiri mereka.

Tiga beradik itu, Mohd Akil Zakwan, 3; Mohd Afiq Hazwan, 5; dan Mohd Rafiq Haikal, 7, mewarisi wang pampasan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) setelah bapa mereka, itu, Yusman A Wahab, meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya ketika pulang daripada kerja.
Ramlah berkata, dia mengetahui pasal wang pampasan berkenaan selepas diberitahu anak perempuannya, Norazira Abas, 29, iaitu ibu kepada tiga beradik itu.


“Selepas kejadian dera, saya pergi ke rumah sewa mereka untuk mengambil barang cucu saya dan terdetik untuk melihat buku akaun bank.

Rasa geram dan sedih

“Saya amat terkejut dan sedih apabila melihat tiada sesen pun yang tinggal kerana wang itu habis dibelanjakan mereka suami isteri.

“Rasa geram dan sedih yang teramat kerana wang itu adalah hak anak yatim yang ditinggalkan arwah menantu saya untuk masa depan anaknya,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, semalam.
Ramlah berkata, dia memang tidak merestui perkahwinan Norazira dan menantunya kerana tidak berkenan dengan perwatakan lelaki itu yang kelihatan kasar dan bermasalah.

Bagaimanapun, katanya, Norazira nekad untuk berkahwin dan membawa ketiga-tiga anaknya berpindah mengikut suaminya.

“Dari dahulu memang makcik tak suka kerana tak yakin dia boleh jaga cucu makcik. Lagipun makcik rasa dia memang mempunyai niat tersirat apabila berkahwin dengan Norazira semata-mata untuk mendapatkan wang itu,” katanya.

‘Perang’ di hotel


Kuala Lumpur: Mayat seorang warga Vietnam berusia 23 tahun, dipercayai dibunuh, ditemui dalam keadaan berbogel di bawah tangga sebuah hotel di Cheras, di sini, awal pagi semalam.

Ketika ditemui jam 5.30 pagi, mayat lelaki terbabit ditemui dengan lebih tiga kesan tikaman di badan. Insiden kejam itu turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) hotel berkenaan.


Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, berdasarkan rakaman CCTV itu, suspek berusia 44 tahun dilihat hanya memakai seluar dalam sambil memegang dua bilah pisau dari bilik hotel mereka di tingkat empat mengejar mangsa yang berbogel hingga ke tingkat satu. “Mereka bergaduh di dalam bilik. Kemudian mangsa dilihat keluar dari bilik dalam keadaan bogel dan dikejar suspek yang hanya memakai seluar dalam sambil memegang dua bilah pisau. “Suspek mengejar mangsa hingga ke tangga tingkat satu hotel sebelum ditikam hingga mati di situ,” katanya pada sidang media di Balai Polis Alam Damai, di sini, semalam. Menurut Mohan, dari rakaman CCTV itu, suspek dilihat kembali ke biliknya dan bersembunyi di situ. “Polis yang menerima laporan bergegas ke tempat kejadian sebelum membuat pemeriksaan di dalam bilik itu. Kita berjaya menemui suspek dalam keadaan murung,” katanya.

Mohan berkata, pemeriksaan lanjut juga menemui dua bilah pisau, dipercayai digunakan suspek untuk menikam mangsa, serta beberapa pil Viagra milik mereka. “Dalam kejadian itu, suspek turut mengalami sedikit luka di badannya, dipercayai terkena senjata digunakannya untuk menikam mangsa,” katanya. Mohan berkata, siasatan awal pihaknya mendapati suspek bekerja sebagai pemandu pelancong manakala mangsa mendaftar masuk ke hotel jam 2 petang, kelmarin. “Mengikut rekod perjalanan si mati, dia masuk ke Malaysia menggunakan pas lawatan sosial, Rabu lalu. Bilik diduduki mereka didaftarkan atas nama suspek, kelmarin,” katanya.


Polis masih menyiasat motif kejadian dan hubungan antara mangsa dengan suspek.


Beliau berkata, suspek dirawat di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) manakala mayat mangsa dibawa ke hospital sama untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dalam perkembangan lain, Mohan berkata, seorang pemuda warga tempatan nekad terjun dari tingkat 13 sebuah flat di Pudu Ulu, Cheras di sini, jam 10 malam kelmarin, selepas bertengkar dengan ibunya.


Katanya, mangsa yang cedera teruk di kepala dan badan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa dibawa ke PPUKM untuk bedah siasat dan siasatan awal mendapati sebelum kejadian, mangsa bertengkar dengan ibunya.


“Mangsa yang hilang pertimbangan kemudian terjun dari balkoni belakang rumahnya,” katanya.


Mohan berkata, polis merakam percakapan ibu dan beberapa jiran mangsa.

Mercun raya RM500,000


Bukit Kayu Hitam: Tanda tanya kehadiran sebuah lori tiga tan yang diparkir di hadapan Markas Taktikal Pasukan Gerakan Am (PGA) di sini, akhirnya terjawab berikutan penemuan sejumlah 328 kotak pelbagai jenis mercun dan bunga api dianggarkan bernilai RM500,000, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam, lima anggota Batalion 3 PGA membuat pemeriksaan ke atas lori terbabit yang ditutupi kanvas kerana curiga berikutan kenderaan tidak boleh diletakkan di kawasan itu disebabkan pagar sempadan sudah ditutup jam 12 tengah malam.


Difahamkan, lokasi lori itu diletakkan hanya kira-kira 150 meter dari sempadan Thailand berhampiran pintu masuk. Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 3 PGA Deputi Superintendan S Sivanganam berkata, hasil pemeriksaan mendapati lori itu ditinggalkan pemandunya dan berkunci manakala bahagian belakangnya ditutup dengan kanvas.

Beliau berkata, anggota PGA kemudian membuat pemeriksaan sebelum menemui kira-kira 328 kotak dipercayai mengandungi pelbagai jenis mercun dan bunga api termasuk yang berbahaya.


“Berikutan itu, anggota kami melakukan intipan di lokasi kejadian sehingga jam 7 pagi tadi (semalam) untuk menunggu pemandunya mengambil semula lori terbabit, tapi tiada individu datang.


“Kita mengesyaki lori itu sengaja ditinggalkan di situ dan berkemungkinan mereka mahu membawa barang larangan ke negara ini jika pihak berkuasa tidak menyedarinya.

“Kami merampas semua mercun serta bunga api berkenaan sebelum dibawa ke Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk dibuat laporan rampasan dan siasatan lanjut,” katanya ketika ditemui di sini.


Sivanganam berkata, berdasarkan siasatan, pihaknya percaya mercun dan bunga api itu dibawa masuk dari negara jiran untuk diseludup ke negara ini berikutan Aidilfitri akan menjelang tidak lama lagi.

Pihaknya akan menyerahkan kes berkenaan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu untuk siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan dan Kakisan 1952.


Bagi kesalahan itu, mereka yang terbabit boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.


“Ini rampasan terbesar yang dilakukan anggota PGA Batalion 3 sejak mengambil alih tugas di kawasan sempadan dan kita akan menjalankan pemeriksaan lebih ketat untuk memastikan tidak berlaku sebarang penyeludupan, di sini,” katanya.

Abang perangai keji!


Kangar: “Saya dibelasah, termasuk disebat abang, hanya kerana saya ditinggalkan suami, malah tanggapan menjadi bebanan keluarga juga dijadikan alasan untuk menghalalkan saya dipukul,” kata Nor Wahida Osman, 27, yang menjadi mangsa kekejaman abang kandungnya sejak beberapa bulan lalu.

Dalam kejadian Khamis lalu, anak lelaki sulung wanita itu yang berusia 11 tahun mengalami trauma apabila dikurung dan dibelasah lelaki terbabit selepas berang mereka lari dari rumah didiami bersama suspek, ibunya dan seorang lagi anak Wahida.


Difahamkan, mereka didera mental dan fizikal oleh suspek berusia 38 tahun sejak beberapa tahun lalu, namun tidak berupaya membuat laporan polis selepas keluarga mereka membabitkan orang kelainan upaya (OKU) lembam.

Wahida ketika menceritakan penderitaannya berkata, mereka tinggal serumah bersama ibunya yang juga ibu tunggal Embun Muhammad, 60, dan seorang lagi anak perempuannya berusia empat tahun yang juga OKU lembam.


“Kami sekeluarga, termasuk ibu, abang dan anak tidak tahu membaca, selain tiada pekerjaan dan hanya bergantung kepada ihsan orang ramai untuk meneruskan kehidupan.


“Saya dan ibu juga tidak pandai memasak dan hanya tahu merebus makanan basah yang kami peroleh sebelum dimakan. Jika ada orang memberi daging atau telur, kami hanya merebusnya sebelum dihidangkan bersama nasi putih,” katanya.

Tinjauan Metro Ahad semalam mendapati, kediaman milik keluarga malang itu tidak ubah seperti rumah tinggal yang tidak diurus. Malah, dapur yang sepatutnya digunakan sebagai tempat memasak hanya dibiar di atas kabinet, dipercayai hasil sumbangan orang ramai.


Wahida berkata, keluarganya memperoleh bantuan perumahan daripada pejabat Baitulmal negeri pada 2011, namun mereka tidak pandai mengurus rumah itu.

“Saya juga sering lari daripada rumah selepas sering diperlakukan kejam oleh abang kandung, malah anak sulung saya juga dideranya.


“Akibat itu, saya menumpang teduh di rumah rakan di Kampung Sanglang sebelum berjaya ditemui abang lalu melarikan anak lelaki saya dan mengurungnya di dalam bilik air di rumah,” katanya.


Wahida kini menemani anaknya yang masih dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) berharap ada pihak menghulurkan bantuan kepadanya kerana risau dengan nasib gelap menimpa anaknya, termasuk tidak bersekolah.


“Sudahlah nasib saya begini, abang kandung pula dengan perangai kejinya memukul serta membelasah saya dan anak saya sesuka hatinya.


“Baru kini saya tahu ada pihak berkuasa boleh membantu kerana sebelum ini tidak tahu mahu mengadu kepada sesiapa berikutan menyedari kekurangan diri yang tidak tahu membaca dan menulis,” katanya.


Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri Abdullah Ali berkata, pihaknya memandang serius nasib menimpa keluarga terbabit dan akan menghulurkan bantuan segera bagi memberi pembelaan sewajarnya.


“Kita akan melihat jenis bantuan yang akan diberi kepada mereka, termasuk menempatkan kanak-kanak berkenaan di rumah kebajikan selain bantuan bersesuaian,” katanya.

Lelaki curi motor antara 91 ditahan


Temerloh: Seorang lelaki yang dikehendaki polis mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri, antara 91 individu yang ditahan dalam Ops Lejang Khas, awal pagi semalam.

Lelaki itu ditahan selepas dipercayai turut terbabit dalam kegiatan mencuri motosikal di sekitar bandar ini berdasarkan intipan polis sejak sebulan lalu.


Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, semakan terhadap individu berkenaan mendapati wujud beberapa rekod berkaitan kes kecurian di Bahau, Negeri Sembilan.

“ Operasi bermula jam 12 tengah malam dan berakhir jam enam pagi semalam itu membabitkan tujuh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) iaitu Temerloh, Bera, Jerantut, Mentakab, Bentong serta Kuantan yang dijalankan untuk mengesan seterusnya menangkap mereka yang memiliki motosikal curi.


“Kita turut mengesan beberapa individu lain yang mempunyai rekod kecurian lampau dan menahan mereka untuk siasatan lanjut,” katanya ketika ditemui selepas operasi.


Aziz berkata, antara individu lain yang ditahan adalah tiga remaja bawah umur yang terbabit dalam kegiatan curi petrol kenderaan.

“Ketika serbuan itu juga, kita menahan 85 pendatang asing tanpa izin yang bekerja di sekitar bandar ini kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah,” katanya.


Sebelum itu, polis mengadakan serbuan terhadap enam rumah dan premis berdasarkan laporan dan intipan dilakukan sebelum ini berhubung beberapa individu yang terbabit dalam kegiatan curi motosikal.

4 penyamun rompak RM15,000


Georgetown: Seorang lelaki kerugian RM15,000 apabila rumahnya dipecah masuk empat lelaki bersenjatakan batang kayu dan parang dan melarikan pelbagai barangan berharga di Pongsu Seribu, Kepala Batas, Seberang Prai Utara (SPU), di sini, Rabu lalu.

Kejadian berlaku jam 2 pagi ketika mangsa berusia 41 tahun tidur di rumahnya sebelum empat lelaki memakai topeng masuk ke rumah melalui tingkap nako dapur yang diumpil.


Jurucakap polis berkata, keempat-empat suspek terus ke bilik tidur mangsa lalu mengacukan parang dan mengarahkan mereka diam.

Menurutnya, suspek kemudian menggeledah rumah mangsa dan mengambil wang tunai, komputer, enam telefon bimbit, barang kemas dan dokumen diri sebelum melarikan diri dan mengunci mangsa serta ahli keluarganya dalam sebuah bilik.


“Mangsa bagaimanapun berjaya meloloskan diri dan menghubungi polis. Kes disiasat mengikut Seksyen 395 /397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkumpulan dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan,” katanya.


Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah ketika ditemui mengesahkan kejadian itu dan berkata, siasatan masih dijalankan.

Lelaki ditembak angkara dadah


Georgetown: Masalah dadah dikenal pasti menjadi punca seorang lelaki ditembak mati dari jarak dekat oleh dua lelaki di sebuah kedai makan di Relau, di sini, Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, berdasarkan siasatan, mangsa K Kugineswaran, 30, berasal dari Taman Damai, Taiping, Perak mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan ia dipercayai ada kaitan dengan kejadian.


Katanya, polis masih menjalankan siasatan, termasuk mendapatkan keterangan keluarga mangsa selain maklumat saksi kejadian.

Menurutnya, polis kini giat melancarkan gerakan menjejaki kedua-dua suspek yang melarikan diri dengan sebuah motosikal selepas menembak mangsa.


“Ketika kejadian, mangsa tidak membawa dokumen pengenalan diri. Mangsa juga dikatakan berkahwin dan mempunyai seorang anak.


“Mangsa juga dikatakan tinggal berdekatan tempat kejadian dan sehingga kini tiada tangkapan dilakukan dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh dan sabit kesalahan boleh digantung sampai mati,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Program Konvoi Kutipan Amal untuk Tabung Wira Lahad Datu anjuran Kelab Motosikal One Nations dan Kelan Penang Bikerz Town di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri, di sini, semalam.


Dalam kejadian jam 10.30 malam, Kugineswaran yang baru membeli tosai maut ditembak dari jarak dekat di belakang sebuah kedai ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas dipanggil dua lelaki.

Sebelum itu, mangsa dan dua suspek dikatakan bertengkar sehingga berlaku pergaduhan dan berakhir dengan mangsa ditembak empat das di beberapa bahagian badan dan maut di tempat kejadian.

Empat perompak ditahan dalam tempoh 12 jam


Baling: Keseronokan empat lelaki melarikan wang tunai dan barangan lain termasuk telefon bimbit bernilai RM700, dari sebuah kedai serbaneka 24 jam di Kuala Ketil, dekat sini, kelmarin, tidak bertahan lama apabila dicekup polis dalam tempoh hanya 12 jam.

Kejadian dipercayai berlaku jam 5.45 pagi apabila empat lelaki berusia 19 hingga 26 tahun menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora meluru masuk ke premis terbabit dengan seorang bersenjatakan parang.


Ketika kejadian, dua pekerja premis terbabit berusia 21 dan 22 tahun diarah membuka laci mesin juruwang sebelum mereka mengambil semua wang tunai dan barangan lain, termasuk rokok.

Ketua Polis Daerah Baling Superintendan Mat Daud Mat Hasan berkata, mangsa berada di kaunter juruwang, manakala rakannya menyusun barang apabila empat lelaki itu masuk dengan mengacu parang serta meminta wang.


Menurutnya, seorang suspek dikatakan mengacu parang di kepala seorang pekerja dan memintanya membuka laci mesin juruwang, manakala rakan lain mengambil rokok serta barangan makanan.


“Keempat-empat suspek terbabit tidak memakai penutup muka ketika memasuki premis. Mereka turut mengambil pelbagai rokok, keropok, kondom, coklat, makanan ringan dan melarikan wang RM109.90 yang diambil dalam laci mesin juruwang.

“Sebelum melarikan diri, lelaki berkenaan turut merampas telefon bimbit mangsa bernilai RM600 dan menaiki kenderaan Proton Exora berwarna hitam dengan nombor pendaftaran KCT 2112 menuju ke arah Sungai Petani,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Menurutnya, sebaik menerima laporan mangsa, sepasukan enam anggota Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Daerah diketuai Inspektor Abdul Aziz Md Resof memburu keempat-empat lelaki terbabit mengikut rakaman kamera litar tertutup (CCTV) milik premis itu.

Katanya, suspek pertama berusia 19 tahun ditahan di depan Kompleks Centre Square Sungai Petani, jam 3 petang, dan polis turut menemui parang, rokok, kondom serta coklat yang dicuri di premis berkenaan yang disimpan di rumahnya.


“Berikutan tangkapan itu, polis menjejaki tiga lagi rakannya di dua lokasi berasingan. Dua ditahan di Pusat Peranginan Lata Bukit Hijau, Tawar manakala seorang lagi di rumahnya di Taman Kempas, Sungai Petani.


“Semua lelaki berkenaan ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan tanpa senjata api, dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan,” katanya.

Tak sempat bunuh diri


Sibu: Suspek utama yang juga suami serta bapa kepada tiga beranak yang dibunuh di sebuah rumah di Pulau Li Hua, di sini, pagi kelmarin, tidak sempat membunuh diri selepas kehadirannya disedari orang awam sebelum ditahan berdepan stesen minyak di Batu 5, Jalan Sibu-Bintulu, malam kelmarin.

Suspek dikatakan tertidur dalam pacuan empat roda dipandunya, dipercayai akibat keletihan, malah sempat membeli hos untuk menyalurkan asap daripada ekzos ke dalam kenderaan dalam cubaan membunuh diri.


Bagaimanapun, pergerakan suspek berusia 43 tahun itu dikesan selepas polis menerima maklumat berhubung sebuah pacuan empat roda berhenti di tepi jalan.

Sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu diketuai Asisten Superintendan Yeoh Chun Shyan bergegas ke lokasi dimaklumkan sebelum menahan suspek jam 7.30 malam.


Sumber berkata, suspek dipercayai tertidur akibat mengantuk selepas melarikan diri sebaik membunuh isterinya, Ling Yung Ming, 40, serta dua anak, Christine Tiang Soon Ai, 14, serta anak bongsu, Victor Tiang Soon Sheng, 2.


“Suspek terjaga daripada tidur dan membuka pintu kenderaan lalu ditahan. Siasatan mendapati suspek cuba membunuh diri dengan membeli hos untuk memasukkan asap daripada ekzos ke dalam pacuan empat roda.

“Ketika ditahan, enjin dimatikan dengan barang berkenaan masih disimpan dalam kenderaan.


“Pada masa sama, polis menemui kesan merah pada leher suspek dipercayai bergelut dengan seorang mangsa. Suspek kemudian diiringi anggota polis sebelum dibawa ke IPD Sibu,” katanya.

Polis mendapat perintah reman tujuh hari bermula semalam di Mahkamah Majistret Sibu bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan.


Perintah tahanan reman terhadap suspek dikeluarkan Majistret Atiqah Abdul Karim terhadap suspek yang diwakili peguam Lau Hui Kui. Suspek dibawa ke mahkamah jam 1.40 petang diiringi sepasukan anggota polis.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Shafiee Ismail berkata, polis mengenal pasti motif sebenar suspek membunuh ahli keluarganya, namun tidak menjelaskan lebih lanjut kerana kes masih dalam siasatan.


“Siasatan awal mendapati suspek merancang membunuh semua anaknya, namun anak sulungnya berjaya melepaskan diri dan kami juga yakin suspek merancang membunuh diri.


“Kami akan mengumpul semua bukti dan berbincang dengan Timbalan Pendakwa Raya untuk menuduh suspek mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya sambil menganggap kes itu selesai berikutan penahanan suspek.

‘Superman’ tangkap pencuri daging


Sheffield: Dengan pergerakannya yang lebih pantas daripada troli, Luke Junior mempamerkan aksi serta-merta berpakaian Superman untuk menangkap seorang pencuri daging.

Orang ramai bersorak apabila Luke menangkap pencuri berkenaan.


Luke, 24, berada di situ secara kebetulan untuk menjadi model super hero berkenaan bagi satu acara kebajikan. “Dia keluar dari pusat beli-belah ketika saya bergambar dengan beberapa kanak-kanak.

“Saya mendengar pengurus pusat itu menjerit ‘Tangkap orang itu!’” katanya.


Selepas pasti apa sebenarnya berlaku, ‘Superman’ itu betindak pantas dan menangkap pencuri berkenaan.


Pengacara di majlis kebajikan yang dihadiri Luke itu kemudian memainkan lagu tema filem Superman dan orang ramai bertopak sorak untuk meraikan kejayaan Luke.

“Saya kembali kepada kanak-kanak berkenaan dan memberitahu mereka supaya jangan melakukan tindakan yang menyalahi undang-undang,” katanya. - Agensi

29 maut kemalangan dalam tempoh enam bulan


29 maut kemalangan dalam tempoh enam bulan
Warga komuniti dan pegawai JPJ Terengganu memenuhi dewan utama pada majlis perasmian penutup program SJSK di Felda Jerangau.
29 maut kemalangan dalam tempoh enam bulan
Yusof (kanan) melihat gerai pameran.
DUNGUN - Seramai 29 terkorban dalam kemalangan maut di Dungun untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Yusoff Ayob berkata, selain 29 yang menjadi mangsa korban nahas jalan raya, statistik mencatatkan 27 mangsa mengalami cedera parah, 37 cedera ringan dengan keseluruhan kemalangan daripada Januari hingga Jun 2013 mencecah 845 kes.

“JPJ berharap, penunggang dan pemandu dapat mematuhi undang-undang yang ada bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

"Usaha pihak JPJ melaksanakan program Satu Komuniti Satu JPJ secara tidak langsung dapat mendidik orang ramai agar menjadi pengguna jalan raya yang berpengetahuan, berkemahiran dan berhemah,” katanya selepas merasmikan penutup program berkenaan di Dewan Sivik, Felda Jerangau, dekat sini, pagi semalam.

Program anjuran JPJ Terengganu itu membolehkan 312 penduduk berusia 45 tahun ke atas yang menjadi peserta berjaya mendapat lesen memandu dengan mudah dan cepat tanpa melibatkan kos yang mahal.

Pada program sama, Yusoff juga turut mengingatkan orang ramai supaya menjaga emosi ketika memandu kerana ia boleh menjejaskan tumpuan pemanduan, seterusnya menyebabkan berlakunya kemalangan.

Hanyut tanpa makanan


Hanyut tanpa makanan
Konsulat kedutaan Indonesia, Mayor Laut (P) Wishnu Ardiansyah menemu bual ketiga-tiga nelayan dari Indonesia yang diselamatkan oleh kapal Maritim Malaysia.
LUMUT - Maritim Malaysia berjaya menyelamatkan tiga nelayan warga Indonesia yang hanyut dalam sebuah bot di perairan negara pada kedudukan kira-kira 32.5 batu nautika dari barat laut Pulau Pangkor, di sini kelmarin.

Ketua Penguat kuasa Daerah Maritim 3 Perak, Kapten (M) Abdul Razak Johan memaklumkan, tiga nelayan berkenaan ditemui oleh sebuah kapal Maritim berpangkalan di Lumut ketika operasi mencari dan menyelamat seorang pemancing yang dilaporkan hilang.

Menurut beliau, pemeriksaan yang dijalankan pada jam 4 petang kelmarin mendapati, bot gentian yang dinaiki oleh nelayan terbabit mengalami kerosakan.

"Akibat kerosakan enjin itu, tiga awak-awak dikenali sebagai Bransyah ,34, Maad Kurniaan ,23, dan Tengku Darma ,17 dipercayai telah hanyut selamat tiga hari di laut tanpa bekalan makanan.

"Kapal Maritim telah menunda bot yang berpangkalan di Acheh Tamiang itu ke jeti perikanan Kampung Acheh untuk diserahkan kepada kedutaan Indonesia serta membaiki bot," katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Sementara itu, Abdul Razak berkata, operasi mencari dan menyelamat seorang pemancing tempatan yang jatuh ke laut dalam perjalanan balik ke pangkalan selepas keluar memancing ikan bersama 11 rakannya di teruskan untuk hari ketiga semalam.

Menurutnya, mangsa dikenali sebagai Soon Ah Kun @ Soon Ah Liat, 75 berasal dari Tambun, Ipoh telah disedari hilang oleh rakannya pada jam 12 tengah hari, Khamis lalu.

"Mangsa disedari hilang sewaktu rakan-rakannya sedang membuat persiapan makan tengah hari di perairan pada kedudukan kira-kira 31 batu nautika dari Tanjung Hantu.

"Maritim Malaysia telah menggunakan aset kapal dan Unit Udara Pesawat Bombadier CL 415 serta dibantu kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam operasi mencari dan menyelamat itu. Pencarian akan diteruskan sehingga Isnin," katanya.

Polis masih buru dua suspek kes bunuh




GEORGETOWN - Polis masih memburu dua suspek utama yang terlibat dengan kes pembunuhan seorang lelaki di hadapan sebuah gerai tosai di Relau malam Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengesan dua suspek berkenaan yang melarikan diri selepas melepaskan beberapa das tembakan terhadap mangsa.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, mangsa, K Kuganeswaran, 30, ditemui mati di tempat kejadian dengan kesan empat das tembakan di dada dan lehernya.

Mazlan berkata, ketika kejadian kedua suspek berkenaan memakai topi keledar dan lokasi kejadian tidak dilengkapi kamera litar tertutup (cctv) menyebabkan polis sukar mengenal pasti identiti suspek.

Bagaimanapun, katanya, polis telah merekodkan beberapa keterangan termasuk daripada ahli keluarga mangsa dan percaya dapat menahan suspek dalam masa terdekat.

“Mangsa yang berasal dari Taiping sebelum ini mempunyai rekod jenayah bersabit kesalahan dadah dan kita percaya kes ini juga bermotifkan dadah.

“Mangsa yang mempunyai seorang anak dan bekerja di salah sebuah kilang di Bayan Lepas telah tinggal di sini sejak dua tahun lalu,” katanya kepada media ketika ditemui selepas melepaskan konvoi bermotosikal Program Wira Lahad Datu Ride di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri di sini semalam.

Mazlan berkata, pihaknya meminta kerjasama orang ramai yang melihat kejadian itu agar tampil memberi maklumat di mana-mana balai polis berhampiran.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Nenek nyaris digilis

ALOR SETAR - Seorang warga emas cedera parah di bahagian kepala selepas motosikal ditunggangnya berlanggar pada cermin sisi sebuah kereta di Seberang Jalan Putra, dekat sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu menyebabkan wanita berusia lingkungan 60-an jatuh tersembam dan mengalami pendarahan di bahagian kanan kepalanya.

Menurut seorang saksi, semasa kejadian berlaku mangsa yang dikenali sebagai Mary, baru sahaja masuk ke jalan utama sebelum motosikalnya berlanggar dengan cermin sisi kereta jenis Proton Iswara berkenaan.

Katanya, keadaan mangsa parah kerana turut mengalami muntah darah dan diberi pertolongan cemas oleh orang awam.

“Mangsa bernasib baik kerana tidak ada kenderaan lain datang dengan laju semasa dia jatuh. Kalau tidak mungkin dia berisiko digilis kenderaan lain,” katanya.

Mangsa kemudiannya dibawa ke hospital dengan bantuan unit kecemasan Jabatan Pertahan Awam (JPA).

Manakala pemandu kereta, seorang remaja lelaki awal 20-an bergegas ke Balai Polis untuk membuat laporan.

Cubaan pecah mesin ATM gagal


Cubaan pecah mesin ATM gagal
Sebuah mesin ATM dikopak oleh penjenayah dalam kejadian di Jalan Raja Laut, di sini, semalam.
KUALA LUMPUR – Cubaan penjenayah untuk merompak mesin ATM di Hong Leong Bank Jalan Chow Kit tidak kesampaian apabila mesin yang diumpil gagal dipecahkan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, sebuah daripada tiga mesin ATM di kawasan itu telah terkopak dalam kejadian kira-kira jam 4.05 pagi.

“Bahagian penutup atas dikopak namun mesin tidak berjaya dibuka. Setakat ini tiada sebarang kerugian.

“Tiada sebarang alat yang ditemui, malah gas Oxy-Acetylene juga tidak digunakan dalam kes ini,” katanya menerusi SMS, semalam.

Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan bagi mengesan penjenayah terbabit.

Gerak hati selamatkan rumah pusaka


Gerak hati selamatkan rumah pusaka
Kalimah menunjukkan bahagian rumahnya di Kampung Rendah yang terbakar semalam.
REMBAU – Gerak hati seorang warga emas untuk segera pulang ke rumahnya di Kampung Rendah, dekat sini, petang kelmarin selepas membantu merewang kenduri di rumah saudaranya berjaya menyelamatkan rumah pusakanya berusia lebih 50 tahun dari rentung terbakar.

Kalimah Harun, 68, berkata, pada mulanya dia dinasihatkan oleh seorang saudara untuk bermalam sahaja di rumah saudaranya itu memandangkan cucu yang dijaganya, Farisya Natasha Mohd Fadzli, 11, menyertai program berkhemah di sekolah.

Bagaimanapun, katanya, dia menolak pelawaan berkenaan kerana tergerak hati untuk pulang segera ke rumahnya lebih-lebih lagi dia belum menunaikan solat Asar dan ingin melakukannya di rumah sahaja.

“Sebaik tiba di kawasan rumah, mak cik ternampak kepulan asas, mak cik ingat jiran sebelah membakar sampah. Tapi, sebaik sahaja mak cik membuka pintu rumah berdekatan bahagian dapur, mak cik terdengar bunyi benda meletup-letup.

“Tidak lama selepas itu, mak cik lihat api sudah marak membakar dinding papan dapur rumah mak cik yang terletaknya peti suis utama dan terus menjerit meminta pertolongan jiran serta saudara yang tinggal berdekatan,” katanya ketika ditemui di lokasi berkenaan, di sini, petang kelmarin.

Kalimah berkata, sambil meminta pertolongan, dia menarik paip getah dan menyemburkan air di bahagian yang terbakar dan saudara mara serta jiran turut membantu memandam kebakaran sementara menunggu anggota bomba dan penyelamat tiba.

Susulan kejadian, lima anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan 2, Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Abdul Jalil Jasin bergegas ke lokasi berkenaan.

Wanita lihat suami maut depan mata


Wanita lihat suami maut depan mata
Sariah tidak dapat menahan sedih ketika pegawai perubatan memeriksa suaminya yang maut di tempat kejadian.
Wanita lihat suami maut depan mata
Zakaria
TELOK KEMANG – Seorang wanita sempat mengajar suaminya yang terbabit kemalangan, mengucap dua kalimah syahadah sebelum meninggal dunia.

Kejadian berlaku kira-kira 9.30 pagi semalam apabila mangsa, Zakaria Tamim, 66, terbabit kemalangan membabitkan dua motosikal di hadapan Sekolah Agama Rakyat Haji Awaludin, Telok Kemang, dekat sini.

Isteri mangsa, Sariah Kantan, 58, berkata, ketika kejadian dia bersama suaminya itu dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Sungai Raya ke Telok Kemang bagi membeli barangan keperluan harian sebagai persediaan menyambut Ramadan.

Bagaimanapun, katanya, motosikal jenis Modenas yang ditunggang suaminya bergesel dengan sebuah lagi motosikal jenis Yahama yang ditunggang seorang lelaki dari arah sama, menyebabkan kedua-dua mereka terjatuh.

“Saya tidak sangka kejadian ini boleh berlaku dan ketika arwah berhadapan dengan maut, saya sempat mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah.

“Sedih dan sayu melihat suami meninggal dunia di depan mata sendiri akibat kemalangan dan saya reda dengan ketentuan Ilahi. Ramadan kali ini pasti berbeza dengan tahun sebelum sebelumnya, doakan saya tabah menghadapi dugaan ini,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Sariah yang turut cedera ringan berkata, penunggang Yamaha itu bagaimanapun hanya cedera ringan dan dirawat Hospital Port Dickson.

Jenazah mangsa kemudian dibawa ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Raya, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Abd Wahab Harun ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Tukang cat maut dengan 10 tikaman


Tukang cat maut dengan 10 tikaman
Yahaya
SUBANG JAYA - Seorang tukang cat kereta warga Myanmar ditemui mati dengan 10 kesan tikaman, sebelum mayatnya dibuang dalam longkang berdekatan sebuah kedai alat ganti di Bandar Sunway, di sini, semalam.

Mayat mangsa ditemui dalam keadaan terlangkup oleh orang awam kira-kira jam 12.10 tengah malam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komsioner Yahaya Ramli berkata, perkara itu kemudiannya dimaklumkan kepada polis, sebelum sepasukan anggota dihantar ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, siasatan menunjukkan mangsa, Ye Win Tun, 33, cedera parah di bahagian pinggang, dada, perut dan rusuk akibat ditikam dengan pemutar skru dan pisau.

Menurutnya, polis turut menemui sebuah jip jenis Isuzu di parkir atas tebing berdekatan longkang berkenaan.

“Semakan bagaimanapun menunjukkan kenderaan itu milik majikannya. Hasil soal siasat terhadap isteri mangsa mendapati mangsa ada menghubungi isterinya pada jam 9 malam kelmarin memaklumkan keretanya rosak di hadapan sebuah pusat beli-belah di kawasan tersebut,” katanya, semalam.

Katanya, pada jam 12 tengah malam semalam, isteri mangsa menghubunginya dan mangsa memberitahu sudah mendapat bantuan.

Yahaya berkata, mangsa bagaimanapun gagal dihubungi isterinya kira-kira setengah jam kemudian apabila telefon bimbitnya ditutup.

Beliau berkata, motif pembunuhan belum diketahui, namun pihaknya sedang mengesan rakan mangsa yang juga warga Myanmar dikenali sebagai Ameng yang dikatakan adalah individu terakhir dilihat bersama mangsa.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Yahaya berkata, seorang lelaki ditemui mati ditetak dan mayatnya dibuang dalam longkang di hadapan sebuah sekolah menengah di Jalan Perdana 4/1, Taman Puchong Perdana, di sini, semalam.

Beliau berkata, mayat, T S Chandra, 50, itu ditemui orang awam kira-kira jam 12.20 tengah hari dan pemeriksaan menunjukkan mangsa maut akibat ditetak dengan senjata tajam di belakang kepala dan muka, manakala tangan kirinya hampir putus.

“Siasatan tidak menemui sebarang senjata yang digunakan untuk mencederakan mangsa termasuk telefon bimbit miliknya.

“Hasil soal siasat menunjukkan mangsa keluar rumah sejak malam kelmarin dan langsung tidak pulang selepas itu. Isteri mangsa juga gagal menghubungi telefon bimbit milik suaminya,” katanya.

Dua maut dalam sejam


Dua maut dalam sejam
Bas dipercayai terlibat kemalangan di Kilometer 1 Jalan Bentong-Kuala Lumpur.
Dua maut dalam sejam
Pasukan perubatan menjalankan pemeriksaan ke atas mangsa.
BENTONG - Dua maut dalam tempoh satu jam selepas terbabit kemalangan berasingan dekat sini, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, kejadian pertama berlaku pada jam 8.20 malam di Kilometer 1 Jalan Bentong-Kuala Lumpur berhampiran Hentian Raya Bentong.

Katanya, kejadian melibatkan sebuah bas dan motosikal itu menyebabkan penunggang motosikal maut di tempat kejadian.

“Mangsa yang maut dikenali sebagai Mohd Fairul Mohd Nasie, 39, beralamat di Kampung Chamang Baru.

“Dalam kejadian itu, motosikal mangsa dipercayai terbabas dan bergesel dengan tayar belakang sebelah kiri bas,” katanya.

Mohamad Mansor berkata, kes kejadian disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, kejadian kedua pula berlaku di Kilometer 64.0 Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur kira-kira jam 9.25 malam.

Katanya, seorang pejalan kaki dikenali sebagai K Muthu, 39, ditemui mati akibat dilanggar kenderaan yang tidak dapat dikenal pasti.

“Mangsa disahkan petugas Hospital Bentong, mati di tempat kejadian. Orang awam yang ternampak kejadian itu diminta menghubungi polis bagi membantu siasatan,” katanya.

Hadiah terakhir


Hadiah terakhir
Beginilah keadaan lori yang dipandu Mohd Ridzuan selepas melanggar bahagian belakang treler membawa muatan baja dalam kemalangan di Kilometer 165.3 Jalan Jerangau-Jabor, Air Putih, pagi semalam.
Hadiah terakhir
Mohd Ridzuan
CHUKAI – “Seminggu lalu arwah belikan saya telefon bimbit dan untuk ibunya pula, gelang tangan emas,” kata Hussin Endut, 52, yang tidak menyangka itu adalah hadiah pertama dan terakhir daripada anak ketiganya.

Mohd Ridzuan Hussin, 25, maut selepas lori jenis Isuzu yang dipandunya melanggar bahagian belakang treler membawa muatan baja dalam kejadian di Kilometer 165.3 Jalan Jerangau-Jabor, dekat Felda Neram 1, Air Putih, kira-kira jam 7 pagi, semalam.

Akibatnya, lori tiga tan yang dipandu Mohd Ridzuan remuk dan arwah yang tersepit di tempat duduk serta patah kedua-dua tulang rusuk meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan pulang menghantar surat khabar di Kuantan, Pahang, dan menuju ke Ajil iaitu dari arah perjalanan yang sama dengan treler terbabit.

Hussin berkata, dia terkejut apabila anaknya itu menghadiahkan sesuatu yang berharga kepadanya dan isteri, Zainun Ahmad, 49.

“Kepada ibunya, arwah selalu berikan hadiah tapi kepada saya, inilah pertama kali. Sebelum ini arwah juga ada beli telefon bimbit untuk kakak dan dua adiknya.

“Dia seorang bertanggungjawab, sebab itu wang gajinya tidak dibazirkan dan dia juga boleh belikan barangan elektrik serta perabot di rumah kami. Akhir-akhir ini dia juga suka memancing,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Kemaman, dekat sini.

Katanya, sudah menjadi rutin kerja, anaknya mula keluar dari kilang percetakan sebuah akhbar tempatan di Ajil seawal jam 2 pagi untuk menghantar akhbar ke Kuantan dan kebiasaannya pulang ke rumah semula sekitar jam 11 pagi.

Sementara itu, rakan sekerja mangsa, Mohd Fakhruddin Mohamad, 27, berkata, beberapa hari lalu arwah tidak banyak bercakap seperti biasa.

“Kali terakhir saya berjumpanya jam 2 pagi tadi ketika sedang punggah surat khabar ke dalam lori. Waktu itu saya lihat dia tidur nyenyak dalam lori, walaupun saya kejutkan dia masih belum bangun. Kali kedua kejut baru dia sedar sebelum kami bersama-sama bergerak ke Kuantan.

“Saya tahu kemalangan menimpanya semasa di Bukit Besi selepas rakan memaklumkan kejadian berkenaan. Saya terkejut dengan berita sedih ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Che Suza Che Hitam yang mengesahkan kejadian itu berkata, pemandu treler tidak mengalami kecederaan dan bedah siasat terhadap mangsa dilakukan kira-kira jam 10.20 pagi.

Jenazah Mohd Ridzuan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kolam selepas Isyak, semalam.

Mayat disangka patung


Mayat disangka patung
Orang ramai memenuhi lokasi kejadian.
Mayat disangka patung
Unit forensik polis melakukan siasatan.
Mayat disangka patung
Keadaan mangsa ditemui dalam longkang tanpa berpakaian lengkap.
KAMPUNG SUNGAI ULAR - Orang ramai termasuk pengguna Lebuh Raya Pantai Timur gempar dengan penemuan mayat seorang wanita terlentang dalam keadaan tragis dan separuh bogel di Kilometer 41.1 Bukit Besi-Kuala Terengganu, di sini, pagi semalam.

Kejadian menyayat hati itu dipercayai berlaku antara jam 6 hingga 7 pagi berikutan seorang pengawal keselamatan yang melalui lokasi berkenaan sekitar jam 5.30 pagi untuk ke masjid mendapati masih tiada mayat.

Difahamkan, wanita ditemui dalam longkang dengan beberapa kesan kecederaan termasuk di kepala dan dahi tanpa sebarang dokumen pengenalan diri itu dipercayai warga asing kerana tiada suntikan vaksin BCG pada bahunya.

Lebih tragis, ketika ditemui mangsa hanya memakai baju T berwarna oren dan hitam yang terselak serta berseluar dalam.

Mayat berlumuran darah

Pengawal keselamatan berusia 40 tahun yang enggan dikenali berkata, mulanya dia menyangka objek terbaring dalam longkang itu adalah patung dan dia benar-benar terkejut apabila mendapati ia mayat seorang wanita berlumuran darah.

“Kira-kira jam 5.30 pagi, saya menunggang motosikal ke Masjid Sungai Ular untuk solat Subuh dan tiada sebarang objek sewaktu melalui lokasi. Namun, sekitar jam 6.50 pagi sewaktu perjalanan ke tempat bertugas, saya terlihat suatu objek.

“Disebabkan saya mabuk darah, saya hanya memberhentikan motosikal selepas beberapa meter dari tempat kejadian. Ketika itu juga, terdapat seorang pemandu lori yang turut memaklumkan terlihat objek di dalam longkang," katanya yang baru dua bulan bekerja di pondok keselamatan tersebut dan antara individu terawal menemui mayat mangsa.

Menurutnya, pada mulanya dia mengambil keputusan untuk kembali ke tempat bertugas iaitu di pondok keselamatan di Hentian Rehat Ajil bagi mendapatkan nombor telefon balai polis untuk dihubungi tetapi pemandu lori menyarankan supaya terus hubungi talian 999.

Tunggu laporan bedah siasat

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di lokasi kejadian mendapati, orang ramai mengerumuni lokasi dan terdapat sepasang selipar berwarna merah jambu berhampiran mangsa.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Ismail Muslim mengesahkan kejadian tersebut dan siasatan lanjut masih dijalankan termasuk menunggu laporan bedah siasat dari Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

“Mangsa ditemui tanpa sebarang pengenalan diri dan hanya memakai baju T berwarna oren. Berdasarkan fizikal, mangsa dipercayai berumur antara 40 hingga 45 tahun, ketinggian 158 sentimeter serta berkulit putih.

“Oleh itu, mana-mana individu yang kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu menerusi talian 09-6811222 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Amah Indonesia dituduh bunuh majikan warga emas


Mahkamah
Mahkamah
ALOR SETAR - Seorang pembantu rumah warga Indonesia hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini terhadap pertuduhan membunuh seorang warga emas di Taman Serindik di sini Jun lepas.

Dedek Lena, 38, berasal dari Batam, Indonesia dituduh membunuh Che Siah Wan Nik, 75, di rumah bernombor B26, Taman Serindik, Jalan Langgar di sini pada pukul 11.25 pagi 24 Jun lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang berpakaian penjara berwarna ungu hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Umzarul An Nur Umar, namun tiada pengakuan direkodkan.

Umzarul An Nur kemudiannya menetapkan 6 Oktober ini untuk sebutan semula kes. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aisyaf Falina Abdullah. - Bernama

2 anggota tentera maut dalam nahas


DUA ASKAR MAUT NAHAS... Keadaan kereta yang dinaiki empat askar dari 21 RAMD selepas merempuh sebuah treler yang diletakkan di bahu jalan dalam kemalangan di Kampung Chica, Jalan Kota Bharu-Pasir Puteh malam tadi. - UTUSAN/IRWAN MAJID
KOTA BHARU 7 Julai - Dua anggota tentera Kem 21 Rejimen Askar Melayu Diraja (21 RAMD) maut manakala dua lagi cedera selepas kereta dinaiki mereka terputus dua setelah merempuh sebuah treler yang berhenti di bahu jalan di Kampung Chicha, Jalan Kota Bharu-Pasir Puteh malam tadi.
Kereta jenis Honda Accord itu sebelum kejadian dikatakan terbabas akibat gagal mengelak lalu melanggar belakang sebuah kereta di hadapan yang sedang membuat pusingan U.
Kedua-dua mangsa yang maut ialah Firdaus Abd. Rani, 23, dan Mohd. Norhamidi Ismail, 23, manakala dua lagi mangsa yang cedera ialah pemandu kereta itu, Ferdaus Che Fadzil, 25, dan penumpang belakang, Halim Hussain, 24. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130707/je_11/2-anggota-tentera-maut-dalam-nahas#ixzz2YS1Ix1uG
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Nelayan dikhuatiri lemas ketika berenang ambil bot



KUANTAN - Seorang nelayan dikhuatiri lemas selepas turun ke dalam laut untuk mengambil botnya di Kampung Selamat dekat Pelabuhan Kuantan pagi tadi.

Mangsa yang dikenali sebagai Mohd Tamarin Daud, 29, dari Taman Balok Makmur dilapor turun ke laut kira-kira 9.50 pagi sambil diperhatian dua rakannya dari tepi pantai.

"Semasa berenang menuju botnya, mangsa dikatakan tiba-tiba lemas dan tenggelam," kata Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Supt Abdul Aziz Ahmad kepada Bernama.

Rakan-rakan kemudiannya segera meminta bantuan penduduk kampung sebelum melaporkan kejadian terbabit kepada polis.

Abdul Aziz berkata sehingga kini mangsa belum ditemui dan operasi mencari dan menyelamat mangsa diteruskan. - Bernama

Lelaki hampir putus telinga dilibas parang

CHOO Kong Wui hampir putus telinga kiri selepas diserang dua penyamun
bersenjatakan parang di Taman Sri Intan, Ipoh, Perak malam kelmarin.
IPOH 7 Julai - Seorang penyelia kilang hampir putus telinga kirinya hingga terpaksa menerima 14 jahitan selepas dilibas dengan parang oleh dua penyamun bermotosikal di hadapan pagar sebuah rumah di Taman Sri Intan di sini malam tadi.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 7.20 malam ketika Choo Kong Wui, 44, sedang berbual dengan ibu mertua rakannya yang berusia 70-an di hadapan rumah warga emas itu.
Menceritakan detik-detik cemas itu, Kong Wui berkata, dua lelaki menaiki motosikal jenis Honda EX5 tiba-tiba berhenti dan pemboncengnya mengeluarkan sebilah parang sambil meminta wang daripadanya.
Dia yang akur dengan kehendak suspek menyerahkan dompet miliknya namun tanpa disangka-sangka suspek bertindak melibasnya dengan parang.
"Lelaki itu menjerit berkali-kali meminta saya segera menyerahkan wang sambil mengacukan parang ke arah saya. Saya tidak berniat untuk melawan lalu mengeluarkan dompet dan menyerahkannya.
"Saya tidak sangka selepas memberi dompet, lelaki itu masih bertindak ganas mencederakan saya dengan menghayun parang ke arah saya. Mujur saya sempat mengelak, kalau tidak parang itu mungkin mencederakan leher saya," katanya ketika ditemui di Balai Polis Daerah Ipoh di sini hari ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130708/je_04/Lelaki-hampir-putus-telinga-dilibas-parang#ixzz2YS1cyj2N
© Utusan Melayu (M) Bhd 

PGA rampas mercun, bunga api bernilai RM500,000




BUKIT KAYU HITAM - Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas mercun dan bunga api bernilai kira-kira RM500,000 yang ditinggalkan dalam sebuah lori di tepi jalan berhampiran Markas Taktikal pasukan itu semalam.

Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 3 PGA Bidor Deputi Superintenden S.Sivanganam berkata 328 kotak mercun dan bunga api pelbagai jenis ditemui kira-kira pukul 12.30 tengah malam selepas pihaknya memeriksa kenderaan yang berada dalam keadaan mencurigakan itu.

"Biasanya selepas pukul 12 tengah malam, kenderaan tidak dibenar diletak di tepi jalan kerana pintu pagar (sempadan) sudah ditutup," katanya kepada pemberita di Balai Polis Bukit Kayu Hitam hari ini.

Beliau berkata pihaknya kemudian melakukan intipan sehingga 7 pagi tadi bagi melihat jika ada individu yang akan menghampiri kenderaan itu, namun tiada sesiapa muncul.

Sivanganam berkata rampasan itu adalah yang pertama dan terbesar pernah dicatat PGA Batalion 3 setakat ini, dan beliau percaya ia diseludup dari negara jiran sempena Aidilfitri tidak lama lagi.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan dan Kakisan 1952, katanya. - Bernama

Jambatan runtuh: Kontraktor akan didakwa



KUCHING - Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) hari ini mengesahkan wujud unsur kecuaian oleh kontraktor dalam kejadian runtuhan penyambungan tanjakan susur keluar ke Jambatan Kedua Pulau Pinang yang sedang dalam pembinaan, 6 Jun lepas.

Ketua Pengarahnya Datuk Ir Dr Johari Basri berkata siasatan mendapati berlaku kecuaian dari segi prosedur dan teknikal dalam kerja-kerja pembinaan oleh syarikat kontraktor terbabit.

Beliau berkata pihaknya kini sedang menyiapkan kertas pertuduhan terhadap kontraktor berkenaan sebelum diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya minggu depan untuk tindakan seterusnya.

Johari berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis penyerahan cek kepada 876 pekerja Samina-Sci Corporationy yang diberhentikan oleh syarikat itu, Oktober, tahun lepas.

Majlis penyerahan itu disempurnakan oleh Menteri Sumber Manusia Datuk Richard Riot.

Dalam kejadian pukul 6.40 petang itu, tanjakan konkrit di susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang di Lebuhraya Tun Dr  Lim Chong Eu di Batu Maung, Pulau Pinang runtuh, mengakibatkan seorang terbunuh dan tiga lagi cedera.

Sementara itu, dalam majlis berasingan di sini, Menteri Kerja Raya, Datuk Fadilah Yusof berkata kementeriannya akan turut menggunakan hasil siasatan oleh DOSH itu untuk menambahbaik perjalanan sektor pembinaan di negara ini.

Beliau berkata laporan DOSH itu akan digunakan oleh kumpulan pakar yang ditubuhkan oleh kementerian untuk merangka piawaian, garis panduan dan peraturan untuk dijadikan Amalan Pembinaan Baik dalam sektor pembinaan di negara ini.

Beliau berkata kumpulan pakar itu dipengerusikan oleh Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Datuk Seri Ir Dr Judin Abdul Karim.

"Ini perlu supaya kita dapat mengangani dan kurangkan risiko kejadian tidak diingini sama ada runtuhan, kematian, kemalangan yang harus kita tangani secara komprehensif dan bukan hanya secara ad-hoc, "katanya. - Bernama

2 maut, 2 cedera dalam nahas jalan raya


2 maut, 2 cedera dalam nahas jalan raya
Keadaan kenderaan yang terlibat dalam nahas membabitkan empat kenderaan di Jalan Kota Bharu - Pasir Puteh di sini, hari ini.
KOTA BHARU - Hajat empat sahabat untuk menghadiri majlis perkahwinan tidak kesampaian apabila dua maut manakala dua cedera dalam nahas yang melibatkan empat kenderaan di Jalan Kota Bharu - Pasir Puteh di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, kenderaan yang dinaiki keempat-empat mangsa yang merupakan anggota tentera dari kem 21 Rejimen Askar Melayu (RAMD 21) Pengkalan Chepa, dipercayai dari arah Kota Bharu ke Melor hilang kawalan selepas gagal mengelak sebuah kenderaan lain yang membuat pusingan U dari arah bertentangan.                                    

Akibat kemalangan itu kereta yang dinaiki keempat-empat mangsa, melanggar kenderaan lain sebelum merempuh treler yang diparkir di bahu kiri jalan.                            

Dalam kejadian itu, penumpang depan Firdaus Abd Rani 23, dan Mohd Nor Hamidi,23 penumpang belakang maut manakala pemandu Ferdaus Che Fadzil 29, hanya mengalami cedera ringan.

Manakala Abdul Halim Husin, 24, yang juga penumpang belakang dilaporkan kritikal dan kini ditempatkan di Hospital Universiti Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk rawatan susulan.

Maut didera kekasih ibu


Padawan: Seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan akhirnya menghembus nafas terakhir selepas empat hari bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Umum Sarawak (HUS) dipercayai didera teman lelaki ibunya di rumah mereka di Batu 15, Jalan Kuching-Serian, di sini.

Mangsa dikenali sebagai Dennis dimasukkan ke hospital berkenaan, Khamis lalu, oleh ibu saudaranya selepas menemui kesan lebam di dada dan mukanya.


Bayi malang terbabit kemudian dirawat di ICU sebelum disahkan meninggal dunia jam 10.30 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Pauzi Bujang berkata, ibu mangsa berusia 28 tahun tinggal bersama teman lelakinya dan seorang lagi anak lelaki berusia tiga tahun di sebuah rumah di Batu 15 di sini.


Katanya, ibu mangsa berpisah dengan suaminya dan berpindah ke rumah teman lelakinya yang dipercayai tidak bekerja.


“Khamis lalu, ibu mangsa menghantar anaknya ke rumah keluarganya di Batu 10. Ibu saudara bayi itu pelik apabila melihat mangsa lebam di muka dan badan serta lemah.

“Apabila ditanya, suspek tidak mengendahkannya dan wanita itu membawa bayi terbabit ke HUS untuk mendapatkan rawatan,” katanya ketika dihubungi.


Bagaimanapun, katanya, bayi terbabit ditahan di wad sebelum dimasukkan ke ICU sejak kelmarin kerana kesihatannya semakin merosot.

Doktor menasihatkan wanita itu membuat laporan di Balai Polis Batu 10, kelmarin.


Pauzi berkata, mayat mangsa dihantar ke rumah mayat untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.


Katanya, polis tidak menolak kemungkinan mangsa didera teman lelaki ibunya, termasuk dibelasah menggunakan tangan atau objek tumpul.


“Ibu mangsa ditahan di hospital pada jam 3 petang semalam, manakala teman lelakinya ditahan di rumah sejam kemudian.


“Suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan direman bagi siasatan lanjut,” katanya. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Polis sahkan pembunuhan di Gedangsa akibat dibunuh




KUALA LUMPUR - Dua mayat yang ditemui di dalam kebun kelapa sawit di Jalan Baru, Sri Keledang, Gedangsa di sini semalam dipercayai akibat dibunuh dan bukan kerana mangsa bergaduh sesama sendiri.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor DSP Zulkifli Bidin berkata hasil siasatan polis, mayat Muhamad Hafiz Omar, 28, dan Hamsi Hashim, 42, yang ditemui kira-kira 4.30 petang semalam itu dipercayai dibunuh lebih seorang penjenayah identitinya belum dikenal pasti.

Beliau berkata berdasarkan siasatan polis, modus operandi ialah penjenayah yang dipercayai lebih daripada seorang itu datang ke tempat kejadian dan bergaduh dengan Hamsi yang ketika itu berada di tepi sungai.

"Penjenayah itu memukul kepala Hamsi dengan batang pencakar rumput yang menyebabkan mangsa cedera parah dan mati di tempat kejadian. Bagaimanapun kejadian itu tidak disedari Muhamad Hafiz yang sedang tidur di dalam pondok yang terletak kira-kira 20 meter dari sungai itu," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata penjenayah itu kemudiannya bertindak memasuki pondok itu lalu menyembelih leher Muhamad Hafiz serta menggeledah barang di dalam pondok berkenaan.

Katanya berkata motif kejadian masih disiasat dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sebuah akhbar hari ini melaporkan dua lelaki itu maut selepas bergaduh sesama sendiri sebelum mayat mereka ditemui orang awam yang kemudiannya melaporkan kepada pihak berkuasa. - Bernama

Rogol pegawai pengiring, 3 atlet direman


SHAH ALAM - [Dikemaskini] Tiga lelaki ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kes rogol seorang pegawai pengiring atlet bola baling wanita dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2013.

Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang, Deputi Superintendan Lam Chien Fei ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.

Beliau berkata, ketiga-tiga atlet berusia 18 hingga 19 tahun terbabit kini direman seminggu bermula tangkapan.

"Kita percaya tiga individu ini ada maklumat yang kita perlukan bagi menyiasat kes tersebut.

"Kita tak boleh dedahkan apa-apa lagi kerana siasatan sedang dijalankan menjurus pelbagai aspek mengikut Seksyen 376 kanun Keseksaan kerana merogol," katanya, hari ini.

Hari ini, sebuah akhbar media arus perdana melaporkan bahawa atlet bolang baling wanita berusia 19 tahun itu mendakwa dirogol bergilir-gilir dalam keadaan separuh sedar di bilik penginapan sebuah kolej di perkampungan sukan Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Rabu lalu.

Laporan sama turut menyebut, sebelum kejadian berlaku, mangsa dikatakan meneguk minuman keras bersama beberapa atlet bola baling lelaki pasukannya di sebuah gelanggang bola keranjang bagi menghilangkan tekanan setelah pasukan mereka kalah dalam perlawan di Stadium Nasional, Bukit Jalil baru-baru ini.

Selepas itu, mangsa dikatakan dibawa pulang ke sebuah bilik penginapan kolej oleh beberapa atlet lelaki berkenaan.

Menurut laporan tersebut, mangsa sedar kira-kira jam 4 pagi dan mendapati dirinya dalam keadaan bogel serta dihimpit oleh seorang lelaki.

Lelaki itu serta rakannya bertindak merogol mangsa secara bergilir-gilir.

Mangsa kemudiannya membuat laporan berhubung kejadian di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, sebelum tiga atlet lelaki itu ditahan polis di perkampungan sukan berkenaan pada petang Jumaat lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, polis memandang serius perkara tersebut kerana ia melibatkan imej sukan negara amnya dan perbuatan jenayah dalam kalangan atlet, khasnya.

"Laporan ini amat serius. Kita akan lakukan siasatan lanjut dan terperinci mengenai kes ini," katanya. - Bernama

Keretapi penumpang rempuh beca, 14 maut

LAHORE 7 Julai - Sekurang-kurangnya 14 orang termasuk dua kanak-kanak terbunuh, apabila sebuah kereta api penumpang berlanggar dengan sebuah beca yang sarat dengan penumpang di wilayah timur Pakistan, Punjab semalam.
Pegawai polis tempatan, Salim Niazi berkata, kejadian tersebut berlaku di pekan Khanpur di daerah Shiekhupura, kira-kira 40 kilometer di barat laut Lahore.
"Pelanggaran tersebut berlaku apabila kereta api berkenaan yang dalam perjalanan dari Karachi ke Punjab merempuh beca yang sedang melintas kawasan landasan yang tidak berpagar," katanya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130707/lu_04/Keretapi-penumpang-rempuh-beca-14-maut#ixzz2YKs6DcV6
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Sempat cuba baju raya



Sempat cuba baju raya
Mayat Hamsi yang ditemui di tebing Sungai Bernam.
Sempat cuba baju raya
Mayat Mohamad Hafiz yang ditemui di dalam pondok.
HULU SELANGOR - “Muka dia (arwah) senyum saja bila mencuba baju Melayu yang pak cik belikan, kelmarin.

Dia kata, pakai baju ni selesa tapi seluar panjang sikit, katanya dia nak potong nanti,” kata Omar Puteh, 64, menceritakan keceriaan arwah anaknya, Muhamad Hafiz Omar, 29, sebelum ditemui meninggal dunia bersama rakannya, Hamsi Hashim, 48, dalam kebun kelapa sawit di Jalan Baru, di sini.

Omar berkata, dia membelikan baju Melayu untuk arwah anaknya kerana kebetulan jualan murah dan boleh digunakan menyambut Aidilfitri nanti.

Bagaimanapun, dia reda setelah menerima khabar anak kesembilannya itu meninggal dunia semalam.

“Pak cik dapat tahu Uda (Mohamad Hafiz) meninggal dunia selepas membuat laporan polis bersama anak sulung pak cik (Mohamad Hatta, 48) mengenai penemuan mayat rakannya, Hamsi.

“Tapi sebelum itu, Hatta dah pergi lihat pondok itu tapi dia tidak jumpa arwah Uda sebab dia dalam pondok. Hatta cuma nampak arwah Hamsi,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam.

Menurutnya, sebelum penemuan kedua-dua mayat tersebut, saudaranya dikenali sebagai Pak Musa datang ke rumahnya, kira-kira 3 kilometer dari tempat kejadian, dengan membawa MyKad, lesen memandu dan kunci motosikal Mohamad Hafiz.

Katanya, Pak Musa menjumpai dompet anaknya hanyut di Sungai Bernam, dekat Kuala Slim kira-kira 10 kilometer dari tempat kejadian.

“Saya rasa tak sedap hati dan menyuruh Hatta cari Uda di pondok itu. Tapi masa itu, Hatta hanya jumpa arwah Hamsi.

“Hanya selepas polis datang, baru nampak mayat Uda dalam pondok,” katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Suprintendan Zulkifli Bidin berkata mayat Muhamad Hafiz dan Hamsi ditemui kira-kira 4.30 petang semalam oleh seorang lelaki yang melalui kawasan berkenaan.

Mayat Muhamad Hafiz ditemui di dalam pondok dengan kesan kecederaan di lehernya yang dipercayai akibat disembelih manakala mayat Hamsi ditemui di luar pondok dalam keadaan terlentang dengan kesan kecederaan di kepalanya yang dipercayai akibat dipukul dengan objek tumpul.

“Kami percaya kedua-dua mereka tinggal di pondok itu dan merupakan penjaga kebun kelapa sawit tersebut serta ternakan yang dipelihara di situ,” katanya.

Zulkifli berkata, motif kejadian masih disiasat dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes itu diminta tampil bagi membantu siasatan.

Mayat kedua-duanya dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sementara itu, bekas isteri arwah Hamsi, Rohani Nazir, 41, ketika ditemui berkata, kali terakhir dia menemui arwah pada Rabu lalu ketika datang melawat dua anak mereka.

Menurutnya, walaupun telah bercerai setahun lalu, hubungan mereka tetap baik dan arwah masih menunaikan tanggungjawabnya memberi nafkah.

“Saya baru saja sambut hari lahir anak kedua saya, Shahrizal Hamsi (adik), 8, tengah hari tadi (semalam) walaupun tarikh lahirnya, 13 Julai nanti.

“Adik kata dia memang nak bagi kek pada ayahnya, tapi tidak sempat kerana dia sudah tiada,” katanya.

Rohani bagaimanapun reda di atas kejadian yang menimpa bekas suaminya.