Search This Blog

Saturday, July 6, 2013

8 sekeluarga nyaris maut dirempuh lori tangki


8 sekeluarga nyaris maut dirempuh lori tangki
Kereta yang dinaiki lapan sekeluarga remuk di bahagian belakang selepas dirempuh lori tangki membawa muatan 30,400 liter minyak petrol dan diesel, semalam.
8 sekeluarga nyaris maut dirempuh lori tangki
Lori tangki terbalik mengiring merentangi jalan
KEMAMAN – “Saya lihat lori tangki minyak itu merempuh kereta dari belakang lalu terdengar bunyi dentuman kuat menyebabkan kereta berpusing sementara lori itu pula terhuyung-hayang sebelum terbalik mengiring sebelah kiri.

“Sejurus itu saya tengok pemandu kereta itu melambai-lambai tangan dari tingkap tempat duduk pemandu dan saya segera meluru ke arah kereta mangsa,” kata saksi kes nahas, Ngah Mohamad, 57, yang melihat detik ngeri dialami mangsa lapan sekeluarga apabila kereta jenis Proton Iswara yang dinaiki mereka dirempuh lori tangki membawa muatan minyak, tengah hari, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari di kawasan lampu isyarat Bukit Anak Dara, Kilometer 135 Jalan Kuala Terengganu – Kuantan itu, nyawa mangsa sekeluarga yang terdiri daripada tiga dewasa dan lima kanak-kanak termasuk seorang bayi berusia kira-kira tujuh bulan itu bagaikan telur di hujung tanduk.

Ketika kejadian, kedua-dua kenderaan terbabit dari arah perjalanan yang sama iaitu dari Kuantan menghala ke Kuala Terengganu.
Tiba di lokasi kejadian, kereta terbabit memberhentikan kenderaan kerana lampu isyarat merah sebelum dirempuh lori tangki terbabit.

Bagaimanapun, pemandu kereta dan penumpangnya serta pemandu lori terbabit yang berusia 40-an bernasib baik kerana hanya mengalami kecederaan ringan, biarpun kenderaan masing-masing remuk dan rosak teruk.

Keadaan lori tangki terbabit yang terbalik secara mengiring menyebabkan muatan petrol dan diesel sebanyak 30,400 liter tumpah di atas jalan.

Bahagian belakang remuk

Ngah yang juga merupakan pengawal keselamatan di Tadika Yayasan Islam Terengganu (YIT) Bukit Anak Dara yang terletak kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian berkata, sebelum kejadian, dia ke gerai di depan tadika melihat peniaga,
Yazid Ibrahim, 45, memasang atap dan secara tiba-tiba nahas itu berlaku di depan matanya.

“Saya cuba buka pintu tempat pemandu, tapi sebab ia remuk, saya gagal buka lalu saya buka pintu sebelah penumpang depan dan kesemua mangsa yang berada dalam kereta itu keluar dan naik ke atas pengadang jalan.

“Waktu itu saya tengok, kesemua yang duduk di kerusi belakang sudah berhimpit dengan mangsa di depan kerana bahagian belakang remuk,” katanya.

Dalam pada itu, Yazid berkata, mangsa sekeluarga kemudian dibawa oleh sebuah kereta orang awam yang melalui jalan itu ke Klinik Kesihatan Kijal bagi mendapatkan rawatan.

Lega bayi selamat

Anak Yazid, Mohd Azrul, 18, yang ketika kejadian membantu ibu bapanya berniaga berkata, dia hanya tergamam melihat kejadian itu kerana panik dan pertama kali melihat kemalangan berlaku di depan mata.

“Ketika kejadian, saya lihat lori tangki itu membrek tapi mungkin sebab brek tak kuat, jadi ia tetap langgar kereta itu. Pemandu lori itu saya lihat cedera di bahagian kaki. Saya juga rasa lega apabila lihat bayi keluar dari kereta dalam keadaan selamat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, berikutan nahas itu, tempat kejadian dikawal oleh polis, bomba (jentera Hazmat) dan Jabatan Alam Sekitar.

Bagaimanapun, sehingga jam 5 petang semalam, pemandu lori dan pemandu kereta terbabit masih belum membuat laporan polis mengenai kejadian itu.

Sekat minyak daripada mengalir ke sungai
Dalam perkembangan sama, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kerteh, Khairul Hasni Mokhtar berkata, pasukan bomba tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 12.15 tengah hari dengan kekuatan lima anggota dari Balai Bomba dan
Penyelamat Kerteh serta tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Chukai dengan dua jentera termasuk jentera Hazmat.
Menurutnya, bomba membuat benteng bagi menyekat minyak yang tumpah dari mengalir ke dalam sungai.
“Sebelum jentolak tiba di lokasi kejadian untuk membuat benteng tanah, anggota kita menggali telaga agar minyak yang tumpah dapat disekat alirannya,” katanya.
Kejar lampu isyarat
Penduduk tempatan, Shahrin Rashid, 33, berkata, kawasan lampu isyarat berkenaan kerap terjadi kemalangan berikutan sikap orang ramai yang memecut laju apabila lampu isyarat kuning.
“Lampu isyarat hijau yang tidak sampai 10 saat mendorong pengguna memecut dan saya rasa sistem lampu isyarat di sini perlu dinilai semula agar ia tidak terlalu singkat dan mendorong orang ramai memecut,” katanya.

'Pulang semula wang masjid'


‘Pulang semula wang masjid’
Sham (tengah) bergambar bersama Abdul Karim dan ahli jawatankuasa Yayasan Pembangunan Masjid-Masjid Wilayah Bagan Serai
BAGAN SERAI - Gagal memperoleh lot rumah kedai, Yayasan Pembangunan Masjid-Masjid Wilayah Bagan Serai kini terpaksa menanggung kerugian hampir RM500,000 apabila urusan pembelian premis itu terbengkalai.

Pengerusinya, Abdul Karim Husain Kadir berkata, pada 2007, pihak yayasan membuat keputusan membeli aset berupa sebuah lot rumah kedai di Bukit Merah dengan harga RM450,000 bagi tujuan menampung keperluan
yayasan.

Menurutnya, pihak yayasan turut membayar wang pendahuluan berjumlah RM140,040 kepada pemaju untuk melengkapkan urusan pembelian aset itu, bagaimanapun ia tidak dapat diselesaikan setelah bangunan terbabit didapati dibina tanpa memperoleh kebenaran penukaran status hak milik tanah oleh kerajaan negeri.

“Masalah itu menyebabkan urus niaga pembelian aset ini terbengkalai sehingga kini, malah pihak yayasan terpaksa menanggung hutang tertunggak pembelian premis daripada bank dengan jumlah RM309,500.

“Lebih mengecewakan, pemaju terbabit cuba bersikap lepas tangan dalam menyelesaikan perkara ini, pihak kami juga gagal mengadakan pertemuan dengan mereka untuk perbincangan,” katanya sewaktu ditemui media selepas merasmikan Mesyuarat Agong Yayasan Pembangunan Masjid-Masjid Wilayah Bagan Serai ke-2, di Masjid Jamek Bagan Serai di sini semalam.

Majlis itu dirasmikan Adun Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat.

Abdul Karim berkata, pihak yayasan sudah merujuk isu itu kepada banyak pihak termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan berharap kerajaan negeri dapat campur tangan dalam menyelesaikan masalah berkenaan.

Menurutnya, selain pihak yayasan, beliau turut difahamkan terdapat puluhan pembeli lain yang mengalami nasib serupa apabila isu pembelian aset itu tergantung sehingga kini.

“Kami menggesa pihak pemaju jangan lepas tangan dan tampil mengadakan pertemuan dengan kami bagi menyelesaikan isu pembelian aset melibatkan pihak yayasan dan pembeli-pembeli lain.

“Sekiranya pihak pemaju terbukti gagal menyelesaikan urusan pembelian dari pihak kami, mereka sewajarnya memulangkan semula duit pendahuluan bernilai RM140,040,” katanya.

Katanya, berikutan masalah itu, segala perancangan bagi menjana ekonomi yayasan kini tergendala kerana terpaksa berhadapan dengan masalah hutang tertunggak.

Sementara itu, Sham ketika ditemui menegaskan pertemuan dengan pihak pemaju terlibat perlu diadakan segera bagi mencari jalan penyelesaian terbaik untuk kedua-dua pihak.

Menurutnya, beliau juga akan mengemukakan masalah itu kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

“Saya berharap pemaju lebih bertimbang rasa dan bertanggungjawab memandangkan perkara ini melibatkan wang masjid yang bakal digunakan untuk menaikkan martabat agama Islam sendiri,” katanya.

Ambulans bawa pesakit terbalik

KULAIJAYA – Seorang pesakit maut apabila ambulans dinaiki terbalik selepas berlanggar dengan sebuah kereta yang terbabas di Kilometer 48.3 Lebuhraya Utara Selatan, di sini, awal pagi kelmarin.

Mangsa, Goh Cheng Cheng, 31, berasal dari Kluang meninggal dunia sebaik sahaja tiba di hospital, selepas ambulans yang dinaiki terlibat dalam kemalangan sekitar jam 4.40 pagi itu.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya berkata, kejadian berlaku apabila kereta yang dipandu seorang lelaki dari arah Utara terbabas dan melanggar besi pengadang jalan.

“Kenderaan itu kemudiannya dilanggar oleh sebuah ambulans yang datang dari arah belakang. Keadaan itu menyebabkan ambulans berkenaan terbalik,” katanya di sini, semalam.

Zulkefly berkata, ketika kejadian, ambulans itu sedang dalam perjalanan menghantar pesakit wanita terbabit yang dipindahkan dari sebuah hospital di Kluang untuk dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.

“Bagaimanapun pesakit berkenaan meninggal dunia di hospital akibat pendarahan dalaman di bahagian kepalanya.

“Selain pesakit itu, ambulans turut membawa seorang doktor, dua jururawat dan seorang saudara pesakit berkenaan,” katanya.

Katanya, pemandu kereta yang terbabas turut menerima rawatan di hospital, manakala yang lain hanya mengalami cedera ringan.

Polis Marin temui 3 mayat

SENAI - Tiga mayat tanpa pengenalan diri ditemui Pasukan Polis Marin Wilayah Dua (2) ketika menggagalkan cubaan menyeludup keluar dan masuk pendatang asing tanpa izin (Pati) di kawasan Pantai Ladang Rusa, Batu Layar, Sungai Rengit, Kota Tinggi, semalam.

Dalam serbuan jam 12.30 pagi itu, seramai 45 Pati terdiri daripada 36 lelaki warga Indonesia, seorang lelaki warga Pakistan dan lapan wanita warga Indonesia turut ditahan.

Timbalan Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Dua (2), Superintendan N Kalai Chelvan berkata, serbuan itu dilakukan bertindak atas maklumat diterima oleh sepasukan pegawai dan anggota Pasukan Polis Marin Wilayah Dua Pengerang.

Menurutnya, serbuan itu dibuat terhadap sekumpulan manusia datang dari daratan ke pantai dan cuba menaiki bot pancung selain yang sedang turun dari bot menuju ke daratan.

“Semasa serbuan dilakukan, bot pancung tersebut telah cuba melarikan diri ke tengah laut dan tekong bertindak terjun ke laut bagi meloloskan diri.

“Pemeriksaan dilakukan menemui dan menahan 45 Pati. Selain itu, Pasukan Polis Marin Wilayah Dua turut menjumpai dua mayat lelaki dewasa dan satu mayat wanita dipercayai telah mengalami kecederaan parah akibat terkena ‘propeller’ dipercayai dilanggar oleh bot fiber berukuran 30 kaki X 6 kaki serta tiga injin sangkut jenis Yamaha 200 hp.

“Kesemua tangkapan dibawa ke Balai Polis Sungai Rengit, Kota Tinggi untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Kalai Chelvan berkata, dalam tempoh dari Januari hingga semalam, sebanyak 27 kes tangkapan sudah dilakukan oleh Pasukan Polis Marin Wilayah Dua (2) Johor di bawah kesalahan Akta Anti Pemerdagangan Orang, Anti
Penyeludupan Migran 2007 dan Akta Imigresen 1959/63 Pind. 2002 yang berjaya menahan 259 Pati.

Pasukan Polis Marin Wilayah Dua (2) mengalu-alukan maklumat orang awam mengenai apa juga kegiatan yang menyalahi undang-undang khususnya di kawasan pesisir pantai.

Dua geng Spider dicekup


Dua geng Spider dicekup
Nor Hashim menunjukkan antara barang yang dirampas pihaknya
JOHOR BAHRU - Dua lelaki disyaki penyamun dari geng Spider ditahan polis selepas gagal meloloskan diri sebaik sahaja memecah masuk sebuah bangunan tiga tingkat di Taman Nusa Bestari, di sini, 3 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superintendan Nor Hashim Mohamad berkata, dua lelaki terbabit cuba untuk melarikan diri ke bahagian atas bangunan, namun gagal dan dicekup dalam kejadian jam 6 pagi itu.

“Bertindak atas maklumat awam bahawa bangunan berkenaan dimasuki orang, sekumpulan anggota pergi ke lokasi kejadian dan dimaklumkan ada penceroboh berada di dalam bangunan.

“Polis membuat pemeriksaan ke atas bangunan berkenaan dan mendapati dua lelaki melarikan diri ke bahagian atas bangunan.

“Suspek didapati bersembunyi di atas siling, tetapi tindakan pantas polis berjaya menangkap dua lelaki ini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nusajaya, di sini, semalam.

Nor Hashim berkata, modus operasi kumpulan terbabit adalah bergerak pada awal pagi seramai dua hingga empat orang dan akan memanjat melalui tiang dan menggunakan kerangka papan iklan di hadapan bangunan sebelum  memasuki premis.

“Mereka akan memasuki bangunan bersebelahan melalui bumbung bangunan dengan cara membuka atap dan siling bangunan. Sasaran adalah bangunan pejabat dan premis perniagaan yang tiada pengawal keselamatan pada waktu malam.

“Suspek juga dipercayai telah aktif melakukan pecah rumah dalam tempoh tiga bulan kebelakangan ini.

“Kumpulan ini juga mahir memanjat bangunan melalui tiang tanpa apa-apa sokongan,” katanya.

Dugaan menjelang Ramadan


Dugaan menjelang Ramadan
Rumah yang digenangi air bah pada tengah hari semalam.
Dugaan menjelang Ramadan
Banjir yang melanda sekitar Bukit Lembu, Langkawi
KUAH- Sehingga jam 5 petang semalam seramai 59 keluarga mangsa banjir telah dipindahkan ke dua tempat pusat pemindahan di Dewan Al Syifa, Padang Mat Sirat dan di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Kedawang, Kedawang.

Pegawai Perhubungan Awam, Pejabat Daerah Langkawi (PDL), Norulida Nayan berkata hujan lewat petang semalam semakin reda dan berharap limpahan bersifat banjir kilat terutama di kawasan rendah dan pulih apabila cuaca kembali cerah.

“Sekiranya hujan lebat berterusan, semua agensi terlibat dalam keadaan bersiap siaga membantu mangsa banjir,” katanya.

Mangsa banjir, Ahmad Yusoff Awaluddin dari pusat pemindahan Kedawang berkata, air mula naik sekitar jam 6 pagi selepas Subuh.
"Kami agak kelam kabut dan cuba selamatkan apa yang sempat. Tapi tikar getah, meja makan dan almari dapur rosak kena air," katanya.
Manakala, Ahmad Jusoh Daoh juga dari pusat pemindahan sama berpendapat, pembangunan tidak terancang antara punca berlakunya banjir kilat.
"Sungai Chenang semakin hari semakin cetek dan kecil disebabkan hakisan. Kawasan sekitar pula membangun secara mendadak dengan longkang yang tidak mampu menampung aliran air yang banyak antara punca berlaku banjir
kilat," katanya.
Sehubungan itu, beliau mohon pihak bertanggungjawab kembali mengkaji perancangan pembangunan dengan lebih efisien  di kawasan Pantai Chenang selain memulihkan kembali sistem perparitan agar kejadian tidak berulang.

Di pusat pemindahan Darul Syifa, Padang Mat Sirat pula hampir 43 keluarga terlibat dan catatan ini adalah yang tertinggi di rekodkan sehingga semalam.

Mangsa banjir, Salabiah Abdullah berkata banjir ini cukup mengejutkan diri dan keluarganya.

"Hampir 30 tahun tak pernah jadi air laut besar menghempas dan bergelora macam tsunami. Habis air laut masuk rumah dan bercampur dengan air banjir.

“Harap pihak berkenaan beri bantuan dengan cepat. Lagipun kita akan sambut bulan puasa minggu depan. Semua barang yang ada dalam rumah rosak," katanya.

Jiran dakwa suami mangsa dibebani hutang


Sibu: Ling Yung Ming, 40, wanita yang ditemui mati bersama dua anaknya di rumah mereka di Pulau Li Hua, di sini, semalam pernah mengalami kejutan apabila adik lelakinya ditemui mati bersama dua anaknya, Januari tahun lalu.

Jirannya yang enggan namanya disiarkan, berkata wanita itu pernah memberitahunya yang beliau amat bimbang jika keadaan sama berlaku kepada beliau sekeluarga.
Tidak sangka pula, kebimbangan beliau itu menjadi kenyataan hari ini (semalam) sama seperti adiknya.

Lebih mengejutkan apabila tiga beranak itu mengalami nasib sama, katanya kepada BH, semalam.

Mayat Ling ditemui dalam bilik tidur bersama dua anaknya, Victor Tiang Soon Sheng, 2, dan Christine Tiang Soon Ai, 14, jam 10 pagi semalam.

Lelaki berusia lingkungan 60-an itu berkata, ketiga-tiga mangsa dipercayai dibunuh suspek yang kemudian melarikan diri selepas anak lelaki mangsa yang terselamat meminta bantuan jiran.

Katanya, beliau difahamkan suspek yang juga seorang kontraktor dipercayai menghadapi masalah hutang dianggarkan RM3.5 juta.
Saya tidak sangka suspek sanggup membunuh hanya kerana dia mengalami masalah hutang, katanya.

Dalam kejadian 3 Januari tahun lalu, adik Yung Ming, Ling Tong Hock, 36, ditemui mati bersama dua anakya di kediaman mereka di Lorong RTM, di sini.

Masak dadah di rumah sewa

Balik Pulau: Tindakan sepasang kekasih yang menjadikan rumah sewa mereka sebagai makmal mini memproses dadah syabu dan Ecstasy bernilai RM251,000 sejak beberapa bulan lalu, membawa padah apabila diserbu polis dalam satu operasi di Taman Kristal, Pondok Upeh, di sini, Rabu lalu.
Operasi jam 6.30 petang itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Barat Daya selepas memperoleh maklumat orang awam serta pemantauan lebih seminggu lalu sebelum menumpaskan kegiatan memproses dadah pasangan berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya Deputi Superintendan Lai Fah Hin berkata, suspek wanita, 21, yang juga warga Indonesia ditahan di rumah sewa dihuni lebih setahun lalu bersama teman lelakinya warga tempatan berusia 35 tahun.

Bagaimanapun, katanya, ketika serbuan, suspek lelaki tiada di rumah manakala modus operandi mereka menjadikan rumah sewa itu makmal mini memproses syabu dan Ecstasy.
Foto
LAI (dua dari kanan) menunjukkan syabu dan peralatan memproses dadah yang dirampas, kelmarin.

Katanya, dalam pemeriksaan itu polis menemui 56 gram syabu, pil psikotropik dan cecair memproses dadah termasuk kereta Proton Waja serta beberapa peralatan memproses dadah yang dianggarkan bernilai RM25,000.

Keluarga mangsa rogol, bunuh kemuka memorandum rayuan


Putrajaya: Keluarga mangsa culik yang dirogol dan dibunuh, Chee Gaik Yap, mengemukakan memorandum kepada Pejabat Peguam Negara supaya memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Alor Setar, Kedah 25 Jun lalu.

Mereka, yang kecewa dengan keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan Shahril Jaafar, 32, yang dituduh membunuh Gaik Yap tujuh tahun lalu, mahu perkara itu dirujuk kepada Mahkamah Rayuan.
Keluarga mangsa juga berjaya mengumpulkan 79,697 tandatangan sokongan dalam tempoh dua minggu dalam usaha menggesa Pejabat Peguam Negara memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Memorandum dan senarai tandatangan itu diserahkan oleh bapa Gaik Yap, Chee Ah Sau, 56, dan adik Gaik Yap, Chee Han Siang, 20, bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Arang, Simon Ooi Tze Min, ke Pejabat Peguam Negara, di sini semalam.

Hanya mahukan keadilan

Kata Tze Min, bapa mangsa hanya mahukan keadilan bagi anaknya yang dibunuh dan menggesa pihak berkenaan memandang serius perkara berkenaan.

Pada 25 Jun lalu, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab dalam penghakimannya berkata, keputusan membebaskan Shahril dibuat berdasarkan laporan patologi menunjukkan kematian Gaik Yap, 25 (ketika kejadian), bukan disebabkan kecederaan di kemaluan, tetapi kesan tikaman di leher kanan.
Katanya, kes dikemukakan pendakwaan gagal membuktikan Shahril melakukan perbuatan itu dan pendakwaan bersandarkan fakta tertuduh tinggal berhampiran di tempat kejadian ketika pembunuhan itu.

“Selain itu, tambah beliau, laporan kimia yang dibuat turut membuktikan bahawa DNA (asid deoksiribonukleik) tertuduh berbeza dengan sampel air mani yang ditemui pada kemaluan mangsa. Mahkamah tidak menolak kemungkinan wujud penderma ketiga yang masih tidak diketahui,” katanya ketika prosiding itu.

Guru nyaris kena cekup khalwat

GONG PASIR – Tindakan seorang guru wanita yang sering membawa pulang teman lelaki ke rumah pada waktu tengah malam sehingga menimbul syak wasangka jiran tetangga nyaris membawa padah apabila rumahnya diserbu pihak penguat kuasa syariah, dekat sini, awal pagi kelmarin.

Ketika serbuan kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, pasangan lelaki kepada guru sekolah rendah itu yang berada di ruang tamu difahamkan sempat melarikan diri sebaik melihat kenderaan pejabat agama tiba.

Guru wanita berstatus ibu tunggal berusia 30an yang mempunyai anak berusia 9 dan 11 tahun itu bagaimanapun mengakui perbuatan sumbang dilakukannya dan dinasihatkan agar tidak mengulangi perbuatan terbabit.

Tak sempat minum petang


Tak sempat minum petang
Struktur rumah kayu menyebabkan api marak dan merebak begitu pantas
GEORGETOWN - Belum sempat menjamah hidangan minum petang, seorang nenek terpaksa meninggalkan makanannya dan terus berlari keluar dari rumahnya apabila anak perempuannya tiba-tiba menjerit mengatakan api sedang merebak di bahagian belakang rumah mereka.

Maznah Othman, 65, berkata, ketika kejadian, dia baru sahaja menyiapkan hidangan minum petang untuk dinikmati bersama anak perempuan dan cucunya namun belum sempat menyuap makanan ke dalam mulut dia dikejutkan dengan bunyi letupan kuat.

Menurutnya, disebabkan terkejut dengan kejadian itu, dia terus berlari menyelamatkan diri.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 4.10 petang itu menyebabkan lima rumah terjejas termasuk dua rumah musnah dijilat api dalam kejadian yang berlaku di perkampungan Pengkalan Weld di sini.

Menceritakan detik mencemaskan itu semula, Maznah berkata, dia tidak mampu berbuat apa-apa melainkan memimpin tangan cucunya keluar dari rumah.

“Saya tak sempat nak selamatkan langsung barang-barang termasuk dokumen penting kerana api merebak dengan begitu pantas.
“Mulanya saya ingat kebakaran itu hanya berlaku di bahagian belakang rumah kerana di situ ada sebuah pondok usang yang selalu menjadi sarang penagih dadah, namun apabila saya keluar dari rumah mendapati pondok dan bahagian dapur rumah saya mula hangus dijilat api,” katanya kepada Sinar Harian.

Bimbang keadaan bertambah buruk, Maznah dan anak perempuannya yang berusia 26 tahun segera mengetuk pintu rumah jirannya yang berhampiran dan mengarahkan mereka menyelamatkan diri.

“Tidak sampai beberapa minit rumah saya yang didiami sejak lima tahun musnah.

“Walaupun sedih dengan kejadian ini saya bersyukur kerana semuanya selamat,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Saadiah Ibrahim, 53, berkata, ketika kejadian, dia sedang tidur di dalam rumahnya dan dikejutkan dengan jeritan orang ramai yang mengarahkannya segera meninggalkan rumah kerana api sedang marak.

“Apabila terjaga dari tidur, saya mendengar adik menjerit dari luar bilik mengarahkan segera keluar kerana rumah kami juga terlibat dalam kebakaran itu.

“Mujur bahagian dapur rumah saya sahaja yang terbakar dan saya sempat selamatkan beberapa barangan penting dan dokumen lain,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai, Ismail Mohd Zain berkata, ketika pasukannya tiba di tempat kejadian mendapati api marak dan disebabkan keadaan jalan sempit menyukarkan jentera bomba untuk menghampiri lokasi kejadian.

Menurutnya, struktur rumah yang kebanyakan daripada kayu dan kedudukan yang terlalu hampir menyebabkan api merebak begitu pantas.

“Bagaimanapun kita tidak mengambil masa yang lama untuk mengawal kebakaran dan ia berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 4.50 petang,” katanya.

Ismail berkata, pihaknya juga mendapat bantuan daripada pasukan bomba sukarela selain bantuan daripada pasukan Bomba dan Penyelamat dari Jalan Perak.

Curi kad kredit pelancong


 K Manoharan
K Manoharan
KUALA TERENGGANU - Keriangan sepasang pelancong luar negara yang bercuti di Pulau Kapas, Marang, bertukar mimpi ngeri apabila kerugian kira-kira RM2,000 setelah kad kredit mereka dicuri oleh pasangan pelancong lain.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, kejadian berlaku 2 Jun lalu, kira-kira jam 9 pagi.

Menurutnya, ketika kejadian, mangsa yang berusia 25 tahun dan berasal dari Vietnam bersama suaminya yang berasal dari England, keluar dari bilik mereka menginap di salah sebuah chalet di pulau tersebut.

“Bagaimanapun, pasangan tersebut tidak membawa bersama barangan berharga mereka yang lain. Apabila balik semula ke bilik, mereka dapati kad kredit hilang.

“Mangsa kemudiannya menghubungi bank di Vietnam bagi menyekat kad kredit mereka, namun pihak bank memaklumkan kad tersebut telah digunakan empat kali pada hari yang sama iaitu di tiga kedai emas dan stesen minyak,”
katanya pada sidang media di pejabatnya, semalam.

Jelas Manoharan, susulan laporan yang dibuat, pihaknya berjaya mengesan suspek yang juga pelancong yang menginap di salah sebuah chalet di situ.

Menurutnya, suspek lelaki itu berusia 27 tahun dan berasal dari Johor manakala isteri suspek, 20-an merupakan warga Kemboja.

“Setelah pemeriksaan dibuat ke atas suspek, kita menjumpai kad kredit mangsa dan wang tunai dalam beg sandang suspek lelaki itu. Hasil siasatan awal, kita dapati mereka menggunakan kad kredit itu untuk membeli barang
kemas dan kemudiannya menjual balik barang kemas berkenaan.

“Susulan itu, polis telah menyerbu kedai emas berkenaan dan merampas semua barang kes. Hasil ujian awal urin, suspek lelaki didapati positif methamphetamine. Kedua-duanya kini direman sejak Rabu lalu sehingga esok (hari ini) dan disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.

Nekad lari tinggal MyKad


Nekad lari tinggal MyKad
Sebahagian daripada penunggang yang diperiksa dalam operasi khas JPJ, kelmarin
KUALA LUMPUR - Seorang remaja lelaki nekad melarikan diri walaupun MyKad dan lesennya masih ada pada anggota penguat kuasa, ketika pemeriksaan ke atas motosikal yang ditunggangnya dalam Operasi Khas Motosikal, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) di Jalan Bangsar menghala ke Pusat Bandaraya, malam kelmarin.

Tindakan remaja berusia 19 tahun itu akhirnya membongkar status motosikal berkenaan yang disyaki motosikal curi berdasarkan nombor pendaftaran yang dikenal pasti didaftarkan atas milik sebuah kereta.

Siasatan lanjut juga mendapati, nama daftar pemilik motosikal berkenaan tidak sama dengan identiti remaja itu yang juga dipercayai anak seorang anggota tentera.

Apa yang menarik perhatian adalah pelekat di motosikal tersebut yang menyerupai lambang Polis Diraja Malaysia (PDRM) namun diubah suai, diletakkan logo aksi penunggang motosikal di bahagian tengah dengan moto ‘Rempit Diraja Malaysia’.

Dalam operasi sama juga, beberapa penunggang motosikal dikesan cuba melarikan diri dengan berpatah balik, termasuk melalui siar kaki, namun berjaya ditahan polis bahagian trafik yang turut sama dalam operasi itu.

Sementara itu, operasi bermula jam 8 malam itu diketuai Ketua Bahagian Operasi JPJ Wilayah Persekutuan, Zamri Zainal Abidin, yang turut disertai Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa JPJ Kuala Lumpur,
Shamsuddin Sulaiman, bersama kekuatan anggota seramai 85 orang, membabitkan agensi PDRM, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Shamsuddin berkata, sejumlah 1,065 motosikal diperiksa dan seramai 200 penunggang motosikal dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan termasuk tidak mempunyai lesen, lesen tamat tempoh, tidak mempunyai cukai jalan, cukai jalan tamat tempoh dan nombor pendaftaran tidak memenuhi spesifikasi ditetapkan.

Maut terbabit dua nahas dalam sehari


Kulaijaya: Seorang mangsa kemalangan yang cedera parah maut apabila ambulans yang membawanya merempuh sebuah kereta dan terbalik di Kilometer 48.3 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah Selatan di sini, awal pagi kelmarin.

Ketika kejadian jam 4.40 pagi, mangsa, Goh Cheng Cheng, 31, dalam perjalanan dari sebuah hospital swasta ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) sebelum ambulans terbabit merempuh sebuah kereta Toyota Camry dan terbalik.
Mati ketika dirawat

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya, berkata selepas kejadian, mangsa yang mengalami pendarahan dalaman di kepala itu dikejarkan ke HSA dengan ambulans lain tetapi mati ketika dirawat jam 11.30 malam.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati ambulans yang membawa mangsa merempuh Toyota Camry dipandu seorang lelaki berusia lingkungan 30-an yang terbabas dan melanggar besi penghadang lebuh raya.

Cedera ringan

Ambulans yang mengekori kereta itu tidak sempat mengelak, merempuh Toyota Camry berkenaan sebelum terbalik.
Ketika kejadian itu, ambulans yang membawa mangsa dinaiki seorang doktor, dua jururawat dan seorang saudara mangsa, katanya, semalam.

Zulkefly berkata, semua mangsa lain termasuk pemandu Toyota Camry, pemandu dan penumpang ambulans terbabit hanya mengalami kecederaan ringan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, katanya.

Rumah sewa jadi mini makmal proses syabu


Rumah sewa jadi mini makmal proses syabu
Fah Hin (kanan) menunjukkan syabu yang ditemui di rumah berkenaan.
BALIK PULAU - Hasrat sepasang kekasih yang mahu mencari rezeki dengan menjalankan kegiatan haram tidak kesampaian apabila rumah mereka yang dijadikan mini makmal memproses dadah di Taman Kristal, Pondok Upeh di sini diserbu polis 3 Julai lalu.

Dalam serbuan yang dilakukan kira-kira jam 6.30 petang itu oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Barat Daya itu berjaya menahan seorang wanita warga Indonesia berusia 21 tahun bersama 56 gram syabu dan pelbagai peralatan memproses dadah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Superintendan Lai Fah Hin berkata, turut dirampas pil psikotropik, pelbagai cecair kimia untuk memproses dadah dan kenderaan jenis Proton Waja milik teman lelaki wanita berkenaan.

Menurutnya, serbuan dibuat hasil intipan selama seminggu namun ketika serbuan dilakukan teman lelaki suspek tiada di rumah.

“Siasatan awal mendapati mereka baru sahaja menyewa rumah berkenaan dan baru mahu memulakan proses pembuatan dadah namun tidak sempat melakukannya.

“Polis juga menemui peralatan memproses dadah yang masih tersimpan di dalam sebuah bilik di rumah berkenaan,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Fah Hin berkata, siasatan awal juga mendapati wanita berkenaan yang sebelum ini bekerja sebagai operator di sebuah kilang di Bayan Lepas juga tinggal di negeri ini melebihi masa yang ditetapkan sejak setahun lalu.

Manakala teman lelakinya pula yang berusia 35 tahun sebelum ini pernah dipenjara atas kesalahan bersabit dengan kes dadah.

Menurutnya, nilai rampasan dadah dianggarkan RM251,000 dan dipercayai akan diedar untuk pasaran tempatan.

“Berdasarkan peralatan dan bahan kimia yang dirampas kita percaya pasangan ini mempunyai kepakaran untuk memproses dadah jenis syabu dan ekstasi.

“Namun kegiatan mereka ini dihidu polis dan sindiket ini berjaya ditumpaskan,” katanya.

Fah Hin berkata, wanita berkenaan kini direman sehingga 10 Julai depan manakala teman lelakinya diburu polis.

Katanya, kes berkenaan akan disiasat bawah 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

11 korban wabak H1N1 di utara Chile


Santiago: Sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh kerana menghidap virus selesema H1N1 di utara Chile.

Kawasan itu mencatat kadar jangkitan yang lebih enam kali lebih tinggi berbanding negara lain di dunia, kata pihak berkuasa.
Purata pesakit di seluruh negara adalah seramai 24 orang bagi setiap 100,000 penduduk tetapi di Tarapaca minggu lalu, kadarnya adalah 148 pesakit bagi setiap 100,000 penduduk, kata presiden persatuan perubatan, Enrique Paris.

Berikutan kebimbangan dengan wabak berkenaan yang disifatkan keterlaluan, Paris mencadangkan penangguhan atau pembatalan bagi Fiesta de la Tirana.

Ia adalah satu sambutan keagamaan yang diraikan pada 15 hingga 17 Julai dengan 200,000 orang dijangkakan menghadirinya.
Sementara itu, Menteri Kesihatan, Jaime Manalich mengumumkan b
eliau akan ke wilayah kira-kira 1,900 kilometer ke utara yang berhampiran dengan sempadan Bolivia. - AFP

Polis rampas alat pecah rumah

JOHOR BAHRU - Polis menemui dan merampas peralatan dipercayai untuk kegunaan pecah rumah yang ditemui dalam kenderaan dipandu seorang lelaki yang mencurigakan pada 5 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superintendan Nor Hashim Mohamad berkata, lelaki berusia 30an itu juga ditahan dan pemeriksaan mendapati suspek dipercayai memiliki kad pengenalan diri palsu.

“Bertindak atas maklumat orang awam sekitar jam 1.50 pagi, polis diberitahu ada sebuah kereta jenis Proton Saga BLM berlegar-legar dalam keadaan mencurigakan di lampu isyarat terletak di Taman Bukit Indah, di sini, yang  dinaiki seorang lelaki.

“Susulan itu, polis pergi ke lokasi dan suspek bertindak melarikan diri sebaik sahaja menyedari kehadiran polis hingga berlaku kejar mengejar.

“Polis cuba menahan kereta berkenaan, tetapi enggan berhenti dan telah menghimpit dan mahu melanggar anggota. Suspek akhirnya berjaya ditangkap dengan bantuan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di flat Bukit Indah (berhampiran Lebuhraya Horizon Hills,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nusajaya, di sini, semalam.
Nor Hashim berkata, modus operandi suspek adalah memerhatikan rumah-rumah kosong yang ditinggalkan penghuni dan akan memecah masuk dengan mengambil barang berharga.

Katanya, suspek kini ditahan dan direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan serta Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 sehingga 8 Julai ini.

Maut ditembak dua lelaki tak dikenali


Georgetown: Hasrat seorang lelaki untuk menikmati tosai yang baru dibelinya tidak kesampaian apabila maut ditembak dari jarak dekat di belakang sebuah kedai makan di Relau, dekat sini, kelmarin.

Kejadian berlaku jam 10.30 malam itu ketika mangsa, K Kugineswaran, 30, dari Taman Damai, Taiping, Perak hendak pulang ke rumah dengan motosikal selepas membeli makanan di kedai berkenaan.
Berlaku pertelingkahan

Bagaimanapun, ketika hendak meninggalkan kedai itu, mangsa dipanggil dua lelaki yang dikenalinya sebelum berlaku pertelingkahan antara mereka bertiga.

Pergaduhan itu menyebabkan salah seorang suspek mengeluarkan pistol menyebabkan mangsa yang ketakutan cuba melarikan diri tetapi ditembak dari jarak dekat dan mengenai beberapa bahagian badan sebelum rebah di belakang kedai.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah, berkata mangsa mengalami kecederaan parah akibat tembakan dan pemeriksaan mendapati terdapat sekurang-kurangnya empat das tembakan mengenai badannya, termasuk dada.

5 mangsa gempa ditemui


Blang Mancung: Anggota keselamatan menemui mayat lima lagi mangsa korban gempa bumi yang melanda wilayah Aceh, minggu ini, menjadikan angka maut 35 orang.

Seorang daripada korban itu ialah budak perempuan berusia 11 tahun yang ditemui tertimbus di perkampungan Serempa, kata jurucakap pasukan penyelamat tentera, Andra Pahlevi.
Pegawai Agensi Bantuan Bencana Kebangsaan, Sutopo Purwo Nugroho, berkata empat lagi mangsa adalah kanak-kanak lelaki.

Empat tertimbus

Mereka tertimbus di sebuah perkampungan berdekatan, Bah.

Gempa pada Selasa lalu itu merosakkan lebih 4,300 kediaman dan bangunan.

Bencana alam 6.1 magnitud itu juga mencederakan 275 orang selain menyebabkan 6,500 kehilangan tempat tinggal.
Ramai mangsa gempa di kawasan terpencil Aceh masih menunggu bantuan, kata pegawai tempatan.

Kerosakan teruk di kawasan tertentu merumitkan penghantaran bantuan dan bekalan juga terhad. Kami sedang berusaha membantu semua mangsa, kata Masrizal Edy, Setiausaha Agensi Pengurusan Bencana Aceh Pusat (BPPD).

Sukar hantar bantuan

Pegawai polis berkata, ada tempat tertentu di Aceh Pusat dan Bener Meriah terjejas dan penduduk belum menerima selimut, khemah, makanan, ubat atau pakaian.

Tanah runtuh dan kerosakan kepada kediaman menyukarkan penghantaran bantuan.
Penduduk yang hilang tempat tinggal berada di 35 pusat perlindungan sementara. Ada yang tinggal dalam khemah di luar kediaman.

Indonesia sering dilanda gempa. Gempa magnitud 9.1 di Aceh pada 2004 menyebabkan tsunami berlaku dan membunuh 230,000 orang di 14 negara. - AGENSI

6 sekeluarga nyaris maut


6 sekeluarga nyaris maut
Anggota bomba menyelamatkan mangsa di kedua-dua kenderaan yang remuk.
SEREMBAN – Enam sekeluarga termasuk dua kanak-kanak berusia dua tahun dan dua bulan nyaris maut apabila kereta yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan di Kilometer 10 Jalan Seremban – Kuala Pilah, dekat sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira 8.15 malam itu, enam sekeluarga yang menaiki kereta jenis Toyota Altis itu sedang dalam perjalanan dari Kuala Pilah menuju ke Seremban sebelum bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Iswara yang dipandu seorang wanita berusia 20-an dari arah bertentangan.
Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Senawang, Ariffin Isa berkata, seramai 10 anggota membabitkan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Senawang serta Kuala Pilah bergegas ke tempat kejadian sejurus mendapat panggilan orang ramai.
“Sebaik tiba, kesemua mangsa dalam Toyota Altis itu sudah diselamatkan orang ramai yang berada di tempat kejadian.  Namun, wanita yang memandu kereta Proton Iswara itu masih tersepit di tempat pemandu akibat pelanggaran,” katanya.
Menurutnya, bahagian hadapan Proton Iswara juga remuk teruk mengakibatkan orang ramai sukar memberi bantuan menyelamatkan mangsa.

“Bagaimanapun, bomba mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di bahagian kedua-dua belah kakinya dengan menggunakan peralatan. Kedua-dua belah kaki wanita itu juga didapati patah," katanya.

Beliau berkata, kesemua yang cedera dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar, di sini untuk rawatan susulan.

Terbabas elak lori tangki


Terbabas elak lori tangki
Seorang pengguna jalan raya sempat melihat keadaan lori yang terlibat dalam kemalangan
PORT DICKSON – Seorang pemandu lori nyaris maut apabila kenderaannya yang membawa muatan batu kerikil terbabas selepas tidak sempat mengelak sebuah lori tangki yang keluar dari simpang tiga Kampung Tampin Kanan, semalam.
Dalam kejadian 9.30 pagi itu, Nordin Kassim, 29, yang memandu dari arah Rembau ke Linggi tersepit di tempat duduk pemandu dan beberapa pengguna yang cuba membantu gagal mengeluarkan mangsa sebelum anggota Bomba dan
Penyelamat Telok Kemang datang menghulurkan bantuan.
Pegawai Operasi, Pegawai Bomba kanan II, Abd Rahim Atan berkata, pihaknya mendapat panggilan pada 9.37 pagi dan bergegas ke tempat kejadian bersama enam anggota.
“Kami terima maklumat dua buah lori bertembung dan apabila sampai hanya ada sebuah sahaja dengan keadaan pemandunya tersepit di bahagian kaki.
“Pasukan bomba mengambil masa selama 10 minit untuk mengeluarkan mangsa dan dibawa ke Hospital Port Dickson (HPD) untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.
Dalam pada itu, pengguna, P Balakrishnan, 67, berkata, sememangnya di kawasan simpang tiga itu kerap berlaku kemalangan dan penduduk mengelarkannya sebagai 'simpang maut'.
“Biasanya kenderaan yang datang dari arah Rantau dipandu laju tidak sempat mengelak kalau ada kenderaan yang tiba-tiba keluar dari simpang tiga ini.

“Saya harap pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat membuat sesuatu bagi mengelakkan kejadian seperti ini berlaku dan meragut lebih banyak nyawa lagi,” katanya.

Surau Ahmadiah musnah

TAIPING – Surau Ahmadiah yang berusia hampir 50 tahun milik keluarga Ahli Parlimen Bukit Gantang, Idris Ahmad musnah dalam satu kebakaran kira-kira jam 10 malam, kelmarin.

Adun Kuala Sepetang, Chua Yee Ling berkata, difahamkan surau itu sering digunakan untuk mengadakan majlis ilmu oleh masyarakat di sini.

Menurutnya, kebakaran itu dikatakan berpunca akibat masalah litar pintas dan keseluruhan bangunan surau itu musnah dalam sekelip mata.

“Saya juga difahamkan surau berkenaan adalah antara yang aktif bagi kawasan Bukit Gantang iaitu diasaskan oleh bapanya, Ahmad Yunus,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.
Yee Ling berkata, bagaimanapun kerja mengemas telah dilakukan secara bergotong-royong bagi mengumpulkan barangan yang masih boleh digunakan.

“Namun laporan lengkap daripada Bomba dan Penyelamat hanya boleh diterima selepas tempoh 14 hari,” katanya.

Tambah beliau, melalui pusat khidmatnya, usaha membina semula surau berkenaan akan dilakukan bersama dengan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Gantang.

“Namun sumbangan boleh disalurkan terus ke akaun Maybank Ahli Parlimen Bukit Gantang iaitu 558051300273 dan makluman khidmat pesanan ringkas (SMS) ke 019-2622141,” katanya.

Polis Marin tahan 45 Pati di Kota Tinggi

JOHOR BAHRU - Pasukan Gerakan Marin (Polis Marin) menggagalkan cubaan menyeludup masuk dan keluar 45 pendatang asing tanpa izin (Pati) yang terdiri daripada rakyat Indonesia dan Pakistan selepas menahan mereka di Pantai Ladang Rusa, Sungai Rengit dekat Kota Tinggi tengah malam tadi.
 
Timbalan Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 2, Supt N. Kalai Chelvan berkata kesemua mereka yang berumur 20 hingga 45 tahun itu ditahan kira-kira pukul 12.30 tengah malam.
 
"Serbuan dilakukan terhadap sekumpulan pendatang asing dari darat menuju pantai yang cuba menaiki bot pancung dan sekumpulan pendatang yang sedang turun dari bot menuju daratan.
 
"Semasa serbuan, bot pancung yang mereka naiki memecut ke laut dan tekongnya terus terjun meloloskan diri," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
  
Kalai Chelvan berkata mereka merupakan 36 lelaki rakyat Indonesia, seorang lelaki rakyat Pakistan manakala lapan wanita rakyat Indonesia.

Beliau berkata turut ditemui dua mayat lelaki dan satu mayat wanita yang dipercayai maut akibat terkena kipas bot pancung berkenaan.
 
Kesemua yang ditahan diserahkan ke Balai Polis Sungai Rengit dan kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 kerana cuba keluar dan masuk dari Malaysia melalui laluan yang tidak diwartakan dan Seksyen 6(1)(c) akta yang sama kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah. - Bernama

Bayi baru lahir ditanam hidup-hidup




BHOPAL - INDIA - Bayi perempuan baru dilahirkan berusia sehari dan ditanam hidup-hidup di hutan Mandleshwar di tengah Madhya Pradesh dilaporkan meninggal dunia ketika dirawat di hospital.

Dipetik India Today, mangsa yang turut mengalami pendarahan hidung ditemui dua penduduk tempatan pada 29 Jun lalu selepas mereka mendengar tangisan bayi malang itu.

Polis kini sedang menyiasat kes tersebut termasuk meneliti rekod kelahiran di hospital berikutan kejadian pembunuhan anak perempuan semakin berleluasa di negara itu.

Budak mangsa langgar lari

Oleh FIRDAUS HASSAN

SIMUNJAN - Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun kritikal selepas menjadi mangsa langgar lari sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Proton Exora dalam kejadian di Jalan Sebangan-Sebuyau dekat sini kelmarin.
Kejadian pukul 5.30 petang itu menyebabkan Norhasmah Atierah Mahmud atau lebih mesra dipanggil Baby dari Kampung Sungai Ladung di sini patah kedua-dua belah kaki serta cedera di leher serta kepala.
Sehingga malam tadi, pelajar prasekolah di Sekolah Kebangsaan Sungai Ladung itu belum sedarkan diri dan kini dirawat di Hospital Umum Sarawak (HUS).


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0706&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz2YF5Stzgn 
Hakcipta terpelihara 

Mayat budak lemas ditemui berpaut pada kayu

BERKIS ketika meninjau tempat Mohd. Aziz terjatuh ke dalam sungai di Kampung Jemukan Laut, Samarahan kelmarin.


SADONG JAYA - Seorang budak lelaki yang terjatuh ke dalam Sungai Jemukan di Kampung Jemukan Laut di sini kelmarin ditemui mati lemas dalam keadaan berpaut pada sebatang kayu pagi semalam.
Sebelum kejadian pada pukul 3.50 petang, Mohd. Aziz Salleh, 3, kakaknya, Fatin Nur Athirah Salleh, 5, dan seorang lagi rakan mereka bermain di atas titi di kampung tersebut.
Ibu mangsa, Berkis Kila, 37, berkata, sebelum diketahui lemas, anak kesembilan daripada sepuluh adik-beradik itu baru pulang dari tadika sebelum meminta kebenarannya untuk bermain bersama Fatin dan seorang lagi rakan mereka.
"Saya izin mereka pergi bermain kerana ingat mereka pergi bermain di tadika tidak jauh dari rumah tetapi rupa-rupanya mereka bermain di atas titi yang sungainya agak dalam," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Jarak sungai dan rumah mangsa kira-kira 200 meter.
Selepas kira-kira setengah jam keluar bermain, cerita Berkis lagi, Fatin tiba-tiba pulang dalam keadaan menangis dan memberitahu adiknya terjatuh ke dalam sungai dari atas titi.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0706&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm#ixzz2YF51ESSz 
Hakcipta terpelihara 

Idayu dijumpai selamat di Surabaya


NUR IDAYU


KUANTAN – Seorang suri rumah, Nur Idayu Abd. Aziz, 34, yang sebelum ini didakwa dilarikan oleh empat buruh warga Indonesia pada 22 Jun lalu ditemui dalam keadaan selamat di Surabaya, Indonesia awal pagi semalam.
Suami wanita berkenaan, Mohd. Riduan Abd. Razak, 34, berkata, penemuan tersebut dimaklumkan oleh rakan bapa mertuanya yang tinggal di Jawa Timur.
“Rakan bapa mertua saya, Pak Rahman di Jawa Timur menghubungi saya pada pukul 7.30 malam (kelmarin) dan memberitahu sudah menjumpai rumah lelaki yang melarikan Nur Idayu di Dusun Besuk.
“Pak Rahman meminta beberapa kawannya menunggu di rumah tersebut sehingga lelaki itu pulang dan menangkapnya pada pukul 9 malam,” katanya.
Ujar Mohd. Riduan, lelaki tersebut bagaimanapun meninggalkan Nur Idayu di rumah saudaranya di Pasuruan, Surabaya yang terletak kira-kira empat jam perjalanan darat dari rumah Pak Rahman.
Tambahnya, Pak Rahman kemudian bergegas ke Pasuruan dan menjumpai Nur Idayu dalam keadaan selamat selain dipercayai tidak dapat mengingati dengan baik berhubung kejadian dia dilarikan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0706&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz2YF4m9398 
Hakcipta terpelihara 

Terkejut jumpa mayat rentung

ANGGOTA polis memeriksa mayat rentung yang ditemui di tempat pembuangan sampah di Jalan Hulu Langat, Ampang Jaya semalam.


AMPANG JAYA - Seorang kontraktor yang sedang menyelenggara sebuah pencawang elektrik terkejut apabila menemui mayat rentung hampir 100 peratus di tempat pembuangan sampah di Jalan Hulu Langat berdekatan pusat menara tinjau Bukit Ampang di sini semalam.
Mayat yang belum dikenal pasti identitinya itu ditemui pada pukul 10.45 pagi iaitu kira-kira lima meter dari tepi jalan selepas kontraktor berkenaan terhidu bau asap busuk.
Difahamkan, mayat mangsa dipercayai telah dibakar pada awal pagi ekoran api masih menyala ketika ditemui.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Nazri Nawawi berkata, ketika ditemui, mayat itu hanya tinggal sedikit kulit di kepala dan pangkal lengan.
"Kita masih belum dapat memastikan jantinanya. Mayat itu dibakar bersama tayar ekoran terdapat baki bahan getah itu di bawah badan mangsa," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0706&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz2YF3z5NZA 
Hakcipta terpelihara 

Mati di dalam banglo kontraktor

Oleh FIRDAUS HASSAN

ANGGOTA polis mengusung mayat salah seorang mangsa yang ditemui mati di dalam bilik sebuah banglo di Sibu semalam.


SIBU – Tiga beranak ditemui mati dalam keadaan menyayat hati selepas disyaki dipukul dengan sebatang buluh sebelum dibiarkan bergelimpangan di dalam bilik yang dicemari dengan gas memasak dalam kejadian di sebuah banglo dua tingkat di Pulau Li Hua di sini semalam.
Mayat Ling Yung Ming, 40, Christine Tiang Soon Ai, 14, dan Victor Tiang Soon Sheng Tai, 2, ditemui dengan kesan lebam di seluruh badan akibat dipukul dengan buluh tersebut pada pukul 10.30 pagi.
Kejadian itu disyaki dilakukan oleh suami Yung Ming selepas dia dikatakan tidak dapat menanggung bebanan hutang dan masalah peribadi yang dihadapinya. Lelaki berusia 43 tahun itu merupakan kontraktor kelas D.
Difahamkan, selepas memukul tiga beranak itu, lelaki terbabit dikatakan cuba memukul pula anak sulung lelakinya yang berusia 17 tahun yang berada di tingkat bawah namun gagal apabila remaja tersebut dapat melarikan diri melalui tingkap.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Zulkifli Hassan berkata, sebaik dapat menyelamatkan diri, remaja itu terus meminta pertolongan daripada jiran-jiran sebelum menghubungi polis. Dia kini dikatakan trauma dengan kejadian itu.
Katanya, polis yang tiba tidak lama kemudian masuk ke dalam banglo tersebut sebelum menemui mayat tiga beranak tersebut dengan kesan lebam di seluruh badan akibat dipukul dengan sebatang buluh di dalam bilik di tingkat atas.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0706&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz2YF3nYm4A 
Hakcipta terpelihara 

Mayat wanita ditemui di tepi lebuhraya



KUALA TERENGGANU - Seorang pengawal keselamatan menemui mayat seorang wanita di tepi jalan di Km41.1 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Ajil-Kuala Terengganu hari ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu DSP Ismail Muslim berkata wanita itu yang dipercayai berusia sekitar 30-an dan belum diketahui identitinya itu ditemui pukul 7 pagi.

"Ketika ditemui, mayat berkenaan dalam keadaan separuh bogel, hanya memakai baju (kemeja T) dan berseluar dalam.

"Kita percaya mangsa adalah wanita warga asing, siasatan lanjut sedang dijalankan sama ada terdapat unsur jenayah atau sebaliknya," katanya ketika dihubungi.

Ismail meminta orang ramai yang kehilangan saudara mara atau pembantu rumah menghubungi Balai Polis Hulu Terengganu untuk pengecaman mayat. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk bedah siasat. - Bernama

Hanyut: Maritim selamat 3 nelayan Indonesia




LUMUT - Sebuah kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menyelamatkan tiga nelayan warga Indonesia di perairan Lumut - kira-kira 32.5 batu nautika dari barat laut Pangkor di sini petang semalam, selepas hanyut apabila bot mereka kerosakan enjin.
   
Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim 3 Lumut Kepten (M) Abdul Razak Johan berkata ketiga-tiga nelayan itu diselamatkan oleh kapal APMM berpengkalan di sini yang sedang dalam perjalanan untuk operasi dan menyelamat seorang pemancing tempatan yang hilang di laut.
   
"Kapal APMM menemui bot mereka yang terapung-apung serta terdapat awak-awak dalam keadaan yang tidak bermaya. Pemeriksaan mendapati enjin bot mereka rosak dan ketiga-tiga nelayan telah hanyut di laut selama tiga hari tanpa bekalan makanan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
   
Beliau berkata bot tersebut berpangkalan di Aceh Tamiang, Acheh manakala ketiga-tiga nelayan itu dikenali sebagai Bransyah, 34; Maad Kurniaan, 23; dan Tengku Darma, 17 tahun.
   
Kapal APMM kemudiannya menunda bot terbabit ke jeti perikanan Kampung Acheh di sini bagi tujuan penyerahan kepada Kedutaan Indonesia dan pembaikan enjin bot, katanya.

Beliau berkata sementara itu, operasi mencari dan menyelamat pemancing warga tempatan yang dikenali sebagai Soon Ah Kin @ Soon Ah Liat, 75, berasal dari Tambun, Ipoh memasuki hari ketiga hari ini.
   
"Maritim Malaysia menggunakan aset kapal dan pesawat Bombardier CL 415 serta dibantu kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam operasi yang akan diteruskan sehingga Isnin ini," katanya.- Bernama

Wanita hamil ditangkap khalwat

TEMERLOH – Seorang wanita yang hamil enam bulan ditahan selepas disyaki berkhalwat dengan seorang penjawat awam dalam serbuan Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) ke atas sebuah rumah sewa di Taman Temerloh Jaya di sini malam kelmarin.

Wanita terbabit yang datang dari sebuah negeri utara tanah air bersama dua anak lelakinya bermalam di rumah lelaki terbabit yang didakwa sebagai sepupunya.

Wanita berusia 27 tahun itu membawa bersama dua anak lelaki berusia tujuh dan empat tahun ketika ditangkap bersama pasangannya yang berusia 30 tahun.

Paid melakukan serbuan ke atas rumah lelaki terbabit selepas menerima aduan awam.

Wanita terbabit mendakwa berkunjung ke rumah ibu saudaranya di Bera dan bermalam di rumah lelaki terbabit hanya untuk semalaman dan akan pulang keesokan harinya.

Wanita terbabit yang masih bersuami mendakwa ibunya tahu dia bermalam di rumah lelaki terbabit tetapi suaminya tidak tahu.

Lelaki terbabit yang berasal dari Kelantan mengaku mengahwini sepupu kepada wanita yang ditahan dan telah bercerai Disember tahun lalu.

Kedua-duanya ditahan awal pagi kelmarin dan diambil keterangan sebelum tindakan lanjut ke atas pasangan terbabit.

Rumah urut tawar khidmat seks


Rumah urut tawar khidmat seks
Anggota Imigresen Selangor menahan warga asing di sebuah rumah di Sungai Buloh, semalam.
SHAH ALAM - Sebuah rumah urut yang menyediakan perkhidmatan urutan badan ke badan dan khidmat seks di Kajang, diserbu Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Selangor, awal pagi semalam.

Timbalan Penolong Pengarah Operasi Jabatan Imigresen Selangor, Othman Montil berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kegiatan rumah urut ini menerusi aduan orang awam dan tinjauan pihak imigresen selama 10 hari. "Selain mengurut, pekerja di sebuah pusat urut ini juga memberi layanan istimewa kepada lelaki hidung belang.

"Pelanggan juga boleh memilih sama ada untuk mendapatkan khidmat urutan badan ke badan atau khidmat seks," katanya.

Menurutnya, pihaknya berjaya menahan enam warganegara China berumur antara 22 dan 34 tahun.

"Mereka ditahan atas kesalahan tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan tinggal lebih masa di negara ini," katanya.

Selain itu Othman berkata, pihaknya juga menahan penjaga rumah urut berumur 49 tahun.

"Semua yang ditahan akan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk siasatan lanjut.

“Mereka akan disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau dikenakan enam sebatan,” katanya.