Search This Blog

Friday, July 5, 2013

Bimbang diusir pemilik rumah


Bimbang diusir pemilik rumah
Zaharah menggunakan besen untuk menadah air hujan.
Bimbang diusir pemilik rumah
Sebahagian penduduk yang pernah membuat permohonan rumah.
BUKIT JENUN – 50 penduduk daripada tujuh keluarga yang tinggal di perumahan Estet Kongsi Baru dekat Kilang Kechik di sini mendakwa dipinggirkan berikutan permohonan mendapat bantuan rumah daripada Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) tidak mendapat maklum balas.

Tinjauan Sinar Harian di perumahan yang berusia lebih 100 tahun berkenaan mendapati keadaan rumah penduduk sangat usang manakala bumbung bagi beberapa rumah mengalami kebocoran.

Difahamkan perumahan estet itu adalah untuk pekerja ladang ketika zaman British lagi iaitu sebelum kemerdekaan.

Penduduk yang memilih untuk menetap di situ adalah terdiri daripada golongan yang tidak berkemampuan untuk memiliki tanah mahupun rumah sendiri.

Penduduk, Siti Hasa Mohamad, 70, berkata, dia menetap di situ sejak kecil sehinggalah berkahwin dengan suaminya, Ahmad @ Yusof  Hassan, 75, dan terus menetap di sini selepas kematian ibu bapanya.

Menurutnya, dia pernah memohon bantuan rumah Keda di Tanjung Setol pada tahun 2008 namun sehingga kini tiada respons daripada pihak terbabit.

“Rata-rata penduduk di sini tidak mahukan bantuan lain dari kerajaan melainkan bantuan penempatan rumah kerana bimbang jika diusir pemilik tanah di sini.

“Keadaan rumah saya sangat usang, bumbung rumah pula bocor sehingga saya terpaksa tutup dengan plastik, namun kami redha memandangkan kami tiada pilihan lain,” katanya.

Siti Hasa berkata, dia dan suaminya mengambil upah menoreh getah dengan sumber pendapatan sebanyak RM500 sebulan namun pendapatan itu tidak menentu kerana bergantung kepada keadaan cuaca.

Bimbang diusir

Penduduk juga bimbang jika pemilik tanah mengusir mereka daripada kawasan itu memandangkan tiada perjanjian surat yang dilakukan antara penduduk dan pemilik.

Jamilah Taib, 43, berkata, sudah 15 tahun dia menetap di situ dengan membayar RM900 sebagai kebenaran daripada penduduk sebelumnya yang ingin berpindah.

Katanya, disebabkan tiada penempatan lain dan tidak mampu membayar sewa rumah menyebabkan dia membuat keputusan membeli rumah daripada penduduk asal yang ingin berpindah.

“Rata-rata penduduk bimbang akan diusir pemilik tanah kerana tiada penempatan lain memandangkan permohonan rumah Keda yang dimohon beberapa kali tidak pernah berjaya.

“Penduduk di sini rasa seperti dipinggirkan kerana tiada wakil rakyat yang tampil membela nasib kami yang menumpang di sini,” katanya.

Bagi Nur Saliza Sharif, 33, dia terpaksa membeli rumah dengan kos RM3,000 daripada pemilik asal walaupun mengetahui rumah itu tidak menjadi miliknya.

Katanya, dia telah memohon rumah daripada Keda namun sehingga sekarang tidak mendapat maklum balas.

Tiada sumber pendapatan

Bagi Zaharah Md Zain, 63, berkata, dia hanya mengharapkan simpati orang ramai membantunya memandangkan suaminya, Harun Chin, 61, terlantar selepas terbabit kemalangan.

“Saya minta penempatan rumah banyak kali dah tapi tak pernah dapat walaupun rata-rata orang tahu saya tiada sumber pendapatan.

“Saya kecewa kerana semua yang penduduk minta gagal mendapat maklum balas,” katanya.

Dalam pada itu, Sinar Harian sedang berusaha mendapatkan penjelasan berkaitan masalah penduduk berkenaan daripada beberapa wakil rakyat di sini.

Angin kuat, ombak besar


Angin kuat, ombak besar
Kejadian ombak besar berlaku di Padang Kota Lama akibat hujan lebat, semalam.
GEORGETOWN - Angin kuat yang berlaku dari semalam menyebabkan kejadian ombak tinggi di Padang Kota Lama.

Tinjauan Sinar Harian di situ mendapati ombak setinggi kira-kira empat meter mencecah tembok di situ.

Ombak kuat berlaku seawal jam 4 pagi semalam selepas hujan lebat berlaku pada tengah malam kelmarin.

Peniaga rojak, Azizan Mansor berkata, bagaimanapun orang ramai tidak begitu bimbang memandangkan ia situasi biasa seringkali berlaku ketika ribut mahupun hujan lebat.

Menurutnya, ombak hanya dikatakan menjadi luar biasa sekiranya ia dilihat setinggi pokok kelapa.

“Bagi saya ini normal walaupun memang nampak menakutkan kepada orang luar, walau bagaimanapun saya nasihatkan orang ramai letak kereta di tempat yang elok kerana air laut yang terkena kereta boleh menghakis cat.

“Pengunjung juga kena hati-hati, jangan dekat sangat dengan tembok, bimbang kalau ralit tengok ombak, nanti terjatuh pula,” katanya.

Mahkamah putuskan 17 Julai kes detektif Lahad Datu



KOTA KINABALU - Mahkamah Tinggi menetapkan 17 Julai sebagai tarikh untuk memutuskan sama ada pihak pendakwa mempunyai kes prima facie terhadap anggota Cawangan Khas Lahad Datu Detektif Koperal Hassan Ali Basari, yang dituduh menyembunyikan maklumat tentang kegiatan pengganas.
 
Hakim Ravinthran Paramaguru juga akan membuat keputusan sama ada tertuduh perlu membela diri.
 
Pihak pendakwa dalam perbicaraan kes Hassan Ali menutup kesnya hari inidengan mengemukakan hujah ia mempunyai cukup bukti untuk mempercayai bahawa anggota polis itu menyembunyikan maklumat tentang kegiatan pengganas.
 
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nordin Hassan mengemukakan tiga perbualan telefon yang dipintas dan bil yang menunjukkan tertuduh telah berhubung dengan pengganas Filipina yang melakukan pencerobohan bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada Februari.
 
Beliau berkata saksi terlindung kedua pihak pendakwa, yang memintas tiga perbualan telefon itu, memberi keterangan bahawa tertuduh dihubungi seorang lelaki Sabah untuk memberi keterangan tentang kejadian berkaitan pertempuran antara pasukan keselamatan Malaysia dan pengganas Filipina di kampung Tandou pada 1 Mac, yang meragut nyawa dua komando VAT 69.

Kata Nordin, saksi berkenaan dapat mengecam suara Hassan Ali berdasarkan beberapa perbualan telefon yang beliau pintas, di mana tertuduh memperkenalkan dirinya.
 
Satu lagi perbualan telefon yang dipintas antara Datu Agbimudin Kiram, yang mengetuai pencerobohan itu, dan anak saudaranya Datu Amir Bahar, menunjukkan Datu Amir Bahar menghubungi tertuduh, yang memberi maklumat tentang pergerakan pasukan keselamatan Malaysia.
 
Nordin berkata berdasarkan komunikasi yang dipintas itu, tertuduh menggunakan dua nombor untuk menghubungi pengganas.
 
Katanya saksi Abdul Rahman Othman, seorang eksekutif di Celcom Axiata Bhd, memberi keterangan bahawa satu daripada nombor telefon itu - 0195800155 didaftar atas nama tertuduh, manakala nombor 0138888359 didaftar atas nama Mohd Esham Hassan, yang dikenal pasti pegawai penyiasat DSP Ang Seow Aun sebagai anak tertuduh.
 
Nordin berkata berdasarkan keterangan Abdul Rahman, bil telefon menunjukkan berlaku komunikasi antara dua nombor itu dan nombor 0142847213, yang menurut saksi SAC Zulkifli Abd Aziz, bekas timbalan ketua Cawangan Khas Sabah, adalah kepunyaan Datu Agbimudin, yang beliau peroleh daripada saudara lelaki Datu Agbimudin dikenali sebagai Datu Ismail, yang Zulkifli temui di sini pada tahun lepas.

Pihak pendakwa juga mengemukakan hujah bahawa pada Januari, tertuduh diberi amaran oleh saksi terlindung pertama bahawa 1,500 anggota Pasukan Diraja Sulu akan berkumpul di Pulau Simunul, di selatan Filipina, untuk memasuki Sabah.
 
Nordin berkata saksi itu memberi keterangan bahawa beliau terdengar maklumat itu daripada perbualan 20 lelaki berpakaian berwarna oren berbelang dengan perkataan 'Royal Sulu Force' tertera pada pakaian mereka, di Pulau Bongao, selatan Filipina.
 
Pihak pendakwa juga berkata tertuduh tidak melaporkan maklumat tentang kegiatan keganasan pada majlis taklimat tentang pencerobohan itu di pejabat Cawangan Khas Lahad Datu sedangkan dia mempunyai peluang untuk berbuat demikian.
 
Hassan Ali menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 130M Kanun Keseksaan kerana melakukan kesalahan itu antara Januari dan 3 Mac di Pejabat Cawangan Khas Lahad Datu.
 
Tertuduh, yang diwakili peguam Kamarudin Mohamad Chinki dan Ram Singh, boleh dikenakan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
 
Pihak pendakwa memanggil 18 saksi dalam perbicaraan dari 24 hingga 28 Jun itu. - Bernama

22 tong diesel lebih RM40,000 dirampas



MELAKA - Serbuan dadah oleh sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah membawa kepada penemuan 22 tong minyak diesel bernilai kira-kira RM41,800 yang disembunyikan di sebuah stor simpanan dua tingkat di Taman Teknologi Cheng hari ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Salehhudin Abd Rahman berkata pihaknya menerima maklumat orang awam mengenai penyalahgunaan dadah sebelum melakukan serbuan di premis tersebut pada 11 pagi.

Beliau berkata pihaknya berjaya menahan seorang pemandu lori berusia 21 tahun yang sedang nyenyak tidur di tingkat atas premis itu sebelum ujian air kencing mendapati lelaki terbabit positif dadah jenis metaphetamin.

"Polis menjumpai tong minyak terbabit dengan setiap satu berisi kira-kira 1,000 liter diesel di tingkat bawah premis yang sebahagiannya ditutup dengan kain kanvas," katanya kepada pemberita ketika ditemui hari ini.

Katanya polis turut menjumpai 14 tong kosong untuk menyimpan diesel, lima buah lori termasuk sebuah lori tangki selain empat mesin pam minyak.

Hasil siasatan awal mendapati premis terbabit dijadikan tempat simpanan dan pengumpulan diesel sebelum dipindahkan ke dalam lori yang telah dipasang sebuah tong simpanan untuk dijual kepada pelanggan.

Sementara itu, Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Negeri Muhabir Ibrahim berkata diesel tersebut dipercayai diperoleh secara runcit pada harga RM1.90 seliter dari stesen-stesen minyak terutama yang beroperasi 24 jam sekitar premis berkenaan.

Beliau berkata diesel tersebut dipercayai dijual di Johor bagi kegunaan industri kilang dan perkapalan pada harga antara RM2.20 hingga RM2.30 seliter.

Katanya pihaknya akan memanggil seorang pengurus stor lelaki berusia 32 tahun yang turut berada di premis tersebut ketika serbuan bagi membantu siasatan mengenai penemuan diesel berkenaan.

Lelaki berkenaan tidak ditahan polis kerana ujian air kencing mendapati dia bebas dadah, katanya.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang membawa hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. - Bernama

Penyamun mati ditembak ahli perniagaan



KUALA LUMPUR - Seorang lelaki mati ditembak seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri dalam kejadian samun di sebuah poliklinik di Taman Pertama, Cheras malam tadi.
 
Suspek yang berusia linkungan 20-an itu mati di tempat kejadian akibat ditembak di bahagian lutut, perut serta pinggul.
 
Mayatnya dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia.
 
Ketua Polis Daerah Cheras ACP, Mohan Singh Tara Singh berkata kejadian berlaku kira-kira pada 9.50 malam apabila Tan Sri itu yang kebetulan sedang mendapatkan rawatan di poliklinik berkenaan turut diserang suspek dan dua rakannya.
 
"Salah seorang suspek dilaporkan menolak dan menghayunkan parang ke arah Tan Sri berkenaan. Akibat tindakan itu beliau luka di kulit perutnya. Namun beliau sempat mengeluarkan senjata api miliknya dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah ketiga-tiga suspek.

"Dua suspek yang selamat itu kemudiannya melarikan diri tetapi salah seorang daripada mereka didapati rebah di atas jalan raya kira-kira 30 meter daripada poliklinik tersebut, namun berjaya melarikan diri," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
 
Polis percaya terdapat seorang lagi rakan suspek yang menunggu di luar poliklinik itu semasa kejadian dan turut melarikan diri.
 
Polis menemui sebilah parang, empat kelongsong peluru dan sebuah kereta jenis Nissan Latio yang dilaporkan hilang di Taman Mahkota, Batu 9, Kajang pada 3 Julai lepas, di tempat kejadian.
 
"Kami percaya kumpulan ini banyak melakukan samun ke atas klinik dan outlet yang beroperasi sehingga lewat malam dan 24 jam seperti 7-Eleven. Kita akan mengesan tiga lagi suspek tersebut yang berjaya melarikan diri.
   
"Kita percaya ada antara mereka yang cedera akibat tembakan yang dilepaskan Tan Sri berkenaan dan sedang mendapatkan rawatan di pusat perubatan atau hospital," kata Mohan Singh.

Beliau meminta mana-mana institusi perubatan supaya melaporkan kepada pihak polis jika terdapat orang yang mencurigakan datang untuk mendapatkan rawatan.
 
Menceritakan detik cemas tersebut, G. Nitya, 24, jururawat yang bertugas di poliklinik tersebut ketika itu berkata beliau sedang membantu doktor merawat seorang pesakit apabila didatangi dua suspek yang turut merampas rantai, telefon bimbit serta cincin miliknya.
 
"Mereka mengambil masa hanya lima minit untuk menyamun," katanya.
 
Terdapat tiga pekerja, seorang doktor dan tujuh pesakit di poliklinik berkenaan ketika kejadian. - Bernama

Salah guna daun ketum diletak bawah Akta Dadah



KUALA LUMPUR - Seorang anggota Parlimen mengulang gesaan agar undang-undang berkaitan penyalahgunaan daun ketum diletak di bawah Akta Dadah Berbahaya berbanding Akta Racun 1952.
 
Datuk Mohd Johari Baharom (BN-Kubang Pasu) berkata gesaan itu berikutan masalah ketagihan daun ketum dalam kalangan anak muda di negara ini, terutama di kawasan utara, semakin serius sehingga melibatkan pelajar sekolah.
 
"Ketika menyertai satu mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di kawasan saya, saya diberitahu tandas lelaki sekolah tersumbat gara-gara plastik yang diguna untuk membungkus ketum dibuang dalam saluran tandas.
 
"Saya dimaklumkan oleh guru bahawa apabila siasatan dibuat, ibu bapa mereka memaklumkan bahawa pelajar ini ketagihan air ketum dan tidak boleh belajar jika tidak meminumnya. Ini menunjukkan masalah ketagihan bahan ini semakin parah," katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang Di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.
 
Beliau berkata permintaan bagi mengkaji semula akta berkaitan ketum untuk diletak di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 sudah lama diperjuangkan pelbagai pihak, termasuk badan bukan kerajaan (NGO),dan kini masanya telah tiba untuk kerajaan mengambil tindakan bagi menangani masalah ini.

Dalam pada itu, Mohd Johari meminta kerajaan memberi perhatian terhadap usaha memerangi penyalahgunaan dadah, termasuk menambah peruntuk bagi memperbanyakkan lagi kempen kesedaran di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi.
 
"Tanggungjawab untuk memerangi penyalahgunaan dadah juga bukanlah peranan kerajaan semata-mata malahan semua pihak, termasuk kerajaan negeri, perlu menjadikannnya sebagai agenda utama.
 
"Semua negeri sama ada di bawah pentadbiran Barisan Nasional atau pembangkang perlu bersama-sama berganding bahu demi memastikan negara ini bebas daripada kes penyalahgunaan dadah," katanya.
 
Kenyataan Mohd Johari menarik celahan Datuk Takiyudin Hassan (Pas-Kota Baharu) yang mengaitkan pertambahan pusat hiburan yang memudahkan pengedaran dadah dalam kalangan masyarakat.
 
"Jika usaha memerangi dadah dilakukan, tetapi dalam masa yang sama pusat-pusat hiburan tempat beredarnya bahan-bahan terlarang ini tidak ditutup malah semakin bertambah, bagaimana masalah ini boleh selesai?" soal beliau.
 
Menjelaskan perkara itu, Mohd Johari berkata penyalahgunaan dadah bukan hanya berlaku di pusat hiburan malah secara meluas, termasuk oleh kelasi kapal dan nelayan.
 
Sehubungan itu, katanya, usaha memerangi gejala ini bukan sekadar tertumpu di lokasi tertentu.  - Bernama

Makmal dadah ditemui di Balik Pulau



BALIK PULAU - Polis di sini membongkar kewujudan sebuah makmal memproses dadah di sebuah rumah teres yang kegiatannya didalangi seorang wanita Indonesia dan kekasihnya yang merupakan rakyat tempatan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, DSP Lai Fah Hin berkata wanita berumur 21 tahun itu telah ditahan di rumah itu dan dia direman sehingga Rabu depan.

Beliau berkata suspek terbabit merupakan bekas pekerja kilang di Bayan Lepas dengan pasportnya telah tamat tempoh sejak setahun lepas.

Kekasihnya tidak berada di rumah tersebut ketika serbuan dilakukan, namun pihak polis telah mengenal pasti identitinya dan dijangka diberkas tidak lama lagi.

Lai berkata suspek lelaki berusia 34 tahun itu memiliki dua rekod jenayah lampau serta pernah ditahan kerana mengedar dadah.

Beliau berkata kedua-duanya dipercayai menjalankan kegiatan memproses dadah sejak tiga minggu lepas di rumah yang disewa mereka di Taman Kristal Pondok Upeh.

Lai berkata pihak polis yang menyerbu rumah itu Rabu lepas turut menemui 56 gram syabu, pil psikotropik, pelbagai bahan kimia dan peralatan memproses dadah yang dianggarkan bernilai RM276,00.

Beliau berkata pasangan tersebut memproses syabu dan ekstasi yang dipercayai untuk edaran di Pulau Pinang.- Bernama

3 sekeluarga ditemui mati di Sibu



SIBU - Tiga sekeluarga ditemui mati di rumah mereka di kawasan Perumahan Estate Pulau Li Hua di sini hari ini, dipercayai akibat terhidu gas memasak.
 
Mayat suri rumah Ling Yung Ming, 40, anak perempuannya Cristine Tiang Soon Ai, 14, dan anak lelakinya Victor Tiang Soon Sheng, 2, ditemui kira-kira 10 pagi.
 
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Shafie Ismail berkata seorang lagi anak pasangan itu yang berusia 17 tahun berjaya menyelamatkan diri setelah melompat keluar melalui tingkap dan meminta bantuan jiran yang kemudian menghubungi polis.
 
Beliau berkata sehubungan itu polis kini mencari seorang lelaki berusia 43 tahun yang bekerja sebagai kontraktor pembersihan tapak dan merupakan anggota keluarga terdekat mangsa bagi membantu siasatan.
 
"Remaja lelaki yang terselamat itu menyedari kejadian yang menimpa ibu dan dua adiknya itu setelah bangun dari tidur pagi ini dan melihat keadaan ibu dan adik lelakinya terbaring di lantai manakala adik perempuannya di atas tilam," katanya.
 
Shafie berkata lelaki yang ketika kejadian berada di rumah itu, kemudian melarikan diri dengan pacuan empat roda jenis Toyota.
 
Shafie berkata mayat wanita dan dua anaknya itu dihantar ke rumah mayat Hospital Daerah Sibu untuk bedah siasat.  - Bernama

Miliki ganja: Dihukum penjara 10 tahun, 10 sebatan



SHAH ALAM - Seorang bekas pengawal keselamatan dihukum penjara 10 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan memiliki 474 gram ganja yang disembunyi dalam bekas plastik di rumah keluarganya pada April tahun lepas.

Hakim Noor Azian Shaari memerintahkan Kamal Ariffin Zamani, 40, menjalani hukuman itu dari tarikh dia ditangkap pada 6 April 2012.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Taman Kris Ijok, Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 1 pagi 6 April 2012 mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup dan minimum 10 kali sebatan, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, Kamal Ariffin berdepan pertuduhan mengedar dadah mengikut Seksyen 39B akta sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, sepasukan anggota polis cawangan Narkotik Kuala Selangor menyerbu rumah keluarga Kamal Ariffin dan tertuduh kemudian menyerahkan satu bekas plastik jingga berisi empat bungkusan daun kering, yang kemudian disahkan sebagai ganja, kepada pihak polis.

Terdahulu, peguam Nor Azri Mohd Arif memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan ke atas anak guamnya atas alasan tertuduh tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan telah insaf akan perbuatannya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Aida Mastura Mohamed Aman meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana perbuatan Kamal Ariffin menyebabkan wujud ramai penagih dadah, dan hukuman itu perlu berbentuk pengajaran agar tertuduh tidak mengulanginya.

Kerajaan diarah bayar pemandu lori RM350,000



KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan kerajaan dan polis membayar ganti rugi lebih RM350,000 kepada seorang pemandu lori yang cedera semasa disoal siasat lima tahun lepas.

Hakim Datuk John Louis O'hara membuat keputusan untuk membenarkan saman B.Prabakar selepas memutuskan plaintif berjaya membuktikan kesnya terhadap kerajaan dan lapan anggota polis.

Dalam penghakimannya, O'hara berkata tujuh daripada anggota polis berkenaan bertanggungjawab terhadap penderitaan dan kesakitan yang dialami plaintif.

Beliau berkata ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid, yang merupakan Ketua Polis Daerah Brickfields ketika itu, pula bertanggungjawab terhadap kesalahan yang dilakukan penjawat awam berkenaan manakala kerajaan memikul liabiliti gantian.

"Saya mendapati berdasarkan keterangan, ketujuh-tujuh defendan bertanggungjawab terhadap kesakitan yang ditanggung plaintif semasa soal siasat yang akan berterusan jika mangsa tidak mengaku atau meninggal dunia," katanya.  

O'hara memerintahkan agar Prabakar, 32, dibayar ganti rugi teladan dan punitif sebanyak RM150,000 dan RM100,000 sebagai ganti rugi teruk serta RM50,000 sebagai ganti rugi am.

Beliau turut memerintahkan defendan membayar RM50,000 sebagai kos, RM1,500 bagi kehilangan pendapatan, RM150 untuk bil perubatan dan RM75 bagi gambar kecederaan plaintif.

Pada 21 Sept 2011, Prabakar memfailkan saman terhadap tiga anggota polis berpangkat Sarjan (Mohd Shafiee Abdul Halim, Mohd Diah Sulaiman dan Zulkiplly Taib), dua Koperal (Abdullah Musa dan Zamrin Zaid), dua Lans Koperal (Matila@Saudi Ismail dan Nizam Abd Wahab),  Wan Abdul Bari serta kerajaan mendakwa dipukul dan disimbah air panas oleh tujuh anggota polis selepas beliau ditahan.

Dalam penyataan tuntutan, beliau mendakwa ditahan polis di sebuah parkir kereta di Sri Hartamas pada 9.30 malam 23 Dis 2008 sebelum disoal siasat tujuh anggota polis di Balai Polis Daerah Brickfields dari 10 malam hari sama sehingga pagi berikutnya.

Pada 4 Okt 2011, Mohd Shafiee dan Mohd Diah masing-masing dihukum penjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen bagi kesalahan sengaja mendatangkan kecederaan kepada dua tahanan manakala lima lagi dibebaskan daripada pertuduhan. - Bernama

Wanita jadi tauke sarang pelacuran dipenjara



MELBOURNE - AUSTRALIA. Seorang wanita Malaysia, yang memaksa wanita muda dari negaranya menjadi hamba seks di sebuah rumah pelacuran di Sydney, dikenakan hukuman sekurang-kurangnya penjara tiga tahun.

Australian Associated Press (AAP) melaporkan Wong Chee Mei, 39, didapati bersalah pada April kerana menjalankan perniagaan pelacuran dan empat pertuduhan mengambil pekerja yang melanggar peraturan visa dan mengeksploitasi mereka.

Ketika menjatuhi hukuman penjara maksimum enam tahun ke atasnya pada Jumaat, Hakim Deborah Sweeney berkata Wong "tidak melayan wanita berkenaan seperti manusia, tetapi sebagai komoditi -- mesin untuk membuat duit".

Antara 2008 dan 2009, Wong mengambil beberapa wanita Malaysia dan menguruskan kemasukan mereka ke Australia dengan menggunakan visa pelajar.

Wanita berkenaan, yang tidak tahu berbahasa Inggeris, diberitahu mereka perlu bekerja sehingga selesai menjelaskan kos tambang kapal terbang, visa dan yuran kursus, yang keseluruhannya berjumlah A$5,800 seorang.

Kesemua wanita malang itu dipaksa menjadi hamba seks dan dikenakan pelbagai ugutan, kata Sweeney.

"Mereka dipamer di hadapan pelanggan dengan hanya menggunakan nombor sebagai pengenalan diri," kata hakim itu yang dipetik AAP.

Seorang wanita memberitahu mahkamah dia dipaksa bekerja 17 jam setiap hari di rumah pelacuran itu dan didenda A$10 jika terlewat.

Sweeney berkata Wong memberi ubat kepada wanita terbabit untuk menyekat kedatangan haid dan menempeleng seorang daripada mereka kerana datang bulan.

Jika diambil kira tempoh tahanan yang dilalui Wong, tarikh paling awal pembebasannya ialah 30 Mei 2016. - Bernama

Anggota Rela didakwa aniaya anak angkat



KLANG - Seorang anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menganiaya anak angkatnya yang berusia tujuh tahun dengan memukul kedua-dua tangan serta kaki kanak-kanak malang itu menggunakan tali pinggang.

Amminuddin Shaharudin, 42, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di depan Majistret Maslina Mohamed.

Maslina kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Beliau turut melarang Aminuddin mendekati mangsa dan memerintahkan tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran seminggu sekali.

Aminuddin didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Mohamad Akmal Hakimi Abdullah di No 7, Jalan Gelama, Telok Gadong di sini pada 7.50 malam 1 Julai lepas mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum  penjara 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Shahrul Ekhsan Hasim tidak menawarkan jaminan atas alasan banyak kes dera dilaporkan di media dan mangsa masih tinggal bersama isteri tertuduh.

Bagaimanapun, peguam S.K.Pari meminta mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin sebanyak RM2,000 dan memberi aku janji tertuduh akan tinggal di tempat lain.

Beliau turut mencadangkan agar mahkamah mengenakan syarat tambahan sekiranya membenarkan Aminuddin diikat jamin.   - Bernama

Polis Kelantan kenal pasti suspek tembak guru


Guru cedera ditembak
Mangsa dibawa ke HRPZ II untuk menerima rawatan selanjutnya selepas ditembak di Pasir Mas.
KOTA BHARU - Polis telah mengenalpasti seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian tembakan membabitkan seorang guru di Kubang Panjang, Pasir Mas, semalam.
  
Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata lelaki itu juga disyaki terbabit dalam sindiket pengedaran dadah dan dikenali oleh mangsa.
  
Beliau memberitahu perkara itu kepad pemberita ketika ditemui selepas majlis sambutan Kor Kadet Polis Ke-43 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.
  
Dalam kejadian pada 12.15 tengah hari semalam, seorang guru di sebuah sekolah rendah di Tumpat cedera ditembak di bahagian leher. Guru yang berasal dari Kampung Tualang, Pasir Mas itu kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II dan keadaannya dilapor stabil.
  
Jalaluddin meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
  
Pada majlis itu, seramai 160 pelajar tingkatan empat dan lima dari sekolah di semua daerah negeri ini terlibat dalam perbarisan.  - Bernama

Wanita hamil hadapi 6 tuduhan pecah amanah

SHAH ALAM - Seorang bekas penolong akauntan sebuah syarikat yang sarat mengandung lapan bulan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas enam pertuduhan pecah amanah membabitkan nilai keseluruhan RM553,391.90.
 
Fara Wahida Mad Aziz, 34, dari Bandar Tun Hussein, Cheras, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di depan Hakim Mohd Sabri Ismail.
 
Mohd Sabri membenarkan Fara Wahida diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Ogos ini untuk sebutan semula kes.
 
Mengikut pertuduhan, Fara Wahida, yang diamanahkan dengan penguasaan ke atas cek RHB Bank dan Affin Bank Bhd milik Syarikat Seri Siantan Sdn Bhd, telah dengan curangnya menyalahgunakan cek berkenaan.
 
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Syarikat Seri Siantan di No 45A, Jalan Badminton 13/29, Seksyen 13 di sini antara 22 Jan 2009 dan 3 Mac 2011 mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan sebatan serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.
 
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Husnita Mohd Radzi menawarkan jaminan RM100,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin, bagaimanapun peguam Hisham Nazir memohon jumlah itu dikurangkan atas alasan Fara Wahida memberi kerjasama yang baik kepada pihak polis sepanjang siasatan.
 
Beliau juga berkata anak guamnya dijangka bersalin pada 1 Ogos ini.  - Bernama

‘Saya cam penjenayah umpil pintu’


Muar: “Saya dan ibu terus menjerit apabila terlihat mata pisau diguna penjenayah di celah daun pintu,” kata Ida Haryati Satibi, 31, semalam.

Sebelum kejadian, Ida Haryati dikatakan sedang bersiap untuk keluar bekerja apabila terdengar bunyi bising di pintu rumahnya di kampung Simpang Lima, Bukit Gambir, di sini, kira-kira jam 7.30 pagi, kelmarin. Dia yang bertugas sebagai penjawat awam di pekan berkenaan kemudiannya ke arah bunyi itu dan mendapati pintu rumah sedang diumpil.


“Saya terus memanggil ibu, Hamidah Othman, 58, untuk memberitahu apa yang berlaku.



“Saya melihat penjenayah mengumpil pintu dengan mata pisau, tetapi pintu tidak boleh dibuka kerana pintu dipasang selak,” katanya.


Menurut Ida Haryati, dia dan ibunya terus menjerit menyebabkan penjenayah itu melarikan diri.


Katanya, dia menghubungi Balai Polis Bukit Gambir bagi memaklumkan kejadian sebelum diminta membuat laporan kejadian terbabit.

“Saya terus ke Balai Polis Bukit Gambir, namun terkejut apabila diminta membuat pengecaman berkaitan dua individu ditahan polis sebelum itu.


“Saya cam mereka adalah dua penjenayah yang cuba memecah masuk rumah kami. Anggota polis berkenaan memaklumkan kedua-duanya ditahan orang ramai ketika cuba mencuri sebuah motosikal jiran tidak jauh dari rumah saya,” katanya.

Menurut Ida Haryati, dia dimaklumkan penjenayah mencuri motosikal berkenaan sejurus melarikan diri.

3 sekeluarga ditemui mati di Sibu

SIBU - Tiga sekeluarga ditemui mati di rumah mereka di kawasan Perumahan Estate Pulau Li Hua di sini hari ini, dipercayai akibat terhidu gas memasak.
 
Mayat suri rumah Ling Yung Ming, 40, anak perempuannya Cristine Tiang Soon Ai, 14, dan anak lelakinya Victor Tiang Soon Sheng, 2, ditemui kira-kira 10 pagi.
 
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Shafie Ismail berkata seorang lagi anak pasangan itu yang berusia 17 tahun berjaya menyelamatkan diri setelah melompat keluar melalui tingkap dan meminta bantuan jiran yang kemudian menghubungi polis.
 
Beliau berkata sehubungan itu polis kini mencari seorang lelaki berusia 43 tahun yang bekerja sebagai kontraktor pembersihan tapak dan merupakan anggota keluarga terdekat mangsa bagi membantu siasatan.
 
"Remaja lelaki yang terselamat itu menyedari kejadian yang menimpa ibu dan dua adiknya itu setelah bangun dari tidur pagi ini dan melihat keadaan ibu dan adik lelakinya terbaring di lantai manakala adik perempuannya di atas tilam," katanya.
 
Shafie berkata lelaki yang ketika kejadian berada di rumah itu, kemudian melarikan diri dengan pacuan empat roda jenis Toyota.
 
Shafie berkata mayat wanita dan dua anaknya itu dihantar ke rumah mayat Hospital Daerah Sibu untuk bedah siasat.  - Bernama

Banjir awal pagi


Alor Setar: Hujan lebat lebih enam jam yang melanda beberapa kawasan di bandar raya ini menyebabkan 500 rumah membabitkan lima kawasan kediaman dinaiki air sedalam 0.3 meter sejak tengah malam semalam.

Antara kawasan dinaiki air ialah Perumahan Awam Kuala Kedah, Taman Sri Putra, Taman Desarina, Kampung Sungai Batang, Persiaran Sultan Abdul Hamid dan Kampung Peremba.


Difahamkan, banjir kilat itu kali kedua berlaku dalam tempoh kurang dua bulan disebabkan laluan air Sungai Tok Pasai tidak mampu lagi menampung takungan air yang banyak berikutan hujan lebat sejak jam 2 pagi.

Malah, kejadian banjir kilat itu hanya disedari penduduk antara jam 3 dan 4 pagi apabila air mulai memasuki rumah mereka.


Seorang penduduk, Hamidah Osman, 51, berkata, dia terjaga daripada tidur jam 2.30 pagi selepas menyedari tilam basah akibat hujan lebat.


Menurutnya, dia sekeluarga segera mengambil langkah berjaga-jaga termasuk memindahkan barangan ke tempat lebih tinggi.

Katanya, kebiasaannya apabila hujan lebat, air hanya melimpah di bahagian dapur saja, tetapi kali ini ia lebih teruk sehingga rumah yang diduduki lebih 10 tahun lalu dipenuhi air.


“Belum hilang penat mencuci rumah akibat banjir kilat yang melanda Jun lalu, kini sekali lagi saya sekeluarga terpaksa mencuci semula rumah yang dinaiki air.

“Masalah banjir kilat ini perlu diatasi segera,” katanya.


Hamidah berharap Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dapat mengatur kerja pembersihan longkang secara menyeluruh bagi mengelak longkang tersumbat dan tidak dapat mengalirkan air hujan.


Peniaga, Md Judin Abd Rahman, 67, berkata, berikutan banjir kilat itu, dia menutup kedai runcitnya lebih awal kerana air memasuki kedainya.


Menurutnya, dia bernasib baik kerana barangan dalam kedai runcit itu tidak rosak.


“Saya datang ke kedai seawal jam 7 pagi dan mendapati air sudah masuk hingga ke dalam kedai, justeru saya mengambil keputusan menutup kedai pada jam 10 pagi berbanding kebiasaan pada jam 4 petang kerana kerja pembersihan perlu dibuat segera.


“Selain kedai runcit, rumah saya turut dinaiki air yang disedari pada jam 4 pagi. Kejadian banjir kilat ini dilihat lebih teruk kerana air naik hingga paras 0.3 meter dan memenuhi keseluruhan ruang rumah,” katanya.


Md Judin berkata, dia berharap pihak berkuasa turun padang memantau masalah itu.


“Masalah ini berpunca daripada pembinaan laluan air Alor Tok Pasai yang tergendala menyebabkan air tidak dapat mengalir terus ke laut apabila hujan lebat.


“Kerja mendalam dan melebarkan laluan di kawasan itu perlu segera dijalankan pihak terbabit bagi mencegah banjir berulang,” katanya.

19 kedai makan diarah tutup

Foto
KEADAAN dapur di sebuah gerai yang kotor.
Foto
DR Azman (kanan) melihat lantai di sebuah gerai makan yang sudah rosak.
Foto
KEADAAN dapur digenangi air.
Shah Alam: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor mengarahkan 17 gerai dan dua restoran di kawasan Seksyen 2, di sini ditutup serta-merta selepas didapati tidak memenuhi kriteria yang telah ditetapkan kementerian dalam Ops Makanan Tak Suci kelmarin.

Dalam operasi bermula jam 3.30 petang itu, sebanyak 24 gerai dan restoran di kawasan berkenaan diperiksa 75 anggota serta pegawai penguat kuasa jabatan berkenaan.


Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Azman Abu Bakar berkata, pihaknya menjalankan operasi itu bagi meningkatkan penguatkuasaan ke atas kebersihan premis makanan.

“Premis makanan yang tidak mematuhi elemen penting kebersihan seperti peralatan serta pengendalian makanan yang tidak bersih akan diarahkan tutup mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983 untuk kerja pembersihan.


“Sekiranya pemilik tidak mematuhi perintah penutupan itu, mereka boleh dipenjara lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya pada sidang media selepas operasi itu di Seksyen 2, dekat sini.


Dr Azman berkata, operasi itu juga bertujuan memastikan premis makanan yang diperiksa berdaftar dengan Sistem FoSIM Domestik di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memudahkan proses pemantauan pihak jabatan.

Katanya, setakat ini, hanya 8,098 daripada 26,122 premis makanan di seluruh Selangor yang telah berdaftar di bawah sistem itu dan pihaknya berharap selepas pemeriksaan seumpama ini, pemilik perniagaan mempunyai kesedaran untuk mendaftar.

Treler terhumban dalam sungai


Tapah: Seorang pemandu treler nyaris maut apabila kenderaan berat dipandunya terbabas sebelum terhumban dalam Sungai Sungkai di Kilometer 82.8, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, treler yang dalam perjalanan dari Slim River menghala Ipoh itu terbabas sebelum melanggar jambatan di bahu jalan lalu terhumban dalam sungai.


Saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Raju, 30-an, berkata, treler berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dalam sungai menyebabkan hampir separuh bahagian kepala treler itu ditenggelami air.

“Saya yang memandu kereta melalui kawasan itu terkejut apabila melihat treler itu yang tiba-tiba terhumban dalam sungai berkenaan.


“Bagaimanapun, saya dapati pemandu treler itu yang berusia 30-an sempat keluar menyelamatkan diri. Lelaki itu memanjat tebing sungai sebelum dibantu orang awam,” katanya. Menurutnya, kemalangan itu menyebabkan kesesakan lalu lintas lebih satu kilometer.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tapah Superintendan Som Sak Din Keliaw ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes itu.

Menurutnya, kemalangan berpunca apabila treler itu merempuh pagar keselamatan jambatan di Sungai Sungkai “Pemandu treler itu, Md Zain Omar, 34 dari Pokok Sena, Kedah tidak cedera,” katanya.

Pencuri tersentak dijengah polis


Jempol: Seorang lelaki yang disyaki terbabit dalam kes pecah rumah dan premis perniagaan dicekup polis di rumahnya, pagi semalam, hasil penelitian imejnya menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah kedai menjual telefon bimbit, dekat sini.

Hasil pemeriksaan polis di rumah suspek yang berusia 20-an itu menemui beberapa barangan dan senjata berbahaya termasuk satu Semi Automatik CO2 Air Pistol.


Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hamzah Alias berkata, polis juga menjumpai pistol tiruan yang menyerupai pistol sebenar dan berfungsi sebagai pemetik api, dua set walkie talkie, gari, empat bilah pedang samurai, dua pisau rambo, dua senjata tembak ikan, komputer riba, tablet dan empat telefon bimbit selain senjata tajam lain turut dirampas dari rumah suspek.

“Selain itu, polis menemui lebih 10 butir kelongsong peluru 5.6mm dan sejumlah ‘pellet’ 0.44mm yang digunakan sebagai peluru pistol angin berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol, di sini, semalam.


Hamzah berkata, tangkapan suspek dibuat susulan laporan seorang pemilik kedai menjual telefon bimbit di Kiara Square, Bahau, dekat sini, mengenai kecurian di premisnya, kira-kira jam 11 pagi kelmarin.


Katanya, kejadian itu disedari pekerja kedai berkenaan berusia 20-an apabila mendapati sebuah telefon bimbit Sony Xperia LZ yang dipamerkan di dalam cermin di kedai itu hilang.

“Pemiliknya kemudian melihat rakaman CCTV di dalam kedai dan mendapati seorang lelaki mencuri telefon bimbit jenis Sony dan memasukkannya ke dalam topi keledar sebelum melarikan diri,” katanya.


“Ketika kejadian, peniaga itu leka melayan pelanggan di dalam kedai dan tidak menyedari tindakan suspek yang sering datang ke premisnya,” katanya.

Beliau berkata, peniaga itu membuat laporan polis kira-kira jam 11.20 malam pada hari kejadian dan susulan itu gerakan mengesan suspek dijalankan sebelum polis menahan suspek di rumahnya di bandar ini jam 3 pagi semalam.


Katanya, pemeriksaan lanjut polis menjumpai semua barangan dan senjata berkenaan serta telefon terbabit.


Hamzah berkata, suspek tinggal seorang diri dan polis percaya suspek terbabit dalam beberapa kes pecah rumah serta premis sekitar daerah ini.

Padah pecah masuk kuarters polis


Georgetown: Seorang lelaki sanggup menempuh perjalanan hampir 400 kilometer dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang bagi melakukan jenayah pecah rumah dalam kejadian di Sungai Dua, di sini kelmarin.

Bagaimanapun, tindakan lelaki itu memakan diri apabila rumah yang dicerobohi itu ialah rumah seorang pegawai kanan polis menyebabkan dia diberkas.


Kejadian berlaku jam 1 tengah hari apabila suspek berusia 20-an memecah masuk rumah pegawai kanan polis di kuarters perumahan pegawai kanan polis di Jalan Sungai Dua, sebelum disedari mangsa berusia 29 tahun yang baru pulang ke rumah.

Jurucakap polis berkata, berdasarkan siasatan, mangsa dikatakan baru pulang ke rumah sebelum menyedari rumahnya dimasuki pencuri selepas ternampak kelibat seorang lelaki di rumahnya yang masuk melalui bahagian belakang rumah.


Menurutnya, mangsa terus bertindak mengejar suspek menyebabkan suspek bertempiaran lari, namun berjaya ditahan mangsa.


“Suspek dibawa ke Balai Polis Sungai Nibong untuk siasatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Malang gadis bisu


Kota Kinabalu: Hasrat seorang gadis orang kelainan upaya (OKU) berpuasa bersama ahli keluarga tidak kesampaian apabila dia maut dirempuh van di Jalan Tuaran, di sini, selepas menghadiri majlis doa selamat menyambut Ramadan, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.20 malam berhampiran Kolej Aminduddin Baki itu, mangsa Siti Hussin, 14, yang mengalami masalah pendengaran dan bisu meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.


Difahamkan, sebelum kejadian mangsa bersama keluarganya menghadiri majlis doa kesyukuran menyambut Ramadan di rumah bapa saudaranya.



Menurut bapa saudara mangsa, Abdul Rasam Kiblat, 52, berkata, dia melihat mangsa membasuh pinggan di dapur selepas majlis selesai tetapi sebaik ahli keluarganya mahu beredar, mereka mendapati dia tiada di rumah.


“Kami mencari mangsa di rumah saudara lain berhampiran, namun gagal sehinggalah jam 11.30 malam, seorang rakan menghubungi memaklumkan Siti terbabit dalam kemalangan.


“Saya bersama saudara mara lain bergegas ke lokasi kejadian dan terkedu melihat Siti sudah tidak bernyawa,” katanya.

Menurutnya, dia terkejut dengan kejadian menimpa anak saudaranya itu kerana mangsa tidak pernah keluar bersendirian manakala kemalangan berlaku tiga kilometer dari rumahnya.


“Saya difahamkan, mangsa mahu ke rumah neneknya di Sepanggar. Saya hairan kenapa Siti sanggup berjalan kaki seorang diri selain tidak memaklumkan kepada ahli keluarga lain.

“Sebelum kejadian, Siti ada beritahu mahu bertemu neneknya,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Jauteh Dikun berkata, siasatan awal mendapati mangsa dirempuh van Nissan Urvan dari arah Telipok menghala ke Kota Kinabalu.


“Sebaik tiba di tempat kejadian, van berkenaan merempuh mangsa yang melintas jalan secara tiba-tiba.


“Berikutan kejadian itu, mangsa mengalami cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.


Katanya, pemandu van berusia 47 tahun bersama seorang penumpang berusia 28 tahun tidak berhenti di tempat kejadian, tetapi terus menuju ke balai polis untuk membuat laporan.


Jauteh berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) Kota Kinabalu untuk bedah siasat.


“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Nahas sakit jantung


Kuala Terengganu: Perjalanan pulang tiga sekeluarga ke rumah selepas bermain bola bertukar tragedi apabila seorang daripadanya maut selepas kereta dinaiki terbabas apabila pemandunya diserang sakit jantung dalam kejadian di Jalan Wakaf Tembesu-Jalan Lapangan Terbang, Gong Badak, di sini, kelmarin.

Dalam kemalangan jam 11.30 malam itu, pemandu, Mohd Basri Diak, 43, maut di tempat kejadian dipercayai akibat serangan sakit jantung.


Sumber berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa bersama isteri, Nor Ruzita Abd Aziz, 40, dan anaknya, Nur Qaseh Batrisya, 2, dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Telaga Mengkudu, Bukit Payong, Marang selepas bermain futsal di Universiti Malaysia Terengganu.

Katanya, ketika tiba di tempat kejadian, mangsa yang mengalami serangan sakit jantung gagal mengawal kenderaan dipandunya sebelum terbabas dan melanggar pokok di bahu jalan.


“Selepas kejadian, mangsa masih bernafas dan cuba dibantu isteri serta orang ramai yang melihat kejadian tetapi gagal sebelum meninggal dunia.


“Isteri dan anak mangsa bagaimanapun hanya cedera ringan,” katanya, semalam.

Lindungan solat Tahajud


Kunak: Bunyi dentuman di bumbung disusuli bau hangit menyelamatkan 31 pelajar lelaki Sekolah Menengah Agama (SMA) Kunak, di sini, yang musnah terbakar, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.20 pagi, kebanyakan pelajar sedang bersiap untuk solat sunat Tahajud apabila terdengar bunyi objek terjatuh di atas bumbung asrama. Beberapa minit kemudian, blok asrama sementara berkenaan diselubungi asap lalu terbakar sebelum semua penghuni bergegas menyelamatkan diri.


Kejadian itu menyebabkan semua kelengkapan milik pelajar gagal diselamatkan, namun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.

Pengetua SMA Kunak Bambang Muhamad Rafadi Yusoff berkata, dia dimaklumkan pelajar terjaga daripada tidur selepas terdengar bunyi objek jatuh di bumbung asrama sebelum blok mereka disambar api.


“Beberapa pelajar mengejutkan rakan yang sedang tidur supaya bangun menyelamatkan diri,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Bambang berkata, dia bersyukur kerana semua pelajar selamat walaupun bangunan asrama dan kelengkapan pelajar musnah dijilat api.

Difahamkan, kejadian kebakaran membabitkan asrama sekolah berkenaan adalah kali ketiga berlaku. Kejadian sebelum ini berlaku pada 2010 dan 2011. Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah Mohd Affendi K Ramin berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira 3.30 pagi sebelum mengejarkan tiga jentera bersama 11 anggota ke tempat kejadian.


“Bomba yang tiba empat minit kemudian terus melakukan kerja memadam kebakaran sebelum api berjaya dikawal pada jam 5 pagi,” katanya.

Tak mengaku pecah amanah


Kuantan: Seorang jurujual kereta mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan pecah amanah dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM20,925 di dua mahkamah berbeza, di sini, semalam.

Tertuduh Mohd Faizal Aziz, 35, dari Seremban, Negeri Sembilan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.


Bagi pertuduhan pertama dan kedua di Mahkamah Majistret 2, Mohd Faizal didakwa melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan wang deposit pembelian sebuah kereta Mitsubishi Lancer Sport kepunyaan seorang pelanggan wanita berjumlah RM1,000 untuk kegunaan sendiri.

Dia yang juga penasihat jualan Syarikat Sendang Motor Sdn Bhd melakukan kesalahan itu pada 26 Ogos 2011 di pejabat syarikat itu di Jalan Beserah kira-kira jam 4.30 petang.


Tertuduh kemudian mengulangi kesalahan terhadap pelanggan sama dengan jumlah wang deposit sebanyak RM9,980 di lokasi sama pada 26 September 2011 jam 2.30 petang.


Dia melakukan kesalahan di bawah Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Farahah Mohd Nazari dan beliau menawarkan jaminan sebanyak RM12,000 bagi kedua-dua pertuduhan.


Dalam rayuannya, tertuduh memohon mahkamah mengurangkan wang jaminannya atas alasan dia sudah diberhentikan dan kini bekerja di kedai makan milik keluarganya dengan gaji sebanyak RM800 sebulan selain terpaksa menanggung dua anaknya.

Majistret Jesseca Daimis membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 19 Julai ini untuk prabicara.


Bagi pertuduhan ketiga dan keempat di Mahkamah Majistret 1, tertuduh didakwa pecah amanah dengan menyalahgunakan wang deposit pembelian sebuah kereta Mitsubishi Triton kepunyaan pelanggan.

Pengurus syarikat carigali minyak ditahan kerana rasuah

KUALA LUMPUR 5 Julai - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pengurus syarikat carigali minyak pagi ini berhubung kesalahan rasuah dan penggubahan wang haram.
Lelaki berusia 40-an itu bersama seorang lagi yang memegang jawatan pengurus dijadual dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pagi ini untuk dikenakan tuduhan.
Dia yang ditahan kira-kira pukul 7 pagi ini berkhidmat di bahagian pendaftaran dan pelesenan syarikat minyak tersebut. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130705/je_07/Pengurus-syarikat-carigali-minyak-ditahan-kerana-rasuah#ixzz2Y9lUxdcl
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Denmark rampas 100 kilogram bahan letupan

COPENHAGEN 5 Julai - Polis Denmark merampas sejumlah bahan letupan seberat 100 kilogram di barat bandar raya ini, semalam.
Agensi berita Ritzau yang memetik sumber polis melaporkan, rampasan itu dilakukan di bandar Holbaek dan polis turut menemui alat peledak dan bahan letupan plastik.
Sehubungan itu, seorang lelaki berusia 58 tahun ditahan bagi membantu siasatan. - DPA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130705/lu_02/Denmark-rampas-100-kilogram-bahan-letupan#ixzz2Y9lJkiyv
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lelaki bunuh isteri dan dua anak

SIBU 5 Julai - Seorang lelaki membunuh isteri dan dua anaknya di rumah mereka di Pulau Li Hua, di sini kira-kira 10 pagi ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Zayadi Sebeli berkata, lelaki itu juga cuba membunuh seorang lagi anaknya yang berusia 17 tahun namun remaja itu sempat melarikan diri - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130705/je_08/Lelaki-bunuh-isteri-dan-dua-anak#ixzz2Y9l1PSp7
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Polis siasat kematian lelaki ketika ditahan peronda

KUALA LUMPUR 4 Julai - Polis akan menjalankan siasatan secara terperinci dan adil berhubung kes kematian seorang lelaki berusia 53 tahun yang meninggal dunia ketika ditahan polis.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad berkata, lelaki berkenaan ditahan dalam satu kejadian mengejar suspek oleh dua anggota polis peronda (MPV) di Jalan Barat melalui Jalan Imbi, di sini kira-kira 12.15 pagi semalam.
"Semasa anggota polis cuba melakukan tangkapan terhadap pemandu kereta Proton Waja itu, telah berlaku sedikit pergelutan sebelum lelaki berkenaan berjaya ditahan.
"Bagaimanapun beliau didapati tenat dan ambulans telah dipanggil sebelum lelaki berkenaan disahkan mati di Hospital Kuala Lumpur (HKL)," katanya dalam satu kenyataan, di sini malam tadi.
Zainuddin berkata, hasil laporan bedah siasat mendapati tiada kesan kecederaan dalaman mahupun luaran dan jantung serta organ dalaman berada dalam keadaan baik.
Katanya, bagaimanapun punca kematian lelaki berkenaan masih belum diketahui sementara menunggu hasil laporan kimia yang akan dikeluarkan.
Beliau berkata perkara tersebut telah dimaklumkan kepada ahli keluarga mendiang oleh doktor yang menjalankan pembedahan.
Beliau menambah setakat ini anak mangsa membuat laporan polis dan anggota yang membuat tangkapan turut membuat laporan dengan menerangkan tujuan dan keadaan mendiang ketika ditangkap. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130705/je_06/Polis-siasat-kematian-lelaki-ketika-ditahan-peronda#ixzz2Y9kHmlww
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Dua pegawai kanan Petronas mengaku tidak bersalah tuduhan rasuah

KUALA LUMPUR 5 Julai - Dua pegawai kanan Petronas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap 12 pertuduhan rasuah dan penggubahan wang haram lebih RM426,000 antara 2008 dan 2012.
Pengurusn Kanan Projek Penggantian Saluran paip Projek Petronas Carigali Sdn. Bhd., Idris M. Shuhud, 47, didakwa atas lima tuduhan menerima rasuah RM403,000 bagi bayaran pembelian dan pengubahsuaian rumahnya sebagai upah kelulusan dokumen urusan rasmi Petronas.
Dia juga didakwa atas empat pertuduhan penggubahan wang haram berjumlah rm385,000 antaranya bagi tujuan pembayaran deposit pembelian rumah yang sama.
Sementara itu, Pengurus Kanan Pengurusan Risiko Pelanggan Petronas, Ishak Hashim, 47, didakwa atas tiga pertuduhan menerima rasuah RM23,000 sebagai upah pembekalan cecair gas asli kepada sebuah syarikat kontraktor pembelian minyak.
Pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Ahmad Zamzani Mohd. Zin. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130705/ma_01/Dua-pegawai-kanan-Petronas-mengaku-tidak-bersalah-tuduhan-rasuah#ixzz2Y9hQEWe9
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pak cik tersalah tekan pedal


Petaling Jaya: Akibat tersalah tekan pedal minyak kereta dipandunya, seorang pesara merempuh motosikal dinaiki anggota polis dan rakannya sebelum mengheret kenderaan ringan itu 50 meter dalam kejadian berhampiran Apartmen Lagoon Perdana, Bandar Sunway, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, pesara berusia 60-an itu dikatakan keliru antara pedal minyak dan brek kereta transmisi automatik dipandunya sebelum dia yang hendak menekan brek sebaliknya tertekan pedal minyak.


Seorang saksi yang hanya dikenali sebagai Marzuki, 39, berkata, sebelum kejadian, anggota polis yang tamat bertugas dan rakannya membeli kuih di gerai berhampiran apartmen itu.

“Pesara terbabit pula menunggu rakannya dalam kereta yang diletakkan depan gerai kuih itu dan gerai makanan lain sebelum diminta mengalihkan kenderaannya kerana menghalang operasi perniagaan.


“Tiba-tiba, kereta dipandu pesara itu merempuh motosikal dinaiki anggota polis dan rakannya menyebabkan mereka melambung ke atas jalan,” katanya.


Katanya, kereta terbabit tidak berhenti selepas merempuh motosikal berkenaan, sebaliknya mengheret 50 meter sebelum berhenti selepas melanggar pagar pintu masuk apartmen.

“Saya difahamkan anggota dari Balai Polis Sunway itu dan rakannya cedera ringan pada tubuh dan kaki sebelum dihantar ke hospital oleh orang ramai.


“Pesara terbabit tidak cedera tetapi trauma dengan kejadian itu yang pertama kali berlaku terhadapnya,” katanya.

Marzuki berkata, pesara terbabit mengaku tersalah tekan pedal minyak dan gagal mengawal keretanya akibat panik selepas merempuh motosikal berkenaan dan mengheretnya sehingga pintu masuk apartmen.


“Dia cuba menekan brek selepas masuk gear pada D ketika mahu mengalihkan kereta malangnya tertekan pedal minyak dengan kuat menyebabkan kereta memecut ke hadapan,” katanya.

Tidur berbahang


Batu Pahat: “Saya sedang tidur apabila terasa bahang menyebabkan terjaga sebelum mendapati rumah terbakar,” kata Masidah Baseri, 43., di sini, semalam. Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, rumah didiami Masidah bersama suami M Salim Yusof, 47, dan tiga anak perempuan di Kampung Parit Betong, Parit Sulong, musnah dalam kebakaran.

Masidah berkata, kejadian berlaku terlalu pantas dan dibantu jiran, mereka berusaha memadamkan kebakaran sementara menanti bomba dan penyelamat tiba.


“Sejurus menyedari rumah terbakar saya terus membawa anak berusia dua tahun keluar sebelum mendapatkan bantuan jiran,” katanya.



Salim berkata, dia sedang memancing di parit berhampiran apabila dimaklumkan kejadian oleh jiran.


“Saya hanya memikirkan keselamatan isteri dan anak, tetapi syukur mereka sudah keluar daripada rumah.


“Saya sempat menyelamatkan barangan kemas yang disimpan di dalam bilik selain mengeluarkan perabot dengan bantuan penduduk, namun wang disimpan hangus,” katanya.

Menurutnya, wang itu simpanannya sekeluarga dan dikumpul hasil kerja kampung dilakukannya.


Bagaimanapun, dia bersyukur kerana keluarganya selamat walaupun kediaman mereka hangus.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Timah Sari M Nasir M Shah berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 11.52 pagi.


“Kami mengerahkan lapan anggota serta sebuah jentera ke lokasi kejadian namun berdepan kesukaran kerana kampung terbabit tiada papan tanda selain pili bomba.


“Punca kebakaran masih disiasat dan api dipadam dalam 10 minit,” katanya.

150 penduduk dipindah


Langkawi: Dua pusat pemindahan banjir dibuka di sini, malam semalam, apabila 150 penduduk dipindahkan berikutan banjir kilat yang melanda daerah itu.

Pusat berkenaan ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kedawang yang menempatkan 75 mangsa dan Dewan Ayer Hangat, di sini, menempatkan 75 mangsa banjir. Difahamkan, empat mukim di daerah ini mengalami banjir kilat iaitu Kedawang, Ulu Melaka, Ayer Hangat dan Pulau Tuba.


Jurucakap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berkata, semua mangsa mula berpindah pada jam 11 pagi semalam apabila paras air mencecah pinggang berikutan hujan lebat berterusan sejak tengah malam.

“Buat masa ini, JKM memberi bantuan makanan kepada mangsa terbabit,” katanya.


Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sungai Kedak Saad Salleh, 56, berkata, dia meminta bantuan anggota bomba untuk memindahkan 30 murid sebuah tadika di kampung itu ke jalan utama berikutan banjir kilat melanda kawasan itu.


Menurutnya, dia tidak menyangka kejadian itu menyebabkan 50 rumah di kampung berkenaan dinaiki air.

“Memang agak mencemaskan kerana kejadian seperti ini tidak pernah berlaku seteruk hari ini (semalam).


“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana semua penduduk terbabit selamat termasuk kanak-kanak tadika itu,” katanya.

Peniaga, Norsiah Lid, 50, berkata, dia tidak sempat menyelamatkan barangan niaga di pasar awam Padang Matsirat berikutan air melimpah secara mendadak.


Menurutnya, tahun lalu kejadian sama pernah terjadi tetapi tidak seburuk kali ini hingga merosakkan semua barang perniagaannya termasuk sayur-sayuran yang hendak dijual kepada pelanggan.

Dua kapal berlanggar, 100 metrik tan minyak tumpah

SINGAPURA 2 Julai - Kira-kira 100 metrik minyak tumpah ke laut apabila dua buah kapal kargo berlanggar kira-kira 6.6km di barat daya terminal feri Tanah Merah di sini.
Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) menerima laporan kejadian itu 5.30 pagi ini.
MPA berkata kejadian itu menyebabkan satu daripada tangki kapal Oriental Pioneer yang berdaftar di Korea Selatan itu rosak dan kira-kira 100 metrik tan minyak bahan bakarnya tumpah.
Sebaik dimaklumkan, MPA menghantar kapal peronda untuk menangani tumpahan minyak itu.
Syarikat respons tumpahan minyak juga diaktifkan bagi menambah kapal peronda dengan 10 kapal peronda dan antipencemaran digerakkan bagi membersihkan tumpahan itu.
Kerja-kerja pembersihan masih berterusan dan MPA sedang menyelaras pembersihan itu dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan dan pemilik-pemilik kapal.
Kedua-dua kapal yang terbabit dalam insiden itu kini berlabuh dengan selamat.
MPA telah mengeluarkan hebahan kepada kapal-kapal supaya belayar dengan berhati-hati berdekatan kawasan insiden itu.
Tiada laporan kecederaan manakala operasi pelabuhan berjalan lancar dengan trafik di pelabuhan dan Selat Singapura tidak terjejas. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130702/lu_14/Dua-kapal-berlanggar-100-metrik-tan-minyak-tumpah#ixzz2Y5OLpmi3
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Majikan main kotor potong elaun, komisen


Petaling Jaya: Kira-kira 10,000 pekerja logistik yang beroperasi sekitar Pelabuhan Klang mendakwa terpaksa menanggung akibat berikutan taktik kotor digunakan sesetengah majikan yang memotong elaun bekerja lebih masa dan komisen bulanan mereka walaupun pelaksanaan gaji minimum sudah berkuat kuasa bertujuan mengaburi pihak berkuasa.

Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja-Pekerja Pengangkutan Semenanjung Malaysia (TWU) Tan Sri Zainal Rampak berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada pekerja mengenai pembohongan dilakukan majikan terbabit yang lebih memikirkan keuntungan berbanding kebajikan pekerja.


Menurutnya, beliau sudah memaklumkan perkara itu kepada Suruhanjaya Pemberian Gaji dan Jabatan Tenaga Kerja untuk menyiasat perkara itu seterusnya mengambil tindakan undang-undang jika majikan terbabit didapati melakukan kesalahan.



“Terdapat lebih 500 syarikat logistik beroperasi di Pelabuhan Klang dan setakat ini, kami menerima antara lima hingga enam laporan tetapi saya percaya sebenarnya lebih banyak syarikat yang melakukan perkara terkutuk itu.


“Mereka memotong elaun kerja lebih masa dan komisen bulanan pekerja bagi memastikan jumlah gaji pekerja tetap sama walaupun gaji minimum RM900 sudah dilaksanakan.


“Jadi, apa gunanya pemberian gaji minimum sedangkan pekerja tetap tidak dapat menikmati kenaikan gaji seperti arahan kerajaan,” katanya pada sidang media di Wisma TWU, semalam.

2 lagi mangsa virus MERS


Riyadh: Seorang lelaki dan seorang wanita Saudi meninggal dunia akibat virus Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS).

Perkembangan itu meningkatkan angka kematian akibat jangkitan yang mirip seperti Sindrom Pernafasan Akut Yang Teruk (SARS) di negara itu kepada 36.


Tiga pesakit lain yang dijangkiti virus sama, dua di Wilayah Timur dan satu di Riyadh, masih menjalani rawatan, kata Kementerian Kesihatan dalam laman webnya.

Menurutnya, 62 penduduk Saudi disahkan dijangkiti virus itu setakat ini, jatuh daripada 66 yang diumumkan sebelum ini.


Mangsa terbaru yang meninggal dunia ialah lelaki berusia 75 tahun di Al Ahsaa, yang dijangkiti selepas virus itu merebak di sebuah pusat kesihatan pada April dan seorang wanita berusia 63 tahun di Riyadh.


Kenyataan kementerian berkenaan bagaimanapun tidak menyebut tarikh kematian mereka.

Arab Saudi mencatatkan kematian pertama akibat MERS pada Jun 2012. Kematian terbaru itu juga meningkatkan jumlah mereka yang mati akibat virus berkenaan di seluruh dunia kepada 42.


Seperti SARS, MERS menyebabkan jangkitan paru-paru dengan pesakit mengalami demam, batuk dan kesukaran bernafas. SARS mencetuskan panik di seluruh dunia pada 2003 apabila ia merebak kepada manusia daripada binatang di Asia dan meragut 800 nyawa. Namun, kesan MERS lebih teruk kerana ia turut menyebabkan buah pinggang tidak boleh berfungsi.

Meskipun kebanyakan kes tertumpu di Arab Saudi, virus MERS juga merebak ke negara jiran, termasuk Jordan, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu. - AN

Kandang puas nafsu

Foto
KANDANG disediakan pemilik premis sebagai bilik aktiviti seks.
Kuala Lumpur: Mencari kelainan untuk menarik pelanggan. Itu taktik digunakan pemilik pusat hiburan yang menggunakan konsep kandang yang dibina sebagai ruang pelanggan memuaskan nafsu.
Kandang menggunakan tirai buluh itu dikesan polis yang melakukan serbuan di premis di Taman Segar Cheras, di sini malam kelmarin.
Dalam serbuan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman diketuai Inspektor Mohamad Mohd Jais bersama tujuh anggota menahan 17 GRO warga asing berusia antara 17 hingga 27 tahun jam 10.30 malam.

Mohamad berkata, siasatan mendapati GRO terbabit dihantar ejen ke pusat hiburan berkenaan dan kadar tip serendah RM50 bagi melayan pelanggan minum. Sekiranya mahu mengadakan hubungan seks, pelanggan dikenakan bayaran dari RM300 hingga RM450.


Menurutnya, ketika serbuan di tingkat dua premis perniagaan itu, ada GRO yang cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis, namun tindakan mereka tidak berhasil.

Gempar cikgu ditembak

Foto
MANGSA sempat memandu kereta sebelum berhenti berhampiran sebuah bangsal.
Pasir Mas: Penduduk Kampung Kubang Panjang, di sini, gempar apabila menemui seorang guru di sebuah bangsal dalam keadaan berlumuran darah akibat ditembak, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa, Mat Zaki Hashim, 35, dari Kampung Tualang Bunut, di sini, dikatakan berhenti berhampiran sebuah bangsal akibat kehabisan minyak.
Mangsa dikatakan duduk di bangsal berkenaan sambil meminta tolong selepas dipercayai ditembak di tempat lain sebelum memandu keretanya itu.

Mangsa yang cedera parah di leher kiri kemudian dihantar ke Hospital Pasir Mas oleh seorang penduduk kampung sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.


Penduduk kampung, Jaharah Abu Bakar, 58, berkata, dia melihat ramai penduduk kampung berkumpul di bangsal berkenaan selain kehadiran polis.

Segalanya terlewat

Butterworth: Dua nelayan di Pantai Bersih dekat sini, masing-masing kerugian kira-kira RM15,000 seorang apabila enjin dan pukat mereka rosak berikutan bot terbalik dipukul ombak kuat, semalam.
Kejadian berlaku jam 10.30 pagi apabila dua daripada lebih 10 bot yang ditambat di tepi pantai berkenaan dipukul ombak lalu terbalik menyebabkan enjin dimasuki selut manakala pukat bergulung serta tidak boleh digunakan lagi.

Fenomena ombak besar berkenaan dipercayai akibat peralihan monsun antara Julai hingga September setiap tahun tetapi ombak besar dikatakan bermula lebih awal tahun ini iaitu sejak Mei lalu.

Kejadian dikatakan berlaku dalam tempoh beberapa minit menyebabkan nelayan yang berada di tepi pantai tidak sempat berbuat apa-apa.
Foto
MOHD ZAHARI cuba menyelamatkan botnya yang terbalik akibat dipukul ombak.

Seorang nelayan, Mohd Zahari Che Mohd Noor, 41, berkata, ketika kejadian dia berada di rumahnya di Jalan Tambi Kechil, dekat sini, sebelum dihubungi rakan yang memaklumkan botnya terbalik.

Ajal dirempuh pikap terbabas

Oleh FIRDAUS HASSAN


KEADAAN Perodua Viva yang meragut nyawa dua beradik di Kilometer 53, Jalan Sri Aman-Kuching dekat Lachau kelmarin.


SRI AMAN – Dua beradik menemui ajal selepas kereta jenis Perodua Viva yang dinaiki bertembung dengan sebuah pikap di Kilometer 53, Jalan Sri Aman-Kuching dekat Lachau di sini kelmarin.
Dua lelaki yang maut dalam kejadian pada pukul 7.10 malam itu ialah Juni @ Johnny Undal, 51, dan adiknya, Sibat @ Polly, 48.
Turut berada di dalam kereta itu ialah isteri Juni, Reti Ambir, 48, yang hanya cedera ringan.
Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu Toyota Hilux dari arah Sri Aman itu menekan brek secara mengejut ketika cuba mengelak sebuah motosikal yang tidak berlampu di hadapannya.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mat Jusoh Muhammad berkata, ekoran itu, pikap yang dipandu seorang remaja lelaki berusia 18 tahun tersebut memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan Perodua Viva yang dinaiki tiga mangsa itu.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0705&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz2Y7O9DEby 
Hakcipta terpelihara 

Kena penjara 15 tahun

Oleh MOHD. AZLI ADLAN


SARASWATHI (kiri) dan Piriyatarschini yang dijatuhi hukuman penjara 15 tahun diiring keluar dari Mahkamah Tinggi Ipoh semalam.


IPOH – Perbuatan dua wanita yang menyebabkan kematian seorang pengusaha barangan lusuh tiga tahun lalu berbalas apabila kedua-duanya dijatuhi hukuman penjara 15 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam.
Hakim Datuk Zainal Adzam Abd. Ghani memerintahkan M. Sri Saraswathi, 31, dan S. Piriyatarschini, 21, menjalani hukuman itu selepas berpuas hati dengan pengakuan bersalah tertuduh atas pertuduhan pilihan menyebabkan kematian B. Thangaraja, 38.
Kedua-dua tertuduh yang masih bujang didakwa mencederakan mangsa yang berasal dari Menglembu di dalam bilik sebuah hotel bajet di Pekan Baru di sini antara pukul 6.30 petang hingga 7.30 petang 10 Mei 2010.
Mayat Thangaraja ditemui dalam keadaan terlentang di atas lantai dengan beberapa kesan luka di badan oleh seorang pekerja hotel pada keesokan harinya selepas curiga mangsa masih tidak mendaftar keluar.
Sri Saraswathi dan Piriyatarschini dari Tanjung Karang, Selangor dan Tanjung Rambutan dekat sini dituduh mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0705&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz2Y7O0f0bX 
Hakcipta terpelihara 

Anak derhaka terima padah

KUALA KRAI - Hanya kerana tidak diberikan wang, seorang anak sanggup mengugut mahu membunuh bapa kandungnya menggunakan sebilah parang di rumah mereka di Kampung Hamzah, dekat sini.

Nik Pa, 75, ditimpa nasib malang itu 27 Mei lalu apabila anaknya, Nik Ros Azhar, 39, menghunus sebilah parang sambil mengugut untuk membunuhnya kerana tidak puas hati selepas permintaan untuk mendapatkan wang tidak diendahkan.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) ini yang mendapat maklumat mengenai kejadian itu daripada orang awam bertindak menghantar sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah IPD itu dan berjaya menahan suspek.

Hasil siasatan dijalankan Penolong Pegawai Penyiasat Jenayah IPD itu, Sarjan Mohd Rosly Chik, suspek dituduh di Mahkamah Majistret, di sini, Isnin lalu, mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Pertuduhan dikemukakan Pegawai Pendakwa, Inspektor Aizuddin Jamaludin mengikut seksyen itu yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Perbuatan derhaka Nik Ros Azhar akhirnya mendapat pembalasan apabila Majistret Nor Ahmeed Fahd Abdullah menjatuhkan hukuman 20 bulan penjara ke atasnya.

Mahkamah memerintahkan tertuduh yang tidak diwakili peguam menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 27 Mei lalu.

Dalam pada itu, di mahkamah sama, nasib hampir sama dialami Nik Pa menimpa seorang wanita berusia 53 tahun dari Telekong, di sini, apabila ditumbuk anak sendiri.

Nasib malang menimpa wanita terbabit, Rabiah Yusoff dilakukan anak lelakinya berusia 24 tahun, Mohd Dikizulkarnain Ab Aziz di rumah mereka pada 23 Mei lalu.

Pada kejadian itu, Mohd Dikizulkarnain dituduh memukul ibunya menggunakan tangan dengan menumbuk bahagian kanan kepala wanita itu hingga  cedera.

Kejadian dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati pemuda terbabit, selepas ibunya menegur perbuatannya memarahi orang melintas di hadapan rumah mereka tanpa sebab.

Bertindak atas aduan dibuat Rabiah, sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah IPD Kuala Krai menjejaki pemuda itu dan berjaya menahannya pada hari kejadian.

Susulan pendakwaan dikendalikan Aizuddin di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, mahkamah memerintahkan Dikizulkarnain menjalani hukuman penjara lapan bulan bermula dari tarikh hukuman dijatuhkan.

Belum bayar elaun



Belum bayar elaun
Acik menunjukkan bukti dia ditugaskan sebagai kakitangan semasa PRU 13, Mei lalu.
PASIR MAS – Lebih 50 kakitangan yang bertugas ketika proses Pilihan Raya Umum ke-13, pada 5 Mei lalu memohon pihak atasan memaklumkan status pembayaran elaun, secepat mungkin.

Penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Acik berkata, dia bersama rakan-rakannya belum menerima sebarang bayaran meskipun dijanjikan tidak lebih satu bulan dari tarikh membuang undi.

Menurutnya, mereka sedia maklum dengan proses pembayaran secara berperingkat, memandangkan ia membabitkan seramai 17,000 petugas seluruh Negara.

“Namun sekurang-kurangnya pihak atasan dapat memberi maklumat awal agar semua petugas yang terlibat tidak berasa tertunggu-tunggu.

“Kami dijanjikan bayaran sebanyak RM 235 sehari, tetapi walaupun PRU dah berakhir lebih dua bulan, kami masih belum diterima maklumat,” katanya.

Acik berkata, dia sanggup mengambil cuti tanpa gaji semata-mata mahu menjadi petugas pengiring ketika PRU 13.

Menurutnya, elaun itu sepatutnya digunakan untuk keperluannya bersama keluarga menjelang Ramadan.

Setidak-tidaknya, Acik berkata, dia bersama 50 petugas yang lain, berharap elaun itu dapat disalurkan sebelum menjelangnya Aidilfitri ini.

Guru ponteng parah ditembak

Oleh ADHAM SHADAN dan YATIMIN ABDULLAH


ANGGOTA polis menjalankan siasatan di tempat seorang guru parah ditembak di Pasir Mas semalam.


KOTA BHARU – Seorang guru yang dalam proses dikenakan tindakan tatatertib kerana tidak hadir bertugas sejak dua bulan lalu ditemui dalam keadaan parah selepas terkena tembakan di lehernya dalam kejadian di Kampung Kubang Panjang, Pasir Mas dekat sini semalam.
Bagaimanapun, Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti motif kejadian dan suspek yang terlibat menembak Mat Zaki Hashim, 35, dari Kampung Tualang, Bunut Susu, Pasir Mas.
Menurut Jalaluddin, pihaknya mendapat maklumat mengenai kejadian itu selepas mangsa dihantar ke Hospital Pasir Mas oleh seorang lelaki berusia 50-an dengan menaiki kenderaan jenis Perodua Kembara pada pukul 12.15 tengah hari.
“Mangsa kemudian dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II dekat sini dan keadaannya dilaporkan stabil. Kita sedang mengenal pasti motif dan suspek terlibat.
“Siasatan awal mendapati mangsa merupakan guru di sebuah sekolah kebangsaan di Tumpat yang dalam proses dikenakan tindakan tatatertib kerana dua bulan tidak hadir bertugas,” katanya yang menyiasat kes itu mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0705&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz2Y7NilC30 
Hakcipta terpelihara