Search This Blog

Monday, July 1, 2013

Tekad berhenti minum air ketum


Tekad berhenti minum air ketum
Daniel membeli air ketum dalam bungkusan dan kemudian dicampurkan dengan bahan lain untuk mendapatkan lebih kepuasan.
KUALA KANGSAR – “Saya buat keputusan untuk berhenti minum air ketum apabila banyak baca kes ketum di akhbar. Lagipun, polis sekarang pun makin giat banteras ketum ini.”

Demikian kata seorang bekas penagih air ketum, Daniel (bukan nama sebenar) yang sudah berhenti minum air tersebut sejak sebulan lalu.

Menurutnya, sudah lebih setahun dia ketagih air ketum dan ia bermula daripada sifat ingin tahu serta mahu mencuba perkara baru.

“Masa itu saya tengok kawan-kawan saya minum. Saya tanya air apa itu, mereka tak cakap dan suruh saya cuba. Saya pun cuba sajalah.

“Lepas minum, saya muntah-muntah. Walaupun muntah pada awalnya, saya tetap nak minum air itu lagi. Bila dah mula minum balik, saya pun jadi ketagih,” katanya.

Tambah Daniel, bila lama tidak minum air itu, dia akan mula rasa ketagih malah hingus juga banyak keluar dari hidungnya.

“Biasanya saya minum ketum ni bukan air ketum kosong saja. Selalunya memang campur dengan macam-macam minuman dan benda lain.

“Kalau minum kosong saja tak sedap. Bila campur baru rasa lain. Tapi tak elok untuk kesihatan bila campur macam itu. Tapi masa itu  fikir nak sedap saja,” jelasnya.

Kata Daniel, dia membuat keputusan untuk berhenti minum air  itu kerana melihat tindakan polis yang semakin aktif membanteras gejala berkenaan selain pendedahan media yang banyak menyentuh isu ketum.

Jelasnya, dia juga tidak mahu dirinya terus ketagih dengan ketum kerana bimbang dengan kesihatannya lalu bertekad untuk berhenti walaupun permulaannya sangat sukar.

“Tak keruan rasanya. Bila tak minum ketum dalam beberapa hari. Jadi saya tak mahu lagi perkara ini berlaku , itu sebab saya terus berhenti,” katanya.

Dua lelaki ditemui mati dibunuh


Anggota polis mengangkat dua mayat yang dijumpai di Desa Seri Ampang, Ipoh, semalam.
IPOH 1 Julai - Mayat dua lelaki yang dipercayai dibunuh ditemui dalam keadaan terlentang di dalam semak di Desa Seri Ampang, berhampiran Plaza Tol Ipoh Selatan, Lebuh Raya Utara-Selatan di sini hari ini.
Polis menemukan mayat S. Kaviventhen, 28, dan S. Chandrasekhar, 26, kira-kira pukul 8.30 pagi dengan terdapat kesan tikaman serta luka di seluruh badan kedua-dua mangsa selain dipercayai dipukul dengan objek tumpul.
Salah satu daripada mayat berkenaan ditemui dalam keadaan berulat.
Pemangku Ketua Polis Daerah, Supritendan Ahmad Termizi Abd. Haq berkata, hasil siasatan awal polis mendapati kedua-dua mayat yang tidak berbaju dan hanya berseluar panjang itu dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum dibuang di lokasi kejadian.
"Polis mengesyaki kejadian itu ada kaitan dengan soal dendam berikutan salah seorang mangsa mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kes kecurian motosikal.
"Kita turut menemukan sebuah motosikal jenis Yamaha 135 LC di tempat kejadian yang didaftarkan atas nama seorang individu dari Taman Razaki di sini, namun tiada sebarang senjata dikesan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Termizi berkata, kedua-dua mayat berkenaan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.
"Setakat ini, pihaknya masih belum menerima laporan forensik lengkap untuk mengesahkan punca sebenar kematian," katanya sambil memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130702/je_01/Dua--lelaki-ditemui-mati-dibunuh#ixzz2XqYJOIcz
© Utusan Melayu (M) Bhd 

2 suspek cedera ditembak lepas cuba langgar polis


KUALA TERENGGANU - Dua lelaki yang disyaki anggota kumpulan samun, cedera ditembak selepas kereta yang mereka naiki cuba melanggar anggota polis di Kampung Durian Guling, Marang Sabtu lepas.
 
Mereka adalah antara tiga lelaki berusia antara 30 dan 48 tahun yang ditahan polis kerana disyaki aktif melakukan samun di negeri ini.
 
Timbalan Ketua Polis Terengganu Datuk Hamzah Mohd Jamil berkata empat anggota polis yang membuat rondaan terserempak dengan kereta Proton Waja yang dinaiki tiga lelaki dalam keadaan mencurigakan pada pukul 4.45 pagi.
 
"Menyedari kereta mereka diekori, suspek bertindak membuat pusingan 'U' dan anggota polis memberikan isyarat supaya memberhentikan kenderaan namun suspek enggan dan cuba melanggar anggota polis.
 
"Namun anggota kami berjaya mengelak dan polis mengejar suspek sejauh tiga kilometer. Polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan sebelum memberkas ketiga-tiga suspek itu," katanya pada sidang akhbar yang di sini hari ini.

Beliau berkata tembakan itu menembusi kereta yang dinaiki suspek dan terkena  pinggang dan lutut dua daripada tiga lelaki terbabit. Mereka kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.
 
Hamzah berkata polis menemui beberapa peralatan seperti parang, golok, cangkul, pemotong besi, sabit dan alat menghisap dadah dalam kereta Proton Waja yang dinaiki tiga lelaki terbabit.
 
Beliau berkata ketiga-tiga lelaki yang tidak mempunyai pekerjaan itu adalah rakyat tempatan dan mempunyai rekod jenayah berkaitan penyalahgunaan dadah dan kes jenayah.
 
"Kami percaya dengan tertangkapnya suspek, polis dapat menyelesaikan beberapa kes jenayah yang dilapor di negeri ini," katanya. - Bernama

Mengantuk luar biasa petanda anak pergi selamanya



KUALA TERENGGANU - Rasa mengantuk luar biasa yang dialami seorang ibu sepanjang hari rupa-rupanya adalah petanda beliau akan kehilangan anak lelaki buat selamanya.
   
Kalsom Sulong, 82, ibu kepada Abdul Rashid Mansor yang terkorban dalam nahas membabitkan konvoi motosikal berkuasa tinggi di Johor hari ini, berkata beliau berasa amat mengantuk sejak semalam.
   
"Mak Cik tidak menyangka rasa mengantuk itu rupanya petanda anak lelaki Mak Cik itu akan pergi buat selama-lamanya.
   
"Biasanya makcik tak pernah tidur dan rasa mengantuk pada siang hari. Tapi semalam, makcik rasa sangat mengantuk dan tak boleh buka mata," katanya kepada pemberita di rumahnya di Taman Permint Jaya, Chendering malam ini.  

Abdul Rashid, 48, maut dalam nahas yang turut meragut nyawa seorang lagi rakannya pada kira-kira 1 petang apabila motosikal mereka berlanggar dengan sebuah lori tangki di Kilometer 38, Jalan Johor Bahru-Mersing.
 
Nahas itu turut menyebabkan tiga lagi penunggang motosikal berkuasa tinggi lain cedera.
   
Kalsom berkata anak bongsunya itu pergi ke Johor pada Jumaat lepas dan menantunya, yang juga isteri mangsa, Zuhariyaton Abdul Rahman, 42, serta anak mereka, Mohamad Aiman Daniel, 3, turut mengiringi konvoi berkenaan dengan menaiki sebuah kereta.
   
Katanya, meskipun terkejut dengan kejadian yang menimpa anak bongsu daripada tujuh beradik itu, beliau serta keluarga tetap pasrah dan reda dengan ketentuan Tuhan.
   
Kalsom berkata beliau mengetahui nahas itu selepas menerima panggilan daripada menantunya.
   
"Pada kira-kira pukul 2 petang, menantu telefon dan berkata Rashid dah tak ada, dia dah meninggal dunia dalam kemalangan," katanya.
   
Kalsom turut memaklumkan jenazah Abdul Rashid dijangka tiba di sini kira-kira pukul 11 malam dan akan dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Chendering pada tengah malam ini. - Bernama

Taktik adik angkat kantoi


Taktik adik angkat kantoi
Muhammad Suhaili bersama seorang anggota penguat kuasa wanita mengiringi wanita terbabit untuk dibawa ke Balai Polis Sabak Bernam.
SABAK BERNAM – Seorang nelayan yang kononnya singgah untuk membawa adik angkatnya warga Indonesia ke rumah kakaknya, ditangkap khalwat di dalam sebuah bilik sebuah hotel bajet di sini, malam kelmarin.

Lelaki berusia 40 tahun itu dicekup bersama pasangannya yang berasal dari Medan, Indonesia, 20-an, kira-kira jam 11. 15 malam sewaktu pasangan itu berada di dalam sebuah bilik tingkat dua bangunan berkenaan.

Ketua Penguatkuasa Agama Daerah Sabak Bernam, Muhammad Suhaili Sajiman berkata, lelaki terbabit memberitahu dia singgah ke hotel itu untuk menjemput adik angkatnya itu ke rumah kakaknya yang tinggal berhampiran.

“Semasa pemeriksaan dijalankan, lelaki itu memberi alasan baru sampai dan masuk ke dalam bilik hotel itu, sementara menunggu adik angkatnya bersiap untuk dibawa ke rumah kakaknya,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, sebaik saja siasatan dijalankan ke atas pasangan itu, pasangan itu dibawa ke Balai Polis Sabak Bernam.

Katanya, kedua-dua pasangan itu akan disiasat di bawah Seksyen 29 Enekmen Jenayah Syariah Selangor No. 9 Tahun 1995 kerana Khalwat  yang boleh memperuntukkan denda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Muhammad Suhaili berkata, operasi itu yang disertai lima anggota penguat kuasa itu memberi tumpuan di dua lokasi iaitu sebuah hotel bajet dan pusat rawatan urut kaki yang dikatakan menjadi tumpuan pasangan bukan muhrim  terutama pada cuti hujung minggu.

“Kita menumpukan usaha mencegah maksiat pasangan bukan muhrim di dua lokasi ini bagi memastikan gejala merosakkan akhlak itu dapat dibanteras habis-habisan,” katanya.

Remaja dirogol selepas dipaksa minum arak


 Noor Mushar Muhammad
Superintendan Noor Mushar Muhammad
SABAK BERNAM – Seorang pelajar tingkatan dua bukan saja dipaksa meneguk minuman keras, malah dirogol seorang lelaki dan dicabul seorang lagi rakannya dalam kejadian di sebuah rumah di daerah ini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, suspek masing-masing berusia 21 tahun itu dikatakan menodai pelajar perempuan berusia 14 tahun itu selepas mendapati mangsa dalam keadaan mabuk dan tidak sedarkan diri.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Muhammad berkata, mangsa yang berasal dari Ampang itu dipercayai mengikuti kedua ibu bapanya pulang ke kampung untuk menghadiri majlis kenduri.

“Kejadian itu dipercayai berlaku, sewaktu ibu mangsa menyuruh mangsa bersama seorang sepupu lelakinya berusia 13 tahun itu menghantar lauk kenduri di rumah jiran, bagaimanapun, mangsa tidak pulang ke rumah,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, kedua ibu bapa mangsa yang bimbang anaknya tidak pulang ke rumah bertindak mencari mangsa di rumah jiran bersama suaminya dan menemui sebuah motosikal yang digunakan anaknya itu.

“Ibu bapa mangsa memaklumkan kejadian itu kepada orang kampung dan seorang daripada mereka memberitahu ternampak kelibat tiga lelaki membawa anak dan anak saudaranya itu menaiki sebuah kereta,” katanya.

Noor Mushar berkata, setelah puas mencari selama dua jam akhirnya penduduk kampung menemui sebuah kereta yang dipercayai digunakan suspek untuk membawa kedua-dua sepupu berkenaan.

“Sebaik saja masuk ke dalam rumah terbabit, ibu bapa mangsa terkejut apabila mendapati anaknya tidur dalam keadaan separuh bogel dalam sebuah bilik bersama tiga lelaki terbabit sementara sepupunya itu berada di depan ruang tamu rumah.

“Ibu mangsa yang melihat keadaan itu segera mengejutkan anaknya dan mangsa telah membuat pengakuan seorang daripada suspek bertindak merogolnya dan memaksanya mengambil minuman keras,” katanya.

Beliau berkata, ibu mangsa yang berang dengan perbuatan durjana suspek telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam.

Katanya, kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Kes keganasan wanita meningkat


ROHANI mengikat skaf di kepala seorang bapa dalam acara Kendung Kasih sempena sambutan Hari Bapa 2013 Peringkat Negeri Sarawak di Kampung Kalok, Pusa, Betong semalam.


BETONG – Kes keganasan terhadap wanita di negara ini meningkat sebanyak 12 peratus dengan 2,576 kes dilaporkan setakat April tahun ini berbanding hanya 2, 295 kes bagi tempoh sama tahun lalu.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, statistik daripada Polis Diraja Malaysia bagi tempoh empat bulan pertama itu jelas mencerminkan trend keganasan wanita semakin membimbangkan.
Bagaimanapun, katanya, pemahaman dan kesedaran terhadap isu keganasan dari segi gangguan seksual, fizikal dan emosi golongan tersebut semakin meningkat menerusi penganjuran seminar Respek Wanita.
“Sekecil manapun kes keganasan terhadap wanita, kita mesti menanganinya secara bersepadu bagi memartabatkan maruah kaum wanita di negara ini.
“Kita tidak mahu maruah dan hak wanita direndahkan sebaliknya membela hak kewanitaan untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kaum lelaki,” katanya selepas sambutan Hari Bapa 2013 Peringkat Negeri Sarawak di Dewan Tandang Sari, Kampung Kalok, Pusa di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0701&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz2Xm7e0HRP 
Hakcipta terpelihara 

Tukang cat maut ditembak ketika minum

KESAN darah masih kelihatan di lantai sebuah kedai makan yang menjadi tempat Hooi Tiong mati ditembak di Nibong Tebal semalam.


NIBONG TEBAL – Kegembiraan lapan sekawan yang sedang minum di sebuah restoran di Taman Sri Emas di sini petang semalam bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka mati ditembak.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Mazlah Kesah (gambar kecil) berkata, kejadian pukul 3.15 petang itu mengakibatkan tukang cat, Loh Hooi Tiong, 48, mati selepas ditembak dari jarak dekat oleh dua lelaki bermotosikal.
“Kejadian berlaku apabila mangsa sedang minum bersama rakan-rakannya di sebuah restoran tidak jauh dari rumahnya.
“Mereka kemudian didatangi dua lelaki bermotosikal dan memakai topi keledar bertutup muka sebelum salah seorang melepaskan empat das tembakan ke arah mangsa,” katanya di sini.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0701&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz2Xm78SwfA 
Hakcipta terpelihara 

Telaga buta korban wanita dikambus

Oleh NORLIDA AKMAR IDROS


NIK MOHD. KAMIL menunjukkan telaga berusia 100 tahun yang meragut nyawa adik iparnya telah dikambus dengan tanah.


JITRA – Sebuah telaga buta berusia 100 tahun di Kampung Cherok Mokkan, Hosba dekat sini yang mengorbankan nyawa seorang wanita, Latifah An telah dikambus bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Ibu saudara mangsa, Siti Rosni Arif, 56, berkata, dia meminta bantuan penduduk kampung untuk menutup telaga tersebut dengan tanah sebaik mayat Latifah, 50, dikeluarkan oleh pasukan bomba kelmarin.
“Saya rasa cukuplah telaga ini jadi pusara anak saudara saya selama lima hari.
“Bagi mengelakkan kejadian sama berulang, saya rasa lebih baik telaga ini dikambus serta-merta,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Menurut wanita itu, telaga yang terletak kira-kira 10 meter dari rumahnya itu turut menjadi sumber bekalan air kepada penduduk kampung kerana airnya tidak pernah kering.
“Saya sekeluarga juga menggunakan air telaga ini untuk menyiram pokok tetapi tidak lagi sekarang selepas pam air rosak sejak empat tahun lalu,” katanya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0701&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz2Xm5vrjgR 
Hakcipta terpelihara 

Kena 16 jahitan dinding runtuh

Oleh FIRDAUS HASSAN

KEADAAN dapur rumah Jamzi selepas dinding konkrit roboh menyebabkan kepalanya (gambar kecil) berlubang di Jalan Ajibah Abol, Kuching semalam.


KUCHING – Seorang lelaki terpaksa menerima 16 jahitan di kepala selepas dinding konkrit seberat 200 kilogram di dapur rumahnya runtuh sebelum menghempap mangsa semalam.
Kejadian pada pukul 12.30 tengah hari di Jalan Datuk Ajibah Abol di sini berlaku ketika mangsa, Jamzi Busman, 37, sedang mengambil wuduk di dalam bilik air.
Ekoran kejadian itu, mangsa jatuh tertiarap di lantai menyebabkan kepalanya berlubang selain cedera di belakang badan dan kaki.
Pemandu itu berkata, dia tersepit kira-kira 30 minit di bawah runtuhan itu sebelum kejadian itu disedari oleh anak saudaranya yang berusia 21 tahun.
“Pada masa itu, hanya Allah sahaja yang tahu kesakitan yang saya tanggung.
“Saya terpaksa menahan badan daripada dihimpit terus ke lantai. Mujur anak saudara mendengar jeritan dan menarik saya keluar perlahan-lahan dari runtuhan konkrit,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini.
Menurut Jamzi, dia kemudian dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk mendapatkan rawatan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0701&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz2Xm6oJFHs 
Hakcipta terpelihara 

Rumah KJ dimasuki perompak

Oleh NUR AISHAH AMIN


RUMAH Khairy Jamaluddin yang terletak di Bukit Damansara, Kuala Lumpur dimasuki empat penjenayah petang kelmarin.


KUALA LUMPUR – Empat lelaki menceroboh kediaman Khairy Jamaluddin Abu Bakar di Jalan Setiabestari, Bukit Damansara di sini kelmarin dan melarikan beberapa unit komputer riba dan jam tangan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, semasa kejadian pada pukul 5.30 petang itu hanya pembantu rumah menteri itu berada di rumah tersebut.
Bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan itu dikatakan tiada di rumah semasa kejadian kerana menyaksikan final Piala FA antara Johor Darul Takzim dan Kelantan di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini.
Menurut beliau, suspek-suspek yang dikatakan menaiki sebuah kereta Proton Waja itu masuk ke rumah orang kenamaan itu dengan memanjat tembok pagar di tepi rumah dan masuk menerusi pintu kayu depan yang tidak berkunci.
“Semasa itu pembantu rumah menteri itu berada di dapur dan menyedari kejadian itu semasa keluar ke ruang tamu sebelum terkejut melihat pintu depan terbuka.
“Selepas itu pembantu rumah terbabit melihat empat suspek sedang menyelongkar bilik tidur utama majikannya,” kata beliau ketika dihubungi di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0701&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm#ixzz2Xm4xQnAa 
Hakcipta terpelihara 

Mati selepas keluar berhibur

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID


ANGGOTA polis menyiasat kawasan pergaduhan yang mengorbankan Kien Chong di Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU – Cubaan seorang pekerja logistik untuk mempertahankan dua teman wanita yang dibawa untuk minum dan berhibur di sebuah pub daripada dipikat sekumpulan lelaki mengundang padah apabila dia dipukul sampai mati dalam kejadian di Jalan Kebun Teh di sini semalam.
Kejadian pukul 1 pagi itu mengakibatkan Ong Kien Chong (gambar kecil), 27, mati kira-kira lima jam kemudian selepas diserang dengan kayu dan parang oleh tiga hingga empat samseng yang berang dengan tindakan mangsa.
Difahamkan, selain dua wanita itu, mangsa turut pergi ke pub tersebut bersama dua lagi rakan lelakinya. Kumpulan samseng itu pula minum bersebelahan dengan meja mereka.
Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintendan Abdul Samad Salleh berkata, samseng itu kemudian cuba mengurat dua wanita yang dibawa mangsa menyebabkan Kien Chong cuba menegahnya selepas terganggu dengan sikap suspek.
Katanya, ekoran itu, berlaku pertengkaran antara mangsa dengan kumpulan samseng tersebut hingga berlarutan ke luar pub.
“Tanpa diduga, beberapa rakan samseng tersebut telah siap menunggu di luar sebelum membelasah mangsa dan dua rakannya menggunakan parang dan kayu. Dua wanita itu tidak diganggu.
“Salah seorang rakan mangsa dapat melarikan diri sejauh satu kilometer hingga ke sebuah hotel di Majidee di sini sebelum ditemui oleh orang ramai pada pukul 4 pagi dalam keadaan berlumuran darah,” katanya ketika dihubungi di sini.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0701&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz2Xm3l099Q 
Hakcipta terpelihara 

Tragedi konvoi berdarah

Oleh FARIK SALLEH


KEMALANGAN melibatkan empat buah motosikal berkuasa tinggi dan sebuah lori tangki yang mengorbankan nyawa dua penunggang di Kota Tinggi semalam.


KOTA TINGGI – Rombongan konvoi yang disertai 13 buah motosikal berkuasa tinggi dalam perjalanan ke Terengganu dicemari insiden berdarah apabila dua penunggangnya maut selepas terlibat dalam kemalangan semalam.
Kejadian yang mengorbankan Abdul Rashid Mansor, 48, dan Mohamad Hisham Salleh, 36, itu berlaku pada pukul 12 tengah hari di Kilometer 38, Jalan Johor Bahru-Mersing berhampiran simpang masuk ke taman perumahan Daiman Jaya di sini.
Kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah lori tangki dari arah Mersing dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melintang di tengah jalan raya.
Keadaan itu menyebabkan empat daripada 13 buah motosikal berkuasa tinggi dari arah Johor Bahru gagal dikawal lalu merempuh lori tangki tersebut.
Ekoran rempuhan itu, sebuah motosikal terbakar manakala sebuah lagi terputus dua. Kedua-dua penunggang mati di tempat kejadian akibat cedera parah.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0701&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz2Xm172R2T 
Hakcipta terpelihara 

Tanah mendap: Kepala berlubang dihempap konkrit

epala Jamzi Busman berlubang akibat dihempap konkrit ketika
mengambil wuduk di rumahnya di Kuching, Sarawak, semalam.
KUCHING 30 Jun - Seorang lelaki 'berlubang' di kepala akibat dihempap dinding konkrit dapur rumahnya ketika mengambil wuduk di Jalan Datuk Ajibah Abol di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 12.30 tengah hari itu, mangsa, Jamzi Busman, 37, berada dalam bilik air sebelum bahagian belakang rumah dua tingkat itu tiba-tiba roboh lalu menimpanya.
Akibat runtuhan itu, mangsa jatuh tertiarap di atas lantai dan dihempap oleh dinding konkrit seberat kira-kira 200 kilogram sehingga menyebabkan kepalanya luka sedalam lima sentimeter.
Menurut mangsa yang bekerja sebagai pemandu, dia tersepit di tempat kejadian kira-kira 30 minit sebelum mendapat bantuan daripada salah seorang anak saudara berusia 21 tahun.
"Pada masa itu, hanya Allah sahaja tahu kesakitan yang dialami apabila dihempap konkrit berat tersebut.
"Saya terpaksa menahan badan daripada dihimpit terus ke lantai. Mujur anak saudara mendengar jeritan dan mengeluarkan saya perlahan-lahan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut, Jazmi berkata, berikutan kejadian itu, dia dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak untuk menerima rawatan.
Katanya, doktor terpaksa membuat 16 jahitan di kepalanya yang berlubang dan rawatan biasa di anggota badan yang turut mengalami kecederaan.
"Saya tinggal di rumah ini sejak 15 tahun lalu dan ini merupakan kali pertama kejadian seperti ini berlaku.
"Ibu dan ayah saya membuat laporan di Balai Polis Satok dan menurut siasatan awal polis kejadian runtuhan ini berpunca daripada tanah mendap," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130701/je_07/Tanah-mendap-Kepala-berlubang-dihempap-konkrit#ixzz2XqscyAjT
© Utusan Melayu (M) Bhd