Rompakan dua minit
Bahagian luar premis kedai emas yang disamun
KUALA LUMPUR - “Kejadian berlaku terlalu pantas, sebaik mendengar bunyi jeritan, saya menjengah ke luar kedai dan sempat melihat perompak berkenaan berlari keluar membelakangkan saya sambil kedua-dua tangannya menggenggam barang kemas.”
Demikian menurut seorang saksi enggan dikenali yang menyedari kejadian rompakan kedai emas di Jalan Bonus 6, Masjid India, di sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 10 pagi itu dipercayai dilakukan enam lelaki bermotosikal yang bersenjatakan pistol, ketika pemilik kedai baru sahaja memulakan operasi perniagaan.

Ia mengakibatkan kerugian bernilai kira-kira RM350,000 apabila kumpulan perompak itu melarikan tujuh dulang emas.

Saksi berkenaan yang juga peniaga berhampiran berkata, ketika kejadian, dia sedang membuka premisnya untuk memulakan operasi dan secara tiba-tiba kedengaran bunyi cermin dipecahkan sebelum terdengar jeritan.

Menurutnya, kejadian berlaku dalam tempoh kurang dari dua minit.

“Perompak itu dilihat memakai topi keledar dan berlari keluar ke arah motosikal yang menunggu di simpang jalan tidak jauh dari kedai emas tersebut.

“Saya hanya memikirkan nasib pemilik kedai itu, namun nasib baik dia tidak mengalami sebarang kecederaan tetapi dia berada dalam keadaan trauma ketika saya melihatnya di dalam kedai,” katanya ditemui Sinar Harian di lokasi kejadian.

Ketika kejadian katanya, pemilik kedai berkenaan berada bersama seorang lagi pembantu kedai.

“Kedai emas itu sudah beroperasi sejak lebih 20 tahun lalu, dan sebelum ini tidak pernah berlaku kejadian rompakan seperti ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
“Kes disiasat bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata,” katanya.