
Yusof Holmes Abdullah menghadapi pertuduhan meminta rasuah daripada seorang pengarah syarikat pembinaan di Mahkamah Sesyen, Pulau Pinang, semalam.
PULAU PINANG 26 Jun - Seorang penimbangtara bertauliah rakyat Britain dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan meminta suapan sebanyak RM6 juta daripada seorang pengarah syarikat pembinaan, tahun lalu.
Yusof Holmes Abdullah, 69, yang juga pemegang taraf penduduk tetap (PR) negara ini, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Hakim Zul Hazni Abdullah.
Tertuduh didakwa meminta suapan daripada Pengarah Syarikat JMR Construction Sdn. Bhd., Goh Nai Kooi @ Goh Mai Kwai melalui e-mel.
Suapan itu sebagai dorongan untuk memberi kemenangan kepada syarikat tersebut yang terlibat dalam pertikaian komersial dengan syarikat Nanjing Changjiang Waterway Engineering Bureau.
Tertuduh yang menetap di negara ini sejak 1978 dan berkahwin dengan wanita tempatan didakwa melakukan perbuatan itu antara 1 Ogos dan 30 September 2012 di No. 8, Jalan Sri Bahari, di daerah Barat Daya di sini.
Dia didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.
Jika sabit kesalahan seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan.
Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Hanim Mohd. Rashid yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan supaya setiap tertuduh diikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin.
Sementara itu, seorang lagi ahli perniagaan rakyat tempatan, Siaw Teck Hwa, 59, pula didakwa bersubahat dengan Yusof Holmes melakukan perbuatan itu pada tarikh dan lokasi sama.
Teck Hwa yang diwakili peguam Zainul Fikri mengaku tidak bersalah dan memohon jumlah ikat jamin dikurangkan kerana mendakwa anak guamnya baharu selesai menjalani pembedahan jantung.
Raj Shanker yang mewakili Yusof Holmes memohon mahkamah mengurangkan ikat jamin kepada RM50,000 bagi setiap seorang atas faktor kesihatan.
Zul Hazni membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan dua orang penjamin rakyat tempatan dan memerintahkan pasport antarabangsa mereka diserahkan kepada mahkamah sehingga selesai perbicaraan. Mereka menjelaskan jaminan tersebut.
Mahkamah menetapkan 31 Julai depan bagi sebutan semula kes.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130627/ma_02/Rakyat-Britain-dituduh--rasuah#ixzz2XQIcY63J
© Utusan Melayu (M) Bhd